Berita Industri Archives - Page 14 of 29 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia raih hampir RM2 bilion pelaburan TF AMD – Azmin

Malaysia meraih pelaburan bernilai hampir RM2 bilion daripada syarikat semikonduktor, TF AMD Microelectronics (Penang) Sdn Bhd, susulan penyerahan surat kelulusan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kepada syarikat itu semalam.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pelaburan itu untuk pelan pengembangan syarikat, yang akan mewujudkan 2,000 pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Ini sejajar dengan hala tuju Malaysia ke arah menggalakkan inovasi dan nilai tambah berimpak tinggi untuk perniagaan tempatan dan kekal sebagai hab pembuatan di rantau ini,” katanya dalam Twitter selepas menyaksikan majlis penyerahan itu bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini.

Surat kelulusan itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Arham Abdul Rahman kepada Naib Presiden Eksekutif, Ketua Pegawai Kewangan dan Bendahari TF-AMD Datuk Devinder Kumar.

Azmin, TF-AMD telah melabur kira-kira RM900 juta di Malaysia setakat ini.

“Devinder sudah menyatakan komitmen syarikat untuk mewujudkan peluang kerjasama dengan vendor dan universiti tempatan.

“Ini termasuk menyasarkan untuk menggaji lebih 2,000 pekerja tambahan kebanyakannya daripada latar belakang sains dan teknikal serta membangunkan vendor tempatan dalam tempoh lima tahun akan datang dalam bidang Industri 4.0, automasi dan perkhidmatan kejuruteraan,” katanya.

Azmin berkata, perjalanan pertumbuhan TF-AMD dengan Malaysia menjangkau lima dekad dan telah melabur di Malaysia dalam pelbagai bahagian rantaian nilai semikonduktor sepanjang tempoh itu.

“TF-AMD sudah memainkan peranan penting dalam membangunkan kapasiti dan keupayaan yang kita saksikan dalam ekosistem semikonduktor Malaysia hari ini,” katanya.

Beliau berkata, dengan pengetahuan yang dibawa oleh TF-AMD, pengembangan strategik akan membuka peluang yang luas bukan sahaja menyediakan pekerjaan berkemahiran tinggi, tetapi turut mewujudkan tenaga kerja yang baik melalui program latihan, inisiatif peningkatan kemahiran dan latihan semula.

“Saya optimis bahawa kerjasama ini akan menyaksikan 50 tahun lagi dan saya berharap untuk berada dalam perjalanan pertumbuhan ini dengan TF-AMD.

“Kepada TF-AMD, saya katakan: Kami menghargai kerjasama anda dan kami menantikan 50 tahun lagi di Malaysia,” katanya dalam Twitter.

Sementara itu, Arham berkata pihaknya menantikan sumbangan daripada TF-AMD untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia, lebih banyak peluang untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mereka menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan serta peluang kerjasama dengan vendor dan universiti tempatan.

“Ini sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional Malaysia, apabila kami menyasarkan lebih banyak projek berteknologi tinggi, berteraskan modal dan pengetahuan ke Malaysia,” katanya kepada Bernama di luar majlis penyerahan tersebut. 

Sumber: Bernama

Malaysia raih hampir RM2 bilion pelaburan TF AMD – Azmin


Content Type:

Duration:

Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat (AS), Gina M Raimondo dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memeterai Memorandum Kerjasama (MOC) dua negara mengenai daya tahan rantaian bekalan semikonduktor.

MOC itu bertujuan menyediakan prinsip panduan kepada kedua-dua negara berikutan kerjasama masing-masing dalam memperkukuh usaha-usaha daya tahan rantaian bekalan semikonduktor.

Ketika menandatangani MOC berkenaan, Raimondo dan Mohamed Azmin mengakui kerjasama AS-Malaysia adalah elemen penting dalam mewujudkan rantaian bekalan semikonduktor yang berdaya tahan, terjamin dan mampan.

“Berdasarkan lawatan Raimondo ke Malaysia pada November 2021, MOC itu akan memperteguh perkongsian yang semakin berkembang di antara kedua-dua kerajaan dan industri semikonduktor,” menurut kedua-dua pihak dalam kenyataan bersama.

MOC terbabit turut berperanan meningkatkan ketelusan dan kepercayaan, selain menggalakkan pelaburan dalam rantaian bekalan semikonduktor.

Sebagai menunjukkan komitmen mereka terhadap aktiviti yang digariskan dalam MOC berkenaan, kedua-dua pemimpin mengadakan persidangan meja bulat dengan pakar industri untuk membincangkan mengenai cabaran rantaian bekalan jangka panjang dan semasa, di samping peluang kepada kedua-dua negara dan ekonomi global.

Semasa mesyuarat itu, Raimondo dan Mohamed Azmin sekali lagi menegaskan kepentingan hubungan perdagangan dan pelaburan AS-Malaysia berikutan hubungan diplomatik selama 65 tahun dan membincangkan bidang yang boleh ditingkatkan kerjasama.

Mereka turut bertukar-tukar pandangan mengenai Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF). Mereka antara lain membincangkan kepentingan untuk rangka kerja itu menjadi inklusif dan kaedah bagi IPEF untuk menyampaikan manfaat bermakna dari segi ekonomi, termasuk melalui bantuan teknikal dan pembinaan kapasiti.

Jabatan Perdagangan AS dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia bercadang mengadakan pertukaran dengan pihak berkepentingan di bawah MOC itu, pada masa akan datang.

Sumber: Bernama

Malaysia, AS meterai kerjasama semikonduktor


Content Type:

Duration:

Indium Corporation, firma pembekal bahan industri pemasangan elektronik dan pembungkusan semikonduktor dari Amerika Syarikat (AS) mengukuhkan kehadirannya di Malaysia dengan pelaburan baru sebanyak RM250 juta (AS$57 juta).

Pelaburan itu adalah bagi pembinaan kemudahan baharunya di Pulau Pinang yang dijangka akan memulakan operasi dalam dua fasa bermula pada penghujung 2022 dan 2023.

Projek pelaburan Indium ini juga dijangka akan mencipta 88 pekerjaan baharu bernilai tinggi.

Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata langkah Indium meningkatkan pelaburannya di Malaysia adalah tepat pada masanya bagi membantu pemulihan ekonomi negara untuk beralih ke arah endemik.

Beliau berkata, ia juga membantu meningkatkan kekuatan negara dalam industri elektronik melalui kemajuan penyelesaian bahan elektronik dan ekosistem yang lebih besar.

“Pelaburan ini turut memberikan batu loncatan kepada bakat tempatan dalam industri elektronik, selaras dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Indium juga merancang untuk memanfaatkan keupayaan Malaysia dalam operasi pembuatan dan telah menyatakan hasrat untuk menubuhkan makmal inovasi penyelidikan dan pembangunannya serta kemudahan latihan.

“Ini menunjukkan syarikat global yakin terhadap ekosistem tempatan dan bakat berkemahiran tinggi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan kanan Indium Corporation di Washington DC, AS.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman, berkata penubuhan kemudahan pengeluaran baharu Indium di Malaysia adalah tanda keyakinan terhadap pertumbuhan berterusan negara.

Beliau berkata, didorong oleh NIA dan disokong oleh dasar mesra perniagaan Malaysia, infrastruktur yang luas, industri sokongan yang teguh dan tenaga kerja berbakat, MIDA sentiasa menyokong pelabur luar untuk menjadi peserta utama dalam rantaian nilai global.

Ia juga katanya akan mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab pembuatan global, memberi manfaat kepada industri dan rakyat.

“Oleh itu, kita memberi penghormatan kepada Indium, yang membekalkan komponen penting dalam rantaian nilai industri elektronik kerana memilih untuk meluaskan kehadirannya di sini.

“Kami berharap untuk melihat Indium berkembang ke tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Indium labur RM250 juta di Pulau Pinang


Content Type:

Duration:

Industri tekstil negara khususnya fabrik unik dan kreatif seperti tenunan serta batik berpotensi besar untuk membawa negara ke persada antarabangsa dan menjadi komoditi menguntungkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Melahirkan keyakinan industri negara seperti Tenun Pahang Diraja, batik, songket dan tekat berdaya maju untuk diketengahkan di mata dunia, beliau berkata industri tekstil negara mampu menarik ramai orang sekali gus menjana pendapatan.

“Saya percaya jika promosi besar-besaran dapat dilakukan (bagi memperkenal industri tekstil negara seperti tenunan dan batik) di London, ia mampu menarik pelancong yang datang ke kota ini,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Ismail Sabri, yang tiba di ibu negara United Kingdom pada awal pagi Selasa, melawat Pameran Tenun Pahang Diraja yang diadakan buat julung kalinya di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square.

Terdahulu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima menghadap Ismail Sabri serta delegasi dan kemudian melawat Pameran Tenun Pahang Diraja yang bermula semalam hingga Ahad ini.

Tunku Azizah, yang memperjuangkan program tenunan tanah air, turut berkenan memberi penjelasan kepada Ismail Sabri berkaitan pameran itu, yang antara lain memperagakan tenunan dari penjara dan menampilkan busana tenunan termasuk koleksi persalinan tenun Raja Permaisuri Agong.

Perdana Menteri, yang sedang dalam perjalanan ke Washington DC bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat, berada di London untuk melawat pameran itu dan menghadiri majlis Hari Raya Aidilfitri Keluarga Malaysia bersama rakyat Malaysia yang menetap di United Kingdom.

Ismail Sabri, yang merupakan Ahli Parlimen Bera, melahirkan rasa bangga dengan sambutan memberangsangkan Pameran Tenun Pahang Diraja ‘menyulam harapan’ sempena Minggu Kraf London kerana ia melibatkan hasil kreativiti penghuni Penjara Penor dan Bentong di Pahang.

Beliau berkata program tenunan seumpamanya boleh ditambah baik termasuk dari segi latihan dan kemahiran serta mendapat sokongan orang ramai. 

Merujuk cadangan kerajaan Pahang untuk menubuhkan pusat tenunan di Pekan, Perdana Menteri percaya lebih banyak pendidikan latihan teknikal dan vokasional dalam industri tekstil negara akan dapat diwujudkan.

Beliau tidak menolak kemungkinan lebih banyak institut latihan berkaitan industri tekstil negara akan diwujudkan pada masa depan.

Ismail Sabri, yang turut mempelopori pemakaian batik pada setiap Khamis dalam kalangan penjawat awam dan Ahli Parlimen, berkata beliau bangga batik negara kini semakin diterima dan pemakaiannya semakin menggalakkan.

Perdana Menteri dan delegasi kemudian berlepas ke Washington DC pada 5 petang waktu tempatan (12 tengah malam waktu Malaysia).

Sumber: Bernama

Industri tekstil negara berpotensi besar


Content Type:

Duration:

Simmtech, pengeluar papan litar bercetak (PCB) dan substrat pembungkusan untuk semikonduktor yang berpangkalan di Korea Selatan, membuka kemudahan pembuatan termajunya yang pertama di Asia Tenggara di Pulau Pinang bagi memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat.

Pengarah Urusan Simmtech Asia Tenggara Jeffery Chun berkata kemudahan pembuatan di bawah anak syarikat Simmtech, Sustio Sdn Bhd itu dijangka memulakan penghantaran volum substrat pembungkusan dan produk PCB secara besar-besaran kepada pelanggan menjelang separuh kedua tahun ini. 

Chun berkata kemudahan seluas 7.3 hektar itu akan menjadi kilang kelapan kumpulan itu di samping operasi yang lain di Korea Selatan, China dan Jepun.

“Kilang Sustio di Pulau Pinang akan meningkatkan kapasiti substrat dan PCB Simmtech sebanyak 20 peratus, yang akan menyumbang dengan serta-merta bagi memperbaiki keadaan kekurangan bekalan industri semikonduktor yang boleh menangani keperluan dalam kalangan pemain industri dengan lebih berkesan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow merasmikan majlis pembukaan kilang Sustio di sini, yang turut dihadiri duta Korea Selatan ke Malaysia Lee Chi Beom, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Lim Bee Vian dan penasihat pelaburan khas kepada Ketua Menteri Datuk Seri Lee Kah Choon.

Chun berkata kilang baharu bernilai RM600 juta di Taman Perindustrian Batu Kawan itu boleh menghasilkan sehingga 60 juta substrat dan dua juta papan PCB setiap bulan.

“Sustio telah pun menggaji lebih 700 tenaga kerja untuk kemudahan Pulau Pinang dan ia akan mencapai tenaga kerja penuh lebih 1,000 pekerja menjelang tahun depan,” katanya.

Beliau berkata pembukaan kilang Sustio tepat pada masanya untuk peralihan teknologi ingatan capaian rawak dinamik (DRAM) baharu (DDR5).

“Kami telah pun berinteraksi dengan pelanggan utama kami untuk program kelayakan tapak baharu dan kami akan meningkatkan tapak baharu ini terutamanya untuk pelanggan DRAM dan NAND kami di seluruh dunia,” katanya.

Simmtech diasaskan di Korea Selatan pada 1987 dan mencatatkan hasil jualan lebih RM4 bilion tahun lepas dengan kira-kira 4,000 pekerja di seluruh dunia.

Sumber: Bernama

Simmtech buka kemudahan pembuatan canggih pertama di Pulau Pinang


Content Type:

Duration:

Pengeluar sarung tangan kini patut mengalihkan fokus mereka kepada pemain industri bukan perubatan dan menjadikan mereka sebagai pelanggan bagi memastikan industri itu kekal lumayan dan terus berkembang daripada menumpukan kepada sektor penjagaan kesihatan semata-mata, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, pemain perlu menjadi kreatif untuk meneroka cara dan kaedah baharu untuk menjadikan industri sarung tangan berkembang semula dan mencatatkan keuntungan walaupun bukan pada kadar apabila permintaan melonjak naik dan harga jualan purata mencapai paras rekod tertinggi.

Selain itu, katanya, wabak tersebut telah mencetuskan kesedaran tentang kepentingan kebersihan untuk mencegah pencemaran atau membendung penularan penyakit.

“Lagipun, sarung tangan pakai buang yang bergred bukan perubatan terdapat dalam pelbagai saiz, warna, ketebalan dan tekstur. Ia juga digunakan dalam pelbagai perniagaan seperti dalam perniagaan tatu, makmal dan pusat jagaan kanak-kanak.

“Walaupun industri minuman dan makanan merupakan pengguna sarung tangan dengan permintaan yang terhad, tempoh lapan hingga 10 tahun yang lalu ini telah menyaksikan peningkatan tahap kesedaran dengan pemain industri dan pengguna sama-sama menyedari hakikat bahawa pengendalian makanan berkisar pada tahap kebersihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuraida berkata sarung tangan juga digunakan dalam industri elektronik semikonduktor untuk melindungi komponen elektrik atau elektronik daripada pencemaran.

“Baru-baru ini, saya juga telah melawat 10 negara termasuk Mesir, Qatar, Pakistan dan Turki untuk mempromosikan komoditi negara dan membuka pasaran baharu dan semasa lawatan ini, beberapa memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani dan saya juga mengambil kesempatan untuk menepis beberapa dakwaan terhadap komoditi negara dan memberi fakta yang betul,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan kementerian tersebut akan melakukan segala yang mampu untuk membantu pengeluar tempatan mendapatkan pasaran baharu dan melebarkan sayap mereka kepada sektor bukan perubatan.

“Kami sentiasa bekerjasama rapat dengan pemain industri tempatan dan kerjasama ini akan memastikan industri sarung tangan getah tempatan negara akan terus berkembang maju,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, langkah Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) untuk memanfaatkan industri bukan perubatan sebagai pemacu permintaan masa depan bagi sarung tangan gred bukan perubatan adalah tepat.

“Telah diketahui ramai bahawa harga saham sarung tangan di Bursa Malaysia telah merosot dengan ketara sejak pertengahan tahun lalu.

“Walaupun ia menyakitkan, kita harus menerima hakikat bahawa tempoh kemuncak semasa pandemik COVID-19 pada tahun 2020 yang telah mendorong pertumbuhan pesat industri ini dengan pemain baharu mungkin tidak berulang lagi terutamanya apabila dunia beransur-ansur beralih ke fasa endemik,” katanya.

Sumber: Bernama

Pengeluar sarung tangan perlu alih kepada industri bukan perubatan – Zuraida


Content Type:

Duration:

Keputusan Latexx Manufacturing Sdn Bhd melaksanakan projek pembinaan kilang tambahan bertepatan dengan permintaan sarung tangan getah yang dijangka akan menjadi lebih tinggi berbanding sebelum pendemik. 

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata dengan trend peningkatan permintaan terhadap produk berasaskan getah seperti sarung tangan, ini adalah masanya untuk pemain industri tempatan meningkatkan kapasiti produktiviti penghasilan produk.

“Pada suku pertama 2021, nilai eksport getah negara meningkat 169.6 peratus kepada RM21.84 bilion berbanding RM8.1 bilion yang dicatatkan tempoh sama dua tahun lalu, dengan majoriti disumbangkan oleh peningkatan kukuh sektor barangan berasaskan susu getah,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan penambahan kilang (Plant 7 Plus) Latexx Manufacturing Sdn Bhd bernilai RM100 juta di Kamunting hari ini.

Beliau berkata pembangunan kilang tambahan tentunya memberikan impak positif kepada pembangunan sosioekonomi sekitar Kamunting dan kawasan berdekatan.

“Saya dimaklumkan ia telah membuka lebih 200 peluang pekerjaan kepada masyarakat di daerah Larut Matang dan Selama.

“Ini bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk bersama-sama pihak swasta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk kita sama-sama membina semula ekonomi negeri dan rakyat dalam tempoh kita memasuki fasa endemik ini,” katanya.

Saarani berharap agar masyarakat khususnya yang berpeluang bekerja di sini supaya mengambil peluang untuk meningkatkan taraf hidup selain memanfaatkan segala ilmu yang dipelajari sepanjang membina kerjaya di kilang tersebut.

Sumber: Bernama

Rebut peluang dengan permintaan sarung tangan getah yang dijangka meningkat- MB Perak


Content Type:

Duration:

Kerajaan menyasarkan sebanyak 100,000 peluang pekerjaan diwujudkan melalui industri dron di Malaysia selain menyumbang RM50 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang 2030, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata justeru itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) akan menerajui pembangunan industri teknologi dron (DroneTech) tempatan.

Dr Adham berkata ia bertujuan membangunkan lima juara DroneTech bertaraf antarabangsa di samping menempatkan Malaysia antara 10 negara teratas di dunia untuk kesediaan dron (peraturan) dan penggunaan dron (pasaran) menjelang 2030.

“Bidang tumpuan terpilih untuk pembangunan dron secara intensif melibatkan sektor pertanian, logistik, media kreatif dan rekreasi, pemuliharaan alam sekitar, pertahanan dan maritim, kawalan penyakit, mitigasi dan bantuan bencana, perancangan harta tanah dan pembinaan serta tenaga,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata perbincangan sedang giat dijalankan bersama Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta badan terlibat dalam sektor penerbangan termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) selain Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Perbincangan itu dalam usaha menambah baik proses permohonan permit penerbangan dron sama ada untuk tujuan rekreasi, industri atau sebagainya.

Kini terdapat lebih 200 syarikat teknologi dron dikenal pasti di Malaysia.

Dr Adham turut memaklumkan 25 aplikasi teknologi dron telah diluluskan di empat Persekitaran Sandbox dalam tempoh 18 bulan lepas melalui Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) yang diterajui MOSTI serta dikelola oleh MRANTI.

Beliau berkata syarikat terbabit menerima sokongan dari segi pembiayaan untuk pengkomersialan, bantuan pengawalseliaan dan pembangunan pasaran dalam sektor pertanian, perhutanan, bandar pintar serta pengangkutan.

“Melalui beberapa tapak sandbox ini, dron akan melalui ujian tekanan dalam persekitaran sebenar bagi kegiatan penuaian, pergudangan dan banyak lagi,” katanya.

Selain itu, Living Labs yang disediakan di MRANTI Park menawarkan kemudahan 4IR bersepadu termasuk MakersLab, Pusat Kecemerlangan Dron, Pusat Pembangunan 5G, Teknologi BioSains dan Penjagaan Kesihatan yang sedang giat dibangunkan sehingga tahun 2025.

Sebelum ini, MOSTI mengumumkan rancangan untuk memperkenal sukatan industri dan teknologi dron dalam pelajaran Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI) bagi melahirkan lebih ramai pemain industri pada masa akan datang selain menyasar menghasilkan 1,000 juruterbang dron tahun ini.

Sumber: Bernama

100,000 pekerjaan bakal diwujud melalui industri dron – Dr Adham


Content Type:

Duration:

Kilang pemprosesan gelas daripada silika yang pertama di Perak akan memulakan operasinya di Silver Valley Technology Park (SVTP), kawasan Perindustrian Kanthan di Mukim Hulu Kinta di sini pada tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pelaburan awal bernilai RM100 juta dijangka dilaburkan bagi tujuan pengeluaran dan pemprosesan bahan mineral berasaskan silika atau kuarza tersebut.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd bagi pembinaan kilang pemprosesan bahan mineral secara Built-To-Suit and Lease (BTSL) di kawasan seluas lebih empat hektar itu, turut menjadi faktor pemangkin bagi pembangunan SVTP.

Menurutnya, berasaskan model perniagaan BTSL, pihak PKNPk akan membina bangunan untuk Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd dengan pajakan selama 30 tahun.

“Ia bakal menarik banyak lagi pelaburan perusahaan berkaitan dengan silika atau kuarza dan menjadikannya kilang pertama dalam menerajui pembangunan di kawasan perindustrian Kanthan selain menawarkan kira-kira 500 peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Asas BTSL antara PKNPk yang diwakili oleh Ketua Eksekutifnya Datuk Redza Rafiq Abdul Razak manakala Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusannya Cui Wenchuan.

Perjanjian terbabit juga bagi inisiatif pembangunan industri mineral negeri Perak melalui pemerkasaan aktiviti hiliran dan pembuatan.

Saarani berkata inisiatif pembangunan mineral oleh PKNPk itu juga selari dengan Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2023 selain bertepatan dengan titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada 25 Ogos 2021 mengenai peranan PKNPk sebagai peneraju aktiviti pertengahan dan hiliran bagi industri mineral di negeri itu.

“Perjanjian ini juga dijangka dapat merangsang industri mineral di Perak yang boleh menjana peluang pekerjaan, perniagaan serta menambah hasil pendapatan untuk kerajaan negeri,” katanya.

Sumber: Bernama

Kilang pemprosesan gelas silika pertama di Perak beroperasi tahun depan – MB


Content Type:

Duration:

Dengan peningkatan permintaan vaksin di seluruh dunia, prospek Malaysia sebagai hab perkilangan vaksin kelihatan cerah memandangkan negara berhasrat untuk terus menyumbang kepada usaha pembuatan vaksin di peringkat global.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman, kerajaan telah mengumumkan insentif baharu melalui Belanjawan 2021 bagi menarik pelaburan dalam sektor perkilangan produk farmaseutikal seperti kadar cukai keutamaan sebanyak 0% sehingga 10% bagi 10 tahun pertama, diikuti dengan kadar 10% untuk 10 tahun berikutnya.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Malaysia juga menawarkan insentif khas penempatan semula khas ‘Special Relocation Incentive’ sehingga Disember 2022 bagi pelaburan baharu dalam sektor perkilangan, termasuk industri farmaseutikal.

“Oleh kerana kekurangan pengeluaran vaksin untuk manusia, kerajaan telah mentauliahkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (NVDR) yang menyasarkan Malaysia sebagai pengeluar vaksin untuk manusia dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta perkilangan vaksin tempatan yang lengkap,” kata Arham.

Sehingga kini, sembilan buah syarikat menerima kelulusan lesen pengilang di Malaysia yang menyediakan banyak peluang kepada syarikat lain untuk mengambil bahagian dalam rantaian bekalan vaksin, terutamanya bagi pengeluaran dan R&D vaksin tempatan.

“Malaysia telah menyaksikan pertumbuhan ketara dalam bidang R&D yang terbukti dengan penggunaan teknologi mRNA revolusioner terkini. Malaysia juga adalah negara pertama, selain China yang menjalankan ujian klinikal untuk vaksin Covid-19 yang tidak aktif,” kata Arham.

Pengilang farmaseutikal di Malaysia dipantau rapi dan perlu mematuhi standard yang telah ditetapkan selaras dengan pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Amalan Klinikal Baik (GCP).

Malaysia juga adalah ahli Skim Kerjasama Pemeriksaan Farmaseutikal (PIC/S), iaitu satu bentuk kerjasama yang tidak terikat dan tidak formal antara pihak berkuasa kawal selia dalam bidang GMP produk perubatan bagi kegunaan manusia atau veterinar.

Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Institut Kesihatan Negara (NIH) di bawah seliaan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membangunkan vaksin Covid-19 menggunakan virus tidak aktif dan mRNA, yang memperlihatkan kemuncak keupayaan penyelidikan vaksin tempatan.

Malaysian Vaccines and Pharmaceuticals (MVP) juga sedang giat menghasilkan vaksin untuk haiwan dan Pharmaniaga LifeScience kini menjalankan aktiviti “fill-and-finish” bagi vaksin Covid-19 Sinovac, manakala Solution Biologic kini dalam perancangan untuk menghasilkan vaksin Covid-19 CanSinoBio.

Arham juga berkata, terdapat lonjakan permintaan bagi produk farmaseutikal halal di pasaran global, yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia.

“Sebagai peneraju dalam pasaran ubat-ubatan halal dan industri farmaseutikal halal global, Malaysia boleh memanfaatkan kelebihan sedia ada. Diterajui oleh kerajaan, standard farmaseutikal halal negara telah disemak semula baru-baru ini manakala standard halal untuk peranti perubatan juga telah dikeluarkan,” katanya.

Sumber: Free Malaysia Today

Malaysia sasar jadi hab perkilangan vaksin global


Content Type:

Duration:

Petunjuk bagi tiga bulan pertama 2022 menunjukkan prospek ekonomi Malaysia yang positif dalam masa terdekat dengan mobiliti yang tinggi dijangka berlaku susulan pembukaan sempadan antarabangsa, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata selain itu, pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini dijangka meningkatkan permintaan barangan dan perkhidmatan yang seterusnya akan merangsang ekonomi.

“Namun begitu, senario global yang berterusan akan meningkatkan harga komoditi yang mendorong kepada jangkaan inflasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumlah perdagangan negara mengekalkan prestasi kukuhnya dengan mencatatkan pertumbuhan 17.5 peratus, mencecah RM184.8 bilion daripada RM157.3 bilion pada Februari 2021.

Kedua-dua eksport dan import masing-masing melonjak kepada 16.8 peratus dan 18.4 peratus tahun ke tahun dengan merekodkan RM102.3 bilion dan RM82.5 bilion, menyumbang kepada lebihan dagangan yang melebar sebanyak 10.7 peratus.

Sementara itu, jumlah perdagangan Malaysia mengekalkan momentum dua angka pada Mac 2022, berkembang 27.3 peratus.

Eksport meningkat 25.4 peratus, import tumbuh 29.9 peratus dan imbangan perdagangan kekal dalam lebihan, naik 10.3 peratus.

Mengenai prestasi sektoral, Mohd Uzir berkata, berikutan peningkatan dalam indeks pembuatan (5.2 peratus) dan indeks elektrik (3.9 peratus), Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 3.9 peratus pada Februari 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Sementara itu, nilai jualan pembuatan Malaysia pada Februari 2022 berjumlah RM131.6 bilion, mengukuh 11.2 peratus berbanding tahun lalu.

Menyentuh senario buruh negara pula, beliau berkata, kerancakan semula aktiviti ekonomi dan sosial yang berterusan mendorong kepada pemulihan perniagaan dan kebangkitan semula sektor pelancongan domestik yang banyak membawa manfaat kepada situasi buruh Malaysia.

Bilangan penduduk bekerja pada Februari 2022 meningkat 3.0 peratus kepada 15.73 juta orang.

Justeru, nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat sebanyak 1.1 mata peratus kepada 66.3 peratus pada Februari 2022, iaitu lebih tinggi daripada Februari tahun lalu iaitu 65.2 peratus.

“Sementara itu, kadar pengangguran bertambah baik berbanding bulan sebelum dengan merekodkan 4.1 peratus,” tambah Mohd Uzir.

Sumber: Bernama

Ekonomi Malaysia beri petunjuk prospek positif


Content Type:

Duration:

Taman perabot di Kuching dan Tanjung Manis, yang akan diwujudkan tidak lama lagi, dijangka membantu Sarawak menggandakan hasil eksport kayunya daripada hampir RM4 bilion sekarang kepada RM8 bilion menjelang 2030.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin berkata taman-taman itu adalah sebahagian daripada dasar kerajaan negeri di bawah Strategi Pembangunan pasca COVID-19 2030 yang memberi tumpuan khusus kepada pengeluaran lebih banyak produk berasaskan kayu.

“Selain daripada perabot, produk nilai tambah lain yang dikenal pasti menyumbang kepada sasaran eksport ini ialah produk kayu tereka bentuk, berasaskan papan lapis dan produk berasaskan buluh.

“Taman-taman itu akan memudahkan penyepaduan secara mendatar dan menegak yang cekap dengan bahan mentah bersumberkan secara mampan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Willie berkata industri perkayuan telah dan akan terus menjadi sektor ekonomi penting bagi Sarawak dari segi peluang pekerjaan, penciptaan perniagaan, dan pendapatan eksport.

Pada 22 April, Timbalan Perdana Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dilaporkan berkata Sarawak bercadang untuk mewujudkan taman perabot di Kuching dan Tanjung Manis sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan operasi kayu hiliran melalui produk berasaskan kayu bernilai tambah.

Taman-taman itu akan dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) dan ia dijangka menjana pelaburan RM500 juta.

Sarawak merekodkan eksport produk kayu bernilai RM3.9 bilion pada 2021. 

Sumber: Bernama

Taman perabot bakal gandakan hasil eksport kayu Sarawak


Content Type:

Duration:

Chiefway Malaysia membuka kilang pembuatan kaca pintar pertama di Malaysia di sini bagi memenuhi peningkatan permintaan produk berkenaan selaras dengan perkembangan pembangunan rumah pintar dan mesra alam di negara ini.

Kilang berkeluasan 8,000 kaki persegi itu membabitkan kos RM1.2 juta dilengkapi dengan peranti pembuatan berteknologi tinggi serta alatan yang dipatenkan untuk membantu membangunkan formulasi kaca pintar unik Chiefway.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Chiefway, Jeffrey Chong, berkata kemudahan terbaharu syarikat itu mampu menghasilkan 2,000 meter padu kaca pintar setiap bulan, yang membolehkannya memenuhi 70 peratus daripada permintaan tempatan.

“Kami melihat pelancaran kilang pembuatan baharu sebagai langkah penting ke arah cita-cita kami untuk mewujudkan Malaysia sebagai kuasa serantau dalam pasaran kaca pintar baharu dan berkembang pesat.

“Ia bukan hanya dapat mewujudkan lebih banyak pekerjaan ke kawasan berkenaan, malah membolehkan kami mengembangkan lagi keupayaan pembuatan dan memenuhi keperluan pasaran Malaysia yang semakin meningkat dan akhirnya di rantau ini.

“Kilang pembuatan sendiri membolehkan kami menyelaraskan perkhidmatan dan produk dengan lebih baik dengan permintaan pelanggan dalam landskap dipacu teknologi hijau yang berubah dengan pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran kilang baharu Chiefway di sini, hari ini.

Perasmian kilang berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng.

Chong berkata, kilang baharu itu dijangka meningkatkan dengan ketara kapasiti Malaysia untuk menembusi dan bersaing dalam pasaran kaca pintar yang sangat berpotensi dan berkembang pesat.

“Purata kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) bagi pasaran kaca pintar adalah sebanyak 17.5 peratus dalam tempoh sembilan tahun akan datang, membawa kepada nilai pasaran AS$18.3 bilion (RM79.42 bilion) menjelang 2031.

“Pasaran kaca pintar tempatan dan serantau semasa sebahagian besarnya dikuasai oleh China dan negara Asia Utara yang lain, namun, kilang baharu ini dianggap sebagai langkah pertama yang penting dalam mewujudkan Malaysia dalam pasaran yang membolehkan kaca pintar dibangunkan dan dikeluarkan secara tempatan,” katanya.

Bagi mengukuhkan produk dan projek kaca pintar, Chiefway memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Dormakaba Malaysia dan Datsen Malaysia bagi memacu perkhidmatannya dalam pasaran Malaysia.

Ia juga bakal mewujudkan laluan untuk Chiefway untuk terus menembusi pasaran global.

Kaca pintar Chiefway dibangunkan menggunakan proses pengeluaran kaca berteknologi canggih, dengan kualiti optimum dan metodologi yang dipatenkan.

Teknologi itu membolehkan kawalan pelbagai bentuk cahaya termasuk cahaya boleh dilihat, sinaran ultraviolet (UV) dan infrared (IR).

Sumber: Berita Harian

Chiefway bina kilang kaca pintar pertama di Malaysia


Content Type:

Duration:

Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) merancang untuk memulakan 15 inisiatif tahun ini di bawah Pelan Hala Tuju Industri Perkhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Kebangsaan 2021-2030.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata 15 inisiatif itu bertujuan mengukuhkan dan mengembangkan industri OGSE akan terus menangani isu sistemik yang dihadapi sektor itu, khususnya dalam bidang teknologi, bakat dan pembiayaan.

“EPU dan MPRC akan terus bekerjasama rapat dengan kementerian, agensi, PETRONAS, pemain industri dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk merealisasikan visi dan matlamat yang ditetapkan dalam pelan hala tuju OGSE,” katanya pada mesyuarat jawatankuasa pemandu kedua bagi pelan hala tuju itu.

Mustapa berkata, bagi melengkapkan usaha di bawah pelan hala tuju itu, kerajaan melalui MPRC juga akan memperkenalkan pelan kemampanan untuk sektor OGSE akhir tahun ini.

“Ia akan bertindak sebagai garis panduan kepada peserta industri, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menerapkan pelaporan kemampanan dan mengguna pakai amalan perniagaan mampan sementara kerajaan turut melihat peluang untuk memperkenalkan teknologi atau penyelesaian karbon rendah kepada sektor terbabit,” katanya.

Beliau seterusnya menambah, sejumlah RM7 juta telah diluluskan di bawah Geran Pembangunan OGSE, satu lagi usaha bersama EPU dan MPRC untuk menyokong pertumbuhan berterusan sektor itu kepada 31 syarikat OGSE sejak ia dilancarkan pada April 2021.

Mustapa berkata, adalah penting bagi kedua-dua pelan hala tuju serta usaha pelengkap oleh kerajaan dan MPRC terus mendapat daya tarikan dalam kalangan peserta industri.

“Justeru, MPRC akan mengadakan jerayawara di seluruh Malaysia, bermula dengan Terengganu, Sabah, dan Sarawak dalam beberapa bulan akan datang untuk mendekati peserta industri dan pihak berkepentingan di negeri-negeri ini,” tambahnya.

Dalam kenyataan yang sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPRC, Mohd Yazid Ja’afar, berkata usaha itu sedang dilakukan untuk menyokong dan membangunkan lagi sektor yang telah lama menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia.

Menurutnya, industri OGSE sedang mengalami cabaran besar walaupun harga minyak telah pulih dan ekonomi sedang bergerak daripada mod pandemik kepada fasa endemik.

“MPRC, sebagai agensi pelaksana dan sekretariat pelan hala tuju akan meningkatkan usaha kami ke arah pembabitan dengan pihak berkepentingan dan peserta industri, untuk memastikan cabaran yang dihadapi diiktiraf dan ditangani,” katanya.

Sumber: Bernama

15 inisiatif perkukuh sektor OGSE negara


Content Type:

Duration:

TTM Technologies Inc yang tersenarai di NASDAQ, akan mendirikan kilang pembuatannya yang pertama di Asia Tenggara di Pulau Pinang, memperuntukkan pelaburan modal sebanyak US$130 juta (RM550 juta) hingga 2025.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pembinaan kemudahan itu dijangka bermula bulan depan dan pengeluaran perintis dijadualkan bermula pada separuh kedua 2023. 

“Pelaburan ini dijangka mewujudkan 800 pekerjaan dalam tempoh tiga tahun, dalam pembuatan papan litar bercetak (PCB) yang terkini seperti jumlah lapisan tinggi dan kesalinghubungan berketumpatan tinggi (HDI),” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah kilang pembuatan TTM di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TTM Tom Edman berkata kemudahan baharu ini menjadi yang pertama untuk TTM berikutan secara lazimnya, ia membina syarikat melalui pengambilalihan.

Bagaimanapun, ia memilih untuk memberikan modal yang besar untuk kemudahan baharu di Pulau Pinang.

Beliau berkata dengan kemudahan baharu itu, pihaknya merancang untuk bermula dari bawah dengan pendekatan Industri 4.0 yang sebenar untuk pembuatan PCB.

Sehubungan itu, katanya keputusan untuk mewujudkan kemudahan baharu itu di Malaysia, terutamanya di Pulau Pinang, untuk memenuhi permintaan pelanggannya bagi daya tahan rantaian bekalan, keupayaan kapasiti kemudahan untuk PCB berteknologi tinggi di luar China dan keupayaan infrastruktur Malaysia.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi TTM Phil Titterton berkata kemudahan pembuatan yang akan datang di sini akan menjadi kilangnya yang paling maju berikutan ia merupakan kemudahan baharu.

“Kami memutuskan untuk melabur di sini berikutan teknologi, tenaga kerja dan kejuruteraan di kawasan itu merupakan satu kelebihan, namun perbezaan yang memihak kepada Pulau Pinang ialah penyelarasan yang lancar oleh InvestPenang dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, walaupun negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan pada masa itu,” katanya.

Kilang baharu itu akan memberikan perkhidmatan kepada pasaran komersial global TTM termasuk komunikasi rangkaian, pengkomputeran pusat data serta perubatan, perindustrian dan instrumentasi.

Sumber: Bernama

TTM Technologies labur US$130 juta dalam kilang di Pulau Pinang, pertama di Asia Tenggara


Content Type:

Duration:

Borneo Medison Sdn Bhd bakal mewujudkan sebuah kilang pembuatan pelitup muka perubatan yang pertama di bandar raya ini.
 
Selain pembuatan pelitup muka perubatan, fasiliti tersebut juga akan mengeluarkan siri produk pembasmi kuman, sarung tangan serta produk penjagaan diri. 

Pengarahnya David Quah Khuon Huat berkata syarikat menyasarkan untuk mengeluarkan 300,000 helai pelitup muka perubatan sehari sebaik kilang pembuatan di Taman Perindustrian Vista di Pending beroperasi nanti. 

Kilang tersebut katanya dijangka akan mula beroperai dalam tempoh enam bulan dengan tiga barisan pengeluaran sebagai permulaan dengan pelan pengembangan sehingga 10 barisan pengeluaran. 

“Pelaburan awal bagi kilang ini ialah RM5 juta dan untuk tiga bulan pertama, fokus adalah kepada pembuatan pelitup muka perubatan. 

“Sasaran pasaran kami adalah seluruh Borneo termasuk Malaysia Timur, Brunei dan Kalimantan, Indonesia. 

 “Bahan mentah akan dibawa dari Semenanjung Malaysia dan kami menjangkakan untuk mengambil 50 hingga 200 pekerja,” katanya pada sidang media di salah sebuah hotel di sini semalam.
 
Jelas David, Borneo Medison merupakan anak syarikat Medison PPE Sdn Bhd dan melihat permintaan 2 juta pelitup muka sebulan di Sarawak dan Semenanjung Malaysia, syarikat bersedia mengeluarkan sehingga 600,000 pelitup mula sehari daripada 60 barisan pengeluaran. 

David turut memberi jaminan bahawa pelitup muka yang dikeluarkan Borneo Medison di sini adalah dijual lebih murah berbanding yang diimport. 

Dalam pada itu, keputusan pelaburan Borneo Medison untuk menubuhkan fasiliti di Kuching akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini. 

Dengan penyediaan berkaliber ini, Borneo Medison yakin bekalan produk penjagaan kesihatan dan keselamatan ini akan mencukupi untuk memenuhi permintaan tempatan. 

Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng, Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Cina Dato Tan Jit Kee dan dua pengarah Borneo Medison Dato Ismail Suut serta Muhammad Hafizul Abang Muhammad Salahuddin. 

Sumber: Utusan Borneo

Kilang pembuatan pelitup muka perubatan di Kuching


Content Type:

Duration:

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi komited untuk menggalakkan penyertaan syarikat serta pelabur dari Mesir dan Qatar bagi memanfaatkan fasiliti Bandar Getah Kedah selain mengambil peluang daripada pasaran berpotensi di ASEAN.

Menurut Majlis Getah Malaysia dalam satu kenyataan, ini berikutan misi kementerian baru-baru ini ke Mesir dan Qatar yang diketuai oleh Menteri Datuk Zuraida Kamaruddin untuk mengenal pasti potensi pasaran termasuk peluang perkongsian bagi sektor getah di Timur Tengah dan ASEAN.

“Syarikat-syarikat dan pelabur dari kedua-dua rantau ini akan dapat meneroka kemungkinan membentuk perkongsian dengan syarikat Malaysia dalam sektor getah seperti dalam pembuatan produk getah.

“Sebagai contoh, Qatar dapat meneroka kemungkinan membentuk kerjasama, terutamanya dalam pembuatan tayar kerana Malaysia kini mengimport tayar bernilai lebih daripada RM2 bilion (AS$830 juta), oleh itu, kerajaan sangat menyokong pembuatan tayar,” kenyataan itu memetik Zuraida hari ini.

Kerajaan telah mengazetkan taman eko-industri getah seluas 600 hektar yang dikenali sebagai Bandar Getah Kedah untuk menampung pengeluaran, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembuatan getah.

Zuraida berkata pelabur dapat memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai salah satu daripada pengeksport utama produk getah dan perjanjian perdagangan bebas antara Malaysia dengan negara-negara ASEAN lain (AFTA), yang mana, kebanyakan produk getah di kalangan anggotanya mempunyai tarif import sifar.

Beliau berkata insentif khusus juga akan diberikan kepada pelabur yang memilih bandar getah sebagai pangkalan mereka seperti status perintis dan geran R&D.

Pada 2021, Malaysia mengeksport produk getah bernilai AS$15.9 juta kepada Qatar, mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 110 peratus dari 2019 hingga 2021.

Sarung tangan getah adalah produk utama yang dieksport ke Qatar dari Malaysia dengan 70 peratus bahagian pasaran dan nilai eksport sebanyak AS$14.4 juta, manakala produk getah lain yang dieksport termasuk hos, penutup, dapra dok dan kasut.

Sumber: Bernama

Sektor getah negara tarik pelabur Mesir, Qatar


Content Type:

Duration:

Malaysia berpotensi menjadi hab terbiodegradasi terkemuka di Asia Tenggara selepas menerima pelaburan bernilai RM100 juta menerusi kerjasama antara syarikat tempatan, Free The Seed Sdn Bhd dengan Hotpack Packaging Industries LLC (Hotpack) dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata pelaburan itu adalah untuk tempoh tiga hingga lima tahun pertama sebelum Hotpack bercadang meningkatkan nilai pelaburan hingga RM400 juta dalam tempoh 10 tahun.

Menerusi kerjasama itu, Free The Seed, syarikat bioteknologi Malaysia yang mengeluarkan produk terbiodegradasi daripada jerami padi menjadi rakan kongsi teknologi dan operasi bagi Hotpack dengan menyediakan bahan mentah, kepakaran, tenaga kerja dan pengetahuan teknikal kepada syarikat dari UAE itu.

“Hotpack pula mengeluarkan dan menyediakan produk terbiodegradasi baharu untuk pasaran global termasuk negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“Kerjasama ini membabitkan pembinaan 10 kilang pembuatan pembungkusan terbiodegradasi baharu di Gurun bernilai RM400 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang. Pembinaan kilang pengeluaran pertama seluas 3,200 meter persegi akan bermula pada Mei 2022 dan dijangka siap pada Ogos 2022.

“Kilang pertama ini dijangka menghasilkan 70 juta unit produk pembungkusan barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) dalam masa setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis pecah tanah untuk kerjasama itu, hari ini.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, pelaburan itu juga mewujudkan 300 peluang pekerjaan dalam tempoh tiga hingga lima tahun pertama sebelum meningkat kepada 1,200 peluang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun bagi tenaga kerja mahir dan separa mahir.

Beliau menambah, pelaburan juga akan menghasilkan pembungkusan terbiodegradasikan daripada pelbagai jenis sisa pertanian seperti daun nanas dan jerami padi.

Katanya, model mampan dan kitaran seperti ini akan membawa kepada pendapatan yang lebih baik untuk lebih ramai komuniti petani di Malaysia, di samping menarik lebih ramai pelabur asing, melindungi alam sekitar, selain menambah nilai kepada pertanian lestari di Malaysia mahupun UAE.

“Saya percaya bahawa automasi dan bioteknologi yang digunakan dalam persediaan pembungkusan makanan terbiodegradasi antara Free The Seed dan Hotpack akan menyumbang kepada kemampanan sistem makanan, bukan sahaja di Malaysia tetapj juga di seluruh dunia.

“Ini selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) di mana kedua-duanya menggalakkan penerapan teknologi baru dalam Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) untuk memacu pemodenan dan pembangunan mampan dalam negara,” katanya.

Ronald berkata, MAFI akan terus memberikan sokongan untuk projek pelaburan seumpama itu yang sudah pastinya akan meningkatkan lagi nilai pertanian Malaysia dan memacu kemampanannya sekali gus terus memperkukuhkan lagi Sekuriti Makanan Negara demi kesejahteraan rakyat.

Sumber: Berita Harian

Malaysia bakal jadi hab terbiodegradasi utama Asia Tenggara


Content Type:

Duration:

Peneraju boleh program kuasa rendah, Lattice Semiconductor  yang tersenarai di Nasdaq, mengembangkan operasinya di Malaysia dengan mewujudkan hab kejuruteraan dan operasi baharu di Pulau Pinang untuk menyokong pertumbuhan pesatnya.

Dalam kenyataan bersama, Lattice Semiconductor dan InvestPenang menjelaskan syarikat itu akan menduduki ruang pejabat seluas 6,000 kaki persegi di Bayan Baru dan menumpukan kejuruteraan aplikasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain operasi, dengan sasaran mempunyai bilangan kakitangan melebihi 30 menjelang akhir 2022.

Ketua Tapak bagi Lattice Malaysia, Friiscor Ho berkata Pulau Pinang terkenal sebagai negeri yang menempatkan bakat bakat teknologi tinggi, menjadikannya pilihan ideal untuk mengembangkan operasi global Lattice di sini.

“Kami mempunyai rancangan pertumbuhan yang menarik dalam pasaran ini dengan strategi pengambilan pekerja yang aktif. Kami berkedudukan baik untuk bekerjasama rapat dengan rakan kongsi di sini bagi mempercepat pelaksanaan strategik kami.

“Kami berharap dapat memanfaatkan pertumbuhan kukuh syarikat yang berterusan dalam pasaran susun atur gerbang medan boleh program (FPGA),” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata Lattice Semiconductor akan menjadi tambahan hebat kepada industri teknologi yang sedang pesat membangun dan ekosistem yang dibangunkan dengan baik di negeri ini.

Pulau Pinang mencapai kemajuan ketara dalam meletakkan kedudukannya sebagai hab inovasi global dan terdapat peningkatan kehadiran peneraju semikonduktor global yang memilih negeri ini untuk menjalankan aktiviti penyelidikan, reka bentuk dan pembangunan.

Sumber: Bernama

Lattice Semiconductor wujudkan hab kejuruteraan, operasi di Pulau Pinang


Content Type:

Duration:

Industri getah negara berpotensi untuk berkembang tahun ini selepas merekodkan nilai eksport mencecah RM71 bilion pada 2021, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Datuk Zuraida Kamaruddin.

ADVERTISEMENT

Beliau berkata daripada nilai tersebut produk sarung tangan getah kekal sebagai produk eksport utama  menyumbang RM54.81 bilion iaitu 55.4 peratus lebih tinggi daripada 2020.

“Pelbagai program telah dilaksanakan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi membantu pemain industri getah, antaranya menyediakan pakej insentif yang bertujuan untuk menyokong pengeluar produk getah,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Meditech Gloves Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Zuraida berkata LGM juga memperkenalkan Linkage Fund (ILF) bagi mengalakkan kerjasama antara industri dan universiti menerusi projek penyelidikan dan pembangunan yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan indusri getah.

Selain itu, katanya, bagi menambah pendapatan pekebun kecil, KPPK juga berusaha untuk menaikkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 sekilogram kepada RM3.50 sekilogram. 

Sementara itu Ketua Pengarah LGM Datuk Dr Zairossani Mohd Nor berkata penubuhan Koridor Lateks Pantai Timur (KLPT) oleh kerajaan merupakan antara usaha untuk mengalakkan pengeluaran lateks tempatan.

Katanya kerajaan juga menyediakan peruntukan untuk membangunkan infrastruktur bagi pusat pengumpulan lateks dan penggunaan teknologi bagi mengalakkan pekebun kecil menghasilkan lateks dalam kuantiti yang banyak.

“Negara memerlukan 400,000 tan getah lateks setahun tetapi bekalan tempatan hanya mampu mengeluarkan 40,000 tan sahaja. Hampir 90 peratus diimport dari Vietnam dan Thailand.

“Jadi pengeluaran lateks tempatan perlu ditingkatkan, sebenarnya pengeluaran getah dalam negara mencukupi, cuma ia dihasilkan dalam bentuk sekerap,” katanya.

Zairossani berkata keluasan ladang getah di seluruh negara adalah sebanyak 1.04 juta hektar dan keluasan bagi negeri Pantai Timur lebih kurang 400,000 hektar.

Beliau menambah, kerajaan juga merancang untuk menjadikan Sarawak sebagai hub pengeluaran lateks dengan keluasan ladang getah di negeri itu berjumlah hampir 50,000 hektar.

Sumber: Bernama

Industri getah berpotensi berkembang, rekod nilai eksport cecah RM71 billion pada 2021


Content Type:

Duration:

Public Investment Bank Research positif terhadap kerjasama di antara DRB-Hicom Bhd dengan Zhejiang Geely Holdings Group Co Ltd (Geely) untuk membangunkan dan mempromosikan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV).

Menurut firma penyelidikan itu, Geely selaku rakan strategik DRB-Hicom dan memegang 49.9 peratus kepentingan dalam PROTON, terkenal berikutan kekuatannya dalam teknologi dan ekosistem mobiliti, sekali gus sebagai pendorong kepada AHTV.

“Ini akan menjadi dorongan kepada pengeluar kereta dan komponen dari China dan negara-negara lain untuk melabur dalam kemudahan pengeluaran di AHTV,” katanya dalam nota hari ini.

PublicInvest Research mengekalkan saranan ‘outperform’ ke atas DRB-Hicom dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.95 sementara menunggu perkembangan seterusnya Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kedua-dua pihak.DISYORKAN UNTUK ANDA

Selasa lalu, konglomerat itu mengumumkan ia telah menandatangani MoU dengan Geely untuk bersama-sama membangunkan AHTV dan bekerjasama bagi mengenal pasti vendor dan pelabur untuk hab terbabit, yang digambarkan untuk menjadi pusat industri automotif di rantau ASEAN.

AHTV dengan anggaran jumlah pelaburan sebanyak RM32 bilion daripada pelbagai pihak, termasuk vendor dan pelabur berpotensi untuk tempoh 10 hingga 12 tahun akan datang, disasarkan sebagai hab kenderaan generasi akan datang di Tanjung Malim.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia sebelum ini, DRB-Hicom berkata, ia akan merangkumi rantaian nilai penyelesaian automotif dan mobiliti yang meluas daripada sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan teknologi, kepada kluster pembuatan.

AHTV akan menyokong perkhidmatan dan ekosistem yang berkaitan termasuk logistik, universiti penyelidikan, institusi latihan dan pembelajaran di bandar pintar.

DRB-Hicom turut menandatangani MoU dengan kerajaan negeri Perak untuk bersama-sama mengenal pasti tanah tambahan yang sesuai di kawasan itu bagi AHTV.

Pada 10.36 pagi, saham DRB-Hicom meningkat satu sen kepada RM1.49 dengan 40,600 saham diniagakan.

Sumber: Bernama

Kerjasama meyakinkan DRB-Hicom, Geely bangunkan AHTV


Content Type:

Duration:

Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara yang dilancarkan hari ini bertujuan  menunjangi  Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara 2021-2030 (DSNN 2021-2030) dalam merancakkan industri nano di Malaysia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pelan itu menyeragamkan pembangunan nanoteknologi negara dengan memperkukuh dan memantapkan hubungan serta kerjasama antara industri dan akademia untuk memastikan teknologi yang dibangunkan memenuhi kehendak industri dan keperluan pasaran.

“Bagi merealisasikan hasrat negara untuk menjadi pemain industri nano di peringkat serantau, ia memerlukan satu bentuk kerjasama yang menyeluruh khususnya bersama agensi-agensi dan kementerian yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam tempoh lima tahun, pelan hala tuju itu akan memberi faedah kepada negara dalam penciptaan peluang pekerjaan sebanyak 33,391 orang serta meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM151.5 bilion.

“Pelan hala tuju ini akan memacu ekonomi negara melalui teknologi dan produk nano tempatan sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pengeksport utama produk berasaskan teknologi tinggi di peringkat ASEAN,” katanya.

Melalui pelan hala tuju itu, Dr Adham berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut mendapat manfaat melalui pelaburan dan naik taraf fasiliti kepada 52 syarikat nanoteknopreneur atau pemula niaga (startup).

Menurut data NanoVerify Sdn Bhd, pada 2020, lebih 80 peratus daripada industri nano negara dipelopori oleh PKS.

“Sehubungan itu, tumpuan turut diberikan kepada program-program intervensi kepada PKS bagi meningkatkan teknologi dan produk seperti bantuan kewangan  dan fasiliti serta program pensijilan produk nano untuk mengembangkan jualan dan keyakinan pengguna dalam usaha menembusi pasaran luar,” katanya.

Sumber: Bernama

Pelan hala tuju teknologi dan produk nano negara dilancar hari ini


Content Type:

Duration:

Pelan pembangunan Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di sini dijangka menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluar kenderaan elektrik, serta pembekal komponen ke pasaran ASEAN, bahkan ke pasaran yang lebih luas lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangunan tersebut dilihat dapat menarik minat pelabur-pelabur asing khususnya dari China dan negara lain kerana berpotensi memperkasakan ekosistem dunia automotif dalam satu kawasan yang besar.

Pembangunan AHTV, katanya telah dicadangkan lebih 10 tahun lalu bagi memantapkan operasi pengilangan PROTON dari Shah Alam, Selangor ke Tanjung Malim, supaya lebih berpusat dan mampu meningkatkan produktiviti.

Justeru tidak mustahil satu hari nanti, Perdana Menteri berpandangan Tanjung Malim juga akan dikenali sebagai hab permotoran yang hebat di rantau ini.

“Selain itu, Tanjung Malim bakal menyaksikan limpahan ekonomi daripada aktiviti projek pembangunan AHTV yang dijangka menjana peluang pekerjaan sebanyak 370,000 sepanjang pembinaan dan 160,000 apabila beroperasi kelak.

“Pembangunan lain yang mempunyai rantaian ekonominya seperti Taman Perindustrian dan pembangunan hartanah bagi tujuan komersial secara keseluruhannya berpotensi menjana sebanyak RM32 bilion menjelang tahun 2030.

“Pada masa sama, AHTV juga disasarkan menjadi pusat rujukan Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) bagi teknologi berasaskan pematuhan iklim global dengan penubuhan Universiti Penyelidikan yang signifikan dengan industri ini,” katanya, di sini pada Selasa.

Perdana Menteri berucap pada Majlis Pelancaran Automotive High-Technology Valley (AHTV) di Kompleks Sukan Proton City, di sini pada Selasa.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Pengerusi DRB-HICOM Berhad, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Berucap lanjut, Ismail Sabri berkata usaha membangunkan AHTV sebagai hab baharu pengeluaran kenderaan elektrik adalah selari dengan hasrat dan komitmen kerajaan ke arah pencapaian matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Selain, ia dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang tahun 2050, tambah Perdana Menteri.

Jelas beliau lagi, pembangunan tersebut turut diharap dapat memacukan pembangunan industri hiliran dan lain-lain sektor yang menumpukan teknologi terkini terutamanya dalam penggunaan dan pengurusan sumber yang cekap, sekali gus mengurangkan kesan rumah hijau.

“Saya yakin dan percaya, dengan kemampuan DRB-HICOM dibantu penyelarasan bersama agensi kerajaan yang berkaitan serta dana yang disalurkan, ia mampu menjadi projek mega kawasan perindustrian automotif yang gah di rantau ini.

“Bagi memenuhi keperluan dari segi tenaga kerja terlatih, pendidikan, dan juga penyelidikan, saya mencadangkan agar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang juga terletak dalam wilayah High-tech Valley, membangunkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan iaitu Center of Advanced Automotive Research and Training (CAART),” ujar Perdana Menteri.

Beliau berkata, CAART di UPSI akan dilengkapi dengan bilik kuliah, kemudahan penginapan dan makmal berteknologi tinggi.

Ia akan memberikan tumpuan kepada penyelidikan, latihan kemahiran, pembangunan sumber manusia, serta penyelenggaraan yang berkaitan dengan teknologi automotif terkini.

“Ini bagi memastikan permintaan dan bekalan dari segi teknologi terkini, latihan serta sumber tenaga manusia di AHTV ini dapat dilestarikan secara produktif,” katanya.

Pada majlis tersebut, DRB-HICOM dan Kerajaan Negeri Perak turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk mengenal pasti peruntukan tanah tambahan yang sesuai di sekitar kawasan Tanjung Malim bagi pembangunan AHTV.

Sumber: Astro Awani

AHTV bakal jadikan Malaysia hab pengeluar kenderaan elektrik di ASEAN – PM


Content Type:

Duration:

DRB-HICOM Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Kerajaan Negeri Perak untuk projek Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) yang baharu dilancarkan untuk bersama-sama mengenal pasti tanah tambahan yang sesuai di kawasan itu bagi AHTV.

Pengerusi DRB-HICOM, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata kawasan itu ketika ini adalah di sekitar kilang Proton Tanjung Malim berkeluasan 1,618.74 hektar dengan kebanyakannya telah diduduki oleh Universiti Pendidikan Sultan ldris, vendor sedia ada serta premis komersial dan hartanah kediaman.

“Tanah tambahan itu adalah untuk pembangunan AHTV termasuk universiti penyelidikan,” katanya kepada pemberita pada pelancaran AHTV dan bersempena majlis menandatangani MOU di sini semalam.

Majlis menandatangani MOU itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.510.1_en.html#goog_1336500858

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pegawai kerajaan yang lain.

Wan Zulkiflee berkata DRB-HICOM juga baru-baru ini menandatangani satu lagi MOU untuk AHTV dengan Geely Holding Group untuk bersama-sama membangunkan AHTV dan bekerjasama bagi mengenal pasti vendor dan pelabur untuk hab tersebut.

Beliau berkata penglibatan rakan strategik DRB-HICOM untuk pengeluar kereta nasional Proton, Geely Holding Group yang terkenal dengan kekuatan teknologinya dalam ekosistem automotif merupakan dorongan untuk AHTV.

“Ini boleh menjadi pemacu kepada pengeluar kereta dan komponen terutamanya dari China untuk melabur dalam kemudahan pengeluaran tempatan dan untuk mencipta peluang perniagaan serta eksport baharu.

“Pada asasnya, AHTV berpotensi menjadi pintu masuk ke pasaran ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi syarikat yang menjadikannya sebagai pangkalan mereka. Setakat ini, sudah ada 17 vendor beroperasi di kawasan itu,” katanya.

Menekankan teknologi dan sistem baharu dalam industri automotif global iaitu elektrifikasi, kecerdasan buatan (Al), teknologi autonomi, dan ketersambungan canggih, AHTV akan menjadi hab industri automotif bagi rantau ASEAN.

Wan Zulkiflee berkata projek AHTV bertujuan mengubah landskap industri automotif dengan ekosistem bersepadu yang akan menjadi pemangkin untuk menggiatkan semula sektor automotif domestik selaras dengan hala tuju Dasar Automotif Negara (NAP) 2020.

“Ini bagi memastikan industri automotif Malaysia terus berada dalam kedudukan terbaik, jika tidak lebih maju berbanding negara jiran. Menerusi sistem, infrastruktur, dan sokongan pihak berkepentingan yang betul, AHTV akan berada pada kedudukan yang baik untuk menarik pelaburan daripada pemain industri di rantau ini, memacu pertumbuhan dan keupayaan industri automotif tempatan,” katanya.

Sumber: Bernama

DRB-HICOM bekerjasama dengan Perak untuk projek AHTV


Content Type:

Duration:

Permintaan yang semakin meningkat untuk penderia Internet Pelbagai Benda (IoT) ditambah dengan implikasi geopolitik boleh menyaksikan rantau Asia Pasifik muncul sebagai penyumbang tertinggi dalam pasaran penderia pintar global diikuti oleh Amerika Utara dan Eropah.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Globetronics Technology Bhd Michael Ng Kweng Chong, memetik laporan yang diterbitkan baru-baru ini oleh Allied Market Research, berkata industri penderia IoT global bernilai US$12.4 bilion (US$1=RM4.23) pada 2020 dan dijangka mencapai US$141.8 bilion menjelang 2030, berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 28.1 peratus dari 2021 hingga 2030.

Dalam laporan tahunan kumpulan (2021) yang dikeluarkan hari ini, Ng menyatakan bahawa peningkatan penggunaan penderia pintar dalam aplikasi IoT, sektor automotif dan perindustrian serta permintaan untuk peranti boleh pakai yang saling berhubung telah meningkatkan pertumbuhan pasaran penderia pintar di seluruh dunia.

“Peningkatan dalam permintaan untuk penderia IoT dalam pembangunan bandar pintar dan aplikasi bermanfaat penderia pintar dalam automobil, elektronik pengguna, sektor penjagaan kesihatan serta kemajuan yang dibuat dalam sektor kenderaan elektrik (EV) autonomi juga telah memacu pertumbuhan pasaran dengan peluang baharu untuk pemain pasaran,” katanya.

Di samping prospek pasaran yang optimis berikutan keperluan yang sentiasa berkembang untuk penderia pintar, Ng berkata rantau Asia Pasifik dijangka muncul sebagai penyumbang tertinggi dalam pasaran penderia pintar global hasil daripada repatriasi  pembuatan syarikat multinasional  di  China disebabkan perang perdagangan AS-China yang berpanjangan.

“Kami baru-baru ini mendapati adanya lonjakan pertanyaan mengenai potensi pemindahan aktiviti pembuatan, terutamanya dari China ke Malaysia.

“Kami berharap semua pertanyaan ini akan diterjemahkan kepada pemacu pertumbuhan baharu untuk kami pada tahun-tahun akan datang,” kata Ng.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa konflik Rusia-Ukraine yang berterusan menimbulkan ketidaktentuan dalam pemulihan ekonomi global kerana ia telah memberi kesan kepada ekonomi global melalui sekatan kewangan, harga komoditi dan gangguan rantaian bekalan.

Ng juga menyatakan bahawa industri teknologi global turut terjejas berikutan ketidaktentuan ekonomi mengheret sentimen pasaran teknologi yang turut menjejaskan Asia dan Malaysia.

“Masih belum ada kejelasan tentang ke mana arah perang Rusia-Ukraine. Dari segi kumpulan, kami kini lebih berdaya tahan selepas mengatasi dua tahun gangguan dan ketidaktentuan berkaitan COVID-19 dan kami kini lebih bersedia untuk menangani cabaran yang serupa.

“Dengan portfolio perniagaan kami pada rangkaian luas penderia, diod pemancar cahaya (LED), laser dan peranti optik bersama-sama dengan teknologi baru muncul  lain yang dalam perancangan, permintaan akan terus diisi dengan penggunaan berterusan IoT, proses-rumah-automasi kilang, EV, permainan dan peranti pintar dengan aplikasi baharu,” katanya.

Sumber: Bernama

Globetronics: Peningkatan dalam permintaan dan peluang industri penderia pintar


Content Type:

Duration:

wpChatIcon