Berita Industri Archives - Page 16 of 29 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sabah terima pelaburan RM2 bilion daripada SBH Kibing

Kerajaan negeri Sabah menerusi Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) Sdn Bhd hari ini menandatangani perjanjian pajakan dengan SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd (SBH Kibing) untuk membuka kilang pembuatan panel kaca solar.

Timbalan Ketua Menteri Sabah III Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata kilang yang terletak di kawasan seluas 52.77 hektar tanah di zon perindustrian tujuh, fasa dua, KKIP itu dijangka beroperasi pada 2024.

Ia merupakan komponen daripada pelaburan RM2 bilion daripada syarikat dari China itu.

Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah dan Pengerusi KKIP Sdn Bhd berkata dua lagi komponen pelaburan tersebut ialah perlombongan pasir silika, dan kilang pemprosesan pasir silika yang akan berpangkalan di Sikuati, Kudat.

“Anggaran 1,800 peluang pekerjaan akan diwujudkan bagi kilang panel kaca solar di KKIP, dan 300 lagi pekerjaan untuk kilang pemprosesan pasir silika di Sikuati,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian itu di KKIP, di sini hari ini.

Perjanjian pajakan selama 30 tahun itu ditandatangani oleh Joachim dan Presiden SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd Lin Hai dan disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor.

Joachim berkata pemeteraian itu menandakan satu lagi pencapaian penting dari segi menjana pelaburan ke Sabah selain meningkatkan sumbangan sektor pembuatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri, di samping menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat.

“KKIP telah menarik pelaburan bernilai lebih 3.42 bilion dan mewujudkan lebih 10,000 pekerjaan daripada 242 kilang yang beroperasi, setakat ini,” katanya.

Sumber: Bernama

Sabah terima pelaburan RM2 bilion daripada SBH Kibing


Content Type:

Duration:

Powerwell Holdings Bhd memperoleh kontrak bernilai RM40 juta bagi projek bangunan baharu kilang pengeluaran dan ujian semikonduktor syarikat multinasional terkemuka di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah.

Kontrak bagi pakej kerja bangunan utama daripada Tialoc Malaysia Sdn Bhd itu akan bermula pada akhir bulan ini dan disasarkan selesai menjelang Oktober 2022.

Di bawah kontrak itu, Powerwell akan membekal, memasang, menguji dan mentauliah suis voltan sederhana dan pengubah pengagihan kuasa untuk projek bangunan baharu kilang pengeluaran serta ujian semikonduktor syarikat multi-nasional terkemuka di Taman Teknologi Tinggi Kulim.

Pengarah Jualan Serantau Powerwell, Ir Aaron Leong, berkata pengeluar peralatan dan penyedia penyelesaian pengedaran kuasa elektrik voltan rendah dan sederhana itu menzahirkan penghargaan kepada Tialoc Malaysia atas kepercayaan mereka terhadap produk syarikat dan keyakinan terhadap jadual penghantarannya.

Beliau berkata, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan disatukan dan aset bersih Powerwell untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023.

“Dengan kemajuan ekonomi Malaysia, kami optimis industri pembinaan dan infrastruktur akan menjadi lebih rancak.

“Ketika negara memasuki fasa endemik dan pembukaan semula sempadan pada April 2022, kami akan secara aktif melihat lebih banyak peluang tender, di peringkat tempatan dan serantau dengan memanfaatkan rekod prestasi yang terbukti,” katanya.

Kumpulan anak syarikat Powerwell pada dasarnya menyediakan penyelesaian pengagihan kuasa untuk peralatan voltan rendah (LV) dan voltan sederhana (MV).

Papan suis LV dan alat suis MV disesuaikan dan dihasilkan disesuaikan dengan keperluan khusus bangunan atau infrastruktur.

Kualiti produknya mematuhi piawaian global, dengan beberapa negara Asia menjadi pasaran eksport utamanya.

Sumber: Bernama

Powerwell dapat kontrak RM40 juta


Content Type:

Duration:

Kelantan bakal menikmati lebih banyak peluang pekerjaan apabila kilang ROHM-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd melabur sebanyak RM910 juta di negeri itu.

Pelaburan oleh syarikat pengeluar elektronik terkemuka Jepun itu merupakan yang terbesar pernah di bawa ke Kelantan dan memerlukan lebih 400 tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelaburan itu turut meningkatkan integrasi antara industri tempatan dan rantaian bekalan di peringkat serantau dan global sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

“Seperti yang digariskan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, iltizam ini akan diteruskan bagi meningkatkan keterangkuman dalam usaha menyumbang ke arah pembangunan sosioekonomi setempat dan meningkatkan kemakmuran negara,” katanya ketik berucap pada Majlis Pecah Tanah kilang ROHM-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Presiden ROHM-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd, Hideki Hashimoto.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, majlis pecah tanah tersebut juga amat bermakna kerana ia menzahirkan usaha syarikat untuk menyokong agenda kelestarian dan pertumbuhan hijau negara.

Katanya, ini kerana kilang pembuatan semikonduktor yang dijangka siap pada Ogos tahun depan itu akan diiktiraf sebagai fasiliti pengeluaran mesra alam yang dijana oleh teknologi penjimatan tenaga hijau.

“Saya yakin, lebih banyak pelaburan berteknologi dan berimpak tinggi akan disalurkan ke negeri Kelantan dan akan membuka peluang yang lebih besar untuk pekerjaan kemahiran tinggi, infrastruktur, pembangunan ekosistem dan pertumbuhan perindustrian yang lebih luas,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Kelantan terima pelaburan RM910 juta


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk nasihat mengenai protokol kesihatan apabila sempadan negara dibuka pada 1 April ini.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pihaknya juga sedang berbincang dengan KKM untuk mewujudkan program vaksinasi pemberian dos penggalak COVID-19 kepada hampir dua juta pekerja dalam sektor perkilangan dan pembuatan di negara ini.

Perkara itu, katanya, adalah sebahagian usaha pihaknya menyokong inisiatif kerajaan untuk memastikan kesihatan rakyat lebih selamat dalam berdepan dengan penularan wabak COVID-19.

“Sebagaimana kita sedia maklum, pekerja dari sektor perkilangan dan pembuatan adalah antara tulang belakang kemajuan ekonomi negara.

“Saya percaya sektor ini boleh membantu kejayaan kerajaan dengan adanya program vaksinasi dos penggalak COVID-19, sekali gus dapat memberi situasi lebih selamat apabila sempadan negara dibuka bermula 1 April depan,” katanya selepas Majlis Pecah Tanah Rohm-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, pembukaan sempadan negara adalah satu keputusan yang besar yang perlu dibuat oleh kerajaan. Walaupun ia mengambil sedikit masa, pembukaan sempadan negara pada bulan hadapan adalah amat dinantikan oleh peniaga sekali gus akan dapat memperlihatkan pertumbuhan ekonomi yang lebih rancak.

“Salah satu asasnya adalah lebih 90 peratus daripada rakyat Malaysia sudah mendapat suntikan vaksin, maka kita merasakan keadaan pada hari ini lebih selamat selain pengawalan penularan Omicron juga cukup terkawal serta penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) juga amat rendah.

“Ini membuktikan bahawa sistem kesihatan awam terkawal dan kita boleh menguasai serta menguruskan keadaan semasa ini dengan lebih bertanggungjawab,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri mengumumkan Malaysia akan memasuki fasa peralihan ke endemik COVID-19, mulai 1 April ini.

Sumber: Berita Harian

MITI-KKM bincang program vaksinasi dos penggalak sektor perkilangan, pembuatan


Content Type:

Duration:

Prestasi perindustrian Pulau Pinang terus mencatatkan kecemerlangan meskipun berdepan cabaran akibat pandemik COVID-19, dengan pelaburan pembuatan diluluskan mencapai paras tertinggi sebanyak RM76.2 bilion pada 2021 berbanding RM14.1 bilion pada 2020.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata rekod Pulau Pinang pada 2021 itu menjangkaui prestasi terdahulunya secara ketara melalui projek penting daripada Intel Electronics dan Ibiden Electronics; dan melepasi pelaburan terkumpul dari 2012 hingga 2020 (RM73.1 bilion).

“Pelaburan pembuatan diluluskan bagi Pulau Pinang bernilai RM76.2 bilion pada 2021 yang melibatkan 111 projek.

“Pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang RM74.4 bilion atau 98 peratus daripada pelaburan pembuatan diluluskan di Pulau Pinang, menjadikan negeri ini sebagai penerima FDI pembuatan tertinggi di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chow berkata walaupun pandemik COVID-19, Pulau Pinang telah meneruskan kecemerlangan dalam sektor galakan utama seperti elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan, teknologi perubatan dan bidang termaju lain.

Menurutnya ekosistem industri yang teguh di negeri itu dan kumpulan pekerja yang kukuh telah membolehkan syarikat untuk mencapai daya tahan rantaian bekalan dan kelebihan operasi, yang mana ia penting terutamanya untuk mengurangkan kesan daripada gangguan dan penyusunan semula rantaian bekalan global.

Selain itu, beliau berkata pelaburan ini dijangka menjana peluang persetempatan rantaian bekalan yang luas dan memberikan petanda baik kepada syarikat tempatan, sekali gus mengukuhkan lagi penembusan Pulau Pinang menuju rantaian bekalan global.

Sumber: Bernama

Pelaburan sektor pembuatan Pulau Pinang 2021 melonjak kepada RM76.2 bilion


Content Type:

Duration:

EP Manufacturing Bhd (EPMB) memeterai memorandum perjanjian dengan CIS Pride Silver Rock Fund dan Sharkgulf Technologies Group Ltd, China untuk memasang, mengeluar dan mengedarkan Kenderaan Elektronik (EV) dua roda di Malaysia dan Asia Tenggara.

Usaha ini akan mencipta lembaran baharu untuk EPMB untuk mempelbagaikan, sekali gus melengkapkan perniagaannya sekarang, kata EPMB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Pihak-pihak yang terbabit dijangka mendapat manfaat daripada kerjasama strategik dengan memperluaskan keupayaan individu serta kekuatan gabungan mereka,” katanya.

Sharkgulf terbabit dalam perniagaan membangun, mengeluar serta mengedar EV dua roda.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian, syarikat bersetuju untuk menguruskan hak pemasangan, pembuatan dan pengedaran, penyediaan bantuan teknikal, pemberian Internet of Things (IoT) dan teknologi serta hak harta intelek.

Sementara itu, peranan CIS adalah dalam penubuhan kilang pembuatan Sharkgulf di China dan/atau kilang pembuatan EPMB di Malaysia, membiayai pemajakan produk kontrak serta pemudahan dan pengurusan rantaian bekalan produk Sharkgulf.

Perjanjian itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan ketara ke atas pendapatan, aset bersih dan gearan EPMB untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Sumber: Bernama

EPMB bakal keluarkan kenderaan elektrik dua roda


Content Type:

Duration:

Dutch Lady Milk Industries Bhd (DLMI) melantik kontraktor tempatan, Seremban Engineering Bhd (SEB) sebagai kontraktor utama untuk membina kilang pembuatan produk tenusu halal baharunya di Techpark, Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

Kontrak bernilai lebih RM100 juta itu merangkumi semua kerja-kerja sivil, struktur dan seni bina yang akan dikendalikan oleh SEB yang membabitkan kawasan berkeluasan kira-kira 13 hektar, kata DLMI dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan DLMI, Ramjeet Kaur Virik, berkata kontrak berkenaan bernilai 25 peratus daripada jumlah RM400 juta pelaburan DLMI dan hab pembuatan tenusu halal baharu itu dijangka mula beroperasi pada tahun 2024.

“Kerja-kerja pembinaan sudah bermula di hab pembuatan tenusu halal baharu ini yang bakal membolehkan proses pembuatan dilakukan secara lebih efisien, sekali gus menggandakan kapasiti pengeluaran kami.

“DLMI mengalu-alukan kerjasama dengan SEB kerana ia mewujudkan peluang berkolaborasi dengan rakan kongsi lain untuk membina hab pembuatan tenusu halal masa depan Malaysia, seterusnya mengkhasiatkan rakyat Malaysia untuk generasi akan datang,” kata Ramjeet.

DLMI, pengeluar tenusu terkemuka Malaysia, dimiliki oleh syarikat induk Belanda Royal FrieslandCampina sebanyak 51 peratus.

Ia antara syarikat tenusu terbesar di dunia dengan sejarah warisan dan kepakaran tenusu Belanda selama 150 tahun.

Sumber: Bernama

SEB kontraktor utama kilang baharu Dutch Lady


Content Type:

Duration:

Pembuat sensor dan LED, ams Osram akan mengembangkan kehadirannya di Pulau Pinang dengan menduduki tapak seluas 24 hektar di Taman Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang dekat Batu Kawan untuk membina sebuah kemudahan yang akan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan masa depannya.

Ini sejajar dengan kemajuan syarikat bagi membangunkan penyelesaian optik bersepadu generasi akan datang.

Naib Presiden ams Osram, Glen Brownlie memberitahu syarikat itu adalah antara yang digelar ‘Lapan Samurai’ syarikat elektrik dan elektronik (E&E) yang pertama kali melabur di negeri ini 50 tahun lalu serta sudah menghasilkan berbilion-bilion diod pancaran cahaya (LED) sejak itu.

“Fasiliti baharu ini akan dilengkapi sebuah kampus, kemudahan pembuatan canggih serta pusat penyelidikan dan pembangunan untuk mereka bentuk selain membangunkan penyelesaian optik generasi akan datang, seiring dengan usaha kami bagi memajukan teknologi dalam bidang penginderaan, pencahayaan dan visualisasi,” katanya pada sidang media secara bersama dengan InvestPenang dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang berhubung dengan pelan pengembangan perniagaannya di sini, hari ini.

“ams Osram merancang untuk mewujudkan portfolio yang menarik dan bervariasi dalam kemudahan baharu itu. Batu Kawan serta Pulau Pinang adalah pusat kejayaan strategi kami yang sedang berjalan dan impian kami,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan kampus itu dijangka bermula pada suku kedua 2022 serta disasarkan untuk disiapkan menjelang hujung 2023.

Tambahnya, pembangunan tapak itu akan membabitkan komitmen modal yang agak ketara dengan pembelian tanah serta kos pembinaan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang hadir pada majlis itu berkata dengan pelaburan terkini ams Osram, Pulau Pinang bersedia untuk mengembangkan kolam bakatnya dalam teknologi sensor cahaya dan memperdalamkan kepakaran kejuruteraan negeri dalam bidang LED.

“Kepentingan Pulau Pinang pada skala global adalah diperakui, disokong oleh peranan kritikal dalam industri E&E khususnya; Pulau Pinang menyumbang lebih daripada lima peratus jualan semikonduktor global.

“Eksport Pulau Pinang dikuasai oleh produk E&E dan semikonduktor. Pulau Pinang, sebagai salah satu daripada tulang belakang utama ekonomi negara, menjana lebihan perdagangan sebanyak RM101 bilion pada 2021,” katanya.

Sumber: Bernama

ams Osram bina kemudahan baharu di Batu Kawan


Content Type:

Duration:

Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.) melancarkan Taman Perindustrian Kertih Terengganu (KTIP) merupakan kompleks kilang penapisan bio generasi kedua terbesar di Asia.

Pengarah Eksekutif Terengganu Inc., Burhanuddin Hilmi Mohamed berkata, projek tersebut dibina di atas keluasan tanah 407 hektar dengan melibatkan pelaburan sehingga RM680 juta untuk fasa satu.

Menurut beliau, projek berkenaan dijangka beroperasi menjelang tahun 2024.

“Projek ini merupakan kerjasama antara Terengganu Inc. dan MGB Berhad (MGB),” katanya pada majlis pelancaran kilang tersebut yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar di sini hari ini.

Burhanuddin Hilmi menjelaskan, kedudukan KTIP strategik kerana berada di hab bioekonomi bersepadu melibatkan industri biopolimer dan produk kimia.

Tambah beliau, antara infrastruktur dan fasiliti sedia ada berhampiran KTIP ialah loji pemprosesan gas, loji penapisan minyak dan dua pelabuhan iaitu Kemaman serta Kertih.

“Saya difahamkan kerajaan negeri Terengganu telah menggerakkan usaha memacu pembangunan (KTIP) termasuk pembesaran kapasiti Pelabuhan Kemaman.

“Kami yakin KTIP masih menarik pelabur sekali gus berpotensi menjana pertumbuhan ekonomi negeri malah limpahannya bakal dinikmati rakyat,” katanya. 

Sumber: Kosmo

KTIP bernilai RM680 juta mula beroperasi tahun 2024


Content Type:

Duration:

Kerajaan Johor mahu menjadikan daerah Muar yang terletak di utara negeri ini sebagai hab minyak dan gas, dengan penglibatan kalangan pelabur swasta.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata pembangunan itu akan melibatkan kawasan seluas 920 hektar dan ia merupakan pencetus perubahan buat daerah itu.

Beliau berkata terdapat juga perancangan untuk menjadikan Muar sebagai Bandar Perabot Malaysia, sekali gus menyelesaikan masalah kilang haram dan bekalan bahan mentah untuk industri perabot.

“Saya percaya banyak peluang pekerjaan dapat disediakan, banyak idea (perancangan) dibawa ke daerah utara Muar.

“Dulunya (Muar) dikatakan bandar orang pencen, tapi saya percaya dalam tempoh lima tahun ke hadapan, ia (perancangan ini) akan meletakkan asas-asas yang memberi satu gambaran kepada masyarakat Muar bahawa Muar akan berubah wajah,” katanya dalam program Suara Johor terbitan Bernama TV pada Ahad.

Beliau berkata selain itu, dengan adanya sistem pengangkutan berintegrasi, Sistem Transit Rapid (RTS) dari Bukit Chagar ke Johor Bahru, ia dapat membantu pertumbuhan ekonomi negeri dan mengawal kesesakan lalu lintas di Tambak Johor.

“…cadangan untuk satu sistem Light Rail Transit (LRT- Transit Aliran Ringan) dibangunkan…boleh buat. Ini bukan angan-angan mat jenin, sekiranya kita ada RTS itu.

“Kenapa kita buat RTS dari Bukit Chagar ke Woodlands?, ini kerana Tambak Johor, berkurun lamanya mereka yang berulang-alik terpaksa berhadapan dengan kesesakan dua tiga jam setiap pagi untuk pergi bekerja, dua tiga jam setiap petang untuk balik bekerja,” katanya.

Beliau berkata RTS akan dilaksanakan dengan cadangan fasa pertama jajarannya melalui Jalan Tun Razak.

Bagi usaha memperkasakan pertumbuhan ekonomi Johor melalui sistem pengangkutan awam bersepadu, Hasni berkata kerajaan negeri juga akan membangunkan bas rapid transit (BRT) di seluruh negeri.

Beliau berkata dalam pada itu daerah Pontian, yang merupakan antara lokasi pencerapan bagi menentukan tarikh anak bulan, juga perlu dibangunkan.

“Janganlah masih lagi ikut cara 20 tahun dahulu. Kita bergeraklah ke hadapan, maka satu balai cerap yang moden akan dibangunkan, malah bukan hanya balai cerap tapi satu pusat astronomi yang akan dibangunkan,” katanya.

Hasni berkata kesemua perancangan itu termasuk dalam Ikhtiar Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri Johor sebagai satu pelan tindakan masa depan Johor dalam tempoh lima tahun.

“Ini semua tindakan kita bawa, akan kita laksanakan. Itu tidak bercerita tentang soal mengukuhkan lagi perancangan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), memperhebat rancangan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan juga tentunya menjayakan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) di Johor ini,” katanya. 

Sumber: Bernama

Kerajaan Negeri Komited Realisasi Muar Sebagai Hab Minyak Dan Gas – Hasni


Content Type:

Duration:

SEMICON Southeast Asia, perhimpunan terunggul serantau mengenai industri semikonduktor dan mikroelektronik, kembali ke Pulau Pinang selepas “lenyap” selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Semiconductor Equipments & Materials International (SEMI) dalam satu kenyataan hari ini berkata acara itu akan dilaksanakan di Setia SPICE Convention Centre & Arena mulai 21 hingga 23 Jun depan.

Presiden  Semi Southeast Asia Linda Tan berkata peningkatan dalam teknologi  awan, penggunaan 5G, kenderaan yang disambungkan  dan pendigitalan telah mewujudkan permintaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini untuk pengkomputeran berprestasi tinggi.

“Sebagai tulang belakang dunia yang bersambung, industri semikonduktor perlu mengekalkan keseimbangan permintaan dan penawaran yang mampan bagi memastikan daya tahan dan fleksibiliti rantaian bekalannya. Kilasan ke dalam rangkaian rantaian bekalan bersepadunya adalah kritikal dalam membolehkan industri mengenal pasti dan menguruskan sebarang gangguan.

“SEMINCON Southeast Asia 2022 akan melihat ke dalam ini serentak dengan usaha kami untuk menyokong pemain industri di Malaysia dan di rantau ini,” katanya.

Bertemakan “Maju sebagai Satu – Membina Rantaian Bekalan Elektronik yang Berdaya Tahan dan Mampan di Asia Tenggara”, SEMICON Southeast Asia 2022 menghimpunkan pakar industri untuk perkembangan terkini, inovasi dan trend merentasi rantaian bekalan semikonduktor.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Arham Abdul Rahman berkata industri elektrik dan elektronik (E&E) adalah asas serta kekuatan subsektor pembuatan Malaysia dan sektor ini telah berkembang pesat, dipacu oleh tuntutan terhadap semikonduktor dan cip semasa pandemik.

Ini merupakan penghormatan kepada  MIDA untuk bekerjasama dengan SEMI sejak lapan tahun lepas bagi mempromosikan dan mengemas kini pihak berkepentingan industri mengenai kemajuan teknologi.

“MIDA terus menghargai perkongsian ini memandangkan pendedahan kepada trend terkini dan peluang rangkaian industri yang ditawarkan dan manfaat semasa SEMICON sebelum ini telah terbukti penting kepada peneraju industri E&E,” katanya.

Arham berkata MIDA komited untuk memperluaskan ekosistem pembuatannya dengan menggalakkan dan mengejar pelaburan berkualiti serta berteknologi tinggi yang didorong oleh pendigitalan global dalam industri ini bagi mengukuhkan rantaian bekalan Malaysia, inovasi produk dan keupayaan pembangunan bakat.

“SEMICON Southeast Asia 2022 adalah sejajar dengan aspirasi kami untuk menggalakkan pembangunan industri melalui langkah-langkah proaktif dan berpandu sambil membolehkan pelabur berpotensi meneroka kelebihan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang ideal,” katanya.

SEMICON Southeast Asia 2022 akan memperingati tahun ke-50 kecemerlangan Malaysia dalam pembuatan serta reputasi Pulau Pinang sebagai Lembah Silikon di Timur, yang dibina dengan dekad kecemerlangan pembuatan dan pengalaman industri.

Sumber: Bernama

SEMICON Southeast Asia kembali ke Pulau Pinang selepas dua tahun


Content Type:

Duration:

Sektor pembuatan bersedia untuk meneruskan pengukuhan momentum pemulihannya pada separuh pertama 2022, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Melangkah ke 2022, permintaan luar yang semakin meningkat dijangka meningkatkan pemulihan dalam sektor pembuatan di tengah-tengah tekanan domestik dan luar yang berterusan, katanya.

“Semua penunjuk yang berpandangan ke hadapan kembali pulih dengan bacaan di atas paras ambang optimis, membayangkan unjuran jangka pendek bagi sektor pembuatan adalah positif.

“Indeks aktiviti perniagaan dijangka melonjak kepada 122 berbanding 60 sebelum ini, membayangkan bahawa aktiviti perniagaan dijangka mendapat momentum selanjutnya dalam tempoh enam bulan akan datang,” kata Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai dalam satu kenyataan hari ini sempena keluaran Kajian Keadaan Perniagaan FMM-Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Edisi ke-20.

Kerjasama dwi-tahunan antara FMM dan MIER itu mendedahkan bahawa 39 peratus daripada responden percaya bahawa aktiviti perniagaan akan meningkat tidak lama lagi, manakala 17 peratus adalah pesimis dalam aspek itu, yang sangat berbeza dengan 55 peratus yang menjawab sama dalam tinjauan sebelumnya.

Bagi enam bulan 2022, tinjauan itu mendedahkan strategi/tindakan berkaitan produktiviti paling popular yang kebanyakan responden akan lakukan ialah latihan dan peningkatan kemahiran (67 peratus); 45 peratus akan meningkatkan pekerja teknikal mereka; 43 peratus akan melaksanakan pembuatan yang ditambahbaik secara berterusan; manakala 13 peratus akan membenarkan waktu fleksibel dan pekerja bekerja dari rumah.

Mengenai strategi berkaitan teknologi, 74 peratus merancang untuk menerima pakai Industri 4.0, manakala 65 peratus dan 44 peratus masing-masing mempertimbangkan automasi dan pendigitalan.

Strategi lain termasuk pengembangan pasaran (61 peratus maklum balas), pengenalan produk baharu (48 peratus), penggunaan penyelidikan dan pembangunan serta inovasi (28 peratus), pengembangan rantaian bekalan tempatan (26 peratus) dan kepelbagaian perniagaan (26 peratus).

Tinjauan itu juga mendedahkan bahawa sektor pembuatan mengakhiri 2021 secara positif apabila aktiviti ekonomi disambung semula dengan pelonggaran langkah membendung dan pemulihan permintaan global untuk barangan perkilangan.

“Kedua-dua penunjuk semasa dan berpandangan ke hadapan dalam tinjauan terkini meningkat dari separuh pertama 2021, satu petunjuk bahawa keyakinan dalam kalangan pengeluar secara amnya bertambah baik pada separuh kedua 2021, dan sektor itu bersedia untuk mengukuhkan lagi momentum pemulihannya pada separuh pertama 2022 ,” katanya.

Tinjauan itu, yang membabitkan 702 responden di seluruh negara, telah dijalankan dari 5 Januari hingga 10 Februari 2022, sebelum konflik Russia-Ukraine, dan mengesan keyakinan perniagaan melalui Indeks Keadaan Perniagaan FMM-MIER (FMM BCI) yang meliputi prestasi sebenar pada separuh kedua 2021 dan tinjauan untuk separuh pertama 2022.

Sumber: Bernama

Pemulihan sektor pembuatan dijangka berterusan – FMM


Content Type:

Duration:

Menicon Co Ltd, yang berpangkalan di Jepun, melalui anak syarikat milik penuhnya Menicon Malaysia, melabur RM650 million (18 billion yen) untuk mendirikan kilang pembuatan yang pertamanya di Malaysia di Kulim Hi-Tech Park, Kedah bagi menghasilkan kanta sentuh pakai buang harian.

Dalam satu kenyataan bersama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), mereka berkata pelaburan strategik itu akan menyaksikan pembinaan kemudahan pengeluaran baharu yang merangkumi tapak seluas 200,000 meter persegi.

“Kawasan lantai kilang seluas 45,000 meter persegi itu akan dibina sejajar dengan matlamat pembangunan mampan (SDG). Ciri-ciri mesra alam seperti panel solar akan dipasang untuk menggunakan tenaga boleh diperbaharui serta cucur atap untuk menghalang kenaikan suhu bilik,” menurut kedua-dua pihak berkenaan.

“Kilang itu khususnya, dijangka memerlukan hampir 100 kakitangan sebaik sahaja pengeluaran yang dijadualkan bermula pada 2025, yang akan meletakkan Malaysia di hadapan sebagai hab global untuk pelaburan berkualiti di samping mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.”

Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata keputusan Menicon untuk mendirikan kilang automatik di sini adalah bukti keupayaan Malaysia dalam memenuhi permintaan tinggi industri yang dikawal selia seperti peranti perubatan.

“Pelaburan ini memenuhi Aspirasi Pelaburan Nasional kita, khususnya dalam mewujudkan cabaran ekonomi yang lebih besar dan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia. Di samping itu, komitmen Menicon terhadap amalan kemampanan dalam reka bentuk dan pembinaan kilang mereka bertepatan dengan matlamat ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) Malaysia untuk usaha pelaburan yang lebih hijau,” tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata “MIDA bekerjasama rapat dengan Menicon sepanjang pandemik bagi merealisasikan pelaburan mereka dengan jayanya.”

“Kemudahan yang berterusan ini termasuk pusat sehenti bagi pengembara perniagaan, yang membolehkan pelabur datang ke Malaysia untuk usaha pelaburan mereka dalam usaha meminimumkan gangguan kepada ekonomi dan menggiatkan semula perdagangan dan pelaburan di negara kita,” katanya lagi.

“Kami optimis bahawa pelaburan Menicon akan menjadi satu lagi langkah besar ke hadapan untuk Malaysia dan pertumbuhan syarikat di sini akan memberi manfaat kepada industri peranti perubatan tempatan kita dan orang ramai.”

Sumber: Bernama

Menicon dari Jepun labur RM650 juta di Kulim Hi-Tech Park


Content Type:

Duration:

Pengeluar bas dan badan bas yang berpangkalan di Johor, Gemilang International Limited (GML) memperoleh tempahan tunggal terbesarnya dari Uzbekistan bagi membekalkan 190 kit badan bas.

Tempahan diterima kurang sebulan selepas kumpulan itu memenangi dan memenuhi tempahan terbesarnya untuk menghantar bas sekolah elektrik ke California, Amerika Syarikat (AS).

GML dalam satu kenyataan berkata, kontrak terbaharu dari Uzbekistan bakal meletakkannya sebagai peserta yang lebih kukuh dalam pasaran baharu di Asia Tengah dan akan membantu kumpulan untuk meneroka negara jiran seperti Belarus dan Kazakhstan.

“Kontrak untuk menghantar 190 kit badan bas secara pemasangan tempatan (CKD) ini diperoleh bulan ini dan dijangka akan disiapkan pada Oktober ini.

“Sejak 2015, GML menghantar lebih daripada 160 kit badan bas ke Uzbekistan, menjadikan negara itu pasaran pertumbuhan penting bagi Kumpulan Gemilang. GML menjangkakan kontrak terbaharu ini akan menjadi penyumbang pendapatan utama tahun ini,” katanya.

Uzbekistan sedang giat menaik taraf infrastruktur dan kesalinghubungannya, termasuk pengangkutan dan GML, firma yang disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong itu menjangkakan lebih banyak tender pada masa depan dari negara berkenaan.

Kumpulan Gemilang optimis bahawa ia akan terus mendapat manfaat daripada pembangunan infrastruktur di Uzbekistan, memanfaatkan rekod prestasinya yang terbukti sebagai salah satu pengeluar bas dan badan bas terkemuka di Asia.

“Kontrak terbaharu ini diperoleh melalui pembidaan tender kompetitif yang dijalankan bersama rakan kongsi GML termasuk pembekal casis dan pembina badan bas tempatan. Faktor utama pemerolehan tender ini ialah keistimewaan kit badan aluminium rekaan GML yang menggunakan teknologi dari Switzerland.

“Material yang digunakan untuk struktur badan bas keluaran Gemilang terdiri daripada aloi aluminium siri 5000 hingga 6000 berketahanan tinggi (setanding dengan piawaian untuk kenderaan pengangkutan udara dan kereta api).

“Inilah intipati kejayaan pengalaman industri Gemilang selama tiga dekad dan GML bertekad untuk menghasilkan penyelesaian pengangkutan mesra alam yang mudah, mampan, konsisten dan berkualiti,” katanya.

GML berkata, kontrak itu membuktikan kredibiliti GML dalam menghasilkan bas dan badan bas yang menepati piawaian keselamatan pengangkutan di negara destinasi.

Mengulas mengenainya, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GML, Pang Chong Yong, berkata Uzbekistan adalah antara enam pasaran tumpuannya tahun ini, selain AS, Australia, Singapura, Malaysia dan Hong Kong.

“Kontrak terbaharu ini adalah pesanan berulang dari Uzbekistan dan menjadi batu loncatan untuk kami berkembang dengan lebih jauh di rantau ini. Kami berbesar hati kerana pesanan berulang dengan kuantiti yang lebih besar ini secara tersirat menunjukkan kepercayaan negara luar terhadap kepakaran dan kualiti produk Malaysia.

“Kami merancang, bergantung kepada tender dari Uzbekistan di masa akan datang, untuk terus menghasilkan produk berkualiti secara konsisten, dan seterusnya membina kehadiran yang kukuh dan berdaya saing di dalam pasaran.

“GML sedang berusaha dengan aktif untuk mendapatkan projek baharu di enam negara terbabit. Walaupun banyak penawaran tender ditangguhkan dalam tempoh dua tahun yang lalu kerana pandemik, dengan situasi ekonomi yang semakin pulih, kami ingin melihat lebih banyak pembukaan tender dari pasaran sasaran kami tahun ini,” katanya.

Berpangkalan di Johor, GML mereka bentuk dan menghasilkan badan bas, serta terbabit dalam pemasangan bas selama lebih 30 tahun.

Projek terbaharunya dalam pasaran domestik termasuklah bas bandar elektrik pertama Sarawak untuk Kuching Metro serta projek perintis bas elektrik untuk pengangkutan awam oleh kerajaan Sabah.

GML juga dikenali sebagai pembekal bas untuk bas Go KL, Rapid KL, Rapid Penang dan bas pengantara MRT sejak 13 tahun yang lalu.

Sumber: Berita Harian

GML bekal 190 kit badan bas ke Uzbekistan


Content Type:

Duration:

Sektor automotif dijangka kekal positif pada 2022 dengan pertumbuhan jumlah keseluruhan industri (TIV) akan meningkat 12 hingga 14 peratus tahun ke tahun berikutan gangguan bekalan akibat banjir pada Januari 2022 yang bersifat sementara, menurut MIDF Research.

Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), TIV pada Januari 2022 merosot 38 peratus bulan ke bulan kepada 40,581 unit.

MIDF Research menerusi nota hari ini meramalkan TIV pada sekitar 570,000 hingga 580,000 unit tahun ini, pendirian yang lebih konservatif berbanding unjuran pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 18 peratus atau 600,000 unit oleh MAA.

“Ia berada pada penghujung julat TIV tahunan pra-pandemik memandangkan kami masih bimbang dengan kekurangan bekalan cip global dan potensi kekangan kepada rantaian bekalan.

“Bagaimanapun, sebarang TIV yang lebih kukuh daripada jangkaan berperanan untuk memperkuat saranan positif kami ke atas sektor ini,” katanya.

Firma penyelidikan itu mengulangi saranan positifnya kepada sektor automotif yang berperanan terhadap pemulihan penggunaan domestik, didorong tempahan tertunggak yang kukuh, sokongan daripada lanjutan pelepasan cukai, kadar faedah rendah dan situasi pekerjaan dan pendapatan isi rumah yang beransur lebih baik.

Ia menamakan Bermaz Auto Bhd (BAuto) sebagai pilihan utama berikutan pengembangan jenama itu selepas pengambilalihan francais Kia dan Peugeot, sekali gus menyebabkan pengembangan struktur di bahagian pasaran dan pertumbuhan yang mengatasi industri.

MBM Resources Bhd dan UMW Holdings turut tersenarai sebagai pilihan utama memandangkan kedua-dua syarikat itu adalah proksi utama kepada pemulihan sektor berkenaan berikutan pendedahan mereka ke atas Perodua dan Toyota (UMW), berkesan mengawal bahagian saham terbesar industri itu.

“Risiko utama kepada saranan kami adalah sekatan pergerakan selanjutnya, lonjakan inflasi yang berlanjutan, normalisasi kadar faedah yang lebih agresif daripada jangkaan dan kelembapan ringgit,” katanya.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas sektor automotif dengan menyasarkan TIV sebanyak 600,000 unit atau pertumbuhan 18 peratus pada 2022.

Katanya, jualan pada Februari 2022 dijangka sama seperti Januari 2022 berikutan jumlah hari bekerja yang lebih singkat dan gangguan rantaian bekalan akibat banjir baru-baru ini dan kekurangan cip yang sedang berlaku.

“Pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) masih diteruskan sehingga Jun 2022 dengan pelbagai pelancaran baharu pada masa akan datang termasuk pelancaran model yang telah ditangguhkan sejak 2021,” katanya.

Sumber: Bernama

Sektor automotif diunjur kekal positif tahun ini


Content Type:

Duration:

Kerajaan Negeri Sembilan akan bekerjasama dengan Turkish Aerospace Industries Inc (TAI) dalam membangunkan Lembah Aeroangkasa NS (NS Aerospace Valley – NSAV) dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Datuk Dr Mohamad Rafie Abdul Malek berkata kerjasama itu dilaksanakan melalui satu memorandum persefahaman (MOU) yang akan ditandatangani kedua-dua pihak pada 28 Mac hingga 1 April ini, di sini.

Beliau mewakili kerajaan negeri untuk misi pelaburan ke Turki dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia Turki di Ankara dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang beribu pejabat di Milan, Itali sejak 15 Feb lepas hingga semalam, adalah untuk tujuan berkenaan.

“Kita ingin membangunkan NSAV yang berkeluasan 6,474 hektar dan di ‘Unmanned Vehicle Valley’ (UVV) seluas 1,821 hektar dalam kawasan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) dengan kerjasama mereka.

“Ia juga memberi manfaat bagi pembukaan sektor pengilangan aeroangkasa di MVV 2.0 selain menawarkan latihan dan perpindahan teknologi kepada pekerja tempatan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi kerjasama itu juga Institut Aeroangkasa di MVV2.0 akan ditubuhkan sekali gus mengukuhkan hubungan Malaysia dan Turki selain kedudukan MVV 2.0 yang strategik dengan jaringan perhubungan melalui udara, laut dan darat memberi kelebihan untuk melabur ke negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri juga menyediakan Pelan Induk Pembangunan Ekonomi yang komprehensif di Negeri Sembilan sehingga 2045 secara bersasar dengan industri berteknologi tinggi dan teknologi hijau.

Menurut beliau, selain NSAV, keseluruhan perancangan pembangunan juga tertumpu kepada beberapa parcel lain termasuk Parcel A dengan keluasan 1,148 hektar meliputi kawasan Perindustrian Berteknologi Tinggi dan Parcel B (3,559 hektar) Wilayah Pintar merangkumi perumahan, komersial, bandar kesihatan, institusi pendidikan dan hab halal.

Sementara itu, beliau berkata Negeri Sembilan yang merekodkan nilai pelaburan melebihi RM5 bilion pada tahun lepas turut mengintai peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan beberapa negara lain pada masa akan datang.

“Jumlah sebenar pelaburan 2021 masih belum diumumkan tetapi perkiraan menunjukkan ia melebihi RM5 bilion iaitu melepasi sasaran kita dan untuk tahun ini, kita optimis mampu meningkatkan jumlah pelaburan negeri sehingga RM10 bilion,” katanya.

MVV2.0 adalah inisiatif kerajaan Negeri Sembilan dan adalah pelan pembangunan jangka panjang dengan tempoh pembangunan selama 30 tahun (2016- 2045) bermula dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11: 2016-2020).

Ia juga rancangan pembangunan metropolis bertaraf dunia di kawasan seluas 153,411 hektar merangkumi Seremban dan Port Dickson.

Sumber: Bernama

N.Sembilan jalin kerjasama dengan Turki bangunkan Lembah Aeroangkasa


Content Type:

Duration:

Industri halal yang telah dikenal pasti sebagai sektor strategik dan berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan meningkatkan kapasiti dan keupayaan Malaysia dalam meningkatkan pembangunan tenaga kerja halal, memacu pembangunan industri termasuk penyertaan Bumiputera, meningkatkan daya saing produk dan menjadikan Malaysia sebagai hab halal global.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata beliau yakin strategi yang digariskan di bawah pelan itu akan membuka pintu masuk kepada peluang tanpa sempadan terutamanya untuk memanfaatkan keupayaan keusahawanan golongan belia.

“Pelan Induk Industri Halal 2030 dan Platform Bersepadu Halal akan memainkan peranan penting dalam menyediakan jambatan antara usahawan dan pihak berkepentingan industri, menyatukan mereka di bawah satu ekosistem halal, memberi tumpuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya pada Anugerah Kecemerlangan Halal Dunia 2021 di sini.

Oleh itu, Azmin menggesa PMKS untuk memanfaatkan kemudahan kewangan Islam melalui platform pendigitalan yang menawarkan produk dan perkhidmatan patuh syariah yang inovatif untuk membantu mengatasi kekangan aliran tunai.

Ini termasuk mengkaji teknologi blockchain yang telah memberi impak besar terhadap kebimbangan mengenai mengekalkan integriti produk makanan halal dengan membolehkan kebolehkesanan yang berkesan dalam rantaian bekalan makanan.

“Saya menggesa pemain industri untuk menghasilkan lebih banyak penawaran yang kreatif dalam strategi pembangunan produk dan pasaran mereka dengan menggabungkan kaedah teknologi terkini dan memanfaatkan trajektori transformasi digital kami,” katanya.

Azmin berkata satu lagi sektor penting apabila industri halal boleh terus memacu sempadan teknologi ialah dalam penjagaan kesihatan, dan usaha yang lebih baik boleh dibuat secara menyeluruh dalam membangunkan alternatif halal dalam industri ini.

Beliau berkata penting bagi Malaysia merealisasikan kekuatannya sebagai perintis dan penggerak pertama dalam membangunkan industri halal, mengekalkan kedudukan utama dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global selama lapan tahun berturut-turut.

“Sehubungan itu, piawaian farmaseutikal halal kita yang telah mendapat penerimaan sejagat perlu diperkukuh terutamanya dengan tumpuan yang tinggi untuk meningkatkan kesihatan dan imuniti selepas pandemik, menyemarakkan permintaan untuk nutraseutikal baharu yang diperakui halal, daripada vitamin kepada makanan tambahan kesihatan dan peranti perubatan,” katanya.

Pada acara itu, antara pemenang ialah Bank Islam Malaysia Bhd dan United Overseas Bank Malaysia Bhd, masing-masing dianugerahkan Anugerah Kecemerlangan Kewangan Halal untuk institusi kewangan tempatan dan antarabangsa.

Omni Mal Agencies Sdn Bhd pula menerima Anugerah Kecemerlangan PKS Usahawan Terbaik Halal kerana menunjukkan daya tahan perniagaan dan kemampanan kewangan melalui perancangan strategik dan taktikal.

Sumber: Bernama

Industri halal tingkatkan kapasiti M’sia sebagai hab halal global


Content Type:

Duration:

Pembuat cip Jerman, Infineon Technologies AG (Infineon) sedang mengukuhkan pasarannya dalam semikonduktor dengan menambah kapasiti pengeluaran dalam semikonduktor ‘wide bandgap’ dan melabur lebih daripada dua bilion euro (RM9.5 bilion) untuk membina modul ketiga di kilangnya di Kulim, Kedah.

Syarikat itu berkata, apabila lengkap sepenuhnya, modul baharu itu akan menjana pendapatan tahunan tambahan sebanyak dua bilion euro (RM9.5 biliob) dengan produk berasaskan silikon karbida (SiC) dan galium nitrida (GaN).

Ketua Pegawai Operasi Infineon, Jochen Hanebeck berkata pengembangan itu sejajar dengan strategi pembuatan jangka panjang syarikat, ia akan mendapat manfaat daripada skala ekonomi yang sudah pun tercapai untuk pembuatan produk berukuran 200 milimeter itu di Kulim.

Ia akan melengkapkan kedudukan Infineon dalam silikon berdasarkan produk berukuran 300 milimeter di Villach di Austria dan Dresden di Jerman.

“Perluasan kapasiti SiC dan GaN kami adalah bagi Infineon untuk mempercepatkan pasaran ‘wide bandgap’. Kami sedang mencipta kombinasi terbaik terhadap pusat kecekapan pembangunan di Villach dan pengeluaran kos efektif di Kulim untuk semikonduktor itu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Apabila siap kelak, Kulim 3 akan mencipta 900 peluang pekerjaan bernilai tinggi, pembinaan itu akan dimulakan pada bulan Jun dengan fabrikasi itu dijangka siap untuk peralatan berkenaan pada 2024.

“Wafer fabrikasi pertama akan dihasilkan pada separuh kedua 2024. Pelaburan di Kulim akan terdiri daripada langkah nilai tambah yang ketara,” kata syarikat itu.

Sementara itu, Menteri Kanan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus bekerjasama rapat dengan pelabur strategik untuk mengukuhkan keunggulan Malaysia sebagai hab semikonduktor utama di rantau ini.

“Malaysia adalah salah satu hab serantau utama Infineon dan pelaburan ini benar-benar membuktikan ekosistem kondusif kami dan keupayaan bakat tempatan untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang,” katanya.

Infineon sudah menyediakan produk berasaskan SiC kepada lebih 3,000 pelanggan pada masa ini.

Syarikat itu menyasarkan hasil sebanyak AS$1 bilion (RM4.2 bilion) dengan semikonduktor berasaskan SiC menjelang pertengahan dekad.

Pasaran GaN juga dijangka akan mengalami pertumbuhan besar-besaran daripada AS$47 juta (RM197 juta) pada 2020 kepada AS$801 juta (RM3.3 bilion) pada 2025.

Sumber: Bernama

Infineon labur RM9.5 bilion tingkat kapasiti kilang di Kulim


Content Type:

Duration:

Kumpulan Collins Aerospace dari Amerika Syarikat (AS), akan mengembangkan operasi penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Malaysia dengan berpindah ke kemudahan baharu berkeluasan 160,000 kaki persegi di Subang Aerotech Park.

Kumpulan itu akan melabur lebih RM16 juta untuk kemudahan baharu berkenaan, yang akan menjadi salah satu hab serantaunya untuk penyelenggaraan komponen pesawat.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata pengembangan operasi Collins Aerospace di Malaysia dijangka menyumbang dengan ketara ke arah pertumbuhan industri aeroangkasa negara.

“Lapangan Terbang Subang sudah pun menjadi titik tumpuan rantaian bekalan aeroangkasa negara susulan kehadiran pemain global seperti Spirit AeroSystems, Airbus Helicopters, Leonardo, Execujet dan Dassault Aviation.

“Ia kini mempunyai lebih 60 peserta dan menyokong lebih daripada 4,000 pekerjaan berkemahiran tinggi. Collins Aerospace bukan hanya mengembangkan operasi dari segi kapasiti, tetapi turut memperkenalkan keupayaan lebih awal di kemudahan MRO baharu itu.

“Semua ini akan menyumbang ke arah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab aeroangkasa di rantau ini. Ia adalah selaras dengan objektif yang dinyatakan dalam Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 yang bertujuan untuk menjadikan Malaysia negara aeroangkasa nombor satu di Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai sebahagian daripada pengembangan, kemudahan itu akan menambah keupayaan MRO baharu untuk mesin kitar udara Collins Aerospace, penukar haba, pemula enjin, injap, kipas dan sistem penggerak.

Tapak itu akan menyokong pelbagai pesawat, termasuk B787, B777X, A320, A380, ATR 42 dan ATR yang membolehkan tempoh pemulihan yang lebih pantas dan perkhidmatan yang lebih cekap kepada pelanggannya di rantau ini.

Ia juga akan bekerjasama rapat dengan Collins Innovation Hub di Singapura untuk meneroka cara baharu menggunakan teknologi termaju bagi meningkatkan aliran pembaikan dan kualiti.

Subang Aerotech Park ialah taman penerbangan industri dan teknologi tinggi seluas 60 ekar yang terletak di dalam Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Lapangan Terbang Subang) yang dibangunkan oleh Malaysia Airports sebagai sebahagian daripada pembangunan Aeropolis.

Sumber: Berita Harian

Collins Aerospace perkukuh operasi MRO di Malaysia


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membuka peluang kepada pengusaha industri bot untuk mendapatkan bantuan geran bagi mengembangkan lagi perniagaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong, berkata Geran Pembangunan dan Pemasaran (MDG) disediakan kepada pengusaha bot sebagai galakan untuk mereka melangkah jauh dalam memasarkan produk.

Katanya, pada masa sama, MITI menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) turut menyediakan ruang kepada mereka menyertai pelbagai acara pameran dan jualan pada peringkat antarabangsa.

“Industri pembuatan bot dan kapal yang sedia mempunyai banyak potensi, bukan sahaja terhad kepada pengangkutan logistik ketika bencana banjir dan sektor perikanan, tetapi juga dalam sektor lain seperti pelancongan dan riadah.

“Justeru, pengusaha produk itu perlu mengambil peluang yang ada dan saya yakin mereka mampu menyaingi pengusaha bot lain dari luar negara,” katanya selepas menghadiri perasmian kilang Explorer Composite Sdn Bhd yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Pulau Gadong, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Datuk Azmi Hussain; Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali dan CEO Seafarer Explorer, Mike Thien.

Sementara itu, Sulaiman berkata, kerajaan negeri menyambut baik usaha pengurusan Seafarer Explorer yang menyediakan perkhidmatan bot bagi membantu mangsa banjir di beberapa negeri, baru-baru ini.

“Saya sangat berbangga melihat pencapaian Seafarer Explorer Group kerana bukan sahaja menjalankan perniagaan, malah mempunyai kumpulan tanggungjawab sosial korporat menerusi ‘team rescue’ untuk membantu mangsa yang berdepan dengan bencana banjir lalu,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Pemain industri bot wajar rebut peluang MITI


Content Type:

Duration:

Eksport keseluruhan getah dan produk getah diunjurkan meningkat dua kali ganda kepada RM140 bilion tahun ini berbanding RM71 bilion pada 2021.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata jangkaan itu adalah berdasarkan kepada permintaan berterusan global serta pengukuhan operasi industri getah dikalangan syarikat tempatan.

Beliau berkata, getah akan terus menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negara malah Malaysia juga semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju utama sektor komoditi itu diperingkat global.

“Getah akan terus menjadi komoditi utama negara selepas merekodkan lonjakan sebanyak 44.3 peratus dalam nulai eksport pada 2021 berbanding hanya RM49.2 bilion pada 2020.

“Justeru itu, KPPK dan peserta industri optimis, langkah dan inisiatif berterusan akan mampu meningkatkan lagi nilai eksport getah pada tahun ini.

“Pertumbuhan sektor ini disumbangkan oleh pengukuhan bahagian rantaian nilai, terutamanya sektor pengeluaran dan penggunaan,” katanya selepas melancarkan Expo dan Konvensyen Industri Getah Antarabangsa (IRICE 2022) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Majlis Getah Malaysia (MRC), Dr Daroyah Alwi; Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (MRB), Lee Chin Cheh dan Presiden Persatuan Pekilang-Pekilang Produk Getah Malaysia (MRPMA), Yeaw Kok Kwey.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, KPPK juga sedang menjalin kerjasama dengan beberapa kementerian dan agensi berkaitan lagi bagi menyelesaikan beberapa isu yang berkaitan dengan getah terutamanya mengenai dakwaan penggunaan buruh paksa.

Beliau berkata, kementeriannya akan menjadi orang tengah dalam menyelesaikan masalah buruh paksa antara peserta industri yang diketengahkan oleh beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

“Kita akan terus melaksanakan pelbagai langkah dan memastikan semua pihak memahami industri getah Malaysia mengikut piawaian dan tidak seperti yang didakwa oleh mereka.

“KPPK akan sentiasa memainkan peranan penting dalam pembangunan industri getah. Ini kerana Malaysia antara negara utama dalam industri ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Eksport getah, produk getah dijangka meningkat kepada RM140 bilion


Content Type:

Duration:

Industri perkayuan Malaysia terus menunjukkan prestasi yang baik walaupun di sebalik pandemik COVID-19 yang menjejaskan ekonomi   dengan eksport mencatatkan pertumbuhan 3.1 peratus kepada RM22.70 bilion pada 2021 daripada RM22.02 bilion pada tahun sebelumnya.

Majlis Kayu-Kayan  Malaysia (MTC) berkata papan lapis berada di kedudukan teratas daripada segi nilai eksport bersama-sama perabot kayu, kayu gergaji dan pertukang kayu menyumbang lebih separuh daripada jumlah eksport.

‘’Permintaan untuk produk berasaskan kayu Malaysia terutama perabot meningkat pada awal 2020 apabila ramai orang di seluruh dunia mula bekerja dari rumah, ia membawa kepada peningkatan dalam pembinaan, pembaikan dan pengubahsuaian rumah.

“Terdapat lonjakan permintaan untuk papan lapis Malaysia di Jepun dan Amerika Syarikat (AS) pada 2021,” kata Pengerusi MTC Norrida Yusoff dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Langkah pencairan oleh pengeluar utama papan lapis di Jepun menyebabkan peningkatan dalam permintaan, katanya.

Selain itu, beliau berkata eksport perabot kayu Malaysia ke AS yang merupakan pasaran eksport terbesar, kekal sederhana.

Bagaimanapun, Norrida berkata industri perkayuan tempatan masih menghadapi cabaran, antaranya kenaikan caj pengangkutan laut, ketersediaan kontena, kekurangan tenaga kerja dan kekurangan bahan mentah.

“MTC telah memperkenalkan banyak program sejak 2020 untuk membantu industri mengatasi cabaran terutamanya dengan menyediakan insentif, ia termasuk memenuhi keperluan kemajuan teknologi yang membantu meningkatkan penggunaan sumber secara cekap dalam semua aspek selain daripada membayar caj pengangkutan laut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTC Muhtar Suhaili berkata bagi tahun 2022, tujuh inisiatif harus dijayakan MTC akan memberi fokus kepada memulihkan perniagaan dengan menganjurkan beberapa program baharu untuk produk batang kelapa sawit, mewujudkan kerjasama reka bentuk produk dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan melaksanakan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk industri perkayuan.

Pelan Hala Tuju MTC yang merangkumi rancangan lima tahun dari tahun 2019 hingga 2023 adalah  strateginya untuk mengatasi cabaran berkaitan pandemic serta memastikan kemampanan dan daya maju industri perkayuan Malaysia.

Sumber: Bernama

Sektor perkayuan terus berkembang, eksport meningkat 3.1 peratus pada 2021


Content Type:

Duration:

Anak syarikat milik penuh  AT Systematization  Bhd (ATS),  AT Precision Tooling Sdn  Bhd (ATP) telah memeterai kontrak  dengan  Maschinenfabrik Rieter AG (Rieter) untuk menghasilkan ‘aluminium profiles’ bagi  sektor  Rieter’s Card dan  Ringspin bernilai AS$10 juta (AS$1=RM4.18).

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, ATS berkata tempoh sah adalah antara 1 Jan, 2022 dan 30 Dis, 2023.

Kontrak tersebut dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas aset bersih kumpulan itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2022.

ATP sebelum ini telah menandatangani perjanjian pembelian asas dengan Rieter pada 5 Julai, 2019, untuk pembuatan dan pembekalan komponen mesin berkualiti tinggi seperti ‘aluminium profiles’ untuk digunakan dalam mesin tekstil oleh ATP kepada Rieter.

Sumber: Bernama

Unit AT Systematization bakal hasilkan ‘aluminium profiles’ bernilai AS$10 juta


Content Type:

Duration:

Kerajaan akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan tiada lagi penutupan aktiviti ekonomi, termasuk mempercepatkan pemberian suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 kepada seluruh rakyat Malaysia terutama pekerja dalam sektor pembuatan.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kesan penutupan aktiviti kepada ekonomi negara adalah sangat besar termasuk memberi gangguan kepada rantaian bekalan sektor pembuatan.

Justeru, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sudah meminta MITI untuk melaksanakan libat urus pada kadar segera dengan peserta industri bagi mencari langkah mempercepatkan pemberian suntikan dos penggalak.

“Melalui Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang dilaksanakan MITI tahun lalu, seramai dua juta pekerja sektor pembuatan sudah mendapat suntikan lengkap vaksin COVID-19.

“Namun, bagi suntikan dos penggalak, jumlahnya masih tidak banyak dengan hanya 53 peratus penduduk dewasa mendapat suntikan itu.

“Disebabkan itu, kita akan memberi perhatian dalam mempercepatkan lagi pemberian dos penggalak kepada pekerja sektor pembuatan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Genetec Technology Bhd di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, pekerja sektor pembuatan terdedah pada risiko yang tinggi kerana mereka perlu hadir untuk melaksanakan pekerjaan berbanding pekerja sektor lain yang boleh melaksanakan kaedah bekerja dari rumah.

Beliau berkata, ia menjadikan mereka tulang belakang kepada ekonomi negara dan dapat memastikan tiada lagi berlakunya gangguan rantaian bekalan.

Katanya, MITI juga menggalakkan peserta industri untuk melaksanakan ujian COVID-19 secara berkala kepada semua pekerja mereka selain mengamalkan persekitaran pekerjaan yang selamat.

Langkah berkenaan, katanya dapat menjamin penerusan operasi sektor pembuatan yang menjadi penyumbang utama kepada pendapatan negara.

Mengulas mengenai pembukaan kembali sempadan negara, Mohamed Azmin berkata KKM sedang meneliti prosedur yang tepat bagi memastikan pembukaan sempadan negara ini tidak akan menjejaskan kesihatan awam dan pemulihan ekonomi negara.

“Perkara ini sedang diteliti dan dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat supaya keputusan dapat diumumkan lebih awal.

“Ini kerana, kita mahu pastikan persediaan dapat dilaksanakan terutama dalam sektor penerbangan, perhotelan dan logistik.

“Kita akan serahkan kepada KKM untuk menentukan tarikh yang terbaik untuk pembukaan semula sempadan negara,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Kerajaan segerakan dos penggalak untuk pekerja pembuatan


Content Type:

Duration:

Beberapa syarikat pengeluar kenderaan mewah terkemuka dunia memilih Melaka sebagai lokasi untuk mendapatkan lampu kenderaan yang menggunakan teknologi diod pemancar cahaya (LED).

EXCO Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata ia berikutan pengeluar lampu LED itu, Dominant Opto Technologies Sdn Bhd merekodkan permintaan tinggi daripada pengeluar kenderaan mewah terkemuka dunia untuk mendapatkan bekalan produk berkenaan.

Berikutan itu, katanya, syarikat terbabit dicatatkan menduduki tempat keempat di dunia sebagai pembekal lampu LED untuk kenderaan mewah.

“Jenama kenderaan terkemuka dunia iaitu BMW X Series antara kenderaan yang menggunakan teknologi LED yang dikeluarkan syarikat dimiliki anak jati Melaka ini.

“Berdasarkan perancangan awal tahun ini, Dominant Opto Technologies akan meneruskan pelaburan besar di Melaka membabitkan nilai RM1.3 bilion dan diharap syarikat itu mampu menjadi pelopor teknologi pembuatan LED di negara ini,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke syarikat itu di Batu Berendam di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Datuk Azmi Hussein, CEO Dominant Opto Techniologies Sdn Bhd, Tay Kheng Chiong dan Pengurus Besar Invest Melaka, Ramli Mohd Ali.

Sementara itu, Kheng Chiong berkata, operasi syarikat itu disokong 2,126 pekerja tempatan dan 404 pekerja asing dengan menyasarkan peningkatan 20 peratus hasil perniagaan dalam sektor berkenaan setiap tahun.

Katanya, setakat ini 120 kakitangan terbabit dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) membabitkan reka bentuk dan pengubahsuaian supaya produk dihasilkan mampu bersaing di peringkat dunia.

“Kita membawa nama Melaka dan Malaysia yang kini berada di tempat keempat dunia sebagai pembekal kepada kenderaan berteknologi tinggi selepas Jerman di tangga pertama diikuti Jepun dan Amerika Syarikat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Melaka pengeluar lampu LED kereta mewah dunia


Content Type:

Duration:

wpChatIcon