Berita Industri Archives - Page 17 of 29 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


STMicroelectronics sumbang RM5 bilion kepada eksport negara

Syarikat pembuatan semikonduktor STMicroelectronics Sdn Bhd menyumbang lebih daripada RM5 bilion kepada nilai eksport negara setiap tahun, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, syarikat yang memberi tumpuan kepada sektor automotif dan 5G itu mempunyai tenaga kerja kira-kira 4,400 orang dengan sebahagian besarnya adalah pekerja tempatan.

“Prestasi perdagangan negara pada tahun 2021 kekal berada pada kedudukan baik dan momentum ini akan diteruskan. Ini juga membuktikan apabila permintaan luaran meningkat, syarikat-syarikat tempatan mampu mengeluarkan produk dan perkhidmatan untuk eksport yang mempunyai kualiti baik dan memenuhi piawaian pasaran global.

“Tujuan saya ke sini adalah untuk mengiktiraf peranan penting industri semikonduktor termasuk STMicroelectronics yang menyumbang besar kepada pertumbuhan ekonomi negara setiap tahun dan ini berterusan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kilang itu di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas di sini, hari ini.

Beliau turut berharap semua syarikat tempatan terus membina kekuatan masing-masing dalam membantu memulihkan ekonomi negara sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mampan dan lestari.

“Kita berharap mereka terus membina kekuatan menerusi inisiatif Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang memberi tumpuan kepada lima sektor utama iaitu elektrik dan elektronik (E&E), farmaseutikal, ekonomi digital, aeroangkasa dan kimia.

“Kita juga mahu tumpukan kepada kerangka besar yang baharu melalui agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) supaya produk-produk dan perkhidmatan dapat kita cipta di Malaysia ini memenuhi permintaan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Pada 24 Januari lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengenal pasti lima sektor utama di bawah inisiatif NIA yang dapat menarik lebih ramai pelabur asing untuk melabur sama ada melalui penyelidikan dan pembangunan atau kemudahan pembuatan menggunakan teknologi baharu.

Sumber: Bernama

STMicroelectronics sumbang RM5 bilion kepada eksport negara


Content Type:

Duration:

Pihak syarikat dan industri diingatkan supaya terus mengamalkan langkah pencegahan penularan COVID-19 di tempat kerja sebagaimana yang disaran Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan sektor itu terus beroperasi ketika negara berdepan dengan gelombang COVID-19 varian Omicron.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata  inisiatif Safe@Work perlu kekal dipraktikan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja terus terjamin sekali gus mengelakkan gangguan operasi syarikat dan mengurangkan impak terhadap produktiviti apabila terdapat kes positif COVID-19.

“Safe@Work (bertujuan) supaya diwujudkan ‘gelembung’ di tempat penginapan pekerja ke lokasi kilang, sekiranya ada kes baharu tiada keperluan untuk kita menutup keseluruhan kemudahan ini, sebaliknya pekerja akan diasingkan dan diberikan rawatan sewajarnya, ini dapat memastikan aktiviti perniagaan dapat diteruskan.

“Kita juga menggalakkan syarikat dan industri meneruskan usaha pemeriksaan membuat ujian secara berkala supaya pekerja yang hadir sihat, dilindungi dan tidak berlaku keadaan yang memaksa kita tutup operasi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kilang STMicroelectronics Sdn Bhd di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa merujuk kepada strategi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menghadapi gelombang Omicron berikutan peningkatan kes COVID-19.

Sumber: Bernama

Pihak industri perlu terus amalkan langkah pencegahan COVID-19, elak gangguan operasi


Content Type:

Duration:

Penduduk tempatan bakal menerima pelbagai limpahan manfaat hasil pembangunan Kedah Rubber City (KRC) yang akan turut membuka 15,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2025 di kawasan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pembangunan KRC sebagai taman perindustrian getah khusus mesra alam pertama di Malaysia diyakini mampu menarik pelaburan berpotensi keseluruhan bernilai RM10 bilion.

Jelasnya, walaupun baharu dilancarkan, KRC setakat ini sudah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4 bilion yang bakal menawarkan hampir 7,000 peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia.

“Jika sebelum ini, pembangunan berskala besar kebanyakannya hanya tertumpu di kawasan bandar. Hari ini, Keluarga Malaysia di kawasan luar bandar termasuk di Padang Terap juga mampu menikmati limpahan kemakmuran yang dicipta hasil daripada projek strategik nasional seperti KRC.

“KRC adalah satu daripada pelbagai projek ‘game changer’ yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri untuk mentransformasi Kedah sebagai negeri yang maju, sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara wilayah,” katanya pada Majlis Perasmian Projek Strategik NCER-KRC di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Ismail berkata, KRC dibangunkan dengan matlamat menjadikan Kedah sebagai peneraju pembangunan industri getah negara serta hab industri getah bernilai tinggi di peringkat global.

“Kewujudan KRC juga mencerminkan momentum pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negeri Kedah yang akan dipacu sektor pertanian moden dan pintar serta pembuatan bernilai tinggi.

“Dengan lokasinya yang strategik di kawasan ‘Rubber Belt’ sempadan Malaysia-Thailand, KRC akan memupuk kerjasama dan integrasi serantau yang lebih erat antara kedua-dua negara, serta menjadi penggerak menghubungkan pengeluar getah utama serantau di bawah platform Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT),” katanya.

Berikutan itu, beliau berharap pelabur dari dalam dan luar negara akan merebut peluang menempatkan operasi mereka di KRC yang menawarkan kawasan seluas lebih 503 hektar.

“Sebagai anak penoreh getah, saya yakin KRC bakal memberi manfaat kepada pekebun kecil getah di negeri ini. Walaupun Kedah adalah antara kawasan penanaman getah penting negara, industri ini masih tertumpu kepada aktiviti bernilai rendah yang mengakibatkan ramai pekebun masih dibelenggu kemiskinan.

“Sehubungan itu, NCIA akan bekerjasama bersama RISDA bagi membangunkan masyarakat pekebun kecil getah tempatan iaitu kepada 73,642 pekebun kecil negeri Kedah termasuk 11,190 pekebun kecil di Padang Terap,” katanya.

Pada majlis itu, Ismail turut menyaksikan pertukaran sembilan dokumen perjanjian, surat niat serta memorandum persefahaman (MoU) antara NCIA dan pelabur serta rakan strategik dalam pembangunan KRC.

Antara syarikat terbabit adalah Hong Seng Corporation Berhad (HSCB) dan Mitsui & Co (Malaysia) Sdn Bhd sebagai rakan kerjasama strategik, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi mempromosikan KRC serta syarikat perbankan CIMB, Affin Bank, Maybank dan Agrobank bagi program keusahawanan.

Sumber: Berita Harian

Kedah Rubber City tawar 15,000 peluang pekerjaan menjelang 2025


Content Type:

Duration:

Industri farmaseutikal Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM397.67 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama 2021, mengatasi nilai tertinggi yang diluluskan bagi setahun penuh pada 2017.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjelaskan sektor itu juga merekodkan angka eksport yang mengagumkan iaitu RM2.42 bilion bagi 2021, peningkatan 24 peratus daripada angka pada 2020.https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.501.0_en.html#goog_889287500https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.501.0_en.html#goog_889287502https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.501.0_en.html#goog_889287504

Menurut kenyataan pada Jumaat, MIDA menjelaskan semasa lawatan ke Biocon Sdn Bhd di Johor pada 26 Januari lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong berkata pihaknya sentiasa mementingkan pembangunan industri farmaseutikal, terutama ketika negara memasuki norma baharu susulan pandemik COVID-19.

“Permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan perubatan dan penjagaan kesihatan merancakkan perkembangan pesat industri farmaseutikal,” katanya dipetik dalam kenyataan itu.

Beliau berkata, MIDA juga terus menarik dan menyasarkan pelaburan teknologi berkualiti tinggi dalam industri farmaseutikal untuk usaha mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global.

“Penubuhan Biocon dan operasinya yang semakin berkembang adalah bukti kelebihan daya saing negara kita. (Ia juga mewakili) satu komitmen untuk memberikan nilai kepada pelabur kita selaras dengan kerangka Aspirasi Pelaburan Nasional dan Rancangan Malaysia ke-12,” katanya.

Pada 2010, Biocon, yang juga antara syarikat biofarmaseutikal Asia, memilih Malaysia untuk mewujudkan kemudahan pembuatan insulin bersepadu terbesar di Asia di Kluster Logistik Perindustrian Selatan Johor.

Projek itu, bernilai lebih AS$350 juta, adalah antara pelaburan farmaseutikal asing terbesar di Malaysia, serta kemudahan pembuatan insulin pertama dan satu-satunya di negara ini.

Ia juga adalah kemudahan pembuatan dan penyelidikan luar negara pertama syarikat tersebut dan mempunyai kira-kira 800 pekerja.

Selain itu, ia adalah kemudahan biologi steril pertama di Malaysia yang diperakui oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat.

Biocon membekalkan produk insulin ke Malaysia dari kemudahan ini sejak lima tahun lalu.

Ban Hong berkata, kerjasama Biocon-Malaysia akan menawarkan keluaran sampingan daripada aktiviti penyelidikan dan pembangunan untuk merangsangkan pertumbuhan dalam inovasi produk dan pilihan kerjaya baharu.

Dalam lawatan itu, Biocon menunjukkan rancangan peluasannya untuk menjadikan kemudahan tersebut sebagai hab pembuatan insulin yang memenuhi permintaan global.

Sumber: Bernama

Industri farmaseutikal catat pelaburan RM397.67 juta


Content Type:

Duration:

Pembesaran Fasa Tiga syarikat pembekal terkemuka dunia injap vakum berprestasi tinggi, VAT Group AG di Pulau Pinang dijangka menyumbang kira-kira 50 peratus daripada jumlah kapasiti pengeluaran global kumpulan itu menjelang 2028.

Syarikat berpangkalan di Switzerland yang mengadakan majlis pecah tanah untuk memulakan pembesaran fasa berkenaan pada Khamis lalu berkata, kilang baharu berkeluasan 3.92 hektar itu dianggar dapat mewujudkan 500 peluang pekerjaan sebaik siap dan beroperasi pada kapasiti penuh sambil menggandakan kapasiti pengeluaran operasi VAT di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) VAT, Mike Allison, berkata pembesaran Fasa Tiga itu akan meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran syarikat dengan pelaburan awal kira-kira RM321 juta dalam tempoh antara 2022 hingga 2024.

“Pasukan kami di Pulau Pinang sudah melakukan kerja yang hebat meningkatkan pengeluaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk memenuhi keperluan pasaran yang berkembang pesat dan keputusan untuk mengembangkan lagi operasi di Pulau Pinang adalah sebagai mengiktiraf usaha cemerlang mereka.

“Selain itu, beberapa pelanggan pengeluaran peralatan asal (OEM) terbesar kami beroperasi di rantau ini dan meningkatkan pengeluaran di sini akan mengukuhkan keupayaan untuk bekerjasama dengan mereka secara lebih berkesan dan menyampaikan nilai dengan lebih cepat dan cekap,” katanya.

Allison turut menjelaskan, VAT Manufacturing Malaysia akan menjadi pembekal utama untuk pelanggan syarikat di Korea Selatan, Jepun, China dan seluruh Asia.

Beliau berkata, pada masa ini, kilang tempatan itu menggajikan kira-kira 600 pekerja dan dengan permintaan didorong oleh trend jangka panjang seperti pendigitalan global, ia menjangkakan jumlah pekerja meningkat kepada lebih 1,200 orang menjelang akhir 2027.

Kilang pembuatan VAT di Pulau Pinang memulakan pengeluaran pada April 2013, dengan pelaburan lebih RM102 juta bagi kilang berkeluasan 6,000 meter persegi.

Pada September 2019, VAT memulakan pengembangan kedua kilangnya di Pulau Pinang dengan pelaburan berjumlah RM165 juta, meliputi kawasan seluas 24,000 meter persegi untuk menyokong pertumbuhan ketara syarikat.

Ia berkata, operasi di Malaysia memainkan peranan penting dalam strategi syarikat untuk terus membina pasaran global dan kepimpinan teknologinya, bagi menampung keperluan pelanggannya dalam sektor khusus dan sasaran, terutama pelanggan utama di Asia.

Dalam kenyataan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman, berkata pembesaran kemudahan pembuatan teknologi injap vakum yang dipertingkatkan VAT mencerminkan pertumbuhan permintaan global jangka panjang untuk industri berkenaan dan bagaimana Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang ini.

“Sehingga September 2021, MIDA sudah meluluskan sejumlah 230 projek pembuatan dari Switzerland bernilai RM14 bilion dan aliran masuk pelaburan Switzerland yang berterusan ke Malaysia mencerminkan daya saing berterusan negara untuk perniagaan.

“Hakikat yang syarikat-syarikat ini terus melabur di Malaysia, walaupun pada masa yang mencabar dalam ekonomi global, sememangnya patut diberi perhatian dan sebagai bukti iklim pelaburan yang kondusif di negara ini,” tambah beliau.

Sumber: Bernama

Firma Switzerland besarkan kilang di Pulau Pinang


Content Type:

Duration:

VAT Group AG yang berpangkalan di Switzerland, merupakan pembekal terkemuka dunia bagi injap vakum berprestasi tinggi, hari ini mengadakan majlis pecah tanah untuk memulakan perluasan di kemudahan pengeluarannya seluas 39,200 meter persegi di Pulau Pinang, Malaysia.

Dalam satu kenyataan bersama, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Penang, dan VAT berkata kilang baharu itu akan mewujudkan 500 peluang pekerjaan dan menggandakan kapasiti pengeluaran operasi VAT di Malaysia, meningkatkan pengeluaran kilang kepada lebih RM4.6 bilion.

“Apabila siap dan beroperasi pada kapasiti penuh, perluasan itu dijangka menyumbang kira-kira 50 peratus daripada jumlah kapasiti pengeluaran global VAT menjelang 2028,” kata mereka. “VAT Manufacturing Malaysia akan menjadi pembekal utama untuk pelanggan syarikat di Republik Korea, Jepun, Republik Rakyat China, dan seluruh Asia.”

Pada masa ini, kilang tempatan itu menggaji kira-kira 600 orang dan dengan permintaan yang didorong oleh trend jangka panjang seperti pendigitalan global, VAT telah menjangkakan pertumbuhan guna tenaga akan melebihi 1,200 orang menjelang akhir 2027.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata perluasan di kemudahan pembuatan teknologi injap vakum yang dipertingkatkan oleh VAT mencerminkan pertumbuhan permintaan global jangka panjang untuk industri, dan bagaimana Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang itu.

“Sambil memanfaatkan ekosistem industri yang menarik di Malaysia, kemudahan ini akan menjadi kepentingan strategik untuk menarik lebih banyak syarikat multinasional terutamanya daripada pelbagai industri peralatan bernilai tinggi yang menggunakan teknologi syarikat itu untuk menubuhkan kilang mereka di Malaysia.

“Ini akan dikaitkan dengan peningkatan dalam rantaian bekalan negara, khususnya untuk industri semikonduktor, serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia dan mempercepatkan eksport produk buatan Malaysia ke seluruh dunia,” katanya.

Sehingga September 2021, MIDA telah meluluskan sejumlah 230 projek pembuatan dari Switzerland bernilai RM14 bilion.

“Aliran masuk berterusan pelaburan Switzerland ke Malaysia mencerminkan daya saing berterusan negara ini untuk perniagaan.

“Fakta bahawa syarikat-syarikat ini terus melabur di Malaysia, walaupun pada masa yang mencabar dalam ekonomi global sememangnya patut diberi perhatian dan sebagai bukti iklim pelaburan yang kondusif di negara ini,” tambahnya.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, adalah benar dengan reputasinya sebagai Lembah Silikon Timur, Pulau Pinang, selain sebagai salah satu hab terkemuka bagi pembuatan elektrik dan elektronik (E&E), yang menyumbang kira-kira 5 peratus jualan semikonduktor global,

juga merupakan hab serantau yang berkembang maju dalam mesin dan peralatan (M&E) serta peranti perubatan.

“Yang penting, kami berbangga bahawa Pulau Pinang mendapat momentum dalam pembuatan peralatan bahagian depan, yang mana VAT memainkan peranan penting dalam rantaian nilai,” katanya.

Pelancaran perluasan Fasa Tiga VAT di Pulau Pinang secara ketara akan meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran syarikat dengan pelaburan awal kira-kira RM321 juta sepanjang 2022 hingga 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif VAT Mike Allison berkata syarikat itu membuat kesimpulan bahawa Pulau Pinang adalah lokasi terbaik atas beberapa sebab, selepas menilai secara menyeluruh beberapa pilihan untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran syarikat.

“Pasukan kami di Pulau Pinang telah melakukan kerja yang hebat meningkatkan pengeluaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk memenuhi keperluan pasaran kami yang berkembang pesat, dan keputusan kami untuk berkembang lebih jauh di Pulau Pinang adalah satu pengiktirafan atas usaha cemerlang mereka,” katanya.

“Selain itu, beberapa pelanggan pengeluar peralatan asli kami yang terbesar telah beroperasi di rantau ini dan meningkatkan pengeluaran kami di sana akan meningkatkan keupayaan kami untuk bekerjasama dengan mereka secara lebih berkesan dan menyampaikan nilai dengan lebih pantas dan lebih cekap.”

Sumber: Bernama

VAT adakan majlis pecah tanah untuk perluasan kilang fasa tiga di Malaysia


Content Type:

Duration:

Nextgreen Global Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri Kelantan untuk membangunkan projek mampan di negeri itu yang bernilai kira-kira RM2.23 bilion.

Nextgreen dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata penilaian itu tertakluk kepada penilaian teknikal, kewangan dan sijil oleh Jawatankuasa Pelaburan Sehenti negeri atau mana-mana jawatankuasa yang dipersetujui oleh pihak berkuasa negeri.

Nextgreen merupakan syarikat pegangan pelaburan yang terlibat terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan pengurusan.

Syarikat itu akan melabur dalam kos pengurusan, operasi dan pengeluaran hasil bagi pembangunan pusat kutipan dan pemprosesan minyak sawit, perladangan hutan, kilang palpa, kilang makanan haiwan dan kilang baja.

MoU tersebut adalah  untuk menjalin kerjasama menerusi usaha sama dengan syarikat  berkaitan negeri Kelantan atau mana-mana pihak yang ditentukan oleh kerajaan negeri.

Ia berkuat kuasa bagi tempoh setahun dan semua komitmen yang diberikan adalah sah bagi tempoh tertakluk kepada kajian semula dan pengubahsuaian yang dipersetujui bersama.

Sumber: Bernama

Nextgreen meterai MoU dengan kerajaan Kelantan bangun projek bernilai RM2.23 bilion


Content Type:

Duration:

Samsung Engineering Co Ltd, antara syarikat peneraju pengurusan projek serta kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) yang terkemuka di dunia memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membangunkan hidrogen hijau serta projek ammonia di Sarawak.

Projek Ammonia/Hidrogen Hijau H2biscus Sarawak (Projek H2biscus) akan ditempatkan di Bintulu, akan dibangunkan secara bersama dengan Lotte Chemical, Posco dan SEDC Energy Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

“Projek H2biscus bertujuan untuk menukar kuasa hidro dan gas asli kepada hidrogen hijau/metanol serta hidrogen biru dan menukar hidrogen kepada ammonia, dengan sasaran bagi membekalkan hidrogen serta ammonia ke Korea Selatan dan Sarawak,” kata Samsung Engineering dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis pemeterain itu diadakan dalam format maya dan dihadiri oleh Ketua Penyelesaian Perniagaan Samsung Engineering, Park Cheonhong; Ketua Pengurusan ESG Lotte Chemical, Kim Yeon-Seop; Pengurus Perniagaan Posco Hydrogen Jo Joo-Ik dan Pengerusi SEDC Tan Sri Abdul Aziz Husain.

Di bawah MoU itu, keempat-empat pihak akan mengambil peranan aktif dalam membangunkan keseluruhan kitaran projek termasuk pelaburan langsung, pembinaan, pengangkutan dan penggunaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Samsung Engineering, Sunan Choi, berkata projek itu akan membawa peluang untuk menghasilkan pelbagai produk mesra alam seperti hidrogen hijau, ammonia hijau dan biru, metanol hijau serta pengumpulan dan penggunaan karbon.

“Ia akan menjadi projek contoh bertaraf antarabangsa membabitkan perdagangan tenaga boleh diperbaharui selain sebagai pengangkutan hidrogen antara Korea dan Malaysia termasuk mewujudkan piawaian berkaitan hidrogen bagi kedua-dua negara,” katanya.

Berdasarkan keputusan kajian kebolehlaksanaan yang dijalankan pada 2021, projek itu dijangka menghasilkan 7,000 tan hidrogen hijau setahun untuk kegunaan di Sarawak, 600,000 tan ammonia biru setiap tahun, 630,000 tan ammonia hijau dan 460,000 tan metanol hijau setahun.

Sementara itu, SEDC Energy dalam kenyataan yang sama menjelaskan projek itu akan memainkan peranan penting dalam sektor tenaga baharu dan skop serta magnitudnya akan meletakkan Sarawak sebagai pemain dalam pasaran global.

“Perkongsian dengan Samsung Engineering, Posco dan Lotte Chemical yang akan menjadikan ianya sebagai realiti benar-benar dihargai oleh kami. Kami berharap hubungan ekonomi antara Sarawak, Malaysia dan Korea akan terus berkembang serta mengukuh dalam sinergi dengan matlamat pelepasan karbon bersih global,” katanya.

Samsung Engineering sedang melaksanakan projek loji metanol Sarawak Petchem di Bintulu, yang dijangka menghasilkan 5,000 tan metanol sehari.

Ia juga sedang berusaha untuk menjadi ‘Pembekal Penyelesaian Hijau Beyond EPC’, menyediakan infrastruktur mesra alam dan perkhidmatan pengoptimuman tenaga melalui analisis proses berdasarkan pengoptimuman digital.

“Dengan membangunkan teknologi berkaitan hidrogen baharu dan teknologi CCUS (penangkapan karbon, penggunaan dan penyimpanan), kami berharap untuk mengubah industri tenaga,” kata syarikat itu.

Sumber: Bernama

Samsung Engineering rancang projek hidrogen, ammonia di Sarawak


Content Type:

Duration:

Syarikat pengeluar nutrisi dan kesihatan haiwan, Rhone Ma Holdings Bhd (Rhone Ma) membuka kilang baharu dengan kos RM40 juta di kawasan perindustrian Nilai Utama, di sini.

Pengarah Urusannya, Dr Lim Ban Keong berkata kilang yang mula beroperasi April tahun lalu itu bukan sahaja menghasilkan produk kesihatan dan nutrisi haiwan berkualiti tinggi dan selamat untuk pasaran tempatan malah turut dieksport ke negara rantau Asia Tenggara termasuk Thailand, Indonesia dan Myanmar.

“Kami juga sedang dalam proses memohon lesen Amalan Pengilangan Baik (GMP) daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang dijangka akan diterima dalam suku kedua 2022.

“Sejak mula beroperasi, kilang ini telah mencapai lebih 35 peratus pengeluaran. Sasaran kami adalah untuk mencapai 100 peratus tahun depan sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan empat kali ganda atau 2,500 tan metrik daripada yang sedia ada.

“Kilang pertama Rhone Ma adalah di Petaling Jaya, Selangor, ia sudah pun mempunyai lesen GMP,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian kilang itu yang dirasmikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Turut hadir, Ketua Pengarah Veterinar, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor.

Dalam pada itu, Ban Keong berkata produk kesihatan dan nutrisi haiwan yang dihasilkan di kilangnya menggunakan jenama Rhone Ma sendiri dengan Thailand adalah pasaran terbesar yang menyumbang kira-kira 48 peratus kepada jumlah pendapatan eksport mereka tahun lepas.

“Kami juga berhasrat untuk pasarkan produk ini di Taiwan dan China. Sambutan baik yang diterima daripada pasaran luar negara membuktikan bahawa produk buatan Malaysia adalah berkualiti tinggi, setanding dengan produk antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata Rhone Ma membuat keputusan tepat memilih Negeri Sembilan sebagai tapak kilang kerana lokasi strategiknya yang berdekatan dengan Kuala Lumpur, Lembah Klang serta Putrajaya yang juga pusat pentadbiran negara.

Lokasi berkenaan juga diselenggara dengan baik dan dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur seperti rangkaian jalan raya yang sangat baik, bekalan elektrik, air dan infrastruktur telekomunikasi yang berdaya saing sekali gus membantu Rhone Ma menyediakan penyelesaian kesihatan haiwan bersepadu yang terbaik, katanya.

Beliau berkata, penubuhan kilang itu juga mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan melengkapkan mereka dengan kemahiran daya saing yang berguna untuk masa depan.

“Saya difahamkan sejak kilang ini mula beroperasi pada April 2021, syarikat ini menggajikan 100 peratus penduduk tempatan. Terima kasih saya ucapkan,” katanya.

Sumber: Bernama

Rhone Ma buka kilang baharu di Nilai


Content Type:

Duration:

SIRIM Bhd akan melancarkan Pusat Pengalaman Pembuatan Pintar (SMEC) pada pertengahan 2022 dalam usaha memperhebat penerimagunaan pendigitalan dalam sektor pembuatan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata tumpuan utama pihaknya tahun ini adalah menggiatkan lagi usaha dalam pembangunan pembuatan pintar khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Melalui pusat ini yang terletak di Bukit Jalil, kita akan melihat dari sudut ekosistem sektor pembuatan secara keseluruhan dalam usaha memastikan Malaysia berupaya maju ke arah transformasi digital serta Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“SIRIM sentiasa melaksanakan peranan dalam menambah baik sektor pembuatan serta perkhidmatan. Matlamat kita adalah menjadi peneraju dalam teknologi terkedepan,” katanya dalam program Ruang Bicara bagi mengupas topik ‘Peranan SIRIM Dalam Mencapai Matlamat RMK12’ yang disiarkan saluran televisyen Bernama TV, malam tadi.

Beliau berkata Malaysia mempunyai pelbagai kepakaran dan keupayaan yang inklusif dalam memastikan rantaian bekalan dalam sektor pembuatan terjaga, dan penerimaan teknologi baharu di semua peringkat akan membantu memastikan ekonomi berkembang.

Ahmad Sabirin berkata SIRIM akan memperkenalkan 60 produk baharu yang dihasilkan oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd serta inovasi yang dibangunkan oleh SIRIM Industrial Research pada tahun ini.

“Pada masa sama kita akan memperhebat usaha pendigitalan yang merupakan elemen penting dalam perkhidmatan dengan menerajui bidang Internet Pelbagai Benda (IoT), data raya dan ‘blockchain’,” katanya.

Sumber: Bernama

Pusat Pengalaman Pembuatan Pintar Sirim dilancar tahun ini


Content Type:

Duration:

SilTerra Malaysia Sdn Bhd (SilTerra), syarikat semikonduktor Malaysia melabur RM645 juta dalam pelan pengembangan yang akan meningkatkan kapasiti tahunannya sebanyak 20 peratus.

Pelaburan yang dijana daripada suntikan modal oleh pemegang saham dan dana dalaman itu akan meningkatkan kapasiti tahunan SilTerra daripada 8.3 juta lapisan pelitup pada akhir Julai 2021 kepada 10 juta lapisan pelitup.

Kapasiti tambahan itu dijangka siap untuk pengeluaran seawal 2023.

Pengarah Urusan Kumpulan Dagang NeXchange Bhd (DNeX) yang juga Pengerusi Eksekutif SilTerra, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata pelaburan itu adalah komitmen berterusan oleh pemegang saham untuk melengkapkan syarikat dengan keupayaan pembuatan terbaik dalam kelasnya dan mengembangkan kapasiti pengeluaran bagi mencapai skala ekonomi yang lebih baik, dengan kos pembuatan yang lebih rendah.

Beliau berkata, inisiatif yang dilaksanakan setakat ini untuk mengubah SilTerra menjadi syarikat teknologi untung dan berdaya tahan telah membuahkan hasil memberangsangkan.

Katanya, dalam tempoh enam bulan yang lalu, proses penambahbaikan menghasilkan peningkatan produktiviti dan kecekapan.

“Hasilnya, SilTerra kini adalah entiti yang menguntungkan dan bersedia untuk berkembang lebih jauh memandangkan permintaan kukuh berterusan untuk semikonduktor dan kekangan kapasiti semasa dalam industri disebabkan oleh permintaan tinggi terhadap kenderaan elektrik, Internet Kebendaan (IOT), pusat data dan perdagangan elektronik.

“Permintaan ini amat relevan terutama untuk faundri khusus 200 milimeter yang mana SilTerra ada. Oleh itu, adalah bijak untuk kami meneruskan program pelaburan jangka panjang SilTerra bagi menampung permintaan yang meningkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Syed Zainal Abidin berkata, sokongan daripada pelanggan SilTerra juga sangat kukuh.

Beliau berkata, perjanjian jangka panjang (LTA) yang ditandatangani baru-baru ini dengan ChipOne Technology (Beijing) Co Ltd dan ILI Technology Corp yang berpangkalan di Taiwan akan menyediakan perniagaan yang stabil untuk SilTerra sekiranya kemerosotan pasaran berlaku.

Selain perniagaan yang akan dibawa oleh LTA itu, SilTerra komited untuk bekerjasama dengan pelanggannya untuk meningkatkan kerjasama teknologi ke arah yang lebih baik bagi mengukuhkan dan mengoptimumkan pelan hala tuju produk dan teknologi dalam kalangan rakan kongsi, katanya.

“Secara keseluruhannya, pelaksanaan pelan hala tuju perniagaan kami berkembang dengan baik. Di samping tinjauan positif berterusan industri semikonduktor dan pelaburan kami, kami percaya masih ada ruang yang cukup untuk SilTerra menyampaikan keputusan yang lebih utuh pada masa hadapan,” katanya.

SilTerra adalah pelaburan strategik DNeX dan Beijing Integrated Circuit Advanced Manufacturing and High-End Equity Investment Fund Center (Limited Partnership) atau CGP Fund.

Sumber: Berita Harian

SilTerra labur RM645 juta tingkat kapasiti tahunan


Content Type:

Duration:

Aliran permintaan terhadap getah bagi tahun ini dijangka terus meningkat, didorong oleh kesedaran tinggi pasca pandemik COVID-19 termasuk aspek berkaitan kebersihan, kata Majlis Getah Malaysia (MRC).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Nor Hizwan Ahmad, selain keperluan produk berasaskan getah seperti sarung tangan getah yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran tempatan dan luar negara ketika pandemik, kesedaran tinggi mengenai kebersihan juga terus ketara.

“Jika sebelum ini, sarung tangan getah banyak digunakan di peringkat sektor kesihatan, namun tempoh pasca pandemik COVID-19 turut menyebabkan bidang-bidang lain seperti penyediaan makanan dan pembersihan menitikberatkan faktor kebersihan itu,” katanya dalam rancangan Darah Muda bertajuk ‘Majlis Getah Malaysia Perkasa Agenda Ekonomi Belia’ yang disiarkan di Bernama TV pada Jumaat.

Mengulas mengenai cabaran utama dalam memperkasa industri getah, Nor Hizwan berkata isu-isu seperti peranan orang tengah menyebabkan industri getah dilihat tidak menarik biarpun hakikatnya ia merupakan komoditi yang mendatangkan hasil.

“Orang tengah misalnya memberi kesan langsung ke atas pendapatan pekebun kecil. Cabaran lain adalah kurangnya penglibatan usahawan kecil dalam rantaian nilai yang menyebabkan mereka tidak dapat merasai keuntungan yang diraih oleh syarikat-syarikat besar terutama ketika permintaan melambung tinggi,” katanya.

Nor Hizwan berkata, kekurangan penglibatan langsung di peringkat rantaian nilai antarabangsa juga menjejaskan daya saing Malaysia di peringkat global.

“Oleh itu, kita berharap lebih banyak golongan muda akan turut sama melibatkan diri dalam bidang ini. Malah, kita turut menyediakan biasiswa dan geran inovasi dan teknologi dalam usaha menarik penglibatan mereka,” katanya.

Source: Bernama

Permintaan getah dijangka terus meningkat dipacu kesedaran pasca pandemik – MRC


Content Type:

Duration:

SilTerra Malaysia Sdn. Bhd. memperkenalkan teknologi pembuatan baharu bagi sistem mikroelektromekanikal (MEMS) dan peranti fotonik berasaskan wafer Cavity

Silicon-On-Insulator (C-SOI).

Ia dihasilkan oleh Okmetic, pengeluar wafer silikon dengan nilai tambah tinggi yang berpangkalan di Finland.

Pengarah Urusan Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) yang juga Pengerusi Eksekutif SilTerra, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, sebagai salah satu pengguna awal dalam faundri tulen yang memperkenalkan teknologi berasaskan CSOI untuk peranti MEMS dan fotonik, ia akan mengukuhkan dan meluaskan tawaran SilTerra dalam pasaran ini.

Katanya, pada masa hadapan, kumpulan akan terus melabur dan meningkatkan tawaran teknikal bagi memenuhi permintaan pasaran.

“Ini semua merupakan sebahagian daripada komitmen kami untuk mengubah SilTerra menjadi pemain faundri khusus bertaraf dunia dari segi kecemerlangan operasi dan kemajuan teknologi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SilTerra merupakan pelaburan strategik DNeX dan Beijing Integrated Circuit Advanced Manufacturing and High-End Equity Investment Fund Center (Limited Partnership) (CGP Fund).

Wafer C-SOI dibuat khusus untuk keperluan SilTerra dan bersesuaian bagi aplikasi dan piezosensor, micromirror, accelerometer, mikrofon, MEMS inersia, resonator dan peranti microfluidic merentasi pasaran pengguna, perubatan, perindustrian dan automotif bagi frekuensi 500kHz atau ke bawah.

Teknologi itu juga boleh digunakan untuk membina alat pengesan yang menggunakan penggerak berasaskan MEMS dan alat pengesan fotonik.

Secara dasarnya, teknologi SilTerra boleh menawarkan ketepatan, hasil tinggi dan masa lebih pantas untuk memasarkan fabrikasi peranti MEMS dan fotonik kepada pelanggan.

Menurut Syed Zainal Abidin, permintaan bagi cip semikonduktor akan kekal tinggi tahun ini disokong peralihan teknologi utama di seluruh dunia seperti rangkaian 5G, industri 4.0, penggunaan kenderaan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui.

“Trend makro ini akan berterusan pada tahun-tahun akan datang, bukan sahaja pada 2022 dan ini akan menyediakan peluang perniagaan yang luas kepada syarikat teknologi tempatan, sekali gus membantu mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri elektrik dan elektronik global.

“Dalam hal ini, firma teknologi tempatan, termasuk SilTerra, sudah bersedia untuk mengharungi trajektori pertumbuhan ini,” jelas beliau.

Sumber: DagangNews

SilTerra perkenal teknologi pembuatan baharu
berasaskan C-SOI


Content Type:

Duration:

Zon dron dan robotik Iskandar — DRZ Iskandar di Medini dijangka menarik pelaburan bernilai RM315 juta selain dapat mewujudkan kira-kira 1,000 pekerjaan menjelang 2025.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata pembangunan Tapak Ujian Dron (DTS) berkeluasan lebih 687.96 hektar di DRZ Iskandar dan menjadikannya terbesar di Asia Tenggara, akan turut memacu ekonomi tempatan serta memberi manfaat kepada masyarakat dan usahawan di sekitarnya.

Menurutnya, selain menarik pelaburan domestik dan asing, DRZ Iskandar juga menyasarkan untuk menarik 70 syarikat dron dan robotik serta mewujudkan 1,000 pekerjaan dalam industri dron dan robotik menjelang 2025 di Johor.

“Saya gembira melihat bagaimana kesungguhan pasukan Iskandar Investment Bhd (IIB) berusaha merealisasikan aspirasi tersebut menerusi pembukaan DTS pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian kemudahan DTS itu di sini, hari ini, yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif IIB Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad.

Hasni berkata, IIB setakat ini telah membelanjakan hampir RM4 juta bagi pembangunan DRZ Iskandar manakala kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan besar bagi pembangunan ekosisten dron dan robotik tersebut.

Sementara itu, Khairil Anwar berkata objektif DRZ Iskandar adalah untuk mewujudkan ekosistem dron dan robotik di Iskandar Malaysia yang mampu menjadi pemacu pertumbuhan, peneraju teknologi dan hab bakat untuk Malaysia serta Asia Pasifik.

“DTS merupakan komponen utama DRZ Iskandar dalam usaha merintis penyelesaian teknologi baharu dan menjalankan ujian-ujian berkaitan.

“Ini membantu dari segi mempercepat ujian penyelesaian berkuasa dron yang dibangunkan di peringkat tempatan. Ia juga dapat mewujudkan persekitaran selamat dan sebenar bagi kalangan penginovasi menguji, menerbangkan dan mengenal pasti kaedah untuk pesawat kawalan jarak jauh berintegrasi dalam ruang udara kita dengan selamat.

Menurut Khairil Anwar, DTS juga merupakan antara elemen utama dalam menyokong usaha bagi merealisasikan agenda ekonomi digital Johor.

Sumber: Bernama

DRZ Iskandar dijangka jana pelaburan RM315 juta, wujud 1,000 kerja menjelang 2025


Content Type:

Duration:

Penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan bersepadu, Coraza Integrated Technology Bhd (Coraza) bakal mengambil kesempatan daripada peningkatan permintaan untuk semikonduktor.

Ia memandangkan tiada tanda penurunan dari segi perbelanjaan atau perluasan oleh pelanggan, di sebalik ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19.

Syarikat itu mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities hari ini, mengumpul dana sebanyak RM33 juta daripada terbitan awam sebanyak 117.8 juta saham baharu pada harga terbitan 28 sen sesaham.

Pada pembukaan, harga saham Coraza meningkat lebih dua kali ganda pada 70 sen daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 28 sen.

Penyenaraian Coraza turut merangkumi tawaran penjualan 21.4 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih menerusi penempatan persendirian.

Berdasarkan modal saham diperbesarkan sebanyak 428.3 juta saham, permodalan pasaran Coraza selepas disenaraikan adalah sebanyak RM119.9 juta.

Pengarah Urusannya, Lim Teik Hoe percaya bahawa COVID-19 akan membawa impak positif terhadap industri semikonduktor dari segi jangka panjang, dengan ramai kini bergerak ke arah pendigitalan dan penggunaan teknologi baharu.

“Coraza menyediakan sokongan kejuruteraan bersepadu kepada pelanggan, kebanyakannya syarikat multinasional besar yang juga peneraju pasaran dalam bidang masing-masing dan membabitkan industri yang memiliki pertumbuhan tinggi seperti semikonduktor, instrumen, sains hayat dan peranti perubatan, telekomunikasi, aeroangkasa serta elektrik dan elektronik.

“Dalam tempoh dua tahun ini, syarikat menyaksikan pertambahan pertanyaan dan tempahan daripada pelanggan sedia ada dan juga yang berpotensi dari seluruh sektor pasaran, khususnya sektor semikonduktor dari dalam negara dan juga ibu pejabat global mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai prospek syarikat, Teik Hoe berkata Coraza merancang untuk menggandakan ruang lantai kilangnya bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah bagi perkhidmatan syarikat.

“Syarikat akan pertama sekali meluaskan kilang sedia ada bagi menempatkan mesin baharu dan perluasan itu dijangka siap bulan ini,” katanya.

Selain daripada itu, beliau berkata Coraza berhasrat untuk membina kilang baharu bertentangan dengan kilang sedia adanya di Nibong Tebal, Pulau Pinang bagi menambah keupayaan pengeluaran dan membolehkan ia menyediakan perkhidmatan baharu kepada pelanggan di masa hadapan.

Katanya, pembinaan kilang baharu ini akan dijalankan dalam tiga fasa, dan disasarkan untuk siap menjelang Disember 2023.

“Bergerak ke hadapan, kami positif terhadap prospek dengan syarikat terus meneguhkan kecekapan dan daya saing di seluruh segmen perniagaan teras yang kami beroperasi,” tambah beliau.

Sumber: Bernama

Coraza manfaat permintaan semikonduktor


Content Type:

Duration:

Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 bakal dilancarkan bagi memacu pembangunan sektor agrikomoditi secara lebih mampan, berdaya saing dan berorientasikan pasaran selaras dengan norma baharu serta peningkatan penggunaan digital pasca-COVID-19, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berucap merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di sini hari ini, beliau berkata DAKN 2021-2023 akan dilancarkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bagi menggantikan Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020.

“Dasar baharu ini yang akan memayungi pembangunan agrikomoditi negara adalah penting agar sektor ini terus berdaya saing dan kekal terpelihara sepanjang zaman,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, DAKN 2021-2030 akan digunakan sebagai rujukan kepada industri komoditi negara dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030.

“Ia akan melahirkan pekebun kecil ‘pintar’ yang mengamalkan pertanian moden menerusi penggunaan teknologi. Dasar ini bakal meningkatkan daya saing usahawan bumiputera dalam sektor industri hiliran agrikomoditi,” katanya.

Beliau berkata pada 2020, sektor agrikomoditi telah menyumbang kira-kira RM85 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang mana sumbangan KDNK huluan agrikomoditi adalah sebanyak RM46 bilion, manakala hiliran mencecah RM38 bilion.

Meskipun pandemik COVID-19 melanda negara, nilai eksport produk agrikomoditi pada 2020 terus kukuh pada RM151.3 bilion, dengan mencatatkan peningkatan kira-kira 17.8 peratus berbanding RM128.5 bilion pada 2019, katanya.

Pada 2021, katanya jumlah eksport agrikomoditi terus memberangsangkan walaupun negara masih berada dalam pandemik COVID-19, dengan sehingga bulan November 2021, pendapatan eksport dianggarkan RM189.8 bilion iaitu meningkat 41.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020.

Menurutnya, prestasi berkenaan banyak didorong oleh peningkatan import di negara pasaran utama selain nilai komoditi yang tinggi khususnya membabitkan produk berasaskan sawit.

Sebagai contoh, katanya jumlah eksport produk berkaitan sawit ke India telah mencatatkan peningkatan yang membanggakan dengan peningkatan eksport melebihi sekali ganda iaitu daripada RM8.5 bilion pada 2020 kepada RM17.8 bilion pada 2021.

Ismail Sabri berkata Malaysia juga muncul sebagai negara pengeluar terbesar dunia bagi sarung tangan getah apabila menguasai 65 peratus pasaran produk berkenaan.

Perdana Menteri juga menaruh harapan tinggi agar sektor agrikomoditi, yang merupakan sumber pendapatan bagi hampir satu juta pekebun kecil, dapat membantu negara menjana semula ekonomi dan mengembalikan kestabilan ekonomi rakyat.

Dalam usaha membangunkan ekonomi, Perdana Menteri berkata Malaysia tidak dapat lari daripada menghadapi pelbagai cabaran terutama sekatan yang dilakukan oleh pihak tertentu terhadap hasil keluaran agrikomoditi negara seperti minyak sawit dan getah.

“Namun demi semangat Keluarga Malaysia, warga KPPK dan agensi dengan dokongan para pemain industri perlu berdiri teguh untuk mempertahankan produk negara agar terus diterima di seluruh dunia dan diangkat kedudukannya,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan memastikan sektor agrikomoditi terus kukuh dan menerusi Bajet 2022, peruntukan kira-kira RM670 juta diberikan kepada KPPK bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Sejak berdekad, katanya sektor agrikomoditi telah menyediakan peluang pekerjaan kepada ramai rakyat Malaysia dan berjaya mengurangkan jumlah keluarga yang dibelenggu kemiskinan.

Menurutnya, kadar kemiskinan nasional pada tahun 1970 adalah pada tahap 49.3 peratus dan telah menurun kepada 5.6 peratus pada tahun 2019 dan beliau percaya penurunan itu sebahagiannya adalah sumbangan daripada sektor agrikomoditi.

Sumber: Bernama

DAKN 2021-2030 pacu sektor agrikomoditi selaras dengan norma baharu, pasca-COVID19


Content Type:

Duration:

PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCG) bakal membina loji melamina berkapasiti 60,000 tan setahun di Gurun, Kedah, sekaligus menjadikannya pengeluar tunggal melamina di Asia Tenggara (SEA).

Syarikat dalam satu kenyataan berkata, loji itu disasarkan mula beroperasi pada tahun 2024.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir Mohd Yusri Mohamed Yusof, berkata projek itu sejajar dengan pelan pertumbuhan PCG untuk berkembang ke derivatif dengan menambah nilai kepada molekul produk sedia ada seperti urea, metanol, poliolefin, dan lain-lain.

PCG, melalui anak syarikat milik penuhnya, PETRONAS Chemicals Fertiliser Kedah (PCFK), akan menggunakan urea yang dihasilkan daripada PCFK sebagai bahan mentah untuk menghasilkan melamina.

“Ini adalah pencapaian penting bagi PCG dan mengukuhkan lagi strategi kami untuk mempelbagaikan portfolio produk kami.

“Dengan menempatkan loji dalam kawasan yang sama dengan PCFK, kami akan dapat memaksimumkan nilai keseluruhan melalui integrasi bahan mentah dan utiliti dengan kemudahan PCFK sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Sumber: Berita Harian

Petronas Chemical bina loji melamina di Gurun


Content Type:

Duration:

Perbadanan Industri Aeroangkasa Kebangsaan Malaysia (NAICO Malaysia), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memacu pembangunan ekosistem industri termasuk memastikan perpaduan serta penyelarasan inisiatif yang dilaksanakan di bawah Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIB) 2030 dan Rangka Kerja Industri Aeroangkasa Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

MAIB 2030 berhasrat untuk meletakkan Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau serta sebahagian daripada rantaian bekalan aeroangkasa global manakala RMK12 memberi tumpuan kepada teknologi digital aeroangkasa, Industri 4.0, ekosistem dan pembangunan modal insan.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebagai agensi pembangunan aeroangkasa negara, NAICO Malaysia akan memanfaatkan pengetahuan rantaian bekalan, pengetahuan teknikal serta pengalaman industri ahli-ahli terkemuka yang akan berkhidmat dalam Lembaga Pemegang Amanah.

“Kerjasama dan perkongsian dengan agensi berkaitan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan ditingkatkan untuk mengembangkan pelaburan aeroangkasa yang strategik serta berkualiti bagi membantu integrasi serantau dan global rantaian bekalan tempatan, yang mana ianya bakal mewujudkan limpahan peluang untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya PKS Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Mohamed Azmin, aeroangkasa merupakan salah satu daripada tiga bidang tumpuan Transformasi Ekonomi Bumiputera di bawah Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi.

Katanya, selain menjadi Pusat Kecemerlangan Aeroangkasa Kebangsaan (COE) bagi menyokong pembangunan ekosistem selaras dengan keperluan industri termasuk membangunkan kepakaran tempatan, NAICO Malaysia akan meningkatkan pembangunan teknologi dan kejuruteraan serta membina kapasiti industri dalam penyelidikan dan inovasi.

“Teknologi canggih dan keupayaan kejuruteraan kepersisan industri aeroangkasa akan berfungsi sebagai pemboleh strategik sambil melengkapkan industri yang relevan seperti elektrik dan elektronik, serta sektor automotif dalam negara.

“Pangkalan data industri aeroangkasa Malaysia yang komprehensif akan menyokong strategi pembangunan industri NAICO Malaysia,” katanya.

MITI juga akan terus menyokong dasar yang berpandangan ke hadapan, inklusif dan mesra perniagaan untuk memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan bagi industri berimpak tinggi, berteknologi canggih dan kejuruteraan kepersisan.

“Sehubungan itu, satu Memorandum Kerjasama dalam Industri Pesawat akan ditandatangani antara Malaysia dengan Jepun untuk meningkatkan kerjasama dua hala antara industri aeroangkasa kedua-dua negara dalam pembuatan, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), penyelidikan teknologi serta pembangunan modal insan.

“Dengan pelaksanaan strategi pembangunan industri yang bersepadu dan diselaraskan, industri aeroangkasa Malaysia akan bersedia untuk menyumbang pendapatan tahunan sebanyak RM30 bilion selain mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang 2025,” katanya, sambil menambah bahawa industri itu mencatatkan perolehan RM16.2 bilion dan pekerjaan berkemahiran tinggi untuk lebih daripada 10,000 pekerja tempatan pada 2019.

Sumber: Bernama

NAICO pacu pembangunan ekosistem industri aeroangkasa


Content Type:

Duration:

Jade Marvel Group Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Jadem Trading Sdn. Bhd. bersama Shandong Xinhai Mining Technology & Equipment Inc. (Xinhai) akan menubuhkan pusat sehenti dan makmal memprosesan mineral bagi memperkukuhkan lagi sektor perlombongan di negara ini.

Ini menyaksikan kedua-dua syarikat memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk membentuk satu kerjasama strategik yang akan meneroka peluang perniagaan dari segi penyelesaian dan pemprosesan mineral, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

Kerjasama terebut sejajar dengan hasrat Jadem Trading untuk meneroka peluang perniagaan dalam industri tersebut dan menubuhkan sebuah makmal pemprosean mineral di Kuantan, Pahang.

Jade Marvel berkata, Xinhai akan menyediakan kepakaran kepada Jadem Trading untuk menubuhkan sebuah makmal yang memiliki peralatan ujian serba canggih menggunakan pelbagai kaedah ujian atau pemprosesan dengan kemudahan sokongan. 

Katanya, kedua-dua pihak akan memanfaatkan rangkaian dan kekuatan pemasaran masingmasing untuk membangunkan pangkalan data pelanggan untuk menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) untuk pembinaan loji pemprosesan mineral dan penjualan/pentauliahan peralatan kepada syarikat perlombongan kecil dan sederhana serta pemilik lombong di negara ini.

“Dengan keupayaan Xinhai untuk membangunkan, mengeluarkan dan membekalkan pelbagai jenis peralatan perlombongan, kami berhasrat untuk bekerjasama membekalkan rangkaian penuh peralatan dan produk berkaitan kepada syarikat perlombongan dan pemilik lombong untuk memenuhi keperluan pengeluaran tempatan melalui Jadem Trading yang bertindak sebagai pengedar Xinhai di Malaysia.

“Malah, kerjasama ini juga bercadang untuk menubuhkan sebuah pusat sehenti yang lengkap dengan galeri pameran dan makmal kepada bakal pelanggan termasuk pemilik dan pelabur dalam projek perlombongan,” katanya.

Xinhai yang ditubuhkan pada 1997 merupakan penyedia penyelesaian penting dalam loji pemprosesan mineral termasuk reka bentuk dan penyelidikan, pembuatan mesin, perolehan peralatan, perkhidmatan pengurusan, operasi lombong dan sumber industri bersepadu.

Setakat ini, Xinhai berjaya melaksanakan beberapa projek perlombongan menerusi operasinya di Asia, Amerika Selatan dan Afrika.

Menurut Jade Marvel, Jadem Trading bercadang untuk mengeksport produk mineral ke China dan melantik Xinhia sebagai wakil pemasarannya di negara tersebut.

“Ini memandangkan Xinhia terbabit dalam pasaran hiliran dalam semua kategori produk mineral di China dan telah lama terlibat dalam perdagangan bijih,” katanya.

Kerjasama tersebut tidak akan memberi kesan kepada terbitan saham modal dan pemegangan saham utama syarikat.

“Ia juga tidak memberi kesan kepada pendapatan sesaham, aset bersih dan gearan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022,” tambahnya.

Sumber: DagangNews

Jade Marvel teroka perniagaan dalam
pemprosesan mineral dengan kerjasama Xinhai


Content Type:

Duration:

Iconic Worldwide Bhd melancarkan pembukaan kemudahan pengeluaran sarung tangan dan pelitup muka yang bernilai RM200 juta di sini.

Pengarah Eksekutifnya, James Tan, berkata syarikat itu yakin permintaan untuk sarung tangan dan pelitup muka akan terus meningkat lebih-lebih lagi dengan kemunculan varian baharu seperti Omicron, di sebalik langkah vaksinasi yang meluas di seluruh dunia.

Katanya, walaupun Iconic Worldwide agak baharu dalam pasaran pembuatan peralatan pelindung diri (PPE), pengiktirafan antarabangsa yang diperolehnya termasuk daripada Pentadbiran Ubat-Ubatan dan Makanan (FDA) Amerika Syarikat (AS) dan permintaan menggalakkan daripada bakal pelanggan, menjadikannya salah satu penerima manfaat utama.

“Kilang ini memulakan operasi pengeluaran sarung tangan getah dengan enam barisan celupan sarung tangan berganda dan akan meningkat kepada 12 barisan celupan sarung tangan berganda menjelang Mac 2022. Selain itu, 20 barisan pengeluaran pelitup muka perubatan beroperasi sejak Julai 2021.

“Kilang yang dibina di atas tanah seluas 2.23 hektar ini dijangka menghasilkan kapasiti pengeluaran minimum sebanyak 3.3 bilion keping sarung tangan dan 220 juta keping pelitup muka pakai buang setahun.

“Kumpulan sudah menerima tempahan besar-besaran untuk sarung tangan dan pelitup muka kebanyakannya dari AS, Eropah, Afrika dan Asia, yang meletakkan Iconic Worldwide di landasan yang betul untuk menjadi peserta utama dalam pasaran global dalam tempoh lima tahun ini,” katanya pada majlis pelancaran kilang itu di sini, pada Sabtu.

Pelancaran kilang berautomasi tinggi itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Iconic Worldwide, Datuk Tan Kean Tet.

Perasmian kilang itu dibuat dalam tempoh kurang sebulan selepas Iconic Worldwide memperoleh kelulusan pemberitahuan prapasaran 510 (k) FDA AS untuk mengedarkan sarung tangan gred perubatan di seluruh negara itu.

Pada suku ketiga dan keempat tahun kewangan semasanya, Iconic Worldwide akan menghantar kira-kira 500 juta keping sarung tangan nitril ke AS, Eropah, Afrika, Timur Tengah dan Asia Tenggara.

Tan berkata, bagi tahun kewangan 2022 yang berakhir 31 Mac 2022, syarikat mengunjurkan yang segmen PPE akan menyumbang kira-kira 25 peratus kepada pendapatan kumpulan, manakala 60 peratus oleh hartanah dan lima peratus daripada pelancongan.

“Namun, menjelang tahun kewangan 2023, segmen PPE akan menyumbang 70 peratus kepada pendapatan kumpulan, 25 peratus oleh hartanah dan selebihnya daripada segmen pelancongan.

“Ketika ini, sumbangan daripada pelitup muka dan sarung tangan getah kepada pendapatan kumpulan adalah seimbang iaitu 50:50, namun selepas barisan celupan sarung tangan berganda meningkat kepada 12 daripada enam, sarung tangan getah akan menjadi penyumbang utama iaitu 80 peratus manakala selebihnya daripada pelitup muka,” katanya.

Beliau menambah, Iconic Worldwide turut merancang untuk melabur kira-kira RM20 juta lagi bagi menjadikan proses automasi di kilang kepada 100 peratus berbanding 80 peratus ketika ini.

“Proses itu dijangka akan mengambil masa setahun untuk dilaksanakan dan pelaburan akan menggunakan dana dalaman kumpulan,” katanya.

Mengenai perancangan untuk projek hartanahnya pada tahun ini, beliau berkata kumpulan bercadang untuk melancarkan projek perumahan bertingkat mampu milik di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada pertengahan 2022i.

“Projek hartanah bercampur yang akan turut mengandungi lot komersial ini akan menawarkan 700 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM200 juta,” katanya.

Iconic Worldwide ketika ini mempunyai simpanan tanah sebesar 20.23 hektar di Melaka, Port Dickson, Negeri Sembilan, Johor dan Pulau Pinang.

Sumber: Berita Harian

Kilang PPE Iconic Worldwide penuhi permintaan global


Content Type:

Duration:

Pecca Group Bhd (Pecca), menerusi anak syarikat milik penuhnya Pecca Leather Sdn Bhd (PLSB) memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersama UMW Development Sdn Bhd untuk membeli sebidang tanah perindustrian pegangan pajak kosong seluas 4.31 ekar pada harga RM8.45 juta.

Terletak di Serendah, Selangor, tanah itu adalah sebahagian pembangunan bercampur kediaman, komersial dan perindustrian dikenali sebagai UMW HVM Park.

Ia taman perindustrian yang dibangunkan khas bagi aktiviti pengeluaran industri-industri seperti penjagaan kesihatan dan automotif, sektor Pecca bergiat di dalamnya.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, Pecca berkata pembinaan bangunan kilang itu akan menepati reka bentuk bernilai tinggi dan spesifikasi yang sejajar dengan keperluan di bawah pelan induk UMW HVM Park.

Sumber: Bernama

Pecca beli tanah di Serendah


Content Type:

Duration:

V.S. Industry Bhd (VS) memperuntukkan perbelanjaan modal berjumlah kira-kira RM150 juta bagi mengembang dan meningkatkan kapasiti dan keupayaannya.

Pengarah Urusannya Datuk SY Gan berkata kumpulan itu membelanjakan RM30.0 juta untuk membeli tiga bidang tanah bersebelahan seluas 3.6 hektar di Senai, Johor bagi tujuan pengembangan masa depan pada November 2021.

“Tumpuan utama kami masih kepada menyediakan serahan berkualiti yang tepat pada masa kepada pelanggan kami sambil mengekalkan pelaksanaan standard yang sangat baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, kumpulan juga akan melaburkan usaha dan sumber untuk mengukuhkan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Secara keseluruhannya, kami optimistik dalam berhati-hati terhadap prospek kami berdasarkan faktor-faktor yang dinyatakan di atas, selain peka kepada cabaran,” katanya.

Pada tahun kewangan 2021, kumpulan itu  meneruskan amalan pembayaran dividen suku tahunannya, dengan pembayaran dividen berjumlah RM113.8 juta, berdasarkan keuntungan bersihnya sebanyak RM245.4 juta.

Sehingga 1.35 petang, harga saham VS berada pada RM1.34 dengan 2.25 juta unit diniagakan.

Sumber: Bernama

V.S. Industry peruntuk RM150 juta perbelanjaan modal bagi pengembangan


Content Type:

Duration:

Malaysia memerlukan pembangunan bakat yang komprehensif bagi menampung permintaan yang semakin meningkat dalam industri elektrik dan elektronik (E&E).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Penggalakan Pelaburan dan Pemudahcara) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sivasuriyamoorthy Sundara Raja, berkata lonjakan industri E&E, terutama semikonduktor di Malaysia memberi impak kepada permintaan yang berterusan kepada tenaga kerja.

Beliau berkata, kedudukan Malaysia sebagai hab utama sektor semikonduktor global turut menyebabkan banyak syarikat antarabangsa mengembangkan serta membuka kemudahan mereka di negara ini.

“Apabila kedudukan semakin kukuh sebagai hab pelaburan E&E dengan pembukaan lebih banyak kemudahan di Malaysia, ia turut membuka peluang kepada penciptaan pekerjaan.

“Sudah semestinya, pembangunan bakat itu elemen yang penting kerana kita mahukan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi.

“Persediaan awal juga perlu sedari dari peringkat universiti lagi bagi memastikan bakat tempatan kita mempunyai kemahiran yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Micron Technology Inc dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Yang turut hadir ,Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman; Naib Presiden Korporat dan Pengurus Negara Micron Malaysia, Amarjit Singh Sandhu dan Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

Sivasuriyamoorthy berkata, kerjasama antara sektor awam dan swasta adalah sangat diperlukan terutama dari firma antarabangsa seperti Micron dengan universiti atau agensi kerajaan.

Beliau berkata, kerjasama ini perlulah merangkumi pembangunan modal insan untuk tenaga kerja masa hadapan, kerjasama penyelidikan dan pembangunan, pengembangan sumber tempatan, memacu penggunaan Industri 4.0 oleh pemain ekosistem E&E serta pelaksanaan pelbagai program lain yang berkaitan.

Katanya, MIDA juga melaksanakan pelbagai program bagi pembangunan serta peningkatan bakat di Malaysia sejak beberapa tahun lalu.

“Program pembangunan serta peningkatan bakat ini adalah satu keperluan ketika ini. Kita perlu memastikan Malaysia mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang bersedia melangkah ke arah yang lebih baharu,” katanya.

Mengulas mengenai MOU antara Micron dan USM, Naib Presiden Korporat dan Pengurus Negara Micron Malaysia, Amarjit Singh Sandhu, berkata syarikat menyedari kepentingan dalam pembangunan bakat dan penyelidikan.

Lantaran itu, katanya Micron melaksanakan pelaburan bernilai RM1 juta bagi mengukuhkan kerjasama, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam tempoh lima tahun akan datang dengan universiti tempatan.

Beliau berkata, pembiayaan serta geran itu akan menyokong penyelidikan dalam bidang semikonduktor, pembuatan pintar dan kepintaran buatan, yang menjadi kunci utama kepada kemajuan industri pembuatan teknologi Malaysia.

Sumber: Berita Harian

Industri E&E di Malaysia perlukan bakat tempatan


Content Type:

Duration:

Gemilang International Limited (GML), pengeluar bas dan badan bas terkemuka Asia yang berpangkalan di Johor dijangka menghantar 140 unit bas sekolah elektrik sepenuhnya ke California, Amerika Syarikat (AS) tahun ini.

Ia langkah syarikat berkenaan untuk mempromosikan penggunaan penyelesaian mesra alam untuk bas dan badan bas.

GML berpengalaman selama lebih 30 tahun mereka bentuk dan mengeluarkan badan bas.

Projek terkenalnya baru-baru ini termasuk Transit Aliran Bas Iskandar Malaysia (IMBRT), bas bandar elektrik pertama Sarawak untuk Metro Kuching dan projek perintis bas elektrik oleh kerajaan Sabah untuk pengangkutan awam.

Ia membekalkan bas aluminium untuk pengendali bas Go KL, Rapid KL, Rapid Pulau Pinang dan bas pengantara MRT untuk tempoh 13 tahun lalu

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GML, Pang Chong Yong berkata, syarikat yang disenaraikan di Hong Kong itu membekalkan bas elektrik (EV) ke AS sejak 2016, walaupun pasaran masih menggunakan kenderaan berkuasa bahan api fosil.

“Malah, GML membekalkan badan bas untuk pelbagai pengeluar EV seperti BYD dan CRRC untuk dipasarkan ke beberapa pasaran termasuk Malaysia, Singapura, Australia sejak 2015.

“Kami jangka lebih banyak negara mengikuti peralihan kepada EV sebagai peningkatan komitmen iklim yang diumumkan oleh kerajaan di seluruh dunia,” katanya.

Chong Yong berkata, tempahan 120 unit bas sekolah sepanjang 12 meter dan 20 unit lagi sepanjang 7.5 meter adalah luar biasa bukan hanya kerana ia menjadi satu kejayaan untuk pasaran AS, tetapi ia juga membabitkan kuantiti terbesar daripada satu pesanan bas EV yang pernah diterima olehnya.

“Pasaran bas sekolah EV di AS sangat besar dengan aspek pertumbuhan berpotensi. Ini adalah hasil daripada Perjanjian Infrastruktur Bipartisan (Akta Pelaburan Infrastruktur dan Pekerjaan) diumumkan baru-baru ini yang ditandatangani menjadi undang-undang oleh Presiden AS, Joe Biden, dengan memperuntukkan AS$2.5 bilion (kira-kira RM10.5 bilion) untuk membeli bas sekolah elektrik untuk daerah sekitar AS.

“Dengan rancangan baharu untuk menukar semua 500,000 bas sekolah AS kepada kenderaan emisi sifar, kami yakin dapat menguasai lebih banyak bahagian pasaran dengan pengalaman industri selama tiga dekad kami serta kelebihan daya saing utama membabitkan struktur aluminium super ringan,” katanya.

Katanya, GML memberi tumpuan kepada membina badan bas dan bas yang mesra alam, selain menggunakan penyelesaian badan aluminium selama lebih daripada 20 tahun.

“Teknologi ringan, bebas kakisan berasal dari Switzerland dan sudah dibuktikan oleh pelanggan kami dari lebih 15 pasaran di seluruh dunia.

“Biasanya, bas kami tahan lebih lama dan dianggap lebih selamat daripada bas berbadan keluli. Saya gembira kerana ini membantu kami mengembangkan jejak di pasaran AS,” katanya.

Sumber: Harian Metro

GML hantar 140 bas ke California


Content Type:

Duration:

Industri minyak sawit, penyumbang keempat terbesar kepada ekonomi, dijangka mengekalkan prestasi 2021 pada tahun ini disokong oleh pelbagai usaha pemasaran dan promosi yang akan dijalankan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta agensinya.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata beliau optimis bahawa industri itu akan dapat mencapai matlamatnya dengan pengeluaran minyak sawit yang dijangka mencapai kira-kira 20 juta tan.

“Kita masih mempunyai potensi untuk mencapai jumlah itu dan kita masih mampu memenuhi pasaran minyak sayuran global.

“Dengan bekalan yang rendah dalam persekitaran permintaan yang tinggi, kita masih dapat menikmati harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi,” katanya kepada pemberita pada Reach and Remind, Friends of the Industry Seminar 2022 and Dialogue anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) hari ini.

Beliau berkata kejayaan dan pencapaian pada tahun lepas disertai dengan cabaran baharu.

“Susulan penutupan sempadan di peringkat global akibat COVID-19, mendapatkan tenaga kerja asing menjadi sukar,” katanya.

Beliau berkata pengeluaran minyak sawit terjejas teruk sejak kekurangan pekerja di ladang, dianggarkan sebanyak 75,000, menyebabkan aktiviti penuaian tertangguh dan mengurangkan kualiti tandan buah yang dituai.

Bagi mengatasi masalah itu, katanya kerajaan bersetuju untuk mengambil 32,000 pekerja asing dengan pematuhan ketat SOP yang digariskan.

Katanya walaupun terdapat halangan sama yang mungkin dihadapi oleh industri pada tahun ini, penggiat industri optimis mereka akan dapat mencapai tahap pengeluaran pada tahun ini untuk memenuhi pasaran semasa seperti India dan China serta menyokong hasrat kerajaan untuk menembusi pasaran baharu.

Sementara itu, Zuraida berkata 2022 juga akan menjadi tahun untuk kementerian memperkukuh usaha promosinya bagi pengiktirafan global Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai standard kemampanan Malaysia.

“Program pemasaran dan promosi 360 darjah untuk memastikan pemahaman mengenai MSPO akan dijalankan, daripada libat urus dengan pegawai utama kerajaan, seminar dan perbincangan dengan persatuan perdagangan serta sektor hotel, restoran dan kafe (HORECA) serta jerayawara dan pengiklanan media sosial untuk pengguna umum.

“Kami melihat ini sebagai usaha jangka panjang yang akan bermula dengan negara-negara jiran kita dan impaknya akan dapat dilihat pada produk yang membawa logo MSPO kita, satu petunjuk bahawa standard kemampanan telah mendapat kedudukan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata pada Mei ini, empat negara baharu — Colombia, Ghana, Honduras dan Papua New Guinea, akan menjadi ahli penuh Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).

Katanya penyertaan ahli baharu akan meningkatkan kredibiliti dan keupayaan organisasi itu untuk meneruskan kepentingan minyak sawit dan menyuarakan pendiriannya terhadap layanan tidak adil Kesatuan Eropah terhadap industri minyak sawit.

“Kami berharap CPOPC akan menekankan keperluan kerjasama untuk mencapai matlamat bersama dan mempertahankan industri daripada persepsi negatif yang berulang dan dakwaan palsu demi menjaga kepentingan negara anggotanya,” katanya.

Sehingga November 2021, jumlah eksport minyak sawit Malaysia dan derivatifnya sebanyak 22.14 juta tan dan berikutan harga minyak sawit yang tinggi, jumlah hasil meningkat sebanyak 40 peratus kepada RM91.4 bilion berbanding 2020.

India mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi nombor satu untuk eksport minyak sawit Malaysia dengan 3.2 juta tan.

Sumber: Bernama

Industri minyak sawit kekalkan prestasi positif pada 2022 – Zuraida


Content Type:

Duration:

wpChatIcon