Berita Industri Archives - Page 18 of 29 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Melaka terima pelaburan RM1 bln bagi industri kereta elektrik

Melaka bakal menerima pelaburan bernilai RM1 bilion membabitkan industri automotif termasuk pembinaan sebuah kilang pemasangan kereta elektrik pertama di negara ini di kawasan Perindustrian Elkay Lipat Kajang, Jasin.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata pelaburan itu melibatkan syarikat bumiputera tempatan, Fieldman EV Sdn Bhd (FEV) yang juga anak syarikat Fieldman Sdn Bhd dan pembinaan kilang di kawasan seluas kira-kira 200 hektar itu dijangka bermula dalam masa dua tahun.

Beliau berkata usaha itu akan menawarkan 5,000 peluang pekerjaan baharu serta mewujudkan industri hiliran untuk industri automatif tempatan selain pemindahan teknologi kereta elektrik yang mampu meningkatkan lagi ekonomi Melaka.

“FEV mendapat hak eksklusif dari syarikat automotif China, Changan Automobile Corporation (Changan) yang melibatkan pengedaran kereta elektrik bagi pemanduan sebelah kanan di Malaysia dan pasaran rantau Asia Tenggara.

“Syarikat FEV juga berhasrat untuk melancarkan kereta elektrik serta berminat membina kilang pemasangan di Melaka bersama syarikat-syarikat tempatan dengan bantuan teknologi syarikat Changan.

“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan kerjasama dengan syarikat ini yang bakal memberi manfaat jangka panjang dengan memantapkan lagi perkembangan industri automatif di Melaka,“ katanya kepada pemberita di Seri Negeri di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan majlis penyerahan kereta dan beca elektrik daripada FEV kepada kerajaan negeri yang disampaikan oleh Pengarah Eksekutif, Razmi Shah Othman.

Fieldman Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat bumiputera yang diasaskan pada April 2010 dan turut terbabit dalam aktiviti perniagaan seperti minyak sawit, pembuatan plastik dan urus niaga komoditi.

Ia menubuhkan FEV pada April 2018 dalam usaha mengembangkan aktiviti perniagaan selain memastikan syarikat itu kekal mampan.

FEV telah merangka pelan jangka panjang selama tujuh tahun bermula 2018 berkaitan usaha-usaha perkembangan teknologi dan pemasangan kereta elektrik di Melaka.

Sumber: Bernama

Melaka terima pelaburan RM1 bln bagi industri kereta elektrik


Content Type:

Duration:

Kerajaan Sabah hari ini melancarkan Pelan Induk Gas Sabah dengan kerjasama Petrolium Nasional Berhad (Petronas) yang memfokuskan kepada tiga aspek utama dalam usaha memacu pelaburan sumber gas asli di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata aspek pertama dalam pelan induk berkenaan ialah pembinaan loji gas asli cecair (LNG) dengan kapasiti 2.0 juta tan setahun (MTPA) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Beliau berkata kemudahan LNG itu akan memberi peluang untuk mengembangkan pengedaran LNG di Sabah termasuk aktiviti seperti sistem saluran paip maya, membolehkan lebih banyak perniagaan perindustrian dan komersial mengakses serta menggunakan gas asli sebagai sumber tenaga yang lebih bersih.

“Keduanya, kerajaan negeri akan mengambil peranan yang lebih menonjol dalam menerajui aktiviti pemasaran dan pengedaran di Sabah, dengan 120 juta kaki padu standard sehari (MMscfd) bekalan gas akan disediakan bagi pembangunan industri utama di negeri ini,” katanya pada majlis pelancaran Pelan Induk Gas Sabah, Perjanjian Induk Bekalan Gas Asli (HOA) dan Perasmian Menara Petronas 2, di sini ,hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata gas asli berkenaan akan dibekalkan dari Terminal Minyak dan Gas Sabah di Kimanis dan Terminal Gas di Tuaran melalui pemeteraian perjanjian induk (HOA) antara Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) dan Petronas untuk membekalkan 70 MMscfd gas asli serta pertukaran dokumen HOA untuk 50 MMscfd bekalan gas asli bagi kegunaan di Sabah.

Manakala pelan ketiga menekankan set derivatif pilihan petrokimia untuk Sabah bagi menarik pelabur berdasarkan keperluan pasaran dan prospek masa depan iaitu memanfaatkan bahan mentah yang sedia ada di dalam negara.

Terdahulu beliau  merasmikan menara baharu Petronas 2 setinggi 11 tingkat bernilai RM190 juta yang dibina sejak Mac 2016  dan siap pada April tahun lepas, menghubungkan menara Petronas sedia ada serta mempunyai dewan serba guna dan bilik mesyuarat.

Pada majlis itu Hajiji bersama Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun turut menyaksikan penyerahan buku Pelan Induk Gas Sabah daripada Naib Presiden Kanan, Strategi Korporat Petronas Mazuin Ismail kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong.

Sementara itu bagi perjanjian HOA, Petronas diwakili Naib Presiden Kanan, Pengurusan Petroleum Malaysia Mohamed Firouz Asnan manakala SEC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Harun Ismail.

Dalam pada itu, Mohd Bakke berkata beliau yakin pelan induk berkenaan akan membuka satu lagi lembaran baharu kerjasama antara kerajaan negeri dan Petronas untuk membangunkan ekonomi Sabah  supaya menjadi lebih berdaya saing dan makmur.

Mengambil contoh SOGIP, Mohd Bakke berkata, kerajaan negeri mempunyai peluang untuk memperluaskan liputan pengagihan gas asli dengan menggunakan sistem paip maya yang akan membolehkan lebih ramai pengguna memanfaatkan sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan walaupun terletak jauh dari jaringan paip gas asli fizikal yang sedia ada.

“Harapan kita adalah supaya pelabura hiliran ini akan membuka peluang sinergi dengan sektor lain seperti pertanian dan pembuatan sekali gus mengukuhkan daya maju ekonomi negeri Sabah,” katanya.

Sumber: Bernama

Kerajaan Negeri Sabah, Petronas lancarkan Pelan Induk Gas Sabah


Content Type:

Duration:

Malaysia merupakan antara lima daripada tujuh negara ASEAN yang mencatatkan peningkatan persekitaran  pembuatan pada bulan terakhir 2021, demikian menurut data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) IHS Markit.

Semalam, IHS Markit berkata PMI pembuatan Malaysia meningkat kepada 52.8 pada Disember 2021 daripada 52.3 pada November yang menandakan peningkatan kukuh sektor terbabit.

Berikutan itu, prestasi purata bagi suku akhir berkenaan menjadi suku paling kukuh sejak tinjauan itu dimulakan pada 2012.

Menurut IHS Markit, persekitaran pembuatan ASEAN juga terus merekodkan pemulihan yang ketara pada Disember.

“Output dan tempahan baharu meningkat semula dengan kadar pertumbuhannya menghampiri paras kemuncak pada Oktober lepas.

“Kekangan bekalan pada masa ini turut menyumbang kepada langkah-langkah inflasi lebih ketara, namun kadar kos dan inflasi harga output terus meningkat pada bulan itu dan kekal menjadi antara yang paling kukuh pernah dicatatkan,” katanya dalam nota tinjauannya hari ini.

IHS Markit berkata, PMI utama itu kekal melebihi paras neutral 50.0 pada Disember dan menunjukkan tahap peningkatan bulanan sektor pembuatan ASEAN untuk bulan ketiga berturut-turut.

Malah, kenaikan daripada 52.3 pada November kepada 52.7 pada Disember lepas juga menjadi petunjuk peningkatan tahap yang kedua terpantas pernah dicatatkan.

Pertumbuhan itu didahului oleh Singapura dengan PMI utamanya mencecah paras tertinggi pada 58.0 (sepertimana April 2013) yang menunjukkan kenaikan secara menyeluruh yang ketara manakala Indonesia merekodkan peningkatan persekitaran untuk bulan keempat berturut-turut.

PMI negara itu (53.5) susut daripada kenaikan dicatatkan pada Oktober lepas namun tetap menunjukkan kadar pengembangan yang ketara.

Malaysia dan Vietnam mencatatkan pemulihan yang kukuh pada Disember 2021.

Di Malaysia, PMI tersebut meningkat kepada 52.8 — paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan dan menunjukkan peningkatan kukuh sektor pembuatan manakala Vietnam mencatat 52.5 iaitu yang tertinggi sejak Mei lepas.

Sumber: Bernama

Malaysia antara lima negara ASEAN catat peningkatan PMI pada Disember 2021


Content Type:

Duration:

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) IHS Markit yang menjadi petunjuk tunggal komposit bagi prestasi pembuatan, meningkat kepada 52.8 pada Disember 2021 daripada 52.3 dalam bulan sebelumnya, mencerminkan peningkatan kukuh sektor terbabit.

Berikutan itu, prestasi purata bagi suku akhir berkenaan adalah suku paling kukuh sejak tinjauan itu dimulakan pada 2012, kata IHS Markit dalam nota penyelidikannya.

Menurutnya, berdasarkan kaitan antara PMI dan statistik rasmi, angka terbaharu itu menjadi petunjuk dari segi pengembangan kukuh pengeluaran pembuatan dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan tinjauan itu turut memaparkan pemulihan meluas daripada impak akibat COVID-19.

Ia berkata, data Disember itu menunjukkan peningkatan output bagi bulan ketiga, yang mana tahap pengembangannya adalah sederhana namun terpantas sejak April lalu.

Justeru, katanya kalangan syarikat atau firma menyifatkan pengukuhan ini didorong oleh peningkatan permintaan berikutan kelonggaran sekatan akibat pandemik.

“Jumlah tempahan baharu turut meningkat pada akhir 2021 dengan kadar pertumbuhan mencecah paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan.

“Firma-firma itu berkata peningkatan keyakinan pelanggan juga mendorong permintaan di peringkat pasaran domestik mahupun luar.

“Pada masa sama, jualan eksport baharu kembali ke paras pengembangan pada Disember berikutan pengukuhan permintaan di Amerika Syarikat (AS) dan China yang turut menyumbang kepada kenaikan dalam perniagaan baharu dari luar negara,” katanya.

Ahli Ekonomi IHS Markit, Usamah Bhatti, berkata kelonggaran sekatan akibat COVID-19, mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh sektor pembuatan Malaysia selain membantu dari segi memacu momentum pertumbuhan pada Disember 2021.

“Bacaan purata PMI utama bagi suku keempat itu adalah prestasi suku tahunan paling kukuh dicatatkan sejak tinjauan itu dimulakan pada Julai 2012 dengan pertumbuhan output dan tempahan baharu masing-masing mencecah paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan.

“Namun, persekitaran operasi kekal mencabar berikutan isu kelewatan rantaian bekalan selain kekurangan pekerja yang dilaporkan membabitkan keseluruhan sektor itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, apa yang menggalakkan adalah unjuran perniagaan bagi tahun ini secara keseluruhannya kekal kukuh dengan satu perlima syarikat menyuarakan optimis bahawa situasi terburuk pandemik itu sudah berakhir.

“Tahap optimis itu mereda pada November apabila prospek (prestasi) terus dibayangi ketidaktentuan akibat tempoh gangguan membabitkan rantaian bekalan, kekurangan bahan mentah serta impak akibat varian baharu COVID-19,” katanya.

Sumber: Bernama

Sektor pembuatan Malaysia terus mengukuh


Content Type:

Duration:

Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat mempelbagaikan industri elektrik dan elektroniknya (E&E) sebagai tarikan utama untuk menarik minat pelabur asing melabur di negeri itu selain meningkatkan peluang pekerjaan bagi tahun 2022.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata industri tersebut sememangnya dilihat mampu berkembang lebih maju dan berdaya saing pada tahun ini berikutan pulangan hasil yang positif daripada pelaburan asing sejak kebelakangan ini terutamanya pada 2019 dan 2020 yang mencecah RM30 bilion meskipun dunia sedang berdepan gangguan rantaian bekalan disebabkan pandemik COVID-19.

“Kita mahu mempelbagaikan pelaburan kerana selama ini sektor E&E adalah tarikan utama, jadi kita mahu memaksimumkan pulangan dalam E&E untuk berkembang ke sektor berkaitan seperti peralatan perubatan serta penggunaan teknologi baharu bagi memastikan sektor perkhidmatan berkembang seiring kerana bagi tempoh dua (ke) tiga dekad ini sektor perkhidmatan dan pembuatan merupakan ‘twin engine of growth’ (jentera berkembar pertumbuhan).

“Selain daripada hendak kekalkan (perkembangan sektor perkhidmatan dan pembuatan), kerajaan negeri komited untuk mempromosikan sektor tersebut dengan menumpukan kepada penggunaan teknologi yang lebih maju iaitu ekonomi digital,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program City Walk 1.1.2022 anjuran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Padang Kota Lama di sini, hari ini.

Chow berkata kedatangan pelabur asing yang berpotensi ke Pulau Pinang pada tahun ini dilihat mampu meningkatkan peluang pekerjaan bagi tempoh beberapa tahun akan datang.

Justeru beliau  menyarankan setiap pemain industri untuk mengkaji semula tangga gaji dalam beberapa sektor pekerjaan termasuk bidang profesional, jurutera, juruteknik dan sebagainya agar tenaga mahir dapat kekal dengan sesebuah syarikat bagi tempoh jangka panjang.

“Kita tidak mengabaikan faktor-faktor penting ini kerana ingin menyempurnakan satu ekosistem yang berdaya saing serta seimbang dan pada masa yang sama kita mahu memastikan ada pakar dan tenaga mahir yang mencukupi bagi mengisi peluang pekerjaan yang wujud di Pulau Pinang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Chow turut mengumumkan MBPP  melantik P. A Ranjendran sebagai setiausaha bandaraya  baharu  berkuatkuasa hari ini bagi menggantikan Datuk Addnan Mohd Razali yang telah tamat kontraknya setelah berkhidmat dengan pihak berkuasa tempatan itu lebih 30 tahun.

“Dengan pelantikan tersebut, MBPP dan kerajaan negeri berharap Rajendran yang sudah berkhidmat dengan MBPP selama 36 tahun diharap dapat menyokong dasar MBPP dan kerajaan negeri dalam melaksanakan segala misi dan visi untuk tempoh ini dan masa hadapan,” katanya.

Sumber: Bernama

Pulau Pinang mahu pelbagai industri E&E tarik pelaburan asing – Chow


Content Type:

Duration:

KUALA LUMPUR, 31 Dis  — Sektor pembuatan mesin dan peralatan Malaysia kekal kukuh dan komited untuk menyediakan perkhidmatan dan produk berkualiti meskipun gangguan perdagangan global, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Agensi penggalakan perdagangan negara itu berkata industri mesin telah berubah daripada fabrikasi am dan kerja-kerja mesin kepada pemasangan modul dan komponen mesin canggih termasuk pembuatan jentera berat dan komponen kejituan. 

MATRADE berkata industri mesin dan peralatan (M&E) merupakan  sektor eksport ketujuh terbesar Malaysia menyumbang  US$9.41 bilion (US$1=RM4.17), atau empat peratus daripada jumlah eksport pada 2020.

Sepuluh destinasi eksport utama bagi industri M&E Malaysia termasuklah Singapura, Amerika Syarikat, China, Indonesia, Vietnam, Thailand, Jepun, Australia, Jerman dan Taiwan.

“Keupayaan M&E Malaysia terutamanya adalah dalam empat subsektor termasuk mesin proses khas atau peralatan bagi industri khusus; mesin dan peralatan menjana kuasa; mesin dan peralatan industri am, komponen dan bahagian-bahagian serta mesin , komponen dan bahagian-bahagian industri am dan mesin kerja logam.

“Ia juga merangkumi pembuatan kategori meluas produk termasuk peralatan pemanasan dan penyejukan, automasi kilang, pam, pemampat, kilang penyaman udara, peralatan bilik sejuk, lif, kren, sistem penghantar dan mesin kimpalan. Malaysia ketika ini merupakan satu daripada pengeksport peralatan penyaman udara terbesar di dunia,” kata agensi itu.

MATRADE berkata keupayaan lain termasuk alatan dan bahagian mesin pembuatan bagi kerja logam termasuk mesin pemotong laser, pusat mesin, Mesin Nyahcas Elektro (EDM), mesin pengilangan dan penempaan.

Malaysia juga terkenal sebagai pengeluar peralatan semikonduktor dan merupakan pengeluar  kesepuluh terbesar dunia dengan elektrik dan elektronik menjadi sektor terbesar. Ini membantu meletakkan Malaysia sebagai pusat pengeluaran bagi syarikat elektronik utama dunia, katanya.

Sektor mesin dan bahagian-bahagian juga cemerlang dalam peralatan pengeluaran laut dalam bagi industri minyak dan gas, pengeluaran penyelesaian automasi robotik bagi industri makanan dan minuman, peralatan acuan kejituan dan penjanaan kuasa. 

Malaysia juga menghasilkan set penjanaan bagi stesen kuasa, kilang penapis, platform eksplorasi, loji petrokimia dan bangunan komersial.

“Industri M&E Malaysia sangat kompetitif dan sentiasa berinovasi dengan teknologi dan automasi paling canggih. Kita giat meneroka teknologi Industri 4.0 bagi membentuk semula aktiviti pembuatan kita menerusi penerimagunaan pendigitalan dan transformasi teknologi.

“Peluang yang tercipta daripada revolusi ini telah menarik banyak syarikat kecil dan sederhana Malaysia untuk menghasilkan penyelesaian inovatif mereka sendiri yang dipasarkan di seluruh dunia,” katanya.

Justeru, Malaysia telah menjadi destinasi pilihan bagi perbadanan multinasional (MNC) untuk membuat penyumberan luar proses pembuatan dan penyelesaian automasi mereka di ASEAN, berikutan ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam menyokong aktiviti industri, penyelidikan dan pembangunan serta reka bentuk kejuruteraan.

“Malaysia menawarkan bekalan dan perkhidmatan kompetitif dalam kejuruteraan M&E, reka bentuk produk dan pembangunan teknologi serta operasi perniagaan kepada MNC ini,” kata MATRADE.

Sumber: Bernama

Sektor pembuatan mesin dan peralatan Malaysia kekal kukuh


Content Type:

Duration:

Pelaksanaan Garis Panduan Pengimportan dan Pemeriksaan Logam Sekerap dan Kertas Buangan akan bermula pada 10 Jan, 2022, demikian menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Sehubungan itu, MITI menerusi kenyataannya hari ini,  berkata pendekatan interim atau sementara bagi pelaksanaan garis panduan bagi pengimportan dan pemeriksaan logam sekerap bagi kod HS 7204 (ferus sekerap), 7404 (tembaga sekerap) dan 7602 (aluminium sekerap) akan dilaksanakan sehingga 9 Januari depan.

“MITI menghargai komitmen semua pengeluar dan pengimport utama dalam mematuhi garis panduan itu sepanjang tempoh interim tersebut.

“Oleh itu, MITI menggesa penggiat industri untuk terus menyokong objektif garis panduan berkenaan dalam mematuhi komitmen antarabangsa kita sebagaimana digariskan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah matlamat 12 iaitu memastikan corak pengeluaran dan penggunaan mampan selain menegakkan prinsip-prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus,” katanya.

Pada November lepas, kementerian itu telah mengumumkan lanjutan tempoh pelaksanaan langkah interim berkenaan sehingga 31 Dis, 2021.

Sumber: Bernama

Garis panduan import dan pemeriksaan logam sekerap, kertas buangan bermula 10 Jan – MITI


Content Type:

Duration:

DSR Taiko Bhd menyasar untuk memasarkan durian Musang King ke 15 negara pada awal tahun 2022 di bawah jenama D MasKing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ng Lian Poh, berkata antara negara yang akan menjadi destinasi eksport durian itu ialah China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Singapura, Indonesia dan Afrika Selatan.

Katanya, setakat ini industri durian kebanyakannya mengeksport isi durian semata-mata, namun pihaknya cuba mengambil langkah ke depan dengan memasarkan durian segar ke luar negara.

“Kami berterima kasih kerana dapat bekerjasama dengan agensi kerajaan utama untuk membawa citarasa tersendiri Malaysia kepada dunia. Dengan sokongan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), kami secara agresif menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan membuka pasaran luar negara baharu melalui kedai sedia ada Daily Fresh untuk memikat selera global.

“Ini akan membantu kami memanfaatkan potensi pasaran produk durian hiliran yang besar. Tambahan, perkongsian kami dengan SIRIM Tech Venture akan membolehkan kami membangunkan penyelesaian perniagaan kebun-ke-pengguna (O2C) yang holistik untuk membangunkan piawaian industri sulung untuk durian Musang King, serta Sistem Penjejakan Bersepadu Musang King (MKITS) untuk meningkatkan kebolehkesanan produ.

“Ini juga adalah selaras dengan moto kami, ‘Origin Matters’ dan adalah perkongsian awam dan swasta yang sempurna untuk meningkatkan taraf industri perladangan durian untuk mengesahkan keaslian raja buah buatan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan kedai mercunya, D.MasKing di Bukit Bintang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Bhd, Datuk Dr Ahmad Sabirin.

Kedai baharu DSR itu menawarkan produk durian istimewa seperti piza durian, bertih jagung truffle durian, Gelato Musang King, serta isian gelato Musang King dalam croissant, puff, wafel dan tart.

Sementara itu Arham berkata, salah satu etos MIDA adalah menjadi saluran yang berkesan untuk usaha pembangunan produk oleh syarikat Malaysia, bermula daripada permulaan R&D sehingga merangsang pengkomersilan dan jangkauan pemasaran di dalam negeri dan pasaran antarabangsa.

“MIDA melalui Platform Penyelarasan Pelaburan Domestik (DICP) telah berjaya membantu banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan tempatan termasuk DSR untuk meneruskan rancangan perniagaan mereka dengan menyediakan sambungan yang hilang antara perniagaan, pembiayaan, teknologi dan keupayaan penyelidikan.

“Kami berbangga untuk memainkan peranan dalam memudahcarakan senario semua pihak menang yang akan menjadi kebanggaan negara,” katanya.

Sumber: Berita Harian

DSR Taiko eksport Musang King ke 15 negara


Content Type:

Duration:

Firma Korea Selatan, Simmtech melalui anak syarikatnya Sustio Sdn Bhd melabur RM508 juta untuk membina kilang berskala besar pertama di Asia Tenggara di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang.

Pengeluar papan litar tercetak (PCB) dan substrat pembungkusan untuk semikonduktor itu dalam kenyataannya berkata, pembinaan kemudahan itu berada di landasan dan dijadualkan selesai pada suku pertama 2022, walaupun berdepan cabaran sejak bermulanya pandemik COVID-19.

Katanya, kilang baharu itu dijangka mewujudkan lebih 1,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan, pembuatan dan pengurusan kualiti menjelang separuh pertama 2022.

Pengarah Urusan Simmtech di Asia Tenggara, Jeffery Chun, berkata penting untuk projek di Pulau Pinang itu berjalan lancar bagi menguruskan rantaian bekalan berikutan kekangan bekalan semikonduktor global.

“Melalui sokongan sinergistik daripada agensi-agensi kerajaan Persekutuan terutama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan agensi-agensi kerajaan negeri, projek baharu kami ini dapat digerakkan dengan lebih pantas bagi memacu kapasiti memenuhi permintaan pelanggan di rantau ini,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman, berkata industri pembuatan elektrik dan elektronik (E&E) sedang berkembang pesat.

“Lebih banyak syarikat memerlukan aktiviti berintensifkan pengetahuan, berteknologi tinggi dan inovatif.

“MIDA menyasarkan lebih ramai penggiat semikonduktor bahagian depan dan bahagian sokongan, selain rantaian bekalan untuk mempertimbangkan Malaysia sebagai lokasi alternatif pengeluaran,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Simmtech labur RM508 juta di Pulau Pinang


Content Type:

Duration:

Gas asli sebagai hidrokarbon terbersih mempunyai peranan penting dalam pengurangan pelepasan karbon, khususnya di Malaysia.

Kerajaan telah menggariskan beberapa inisiatif untuk memajukan industri tenaga bagi tenaga mampan masa hadapan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang termasuk gas asli seperti cadangan Dasar Tenaga Negara yang bersifat menyeluruh,  yang akan menyediakan hala tuju strategik jangka panjang bagi menyokong aspirasi keneutralan karbon.

Sama penting peranannya pada masa lalu, gas asli akan terus amat diperlukan untuk penjanaan kuasa dan sebagai padanan bagi tenaga boleh baharu dalam sistem tenaga masa depan mampan Malaysia.

Gas asli diharapkan berperanan bagi jangka panjang untuk menyediakan akses tenaga dan jaminan kepada negara, dan pada masa sama membantu negara mencapai sasaran pengurangan pelepasan karbon rumah hijau yang lebih baik iaitu sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

Simposium Gas Malaysia 2021

Sebagai pengiktirafan terhadap kepentingan gas asli yang semakin meningkat dalam peralihan tenaga bersih Malaysia, Persatuan Gas Malaysia (MGA) sekali lagi berjaya menganjurkan Simposium Gas Malaysia (MyGAS) 2021 dari 22 hingga 25 Nov, 2021.

Sepanjang empat hari perbincangan panel, MyGAS berfungsi sebagai platform wacana untuk penceramah dari Malaysia dan luar negara membicarakan peranan penting gas dalam peralihan tenaga.

Negara yang sedang membangun di rantau ini, termasuk Malaysia, terus dicabar untuk mengimbangi dilema tenaga, dengan jaminan tenaga dan kemampuan tenaga kekal menjadi keutamaan.

Kira-kira 152 juta orang di rantau ini kekurangan akses kepada elektrik, manakala 900 juta lagi mengalami kekurangan akses kepada masakan bersih.

Langkah tergesa-gesa kepada peralihan tenaga akan membawa akibat yang tidak diingini, bukan hanya membahayakan jaminan tenaga kita malah pertumbuhan ekonomi.

Sebagai contoh, di United Kingdom, kapasiti terpasang untuk turbin angin ialah 24GW.

Bagaimanapun, bagi beberapa bulan 2021, kemarau angin mengakibatkan penurunan ketara dalam keupayaan penjanaan oleh turbin angin. Syukurlah, gas asli tersedia untuk memastikan bekalan tenaga tidak terganggu.

Dalam kenyataannya pada sesi pembukaan MyGAS, Presiden MGA, Abdul Aziz Othman menekankan bahawa dalam mempercepat peralihan tenaga, Malaysia mesti mengimbangi keutamaannya yang penting kepada negara.

Beliau menyuarakan bahawa dasar tenaga merupakan antara elemen utama untuk mencapai peralihan tenaga yang pragmatik dan adil, justeru gas asli, bersamasama dengan gas boleh baharu dan gas rendah karbon lain, akan kekal relevan dalam menyediakan akses dan jaminan tenaga masa hadapan di Malaysia.

Matlamat Liberalisasi Malaysia

Gas asli, digabungkan dengan gas karbon rendah dan boleh baharu, akan terus berperanan penting dalam Dasar Tenaga Negara dan laluan Malaysia untuk mencapai keneutralan karbon.

MyGAS mendapatkan sebahagian pandangan daripada industri penting semasa sesi panel itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Tenaga bagi Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia,  Steven Aroki yang mengendalikan sesi panel ketiga  MyGAS, merumuskan terdapat trend baharu bagi liberalisasi pasaran, sekali gus menyebabkan wujudnya cabaran apabila harga berubah.

“Usaha sama sepenuhnya oleh semua pihak merentasi seluruh rantaian nilai gas adalah penting untuk mencapai matlamat kita dalam liberalisasi. Kami berharap lebih banyak penambahbaikan ke arah ketelusan pasaran gas Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif  Nano Malaysia Bhd, Dr Rezal Khairi Ahmad pada sesi panel keempat MyGAS menegaskan bahawa hidrogen dan gas asli saling memerlukan dan berupaya hidup dengan harmoni.

“Kedua-duanya mampu memberikan manfaat antara satu dengan lain, hidrogen dan gas asli boleh mewujudkan simbiosis yang baik untuk mencapai agenda hijau dan penyahkarbonan demi masa depan mampan sektor tenaga Malaysia,” katanya.

Laporan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa yang diterbitkan pada Mei 2021 meramalkan penghasilan sekitar 40 peratus hidrogen daripada gas asli menjelang 2050.

Gas Asli Kekal Sebagai Bahan Api Utama Dalam Campuran Tenaga

Gas asli dijangka kekal sebagai bahan api utama dalam campuran tenaga walaupun pada 2050.

Menurut Prospek Peralihan Tenaga DNV bagi 2021, bekalan gas asli pada 2050 dijangka kekal menghampiri tahap seperti 2019 dan diunjurkan membentuk kira-kira 25 peratus daripada jumlah bekalan tenaga utama dunia pada 2050.

Pada masa sama, permintaan terhadap gas asli dalam sektor tenaga dijangka kekal pada tahap yang sama pada 2019.

Bertemakan ‘Peranan Gas dalam Matlamat Malaysia Menuju Neutral Karbon Menjelang 2050’, MyGAS diadakan tepat pada masanya, seiring dengan komitmen Malaysia untuk mencapai keneutralan karbon seawal 2050.

Malaysia telah meletakkan komitmen yang lebih berani — untuk tidak lagi membina loji janakuasa arang batu pada masa depan. Ini bererti, gas asli adalah pilihan terbaik dan paling munasabah untuk mengambil alih peranan sepenuhnya dalam menyediakan tenaga beban asas.

Harga pasaran gas pada masa ini bukan sahaja menawarkan insentif untuk menarik lebih banyak peserta  memasuki pasaran, malah memastikan kejayaan liberalisasi pasaran.

Selain itu, kerancakan pasaran akan turut menggalakkan penggunaan gas yang lebih meluas, sekali gus mendorong lebih banyak peluang perniagaan dan pelaburan yang berterusan merentasi rantaian nilai industri gas.

Tenaga boleh baharu bukan satu-satunya penyelesaian yang segera dan efektif. Gas asli sebagai bahan api fosil terbersih akan melakukan peranan pentingnya untuk melengkapkan pertumbuhan gas-gas baharu muncul seperti hidrogen, bio-metana dan ammonia bagi mempercepat komitmen Malaysia dalam neutral karbon.

Sumber: Bernama

Gas asli pacu masa depan mampan untuk industri gas Malaysia


Content Type:

Duration:

Xinyi Glass Holdings Ltd, syarikat pengeluar kaca terbesar di Asia bakal melabur kira-kira RM1.5 bilion bagi pembinaan dua kilang baharu yang akan mengeluarkan kaca bagi kegunaan industri automotif di Kawasan Perindustrian Elkay, Lipat Kajang di sini.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata dua kilang berkenaan akan dibina di kawasan seluas 52.61 hektar dan dijangka mula dibangunkan dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Berdasarkan perbincangan yang diadakan, pihak Xinyi amat tertarik dengan kemudahan dan kawasan persekitaran di Lipat Kajang dan bercadang membesarkan operasi dengan pertambahan modal kira-kira RM1.5 bilion dalam masa terdekat.

“Jadi semua pihak termasuk kerajaan negeri dan agensi yang hadir pada hari ini berusaha untuk membantu Xinyi supaya dapat memulakan projek pembesaran kilang di Melaka kerana Xinyi adalah satu-satunya kilang pengeluar kaca terbesar di rantau Asia,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke kilang Xinyi Glass di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, pembinaan dua kilang berkenaan dijangka mampu mewujudkan kira-kira 800 peluang pekerjaan khususnya untuk rakyat tempatan di Melaka dan sehingga kini, syarikat berkenaan telah menggaji lebih 1,700 pekerja dengan 55 peratus daripadanya terdiri daripada rakyat tempatan.

Beliau berkata, sehingga kini, syarikat yang berpangkalan di Hong Kong, itu membawa pelaburan berjumlah RM2.2 bilion sejak mula beroperasi di Melaka pada 2016.

Katanya, selain itu, Xinyi Glass Holdings Ltd turut berminat melabur bagi menaik taraf kemudahan di Pelabuhan Tanjung Bruas di Tanjung Kling di sini kerana syarikat berkenaan menggunakan pelabuhan itu untuk mengeksport kaca ke luar negara.

“Xinyi memilih untuk menggunakan Pelabuhan Tanjung Bruas berbanding Pelabuhan Klang dan dalam tempoh sebulan, terdapat dua penghantaran ke luar negara membabitkan 500 kontena bagi setiap satu penghantaran di pelabuhan terbabit,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri akan melakukan rundingan dengan pengurusan Pelabuhan Tanjung Bruas, Zon Ekonomi Pesisir Pantai Melaka (M-WEZ) dan agensi terbabit dalam tempoh dua minggu ini bagi menyelaras usaha menambah baik kemudahan di pelabuhan berkenaan.

“Jumlah pelaburan akan ditentukan mengikut kapasiti kemudahan yang akan dibangunkan, namun kita menganggarkan projek menaik taraf pelabuhan berkenaan menelan belanja antara RM1 bilion hingga RM2 bilion,” katanya.

Sumber: Bernama

Xinyi labur RM1.5 bilion bina kilang di Jasin


Content Type:

Duration:

Pengeluar dan pembekal bahan kimia pertanian dan perindustrian, Ancom Bhd sedang mengembangkan perniagaan teras bahan kimia yang berkaitan tumbuhan kepada bahan kimia ternakan.

Langkah itu dibuat menerusi anak syarikat milik penuhnya, Ancom Crop Care Sdn Bhd yang mencadangkan untuk mengambil alih 80 peratus kepentingan ekuiti setiap satu dalam Shennong Animal Health (Malaysia) Sdn Bhd dan Vemedim Sdn Bhd pada harga RM23.9 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ancom, Lee Cheun Wei, berkata cadangan pengambilalihan dua syarikat itu, secara kolektif dikenali sebagai Shennong Group, memberi jaminan keuntungan sebanyak RM4.6 juta pada keuntungan selepas cukai setahun untuk tahun kewangan 2022 dan 2023.

Beliau berkata, penilaian RM23.9 juta itu diterjemahkan kepada anggaran harga kepada pendapatan sebanyak 6.5 kali ganda berdasarkan jaminan keuntungan RM4.6 juta.

“Memandangkan ekonomi global menghadapi kenaikan inflasi dan harga makanan, kami percaya perniagaan yang penting dalam membantu mengekalkan dan menjamin bekalan ternakan, seperti Shennong Group, bersedia untuk mencatat pertumbuhan,” katanya dalam satu kenyataan.

“Memandangkan Shennong Group juga terbabit dalam perniagaan kimia pertanian, kami melihat manfaat sinergistik boleh memanfaatkan rangkaian pengedaran kami bagi meningkatkan jangkauan pasaran tambahan baharu,” katanya.

Cheun Wei berkata, cadangan pengambilalihan itu dijangka dibiayai sepenuhnya melalui kombinasi pinjaman bank dan dana yang dijana secara dalaman.

Cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku keempat tahun kewangan Ancom yang berakhir 31 Mei 2022.

Sumber: Bernama

Ancom perkukuh perniagaan bahan kimia pertanian


Content Type:

Duration:

Sektor automotif negara dijangka menyaksikan pemulihan lebih kukuh pada tahun depan dengan sasaran jumlah keseluruhan industri (TIV) meningkat 19 peratus tahun ke tahun kepada 600,000 unit daripada sasaran 505,000 unit yang diunjurkan bagi tahun ini, kata Kenanga Investment Bank Bhd.

Unjuran TIV sebanyak 505,000 unit itu mewakili penguncupan lima peratus daripada jumlah jualan 2020 yang berjumlah 529,434 unit.

Kenanga Investment yang mengekalkan saranan ‘neutral’ ke atas sektor automotif, juga menjangkakan sektor itu mencatat pemulihan memberangsangkan menerusi pembukaan semula aktiviti ekonomi, didorong oleh pengecualian cukai jualan 100 peratus ke atas kenderaan penumpang dengan pemasangan tempatan (CKD) dan 50 peratus bagi kenderaan diimport sepenuhnya (CBU) termasuk model kenderaan utiliti sukan dan MPV selama enam bulan sehingga 30 Jun 2022.

“Ini juga seiring dengan pertumbuhan angka tempahan yang tertunggak bagi model-model popular dengan sasaran TIV kami bagi 2021 sebanyak 505,000 unit (-5 peratus) iaitu mengatasi sasaran TIV oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) pada 500,000 unit.

“Selain itu, kami menjangkakan pemulihan lebih kukuh bagi sektor ini dengan sasaran TIV bagi 2022 sebanyak 600,000 unit (+19 peratus) yang seiring dengan sasaran TIV MAA sebanyak 605,000 unit (+21 peratus),” kata bank pelaburan itu dalam nota tinjauannya, semalam.

Kenanga berkata, pertumbuhan TIV 2022 akan turut dipacu oleh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan pada separuh pertama bagi tahun kalendar 2022, jangkaan pemulihan ekonomi serta dengan andaian imuniti kelompok dapat dicapai, sekali gus membawa kepada kelonggaran prosedur operasi standard bagi menggerakkan semula aktiviti pengembaraan domestik.

Menurutnya, kelonggaran sekatan itu selain pemulihan bekalan cip semikonduktor juga dijangka mampu meningkatkan permintaan ke atas kenderaan penumpang, terutama bagi model keluaran tempatan.

“Namun, bagi model-model kenderaan tertentu, pemulihan pengeluaran kereta ini akan terus dikekang oleh isu kekurangan bekalan cip semikonduktor,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Sektor automotif diunjur pulih tahun depan


Content Type:

Duration:

MMC Corporation Bhd. melalui anak syarikatnya, Senai Airport City Sdn. Bhd. (SACSB) memeterai dua perjanjian jual beli bersama Wiwynn Technology Service (Malaysia) Sdn. Bhd. (Wiwynn Malaysia) untuk melupuskan dua tapak industri berukuran 4.8 hektar dan 7.8 hektar di Senai Airport City pada penilaian RM68.3 juta.

Wiwynn Malaysia merupakan subsidiari milik pernuh Wiwynn Corporation (Wiwynn), sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Taiwan.

Zon Perindustrian Bebas Senai Airport City dipilih Wiwynn sebagai lokasi untuk memperluaskan fasiliti pembuatan infrastruktur awannya, bagi membangunkan pelayan komputer berprestasi tinggi, produk penstoran dan penyelesaian untuk pusat data utama di rantau Asia Tenggara.

Senai Airport City merupakan satu-satunya kawasan pembangunan perindustrian di Iskandar Malaysia dengan Zon Perindustrian Bebas dan Zon Komersial Bebas seluas 161 hektar yang diwartakan bagi memenuhi ke­perluan industri berorientasikan eksport, sekali gus menjadi lokasi ideal untuk hab pengedaran utama serantau.

Naib Presiden Rantaian Bekalan dan Pembuatan Wiwynn, Robin Wang berkata, pembuatan di Malaysia adalah langkah pen­ting dalam strategi pengembangan operasi globalnya.

“Lokasi ini memberi kami faedah geografi yang baik, kaya dengan tenaga pakar dan memberikan fleksibiliti operasi yang tinggi untuk mengembangkan perniagaan kami di rantau Asia Pasifik,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehingga kini, Senai Airport City telah melabur kira-kira RM550 juta ke atas plot perindustrian yang telah siap dengan kemudahan infrastruktur dan utiliti.

Melalui model pembangunan Plug-and-Play, ia memberi jaminan untuk mempercepatkan garis masa pembangunan buat pelabur, selain terletak dalam ekosistem industri pembuatan termaju di daerah Senai-Kulai.

Tahun ini, SACSB telah me­nerima tujuh pelaburan langsung asing dan pelaburan langsung domestik melibatkan penjualan tanah bersaiz 56 hektar, dengan semua pelabur menyasarkan untuk memulakan operasi pada tahun 2022 dan 2023.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SACSB, Gan Seng Keong berkata, kunci kejayaan Senai Airport City ialah penyedia­an infrastruktur asas yang lengkap, ketersambungan dengan pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa serta lokasi strategiknya dalam ekosistem industri yang matang.

Sumber: Kosmo

SACSB jual tanah di Senai RM68 juta


Content Type:

Duration:

Hab Halal akan dibangunkan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu di bawah inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk mengalakkan usahawan tempatan menceburi dan menembusi pasaran halal.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, Hab Halal di kawasan seluas 20 ekar itu akan menyediakan kemudahan premis, teknologi dan platform digital yang diperlukan usahawan dalam sektor berkenaan.

“Hab Halal akan memberi panduan kepada usahawan mengenai keperluan untuk mendapatkan pengiktirafan halal dan persijilan MeSTI (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri). Ia juga akan memberi bantuan dalam pemprosesan dan pemasaran produk itu,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan Jelajah Halal Malaysia 2021 peringkat negeri di Hotel Marriot di sini, hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Menurut Ketua Menteri, Sabah adalah antara penyumbang dalam ekonomi halal negara, sektor pertumbuhan baharu yang berpotensi besar.

Hajiji berkata, pada tahun lalu, industri halal telah menyumbang sebanyak RM9.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, manakala laporan Unit Perancang Ekonomi (EPU) menunjukkan segmen pasaran halal dijangka menyumbang kepada 8.1 peratus KDNK negara dan mampu menjana pendapatan eksport sebanyak RM56 bilion pada 2025.

Ekonomi halal yang kukuh juga akan menjadi petanda baik dalam menarik lebih ramai ketibaan dalam sektor pelancongan mesra Muslim (MFT), segmen baharu dalam sektor pelancongan di Sabah, tambahnya.

“Dalam Laporan Ekonomi Islam Global 2020/21, Malaysia telah mengungguli tempat teratas dalam sektor pelancongan MFT. Justeru, kita tidak mahu Sabah terlepas peluang dalam sektor pasaran pelancongan halal,” katanya.

Industri pelancongan halal dijangka meningkat kukuh memandangkan lokasi Sabah yang strategik dalam BIMP-Eaga yang turut membuka banyak peluang pelaburan langsung dan perdagangan sempadan dengan pembangunan di negara jiran Kalimantan, Indonesia, katanya.

Sehubungan itu, Ketua Menteri menggesa semua kementerian dan agensi berkaitan serta pemain industri dapat menggembleng tenaga dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran produk halal tempatan ke peringkat antarabangsa.

“Saya mahu melihat lebih ramai usahawan Kecil dan Sederhana (PKS) mengambil bahagian secara aktif dalam ekosistem halal dan menaik taraf perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi,” kata Hajiji.

Kerajaan Negeri juga akan terus menyediakan pelbagai inisiatif sebagai pemangkin kepada industri halal, khususnya dengan memberi lebih banyak peluang perniagaan kepada PKS tempatan, katanya sambil menambah bahawa pasaran produk halal tidak lagi tertumpu kepada pengguna Islam sahaja tetapi turut menyaksikan peningkatan permintaan dalam kalangan pengguna bukan Islam.

Beliau berharap, lebih banyak syarikat tempatan akan menceburi sektor itu kerana pada masa ini hanya kira-kira 300 syarikat did Sabah mendapat pengiktirafan halal walaupun terdapat lebih 5,000 syarikat berpotensi besar di negeri ini.

Katanya, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) telah diperuntukkan sebanyak RM5.76 juta di bawah perbelanjaan perbekalan dalam Belanjawan 2022 Sabah bagi menubuhkan empat lagi pusat PKS di negeri ini.

Program Bantuan PKS (BAIKS) yang telah membantu 3,269 usahawan sejak penubuhannya akan diteruskan, manakala lebih banyak program khususnya dalam meningkatkan kualiti produk sedang dalam perancangan, katanya.

Sumber: Bernama

Hab Halal akan dibangunkan di KKIP


Content Type:

Duration:

VentureTECH melabur sebanyak RM2.5 juta dalam Gas Pantai Timur Sdn Bhd (GPT) untuk menampung lonjakan permintaan terhadap silinder gas oksigen daripada hospital dan klinik kerajaan ketika negara terus berusaha membendung pandemik COVID-19.

GPT adalah pembekal utama gas perubatan dan perindustrian yang termasuk oksigen, asetilena dan nitrogen yang diproses di loji gas dekat Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Kelantan dan Kawasan Perindustrian Gopeng, Perak.

Pelaburan itu akan menyaksikan GPT mengembangkan stesen pengisian semula silindernya di Puchong bagi gas perubatan untuk keperluan hospital di wilayah tengah.

Pengarah Urusan VentureTECH, Dr Norida Abd Rahman, berkata visi syarikat itu adalah untuk menyokong syarikat tempatan yang beroperasi dalam sektor berkaitan penjagaan kesihatan kritikal bagi membendung pandemik tersebut untuk memenuhi keperluan mendesak sistem penjagaan kesihatan negara demi kepentingan rakyat.

“Pelaburan ini adalah sejajar dengan falsafah pelaburan VentureTECH yang disasarkan untuk menjana impak sosial yang positif.

“Pelaburan VentureTECH dalam GPT memainkan peranan penting kerana ia akan dapat membantu Malaysia memulihkan aktiviti ekonominya sejajar dengan Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) selain menyokong penyepaduan internet pelbagai benda (IoT) selain teknologi pengesanan dalam sistem bekalan pengeluaran dan pengedaran bagi menambah baik kecekapan,” katanya.

Sementara itu, GPT berkata permintaan terhadap silinder oksigen meningkat lebih daripada lapan kali ganda semasa gelombang ketiga COVID-19, yang memberi tekanan besar kepada sistem penjagaan kesihatan negara ekoran peningkatan penghunian katil ICU dan keperluan bagi sokongan pernafasan.

Ketua Pegawai Eksekutif GPT, Nik Ahmed Nerang Nik Rithauddeen, berkata syarikat itu bersiap sedia bagi sebarang kemungkinan untuk memastikan hospital tidak lagi mengalami masalah kekurangan silinder, walaupun kes jangkitan harian telah semakin terkawal.

“Pelaburan daripada VentureTECH membolehkan kami memastikan dapat menampung permintaan,” katanya.

GPT berkata, ia menyasar meningkatkan campuran produknya dengan membangunkan barisan pengeluarannya sendiri bagi gas lain, meningkatkan keupayaan logistiknya dan membuka loji pengeluaran gas baharu di wilayah selatan.

Sumber: Bernama

VentureTECH tampung permintaan silinder gas oksigen


Content Type:

Duration:

Intel Corporation yang juga antara pengeluar cip terbesar dunia, akan melabur lebih RM30 bilion dalam tempoh 10 tahun ini bagi mengembangkan operasinya di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Patrick Gelsinger berkata pelaburan tambahan di negara ini turut melibatkan pengembangan kemudahan ujian pemasangan pembuatan sedia ada selain membangunkan prosedur ‘die prep’ atau proses sebelum pemasangan dengan penambahan keupayaan pembungkusan yang lebih maju.

Syarikat itu juga merancang untuk mempunyai fasiliti baharu di negara ini bagi membolehkannya menambah jumlah pengeluaran serta meningkatkan kedudukannya dalam rantaian nilai pemindahan teknologi dan pembinaan kapasiti, katanya.

“Pembinaan bagi tujuan pengembangan baharu di Kulim dan Pulau Pinang sudah pun dimulakan. Kemudahan baharu yang menyokong teknologi maju pembungkusan itu dijangka mencatat pengeluaran pada 2024,” katanya pada sidang media mengumumkan pelaburan baharu tersebut di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Arham Abdul Rahman.

Sementara itu, Mohamed Azmin menyifatkan pelaburan Intel itu sebagai hasil kerjasama strategik jangka panjang syarikat itu dengan Malaysia selama 50 tahun manakala kemudahan bertaraf dunia itu akan turut meletakkan negara ini di barisan hadapan sektor semikonduktor dunia.

“Ini turut menjadi bukti keyakinan kukuh Intel terhadap Malaysia selaku hab pelaburan pilihan. Pada masa sama, ia juga menunjukkan peningkatan trajektori pemulihan ekonomi kita serta prospek cerah dari segi pertumbuhan yang memberangsangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Gelsinger berkata Intel juga komited untuk meneruskan pelaburan serta melakukan inovasi di negara ini dengan pelaburan baharu tersebut dijangka mewujudkan lebih 4,000 pekerjaan baharu Intel selain lebih 5,000 pekerjaan binaan bagi rakyat tempatan.

“Kami bukannya pemburu sebaliknya hadir di Malaysia untuk mewujudkan ekosistem, komuniti dan perkongsian dengan syarikat pemula niaga di sini bagi membangunkan keupayaan teknologi pasaran Malaysia secara menyeluruh,” katanya.

Mengulas kekurangan semikonduktor dunia pada masa ini, beliau berkata keadaan tersebut secara keseluruhannya amat ketara yang menyaksikan Intel dan industri memberi tindak balas dalam bentuk pembangunan kapasiti serta memacu bekalan sepantas mungkin.

Menurutnya, ini penting bagi membolehkan bekalan keseluruhan semikonduktor pada tahun ini berupaya meningkat lebih ketara berbanding dua hingga tiga dekad lepas.

Gelsinger berkata industri semikonduktor berkembang kira-kira 5.0 peratus setahun dengan nilainya mencecah kira-kira US$500 bilion pada tempoh sebelum COVID-19 namun keadaan pandemik berkenaan telah menjejaskan rantaian bekalan.

Permintaan terhadap semikonductor yang melonjak sehingga 200 peratus tahun ke tahun berbanding rantaian bekalan yang telah terjejas itu sebaliknya telah mewujudkan jurang besar bekalan yang perlu ditampung, katanya.

“Saya menjangkakan kekangan dan kekurangan itu akan berterusan sehingga 2023 kerana usaha menghasilkan bekalan serta membina kemudahan baharu akan memakan masa yang lama. Malah, lebih banyak masa diperlukan bagi mewujudkan kapasiti terbabit serta memberi tindak balas terhadap usaha menangani (pandemik),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Gelsinger berkata Intel Corp dijangka mengumumkan mengenai perkembangan membabitkan kemudahan seterusnya di Amerika Syarikat dan Eropah pada awal tahun depan.

Menurutnya, usaha pengembangan di Malaysia merupakan langkah penting dalam strategi menyeluruh syarikat bagi meningkatkan peluang kapasitinya.

Sumber: Bernama

Intel Corp labur RM30 bilion bagi pengembangan kemudahan di Malaysia


Content Type:

Duration:

Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) terbuka untuk sebarang kerjasama dengan organisasi atau mana-mana syarikat yang mahu memacu industri plastik Malaysia ke arah ekonomi kitaran (CE).

Naib Presiden MPMA, C.C. Cheah berkata persatuan itu akan terus menyokong pihak berkepentingan industri plastik ke arah mencapai CE dan melaksanakan skim tanggungjawab pengeluar lanjutan (EPR) di Malaysia.

“Plastik adalah bahan yang berharga dan hanya melalui sistem kitaran sahaja nilai bahan ini boleh dikekalkan dalam rantaian bekalan dengan impak minimum terhadap alam sekitar.

“Plastik tidak sewajarnya berakhir di tapak pelupusan tetapi ia harus diasingkan sebagai bahan kitar semula,” katanya semasa Siri Webinar EPR Ekonomi Kitaran Malaysia Yang Dipercepatkan – Jilid 1 hari ini.

Banyak negara telah menetapkan sasaran ke atas produk kitaran, memacu reka bentuk serta inovasi produk, meningkatkan permintaan bagi bahan kitar semula dan pembangunan teknologi dalam kitar semula.

“Ini mendorong industri plastik Malaysia ke arah haluan yang sama,” tambahnya.

Sementara itu, menurut beliau lagi, Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 yang dilancarkan sebelum ini adalah cerminan kepada usaha kerajaan untuk menangani pencemaran sisa plastik, yang akan memacu pelaksanaan EPR bagi pembungkusan plastik di seluruh negara sebagai permulaan.

“Industri plastik menyokong ini sebagai skim EPR yang akan meningkatkan pemulihan dan kitar semula plastik, sekali gus memacu industri ke arah CE,” katanya.

Jumaat lepas, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang melancarkan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030, berkata rangka kerja itu, yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa, akan menjadi pedoman bagi pihak berkepentingan dalam memelihara plastik berdasarkan konsep ekonomi kitaran di seluruh rantaian nilai.

Rangka kerja tersebut merupakan antara tindakan di bawah Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna yang telah diluluskan oleh Kabinet pada 2018.

Tuan Ibrahim berkata skim EPR merupakan elemen penting dalam rangka kerja yang akan mengubah ekosistem pengurusan sisa plastik tempatan.

Di bawah skim EPR, pengilang bukan sahaja bertanggungjawab merawat dan melupuskan sisa plastik yang telah dipasarkan melalui jenama masing-masing, malah mereka juga perlu mengambil kira komponen reka bentuk serta penggunaan resin kitar semula.

Sumber: Bernama

MPMA terbuka untuk pacu industri plastik ke arah ekonomi kitaran


Content Type:

Duration:

Komarkcorp Bhd, pengeluar topeng muka terbesar di negara ini, berhasrat bagi menggandakan barisan pengeluarannya kepada 100 pada 2022.

Pakar percetakan dan pelabelan melalui anak syarikatnya, Komark Mask (M) Sdn Bhd, kini mempunyai 30 barisan pengeluaran dengan kapasiti tahunan sebanyak 360 juta keping topeng.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Roy Ho Yew Kee berkata bahagian percetakan pada masa ini mempunyai dua aliran pendapatan, dengan perniagaan pembuatan topeng muka menyumbang untuk meningkatkan perniagaan percetakan memandangkan kos percetakan telah diterjemahkan kepada pengeluaran topeng.

“Kilang baharu kami di Meru, Klang dijadual siap pada Januari tahun depan yang mana ia akan menggandakan keseluruhan barisan pengeluaran kami kepada 60 baris.

“Kami memutuskan untuk membina kilang baharu supaya kami boleh menyasarkan pasaran eksport kami ke Indonesia, Thailand dan Vietnam, yang membolehkan kami menjimatkan kos pengangkutan,” katanya semasa lawatan media di kilang pembuatannya di Balakong, Selangor hari ini.

Bangunan seluas 60,000 kaki persegi itu akan menempatkan 70 lagi barisan pengeluaran, dengan 20 daripadanya dijadualkan dipasang dan beroperasi menjelang Januari 2022.

Sementara itu, kilang sedia ada di Balakong akan diperluaskan bagi menampung sehingga 40 mesin pembentuk topeng, dengan kapasiti bulanan sebanyak 40 juta topeng muka pakai buang.

Ho juga berkata syarikat itu tidak sabar untuk melihat perniagaan topeng berkembang kerana terdapat perubahan ketara dalam permintaan pengguna yang mana mereka lebih suka topeng berjenama atau topeng berfesyen.

“Syarikat kami akan bersaing dengan pengeluar topeng yang besar dari China atas dasar kualiti, dan kami optimis jumlah hasil kami akan terus meningkat setiap suku tahun pada tahun akan datang,” katanya.

Sumber: Bernama

Komarkcorp sasar menggandakan barisan pengeluaran dengan kilang pembuatan topeng baharu


Content Type:

Duration:

Sime Darby Motors (SDM) Malaysia dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah memformalkan memorandum persefahaman untuk meneroka pelbagai inisiatif bagi mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Dalam satu kenyataan bersama semalam, kedua-dua pihak berkata inisiatif itu, antara lain, termasuk memastikan rangkaian infrastruktur pengecasan EV yang sangat cekap disediakan untuk menyokong pertumbuhan ini.

Pihak terbabit juga menyasarkan untuk melihat inisiatif yang cekap tenaga dan tenaga boleh diperbaharui yang lain bagi mengoptimumkan kos infrastruktur pengecasan EV dan untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Sime Darby Bhd Datuk Jeffri Salim Davidson berkata kumpulan itu mempunyai cita-cita EV yang jelas dan TNB memainkan peranan penting dalam memastikan matlamatnya dapat dicapai di Malaysia.

“Rakan kongsi seperti TNB memainkan peranan penting sebagai pemboleh dalam membantu kami mencapai sasaran portfolio produk yang lebih cekap tenaga menjelang 2025 dan menjadi peneraju bagi EV di Asia Pasifik,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Baharin Din berkata minat kumpulan itu untuk mempercepatkan e-mobiliti berpunca daripada cita-cita kumpulan untuk mewujudkan persekitaran EV yang kondusif yang menggalakkan kadar penggunaan EV yang lebih tinggi dalam kalangan orang ramai, justeru menyokong agenda jejak mobiliti rendah karbon untuk Malaysia.

“Sebagai pemacu utama peralihan tenaga negara, inisiatif ini juga membina usaha kami untuk menerajui pembangunan ekosistem yang kondusif bagi penggunaan EV yang lebih luas di Malaysia,” katanya.

Baharin menambah di bawah kerjasama itu, TNB akan menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan stabil kepada ekosistem pengecasan EV berdasarkan kawasan geografi terpilih yang dipersetujui bersama oleh TNB dan SDM Malaysia.

“TNB juga akan menawarkan SDM Malaysia penyelesaian yang boleh mengoptimumkan kos elektriknya dan menyokong sumber tenaga hijau dan mampan dalam mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.

Sumber: Bernama

Sime Darby, TNB bekerjasama bagi mempercepatkan penggunaan EV di Malaysia


Content Type:

Duration:

Malaysia kini menceburi bidang pengeluaran bahan api biodiesel generasi kedua dan biojet yang dijangka dapat dikomersialkan ke pasaran global dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata kejayaan bermakna itu dicapai susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) membabitkan pertukaran teknikal dalam pengeluaran kedua-dua bahan api itu di negara ini, hari ini.

MoU yang dimeterai oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Pengerang Maritime Industries Sdn Bhd, Shanxi Construction Investment Group Co Ltd dan Institut Kimia Arang Batu Akademi Sains China itu akan disusuli dengan mewujudkan kilang minyak sayuran berhidrogen (HVO) di Pengerang, kata beliau.

Bercakap pada sidang media selepas majlis pemeteraian MoU itu di sini, hari ini, beliau berkata kilang tersebut berpotensi mengeluarkan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) atau lebih dikenali sebagai bahan api biojet yang melibatkan usaha pemecahan dan penghidrogenan minyak sawit menjadi bahan api hidrokarbon yang dapat digunakan dalam industri penerbangan.

“Pelaburan bernilai kira-kira RM3 bilion diperlukan bagi pembinaan kilang tersebut yang merangkumi pengambialihan tanah dan aspek infrastruktur. Fasa pertama kilang itu dapat menghasilkan kapasiti sebanyak 500,000 tan setahun.

“Kerjasama membabitkan kilang HVO di Malaysia itu akan terus mendorong pertumbuhan ekonomi. Saya yakin projek ini akan menyuntik lebih banyak nilai ke atas produk-produk minyak sawit Malaysia dengan memperkukuh dagangan dalam produk-produk yang mempunyai nilai tambah,” katanya.

Mengulas selanjutnya, Zuraida berkata satu kajian berkaitan bahan api biodiesel generasi kedua dan biojet yang melibatkan teknologi hijau, telah dilaksanakan sejak enam bulan lepas dan dijangka selesai dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Pada masa ini, industri terbabit diterajui oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Finland, Neste Corporation yang mengeluarkan HVO di Singapura dengan keduaduanya adalah negara bukan pengeluar minyak sawit.

“Malaysia sebaliknya merupakan negara pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia manakala China adalah antara negara yang mengimport minyak kita. Oleh itu, saya berpendapat bahawa kita juga mampu melakukan lebih baik daripada mereka (Neste) di masa-masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Luar Shanxi Wang Chongjun berkata pembinaan kilang HVO itu akan bermula sebaik kajian terbabit selesai yang akan turut menentukan jenis teknologi dan kemudahan yang diperlukan.

“Kita berhasrat menggunakan produk-produk minyak sawit Malaysia seperti minyak sawit yang telah menapis semua nutrien seperti vitamin atau minyak sisa bagi penghasilan generasi biodiesel dan biojet generasi kedua itu.

“Pengaturan rancangan pengeluaran itu pada masa ini adalah bahan api biojet atau SAF, diesel hijau dan produk-produk bahan kimia hijau berkaitan yang seiringan dengan pengeluaran tersebut,” katanya.

Menurutnya, produk-produk itu disasarkan untuk dieksport ke pasaran Eropah dan China.

Sumber: Bernama

Malaysia ceburi pengeluaran bahan api biodiesel generasi kedua, biojet


Content Type:

Duration:

Prestasi sektor automotif yang lesu hampir sepanjang tahun ini ekoran ketidaktentuan pasaran yang disebabkan oleh risiko COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akhirnya mula rancak kembali pada suku akhir 2021.

Kilang kereta dan pengeluar peralatan tulen (OEM) meningkatkan pengeluaran dan serahan kenderaaan bagi memenuhi pesanan tertunggak dan pesanan baharu apabila bilik pameran menyambung kembali operasi perniagaan selepas sekatan pergerakan penuh seluruh negara ditarik balik pada Ogos.

Bulan penuh pertama keadaan pasaran yang pulih kembali selepas PKP adalah bulan yang produktif bagi pengeluar kereta nasional dan juga beberapa OEM apabila ekosistem automotif tempatan dan juga eksport mula meraih momentum.

Serahan kenderaan  Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd  (Perodua) meningkat sebanyak  102 peratus bulan ke bulan kepada  14,160 unit pada  September daripada 6,988 unit pada Ogos apabila situasi bekalan semakin bertambah baik secara beransur-ansur, manakala Proton Holdings Bhd (Proton) mencatatkan jualan 10,380 unit kenderaan bagi mengekalkan kedudukannya di tempat kedua dalam kategori jualan automotif kereta nasional. 

Prestasi Baik Dicatatkan Pengeluar Kereta Nasional

Perodua memecah rekod jualan bulanan baharu dan pengeluarannya sendiri dengan  pendaftaran  sebanyak 27,858 kenderaan pada Oktober manakala Proton sebanyak 13,362 unit.

Bulan jualan tertinggi dalam sejarah Perodua itu disokong oleh peningkatan pengeluaran dan serahan pantas kenderaan kepada pelanggan apabila pengeluar kereta itu menyasar sebanyak mungkin serahan kenderaan pada suku keempat 2021.

UMW Toyota Motor yang berada di kedudukan ketiga dalam kategori jualan automotif Malaysia juga mencatatkan pemulihan jualan susulan kelonggaran sekatan PKP penuh dengan jualan sebanyak 8,500 unit kenderaan pada Oktober, peningkatan 5.8 peratus daripada 8,033 unit yang dijual pada September.

Berdasarkan kepada pecahan jualan kenderaan baharu mengikut data jenama sehingga Oktober 2021 oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan CGS-CIMB Research, Perodua menerajui senarai tersebut dengan 38.4 peratus bahagian pasaran diikuti Proton (22 peratus), Toyota (14.1 peratus), Honda (9.8 peratus), Nissan (2.4 peratus), Mazda (2.1 peratus), Isuzu (1.9 peratus) dan BMW (1.2 peratus).

Pada November, Perodua mencatatkan 20,299 jualan (-27.1 peratus bulan ke bulan) berikutan gangguan daripada kes COVID-19 dan kekurangan cip semikonduktor yang dilaporkan menjejaskan pengeluarannya.

Pengeluar kereta kompak itu, bagaimanapun, menyasarkan pendaftaran bulanan tertinggi dalam sejarah bagi bulan Disember dengan sekurang-kurangnya 30,000 unit pendaftaran berikutan ia menyasarkan untuk mengakhiri tahun ini dengan lebih 200,000 unit terjual.

Menangani Cabaran Yang Menyelubungi Industri

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata: “Kami sedang bekerjasama dengan ekosistem automotif untuk mengatasi isu seperti peningkatan kes COVID-19 dan kekurangan bekalan cip semikonduktor. Dengan tindakan balas ini dilaksanakan, kami menjangka Disember 2021 sebagai bulan terbaik kami.”

Sementara itu, jualan keseluruhan Proton sebanyak 14,187 unit (domestik dan eksport) pada November meningkatkan jumlah untuk tempoh awal tahun kewangan hingga setakat ini kepada 100,566 unit, meningkatkan jangkaan syarikat akan dapat mengakhiri tahun ini dengan pertumbuhan jualan yang positif.

“Melepasi nilai ambang 100,000 unit dengan baki tempoh kira-kira sebulan lagi merupakan pengalaman terbaik kami selepas satu tahun lagi terganggu oleh COVID19. Kami berasa rendah diri dengan pencapaian ini dan kini yakin dapat mengakhiri tahun ini dengan jumlah jualan yang meningkat,” menurut CEO Proton Edar Sdn Bhd Roslan Abdullah yang dilaporkan berkata demikian baru-baru ini.

Secara keseluruhannya, 2021 merupakan tahun yang mencabar bagi sektor automotif, bukan sahaja untuk pengeluar tetapi juga pengguna.

Hampir sepanjang tahun ini, jumlah kenderaan berkurangan di jalan raya dan lebuh raya berikutan had perjalanan, sekatan kapasiti yang ditetapkan dan keadaan yang lebih ketat untuk perjalanan rentas negeri selain daripada kecemasan manakala perniagaan terhenti selama beberapa bulan pada pusingan pertama tempoh PKP, pelaksanaan semula PKP dan sekatan pergerakan di seluruh negara berikutan peningkatan kes COVID-19.

Pelancaran Baharu Terjejas Akibat Pandemik

Walaupun permintaan pengguna bertambah baik di samping kelonggaran sekatan COVID pada suku ketiga, pengeluar berdepan dengan cabaran gangguan berkaitan pandemik dan isu rantaian bekalan, ditambah dengan kekurangan cip semikonduktor yang merupakan fenomena global yang menjejaskan pelbagai sektor, turut menjejaskan pengeluaran dan jualan.

Tahun 2021 turut menyaksikan pelancaran baharu yang terhad dan model yang dinaik taraf.

Antara acara penting pada 2021 adalah pelancaran Perodua Ativa, Hyundai Staria, Hyundai Kona Electric, Toyota Corolla Cross, BMW iX, Volkswagen Arteon berwajah baharu, Proton Pesona dan Iriz berwajah baharu, Perodua Myvi berwajah baharu, dan model Honda City Hatchback serba baharu.

Pada tahun depan, kerajaan melalui Bajet 2022 melanjutkan pengecualian Cukai Perkhidmatan dan Jualan (SST) sedia ada untuk kenderaan baharu di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (PENJANA) sehingga 30 Jun 2022.

Skim PENJANA menawarkan 100 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) pemasangan tempatan (CKD), serta 50 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang, SUV dan MPV yang dipasang sepenuhnya (CBU).

Bank Negara Malaysia menerusi mesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk tahun ini pada 3 Nov lepas, mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus selepas mempertimbang prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia di tengah-tengah kebimbangan mengenai pandemik COVID-19 yang berlarutan.

Jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi sektor automotif Malaysia kira-kira 500,000 unit setahun dijangka meningkat tahun depan dengan persekitaran kadar faedah rendah, serta pelepasan cukai PENJANA dan dasar kerajaan yang menggalakkan bagi memulihkan permintaan domestik.

Menggalak Pembelian Kenderaan Elektrik Untuk Capai Objektif Karbon Rendah

Kerajaan menerusi Bajet 2022 menyasarkan sektor kenderaan elektrik (EV) menerima pengecualian sepenuhnya duti import, duti eksais dan cukai jualan bermula tahun depan.

Pengecualian cukai jalan 100 peratus akan diberikan kepada pembeli EV serta pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas kos pembelian dan pemasangan, sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran langganan kemudahan pengecasan EV.

Insentif itu merangkumi 100 peratus pengecualian duti ke atas EV CBU sehingga 31 Dis 2023 dan 100 peratus pengecualian duti ke atas EV CKD sehingga 31 Dis 2025.

Kesemua ini, sejajar dengan aspirasi negara untuk matlamat mobiliti rendah karbon dan agenda mobiliti hijau seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke12 (RMK12), dijangka memangkin permintaan dan merangsang peralihan industri terhadap segmen EV serta mempercepatkan perjalanan Malaysia untuk menjadi negara bebas karbon menjelang 2050.

Sumber: Bernama

Sektor automotif kembali rancak menuju penghujung tahun


Content Type:

Duration:

KUCHING, 10 Dis — Kerajaan negeri Sarawak telah mengenal pasti kawasan baharu di Samarahan untuk mengembangkan Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya berikutan taman teknologi tinggi itu hampir mencapai kapasiti penuh.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pengembangan itu adalah seiring dengan matlamat kerajaan negeri untuk memperhebat usaha bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI).

Beliau berkata Sarawak sentiasa berada pada kedudukan empat destinasi pelaburan terbaik di Malaysia dalam sektor pembuatan sejak beberapa tahun lepas dan masih berupaya menarik RM15.7 bilion pelaburan pada 2020 meskipun dalam keadaan pandemik COVID-19 yang berlanjutan.

“Sarawak mempunyai jisim bumi yang luas dan banyak sumber asli, oleh itu, kita perlu lebih banyak FDI untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi demi kebaikan rakyat.

“Kita perlu terus mencipta peluang perniagaan baharu untuk komuniti perniagaan kita dalam sektor teknologi tinggi dan akan terus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada golongan siswazah dan lepasan sekolah,” katanya semasa lawatan kerja ke projek pelaburan baharu Taiyo Yuden (Sarawak) Sdn Bhd di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya.

Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif  Taiyo Yuden, Yoshio Akimoto.

Awang Tengah berkata zon perindustrian itu menawarkan pekerjaan kepada lebih 13,700 individu dengan 98 peratus daripada tenaga kerja merupakan rakyat Sarawak dan hampir 10 peratus daripadanya adalah jurutera.

Beliau berkata gaji tahunan yang dibayar untuk pekerja di Sama Jaya pada 2020 berjumlah RM598 juta.

“Ia selanjutnya menjana RM667 juta limpahan kepada ekonomi tempatan kita secara tahunan, memanfaatkan Perusahaan Kecil dan Sederhana daripada logistik kepada pergudangan, bekalan dan perkhidmatan mesin, penyelenggaraan, katering dan dobi,” katanya.

Awang Tengah berkata Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya telah melakukan yang terbaik meskipun ketika pandemik COVID-19 yang menyebabkan kelembapan ekonomi, selain menjejaskan pertumbuhan ekonomi di banyak negara.

Syarikat multinasional di Sama Jaya telah mengeksport barangan bernilai RM6.93 bilion pada 2020, peningkatan 27.5 peratus daripada RM5.43 bilion pada 2019 dan beberapa produk daripada Sama Jaya terdapat dalam jenama global seperti Apple, Samsung dan BMW.

Sementara itu, Yoshio berkata syarikat itu telah melabur RM700 juta dalam Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya untuk membina kilang baharu bagi memenuhi pertambahan permintaan pada masa depan.

Beliau berkata kilang baharu itu akan mula beroperasi pada 2023 dan menawarkan peluang pekerjaan kepada 2,000 orang.

Sumber: Bernama

Sarawak kenal pasti kawasan di Samarahan untuk kembangkan Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya


Content Type:

Duration:

KUALA LUMPUR 9 Dis – Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) menerima kunjungan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di tapak pembinaan baharu di Techpark @ Bandar Enstek.

Dalam satu kenyataan DLMI berkata, ia merupakan tapak pembinaan untuk hab pengilangan tenusu halal bertaraf dunia bernilai RM400 juta itu dan kerja-kerja pembinaannya baru dimulakan.

Pengarah Urusan DLMI, Ramjeet Kaur Virik berkata, projek tersebut dibiayai sendiri daripada sumber dalaman termasuk penjualan tanah kilang sedia ada DLMI di Petaling Jaya baru-baru ini dengan harga RM200 juta.

“Hasil jualan tersebut secara keseluruhannya akan digunakan untuk pembinaan hab baharu manakala operasi di kilang Petaling Jaya akan diteruskan sehingga hab pengilangan tenusu halal baharu di Bandar Enstek itu dijangka mula beroperasi pada penghujung tahun 2023,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya lagi, sebuah Pusat Penternakan Tenusu tercanggih, yang akan berfungsi sebagai pusat pembelajaran sehenti untuk para penternak tenusu tempatan juga akan ditubuhkan di hab baharu ini.

Dalam pada itu Ramjeet turut mengalu-alukan kehadiran Datuk Seri Aminuddin melawat tapak baharu DLIM.

“Kami berterima kasih di atas bimbingan dan sokongan yang diberikan oleh pihak Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan visi kami untuk membina hab halal pengilangan bertaraf dunia untuk negara.

“Usaha ini adalah manifestasi Kerjasama Bistari Awam-Swasta Malaysia untuk membangunkan negara secara berterusan di samping memartabatkan Agenda Jaminan Makanan,” katanya.

Sementara itu Datuk Seri Aminuddin berkata, bagi pihak kerajaan negeri, beliau mengucapkan tahniah kepada DLMI atas keyakinan dan sokongannya terhadap Negeri Sembilan dengan membina hab pembuatan tenusu halal baharu bertaraf dunia di negeri itu “Dengan keupayaan dan kecanggihan teknologi bersepadunya, DLMI pada asasnya membina Kilang Pintar dengan piawaian Industri 4.0 dan ini akan mewujudkan pelbagai peluang masa hadapan yang boleh memberi manfaat kepada negeri dan negara kita,” katanya.

Sumber: DagangNews

Hab baharu Dutch Lady Milk terima kunjungan Menteri Besar Negeri Sembilan


Content Type:

Duration:

Petronas Gas Bhd (PGB) telah meluluskan “keputusan pelaburan akhir (FID)” membabitkan pembinaan projek stesen pemampat gas baharu di Kluang, Johor dengan kos pelaburan sejumlah RM460 juta.

Syarikat itu akan membina dan memasang stesen yang bertujuan meningkatkan kapasiti gas Peninsular Gas Utilization (PGU) II, khususnya di wilayah selatan, sebagai sebahagian daripada perniagaan pengangkutan gas PGB.

“Kapasiti gas tambahan yang terhasil daripada projek ini akan merangsang pertumbuhan permintaan gas daripada pelbagai industri di wilayah selatan dan menyediakan jaminan bekalan kepada pengguna gas yang sedia ada di rantau ini,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Projek ini selesai dan ditauliahkan pada suku pertama 2024.

“PGB akan menggunakan kemudahan pembiayaan Islam daripada RHB Islamic Bank Berhad untuk membiayai kos projek,” kata syarikat itu dan menambah, tiada kesan material ke atas pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan penggearan untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2021.

Sumber: Bernama

Petronas Gas lulus pelaburan RM460 juta untuk projek stesen pemampat gas di Johor


Content Type:

Duration:

wpChatIcon