Berita Industri Archives - Page 2 of 29 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Enovix labur AS$100 juta buka kemudahan baharu di Pulau Pinang

Enovix Corporation (Enovix), sebuah syarikat bateri silikon termaju, merancang melabur AS$100 juta untuk membuka kemudahan pembuatan baharu di Penang Science Park.

Ketua Pegawai Operasi Enovix, Ajay Marathe, berkata kemudahan baharu itu akan menjadi satu kejayaan penting bagi Enovix kerana ia menyasarkan untuk meningkatkan teknologi bateri silikon termajunya.

“Enovix dan YBS International Bhd (YBS), sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang berpangkalan di Malaysia, memeterai perjanjian rasmi hari ini sebagai tanda meraikan kemudahan pembuatan baharu kami di Penang Science Park.

“Kami sangat teruja untuk mengumumkan peristiwa penting ini. Selain bekerjasama dengan YBS, kami berharap dapat bekerjasama dengan MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia), Wilayah Ekonomi Koridor Utara, dan InvestPenang untuk memasukkan insentif pelaburan, yang akan menyokong usaha jangka panjang kami di Malaysia,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani rasmi Perjanjian Bekalan Pembuatan (MSA) antara Enovix dan YBS.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman; CEO YBS, Jackie Yong Chan Cheah; Penasihat Khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Lee Kah Choon; dan CEO InvestPenang, Datuk Loo Lee Lian.

Ajay berkata, Malaysia dan terutamanya Pulau Pinang, kaya dengan jurutera terlatih semikonduktor yang mempunyai daya pemikiran cemerlang dalam pembuatan.

Beliau berkata, kerjasama yang dicadangkan itu akan menjadi platform bagi kumpulan dan anak syarikatnya untuk mempelbagaikan, mengembangkan dan mengukuhkan lagi perniagaannya.

Kerjasama itu juga akan memberikan aliran pendapatan kepada kumpulan, sekali gus akan menyumbang kepada keuntungan kumpulan pada masa depan serta menyokong pertumbuhan pesat kumpulan itu di rantau ini, katanya.

Sementara itu, Arham berkata penubuhan hab pembuatan Enovix di Malaysia menandakan satu langkah penting, membawa teknologi bateri anod silikon termaju ke negara ini.

Beliau berkata, ini memberikan peluang unik kepada syarikat tempatan seperti YBS untuk bekerjasama dan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global, yang mendapat manfaat daripada kepakaran mendalam Enovix, mendatangkan keuntungan dari segi kos dan akses kepada teknologi terkini.

“Pakatan sebegini mewujudkan sinergi dinamik, menyumbang kepada pertumbuhan kukuh ekonomi negara kita, sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan Pelan Pelaburan Baharu (NIP) kita.

“Kerjasama anda mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai ekonomi yang dipacu inovasi dan akan membolehkan kami terus mencipta peluang kerjaya baharu dan menarik untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

Enovix labur AS$100 juta buka kemudahan baharu di Pulau Pinang


Content Type:

Duration:

Pulau Pinang berada di landasan betul untuk menjadi pusat industri halal bagi wilayah utara, kata Halal Development Corporation Bhd (HDC).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Hairol Ariffien Sahari berkata terdapat peluang besar bagi industri ini di Pulau Pinang untuk meningkatkan pertumbuhan ekonominya dengan menggalakkan perniagaan berkaitan halal untuk memperoleh pensijilan halal.

“Pensijilan halal tidak boleh dilihat sebagai satu keperluan agama. Ini adalah satu perniagaan yang penting dan kuasa pasaran untuk pertumbuhan ekonomi berikutan perubahan dari segi permintaan pengguna,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya ia juga telah menjadi lambang kepercayaan dan kredibiliti dalam kalangan pengguna yang banyak mempengaruhi pertumbuhan perniagaan.

Sehubungan itu, beliau berkata visi menyokong Malaysia untuk menjadi hab halal di peringkat dunia menerusi usaha kolektif antara agensi kerajaan Persekutuan dan negeri adalah wajar.

Hairol Ariffien berkata sehingga Februari 2023, lebih daripada 900 produk makanan, minuman dan premis makanan telah menerima pensijilan halal di Pulau Pinang, dan HDC komited untuk bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan untuk meningkatkan jumlah itu.

HDC adalah antara agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang menjadi penganjur bersama Hari MITI 2023 yang diadakan di Kubang Menerong, Pulau Pinang pada Ahad.

Hari MITI 2023 bertemakan “Perkasa Industri, Maju Ekonomi” diadakan dengan objektif utama untuk mengeratkan hubungan kementerian dengan masyarakat serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana berhubung peluang perniagaan di Malaysia.

Sumber: Bernama

Pulau Pinang di landasan betul jadi pusat industri halal wilayah utara – HDC


Content Type:

Duration:

Kerajaan perlu terus memberikan penekanan kepada kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) dan institusi pendidikan untuk memastikan negara berupaya untuk terus membekalkan bakat tempatan yang relevan dengan keperluan semasa dan industri baharu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pada masa ini, Malaysia kekal sebagai negara yang kompetitif dari segi menyediakan bakat tempatan kepada pelabur luar berikutan penguasaan bahasa Inggeris yang baik serta pengetahuan teknikal yang mampu memenuhi permintaan pelabur luar di negara ini.

“Selama ini (antara sebab) kita berjaya menarik pelabur (luar masuk ke dalam negara) adalah kerana kita mempunyai tenaga kerja yang diperlukan dan relevan kepada (pelaburan) mereka.

“Tetapi kita tidak boleh leka atau berpuas hati dengan pencapaian tersebut berikutan teknologi itu sentiasa berubah dan tahap kepakaran yang diperlukan semakin tinggi sekiranya kita mahu meningkatkan rantaian nilai,“ katanya pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV hari ini.

Berkenaan penyediaan infrastruktur, Tengku Zafrul berkata setakat ini Malaysia mempunyai infrastruktur yang baik dari segi kelajuan talian komunikasi untuk menarik pelabur.

“Bagaimanapun, kita juga harus bersedia dengan perkembangan teknologi (yang mencipta industri baharu) seperti ekonomi digital dan (kemajuan capaian jalur lebar) 5G, di samping perkembangan teknologi hijau,“ katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kestabilan politik turut memainkan peranan penting dalam memastikan negara kekal menarik perhatian pelabur asing.

Kestabilan politik di Malaysia akan menyebabkan pelabur luar lebih yakin berikutan kerajaan berupaya membuat keputusan atau perancangan jangka panjang dan berskala besar, katanya.

“Jika kita lihat sekarang, kebanyakan pelan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelan yang bersifat jangka panjang dengan sasaran untuk tempoh 10 tahun. Ini semua memainkan peranan untuk meningkatkan keyakinan pelabur luar kepada negara,” katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri juga sering menekankan kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan kerjasama di antara institusi TVET dengan syarikat dan industri supaya lulusan ini berpeluang mendapat pekerjaan.

Menurutnya segelintir pihak di negara ini berpendapat lulusan TVET kurang penting, sebaliknya di negara-negara maju seperti Eropah, TVET adalah antara cabang kursus yang amat penting untuk mendapatkan pekerjaan.

Sumber: The Sun Daily

Kerajaan, IPT bekerjasama sedia bakat tempatan seiring keperluan semasa, industri baharu


Content Type:

Duration:

Selepas dilancarkan kira-kira 10 tahun lalu, projek Taman Industri Maritim Tanjung Agas, dekat Pekan, dijangka menerima kumpulan pelabur baru bagi memajukan industri minyak dan gas di situ.

Ketika dilancarkan pada Dis 2010 oleh Najib Razak – yang ketika itu menjadi perdana menteri – projek pembinaan taman industri minyak, gas dan lojistik melalui inisiatif Wilayah Pembangunan Pantai Timur (ECERDC) itu menerima peruntukan awal berjumlah RM300 juta.

Ia adalah bagi menyediakan kemudahan infrastruktur dan mempercepat pembangunan sektor minyak dan gas di kawasan seluas 1,710 hektar itu.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Pahang, Mohamad Nizar Najib, berkata kumpulan pelabur dari China adalah antara pihak yang menunjukkan minat untuk terbabit dalam pembangunan di Tanjung Agas.

“Mungkin ada kumpulan pelabur mengambil kira kemudahan dan pelan (pembangunan) diperlukan jika mereka ingin ke Tanjung Agas.

“Macam spesifikasi yang mereka perlukan atau susun atur yang mereka nak di Tanjung Agas serta perancangan industri yang mereka mahu jika nak masuk (melabur) di sini.

“Antara yang menunjukkan minat adalah (pelabur) dari China dan ada juga dari Eropah, jadi saya harap ia boleh dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui media selepas majlis jerawaraya perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas Pantai Timur 2023 di Kuantan, Pahang, hari ini.

Ketika ditanya mengenai dakwaan kononnya projek terbabit menjadi ‘gajah putih’ Mohamad Nizar yang juga Adun Peramu Jaya menafikan perkara itu.

Katanya Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) sentiasa berusaha mencari pelabur baru untuk projek berkenaan.

“Cuma dalam keadaan (ekonomi) semasa, saingan berlaku dan bukan hanya di sini (Tanjung Agas) sahaja,” katanya lagi.

Mohamad Nizar juga berpendapat kerajaan akan mengekalkan insentif sedia ada bagi menarik pelaburan asing ke negara ini, termasuk ke Pahang.

“Kita perlu kekalkan insentif dan ini berkaitan dengan Mida (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) dan pihak ECER (Wilayah Ekonomi Pantai Timur), tawarkan insentif cukai pelaburan.

“Selain itu, kerajaan Pahang juga sedang berurusan dengan syarikat profesional, konsultan percukaian untuk melihat apa kelebihan yang boleh ditawarkan kepada pelabur berbanding tempat lain,” katanya lagi.

Mohamad Nizar turut mempelawa pelabur yang berminat terutamanya berkait industri minyak dan gas untuk segera membuat keputusan dan tidak menunggu projek lapangan terbang antarabangsa yang dijangka siap pada 2026.

“Pahang dah ada pelabuhan dan tidak lama lagi projek ECRL (Rangkaian Rel Pantai Timur) siap, ketika itu nilai tanah di sini sudah meningkat, jadi kalau nak melabur, datang sekarang,” katanya.

Sumber: Malaysiakini

Tanjung Agas sedia terima kumpulan pelabur baru


Content Type:

Duration:

KUALA LUMPUR – Keyakinan berterusan syarikat semikonduktor dari Jerman, Infineon Technologies AG terhadap ekosistem pelaburan Malaysia mencerminkan kedudukan Malaysia yang penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia menjadi pelengkap kepada Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan fokus di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu iaitu untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi dan bernilai tinggi bagi menyokong ekonomi global dan domestik.

“Malaysia ialah hab penting bagi Infineon dalam pembuatan fabrikasi wafer (Kulim, Kedah) dan aktiviti pembungkusan semikonduktor cip (Melaka).

“Ini terbukti melalui jumlah pelaburan sebanyak RM28 bilion yang telah dilakukan oleh syarikat di Malaysia sehingga kini,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook beliau pada Selasa.

Perdana Menteri berkata, beliau turut mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil Infineon, syarikat yang telah beroperasi di negara ini selama 50 tahun (sejak 1973) semalam.

Beliau berkata, dalam pertemuan itu, Ketua Pegawai Operasi Infineon Technologies AG, Dr Rutger Wijburg turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas sokongan yang diberikan kepada syarikat itu. 

Sumber: Bernama

Pelaburan Infineon bukti Malaysia penting dalam rantaian semikonduktor


Content Type:

Duration:

Malaysia akan memberikan pemudahcaraan imigresen kepada pelabur strategik yang membuat pelaburan berkualiti dengan nilai sekurang-kurangnya RM5 bilion di Malaysia, demikian diumumkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Ini terutamanya untuk pelaburan dalam sektor pembuatan yang disasarkan yang digalakkan oleh kerajaan melalui Dasar Pelaburan Baharu (NIP) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang akan datang, katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pelabur strategik dikenal pasti sebagai mana-mana individu strategik untuk pelaburan, merangkumi pemilik syarikat, pengurusan peringkat atasan dan pembuat keputusan utama.

Pelabur strategik boleh diberikan Residence Pass Talent (RP-T) yang disesuaikan secara khusus tanpa perlu memperoleh pas pekerjaan sedia ada atau mempunyai kehadiran bekerja di Malaysia sebelum ini.

Menurut MITI, pas ini, yang diproses oleh Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp), akan memudahkan kemasukan dan penginapan pelabur yang layak, serta pasangan dan tanggungan mereka sehingga tempoh 10 tahun di Malaysia.

Katanya calon laluan pantas RP-T dikenal pasti dan dicadangkan oleh agensi tertentu berdasarkan nilai pelaburan mereka dan/atau potensi untuk dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Laluan Pantas RP-T.

MITI turut mengumumkan butiran pemudahcaraan imigresen untuk pekerja nomad, yang ditakrifkan sebagai pekerja bebas digital, kontraktor bebas dan pekerja jarak jauh dalam sektor pembuatan yang disasarkan di bawah NIP dan NIMP 2030.

“Pas Nomad Digital untuk sektor pembuatan akan membolehkan tenaga kerja asing yang mahir dari segi digital atau teknikal untuk tinggal di Malaysia bersama pasangan dan tanggungan mereka sehingga tempoh dua tahun, memanfaatkan Pas Nomad Digital DE Rantau yang diperkenalkan pada Oktober 2022 oleh Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC),” katanya.

Penyampaian pas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada beberapa pelabur dan pekerja nomad telah diadakan di Jabatan Perdana Menteri semalam.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata RP-T dan Pas Nomad Digital DE Rantau adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh kerajaan untuk menambah baik dan mengukuhkan landskap dan ekosistem pelaburan negara.

“Langkah segera ini penting untuk Malaysia memanfaatkan pembentukan semula semasa syarikat multinasional bagi rantaian bekalan global mereka berikutan mereka beralih daripada kecekapan kos kepada keselamatan rantaian bekalan sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian risiko global mereka,” katanya.

Tengku Zafrul berkata pemudahcaraan imigresen untuk sektor pembuatan akan membantu menarik pelaburan bernilai tinggi yang berkualiti dan profesional berkemahiran tinggi serta meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan dan memacu keusahawanan digital.

Pemudahcaraan imigresen tersebut diselaraskan secara bersama oleh MITI dengan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Komunikasi dan Digital, Jabatan Imigresen Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, TalentCorp dan MDEC.

Pemudahcaraan imigresen untuk pelabur strategik dan pekerja nomad dalam sektor pembuatan telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada 14 Julai 2023, untuk menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan dan memudahkan pelaburan langsung asing dan pelaburan langsung domestik di Malaysia.

Untuk rekod, Malaysia menarik RM71.4 bilion untuk pelaburan yang diluluskan pada suku pertama 2023 dengan sektor perkhidmatan mendahului sektor lain dengan nilai sebanyak RM53.6 bilion, menyumbang 75.1 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.

Subsektor maklumat dan komunikasi menduduki tempat kedua dengan pelaburan yang diluluskan bernilai RM24.9 bilion, mewakili 46.5 peratus. Sektor pembuatan Malaysia menarik RM15.6 bilion atau 21.8 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.

Sumber: Bernama

Pelabur strategik labur sekurang-kurangnya RM5 bilion nikmati pemudahcaraan imigresen – MITI


Content Type:

Duration:

Pembukaan stesen pengecas pertama Tesla Inc di Malaysia akan menjadikan ekosistem automotif tempatan lebih berdaya saing dan membantu memberi isyarat kepada pasaran global bahawa negara ini serius untuk membangunkan industri kenderaan elektrik (EV), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Tengku Zafrul berkata memandangkan industri EV agak baharu di Malaysia, ramai pelabur tempatan dan asing masih menunggu kepastian dalam pasaran sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.

Beliau percaya bahawa pembukaan stesen pengecas Tesla akan membantu menyemai keyakinan dalam kalangan pelabur EV yang bukan sahaja berminat untuk melabur dalam kemudahan pengecasan tetapi juga mengambil bahagian dalam keseluruhan rantaian bekalan.

“Kita meliberalisasikan industri dan kita perlu mendorong. Kitai mahu memastikan peraturan itu jelas.

“Mereka juga ingin tahu berapa pantas kereta itu masuk. Justeru, bagi orang yang melabur dalam stesen pengecasan, mereka mahu melihat kita juga memulakannya. Tesla menunjukkan contoh yang baik dengan memasang stesen pengecas terlebih dahulu,” katanya kepada Bernama.

Pada 19 Julai lalu, Tengku Zafrul melancarkan stesen ‘supercharging’ Tesla di Pavilion di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, stesen pengecas EV pertama pembuat kereta terkemuka itu di negara ini yang merancang untuk membina sekurang-kurangnya 50 stesen pengecasan di seluruh negara.

Beliau berkata sembilan lokasi stesen pengecasan telah dikenal pasti termasuk di Bukit Jalil, Petaling Jaya dan Dengkil manakala di luar Lembah Klang adalah di Ipoh, Perak; Perai, Pulau Pinang; Seremban, Negeri Sembilan; dan Iskandar Puteri, Johor, dua lagi lokasi akan diumumkan tidak lama lagi.

Pada peringkat awal, lokasi stesen pengecasan akan tertumpu di bandar-bandar besar tetapi bukan sahaja terhad kepada pusat beli-belah kerana Tesla juga merancang untuk mempunyai stesen pengecasan di kawasan terbuka (outdoor), katanya.

Tengku Zafrul berkata banyak syarikat di Malaysia terlibat dalam rantaian bekalan membina stesen pengecas Tesla yang seiring dengan harapan kerajaan untuk mewujudkan kesan limpahan ketara kepada rakyat dan ekonomi secara keseluruhan.

“Malaysia mempunyai ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) yang kukuh yang dibina sejak 50 tahun lalu terutama dalam perniagaan semikonduktor, ia merupakan komponen utama dalam pembuatan kereta EV.

“Ia sangat menggembirakan untuk melihat syarikat di Malaysia menyokong bukan sahaja Tesla tetapi keseluruhan industri, kerajaan komited untuk mempercepatkan kelulusan pembangunan infrastruktur supaya sepadan dengan standard bertaraf dunia selama tiga bulan,” katanya.

Mengulas mengenai keseimbangan dalam pasaran EV tempatan, Tengku Zafrul berkata memandangkan bilangan stesen pengecas EV menunjukkan aliran menaik, permintaan dan penawaran kereta EV akan turut menyusul kemudian.

“Justeru itu, pelabur kepada kemudahan pengecasan tersebut boleh mendapat pulangan modal dengan lebih cepat,” katanya.

Memetik tinjauan oleh syarikat kemudahan mengenakan bayaran, Tengku Zafrul berkata pulangan modal dalam pelaburan dalam stesen pengecasan berdasarkan persekitaran semasa, mungkin dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Kerajaan menyasarkan untuk mempunyai 10,000 stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang tahun 2025 terdiri daripada 9,000 unit jenis arus ulang alik (AC) dan 1,000 unit jenis arus terus (DC).

Setakat ini lebih 1,000 stesen pengecas EV telah dipasang.

Tengku Zafrul berkata elektrifikasi besar-besaran sektor automotif dan industri pembuatan Malaysia sesuai dengan agenda karbon sifar bersih, alam sekitar, sosial dan tadbir urus Malaysia dan rantau ini.

Malaysia menyasarkan 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) disumbangkan oleh EV dan kenderaan hibrid menjelang 2030 dan 38 peratus daripada TIV menjelang 2040.

Sumber: Bernama

Tesla akan jadikan ekosistem EV Malaysia lebih kompetitif


Content Type:

Duration:

Kehadiran kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik sepenuhnya Tesla, Model Y yang dijangka mendapat sambutan baik di peringkat domestik, tidak akan mendatangkan impak atau ancaman ketara terhadap industri automotif tempatan dalam masa terdekat, kata Kenanga Research.

Cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank Bhd itu berkata Model Y ditetapkan pada harga kompetitif iaitu RM199,000 hingga RM288,000 berbanding saingannya dalam segmen SUV kompak dengan kadar pembiayaan lebih rendah.

“(Ini memandangkan), lebih daripada 70 peratus kenderaan yang dijual di peringkat tempatan berharga kurang daripada RM100,000, termasuk 40 peratus di bawah RM50,000,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Kenanga juga menyifatkan kenderaan elektrik itu jauh daripada kategori harga berpatutan serta berupaya menggantikan kehadiran kenderaan yang dipacu oleh enjin pembakaran secara dalaman (ICE).

“Dalam keadaan seperti kekurangan stesen pengecasan EV sehinggalah strategi holistik bagi membangunkan ekosistem EV yang mantap, apa yang pasti adalah kenderaan ICE masih lagi dominan,” katanya.

Menurutnya, Perodua yang menguasai hampir 50 peratus daripada jumlah keseluruhan industri tempatan (TIV), akan lebih menumpukan kereta hibrid (dijangka dilancarkan di bawah paras harga RM70,000) bagi membina kepakaran tempatan serta secara beransur-ansur mengalihkan kapasiti vendor ke arah menyetempatkan komponen utama EV seperti bateri, elemen ‘inverter’ atau penyongsang dan motor.

Pengeluar kenderaan itu juga telah menyatakan dalam usaha mengeluarkan EV pada harga berpatutan, wujud keperluan untuk membangunkan ekosistem bekalan alat ganti EV yang dikeluarkan di peringkat tempatan.

Kenanga berkata, Bermaz Auto pula telah menyatakan hasratnya untuk terus memantau perkembangan ekosistem EV secara teliti, seiring dengan komitmen dan bersaing dengan jenama EV lain menerusi pelancaran pelbagai model EV siap dipasang (CBU) baharu.

Ini termasuk Mazda MX-30, Kia EV6, Kia Niro EV dan Peugeot e-2008 yang merupakan model lebih baharu berbanding Model Y Tesla.

Selain itu, Kenanga juga menyifatkan kehadiran Tesla di Malaysia dijangka mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran dan bergaji lebih menarik dalam segmen bateri EV dan peningkatan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem itu.

“Aspek itu akan secara strategiknya memanfaatkan ekosistem elektrik dan elektronik Malaysia bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan untuk teknologi berkaitan mobiliti karbon rendah,” katanya.

Tesla telah mengumumkan pelan pembangunan komprehensif untuk pusat pengalaman, perkhidmatan dan sokongan selain infrastruktur berkaitan pengecasan di negara ini bagi menyuntik pengalaman pemilikan serba lancar selain membina rangkaian pengecas super EV.

Ini termasuk sekurang-kurangnya 50 pengecas super dalam tempoh tiga tahun daripada 10 pengecas sedia ada yang mana 30 peratus daripadanya boleh digunakan oleh jenama lain.

Kenanga yang mengekalkan unjuran TIV 2023 sebanyak 720,000 unit dan menyamai rekod yang dicapai tahun lepas, juga menyifatkan kehadiran sebuah kereta baharu masih kekal sebagai kemewahan yang mampu milik untuk kebanyakan rakyat Malaysia walaupun dalam senario inflasi tinggi dan ekonomi global yang perlahan.

Ia turut mengunjurkan peningkatan sebanyak 11 peratus daripada 650,000 unit yang dijangkakan oleh Persatuan Automotif Malaysia pada Januari lepas.

Menurutnya, sentimen optimis itu didorong oleh oleh kekukuhan keyakinan pengguna bersandarkan kepada kestabilan ekonomi, pasaran kerja yang lebih sihat, kemampuan kenderaan bermotor dalam keadaan harga kereta baharu yang stabil susulan penangguhan peraturan duti eksais baharu serta model baharu yang menarik.

Sumber: Bernama

‘Tesla tidak beri impak ketara terhadap penggiat auto tempatan’


Content Type:

Duration:

Tesla, pengeluar automotif elektrik multinasional terkemuka Amerika, mengumumkan pengembangan strategiknya ke pasaran Malaysia melalui Tesla Malaysia Sdn Bhd.

Menurut kenyataan bersama Tesla dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), langkah itu adalah tindak balas langsung kepada inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Syarikat itu akan memperkenalkan barisan kenderaan elektrik (EV) yang canggih kepada pengguna Malaysia, bermula dengan Model 3 dan Model Y.

“Memandangkan Tesla berazam untuk memenuhi pelbagai keperluan dan pilihan rakyat Malaysia, lebih banyak modelnya akan diperkenalkan pada masa hadapan.

“Pelanggan Malaysia kini boleh mengakses laman sesawang rasmi Tesla untuk membuat pesanan mereka,” katanya.

Tesla juga komited untuk melabur dalam menyediakan rangkaian yang luas stesen pengecasan pantas dan pengecasan biasa merentas lokasi strategik di Malaysia untuk memberikan pemilik EV pengalaman pengecasan yang lancar dan mudah, sekali gus menggalakkan penggunaan EV secara meluas di negara ini.

Syarikat itu akan menubuhkan ibu pejabat dan pusat perkhidmatannya yang tercanggih di Cyberjaya, Selangor untuk semua operasi korporat, pemasaran, latihan, aktiviti sokongan pelanggan dan perkhidmatan kenderaan, dilengkapi dengan alat diagnostik termaju dan kakitangan dengan juruteknik Tesla yang sangat terlatih.

Ia juga akan menubuhkan pusat pengalaman di kawasan metropolitan utama di seluruh Malaysia, memberikan pelanggan pengalaman secara langsung memandu model EV terkini.

“Pusat-pusat ini akan berfungsi sebagai ruang interaktif untuk bakal pembeli mendapatkan pandangan tentang faedah mobiliti elektrik dan menerima bantuan peribadi daripada wakil jualan Tesla yang berpengetahuan,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata ia memberi tumpuan kepada mentransformasikan landskap perindustrian dan pelaburan Malaysia bukan sahaja untuk menarik syarikat seperti Tesla bagi membantu meningkatkan kedudukan pembekal domestik dalam rantaian nilai global, tetapi juga membuka peluang ekonomi baharu yang ‘lebih hijau’ dan mewujudkan pekerjaan bergaji lebih tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Kehadiran Tesla di sini akan membantu meningkatkan kelayakan Malaysia di pentas global sebagai negara yang menyokong perniagaan dan pelaburan, dan kita mengalu-alukan lebih ramai pelabur multinasional yang berkongsi visi kita untuk membangunkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan, seimbang dan inklusif untuk negara kita,” kata Menteri berkenaan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

MIDA telah meluluskan 58 projek berjumlah RM26.2 bilion dalam industri EV dan ekosistem berkaitannya dari 2018 hingga Mac 2023.

Sementara itu, pengarah serantau Tesla Isabel Fan berkata misi syarikat adalah untuk mempercepatkan peralihan dunia kepada tenaga mampan, dan ia berazam untuk membantu memacu masa depan yang lebih hijau untuk Malaysia.

Di bawah Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030, Malaysia menyasarkan untuk memastikan kenderaan EV termasuk hibrid (xEV) menyumbang sekurang-kurangnya 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) menjelang 2030 dan 38 peratus daripada TIV menjelang 2040, serta 10,000 unit kemudahan pengecasan menjelang 2025.

Sumber: Bernama

Tesla pacu mobiliti kemampanan menerusi pengembangan strategik di Malaysia


Content Type:

Duration:

Dalam usaha memperluas ekosistem kenderaan elektrik (EV) di negara ini pemasangan lebih banyak stesen pengecas EV adalah satu aspek yang perlu diberikan tumpuan utama, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata kerajaan menyasar untuk memasang 10,000 stesen pengecas EV menjelang 2025, dan pengecas super charger Tesla akan dapat menyumbang kepada sasaran tersebut.

“Tesla dikehendaki memasang sekurang-kurangnya 50 super charger menjelang tahun 2026, dan 30 peratus daripada super charger ini perlu terbuka untuk jenama EV yang lain.

“Ini bermakna, kesemua pemilik EV akan dapat manfaat. Ini adalah langkah yang baik dalam mempromosikan penggunaan EV secara menyeluruh,” katanya menerusi ciapan di laman Twitter beliau, hari ini.

Menurutnya, sebanyak lapan super charger Tesla yang laju dan cekap telah dipasang di pusat membeli belah Pavilion Kuala Lumpur.

“Selain Pavilion, terdapat sembilan lokasi lain di seluruh Malaysia yang turut mempunyai super charger. Di Lembah Klang, terdapat tiga lokasi iaitu di Bukit Jalil, Petaling Jaya, dan Dengkil manakala di luar Lembah Klang, ia terletak di Iskandar Puteri, Perai, Ipoh, dan Negeri Sembilan.

“Dengan 10 lokasi ini, dijangka 95 peratus daripada sasaran Tesla untuk pemasangan 50 super charger akan tercapai, kerana setiap lokasi akan dipasang empat hingga dua belas stesen pengecas,” katanya.

Tengku Zafrul juga berkata Tesla telah memberikan komitmen untuk meningkatkan bilangan super charger di seluruh Malaysia melebihi sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Ini adalah permulaan yang baik, dan diharapkan pengeluar lain akan turut serta untuk menambah bilangan pengecas dan super charger di seluruh negara.

“Menariknya, Tesla juga banyak menggunakan komponen tempatan dalam pembuatan kenderaan mereka.

“Dengan adanya pelaburan ini, pembekal tempatan di Malaysia akan terus berkembang, dan diharapkan lebih banyak peluang pekerjaan akan tercipta untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

Pemasangan lebih banyak stesen pengecas EV perlu diberi tumpuan utama – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Malaysia berada di landasan betul untuk menjadi kuasa kenderaan elektrik (EV) yang hebat di Asia Tenggara dengan kerajaan secara agresif menggalakkan ekosistem EV yang kondusif, disokong bukti komitmen perniagaan yang kukuh seperti ditunjukkan oleh dua syarikat automotif terkenal dunia, Geely dan Tesla.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mohd Shamsor Mohd Zain, berkata kemasukan Zhejiang Geely Holding Group Co, atau ringkasnya Geely, dari China dan Tesla Inc yang beribu pejabat di Amerika Syarikat (AS) ke dalam pasaran Malaysia berperanan sebagai petunjuk jelas kerelevenan negara dalam landskap automotif serantau.

Beliau berkata, kedua-dua pembuat kereta itu, dengan pengalaman global luas dan akses kepada teknologi terkemuka, boleh memperkenalkan idea dan cara baharu menjalankan perniagaan kepada sektor automotif tempatan, seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D) berteknologi tinggi untuk produk baharu yang mungkin pada masa ini tidak tersedia di negara ini.

“Sebagai contoh, elektrifikasi pula bermakna satu perubahan dalam komponen kenderaan, dengan lebih tumpuan diberikan kepada pembuatan bateri dan komponen khusus lain untuk EV.

“Kita juga akan menyaksikan industri menerima guna kemahiran dan infrastruktur baharu yang sesuai untuk pelbagai peringkat elektrifikasi, daripada hibrid sederhana kepada kenderaan elektrik sepenuhnya, selain memberi kemahiran tambahan dan baharu di luar kemahiran sedia ada yang dimiliki tenaga kerja automotif, di samping membuka peluang baharu untuk inovasi, R&D dan pembuatan komponen bernilai tinggi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, dengan sokongan kerajaan yang betul serta infrastruktur dan dasar yang dilaksanakan, Malaysia berkedudukan baik untuk menjadi hab serantau yang menyokong pertumbuhan EV global memandangkan kedudukan strategik dan keadaan ekonomi yang menggalakkan.

Malaysia adalah hab pembuatan elektrik dan elektronik utama di Asia Tenggara, oleh itu, pembuat kenderaan dan pelabur automotif boleh memanfaatkan kapasiti ini dengan lancar untuk menjamin rantaian bekalan mereka bagi mengembangkan pengeluaran kenderaan generasi akan datang (NxGV), katanya.

Subsektor komponen boleh dimanfaatkan untuk memberi perkhidmatan kepada keseluruhan rantaian nilai automotif meliputi semikonduktor, pengesan, elektronik automotif, penghantar-terima, bateri dan pemasangan kenderaan.

Mohd Shamsor berkata, dengan lebih 40 jenama dalam pasaran domestik pada masa ini, kemasukan peserta baharu sudah pasti akan menambahkan keterujaan pasaran dan menimbulkan lebih banyak minat dalam kalangan pengguna.

Selain itu, ini juga akan mewujudkan pasaran pembeli dengan menyediakan lebih banyak pilihan dan meningkatkan daya saing, memastikan semua peserta automotif sentiasa bersedia dan memberikan perkhidmatan dan tawaran lebih baik untuk pengguna.

“Malaysia mungkin baharu dalam industri EV namun, dengan sokongan padu kerajaan dan dasar negara yang progresif ditambah dengan pembelian pengguna yang semakin tinggi, kami menjangkakan pertumbuhan holistik yang pesat dalam pasaran EV tempatan kita.

“Peserta baharu dalam ruang EV akan membawa kepada persaingan lebih hebat, yang seterusnya akan merangsang lebih banyak pelaburan daripada peserta automotif serta peningkatan kualiti produk dan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

Selain itu, Mohd Shamsor berkata dengan lebih banyak EV, termasuk model pemasangan tempatan sepenuhnya (CKD), masuk ke negara ini, maka akan terdapat peluang perniagaan baharu untuk kalangan vendor.

Sementara itu, Pro Naib Canselor Kolej Universiti i-CATS, Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor, berkata EV masih dianggap sebagai pasaran khusus bagi landskap automotif domestik, oleh itu, permintaan serta penawaran yang kukuh adalah sama penting untuk industri ini menembusi pasaran Malaysia pada kadar yang amat bermakna.

Beliau berkata, ketika Malaysia menguruskan kelebihan daya saingnya berdasarkan piawaian dunia, pelarasan utama dalam struktur pekerjaan, cukai dan peruntukan subsidi juga tidak dapat dielakkan dalam usaha untuk mencatatkan saiz pembeli, pembuat serta pelaburan yang diperlukan bagi mengembangkan industri ini.

“Di beberapa negara EV terkemuka, cukai karbon dikenakan untuk menggalakkan pengguna dan pembuat beralih kepada kenderaan yang lebih mesra alam.

“Malaysia dahulunya sebuah negara pertanian dan berasaskan komoditi, namun kini ekonominya mempunyai sektor pembuatan dan perkhidmatan yang pesat, dan akan menjadi sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030. Kita mesti bergerak maju dan memberi laluan kepada perubahan baharu,” katanya.

Geely dan rakan kongsi Malaysia, DRB-Hicom Bhd, mengumumkan rancangan untuk membangunkan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Perak, sebagai hab NxGV Malaysia, meliputi rantaian nilai penyelesaian automotif dan mobiliti yang meluas.

Ia dijangka menarik pelaburan kolektif bernilai RM32 bilion daripada pelbagai pihak.

Pada 18 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Geely akan membuat pelaburan besar iaitu sebanyak AS$10 bilion, atau kira-kira RM45 bilion, untuk menjadikan Tanjung Malim sebagai bandar auto terbesar di rantau ini.

Shazali berkata, komitmen terbaru Geely itu akan mewujudkan kesan limpahan luar biasa bukan sahaja untuk Tanjong Malim malah juga Malaysia secara keseluruhannya, menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan.

“Pemindahan teknologi dari China akan dilakukan secara besar-besaran, ini akan turut membawa kepada kewujudan industri lain yang berkaitan, sekali gus menyumbang kepada daya saing Malaysia di dunia,” katanya.

Menerusi pelaburan besar-besaran di Tanjung Malim, lokasi itu berpotensi menjadi seperti Detroit di AS, yang digelar ‘Motor City’.

“Mereka bukan sahaja akan mewujudkan peluang pekerjaan malah juga kelas pekerjaan mahir yang berbeza,” katanya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini berkata AHTV adalah satu-satunya kluster automotif di Malaysia yang diiktiraf secara rasmi sebagai hab NxGV dan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Justeru, kerajaan menawarkan pakej insentif yang menarik termasuk pengecualian cukai bagi pembangunan tanah, pembuatan alat ganti dan komponen serta penubuhan pusat penyelidikan dan institusi pendidikan, katanya.

Mohd Shamsor berkata, Malaysia mempunyai pasaran automotif domestik yang baik dan menjanjikan prospek pertumbuhan dari segi jualan, manakala rekod prestasi industri dalam sektor yang sama meletakkan negara secara strategik sebagai hab serantau yang berpotensi untuk pengeluaran dan pemasangan jenis kenderaan baharu.

“Kini, negara-negara di seluruh dunia berusaha untuk menempatkan elektrifikasi pengangkutan dengan sebaik mungkin. Bagi negara seperti Malaysia, yang telah lama percaya dengan merealisasikan identiti automotif tempatan, kita juga berada di titik perubahan besar dalam memperkasa pengangkutan peribadi dan komersial,” katanya.

Shazali berpandangan apabila Tesla memperluaskan kehadirannya di Asia Tenggara, syarikat itu akan meninjau untuk membuka hab pembuatan serantau, dengan Malaysia boleh mempunyai kelebihan besar memandangkan firma Elon Musk telah bersedia untuk menubuhkan ibu pejabat di Cyberjaya, serta rangkaian Supercharger Tesla, pusat Tesla Experience dan pusat servis di negara ini.

Beliau juga berpendapat, teknologi dan peluang pekerjaan berkemahiran yang dicipta melalui pengembangan luar negara ke Malaysia, bukan sahaja terhad kepada Tesla malah juga pembuat EV lain, akan meningkatkan kapasiti dan memperkukuh keupayaan negara dalam sektor automotif supaya berpotensi membina dan mereka bentuk EV sendiri pada masa hadapan.

“Telitilah sejarah Proton. Syarikat itu bermula sebagai pemasang model yang dijenamakan semula (di bawah lambang Proton) dan telah berkembang menjadi pembuat yang membuat model sendiri. Dalam jangka masa panjang, kita boleh membuat EV kita sendiri,” tambahnya.

Menurut laporan bertajuk ‘Annual Update on the Global Transition to Electric Vehicles: 2022’ (Kemas Kini Tahunan mengenai Peralihan Global kepada Kenderaan Elektrik: 2022) oleh Majlis Antarabangsa Mengenai Pengangkutan Bersih, ASEAN ialah pasaran tunggal yang merekodkan jualan sebanyak 39,000 EV pada 2022, melonjak 165 peratus tahun ke tahun.

Laporan penyelidikan ‘Global Passenger Electric Vehicle Model Sales Tracker’ (Penjejak Jualan Model Kenderaan Elektrik Penumpang Global) oleh Counterpoint, firma penganalisis industri global yang beribu pejabat di Hong Kong, mendedahkan bahawa Thailand menyumbang 58 peratus kepada jualan EV penumpang di Asia Tenggara tahun lalu, diikuti Indonesia (19.5 peratus), Vietnam (15.8 peratus) dan Malaysia (2.6 peratus).

Malaysia menyasar untuk mencatatkan 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) disumbangkan oleh kenderaan elektrik, EV dan hibrid menjelang 2030, dan 38 peratus daripada TIV pada 2040.

Sumber: Bernama

Malaysia di landasan tepat jadi kuasa EV di Asia Tenggara


Content Type:

Duration:

Projek Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) yang dibangunkan DRB-HICOM Bhd dan Zhejiang Geely Holdings Group Co Ltd (Geely) mampu membantu meningkatkan sumbangan sektor automotif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada RM64.5 bilion pada 2022 kepada RM104.2 bilion menjelang 2030.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kementerian melihat AHTV sebagai pemacu utama bagi pelabur automotif yang sedang mempertimbangkan untuk terus mendapatkan rantaian bekalan serantau atau global mereka.

Katanya, visi besar AHTV akan mengubah Tanjung Malim di Perak menjadi hab profesional industri automotif boleh menetap, bekerja dan membangunkan teknologi baharu yang akan digunakan dalam Kenderaan Generasi Akan Datang (NxGV), kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan cekap tenaga (EEV).

“AHTV juga adalah satu-satunya kluster automotif di Malaysia yang diiktiraf secara rasmi sebagai hab NxGV dan EEV.

“Justeru, kerajaan menawarkan pakej insentif yang menarik, termasuk pengecualian cukai untuk pembangunan tanah, pembuatan alat ganti dan komponen, dan penubuhan pusat penyelidikan dan institusi pendidikan.

“Untuk itu, kami melihat AHTV sebagai pemacu utama bagi pelabur automotif yang sedang mempertimbangkan untuk terus mendapatkan rantaian bekalan serantau atau global mereka,” katanya menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Vendor dan Pelabur Global 2023 di sini, hari ini.

Projek AHTV membabitkan pembukaan di kawasan berkeluasan dianggarkan kira-kira 400 hektar yang akan dibangunkan sebagai hab NxGV di Tanjung Malim.

Dalam tempoh 10 tahun akan datang, AHTV dijangka menarik pelaburan bernilai kira-kira RM32 bilion, termasuk pelaburan daripada syarikat kereta nasional, PROTON.

Apabila direalisasikan sepenuhnya, AHTV akan menjadi pusat penyelidikan berasaskan tropika diiktiraf di peringkat global dan pembangunan komponen automotif berteknologi tinggi.

Ia turut merangkumi universiti penyelidikan yang bertujuan memperluaskan keupayaan pekerja automotif Malaysia dan membantu negara menjadi peneraju serantau pendidikan kejuruteraan automotif, teknologi maklumat, kecerdasan buatan, dan pembangunan perisian.

Sementara itu Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM dan Pengerusi PROTON, Tan Sri Syed Faisal Albar, berkata Konvensyen Pelabur dan Vendor Global 2023 adalah salah satu usaha DRB-HICOM dan Geely untuk menarik pelaburan luar negara ke AHTV dan negara.

“Usaha gabungan kami serta minat kukuh yang ditunjukkan oleh vendor dari China akan membantu menarik sokongan kerajaan China, yang boleh membawa kepada lebih banyak pelaburan bagi AHTV dan Malaysia.

“Kerjasama Geely dengan PROTON dan sokongan mereka terhadap projek ini telah membolehkan beberapa pelabur dan pembekal komponen beroperasi di Tanjung Malim, dan ekosistem berteknologi tinggi mereka yang sedia ada pasti akan memainkan peranan utama dalam membawa projek ini ke hadapan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Projek AHTV bantu jana RM104.2 bilion kepada KDNK


Content Type:

Duration:

Kerajaan negeri bersedia untuk memudah cara kemasukan syarikat kenderaan elektrik Tesla Inc yang akan membuka ibu pejabat, pusat servis, dan pusat pengalaman di Selangor tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata antara lokasi sudah dikenal pasti sebagai tapak adalah di daerah Petaling, yang mana pejabat daerah serta pihak berkuasa berkaitan bersedia memudah cara dan menyelaraskan proses kemasukan pelaburan ini.

“Kehadiran Tesla Inc di Selangor menggambarkan keyakinan komuniti pelabur terhadap pentadbiran ini dan bakal menggalakkan lebih banyak syarikat antarabangsa yang menceburi bidang teknologi bateri untuk melabur di negeri ini.

“Ia juga meningkatkan keinginan generasi muda untuk mendalami bidang teknologi tinggi khusus dalam industri tenaga bersih.

“Ini bukan sahaja penting dalam industri kereta persendirian, tetapi juga penggunaan bateri tenaga bersih dalam industri pengangkutan awam seperti rel, bas, dan van,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perkembangan itu juga selaras hasrat menjadikan Selangor negeri fasiliti 5G paling cekap di Asia Tenggara, yang mana ia antara asas untuk menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara yang menawarkan peluang pekerjaan bergaji lebih tinggi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan secara maya dengan jutawan Elon Musk untuk membincangkan pelaburan pembuatan kereta Tesla di negara ini serta perkhidmatan komunikasi satelit SpaceX.

Anwar dalam kenyataan menjelaskan, kerajaan mengalu-alukan minat serta keputusan pelaburan syarikat berkenaan ke Malaysia dan juga kesediaan Musk untuk datang ke negara ini.

Katanya, ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla juga akan dibuka di Selangor tahun ini.

Sumber: Berita Harian

Kemasukan Tesla Inc ke Selangor, kerajaan negeri sedia jadi pemudah cara – Amirudin


Content Type:

Duration:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama kerajaan Malaysia dengan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc dan SpaceX, Elon Musk akan membuka puluhan ribu peluang pekerjaan tenaga mahir di negara ini.

Beliau berkata, ia susulan persetujuan diberikan Musk untuk melabur secara besar-besaran di Malaysia termasuk membuka ibu pejabat Tesla Inc di Cyberjaya.

Anwar berkata, perkara itu dimaklumkan Musk kepadanya dalam persidangan video pada Jumaat yang turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

“Malah tiga syarikat Malaysia akan terlibat dalam projek bersama SpaceX… Elon dalam pertemuan tadi menyatakan akan adakan kunjungan ke negara ini dalam masa terdekat,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khairiyah Taman Sri Gombak di sini pada Jumaat.Anwar berkata, pertemuan dengan Musk adalah satu perkembangan yang cukup baik kepada negara terutama dalam bidang EV.

“Selain itu, tentang (perkhidmatan satelit) Starlink, ia melibatkan akses kepada internet, ketersalinghubungan, kita bersetuju (kerjasama ini) akan memberi ruang kepada semua kawasan luar bandar, sekolah-sekolah dan universiti untuk mendapatkan direct internet yang murah.

“Malah Elon nyatakan dalam hal ini (Starlink) walaupun 40 (satelit) disediakan awal tapi beliau beri pengakuan sebentar tadi untuk keutamaan diberikan kepada Malaysia,” kata Perdana Menteri.

Pertemuan maya Anwar yang turut disertai Tengku Zafrul dan Fahmi bersama Musk pada Jumaat yang bermula jam 9.30 pagi berlangsung selama kira-kira 25 minit.

Jumaat lepas, Anwar memaklumkan beliau akan mengadakan pertemuan dengan Musk minggu ini bagi meneroka cara untuk syarikat kenderaan elektrik utama itu menambah pelaburan di Malaysia. 

Sumber: Bernama

Kerjasama Elon Musk bawa puluhan ribu peluang pekerjaan – PM


Content Type:

Duration:

Tesla, pengeluar automotif elektrik multinasional terkemuka Amerika, mengumumkan pengembangan strategiknya ke pasaran Malaysia melalui Tesla Malaysia Sdn Bhd.

Menurut kenyataan bersama Tesla dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, langkah itu adalah tindak balas langsung kepada inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Syarikat itu akan memperkenalkan barisan kenderaan elektrik (EV) yang canggih kepada pengguna Malaysia, bermula dengan Model 3 dan Model Y.

“Memandangkan Tesla berazam untuk memenuhi pelbagai keperluan dan pilihan rakyat Malaysia, lebih banyak modelnya akan diperkenalkan pada masa hadapan.

“Pelanggan Malaysia kini boleh mengakses laman sesawang rasmi Tesla untuk membuat pesanan mereka,” katanya.

Tesla juga komited untuk melabur dalam menyediakan rangkaian yang luas stesen pengecasan pantas dan pengecasan biasa merentas lokasi strategik di Malaysia untuk memberikan pemilik EV pengalaman pengecasan yang lancar dan mudah, sekali gus menggalakkan penggunaan EV secara meluas di negara ini.

Syarikat itu akan menubuhkan ibu pejabat dan pusat perkhidmatannya yang tercanggih di Cyberjaya, Selangor untuk semua operasi korporat, pemasaran, latihan, aktiviti sokongan pelanggan dan perkhidmatan kenderaan, dilengkapi dengan alat diagnostik termaju dan kakitangan dengan juruteknik Tesla yang sangat terlatih.

Ia juga akan menubuhkan pusat pengalaman di kawasan metropolitan utama di seluruh Malaysia, memberikan pelanggan pengalaman secara langsung memandu model EV terkini.

“Pusat-pusat ini akan berfungsi sebagai ruang interaktif untuk bakal pembeli mendapatkan pandangan tentang faedah mobiliti elektrik dan menerima bantuan peribadi daripada wakil jualan Tesla yang berpengetahuan,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata ia memberi tumpuan kepada mentransformasikan landskap perindustrian dan pelaburan Malaysia bukan sahaja untuk menarik syarikat seperti Tesla bagi membantu meningkatkan kedudukan pembekal domestik dalam rantaian nilai global, tetapi juga membuka peluang ekonomi baharu yang ‘lebih hijau’ dan mewujudkan pekerjaan bergaji lebih tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Kehadiran Tesla di sini akan membantu meningkatkan kelayakan Malaysia di pentas global sebagai negara yang menyokong perniagaan dan pelaburan, dan kita mengalu-alukan lebih ramai pelabur multinasional yang berkongsi visi kita untuk membangunkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan, seimbang dan inklusif untuk negara kita,” kata Menteri berkenaan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

MIDA telah meluluskan 58 projek berjumlah RM26.2 bilion dalam industri EV dan ekosistem berkaitannya dari 2018 hingga Mac 2023.

Sementara itu, pengarah serantau Tesla Isabel Fan berkata misi syarikat adalah untuk mempercepatkan peralihan dunia kepada tenaga mampan, dan ia berazam untuk membantu memacu masa depan yang lebih hijau untuk Malaysia.

Di bawah Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030, Malaysia menyasarkan untuk memastikan kenderaan EV termasuk hibrid (xEV) menyumbang sekurang-kurangnya 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) menjelang 2030 dan 38 peratus daripada TIV menjelang 2040, serta 10,000 unit kemudahan pengecasan menjelang 2025.

Sumber: Bernama

Tesla buka ibu pejabat, pusat perkhidmatan tercanggih di Cyberjaya


Content Type:

Duration:

Kerajaan Johor menyatakan kesediaan dan potensi Johor untuk menjadi lokasi penubuhan rangkaian Supercharger Tesla, kata Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Katanya, beliau telah berkesempatan bertemu dan mengadakan perbincangan dengan Pengarah Wilayah Tesla, Isabel Fan.

“Menerusi perbincangan ini, pelbagai perincian serta perancangan telah diutarakan oleh pihak Tesla,” katanya dalam hantaran di laman Facebook di sini.

Beliau berkata, ekosistem yang kondusif dan pengukuhan polisi kerajaan yang menekankan peralihan kepada teknologi hijau, telah memberikan keyakinan kepada syarikat kenderaan elektrik (EV) mega itu untuk melabur di Malaysia.

“Jutaan penghargaan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta pihak-pihak berkaitan atas usaha berterusan merancakkan pelaburan di Malaysia.

“Semoga segala yang direncanakan akan membuahkan hasil, terutamanya dalam meningkatkan peluang pekerjaan serta keterlibatan syarikat tempatan dalam ekosistem pelaburan pihak Tesla sama ada di peringkat domestik atau global. Insya-Allah,” katanya.

Turut hadir pada pertemuan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman.

Sumber: Bernama

Johor sedia jadi hos rangkaian Supercharger Tesla


Content Type:

Duration:

Pertemuan antara Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc, Elon Musk dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendorong reaksi berantai dalam perjalanan negara ke arah menjadi hab kenderaan elektrik (EV) di rantau ini, kata seorang pakar ekonomi.

Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng, menyatakan bahawa perbincangan yang membuahkan hasil antara gergasi EV global dan pemimpin Malaysia, yang dijangka berlangsung dalam minggu ini, juga akan membawa kepada komitmen selanjutnya yang boleh memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia secara amnya.

Tanpa mengira jenis dan nilai pelaburan yang Tesla berhasrat bawa ke Malaysia, Kim Leng berkata sebarang komitmen yang bakal muncul hasil daripada mesyuarat itu akan menyediakan industri EV Malaysia dengan rangsangan besar.

“Pelaburan ikonik biasanya mempunyai kesan limpahan yang lebih besar melalui peningkatan, pengukuhan keyakinan pelabur tempatan dan asing serta lebih banyak penyertaan dalam pelaburan.

“Ini bakal membuka lebih banyak peluang kepada pembekal, penyedia perkhidmatan serta pengeluar alat ganti dan komponen untuk terbabit secara aktif dengan industri EV,” katanya kepada Bernama.

Jumaat lalu, Anwar, yang juga Menteri Kewangan mengumumkan bahawa beliau akan bertemu Musk untuk membincangkan langkah syarikat EV mega itu dalam meneruskan pelaburannya di Malaysia.

Sehubungan itu, Kim Leng berkata pertemuan itu bakal memberikan implikasi positif kerana ia mengesahkan hala tuju ekonomi kerajaan untuk memperoleh pelaburan langsung asing (FDI) berimpak tinggi, bernilai tinggi dan langkah ke arah tenaga bersih.

“Jumlah FDI Malaysia akan terus meningkat sekiranya hasil daripada mesyuarat itu dapat memberikan Musk atau mana-mana projek beliau bertapak di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan potensi kerjasama antara Malaysia dan Tesla bukan sahaja terhad kepada sektor EV tetapi kepada sektor lain juga.

“Apa yang kami mahu ialah untuk menarik lebih banyak potensi atau komitmen pelaburan dalam sektor automotif dan sektor lain yang boleh kami pasarkan di Malaysia,” katanya.

Tesla, pereka dan pengilang EV yang beribu pejabat di Austin, Texas, Amerika Syarikat (AS), akan membuat kemunculan rasminya di Malaysia di Kuala Lumpur pada 20 Julai.

Pada masa ini, pusat servis rasmi Tesla yang terdekat terletak di Singapura dan pemilik program pemajakan Greentech telah menghantar kereta mereka kembali ke Hong Kong untuk kerja-kerja pembaikan utama.

Dalam pada itu, CEO Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Azrul Reza Aziz melahirkan keyakinan bahawa pertemuan antara Anwar dan Musk akan membuka jalan kepada kerjasama yang membuahkan hasil antara Malaysia dan Tesla dalam tempoh terdekat.

“Kami sangat teruja dengan prospek hasil daripada mesyuarat itu. Kemungkinan untuk Tesla meningkatkan lagi pelaburan di Malaysia akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara kita dan membolehkan pembangunan ekosistem mobiliti yang mampan dan mesra alam,” katanya.

Sumber: Bernama

Pertemuan Anwar, Musk rintis jalan Malaysia jadi hab EV


Content Type:

Duration:

Potensi kerjasama di antara Malaysia dan Tesla bukan sahaja terhad kepada sektor kenderaan elektrik (EV) semata-mata tetapi turut membabitkan sektor lain, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata akan ada pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk sebelum akhir minggu ini.

“Terdapat lebih daripada sektor EV yang akan kita bincangkan dalam potensi kerjasama ini.

“Apa yang kita mahu ialah untuk menarik lebih banyak potensi atau komitmen pelaburan dalam sektor automotif dan sektor lain yang boleh kami pasarkan di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan prapelancaran Pameran Mobiliti Elektrik Antarabangsa (IEMS) 2023 di sini hari ini.

Tesla, pereka dan pengilang EV yang beribu pejabat di Austin, Texas, AS, akan membuat penampilan sulung rasminya di Malaysia dengan pelancaran rasmi berlangsung di Kuala Lumpur pada 20 Julai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) Shamsul Bahar Mohd Nor berkata, beliau berharap Tesla akan mengambil bahagian dalam IEMS 2023 yang dijadualkan pada 4-6 Oktober.

Beliau berkata IEMS 2023 berharap untuk memperoleh RM4 bilion dalam teknologi hijau dan prospek pelaburan yang diterajui kemampanan berbanding RM3 bilion yang diperoleh pada tahun lepas.

Kira-kira 400 peserta pameran dari 40 negara seperti China, Jepun, Taiwan, Sweden, Austria dan Belanda dijangka mengambil bahagian dalam IEMS 2023, yang bakal menarik 40,000 pengunjung.

Sumber: Bernama

Kerjasama Malaysia-Tesla melangkaui sektor EV – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Malaysia kini berada di barisan hadapan industri produk halal dunia dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.1 peratus menjelang 2025 menerusi Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030.

Pasaran halal dunia kini tidak lagi hanya tertumpu kepada produk pemakanan dan kecantikan semata-mata, sebaliknya, turut berkembang membabitkan perkhidmatan dan juga perubatan halal.

Lebih membanggakan, pencapaian luar biasa pemain industri halal menjadikan Malaysia sebagai prestasi terbaik global dalam pasaran bernilai AS$3 trilion.

Bagi mengiktiraf sumbangan organisasi dan individu dalam pertumbuhan industri halal, Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) menganjurkan Anugerah Kecemerlangan Halal Sedunia (WHEA) 2022.

Pada acara yang penuh gilang gemilang itu, HDC memberi pengiktirafan kepada 20 organisasi dan seorang personaliti.

Antara kategori anugerah adalah Anugerah Kecemerlangan Jenama Halal Terkemuka (Antarabangsa) yang diberikan kepada Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai McDonalds Malaysia atas kecemerlangan dan konsistensi kreatif syarikat dalam menggalakkan penerimaan antarabangsa serta mendukung integriti halal.

Anugerah Kecemerlangan Kepemimpinan Halal 2022 diberikan kepada Pengerusi dan Presiden Kumpulan IsDB, Dr Muhammad Sulaiman Al Jasse, sebagai penghargaan atas kepemimpinannya menjalankan kajian analisis jurang ekosistem halal strategik di Malaysia dan kawasan lain.

Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Yang turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HDC, Hairol Ariffein Sahari, berkata Anugerah Kecemerlangan Halal Sedunia (WHEA 2022) diadakan bertujuan memberi motivasi kepada industri halal supaya berjuang dengan lebih gigih.

Katanya, industri halal memerlukan motivasi khususnya dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini di mana ekonomi dunia menjadi suram akibat COVID-19 sehingga menyebabkan ramai peserta industri yang kecundang.

“Namun, pada masa sama, masih terdapat peserta yang menunjukkan ketahanan sangat baik… Jadi, usaha itulah yang sebenarnya perlu kita raikan.

“Selain itu, menjadi persoalan besar pada peringkat lebih tinggi apabila negara luar bertanya siapakah juara Malaysia dalam industri Halal.

“Oleh itu, HDC memerlukan lebih banyak syarikat tempatan yang boleh diketengah dan dianugerahkan atas pencapaian mereka,” katanya.

Pemenang lain ialah F&N Holdings Bhd dan Agym Nutrition Sdn Bhd, kedua-duanya bagi kategori Anugerah Kecemerlangan Makanan dan Minuman Halal, sementara kerajaan Selangor menerima Anugerah Kecemerlangan Prestasi Negeri Halal.

Turut mengungguli kategori Anugerah Kecemerlangan Jenama Halal Terkemuka (Tempatan) adalah Duopharma bagi produk Flavettes, yang menjadi produk farmaseutikal pertama menerima pensijilan Halal Malaysia.

CEO Duopharma Biotech Berhad, Wan Amir Jeffery Wan Abdul Majid, berkata dengan pencapaian yang diterima itu, pihaknya akan berusaha dengan lebih gigih untuk terus membangunkan industri perubatan halal terutama dari segi kajian dan pembangunan.

Katanya, menjadi satu kebanggaan apabila usaha Duopharma untuk membangun dan mengetengahkan halal farmaseutikal berjaya diberikan pengiktirafan oleh HDC.

“Kenapa kami terus berada dalam industri ini adalah kerana tanggungjawab sebagai warga korporat dan juga fardu kifayah, maka, kita perlu mengambil tugas ini.

“Halal farmaseutikal memang ada pasaran dan juga permintaan.

“Oleh itu, kita akan terus membangunkan produk ini, malah yang terbaharu kita turut membangunkan produk untuk kegunaan onkologi,” katanya.

Tambahnya, bagi memastikan industri halal terus berkembang maju dan untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada pelbagai organisasi, kerjasama dengan pelbagai pemegang taruh perlu dipertingkatkan.

“Mereka juga perlu memahami bahawa industri halal ini menawarkan satu sumber pendapatan ekonomi yang baik untuk mereka.

“Namun, ekosistem itu perlu dibangunkan dengan mampan dan berterusan.

“Kerana jika kita ingin menjadi industri halal terkenal, kita perlu terus fikir apa yang diperlukan oleh usahawan dan juga vendor,” katanya.

Pada acara itu, Quanterm Logistics Sdn Bhd turut meraih Anugerah Kecemerlangan Logistik Halal (SME) dalam usaha memacu penambahbaikan dalam persekitaran industri dan Integriti Halal di samping memajukan kecekapan perniagaan.

Pengarahnya, John Tay, berkata anugerah itu akan membantu syarikatnya dalam mewakili Malaysia terutama dalam bidang logistik.

Katanya, kerajaan disaran untuk terus menaja dan membantu usahawan bagi mengambil bahagian dalam industri halal serta menjangkau pasaran luar negara.

Selain itu, lebih 200 pengiktirafan dianugerahkan HDC kepada individu, organisasi dan syarikat sejak anugerah itu diperkenal pada 2009.

HDC ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian, penyelaras utama bagi menggalakkan penyertaan dan memudahkan pertumbuhan industri dalam pembangunan ekosistem halal Malaysia.

Sumber: Berita Harian

Pemain industri halal jadikan prestasi Malaysia terbaik global


Content Type:

Duration:

Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang akan dilancarkan Ogos ini akan memanfaatkan pasaran kenderaan elektrik (EV) ASEAN bernilai US$2.7 bilion (US$1=RM4.66), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata cadangan Chery Malaysia untuk menyuntik modal permulaan sebanyak RM170 juta sebagai strategi pengembangannya di sini bukan sahaja menawarkan kepelbagaian dan keterujaan kepada pasaran auto tempatan, malah menyokong pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia menerusi pertumbuhan sektor strategik.

Sebagai antara strategi pengembangannya, pengeluar kereta milik kerajaan China itu semalam mengumumkan suntikan berjumlah RM170 juta untuk pengembangannya di Malaysia, yang bakal menyediakan 4,000 pekerjaan bergaji tinggi dan berkemahiran tinggi kepada rakyat Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Pengelektrikan besar-besaran daripada sektor automotif amat sesuai dengan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) negara dan sifar bersih dari perspektif industri pembuatan. Sehubungan itu, kami telah mula memberi penekanan kepada penembusan EV yang lebih tinggi di negara ini.

“Memandangkan Malaysia adalah hab pembuatan elektrik dan elektronik utama di Asia Tenggara, pembuat kereta seperti Chery boleh memanfaatkannya dengan mudah untuk membantu mengembangkan pengeluaran kenderaan generasi akan datang (NxGV) Malaysia,” katanya semasa berucap pada pelancaran model Tiggo 8PRO dan Omoda 5 oleh Chery Malaysia di sini semalam.

Menurut Tengku Zafrul, Chery Malaysia turut menyasarkan pelancaran kedua-dua model EV dan kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) untuk mencapai sekitar 20 peratus daripada bahagian pasaran EV di Malaysia seawal 2024 selain turut memperkenalkan model EV mampu miliknya pada masa akan datang.

“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengalu-alukan semua inisiatif ini kerana sejajar dengan aspirasi negara untuk mencapai 15 peratus jumlah volum industri (TIV) bagi kenderaan yang dielektrikkan (EV dan hibrid) menjelang 2030 dan 38 peratus TIV pada 2040,” katanya.

Tengku Zafrul berkata Malaysia memiliki industri automotif dinamik yang menyokong lebih 700,000 pekerja dalam ekosistemnya, menyumbang lebih 4.4 peratus daripada tenaga kerja di Malaysia.

Sumbangannya kepada KDNK Malaysia mencatat kira-kira empat hingga lima peratus secara purata pada setiap tahun dan menyumbang RM64.5 bilion kepada KDNK negara pada 2022.

MITI menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan KDNK sektor ini kepada RM104.2 bilion menjelang 2030.

Sumber: Bernama

NIMP 2030 manfaatkan pasaran EV ASEAN bernilai US$2.7 bilion – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Syarikat alat ganti kenderaan terbesar Thailand, AAPICO Hitech Public Company Limited (Aapico) melabur RM140 juta untuk mengeluarkan komponen kenderaan bersama Proton Holdings Bhd (PROTON).

Kerjasama itu dimeterai antara PROTON dan anak syarikat Aapico, Advance Vehicle Engineering Global Sdn Bhd (AVE Global).

Menerusi kerjasama Aapico dan PROTON, syarikat berpangkalan Bang Pa-in, Ayuthaya itu membuat pelaburan awal sebanyak RM40 juta ke atas kemudahan seluas 8.09 hektar milik milik AVE Global.

Ia membabitkan pengeluaran komponen dan alat ganti seperti ‘dies’, ‘jig’, ‘hot stamping’, badan kenderaan dan casis.

Kerjasama akan menyaksikan Aapico memegang sebanyak 60 peratus AVE Global daripada PROTON manakala 40 peratus dimiliki PROTON dalam syarikat yang akan dinamakan semula sebagai Aapico Ave Sdn Bhd.

Perkongsian yang dirasmikan pada 26 Jun lalu, akan disusuli dengan perancangan untuk meluaskan lagi usaha sama bagi memenuhi permintaan terhadap kenderaan PROTON dan keseluruhan sektor automotif yang semakin meningkat, membabitkan perancangan pelaburan sebanyak RM100 juta tahun depan dari segi peluasan kilang dan pemerolehan jentera baharu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Aapico, Yeap Swee Chuan, berkata syarikat itu mengambil peluang untuk menyertai sektor pembuatan alat ganti di Malaysia pada masa yang tepat, dengan perkembangan yang baik dijangkakan dalam industri automotif, diterajui oleh permintaan kukuh untuk kenderaan PROTON dan disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang mantap.

“Kami berhasrat untuk membawakan kepakaran dan teknologi pembuatan dalam usaha sama ini dan menyediakan alat ganti bertaraf dunia kepada PROTON dan menyokong pelan perkembangan mereka di pasaran tempatan dan eksport.

“Kemudahan pembuatan sedia ada akan meningkatkan jumlah pengeluarannya dengan produk baharu yang kini dalam perancangan,” katanya pada sidang media selepas pengumuman usaha sama di sini, hari ini.

Pengumuman sinergi Aapico-PROTON disaksikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Yang turut hadir, Duta Thailand Ke Malaysia, Lada Phumas; Penasihat Aapico, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengerusi PROTON, Tan Sri Syed Faisal Albar dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah.

Swee Chuan berkata, dengan pengalaman dan kepakaran luasnya, Aapico akan menguruskan operasi dan memperkenalkan penggunaan teknologi baharu untuk mengeluarkan alat ganti yang lebih berkualiti, menambah baik pengeluaran dan menjimatkan kos.

“Perkembangan di masa hadapan itu juga akan menyaksikan pembangunan modal insan dengan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan sambil menarik pekerja berkemahiran tinggi ke negara ini,” katanya.

Bagi PROTON, usaha sama berkenaan mengukuhkan lagi cita-cita syarikat itu untuk menjadi peserta utama dalam pasaran automotif ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong berkata, dengan memanfaatkan skala ekonomi dan inisiatif pelaburan Aapico serta gabungan teknologi sedia ada pengeluar kereta nasional itu dalam bidang seperti ‘hot press forming’, syarikat berkenaan berharap untuk berada di barisan hadapan dalam rantau automotif yang paling pest berkembang di dunia.

Perkongsian strategik Aapico-PROTON adalah usaha sama kedua Aapico dalam sektor alat ganti kenderaan di Malaysia.

Awal tahun in, Aapico menandatangani perjanjian usaha sama dengan Purem, antara pembekal sistem ekzos terbesar di dunia.

Dengan pelaburan awal sebanyak RM30 juta, Aapico memegang 49 peratus pemilikan manakala Purem pula sebanyak 51 peratus daripada Purem Aapico Sdn Bhd, yang akan mengeluarkan sistem ekzos dan mula membekalkannya kepada PROTON dalam suku ketiga tahun ini.

Sumber: Berita Harian

Firma Thailand labur RM140 juta hasilkan komponen kereta PROTON


Content Type:

Duration:

Pembuat cip terkemuka global, Texas Instruments mengumumkan rancangan mengembangkan aktiviti pengeluarannya di Malaysia, melalui dua kilang pemasangan dan ujian baharu di Kuala Lumpur dan Melaka, dengan potensi pelaburan sehingga RM14.6 bilion.

Pembinaan kemudahan baharu bersebelahan kilang pemasangan dan ujian sedia ada di Kuala Lumpur dijangka dimulakan akhir tahun ini, dengan pengeluaran bermula seawal 2025.

Langkah pengembangannya di Kuala Lumpur dianggarkan membawa masuk RM9.6 bilion dalam potensi pelaburan dan mewujudkan kira-kira 1,300 pekerjaan tambahan.

Sementara itu, pembinaan kilang pemasangan dan ujian baharu enam tingkat bersebelahan kemudahan sedia ada di Melaka menjana potensi pelaburan sebanyak RM5 bilion dan akan mewujudkan sehingga 500 pekerjaan.

Kemudahan baharu itu juga dijangka memulakan pengeluaran pada 2025.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan menyambut baik keyakinan berterusan Texas Instruments terhadap ekosistem pelaburan negara.

“Rancangan Texas Instruments untuk mengembangkan operasi pemasangan dan ujiannya mencerminkan kedudukan Malaysia yang jelas dalam rantaian bekalan semikonduktor global, sambil melengkapkan dasar pelaburan baharu kami dan tumpuan pelan induk industri baharu untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi, bernilai tinggi untuk menyokong ekonomi global yang semakin digital dan ekonomi domestik,” katanya dalam satu kenyataan.

Tengku Zafrul berkata, pengembangan itu bukan sahaja akan memperkukuh rantaian nilai domestik tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan ‘berasaskan pengetahuan’ dan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Naib Presiden Operasi Pembuatan Ujian dan Pemasangan Texas Instruments, Yogannaidu Sivanchalam, berkata pengembangan itu adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat untuk mengembangkan kapasiti pembuatan dalamannya bagi menyokong peningkatan keperluan bagi semikonduktor serta untuk memberikan jaminan bekalan yang lebih besar.

“Texas Instruments berbangga kerana telah beroperasi di Malaysia selama lebih 50 tahun dan keputusan kami untuk mengembangkan pembuatan bahagian belakang kami adalah cerminan pasukan berbakat dan berkembang di Malaysia yang akan menjadi kritikal kepada masa depan syarikat,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Texas Instruments kembangkan pengeluaran di Malaysia


Content Type:

Duration:

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang membangunkan rangka kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri Nasional (i-ESG) untuk sektor pembuatan yang akan dilancarkan September ini.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata rangka kerja itu terdiri daripada empat komponen utama iaitu piawaian; sokongan dan insentif kewangan, pembinaan kapasiti; serta mekanisme pasaran.

Katanya, i-ESG yang bakal diperkenalkan itu adalah untuk menggalakkan sektor pembuatan menerima amalan ESG dengan menyediakan garis panduan dan pemboleh yang jelas untuk syarikat, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Untuk tujuan ini, saya ingin menjemput institusi kewangan untuk mempertimbangkan memperuntukkan sumber kepada industri, pengilang dan pengeksport dalam bidang seperti penyahkarbonan sektoral, mobiliti elektrik, tenaga hidrogen, penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon berskala besar (CCUS), serta teknologi mengenai ekonomi bulat dan infrastruktur hijau.

“Ringkasnya, apa yang kami ingin laksanakan adalah untuk mempromosikan dan memupuk pembuatan hijau,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Perbankan Malaysia Edisi Kedua bersama Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) anjuran Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim.i-ESG yang akan diletakkan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) di mana pelancarannya dilaksanakan sebelum i-ESG diperkenalkan.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, MITI telah memulakan pelbagai sesi libat urus dengan institusi kewangan bagi memastikan ia terbuka untuk memberi sokongan kewangan kepada syarikat yang memberi tumpuan kepada ESG.

“Sebenarnya sesi libat urus yang pertama telah bermula minggu lalu. Kita mahu laksanakannya dengan lebih berstruktur dan formal dalam menghasilkan rangka kerja berkaitan ESG.

“MITI akan menggabungkan beberapa perkara bersama NIMP2030 danelihat bagaimana institusi kewangan dan kerajaan boleh membantu syarikat.

“Dari NIMP2030, kita akan lancarkan data ESG dan kita sangat memerlukan sokongan institusi kewangan kerana bukan hanya dari segi pembinaan kapasiti, tetapi juga dari segi modal seperti yang diperlukan untuk terus melabur dalam memenuhi piawaian ESG pada masa hadapan,” katanya.

Berhubung kewangan Islam, beliau menjelaskan, segmen berkenaan memiliki kelebihan semula jadi dalam ESG dan mampu menjadi penggerak utama.

“Hari ini, kami mahu semua institusi kewangan bertindak bersama. Sudah tentu, ramai yang bergerak ke arah kewangan Islam juga yang telah menerima idea prinsip ESG,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata, sektor kewangan memainkan peranan yang penting dalam memacu agenda kelestarian dan iklim.”Sebagai pegawai bank, kita mempunyai kuasa untuk mengurangkan kemiskinan, membina komuniti, menjana peluang pekerjaan baharu, dan memupuk warga kerja berfokuskan ESG dan berorientasikan masa hadapan.

“Pembinaan keupayaan dan kapasiti adalah penting dan AICB sedang menumpukan usahanya terhadap pembinaan kompetensi industri ini menerusi kelayakan profesional kami dan platform seperti Persidangan Perbankan Malaysia ini akan terus menyokong sektor kewangan dan negara dalam mempercepat peralihan kepada ekonomi karbon rendah dan memperkukuh keyakinan orang ramai,” katanya.

Sumber: Berita Harian

MITI lancar i-ESG, perkasa sektor pembuatan


Content Type:

Duration:

Malaysia, melalui Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC) yang baru ditubuhkan dengan diteraju Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mempercepat pembolehan ekosistem kenderaan cekap tenaga (EEV) supaya negara kekal kompetitif dengan negara serantau lain.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, masa depan mobiliti elektrik Malaysia serta manfaatnya bagi pengguna dan alam sekitar terletak pada perkongsian kolaboratif merentas industri dalam satu ekosistem yang diperkasakan.

“Jemaah Menteri telah menimbang dan bersetuju untuk menambah baik struktur tadbir urus Pasukan Petugas EV Kebangsaan (NEVTF) dengan mewujudkan Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsan (NEVSC).

“Kita mahu menyelaraskan pemahaman dan hala tuju semua pihak berkepentingan supaya kita dapat membentuk sebuah sinergi kerjasama yang padu dalam menjayakan inisiatif nasional kenderaan elektrik berdasarkan pendekatan keseluruhan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Green EV Charge Sdn Bhd (GEV) dan PLUS Malaysia Bhd di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, jawatankuasa Pemandu ini diterajui oleh MITI dan diwakili oleh pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan pihak industri yang berkaitan.

NEVSC juga akan dianggotai oleh Kementerian Kewangan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Kementerian Pengangkutan; Kementerian Kerja Raya; Kementerian Perumahan dn Kerajaan Tempatan (KPKT); dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), katanya.

“Saya benar-benar berharap untuk bekerjasama dengan semua menteri dan juga pegawai mereka di peringkat pengurusan tertinggi. Tujuan utamanya adalah kita menyelesaikan isu-isu berbangkit mengenai pelaksanaan ekosistem EEV secepat mungkin.

“Setakat ini, kita ada lebih kurang 1,000 stesen pengecas. Sasaran kita adalan mewujudkan sekurang-kurangnya 10,000 stesen pengecas menjelang 2025,” katanya.

Terdahulu ketika berucap, Zafrul berkata, usaha meletakkan Malaysia sebagai negara proindustri, propelaburan dan properdagangan di samping memastikan kepentingan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta warga Malaysia sentiasa dilindungi untuk memupuk pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan menyeluruh, kekal penting dan menjadi keutamaan pihaknya.

“Selagi saya menjadi Menteri di MITI, anda memiliki jaminan saya iaitu MITI akan melakukan sebaik mungkin untuk menyediakan dasar dan kerangka pengawalseliaan yang sewajarnya untuk merealisasikan objektif negara kita,” katanya.

Sumber: Bernama

Kerajaan percepat wujudkan ekosistem EEV – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Ovotherm, pembekal utama produk dalam industri telur global merasmikan tapak pembuatan pertamanya di rantau Asia Pasifik di Klang melibatkan pelaburan sekitar RM38 juta.

Menerusi pembukaan kilang tersebut, Ovotherm Asia Pacific Sdn. Bhd. komited untuk menangani permintaan yang semakin meningkat bagi penyelesaian pembungkusan telur boleh guna semula di rantau ini.

Syarikat tersebut menggunakan 100 peratus bahan kitar semula seperti kepingan PET untuk mengeluarkan pembungkusan telur berkualiti tinggi dan mesra alam.

Kilang berkeluasan 106,000 kaki persegi (9,847 meter persegi) itu juga dijangka akan mencipta lebih daripada 24 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini menzahirkan keterujaannya dengan pelaburan tersebut.

“Saya gembira mendengar bahawa Ovotherm akan menyepadukan amalan mampan ke dalam model perniagaan di sini dan komitmen mereka terhadap tanggungjawab alam sekitar dan ekonomi kitaran patut dipuji.

“Inisiatif ini menunjukkan contoh positif untuk industri, dan saya berharap ia memberi inspirasi kepada perniagaan lain untuk mengikutinya dalam mengamalkan amalan mampan.

“Saya amat percaya bahawa inisiatif Ovotherm bukan sahaja akan menyumbang kepada pembangunan industri ekonomi kitaran negara malah mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan dan landskap tempatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ovotherm, Franz Hofer berkata, potensi strategik Malaysia merupakan antara faktor utama pihaknya membuka tapak pembuatan di Klang.

“Memilih Malaysia sebagai lokasi pengeluaran baharu kami adalah satu langkah strategik, didorong keunikannya lokasi di tengah-tengah Asia Tenggara, kestabilan yang tidak berbelah bahagi dan tenaga kerja yang bermotivasi,” ujarnya.

Sumber: Kosmo

Ovotherm Asia Pasific buka tapak pembuatan pertama di Malaysia


Content Type:

Duration:

wpChatIcon