Berita Industri Archives - Page 3 of 29 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


F&N labur RM1 bilion bangun ladang tenusu di Gemas

Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) berada di landasan tepat untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar susu terbesar di Malaysia dengan menyempurnakan majlis pecah tanah ladang tenusu bersepadu di sini.

Ia juga menandakan penyertaan F&N dalam perniagaan susu segar huluan kerana ladang bersepadu itu mampu mencapai tahap pengeluaran penuh Fasa 1 dengan penghasilan 100 juta liter susu segar membabitkan kos pelaburan sebanyak RM1 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Lim Yew Hoe, berkata ladang seluas 2,726 hektar itu akan menempatkan 20,000 ekor lembu susu yang akan menghasilkan 200 juta liter susu segar setahun untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Beliau berkata, barisan pemprosesan dan pembungkusan akan ditempatkan bersebelahan dengan pusat pemerah susu bagi membekalkan susu segar berkualiti pada harga yang berpatutan kepada pengguna Malaysia.

“Ladang ini juga membantu menggalakkan pertumbuhan industri pertanian tempatan dengan memupuk tenaga kerja yang mahir dan menjana peluang pekerjaan dalam industri tenusu dan pertanian,” katanya.

Majlis pecah tanah ladang tenusu bersepadu F&N itu dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sivasuriyamoorthy Sundara Raja dan Pengerusi F&N, Tengku Syed Badarudin Jamalullail.

Yew Hoe berkata, mengoperasikan ladang tenusu bersepadu akan menghasilkan integrasi menegak bagi perniagaan dan operasi F&N, serta mengurangkan pergantungan syarikat kepada susu import untuk pengeluaran dan pengagihan hiliran.

Beliau berkata, penyepaduan itu juga membantu mengurangkan kos seliter susu segar dan memberi manfaat kepada pengguna Malaysia.

Katanya, kumpulan juga menyasarkan untuk mengeksport susu segar, dan berpotensi menjadikan Malaysia sebagai pengeksport bersih susu segar pada masa hadapan.

“F&N turut merancang untuk membuka ladang tanaman makanan ternakan di tempat yang sama dan langkah ini adalah selaras dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran fidlot bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap makanan haiwan yang diimport.

“Malaysia kini mengimport hampir 100 peratus makanan haiwan dari Brazil dan Argentina,” katanya.

Mengulas lannjut, Yew Hoe berkata, tanggungjawab Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) adalah faktor penting untuk ladang itu.

Beliau berkata, dengan mengurangkan keperluan untuk mengimport susu, kumpulan juga akan dapat mengurangkan jejak karbon secara keseluruhan dengan mengurangkan keperluan untuk mengangkut bahan dari luar negara.

“Ladang itu juga akan direka berasaskan amalan perladangan mampan dan ekonomi kitaran dengan menggunakan teknologi hijau dan kecerdasan buatan di sepanjang proses ladang,” katanya.

Sementara itu, Sivasuriyamoorthy berkata, pembangunan ladang tenusu bersepadu F&NHmelambangkan pencapaian penting bagi kebergantungan Malaysia terhadap bekalan susu segar dan makanan berasaskan tenusu.

Beliau berkata, selain daripada manfaat ekonomi, projek agri-makanan yang komprehensif akan membantu Malaysia maju ke arah bekalan makanan mampan serta bekalan makanan haiwan.

“Penternakan pintar dalam pengeluaran tenusu telah membuka prospek yang luas untuk merevolusikan segmen perniagaan tani di Malaysia.

“Dengan memanfaatkan teknologi, ia boleh mencipta hasil terbaik dalam penjagaan lembu, pencampuran makanan haiwan, pengurusan kitaran dan produk tenusu yang pelbagai,” katanya.

Sumber: Bernama

F&N labur RM1 bilion bangun ladang tenusu di Gemas


Content Type:

Duration:

Kerajaan negeri Melaka bercadang untuk membangunkan Taman Perindustrian Jerman di Bandar Teknologi Hijau, Ayer Keroh, di sini, bagi menempatkan syarikat pelabur dari negara berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata taman perindustrian di kawasan seluas 464.58 hektar itu dijangka dapat menempatkan sebanyak 20 hingga 30 syarikat dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas.

Beliau berkata, cadangan terbabit adalah susulan daripada perkembangan positif membabitkan pelaburan beberapa syarikat Jerman yang beroperasi di negeri itu selain prospek pelaburan baharu.

“Adalah dijangkakan tiga syarikat sedia ada yang beroperasi di Melaka iaitu masing-masing Infineon Technologies, Muehlbauer ID Services dan Leuze Electronic akan menambah pelaburan baharu sebanyak RM3.6 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

“Tiga lagi syarikat baharu dari Jerman yang berpotensi juga menunjukkan minat untuk melabur di Melaka dengan anggaran pelaburan sebanyak RM400 juta,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Melaka di sini, hari ini.

Selain itu, Ab Rauf berkata acara Minggu Jerman akan turut dianjurkan pada tahun depan bersempena acara Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

Program selama seminggu yang disasarkan untuk diadakan dalam tempoh April hingga Jun, akan disertai oleh syarikat pelabur Jerman dalam pelbagai sektor industri selain menjadi platform untuk memperkenalkan produk atau teknologi, budaya dan makanan masyarakat tempatan bagi memeriahkan lagi TMM 2024.

Sumber: Bernama

Melaka mahu bangunkan Taman Perindustrian Jerman di Ayer Keroh


Content Type:

Duration:

Pembuat cip terkemuka global, Texas Instruments mengumumkan rancangan untuk mengembangkan aktiviti pengeluarannya di Malaysia.

Ia dilaksanakan menerusi dua kilang pemasangan dan ujian baharu di Kuala Lumpur dan Melaka, dengan potensi pelaburan sehingga RM14.6 bilion.

Pembinaan untuk kemudahan baharu bersebelahan kilang pemasangan dan ujian sedia ada di Kuala Lumpur dijangka dimulakan akhir tahun ini, dengan pengeluaran akan bermula seawal 2025.

Langkah pengembangannya di Kuala Lumpur dianggarkan membawa masuk RM9.6 bilion dalam potensi pelaburan dan mewujudkan kira-kira 1,300 pekerjaan tambahan.

Sementara itu, pembinaan kilang pemasangan dan ujian baharu enam tingkat bersebelahan kemudahan sedia ada di Melaka menjana potensi pelaburan sebanyak RM5 bilion dan akan mewujudkan sehingga 500 pekerjaan.

Kemudahan baharu itu juga dijangka memulakan pengeluaran pada 2025.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan menyambut baik keyakinan berterusan Texas Instruments terhadap ekosistem pelaburan negara.

“Rancangan Texas Instruments untuk mengembangkan operasi pemasangan dan ujiannya mencerminkan kedudukan Malaysia yang jelas dalam rantaian bekalan semikonduktor global, sambil melengkapkan dasar pelaburan baharu kami dan tumpuan pelan induk industri baharu untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi, bernilai tinggi untuk menyokong ekonomi global yang semakin digital dan ekonomi domestik,” katanya dalam satu kenyataan.

Tengku Zafrul berkata pengembangan itu bukan sahaja akan memperkukuh rantaian nilai domestik tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan ‘berasaskan pengetahuan’ dan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Naib Presiden Operasi Pembuatan Ujian dan Pemasangan Texas Instruments, Yogannaidu Sivanchalam, berkata pengembangan itu adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat untuk mengembangkan kapasiti pembuatan dalamannya bagi menyokong peningkatan keperluan bagi semikonduktor serta untuk memberikan jaminan bekalan yang lebih besar.

“Texas Instruments berbangga kerana telah beroperasi di Malaysia selama lebih 50 tahun dan keputusan kami untuk mengembangkan pembuatan bahagian belakang kami adalah cerminan pasukan berbakat dan berkembang di Malaysia yang akan menjadi kritikal kepada masa depan syarikat,” katanya.

Sumber: Bernama

Texas Instruments bina dua kilang baharu, pelaburan RM14.6 bilion


Content Type:

Duration:

Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) kini sedang menjalankan penilaian terperinci ke atas Maleic Anhydride (MAn) yang dijangka siap pada suku pertama 2023 manakala tertakluk kepada kelulusan akhir, loji MAn itu disasarkan siap pada separuh pertama 2025.

Pengeluar bahan kimia bersepadu terkemuka itu dalam satu kenyataan berkata, baru-baru ini ia telah menandatangani perjanjian dengan syarikat usaha samanya (JV), BASF Petronas Chemicals Sdn Bhd (BPC), untuk mengambil alih loji 113 kilo-tan setahun (ktpa) Maleic Anhydride yang terletak di Gebeng, Kuantan.

Loji MAn ditutup oleh BPC sebelum ini berikutan langkah penjajaran semula portfolio produk yang membawa kepada penutupan kekal loji Butanediol (BDO) dan derivatifnya.

Dengan pengambilalihan itu, PCG akan menggunakan semula loji tersebut dengan memperbaharui dan menaik taraf kemudahan berkenaan untuk menghasilkan MAn yang berkualiti tinggi agar lebih sesuai untuk industri makanan dan farmaseutikal.

“Kemudahan bersepadu kami sekarang akan memastikan bekalan bahan mentah (feedstock) yang kompetitif dan terjamin ke loji.

“Di samping itu, kedekatan loji dan pasaran sasaran kami yang dikenal pasti di benua kecil Asia Pasifik dan India akan membolehkan kami menawarkan harga yang kompetitif kepada pelanggan kami,” kata Pengarah Urusan da Ketua Pegawai Eksekutif PCG Mohd Yusri Mohamed Yusof.

Pengambilalihan ini akan membolehkan PCG meluaskan portfolio produk terkini dan mengukuhkan tumpuannya untuk mempelbagaikan ke dalam derivatif dan bahan kimia yang berbeza.

Sumber: Bernama

Petronas Chemicals bakal hasilkan Maleic Anhydride


Content Type:

Duration:

Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan potensinya sebagai pengeluar utama hidrogen hijau berikutan usahanya untuk muncul sebagai peneraju ekonomi hidrogen menjelang 2050, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Beliau berkata adalah penting untuk menarik pelaburan terhadap pengeluaran, pengagihan dan aplikasi hidrogen hijau untuk menyerlahkan ekonomi hidrogen.

Sambil menyambut baik pelaburan langsung asing hijau China ke Malaysia, beliau berkata sumbangan tersebut akan mewujudkan teknologi tenaga hijau yang lebih mampu milik dan mudah digunakan oleh semua pihak, sekali gus mempermudah peralihan Malaysia kepada ekonomi rendah karbon.

“Antara bidang utama kerjasama di antara Malaysia dengan China adalah bergantung kepada pembangunan hidrogen hijau, sumber tenaga bersih yang boleh digunakan di semua sektor seperti pengangkutan dan penjanaan elektrik.

“Berikutan kos penjanaan tenaga solar dan angin yang semakin berkurangan, wujud peluang yang cerah untuk peningkatan komersial pengeluaran hidrogen hijau dan pemajuan rantaian bekalan yang berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama pada majlis jelajah di seluruh negara bersempena dengan ulang tahun ke-10 Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di sini hari ini.

Program itu dirasmikan Chang bersama-sama Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Progam yang dianjurkan bersama oleh Pusat Penyelidikan Asia Tenggara bagi Kemanusiaan dan Pusat Kajian Strategik Serantau itu turut menyaksikan acara pemeteraian surat hasrat untuk mewujudkan kerjasama strategik dalam sains, teknologi dan inovasi menerusi BRI.

Sementara itu, Chang berkata kerjasama antara Malaysia dan China menerusi BRI, yang merangkumi pelaburan, penyelidikan dan pembangunan serta pemindahan teknologi adalah penting untuk memacu inovasi dan menangani cabaran berkaitan.

Beliau berkata kerjasama sedemikian dapat membantu merapatkan jurang digital, mendorong produktiviti, menyokong pembinaan kapasiti dan merangsang pembangunan ekonomi, sekali gus menggalakkan keusahawanan dan penghasilan pekerjaan.

“Satu lagi bidang yang mempunyai harapan cerah bagi kerjasama antara Malaysia dan China adalah sekuriti makanan. Menerusi kemajuan China yang ketara dalam teknologi pertanian seperti pertanian persis, jentera pertanian dan teknik pembiakan tanaman, usaha-usaha bersama dapat meningkatkan produktiviti pertanian, memperkukuh sekuriti makanan dan menggalakkan amalan pertanian mampan.

“Kerjasama ini akan membawa manfaat khususnya di kawasan yang menjadikan pertanian sebagai tunjang kepada ekonomi dan punca pendapatan,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia di posisi baik manfaat potensi sebagai pengeluar hidrogen hijau – MOSTI


Content Type:

Duration:

Sarawak dipromosikan sebagai destinasi strategik bagi sebuah syarikat pengeluar produk solar di China.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia susulan perancangan syarikat berkenaan untuk mengembangkan operasinya di luar China bagi menampung permintaan semakin meningkat daripada pasaran global.

“Sarawak dipromosikan sebagai lokasi pengeluarannya kerana Sarawak mempunyai ekosistem kondusif terletak di (Zon Perindustrian Bebas) Sama Jaya dan (Taman Perindustrian) Samalaju.

“Sarawak merupakan destinasi strategik bagi pelabur untuk menembusi pasaran serantau dan global,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata demikian sempena lawatan kerja ke syarikat pengeluar produk solar untuk kegunaan kediaman, komersial dan industri di Zhuhai, China pada Rabu.

Mengulas lanjut, Awang Tengah berkata projek berpotensi itu selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) Sarawak 2030 yang dipacu oleh data dan teknologi.

Hadir sama semasa lawatan itu ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Datuk Mohd Naroden Majais, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datu Zaidi Mahdi, Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED Dzulkornain Masron, Pengarah EPU Sarawak Lester Matthew, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Datu Abdullah Julaihi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datu Ismawi Ismuni dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Sarawak Energy Berhad James Ung.

Sumber: Utusan Borneo

Syarikat pengeluar produk solar China promosi Sarawak sebagai destinasi pelaburan strategik


Content Type:

Duration:

Colorcon Inc menerusi anak syarikatnya, Colorcon Malaysia Sdn Bhd akan melabur hampir AS$50 juta (RM230 juta) untuk membina kemudahan pembuatan pertama syarikat itu di Asia Tenggara di Taman Perindustrian i-TechValley, Kluster Perindustrian Logistik Selatan (SILC) di Iskandar Puteri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han, berkata syarikat Colorcon Inc adalah peneraju global dalam pembangunan, bekalan dan sokongan teknikal bagi bahan spesifik untuk sistem salutan filem serta teknologi pelepasan perubatan dan eksipien untuk industri farmaseutikal, pemakanan dan kesihatan haiwan.

“Kemudahan pembuatan baharu di i-TechValley seluas 90,000 kaki persegi adalah fasiliti ke-12 syarikat di dunia dan fasiliti pertama di Malaysia yang dapat menghasilkan produk salutan filem yang boleh dirumus khusus, antaranya untuk keperluan aplikasi dan peraturan farmaseutikal,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Ting Han berkata, mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), nilai import produk yang dihasilkan Colorcon Inc untuk kegunaan pasaran Malaysia berjumlah kira-kira RM23 juta pada tahun lalu.

“Dengan siapnya fasiliti ini menjelang Julai 2025, kita akan dapat mengurangkan kebergantungan import produk, malah membantu Malaysia menjadi hab pengeluaran produk farmaseutikal yang dihasilkan oleh Colorcon untuk memenuhi keperluan sektor farmaseutikal dan pemakanan di Asia Tenggara, Australia, New Zealand, Korea, Taiwan dan Pakistan.

“Amat menggalakkan untuk melihat sebuah syarikat berteknologi tinggi memilih I-Tech Valley, sebuah taman perindustrian bersepadu di zon ekonomi Iskandar Malaysia untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Menurut Ting Han, kehadiran Colorcon akan membantu meletakkan Johor di peta dunia dan membantu usaha kerajaan negeri dan persekutuan untuk menarik lebih banyak syarikat berkaitan dalam sektor farmaseutikal ke negeri ini.

Pelaburan daripada Colorcon akan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi pada 2025, katanya.

Sumber: Bernama

Colorcon labur RM230 juta bina kilang di Johor


Content Type:

Duration:

Syarikat EcoCeres Renewable Fuels Sdn Bhd melabur sejumlah RM1 bilion bagi pembangunan fasiliti pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, yang dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2024.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pelaburan itu yang menjadi fasiliti pertama seumpamanya bagi penghasilan bahan berkenaan di negara ini, juga dijangka menyediakan lebih 260 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Johor.

Syarikat berpangkalan di China itu terbabit dalam usaha penghasilan SAF dan minyak sayuran terhidrogenasi (HVO).

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha penghasilan minyak dan bahan api lestari melalui sumber tumbuhan atau biodiesel seperti HVO dan SAF yang akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap agenda hijau dan kelestarian Johor.

“Adalah diharapkan supaya semua perancangan ini akan membuahkan hasil dan seterusnya merealisasikan hasrat Johor menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030,” katanya dalam hantaran terbaharu di laman akaun Facebook beliau.

Onn Hafiz turut menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada syarikat terbabit kerana memilih Johor sebagai lokasi pelaburannya.

Beliau sebelum ini merasmikan majlis pecah tanah kemudahan EcoCeres Renewable Fuels di Tanjung Langsat dan turut berkongsi paparan foto mengenainya di platform media sosial itu.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han; Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah dan Ketua Pengimbang Negeri Johor, Andrew Chen.

Majlis turut disertai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Lim Bee Vian; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman; Pegawai Daerah Johor Bahru,Muzaldin Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EcoCeres, Philip Siu Kam-shing; Ketua Pegawai Operasi EcoCeres, Dannis Poon dan Pengurus Besar EcoCeres Malaysia, Simon Cheung.

Sumber: Bernama

Ecoceres dari China labur RM1 bilion bina kilang di Johor


Content Type:

Duration:

AME Elite Consortium Bhd (AME) kini sudah bersedia untuk membina kemudahan pembuatan baru bernilai RM108 juta untuk Bucher Emhart Glass di i-Park@Senai Airport City.

Pengarah Urusan Kumpulan AME, Kelvin Lee Chai berkata, kemudahan baharu itu dijangka akan siap sepenuhnya pada 2024.

“Dengan anggaran keluasan binaan kira-kira 300,000 kaki persegi, kemudahan itu mewakili pelaburan besar oleh Bucher Emhart Glass untuk mengembangkannya keupayaan pembuatan di Asia Tenggara.

“Majlis pecah tanah untuk kemudahan baharu ini juga dilakukan hanya tiga bulan selepas menandatangani perjanjian awal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bucher Emhart Glass adalah anak syarikat kumpulan kejuruteraan dan pembuatan yang tersenarai di Switzerland, Bucher Industries AG.

Ia adalah pembekal penyelesaian pembuatan bekas kaca terkemuka di dunia; termasuk peralatan, kawalan, bahagian dan sokongan.

Kumpulan antarabangsa itu mempunyai kehadiran di seluruh dunia, termasuk Switzerland, Sweden, Itali, Jerman, Singapura, Malaysia, Jepun, China dan Amerika Syarikat.

Lee Chai berkata, kerjasama dengan Bucher Emhart Glass dan ketersediaan projek itu adalah penting dalam menarik pelaburan langsung asing ke Malaysia.

“Pelaburan yang besar ini mengesahkan usaha kami untuk menyediakan kemudahan bertaraf dunia dan memupuk ekosistem perindustrian yang berkembang maju yang memperkasakan pertumbuhan organisasi berskala antarabangsa.

“Keputusan Bucher Emhart Glass untuk memilih i-Park@Senai Airport City untuk pengembangan wilayahnya juga menunjukkan tarikan Malaysia sebagai destinasi strategik untuk FDI,” katanya.

Sumber: Berita Harian

AME bina kilang Bucher Emhart Glass di Senai


Content Type:

Duration:

Simmtech, pengeluar papan litar bercetak (PCB) dan substrat pembungkusan untuk semikonduktor yang berpangkalan di Korea Selatan, membuka kemudahan pembuatan termajunya yang pertama di Asia Tenggara di Pulau Pinang bagi memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat.

Pengarah Urusan Simmtech Asia Tenggara Jeffery Chun berkata kemudahan pembuatan di bawah anak syarikat Simmtech, Sustio Sdn Bhd itu dijangka memulakan penghantaran volum substrat pembungkusan dan produk PCB secara besar-besaran kepada pelanggan menjelang separuh kedua tahun ini.

Chun berkata kemudahan seluas 7.3 hektar itu akan menjadi kilang kelapan kumpulan itu di samping operasi yang lain di Korea Selatan, China dan Jepun, Bernama melaporkan.

“Kilang Sustio di Pulau Pinang akan meningkatkan kapasiti substrat dan PCB Simmtech sebanyak 20 peratus, yang akan menyumbang dengan serta-merta bagi memperbaiki keadaan kekurangan bekalan industri semikonduktor yang boleh menangani keperluan dalam kalangan pemain industri dengan lebih berkesan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow merasmikan majlis pembukaan kilang Sustio di sini, yang turut dihadiri duta Korea Selatan ke Malaysia Lee Chi Beom, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Lim Bee Vian dan penasihat pelaburan khas kepada Ketua Menteri Datuk Seri Lee Kah Choon.

Chun berkata kilang baharu bernilai RM600 juta di Taman Perindustrian Batu Kawan itu boleh menghasilkan sehingga 60 juta substrat dan dua juta papan PCB setiap bulan.

“Sustio telah pun menggaji lebih 700 tenaga kerja untuk kemudahan Pulau Pinang dan ia akan mencapai tenaga kerja penuh lebih 1,000 pekerja menjelang tahun depan,” katanya.

Beliau berkata pembukaan kilang Sustio tepat pada masanya untuk peralihan teknologi ingatan capaian rawak dinamik (DRAM) baharu (DDR5).

“Kami telah pun berinteraksi dengan pelanggan utama kami untuk program kelayakan tapak baharu dan kami akan meningkatkan tapak baharu ini terutamanya untuk pelanggan DRAM dan NAND kami di seluruh dunia,” katanya.

Simmtech diasaskan di Korea Selatan pada 1987 dan mencatatkan hasil jualan lebih RM4 bilion tahun lepas dengan kira-kira 4,000 pekerja di seluruh dunia.

Sumber: DagangNews.com

Simmtech buka kemudahan pembuatan canggih pertama bernilai RM600 juta di Pulau Pinang


Content Type:

Duration:

Sektor aeroangkasa Malaysia memperoleh kontrak pembuatan bernilai RM5.7 bilion untuk mengeluarkan bahagian dan komponen pesawat bagi pelbagai pelanggan global sejak ekonomi dibuka semula secara berperingkat pada lewat 2021.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata kementeriannya menjangkakan projek itu akan menyediakan lebih banyak peluang penyetempatan dan rantaian bekalan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan potensi nilai subkontrak sebanyak RM1 bilion.

“Selain itu, lebih 500 pekerjaan berkemahiran tinggi baharu akan diperlukan untuk menyokong projek ini bagi tempoh dua tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Tengku Zafrul berkata, subsektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) menerima minat tinggi daripada pemain tempatan dan asing, untuk mengembangkan perniagaan mereka di negara ini atau menggunakan Malaysia sebagai hab pengembangan mereka di Asia Tenggara.

“Beberapa projek MRO, membabitkan MRO berat dan komponen bernilai RM600 juta sedang dilaksanakan ketika ini.

“Apabila siap kelak, Malaysia akan dapat menawarkan lebih banyak perkhidmatan penyelenggaraan asas, yang mana komponen pesawat tertentu boleh dibaiki dalam negara pada kadar yang lebih kompetitif dan masa pemulihan yang lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata, semua pencapaian itu dijangka menyumbang kira-kira 25 peratus hingga 30 peratus peningkatan kepada RM15.3 bilion hasil industri yang diraih pada 2022.

Katanya, kontrak pembuatan aeroangkasa juga akan menjana tambahan 15 peratus hingga 20 peratus eksport bahagiann dan komponen aeroangkasa, yang berjumlah RM6.3 bilion pada 2022.

Tengku Zafrul berkata, kementeriannya sedang membuat perancangan jangka panjang dan meletakkan pemboleh yang sesuai di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu, untuk turut memastikan sasaran Malaysia menjana pendapatan RM55.2 bilion dan 32,000 pekerjaan berkemahiran tinggi berkualiti tinggi dapat dicapai.

Beliau berkata, Kementerian itu juga meluluskan dua projek aeroangkasa bernilai RM146.75 juta, membabitkan pembuatan aeroangkasa dan subsektor MRO pada 2022.

Pada masa hadapan, katanya, agensi di bawah MITI, Perbadanan Industri Aeroangkasa Kebangsaan Malaysia (NAICO), akan membangunkan kerjasama strategik dengan pengeluar peralatan asli untuk meningkatkan rantaian bekalan aeroangkasa Malaysia dan memanfaatkan trend untuk membuat penyumberan luar kontrak aeroangkasa ke rantau Asia Tenggara.

“NAICO, melalui Pusat Kecemerlangan Aeroangkasa Malaysia, akan mengenal pasti dan memupuk PKS tempatan yang berpotensi untuk menjadi juara global, sambil turut membantu mengukuhkan kedudukan negara dalam rantaian bekalan aeroangkasa di seluruh dunia,” katanya. 

Sumber: Bernama

Sektor aeroangkasa peroleh RM5.7b kontrak pembuatan dalam masa kurang 2 tahun


Content Type:

Duration:

Pengeluar pesawat, Airbus sedang mengenal pasti kerjasama baharu di Malaysia dalam usaha ke arah penyahkarbonan sektor aeroangkasa dalam pendekatan merentas sektor.

Presiden Airbus Asia Pasifik Anand Stanley berkata kemampanan telah menjadi faktor penting bagi syarikat penerbangan di seluruh dunia apabila membuat keputusan berhubung kumpulan pesawat mereka, merujuk kepada peralihan Malaysia Airlines dan AirAsia kepada kumpulan A330 neo, A320 neo dan A321 neo.

“Memperbaharui kumpulan pesawat dengan pesawat generasi terkini dapat mengurangkan dengan segera penggunaan bahan api dan pelepasan kira-kira 25 peratus.

“Fasa seterusnya ialah meningkatkan penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF) dan akhirnya penggunaan sumber tenaga rendah baharu seperti hidrogen,” katanya pada meja bulat media di sini semalam.

Stanley berkata Airbus bersedia untuk menunjukkan pesawat A220 generasi terkininya, dijana oleh campuran SAF sebanyak 10 peratus dari Kuching ke Langkawi, di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023.

SAF dihasilkan daripada sumber seperti minyak masak terpakai, sampah perbandaran atau biojisim yang tidak bersaing dengan rantaian makanan dan dihasilkan tanpa impak negatif terhadap alam sekitar.

Bahan api itu dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida (Co2) sehingga 80 peratus mengikut asas kitaran hayat, menjadikannya komponen utama dalam usaha industri penerbangan untuk mengurangkan jejak karbonnya.

Stanley berkata pesawat yang dikeluarkan oleh Airbus mampu melakukan penerbangan dengan sehingga 50 peratus SAF dan sasarannya ialah meningkatkannya kepada 100 peratus menjelang 2030.

Oleh itu, katanya bagi syarikat penerbangan memanfaatkannya sepenuhnya, sistem perindustrian yang berdaya maju perlu diwujudkan untuk menghasilkan dan mengkomersialkan sumber tenaga ini.

Mengenai permintaan terhadap pesawat di Asia Tenggara, beliau berkata jumlahnya semakin meningkat dan hampir pulih kepada paras sebelum pandemik, merujuk kepada model pesawat kecil dan satu lorong yang kekal sebagai pilihan dalam kalangan syarikat penerbangan yang beroperasi di rantau ini.

Beliau berkata Malaysia kekal sebagai pasaran utama Airbus dan ketiga terbesar di Asia selepas China dan India.

Ia juga merupakan pangkalan pembekal pengeluar terbesar di Asia Tenggara, dengan 14 syarikat tempatan, menghasilkan struktur, komponen dan alat ganti untuk rangkaian lengkap pesawat awam dan pesawat pengangkutan tentera A400M.

“Baru-baru ini, Airbus mengemukakan cadangan untuk membekalkan empat helikopter pelbagai guna H175 kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk menyokong operasi keselamatan maritim,” katanya.

H175 sesuai untuk mencari dan menyelamat, penguatkuasaan undang-undang, memadam kebakaran, keselamatan sempadan, rondaan maritim, perkhidmatan perubatan kecemasan, utiliti dan misi luar pesisir. 

Sumber: Bernama

Airbus sedang kenal pasti kerjasama dengan syarikat Malaysia dalam inisiatif kemampanan


Content Type:

Duration:

Pembuat makanan asas, Malayan Flour Mills Bhd (MFM) merancang untuk melabur sekurang-kurangnya RM135 juta sebagai perbelanjaan modal dalam usaha samanya, Dindings Tyson Sdn Bhd (DTSB), tahun ini.

DTSB adalah usaha bersama Tyson Foods, dengan MFM memegang 51 peratus kepentingan ekuitii.

Usaha sama ini beroperasi di bawah segmen penyepaduan ternakan ayam.

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan MFM, Teh Wee Chye berkata MFM yakin dengan prospek segmen penyepaduan ternakan ayam.

“Yang penting, segmen ini mengekalkan momentum pengoptimuman volumnya seiring dengan peningkatan permintaan terhadap daging diproses daripada pelanggan kami dalam restoran perkhidmatan pantas dan sektor pembuatan makanan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Oleh yang demikian, MFM merancang untuk melabur dalam segmen ini bersama rakan kongsi usaha sama untuk meningkatkan kapasiti kemudahan pemprosesan.

“Walaupun segmen perniagaan tepung dan bijian telah terkesan dengan pertembungan faktor yang menjejaskan operasi pengilangan tepung namun, keberuntungan segmen penyepaduan ternakan ayam semakin meningkat,” katanya.

Teh berkata dalam persekitaran mencabar untuk perniagaan tepung dan bijian, pihaknya terus menumpukan usaha memastikan keuntungan dari segi kos dalam operasi pengilangan tepung menerusi pengekstrakan dan teknik pengadunan tepung yang lebih baik.

Beliau berkata perbelanjaan modal itu akan digunakan untuk menambah baik kilang pemprosesan ternakan ayam utama di Sitiawan, Perak.

Menerusi penambahbaikan itu, MFM akan meningkatkan kapasiti penyembelihan di kilang pemprosesan itu sebanyak lebih 20 peratus kepada 340,000 ekor sehari daripada 280,000 ekor sehari pada masa ini.

Perbelanjaan modal untuk penambahbaikan itu akan dijana oleh dana dalaman dan pinjaman bank. 

Sumber: Bernama

MFM akan labur hingga RM135 juta usaha sama Tyson Food


Content Type:

Duration:

Johor menerima pelaburan bernilai RM300 juta menerusi pembukaan empat kilang pembuatan milik syarikat JStar Motion Sdn. Bhd. (JStar) di I-Park, Indahpura, di sini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, syarikat itu juga telah memberikan komitmen untuk membuat pelaburan tambahan sebanyak RM100 juta pada masa depan.

Menurut beliau, kemasukan pelaburan oleh syarikat yang telah beroperasi sejak 2019 itu turut menawarkan sebanyak 600 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Saya ingin maklumkan Johor adalah terbuka kepada menerima pelaburan termasuk syarikat asing, ini kerana pelaburan sedemikian memberi situasi menang-menang, termasuklah penyediaan peluang pekerjaan dan pertukaran teknologi.

“Saya berharap lebih banyak syarikat termasuk yang berteknologi tinggi dan ternama akan terus membuat pelaburan di negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan kilang pembuatan syarikat itu, di sini hari ini.

Tambah Onn Hafiz, kemasukan pelaburan syarikat asing juga selari dengan hasrat pihaknya menjadikan Johor sebuah negeri berstatus maju menjelang tahun 2030.

“Untuk mencapai hasrat itu, semua orang perlu bekerjasama dan bagi negeri Johor, kita memerlukan faktor inklusitivi melibatkan masyarakat dengan pelbagai latar belakang kaum dan kewarganegaraan, itu yang menjadikan Johor unik,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah JStar, Tony Wong berkata, keputusan pihaknya membuat pelaburan di Johor adalah atas kepercayaan terhadap pembangunan ekonomi yang disediakan kerajaan negeri dan Malaysia.

“Kami berhasrat untuk menjadi sebahagian daripada visi kerajaan Johor dalam meningkatkan ekonomi negeri sekaligus mencapai status negeri maju dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” ujarnya. 

Sumber: Utusan Malaysia

Johor terima pelaburan RM300 juta, komitmen tambahan RM100 juta


Content Type:

Duration:

Malaysia merupakan antara negara terbaik bagi industri kenderaan elektrik (EV) kerana ia mempunyai kepakaran yang sesuai untuk pelaburan dan eksport, kata Persatuan Kenderaan Elektrik Malaysia (EVAM).

Presiden Datuk Dennis Chuah berkata Malaysia mempunyai infrastruktur, kumpulan tenaga kerja, kemahiran dan teknologi inovatif yang tepat untuk menyokong industri EV dan memenuhi keperluan rantaian nilai global di Asia Tenggara dan melangkauinya.

“Sudah ada segelintir syarikat Malaysia yang mengeksport komponen kepada pengeluar EV.

“Syarikat automotif tempatan telah mengumumkan rancangan untuk EV pertama mereka dan kami melihat lebih ramai pemain automotif asing memasuki ke Malaysia,” katanya pada sidang media E-Mobility Asia di sini hari ini.

Chuah berkata kerajaan telah menyediakan insentif untuk meningkatkan penggunaan EV melalui pengecualian cukai dan pemasangan 10,000 unit pengecasan EV menjelang 2025.

“Walaupun secara asasnya EV di Malaysia pada masa ini adalah rendah iaitu kurang daripada satu peratus pemilikan kereta, berita baiknya ialah permintaan semakin meningkat.

“Ini menunjukkan penggunaan EV bersedia untuk pengembangan kerana pengguna berusaha lebih sedar untuk menjadi mesra alam dan mereka melihat terdapat pilihan di hadapan mereka dan kerja-kerja infrastruktur sedang dijalankan,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia antara negara terbaik bagi industri EV: EVAM


Content Type:

Duration:

Penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) akan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau industri aeroangkasa dan maritim, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ini selepas Malaysia dilihat turut memainkan peranan penting kepada pertumbuhan industri aeroangkasa dan maritim global yang dinilai lebih RM1.3 trilion pada 2021.

Jelasnya, keupayaan negara dibuktikan apabila LIMA ’23 yang masuk kali ke-16 penganjurannya, bukan menjadi pameran ketenteraan semata-mata, sebaliknya turut berjaya menarik minat pihak antarabangsa untuk menyertainya.

“Sebagai Perdana Menteri, saya berbangga mengatakan bahawa Malaysia berjaya memainkan peranan penting kepada pertumbuhan global dalam industri aeroangkasa dan marin.

“LIMA ’23 bakal mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau kepada industri aeroangkasa dan maritim apabila berjaya mengumpul pelbagai pihak yang terbabit dalam industri berkenaan.

“Semua yang dilakukan ini diharap dapat membantu negara mempercepatkan usaha merealisasikan semua rancangan dalam Blueprint Industri Aeroangkasa Malaysia dan Pelan Induk Perkapalan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama LIMA ’23 di Dewan Pameran Antarabangsa Langkawi (MIEC) di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Aizah Wan Ismail meluangkan masa meninjau dan mendengar taklimat daripada pempamer industri pertahanan aeroangkasa dan maritim yang menyertai LIMA ’23.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sejak penganjuran kali pertama pada 1991, LIMA ’23 kini berjaya berkembang menjadi pameran utama bagi industri aeroangkasa dan maritim di rantau Asia Pasifik.

Katanya, keunikan LIMA ’23 terletak pada gabungan pempamer yang juga penggiat utama dalam sektor aeroangkasa dan maritim global.

“Apa yang bermula sebagai pameran pertahanan berubah menjadi tarikan apabila 40 peratus elemen komersial turut dimasukan ke dalam LIMA sejak 2019 bagi menarik negara, pemain industri, pasukan keselematan menyertainya.

“LIMA ’23 menyaksikan penyertaan terbesar sejak penganjurannya diadakan apabila berjaya menarik penyertaan 600 pempamer, 45,000 pelawat komersial dan 450 individu kenamaan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LIMA ’23 perkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau industri aeroangkasa, maritim


Content Type:

Duration:

Kerajaan bercadang untuk mengukuhkan lagi ekosistem semikonduktor di Malaysia dan berharap mencapai 15 peratus bahagian pasaran bagi aktiviti pemasangan, ujian dan pembungkusan menjelang 2030 berbanding 13 peratus pada masa ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata antara kaedah mampan bagi mencapai matlamat berkenaan adalah memberi penekanan kepada pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik dalam kalangan generasi muda.

“Sebagai pengerusi Majlis TVET (pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional) negara, saya juga telah menandatangani pelbagai memorandum persefahaman dengan pemain industri supaya sukatan pelajaran dan modul pembelajaran di institusi TVET dapat dikemas kini mengikut keperluan industri,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan SEMICON Asia Tenggara 2023 di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Beliau berkata Malaysia muncul antara 10 hab global terbaik bagi semikonduktor dan elektronik yang menyaksikan negara ini sebagai pengeksport ketujuh terbesar dunia bagi semikonduktor, dengan bahagian pasaran sebanyak tujuh peratus.

Menurut Ahmad Zahid, daya tarikan Malaysia sebagai pusat pelaburan global telah menarik banyak syarikat berteknologi tinggi dari seluruh dunia untuk mewujudkan operasi di negara ini.

“Kerajaan komited untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan industri untuk memperincikan keseluruhan rantaian bekalan dan membangunkan campur tangan bersasar yang menyokong industri dan memacu pertumbuhan.

“Dengan mengadakan kerjasama, negara dapat mencapai matlamat bersama dan memastikan kejayaan jangka panjang industri dan negara. Ini diharap dapat memacu Malaysia untuk berpotensi muncul sebagai hab digital pilihan di Asia Tenggara satu hari nanti,” katanya.

Acara tiga hari yang bermula semalam dengan tema “Mendorong Ketangkasan dan Daya Tahan Rantaian Bekalan Elektronik” akan memberi penekanan kepada bidang kritikal pertumbuhan industri semikonduktor termasuk kemampanan, pembuatan pintar, mobiliti pintar, teknologi perubatan pintar dan pembangunan tenaga kerja.

Acara itu dianjurkan oleh persatuan industri global, SEMI dengan rakan strategiknya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan InvestPenang.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA (Pembangunan Pelaburan) Lim Bee Vian berkata industri elektrik dan elektronik (E&E) bersedia untuk meneruskan trajektori pertumbuhannya pada 2023, dipacu oleh permintaan global yang meningkat terhadap peralatan cip dan semikonduktor, apabila pada 2022 industri itu menarik jumlah pelaburan sebanyak RM29.3 bilion daripada 106 projek, dengan 95.2 peratus adalah daripada sumber asing.

“Pelaburan ini bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, malah turut mencipta peluang pekerjaan termasuk pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Menerusi ekosistem industri E&E yang teguh, Malaysia telah menjadi magnet bagi syarikat elektronik terbesar dan paling inovatif dunia termasuk gergasi industri seperti Intel, ST Microelectronics, Infineon, Micron, Texas Instruments, TF AMD dan Osram,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia Perkukuh Ekosistem Semikonduktor, Sasar 15 Peratus Bahagian Pasaran Pada 2030


Content Type:

Duration:

Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23) akan menyediakan satu daripada platform antarabangsa terbaik untuk memberikan nafas baharu kepada industri maritim dan aeroangkasa yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, LIMA’23 adalah platform baik untuk mengembangkan potensi peluang perniagaan dalam industri dengan sinergi yang efektif antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan serta agensi dan pihak berkepentingan yang berkaitan.

“Kementerian Pertahanan meliputi 60 peratus daripada segmen pertahanan dan keselamatan dalam LIMA’23, manakala Kementerian Pengangkutan mengendalikan 40 peratus lagi bagi segmen komersial industri maritim dan aeroangkasa,” katanya pada majlis perasmian pembukaan LIMA’23 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) pada Isnin.

Hadir sama ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Loke berkata sektor komersial bagi maritim dan aeroangkasa akan menumpukan kepada produk dan perkhidmatan teras, perkhidmatan sampingan, kemajuan teknologi dan pendidikan terkini serta peluang akademik dan kerjaya.

Beliau berkata pelabur tempatan dan asing boleh memanfaatkan perkembangan terkini industri maritim dan aeroangkasa di Malaysia.

“Satu daripada projek mega dalam sektor maritim adalah pembangunan yang dicadangkan di Pelabuhan Pulau Carey yang boleh mengukuhkan status Pelabuhan Klang sebagai hab marin utama bagi Asia Tenggara,” katanya.

Dalam sektor penerbangan, Loke berkata pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor akan menjadi satu pencetus perubahan berikutan lapangan terbang itu akan dijadikan hab penerbangan serantau dengan kapasiti maksimum sebanyak lapan juta penumpang setahun yang berpotensi melahirkan ribuan pekerjaan bernilai tinggi dan berkemahiran tinggi di Malaysia.

Bertemakan “Neksus Perdagangan Maritim dan Aerangkasa Asia,” Loke berkata LIMA’23 dijangka menarik kehadiran lebih 45,000 pelawat perdagangan dan 250,000 pengunjung awam.

“Sebagai pempamer, anda akan berpeluang untuk menjadikan organisasi anda dikenali oleh pasaran yang pelbagai pada acara antarabangsa.

“Ini sejajar dengan Dasar Pengangkutan Negara untuk menggalakkan pengantarabangsaan perkhidmatan pengangkutan,” kata Loke.

LIMA’23 disertai lebih 525 pempamer termasuk 140 syarikat daripada industri pertahanan, 101 syarikat sektor komersial dan 284 syarikat daripada kedua-dua sektor.

Acara itu akan turut menyaksikan 18 negara menyediakan pavilion negara antaranya Australia, China, Republik Czech, Finland, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Netherlands, Korea Selatan, Turkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu.

Sumber: Bernama

LIMA’23 sedia platform terbaik, beri nafas baharu industri maritim, aeroangkasa – Loke


Content Type:

Duration:

Nilai pelaburan dalam sektor pembuatan di Sabah mencatatkan peningkatan hampir 90 peratus iaitu sebanyak RM8.49 bilion bagi tahun lalu berbanding RM4.48 bilion, tahun sebelumnya.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, berkata kerajaan negeri memberi fokus utama untuk melaksanakan pelbagai program dan projek perindustrian berimpak tinggi demi pembangunan negeri ini.

“Tumpuan akan diberikan kepada usaha untuk merancakkan aktiviti hiliran bernilai tinggi agar dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.

“Di samping itu, untuk menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi, kerajaan negeri akan menambah baik kemudahan infrastruktur serta menyediakan persekitaran yang kondusif dan mesra pelabur di taman-taman perindustrian sedia ada.

“Mengenai perkembangan positif sektor perindustrian dalam negeri, penghargaan harus diberikan kepada kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor atas usaha gigih dan inisiatif bagi menarik pelabur ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 di bangunan DUN, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Juhar dalam ucapannya turut berkata kilang-kilang bagi ‘flagship projects’ di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) akan mula beroperasi pada suku keempat tahun ini.

“Status kemajuan pembinaan kilang kerajang tembaga oleh syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) adalah pada kadar 72.3 peratus.

“Sementara status kemajuan pembinaan kilang pembuatan kaca solar di KKIP dan kilang pemprosesan pasir silika di Sikuati, Kudat oleh Syarikat SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd pula masing-masing pada kadar 27 peratus dan 35 peratus,” katanya.

Selain itu, Juhar berkata, jumlah ketibaan pelancong ke Sabah mencecah 1.73 juta orang berbanding hanya 371,187 orang pada tahun sebelumnya.

“Tahun ini, kerajaan negeri menjangkakan ketibaan seramai 2.2 juta pelancong ke Sabah yang dijangka berupaya menjana pendapatan RM4.1 bilion,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Pelaburan dalam sektor pembuatan di Sabah meningkat hampir 90 peratus tahun lalu


Content Type:

Duration:

Mahsuri Food Sdn Bhd (Mahsuri), pengeluar produk makanan jenama tempatan melabur lebih RM250 juta bagi membangunkan kilang pembuatan baharu di Bandar Enstek, Negeri Sembilan yang dijangka dijangka memulakan operasinya pada awal 2025.

Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri, Datuk Mohd Roslan Mahayudin, berkata kemudahan pembuatan terkini itu bakal meletakkan jenama berkenaan sebagai perintis dalam pengeluaran sos kicap di rantau ASEAN dengan menggunakan teknologi Mesin Pembuat Koji jenis Rotary.

“Kami mengumumkan bahawa Mahsuri bakal mengoperasikan sepenuhnya kilang pembuatan baharu yang terletak di Bandar Enstek.

“Kilang baharu seluas 24,000 meter persegi ini akan dilengkapi dengan kemudahan untuk pembuatan, gudang, makmal untuk jaminan kualiti, pusat penyelidikan dan pembangunan, pejabat dan fasiliti sosial,” katanya kepada media selepas majlis pecah tanah kilang baharu Mahsuri di sini, hari ini.

Majlis pecah tanah itu disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Industri, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, Datuk Dr Mohamed Rafie Ab Malek; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhamad Nahar Mohd Sidek; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Negeri Sembilan; Datuk Najmuddin Sharif Sarimon; dan Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri, Datuk Ahmad Tajuddin Idris.

Mengulas lanjut, Mohd Roslan berkata, kilang pembuatan baharu itu membolehkan Mahsuri untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran serta menyediakan produk berkualiti tinggi yang diperakui halal.

“Ini juga akan meletakkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan Mahsuri pada masa akan datang, selain membolehkan kami memberi pengalaman yang baik kepada pengguna di dalam dan luar negara.

“Kilang pembuatan baharu ini akan dijadikan tempat untuk memproses produk yang diperakui halal di pasaran tempatan serta pasaran luar seperti Indonesia, Filipina, Singapura, Vietnam, Thailand, Myanmar, Kemboja, India dan Timur Tengah,” katanya.

Beliau menjelaskan, dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Mahsuri akan menerokai pasaran Amerika Syarikat (AS) secara beransur-ansur bagi menempatkan produk ‘Buatan Malaysia’ ke pasaran global.

“Dengan kilang baharu yang dibina di Negeri Sembilan, Mahsuri berhasrat untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk komuniti setempat dan meningkatkan kemahiran bakat,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya berkata, beliau mengalu-alukan kehadiran Mahsuri ke Negeri Sembilan sebagai pusat pengilangan sos makanan dan seterusnya mewujudkan satu ekosistem baharu dalam industri yang berkaitan dengannya.

“Dengan pertumbuhan industri halal dan permintaan tinggi terhadap produk halal oleh masyarakat Malaysia dan dunia, saya berharap agar Mahsuri akan terus berkembang maju dan menjadi antara 10 jenama halal terbaik dunia pada masa hadapan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Mahsuri labur lebih RM250 juta bina kilang kicap, sos


Content Type:

Duration:

Peneraju teknologi komposit untuk industri aeroangkasa, Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM) berjaya mengikat kontrak baharu pembuatan komponen Airbus dengan nilai kumulatif sebanyak RM6.64 bilion sehingga 2030.

Kejayaan anak syarikat DRB-HICOM Bhd. itu diumumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada majlis perasmian bangunan baharu 6 (B6) di CTRM, Batu Berendam di sini semalam. 

Menurut beliau, pelaburan tersebut jelas membuktikan bahawa syarikat multinasional terkemuka menganggap lanskap industri aeroangkasa Malaysia sebagai stabil dan kondusif sebagai rantaian bekalan global.

“Hari ini saya mengumumkan CTRM telah dianugerahkan sebuah kontrak baharu bagi pembuatan atau pengeluaran komponen aero kepada beberapa vendor tier 1 atau tahap satu yang membekal kepada syarikat kapal terbang bertaraf global iaitu Airbus. 

“Nilai kontrak terbaharu CTRM ini adalah RM3.4 bilion bagi tempoh 2022 sehingga 2030, dengan nilai kontrak secara kumulatif adalah RM6.64 bilion,” katanya. 

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Datuk Seri Syed Faisal Albar dan Ketua Pegawai Eksekutif CTRM, Shamsuddin Mohamed Yusof. 

Tambahnya, sehingga kini sebanyak 84 peratus pendapatan CTRM diperolehi daripada pembuatan bagi syarikat Airbus, manakala 11 peratus adalah Boeing. 

Mengulas lanjut beliau berkata, dari segi modal insan CTRM akan menambah pekerja berkemahiran teknikal sebanyak 24 peratus iaitu sekitar 300 sehingga 400 orang dalam tempoh tersebut.

“Kontrak baharu ini juga akan meningkatkan perolehan bagi Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui rantaian bekalan domestik sebanyak 25 peratus.

“Kementerian menghargai usaha berterusan CTRM ke arah operasi mampan, termasuklah pemasangan panel solar di atas bumbung untuk menggunakan tenaga boleh diperbaharui, perolehan mampan, dan peralihan dari Gas Petroleum Cecair (LPG) ke gas asli,” katanya.

Ujarnya, namun apa yang lebih penting dalam kejayaan itu adalah potensi untuk pemindahan pengetahuan kepada Malaysia serta limpahan impak positif kepada PKS tempatan dan peluang pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia. 

Sumber: Kosmo

CTRM ikat kontrak Airbus RM3.4 bilion


Content Type:

Duration:

Satu usaha kerjasama yang lebih proaktif antara kementerian akan diwujudkan dalam usaha memperkasakan industri aeroangkasa dari aspek pekerja berkemahiran tinggi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata elemen paling penting dalam industri adalah modal insan.

Bagaimanapun, negara berdepan masalah kekurangan tenaga pakar untuk berkhidmat dalam sektor tertentu termasuk aeroangkasa.

“Sehubungan itu, MITI akan bersama-sama dengan beberapa kementerian lain, antaranya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam usaha memastikan ‘supply of talent ‘ (bekalan tenaga kerja berkemahiran) ini sentiasa ada. Ia juga sebagai satu kelebihan kompetitif kepada pelabur untuk melabur daripada segi infrastruktur dan tenaga kerja berkemahiran.

“Dalam aspek lain, kerjasama ini juga akan dapat memastikan bakat yang dilahirkan di institusi pengajian tinggi adalah relevan dan tepat dengan keperluan industri masa kini malah dapat menjadi salah satu platform untuk meningkatkan pendapatan pekerja dalam industri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan dan merasmikan bangunan baharu kilang syarikat CTRM Aero Composites Sdn Bhd (CTRM) di Batu Berendam di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata bagi aspek R&D pula, pihaknya telah berjumpa dengan wakil Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan berbincang mengenai bagaimana hasil R&D tempatan mampu membawa limpahan positif kepada industri dan negara.

“Ini penting kerana menerusi R&D yang tepat, ia akan menghasilkan apa yang diperlukan industri dan dalam masa yang sama, kita mahu pakar tempatan dalam R&D ini mampu dikomersialkan di peringkat global,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata syarikat CTRM telah dianugerahkan sebuah kontrak baharu bagi pembuatan dan pengeluaran komponen aero kepada beberapa vendor tahap 1 yang membekal kepada syarikat pengeluar pesawat bertaraf global iaitu Airbus.

Katanya nilai kontrak baharu tersebut bernilai RM3.4 billion bagi tempoh 2022 hingga 2030 dengan nilai kontrak secara kumulatif adalah RM6.64 bilion sehingga tahun 2030.

“Daripada segi modal insan, CTRM akan menambah pekerja berkemahiran teknikal sebanyak 24 peratus atau 300 orang bagi tempoh 2023 hingga 2024 selain meningkatkan perolehan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui rantaian bekalan domestik sebanyak 25 peratus.

“Ini jelas membuktikan bahawa syarikat multinasional terkemuka menganggap landskap industri aeroangkasa Malaysia sebagai stabil dan kondusif bagi rantaian bekalan global mereka,” katanya.

Sumber: Bernama

MITI, KPT, MOSTI perkasa industri aeroangkasa


Content Type:

Duration:

Syarikat pembuatan elektronik global Rapid Manufacturing, mengembangkan operasi dengan memperluaskan lagi kemudahan pengeluaran di Kulim, Kedah, yang dijangka mampu mewujudkan sehingga kira-kira 2,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

Kemudahan baharu itu akan menawarkan perkhidmatan kepada pelanggannya dalam bidang aeroangkasa, telekomunikasi, perubatan, semikonduktor, automotif dan sektor automasi industri.

Disamping pembuatan, tapak itu juga akan menempatkan pusat wilayah berintensif pengetahuan, dengan penubuhan Pusat Kecemerlangan (COE) yang canggih untuk memacu syarikat, dalam usaha meningkatkan nilainya rantaian dan akhirnya meletakkan ia sebagai peneraju industri.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Wira Arham Abdul Rahman, berkata peluasan kemudahan pengeluaran Rapid Manufacturing adalah bukti pertumbuhan jangka panjang dalam permintaan untuk industri di peringkat global, dan Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang ini.

“Dengan memanfaatkan ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) komprehensif negara dan rantaian bekalan semikonduktor negara yang matang, kemudahan baharu ini dijangka memberi impak positif kepada penciptaan pekerjaan.

“Pelaburan Rapid di Kulim ini juga dijangka mewujudkan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan untuk warga tempatan, yang merangkumi sekurang-kurangnya 500 pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Selain itu ia juga memberi manfaat kepada masyarakat setempat dan rakyat pada umumnya, sambil meningkatkan rantaian bekalan negara untuk memenuhi perubahan yang pesat keperluan industri E&E,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pengembangan itu akan turut menggalakkan inovasi dalam bidang baru muncul di negara ini.

“Perkembangan ini selaras dengan aspirasi kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan Dasar Pelaburan Baharu, memperkukuh asas-asas ekosistem pelaburan Malaysia,” katanya.

Sementara itu Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan, berkata pihaknya komited untuk menarik dan memudahkan pelaburan bernilai tinggi di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), yang merangkumi negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang, dan Perak.

“Kami berbangga kerana telah memainkan peranan dalam memudahkan pelaburan Rapid Manufacturing di rantau ini, dan kami percaya kemudahan baharu ini akan meningkatkan lagi kedudukan rantau ini sebagai destinasi utama bagi pembuatan berteknologi tinggi.

“Pelaburan Rapid Manufacturing di Kedah dan Pulau Pinang akan mengukuhkan dengan ketara pembangunan ekosistem rantaian bekalan untuk menyokong aktiviti daripada E&E, Jentera dan Peralatan (M&E), teknologi dan peranti perubatan, industri telekomunikasi, automotif dan aeroangkasa di NCER.

“Dengan kemudahan oleh NCIA melalui pelbagai insentif NCER, pihak berkuasa yakin lebih banyak syarikat akan ikut serta dan melabur dalam NCER, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Rapid Manufacturing perluas kemudahan pengeluaran di Kulim


Content Type:

Duration:

TRG Silica (Marang) Sdn Bhd (TSM) akan membangunkan industri pengeluaran silika ultra tulen dan kristobalit yang juga bahan utama penghasilan kaca teknologi maju, bernilai RM500 juta di Mercang di sini, Julai ini.

Pengerusi Kumpulan Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd, Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud, berkata projek di kawasan seluas 1,000 hektar itu adalah yang pertama di Asia dan membabitkan tempoh pelaburan selama lima tahun.

Beliau berkata, pembangunan projek itu akan turut menawarkan 250 peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan.

Projek fasa pertama yang dijangka siap pada 2024, akan mengeluarkan produk silika terbabit pada kapasiti 2.6 juta tan metrik untuk kegunaan industri hiliran domestik serta antarabangsa.

“Pelaburan sebanyak RM500 juta bagi fasa satu ini turut membabitkan pembinaan sebuah terminal untuk penghantaran produk ke luar negara termasuk Korea Selatan, Taiwan dan China.

“Ini kerana produk yang dikeluarkan ini adalah paling tulen dan bagi menjamin kualitinya, ia tidak boleh dihantar menggunakan pelabuhan lain,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah projek itu di Kampung Jambu Bongkok, Mercang, di sini, hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli berangkat dan merasmikan majlis berkenaan.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd, N Surendran.

Tengku Baharuddin berkata, TSM juga bekerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi mempromosi dan menggalakkan lebih banyak pelaburan asing dalam sektor hiliran, khususnya di Terengganu.

“Produk silika ultra tulen dan kristobalit ini adalah komposisi utama bagi keperluan pengeluaran produk industri hiliran kaca teknologi maju ‘Glass World’ seperti batu hasil kejuruteraan, kaca seramik dan kaca oftalmik yang mempunyai rintangan tinggi terhadap haba dan sebagainya.

“TSM akan menjadi pemangkin bagi pelaburan langsung asing (FDI) menerusi kewujudan industri hiliran silika seperti kaca telefon bimbit, televisyen dan sebagainya di Terengganu dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, TSM turut bekerjasama dengan beberapa negara termasuk Jerman, Belgium dan Jepun bagi mendapatkan kepakaran berkaitan serta dalam aplikasi kecerdasan buatan (AI).

“Ini bagi menjana pengeluaran produk yang amat bermutu tinggi. Syarikat juga sedang berusaha untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar melalui projek ini,” katanya.

Sumber: Bernama

TSM labur RM500 juta bangun industri silika di Terengganu


Content Type:

Duration:

EVE Energy Malaysia Sdn Bhd (EVE) dan Pemaju Kelang Lama Sdn Bhd memeterai Perjanjian Persafahaman (MoU) bagi menubuhkan kilang pembuatan termaju EVE membabitkan pelaburan AS$422.3 juta (RM1.88 bilion).

Kilang terletak di Kulim, Kedah yang menjadi kemudahan ke-53 EVE dijangka menerajui pembangunan Taman Perindustrian Bateri Silinder Antarabangsa di negara ini.

Menurut EVE, kemudahan terbabit akan memberi tumpuan terutamanya kepada pengeluaran bateri litium-ion silinder untuk alat kuasa dan dua roda elektrik.

Projek berkenaan juga berpotensi untuk mewujudkan 600 peluang pekerjaan baharu berkualiti tinggi, seterusnya menyumbang kepada ekonomi tempatan dan sektor pekerjaan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata keputusan EVE untuk menubuhkan kilang pembuatan di Malaysia mendapat sokongan padu kerajaan.

“Dalam usaha kita untuk membuka potensi penuh kenderaan elektrik (EV), adalah penting untuk kita mengiktiraf peranan signifikan yang digalas pengeluar bateri.

“Penubuhan kemudahan pembuatan termaju khusus untuk pengeluaran bateri litium-ion silinder di Kulim, membuktikan komitmen ini. Melalui kerjasama dengan peneraju industri seperti EVE, Malaysia boleh memacu inovasi, meningkatkan prestasi bateri dan menyumbang secara signifikan kepada peralihan global ke arah mobiliti mampan.

“MoU ini akan menggalakkan pembangunan ekonomi dan pekerjaan tempatan dengan tegas dan seterusnya meningkatkan kemahiran pekerja tempatan, yang boleh menyumbang kepada pembangunan sokongan tempatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan industri berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan mewujudkan persekitaran yang lebih sesuai untuk perusahaan inovatif global bagi mencapai pembangunan yang saling menguntungkan dan menang-menang.

“MoU ini menandakan kemajuan projek EVE di Malaysia, yang secara berkesan memenuhi keperluan syarikat untuk mengembangkan lagi kapasiti pengeluaran bateri silinder bagi menyokong pengeluar kenderaan dua roda elektrik dan alatan kuasa, terutamanya untuk Malaysia dan Asia Tenggara.

“Bergantung pada kelebihan dan pengalaman pembuatan domestiknya, kilang EVE di Malaysia akan terus mempunyai inovasi teknikal. Ia berusaha untuk menjadi pembuatan termaju dan kilang bateri pintar digital bertaraf dunia.

“Ini akan terus mempromosikan perniagaan luar negara syarikat dan bahagian pasaran global bagi pasaran dua roda dan alatan kuasa elektrik dan meningkatkan daya saing komprehensif EVE, sambil mempercepatkan pengembangan perniagaan luar negaranya dan mempromosikan pembangunan Malaysia,” katanya.

EVE ditubuhkan pada 2001 dan disenaraikan pada 2009.

Selepas 22 tahun pembangunan pesat, EVE kini telah menjadi sebuah syarikat multinasional yang menumpukan pada penyelesaian penjanaan bateri litium.

Menawarkan teknologi teras dan penyelesaian komprehensif untuk bateri pengguna, bateri kuasa dan bateri simpanan tenaga.

Produk EVE digunakan secara meluas dalam bidang internet kebendaaan (IoT), internet tenaga dan bateri litium-ionnya dibekalkan kepada jenama peringkat pertama global.

EVE juga telah menjadi antara 10 syarikat teratas di dunia dari segi kuasa bateri, selain bekerjasama dengan pembuat kereta terkenal di peringkat antarabangsa seperti BMW, Daimler, Hyundai dan Jaguar Land Rover.

Jejak asas jualan globalnya telah berkembang ke Amerika Syarikat (AS), Jerman, Malaysia serta rantau lain.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata, MIDA komited untuk menarik pelaburan berkualiti untuk menyokong rantaian bekalan dan ekosistem EV di Malaysia.

Sumber: Berita Harian

Kilang bateri RM1.88 bilion bakal dibina di Kulim


Content Type:

Duration:

wpChatIcon