Berita Industri Archives - Page 5 of 29 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Johor galak buka kawasan perindustrian terancang untuk tarik pelabur – MB

Kerajaan Negeri Johor menggalakkan pembukaan kawasan perindustrian baharu berkonsepkan ‘land industrial area’ atau kawasan perindustrian terancang yang disediakan dengan utiliti serta kemudahan asas lengkap dan kondusif untuk para pelabur di negeri ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia bertujuan menarik lebih banyak pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk Bangsa Johor.

Beliau berkata, langkah itu adalah selari dengan hasrat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang telahpun menubuhkan unit khas iaitu ‘Industrial Estate Unit’ melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi memantau dan membangunkan taman perindustrian untuk menarik pelaburan berkualiti.

“Ini kerana Johor telah mencatatkan penerimaan pelaburan tertinggi dalam negara pada 2022, iaitu sebanyak RM70.6 bilion dengan 570 projek telah diluluskan yang dijangka akan menghasilkan lebih 16,000 peluang pekerjaan serta limpahan peluang perniagaan kepada rakyat Johor dan Malaysia.

“Patik menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar) untuk memudah cara bagi memastikan pelaburan ini dapat direalisasikan dengan kadar segera,” katanya dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini, hari ini.

Onn Hafiz yang juga Adun Machap berkata beliau akan terus mempengerusikan Jawatankuasa Pelaburan Johor atau lebih dikenali sebagai Johor Investment Committee (JIC) secara berkala bagi memastikan setiap pelaburan yang diluluskan dapat dilaksanakan, selain terus memantau dan memudahcara segala urusan pelaburan di negeri ini.

Pada Selasa lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Lee Ting Han dilaporkan berkata pelaburan yang diterima Johor pada 2022 berjumlah RM70.6 bilion dengan RM58.78 bilion atau 83.26 peratus daripadanya adalah daripada pelaburan asing, manakala RM11.81 bilion atau 16.74 peratus daripada domestik.

Berhubung Zon Khas Kewangan di Iskandar Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini beliau berkata kerajaan negeri mengalu-alukan cadangan tersebut dan berharap perkara itu dapat dibincangkan segera dengan Kementerian Kewangan.

“Saya yakin ia boleh menjadi pemangkin untuk merancakkan lagi pembangunan ekonomi di kawasan Iskandar Malaysia ini,” katanya.

Sumber: Bernama

Johor galak buka kawasan perindustrian terancang untuk tarik pelabur – MB


Content Type:

Duration:

Kerajaan negeri bercadang mewujudkan satu mekanisme teratur melibatkan industri terlibat bagi menyokong penggunaan kenderaan elektrik (EV) pada masa hadapan.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia selaras dengan usaha kerajaan negeri yang mahu mempertingkatkan penggunaan EV di negeri itu pada masa hadapan.

Katanya, ia juga selari dengan inisiatif Singapura yang akan menghentikan pendaftaran kereta menggunakan petrol pada 2030.

“Johor tidak boleh elak, bermaksud Johor (kena) ada perancangan untuk mengadakan usaha sama dengan pihak berkuasa tempatan.

“Saya akan bincang dengan Tan Sri Setiausaha Kerajaan Negeri (Tan Sri Dr Azmi Rohani) supaya ada satu mekanisme yang lebih teratur dan juga strategik melibatkan industri yang mempunyai punca kuasa untuk…(menyokong) strategi kita (berhubung EV) untuk tahun-tahun akan datang,” kata beliau ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Kedua DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Menteri Besar juga berkata pada lawatan kerja ke Singapura bulan lepas, pertemuannya dengan Menteri Pengangkutan Singapura S Iswaran ada menyentuh mengenai perancangan republik itu berkenaan penggunaan kenderaan EV di negara itu.

Selain itu, Onn Hafiz (BN-Machap) turut menyebut mengenai cadangan mewujudkan laluan feri ketiga ke republik itu menerusi feri terminal Puteri Harbour, di sini, ke Tuas, Singapura.

“Walaupun begitu, ini masih lagi dalam proses perancangan dan semestinya memerlukan kelulusan di peringkat Kementerian Pengangkutan (MOT) Malaysia sebelum dibawa ke peringkat MOT Singapura,” katanya.

Selain Iswaran, Onn Hafiz turut bertemu Menteri Ehwal Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Kemampanan dan Sekitaran Singapura Grace Fu dan empat syarikat yang ingin melabur di Johor, selain menghadiri sesi dialog bersama Singapore Manufacturing Federation (SMF).

“Secara keseluruhannya, pelbagai perkara telah dibincangkan dalam sesi lawatan ini khususnya isu melibatkan hubungan dua hala antara Singapura dan negeri Johor.

“Sesi lawatan ini bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri Johor berdasarkan kepada peluang pengembangan ekonomi domestik dan antarabangsa melalui hasil perjumpaan dengan menteri-menteri di Singapura dan pelabur-pelabur berpotensi.

“Justeru, tindakan susulan daripada jabatan dan agensi berkaitan perlu bagi merealisasikan segala perancangan agar mencapai matlamat kerajaan negeri,” katanya.

Onn Hafiz menjawab soalan Ketua Pengimbang Johor Andrew Chen Kah Eng (PH-Stulang) yang mahu mengetahui apakah hasil perbincangan dan pertemuan rombongan kerajaan Johor ke Singapura pada 12-14 Feb lepas, yang merupakan lawatan kerja keempat Onn Hafiz ke republik itu sejak dilantik sebagai menteri besar pada Mac, 2022.

Sumber: Bernama

Penggunaan EV: Johor cadang wujud mekanisme libatkan industri


Content Type:

Duration:

AMD Global Services (M) Sdn Bhd akan mengembangkan perkhidmatan perniagaan global (GBS) serta keupayaan kejuruteraannya melalui ruang pejabat dan fasiliti makmal baharu yang serba canggih di Pulau Pinang.

Naib Presiden Eksekutif AMD, Datuk Devinder Kumar, berkata Pulau Pinang telah memainkan peranan penting dalam ekosistem semikonduktor di peringkat global serta dalam operasi pemasangan dan ujian bagi produk teknologi kepimpinan AMD selama lebih dari 50 tahun.

“Fasiliti baharu di Bayan Lepas akan meningkatkan jumlah pekerja termasuk keupayaan kami untuk menyokong pertumbuhan merentasi perkhidmatan perniagaan global dan kepakaran kejuruteraan kami.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan InvestPenang bagi menandakan satu lagi pencapaian penting dalam urusan perniagaan kami yang telah lama bertapak di Malaysia,” katanya semasa pengumuman pelaburan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di sini, hari ini.

Devinder berkata, melalui pelaburan ini dan dengan sokongan berterusan daripada kerajaan Pulau Pinang, AMD kekal komited untuk memacu inovasi di Pulau Pinang bagi melahirkan keupayaan baharu yang akan memajukan penyelidikan saintifik, pusat data serta komunikasi.

Pada Jun tahun lalu, pembekal dan rakan kongsi AMD, TF AMD Microelectronics Sdn Bhd, mengumumkan pelaburan RM2 bilion untuk kemudahan pembuatan baharu di Pulau Pinang.

Sementara itu, Kon Yeow berkata pengembangan AMD akan ditempatkan di GBS by the Sea, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bernilai RM200 juta di Bayan Lepas.

Beliau berkata, GBS by the Sea dijangka siap menjelang 2024, ia akan terdiri daripada bangunan pejabat sembilan tingkat dan tempat letak kereta enam tingkat dengan ruang lantai boleh disewa bersih kira-kira 300,000 kaki persegi.

AMD Global Services akan mengambil kira-kira 70 peratus daripada ruang bangunan atau kira-kira 209,000 kaki persegi.

AMD Malaysia ditubuhkan pada 1972 dengan fasiliti pembuatan pertamanya di Pulau Pinang, sejak itu, ia telah berkembang kepada lebih daripada 800 pekerja yang merangkumi dua kemudahan Perkhidmatan Perkongsian Global di Pulau Pinang dan Cyberjaya.

Sumber: Bernama

AMD sedia kemudahan serba canggih di Pulau Pinang


Content Type:

Duration:

Industri halal Malaysia diunjurkan berkembang kepada US$113.2 bilion (US$1=RM4.43) pada 2030, dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.1 peratus menjelang 2025 menerusi Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pihaknya akan terus menambah baik semua komponen ekosistem halal ke arah meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai peserta utama dalam pasaran halal global selain memanfaatkan jumlah penduduk Islam global yang mencecah dua bilion.

“Dalam mencapai objektif ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensinya telah memulakan usaha untuk meletakkan industri ini sebagai sektor yang menguntungkan dan berdaya saing, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran HIMP 2030 di Parlimen pada Khamis.

HIMP 2030 dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia. Hadir sama ialah Tengku Zafrul dan Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan.

Tengku Zafrul berkata berdasarkan HIMP 2030, yang bertemakan ‘Ke Arah Halal Malaysia yang Menyerlah di Peringkat Global’, sebanyak 23 inisiatif telah dikenal pasti untuk menambat kukuh tujuh teras strategik dan memanfaatkan peluang serta menangani cabaran.

“MITI berbesar hati untuk menjadi pemacu strategik HIMP 2030, dengan sokongan pelaksanaan berkesan oleh agensi kami, Halal Development Corporation,” katanya.

Beliau berkata antara keutamaan MITI bagi 2023 adalah mengembangkan perdagangan, dengan barangan dan perkhidmatan halal boleh berperanan secara lebih ketara.

Tujuh teras strategik itu adalah menambah baik polisi dan perundangan yang lebih mesra industri halal; mewujudkan ruang pasaran yang baharu dan lebih luas untuk produk dan perkhidmatan halal Malaysia; mewujudkan kumpulan pakar dan profesional industri halal yang lebih besar untuk memenuhi keperluan global serta mempertingkatkan pembangunan infrastruktur yang berkualiti dan berintegrasi.

Tiga teras lain adalah memupuk pemikiran kepimpinan; melahirkan lebih ramai ‘juara halal’ dalam kalangan peserta industri tempatan serta menggalakkan penyertaan bumiputera yang lebih berdaya saing di dalam industri halal.

“HIMP 2030 akan dipacu oleh lima keberhasilan utama, yang termasuk mempunyai industri halal domestik yang teguh dan pelbagai; menawarkan pematuhan syariah yang menyeluruh; mempertingkatkan pemudahan untuk menjalankan perniagaan di Malaysia; mempunyai ekosistem perniagaan yang kompetitif; dan mempromosikan ‘Halal Malaysia’ di peringkat global,” katanya.

Menurut MITI eksport halal Malaysia meneruskan trajektori pertumbuhan pada 2022 dengan jumlah nilai eksport halal sebanyak RM59.46 bilion, meningkat RM23.16 bilion atau 63.8 peratus daripada angka pada tahun sebelumnya.

Dari segi sumbangan sektor, makanan dan minuman terus menjadi penyumbang utama kepada ekonomi halal Malaysia dengan jumlah nilai eksport sebanyak RM27.84 bilion, mewakili 46.8 peratus daripada jumlah eksport halal Malaysia.

“Penyumbang kedua terbesar adalah bahan halal, yang turut mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 73.1 peratus daripada angka tahun lepas kepada RM23.35 bilion atau 39.3 peratus daripada jumlah eksport halal,” jelas MITI.

Sementara itu, kosmetik dan penjagaan diri kekal di tempat ketiga dengan jumlah nilai eksport halal RM3.49 bilion, meningkat 43.5 peratus daripada angka tahun sebelumnya manakala derivatif minyak sawit meningkat 63.6 peratus daripada angka pada 2021 kepada RM2.79 bilion, mewakili 4.7 peratus eksport halal.

“Kimia industri meningkat 69.7 peratus daripada angka pada 2021 kepada RM1.27 bilion manakala farmaseutikal mencatatkan pertumbuhan tertinggi dengan peningkatan 156.7 peratus daripada angka 2021, menyumbang RM0.72 bilion atau 1.2 peratus kepada jumlah eksport halal,” tambah kementerian itu.

Sumber: Bernama

Industri Halal Malaysia diunjurkan berkembang kepada US$113.2 bilion pada 2030 – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Kilang Pintar ‘Lights-Out’ 4.0 milik EG Industries Bhd bernilai RM180 juta di Batu Kawan, dekat sini dijangka siap pada separuh pertama 2024.

Dalam kenyataan bersama pada Jumaat lepas, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan EG Industries menjelaskan kemudahan yang mula dibangunkan pada Januari 2023 itu akan melakukan pemindahan teknologi di Asia Tenggara.

“Kilang ini akan mengeluarkan pemancar dan penerima isyarat optik berkelajuan tinggi canggih 5G baharu untuk rangkaian tanpa wayar 5G (modul optik), menggunakan teknologi fotonik dan semikonduktor melalui pemindahan teknologi daripada pelanggan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Cambridge Industries Group (CIG).

“Ini dijangka meningkatkan kemahiran dan daya saing tenaga kerja tempatan selain bersedia untuk mengambil kira-kira 1,000 bakat berkemahiran tinggi apabila siap,” jelasnya.

Kilang baharu itu akan menggunakan metodologi ‘lights-out’, mewujudkan persekitaran berangkaian sepenuhnya yang mendigitalkan aliran bahan untuk pembuatan autonomi.

Kilang itu akan diuruskan oleh pasukan pakar khusus secara maya yang bertanggungjawab untuk pengurusan data, perancangan pengeluaran dan kawalan kualiti.

Selain Batu Kawan, penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu sedang memperluas kehadirannya untuk membina gudang pintar dan pusat pemerolehan antarabangsa yang menampilkan sistem inventori pengurusan vendor (VMI) pertama Kedah.

Peluasan ini bertujuan memenuhi keperluannya yang semakin meningkat serta kluster perindustrian sekitar di Sungai Petani, Kedah dan Batu Kawan, Pulau Pinang.

Kemudahan RM40 juta itu dijadualkan siap pada 2024, tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Pembangunan Pelaburan MIDA, Lim Bee Vian berkata rancangan pengembangan EG Industries itu sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) untuk menarik pelaburan bernilai tinggi bagi merealisasikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan holistik.

“Kita menyambut baik projek peluasan EG Industries yang memanfaatkan teknologi 5G termaju, yang selaras dengan mandat kerajaan untuk MIDA meneraju transformasi digital yang pesat dalam sektor pembuatan.

“Ini akan membuka laluan kepada peningkatan produktiviti, penciptaan pekerjaan dan pengukuhan kemahiran rakyat Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

Kilang ‘Lights-Out’ bernilai RM180 juta siap pada separuh pertama 2024 – EG Industries


Content Type:

Duration:

Industri automotif Malaysia yang matang kini berada di ambang transformasi berskala besar, kata penganjur pameran dan acara perdagangan terbesar dunia, Messe Frankfurt (HK) Ltd.

Pengurus Besar, Fiona Chiew berkata sepanjang menganjurkan pameran perdagangan automotif – Automechanika Kuala Lumpur – selama 20 tahun, pihaknya telah mengikuti industri Malaysia dengan peserta industri.

Beliau berkata pihaknya mendapati mereka amat berminat untuk menyertai masa depan landskap automotif – seperti kenderaan elektrik (EV) dan Internet Pelbagai Benda (IoT).

“Apabila menganjurkan pameran, kami tidak mengadakannya hanya berdasarkan pemikiran kami, sebaliknya turut bekerjasama dengan rakan kongsi dan persatuan tempatan. Jadi, penganjuran acara inilah satu perkara yang kami berbincang dengan mereka, dan memaklumkan yang mereka ingin mengetahui lagi mengenai teknologi dan latihan baharu bagi pembaikan kereta.

“Kami juga menganjurkan acara EV dan rangkaian digital yang menghubungkan dan membantu mereka dengan industri serta (mendedahkan) mereka kepada produk dan perkhidmatan yang lebih terkini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Automechanika Kuala Lumpur 2023 di sini, pada Khamis.

Beliau berkata bukti lain berkaitan transformasi boleh dilihat menerusi peningkatan bilangan peserta dalam pameran perdagangan tahun ini dengan rekod tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak 330 pempamer daripada 17 negara dan wilayah termasuk Australia, China, Jerman, Hong Kong, India, Itali, Korea Selatan, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Messe Frankfurt yakin negara ini mempunyai rancangan automotif untuk mewujudkan lebih pengaruh di peringkat global, melalui inisiatif sektor swasta dan didorong dasar.

Automechanika Kuala Lumpur 2023 diadakan mulai Khamis dan sehingga 18 Mac, 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Sumber: Bernama

Industri automotif Malaysia kini berada di ambang transformasi berskala besar


Content Type:

Duration:

Sumbangan Proton Holdings Bhd (PROTON) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) kepada industri automotif tempatan membolehkan kedua-dua syarikat masih diberi layanan sebagai pengeluar kereta nasional.

Bagaimanapun, kedua-dua syarikat kereta berkenaan harus memenuhi kriteria-kriteria yang digariskan di bawah Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) dipatuhi, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong

“Dengan adanya kriteria-kriteria yang ditetapkan di bawah NAP 2020, mana-mana syarikat selain PROTON dan PERODUA yang dapat memenuhi kriteria-kriteria itu juga layak dipertimbangkan untuk diberi layanan sebagai Projek Kereta Nasional,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mahu tahu sebab PROTON masih diberikan pelbagai layanan istimewa memandangkan ia bukan lagi kereta nasional.

Chin Tong berkata, antara kriteria-kriteria yang ditetapkan sebagai ‘Malaysian Vehicle Project’ boleh dijadikan panduan termasuklah majoriti pemilikan tempatan, memberi tumpuan kepada pembangunan rantaian pembekalan tempatan, menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan dan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

PROTON telah menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, iaitu sekitar 8,500 orang di mana 99 peratus adalah rakyat tempatan, katanya.

“PROTON melantik lebih daripada 180 syarikat tempatan Tahap-1 dalam rantaian pembekalan keseluruhannya dan nilai purata perolehan tempatan adalah antara 75 peratus sehingga 80 peratus terutamanya bagi model-model yang dibangunkan secara tempatan sepenuhnya,” katanya.

Sehubungan itu, MITI akan sentiasa memantau pematuhan PROTON dan PERODUA ke atas kriteria-kriteria yang telah ditetapkan dan bersedia untuk mengemaskini dasar dari masa ke semasa seiringh dengan perkembangan industri automotif global.

Sumber: Bernama

PROTON, PERODUA masih penuhi kriteria syarikat kereta nasional


Content Type:

Duration:

Betamek Bhd sedang mengintai kerjasama dengan Krakatoa Technologies Pte Ltd dari Singapura untuk membangunkan sistem pengurusan bateri di atas cip (BMS SOC) bagi kegunaan kenderaan elektrik (EV).

Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Betamek Electronics (M) Sdn Bhd, telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan firma semikonduktor berkenaan untuk meneroka potensi kerjasama.

MoU itu akan berkuat kuasa selama 12 bulan dan boleh dilanjutkan secara bersama oleh kedua-dua pihak, kata syarikat berkenaan dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Krakatoa adalah pembekal harta intelek silikon yang menggunakan seni bina terbuka RISC-V ISA, syarikat itu menumpukan kepada kecekapan tenaga serta penyesuaian dan membangunkan reka bentuk sistem di atas cip untuk beberapa vertikal.

“Setelah mempertimbangkan semua aspek dalam MoU itu, lembaga pengarah berpandangan bahawa MoU itu adalah sejajar dengan kepentingan terbaik Betamek,” kata syarikat berkenaan.

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Betamek, Mirzan Mahathir, kerjasama dengan Krakatoa adalah konsisten dengan strategi korporat menyeluruh syarikat bagi merebut peluang untuk terus mengembangkan perniagaan demi menyediakan pengalaman bernilai dan kepakaran dalam pasaran perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS).

Sumber: Bernama

Betamek, Krakatoa tinjau kerjasama bina sistem bateri EV


Content Type:

Duration:

Ibu pejabat dan kemudahan baharu QES Group Bhd (QES) di Glenmarie, Shah Alam merupakan pencapaian utama dalam pertumbuhan syarikat yang berterusan dan komitmen terhadap kecemerlangan.

Ibu pejabat korporat lima tingkat yang dirasmikan semalam itu mempunyai jumlah keluasan kira-kira 88,000 kaki persegi dengan kemudahan pembuatan baharu merangkumi hampir 40,000 kaki persegi.

Seramai 190 tenaga pekerja menyokong aktiviti pengedaran dan pembuatan.

Pengarah Urusan Kumpulan Chew Ne Weng berkata acara itu menjadi bukti kepada komitmen syarikat terhadap pertumbuhan dan inovasi di rantau ASEAN.

“Ini hanyalah permulaan kepada lembaran baharu yang menarik untuk QES kerana kami berharap untuk terus memperluas kedudukan global kami dan cemerlang dalam setiap bidang produk dan perkhidmatan yang dipacu oleh teknologi kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kanan Advokasi Polisi Pelaburan MIDA Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, QES telah membuktikan sebagai sebuah syarikat yang bereputasi dan dipercayai dalam bidang mekatronik.

Menurutnya, komitmen QES terhadap inovasi, kualiti dan kepuasan pelanggan terus memacu kejayaan mereka dalam industri dan kemudahan itu telah disesuaikan dengan keperluan industri elektronik dan semikonduktor.

Ia merupakan satu langkah ke hadapan dalam industri kami, menawarkan prospek pekerjaan yang banyak untuk komuniti tempatan kita. Kami berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada majlis yang penting ini dan menjangka kemakmuran luar biasa yang akan dibawanya,” katanya.

Sumber: DagangNews

Ibu pejabat baharu QES, komitmen terhadap
pertumbuhan dan inovasi di rantau ASEAN


Content Type:

Duration:

Malaysia menjangkakan enam hingga tujuh peratus daripada sektor akan terjejas pada tahun pertama pelaksanaan mekanisme pelarasan sempadan karbon Kesatuan Eropah (EU).

Malah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata impak di masa depan adalah jauh lebih ketara jika keperluan untuk memenuhi mekanisme tersebut tidak ditangani.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia akan terus melakukan libat urus dengan agensi-agensi di bawah kementerian berkenaan bagi membantu kalangan industri negara membuat persediaan dengan perubahan tersebut.

“Kita juga dalam proses memuktamadkan Rangka Kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri (i-ESG) Kebangsaan bagi sektor pembuatan khususnya untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melakukan persediaan melibatkan permintaan global berkaitan ESG,” katanya pada sidang media Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengenai prestasi pelaburan Malaysia bagi 2022.

Rangka kerja i-ESG itu dijadual siap pada 2024.

Untuk rekod, pada Disember 2022, EU menetapkan mekanisme pelarasan sempadan karbon yang mengenakan cukai ke atas barangan import terpilih dan dijangka berkuatkuasa mulai 2026.

Terdahulu dalam ucapannya, Tengku Zafrul berkata MITI sedang merangka dasar bagi memberi insentif kepada syarikat dan industri yang membantu negara dari segi meletakkan asas untuk dunia lebih mampan dan saksama menerusi usaha melabur dalam infrastruktur hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

“Ini merupakan langkah penting dan perlu bersifat diusahakan negara secara menyeluruh iaitu tepat pada masanya serta perlu bagi memastikan kejayaan jangka panjang,” katanya.

Selain itu, dalam Belanjawan 2023, Malaysia turut mengumumkan inisiatif cukai dan bukan cukai untuk kalangan perniagaan yang menggunapakai teknologi hijau, pembiayaan bagi penyelidikan dan pembangunan dalam industri lestari serta kerjasama mampan dengan syarikat terkemuka.

Sumber: Bernama

Malaysia jangka mekanisme pelarasan sempadan karbon EU beri impak minimum – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Ohgi Technological Creation Co (Ohgi) dari Jepun akan melabur RM140 juta di Kelantan untuk membina fasiliti ‘Pengkarbonan Plastik Sisa dan Sistem Pengurangan Volum’.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Datuk Dr Izani Husin berkata fasiliti yang bakal dilaksanakan itu akan menghasilkan karbon aktif.

Katanya bahan berkenaan akan digunakan sebagai bahan utama untuk menghasilkan produk seperti plat karbon, elektrod yang akan digunakan dalam kapasitor, penapis pelbagai gred, penebat haba dan pelbagai lagi produk yang menggunakan karbon sebagai bahan asas.

“Ohgi yang berpangkalan di Tokyo, Jepun menumpukan kepada pembangunan produk berasaskan karbon yang digunakan dalam bidang perubatan, makanan, pembinaan dan sebagainya.

“Ohgi juga banyak terlibat dengan penyelidikan dan pembangunan bersama Ryukoku University bagi membangunkan pelbagai produk baharu yang berasaskan karbon. Setakat ini, pihak Ohgi memegang sebanyak 181 paten bagi pelbagai jenis produk dan rekaan,” katanya menerusi kenyataan media, di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Dr Izani menerima kunjungan delegasi Ohgi Technological Creation Co ( Ohgi ) diwakili oleh Pengasasnya Takehiko Ohki, Pengasas Bersama Ryuichiro Kuboshima dan syarikat bersekutunya J Global Trading Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Dr Izani turut berkata pihak Ohgi juga berhasrat untuk bekerjasama dengan pihak Pengurusan Sisa Pepejal Mubaarakan Sdn Bhd (PSPM), yang merupakan syarikat bersekutu Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM) bagi menaik taraf sistem pengurusan tapak pelupusan di Tanah Merah, Pasir Mas dan Machang.

“Malah dengan beberapa komponen projek yang dicadangkan, ia dijangka dapat membantu memberi penyelesaian kepada masalah di tapak-tapak pelupusan yang terlibat selain mewujudkan peluang pekerjaan, pemindahan teknologi kepada rakyat tempatan dan menambah pendapatan kepada kerajaan negeri.

“Selain itu, pihak Ohgi turut berhasrat untuk melakukan kolaborasi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan bersama universiti-universiti tempatan dan mencipta produk-produk baharu berasaskan karbon yang lebih sesuai untuk kegunaan industri tempatan,” katanya.

Sumber: Bernama

Ohgi Technological akan labur RM140 juta di Kelantan


Content Type:

Duration:

Syarikat pengeluar dan pembekal bas digalak meneroka peluang pasaran di Sabah dan Sarawak bagi membolehkan pengusaha bas ekspres di negeri terbabit menaik taraf kemudahan kenderaan mereka untuk keselesaan dan keselamatan rakyat.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, potensi pasaran bas ekspres di kedua-dua negeri berkenaan adalah baik dan syarikat pengeluar dan pembekal bas tidak seharusnya hanya menumpukan perniagaan mereka di Semenanjung negara ini sahaja.

“Saya berharap syarikat pengeluar dan pembekal dapat memasarkan produk mereka kepada pengusaha di Sabah dan Sarawak dan sudah tentu apabila pengusaha tersebut sedia untuk melabur, mereka boleh berbincang dengan pelbagai kerajaan untuk dimudah cara dari segi pembiayaan,” katanya kepada media di sini pada Khamis.

Terdahulu, Anthony menghadiri majlis pengenalan bas dua tingkat, Volvo B11RLE 6×2 baharu yang dibina sepenuhnya di negara ini untuk pasaran bas di Malaysia.

“Rakyat Sabah dan Sarawak selalu menyuarakan di Semenanjung ada pelbagai mod pengangkutan awam diperkenalkan dan bas-bas yang lebih baharu.”Saya ingin menerangkan bahawa bas-bas ekspres bukan dibeli oleh kerajaan dan kerajaan tidak memiliki mana-mana syarikat bas. Kerajaan cuma terlibat dalam operasi bas henti-henti di bandar sahaja dan kita memang menggalakkan untuk pengusaha syarikat sentiasa menaik taraf bas mereka demi keselesaan dan keselamatan penumpang,” katanya.

Menurut Anthony pelbagai institusi kewangan, bank dan dana kerajaan yang boleh dipohon pihak syarikat operator bas untuk melabur bagi mendapatkan bas baharu.

“Kalau operator bas ini tidak didedahkan (oleh syarikat pengeluar bas) dengan apa yang terbaharu di pasaran, mereka tidak akan tahu,” katanya.

Mengenai isu kekurangan pemandu bas, Anthony berkata, pada minggu lepas semasa pertemuan dengan persatuan pengusaha bas, pihaknya meminta mereka mendapatkan maklumat daripada semua ahli persatuan untuk mengenal pasti kawasan yang menghadapi masalah berkenaan.

Beliau berkata, isu kekurangan pemandu juga dihadapi oleh pengangkutan lori terutama ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dan ramai pemandu mereka bertukar kerjaya ke industri e-panggilan serta ada yang berhijrah bekerja di Singapura ekoran tawaran gaji lebih tinggi.

“Kita mahu mereka mengumpul maklumat itu iaitu berapa ramai pemandu yang operator bas perlukan, di mana dan negeri mana dan jika kita sudah mendapat maklumat itu, kita boleh membantu mereka dengan mengadakan pameran kerjaya khusus untuk industri pengangkutan di kawasan tertentu,” katanya. 

Sumber: Bernama

Syarikat pengeluar bas digalak teroka pasaran Sabah, Sarawak


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) ke Malaysia.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Tesla akan menubuhkan ibu pejabat, pusat pengalaman dan perkhidmatan serta rangkaian Supercharger di negara ini.

Katanya, ini akan mewujudkan pekerjaan berkemahiran dengan gaji yang lebih tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Kemasukan Tesla dipermudahkan oleh MITI menerusi pengenalan inisiatif BEV Global Leaders yang menyasarkan membantu meningkatkan permintaan BEV di pasaran tempatan,” katanya menerusi ciapan Twitter, hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, Tesla, merupakan pemohon pertama inisiatif tersebut.

Sumber: MalaysiaGazette

MITI lulus permohonan Tesla import kenderaan elektrik – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Kekuatan sektor elektrik dan elektronik (E&E) di negara ini telah menarik Tesla untuk memilih Malaysia, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata sektor E&E dan semikonduktor, adalah komponen penting dalam mana-mana pembuatan kenderaan elektrik (EV) dan ini membuktikan Malaysia mempunyai ekosistem yang kukuh untuk menyokong pembuatan EV.

Ditanya mengenai anggaran saiz pelaburan Tesla, Tengku Zafrul berkata ia belum dimuktamadkan.

“Ini adalah pelaburan swasta dan kami akan menunggu,” katanya kepada pemberita di luar acara siri forum automasi dan digital bertajuk “Driving Business Thru Digitalisation and Automation-The Journey Together” Malaysian Industrial Development Finance Bhd di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata Tesla akan menubuhkan ibu pejabat di Malaysia, memperkenalkan pusat pengalaman Tesla dan pusat servis Tesla serta mewujudkan rangkaian pengecas supernya.

Pada masa ini, pusat servis rasmi Tesla yang terdekat terletak di Singapura dan pemilik daripada program pajakan Greentech telah menghantar kenderaan mereka ke Hong Kong untuk kerja-kerja utama.

Terdahulu dalam ucapan, Tengku Zafrul berkata MITI telah memutuskan untuk mengkaji semula Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk menyepadukan strategi yang komprehensif dan pelan tindakan untuk memastikan sinergi di peringkat dasar dan industri.

“Kami mahu mewujudkan ekosistem yang menyokong untuk membantu memangkin pembangunan perindustrian Malaysia pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata selepas kajian semula, NIMP 2030 akan menjadi dokumen rujukan utama dalam melakar masa depan pembangunan perindustrian Malaysia sehingga 2030.

Menurut kaji selidik yang dijalankan secara bersama oleh Bizsphere serta Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), hanya 2.7 peratus daripada PKS melaksanakan inisiatif industri 4.0 dalam proses tertentu untuk pengeluaran mereka.

Sementara itu, sebanyak 75 peratus daripada PKS tidak mengambil sebarang tindakan walaupun sebahagian daripada mereka cuba untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai industri 4.0.

Sumber: Bernama

Ekosistem E&E tempatan kukuh tarik Tesla ke Malaysia – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Rangka Kerja Kebangsaan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri (i-ESG) untuk sektor perkilangan bagi menggalakkan pelaksanaannya, dijangka siap pada 2024, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menurutnya, rangka kerja hasil kerjasama MITI bersama agensi-agensinya, bermatlamat menggalakkan sektor perkilangan menggunapakai ESG dengan empat komponen utama iaitu piawaian, pembiayaan kewangan dan insentif, pembangunan kapasiti serta mekanisme pasaran (termasuk perdagangan karbon dan harga karbon).

Selain itu, MITI berkata bagi tempoh 2021 hingga September 2022, Malaysia telah mencatat pelaburan diluluskan bernilai RM4.9 bilion dalam projek Teknologi Hijau yang dijangka mewujudkan hampir 1,500 peluang pekerjaan.

“Kebanyakan pelaburan yang diluluskan adalah pelaburan bagi projek penggunaan tenaga boleh baharu (RE) dan diikuti oleh projek bagi penggunaan peralatan cekap tenaga,” katanya dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Ini bagi menjawab pertanyaan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai perancangan kerajaan untuk menggalakkan lebih banyak pelaburan berdasarkan pembangunan mampan yang akan mewujudkan kerjaya alaf baharu bagi generasi muda.

Sumber: Bernama

Rangka kerja i-ESG sektor perkilangan dijangka siap pada 2024 – MITI


Content Type:

Duration:

Penyedia penyelesaian automasi terkemuka yang berpangkalan di Malaysia, Greatech Technology Bhd (Greatech) melabur kira-kira RM1.3 bilion untuk mengembangkan kilang pembuatan keempatnya di Batu Kawan.

Ketua Pegawai Eksekutif Greatech, Datuk Tan Eng Kee, berkata kemudahan baharu seluas 500,000 kaki persegi dengan perbelanjaan modal dianggarkan RM200 juta serta perbelanjaan mengurus yang dianggarkan RM1.1 bilion dikhususkan untuk mengeluarkan produk solar.

“Kemudahan baharu yang dibina di kawasan seluas 4.69 hektar (11.58 ekar) di Taman Perindustrian Batu Kawan (B.K.I.P) dijangka beroperasi pada akhir tahun ini.

“Apabila siap, Greatech akan mempunyai jumlah keluasan lantai yang digabungkan lebih daripada 1.2 juta kaki persegi,” katanya kepada pemberita semasa majlis pecah tanah kilang itu yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di sini, hari ini.

Eng Kee berkata, kilang baharu itu dijangka mewujudkan kira-kira 500 peluang pekerjaan untuk menyokong ekosistem dengan permintaan yang semakin meningkat.

Sementara itu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata, syarikat tempatan di Pulau Pinang memainkan peranan penting dalam menggalakkan pertumbuhan sektor jentera dan peralatan (M&E) di negeri itu.

“Dari segi pelaburan, Pulau Pinang adalah antara penyumbang utama kepada pelaburan sektor pembuatan yang diluluskan dengan RM9.2 bilion direkodkan dari Januari hingga September 2022.

“Pelaburan dalam industri M&E sahaja berjumlah RM7.3 bilion dari 2020 hingga September 2022, mewakili kira-kira 57 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan di negara ini. Ini telah meletakkan kami di trajektori yang tepat untuk menjadi hab pembuatan peralatan global,” tambahnya.

Greatech bermula pada tahun 1997 dan beribu pejabat di Bayan Lepas dengan kemudahan yang terletak di Bayan Lepas, Batu Kawan dan Amerika Syarikat (AS).

Sumber: Bernama

Greatech labur RM1.3 bilion kembangkan kilang di Batu Kawan


Content Type:

Duration:

Kerajaan buat masa ini tidak mempunyai perancangan mengkaji semula struktur cukai sedia ada bagi sektor automotif, khususnya duti eksais yang penting dalam pembangunan industri berkenaan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata duti eksais memainkan peranan penting dalam menggalakkan aktiviti nilai tambah, terutama pemasangan tempatan (CKD) dan pembangunan vendor.

“(Duti eksais) ini adalah untuk menggalakkan vendor tempatan mengambil bahagian dalam pembangunan industri automotif di Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai sama ada kerajaan akan mengkaji semula struktur cukai sedia, yang memberi kesan kepada harga kenderaan, dan pada masa sama, mampu mengurangkan harga kenderaan.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kerajaan menawarkan insentif cukai dalam bentuk pengecualian atau pengurangan duti eksais serta cukai jualan, selain ke atas duti import bagi komponen import untuk aktiviti pemasangan tempatan kenderaan.

“Kadar atau tahap insentif yang diberikan pula bergantung kepada merit pelan perniagaan seperti jumlah pelaburan, pembangunan vendor terutama vendor tempatan, pemindahan teknologi serta pelan untuk eksport.

“Selain mekanisme penilaian insentif untuk pengurangan duti dan cukai kenderaan, produk automotif seperti kenderaan yang dipasang sepenuhnya (CBU) dan CKD serta komponen yang diimport juga berpeluang menikmati duti import pada kadar lebih rendah atau sehingga sifar peratus di bawah Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan kerajaan membangunkan industri automotif tempatan yang berdaya saing melalui bahan ekonomi hasil daripada aktiviti nilai tambah, selain mengharapkan harga kenderaan berkurangan.

Menjawab soalan tambahan Azahari Hasan (PN-Padang Rengas), mengenai sama ada kerajaan bersetuju untuk menghapuskan duti eksais yang disifatkan tinggi, secara berperingkat, Tengku Zafrul berkata, duti eksais bagi kenderaan mampu milik, terutama harga kereta di bawah RM50,000 adalah antara dua hingga lima peratus, berbanding kadar duti eksais lebih tinggi 70 hingga 105 peratus adalah bagi kereta mewah.

“Kita harapkan dengan kemajuan teknologi, harga kereta akan turun dengan permintaan lebih tinggi di masa akan datang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa harga kenderaan tidak dikawal oleh kerajaan sebaliknya dipengaruhi daya pasaran seperti kos komponen digunakan, kos pengangkutan dan logistik, insurans, kadar pinjaman serta kos teknologi.

Sumber: Berita Harian

Kerajaan tak rancang kaji semula struktur cukai bidang automotif


Content Type:

Duration:

Malaysia mesti menjadi pendahulu dalam penyediaan perkhidmatan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulih (MRO) terbaik dalam industri penerbangan di rantau ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ke arah usaha itu, Institut Teknologi Penerbangan Universiti Malaysia (UniKL MIAT) boleh menjadi institusi terkemuka di negara ini bagi menyediakan tenaga kerja mahir MRO dan industri penerbangan.

“Malaysia ingin dikenali sebagai penyedia perkhidmatan MRO di rantau ini. Sewaktu saya sebagai Menteri Pertahanan, MRO adalah antara fokus saya terutamanya dalam mempromosikan industri pertahanan.

“Sekarang ini kita lihat penerbangan komersial dan kargo, serta pasaran yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pertukaran dokumen usaha sama antara institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKDW) dan rakan industri, di sini pada Khamis.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata institusi TVET lain dialu-alukan untuk bekerjasama dengan UniKL MIAT, kerana institusi itu telah melahirkan siswazah yang mempunyai kadar kebolehpasaran tinggi dan telah bekerja di lebih 20 negara, seluruh dunia.

Sementara itu, beliau berkata 280 institusi TVET di bawah KKDW dan agensinya telah diarahkan supaya bekerjasama erat dengan pemain industri bagi memastikan siswazah lulusan institusi mereka seiring dengan kehendak pasaran.

“Kadar kebolehpasaran mestilah meluas. Matlamat saya adalah untuk mendapatkan 100 peratus kadar kebolehpasaran dengan graduan dari UniKL dan institut TVET. Saya berharap lebih ramai pemain industri akan menyertai kami di TVET@KKDW, katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata selain dibantu dasar kerajaan yang mesra pelabur, TVET memainkan peranan besar untuk menjayakan sasaran kerajaan untuk meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia tahun ini dengan melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Pada majlis itu, sebanyak 18 syarikat rakan industri dalam bidang teknologi darat, laut dan udara memeterai jalinan usaha sama strategik bersama institusi pendidikan TVET di bawah KKDW iaitu GIATMARA, Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH), Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Sementara itu dalam bidang teknologi laut membabitkan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, Vale Malaysia Minerals Sdn Bhd dan Radimax Group Sdn Bhd, manakala teknologi udara membabitkan Turkish Aerospace Inc., Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd dan Hammock Helicopter Sdn Bhd.

Melalui konsep Industry Based Education Training (IBET) yang dilaksanakan oleh Institusi TVET@KKDW, usaha sama itu terus dipergiatkan menerusi model Teaching Factory yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dari segi pemindahan dan perkongsian pengetahuan kemahiran serta teknologi selain meningkatkan kompetensi pelajar.

Sumber: Bernama

Malaysia mampu jadi penyedia perkhidmatan MRO terkemuka di rantau ini – Zahid


Content Type:

Duration:

Sejumlah RM14.7 bilion pelaburan dalam ekosistem kenderaan elektrik (EV) telah diluluskan sejak 2018 sehingga September 2022, merangkumi pemasangan kenderaan, komponen EV dan komponen pengecasan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata antara pelaburan yang diluluskan adalah pembukaan kemudahan pembuatan sel bateri EV dengan nilai pelaburan RM7 bilion oleh Samsung SDI Energy Malaysia Sdn Bhd sekali gus menjadikan Malaysia sebagai lokasi pengeluaran pertamanya di Asia Tenggara.

“Pasukan Petugas EV Kebangsaan (NEVTF) bertanggungjawab untuk menilai dasar semasa, memantau pelaksanaan program dan inisiatif serta merangka dasar dan inisiatif baharu berkaitan pembangunan industri EV dalam negara secara menyeluruh.

“Kesan daripada inisiatif-inisiatif NEVTF ini dapat dilihat dengan peningkatan ketara permintaan EV dengan jumlah permintaan EV (kategori kenderaan bateri elektrik sepenuhnya) melonjak kepada lebih 3,400 unit pada 2022 berbanding 300 unit secara purata pada tahun-tahun sebelumnya,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, usaha menarik pelabur untuk memasang infrastruktur pengecas turut berkesan apabila jumlah stesen pengecasan meningkat pada kadar 69 peratus pada 2022 berbanding 2021, menjadikan jumlahnya mencecah 900 unit ketika ini dalam memenuhi sasaran 10,000 unit di seluruh negara menjelang 2025 seperti dinyatakan dalam Rangka Tindakan Mobiliti Rendah Karbon.

“Pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini dan yang baharu pada masa hadapan dijangka dapat meningkatkan lagi penggunaan dan permintaan EV serta menarik pelaburan ekosistem EV bagi merealisasikan sasaran Malaysia untuk mencapai status negara neutral karbon menjelang 2050 seperti yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.

Menjawab celahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar) mengenai eksport tenaga boleh diperbaharui, Tengku Zafrul berkata ia masih dalam perbincangan dengan pihak terlibat termasuk Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Bagaimanapun beliau berkata pertimbangan selanjutnya perlu dilakukan bagi memastikan ia tidak menjejaskan hasrat negara untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050.

Di bawah Dasar Automotif Nasional 2020, hala tuju industri automotif tempatan telah ditetapkan untuk dibangunkan dan dikembangkan sebagai hab automotif serantau bagi kenderaan cekap tenaga termasuk EV dengan ciri-ciri Kenderaan Generasi Akan Datang yang berfungsi bukan sahaja dari segi pengurangan dalam pelepasan karbon dalam udara, malah keupayaan mengoptimumkan tenaga yang digunakan, katanya.

Sumber: Bernama

Pelaburan ekosistem EV diluluskan RM14.7 bilion sehingga September 2022 – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang berbincang dengan syarikat pengeluar kenderaan tempatan Proton dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) untuk mempercepatkan pengeluaran kenderaan elektrik nasional dan menawarkan pilihan kenderaan elektrik (EV) mampu milik, kata Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Tengku Zafrul turut menegaskan pada masa yang sama garis panduan semasa permit import (AP) turut ditambah baik dengan memberikan fleksibiliti ke atas kuantiti maksimum pengimportan kenderaan secara yang dipasang sepenuhnya (CBU) bagi kajian pasaran pra-pemasangan (Market Research Pre-Assembly – MRA) untuk EV supaya syarikat-syarikat pemasangan tempatan lebih berpeluang menilai keperluan pasaran baharu untuk segmen EV sebelum memulakan pengeluaran.

“Langkah penambahbaikan ini juga dijangka akan memberi lebih pilihan EV untuk ditawarkan dalam pasaran kepada rakyat,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai hala tuju MITI bagi mendepani tahun 2023 dalam aspek meningkatkan pelaburan strategik, penjanaan peluang pekerjaan dan pembangunan kluster perindustrian baharu yang dibangkitkan ketika sesi perbahasan Dewan Rakyat, Tengku Zafrul berkata MITI telah memperkenalkan Dasar Pelaburan Baharu berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional yang telah dilancarkan pada 6 Okt 2022 bagi mempercepatkan pertumbuhan jangka panjang Malaysia melalui pelaburan berkualiti yang mampan dalam bidang pertumbuhan baharu.

“Bagi tempoh Januari sehingga September 2022, Malaysia telah menarik sejumlah RM193.7 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, sektor perkhidmatan dan sektor utama yang melibatkan 2,786 projek dan dijangka mewujudkan 98,414 peluang pekerjaan di negara ini,” katanya.

Menjawab persoalan Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai pelaburan yang direkodkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Tengku Zafrul berkata secara umumnya, projek-projek yang diluluskan akan mengambil masa antara 12 hingga 24 bulan untuk dilaksanakan.

“Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan tersebut, jumlah pelaburan yang direalisasikan adalah antara 75 peratus hingga 80 peratus dan kita harus memantau proses ini,” katanya.

Sumber: Bernama

MITI, Proton, Perodua bincang percepat pengeluaran kereta EV nasional, mampu milik


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menggalakkan pengenalan lebih banyak kenderaan elektrik (EV) mampu milik di Malaysia bagi memajukan industri EV negara.

Timbalan Ketua Setiausaha Industrinya, Datuk Seri Norazman Ayub berkata akan ada kenderaan EV berharga serendah RM120,000 di bawa masuk ke Malaysia pada suku kedua tahun ini.

“Kami menggalakkan pengimportan lebih banyak EV terutamanya dari China kerana kami mahu mempunyai EV yang mampu dimiliki oleh rakyat,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada majlis makan malam ulang tahun platinum ke-70 Persatuan Elektrik dan Elektronik Malaysia.

Oleh itu, daripada segi infrastruktur pengecasan, kerajaan menyasarkan untuk menyediakan sekurang-kurangnya 10,000 unit kemudahan pengecasan awam menjelang 2025.

“Kami akan bekerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya seperti PLUS Expressways Bhd untuk stesen pengecasan.

“Kami ingin menjemput mana-mana pelabur tertentu bagi melabur dalam stesen pengecasan untuk menjadi sebahagian daripada pembangunan ekosistem EV,” katanya.

Sebelum ini, Menteri berkaitan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia komited untuk menarik pelaburan dalam industri EV dan mencapai sasaran negara dalam menghasilkan kenderaan elektrik, termasuk hibrid, menyumbang 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri menjelang 2030.

Tengku Zafrul berkata kerajaan memberi keutamaan kepada pembangunan ekosistem EV serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan juga sedang merangka pekeliling bagi memudahkan proses kelulusan stesen pengecasan di peringkat kerajaan tempatan.

Sumber: Bernama

MITI mahu kenderaan elektrik mampu milik dibawa masuk


Content Type:

Duration:

Elna PCB, penyedia papan litar bercetak (PCB) yang berpangkalan di Taiwan, melabur kira-kira RM1 bilion bagi kilang pembuatan baharunya di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Presiden Elna PCB Malaysia Sdn Bhd, Ian Yang, berkata kilang baharu seluas 10,289 meter persegi itu direka bentuk untuk menghasilkan PCB bagi penggunaan automotif, pelayan, perangkaian, komputer riba dan produk peranti elektronik pengguna.

“Pembinaan kilang baharu ini bermula sejak Disember 2022 dan dijangka siap dalam masa setahun. Kami menyasarkan pengeluaran besar-besaran pada 2024,” katanya kepada pemberita pada upacara pecah tanah kilang itu yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, di sini, semalam.

Yang berkata, kilang baharu itu dijangka mewujudkan tambahan 1,000 peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan, pembuatan dan pengurusan kualiti bagi menyokong ekosistem dengan penambahan kapasitinya.

Menurutnya, usaha pelaburan semula terbaharu itu akan meningkatkan pindahan teknologi dan pengetahuan serta memupuk lebih banyak perkongsian rantaian bekalan tempatan yang akan membawa kepada ekosistem industri lebih kukuh di Malaysia.

“Pembekal tempatan sangat menyokong dan kami berharap dapat mengukuhkan hubungan dengan mereka dengan menyediakan lebih banyak aktiviti penyetempatan.

“Selain itu, infrastruktur berkualiti tinggi Pulau Pinang dan sokongan padu kerajaan juga adalah alasan utama bagi kami melabur di Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata pengembangan kilang baharu itu akan mengukuhkan lagi penyelesaian teknologi keupayaan tenaga kerja tempatan serta mewujudkan peluang besar bagi pembekal tempatan.

“Didorong oleh kedudukan kita sebagai hab elektrik dan elektronik (E&E) utama negara, Pulau Pinang terus menjadi tonggak utama perdagangan luaran Malaysia yang mana Pulau Pinang menerajui senarai pada 2021 dengan nilai eksport sebanyak RM354 bilion.

“Dari segi pelaburan, Pulau Pinang juga adalah antara penyumbang utama kepada negara, dengan pelaburan pembuatan yang dilulus mencecah paras tertinggi dalam sejarah sebanyak RM76 bilion pada 2021.

“Pada Januari hingga September 2022, Pulau Pinang meraih pelaburan pembuatan yang diluluskan berjumlah RM9 bilion, yang mana 53 peratus disumbang oleh produk E&E, mewakili 22 peratus daripada jumlah keseluruhan dalam sektor E&E,” katanya.

Sumber: Bernama

Elna PCB dari Taiwan labur RM1 bilion di Pulau Pinang


Content Type:

Duration:

Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier melawat syarikat semikonduktor global, Infineon Technologies (Kulim) Sdn Bhd, di sini, sebagai sebahagian daripada lawatannya ke Malaysia.

Lawatan itu memberi tumpuan kepada sumbangan Infineon untuk membolehkan peralihan tenaga global dengan penyelesaian semikonduktor penjimatan tenaga serta dengan melabur dalam penyelesaian yang mengurangkan lagi jejak karbon dalam pembuatan cipnya.

Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Infineon Technologies (Kulim), Ng Kok Tiong, berkata syarikat itu kini sedang membina kilang baharu bernilai dua bilion euro yang akan memberi tumpuan kepada ‘compound semiconductors’.

“Secara keseluruhan, kami mencapai kemajuan dengan baik seperti yang kami rancang. Kami telah menetapkan bahawa kami harus bersedia untuk peralatan pada musim panas 2024. Kilang itu akan mewujudkan 900 pekerjaan bernilai tinggi.

“Ia adalah pembinaan yang besar, kemajuannya sangat baik dan kami sangat gembira dengan kemajuan walaupun terdapat cabaran dalam industri pembinaan,” katanya kepada pemberita selepas Presiden Jerman melawat tapak itu hari ini.

Beliau berkata, syarikat itu juga menetapkan matlamat untuk mengendalikan 100 peratus kilangnya di Malaysia dengan tenaga elektrik hijau pada masa hadapan dan bekerjasama rapat dengan pembekal tempatan dan kerajaan untuk tujuan ini.

“Inisiatif ini akan membantu meningkatkan lagi sumbangan iklim positif Infineon. Hari ini, penyelesaian tenaga yang cekap syarikat membantu menjimatkan 33 kali ganda jumlah karbon yang dikeluarkan semasa pengeluarannya,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan Infineon Asia Pasifik, C S Chua, berkata permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga boleh diperbaharui, e-kenderaan serta aplikasi cekap tenaga akan membawa kepada peningkatan kukuh dalam permintaan bagi semikonduktor kuasa.

“Pelaburan kami di Kulim dan seterusnya meletakkan asas untuk dapat memenuhi keperluan yang semakin meningkat ini juga,” katanya.

Sumber: Bernama

Presiden Jerman lawat kilang Infineon di Kulim


Content Type:

Duration:

Unit AME Elite Consortium Bhd akan membina kemudahan pembuatan baharu di i-Park@Senai Airport City, Johor untuk Emhart Glass Sdn Bhd (Bucher Emhart Glass), bernilai RM108 juta.

Dalam satu kenyataan hari ini, AME Elite berkata, kemudahan bangunan baharu di bandar lapangan terbang itu akan mempunyai keluasan binaan kira-kira 300,000 kaki persegi, yang akan menggantikan kilang sedia ada di tapak lain di Johor Bahru untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran.

Katanya, pembinaan projek itu akan dimulakan pada suku kedua 2023 dan dijadualkan siap pada 2024.

Pengarah Urusan Kumpulan AME Elite, Kelvin Lee Chai, berkata taman industri dan hartanah bersepadu AME di i-Park@Senai Airport City terus menarik pelaburan langsung asing (FDI), termasuk daripada syarikat global unggul yang dihormati di peringkat antarabangsa.

“AME Elite meneruskan peranannya sebagai magnet FDI dan akan mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan untuk taman perindustrian kami apabila sempadan antarabangsa dibuka semula,” katanya.

Dengan kontrak terbaharu daripada Bucher Emhart Glass ini, nilai jualan baharu AME Elite untuk tahun kewangan setakat ini meningkat kepada RM433 juta.

Bucher Emhart Glass ialah anak syarikat kumpulan kejuruteraan dan pembuatan yang disenaraikan di Switzerland, Bucher Industries AG.

Bucher Emhart Glass membekalkan penyelesaian pembuatan bekas kaca; termasuk peralatan, kawalan, bahagian dan sokongan.

Kumpulan antarabangsa itu mempunyai kehadiran di seluruh dunia, termasuk Switzerland, Sweden, Itali, Jerman, Singapura, Malaysia, Jepun, China dan Amerika Syarikat (AS).

Sumber: Berita Harian

AME Elite bina kemudahan baharu RM108 juta di Johor


Content Type:

Duration:

Malaysia komited untuk menarik pelaburan dalam industri kenderaan elektrik (EV) dan mencapai sasaran negara membuat EV termasuk hibrid (xEV) sekali gus menyumbang 15 peratus kepada jumlah keseluruhan industri (TIV) ) menjelang 2030.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata negara dijangka mencapai sasaran pembuatan xEV sebanyak 38 peratus daripada TIV tempatan menjelang 2040.

“Dari segi infrastruktur pengecasan, kerajaan menyasar untuk menyediakan sekurang-kurangnya 10,000 unit kemudahan pengecasan awam menjelang 2025,” katanya semasa berucap melancarkan EQS 500 4MATIC, kereta Mercedes-Benz elektrik sepenuhnya yang pertama dipasang di dalam negara (CKD) di kilang pengeluarannya di sini, pada Rabu.

Beliau berkata kerajaan mengutamakan pembangunan ekosistem EV manakala Jabatan Perancangan Bandar dan Desa di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan juga sedang merangka pekeliling untuk memudahkan proses kelulusan stesen pengecasan di peringkat kerajaan tempatan.

“MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) juga mengalu-alukan sokongan berterusan daripada pihak industri untuk membuat EV dan komponen pentingnya di negara ini.

“Kementerian juga telah mencadangkan pakej insentif tambahan yang menarik untuk menggalakkan pembangunan ekosistem EV,” katanya.

Semasa sidang media, Tengku Zafrul berkata sasaran untuk EV menyumbang 15 peratus kepada TIV menjelang 2030 boleh dicapai melalui kecanggihan teknologi, yang juga akan membantu mengurangkan harga EV.

Mercedes EQS 500 4MATIC yang berharga RM648,888 (tidak termasuk insurans) akan tersedia untuk pasaran mulai pertengahan Mac. 

Sumber: Bernama

Malaysia komited tarik pelaburan dalam EV


Content Type:

Duration:

wpChatIcon