Berita Industri Archives - Page 6 of 29 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia sasar miliki 4,000 stesen pengecas EV tahun ini: MITI

Malaysia dijangka menyediakan sehingga 4,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) pada tahun ini, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Perindustriannya, Datuk Hanafi Sakri berkata Malaysia kini mempunyai 900 stesen pengecas EV.

“Kami mempunyai pelan hala tuju nasional untuk stesen pengecas EV iaitu kami menyasarkan untuk mempunyai kira-kira 10,000 stesen pengecas menjelang 2025, terdiri daripada 1,000 unit jenis arus terus dan 9,000 unit jenis arus ulang-alik atau pengecasan perlahan.

“Berdasarkan momentum semasa, saya berpendapat kita akan dapat mencapai sasaran itu,” katanya pada sidang media pada Persidangan EV Malaysia 2023 di sini hari ini.

Di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030, Malaysia menyasarkan EV dan kenderaan hibrid menyumbang sekurang-kurangnya 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) menjelang 2030.

Hanafi berkata MITI menyokong sepenuhnya lanjutan pengecualian duti import dan duti eksais penuh untuk EV yang diimport sehingga 31 Dis 2024.

Katanya kementerian telah mencadangkan untuk menambah baik ekosistem EV, terutamanya dari segi infrastruktur EV kepada Kementerian Kewangan (MoF) dan berharap MoF akan mempertimbangkan cadangan tersebut dan diumumkan dalam belanjawan akan datang pada 24 Feb.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Wira Arham Abdul Rahman dalam ucapan berkata sebagai sekretariat bersama dalam National EV Task Force (NEVTF), MIDA giat mencari peluang pelaburan di Malaysia dan memanfaatkan prospek untuk memacu segmen automotif EV.

Beliau berkata MIDA komited untuk menarik pelaburan berkualiti bagi menyokong rantaian bekalan EV dan ekosistem EV Malaysia, terutamanya dalam komponen kritikal seperti bateri EV, sistem pengurusan bateri, pek bateri, kecerdasan buatan dan infrastruktur pengecasan.

“Kami optimis bahawa EV akan menjadi lebih popular dan lebih arus perdana, terutamanya berikutan permintaan yang meningkat untuk pengangkutan hijau di rantau ASEAN,” katanya.

Pengerusi Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) Datuk Phang Ah Tong berkata MARii turut menyokong komitmen Malaysia terhadap sasaran pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar menjelang 2050.

Beliau berkata institut menawarkan sokongannya dalam bentuk program pembangunan vendor seperti Program Kecemerlangan Pembekal Automotif, Program Sistem Pengeluaran Lean serta Program Kejuruteraan Digital dan Prototaip.

“Program ini menyediakan bantuan teknikal dan rundingan untuk meningkatkan kecekapan pembekal automotif tempatan untuk lebih berdaya saing dan mampan di peringkat global.

“Selain itu, beberapa pusat kecemerlangan seperti Pusat Reka Bentuk MARii, Pusat Ujian Emisi Kebangsaan (NETC) dan Akademi Teknologi MARii juga boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan keupayaan kejuruteraan tempatan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, ujian dan pembangunan teknologi kenderaan cekap tenaga,” katanya.

Phang berkata piawaian berkaitan industri EV seperti sistem pengecasan, aktiviti pelupusan bateri, pertukaran bateri, pengecasan tanpa wayar dan lain-lain turut dibangunkan bagi memastikan teknologi EV yang digunakan dan dibangunkan di negara ini adalah menyeluruh, selamat dan berkualiti.

Sumber: Bernama

Malaysia sasar miliki 4,000 stesen pengecas EV tahun ini: MITI


Content Type:

Duration:

Malaysia mengambil langkah untuk mengukuhkan kedudukannya melalui pelbagai langkah dasar, memanfaatkan ekosistem kenderaan elektrik (EV) sedia ada dan memastikan kumpulan bakat yang kukuh untuk membantu pembangunan industri EV di Malaysia, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Malaysia sedang meneliti secara serius dasar yang akan menyokong sektor-sektor tenaga untuk memastikan ekosistem EV lengkap dan disokong sepenuhnya, termasuk piawaian/standard, pensijilan dan pengesahan berkaitan sistem pengecasan dan aktiviti pelupusan bateri.

“Peluang begitu banyak dalam bidang tenaga boleh diperbaharui (RE), kecekapan tenaga, sistem penyimpanan tenaga, dan perkhidmatan sokongan untuk EV seperti stesen pengecas EV, operasi dan penyelenggaraan,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan EV Malaysia 2023.

Beliau menambah Malaysia mempunyai ekosistem EV yang mantap, disokong oleh penyelidikan dan pembangunan yang kukuh serta kemudahan standard dengan agensi seperti Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia serta subsektor komponen yang mantap yang boleh memberi perkhidmatan kepada keseluruhan rantaian nilai EV, yang terdiri daripada semikonduktor, pengesan (sensor), elektronik automotif, bateri dan pemasangan auto.

Untuk memanfaatkan pasaran EV, Tengku Zafrul berkata kerajaan juga akan memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia.

“Malah, Yang di-Pertuan Agong kita dalam titah baginda di Parlimen semalam turut menyatakan sokongan terhadap pemerkasaan berterusan TVET, memuji langkah kerajaan menggalakkan usaha sama awam-swasta dalam TVET untuk memastikan padanan kemahiran graduan yang lebih baik kepada keperluan semasa industri tempatan,” katanya.

Beliau menambah kerajaan telah membuat komitmen teguh untuk membangunkan secara strategik industri automotif, khususnya industri EV sebagai sebahagian daripada sasaran sifar gas rumah hijau (GHG) menjelang 2050.

Ini termasuk menawarkan pengecualian import, eksais dan cukai jualan penuh untuk EV pemasangan tempatan sehingga 31 Dis 2025 dan pengecualian duti import dan eksais penuh untuk EV yang diimport sehingga 31 Dis 2023.

Terdapat juga insentif cukai khas untuk membangunkan komponen kritikal seperti sistem pengurusan bateri, pek dan kapasiti bateri, pengecasan on-board, infrastruktur pengecasan dan teknologi pertukaran bateri berasaskan modular, katanya.

Selain itu, pengecualian cukai jalan sehingga 100 peratus akan diberikan untuk EV, serta pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas kos pembelian, pemasangan, sewa, sewa beli dan yuran langganan untuk kemudahan pengecasan EV. .

“Lebih banyak insentif berkaitan EV dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2023 (disemak semula) yang akan dibentangkan pada 24 Feb di Dewan Rakyat,” katanya.

Mengenai pertumbuhan industri EV, Tengku Zafrul berkata MIDA meluluskan 26 projek bernilai RM14.7 bilion dalam EV dan ekosistem berkaitan, termasuk pemasangan, pembuatan alat ganti dan komponen serta komponen pengecasan.

Beliau berkata peralihan kepada sumber RE dan pengangkutan elektrik merupakan langkah penting ke arah komitmen Malaysia terhadap GHG sifar bersih menjelang 2050, seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12).

Tengku Zafrul menambah di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Karbon Rendah 2021-2030, Malaysia menyasar untuk memiliki EV dan hibrid untuk menyumbang sekurang-kurangnya 15 peratus daripada jumlah volum industri (TIV) menjelang 2030.

“Menjelang 2025, kerajaan berhasrat untuk menyediakan 10,000 kemudahan pengecasan awam, terdiri daripada 9,000 unit jenis arus ulang alik (AC) dan 1,000 unit jenis arus terus (DC),” katanya.

Sumber: Bernama

Dasar, ekosistem yang kukuh sokong sektor EV Malaysia – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Kerajaan Sarawak sedang menumpukan untuk menjadi antara pengeksport utama produk kayu termasuk perabot menjelang 2030, dengan sasaran pendapatan mencecah RM6 bilion.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata bagi mencapai sasaran itu, kerajaan akan melengkapkan Taman Perabot yang dirancang dengan kemudahan digital yang akan membolehkan pereka bentuk merangsang reka bentuk mereka.

Menjelas lanjut, beliau berkata kemudahan digital itu juga mungkin termasuk ‘ChatBot’ kecerdasan buatan (AI) yang boleh menjana jawapan untuk pereka.

“Anda boleh bertanya kepada ChatBot cara mereka bentuk perabot tetapi sudah tentu, pereka tidak dapat bergantung 100 peratus kepada ini namun data yang diperoleh dari sini boleh digunakan sebagai sebahagian daripada penyelesaian anda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Minggu Reka Bentuk Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Abang Johari menambah selain teknologi, kreativiti modal insan juga perlu dipertingkatkan bagi memperkasakan industri perkayuan.

“Industri kayu kita tidak seharusnya terhad kepada kerusi atau meja sahaja tetapi keseluruhan spektrum reka bentuk yang diperlukan dalam pasaran.

“Di sinilah pereka kami mesti melampaui reka bentuk konvensional,” katanya.

Menurutnya pada masa ini, nilai eksport perabot Sarawak masih kecil dengan hanya mencatatkan RM44 juta atau 1.4 peratus daripada jumlah nilai eksport bernilai RM3.1 bilion bagi kayu dan produk kayu ke pasaran dunia.

Katanya daripada jumlah nilai eksport yang dicatatkan antara Januari dan September tahun lepas, RM2.8 bilion adalah eksport daripada papan lapis dan produk utama lain.

Dalam pada itu, Abang Johari turut mencadangkan agar pemain industri perkayuan melihat penggunaan bahan mentah yang dikitar semula daripada sisa kayu untuk menghasilkan produk mereka.

Beliau berkata Sarawak mempunyai banyak sisa daripada pokok di dalam hutan dan pada masa sama terdapat juga perabot lama yang reka bentuknya tidak lagi relevan.

“Ini boleh digunakan semula sebagai bahan mentah untuk anda menghasilkan perabot moden dengan reka bentuk moden.

“Itu adalah sebahagian daripada ekonomi sekular kita yang seterusnya membolehkan kita melindungi alam sekitar,” katanya.

Turut hadir Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, pengerusi Pusat Reka Bentuk Sarawak (Saradec) Datuk Mohd Naroden Majais dan Ketua Pegawai Eksekutif Saradec, Dayang Nena Abang Bruce.

Sumber: Suara Sarawak

Sarawak sasar jadi pengeksport utama produk kayu, perabot


Content Type:

Duration:

Hong Seng Consolidated Berhad (Hong Seng) telah mengambil alih Alliance EV Sdn. Bhd. (AEV), cabang perniagaan kenderaan elektrik (EV) CSH Alliance Berhad untuk melengkapkan kerjasama terbaharu Kumpulan dengan EoCell Inc (USA) (EoCell) dalam pembuatan bateri (EV).

Pengambilalihan tersebut dibuat melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) dengan EoCell bertujuan untuk membolehkan kedua-dua pihak membina dan mewujudkan hab pembuatan serantau di Malaysia bagi pengeluaran bateri EV.

Ia juga akan diteruskan dengan menyediakan penyelesaian storan kuasa lain untuk EV dan menjadi pembekal kepada pengilang, pemasang, serta pengguna EV di rantau Asia Tenggara.

EoCell adalah pemain utama dalam sektor ini kerana keunggulan teknologinya dalam penyelesaian penyimpanan tenaga dan hubungan kerjasama pembuatan di Eropah dan Amerika untuk pasaran tempatan di sana. 

Ia juga merupakan penyumbang utama dalam reka bentuk kepada pembuatan bateri PHEV dan EV jenama kereta Eropah yang berprestij dan utama. 

Pengarah Eksekutif Hong Seng, Lester Chin berkata, melalui  sumber sedia ada AEV, Hong Seng menyasarkan untuk membangunkan kilang pembuatan EV terkini untuk menarik penggunaan EV yang semakin berkembang di Malaysia berikutan peningkatan permintaan dalam pengangkutan mesra alam dan promosi aktif kerajaan terhadap penggunaan EV.

“Kami juga bercadang untuk menjadi pemasang berkontrak untuk jenama dan pemain EV lain demi membantu mereka memudahkan penyediaan pengeluaran CKD di Malaysia pada peringkat seterusnya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Chin memetik laporan 6Wresearch, yang memaklumkan bahawa, pasaran EV di Malaysia masih dalam peringkat awal dan ia dijangka berkembang dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) sebanyak 27.6 peratus sepanjang 2020-2025. 

“Segmen pembuatan bateri EV dan pembuatan EV merupakan perniagaan yang sangat menguntungkan bagi Hong Seng dan kami bertegas untuk memanfaatkan anjakan paradigma daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman bahan api fosil kepada EV di Malaysia.

“Akhirnya, sinergi daripada kedua-dua Projek Volt dan Projek EV akan memperkasakan Hong Senguntuk muncul sebagai pemain bersepadu dengan mendapatkan kedua-dua segmen hiliran huluan dalam rantaian bekalan EV,” jelasnya.

Sumber: Kosmo

Hong Seng ambil alih Alliance EV untuk lengkapi projek pembuatan bateri EV


Content Type:

Duration:

Pengeluar peralatan pemeriksaan penglihatan, Vitrox Corp Bhd merancang untuk meningkatkan operasinya dalam persekitaran kelembapan semikonduktor semasa berikutan ia menjangka pemulihan yang kukuh dalam tempoh beberapa tahun.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chu Jenn Weng berkata Vitrox telah menerima manfaat daripada ledakan semikonduktor dalam beberapa tahun ini, membawa kepada pertumbuhan yang pesat.

“Ini merupakan masa untuk kami melakukan penyelenggaraan supaya kami lebih bersedia untuk perkara yang lebih besar pada masa akan datang dan kami yakin untuk peningkatan semula yang kukuh dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Kami telah merangka strategi untuk mengambil lebih ramai tenaga kerja dan ini adalah masa yang baik untuk kami melabur lebih banyak dalam penyelidikan dan pembangunan serta dalam segmen pendidikan kami,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Vitrox College hari ini.

Ia disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Dalam kenyataan berasingan, syarikat itu berkata ia telah melancarkan Vitrox College untuk menyediakan pendidikan yang berteraskan industri, memberi inspirasi dan inklusif dengan memberi penekanan yang kuat terhadap persekitaran pembelajaran yang menarik dan praktikal.

Katanya kolej itu ditubuhkan untuk merapatkan sistem pendidikan dan industri dengan menggunakan amalan bilik darjah yang berkaitan dengan kerja seharian sebenar dalam industri.

“Vitrox College secara rasmi diumumkan penubuhannya pada 19 Disember 2022, selepas mendapat akreditasi daripada Kementerian Pengajian Tinggi.

Sementara itu, Chow berkata Vitrox komited untuk merapatkan dan mengukuhkan hubungan antara industri dan ahli akademik sejak penubuhannya pada 2000.

Sumber: Bernama

Vitrox tingkatkan operasi dalam persekitaran kelembapan semikonduktor


Content Type:

Duration:

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) mengalu-alukan kunjungan wakil syarikat industri kenderaan rekreasi (RV) terkemuka Jerman yang berminat untuk mengembangkan operasi mereka di rantau ini.

Menurut ECERDC antara pengeluar RV terkemuka yang menyertai kunjungan itu ialah Erwin Hymer Group, Hobby Wohnwagenwerk, Knaus Tabbert AG, Eura Mobil GmbH serta pembuat komponen RV dan penganjur pameran perdagangan karavan terkemuka.

“Susulan kunjungan awal Caravaning Industrie Verband e.V. (CIVD) (Persatuan Industri Karavan), yang mewakili peserta industri RV Jerman pada Februari 2022, satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani oleh ECERDC dan CIVD di Jerman semasa misi pelaburan pada Jun 2022.

“MoU itu bertujuan mempromosikan dan menjadikan ECER sebagai hab RV Asia dan destinasi pelaburan pilihan untuk pembuat, pembekal komponen dan pengendali taman RV,” menurut ECERDC dalam kenyataan pada Khamis.

Delegasi serta Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat turut membuat kunjungan hormat kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, seterusnya berbincang mengenai status terkini dan usaha untuk pembangunan industri RV di Malaysia.

Menurut Baidzawi, delegasi CIVD itu turut disertai kalangan eksekutif tertinggi daripada pembuat RV Jerman yang menguasai 65 peratus bahagian pasaran di Eropah yang bernilai kira-kira EUR7.5 bilion (EUR1 = RM4.64).

“Kita menghargai minat mereka dan ECERDC berharap dapat memudah cara pelabur dari CIVD yang berminat untuk mengembangkan operasi mereka ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata ECERDC kekal optimis bahawa permintaan terhadap industri RV dan karavan adalah kukuh dan ia merupakan trend gaya hidup yang berkembang pantas di rantau ini.

Presiden CIVD, Hermann Pfaff berkata persatuan itu sangat teruja dengan kemajuan dan inisiatif berterusan oleh ECERDC dalam industri ini.

“Tahun ini, kami telah membawa pasukan yang lebih besar dan pelabur berpotensi untuk meneroka pengembangan mereka secara serius memandangkan saya telah memperoleh laporan yang menggalakkan mengenai peluang daripada wakil-wakil semasa lawatan kerja sebelum ini pada Februari 2022,” katanya.

Sumber: Bernama

Syarikat industri kenderaan rekreasi utama Jerman lawat ECER


Content Type:

Duration:

Kejuruteraan Asastera Bhd (KAB) dan Petronas Gas Bhd menjalin usaha sama untuk memiliki bersama dan melaksanakan projek loji janakuasa bernilai RM230 juta di Sabah yang akan menjadi pembekal tenaga tunggal kepada kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pantai milik PETRONAS.

KAB dalam kenyataannya hari ini berkata, anak syarikat milik penuhnya KAB Energy Holdings Sdn Bhd (KABEH) menandatangani perjanjian pembelian saham untuk mengambil alih 10 peratus kepentingan dalam anak syarikat Petronas Gas, Regas Terminal (Lahad Datu) Sdn Bhd (RGTLD), yang bertanggungjawab untuk memiliki dan menjalankan projek loji janakuasa itu.

KAB Energy juga menandatangani perjanjian pemegang saham dengan Petronas Gas untuk mengambil alih peranan rakan kongsi teknikal dalam usaha sama itu.

Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn, berkata pemilikan dan pelaksanaan bersama projek tenaga bersih utama itu dengan Petronas Gas menyerlahkan keupayaan mereka dalam ruang penyelesaian tenaga mampan.

“Kami berharap dapat berkongsi kepakaran kami dengan Petronas Gas untuk menjayakan loji janakuasa ini dan menyumbang kepada matlamat tenaga negara.

“Ia juga akan menjadi model pembangunan ketika kami meneruskan lebih banyak projek di Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.

RGTLD akan memiliki pemilikan aset itu apabila disasarkan siap pada suku pertama 2026.

RGTLD akan memeterai perjanjian pembelian kuasa untuk membekalkan kuasa kepada kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pantai yang akan datang di Sipitang, Sabah dalam tempoh konsesi 20 tahun.

Keng Onn berkata, sementara menunggu permulaan operasi loji kuasa, KAB akan mengiktiraf pendapatan daripada peranannya sebagai kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan mulai tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dan seterusnya.

Sumber: Berita Harian

KAB-Petronas Gas miliki bersama loji RM230 juta di Sabah


Content Type:

Duration:

Pharmaniaga Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd, telah berjaya memasang mesin pengisian pre-filled syringe (PFS), yang pertama di Malaysia untuk pengilangan produk vaksin, baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, katanya, kilang vaksin itu adalah sebahagian daripada pelan pembangunan berterusan Pharmaniaga LifeScience ke arah menjadi kilang pengeluaran vaksin Halal pertama di dunia.

Katanya, selain mesin pengisian PFS, kilang itu juga telah memasang mesin pembungkusan, termasuk mesin denester, mesin pemeriksaan visual automatik (AVI), mesin plunger rod insertion, mesin pelabelan dan mesin pensterilan.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, kilang vaksin itu telah diserahkan pada November tahun lepas dan telah menjalani fasa Ujian Penerimaan Kilang (FAT) untuk sistem air pengeluaran di Sweden untuk air tulen, air untuk suntikan dan penjana wap tulen pada Januari tahun ini.

“Kami berbesar hati untuk berkongsi kemajuan terkini kilang vaksin kami dan berbangga kerana mempunyai barisan pengeluaran PFS pertama Malaysia di kilang teknologi tinggi kami yang diperakui Kesatuan Eropah (EU) di Puchong,” katanya.

Beliau berkata, kilang itu juga telah berjaya melepasi ujian untuk mentadbir peralatan ujian vaksin yang disasarkan untuk dihantar pada suku pertama tahun ini.

“Kami menyasarkan kilang vaksin siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Zulkarnain berkata, pembinaan projek Kilang Insulin Halal Pharmaniaga LifeScience kini berada pada tahap 82 peratus.

“Kami sedang menyiapkan kilang insulin halal yang terletak di bangunan yang sama bagi produk kartrij insulin,” katanya.

Beliau berkata, fasa FAT untuk mesin pelabelan dan mesin blistering bagi produk kartrij insulin telah selesai dijalankan pada Disember 2022.

“Fasa FAT mesin-mesin lain untuk produk kartrij insulin seperti mesin pendispensan, mesin pensterilan, sistem pembuatan larutan steril, mesin pengisian kartrij dan mesin AVI dijadualkan bermula pada Februari 2023.

“Kilang insulin Halal ini disasarkan siap pada suku keempat 2023,” katanya.

Beliau berkata, kilang biofarmaseutikal Halal itu disasarkan untuk dikomersialkan pada 2024 untuk vaksin dan 2025 untuk insulin.

Zulkarnain berkata, kedua-dua kilang vaksin dan insulin itu adalah usaha pertama di dunia dan dalam negara, sejajar dengan tonggak pertumbuhan strategik syarikat yang akan memacu pertumbuhan masa depan industri biofarmaseutikal Halal negara.

Bahagian Pengilangan Pharmaniaga terdiri daripada enam buah kilang di seluruh Malaysia dan dua di Indonesia yang menghasilkan rangkaian produk farmaseutikal, biofarmaseutikal, over-the-counter (OTC) dan nutraseutikal.

Ini termasuk produk kategori terapeutik yang berbeza seperti kardiovaskular, pernafasan, gastrousus, anti-diabetes, analgesik, anti-jangkitan, vaksin, insulin dan suplemen kesihatan untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Sumber: Bernama

Pharmaniaga berjaya pasang mesin pengisian pre-filled syringe pertama di Malaysia


Content Type:

Duration:

Malaysia boleh menjadi hab automotif bagi pasaran ASEAN, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata, potensi tersebut telah menarik pelabur dan syarikat seperti Porsche, KIA, Hyundai, Mini Cooper, Mazda dan BMW untuk memulakan operasi masing-masing di Malaysia.

“Asia Tenggara menawarkan potensi pertumbuhan yang baik dan dengan polisi serta ekosistem yang baik, Malaysia boleh menjadi hab automotif bagi pasaran ASEAN,” katanya menerusi catatan di akaun Facebooknya pada Jumaat.

Menerusi catatan itu, Tengku Zafrul turut berkongsi beberapa keping gambar lawatannya ke syarikat pemasangan kereta, Inokom Corporation Sdn Bhd di Kulim, Kedah.

Beliau berkata, ramai anak tempatan yang berkemahiran bekerja di syarikat itu dan kerajaan akan memberi fokus kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) agar lebih ramai rakyat negara ini boleh meningkatkan kemahiran masing-masing.

“Ia bagi memanfaatkan pelaburan dan perkembangan industri di negara ini,” katanya.

Sebelum itu, Tengku Zafrul turut mengadakan kunjungan ke atas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon, di sini.

Tengku Zafrul berkata, beliau berada di Kedah bagi melawat beberapa industri di negeri itu.

Sumber: Bernama

Malaysia berpotensi jadi hab automotif pasaran ASEAN


Content Type:

Duration:

AIROD Sdn Bhd, kumpulan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) Malaysia menyasarkan potensi jangka panjang perniagaan MRO bernilai AS$300 juta susulan pemeteraian Perjanjian Komitmen Kerjasama dengan rakan kongsi Indonesia, PT Dirgantara Indonesia (PTDI), baru-baru ini.

Dalam kenyataan, menurutnya, perjanjian itu dijangka menghasilkan AS$10 juta untuk tempoh jangka pendek susulan daripada pembaikan, latihan dan bantuan teknikal membabitkan kumpulan pesawat C-130 Tentera Nasional Indonesia.

Perjanjian itu ditandatangani pada 8 Januari 2023 di Jakarta, Indonesia, antara Naib Presiden Kanan Airod, Datuk Edron Hayata Ahmad dengan Ketua Pegawai Eksekutif PTDI, Gita Amperiawan yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan rasmi beliau ke negara itu.

“Kerjasama berkenaan akan menyaksikan pertumbuhan aktiviti MRO antara Airod dengan PTDI dari segi menaik taraf dan pengubahsuaian, struktur aero dan komposit untuk pelbagai kategori pesawat berat dan ringan pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya sebelum perjanjian terkini itu, kedua-dua pihak memeterai memorandum persefahaman pada 2 Ogos 2021 untuk bekerjasama dalam program penyelenggaraan lima tahun bagi memodenkan kumpulan pesawat Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara yang terdiri daripada 12 pesawat C-130.

Pembaharuan itu akan membolehkan pasukan itu melanjutkan penggunaan pesawat untuk tempoh tambahan 15 hingga 20 tahun lagi.

Sehingga kini, Airod yang berpangkalan di Subang melaksanakan perkhidmatan MRO kepada pesawat tentera dan komersial dari 33 negara.

Sumber: Harian Metro

Airod, rakan kongsi Indonesia sasar potensi perniagaan MRO bernilai AS$300 juta


Content Type:

Duration:

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Lembaga Pengarah syarikat farmaseutikal AstraZeneca, Leif Johansson yang berkisar mengenai potensi untuk AstraZeneca meluaskan operasi di Malaysia.

Beliau yang menghadiri Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland berkata, AstraZeneca telah menubuhkan hab perkhidmatan perniagaan globalnya di Malaysia bagi menyokong operasi di rantau Asia Pasifik dengan unjuran pelaburan melebihi RM500 juta bagi tempoh lima tahun.

Menurutnya sektor farmaseutikal merupakan antara sektor yang diberikan tumpuan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kerana ia mempunyai potensi ekonomi signifikan dan manfaat jangka panjang yang mampan.

“Kalau sebelum tahun 2019, ramai yang tidak kenal nama AstraZeneca. Tetapi, selepas COVID-19 melanda, nama AstraZeneca kian popular sebagai pengeluar vaksin,” katanya menerusi hantaran di akaun Instagram beliau hari ini.

AstraZeneca membuka ibu pejabatnya di Malaysia pada Mac 2019 sebagai sebahagian daripada komitmen yang berterusan untuk meningkatkan kemahiran dan pekerjaan bernilai tinggi serta memperkenalkan sains dan inovasi baharu untuk membantu pesakit.

Tengku Zafrul berkata MITI akan sentiasa memudah cara pelaburan berkualiti yang mampu mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi bagi meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia.

Sebelum ini, beliau berkata misi kementerian pada mesyuarat tahunan WEF bukan sahaja untuk menarik pelaburan ke Malaysia, tetapi juga meneroka peluang perniagaan bagi syarikat tempatan ke peringkat antarabangsa.

Mesyuarat tahunan WEF ke-53 mulai 16 hingga 20 Januari menghimpunkan seramai 2,700 pemimpin mewakili 130 negara, termasuk 52 ketua negara di bandar peranginan Davos, di Pergunungan Alps.

Forum bertemakan ‘Kerjasama Dalam Dunia Terpisah: Menangani Krisis Mendesak, Mengendalikan Cabaran Masa Depan,’ itu dianjurkan di tengah-tengah pelbagai krisis yang telah meningkatkan lagi perpecahan serta pemisahan landskap geopolitik dunia.

Sumber: Bernama

Tengku Zafrul bincang dengan AstraZeneca luaskan operasi di Malaysia


Content Type:

Duration:

Intel memberi komitmen untuk melabur RM30 bilion untuk tempoh lebih 10 tahun bagi mengembangkan operasinya di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.

“Pelaburan ini dijangka akan mewujudkan lebih 4,000 peluang pekerjaan di Intel serta lebih 5,000 pekerjaan dalam bidang pembinaan,” kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku, Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Saya menyambut baik komitmen diberikan Intel dan kerjasama seumpamanya akan diteruskan dengan syarikat-syarikat lain dalam usaha meningkatkan pelaburan di Malaysia,” katanya selepas bertemu Ketua Pegawai Operasi Global Intel, Kevyan Esfarjani di sini.

Intel adalah syarikat pengeluar semikonduktor terbesar di dunia dan antara perintis industri elektrik dan elektronik (E&E) di Malaysia, operasi syarikat itu bermula pada tahun 1972.

Pada 2021, Intel Corp mengumumkan pelaburan untuk membina kilang pembungkusan dan ujian cip baharu di Malaysia yang dijangka memulakan operasi pada 2024.

Selain itu, Tengku Zafrul turut mengadakan pertemuan dengan Presiden P&G Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika Suranjan, Magesvaran serta Naib Presiden Hubungan Kerajaan Global dan Dasar Awam, P&G Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika, Cecilia Tan.

“P&G juga memberi komitmen untuk melabur lebih banyak di Malaysia. Kami juga membincangkan peluang-peluang di Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia juga akan menerima satu lagi pelaburan besar dalam sektor logistik.

“Saya akan berjumpa dengan mereka. Ia hari yang produktif, saya juga akan bertemu beberapa rakan sejawatan saya dari rantau berkenaan,” katanya.

Tengku Zafrul turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Perdagangan dan Pertumbuhan Eksport New Zealand, Damien O’Connor dan Ketua Pegawai Eksekutif Pelabuhan Antwerp-Bruges, Jacques Vandermeiren.

Terdahulu, awal hari ini beliau menghadiri satu sesi tertutup, ‘Global Trade: Navigating The Post Pandemic Supply Chain Challenge’ (Perdagangan Global: Mengemudi Cabaran Rantaian Bekalan Pasca Pandemik).

Sumber: Bernama

Intel labur RM30 bilion lagi di Malaysia


Content Type:

Duration:

OCIM Sdn Bhd, peneraju dalam pembuatan polisilikon dan tenaga hijau merancang meningkatkan pelaburannya di Sarawak dengan menumpukan kepada mengembangkan pengeluaran polisilikon sedia adanya bagi rantaian nilai solar dan pelaburan baharu mengeluarkan polisilikon bagi semikonduktor.

Syarikat itu berkata, ini akan menjadi polisilikon pertama bagi semikonduktor yang dihasilkan secara komersial di Asia Tenggara.

“Ia akan menjadi asas bagi keseluruhan industri semikonduktor di Sarawak, yang akan menarik syarikat perniagaan berkaitan lain seperti bahan kimia halus, kemudahan dan penyenggaraan.

“Kelaknya, Sarawak akan menjadi hab bagi semikonduktor dan industri bahan kejituan dan dengan itu menjamin asas perindustrian yang stabil,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas kunjungan syarikat itu ke Pejabat Premier Sarawak di sini, hari ini.

OCIM berkata, untuk mencapai pengeluaran komersial pada 2026, syarikat itu akan melaksanakan strategi pelaburannya bermula sekarang.

Pelaburan itu dijangka mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan di Sarawak.

“Kami telahpun menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan di Miri secara kerjasama dengan Curtin University untuk menarik tenaga kerja di Sarawak.

“Institut penyelidikan itu akan menyediakan sumber manusia yang berkualiti kepada perniagaan kami dan komuniti tempatan untuk menyokong pertumbuhan mampan Sarawak,” katanya.

Sumber: Bernama

OCIM rancang kembang perniagaan polisilikon di Sarawak


Content Type:

Duration:

Syarikat terkemuka minyak dan gas serta petrokimia, Dialog Group Bhd menyediakan pelaburan tambahan RM700 juta bagi pembangunan fasiliti perkhidmatan di Pengerang, Johor.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas menerima kunjungan pengurusan tertinggi syarikat berkenaan, hari ini.

Menurut Onn Hafiz, pelaburan tambahan itu disediakan menerusi tiga fasa untuk pembangunan fasiliti perkhidmatan di Pengerang melalui Morimatsu Dialog (Malaysia) Sdn Bhd (MDMSB).

“Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan menerima kunjungan pengurusan tertinggi Dialog, iaitu antara syarikat terkemuka minyak dan gas serta petrokimia.

“Sumbangan Dialog amat signifikan dalam ekonomi Johor, terutamanya melalui pelaburan bernilai RM14 bilion untuk pembangunan Terminal-terminal Laut Dalam Pengerang dari 2011 hingga 2021.

“Saya difahamkan mereka akan menyediakan pelaburan tambahan sebanyak RM700 juta melalui tiga fasa untuk pembangunan fasiliti perkhidmatan di Pengerang,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Pengerusi Eksekutif Dialog Group Bhd, Tan Sri Dr Ngau Boon Keat; Pengarah Bebas Dialog Group Bhd, Datuk Ismail Karim; Ketua Hubungan Antara Kerajaan Dialog Group Bhd, Shahruddin Ahmad; Pengurus Kanan Hubungan Antara Kerajaan Dialog Group Bhd, Mohd Qayyum Adnan dan Eksekutif Kanan Hubungan Antara Kerajaan Dialog Group Bhd, Sallehuddin Salim.

Onn Hafiz berkata, kerjasama seumpama itu bukan sahaja dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, malah akan meningkatkan pemindahan teknologi dan ilmu kepada syarikat dan pekerja tempatan.

Beliau turut berharap supaya negeri sentiasa dapat menarik lebih banyak pelaburan yang berkualiti di masa akan datang.

“Selepas prestasi yang memberangsangkan tahun lalu, kerajaan negeri berhasrat untuk terus meningkatkan tahap pelaburan di Johor.

“Semoga Johor dapat menarik lebih banyak pelaburan yang dapat menyumbang kepada pembangunan negeri, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi bangsa Johor di masa hadapan,” katanya.

Sumber: Bernama

Dialog tambah pelaburan RM700 juta di Johor


Content Type:

Duration:

Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) yang akan berlangsung di Langkawi dari 23 hingga 27 Mei depan, mampu menjana nilai kontrak mencecah RM8 bilion.

Nilai itu termasuk kontrak Memorandum Persefahaman (MoU), Surat Niat (LoI), Surat Setuju Terima (LoA) antara kerajaan dengan syarikat berkaitan pertahanan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata lebih banyak perjanjian dan MoU dijangka dimeterai pada LIMA yang memasuki edisi ke-16 kali ini selepas program itu terpaksa ditunda lebih tiga tahun akibat pandemiK COVID-19.

“Kita menjangka lebih banyak lagi perjanjian serta MoU akan ditandatangani antara negara-negara dan syarikat-syarikat. Kita menganggarkan ia bernilai RM7 bilion hingga RM8 bilion.

“Ini kerana sudah hampir empat tahun (LIMA ditangguhkan) dan banyak negara, termasuk di Asia Pasifik, sedang meneliti serta menilai untuk membeli aset dan perolehan pertahanan negara masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Rasmi LIMA ’23 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.

Selain itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz; dan Pengerusi Alpine Integrated Solution Sdn Bhd, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, LIMA menjadi tempat titik pertemuan dan berkumpul ramai pemain industri pertahanan udara serta maritim.

“LIMA ’23 bukan saja menjadi tumpuan negara luar tetapi juga pemain industri pertahanan untuk mereka menjalinkan kerjasama atau bertukar cadangan antara syarikat masing-masing.

“Matlamat kita adalah peningkatan dalam nilai dan jumlah perdagangan yang dapat dihasilkan pada edisi LIMA kali ini,” katanya.

Pada penganjuran LIMA ’19, lebih RM4 bilion nilai kontrak, MoU, LoI, dan LoA antara kerajaan dengan syarikat berkaitan pertahanan, berjaya ditandatangani.

Acara dwitahunan itu diadakan secara kerjasama antara Kementerian Pertahanan (MINDEF) dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan untuk edisi kali ini, syarikat Alpine Integrated Solution dilantik sebagai penganjur.

Pameran antarabangsa selama lima hari itu akan disertai sekurang-kurang 600 syarikat pempamer membabitkan 30 negara. Sebanyak 360 syarikat pemain industri pertahanan dan keselamatan serta 240 syarikat komersial bakal menyertai pameran itu.

Pada masa sama, 20 negara dijangka membuka pavilion antarabangsa, termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Thailand, Itali, Turkiye, Jerman, Brazil, Arab Saudi, Belgium dan Jepun.

Sempena LIMA ’23, penganjur menjangka kehadiran 45,000 pengunjung pada sesi pameran khas perdagangan yang berlangsung dari 23 hingga 25 Mei depan, dan 238,000 pengunjung apabila pameran dibuka kepada umum dari 26 hingga 27 Mei.

Sebanyak 110 pesawat pertahanan serta komersial dijangka menyertai pameran udara dan statik pada LIMA kali ini, selain 110 kapal untuk pameran maritim.

Sumber: Berita Harian

LIMA ’23 mampu jana nilai kontrak cecah RM8 bilion


Content Type:

Duration:

Intel Malaysia melancarkan program Robotik untuk Universiti (RoboFun) bagi membantu universiti membina keupayaan dan muncul sebagai penyedia teknologi dan penyelesaian teras paling maju untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Inisiatif ini adalah dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Scuttle Robotics.

Naib Presiden Rangkaian dan Kumpulan Edge Intel, dan Pengurus Besar Sokongan dan Pemboleh Aplikasi Pelanggan, Eric Chan berkata RoboFun bertujuan untuk merapatkan jurang digital antara fakulti dan mewujudkan tenaga kerja generasi baharu yang dilengkapi dengan kebolehan yang tinggi terhadap kemahiran digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI), tanpa mengira disiplin latihan mereka.

“Sistem robot mudah alih berautonomi (AMR) ialah salah satu aplikasi terbaik untuk merealisasikan pelbagai integrasi teknologi termaju daripada mobiliti, AI, sistem kawalan, sistem pengoperasian (OS) dan automasi.

“Kami juga bangga kerana ia akan menjadi pemangkin kepada ekosistem untuk melakukan perkara yang sama dan mewujudkan kumpulan bakat yang bertenaga, pemain industri dan pengguna teknologi,” katanya dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena pelancaran program itu di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata, inisiatif Intel mengenai pembangunan bakat melalui modul latihan komprehensif RoboFun ialah kaedah berkesan untuk merangsang perkongsian pengetahuan industri dan akademik dalam membangunkan sistem AMR.

Beliau berkata penyelesaian dan teknologi berkaitan Industri 4.0 yang dicipta oleh bakat universiti tempatan sendiri akan menggalakkan PKS mengoptimumkan produktiviti serta meningkatkan keupayaan mereka.

“MIDA tidak sabar-sabar untuk menyokong kejayaan program ini yang akhirnya akan meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan untuk memenuhi keperluan industri.

“MIDA akan terus bekerjasama secara sinergi dengan industri dan ahli akademik untuk menyokong pembangunan ekosistem elektrik dan elektronik di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata program RoboFun akan terus meningkatkan produktiviti dan daya saing industri Malaysia dan trend ini akan berterusan pada masa hadapan.

Beliau berkata AMR akan menjadi penyelesaian yang boleh dilakukan kepada masalah perbelanjaan buruh yang semakin meningkat jika harga proses mengautomasikannya dapat diturunkan.

“MPC, dalam kapasitinya sebagai rakan kongsi operasi program, akan bertanggungjawab untuk mentadbir keseluruhan proses latihan, dengan Intel dan Scuttle Robotics menyediakan semua bantuan teknikal yang diperlukan,” katanya.

Intel berkata lima universiti awam dan swasta, iaitu Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Petronas menyertai majlis pelancaran itu dan menerima kit AMR mereka.

Ia berkata kit itu akan menjadi instrumen untuk universiti menubuhkan makmal robotik masing-masing dan untuk memperkasakan pelajar di semua fakulti bagi meningkatkan pengetahuan mereka serta menyesuaikan diri dengan sistem AMR. 

Sumber: Bernama

Intel Malaysia dan rakan kerjasama lancar Program Robofun


Content Type:

Duration:

FGV Holdings Bhd, salah satu syarikat pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar di dunia, menyasarkan untuk menembusi setiap isi rumah di Malaysia dengan seberapa banyak produk makanannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Nazrul Mansor berkata, kumpulan itu menyasarkan setiap dapur isi rumah di Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya 50 peratus daripada rangkaian produk makanannya yang pelbagai menjelang 2030.

Beliau berkata, ini selaras dengan aspirasinya untuk menjadi syarikat makanan Malaysia yang terkemuka dan menyokong objektif kerajaan dalam Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.

“Ini adalah aspirasi 2030 kami dan untuk kami menjadi kuasa sebenar dalam pasaran, kami telah melakukan banyak kerja asas dan menggunakan firma perunding multinasional untuk menasihati kami.

“Selain itu, kami akan melakukan banyak kerja-kerja pemasaran, publisiti dan menggaji orang yang tepat untuk memastikan aspirasi ini dipenuhi,” kata Nazrul semasa lawatan media ke anak syarikat kumpulan, Delima Oil Products Sdn Bhd di Pasir Gudang, Johor pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oil Shammim Azad Kamruzaman berkata Saji ialah jenama minyak masak bertapis nombor satu di Malaysia dengan menguasai 45.6 peratus bahagian pasaran, manakala Seri Pelangi ialah jenama marjerin nombor satu di Malaysia dengan 42.8 peratus bahagian pasaran.

Beliau berkata syarikat itu meneruskan usahanya dalam pembinaan jenama, kedudukan produk dan penembusan pasaran untuk kekal di kedudukan teratas pasaran di tengah-tengah jangkaan ketidaktentuan ekonomi tahun ini.

Delima Oil mengedarkan produk makanannya melalui enam pejabat di Semenanjung dan Malaysia Timur, manakala di peringkat antarabangsa pula ialah di lebih 30 negara di Amerika Utara, Afrika Utara, Timur Tengah, Eropah Timur, Asia Tengah dan Asia Tenggara.

Sumber: Bernama

FGV sasar produk makanannya di setiap isi rumah Malaysia menjelang 2030


Content Type:

Duration:

Artroniq Bhd (Artroniq) dan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Beno Inc memeterai perjanjian memorandum (MoA) bagi memasang rangkaian basikal elektrik (e-basikal) di Malaysia.

MoA yang dimeterai dua entiti itu membabitkan nilai melebihi RM100 juta menjelang 2025 dan mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Malaysia.

Artroniq juga akan bekerjasama dengan firma AS itu membabitkan pengkongsian teknologi dan kepakaran untuk meneroka sektor EV menyeluruh bermula dengan e-basikal.

Dalam skop perjanjian itu, lebih 95 peratus e-basikal yang dipasang akan dieksport ke AS dan Eropah.

Beno Inc yang juga syarikat yang berkembang pesat dalam bidang kenderaan elektrik, memberi tumpuan kepada kenderaan dua roda yang inovatif.

Syarikat itu terkenal sebagai pencipta Reevo, e-basikal tanpa hub pertama di dunia dengan jangkauan pasaran yang semakin meningkat di AS dan Eropah.

MOA berkenaan menandakan permulaan perkongsian yang akan memberi manfaat kepada Artroniq dan Beno Inc.

Di bawah syarat perjanjian Beno Inc akan memberikan hak pemasangan penuh bagi rangkaian produk Reevo sedia ada dan akan dilancarkan kepada Artroniq untuk tempoh dua tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Artroniq, Ken Liaw Way Gian berkata, syarikatnya akan memasang dan melengkapkan komponen produk Beno Inc dari China sebanyak 2,000 unit e-basikal sebulan bermula Mac ini.

“Untuk peringkat pertama, kami akan mengambil alih kilang pengeluaran sedia ada untuk memasang e-basikal ini.

“Dalam perbincangan, lokasinya mungkin di Batu Kawan, Pulau Pinang membabitkan pelaburan RM5 juta.

“Peringkat kedua pula adalah untuk menjadi pengedar e-basikal di negara ASEAN memandangkan ini ia hanya dieksport ke AS dan Eropah. Peringkat ketiga adalah kerjasama dengan Beno Inc dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi e-motosikal yang akan dimulakan separuh kedua tahun ini,” katanya pada sidang media selepas pemeteraian MoA di sini, hari ini.

Pemeteraian MoA itu disaksikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Turut hadir, Pengerusi Artroniq, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Beno Inc, Thomas White.

Artroniq mendedahkan terdapat peluang besar dalam pasaran e-basikal, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 10.5 peratus dalam tempoh tujuh tahun akan datang, dan akan mencecah AS$40 bilion (RM174.79 bilion) menjelang 2030.

“Kami percaya perkongsian ini bukan sahaja akan memberi manfaat bersama tetapi juga akan menawarkan nilai yang signifikan kepada pelanggan dan pihak berkepentingan kami,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Artroniq pasang basikal elektrik Reevo


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) menyasarkan pelaburan kenderaan elektrik (EV) dapat menarik pelaburan sebanyak RM20 bilion menjelang 2025.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata jumlah itu diunjurkan akan meningkat kepada RM40 bilion pada 2030.

“Kita perlu melihat ekosistem EV dan rantaian bekalan secara menyeluruh dan kita juga akan membincangkan lebih lanjut bersama pasukan petugas mengenai usaha memperkukuhkan lagi industri EV ini ,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian memorandum (MoA) antara Artroniq Bhd (Artroniq) dan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) Beno Inc di sini hari ini

Zafrul berkata industri EV harus dilihat secara menyeluruh dan merangkumi faktor seperti perisian, teknikal, peralatan, kejuruteraan dan sebagainya.

Sementara itu, menerusi MoA yang ditandatangani hari ini, Artroniq diberi hak pemasangan penuh bagi rangkaian produk basikal elektrik dibawah jenama Reevo bagi tempoh dua tahun.

MoA berkenaan bernilai melebihi RM100 juta menjelang 2025 dan mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Artroniq Liaw Way Gian berkata terdapat tiga fasa di bawah MOA tersebut, pertama, ia melibatkan pemasangan basikal elektrik bagi pasaran AS dan Eropah, fasa kedua adalah bagi menjadi pengedar produk keluaran Reevo di pasaran Asia Tenggara dan seterusnya adalah kerjasama dengan Beno Inc dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) motor elektrik yang akan dimulakan separuh kedua tahun ini.

Lebih 95 peratus basikal elektrik yang yang dikeluarkan oleh Beno dieksport ke AS dan Eropah, katanya.

“Bagi fasa pertama, Artroniq telah mengenalpasti fasiliti yang terletak di Batu Kawan, Pulau Pinang bagi proses pemasangan produk tersebut dan kami memperuntukkan RM5 juta utk menyediakan kilang tersebut disamping mengupah tenaga kerja,“ katanya.

Liaw berkata syarikat tersebut menjangkakan penghasilan kira-kira 2,000 unit basikal elektrik sebulan bermula Mac ini selepas mendapat persetujuan pemegang saham syarikat tersebut menerusi mesyuarat am tahunan yang akan diadakan pada Februari nanti.

Ditanya mengenai prospek syarikat tersebut, beliau memberitahu syarikat yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia mensasarkan sektor pembuatan untuk menyumbang sebanyak 50 peratus kepada keuntungan syarikat dalam jangka masa dua tahun dan mengurangkan kebergantungan kepada sektor teknologi komunikasi maklumat (ICT) yang merupakan aktiviti utama syarikat tersebut.

“Pada masa akan datang, kita akan membahagikan aktiviti syarikat kepada dua, iaitu ICT dan pembuatan, dimana usahasama dengan Beno dikategorikan dibawah cabang pembuatan,“ jelas beliau.

Artroniq dilihat aktif mempelbagaikan aktiviti syarikat ICT sejak tahun lepas, syarikat tersebut bekerjasama dengan bank digital Cambodia, Panda Commercial Bank PLC untuk menyediakan perkhidmatan dan perundingan dalam penyelidikan dan pembangunan perkhidmatan kewangan berasaskan lejer digital terbuka untuk bank tersebut.

Sumber: Bernama

MITI sasar kenderaan EV tarik pelaburan sebanyak RM20b menjelang 2025


Content Type:

Duration:

Pengeluar terkemuka dunia bagi produk coklat dan koko berkualiti tinggi, Barry Callebaut yang membekalkan produk bernilai kira-kira RM2 bilion dari Malaysia ke 57 negara optimistik terhadap pertumbuhan syarikat.

Pengarah Urusan Barry Calleaut di Malaysia, Robert Kotuszewki berkata ia akan terus melabur untuk pengembangannya berdasarkan permintaan kukuh di sini dan di rantau ini.

“Pasaran semakin berkembang. Purata pertumbuhan industri (tahunan) adalah antara dua dan empat peratus dan kami sentiasa berada melepasi paras berkenaan. Kami perlu melabur untuk berkembang,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Pusat Kecemerlangan Perniagaan Asia Pasifik (APAC BEC) syarikat itu di sini, hari ini.

Kotuszewki berkata, Barry Callebaut berada di Malaysia selama lebih 30 tahun dengan pelaburan kira-kira RM1.3 bilion di sini.

Ia juga yakin terhadap kestabilan politik dan kumpulan pekerja berkemahiran Malaysia.

Syarikat itu mempunyai lebih 600 pekerja di dua lokasi pembuatan dan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Pasir Gudang dan Pelabuhan Klang.

APAC BEC ialah pelaburan penting dengan lebih 100 pekerja dengan rancangan untuk meningkatkannya sehingga 150 pekerja pada beberapa bulan akan datang.

“Malaysia ialah hab penting untuk Asia Pasifik dan negara pertama yang dipilih syarikat untuk menubuhkan APAC BEC, hasil daripada asas pembuatan yang kukuh, kepelbagaian budaya dan bakat (pekerja berkemahiran) untuk membantu syarikat itu merentas pasaran serantau.

“APAC BEC akan menyediakan sokongan merentas perkhidmatan kewangan dan perakaunan syarikat, pengurusan maklumat dan teknologi, perkhidmatan pelanggan serta fungsi korporat dan perkhidmatan kongsi yang lain.

“Ia juga akan membantu meningkatkan pengalaman pelanggan melalui penyeragaman dan kebolehskalaan proses,” katanya.

Penggunaan tahunan coklat per kapita rakyat Malaysia adalah kira-kira 0.5 kilogram dan mempunyai peluang mencatatkan pertumbuhan, katanya.

Kotuszewki berkata, pasarannya termasuk pengilang gula-gula dan makanan, ia juga rakan kongsi penyumberan luar untuk pengeluar makanan Malaysia yang mencari produk berkualiti tinggi.

Jumlah jualan gula-gula coklat di Malaysia meningkat 12.7 peratus pada 2021 dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 3.4 peratus antara 2016 dan 2021, katanya.

Hampir 85 peratus pekerjanya termasuk mereka yang bekerja secara tidak langsung, pembekal dan penyedia perkhidmatan adalah rakyat Malaysia.

Syarikat itu menyediakan peluang kerja yang besar kepada lebih 500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sumber: Bernama

Barry Callebaut bekalkan ramuan coklat, koko RM2 bilion di Malaysia


Content Type:

Duration:

AEM Holdings Ltd penyedia penyelesaian ujian semikonduktor yang berpangkalan di Singapura membuka kilang pembuatan baharu bernilai RM65 juta di Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif AEM Microtronics (M) Sdn Bhd, Chandran Nair, berkata kilang pembuatan itu berkeluasan 365,000 kaki persegi yang terletak di Taman Perindustrian Prai mempunyai kawasan perhimpunan, bahagian jaminan kualiti, gudang dan makmal penyelidikan dan pembangunan.

“Sebelum ini, kami mempunyai kilang seluas 30,000 kaki persegi di Bayan Lepas, yang baik pada masa itu, dan kini kami berada pada skala yang lebih besar. Oleh itu, kami memutuskan untuk mengembangkan kilang kami dengan berpindah ke Prai.

“Kilang baharu ini akan membolehkan AEM memanfaatkan peluang pertumbuhan rantau ini sambil berhubung dengan pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian kilang itu yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di sini, hari ini.

Chandran berkata kemudahan itu akan mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, rantaian bekalan dan banyak lagi.

“Tapak ini akan menjadi pusat keutamaan bagi sebahagian besar kemudahan kejuruteraan dan pembuatan kami selain gudang dan sebagainya.

“Mengenai rancangan masa depan kami untuk kilang ini, kami akan melihat keupayaan dan kapasiti perniagaan di sini. Kami akan mempertimbangkan untuk mengembangkan kilang itu selepas tiga tahun,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata dengan separuh abad perindustrian dalam DNA negeri itu, Pulau Pinang mengharungi pelbagai kitaran naik dan turun dan menjadi semakin kukuh.

“Mencapai aliran meningkat dalam eksportnya, Pulau Pinang menyumbang purata 29 peratus eksport Malaysia dan 58 peratus lebihan perdagangan negara sejak lima tahun lalu.

“2022 sudah pasti merupakan tahun yang memecah rekod bagi Pulau Pinang kerana kami mencapai RM414 bilion eksport dari Januari hingga November 2022, 17 peratus lebih tinggi daripada eksport tahunan tertinggi sepanjang masa kami sebanyak RM354 bilion pada 2021,” katanya.

Dari segi pelaburan, Kon Yeow berkata Pulau Pinang adalah antara penyumbang utama negara, memperoleh RM9.2 bilion dalam pelaburan pembuatan yang diluluskan dari Januari hingga September 2022.

“Bagi pelaburan dalam sub-industri jentera dan peralatan, negeri mencatatkan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM7.3 bilion dari Januari hingga September 2022, mewakili 57 peratus daripada jumlah keseluruhan negara,” katanya.

Sumber: Bernama

Firma Singapura, AEM buka kilang RM65 juta di Pulau Pinang


Content Type:

Duration:

EP Manufacturing Bhd (EPMB) yang tersenarai di Pasaran Utama, telah memperoleh pesanan utama pertamanya untuk membekalkan motosikal elektrik (e-Bikes) bagi pasaran Indonesia dan Vietnam.

Syarikat dalam satu kenyataan berkata tempahan awal itu adalah sebanyak 23,000 unit, yang mana akan dihantar bermula suku pertama tahun ini.

“Ini adalah peristiwa penting bagi Kumpulan, selain usahanya dalam perniagaan kenderaan elektrik beroda empat (EV) yang diumumkan sebelum ini,” kata kenyataan itu.

Susulan itu EPMB, melalui anak syarikat milik penuhnya EP Blueshark Sdn Bhd, menandatangani Perjanjian Induk hari ini dengan Averte Global Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura dan Blueshark Group Ltd yang berpangkalan di Hong Kong, di mana Averte dan Blueshark telah bersetuju untuk menjadi rakan kongsi usahasama dan pembeli.

Perjanjian pembelian itu katanya, akan berkuat kuasa selama lima tahun dari tarikh Perjanjian Induk ini dan boleh dilanjutkan dengan persetujuan bersama.

“Sepanjang tempoh lima tahun, EP Blueshark dijangka membekalkan sekurang-kurangnya dua juta e-Bikes kepada pembeli.

“Harga bagi setiap e-Bike dijangka berada dalam lingkungan AS$1,850 hingga AS$3,900 (RM8,136 hingga RM17,152).

“Perlu ditekankan bahawa EPMB telah bekerjasama dengan Sharkgulf Technologies Group Ltd yang berpangkalan di China untuk memasang, mengeluarkan dan mengedarkan EV dua roda berjenama Blueshark, yang menyasarkan pasaran Malaysia dan Asia Tenggara yang lain,” katanya.

Pada Oktober 2022, EP Blueshark menerima kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk memasang dan mengeluarkan e-Bikes di kemudahan pembuatannya yang akan datang di Glenmarie, Shah Alam.

Mengulas perkembangan itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif EPMB, Lim Sim Yee dalam kenyataan sama berkata, pihaknya memulakan tahun 2023 dengan berita baik untuk EPMB.

Ia kerana perjanjian lima tahun itu akan mewujudkan sumber pendapatan baharu bagi Kumpulan dengan margin yang mantap.

Ia akan meletakkan EPMB pada pertumbuhan yang dipercepatkan sambil berusaha untuk mendapatkan lebih banyak pembeli yang sedemikian pada masa hadapan.

“Walaupun penerokaan EV kami hanya bermula kurang dari setahun yang lalu, kami telah melihat sambutan yang kukuh daripada bakal pelanggan.

“Kami melihat peluang pertumbuhan yang luar biasa untuk EV beroda dua di Indonesia dan Vietnam. Pasaran e-Bike Indonesia, sebagai contoh, diramalkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 20.96 peratus untuk mencapai AS$816.2 juta menjelang 2025, menurut kajian bebas oleh Research and Markets.

“EPMB berharap untuk berada di barisan hadapan untuk memanfaatkan permintaan ini,” katanya.

Averte terbabit dalam perniagaan penghantaran produk dan perkhidmatan hijau yang inovatif dan memberi impak di Asia.

Pada Julai 2022, Averte menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Viettel Post Joint Stock Corporation, di mana Viettel Post akan membeli 20,000 e-Bikes dan ia juga akan membuka 1,800 outletnya di seluruh negara untuk bekerjasama dengan Averte dalam menjual e-Bikes kepada korporat atau pelanggan individu.

Viettel Post ialah anak syarikat Vietnam Telecom, firma telekomunikasi terbesar di Vietnam.

Averte juga telah menandatangani Perjanjian Awal pada Julai 2022 dengan PT Sarinah, sebuah perusahaan milik negara di bawah kerajaan Indonesia.

PT Sarinah telah dilantik untuk mempromosikan dan mempopularkan e-Bikes di Indonesia. Selain itu, Averte juga menandatangani Perjanjian Awal dengan rakan kongsi perolehan PT Sarinah, PT Marco Indokarya, untuk perolehan 2 juta unit e-Bike bagi tempoh 5 tahun akan datang.

Sementara itu, Blueshark terutamanya terbabit dalam, tetapi tidak terhad, kepada pembuatan e-Bike, rantaian bekalan, teknologi sistem dan ekosistem serta perdagangan karbon di ASEAN.

Selain daripada usaha niaga e-Bike, EPMB juga sedang membina kehadiran pasarannya sebagai pemain EV roda empat serantau. Pada Disember 2022, Kumpulan telah memeterai perjanjian pengedar eksklusif dengan Hubei Dongfeng Power Auto Trade Co Ltd dan Xiamen Tsingyan Hylong Motor Technology Co Ltd untuk memasang dan menjual Lingbox EV di Malaysia dan Indonesia.

Perjanjian lima tahun itu juga memberi EPMB pilihan untuk menggunakan nama jenamanya sendiri untuk EV.

Sumber: Berita Harian

EPMB terima tempahan e-Bikes dari Indonesia, Vietnam


Content Type:

Duration:

Citaglobal Bhd menjalin kerjasama strategik dengan PT Industri Baterai Indonesia atau Indonesia Battery Corporation (IBC) untuk cadangan pembangunan kilang pembuatan sel bateri dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS).

Kerjasama Citaglobal, yang dulunya dikenali WZ Satu Bhd dengan IBC itu termasuk pembangunan, reka bentuk dan pembinaan kemudahan ‘turnkey’ pengilangan bersepadu untuk sel bateri, modul dan pek.

Ia juga merangkumi pembangunan penyelesaian bersepadu BESS dan pemindahan teknologi dan pengetahuan berkaitan untuk pembangunan loji bateri dan BESS.

Kedua-dua syarikat memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang diadakan di sini dengan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dalam lawatan rasmi pertamanya ke Indonesia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri.

MoU itu adalah petanda baik untuk kedua-dua pihak, yang mempunyai rancangan strategik dan fokus untuk berkembang secara bermakna ke dalam segmen tenaga boleh diperbaharui.

Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria, berkata

meningkatkan storan bateri adalah penting untuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui sama ada di Malaysia atau Indonesia.

Beliau yang juga pemegang saham utama Citaglobal berkata, Suruhanjaya Tenaga Malaysia sudah memaklumkan hasrat untuk mengguna pakai sehingga 500 megawatt (MW) teknologi storan bateri.

Katanya, dengan lokasi Malaysia yang strategik untuk potensi tenaga solar yang tinggi, kerajaan sangat proaktif dalam memilih kawasan yang sesuai untuk penggunaan tenaga solar, terutamanya untuk Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri.

“Kami berbesar hati dan mengharapkan kerjasama yang produktif dan membuahkan hasil dengan IBC.

“Kerjasama merentas negara akan membolehkan kedua-dua pihak memanfaatkan kepakaran masing-masing dan mempercepatkan proses meningkatkan sumber tenaga rendah karbon,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden Pengarah IBC, Toto Nugroho, berkata pihaknya mengalu-alukan Citaglobal sebagai rakan kongsi untuk meningkatkan daya saingnya menjadi peserta utama dalam ekosistem bateri dan kenderaan elektrik.

Beliau berkata, di IBC, misinya adalah untuk menyokong pertumbuhan kenderaan elektrik nasional supaya ia boleh menjadi pusat pengeluaran di ASEAN.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan rakan kongsi global dalam mencapai matlamat kami,” katanya.

MOU itu berkuat kuasa serta-merta dari tarikh pelaksanaan dan akan terus berkuat kuasa dalam tempoh setahun akan datang.

Buat masa ini, pasaran global untuk kenderaan elektrik berkembang secara berterusan pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 21.7 peratus.

Bateri adalah salah satu komponen kos utama untuk kenderaan elektrik, membentuk kira-kira 35 peratus daripada kos berkenaan pada masa ini.

Pada Oktober 2022, Citaglobal memeterai perjanjian kerjasama dengan Genetec Technology Bhd untuk kerjasama pelbagai sudut dan eksklusif serta pengaturan kerjasama strategik meluas berhubung pembangunan BESS bagi menyimpan dan mengurus lebihan kuasa ketika penjanaan tenaga boleh diperbaharui menerusi syarikat tujuan khas berdasarkan perkongsian 50:50 antara pihak.

Disenaraikan pada 2 Januari 2008, Citaglobal ialah kumpulan dengan pelbagai aliran hasil dan ia kini terbabit dalam tenaga, infrastruktur telekomunikasi, kejuruteraan awam dan pembinaan, pembuatan dan hartanah.

Sementara itu, IBC pula ditubuhkan oleh empat perusahaan milik negara Indonesia iaitu PT Aneka Tambang Tbk (ANTAM), Industri Perlombongan Indonesia (MIND ID), Perusahaan Listrik Negara (PLN) dan PT Pertamina.

Ia beribu pejabat di Jakarta dengan visi memaksimumkan sumber asli Indonesia melalui pembangunan kenderaan elektrik bateri dan ekosistem industri bateri di republik itu.

Sumber: Berita Harian

Citaglobal, firma Indonesia rancang projek tenaga bateri


Content Type:

Duration:

Alliance EV Sdn Bhd (AEV), anak syarikat milik penuh CSH Alliance Bhd (CSH) memperoleh lesen pengilang bagi pemasangan van elektrik komersial serta kelulusan model van, khususnya BYD T3 EV.

Usaha pemasangan tempatan bagi model berkenaan akan dijalankan di kawasan seluas 22.2 hektar di Tanjung Malim, Perak, kata CSH dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia.

AEV kini dalam proses memohon permit Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan bagi membawa masuk unit siap pasang sepenuhnya (CBU) BYD T3 EV ke negara ini bagi tujuan pengedaran sebelum membangunkan kilang pemasangan tempatan.

Bagi lesen pengilang itu, CSH berkata AEV akan meneruskan usaha untuk memuktamadkan perjanjian komersial terperinci dengan BYD Malaysia Sdn Bhd membabitkan kilang berkenaan.

CSH menceburi industri kenderaan elektrik (EV) yang sejajar dengan matlamatnya untuk menjana tenaga masa depan menerusi usaha pemeteraian memorandum persefahaman dengan BYD Malaysia.

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Eksekutif CSH, Jeff Chong, berkata sasaran seterusnya syarikat berkenaan adalah untuk membawa masuk van CBU bagi sektor komersial di Malaysia.

Menurutnya, langkah itu dijangka memberi manfaat kepada industri komersial khususnya sektor logistik dan pengangkutan dari segi pengurangan pelepasan karbon.

“Secara bersama, kita dapat mengurangkan jejak karbon Malaysia dan mewujudkan persekitaran lebih lestari untuk generasi masa depan,” katanya.

CSH berkata, lokasi strategiknya di Tanjung Malim terletak dalam kawasan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) dan turut menempatkan kilang pembuatan automotif terbesar di Malaysia dengan syarikat rantaian bekalan komprehensif di sekitarnya.

AHTV adalah projek berimpak tinggi yang dapat memacu industri automotif negara serta disasarkan sebagai hab industri automotif bagi rantau Asean.

Sumber: Bernama

CSH dapat lesen pasang van elektrik di Tanjung Malim


Content Type:

Duration:

Syarikat pembuatan elektrik dan elektronik, VS Industry Bhd memperuntukkan perbelanjaan modal kira-kira RM80 juta bagi tahun kewangan 2023.

Pengarah Urusannya, Datuk Gan Sem Yam, berkata tahun kewangan 2022 adalah tahun yang mencabar apabila berdepan dengan pelbagai cabaran akibat daripada kesan pandemik yang berpanjangan dan isu makroekonomi global.

Bagaimanapun, syarikat itu berjaya menelusuri keadaan operasi perniagaan yang mencabar ini dan mencatatkan prestasi yang memberangsangkan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Pada masa depan meskipun keadaan pasaran yang kekal tidak menentu, kami terus fokus untuk mengembangkan perniagaan kami. Dengan aliran tempahan yang berterusan daripada pelanggan bagi operasi tempatan, kami menyasar memperuntukkan kira-kira RM80 juta bagi perbelanjaan modal untuk mengembang dan meningkatkan kapasiti serta keupayaan kami.

“Di Indonesia, kami menjangkakan sumbangan yang lebih baik tahun ini susulan peningkatan tempahan daripada pelanggan,” katanya.

Di peringkat kumpulan, beliau berkata VS Industry akan terus menyalurkan sumber bagi mengukuhkan lagi inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urusnya (ESG).

“Pada masa depan kami yakin dalam berhati-hati dengan prospek VS dan menjangkakan kumpulan mencatatkan prestasi kewangan yang memuaskan bagi tahun kewangan 2023,” katanya.

Menurutnya, kumpulan itu mempunyai dasar dividen 40 peratus pembayaran keuntungan bersih dan bagi tahun kewangan 2022 yang berakhir 31 Julai 2022, ia meneruskan amalan pembayaran dividennya dengan jumlah dividen sesaham sebanyak dua sen, mewakili 45.8 peratus pembayaran berasaskan pendapatan sesaham tahun kewangan 2022 sebanyak 4.37 sen.

Sumber: Bernama

VS Industry sedia perbelanjaan modal RM80 juta


Content Type:

Duration:

wpChatIcon