Berita Industri Archives - Page 7 of 29 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Lebih banyak insentif kenderaan elektrik dalam Bajet 2023 yang disemak – Nik Nazmi

Lebih banyak insentif berkaitan kenderaan elektrik (EV) disediakan dalam Belanjawan 2023 yang disemak, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Kerajaan akan mengumumkan lebih banyak insentif berkaitan EV dalam Bajet 2023 yang disemak semula,” kata Nik Nazmi pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Cyberview Sdn Bhd dan Roda Emas Industries Sdn Bhd (REISB) mengenai pembangunan ekosistem mobiliti pintar di Cyberjaya, di sini hari ini.

Beliau berkata melalui insentif yang disediakan oleh kerajaan untuk EV pada 2022, bilangan EV berdaftar telah meningkat kepada lebih 2,000 setakat ini.

Katanya, Malaysia melalui Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030, menyasarkan memasang 10,000 tempat pengecasan EV menjelang 2025.

“Pada masa ini, lebih 900 pengecas EV awam dipasang oleh pelbagai pengendali pusat pengecasan di Malaysia.

“Untuk menyokong pertumbuhan EV semasa dan masa depan dari segi infrastruktur pengecasan, peraturan dan piawaian sedang dikemas kini untuk memastikan keselamatan premis ini,” katanya.

Nik Nazmi menambah bahawa Suruhanjaya Tenaga telah membangunkan lesen Sistem Pengecasan EV (EVCS) dan mengesyorkan pengendali pusat pengecasan yang terlibat dalam membangunkan infrastruktur untuk mengecas EV di negara ini mendapatkan lesen awam yang sah serta-merta untuk pemasangan sistem pengecasan EV selewat-lewatnya Mac 31 tahun ini.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Bajet 2023 yang disemak semula itu di Dewan Rakyat pada 24 Februari 2023.

Menteri Kewangan sebelum ini Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2023 berjumlah RM372.3 bilion, peruntukan terbesar dalam sejarah Malaysia, pada 7 Oktober 2022.

Tiga hari kemudian, pada 10 Oktober, Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022.

Pada 20 Disember, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Akauntabiliti) 2022.

Sementara itu, mengenai MoU tersebut, Cyberview dan REISB dalam satu kenyataan berasingan berkata bahawa kerjasama itu akan memanfaatkan kekuatan, pengetahuan, rangkaian dan keupayaan masing-masing dalam membangunkan ekosistem mobiliti pintar yang tertumpu kepada penciptaan dan pengukuhan infrastruktur EV, penggunaan mobiliti elektro dan menambah baik pengurusan tenaga di Cyberjaya.

“Kerjasama itu juga akan melihat Cyberview dan REISB meneroka potensi kerjasama untuk pengembangan stesen pengecasan EV dan sistem pengurusan ke lokasi strategik lain di Malaysia,” kata kedua-duanya dalam kenyataan itu.

Sumber: Bernama

Lebih banyak insentif kenderaan elektrik dalam Bajet 2023 yang disemak – Nik Nazmi


Content Type:

Duration:

Energy Absolute Malaysia Sdn Bhd, peneraju tenaga boleh baharu dan syarikat terkemuka dalam industri teknologi hijau yang berpangkalan di Thailand menyatakan minat untuk meneroka pasaran Malaysia berlandaskan prinsip-prinsip seperti mendukung, melabur dan mengangkat projek pemicu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata syarikat yang mempunyai kekuatan modal pasaran sebanyak 380 bilion baht bersamaan RM45 bilion itu akan berkolaborasi dengan Computer Forms Malaysia Bhd (CFM) untuk membangunkan industri teknologi hijau di Malaysia dan pemindahan teknologi kenderaan elektrik (EV) ke Malaysia.

Dalam hantaran di laman Facebook beliau hari ini, Perdana Menteri berkata syarikat tersebut turut akan membina kilang pembuatan dan bekalan EV, khususnya dalam sektor pengangkutan seperti bas elektrik, bas sekolah elektrik, bot elektrik, motosikal elektrik, bateri EV, kereta api elektrik, kereta mobil elektrik dan lain-lain dengan nilai keseluruhan RM5 bilion.

“Sebagai anggota Komuniti Ekonomi ASEAN, dengan budaya dan warisan yang hampir sama, kerjasama antara Malaysia dan Thailand terus kukuh dengan semangat kejiranan yang tinggi dengan kerjasama dalam pelbagai lapangan yang relevan,” katanya.

Sumber: Bernama

Anwar: Syarikat EA berminat teroka pasaran Malaysia


Content Type:

Duration:

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan memberi tumpuan kepada memanfaatkan pertumbuhan yang dicapai setakat ini dan mengembangkan lagi kapasitinya pada 2023.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata dalam merealisasikannya, pengeluar kereta itu berharap harga bahan mentah dan bahan api kekal terurus.

“Pada masa sama, kami turut berharap pertukaran mata wang asing dan kadar faedah akan lebih menggalakkan pertumbuhan industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainal Abidin berkata jika faktor-faktor ini kekal pada paras yang wajar, Perodua akan mengekalkan harga kenderaannya.

“Buat masa ini, keutamaan kami ialah menghantar kenderaan Perodua kepada mereka yang menempah dalam tempoh pengecualian cukai jualan kerana harga kenderaan ini akan kekal seperti yang dipersetujui sehingga tarikh akhir 31 Mac 2023,” katanya.

Pengeluaran syarikat meningkat 49.5 peratus kepada 289,054 unit pada 2022 berbanding 193,400 unit pada 2021 manakala jualan menyaksikan peningkatan sebanyak 48.2 peratus kepada 282,019 unit berbanding 190,291 kenderaan yang didaftarkan pada 2021.

Selepas jualan pula menyaksikan jumlah pengambilan meningkat kepada 2.6 juta, iaitu kenaikan sebanyak 30 peratus daripada 2.0 juta pengambilan servis pada 2021.

Zainal Abidin berkata Perodua akan terus memperkenalkan teknologi baharu dalam produk dan perkhidmatannya pada masa depan serta melabur dalam inovasi teknologi bagi operasinya.

“Selain itu, kami juga akan menggalakkan rakan niaga kami, iaitu pembekal dan pengedar untuk terus melabur dalam teknologi baharu supaya mereka lebih berdaya saing dan produktif.

“Kami akan mengumumkan senarai penuh sasaran kami pada bulan ini dan saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas sokongan yang berterusan, rakan kongsi kami atas dedikasi mereka, kakitangan Perodua atas pengorbanan dan kerja keras mereka serta para pelanggan kami yang dihargai atas sokongan setia mereka,” katanya.

Sumber: Bernama

Perodua Akan Manfaatkan Pertumbuhan Dicapai, Kembangkan Kapasiti Pada 2023


Content Type:

Duration:

The Coca-Cola Bottlers Malaysia (CCBM), cabang pembotolan The Coca-Cola Company, terus yakin dengan prospek jangka panjang perniagaannya serta ekonomi Malaysia dan berhasrat untuk mengukuhkan lagi komitmennya kepada masyarakat di negara ini.

Ketua pegawai eksekutif Bottling Investments Group bagi Singapura, Malaysia dan Brunei, Louis Balat berkata daripada inisiatif kitar semula menerusi banyak perkongsian dan menyediakan akses air bersih kepada lebih daripada 22,000 penduduk kampung di kawasan pedalaman di Sabah hinggalah kepada program memperkasakan wanita dari segi ekonomi, syarikat itu komited untuk membangunkan masyarakat mampan di Malaysia.

“Kami mahu terus melabur di negara ini, dalam tenaga kerja tempatan, inovasi dan teknologi, merealisasikan visi ‘World Without Waste’ kami dan membantu masyarakat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Balat berkata, syarikat itu juga akan terus membuat pelaburan besar dalam prasarana untuk membina jenama yang lebih kukuh dan menyokong komitmennya kepada Malaysia.

Setakat ini, CCBM telah melabur sebanyak RM1.3 bilion secara terkumpul dalam membina hab pengedaran bertaraf dunia di Taman Halal di Bandar Enstek, Negeri Sembilan, dan menyokong ekonomi Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada pertumbuhan syarikat, beliau berkata, sebanyak RM500 juta daripada pelaburan itu diperuntukkan kepada pengembangan kilang dan gudang sistem dapatan semula storan automasi (ASRS) canggih, melipatgandakan kapasiti penyimpanan tapak kilangnya dan melaksanakan pembuatan mampan.

“Gudang ASRS adalah pelaburan penting dalam pembuatan mampan bagi CCBM untuk menyokong pertumbuhan kuantiti, meningkatkan kecekapan operasi kami dalam seluruh rantaian bekalan dan mengurangkan impak alam sekitar dengan mengurangkan penggunaan tenaga menerusi automasi dan ia merupakan langkah penting dalam membantu kesiapsiagaan operasi kami,” katanya.

Sumber: Bernama

Coca-cola yakin dengan prospek jangka panjang perniagaan di Malaysia


Content Type:

Duration:

Pengeluar grafit dan grafen satu lapisan terkemuka dunia yang bakal disenaraikan di Nasdaq, Graphjet Technology Sdn Bhd menandatangani surat tawaran untuk membina kemudahan pengeluaran bernilai RM400 juta dalam Fasa Tiga Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan.

Syarikat itu, yang sedang dalam proses untuk penyenaraian bernilai AS$1.5 bilion, adalah yang pertama dan satu-satunya di dunia yang mengubah bahan buangan industri sawit, isirung sawit, kepada grafit dan grafen satu lapisan.

Grafen dikenali sebagai bahan super dan berkait dengan Hadiah Nobel dalam Fizik pada 2010.

Grafen adalah bahan paling nipis dan paling ringan di samping mempunyai kira-kira 200 kali ganda kekuatan keluli selain menjadi antara pengalir elektrik dan haba terbaik dan lutsinar.

Grafit pula adalah karbon lembut dan berwarna hitam yang digunakan dalam pembuatan pensil, pelincir dan lain-lain.

“Revolusi teknologi yang dipatenkan akan mengubah kulit isirung sawit, sisa daripada pengeluaran isirung sawit, kepada grafen satu lapisan pada kos yang jauh lebih rendah berbanding pengeluaran grafen satu lapisan pada masa ini.

“Kemudahan pengeluaran itu dijangka menghasilkan 10,000 tan grafit dan 60 tan grafen satu lapisan setiap tahun. Ia dijangka menjana perolehan RM3.6 bilion setahun untuk Graphjet Technology,” menurut syarikat itu dalam kenyataan pada Khamis.

Pengasas dan Pengerusi, Lim Hooi Beng, berkata kilang bersepadu (huluan dan hiliran) seluas 8.09 hektar baharu itu dijangka siap dalam tempoh 18 hingga 20 bulan selepas tawaran awam awal (IPO) dan membuka sehingga 700 peluang pekerjaan dalam tempoh empat tahun akan datang.

“Kami mempunyai aspirasi pertumbuhan yang hebat untuk Graphjet Technology dan tidak akan terhenti dengan satu kilang sahaja.

“Kami menjangkakan produk pertama ditawarkan pada suku pertama 2025 dan memberi manfaat kepada pelanggan di seluruh Asia, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) dalam perniagaan automotif dan tenaga boleh baharu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Aiden Lee Ping Wei menyatakan keyakinan bahawa pembangunan kemudahan pengeluaran di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu akan memberikan kesan ekonomi yang hebat kepada masyarakat tempatan.

“Projek kami akan menerajui serta memacu inovasi dan pelaburan dalam industri tenaga baharu hiliran. Ini akan berperanan penting dalam memajukan pembangunan teknologi baharu, bahan masa depan dan industri tenaga di Malaysia.

“Kami yakin pelaburan kami akan mempunyai kesan yang penting dan boleh digunakan secara meluas selain impak limpahan positif dalam negara,” katanya.

Sumber: Bernama

Graphjet Technology bina kemudahan RM400 juta di Kuantan


Content Type:

Duration:

NCT Group of Companies (NCT Group) bekerjasama dengan Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) untuk meningkatkan peluang pelaburan daripada pelabur tempatan dan antarabangsa melalui projek NCT Smart Industrial Park (NSIP) yang terletak di Selangor.

Menurut NCT Group dalam kenyataan hari ini, taman perindustrian terurus itu disasarkan untuk mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan apabila siap. Ia akan menjadi hab global untuk industri semikonduktor, elektronik dan elektrik serta farmaseutikal.

“Kemampanan adalah teras NSIP dan projek itu merangkumi nilai alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” kata Pengurus Besar (Jualan dan Pemasaran) NCT Group dan Ketua Projek NSIP Eddy Lim Swee Shien.

Syarikat itu bekerjasama dengan kerajaan Hainan untuk menarik pelabur melabur dalam hartanah dan pembangunan NCT di bawah NSIP.

NCT turut bekerjasama rapat dengan cabang pelaburan kerajaan negeri, Invest Selangor, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk memberi pendedahan projek dengan memanfaatkan kumpulan pelabur dan rangkaian mereka.

Pembersihan tapak bermula pada awal bulan ini dan fasa 1A NSIP telah ditempah sepenuhnya. Terletak di Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS), ia dibangunkan sebagai pembangunan berteraskan Revolusi Perindustrian Keempat.

Pada Persidangan Usahawan Malaysia-China ke-12 (MCEC 2022) baru-baru ini, Lim berkata NSIP dibangunkan dengan kriteria penilaian GreenRE.

Beliau berkata projek itu disokong oleh Telekom Malaysia Bhd, Solarvest Holdings Bhd dan Samaiden Group Bhd serta penggiat lain yang sejajar dengan visi NCT untuk menyumbang ke arah mengurangkan jejak karbon industri.

Katanya NCT telah meningkatkan pendigitalan kemudahan NSIP secara menyeluruh melalui kerjasama dengan pemain industri untuk menampilkan infrastruktur termaju, analisis data terkini, kecerdasan buatan dan teknologi ‘Internet of Things’ untuk meningkatkan produktiviti dan memaksimumkan pulangan ke atas pelaburan pelabur.

“Terdapat ciri-ciri pencegahan banjir dan sistem trafik pintar di dalam dan sekitar kemudahan itu untuk mengurus aliran trafik dengan lebih baik,” katanya.

Sumber: Bernama

NCT Industrial Park akan tingkatkan pelaburan daripada pelabur tempatan dan asing


Content Type:

Duration:

Duopharma Biotech Bhd (Duopharma) mengukuhkan lagi penguasaannya apabila menjadi syarikat farmaseutikal pertama menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi produk onkologi.

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma, Leonard Ariff Abdul Shatar, berkata produk onkologi itu pada masa ini diluluskan sebagai rawatan tambahan untuk wanita menopause dengan kanser payudara awal serta rawatan barisan pertama untuk wanita menopause dengan kanser payudara lanjutan.

Beliau berkata, produk itu dihasilkan di kemudahan bahan farmaseutikal aktif (HAPI) Duopharma di Glenmarie, Shah Alam.

Produk onkologi kumpulan itu, katanya ketika ini dibekalkan kepada hospital kerajaan dan swasta di Malaysia serta telah menerima kelulusan untuk dieksport ke Brunei dan Singapura.

“Kumpulan juga sedang berusaha berterusan menyediakan pengguna dan pesakit dengan akses kepada ubat-ubatan dan terapi yang dijamin selamat untuk digunakan dan berkesan, berkualiti tinggi, bersih dan halal.

“Kemudahan HAPI kami yang dilengkapi dengan teknologi baharu memainkan peranan penting dalam memerangi pelbagai penyakit. Ia membolehkan kami menerima inovasi dan teknologi untuk memenuhi keperluan pesakit dan meluaskan akses kepada terapi khusus,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Pensijilan halal itu diserahkan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Tuan Bukhari Md Akhir kepada Ketua Pegawai Eksekutif (Komersial) Duopharma, Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid.

Leonard Ariff berkata, Duopharma berhasrat untuk menghasilkan rangkaian holistik produk yang selamat, berkesan dan berkualiti serta diperakui halal untuk meningkatkan keterangkuman dalam penjagaan kesihatan.

Beliau berkata, ia sekali gus membolehkan semua pesakit mempunyai pilihan dalam terapi dan ubat yang mereka perlukan untuk kesejahteraan.

Sumber: Berita Harian

Duopharma syarikat pertama dapat sijil halal produk onkologi


Content Type:

Duration:

Koa Denko (Malaysia) Sdn Bhd, pengeluar komponen mikrocip yang berpengkalan di Jepun meningkatkan modal pelaburannya berjumlah RM750 juta merangkumi pembinaan kilang baharunya di Ayer Keroh di sini dalam tempoh lima tahun bermula tahun hadapan.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata modal yang dipertingkatkan itu menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan syarikat itu sebanyak RM1 bilion dalam tempoh kira-kira 50 tahun beroperasi di Melaka.

Beliau berkata Koa Denko di Melaka menyumbang 20 peratus daripada jumlah keluaran mikrocip di seluruh dunia bagi membantu perkembangan teknologi baharu dan produk keluaran syarikat itu yang dieksport antaranya ke Amerika Syarikat, Hong Kong, China, Jerman, Singapura dan Vietnam.

“Permintaan serta penawaran bagi industri ini adalah amat baik sehingga syarikat ini mengambil keputusan mengembangkan operasinya menerusi pembinaan kilang baharu dan asrama pekerja di Ayer Keroh.

“Kita menjangkakan nilai produksi kilang ini berjumlah RM180 juta setahun pada waktu ini dan akan meningkat kepada RM1 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang setelah siapnya pembinaan kilang baharu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Penyewaan Asrama Pekerja Zon Industri Ayer Keroh Baharu antara Koa Denko (Malaysia) Sdn Bhd dan PDG Asset Sdn Bhd.

Ab Rauf berkata pembinaan kilang baharu itu juga dijangka bakal menawarkan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan khususnya kepada penduduk Melaka dan sehingga kini sebanyak 823 pekerja termasuk 565 warga tempatan bekerja di kilang tersebut yang beroperasi di Batu Berendam.

Beliau berkata selain itu, syarikat tempatan juga berpeluang menjadi vendor kepada kilang itu untuk membekalkan peralatan atau mesin bagi pengeluaran produk mereka.

“Saya juga dimaklumkan Koa Denko (Malaysia) Sdn Bhd dijangka mewujudkan pusat logistik di negeri ini sebagai hab pengedaran mikrocip keluaran mereka khususnya bagi kegunaan kenderaan elektrik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Melaka menyasarkan menarik pelaburan asing khususnya untuk sektor automotif, kaca dan pembinaan pusat data yang berjumlah RM6 bilion pada tahun hadapan.

“Kita optimis akan dapat mencapai sasaran nilai pelaburan RM6 bilion pada tahun hadapan memandangkan sasaran nilai pelaburan RM5 bilion pada tahun ini hampir dicapai.

“Antara pelabur asing yang dijangka mengesahkan pelaburan mereka ialah Taiwan, Jerman dan Korea,” katanya. 

Sumber: Bernama

Koa Denko Tambah Modal Pelaburan Bernilai RM750 Juta Di Melaka


Content Type:

Duration:

Industri sawit perlu sentiasa bersedia untuk menerima perubahan dari segi penggunaan teknologi baharu dalam era penuh mencabar serta dapat meningkatkan kecekapan dan pengeluaran, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata perubahan itu termasuk menggunapakai konsep Revolusi Industri Keempat (IR4.0), penggunaan kecerdasan pintar (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT) seperti teknologi pendigitalan dan automasi dalam penambahbaikan proses pengilangan sedia ada.

“Konsep kilang sawit pintar berteraskan pembuangan sifar merupakan hala tuju industri sawit dan ini mampu memberi dimensi baharu dalam sektor pengilangan, terutama dari segi aspek kecekapan dan pemantauan operasi yang berterusan serta mesra pengguna.

“(Antara) kilang sawit pintar dibangunkan adalah atas inisiatif Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan kerjasama pihak industri iaitu Fusionex Group,” katanya dalam ucapan perasmian Seminar Kebangsaan Mengenai Alam Sekitar, Kualiti Pengilangan dan Penapisan Minyak Sawit 2022 (POMREQ 2022) di sini, hari ini.

Ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Zurinah Pawanteh.

Fadillah juga menyarankan supaya usaha mengurangkan jejak karbon bagi produk sawit dititikberakan sejajar dengan perkembangan dan permintaan produk mesra alam yang telah menjadi permintaan pasaran antarabangsa.

Ini juga seiring dengan komitmen Malaysia dalam mencapai sasaran Pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) sifar bersih seawal-awalnya pada 2050.

Berikutan itu, kata beliau, industri sawit mempunyai peranan yang penting terutamanya meningkatkan usaha pemerangkapan biogas di kilang sawit. 

“MPOB misalnya telah membangunkan teknologi pemerangkapan biogas dan bekerjasama dengan pihak industri untuk meluaskan aplikasi biogas. 

“Mengikut data MPOB setakat 2021, sejumlah 135 buah kilang sawit yang telah memasang sistem biogas iaitu 30 peratus daripada jumlah kilang sawit sedia ada manakala 15 buah kilang dalam proses pembinaan dan 130 buah kilang dalam perancangan pemasangan sistem biogas,” katanya.

Dalam pada itu, Fadillah turut berkongsi mengenai populariti minyak sawit keledak bagi pasaran eksport terutama ke negara-negara Eropah sebagai bahan mentah untuk pengeluaran biobahan api.

“Minyak sawit berkualiti rendah dari kilang sawit yang perlu diasingkan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti minyak sawit secara keseluruhan tetapi mampu memberi pendapatan tambahan dengan mengeksport minyak keledak tersebut.

“Ia boleh dijadikan bahan mentah untuk penghasilan biodiesel dan biojet bagi industri penerbangan.

“Menerusi usaha ini juga, kualiti minyak sawit boleh ditingkatkan dan isu bahan cemar dalam minyak sawit bertapis boleh ditangani bersama oleh pihak industri dan kerajaan dengan menggunapakai teknologi yang sedia ada,” katanya.

Sumber: Bernama

Industri sawit perlu sedia terima perubahan penggunaan teknologi baharu


Content Type:

Duration:

PEMBINAAN kilang sawit pintar hasil inisiatif Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan kerjasama Fusionex Group, dijangka siap pada akhir 2024 dan mula beroperasi pada awal 2025.

Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata pembinaan kilang berkeluasan 10 hektar di Keratong, Pahang, dijangka mengambil masa kira-kira 18 bulan.

“Kerjasama pembinaan kilang berkapasiti 30 tan sejam di Stesen Penyelidikan MPOB, adalah dengan menggunapakai teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Revolusi Industri 4.0 dalam penghasilan minyak sawit mentah (MSM).

“Konsep kilang ini dapat menghasilkan tenaga kerja mahir cekap dalam penggunaan sistem automasi dalam kilang sawit, menghasilkan MSM secara efektif dan produktif serta membangunkan teknologi pengurusan sisa buangan sawit yang mesra alam,” katanya pada sidang media selepas perasmian Seminar Kebangsaan Mengenai Alam Sekitar, Kualiti Pengilangan dan Penapisan Minyak Sawit 2022 (POMREQ 2022) di sini, semalam.

Mengulas manfaat kilang pintar itu, Ahmad Parveez berkata, tenaga kerja manual seperti pengambilan sampel bagi tujuan pengujian dapat dikurangkan hingga 30 peratus.

Konsep kilang itu juga berbentuk modular yang boleh digunapakai oleh kilang syarikat lain yang mahu meningkatkan kecekapan tanpa perlu pengubahsuaian keseluruhan kilang.

“Dari segi pengeluaran, kita jangkakan bahawa kadar perahan minyak (OER), dapat ditingkatkan sehingga 22-23 peratus iaitu melebihi 19-20 peratus kadar purata ketika ini,” katanya.

Menyentuh isu kekurangan tenaga kerja di ladang sawit, Ahmad Parveez berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kemasukan terbabit biarpun jumlahnya masih belum mencukupi.

Beliau berkata, bilangan pengurangan tenaga kerja adalah sebanyak 200,000 sedangkan kemasukan yang dilaporkan oleh Persatuan Minyak Sawit Malaysia adalah dalam belasan ribu orang.

“Saya berharap jika tidak semua, sekurang-kurangnya isu kekurangan tenaga kerja ini dapat diselesaikan pada tahun depan.

“Kita juga akan sentiasa berhubung dengan negara sumber lain seperti India, Bangladesh dan Nepal serta kurangkan kebergantungan kepada negara sebelum ini seperti Indonesia,” katanya.

minyak makanan di dunia yang dikuasai oleh sawit dan sebarang kemungkinan akan banyak beri kesan kepada harganya,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Kilang sawit pintar siap 2024


Content Type:

Duration:

Vinda Group Southeast Asia (Vinda SEA), unit Vinda International Holdings Ltd yang disenaraikan di Hong Kong menjangka kapasiti pengeluaran serantaunya akan meningkat sebanyak 20 peratus dengan pembukaan hab serantau baharu bernilai RM600 juta di Bukit Raja, dekat Klang.

Presiden Vinda SEA, Su Ting Nee berkata pada masa ini syarikat itu mengeluarkan kira-kira satu bilion keping produk kebersihan setiap tahun dengan 65 peratus daripada jumlah pengeluaran adalah untuk pasaran di Malaysia.

Beliau berkata, hab serantau baharu itu akan membangunkan, mengeluarkan dan memasarkan tiga kategori produk berbeza, termasuk penjagaan bayi, penjagaan inkontinens dan penjagaan kewanitaan.

Beliau berkata kemudahan lima dalam satu itu yang terletak di tapak seluas 12.14 hektar itu terdiri daripada pejabat ibu pejabat, kilang pembuatan, gudang, pusat pengedaran serta pusat inovasi, yang juga satu-satunya di luar China.

“Hab Selangor ini akan memberi perkhidmatan kepada lebih 25 pasaran Asia dan menggunakan konsep Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

“Ia meningkatkan keberkesanan pada setiap peringkat rantaian bekalan dan meningkatkan kecekapan sambil pada masa yang sama mengurangkan kos pengeluaran,” katanya kepada media selepas pelancaran rasmi Hab Serantau Vinda Group Southeast Asia di sini, hari ini.

Su berkata, syarikat itu juga akan membangunkan tambahan 8.09 hektar dalam tempoh lima tahun akan datang untuk pengembangannya di Asia Tenggara.

Sumber: Bernama

Vinda SEA buka hab pengeluaran serantau di Malaysia


Content Type:

Duration:

PETRONAS, Eni S.p.A (Eni) dan Euglena Co Ltd (Euglena) mengumumkan mereka bersama-sama mengkaji kemungkinan membangunkan dan mengendalikan kilang penapisan bio di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), salah satu pembangunan penapisan dan petrokimia bersepadu terbesar di Asia Tenggara.

Menurut PETRONAS dalam satu kenyataan hari ini, ketiga-tiga pihak kini sedang menjalankan penilaian kebolehlaksanaan teknikal dan ekonomi bagi projek yang dicadangkan, dengan keputusan pelaburan dijangka dicapai menjelang 2023 dan loji itu disasarkan siap menjelang 2025.

Katanya, terletak bersebelahan dengan kemudahan penapisan dan petrokimia bersepadu sedia ada PETRONAS, kilang penapisan bio itu akan dapat memanfaatkan rantaian nilai bersepadu syarikat serta utiliti dan kemudahan sedia ada di dalam PIC.

“Lokasi strategik kompleks dengan akses mudah ke laluan perkapalan antarabangsa utama juga akan meningkatkan keupayaan kilang penapisan yang dirancang untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian mampan di seluruh dunia.

“Kilang penapisan bio ini dijangka mempunyai konfigurasi yang fleksibel untuk memaksimumkan pengeluaran Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF) untuk pesawat serta Minyak Sayuran Terhidrogenasi (HVO) untuk kenderaan atas jalan, kereta api berkuasa diesel dan pengangkutan marin.

“Fleksibiliti ini akan membolehkan pengeluaran untuk memenuhi permintaan tenaga pelanggan yang sentiasa berubah dan berkembang,” katanya.

Kilang penapisan bio itu juga dijangka mempunyai keupayaan untuk memproses kira-kira 650,000 tan setahun bahan mentah untuk menghasilkan sehingga 12,500 tong sehari biobahan api, iaitu SAF, HVO, dan bio-naphtha.

Bahan mentah yang akan digunakan tidak akan bersaing dengan bahan dalam rantai makanan seperti minyak sayuran terpakai, lemak haiwan, sisa daripada pemprosesan minyak sayuran, dan biojisim lain termasuk minyak mikroalga yang akan diterokai dalam jangka pertengahan.

Naib Presiden, Penapisan, Pemasaran dan Perdagangan perniagaan Hiliran PETRONAS, Ahmad Adly Alias, berkata kerjasama itu penting untuk menyerlahkan kekuatan masing-masing dan bersama-sama mengukuhkan kedudukan PETRONAS dalam bidang bahan api bio di Malaysia serta seluruh dunia.

“Ini memandangkan PETRONAS terus melakar laluannya ke dalam ruang bahan api bio, menyahkarbon dan mempelbagaikan portfolio pengeluarannya untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat bagi penyelesaian mampan,” katanya.

PETRONAS ialah syarikat tenaga Asia pertama yang mengisytiharkan Pelepasan Sifar Karbon Bersih menjelang 2050 dan baru-baru ini terbabit dalam perkongsian untuk membekalkan SAF untuk penerbangan kargo dan penumpang komersial pertama Malaysia Airlines menggunakan pilihan bahan api yang lebih bersih serta berdaya maju.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi untuk Evolusi Tenaga Eni, Giuseppe Ricci, berkata untuk projek penapisan bio yang dibangunkan bersama Euglena dan PETRONAS di Malaysia, pihaknya berbesar hati untuk berkongsi pengalaman dan teknologi maju yang membolehkan syarikat itu melakukan penukaran pertama di dunia daripada kilang penapisan kepada kilang penapisan bio di Porto Marghera (Venice) pada 2014, dan merasmikan penapisan kedua di Gela, Sicily pada 2019.

Pengasas dan Presiden Euglena, Mitsuru Izumo, pula berkata projek ini adalah langkah penting untuk pengkomersilan perniagaan biofuel syarikat dan cabaran untuk mempercepatkan penggunaan biofuel serta penyahkarbonan di Jepun.

“Saya amat teruja dengan peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi yang hebat dalam kepakaran masing-masing dan melangkah bersama untuk masa depan yang lebih cerah dan bersih,” katanya.

Sumber: Berita Harian

PETRONAS rancang kilang penapisan bio di Pengerang


Content Type:

Duration:

Kerajaan Negeri Melaka akan mewujudkan sebuah kawasan industri baharu bertaraf dunia di Alor Gajah dalam masa terdekat bagi menarik syarikat bertaraf Fortune 500 untuk melabur di negeri berkenaan pada tahun depan.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kawasan perindustrian baharu itu membabitkan keluasan kira-kira 2,023 hektar.

Beliau berkata kemudahan berkenaan boleh dijadikan tawaran baharu kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai satu daripada insentif yang boleh diberikan kepada pelabur.

“Pilihan (untuk melabur) ke Melaka ialah satu pilihan (baharu) kerana Melaka ada kawasan industri terancang (bertaraf dunia),” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Ab Rauf menjawab soalan tambahan dikemukakan Fairul Nizam Roslan (BN-Asahan) yang ingin tahu langkah diambil kerajaan negeri untuk menarik pelabur ke Melaka pada tahun depan.

Menjawab soalan asal Fairul Nizam mengenai nilai pelaburan luar negeri di Melaka hingga November 2022, Ab Rauf berkata kerajaan Persekutuan masih belum memuktamadkan data bagi tempoh itu.

“Namun setakat Jun, jumlah nilai pelaburan di Melaka yang diluluskan MIDA berjumlah RM3.24 bilion merangkumi pelbagai sektor premier seperti pertanian, perikanan, perladangan dan komoditi, pembuatan dan perkhidmatan,” katanya.

Mengenai peluang pekerjaan diwujudkan hasil pelaburan itu, beliau berkata merujuk kepada portal MYFutureJobs Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hingga 17 November, terdapat 8,169 kekosongan aktif merangkumi sektor premier berkenaan.

Sumber: Bernama

Melaka Wujud Kawasan Perindustrian Bertaraf Dunia Di Alor Gajah


Content Type:

Duration:

Pengeluar substrat pembungkusan semikonduktor dan papan litar bercetak (PCB) bernilai tinggi yang berpangkalan di Korea Selatan Simmtech, bersedia mempercepatkan pengembangan barisan pengeluarannya di Pulau Pinang dengan pelaburan fasa kedua sebanyak US$50 juta (U$1 = RM4.4250).
Projek pengembangan itu dijangka siap menjelang suku pertama 2023.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), InvestPenang, dan Simmtech berkata dalam satu kenyataan bersama bahawa dalam rancangan awal, syarikat itu telah merancang untuk pengembangan fasa kedua lima tahun di unit tempatannya Sustio Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Simmtech berkata ia memutuskan untuk mempercepatkan pelan pengembangannya kepada 2023.

Pengembangan itu akan menggandakan kapasiti pengeluaran PCB interkoneksi berketumpatan tinggi sambil mewujudkan tambahan 400 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, serta melibatkan kerjasama dengan syarikat tempatan untuk meningkatkan program tempatan mereka bagi meningkatkan ekosistem semikonduktor negara, menurut kenyataan itu.

Pengarah Urusan Simmtech Asia Tenggara Jeffery Chun berkata keputusan pengembangan itu adalah bukti keazaman pihak pengurusan untuk melabur di Malaysia, selain kejayaan pembukaan kilang pertamanya di Batu Kawan, yang merupakan hab semikonduktor global yang pesat membangun.

Awal tahun ini, Simmtech telah melabur US$150 juta untuk menyiapkan tapak pembuatan Sustio seluas 7.28 hektar, yang telah pun memulakan pengeluarannya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang baharu dilantik Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata perkembangan pantas anak syarikat Simmtech di Malaysia itu membuktikan Malaysia terus menjadi destinasi pilihan untuk pelaburan bernilai tinggi berikutan kedudukan strategik industri dalam rantaian nilai elektrik dan elektronik global.

Projek pengembangan ini juga menyokong Dasar Pelaburan Baharu negara, yang matlamatnya termasuk memupuk pelaburan inovatif, berimpak tinggi dan berteknologi tinggi yang membantu mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi, seterusnya menjadi kunci kepada peningkatan sosio-ekonomi jangka panjang negara dan pertumbuhan mampan, katanya dalam kenyataan yang sama.

Sumber: Bernama

Simmtech percepat pengembangan P. Pinang dengan pelaburan fasa 2 berjumlah US$50 juta


Content Type:

Duration:

Syarikat automasi berpangkalan di Amerika Syarikat, Lanco Integrated, menjangka kilang pembuatannya yang baru dilancarkan di Taman Perindustrian Batu Kawan (BKIP) di sini akan mula melakukan penghantaran produk pada akhir tahun ini.

Naib presiden jualan dan pemasarannya Barry Rahimian berkata pembinaan kilang baharu itu yang juga menandakan pemindahan ibu pejabatnya di Asia ke Pulau Pinang dari Hong Kong, akan memasang, mereka bentuk dan membina sistem pemasangan automasi siap guna tereka bentuk mengikut pesanan.

“Sistem itu digunakan dalam pelbagai industri termasuk industri perubatan, industri komersial, automotif, aeroangkasa, produk pengguna dan banyak lagi.

“Kira-kira US$3 juta diperuntukkan bagi pembinaan kilang ini dan ia dijangka mewujudkan kira-kira 15 hingga 20 peluang pekerjaan,” katanya kepada pemberita pada majlis pembukaan rasmi kilang tersebut di sini, hari ini.

Mengulas mengenai alasan di sebalik pemindahan ibu pejabat Asianya, Rahimian berkata Pulau Pinang menawarkan platform menyeluruh yang disokong oleh tenaga kerja serba boleh, infrastruktur yang meyokong dan kluster industri kukuh.

Menurutnya, ini akan membolehkan pemain industri menikmati manfaat besar dari segi kelebihan operasi.

“Kami percaya kilang ini akan memainkan peranan penting dalam menjadikan Lanco sebagai syarikat automasi utama untuk menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata terdapat perancangan untuk mengembangkan kilang pembuatan itu serta membuka pejabat jualan dan perkhidmatan di Malaysia dan rantau ini seperti di Thailand, Filipina, Singapura dan Vietnam dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Sementara itu, exco perdagangan, industri dan pembangunan keusahawanan Pulau Pinang Datuk Abdul Halim Hussain berkata negeri itu berbesar hati menjadi lokasi pilihan bagi kilang pembuatan baharu Lanco itu.

Sumber: Bernama

Kilang baharu Lanco Integrated akan mula lakukan penghantaran produk menjelang akhir tahun


Content Type:

Duration:

Proton Holdings Bhd (Proton) berjaya mencatat jualan sebanyak 126,682 unit setakat tahun ini iaitu 10.4 peratus lebih tinggi berbanding 114,708 unit jualan bagi keseluruhan 2021.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Roslan Abdullah berkata November terbukti menjadi bulan penuh peristiwa bagi Proton apabila pengeluar kereta nasional itu mengalami isu bekalan sementara yang menyebabkan jualan susut sebanyak 13.1 peratus kepada 11,316 unit berbanding Oktober.

“Kami yakin dapat memperbetulkan semula keadaan pada Disember dan mengakhiri 2022 dengan pertumbuhan jualan bagi tahun keempat berturut-turut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Proton telah menetapkan sasaran jualan sebanyak 150,000 unit bagi 2022.

Roslan berkata sejajar dengan pengenalan model baharu yang dirancang untuk 2023, Proton berharap dapat meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi Malaysia dengan mencatat lebih banyak pelaburan tempatan, menjual lebih banyak kenderaan dan mengembangkan lagi pasaran eksport.

Dalam pada itu, Proton baru-baru ini meraikan pengeluaran enjin 1.5 TGDI ke-10,000 di barisan pemasangan enjin Tanjung Malim baharunya pada 1 Disember lepas.

Pencapaian tersebut hanya mengambil masa selama tujuh bulan selepas pengeluaran unit pertama pada April tahun ini.

“Barisan enjin baharu Proton ini menjadi bukti ketabahan dan keazaman pekerja kami untuk mengatasi halangan dan mencapai matlamat.

“Pada 2023, kami menyasarkan pengeluaran sebanyak 60,000 enjin yang akan digunakan dan merentasi beberapa model Proton,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Li Chunrong.

Sumber: Bernama

Proton catat jualan 10.4 peratus melebihi prestasi 2021


Content Type:

Duration:

Mattel Inc yang disenaraikan di Nasdaq menyasarkan unit tempatannya, Mattel Malaysia Sdn Bhd (MMSB), mengeluarkan lebih setengah bilion kereta mainan Hot Wheels setahun menjelang 2025, peningkatan pengeluaran sebanyak 20 peratus berikutan langkah pengembangannya yang dijangka selesai pada Januari tahun depan.

Naib Presiden Kanan bagi Pembuatan Global dan Operasi Asia Mattel, Soo Teck Heng, berkata MMSB kini mengendalikan kilang pembuatan Hot Wheels terbesar di dunia dan satu-satunya pengeluar kereta tunggal Hot Wheels di dunia, kereta mainan paling laris di dunia pada 2021.

“Pada masa ini, kilang ini mempunyai purata kapasiti pengeluaran kira-kira sembilan juta kereta seminggu atau kira-kira 440 juta kereta setahun, dan peningkatan pengeluaran sebanyak 20 peratus itu akan menghasilkan lebih setengah bilion kereta.

“Kami memilih Malaysia kerana ia memiliki tahap automasi dan inovasi, ditambah pula dengan tenaga kerja yang berbakat,” katanya kepada pemberita pada sambutan ulang tahun ke-40 Mattel, di sini, hari ini.

Teck Heng berkata, Malaysia memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan Mattel bagi operasi pembuatan, peralatan dan operasi komersial.

Pada masa ini, MMSB memiliki hampir 3,900 pekerja dan pengembangan kilangnya dianggarkan meningkatkan jumlah tenaga kerja sebanyak kira-kira 10 peratus kepada hampir 4,300 pekerja.

Menurutnya, pengembangan itu juga akan memberi manfaat kepada Mattel Development and Tooling Sdn Bhd, kilang kedua Mattel di Malaysia dengan kemudahan canggih bagi pembangunan produk, pembuatan model digital, reka bentuk acuan, dan pembuatan, yang ditubuhkan pada 1985.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, yang turut hadir pada majlis itu, berkata keputusan Mattel untuk terus melabur di Pulau Pinang adalah petunjuk kukuh usaha dan komitmen negeri itu dalam membangunkan persekitaran mesra kepada pemain industri dan menerajui perindustrian.

“Selama bertahun-tahun, Mattel juga berjaya membangunkan ekosistem yang berkembang maju untuk industri kereta mainan di Zon Perdagangan Bebas Perai. Kami amat berbesar hati melihat kesan limpahan positif yang dibawa Mattel kepada syarikat tempatan,” katanya.

Sumber: Bernama

Mattel sasar keluarkan 500 juta kereta Hot Wheels setahun di Malaysia


Content Type:

Duration:

Ia adalah kemuncak tahun yang hebat untuk jualan kereta!

Malaysia kini bersedia mencatat rekod tertinggi dalam jumlah volum industri (TIV) tahun ini, dicetuskan oleh angka tempahan awal yang kukuh dan permintaan yang mampan.

Jualan kereta dan tempahan terkumpul yang direkodkan oleh beberapa jenama pada separuh pertama (H1) 2022 jauh melebihi unjuran awal mereka, hasil daripada persekitaran kadar faedah yang rendah serta pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) adalah yang paling bersinar, berjaya menjual 127,343 unit pada H1 2022, lonjakan sebanyak 30 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Pembuat kereta itu juga menerima jumlah tempahan melebihi 200,000 unit sepanjang 2022 berikutan pengecualian SST oleh kerajaan.

Ia melaporkan tempahan dalam sehari yang tertinggi yang belum pernah berlaku sebelum ini, dengan 25,100 tempahan diterima pada 30 Jun, 2022, iaitu tarikh akhir untuk inisiatif SST.

Manakala Proton Holdings Bhd merekodkan jumlah jualan sebanyak 60,124 unit pada H1 2022, meningkat 3.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Syarikat kereta nasional itu menerima tempahan yang melonjak sebanyak 300 peratus pada minggu terakhir sebelum pengecualian SST berakhir pada 30 Jun, 2022 berbanding pada minggu biasa.

Prestasi Mantap Separuh Kedua  

Pada 21 Julai, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menaikkan unjuran TIV 2022 sebanyak 5.0 peratus kepada 630,000 unit kereta, berbanding anggaran 600,000 unit sebelum ini, berikutan permintaan terpendam untuk kereta baharu pada separuh pertama.

Semakan menaik oleh MAA bagi unjuran TIV automotif Malaysia 2022 disebabkan terutamanya oleh pemulihan berterusan ekonomi Malaysia selepas pandemik, dan keputusan Kementerian Kewangan untuk melanjutkan tarikh akhir pendaftaran kereta kepada 31 Mac, 2023.

Ini membolehkan pembeli kereta yang telah menempah kenderaan sebelum 30 Jun, 2022 menikmati pengecualian cukai jualan.

Data daripada MAA menunjukkan TIV untuk 10 bulan pertama 2022 (Januari-Oktober) meningkat 50 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada 577,902 unit.

Prestasi TIV pada Januari-Oktober 2022 didorong oleh jualan yang lebih tinggi dalam segmen bukan nasional (+60.5 peratus tahun ke tahun) diterajui oleh jenama Jepun, manakala Perodua dan Proton mencatatkan pertumbuhan TIV sebanyak 44.1 peratus tahun ke tahun.

Perodua mencatatkan sejumlah 222,203 kenderaan awal tahun sehingga kini (YTD) setakat akhir Oktober, meningkat 51.2 peratus daripada 146,951 unit yang dijual dalam tempoh yang sama pada 2021.

Dari awal tahun hingga akhir November, ia menjual 250,795 unit, melepasi sasaran setahun penuh sebanyak 247,800 unit yang diumumkan awal tahun ini, sekali gus merupakan pencapaian jualan tertinggi bagi syarikat itu setakat ini.

Syarikat kereta kompak itu menjangkakan pendaftaran kenderaannya meneruskan momentum optimis sehingga hujung tahun, didorong oleh tiga model utamanya — Bezza, Myvi dan Axia, serta kenderaan pelbagai guna segmen-B iaitu Alza serba baharu.

Proton juga nampaknya ‘terlebih laju’ tahun ini. Pembuat kereta nasional itu menyerahkan 115,366 unit YTD setakat akhir Oktober, mengatasi 114,708 unit yang dicapai untuk keseluruhan 2021, merekodkan peningkatan sebanyak 33.6 peratus setakat ini bagi sepuluh bulan pertama 2022.

Model Saga merupakan produk syarikat paling laris dengan jualan YTD (termasuk eksport) mencecah 45,865 unit sehingga akhir Oktober 2022, diikuti oleh X50 (33,193 unit) dan X70 (15,536 unit).

Proton sebelum ini menyasarkan untuk mendaftarkan sejumlah 150,000 unit kenderaan pada 2022.

Sementara itu, Toyota mengekalkan kedudukan pendahulu untuk jenama bukan nasional dengan penguasaan pasaran sebanyak 13.7 peratus bagi tempoh Januari-Oktober 2022 dan kini mendahului sasaran jualannya sebanyak 80,000 unit pada tahun ini.

Jenama lain seperti Honda, Hyundai, Nissan, Mazda, dan BMW juga melaporkan peningkatan jualan yang menggalakkan dari tahun ke tahun kerana kesan asas yang rendah dan dilaporkan tidak akan menghadapi masalah untuk mencapai sasaran jualan masing-masing tahun ini.

Bagaimanapun, tempahan kenderaan dalam beberapa bulan yang tinggal mungkin lemah berikutan masalah ekonomi makro seperti penyusutan nilai ringgit, kenaikan kadar faedah, kekurangan cip dan komponen yang berterusan, serta tekanan inflasi.

Beberapa jenama kereta mungkin melancarkan model baharu atau model yang dinaik taraf dan menawarkan diskaun akhir tahun bagi memikat hati pengguna, manakala pengeluar peralatan asal mempercepatkan pengeluaran, import dan penghantaran dalam memenuhi pesanan tertunggak yang tinggi.

Penganalisis automotif kekal yakin pada baki bulan terakhir mengenai momentum penghantaran kenderaan yang mampan dan ada yang meramalkan bahawa TIV untuk 2022 mencatatkan rekod tertinggi, jauh lebih baik daripada unjuran TIV MAA sebanyak 630,000 unit.

Firma penyelidikan seperti Kenanga Research mengunjurkan TIV kali ini memecah rekod 2022 kepada 680,000 unit daripada unjuran awalnya sebanyak 650,000 unit, manakala Hong Leong Investment Bank Research menaikkan sasaran TIV 2022 kepada 700,000 unit berbanding 600,000 unit.

Dari segi perspektif, TIV automotif Malaysia berjumlah 508,911 unit pada 2021. Ia menurun sebanyak 12.4 peratus kepada 529,434 unit pada 2020, lebih rendah pada paras prapandemik sebanyak 604,281 unit pada 2019.

Melangkah ke hadapan, kenderaan elektrik (EV) dijangka melatari tema dan pemangkin industri automotif tahun depan dan tahun-tahun seterusnya.

Ini kerana lebih banyak dana dan insentif cukai diperuntukan kepada segmen itu dan teknologi hijau, bagi memenuhi sasaran pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050 dan agenda kelestarian yang dijangka diperkenalkan atau dilanjutkan.

Sumber: Bernama

Sektor Automatif Memuncak Tahun Ini, Pecah Rekod TIV


Content Type:

Duration:

Kerajaan Perak dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) akan melaksanakan projek pembangunan penginapan pekerja berpusat (CLQ) di beberapa kawasan perindustrian di negeri ini yang mampu menempatkan 12,000 pekerja asing menjelang 2027.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata projek perintis CLQ akan dilaksanakan di kawasan perindustrian di Jelapang di sini, yang akan dijadikan penanda aras bagi membangunkan projek CLQ di sekitar kawasan perindustrian berskala besar dengan bilangan pekerja asing yang tinggi.

“Sebagai contoh projek CLQ ini akan dilaksanakan di Kawasan Estet Perindustrian Kerian, Taman Perindustrian Kamunting, Silver Valley Technology Park, Kawasan Perindustrian Daerah Kinta, Taman Perindustrian Bemban serta Seri Iskandar.

“Pelaksanaan projek CLQ ini menandakan komitmen kerajaan negeri untuk mengorak langkah ke hadapan untuk terus menyokong kadar pertumbuhan pesat pembangunan perindustrian di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek CLQ di Asrama Murni, Persiaran Jelapang di sini hari ini.

Saarani berkata projek CLQ dibina dan diuruskan dengan mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang memberi penekanan terhadap kesejahteraan pekerja termasuk menetapkan piawaian minimum perumahan bagi golongan pekerja.

Beliau berkata projek tersebut menawarkan standard tinggi dan perkhidmatan nilai tambah dengan lebih banyak syarikat antarabangsa dan domestik untuk menyokong manfaat CLQ seterusnya mampu mendapatkan lebih banyak penyewa untuk fasa masa hadapan.

“Projek perintis CLQ ini sejajar dengan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang bersandarkan kepada lima prinsip asas dalam usaha memacu pembangunan sosioekonomi mapan, inklusif dan dinamik,” katanya yang tidak mendedahkan kos pembangunan keseluruhan projek CLQ berkenaan.

Sumber: Bernama

Perak laksana projek CLQ tempatkan pekerja asing menjelang 2027


Content Type:

Duration:

Kawasan perindustrian yang lengkap dengan kemudahan asrama pekerja dan harga tanah industri yang jauh lebih murah berjaya menarik jumlah pelaburan yang lebih tinggi ke Johor berbanding Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian serta Industri Kecil dan Sederhana negeri Datuk Teng Chang Khim berkata bagi tempoh Januari hingga Jun lepas, Selangor merekodkan pelaburan berjumlah RM4.88 bilion manakala Johor pula merekodkan pelaburan berjumlah RM6.67 bilion.

Bagaimanapun, katanya dari segi jumlah kelulusan projek perkilangan, Selangor merekodkan jumlah yang tertinggi berbanding Johor dan negeri-negeri lain iaitu sebanyak 118 projek berbanding Johor sebanyak 68 projek.

“Dalam menarik pelaburan, Selangor dan Johor mempunyai kekuatan yang lebih kurang sama dari segi kedudukan lokasi yang strategik, kemudahan pelabuhan dan jaringan jalan raya yang menghubungkan antara setiap kawasan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) mengenai punca jumlah pelaburan di Selangor yang jatuh kepada kedudukan kedua selepas Johor bagi tempoh Januari hingga Jun 2022.

Beliau berkata usaha untuk menambah pelaburan baharu oleh kerajaan negeri melalui Invest Selangor selaku agensi penggalak pelaburan yang sentiasa melaksanakan pelbagai program dalam usaha untuk memastikan Selangor kekal relevan dan sentiasa diyakini oleh pelabur.

Katanya ini termasuk perancangan strategik melibatkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1), penubuhan Jawatankuasa Petugas Khas Pembangunan Serantau Bersepadu di Selangor Selatan, Pelan Tindakan Bioteknologi Selangor, penubuhan Majlis Industri Rel Negeri Selangor dan program promosi penggalakkan pelaburan.

Sumber: Bernama

Kemudahan asrama pekerja, harga tanah murah tarik pelaburan lebih tinggi ke Johor berbanding Selangor


Content Type:

Duration:

Kerajaan Selangor merancang untuk mengambil alih sebahagian jalan-jalan Persekutuan di kawasan perindustrian yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor Ng Sze Han berkata, PBT mempunyai peruntukan untuk membaiki jalan-jalan yang rosak di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya proses berkenaan mengambil masa untuk menentukan status jalan di kawasan perindustrian negeri itu sebelum diserahkan kepada PBT kerana terdapat jalan-jalan seperti jalan utama yang dikendalikan oleh JKR sepenuhnya.

“PBT dan JKR sedang dalam perbincangan untuk mengambil alih sesetengah jalan di bawah JKR kerana jika jalan terbabit di kawasan perindustrian, saya tidak nampak ada masalah untuk JKR serahkan (kepada PBT).

“Kita harap ia dapat disempurnakan dalam masa yang singkat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Pas-Sijangkang) ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ng turut menjawab pertanyaan lisan Syamsul Firdaus Mohamed Supri (PH-Taman Medan) berkenaan langkah kerajaan negeri menangani kewujudan premis-premis di kawasan industri yang terbiar.

Katanya, PBT tetap memantau status premis-premis di kawasan industri terbiar bagi mengelakkan kejadian longgokan sampah haram, kegunaan premis bertentangan dengan aktiviti dibenarkan serta pembayaran cukai taksiran.

“Selain itu, PBT akan mengenal pasti faktor dan cara untuk merangsang aktiviti ekonomi, memberi insentif atau memperkenalkan tarikan baharu yang bersesuaian untuk pertumbuhan pembangunan kawasan berkenaan,” katanya.

Katanya, PBT menggalakkan kerjasama antara pemilik tanah atau premis dengan pihak berkepentingan atau pelabur untuk bersama-sama mengusahakan pembangunan di kawasan berkenaan bagi menyelesaikan isu tersebut.

Sumber: Bernama

Selangor rancang ambil alih Jalan Persekutuan di kawasan perindustrian


Content Type:

Duration:

Dutch Lady Milk Industries Bhd (DLMI) hari ini mengumumkan pengoptimuman operasi pengeluaran tenusunya dan memutuskan untuk menamatkan operasi pengeluaran serbuk susu tepungnya di Petaling Jaya.

Sehubungan itu operasi pengeluaran susu tepungnya tidak akan dijalankan di kemudahan pengilangan baharu di Bandar Enstek, Negeri Sembilan, kata Pengarah Urusannya Ramjeet Kaur Virik.

Bagaimanapun, katanya, langkah yang diambil syarikat itu tidak menjejaskan bekalan serbuk susu tepung bagi pasaran Malaysia kerana ia akan mendapatkan bekalan produk tersebut daripada rangkaian pengilangan syarikat induknya, Royal FrieslandCampina NV di Asia dan terus menyediakan bagi keperluan pasaran di negara ini.

Royal FrieslandCampina NV, syarikat dari Belanda, merupakan satu daripada syarikat koperasi tenusu terbesar di dunia.

Selain itu, DLMI juga akan turut menamatkan beberapa barisan pengeluaran yang lain secara berperingkat dalam tempoh dua tahun akan datang, bermula 31 Mei, 2023, sebagai sebahagian daripada langkah pengoptimuman operasi, katanya.

Langkah tersebut adalah sejajar dengan pendekatan FrieslandCampina bagi meningkatkan operasi perniagaan dan beralih kepada model perniagaan yang lebih mampan yang memacu fokus, inovasi dan kecekapan atas faktor keperluan strategik jangka panjang untuk terus memenuhi keperluan pengguna pada masa hadapan.

Pekerjaan, latihan semula dan menambah kemahiran

“Malangnya, keputusan yang kami ambil ini menjejaskan kira-kira 100 pekerjaan sedia ada. Pekerjaan tersebut tidak lagi diperlukan di kilang baharu kami di Bandar Enstek.”

“Ini akan dilakukan secara berfasa bermula 31 Mei, 2023, dan sehingga suku kedua 2024.

“DLMI sebagai sebuah syarikat memiliki kira-kira 600 orang pekerja dan pengoptimuman ini memberi impak kepada barisan pengeluaran tertentu. Kami mempunyai pelbagai barisan pengeluaran seperti perniagaan cecair dan perniagaan serbuk. Ramai daripada kakitangan kami akan meneruskan pekerjaan mereka bersama kami di Bandar Enstek,” kata Ramjeet.

DLMI melabur sebanyak RM540 juta dalam kilang baharu tersebut sebagai hab masa de[pan bagi perniagaan cecair di rantau ini. Kilang tersebut akan menggantikan operasi kilang di Petaling Jaya ketika ini.

Oleh itu, pengoptimuman rantaian bekalan adalah menerusi jenis produk bagi memastikan ekonomi bidangan dan kecekapan, katanya.

“Seramai 100 pekerja itu kebanyakannya daripada kilang serbuk susu dan pengoptimuman beberapa barisan pengeluaran secara berfasa dalam tempoh dua tahun akan datang (bermula 31 Mei, 2023),” jelasnya kepada Bernama.

“Kami akan mematuhi kewajipan kontrak untuk membantu kakitangan terkesan melalui fasa peralihan. DLMI komited untuk menyokong kesemua kakitangan dan memastikan kelangsungan perniagaan, bekerjasama rapat dengan rakan niaga kami,” katanya.

Ramjeet berkata selain pampasan kewangan, DLMI membawakan pakar yang sesuai untuk membimbing kakitangan yang terkesan, menganjurkan bengkel kerja berkaitan kesejahteraan kewangan, keusahawanan serta perniagaan digital untuk mempersiapkan mereka dengan kerjaya selepas meninggalkan syarikat.

“Ini merupakan antara inisiatif yang diusahakan DLMI untuk membantu kakitangan yang terkesan untuk melakukan peralihan,” katanya.

Selain itu, katanya, akan juga ada sokongan peralihan dan perpindahan bagi kakitangan yang berpindah dari kilang di Petaling Jaya ke Bandar Enstek serta program menambah kemahiran dan kemahiran semula kerana ia adalah kilang pembuatan yang berasaskan teknologi tinggi.

“Kami juga bekerjasama dengan kerajaan Negeri Sembilan untuk melihat pilihan perumahan dan persekolahan bagi mereka yang berpindah. Juga akan ada perkhidmatan pengangkutan ulang alik dari lokasi strategik di sini.

Rancangan pembinaan negara dan model perniagaan masih kekal utuh

“Model perniagaan DLMI kekal sama, stabil dan kukuh. Sebagai barisan pengurusan DLMI, kami perlu membuat keputusan dengan memberi fokus pertimbangan komersil yang menyeluruh demi mewujudkan nilai yang lestari untuk jangka panjang agar DLMi terus berjaya dalam pasaran,” kata Ramjeet.

Melalui perpindahan ke Bandar Enstek kelak, DLMI komited untuk menyediakan produk berkhasiat berkualiti tinggi, Halal dan mampu milik untuk masa depan.

“Dengan pelaksanaan teknologi Industri 4.0 di kemudahan pengilangan baharu itu, DLMI berusaha untuk mencapai kecemerlangan dan kecekapan operasi untuk terus berjaya di Malaysia dan pasaran pada masa depan,” katanya.

Penerapan inovasi baharu akan membolehkan organisasi memenuhi pertumbuhan pengeluaran tenusunya dan memberi manfaat yang besar kepada industri tenusu tempatan yang semakin berkembang di samping meningkatkan kualiti dan jumlah pengeluaran susu mentah tempatan.

Ramjeet berkata. DLMI telah menjadi sebahagian daripada landskap Malaysia sejak 1963 dan menjadi pilihan turun temurun pelbagai generasi dan akan meneruskan peranan penting ini pada masa depan.

“Kami terus menyokong agenda kesihatan kerajaan terutamanya bagi status pemakanan rakyat Malaysia dan jaminan makanan,” katanya.

Sumber: Bernama

Dutch Lady Milk Industries akan optimumkan operasi pengeluaran produk tenusu


Content Type:

Duration:

Terberg Tractors Malaysia Sdn Bhd (TTM), syarikat usaha sama (JV) antara Sime Darby Industrial Sdn Bhd (Sime Darby Industrial) dan Royal Terberg Group BV yang berpusat di Belanda, merancang untuk memperluaskan lagi jejaknya di Asia Pasifik dengan pelancaran YT200EV, traktor terminal elektrik bateri yang pertama di Malaysia.

Traktor terminal YT200EV adalah buatan tempatan sepenuhnya dihasilkan di pusat pembuatan dan pemasangan yang terletak di sini.

Model itu bakal tersedia untuk pengeluaran dan pengedaran bermula awal Disember 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif TTM, Boo Wei Ching, berkata sebagai antara pembuat traktor terminal terkemuka yang menyelia rantaian bekalan di seluruh rantau Asia Pasifik selain Malaysia, Terberg yakin bahawa tambahan baharu kepada industri ini adalah langkah besar yang akan melengkapi pelan hala tuju aspirasi hijau, dengan fokus untuk menggantikan amalan industri sedia ada dengan amalan yang lebih mampan.

“Kami bangga dapat membawakan traktor terminal elektrik pertama di Malaysia yang dikuasai sepenuhnya oleh bateri, yang juga selaras dengan rangka kerja alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG).

“Sebagai peneraju dalam industri, kami di Terberg merasakan bahawa ia tanggungjawab kami untuk mengambil bahagian secara aktif dalam mencari penyelesaian kepada isu pelepasan karbon,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, selain daripada mengurangkan pelepasan karbon, kenderaan ini juga dapat mengurangkan kos operasi yang berkaitan dengan diesel dan enjin bahan api fosil yang lain dengan amat ketara.

“Kami berharap dapat berkongsi kesemua faedah ini dengan industri selain daripada sektor pelabuhan dan logistik yang turut memerlukan traktor terminal, dan selanjutnya memacu industri ke arah amalan yang lebih hijau serta mesra alam sekitar,” katanya.

Majlis pelancaran YT200EV diadakan di Terberg Manufacturing & Assembly Sdn Bhd (TMA) di sini, baru-baru ini dan dihadiri oleh Malaysia’s Book of Records yang mengiktiraf TTM sebagai Pengeluar Traktor Terminal Elektrik Pertama di Malaysia.

Seiring dengan sasaran Malaysia untuk mencapai neutraliti karbon menjelang tahun 2050, pengenalan model YT200EV dijangka dapat menangani isu pelepasan karbon yang semakin meningkat dalam industri logistik dan pengangkutan.

Pada 2021, jumlah pelepasan gas karbon dioksida terhasil daripada pengangkutan di Malaysia mencecah 55 tan metrik, sekali gus menyumbang kepada 24 peratus pelepasan gas karbon dioksida yang terhasil daripada sektor pengangkutan dan logistik dunia.

Dengan menggantikan traktor terminal sedia ada dengan kenderaan berat elektrik keluaran Terberg, setiap traktor dapat mengurangkan kira-kira 30 tan gas karbon dioksida setiap tahun.

Ia bersamaan dengan menanam lebih sejuta pokok atau mengurangkan lebih daripada 6,000 penggunaan kereta di jalan raya.

Traktor terminal YT200EV juga menggunakan bateri ‘Lithium Iron Phosphate’ (LFP) bersaiz 350kWh yang mampu membekalkan tempoh tenaga berterusan sehingga 10 jam (dalam operasi pelabuhan kontena) dan boleh dicas sepenuhnya dalam tempoh satu jam.

Kenderaan itu juga mempunyai pemacu motor sejukan air tak segerak 240kW yang dilengkapi dengan tork yang mencukupi sesuai buat menampung muatan sehingga 90 tan, menjadikannya lebih cekap dan jimat kos berbanding traktor diesel.

Sumber: Berita Harian

YT200EV traktor terminal elektrik buatan Malaysia sepenuhnya


Content Type:

Duration:

EVE Energy Malaysia Sdn Bhd akan membangunkan pangkalan pengeluaran bateri silinder di Malaysia untuk menyokong perusahaan pembuatan kenderaan roda dua elektrik dan peralatan kuasa di negara ini dan Asia Tenggara.

Anak syarikat EVE Energy Co. Ltd. (EVE), syarikat pengeluaran bateri litium yang berpangkalan di China itu menjelaskan pencapaian penting dengan pelaburan yang dijangkakan berjumlah US$422.3 juta (US$1=RM4.404) tersebut akan meningkatkan daya saingnya secara menyeluruh dalam pasaran kenderaan roda dua elektrik dan peralatan kuasa di peringkat global.

Projek itu akan dibangunkan mengikut fasa dengan tempoh pembinaan tidak lebih daripada tiga tahun, menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.

Pengarah Perwakilan EVE Energy Malaysia, Joe Chan berkata pengembangan itu adalah satu pencapaian penting bagi EVE untuk meningkatkan penguasaan pasaran globalnya dalam pasaran kenderaan roda dua elektrik dan peralatan dikuasakan oleh bateri.

Beliau berkata pewujudan pangkalan pengeluaran bateri silinder di Malaysia akan membantu membekalkan bateri berkualiti tinggi kepada syarikat di negara ini dan Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) akan menjadi antara yang paling signifikan dalam sektor automotif di Malaysia.

“Ekosistem bateri litium silinder yang dibangunkan sepenuhnya adalah seiring dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan Dasar Automotif Negara (NAP) 2020 dalam merangsangkan dan menyepadukan ekosistem kenderaan elektrik (EV) negara khususnya bagi pengeluaran bateri EV.

“Selain mempunyai bakat berkemahiran tinggi dan pakar teknologi, Malaysia sememangnya menjadi lokasi yang kondusif dan ideal untuk kejayaan pelaburan EVE,” katanya.

MIDA telah meluluskan 25 projek bernilai RM10.69 bilion dalam EV dan ekosistem berkaitannya dari 2020 hingga Jun 2022.

Arham berkata pelaburan yang diluluskan termasuk aktiviti pemasangan EV, pembuatan alat ganti dan komponen EV serta komponen pengecasan.

Pada masa ini, EVE sedang menilai beberapa tapak untuk menempatkan kemudahan pembuatannya di Malaysia, termasuk beberapa lokasi berpotensi di Perak.

CEO InvestPerak, Izran Abdullah berkata Perak memiliki potensi besar untuk menjadi destinasi pelaburan yang bertumpuan baharu memandangkan Perak mempunyai infrastruktur yang baik, kekayaan sumber asli, bakat berkemahiran tinggi yang mencukupi, ekosistem perindustrian yang matang serta kos melaksanakan perniagaan yang kompetitif.

“Terletak secara strategik di antara Pulau Pinang dengan Selangor, dua kuasa ekonomi di Malaysia, Perak memperoleh kelebihan daripada limpahan ekonomi dari kedua-dua negeri dan sentiasa bersedia untuk menyokong pengembangan industri dan rantaian bekalan,” katanya.

Sumber: Bernama

EVE Energy Akan Bangunkan Pangkalan Pengeluaran Bateri Silinder Di Malaysia


Content Type:

Duration:

Future Forest International (Malaysia) Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Salus Bioceutical (Thailand) Co.

Ltd. untuk memudahkan teknologi hijau terkini bagi menghasilkan produk hemp halal.

Dalam satu kenyataan, Future Forest berkata MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Safina Yaakob dengan Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Salus Tanadee Pantumkomon di Ekspo Hemp Antarabangsa Asia 2022 di sini pada 30 Nov, 2022.

Turut hadir, Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Bangkok, Mohamed Hafiz Md Shariff dan Pengerusi serta Penasihat Salus Supakorn Sanguanchartsornkra.

Safina yang merupakan juruaudit halal yang diperakui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berkata, Salus sedang mengintai peluang untuk menerokai pasaran halal yang luas dan ia mempunyai makmal pembuatan dan pengekstrakan berkapasiti tinggi untuk kanabis dan hemp.

“Salus masih baharu dalam industri halal dan mereka melantik saya sebagai penasihat untuk menghasilkan produk hemp halal.

Saya membantu mereka menghasilkan produk halal dan hijau termasuk gentian hemp halal,” katanya kepada Bernama.

Gentian hemp telah digunakan untuk menghasilkan, antara lain, pakaian, beg, kasut, tali dan tali pintal, bahan binaan dan penebat.

Safina berkata pihaknya membayangkan penubuhan syarikat usaha sama di Thailand melalui perkongsian amalan terbaik dan kepakaran teknologi hemp dan kanabis yang bertujuan mempromosi dan memasarkan teh Melayu dengan formulasi hemp/kanabis (Canna Tea Series).

“MoU itu akan melangkaui sains dan kepakaran kerana ia akan memberikan mereka dorongan untuk merasmikan keperluan pasaran dengan bergabung tenaga meneroka industri halal,” katanya.

Sementara itu, Tanadee berkata perkongsian itu akan mengukuhkan keupayaan Salus untuk memasuki pasaran halal.

“Kami mendapati pensijilan halal adalah antara sijil terpenting yang mesti kami capai dan kami berharap kerjasama itu akan membimbing kami untuk mematuhi pensijilan halal bukan sahaja untuk produk kami tetapi untuk penanaman, pengeluaran dan penuaian.

“Kami mesti memastikan produk, ramuan dan proses pembuatan berada pada kualiti tertinggi dan mengikut piawaian halal,” katanya.

Future Forest ialah pakar pengurusan perladangan dan perhutanan yang mampan, dengan tumpuan pada tumbuhan perubatan, herba dan tanaman dengan tujuan, R&D dan penyelesaian pengurusan projek, yang menggabungkan pelbagai perkhidmatan saintifik peringkat tinggi dengan menawarkan penyelesaian yang boleh disesuaikan khusus untuk pelanggan dan rakan kongsi kerjasama di seluruh dunia.

Salus ialah salah satu pengeluar CBD berlesen yang pertama dari Thailand, selepas diberikan Lesen Pengekstrakan Hemp untuk mengendalikan dan mengekstrak bunga hemp.

Ia memiliki salah satu kilang pembuatan kanabis dan hemp terbesar di Thailand. Syarikat itu memberi tumpuan kepada operasi penanaman, pengekstrakan, pembuatan, ujian analitik dan pemasaran produk kanabis dan hemp.

Sumber: Bernama

Future Forest meterai MoU dengan Salus teroka pengeluaran hemp halal


Content Type:

Duration:

wpChatIcon