Berita MIDA Archives - Page 4 of 5 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MIDA, HSBC perbaharui kerjasama tarik pelaburan

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan HSBC Malaysia memperbaharui kerjasama untuk menarik lebih banyak pelaburan global ke Malaysia.

Menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang diperbaharui, kedua-dua pihak akan terus memudahkan penubuhan dan pengembangan syarikat multinasional di negara ini.

MoU itu tertumpu kepada memperkasa serta membentuk semula ekonomi Malaysia ketika dan pasca COVID-19 dengan memaksimumkan peluang pelaburan langsung asing (FDI) berpotensi ke Malaysia.

Ia terutama dalam sektor pembuatan, iaitu industri elektrik dan elektronik, kimia, mesin dan peralatan, aeroangkasa dan alat perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman, berkata MoU itu sejajar dengan rangka kerja Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi, terutama dalam bidang teknologi dan inovasi.

Beliau berkata, Malaysia akan terus menjadi rakan niaga strategik untuk perniagaan di ASEAN dan seterusnya.

“Kita mempunyai kumpulan bakat mantap dan ekonomi yang pelbagai disokong oleh asas ekonomi yang kukuh.

“Lebih-lebih lagi, rantaian bekalan tempatan Malaysia berintegrasi dengan baik ke dalam rantaian nilai global, disokong oleh industri sokongan kejuruteraan tempatan yang matang dan utuh adalah faktor penarik tidak dapat dinafikan pelabur yang ingin mengembangkan kapasiti pengeluaran mereka dengan cekap dan mudah,” katanya dalam satu kenyataan.

Arham berkata, kerjasama yang diperbaharui dengan HSBC Malaysia itu juga menandakan komitmen MIDA untuk membantu pelabur dengan lebih baik dan memberikan sokongan yang lebih kukuh ketika menghadapi gelombang pandemik semasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Stuart Milne, berkata selama lebih 130 tahun, HSBC telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan pembangunan Malaysia.

Beliau berkata, sejarah bank itu di Malaysia bermula sejak permulaan perbankan di rantau ini dan kemudiannya, seperti sekarang, peranan bank itu adalah untuk memacu pembangunan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan dunia yang lebih luas.

“Oleh itu, kami menghargai kerjasama penting ini antara HSBC dan MIDA. Kedua-dua organisasi mula bekerjasama secara jangka panjang pada 2016 yang menunjukkan kepercayaan MIDA kepada HSBC sebagai antara peneraju bank antarabangsa di Malaysia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

MIDA, HSBC perbaharui kerjasama tarik pelaburan


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menggesa para pelabur untuk terlibat dengan pemula niaga tempatan bagi menginovasi proses serta meneroka ke dalam perniagaan baharu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) Khairuddin Abdul Rahim berkata untuk mendorong pertumbuhan perniagaan agar terus relevan dalam normal baharu, pemimpin perniagaan termasuk pengusaha kecil dan sederhana (PKS) perlu menerapkan inovasi secara kreatif ke dalam model perniagaan mereka.

“Pemberian Dana Strategik Domestik adalah inisiatif MIDA untuk mendukung syarikat milik Malaysia ke arah meningkatkan rantaian nilai dan menjadi lebih kompetitif dalam ekosistem global.

“Kami berharap melalui kemudahan ini, syarikat-syarikat Malaysia tidak akan ketinggalan selama wabak ini belum mereda.

“Sebaliknya, mereka harus merebut peluang dalam tempoh ini bagi menghidupkan kembali penawaran dan kemampuan mereka,” katanya semasa berucap ketika merasmikan webinar ‘Start- up Pitching Session MIDA-Cyberview Series 1/2021’ hari ini.

Sesi yang bertemakan “Penggunaan Teknologi Terhadap Industri”, merupakan kolaborasi penting antara MIDA dan Cyberview Malaysia untuk mempromosikan hubungan pemula niaga tempatan dengan peneraju industri serta pelabur aktif.

Ia memaparkan pembentangan daripada pemula niaga baharu seperti Move Robotic, Synapse Innovation, VITA, My Conceptual Robotics, Urban Farm Tech, TrackerHero dan MEDKAD.

Webinar itu telah menarik lebih daripada 300 peserta termasuk pengeluar, penyedia perkhidmatan dan bakal pelabur.

Selain daripada apa yang MIDA tawarkan, Ketua Bahagian Pembangunan Hab Teknologi Cyberview Malaysia, Shafinaz Salim menjelaskan program Cyberview Living Lab membolehkan perniagaan memanfaatkan bandar Cyberjaya sebagai bukti pengujian konsep dan inisiatif perintis sebelum pengkomersialan penyelesaian mereka.

“Inisiatif kami dirancang bagi menyokong serta membimbing pemula niaga yang tertumpu pada penciptaan nilai dalam ekonomi digital masa kini.

“Sebilangan alumni Cyberview Living Lab kami terus memainkan peranan penting dan secara aktif menyumbang kepada ekosistem teknologi,” katanya.

Sebagai pemaju hab teknologi untuk Cyberjaya, Shafinaz berkata Cyberview komited untuk membina landasan pelancaran yang bernilai tinggi untuk perniagaan yang ingin mengubah idea mereka menjadi produk yang berdaya maju dan inovatif.

Sumber: Bernama

MIDA seru pelabur melibatkan diri dengan pemula niaga tempatan


Content Type:

Duration:

Platform dalam talian rasmi, Pejabat Pelaburan Digital (DIO), yang dilancarkan pada Isnin akan berperanan penting untuk Malaysia dalam usaha menarik pelaburan berkualiti, khususnya berkaitan pendigitalan, dari dalam dan luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pejabat itu akan bertindak sebagai jendela tunggal untuk menyelaras dan melancarkan semua pelaburan digital asing dan domestik dalam negara.

Beliau berkata aspek itu termasuk minat pelaburan digital yang dicapai semua agensi penggalakan pelaburan lain di Malaysia.

“Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini meluluskan penubuhan DIO yang akan berperanan penting dalam menarik pelaburan digital.

“DIO merupakan kerjasama antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC),” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada pelancaran platform dalam talian rasmi DIO secara maya pada Isnin.

Beliau menggesa pelabur terutama pelabur asing supaya terus memanfaatkan kelebihan Malaysia dalam usaha pengembangan operasi mereka di Asia.

Mustapa berkata skop DIO meliputi empat bidang iaitu, penyelarasan, penilaian, pemudahan dan sokongan dasar.

“Fungsi utama DIO adalah menilai minat pelaburan digital serta memberi saranan nilai yang sesuai kepada pelabur. Selain itu, DIO turut menyokong pemudahan pelaburan menyeluruh seperti proses sebelum dan selepas kelulusan, termasuk pemudahan bagi ekspatriat dan bakat digital,” katanya.

Beliau berkata penubuhan DIO adalah dalam usaha menyokong Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia di bawah inisiatif MyDIGITAL yang dilancarkan pada Februari 2021 — dengan matlamat khusus memperoleh pelaburan bernilai RM70 bilion menjelang 2025 selain melonjakkan sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia daripada 19.1 peratus kepada 22.6 peratus.

Beliau berkata platform dalam talian DIO baharu ini akan menyediakan pendekatan cekap dalam mempertimbangkan cadangan pelaburan untuk pelabur, dan dengan proses permohonan terlaras, ia juga akan membolehkan pelabur mendapat maklum balas pantas daripada pegawai yang bertanggungjawab di DIO.

“Sebelum ini, pelabur perlu menggunakan banyak saluran, termasuk menerusi agensi penggalakan pelaburan lain, yang kerap kali menimbulkan kekeliruan dan potensi kehilangan minat pelaburan digital.

“Kerajaan dan agensi seperti MIDA dan MDEC menyedari mengenai keperluan untuk bertindak pantas. Kami terus giat berusaha untuk memastikan kami dapat mengekalkan serta mempertingkatkan aliran masuk pelaburan digital berkualiti yang besar dan stabil,” katanya.

Beliau yakin semua program, dasar dan usaha yang kerajaan dan seluruh agensi lakukan, seperti DIO, akan meningkatkan pelaburan dan akhirnya memacu negara ke hadapan.

Mustapa turut mengulangi bahawa kerajaan dan semua agensi seperti MDEC akan terus mencipta dan mengembangkan ekosistem kondusif yang perlu untuk menarik pelaburan.

Beliau berkata untuk memacu penerimagunaan digital dan teknologi dalam bidang kemahiran, kesalinghubungan, tadbir urus dan inovasi, kerajaan memperkenalkan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara baru-baru ini.

Selain itu, platform seperti Bulan Teknologi Malaysia 2021 akan menyokong lagi dan menjadikan Malaysia sebagai nadi Digital ASEAN, katanya.

Beliau berkata ketika Malaysia menumpukan usaha menarik pelaburan digital berkualiti bagi mengembangkan ekonomi, kerajaan juga terus menekankan peranan pendigitalan terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Bagi merealisasikannya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah dan meneruskan rancangan serta melancarkan beberapa inisiatif untuk menambah baik kebajikan rakyat, katanya.

Sumber: Bernama

Pejabat Pelaburan Digital jadi jendela tunggal selaraskan pelaburan berkualiti – Mustapa


Content Type:

Duration:

Kerajaan, menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), terus menumpukan kepada usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi daripada syarikat asing dan tempatan menerusi pelbagai strategi pelaburan dan inisiatif dasar di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Arham Abdul Rahman berkata strategi agresif berterusan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi daripada pelabur asing dan tempatan menunjukkan hasil yang meyakinkan dengan Malaysia merekodkan pelaburan dilulus bernilai RM80.6 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama pada suku pertama 2021 (Januari-Mac), lonjakan sebanyak 95.6 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas.

“Pelaburan dilulus ini melibatkan 993 projek dan dijangka menjana 32,557 peluang pekerjaan. Malaysia kekal sebagai lokasi pelaburan kompetitif bagi pelabur asing meskipun keadaan tidak menentu global ketika ini,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

Beliau berkata jumlah pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama meningkat sebanyak 383.4 peratus kepada RM54.9 bilion bagi tempoh Januari-Mac 2021 daripada RM11.4 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

“Projek FDI utama kebanyakannya dalam sektor berorientasikan eksport dan teknologi tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E) dan peralatan perubatan serta sektor berintensifkan modal seperti produk logam asas dan produk kimia.

“Kebanyakan syarikat multinasional (MNC) dan asing di Malaysia terlibat dalam sektor teknologi tinggi seperti mikroelektronik, mekatronik, bahan direkayasa, biobahan, komponen perubatan, komponen logam dan komposit aeroangkasa serta produk kimia,” katanya.

Arham berkata MNC memainkan peranan penting sebagai ejen transformasi negara bagi pembuatan dan industri perkhidmatan berkaitan pembuatan.

Menurutnya, kerajaan terus memberi sokongan kepada rantaian dan vendor bekalan tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka dan memenuhi keperluan MNC.

Dalam usaha menaik taraf ekosistem domestik industri yang menyokong projek asing utama di sini, beliau berkata kerajaan memperkenalkan Dana dan Geran Automasi Pintar (SAG). 

Ia membantu vendor tempatan dalam rantaian bekalan MNC untuk mengautomasi dan mendigitalkan proses pembuatan dan perniagaan mereka bagi mencapai kecekapan yang lebih tinggi.

Mengenai kepentingan FDI dalam sektor perkhidmatan, beliau berkata, skim Hab Prinsipal (PH) menjadi aktiviti perniagaan pilihan utama bagi pelabur asing, disokong oleh insentif cukai kerajaan sejak 2015.

“Malaysia berhasrat menjadi lokasi pilihan utama bagi ibu pejabat di rantau Asia Pasifik, bersaing dengan negara-negara pesaing serantau lain. Negara juga semakin mendapat perhatian sebagai pusat hab digital di ASEAN dengan pelancaran inisiatif MyDigital di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Arham berkata pada 12 April, 2021, Kabinet telah meluluskan agenda pelaburan baharu berdasarkan Aspirasi Pelaburan Nasional dan perancangan Malaysia yang unik kepada pelabur.

Seperti yang dilihat dalam pengumuman bagi projek diluluskan pada suku pertama 2021, beliau berkata banyak pelabur asing yang menunjukkan keyakinan menerusi pelaburan jangka panjang mereka di Malaysia.

“Satu projek yang penting adalah projek pembuatan baharu oleh SK Nexilis dari Korea Selatan, pengeluar kerajang tembaga untuk penghasilan bateri kenderaan elektrik (EV). Kemudahan yang dicadangkan di Malaysia itu akan melaksanakan sepenuhnya inisiatif RE100 untuk melaksanakan 100 peratus tenaga elektrik boleh diperbaharui.

“Kehadiran syarikat ini akan menarik lebih ramai pelabur untuk melengkapkan rantaian bekalan pembuatan bateri EV Malaysia, menjadikan negara sebagai hab kerajang tembaga berkualiti tinggi dan kejituan tinggi untuk aplikasi khusus,” katanya.

Dalam landskap domestik, Arham berkata penggiat tempatan seperti Amerix Metal Machining Technology telah merebut peluang untuk memperluas dan mempelbagaikan operasi mereka pada 2020, meningkatkan lagi keupayaan rangkaian industri sokongan Malaysia.

Prestasi perdagangan Malaysia dilihat mengekalkan trend peningkatan pada Mei 2021 dengan dagangan yang meningkat 48.7 peratus kepada RM170.88 bilion berbanding Mei 2020, manakala eksport melonjak 47.3 peratus kepada RM92.31 bilion, bulan kesembilan berturut-turut bagi pengembangan tahun ke tahun sejak September 2020.

Arham berkata pengembangan yang kukuh dalam eksport dan import adalah isyarat yang dinanti-nantikan bahawa pemulihan ekonomi Malaysia semakin pantas.

“Kerajaan juga telah menetapkan misi penentu bagi mengurangkan impak kesihatan, ekonomi dan sosial  pandemik. Sejak Mac 2020, banyak inisiatif telah dilancarkan dalam siri langkah rangsangan berkaitan strategi 6R (Resolve (ketegasan), Resilience (ketahanan), Restart (jana semula), Recovery (pemulihan), Revitalise (memperkasa) dan Reform (menyusun semula).

“Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (KITA PRIHATIN), Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (PEMERKASA) dan PEMERKASA Tambahan yang bernilai RM380 bilion, dilaksanakan untuk membantu meredakan impak COVID-19, merangsang pertumbuhan ekonomi dan menggalakkan pelaburan yang berkualiti,” katanya.

Pakej Kesejahteraan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi Nasional (PEMULIH) baru-baru ini turut memperuntukkan RM150 bilion untuk menangani cabaran yang dihadapi akibat gelombang pandemik semasa, katanya.

Melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2021-2030 dan Rancangan Malaysia ke-12, Arham berkata kerajaan akan terus menetapkan strategi utama baharu untuk meningkatkan lagi daya saing perindustrian Malaysia dan hala tuju strategik dalam agenda pembangunan negara.

“MIDA sentiasa meninjau, menarik dan memudahkan pelaburan berteknologi tinggi, berasaskan pengetahuan dan berintensifkan modal yang menghasilkan kesan pengganda kepada ekonomi negara. “Berupaya menyediakan peluang pekerjaan bernilai tinggi sentiasa menjadi rancangan strategik MIDA, terutamanya ke arah era Industri 4.0.

“Landskap perindustrian menuntut keperluan untuk menggabungkan pengetahuan teknikal, pemikiran kritikal, keupayaan menyelesaikan masalah serta kemahiran kepimpinan yang tepat,” katanya.

Sumber: Bernama

MIDA kekal tumpu tarik pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia


Content Type:

Duration:

Peluasan dan peningkatan insentif industri automotif oleh kerajaan akan menarik lebih banyak syarikat tempatan untuk mencari peluang pengembangan.

Ini dicapai dengan meneroka produk berteknologi tinggi baharu dan tokokan nilai tinggi, di samping mengembangkan rantaian bekalan mereka di rantau ini.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, insentif baharu itu tepat pada masanya kerana industri automotif di ASEAN sedang berkembang pesat dengan negara-negara terus menginovasikan dasar dan strategi bagi menarik pelaburan terutama bagi kenderaan elektrik.

“Malaysia mengharapkan kesan limpahan positifnya seperti pekerjaan bernilai tinggi, peningkatan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pindahan teknologi dan pengetahuan kepada ekosistem industri tempatan,” katanya.

Selain itu, MIDA berkata, ini akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik bagi pemain industri automotif di seluruh dunia dan hab bagi kenderaan cekap tenaga.

Menurut agensi itu, meskipun objektif utama insentif yang diperluaskan itu adalah untuk menggalakkan pelaburan dana kenderaan cekap tenaga, skop aktiviti tambahan kini layak mendapat insentif industri automotif.

“Ia merangkumi pelbagai produk berteknologi tinggi dan bernilai tinggi termasuk kenderaan generasi seterusnya, kenderaan elektrik dan komponen berkaitan serta komponen teras dan kritikal,” katanya.

MIDA berkata, berikutan struktur industri automotif yang kompleks di rantaian nilainya, kerajaan mengkaji semula keperluan kriteria tokokan nilai sebagai sebahagian daripada skim insentif dipertingkat.

Permohonan bagi insentif itu dibuka sehingga 1 Disember 2025, dan syarikat yang layak digalakkan untuk menyerahkan permohonan kepada MIDA dengan segera.

“Sejak 2014 sehingga sekarang, kerajaan menerusi MIDA telah menilai dan meluluskan insentif cukai bagi 13 projek automotif dengan pelaburan bernilai RM4.6 bilion,” katanya.

Sumber: Bernama

Insentif industri automotif bantu syarikat tempatan berkembang


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bekerjasama bagi mempermudah usaha pelaburan berkaitan menerusi penubuhan Pejabat Pelaburan Digital (DIO).

Dalam kenyataan bersama pada Jumaat, kedua-dua agensi itu berkata peranan DIO juga sejajar dengan Rangka Tindakan MyDIGITAL dan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang berpandukan teras Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Matlamat usaha ini adalah bagi memperkukuh penyelarasan semua agensi galakan pelaburan untuk menarik pelaburan baharu berkaitan bidang yang pesat berkembang ini,” kata kenyataan itu.

Penubuhan DIO itu disahkan oleh Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED4IR) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan penubuhan DIO itu sebagai bertepatan pada masanya kerana dapat menyuntik nilai unik bagi pelaburan digital akan datang.

“Ekonomi digital adalah enjin pertumbuhan masa depan bagi Malaysia. Kita yakin dengan adanya tadbir urus berstruktur dalam penggalakkan dan kemudahan pelaburan sedemikian, ekosistem digital Malaysia akan lebih diperkukuh serta mantap bagi (persediaan) masa depan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, DIO juga seiring dengan evolusi landskap pelaburan serantau ke arah pendigitalan dan Industri 4.0 selain dapat memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam usaha pemulihan bagi tempoh pasca-COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA, Arham Abdul Rahman berkata, kedua-dua agensi terbabit komited dalam usaha memudahkan pelaburan berkualiti ke dalam negara, termasuk pelaburan digital.

“MIDA selaku agensi penggalakkan dan pelaburan utama di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), berharap dapat bekerjasama erat dengan MDEC bagi melonjakkan pertumbuhan pelaburan digital.

“Kerjasama ini secara tidak langsung dapat mewujudkan lebih banyak tenaga profesional tempatan yang berkemahiran tinggi serta memupuk jaguh digital global bagi jangka panjang. Ini akan meningkatkan lagi kelebihan daya saing Malaysia dengan menawarkan pelbagai faktor untuk menarik pelabur,” katanya.

Dalam pada itu, CEO MDEC, Surina Shukri pula menyifatkan DIO sebagai ‘pengubah keadaan’ kerana menjadi titik atau pusat perhubungan tunggal untuk pelabur bagi ekonomi digital Malaysia.

“DIO adalah pencapaian penting kemudahan pelaburan dalam menarik pelaburan digital berkualiti tinggi demi manfaat perniagaan serta rakyat kita serta seiring dengan agenda Malaysia 5.0,” katanya.

Sumber: Bernama

DIO pacu usaha pelaburan digital Malaysia


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyambut baik pelan Microsoft Corp untuk menubuhkan pusat data serantau pertamanya di Malaysia yang akan mempercepatkan inovasi negara dalam teknologi awan.

Agensi promosi dan pembangunan pelaburan utama kerajaan itu yakin inisiatif Bersama Malaysia Microsoft akan menjadi pemacu kepada agenda digital pertama negara sejajar dengan aspirasi MyDIGITAL negara, selain meningkatkan keyakinan pelabur tempatan dan asing di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Arham Abdul Rahman berkata pelaburan Microsoft dengan pusat data serantau pertamanya di negara ini menjadi bukti kukuh terhadap dasar pelaburan Malaysia yang pro-perniagaan, pro-perdagangan dan mesra perniagaan.

“Kehadiran Microsoft, penggiat teknologi global, mengembangkan kedudukannya dalam infrastruktur digital di Malaysia membantu membentuk tulang belakang untuk ekosistem digital yang mampan.

“Aspek paling penting, komitmen Microsoft melalui infrastruktur digital bertaraf dunia akan meletakkan kita dalam kedudukan yang lebih tinggi untuk maju ke arah negara digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MIDA berkata pusat data serantau Microsoft yang akan datang dijangka memberi manfaat kepada perniagaan tempatan, kerajaan dan masyarakat dalam semua sektor, selain pengguna akan mendapat akses yang cepat kepada perkhidmatan awan paling maju Microsoft serta kemampuan untuk menyimpan data dan aplikasi di negara ini.

Pusat data serantau tempatan itu akan terdiri daripada pusat data yang terletak di Greater Kuala Lumpur, beroperasi dalam perimeter yang ditentukan latensi dan dihubungkan melalui rangkaian latensi rendah yang khusus.

“Kami akan terus menyokong usaha Microsoft di Malaysia, terutamanya dalam mentransformasikan landskap digital, infrastruktur dan tenaga kerja mahir negara, sekali gus meningkatkan daya saing dan tarikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan teknologi tinggi,” kata Arham.

Sementara itu, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia K. Raman berkata: “Kami berasa rendah hati dengan sokongan yang diberikan oleh MIDA dan kami berharap dapat mengukuhkan kerjasama kami dalam merealisasikan aspirasi digital inklusif Malaysia.”

Inisiatif Bersama Malaysia Microsoft telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin dengan pusat data serantau pertama itu melibatkan pelaburan sekurang-kurangnya US$1 bilion (US$1= RM4.1180) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Penubuhan itu dijangka mewujudkan 19,000 pekerjaan, termasuk 4,000 pekerjaan berkaitan IT dalam kalangan pengguna awan.

Sumber: Bernama

MIDA sambut baik pelan Microsoft dalam inisiatif bersama Malaysia


Content Type:

Duration:

Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk menawarkan peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC) mendapat manfaat daripada Geran Automasi Pintar (SAG) MIDA.

Pengarah Urusan Kumpulan MIDF Datuk Charon Wardini Mokhzani berkata MoU itu menggariskan hubungan erat antara MIDA dan MIDF serta komitmen Bersama mereka untuk menyokong syarikat yang ingin melaksanakan automasi dan pemodenan.

“Sebagai sebuah negara, kita perlu meningkatkan produktiviti dan nilai tambah perniagaan Malaysia kepada tahap lebih tinggi dalam menuju ke arah negara berpendapatan tinggi. Melabur dalam automasi dan pendigitalan adalah antara cara untuk mencapainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, kerjasama tersebut untuk mempromosikan dan memudahkan penggunaan SAG melalui pakatan strategik.

“Di bawah pakatan ini, MIDA akan memberikan geran kepada syarikat yang layak, manakala MIDF akan menawarkan pembiayaan kepada syarikat  ini untuk baki perbelanjaan mereka.

“Selain itu, syarikat yang layak yang telah menikmati kemudahan pembiayaan daripada MIDF dapat mengurangkan komitmen kewangan mereka selepas permohonan untuk SAG berjaya,” katanya.

Katanya inisiatif SAG, yang diperkenalkan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan peruntukan awal sebanyak RM100 juta, dilancarkan oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 2 Dis 2020.

MIDF berkata geran itu diberikan kepada PKS dan MTC yang layak pada asas padanan atau 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan yang layak, sehingga had maksimum geran sebanyak RM1 juta bagi setiap syarikat.

“Berdasarkan sambutan yang menggalakkan untuk SAG, kerajaan mengumumkan dana tambahan RM50 juta di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) untuk mendorong lebih banyak PKS dan MTC meningkatkan operasi dan pengeluaran mereka melalui automasi dan pendigitalan,” katanya.

Katanya PKS dan MTC yang telah menjalankan aktiviti pembuatan atau perkhidmatan sejak 12 bulan lepas layak dipertimbangkan untuk SAG.

“Mesin, peralatan atau perisian automatik yang dibeli melalui geran ini mesti digunakan secara langsung dalam rantaian nilai syarikat untuk layak mendapat insentif ini,” katanya.

Katanya peningkatan dalam dua komponen – produktiviti dan kecekapan, akan dinilai berdasarkan pelbagai kriteria seperti mengurangkan pekerja tidak mahir, jam kerja, kadar kecacatan dan peningkatan dalam jumlah pengeluaran. “Syarikat yang berminat disaran untuk mengemukakan permohonan kepada pelbagai bahagian industri dan perkhidmatan di MIDA,” katanya.

Sumber: Bernama

MIDF bekerjasama dengan MIDA promosi geran automasi pintar kepada PKS, MTC


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengekalkan unjuran positif terhadap pelaburan penyelidikan dan pembangunan (R&D), seiring dengan iklim pelaburan semasa yang optimis dalam persekitaran pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arham Abdul Rahman berkata pelaburan R&D juga merupakan platform strategik bagi pertumbuhan syarikat dalam keadaan ekonomi yang mencabar atau sebaliknya.

Malah, katanya, langkah meneruskan pelaburan tersebut akan membolehkan syarikat lebih bersedia  menghadapi fasa krisis dalam tempoh pemulihan.

“Hasil kajian sebelum ini yang membabitkan beberapa fasa kemelesetan mendapati syarikat yang banyak melabur dalam R&D akan berkembang berbanding pesaing yang tidak bertindak sedemikian dan hanya berdepan risiko kemerosotan perniagaan,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada program Penyelidikan dan

Pembangunan Untuk Perniagaan (RD4B) anjuran MIDA di sini, pada Isnin.

Selain itu, Arham juga menekankan peranan R&D sebagai antara elemen terpenting bagi meraih pertumbuhan, pembangunan dan inovatif untuk industri.

Sehubungan itu, kalangan perniagaan digalakkan untuk memanfaatkan R&D bagi mempertingkat proses perniagaan, mengurangkan kos dan meraih kelebihan dari segi saingan, katanya.

Pada tahun lepas, MIDA telah meluluskan sebanyak 199 projek berkaitan R&D dengan pelaburan modal sebanyak RM3.1 bilion yang mampu mewujudkan 6,949 pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Jumlah itu merangkumi 30 syarikat R&D, 80 syarikat kontrak R&D, 46 syarikat yang mempunyai kemudahan R&D, 26 syarikat berstatus R&D serta 17 projek strategic R&D kebangsaan,” katanya.

Menurut Arham, antara sektor utama adalah elektrik dan elektronik, auto dan pengangkutan, jentera dan peralatan serta kimia dan produk berasaskannya.

Dalam pada itu, merujuk Indeks Inovasi Global 2020 (GII), beliau berkata Malaysia di tempat kedua dalam tiga ekonomi inovasi teratas meliputi kumpulan berpendapatan pertengahan sederhana-atas manakala secara keseluruhannya negara ini di kedudukan ke-33.

“Ini menjadikan Malaysia di hadapan negara-negara ASEAN lain iaitu kedua selepas Singapura.  Malaysia juga di kedudukan teratas dari segi eksport bersih berteknologi tinggi di peringkat global,” katanya.

Sumber: Bernama

MIDA kekal positif terhadap prospek pelaburan R&D


Content Type:

Duration:

Syarikat Malaysia perlu membuat inovasi dan meningkatkan saranan nilai menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk bersaing dalam pasaran, memandangkan hanya 3.5 peratus syarikat Malaysia yang telah memperkenalkan produk baharu sejak tiga tahun lepas, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Pengarah Eksekutif Perancangan Strategik (Pembuatan) Choo Wai Meng memetik Laporan Bank Dunia bertajuk ‘Aiming High – Navigating the Next Stage of Malaysia’s Development’ yang dikeluarkan pada Februari berkata angka itu terlalu rendah berbanding yang berada dalam kumpulan serantau iaitu pada 20 peratus, dan kumpulan aspirasi iaitu 33 peratus.

“Syarikat Malaysia tidak melakukan inovasi menggunakan R&D seperti ekonomi-ekonomi utama dan keadaan itu menjadikan kita rentan dengan peralihan sistematik teknologi yang memberi kesan kepada pasaran global,” katanya ketika berucap bagi menutup program Perniagaan R&D (RD4B) anjuran MIDA di sini, pada Isnin.

Beliau berkata Malaysia mungkin mengalami gangguan kreatif disebabkan negara ini hampir ketiadaan potensi pertumbuhan susulan pengumpulan modal, oleh itu kegagalan untuk menginovasi produk baharu akan menyebabkan produk itu tidak dapat bersaing berikutan penepuan pasaran.

“Syarikat Malaysia kekal sebagai peniru, dalam jangka panjang ia akan mempunyai kesan dan syarikat Malaysia tidak dapat lagi bersaing pada faktor kos rendah, justeru, perlu beralih kepada pertumbuhan perniagaan berasaskan pengetahuan dan inovasi.

“Menerusi R&D, ia dapat mendorong pemupukan ekonomi berasaskan pengetahuan, dipacu oleh aset intelek yang menyediakan pulangan ekonomi, dan sukar untuk mencapai impak pertumbuhan perniagaan berasaskan inovasi sekiranya hanya bergantung kepada teknologi dan kepakaran asing,” katanya.

Laporan Bank Dunia itu juga mendapati beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun perbelanjaan R&D berkadaran dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah semakin meningkat namun ia masih dianggap rendah berbanding dengan yang melaksanakan peralihan dan yang menyasarkannya.

Di Malaysia, kebanyakan aktiviti R&D dijalankan oleh entiti perniagaan berbanding institusi penyelidikan atau institusi pengajian tinggi, dengan R&D perniagaan berkadaran dengan KDNK adalah lebih tinggi daripada kumpulan peralihan namun lebih rendah daripada kumpulan yang menyasarkan.

Sumber: Bernama

Firma Malaysia rentan dengan peralihan teknologi global berikutan kekurangan R&D


Content Type:

Duration:

Pemilihan UMW Aerospace Sdn Bhd dalam Kumpulan Pembekal Berprestasi Tinggi Rolls-Royce bagi Kohort 2021 membuktikan Malaysia sebagai lokasi ideal untuk memenuhi peningkatan permintaan dalam sektor aeroangkasa di rantau Asia Pasifik, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Arham Abdul Rahman berkata, dengan mengambil kira persekitaran perniagaan yang rancak, MIDA optimis bahawa Rolls-Royce akan mendapat manfaat daripada ekosistem dan kemudahan Malaysia yang kukuh.

“Kami gembira kerana Malaysia terus bersesuaian dengan strategi pertumbuhan keseluruhan Rolls-Royce bagi rantau ini terutama dengan kejayaannya dalam teknologi Industri 4.0.

“Kami yakin menerusi saranan nilai strategik kami, syarikat boleh mengembangkan perniagaan mereka kepada satu peringkat lain dan berubah menjadi penggiat dunia yang berdaya saing.

“Kami akan memastikan sentimen perniagaan di Malaysia kekal menjadi tarikan dalam keadaan ekonomi global yang mencabar dan gelombang semasa pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sambil mengucapkan tahniah kepada UMW Aerospace di atas pencapaian itu, Arham berkata pemilihan itu meletakkan UMW Aerospace dalam kalangan 5.0 peratus pembekal utama global Rolls-Royce sejak memenangi anugerah “Trusted to Deliver Excellence” pada 2018.

Beliau berkata, menerusi pelbagai agensi termasuk MIDA, kerajaan akan memastikan pembangunan jangka panjang industri aeroangkasa tempatan, antaranya dengan memperluaskan rantaian bekalan aeroangkasa melalui penyertaan perusahaan kecil dan sederhana susulan usaha Malaysia untuk menjadi negara terkemuka aeroangkasa di Asia Tenggara menjelang 2030.

Beliau berkata, sebagai agensi galakan pelaburan yang utama di negara ini, MIDA berhasrat untuk membangunkan lebih banyak syarikat tempatan peringkat satu seperti UMW Aerospace dan seterusnya, menggalakkan mereka untuk menembusi pasaran baharu serta menjalinkan hubungan dengan penggiat industri

aeroangkasa utama termasuk pengeluar peralatan tulen di arena antarabangsa.

Sementara itu, Presiden dan CEO kumpulan UMW Holdings Bhd Datuk Ahmad Fuaad Kenali menyifatkan komitmen kukuh syarikat itu terhadap produk berkualiti tinggi serta perkhidmatannya telah menyumbang kepada pengiktirafan ini.

Beliau berkata UMW Aerospace telah membuktikan ia sebagai penggiat bereputasi baik dalam industri aeroangkasa dalam masa yang singkat.

“Malah, pencapaian ini meletakkan UMW Aerospace dalam kalangan lebih banyak penggiat kukuh dalam industri ini dan dalam kedudukan baik untuk terbabit dalam projek Rolls-Royce pada masa depan,

“Kami yakin pencapaian ini adalah bukti kepada potensi Malaysia untuk menjadi hab aeroangkasa di ASEAN,” katanya.

UMW Aerospace Sdn Bhd selaku anak syarikat milik penuh UMW Group merupakan satu-satunya syarikat tempatan yang menjadi pembekal peringkat satu kepada Rolls-Royce.

Sumber: Bernama

Malaysia lokasi ideal penuhi peningkatan permintaan sektor aeroangkasa di Asia Pasifik — MIDA


Content Type:

Duration:

Kerajaan bersetuju untuk memberikan kelonggaran syarat kepada syarikat pembuatan dan perkhidmatan yang telah diluluskan dengan insentif di bawah naungan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

MIDA berkata ini adalah sebahagian daripada langkah-langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan untuk meneruskan usaha penjanaan semula ekonomi Malaysia dengan memudahkan pelaburan dan memulihkan keyakinan pelabur.

“Di bawah prosedur biasa, syarikat yang diluluskan dikehendaki mematuhi syarat-syarat tertentu dan melaksanakan projek mereka yang telah diluluskan dalam tempoh tertentu seperti yang ditetapkan dalam Surat Kelulusan yang dikeluarkan MIDA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, MIDA berkata, dengan pelaksanaan mekanisme kelonggaran ini, sebuah syarikat mungkin dipertimbangkan bagi kelonggaran tertentu apabila mencapai ambang yang diluluskan atau memenuhi garis masa pelaksanaan projek mereka yang diluluskan, tertakluk kepada pematuhan kriteria dikenal pasti yang ditetapkan kerajaan.

Ia berkata kelonggaran pematuhan dengan syarat yang ditetapkan adalah bagi tempoh antara 2020 dan 2021.

“Bagi memanfaatkan kemudahan ini, syarikat dikehendaki mengemukakan permintaan mereka dengan segera kepada MIDA dengan dokumen sokongan yang relevan berdasarkan kepada keputusan dasar yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Kewangan,” katanya.

Pada pelabur digalakkan untuk mengemukakan permohonan rayuan mereka bagi kelonggaran/pindaan syarat insentif kepada bahagian relevan bagi industri dan perkhidmatan khusus dalam MIDA.

Sumber: Bernama

Kerajaan setuju longgar syarat syarikat – MIDA


Content Type:

Duration:

Bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman dinaikkan pangkat sebagai CEO berkuat kuasa hari ini.

Arham menggantikan Datuk Azman Mahmud yang sudah berkhidmat di MIDA selama 32 tahun.

Menurut MIDA, Arham mempunyai rekod prestasi dan kerjaya yang sangat cemerlang, menjangkau lebih tiga dekad bersama agensi itu.

“Beliau telah berkhidmat dalam cabang pelaburan asing organisasi dengan perkhidmatan selama bertahun-tahun di Jerman dan Amerika Syarikat (AS) .

“Pengalaman beliau sebagai barisan hadapan MIDA bagi menarik serta memudahkan pelaburan asing ke dalam negara, menjadikan beliau sebagai calon yang unik untuk menerajui MIDA dalam norma baharu,” kata MIDA dalam satu kenyataan.

MIDA dalam kata-kata penghormatannya kepada Azman memberitahu semasa kepimpinan beliau, agensi itu secara aktif menasihati, mengesyorkan dan melaksanakan dasar, strategi termasuk hala tuju bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan Malaysia.

“Bekerjasama dengan semua peringkat dalam pihak berkepentingan termasuk rakan sejawat kerajaan, komuniti perniagaan asing dan tempatan serta rakan kongsi akademik dan latihan, MIDA secara konsisten mencapai sasaran pelaburan tahunan sebanyak RM200 bilion antara 2014 hingga 2019,” katanya.

Pandemik COVID-19 membentangkan cabaran yang tidak dijangkakan tetapi dengan kepimpinan Azman, MIDA dan pihak berkepentingan industri bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berjaya mengemudi ketidaktentuan.

“MIDA memainkan peranan penting dalam proses penilaian semasa pelaksanaan awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di samping menyediakan input penting bagi penggubalan dasar dan strategi dalam rancangan kerajaan untuk memulihkan ekonomi Malaysia dalam memastikan industri negara kekal mampan dan mata pencarian rakyat terpelihara,” katanya.

Azman juga mengetuai MIDA dalam proses penjanaan semula perniagaan organisasi itu agar seiring dengan inovatif dan ketangkasan bekerja pada zaman pendigitalan ini.

“Peningkatan kecekapan pelbagai fungsi pertubuhan ini akan meningkatkan aktiviti perniagaan teras dan keterlihatan selain mengukuhkan kapasiti perancangan strategik serta advokasi dasar.

“Ini amat penting semasa pandemik sehinggakan, MIDA mampu berdaya tahan dan responsif dalam memberikan nasihat serta sokongan kepada pelabur sedia ada dan berpotensi walaupun sempadan antarabangsa ditutup dan pergerakan disekat,” tambah agensi itu.

Pada 2020, MIDA berjaya mengadakan lebih 500 pembabitan dalam talian dengan pihak berkepentingan dari dalam dan luar negara untuk memberi taklimat terkini mengenai perubahan dasar negara dalam mengekang pandemik ini agar kebimbangan pelabur dapat distabilkan disamping mengekalkan keyakinan mereka terhadap Malaysia.

Sumber: Bernama

Arham Abdul Rahman CEO baharu MIDA


Content Type:

Duration:

Portal InvestMalaysia yang juga platform serahan permohonan dalam talian kendalian Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), kini boleh dilayari bagi kemudahan orang ramai, termasuk pelabur.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Portal InvestMalaysia itu juga dapat membantu memenuhi jangkaan pelabur menerusi proses automasi secara optimum dan merangkumi penawanan dan analisis data secara lancar.

Menurutnya, sejajar usaha Malaysia menyesuaikan diri dengan persekitaran norma baharu, peranan MIDA juga terbukti menjadi lebih penting untuk membantu kemajuan perniagaan serta mewujudkan masa depan yang lebih baik bagi negara ini.

“Kita boleh menjangkakan penilaian yang lebih cekap, proses kelulusan secara automasi dan perkhongsian maklumat yang lebih mudah dengan hanya satu titik permulaan atau kemasukan tunggal.

“Selain itu, kita juga boleh mendapatkan kemas kini pelaburan secara langsung, kebolehlihatan projek pelaburan dalam masa nyata, membuat keputusan secara lebih bermaklumat dan pelaporan masa nyata,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohamed Azmin juga menyifatkan pangkalan data berpusat itu akan memudahkan penghasilan analisis dengan lebih pantas dan tepat menerusi papan pemuka automatik yang membolehkan fungsi pemantauan petunjuk prestasi utama yang dipertingkat dalam memenuhi piagam pelanggan.

Sementara itu, MIDA berkata portal tersebut yang beroperasi sejak 26 Mac, 2021, bertumpu kepada usaha mentransformasi peranan teras perniagaan agensi itu bagi mempertingkat kecekapan dan produktiviti dengan menerimaguna satu sistem teknologi bersepadu untuk mempercepat proses permohonan dan kelulusan.

Ini juga, pada masa sama, turut membolehkan syarikat mempercepat pelaksanaan projek masing-masing.

“Setakat ini, platform digital itu menawarkan 10 modul bagi serahan permohonan dalam talian dan berperanan sebagai titik kemasukan tunggal bagi pihak berkepentingan menerusi laman mikro Investmalaysia.mida.gov.my,” katanya.

Antara modul yang tersedia adalah  lesen pengilangan yang ditambah baik, surat pengecualian daripada Lesen Pengilang, insentif yang dipertingkat, jawatan ekspatriat aau pegawai dagang asing dan pejabat perwakilan/serantau, pengecualian duti import/cukai jualan, surat pengesahan MIDA serta jualan domestik.

“MIDA telah mewujudkan satu unit perkhidmatan pelanggan khusus (CSU) yang merangkumi kumpulan verikasi bagi menerima permohonan pelanggan serta satu pasukan khas dengan pengalaman berkaitan pelaburan untuk menjawab pertanyaan pelangaan berkaitan permohonan, kemudahan dan pelaksanaan projek.

“CSU itu dijangka meningkatkan keyakinan pengguna terhadap sistem dan memberi pengalaman lebih baik untuk syarikat, pengguna dalaman serta agensi luaran,” katanya.

MIDA berkata proses permohonan secara automasi dan menyeluruh itu akan membolehkan agensi itu menyasarkan aspek garis masa pemprosesan yang lebih singkat, menambah baik komitmen piagam pelanggan untuk pelabur dan melengkapkan matlamat transformasi digital bagi menyokong keperluan semasa dan masa depan industri.

Sumber: Bernama

Portal InvestMalaysia MIDA kini boleh dilayari — Azmin


Content Type:

Duration:

Sebuah Pusat Pengembara Perniagaan (BTC) telah diwujudkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memudahkan kemasukan kelompok pengembara perniagaan asing ke negara ini.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, BTC adalah antara komponen utama inisiatif Pusat Sehenti (OSC) yang diwujudkan kerajaan bagi kelancaran pergerakan serta mempermudah kemasukan pengembara bagi tujuan perniagaan di Malaysia.

Malah, katanya, setakat ini OSC telah meluluskan sebanyak 93 permohonan daripada syarikat-syarikat pelaburan untuk pengembara perniagaan jangka pendek yang membabitkan pelaburan bernilai RM15 bilion.

“Antara kemudahan bagi pengembara perniagaan jangka pendek itu termasuk sistem sokongan yang lancar menerusi perkhidmatan bercirikan ‘fast-track’ atau pantas seperti transkripsi ujian RT-PCR Covid-19 yang membolehkan keputusan diperoleh dalam masa tiga jam.

“Selepas disahkan sihat, mereka boleh berurusan dengan imigresen dan kerajaan akan melantik pegawai seranta untuk mereka yang mempunyai jadual perniagaan khusus,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kemudahan BTC itu di KLIA, pada Selasa.

Pengembara perniagaan jangka pendek adalah kepada mereka yang tidak mempunyai sebarang pas kemasukan khusus dan berhasrat untuk berada di negara ini bagi tempoh 14 hari atau kurang, tertakluk kepada kelulusan oleh jawatankuasa OSC dan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Mengulas selanjutnya, Mohamed Azmin juga menyifatkan pelancaran BTC sebagai pencapaian bermakna dalam usaha berterusan kerajaan untuk merancakkan semula ekonomi dan seterusnya mencatat pemulihan pada tahun ini.

“Kita sedar pandemik Covid-19 ini masih ada namun kita kini berupaya menguruskan risiko dengan lebih baik serta berpengalaman mengendalikan keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi,” katanya.

Menurutnya, BTC yang berasaskan pendekatan di Singapura, Korea Selatan dan di Kesatuan Eropah, juga berperanan penting bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan menarik untuk perniagaan asing.

“Sejak setahun lalu, kita telah melaksanakan pendekatan baharu termasuk kaedah secara maya bagi mengadakan perbincangan untuk menarik pelabur asing.

“Namun, tidak dinafikan rundingan itu adalah lebih berkesan jika dapat dijalankan secara bersemuka,” katanya.

Sumber: Bernama

BTC KLIA sedia kemudahan untuk pengembara perniagaan asing


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan konglomerat antarabangsa, UMW Corp Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meneroka bidang kerjasama yang berpotensi untuk menarik pelaburan yang akan memberi nilai kepada ekonomi.

MIDA dan UMW menjangka untuk memanfaatkan kemampuan dalam sektor seperti mobiliti, aeroangkasa, mesin dan peralatan, pembuatan dan kejuruteraan, latihan bakat (melatih pekerja), penyelidikan dan pembangunan serta pembangunan tanah industri.

MoU ini akan menjadi batu loncatan untuk mempercepat pihak berkepentingan dalam industri yang inovatif dan bernilai tinggi, termasuk kumpulan UMW untuk merebut peluang yang wujud daripada revolusi teknologi dalam kebiasaan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud, berkata kerjasama itu akan memudahkan ekosistem industri negara dengan infrastruktur dan teknologi baru yang sangat diperlukan.

“MIDA yakin bahawa melalui kepakaran dan rangkaian industri UMW yang luas dalam sektor automotif, peralatan, pembuatan, kejuruteraan, serta minyak dan gas, penggiat tempatan dan penyedia teknologi kami dapat memperoleh keuntungan dalam rangkaian rantaian bekalan global,” katanya.

Kerjasama itu juga akan meningkatkan usaha berterusan kerajaan untuk menempatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini, katanya.

“Sokongan untuk perniagaan akan merangkumi insentif cukai yang kompetitif untuk memacu aktiviti pelaburan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Unit Percepatan dan Koordinasi Projek bagi memudahkan pelaksanaan projek yang diluluskan.

“Ini termasuk inisiatif Pusat Sehenti yang diwujudkan tepat pada masanya untuk membolehkan pelancong perniagaan melakukan perjalanan dan meneruskan pekerjaan mereka di Malaysia sepanjang tempoh pandemik COVID-19,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Bhd, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata kerjasama kukuh antara agensi kerajaan dan sektor swasta adalah penting bagi meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik.

Menurut kenyataan itu, Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM164 bilion melalui 4.599 projek di sektor pembuatan, perkhidmatan, dan primer pada 2020.

Pelaburan ini dijangka dapat mewujudkan sebanyak 114,673 pekerjaan baharu selepas ia dilaksanakan.

MIDA berkata, ia juga telah mengenal pasti projek pelaburan asing berprofil tinggi, termasuk syarikat dalam senarai Fortune 500, di sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Rundingan sedang berjalan dengan syarikat daripada pelbagai sektor seperti automotif, kimia dan elektronik untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pembuatan, perkhidmatan dan rantaian bekalan global bernilai tinggi.

Sumber: Bernama

MIDA, UMW bekerjasama tarik pelaburan bernilai tinggi


Content Type:

Duration:

Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), akan menganjurkan forum pelaburan dalam talian bertajuk ‘Malaysia in its Present State’.

Forum itu akan diadakan pada 6 April depan mulai 2 petang waktu tempatan.

Menteri MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijangka menyampaikan ucapan perasmian di forum itu disamping duta Jepun, Hiroshi Oka.

JETRO dalam satu kenyataan berkata forum itu akan meliputi persekitaran pelaburan am di Malaysia, dengan tumpuan kepada sektor yang mempunyai potensi yang baik termasuk industri pembuatan membabitkan produk dengan nilai tambahan yang tinggi, industri digital serta ibu pejabat serantau.

”Kami telah menjemput penceramah dari kerajaan Malaysia dan syarikat Jepun yang berpangkalan di Malaysia bagi menyampaikan topik mengenai persekitaran pelaburan terkini dan insentif yang ada,” katanya.

Forum ini juga akan memberi tumpuan khusus ke atas Johor, yang mana ia menempatkan salah satu koridor ekonomi yang utama iaitu Iskandar Malaysia.

“Dalam sesi ini, kami akan meneroka peluang pelaburan, memperkenalkan ekosistem digital dan menjelaskan trend syarikat Jepun yang melabur di negeri ini. “Ini akan menjadi peluang yang sangat baik bagi memahami keadaan semasa di Malaysia, khususnya  di tengah-tengah sekatan perjalanan untuk melawat Malaysia,” tambahnya.

Sumber: Bernama

JETRO, MITI, MIDA anjur forum pelaburan dalam talian


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menerusi unit khasnya, Platform Koordinasi Pelaburan Domestik (DICP) yang dipertanggungjawab untuk memudahkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berkembang maju, telah membolehkan syarikat pemula niaga teknologi kewangan (fintech) Malaysia, Neurogine Sdn Bhd memeterai urus niaga pengambilalihan dengan Hadigy Ltd, syarikat pegangan pelaburan yang berpangkalan di UK.

Perjanjian pemegang saham itu akan menyaksikan Hadigy Ltd menguasai 30 peratus kepentingan atau 1.929 juta saham biasa dalam Neurogine, syarikat pemula niaga fintech Malaysia yang berpengkhususan dalam pendigitalan perbankan mudah alih, pembayaran mudah alih dan penyelesaian aset digital.

Majlis pemeteraian perjanjian antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Neurogine, Owen Chen Chee Onn dan Pengarah Eksekutif Hadigy Ltd, Hari Iyer diadakan secara maya antara Kuala Lumpur dan London baru-baru ini dan disaksikan oleh CEO MIDA Datuk Azman Mahmud di ibu pejabat MIDA di sini.

“Antara cabaran utama yang dihadapi oleh PKS dan syarikat pemula niaga untuk berkembang termasuklah akses yang terhad kepada pembiayaan. Oleh itu, MIDA telah mengambil pendekatan proaktif menerusi DICP dalam menyokong syarikat-syarikat tempatan, pemula niaga mengatasi jurang pembiayaan.

“Kehadiran pembiaya luar seperti Hadigy Ltd dalam ruang ini sudah pasti dapat membantu mempercepatkan penggunaan teknologi dan merangsangkan pertumbuhan perkhidmatan teknologi kewangan di Malaysia,” kata Azman.

Beliau menambah dalam persekitaran COVID-19 ini, segmen teknologi tempatan e-dagang, teknologi kewangan dan teknologi perubatan mampu menarik pelaburan ekuiti asing dan modal teroka.

Beliau berkata sektor-sektor ini yang menyediakan penyelesaian secara “remote” atau jarak jauh dengan meminimumkan dan menghapuskan kontak fizikal, telah muncul lebih kuat, didorong  oleh permintaan diperbaharui daripada pengguna industri yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

MIDA turut berpendapat  teknologi kewangan atau fintech telah bersedia untuk muncul sebagai pemacu pertumbuhan di Malaysia pada 2021 dan tahun-tahun berikutnya, dan negara juga bersedia memanfaatkan invoasi teknologi kewangan.

Sokongan dan inisiatif yang padu daripada kerajaan untuk ekonomi digital, disokong oleh kelas menengah yang kian meningkat dengan  90.1 peratus isi rumah memiliki akses ke internet dan 98.2 peratus boleh akses ke telefon mudah alih adalah petunjuk ekonomi digital yang berkembang pesat. (Sumber: Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia mengenai penggunaan dan akses ICT oleh individu dan isi rumah – 2019).

Sejajar dengan aspirasi pelaburan negara untuk meningkatkan ‘complexity’ ekonomi dan membina konglomerat Malaysia, kerajaan, menerusi MIDA dan unit DICP komited untuk menghubungkan syarikat pemula niaga Malaysia dengan rma modal teroka antarabangsa.

Unit itu juga akan terus mempermudahkan laluan pertumbuhan mampan dan ekosistem yang rancak untuk membolehkan pemula niaga berprofil tinggi berkembang pesat.

Sumber: Bernama

MIDA bantu syarikat pemula niaga fintech Malaysia jalin kerjasama dengan rma pelaburan UK


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menggesa  perniagaan, terutama perusahaan kecil dan menengah  (PKS) untuk melaksanakan pendigitalan dan memupuk budaya inovasi dalam perniagaan mereka supaya kekal berdaya tahan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif II MIDA, Ahmad Khairuddin Abdul Rahim berkata bagi memacu pertumbuhan perniagaan dan kekal relevan dalam persekitaran kebiasaan baharu ketika ini pemimpin perniagaan, terutamanya PKS harus berkir secara kreatif dan berinovasi terhadap model perniagaan mereka.

“Kesediaan untuk berinovasi juga harus seiring dengan pemahaman mengenai bagaimana memupuk budaya inovasi dalam kehidupan harian. Fokus berkenaan akan membantu perniagaan Malaysia beralih daripada model pertumbuhan konvensional lama kepada membangunkan pertumbuhan baharu melalui penggunaan sistem

digital,” katanya dalam ucapan perasmiannya semasa sesi Webinar mengenai ‘Domestic Investment’ yang diadakan secara maya hari ini.

Sesi yang bertemakan “Innovation and Transition to New Business Models” oleh Jabatan Politeknik dan Pendidikan Kolej Komuniti (DPCCE), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Sirim Bhd dan AmBank.

Dasar  Kebangsaan mengenai IR 4.0 atau dikenali sebagai  Industry4WRD  adalah panduan  terbaik  dan insentif Penilaian Kesediaan Industry4WRD serta  Dana Intervensi membolehkan syarikat tempatan menilai kemampuan dan kesediaan mereka untuk menggunakan proses Industri 4.0, memahami keupayaan dan jurang mereka ketika ini serta menyiapkan rancangan bagi penerapan Industri 4.0 dengan berkesan.

“Ini merupakan langkah pertama bagi perusahaan di Malaysia untuk menyesuaikan diri dengan lanskap teknologi yang sentiasa berubah dengan pantas dan pada masa yang sama membangunkan bidang pertumbuhan baharu dengan mengutamakan kecekapan operasi dan ketahanan melalui digital dan teknologi automasi,” katanya.

Ahmad Khairuddin  berkata  pemboleh kritikal lain adalah  pekerja  mahir dan program peningkatan untuk mendorong dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia seterusnya ketersediaan tenaga kerja mahir akan menyokong peralihan semua sektor ekonomi ke arah aktiviti berintensifkan pengetahuan.

“Kerajaan  juga memperkenalkan  Elaun Modal Automasi, sebuah inisiatif utama untuk memotivasikan perusahaan  tempatan melakukan automasi dan menaik taraf mesin. Pemberian Geran Automasi Pintar  di bawah peruntukan RM100 juta adalah inisiatif yang diberikan kepada PKS dan syarikat pertengahan berdasarkan padanan atau 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan yang layak, hingga had pemberian maksimum RM1 juta bagi satu syarikat,” katanya.

Sementara itu, webinar tersebut menerima penyertaan lebih daripada 300 peserta, termasuk pengeluar, penyedia perkhidmatan dan bakal pelabur.

Sumber: Bernama

MIDA gesa syarikat tempatan laksana pendigitalan


Content Type:

Duration:

Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan berperanan sebagai pemangkin pemulihan ekonomi dalam keadaan pandemik COVID-19, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Penggalakan Pelaburan Asing MIDA, May Lim Ming Yee berkata pemeteraian perjanjian perdagangan bebas itu tepat pada waktunya, memandangkan situasi semasa, dengan ia akan, antaranya, mempermudah dan melindungi pelaburan negara-negara peserta dan pemansuhan tarif.

“Perniagaan boleh menikmati akses pasaran lebih luas dan peluang rentas sempadan antara pasaran RCEP,” katanya pada webinar MIDA bertema ‘Pelaburan China di Malaysia dan Dasar Pelaburan Terkini 2021’ pada Isnin.

Sementara itu, Penolong Pengarah bahagian yang sama, Por Yee Yun berkata di antara Januari dengan September 2020, China berada di kedudukan teratas senarai pelaburan negara utama yang diluluskan bagi sektor pembuatan Malaysia iaitu bernilai RM16.77 bilion, diikuti Singapura (RM7.61 bilion) dan Switzerland (RM2.77 bilion).

“Pelaburan yang diluluskan dari China bagi sektor pembuatan menunjukkan peningkatan, dan negara itu merupakan penyumbang pelaburan langsung asing (FDI) terbesar sejak empat tahun lepas, mencatatkan RM15.3 bilion pada 2019 dan RM16.77 bilion setakat suku ketiga 2020,” katanya.

Beliau berkata untuk menarik FDI China ke Malaysia, tumpuan perlu diberikan kepada elektrik dan elektronik; jentera dan peralatan; kimia; peralatan perubatan serta aeroangkasa.

“Sektor lain turut termasuk automotif; pengangkutan; tekstil; farmaseutikal; logam; pemprosesan makanan serta perkhidmatan,” katanya.

Sumber: Bernama

RCEP berperanan sebagai pemangkin pemulihan ekonomi Malaysia – MIDA


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bekerjasama dengan Pusat Teknikal Industri Mekanikal Perancis (CETIM) untuk memperkukuhkan lagi ekosistem teknologi Malaysia dengan menarik pelaburan berkualiti.

Dalam  kenyataan  bersama hari ini, MIDA dan CETIM  berkata  mereka telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menggalakkan, mempromosikan dan memberi kerjasama dalam bidang teknologi kejuruteraan dan pembuatan termasuk bidang baharu seperti pembuatan pintar, Industri 4.0 dan ekonomi pekeliling.

“Kedua-dua pihak akan melakukan inisiatif bersama seperti kegiatan penyelidikan, program latihan dan pertukaran, bertukar maklumat teknikal dan kepakaran dalam penyelidikan dan pembangunan  teknologi industri, serta  berkerjasama dengan institusi pendidikan tinggi  tempatan  dan organisasi penyelidikan dalam bidang industri pembangunan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Azman Mahmud menyambut baik terhadap pertimbangan CETIM untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat serantau dengan menubuhkan pejabat Asia Pasik di sini.

MoU itu mencerminkan inisiatif berterusan agensi itu untuk meningkatkan landskap teknologi Malaysia seiring dengan agenda Industri 4.0, katanya.

“MIDA telah menjadi saluran antara entiti seperti CETIM, pemain industri dan ahli akademik untuk membuat kolaborasi baru yang berkesan sejajar dengan agenda aspirasi pelaburan Malaysia untuk mengembangkan industri bernilai tambah, modal dan pengetahuan tinggi.

“Terutama  ketika ini apabila pandemik telah mengubah cara kita hidup dan menjalankan perniagaan, peluang muncul dalam ruang teknologi untuk  bagi pihak berkepentingan memanfaatkannya,” katanya.

Justeru itu,  MIDA optimis bahawa inisiatif itu  dengan CETIM akan meningkatkan kemampuan teknologi industri negara dan membawa kepada  lebih banyak pelaburan dalam bidang baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif CETIM Daniel Richet berkata pusat itu dan MIDA yang telah berhubung sejak 2013 akan terus meneroka cara terbaik untuk menangani masalah dan cabaran dalam menerapkan Industri 4.0 di lanskap perindustrian Malaysia.

“CETIM memiliki sejarah dan pengalaman yang panjang dalam menyokong penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi dan pembangunan semua perusahaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana dalam industri mekanikal di Perancis, pertama melalui program nasional untuk robotik, pembuatan aditif dan kemudian pada peringkat antarabangsa.

“Kami bangga dapat berkerjasama dengan MIDA kerana Malaysia kini memberi keutamaan kepada automasi industri dan digitalisasi,” kata Richet.

Sementara itu, kenyataan itu berkata MIDA sebagai pihak berkuasa dalam promosi pelaburan dan pembangunan yang utama di Malaysia, MIDA terus meningkatkan usahanya untuk memacu hubungan R&D yang lebih kukuh antara industri, institusi pengajian tinggi dan penyelidikan.

Sehingga kini, MIDA telah meluluskan  sebanyak 195 projek R&D dengan jumlah pelaburan sebanyak RM3 bilion, merangkumi 46 kemudahan R&D dalaman, 79 syarikat R&D kontrak, 30 syarikat R&D, 24 syarikat status R&D serta 16 projek R&D strategik nasional.

“Kerajaan terus menyokong kerangka R&D di negara ini melalui pelbagai insentif dan bantuan kewangan,” kata kenyataan itu.

MIDA menawarkan insentif cukai kepada pengilang yang mempunyai kemudahan R&D dalaman atau penyedia perkhidmatan penyelidikan.

“Insentif elaun cukai pelaburan ditawarkan kepada entiti yang mendapat kelulusan sebagai syarikat R&D, syarikat R&D kontrak atau kemudahan R&D dalaman dan pada masa yang sama, syarikat R&D kontrak juga dapat memilih insentif status perintis,” katanya. Bagi mengaktifkan kegiatan R&D, rma-rma yang menerima perkhidmatan daripada syarikat berstatus R&D layak untuk menuntut potongan dua kali ganda atas perbelanjaan yang dikeluarkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), katanya.

Sumber: Bernama

MIDA dan CETIM akan perkukuhkan ekosistem teknologi Malaysia


Content Type:

Duration:

Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan bagi pembuatan bernilai tinggi dan perkhidmatan global di Asia, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Negara kekal menjadi destinasi pelaburan dengan persekitaran yang menyokong termasuk prasarana yang baik, perkhidmatan telekomunikasi, perkhidmatan kewangan dan perbankan, industri sokongan, tenaga kerja mahir dan boleh dilatih serta peluang pasaran yang ditawarkan menerusi 16 Perjanjian Perdagangan yang ia telah meterai.

MIDA berkata demikian sebagai menyangkal satu laporan akhbar harian Singapura  berkaitan pelabur asing yang keluar dari Malaysia, dengan menegaskan bahawa perkara itu tidak benar.

“Laporan itu dengan secara salah menunjukkan bahawa laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNCTAD) mengesahkan apa yang telah diperkatakan berdasaran pemerhatian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MIDA berkata ia telah mengenal pasti 240 projek pelaburan asing berprol tinggi termasuk syarikat Fortune 500 dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan dengan gabungan potensi nilai pelaburan sebanyak RM81.9 bilion.

“Ketika ini, MIDA juga menerima potensi pelaburan bernilai  RM47.7 bilion ke dalam negara. Projek-projek ini, apabila diluluskan kelak, dijangka dilaksanakan pada tahun 2021 hingga 2022,” katanya.

Memetik Jabatan Perangkaan Malaysia, MIDA berkata aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) kasar ke dalam negara bagi tempoh Januari hingga September 2020 bernilai RM108.2 bilion berbanding RM102.3 bilion dalam tempoh yang sama pada 2019, peningkatan 5.8 peratus.

“Ini merupakan pencapaian yang cukup besar memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan masing-masing pada suku kedua dan ketiga tahun lepas. 

“Aliran masuk FDI kasar juga mencerminkan kadar tinggi projek FDI yang diluluskan dan dilaksanakan dalam ekonomi termasuk sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama dalam tempoh beberapa tahun lepas,” katanya. 

MIDA berkata jumlah FDI yang diluluskan dari 2018 hingga September 2020 bernilai RM206.02 bilion.

Pada  2020, sembilan syarikat pembuatan milik asing sedia ada dengan jumlah pelaburan RM394.3 juta di Malaysia telah melaksanakan langkah-langkah rasionalisasi perniagaan.

“Syarikat-syarikat ini  sama ada menutup perniagaan mereka di Malaysia atau memindahkannya ke negara lain disebabkan gangguan teknologi yang mengubah landskap perniagaan mereka dan mengalami pengurangan permintaan bagi produk mereka.

“Pelaburan ini merupakan sebahagian daripada jumlah pelaburan diluluskan dalam ekonomi bagi tempoh dari Januari-September 2020,” katanya.

Sementara itu, MIDA berkata Malaysia kekal sebagai pengeluar utama semikonduktor dan sensor bagi kereta di tengah-tengah laporan bahawa pelabur berpotensi dalam industri automotif menimbang membuka kilang pemasangan mereka di negara-negara jiran.

“Malaysia memiliki satu daripada ekosistem paling komprehensif di rantau ini dalam industri elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan, aeroangkasa, automotif dan peralatan perubatan,” katanya.  

Sumber: Bernama

Malaysia kekal destinasi pelaburan menarik di Asia – MIDA


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) membantu mewujudkan kerjasama antara Panasonic Appliances Air-conditioning Malaysia Sdn Bhd (PAPAMY) dan Universiti Malaya (UM) untuk membentuk kerjasama akademik dan industri.

Kedua-dua pihak itu hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dan akan mewujudkan rangka kerja yang kukuh untuk kerjasama strategik bagi projek penyelidikan Sarjana dan PhD, latihan perindustrian dan penempatan pekerjaan serta penyelidikan antara profesor, penyelidik UM dan PAPAMY.

Skop tumpuan segera untuk kerjasama itu adalah dalam bidang peningkatan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0), khususnya dalam bidang pembuatan dan kecemerlangan kejuruteraan, katanya dalam kenyataan bersama.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif II MIDA Ahmad Khairuddin Abdul Rahim, yang menyaksikan majlis pemeteraian itu, berkata kehadiran Panasonic di Malaysia menjadi contoh kepada bagaimana perniagaan dan teknologi berkembang berikutan syarikat itu terus melakukan penyesuaian yang diperlukan untuk melatih semula tenaga kerjanya dan beralih kepada automasi dan robotik.

“Walaupun banyak syarikat tidak bersedia untuk mengeluarkan perbelanjaan untuk latihan dalam tempoh mencabar ini, PAPAMY telah memilih untuk memulakan kerjasama industri-akademik dengan universiti tempatan yang bereputasi, UM, yang mahu meningkatkan tenaga kerja kami dengan kemahiran digital yang relevan, daya tahan dan daya maju untuk menghadapi cabaran daripada iklim ekonomi yang tidak menentu,” katanya.

MIDA berharap MoU tersebut yang memanfaatkan kepakaran di PAPAMY dan UM akan memainkan peranan penting untuk membina kumpulan tenaga kerja yang sedia untuk industri dan dinamik pada masa depan.

Agensi promosi pelaburan itu berkata Malaysia yang kini ke arah era Industri 4.0 yang menuntut kepada keperluan yang semakin meningkat untuk gabungan pengetahuan teknikal, pemikiran kritis, kemampuan menyelesaikan masalah dan kemahiran insaniah, tenaga kerja perlu maju dalam bidang pemacu teknologi Industri 4.0 seperti Internet of Things untuk memenuhi keperluan industri.

Sumber: Bernama

MIDA wujudkan kerjasama akademik-industri antara Panasonic, UM


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan sebanyak 1,053 projek perkilangan dan perkhidmatan bagi tempoh Mac sehingga September, 2020 dengan jumlah pelaburan sebanyak RM61.7 bilion.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata daripada jumlah keseluruhan itu sebanyak RM57.9 bilion adalah daripada sektor perkilangan dan RM3.8 bilion adalah daripada sektor perkhidmatan.

“Sebanyak RM44.0 bilion atau 71.3 peratus merupakan pelaburan baharu, manakala RM17.7 bilion atau 28.7 peratus disumbang melalui aktiviti pembesaran dan pempelbagaian.

“Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan itu, pelaburan langsung tempatan (DDI) menyumbang sebanyak 40.5 peratus atau RM25 bilion, sementara pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak 59.5 peratus atau RM36.7 bilion,” katanya di dalam jawapan lisan di sesi Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) yang minta menyatakan berapa jumlah pelaburan baru masuk ke Malaysia sejak Mac 2020 dan berapa jumlah pelabur yang keluar atau menamatkan pelaburan ke Malaysia pada tempoh yang sama sehingga kini.

Mohamed Azmin berkata bagi tempoh yang sama terdapat 13 syarikat perkilangan menamatkan operasinya di Malaysia, antaranya adalah pelabur dari Amerika Syarikat, Perancis, Belgium, Singapura, Hong Kong dan Malaysia.

Penutupan syarikat-syarikat perkilangan itu susulan daripada pengurangan permintaan disebabkan persaingan yang sengit antara pengeluar dalam kalangan produk yang sama, peningkatan dalam kos operasi dan ketidaktentuan pasaran ekonomi global akibat pandemik COVID-19.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sentiasa memastikan dasar-dasar domestik terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara terutamanya dalam meningkatkan kadar FDI dan DDI dengan memastikan Malaysia mempunyai ekosistem pelaburan yang stabil, kondusif dan dinamik dalam jangka masa panjang serta melaksanakan beberapa inisiatif lain,” katanya.

Beliau berkata antara Inisiatif yang telah dilaksanakan ialah menggalakkan pelaburan asing dan tempatan dalam sektor berteknologi tinggi, perkilangan, kreatif serta ekonomi baharu.

“Sehingga September 2020, kerajaan sedang menilai projek-projek pelaburan sebanyak RM54 bilion dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan. Selain itu, MITI menerusi MIDA melaksanakan sesi libat urus secara berterusan melalui pejabat MIDA luar negara dalam usaha untuk menarik projek pelaburan berprofil tinggi.

“Setakat ini, MIDA telah mengenal pasti projek dengan potensi pelaburan bernilai RM75.4 bilion daripada pelabur asing yang disasar bagi tahun 2020 dan 2021, antara negara yang disasarkan ialah Jepun, Amerika Syarikat, Jerman, Belanda, Korea Selatan, China, United Kingdom dan Taiwan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kementerian telah menganjurkan dan mengambil bahagian dalam pelbagai program penggalakan pelaburan terutamanya yang dilakukan secara maya menerusi kerjasama bersama dewan perniagaan, institusi perbankan dan komuniti perniagaan antarabangsa.

“Kerajaan komited dalam usaha memulihkan semula ekonomi yang terjejas akibat penularanCOVID-19, sekaligus mengekalkan negara ini sebagai destinasi pilihan utama khususnya bagi projek pelaburan domestik dan asing yang berkualiti dan berimpak tinggi,” katanya. 

Source: Bernama

MIDA lulus 1,053 projek bernilai RM61.7 bilion bagi tempoh Mac-Sept – Mohamad Azmin


Content Type:

Duration:

Cyberview Sdn Bhd (Cyberview) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memanfaatkan keupayaan serta kekuatan masing-masing dalam pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI).

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud, berkata kerjasama itu dapat menarik pelaburan berkualiti untuk ekonomi negara pasca pandemik COVID-19.

Beliau berkata, MIDA berusaha untuk tidak hanya mempromosikan pengembangan ekosistem perindustrian semata-mata, tetapi juga untuk memastikan penggunaan sepenuhnya kemudahan yang ada di negara ini.

Katanya, ini termasuk kemudahan yang tepat untuk memenuhi kehendak perniagaan, terutamanya ketika ini.

“MOU dengan Cyberview adalah langkah menuju matlamat ini. Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, Malaysia berusaha untuk mendorong lebih banyak pelaburan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), Global Trading Center dan Principal Hub.

“MIDA optimis melalui MOU ini, kami dapat memberi kemudahan kepada pelabur kami dengan lebih baik kerana Cyberjaya berpotensi menjadi lokasi yang ideal kerana infrastruktur dan sambungan yang lengkap, pelan induk bandar pintar yang komprehensif dan jarak dekat dengan kemudahan lain.

“Kami yakin bahawa ia akan menterjemahkan pelaburan yang lebih berkualiti masuk ke Malaysia, terutama dalam bidang teknologi. ” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengarah Urusan Cyberview, Najib Ibrahim, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan MIDA untuk menarik dan membawa pelaburan bernilai tinggi seperti perkhidmatan yang inovatif dan berasaskan teknologi.

Beliau berkata, Cyberciew juga menyasarkan dapat meningkatkan peluang pekerjaan, terutama dalam bidang yang berkaitan dengan teknologi serta mendorong pemindahan modal ke Cyberjaya dan Malaysia.

“Kami yakin MOU ini akan meningkatkan ekosistem inovatif bandar kami dengan memacu aktiviti R&D&C, dengan usaha yang difokuskan pada kelompok teknologi seperti mobiliti pintar, penjagaan kesihatan pintar dan kreatif digital.

“Namun, kami tidak sepenuhnya terhad pada ketiga-tiga bidang ini. Kawasan ini adalah sebahagian daripada rancangan induk baharu kami bagi Cyberjaya yang bertujuan untuk mewujudkan identiti unik untuk bandar pintar sebagai pilihan lokasi pelaburan teknologi,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Kerjasama Cyberview, MIDA tarik pelaburan ke Cyberjaya


Content Type:

Duration:

wpChatIcon