Berita Perkhidmatan Archives - Page 11 of 24 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Industri logistik Malaysia masih ada ruang yang perlu diperbaiki – LPN

Nexus Produktiviti Logistik (LPN) akan menangani isu-isu yang berkaitan dengan industri logistik dan memastikan ianya mempunyai infrastruktur bertaraf dunia sambil meningkatkan pengetahuan setempat untuk membawa perubahan dalam industri tempatan, kata presidennya Datuk Seri Michael Tio.

Industri logistik di Malaysia mempunyai banyak ruang untuk penambahbaikan agar ianya mampu menjadi destinasi logistik pilihan di ASEAN, dan Malaysia mempunyai infrastruktur yang komprehensif bagi industri itu berkembang kerana disokong oleh sambungan darat, laut dan udara yang baik. 

Bagaimanapun, masih banyak lagi aspek yang perlu diperbaiki, katanya.

“Ketidakpadanan antara institusi serta peraturan, kesesakan di sempadan, aktiviti rantaian bernilai rendah, kekurangan tenaga kerja dan tidak mahir adalah beberapa isu yang perlu ditangani,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) hari ini. 

Salah satu pelaksanaan utama yang akan dilaksanakan oleh jawatankuasa pentadbir ialah pengenalan penunjuk prestasi utama (KPI) bagi pelbagai pihak berkepentingan LPN termasuk strategi pelaksanaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kami akan melaporkan kemajuan serta hasil kami secara berkala supaya pihak berkepentingan dan pemain industri dapat menjejaki transformasi tersebut. Kami berharap dengan kemajuan, kami dapat mengubah persepsi pemain tempatan dan asing mengenai kedudukan logistik negara ini.

“Mungkin, industri tempatan juga boleh menerima perubahan ini untuk meningkatkan diri agar setanding dengan pemain global yang telah bertapak di Malaysia. Transformasi tidak mendadak tetapi ini boleh dilakukan secara bersama dan seterusnya mencapai KPI kami,” katanya.

Sejajar dengan pelaksanaan KPI, LPN akan bekerjasama rapat dengan pelbagai pemegang kepentingan dalam pendidikan dengan menawarkan kursus berkaitan logistik untuk membina komuniti logistik yang berpengetahuan serta memiliki pemikiran bertaraf global.

Institusi seperti Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Malaysia Kelantan terlibat untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif ini.

Beliau berkata cadangan telah dikemukakan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) Malaysia. 

Ini merangkumi tindakan mengurangkan kuasa pihak berkuasa bagi menetapkan kadar pengangkutan untuk memastikan persaingan harga, menghapuskan kriteria yang tidak perlu semasa pembaharuan lesen dan memperkenalkan syarat yang jelas kepada pemohon untuk pengangkutan maritim dalam usaha mengurangkan kos serta memudahkan kemasukan pasaran.

“Dengan pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan untuk tahun-tahun akan datang, diunjurkan bahawa sumbangan sektor logistik kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) akan meningkat kepada 6.5 peratus menjelang 2030 dan jumlah tenaga kerja logistik mencecah satu juta pada tahun yang sama,” katanya.

Sumber: Bernama

Industri logistik Malaysia masih ada ruang yang perlu diperbaiki – LPN


Content Type:

Duration:

Kesatuan Eropah (EU) terbuka kepada kerjasama strategik dengan Malaysia dalam pembangunan inisiatif perbankan digital dalam usaha meningkatkan kesalinghubungan antara kedua-dua pihak.

Pesuruhjaya EU Johannes Hahn berkata sebarang bentuk kerjasama adalah positif dengan cara ia menyumbang kepada lebih ketelusan dan kebolehkesanan tindakan yang boleh mempertingkatkan hubungan antara kedua-dua kerajaan.

“Saya mengalu-alukan semua inisiatif ke arah meningkatkan kesalinghubungan termasuk pembangunan bank digital di Malaysia dan ia harus berdasarkan kepada rangka kerja perundangan,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif sempena lawatan rasmi sulungnya ke Malaysia hari ini.

Terdahulu, Hahn meluangkan masa hampir sejam bertemu Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Gabenor Bank Negara Datuk Marzunisham Omar untuk membincangkan lebih lanjut kerjasama dua hala antara EU dan Malaysia.

Hahn berkata tujuan utama lawatannya adalah untuk membentangkan program terbitan NextGenerationEU, satu inisiatif bon yang dikeluarkan untuk membantu ekonomi EU pulih dan menjadi lebih berdaya tahan menghadapi cabaran global.

“Elemen utama yang dipanggil bon hijau ini adalah untuk melabur dalam inisiatif peralihan hijau untuk menangani kesan perubahan iklim dan untuk memperbaiki keadaan hidup rakyat. Ia adalah produk yang menarik dan saya ingin melihat Malaysia melabur dalam bon Eropah ini sebagai elemen untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan hubungan baik yang terjalin ini,” tambahnya.

Mengulas mengenai kesan perang berterusan antara Rusia dan Ukraine terhadap ekonomi dan gangguan rantaian bekalan global, Hahn berkata ia menunjukkan supaya jangan bergantung kepada satu pembekal  sahaja dan memberi lebih tumpuan kepada kecekapan tenaga boleh diperbaharui.

Beliau berkata EU sedang menghadapi waktu yang mencabar dengan kenaikan harga tenaga yang telah mencetuskan inflasi yang ketara tetapi EU berusaha bersunggfuh-sungguh untuk membendungnya.

“EU telah pun memperkenalkan dan melancarkan banyak langkah untuk mempelbagaikan bekalan tenaga kita, antaranya adalah meningkatkan import gas asli cecair sebanyak 75 peratus sejak meletusnya perang.

“Kami juga telah mencipta apa yang kami panggil perkongsian tenaga dengan beberapa syarikat dari dalam dan luar Eropah,” katanya.

Sumber: Bernama

Kesatuan Eropah sambut baik kerjasama dengan Malaysia dalam pembangunan perbankan digital


Content Type:

Duration:

Peralihan tenaga bersih Malaysia untuk sektor kuasa akan membawa pelaburan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kerajaan mensasarkan kumulatif pelaburan langsung bernilai RM53 bilion atau USD12 bilion dan 47,000 peluang pekerjaan diwujudkan menerusi peralihan itu.

“Peralihan (tenaga) itu boleh dicapai menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia yang memfokuskan kepada empat sumber utama tenaga boleh baharu iaitu suria, biojisim, biogas dan hidro. Negara komited dalam membangunkan sektor tenaga yang mantap, stabil dan rendah karbon serta ia diletakkan dalam agenda pembangunan negara.

“Hasrat tersebut terdapat dalam banyak dasar kerajaan seperti Rancangan Malaysia Ke-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Ini menunjukkan komitment kerajaan dalam memastikan satu sistem tenaga yang stabil, saksama dan lestari di Malaysia,” katanya dalam ucapan.

Ucapan tersebut dibacakan oleh Timbalan Menteri KeTSA Datuk Ali Biju sebelum merasmikan Forum Kuasa Bersih dan Tenaga Baharu Tahunan Kedua di sini hari ini.

Bagaimanapun, Takyuddin berkata peralihan sektor tenaga Malaysia tidak boleh dicapai tanpa penyertaan sektor swasta dan percaya dengan sokongan semua pemain industri tenaga, aspirasi Malaysia ke arah masa depan yang lebih bersih akan menjadi realiti.

Sumber: Bernama

Peralihan tenaga bawa pelaburan, peluang pekerjaan – Takiyuddin


Content Type:

Duration:

Jumlah pelaburan terkumpul bagi hab perindustrian berteknologi tinggi, Sedenak Tech Park (STeP) di Kulai untuk fasa pertama telah mencecah RM12.5 bilion setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata Johor menyasarkan kira-kira 7,800 peluang pekerjaan diwujudkan di fasa pertama STeP yang terletak di kawasan seluas 745 ekar itu.

“Kami akan terus mempromosikan kawasan ini sebagai hab pusat data negeri sepertimana yang disasarkan dalam Pelan Mampan Pembangunan Johor 2030 dan sebagai salah satu strategi untuk merealisasikan agenda Digital Johor.

“Ini kerana pembangunan pusat data adalah antara komponen utama yang bakal memberikan dorongan bukan sahaja kepada pendigitalan ekosistem tetapi juga membolehkan pemenuhan aspirasi Johor sebagai hab inovasi digital di rantau ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

TPM Technopark Sdn Bhd yang merupakan sebuah anak syarikat Johor Corporation sedang dalam perancangan untuk membangunkan fasa kedua STeP.

Menerusi hantaran itu, Lee telah menghadiri program lawatan ke STeP anjuran TPM Technopark yang mennempatkan sebanyak lapan syarikat operasi pusat data bertaraf antarabangsa dari Amerika Syarikat, China dan Singapura.

Katanya, program itu bertujuan memperkenalkan STeP, termasuk fasiliti sedia ada serta pembangunan akan datang sebagai salah satu strategi bagi menarik pelaburan ke Johor. 

STeP sebelum ini dikenali sebagai Kulai Iskandar Data Exchange (Kidex).

Sumber: Bernama

Jumlah pelaburan terkumpul STeP RM12.5 bilion


Content Type:

Duration:

Kerajaan negeri Sarawak amat serius dalam memberi penekanan terhadap aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) membabitkan semua bidang ekonomi, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, aktiviti R&D bersama institusi ternama seperti Universiti Nasional Singapura (NUS) telah memberikan pulangan kepada negeri tersebut.

“Banyak orang bertanya kepada saya kenapa Sarawak bekerjasama dengan NUS. Memandangkan pengiktirafan amat penting, kerjasama ini terjalin disebabkan NUS ada nilai bersih dengan institusi berwibawa dari seluruh dunia, yang mana akan membolehkan produk kami diiktiraf dan diterima di pasaran antarabangsa,” katanya semasa berucap pada lawatan kerja di Petronas Research Sdn Bhd hari ini.

Turut hadir adalah Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Abang Johari dan Tengku Muhammad Taufik turut menyaksikan majlis pemeteraian dua perjanjian pembekalan peranti penghasil hidrogen H2 untuk stesen pengisian semula H2 Darul Hana serta Batu Kawa antara PetronasTechnology Ventures Sdn Bhd dan SEDC Energy termasuk perjanjian kerjasama teknologi membabitkan minyak boleh diperbaharui antara Petronas Research Sdn Bhd dengan SEDC Energy.

Kerajaan negeri juga menfokus kepada perubahan iklim dan Abang Johari menjelaskan bahawa Sarawak telah meminda undang-undang termasuk peraturan hutannya bagi meningkatkan keupayaan negeri itu dalam penyimpanan karbon.

“Sarawak mempunyai aspirasi yang tinggi daripada segi tenaga dan saya ingin menyebut di sini bahawa perubahan iklim adalah masalah yang sebenar. Hari ini, kami melihat United Kingdom dan Arab Saudi mencecah suhu 40 darjah.

“Ini adalah perubahan sebenar. Tenaga telah menjadi prasyarat bagi kami untuk bergerak ke hadapan dan selain untuk menjimatkan kos, ia juga tidak boleh menjejaskan alam sekitar dan kerana itu kerajaan Sarawak mula menjalankan kajian ke atas hidrogen,” tambahnya.

Kerajaan negeri mempunyai projek perintis dengan Sarawak Energy Bhd bagi menghasilkan hidrogen sejajar dengan inisiatif hijau negari itu.

Abang Johari berkata kerajaan negeri Sarawak akan membuat kerjasama yang lebih kukuh dengan Petronas untuk menambah nilai kepada sumber -sumber yang dimiliki oleh negari itu.

“Kami mempunyai empat empangan hidro dan kami akan menambah satu lagi. Kami juga sedang melabur di Kalimantan untuk memenuhi permintaan tenaga di Nusantara (melalui kuasa hidro) bersama -sama dengan kerajaan Indonesia,” katanya.

Sumber: Bernama

Sarawak beri penekanan dalam R&D — Premier


Content Type:

Duration:

Malaysia mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dari China dalam bidang ekonomi digital, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari China, Wang Yi, beliau menekankan mengenai kepentingan kedua-dua negara bekerja lebih rapat dalam bidang berkaitan ekonomi digital dan kerjasama antara syarikat telekomunikasi.

“Saya tertarik dengan pandangan Wang Yi bahawa kita menjadikan ekonomi digital sebagai premium, untuk mengorak langkah ke hadapan bagi membina semula ekonomi dan mengekalkan pertumbuhan masa depan kita,” katanya selepas pertemuan dua hala dengan Wang Yi, di sini, hari ini.

Wang Yi yang juga Ahli Dewan Negara China dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula semalam.

Menyifatkan pertemuan itu sangat mesra dan berhasil, Saifuddin berkata, tahun depan menandakan Ulang Tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) kedua-dua negara dan kedua-dua pihak bersetuju memperingati peristiwa penting itu.

Katanya, kedua-dua pihak juga mengharapkan lebih banyak lawatan peringkat tinggi pada tahun akan datang dan memupuk lagi saling percaya antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bertemu Wang Yi hair ini menyatakan minat untuk melawat China jika keadaan mengizinkan.

Saifuddin berkata, konsep ‘Komuniti Masa Depan Bersama’ cetusan idea Presiden Xi Jinping, sejajar dengan konsep ‘Dunia adalah Keluarga’ yang diperkenalkan Perdana Menteri Malaysia.

“Malaysia menyambut baik inisiatif China untuk menggalakkan keterbukaan, keterangkuman dan saling menghormati, secara prinsipnya kami menyokong konsep itu,” katanya.

Saifuddin berkata, mereka turut membincangkan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI); projek Taman Berkembar Dua Negara; projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan kerjasama Lembah Automotif Berteknologi Tinggi.

“Seperti yang kita semua tahu, ECRL adalah projek yang akan direalisasikan dan kami sudah pun memulakannya. Di bawah projek taman berkembar, sekali lagi, China meraikan Ulang Tahun Ke-10 Penubuhan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kerajaan Pahang sedang membuat persiapan menyambut Ulang Tahun ke-10 taman perindustrian kembarnya, Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), yang akan disambut pada 2023.

Katanya, beliau dan Wang Yi turut membincangkan perkara berkaitan hubungan antara ASEAN dan China sebagai rakan dialog, khususnya mengenai CSP antara kedua-dua pihak.

“Bagaimana kita menjadikan CSP berfungsi dengan lebih baik, bagaimana kita mengusahakan idea pembangunan bersama mengenai keselamatan makanan dan meluaskan Kawasan Perdagangan Bebas,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin dan Wang Yi menyaksikan penyerahan dokumen antara Pentadbiran Meteorologi China dan Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai CMAcast, sebuah sistem yang menggunakan teknologi Penyiaran Video Digital satelit China untuk menghantar data meteorologi, dan menandatangani Memorandum Persefahaman antara Sistem Penyiaran Hunan dan Media Prima Omnia Sdn Bhd.

Sumber: Bernama

Malaysia harap lebih banyak pelaburan China dalam ekonomi digital


Content Type:

Duration:

Industri perkhidmatan perniagaan global Malaysia dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul lima tahun sebanyak 6.2 peratus kepada US$6.7 bilion (US$1=RM4.42) menjelang 2025, menurut Digital Global Business Services Council Malaysia (GBS Malaysia).

Unjuran itu terkandung dalam pelan hala tuju strategik bertajuk “Global Business Services – Malaysia Strategy 2022-2027” yang diterajui oleh GBS Malaysia (dahulunya Outsourcing Malaysia), segmen di bawah National Tech Association of Malaysia (PIKOM), untuk memacu industri ke hadapan. 

Pengerusi GBS Malaysia Anthony Raja Devadoss berkata industri telah mencatatkan pertumbuhan sejak 15 tahun yang lepas dan dijangka terus berkembang pada masa depan berikutan kedudukan Malaysia dalam perkhidmatan perniagaan global digital bernilai tinggi adalah penting.

Beliau berkata empat tonggak utama telah dikenal pasti untuk membantu memacu pertumbuhan industri. Bidang utama termasuklah transformasi digital, automasi, data dan analisis serta perkhidmatan berasaskan awan.

“GBS Malaysia berkembang dengan perubahan berterusan dalam sektor perkhidmatan perniagaan global dan kami perlu kekal relevan dengan situasi dalam mewakili industri kami di Malaysia untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Laporan itu membentangkan fokus syarikat global dan tempatan dengan jelas untuk meningkatkan kemahiran pekerja mereka yang membawa kepada pewujudan lebih 250,000 tenaga kerja terlatih pada masa ini, termasuk dalam bidang pengalaman pelanggan, teknologi digital, kewangan, perakaunan dan sumber manusia,” katanya kepada media pada pelancaran Global Business Services – Laporan Strategi Malaysia 2022-2027 hari ini.

Anthony berkata industri mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang ketara dan menawarkan pekerjaan semasa pandemik COVID-19 yang bermula pada 2020, dan ia terus berkembang, berdasarkan dapatan laporan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Mahadhir Aziz berkata agensi itu berhasrat untuk mempercepatkan pertumbuhan industri perkhidmatan perniagaan global bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai habnya.

“Sejajar dengan sokongan daripada kerajaan dan kerjasama yang berkesan antara perkongsian awam-swasta, negara kita akan dapat mengukuhkan kedudukan kepimpinannya dalam sektor tumpuan ini,” katanya.

Sumber: Bernama

Pendapatan industri perkhidmatan perniagaan global Malaysia akan cecah US$6.7 bilion menjelang 2025 – GBS Malaysia


Content Type:

Duration:

Permintaan untuk jawatan berkaitan digital di negara ini telah meningkat 300 peratus pada tahun 2021 berbanding tahun sebelumnya yang 20 peratus daripadanya perlu diisi graduan baharu.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata angka itu adalah hasil kajian Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang ia melibatkan 56,000 kekosongan jawatan dalam bidang digital.

“Permintaan kepada pekerja yang mempunyai kemahiran digital semakin meningkat dan kritikal dalam membantu perkembangan industri serta ekonomi negara.

“Di peringkat global pula, berdasarkan laporan ‘Future of Jobs Report 2020′ mengatakan  bahawa penawaran pekerjaan dalam bidang ini dilaporkan bakal meningkat sebanyak 12 peratus kepada 97 juta pekerjaan pada tahun 2025,” katanya semasa Majlis Pelancaran ‘Portal On-Demand Learning’ (ODL), AirAsia Academy dan penyerahan penempatan pekerjaan Program Transformasi Digital Graduan Universiti di Kuala Lumpur Sentral hari ini.

Noraini juga berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa menjalankan langkah-langkah strategik dan mengadakan pelbagai usaha dalam memastikan graduan tempatan dapat memenuhi keperluan industri dalam bidang digital.

Dalam majlis yang sama, Presiden Capital A Bhd (Usaha Sama) Aireen Omar yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Academy berkata AirAsia Academy berjaya memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang digital antara institusi pendidikan tinggi dan pemain industri.

“Setakat hari ini, kami telah menjalin kerjasama dengan pihak industri, serta badan kerajaan untuk menambah kemahiran dan latihan semula hampir 6,000 penuntut serta mereka yang telah bekerja dengan kemahiran penting untuk memacu Revolusi Perindustrian 4.0,” katanya.

Pada majlis tersebut seramai enam graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang telah menamatkan kursus digital mereka di AirAsia Academy, ditawarkan dengan pelbagai jawatan di beberapa syarikat ternama seperti AirAsia, BASF dan Carsome.

Sumber: Bernama

Permintaan terhadap kemahiran digital meningkat 300 peratus – Noraini


Content Type:

Duration:

Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan di Gebeng di sini, dijadual bermula tahun depan dengan kos RM2 bilion dan beroperasi pada 2026, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, pembinaan lapangan terbang itu juga dibuat dengan rancangan pembangunan bercampur bandar aeroangkasa membabitkan kawasan seluas 5,042 hektar, yang disifatkan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi Pahang.

“Projek ini akan dibangunkan secara usaha sama iaitu melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) yang berkonsepkan pembangunan secara bina-kendali-milik (BOO) iaitu pengoperasian lapangan terbang ini dikendalikan pihak syarikat sepenuhnya melalui pembentukan syarikat tujuan khusus (SPV) iaitu Pahang Airport Berhad.

“Pemajuan projek ini dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Pahang membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM7.5 bilion setahun atau bersamaan RM150 bilion dalam tempoh 20 tahun, selain kerajaan negeri menyasarkan untuk menguasai sekurang-kurangnya satu peratus daripada pasaran penyelenggaraan, baik pulih dan pembaikan (MRO) Asia Pasifik yang dianggarkan bernilai RM15 trilion.

“Komponen projek ini membabitkan 70 peratus untuk MRO dan baki 30 peratus pula bagi pengoperasian lapangan terbang itu sendiri,” katanya dalam kenyataan media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pelaksanaan projek itu, di sini hari ini.

Pada majlis itu, kerajaan negeri diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Corporation Sdn Bhd, Datuk Mohd Khusaini Harumaini, manakala Gading Group Berhad selaku pemaju utama bagi kedua-dua projek diwakili Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Johari Harun.

Sementara itu, Ketua Perwakilan AVIC Intl ke Malaysia, Zhuo Yue menandatangani selaku rakan strategik bagi projek pembinaan lapangan terbang, manakala rakan strategik bagi pemajuan pembangunan bercampur bandar aeroangkasa ialah Syabas Seribumi Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya, Mohamad Nor Hamid.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut hadir di majlis itu.

Untuk rekod, lapangan terbang sedia ada iaitu Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah di sini adalah milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Wan Rosdy berkata, Gading Group Berhad mempunyai kepakaran perniagaan dalam bidang aeroangkasa sebagai penyedia kelengkapan dan perkhidmatan bagi pesawat udara serta mesin atau kelengkapan lain berkaitan perkhidmatan udara.

Beliau berkata, syarikat yang dilantik sebagai rakan strategik juga memiliki kepakaran, pengalaman yang kukuh serta rekod baik dalam bidang pembangunan infrastruktur lapangan terbang dan pembangunan bercampur.

Katanya, selain itu, pelaksanaan projek itu membuka 20,000 peluang pekerjaan dengan sasaran pekerjaan bagi pengoperasian lapangan terbang dan 30,000 pekerjaan lain menerusi pembangunan sektor perindustrian, perkhidmatan dan pelancongan.

“Pelaksanaan projek itu di Gebeng juga mengambil kira faktor hab ekonomi kerana terletak di kawasan perindustrian Gebeng dan berhampiran Pelabuhan Kuantan serta Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diharap menjadikan Pahang pilihan utama pelabur berdasarkan kemudahan itu,” katanya.

Sumber: Bernama

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan di Gebeng, mula operasi 2026


Content Type:

Duration:

Pertubuhan Bandar Mampan dan Pintar Malaysia (MSCA) berminat untuk menjalin kerjasama dengan Sarawak melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dalam membangunkan bandar pintar.

Menurut SMA dalam satu kenyataan di sini, perkara itu disampaikan oleh MSCA susulan kunjungan hormat Pengerusi MSCA Dr Raslan Ahmad ke SMA baru-baru ini.

Raslan berkata dengan pengalaman luas Sarawak dalam dasar pendigitalannya, MSCA berminat untuk menjalin kerjasama dengan Sarawak melalui SMA untuk mencapai matlamat bersama bagi sebuah negara pintar yang mampan.

“Kami berharap dapat menjalinkan kerjasama dengan SMA kerana kami percaya kisah kejayaan dan amalan terbaik Sarawak di bawah kepimpinan SMA perlu dicontohi di negeri-negeri lain di Malaysia, dan mungkin di peringkat global,” katanya dalam kenyataan itu.

Raslan berkata MSCA ialah platform yang ditubuhkan untuk ahli majlis membincangkan isu dan cabaran Bandar Pintar serta mewujudkan peluang untuk rangkaian dalam kalangan pihak berkepentingan.

Semasa kunjungan hormat itu, Pengurus Besar SMA Dr Zaidi Razak berkongsi dengan delegasi mengenai rancangan Sarawak untuk memanfaatkan teknologi digital untuk memaksimumkan nilai digital, dan menyampaikan perkhidmatan yang mudah, selamat dan dipercayai untuk manfaat rakyat.

“Kami berbesar hati kerana dapat menarik minat pelbagai pihak, sama ada agensi kerajaan dari negeri lain dan pakar industri. Ini menunjukkan bahawa Sarawak dianggap sebagai kuasa digital sejak permulaan agenda ekonomi digital pada 2018.

“Kami percaya perkongsian awam-swasta dan komuniti yang melibatkan semua pihak berkepentingan adalah penting kerana ini akan menyediakan platform untuk membawa kejayaan transformasi ekonomi dan pertumbuhan demi kebaikan semua rakyat Sarawak,” katanya.

Sumber: Bernama

Bandar pintar: MSCA berminat jalin kerjasama dengan Sarawak


Content Type:

Duration:

Bertujuan merancakkan ekonomi digital negara, kerajaan membangunkan Malaysia Digital (MD) berpandukan tiga prinsip utama, Fleksibiliti, Ketangkasan dan Relevansi. 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata MD menerusi projek Mangkin MD atau PEMANGKIN akan berfungsi secara holistik dalam mentransformasikan ekosistem ekonomi digital negara menerusi tiga keutamaan strategik. 

“Pertama, membantu memacu adaptasi digital dalam kalangan usahawan muda, syarikat dan rakyat; kedua, menyokong syarikat teknologi tempatan untuk menjadi ‘Juara Malaysia’ berjaya di peringkat antarabangsa; dan ketiga, menarik pelaburan bernilai tinggi,” katanya ketika berucap melancarkan MD dan Sambutan Jubli Perak MDEC di sini hari ini. 

Turut hadir Menteri K-KOMM Tan Sri Annuar Musa. 

Ismail Sabri berkata pada peringkat awal, dua PEMANGKIN akan diperkenalkan iaitu program DE Rantau dan Digital Trade.

Katanya program DE Rantau bertujuan menjadikan Malaysia sebagai Hab Nomad Digital pilihan di rantau ini melalui peningkatan penggunaan digital, mobiliti profesional digital dan aktiviti pelancongan di seluruh negara.

“Aktiviti nomad digital di dalam negara akan memberi kesan limpahan yang bukan sahaja membantu memulihkan semula sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik, malah akan merancakkan aktiviti perniagaan dan ekonomi tempatan di samping membuka peluang perkongsian pengetahuan serta pengalaman bersama komuniti setempat,” katanya. 

Katanya program Digital Trade pula akan memacu e-dagang dan adaptasi digital oleh perniagaan, memudahkan perdagangan merentas sempadan selain menyokong pergerakan data antara perniagaan untuk meningkatkan kecekapan, ketepatan dan kebolehpercayaan transaksi merentas sektor dan industri.

Beliau berkata menerusi penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), program ini akan mempermudah jangkauan lebih luas ke pasaran global seterusnya memberi manfaat besar kepada perniagaan tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Ismail Sabri berkata bagi memastikan pelaksanaan MD lebih berkesan, Kabinet telah bersetuju agar K-KOMM menubuhkan Jawatankuasa Koordinasi Malaysia Digital (MD-CC) untuk menyelaraskan tadbir urus dan operasinya termasuk penganugerahan Status MD.

Seterusnya, beliau menyarankan pihak MDEC mewujudkan satu platform khusus untuk memberi peluang kepada pemain industri agar dapat mengambil bahagian secara berterusan dan memberikan maklum balas yang wajar sepanjang pelaksanaan MD.

“Saya yakin, dengan kerjasama dan muafakat pelbagai pihak, inisiatif MD ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya dan pihak kerajaan juga akan memberi tumpuan sepenuhnya agar ia dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya. 

Beliau seterusnya melahirkan keyakinan tadbir urus dan strategi pelaksanaan MD akan diselaraskan di peringkat tertinggi kerajaan dan pemantauan serta penambahbaikannya akan dibuat dari semasa ke semasa.

Beliau berkata menerusi struktur tadbir urus baharu ini, MD berperanan mempercepatkan pendigitalan di seluruh negara, memangkinkan bidang pertumbuhan baharu, meningkatkan penyertaan syarikat teknologi tempatan serta menarik pelaburan berpotensi, sejajar dengan usaha merealisasikan aspirasi dan sasaran negara.

Ismail Sabri juga berkata negara perlu melahirkan lebih ramai bakat dan tenaga kerja digital yang berdaya saing, infrastruktur serba lengkap dan terus memastikan keupayaan serta kapasiti negara, kekal bertaraf dunia.

Katanya ini penting supaya negara dapat memastikan generasi masa depan mempunyai asas dan kemudahan diperlukan untuk terus memacu negara menjadi sebuah negara digital serba maju.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut mengumumkan kerajaan telah menganugerahkan Status MD kepada enam syarikat kelompok pertama. 

Enam syarikat itu ialah Bytedance System Sdn Bhd, Bridge Data Centres Malaysia (III) Sdn Bhd, GDS IDC Services (Malaysia) Sdn Bhd, Abbott Laboratories (Malaysia) Sdn Bhd, Aceteam Connect Sdn Bhd dan Peninsula Apex Technologies Sdn Bhd.

Sumber: Bernama

Malaysia Digital pacu ekonomi digital negara – Ismail Sabri


Content Type:

Duration:

Malaysia dan Singapura bersetuju untuk memulakan perbincangan mengenai rangka kerja kerjasama berkaitan ekonomi digital dan hijau dengan matlamat untuk dimuktamadkan pada tahun ini.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Gan Kim Yong mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur hari ini dan bersetuju bahawa Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) yang dilancarkan baru-baru ini mempunyai kepentingan strategik dan ekonomi ke arah mengukuhkan ekosistem perdagangan di rantau ini dan memberikan dorongan untuk mengoptimumkan faedah berlipat kali ganda.

Mohamed Azmin dalam kenyataan bersama berkata aspek digital dan hijau segera menjadi bentuk asas ekonomi.

Oleh itu, memulakan kerjasama dalam kedua-dua bidang itu akan membawa manfaat yang lebih luas kepada perniagaan di kedua-dua negara, iaitu dalam aspek keusahawanan, perindustrian, pelaburan dan perdagangan, menurut kenyataan tersebut.

Rangka kerja kerjasama itu juga untuk kedua-dua negara mewujudkan program yang boleh dilaksanakan dan disasarkan untuk menyumbang ke arah hubungan ekonomi global yang mampan, termasuk yang digalakkan melalui Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), katanya.

Pandemik COVID-19 telah menekankan kepentingan saling-hubungan digital antara negara selain mempercepatkan transformasi digital untuk model perniagaan tradisional.

Oleh itu, katanya untuk mempersiapkan fasa pertumbuhan seterusnya dalam ekonomi digital, penting bagi Singapura dan Malaysia menggalakkan kesalingoperasian dan kerjasama yang lebih baik.

Sementara itu, Gan berkata ekonomi digital dan hijau menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan perbincangan mengenai rangka kerja kerjasama akan memberikan manfaat yang ketara kepada kedua-dua ekonomi.

Sumber: Bernama

Malaysia, Singapura rangka kerjasama ekonomi digital, hijau


Content Type:

Duration:

Malaysia Digital merupakan satu fasa baharu untuk memacu ekonomi digital negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata MD adalah satu fasa amat penting dan bersesuaian dengan aspirasi diutamakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu untuk merakyatkan penyertaan ekonomi melalui penglibatan dalam sektor ekonomi digital.

“Ini bertepatan berlaku di saat negara, Insya-Allah bergerak menghampiri pencapaian kesalinghubungan 100 peratus dengan kelajuan telah melepasi secara hitung panjang 40 megabit per saat (Mbps).

“Dan sejumlah tujuh juta premis yang mempunyai keterhubungan secara talian tetap (fixed line) yang memungkin prasarana lebih berkualiti tinggi disiapkan dalam negara,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Malaysia Digital (MD) di sini hari ini.

MD dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin 

MD adalah program di bawah agensi peneraju ekonomi digital negara, MDEC yang dipertingkat bagi menggantikan MSC Malaysia yang telah wujud selama 25 tahun.

Annuar berkata sebelum ini Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad telah memperkenalkan satu inisiatif untuk menyambut kemunculan dunia teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT) dengan melancarkan MSC Malaysia pada waktu itu.

“MSC hanya ditumpukan pada satu jajaran kawasan tertentu di mana unsur-unsur ICT, syarikat-syarikat ICT mula menjejak kaki ke negara kita dan memainkan peranan memajukan dan membangunkan ekonomi. ICT dan kemajuan berkaitannya telah melalui satu fasa kemajuan pembangunan dengan pesat sekali.

“Pelancaran MD menandakan fasa baharu, satu proses merekayasa, mencipta semula (reinventing) MSC dengan bukan lagi soal berkaitan ekonomi dan prasarana bagi membolehkan penyertaan rakyat berasaskan kalau dulunya sektor pertanian dan perbuatan.

“Tetapi sekarang negara amat bergantung kepada pengetahuan ekonomi maka inilah detik yang paling sesuai dan bersejarah dicipta oleb Perdana Menteri kesembilan,” kata Annuar.

MD akan membolehkan Malaysia lebih bersedia dalam mendepani persekitaran ekonomi dinamik dan membantu dalam memperkasa asas negara digital menjadi lebih kukuh dan impaknya akan memberi manfaat kepada rakyat, perniagaan, kerajaan serta negara.

Sumber: Bernama

Malaysia Digital pacu ekonomi digital negara – Annuar Musa


Content Type:

Duration:

Tadbir urus dan strategi bagi pelaksanaan Malaysia Digital (MD) yang dilancarkan hari ini, akan diselaraskan di peringkat tertinggi kerajaan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri menegaskan, pemantauan dan penambahbaikannya akan dibuat dari semasa ke semasa.

Menerusi struktur tadbir urus baharu, katanya, MD berperanan mempercepatkan pendigitalan di seluruh negara dan memangkin bidang pertumbuhan baharu.

“Ia juga berperanan dalam meningkatkan penyertaan syarikat teknologi tempatan serta menarik pelaburan berpotensi, sejajar usaha merealisasikan aspirasi dan sasaran negara.

“Pada peringkat awal, dua pemangkin akan diperkenalkan di bawah MD iaitu program DE Rantau dan Digital Trade,” katanya ketika berucap melancarkan Malaysia Digital di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Turut sama hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad.

Ismail Sabri berkata, DE Rantau bertujuan menjadikan Malaysia sebagai Hab Nomad Digital pilihan di rantau ini melalui peningkatan penggunaan digital, mobiliti profesional digital dan aktiviti pelancongan di seluruh negara.

Jelasnya, aktiviti nomad digital dalam negara akan memberi kesan limpahan yang bukan sahaja membantu memulihkan semula sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik.

“Ia juga merancakkan aktiviti perniagaan dan ekonomi tempatan di samping membuka peluang perkongsian pengetahuan serta pengalaman bersama komuniti setempat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Digital Trade berperanan memacu e-Dagang dan adaptasi digital oleh perniagaan serta memudahkan perdagangan merentas sempadan, selaras Pelan Hala Tuju Strategik E-Dagang Kebangsaan (NESR).

“Digital Trade turut bertujuan menyokong pergerakan data yang lancar antara perniagaan untuk meningkatkan kecekapan, ketepatan dan kebolehpercayaan transaksi merentas sektor dan industri,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan pelaksanaan MD lebih berkesan, Kabinet bersetuju Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menubuhkan Jawatankuasa Koordinasi Malaysia Digital (MD-CC) untuk menyelaraskan tadbir urus dan operasinya, seperti penganugerahan Status MD.

“MD menerusi projek mangkin MD atau Pemangkin akan berfungsi secara holistik dalam mentransformasi ekosistem ekonomi digital negara menerusi tiga keutamaan strategik.

“Pertama, membantu memacu adaptasi digital dalam kalangan usahawan muda, syarikat dan rakyat.

“Kedua, menyokong syarikat teknologi tempatan untuk menjadi ‘Juara Malaysia’ berjaya di peringkat antarabangsa dan ketiga, menarik pelaburan bernilai tinggi,” katanya.

Beliau yakin, menerusi keutamaan berkenaan, MD akan memacu lebih banyak program berimpak tinggi dan memberi impak langsung serta segera, khususnya kepada Keluarga Malaysia.

“Dengan kerjasama dan muafakat pelbagai pihak, inisiatif MD ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Kerajaan akan memberi tumpuan sepenuhnya supaya ia dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Negara juga perlu melahirkan lebih ramai bakat dan tenaga kerja digital yang berdaya saing, infrastruktur yang serba lengkap dan terus memastikan keupayaan serta kapasiti negara kita, kekal bertaraf dunia,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pemangkin dalam sektor pertanian sudah melaksanakan 10 projek perintis Digital AgTech untuk membantu petani mengadaptasi teknologi digital bagi meningkatkan hasil dan mengurangkan kos operasi.

Katanya, kerajaan sudah menganugerahkan Status MD kepada enam syarikat kelompok pertama iaitu Bytedance System Sdn Bhd dan Bridge Data Centres Malaysia (III) Sdn Bhd.

Selain itu, GDS IDC Services (Malaysia) Sdn Bhd, Abbott Laboratories (Malaysia) Sdn Bhd, Aceteam Connect Sdn Bhd serta Peninsula Apex Technologies Sdn Bhd.

Ketika itu, tegasnya, ekonomi digital Malaysia sudah mencapai 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun lalu dan dijangka berkembang melepasi sasaran awal sebanyak 25.5 peratus menjelang 2025.

“Antara sektor pesat berkembang ialah e-Dagang yang menyumbang 11.5 peratus kepada KDNK pada 2020 berbanding 8.5 peratus pada 2019.

“Nilai transaksi e-Dagang negara juga sudah mencecah RM1 trilion buat pertama kalinya tahun lalu, meningkat 21.8 peratus berbanding 2020 ” katanya.

Sumber: Berita Harian

Malaysia Digital pacu bidang pertumbuhan baharu


Content Type:

Duration:

Pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu bakal merancakkan lagi pembangunan perindustrian dan ekonomi Sabah menerusi pengisytiharan pengoperasian sepenuhnya sebagai pelabuhan awam hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata pengisytiharan Pelabuhan POIC Lahad Datu mengikut Seksyen 3, Enakmen Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah 1981 juga dijangka mampu menarik lebih ramai pelabur dan memberi impak signifikan kepada pembangunan perindustrian kawasan pantai timur negeri.

Pengisytiharan Pelabuhan POIC Lahad Datu sebagai sebuah pelabuhan awam juga bakal memperkasakan lagi keupayaannya dalam memainkan peranan penting sebagai hab logistik di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

“Pelabuhan POIC Lahad Datu dibangunkan sejak 2013, namun, ia tidak boleh beroperasi sebagai satu pelabuhan sebenar kerana belum ada pengisytiharan dilakukan mengikut undang-undang.

“Dengan pengisytiharan pada hari ini, Pelabuhan POIC Lahad Datu bersedia menjalankan operasi perniagaannya seperti pelabuhan lain yang sedia ada. Ramai pemain industri menggunakan pelabuhan tersebut kerana keadaannya baik dan kawasan strategik.

“Kita berharap jumlah kemasukan kargo dan kontena ke Sabah boleh ditingkatkan sekali gus memberi signifikan kepada pembangunan ekonomi negeri, selain dapat mengurangkan harga barang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengisytiharan rasmi Pelabuhan POIC Lahad Datu di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Menteri Kerja Raya Sabah.

Mengulas lanjut, Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri berkata, POIC Lahad Datu memainkan peranan penting dalam konteks pembangunan dan perindustrian Sabah termasuk dalam sektor digalakkan di bawah Pelan Induk Perindustrian Sabah.

Ini merangkumi aktiviti hiliran kelapa sawit; kayu balak dan koko; industri pemprosesan makanan; industri elektrik dan elektronik; industri petrokimia dan gas; industri produk mineral bukan logam serta industri jentera dan acuan, katanya.

“POIC Lahad Datu bukan sahaja akan membawa masuk pelaburan langsung ke tapak kluster tetapi juga merangsang aktiviti ekonomi yang lebih besar di Lahad Datu serta kawasan berhampirannya termasuk dalam sektor perkhidmatan, perindustrian, pertanian dan pembinaan,” jelasnya.

Joachim berkata dengan kewujudan terminal kontena, terminal pukal kering dan cecair serta kemudahan pendaratan tongkang, POIC Lahad Datu dilihat akan dapat memenuhi keperluan pengguna untuk menjalankan urusan perniagaan mereka.

“Pelabuhan memainkan peranan penting dalam rantaian logistik keseluruhan bagi membolehkan pembangunan perdagangan dan ekonomi negeri. Sudah tentu dengan rasminya pengisytiharan pelabuhan ini secara langsung menjadi daya tarikan kepada pelabur-pelabur baharu ke POIC Lahad Datu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif POIC Sabah Sdn Bhd Datuk Fredian Gan ketika berucap berkata Taman Perindustrian POIC Lahad Datu telah menarik pelaburan kira-kira RM3.5 bilion setakat ini, dan nilai pelaburan itu dijangka terus meningkat dengan pengisytiharan pelabuhan berkenaan.

“Dengan kewujudan beberapa kemudahan infrastruktur, POIC mula merancang selain merencanakan hala tuju melangkah ke hadapan termasuk menjadikan Lahad Datu sebagai hab logiktik, pembuatan, pemprosesan, pemindahan dan penyatuan barangan yang unggul di wilayah BIMP-EAGA,” jelasnya.

Katanya, POIC turut mendukung rancangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu di Lahad Datu yang dilihat bakal menjadi pemangkin kepada inisiatif pewujudan hab pengangkutan berpusat di POIC Lahad Datu, selain hab marin antarabangsa dan penubuhan Kawasan Zon Bebas.

Pada majlis itu, Bung Moktar dan Joachim turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian konsesi pengoperasian pelabuhan antara Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah dengan POIC Sabah Sdn Bhd dan POIC Logistics Sdn Bhd.

Sumber: Bernama

Pengisytiharan Pelabuhan POIC Lahad Datu bakal rancak ekonomi Sabah – Joachim


Content Type:

Duration:

COVID-19 sebagai pemangkin, globalisasi pendigitalan bermakna terdapat keperluan yang mendesak untuk menangani pelbagai halangan yang dihadapi untuk memanfaatkan kuasa teknologi untuk kesejahteraan isi rumah, syarikat dan pekerja Malaysia, kata Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar. 

Beliau berkata ekonomi digital dan pendigitalan telah menjadi ungkapan yang amat kerap digunakan dalam kumpulan dasar sejak beberapa dekad yang lepas.

“Oleh itu, kita tidak boleh terlepas pandang mengenai kepentingan pendigitalan kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kita hidup di dunia di mana kita sama ada melakukan inovasi atau jatuh,” katanya pada majlis makan malam Sidang Kemuncak Ekonomi Digital dan Teknologi Dunia (WDETS) di sini hari ini. 

Abdul Wahid berkata walaupun pendigitalan boleh memberi impak positif yang besar kepada prestasi makroekonomi secara keseluruhannya, mungkin juga terdapat implikasi pasaran buruh berikutan automasi dan kecerdasan buatan yang berpotensi menggantikan pekerja.

Katanya memastikan tahap pembangunan infrastruktur Internet dan pendidikan digital yang mencukupi serta mengurangkan jurang digital merupakan faktor lain yang memacu potensi pendigitalan, sebagai input kepada kemajuan ekonomi.

“Oleh itu, penggubal dasar menghadapi cabaran untuk memanfaatkan faedah pendigitalan yang maksimum untuk daya saing ekonomi mereka, termasuk melalui pendidikan yang sesuai dan pembaharuan pasaran buruh serta pelaburan infrastruktur digital,” katanya.

Abdul Wahid turut menegaskan bahawa Malaysia mempunyai antara jumlah pengguna digital yang tertinggi dan infrastruktur yang baik untuk ekonomi digital, dengan hampir satu juta perusahaan kecil dan sederhana mengguna pakai e-dagang.

“Kita mempunyai lebih 5,000 syarikat permulaan yang inovatif dan tiga syarikat permulaan unicorn. Ekonomi digital Malaysia menyumbang kepada satu perempat daripada ekonomi kita.

“Kita mempunyai industri digital pesat membangun seperti bandar pintar, pembuatan, fintech dan teknologi agro-makanan. Negara kita mungkin kecil berbanding negara jiran tetapi kita mempunyai banyak kluster inovasi seperti Pulau Pinang, Cyberjaya dan Kuching,” katanya.

Beliau juga berkata pendekatan pelbagai pihak berkepentingan penting untuk memastikan manfaat ekonomi digital diagihkan dan dikongsi secara saksama dengan rakyat.

Sumber: Bernama

Keperluan mendesak bagi manfaatkan kuasa teknologi dalam globalisasi digital – Abdul Wahid


Content Type:

Duration:

Malaysia masih menjadi destinasi pilihan untuk pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian mereka, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata walaupun jumlah permohonan untuk melanjutkan pelajaran ke negara ini sedikit merosot ketika dunia berdepan dengan pandemik COVID-19, namun keadaan mula positif pada 2021 dengan peningkatan semula permohonan sehingga 32 peratus.

“Keadaan ini diperkukuhkan dengan pengiktirafan Kuala Lumpur di tempat kedua dalam QS Top Universities ‘Most Affordable City for Students‘ untuk tahun 2018 dan 2019. Dalam erti kata lain, kos pengajian yang ditawarkan adalah berpatutan,” katanya pada majlis makan malam sambutan ulangtahun ke-10, Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS), di sini, malam ini.

Tambah Noraini, banyak faktor yang boleh dijadikan penarik untuk menggalakkan kemasukan lebih ramai pelajar asing ke negara ini, seperti kualiti pendidikan yang diiktiraf bertaraf dunia.

QS World University Rankings dalam laporannya beberapa minggu lepas merekodkan empat universiti kita berada dalam kelompok 200 yang terbaik dunia, dan salah satu daripadanya disenaraikan dalam kelompok 100 terbaik, iaitu Universiti Malaya.

“Malah buat pertama kalinya, 24 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia telah tersenarai dalam penarafan ini. Ini sudah tentu meningkatkan lagi keyakinan orang luar terhadap kualiti pendidikan tinggi di negara kita,” katanya.

Justeru, beliau menyeru entiti seperti EMGS supaya bergerak lebih aktif di dalam mempromosikan jenama pendidikan Malaysia, di peringkat antarabangsa.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Radzlan Jalaludin berkata pihaknya komited untuk mencapai lebih banyak kejayaan dalam usaha mempromosikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi pilihan di peringkat global.

Beliau berkata sejak penubuhannya pada 2012 hingga kini, EMGS telah bergerak secara agresif untuk menambah baik perkhidmatannya sebagai badan utama yang menguruskan pergerakan pelajar antarabangsa di Malaysia, termasuk memudahkan proses pengurusan visa.

“Pencapaian baru-baru ini terbukti dengan jumlah permohonan telah melepasi sasaran untuk tahun 2021 di mana sebanyak 40,000 permohonan telah diterima daripada pelajar antarabangsa bagi melanjutkan pengajian mereka di IPT di Malaysia.

“Ini sememangnya sebuah pencapaian yang hebat untuk EMGS dan EMGS akan terus menyokong aspirasi kerajaan untuk mencapai 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2025,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia terus jadi destinasi pilihan pelajar antarabangsa – Noraini


Content Type:

Duration:

Malaysia berada pada kedudukan teratas dalam kalangan 15 pasaran global yang meningkatkan nisbah purata kelajuan muat turun pengguna menggunakan 5G berbanding 4G dengan kenaikan 25.7 kali ganda, demikian mengikut Opensignal.

Syarikat analisis mudah alih berpangkalan di United Kingdom itu dalam analisis definitif terkini mengenai peneraju 5G di seluruh dunia berkata, bagaimanapun, jumlah pengguna 5G di Malaysia adalah kecil dan nisbah itu dijangka berkurangan apabila penggunaan 5G meningkat.

“Adalah penting untuk memahami keadaan yang berbeza bagi pelaksanaan 5G di seluruh pasaran, 5G masih baharu di Malaysia dan pengguna 5G adalah kecil,” katanya.

Setakat ini, hanya dua operator telah mendaftar untuk menggunakan 5G bagi rangkaian borong tunggal.

“Ujian sebenar bagi Malaysia akan berlaku dalam tempoh beberapa bulan akan datang apabila pelbagai operator di Malaysia memasarkan 5G,” katanya.

Opensignal berkata rangkaian borong 5G di Malaysia hanya meliputi rangkaian akses, terutamanya menara sel, dan operator di Malaysia meneruskan penggunaan rangkaian teras yang sedia ada dan merangkai padan bagi membolehkan pengalaman yang sempurna kepada pengguna.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia melonjak pada kedudukan yang tinggi bagi kesemua tiga kategori kelajuan 5G – kelajuan muat turun, kelajuan muat turun puncak dan kelajuan muat naik, di samping pengalaman permainan 5G bagi kategori pengalaman.

Menurutnya, bagi kategori pengalaman, Malaysia meraih kedudukan dalam ruang yang menekankan kepentingan pengalaman menyeluruh bagi penstriman video, permainan mudah alih berbilang pemain dan komunikasi suara.

Sementara itu, Opensignal berkata Korea Selatan berada pada kedudukan teratas bagi kelajuan muat turun 5G global dengan enam pasaran telah melebihi paras 300 Megabit sesaat (Mbps) berbanding tiga pada Mac 2022.

“Korea Selatan, Sweden dan Emiriah Arab Bersatu telah disertai oleh Bulgaria, Norway dan Malaysia walaupun Malaysia adalah anomali berikutan kadar pengambilan 5G yang terhad setakat ini dan pengalaman 5G di sana dijangka merosot mendadak memandangkan lebih ramai pengguna dan operator yang memanfaatkan 5G,” tambahnya.

Sumber: Bernama

Malaysia di tempat teratas dalam nisbah kelajuan muat turun 5G


Content Type:

Duration:

Malaysia memberi penekanan terhadap pewujudan bandar pintar berdasarkan trend peningkatan jumlah penduduk di kawasan bandar.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata langkah mewujudkan bandar pintar adalah satu daripada pendekatan untuk menyelesaikan isu-isu perbandaran bagi meningkatkan kualiti hidup, menggalakkan pertumbuhan ekonomi, membangunkan persekitaran selamat serta menggalakkan pengurusan bandar yang cekap melalui pengaplikasian teknologi.

“Menurut laporan Dasar Perbandaran Negara Kedua jumlah penduduk Malaysia yang tinggal di bandar dijangka meningkat daripada 20.29 juta pada 2010 kepada 27.30 juta menjelang 2025.

“Kini dianggarkan lebih 70 peratus daripada penduduk negara tinggal di kawasan bandar,” katanya ketika berucap melancarkan program rintis sandbox bandar pintar lestari antara National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) dan Sunway Innovation Labs (iLabs) di sini hari ini.

Beliau berkata kewujudan bandar pintar di negara ini membolehkan penggunaan teknologi dibangunkan oleh bakat tempatan melalui inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) seperti NTIS untuk membantu pihak berkuasa menangani isu-isu perbandaran dan meningkatkan kualiti hidup.

Pada majlis hari ini, MOSTI melalui agensi di bawahnya Malaysia Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Sunway Innovation Labs (iLabs) untuk sandbox bandar pintar menerusi Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS).

NTIS adalah platform untuk mempercepat usaha mengubah negara daripada menjadi pengguna teknologi kepada penghasil teknologi.

Melalui kerjasama ini inovasi yang dibangunkan oleh syarikat pemula Sunway iLabs Super Accelerator boleh disalurkan kepada NTIS untuk diuji dalam persekitaran bandar raya sebenar yang dibangunkan Sunway, menerima fasilitasi kawal selia dan pembiayaan sebelum membawa penyelesaian teknologi ini ke pasaran dan dilaksanakan di seluruh negara.

Usaha ini dilihat mampu menjadikan bandar Sunway sebagai makmal alami, membawa masuk bakat muda, tenaga intelektual, kepakaran penyelidikan, makmal inovasi dan aktiviti komersial untuk menjana penyelesaian sebenar di kawasan bandar pada masa hadapan.

Dr Adham berkata antara manfaat program rintis sandbox bandar pintar lestari ialah mencapai sasaran komitmen Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon ke arah sifar emisi karbon pada 2050 dan memacu Malaysia ke arah negara lebih hijau selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Selain itu rangka tindakan perbandaran Sunway boleh diadaptasi di seluruh negara bagi tujuan keselamatan, keselesaan serta bagi meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup penduduk dan pada masa sama memelihara alam sekitar.

Sumber: Bernama

Malaysia fokus wujud bandar pintar: Dr Adham


Content Type:

Duration:

Sarawak akan beralih kepada sektor ekonomi baharu dipacu teknologi digital, data dan inovasi agar kekal berdaya saing dalam persekitaran perniagaan global yang dinamik serta tidak menentu.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bagi tujuan itu Sarawak perlu menerima sepenuhnya transformasi digital kerana negeri ini perlu meningkatkan produktiviti kekal berdaya saing pada masa sama mewujudkan persekitaran bersih, sihat dan kukuh untuk generasi seterusnya.

“Visi saya untuk Sarawak ialah menjelang 2030, Sarawak akan menjadi sebuah negeri maju dengan ekonominya berkembang maju didorong data dan inovasi, di mana semua orang menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan persekitaran mampan.

“Fokus kita ialah penstrukturan semula dan mempelbagaikan ekonomi kepada industri hiliran bernilai tinggi pada masa sama mewujudkan komuniti yang maju,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) Ke-5 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Justeru ujarnya, Sarawak akan memajukan lagi transformasi digital kerana ia merupakan kunci ke arah meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu berkata untuk menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi pada 2030, Sarawak perlu mencapai kadar pertumbuhan ekonomi antara 6.0 hingga 8.0 peratus setahun. 

Ini penting katanya, bagi membolehkan Sarawak menggandakan saiz ekonomi negeri kepada RM282 bilion pada 2030.

Menurutnya antara ciri membezakan pelbagai transformasi digital ialah pertumbuhan pesat dalam maklumat yang boleh dibaca mesin atau data digital melalui Internet.

Data seperti itu jelasnya, merupakan teras kepada kemajuan pantas teknologi digital seperti analisis data, kecerdasan buatan (AI), rantaian blok, Internet untuk segalanya (IoT), pengkomputeran awan dan semua perkhidmatan berasaskan Internet.

“Teknologi-teknologi ini menjadi asas sumber ekonomi dan pandemik COVID-19 menjadikan penggunaan data satu trend yang mendorong banyak aktiviti beralih kepada urusan dalam talian.

“Data merentasi sempadan mewujudkan senario ekonomi antarabangsa yang baharu seterusnya mewujudkan bentuk kebebasan global baharu. Maka mengawal selia aliran data di peringkat antarabangsa semakin mendesak,” ujarnya.

Abang Johari berkata, rangka kerja pengawalseliaan serantau dan antarabangsa semasa cenderung sama ada terlalu sempit skopnya atau terhad secara geografi menyebabkan keuntungan tidak dapat dikongsi dan risiko ditangani dengan betul.

Justeru tegasnya, terdapat keperluan mewujudkan rangka kerja pengawalseliaan baharu. 

“Membangunkan negeri perlu mencari keseimbangan optimum antara mempromosikan pembangunan ekonomi domestik, melindungi kepentingan dasar awam dan menyapadukan ekosistem digital global,” katanya.

Abang Johari berkata, Sarawak memulakan usaha ke arah ekonomi digital pada 2018, untuk beralih daripada kebergantungan negeri ini kepada sumber ekonomi tidak boleh diperbaharui menerusi Strategi Ekonomi Digital Pertama (2018-2022) dilancarkan Disember 2017.

Beliau berkata strategi yang berakhir tahun ini, terdiri daripada 47 tindakan dalam lapan sektor ekonomi dan tujuh pemboleh.

“Sejak bermulanya agenda ekonomi digital pada 2018, Sarawak telah berjaya meningkatkan pembangunan ekonomi negeri menerusi transformasi dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, industri kelapa sawit, e-perdagangan, kewangan, teknologi kewangan, pembangunan digital, bandar pintar, pelancongan, perkilangan dan industri perkhidmatan.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Operasi) merangkap pengerusi penganjur IDECS 2022 Datu Dr Sabariah Putit.

Sumber: Utusan Borneo

Sarawak akan beralih kepada sektor ekonomi baharu dipacu teknologi digital, data, inovasi


Content Type:

Duration:

Satelit MEASAT-3d yang akan dilancar Khamis ini, bakal menambah baik dengan ketara perkhidmatan Internet dan kadar ketersambungan capaian internet terutamanya di kawasan luar bandar.

Ketua Pegawai Operasi MEASAT Satellite Systems Sdn Bhd (MEASAT), Yau Chyong Lim, berkata perkara itu membolehkan pihaknya mewujudkan masyarakat inklusif digital dan menyokong aplikasi jalur lebar berkelajuan tinggi antaranya Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), Internet Kebendaan (IoT) dan teleperubatan.

“Menerusi MEASAT-3d dan perkhidmatan CONNECTme NOW, kami menyasar untuk mengisi kelompangan jalur lebar di lokasi-lokasi yang tidak mempunyai liputan mudah alih 4G, 5G atau fiber di Malaysia bagi menyediakan akses Internet kepada populasi yang terpinggir,” katanya kepada Bernama.

Yau berkata, MEASAT-3d akan dilancarkan dari European Spaceport di Kourou, French Guiana yang terletak di Amerika Selatan dan kerajaan Malaysia akan diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Datuk Seri Mohammad Mentek.

Bersempena pelancaran itu, beliau memaklumkan satu majlis istimewa akan dianjurkan di ibu negara bagi membolehkan para jemputan menonton pelancaran itu secara langsung dan ia dijangka dihadiri tetamu kehormat termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Yau berkata, pelancaran MEASAT-3d dijayakan dengan sokongan K-KOMM, serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Menurutnya pihak MEASAT menyokong penuh hasrat kerajaan untuk mencapai sasaran akses Internet 100 peratus menjelang 2025 melalui pelan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan melalui sasaran Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk mendigitalkan negara.

“Dalam jangka masa panjang, ia menjanjikan untuk meningkatkan kualiti hidup semua rakyat Malaysia, termasuk mereka yang tinggal di kawasan paling terpencil di negara ini,” katanya.

Yau memaklumkan MEASAT-3d akan memastikan pertumbuhan berterusan dan kesinambungan perkhidmatan untuk penyiar terkemuka dunia serta televisyen satelit Direct-to-Home (DTH) kepada lebih 20 juta isi rumah di seluruh Malaysia, Indonesia dan India.

Katanya, pemilik satelit berkenaan ialah MEASAT, iaitu syarikat tempatan milik penuh warga Malaysia, namun keupayaan perkhidmatan MEASAT-3d adalah luas, iaitu meliputi kawasan Asia Tenggara, Asia Pasifik, Afrika dan Eropah Selatan.

Yau berkata, satelit MEASAT-3d, iaitu satelit baharu dan canggih milik MEASAT setakat ini dianggarkan membelanjakan kos RM1.2 bilion.

“MEASAT-3d akan menyertai MEASAT-3a dan MEASAT-3b di hotslot 91.5°E yang menyediakan peningkatan dan lebihan kapasiti untuk perkhidmatan DTH Astro, serta perkhidmatan penyiaran, telekomunikasi dan Internet jalur lebar. Satelit MEASAT-3d mempunyai jangka hayat 18 tahun,” katanya.

MEASAT-3d menggunakan model satelit ‘Eurostar E3000 geostationary satellite’ yang dibina oleh Airbus Defence and Space. Airbus adalah perintis global dalam industri aeroangkasa dan beroperasi dalam sektor pembuatan pesawat komersial, helikopter, pertahanan dan angkasa lepas).

Yau berkata, dengan menggunakan kapasiti ‘High Throughput Satellite’ pada MEASAT-3d, MEASAT berupaya meningkatkan daya pemprosesan kapasiti jalur lebar mereka sebanyak 10 kali ganda kepada 30 gigabit per saat (Gbps), sekali gus membolehkan akses kepada jalur lebar berkelajuan tinggi walaupun di kawasan yang terhad atau tiada ketersambungan di darat.

“Internet kelajuan tinggi akan ditambah baik daripada kelajuan muat turun 30 megabit per saat (Mbps) ketika ini kepada 100 Mbps, membolehkan pengguna menstrim kandungan tinggi data seperti video 4K atau 8K.

“MEASAT-3d akan dapat merapatkan jurang digital di kawasan yang tidak diliputi teknologi mobil 4G atau 5G atau gentian di Malaysia,” katanya.

Menurut Yau MEASAT-3d boleh dimanfaatkan untuk menawarkan perkhidmatan data, suara dan video kepada tiga hingga lima peratus populasi (atau kira-kira dua juta rakyat) yang masih belum mempunyai sambungan gentian atau jalur lebar tanpa wayar.

Sumber: Bernama

Satelit MEASAT-3d bakal perluas capaian internet luar bandar


Content Type:

Duration:

Unit milik penuh tidak langsung Titijaya Land Bhd, Aman Duta Sdn Bhd dijangka melabur kira-kira RM200 juta untuk membina kompleks komersial logistik di sebahagian tanah seluas 26,688 meter persegi di Pulau Pinang untuk DHL Properties (M) Sdn Bhd.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Titijaya berkata ini susulan perjanjian bina dan pajak yang ditandatangani antara Aman Duta dan DHL pada 15 Jun, 2022.

Pemaju hartanah itu berkata pembinaan kemudahan itu dijangka dimulakan selepas mendapat semua kelulusan yang diperlukan, projek itu dijadualkan siap pada Julai, 2023.

Titijaya berkata, tempoh perjanjian itu adalah 10 tahun dan pajakan bagi hartanah serta asetnya dianggarkan antara RM160 juta hingga RM 210 juta.

Pada 26 Mac 2022, Titijaya mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, City Meridian Development Sdn Bhd (CMD) dan DHL akan membangunkan kompleks komersial logistik paling moden di kawasan seluas 8.09 hektar di Bayan Lepas, Pulau Pinang untuk menyediakan penyelesaian logistik semikonduktor bagi sektor elektrik dan elektronik.

Titijaya berkata CMD akan mengekalkan peranannya sebagai pemaju hartanah manakala pembinaan dan pajakan akan dijalankan oleh Aman Duta.

“Perjanjian itu dijangka tidak memberi sebarang kesan terhadap pendapatan sesaham, aset bersih sesaham, tahap kadar hutang, modal saham dan pegangan oleh pemegang saham utama bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022.

“Penyewaan kemudahan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh penyewaan tersebut,” katanya.

Sumber: Bernama

Unit tidak langsung Titijaya labur RM200 juta untuk bina kompleks komersial DHL


Content Type:

Duration:

Ericsson memulakan operasi kemudahan baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang akan mengembangkan kapasiti pengedaran serantaunya serta mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia secara langsung dan tidak langsung.

Pusat Pengedaran Ericsson tersebut akan meningkatkan keupayaan pengedaran Ericsson untuk penyelenggaraan dan sokongan yang lebih pantas dengan tempoh tidak beroperasi yang minimum bagi pelanggan dan pengguna akhir, kata gergasi telekomunikasi itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata kemudahan itu, yang terletak di perkampungan kargo KLIA, akan meningkatkan peranan strategik Malaysia dalam keupayaan syarikat untuk menyokong kelancaran operasi rangkaian pelanggan di rantau Asia Pasifik.

Menyediakan perkhidmatan kepada lebih 20 negara, Ericsson berkata Pusat Pengedaran Ericsson di Malaysia bertanggungjawab untuk pengurusan inventori perkakasan dan alat ganti di rantau Asia Pasifik. 

Katanya pusat itu menguruskan inventori peralatan baharu serta yang perlu diselenggara serta inventori tambahan semula, menerima peralatan dari negara lain dan menghantar peralatan yang diselenggara.

“Kemudahan pengedaran baharu itu akan melengkapkan Pusat Penyelenggaraan dan Sokongan di Malaysia, membolehkan Ericsson menambah baik penyampaian perkhidmatan sokongan kepada pelanggan di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh David Hagerbro berkata: “Malaysia adalah lokasi yang sangat strategik untuk Ericsson dan kemudahan pengedaran baharu itu mengukuhkan komitmen kami di sini sambil mewujudkan peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung untuk rakyat Malaysia.”

Beliau berkata keupayaan untuk bertindak, menyampaikan dengan cepat dan memastikan waktu tidak beroperasi yang minimum bagi pengendali rangkaian mudah alih dan pengguna akhir, meletakkan Malaysia di kedudukan strategik untuk memberi perkhidmatan kepada industri telekomunikasi.

“Ini amat kritikal berikutan negara-negara di rantau ini telah mula mempercepatkan pelancaran komersial 5G mereka di samping mengukuhkan penggunaan 4G mereka,” katanya.

Pusat pengedaran berkeluasan kira-kira 6,317.40 meter persegi itu terletak di Hab Platform Perdagangan Dunia Elektronik (eWTP) Cainiao Aeropolis di Kampung Kargo KLIA dan dikendalikan oleh CEVA Logistics, salah satu syarikat pengurusan rantaian bekalan terbesar di dunia.

Pusat pengedaran di Malaysia melengkapkan lima pusat pengedaran Ericsson untuk pengurusan inventori perkakasan global yang terletak di Dallas, Dubai, Belanda dan Taiwan.

Ia juga memastikan kelancaran dan penyelenggaraan rangkaian telekomunikasi, termasuk rangkaian 5G, dengan akses pantas kepada inventori perkakasan dan alat ganti.

Sumber: Bernama

Ericsson buka Pusat Pengedaran serantau baharu di KLIA


Content Type:

Duration:

Aurelius Healthcare Group telah memuktamadkan kerjasama dengan Intan Medical Centre Sdn Bhd untuk menjadi pemegang saham majoriti dan pengendali sebuah hospital swasta di Alor Setar yang akan dinamakan sebagai Aurelius Hospital Alor Setar.

Ketua Pegawai Eksekutif  Aurelius Hospital Alor Setar TJ Randhawa berkata hospital swasta enam tingkat yang terletak di Mergong itu, akan menjadi kemudahan perubatan swasta terbesar di Kedah.

Ia kini sedang dalam pembinaan dan dijangka beroperasi menjelang suku keempat 2023.

“Kami berbangga dapat mengadakan kemudahan penjagaan kesihatan yang komprehensif, yang akan menyediakan pesakit dengan prosedur diagnostik dan perubatan, dan berharap ia akan menarik pakar terkemuka dalam bidang endokrinologi, nefrologi, urologi, gastroenterologi dan kepakaran lain.

“Kami juga berusaha untuk memberikan perkhidmatan dan penjagaan tahap tertinggi kepada pesakit, pakar perubatan, pekerja dan rakan kongsi kami dalam menyediakan kemudahan yang selesa kepada masyarakat termasuk Pulau Pinang, Perlis dan negeri-negeri sekitar yang lain,” kata Randhawa dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Pengerusi kumpulan Aurelius Healthcare Datuk Amir Firdaus Abdullah berkata ini adalah penerokaan kedua Aurelius di Malaysia, dan ia memperlihatkan objektif syarikat untuk mengubah penyampaian penjagaan kesihatan dan meluaskan akses perubatan kepada semua rakyat Malaysia.

Beliau menjelaskan penerokaan pertama, Aurelius Hospital Nilai telah diperoleh pada September 2021, dan dengan Aurelius Alor Setar, ia berada di landasan untuk mengubah lagi industri penjagaan kesihatan swasta.

Aurelius Healthcare diwujudkan di Malaysia oleh sekumpulan profesional industri dengan kepakaran pengurusan penjagaan kesihatan yang meluas di seluruh dunia, untuk memodenkan dan menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses di seluruh negara.

Sumber: Bernama

Aurelius Hospital Alor Setar, kemudahan perubatan swasta terbesar di Kedah


Content Type:

Duration:

Dua hotel bertaraf antarabangsa akan dibangunkan di Sematan, sebuah pekan terletak kira-kira 107km ke arah barat bandar raya ini menerusi pelaburan swasta berjumlah RM120 juta, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Tanpa menyatakan secara spesifik syarikat swasta yang terlibat, beliau berkata pelaburan ini adalah sejajar dengan Strategi Pembangunan PascaCOVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk menggunakan dana swasta dalam pembangunan Sarawak.

“Mereka (pelabur pembangunan hotel itu) telah menunjukkan kepada saya reka bentuk hotel yang hendak dibina itu yang saya lihat menyerupai Palm Hotel di Dubai (Emiriah Arab Bersatu). Sematan akan menjadi seperti Dubai kelak,” katanya.

Berucap pada Majlis Perasmian Pontoon dan Landskap Tebingan Sungai Sematan di pekan itu hari ini, beliau berkata pembinaan hotel itu akan dijalankan dalam tempoh tiga tahun ini bertujuan untuk menarik lebih ramai lagi pengunjung luar negara ke situ.

Menurutnya kemudahan penginapan ini akan melengkapkan usaha kerajaan Sarawak dalam menyediakan infrastruktur utama seperti penaiktarafan jalan raya, bekalan elektrik dan air ke Sematan yang terletak di Lundu, daerah paling hujung sebelah barat daya negeri ini.

Sumber: Bernama

Dua hotel antarabangsa akan dibina di Sematan – Premier Sarawak


Content Type:

Duration:

wpChatIcon