Berita Perkhidmatan Archives - Page 12 of 24 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sarawak mahu dapatkan kepakaran Korea Selatan bangun industri hijau

Sarawak berharap untuk mendapatkan kepakaran Korea Selatan bagi membangunkan industri hijau di negeri ini, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, negeri itu dan republik tersebut boleh meneroka bersama potensi Sarawak sebagai wilayah bagi Perolehan, Penggunaan dan Simpanan Karbon (CCUS) serta dalam pengeluaran bahan api penerbangan alternatif seperti Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).

“Walaupun Sarawak adalah negeri di sebuah negara yang kecil, kami memiliki sumber semula jadi. Kami perlukan teknologi dan kepakaran untuk menambah nilai sumber kami dan menyumbang kepada keperluan dunia bagi alam sekitar yang hijau,” katanya semasa berucap pada Forum Perniagaan Tenaga Sarawak-Korea, di sini.

Pada majlis tersebut yang turut dihadiri oleh duta Korea Selatan ke Malaysia, Lee Chi Beom, Abang Johari berkata CCUS boleh mempercepat pertumbuhan ekonomi Asia Tenggara ke arah sasaran pelepasan karbon sifar-bersih.

“Di Sarawak, kami baru-baru ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2022 yang memberikan kami kedudukan lebih baik untuk membangunkan CCUS sebagai teknologi mitigasi yang berkuasa bagi mencapai ekonomi rendah karbon,” katanya.

Abang Johari berkata Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) juga bekerjasama dengan Airbus dan Rolls Royce menerusi Pusat Inovasi Aerospace Malaysia (AMIC) untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan hidrogen hijau dan sel bahan api sebagai bahan api penerbangan pada masa depan.

Beliau berkata projek perintis ini merupakan satu langkah kehadapan bagi Sarawak untuk menghasilkan bahan api penerbangan alternatif seperti SAF, yang boleh menjadi kunci kepada perjalanan udara yang mampan dalam peralihan kepada bahan api karbon rendah dan pengurangan karbon industri penerbangan. 

“Saya percaya ada peluang besar bagi Sarawak dan Korea Selatan ke arah penggunaan SAF pada masa depan yang boleh memberi manfaat tambahan kepada ekonomi, alam sekitar dan sosial,” katanya.  

Premier Sarawak itu berkata negeri tersebut dan Korea Selatan menjalin hubungan yang baik sejak 1970-an dan negara tersebut menjadi pengimport ketiga terbesar gas asli cecair Sarawak selepas Jepun dan China, melibatkan 4.9 juta tan metrik pada 2020 dengan nilai RM5.9 bilion.

Perniagaan ini juga menyaksikan Sarawak memberikan kontrak bernilai US$1.07 bilion kepada Samsung Engineering Co Ltd dari Korea Selatan untuk menyediakan khidmat pelesenan, kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian projek methanol Sarawak di Tanjung Kidurong di Bintulu.

Sumber: Bernama

Sarawak mahu dapatkan kepakaran Korea Selatan bangun industri hijau


Content Type:

Duration:

Dana solar pertama di Malaysia yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC), Gagasan Solar menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Fabulous Sunview Sdn Bhd untuk menggunakan RM200 juta dalam segmen aset solar komersial dan industri yang disasarkan.

Kerjasama itu akan menyaksikan Gagasan Solar sebagai rakan kongsi pelaburan Sunview untuk pelanggan komersial dan industrinya.

Pengasas dan Rakan Pengurusan Gagasan Solar Joshep Lee berkata industri solar pada masa ini cenderung ke arah syarikat yang lebih besar dan multinasional, sering menyebabkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat yang lebih kecil menerima layanan yang tidak adil walaupun mereka berminat untuk mengguna pakai penyelesaian yang dijana solar.

“Matlamat Gagasan Solar ialah merapatkan jurang ini dalam industri solar Malaysia dan kami yakin kerjasama dengan Sunview ini akan mempercepatkan proses ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerjasama itu bukan sahaja akan mengukuhkan penawaran produk dan akses pasaran kedua-dua syarikat tetapi turut meningkatkan ketersediaan tenaga solar untuk PKS, segmen yang sehingga kini kurang mendapat perkhidmatan dan semua faedah kewangan serta Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus yang dijanjikan oleh tenaga solar.

Sunview antara syarikat perkhidmatan kejuruteraan solar, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian terkemuka di Malaysia.

Kapasiti pemasangan bersih tenaga boleh baharu di negara ini dijangka mencapai 18,000 MegaWatt menjelang 2035, lebih 10 kali ganda kenaikan berbanding 2020.

Selain itu, Malaysia bercadang untuk menamatkan secara berperingkat tujuh daripada 13 Gigawatt penjanaan arang batu menjelang 2033, menandakan berakhirnya perjanjian pembelian tenaga 25 tahun untuk loji janakuasa arang batu.

Sumber: Bernama

Gagasan Solar bekerjasama dengan Fabulous Sunview melabur dalam aset solar komersial, industri


Content Type:

Duration:

Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui Bahagian Tenaga Baharu (NED) berusaha mengukuhkan perniagaannya pada masa hadapan dengan mengembangkan jejak tenaga boleh baharu (TBB) secara global melalui penggabungan dan pemerolehan, pembangunan aset dan mewujudkan perkongsian strategik dengan pemain-pemain industri TBB terkemuka.

Anak syarikat milik penuhnya, Vantage RE Ltd (Vantage RE) yang dilancarkan pada 1 Julai 2021, kini mengendalikan dan mengurus portfolio aset TBB TNB di United Kingdom (UK) dan Eropah, kata syarikat utiliti nasional itu dalam satu kenyataan.

Pada Oktober 2021, Vantage RE meningkatkan portfolio TBB TNB dan matlamat sifar bersih dengan pengambilalihan 49 peratus kepentingan dalam syarikat ladang angin luar pesisir, Blyth Offshore Demonstrator Limited (BODL) daripada EDF Renewables (EDFR), anak syarikat kepada syarikat utiliti Perancis, Électricité de France (EDF), menurut kenyataan itu.

Ia juga telah menyelesaikan pemerolehan 100 peratus kepentingan dalam portfolio angin dalam pesisir 97.3MW di United Kingdom (UK) pada April 2022. Kedua-dua pengambilalihan itu membantu mempercepatkan pelaksanaan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urusnya (ESG).

Sehingga kini, ia telah mencapai 530MW portfolio TBB termasuk angin luar pesisir, angin dalam pesisir dan ladang solar di UK; pengambilalihan ini menandakan kejayaan pelaksanaan strategi syarikat utiliti nasional itu untuk mengembangkan portfolio TBB TNB dalam pasaran tumpuan seperti di UK dan Eropah.

Pada masa sama, ia akan mempercepat peralihan TNB ke arah masa depan tenaga boleh baharu melalui penjanaan karbon rendah, sejajar Hala Tuju Kelestarian TNB dan visi ESG secara keseluruhannya,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din.

Pada peringkat tempatan, Baharin berkata dalam usaha mempercepatkan penyahkarbonan, projek empangan hidroelektrik di Nenggiri, Gua Musang oleh anak syarikat penjanaan kuasanya, TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) yang akan bermula tahun ini.

Beliau berkata, projek itu bakal menyalurkan 300 megawatt (MW) TBB kepada grid nasional apabila siap pada 2026 nanti.

Ia akan meningkatkan kestabilan bekalan di Semenanjung Malaysia, khususnya ke wilayah timur, sekali gus memberikan faedah tambahan kepada Kelantan dari segi tebatan banjir, bekalan air bersih dan air mentah untuk pengairan.

TNB Genco, yang kini menjana 50 peratus tenaga di Malaysia, sedang berusaha untuk memanjangkan hayat stesen janakuasa hidro sedia ada iaitu stesen janakuasa Sungai Perak, Kenyir dan Cameron Highlands dan akan memanfaatkan bahan api ammonia rendah karbon dalam teknologi pembakaran sekali gus memerangkap karbon di stesen janakuasa arang batunya, dalam usaha mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau.

Sumber: Bernama

TNB perluas jejak tenaga baharu ke seluruh dunia


Content Type:

Duration:

Alibaba Cloud, unit awan Alibaba Group menyasar untuk terus melabur di Malaysia dengan menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan pengkomputeran awan terbaik dalam kelasnya bagi mempertingkatkan usaha transformasi digital syarikat tempatan.

Pengurus Besar Malaysia, Alibaba Cloud Intelligence, Kun Huang, berkata program Pemerkasaan Digital Alibaba Cloud akan dilancarkan dengan sumber yang ditingkatkan di Malaysia untuk lebih menyokong pendigitalan tempatan dan mempercepat ekosistem inovasi.

Program ini meliputi pelbagai aspek, termasuk pemerkasaan kredit awan, bengkel latihan dan perkhidmatan teknologi khusus, terutama menyasarkan industri utama dengan permintaan besar dalam transformasi digital seperti Internet, kewangan dan runcit.

Beliau berkata, untuk berkembang maju dalam dunia pasca-COVID-19, penting untuk perniagaan Malaysia menerapkan transformasi digital pantas ke dalam model perniagaan kalis pandemik melalui teknologi.

Sebagai penyedia perkhidmatan awan terkemuka global dengan dua pusat data tempatan, Alibaba Cloud akan terus melabur dalam pasaran ini untuk menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan pengkomputeran awan terbaik dalam kelasnya serta pengetahuan industri yang terbukti, katanya.

Kun berkata, ini untuk membolehkan pelanggan dan rakan kongsi tempatan dalam pelbagai sektor meningkatkan perniagaan mereka sepanjang perjalanan transformasi digital masing-masing.

“COVID-19 amat mengubah cara kita hidup dan bekerja, serta cara kita mengggunakan,” katanya.

Alibaba Cloud, cabang utama Alibaba Group bagi teknologi digital dan kepintaran, hari ini menganjurkan Hari Internet 2022, persidangan teknologi separuh hari di sini untuk memperkukuh pendigitalan Malaysia.

Sumber: Bernama

Alibaba komited sedia infrastruktur awan terbaik di Malaysia


Content Type:

Duration:

Beberapa syarikat besar di Jepun sedang mengadakan perbincangan dengan PETRONAS untuk membangunkan teknologi hijau di Malaysia, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, satu kajian sedang dijalankan berhubung perkara itu dan ia adalah usaha yang baik untuk negara dalam mencapai matlamat karbon sifar bersih seawal tahun 2050.

“Ini akan kita teruskan dan kita juga telah meminta pihak Jepun untuk meneruskan kerjasama itu,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Tahun 2022 bertemakan ‘Ekonomi Lestari, Teguh dan Makmur’ anjuran MITI hari ini.

Mohamed Azmin menyifatkan usaha MITI untuk menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara berjaya dalam membantu mencipta pekerjaan berkualiti tinggi serta membawa teknologi baharu yang membolehkan pengusaha kecil dan sederhana untuk lebih aktif meningkatkan produktiviti mereka menggunakan teknologi canggih.

Selain itu, katanya, Dasar Pandang ke Timur (DPT) juga telah banyak membantu dalam memperkasakan sosio-ekonomi Malaysia sejak diperkenalkan 40 tahun yang lalu, tetapi cabaran dalam memantapkan dasar itu berbeza pada masa sekarang.

“Tumpuan kita sekarang ini adalah kepada isu-isu alam sekitar, kelestarian dan teknologi hijau yang menjadi paksi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12),” katanya.

Baru-baru ini, Malaysia dan Jepun bersetuju supaya hubungan dua hala dinaik taraf ke peringkat yang lebih komprehensif dan DPT diteruskan dengan membina kerjasama baharu seperti dalam bidang tenaga, bandar pintar, alam sekitar dan perubahan iklim.

Majlis itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Timbalan Menteri MITI, Datuk Lim Ban Hong.

Sumber: Bernama

Syarikat Jepun, PETRONAS bincang bangun teknologi hijau


Content Type:

Duration:

Cyberview Sdn Bhd (Cyberview) has inked a memorandum of understanding (MoU) with Les’ Copaque Production to explore the development potential of Upin & Ipin theme park in Cyberjaya. 

The theme park is targeted to be ready by 2024/2025 with about two million visits projected annually from local and international fans.

In a joint statement today, Cyberview managing director, Datuk Najib Ibrahim said: “The Upin & Ipin theme park will effectively be bridging the animation industry and fans through on-the-ground experience.

“With our focus on digital creativity, the theme park is a piece of the puzzle that fits perfectly, directly bringing ancillary commercial value to local IP (intellectual property) while further encouraging the participation of local talents in the creative content industry.”

Mohd Najib said the park was expected to have multiplied economic impacts on the city (Cyberjaya). 

“Cyberview projects the city’s contribution of RM250 billion to the gross domestic product (GDP), 87,000 jobs created and the participation of 1,200 companies by 2045,” he said.

Cyberjaya was chosen given the city’s strategic location and long-standing support in nurturing the animation industry and content creation among the local players.

The proposed development is set against a unique traditional backdrop to feature exclusive IP from Les’ Copaque, headlined by the studio’s award-winning animation icons, Upin & Ipin, along with other popular IP such as Puteri and Pada Zaman Dahulu.  

The theme park is also set to offer visitors, immersive and experiential attractions through various interactive, thematically-designed content such as ‘Rumah Opah’ in an interactive studio, an Upin & Ipin interactive park, and an outdoor fun park. 

Other key components include the Mystical Tunnel, Pada Zaman Dahulu Green House & Outdoor Maze Garden, a 4D interactive cinema and a Warong Muthu-themed food court.

Les’ Copaque production managing director, Burhanuddin Md Radzi said the theme park would be the pride of Malaysians as it is a locally produced brand and would be on par with other international theme parks. 

“Upin & Ipin will not only attract Malaysians but the whole of South-East Asia, more so the lifelong fans in Indonesia. This will directly help boost the tourism and manufacturing industries, as well as job opportunities for Malaysians,” he added.  

Sumber: Bernama

Cyberview, Les’ Copaque team up to develop Upin & Ipin theme park in Cyberjaya


Content Type:

Duration:

Skyline Enterprises, pengendali riadah dan hiburan yang berpangkalan di Queenstown, New Zealand, akan melabur NZ$26 juta (kirakira RM74 juta) untuk membuka taman tarikan luge (trek kereta luncur) pertama di Malaysia pada suku ketiga 2023.

Aktiviti luge di Gamuda Gardens City Centre – hab komersial dan hiburan runcit di perbandaran Gamuda Gardens di sini — dijangka menarik kira-kira 350,000 orang pada tahun pertama pembukaannya, kata Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land Chu Wai Lune.

Beliau berkata ketika syarikat itu merintis arah kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), tarikan luge itu akan melengkapkan komponen kediaman dan gaya hidup dengan nilai pembangunan kasar RM2.8 bilion di kawasan seluas 20.23 hektar (50 ekar).

“Hanya pembangunan mampan akan bertahan. Memandangkan kami memastikan perbandaran kami mempunyai reka bentuk biofilik, cekap tenaga, mesra pejalan kaki, menggalakkan lebih banyak berbasikal dan mempunyai lebih sedikit kereta, Skyline Enterprises mendapati kami berkongsi nilai yang sama dalam mencipta tempat komuniti dan membina masa depan yang mampan untuk planet ini,” katanya pada majlis pecah tanah untuk Skyline Luge Activity Park hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pesuruhjaya Tinggi New Zealand Pam Dunn dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi Promosi dan Pemudahan Pelaburan Sivasuriyamoorthy Sundara Raja.

Chu berkata Skyline Luge Activity Park dan Play Park, merangkumi gabungan tunggangan rekreasi basah dan kering serta ruang runcit terbuka, akan bersedia untuk memulakan kemeriahan di perbandaran itu menjelang akhir 2023.

Taman aktiviti luge, yang akan dibina di atas tapak seluas 30,000 meter persegi, akan menjadi taman keempat Skyline Enterprises di Asia. Taman yang lain terletak di Singapura dan Korea Selatan (Busan dan Tongyeong).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Geoff McDonald berkata pengalaman luge di trek yang dibina khas sepanjang 600 meter dengan taman landskap aktiviti luge bertema akan direka bentuk mengikut rupa bumi tempatan dan memberikan tunggangan yang menarik dari puncak bukit setinggi 40 meter.

“Kami teruja untuk membawa pengalaman masa lapang kami yang penuh keseronokan di sini kerana kami fikir terdapat banyak potensi di sini. Kuala Lumpur (KL) sentiasa menjadi tarikan dengan kepelbagaian yang begitu bertenaga dan mudah melakukan perniagaan, dan ia adalah lebih mudah untuk berkunjung ke sini yang bersebelahan dengan Singapura.

“Selain KL, kami juga ingin mengembangkan pengalaman aktiviti yang menyeronokkan ini ke negara Eropah termasuk United Kingdom (UK),” kata McDonald.

Sementara itu, Sivasuriyamoorthy dari MIDA dalam ucapannya berkata usaha Skyline Enterprises untuk mengembangkan perniagaannya ke Malaysia adalah bukti sentimen perniagaan positif Malaysia yang semakin meningkat dalam kalangan komuniti pelabur pelancongan.

Beliau menambah aktiviti itu akan menjadi satu lagi tarikan menarik dalam sektor pelancongan selepas sektor itu terjejas teruk akibat sekatan pergerakan yang disebabkan pandemik COVID-19.

Gamuda Land ialah cabang hartanah Gamuda Bhd. Ia telah membangunkan perbandaran, pembangunan bertingkat tiinggi, rumah kelab dan  hartanah komersial selama dua dekad yang lalu.

Sumber: Bernama

Tarikan luge pertama Malaysia dibuka di Gamuda Gardens pada 2023


Content Type:

Duration:

Kedah berhasil merealisasikan hab e-dagang dan logistik melibatkan aktiviti import dan eksport barangan melalui jalan darat yang pertama di negara ini.

Fasa pertama pembangunan terminal e-dagang yang terletak di sebuah gudang berkeluasan 60,000 kaki persegi di kawasan perindustrian di sini telah siap pada Mac lepas dan akan mula beroperasi dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata hab e-dagang itu merupakan anugerah kepada rakyat Kedah khususnya dalam membantu menjana pertumbuhan ekonomi negeri serta peluang pekerjaan.

“Hari ini satu lagi sejarah dicatatkan di Kedah menerusi pelaburan oleh KT Express Logistics Sdn Bhd yang akan mencecah RM1 bilion, kita rasmikan dahulu untuk fasa satu di mana ia satu-satunya hab e-dagang mod jalan darat di Malaysia.

“Walaupun fasa dua dan tiga banyak menggunakan elektronik dan juga robotik, tetapi ada juga beberapa institusi pengajian tinggi yang akan bekerjasama rapat dengan syarikat ini untuk membekalkan tenaga kerja untuk operasi hab ini,” katanya di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan fasa satu projek hab e-dagang itu di sini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pengajian Tinggi negeri Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail serta Ketua Pegawai Eksekutif KT Express Logistics, Datuk Affendi Mohamed Zain.

Pembangunan hab e-dagang yang dilaksanakan mengikut tiga fasa selama lima tahun itu dijangka menawarkan sehingga 2,500 peluang pekerjaan.

Pada 20 Jan 2022, KT Express Logistics menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Invest Kedah Bhd untuk membangunkan hab tersebut dan Affendi Mohamed Zain berkata pada permulaan, pihaknya menjangkakan dua hingga lima kontena menghantar barangan di hab ini dan setiap kontena dianggarkan mampu membawa 2,000 hingga 8,000 kotak barangan bergantung kepada saiz.

Beliau juga berkata hab melalui jalan darat ini dapat menjimatkan kos pembelian berbanding menggunakan jalan udara selain membantu pertumbuhan peniaga kecil yang mempunyai produk berkuantiti kecil di negara ini untuk mengeksport dan menghantar barangan tempatan terus kepada pelanggan melalui jalan darat.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata Kedah berjaya menarik pelaburan bernilai RM20 bilion bagi suku pertama serta suku kedua 2022 setakat ini, melepasi sasaran RM10 bilion setahun yang ditetapkan menerusi Pelan Pembangunan Kedah 2035.

“Jumlah itu bagi suku pertama dan suku kedua tahun ini. Suku kedua pun belum habis lagi, (tapi) kita peroleh RM20 bilion. Insya-Allah suku ketiga, suku keempat ada lagi (pelaburan).

“Banyak pelaburan membabitkan industri perkilangan, jadi kita buka seluas-luasnya, kita ada kawasan perindustrian di Bakar Arang, Sungai Petani dan Kuala Ketil, Baling yang sedang membesar,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah meminta kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf jalan-jalan di kawasan perindustrian di Kedah susulan peningkatan pelaburan.

Source: Bernama

Kedah realisasikan hab e-dagang mod jalan darat pertama di Malaysia


Content Type:

Duration:

Hab Inovasi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) yang dibangunkan di Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) Park akan memberi manfaat kepada 1,250 pemilik perniagaan pada tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata inisiatif ini turut disasar untuk membantu 5,000 bakal usahawan melalui pendedahan kepada teknologi 4IR termasuk sebagai sokongan kepada 50 syarikat yang mahu membina prototaip produk mereka.

Projek menaik taraf MRANTI Park kepada Hab Inovasi 4IR memberi tumpuan ke arah mewujudkan platform inovasi pembangunan usahawan serta pusat pengkomersialan bagi mengalakkan inovasi dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Ia juga memberi fokus terhadap menyediakan makmal eksperimen dalam membantu PMKS atau pemula niaga menjalankan aktiviti prototaip selain menyediakan alat bantu pembangunan kapasiti dan keupayaan secara berterusan.

Dr Adham berkata pusat inovasi bertemakan 4IR, MRANTI MakersLab yang dilancarkan hari ini merupakan salah satu insiatif kerajaan dalam membimbing usahawan secara menyeluruh, bermula daripada proses pembangunan prototaip sehingga kepada pengkomersialan produk.

“Menyedari hakikat bahawa tiada fasiliti menyeluruh menyebabkan terdapatnya jurang antara ketersediaan inisiatif yang ditawarkan dan proses pengkomersialan yang dijalankan.

“Ini merupakan salah satu punca mengapa banyak hasil pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang diusahakan oleh usahawan tidak dapat dikomersialkan,” katanya pada majlis pelancaran MRANTI MakersLab, di sini.

Dr Adham berkata MRANTI MakersLab diwujudkan untuk menyediakan ruang khusus yang dilengkapi dengan kemudahan ujian dan latihan bagi membolehkan para inovator menjalankan pandu uji produk, serta teknologi yang memerlukan ujian lapangan.

MRANTI Makerslab yang mempunyai keluasan 2,000 kaki persegi ketika ini akan dipertingkatkan kepada 5,000 kaki persegi menjelang November depan.

Ia menyediakan perkhidmatan merangkumi reka bentuk dan prototaip teknologi dron, kursus percetakan 3D inovatif termasuk sistem pembuatan fleksibel 4IR serta teknologi bio sains.

Source: Bernama

Hab inovasi 4IR MRANTI sasar manfaat 1,250 pemilik perniagaan pada 2022


Content Type:

Duration:

Malaysia memerlukan transformasi digital yang inklusif untuk mencapai ekonomi digital yang berdaya saing dan progresif, seiring dengan negara maju yang lain, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, pendapat itu dan idea mengenai masa depan komuniti digital ASEAN telah dikongsi sewaktu sesi perbincangan ‘A Digital ASEAN for All’ bersama beberapa tokoh korporat serta rakan sejawat dari negara Asia Tenggara pada hari pertama Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Tengku Zafrul turut berkongsi kejayaan Malaysia mengenai inisiatif dalam merapatkan jurang pembiayaan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan juga ekonomi tidak formal.

“Insya-Allah, dengan inisiatif kerajaan seperti pelaksanaan pelan hala tuju pendigitalan PMKS, negara kita akan terus berkembang maju melalui peningkatan sumbangan komuniti perniagaan ini kepada ekonomi negara,” katanya dalam hantaran terbaharu di laman sosial Facebook.

Tengku Zafrul berkata, peserta yang lain turut berkongsi pengalaman serta usaha mereka di negara masing-masing.

Beliau berkata, topik utama yang dibincangkan sewaktu sesi perbincangan itu ialah bagaimana masa depan digital rantau ini boleh dibentuk untuk memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Katanya, semasa dunia dilanda wabak COVID-19, pengguna Internet meningkat sebanyak lebih 10 peratus dalam masa hanya setahun.

Ekonomi digital rantau ASEAN kini bernilai lebih AS$100 bilion, katanya.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Menteri Kewangan itu berkata, hari kedua WEF telah dimulakan dengan sesi perbincangan ‘Building Resilience: Financing Local Economies’ bersama beberapa wakil korporat global.

Perbincangan meja bulat itu merangkumi cara-cara bagaimana kerajaan boleh menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan sosial bagi mengembangkan ekonomi setempat.

“Saya berkongsi pandangan mengenai usaha kerajaan Malaysia yang inovatif bagi menyokong PKS dan perusahaan sosial, termasuk pembiayaan kuasi-ekuiti dan moratorium sehingga 12 bulan bagi beberapa langkah pembiayaan melalui pakej SemarakNiaga Keluarga Malaysia yang bernilai RM40 bilion di bawah Bajet 2022.

“Saya ada menimba beberapa idea baharu yang Insya-Allah akan dikongsikan bersama warga kerja MOF (Kementerian Kewangan) bagi Bajet 2023,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia perlukan transformasi digital inklusif


Content Type:

Duration:

Malaysia berada di landasan untuk terus menerajui pertumbuhan perbankan Islam di Asia Tenggara, menurut S&P Global Ratings.

Pengarah Bersekutu Asia Selatan dan Asia Tenggara Nikita Anand berkata pertumbuhan perbankan Islam di Asia Tenggara diunjurkan tumbuh pada kadar tahunan kompaun sebanyak lapan peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang, manakala sektor perbankan Islam Malaysia dijangka berkembang antara enam dan lapan peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Di Malaysia, bank Islam tempatan berupaya menyumbang kira-kira 45 peratus daripada keseluruhan rekod pinjaman perbankan komersial menjelang 2026 daripada 37.5 peratus pada masa ini,” menurut Nikita dalam webinar bertajuk ‘Prospek Perbankan Islam Asia Tenggara’ S&P Global Ratings hari ini.

Beliau berkata sektor perbankan Islam yang besar di Malaysia mencatat peningkatan keuntungan yang positif pada tahun lepas selepas merosot pada 2020.

“Bagaimanapun, sebilangan bank kecil masih bergelut dan belum pulih.

“Kebanyakannya merekodkan kerugian dan kami yakin trend ini akan berterusan,” tambahnya.

Mengenai risiko, Nikita berkata industri tersebut masih bergantung kepada pemulihan daripada COVID-19, isi rumah yang terus bergelut terutamanya dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah, selain Perusahaan Kecil dan Sederhana.

“Selain itu, ketegangan geopolitik dan konflik Rusia-Ukraine telah meningkatkan harga tenaga dan komoditi.

“Harga makanan yang lebih tinggi akan menjejaskan pendapatan isi rumah. Kami turut menjangka peningkatan sekurang-kurangnya 50 mata asas di Malaysia dan Indonesia, dan kadar faedah lebih tinggi akan memberi kesan kepada peminjam rentan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kemunculan impak kenaikan kadar faedah terhadap keuntungan perbankan Islam akan mengambil tempoh yang lebih panjang.

Ditanya mengenai kemungkinan untuk sektor teknologi kewangan (fintech) Islam menggantikan peranan perbankan Islam, Nikita berkata terdapat cabaran untuk berbuat demikian.

Ini khususnya apabila banyak perniagaan Islam bank konvensional masih tumbuh dengan pesat, katanya.

“Dalam masa setahun atau dua tahun kebelakangan ini, banyak bank Islam yang lebih kecil telah menerima modal pelabur asing dan mereka telah meningkatkan perkhidmatan digital masing-masing.

“Oleh itu, syarikat fintech Islam perlu menawarkan produk dan perkhidmatan yang lebih murah dan bermutu dari segi teknologi untuk menggantikan bank-bank ini,” katanya.

Pengarah Bersekutu S&P Global Ratings Asia Selatan dan Asia Tenggara Nancy Duan berkata Malaysia turut menerajui strategi pelaburan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di rantau ini. 

“Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha sebelum ini untuk menyelaraskan proses kredit penajajaminan dan bank telah mematuhi standard penarafan ESG tersebut secara sukarela.

“Ia merupakan perkembangan yang baik dan kami menjangka negara-negara lain di rantau ini akan turut berbuat demikian,” kata Duan.

Menurut agensi penarafan itu, Malaysia menyumbang 81 peratus daripada aset perbankan Islam di Asia Tenggara, diikuti Indonesia sebanyak 15 peratus dan Brunei pada empat peratus.

Malaysia dan Indonesia menyumbang 96 peratus daripada aset sektor tersebut di rantau ini.

Katanya Asia Tenggara memegang 17 peratus atau AS$290 bilion (AS$1=RM4.38) daripada aset perbankan Islam global bernilai AS$1.7 trilion.

Sumber: Bernama

S&P: Malaysia terus menerajui pertumbuhan perbankan Islam di Asia Tenggara


Content Type:

Duration:

Malaysia menubuhkan Pusat Revolusi Perindustrian Keempat (C4IR), sebuah pusat bebas di bawah Forum Ekonomi Dunia (WEF), untuk menyokong pencapaian wawasan menyeluruh Malaysia di bawah Dasar 4IR yang dilancarkan pada 2021, serta Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

Pusat itu, akan ditubuhkan secara rasmi dan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada separuh kedua 2022, yang berfungsi untuk mempercepatkan penggunaan teknologi, kata Kementerian Kewangan (MOF).

“Ini seterusnya akan membantu menjamin pertumbuhan yang lebih saksama, inklusif dan mampan untuk Malaysia apabila ekonomi pulih daripada pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MOF berkata penubuhan pusat itu, juga yang pertama di Asia Tenggara, menunjukkan komitmen kerajaan ke arah mengutamakan teknologi sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi dan pemulihan pasca pandemik, serta menyokong aspirasinya untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.

C4IR akan menjadi sebahagian daripada rangkaian global WEF untuk kerjasama pelbagai pihak bagi merealisasikan faedah teknologi baru muncul dan inovatif.

“Melalui rangkaian pusat sedia adanya di serata dunia, C4IR merintis model tangkas dan berpaksikan kemanusiaan dalam pembangunan dan pelaksanaan dasar yang berfokuskan teknologi,” kata kementerian itu.

Penubuhan C4IR diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di luar Mesyuarat Tahunan WEF yang diadakan di Davos, Switzerland dari 23 – 26 Mei 2022.

Menteri itu berkata Malaysia sedang mempercepatkan transformasi digitalnya, dan keupayaan untukmemanfaatkan teknologi 4IR seperti kecerdasan buatan, nanoteknologi, tenaga boleh diperbaharui dan pengkomputeran kuantum akan menjadi salah satu pemacu utama bagi pertumbuhan ekonomi negara yang mampan, berdaya tahan dan inklusif dalam beberapa dekad akan datang.

“Sehubungan itu, penubuhan C4IR memastikan teknologi pilihan Malaysia mampu menghasilkan manfaat yang bermakna kepada manusia sejagat dalam interaksi teknologi tersebut merentasi alam fizikal, digital dan biologi.

“Kementerian Kewangan juga akan bekerjasama dengan kementerian-kementerian berkaitan bagimemastikan kejayaan C4IR sebagai platform untuk pemindahan teknologi dan bagi membangunkan kapasiti tempatan secepat mungkin,” tambah beliau.

Sementara itu, Pengarah Urusan WEF Jeremy Jurgens berkata pihaknya mengalu-alukan Malaysia ke rangkaian global Pusat Revolusi Perindustrian Keempat akhir tahun ini.

“Sebagai pusat pertama di Asia Tenggara, C4IR Malaysia akan memainkan peranan penting dalam menerajui transformasi digital di rantau ini,” katanya.

MOF berkata sebaik sahaja ditubuhkan, C4IR akan diuruskan oleh Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, dengan program yang akan dirangka dan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi & Multimedia dan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi.

WEF juga akan terus memainkan peranan kolaboratif dalam pengoperasian C4IR.

“Manfaat utama agenda 4IR Malaysia termasuk golongan belia (contohnya, melalui akses yang lebih baik kepada kaedah pembelajaran dan peningkatan kemahiran yang dikuasakan oleh Edutech); perusahaansosial (contohnya, menyelesaikan isu sosio-ekonomi, memudahkan penggunaan digital dan merapatkan jurang digital bandar dan luar bandar); sektor perniagaan (contohnya, membangunkan kapasiti dikuasakan 4IR berasaskan industri dan sektor) dan sektor awam (contohnya, memanfaatkan data raya bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam),” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia tubuh Pusat 4IR mangkin pemulihan ekonomi


Content Type:

Duration:

Pestech International Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Hydrogène De France SA (HDF Energy) untuk bekerjasama dalam pengeluaran hidrogen hijau daripada loji janakuasa hidro di Kemboja dan Malaysia.

Pestech berkata melalui MoU hari ini, kerjasama itu berpotensi menangani penyahkarbonan pelbagai sektor seperti antara lain, perkhidmatan grid dan aplikasi perindustrian.

“Di bawah MoU itu juga, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk kerja-kerja pembangunan berkenaan dengan projek-projek di rantau Malaysia dan Kemboja sebagai fasa awal. 

“Sebagai perintis dalam hidrogen, HDF Energy akan menerajui skop pembangunan projek dan saiz, manakala Pestech akan mengambil peranan sebagai penghubung pasaran tempatan dan penyelarasan, bergerak seiringan dengan HDF Energy,” kata Pestech dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pestech juga berkata pihaknya akan diberi hak kontrak pertama untuk kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan, dan pentauliahan tertakluk kepada terma dan syarat yang akan ditentukan pada peringkat seterusnya mengenai pendekatan projek demi projek.

“Hak kontrak pertama akan bergantung kepada kriteria keberuntungan yang akan disahkan pada peringkat seterusnya oleh pemberi pinjaman antarabangsa dan tempatan,” tambahnya.

Sumber: Bernama

Pestech bekerjasama dengan syarikat Perancis terokai projek hidrogen hijau


Content Type:

Duration:

Memorandum Kerjasama (MoC) berhubung penghantaran pekerja mahir Malaysia dan sektor tertentu untuk bekerja di Jepun akan dimuktamadkan oleh kedua-dua negara, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata ia antara inti pati utama dalam rangka lawatan kerjanya ke Jepun bermula esok (25 Mei) hingga 28 Mei depan, bersempena lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke negara itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Saravanan berkata beliau akan menandatangani MoC itu bersama-sama dengan Menteri Kehakiman Jepun Yoshihisa Furukawa, selain melibatkan penyertaan Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan serta Agensi Polis Negara Jepun.

“Matlamat MoC adalah untuk membantu memartabatkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara bagi melahirkan tenaga kerja mahir dalam kalangan pekerja tempatan.

“MoC itu juga memberi peluang kepada rakyat tempatan memperoleh pengalaman dan kepakaran di Jepun untuk satu tempoh masa dan apabila mereka pulang kelak, mereka dapat menyumbang kepada industri berkaitan di Malaysia,” kata Saravanan.

MoC berkenaan menggariskan 14 sektor penghantaran pekerja mahir merangkumi pelbagai industri iaitu perkakasan dan bahagian mesin, penerbangan, pembaikan dan penyelenggaraan automobil serta jentera perindustrian.

Saravanan berkata MoC tersebut juga selaras dengan hasrat kerajaan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030) iaitu mencapai sasaran 35 peratus pekerja berkemahiran tinggi dalam guna tenaga negara.

Dalam rangka lawatan kerja itu, Saravanan juga dijadual melawat Cyberdyne Studio untuk melihat teknologi neuro-robotik tercanggih, Robot Suit HAL iaitu robot cyborg pertama di dunia berkaitan pemulihan dan rehabilitasi.

“Ia akan menjadi penanda aras untuk penubuhan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan yang bakal dibina di Perak,” kata Saravanan.

Sumber: Bernama

Malaysia, Jepun bakal muktamad MoC penghantaran pekerja mahir


Content Type:

Duration:

Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) komited untuk meningkatkan pembangunan teknologi dalam perniagaan melalui program Road2Growth 2022 (R2G) dan kerjasama dengan syarikat-syarikat teknologi ahli ekosistem MTDC.

Pengarah Bahagian Pembangunan Teknologi MTDC Mohammad Farish Nizar Othman berkata program ini telah dilaksanakan di Kota Kinabalu dan Kuching pada 21 Mac dan 23 Mac lepas dan kini diteruskan dengan lokasi ketiga di sini untuk meluaskan capaiannya ke wilayah utara.

“Peserta terdiri daripada graduan, penyelidik, usahawan mikro, kecil dan sederhana serta syarikat pemula dan pengendalian jelajah pada tahun ini lebih ke arah perkongsian produk serta solusi teknologi tempatan oleh syarikat ekosistem MTDC. 

“Penggunaan teknologi sudah terbukti boleh meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos dan menambah pendapatan syarikat,” katanya pada sidang media selepas melawat pameran oleh lapan syarikat ekosistem MTDC di bawah program R2G hari ini.

Graduan yang menghadiri program ini boleh mendapat manfaat daripada mengadaptasikan Industri 4.0 dan pendigitalan sekali gus menaik taraf kualiti bakat tempatan serta menjadi nilai tambah kepada kualiti pembelajaran untuk kegunaan masa depan mereka.

Mengenai lapan syarikat ekosistem MTDC yang mempamerkan produk dan servis mereka pada program hari ini, katanya mereka terdiri daripada syarikat yang berkecimpung dalam teknologi bidang robotik, automasi, pencetakan 3D, realiti berperantara, teknologi dron, antara lainnya. 

Tambahnya, syarikat ini juga merupakan ahli komuniti Center of 9 Pillars™ (Co9P™), iaitu objektifnya untuk mengumpulkan syarikat Industri 4.0 di Malaysia untuk mereka bekerjasama.

“MTDC juga ingin membangunkan rangkaian Co9P ™ ini di luar Lembah Klang, iaitu di Sabah, Sarawak, Johor, Terengganu dan Pulau Pinang. Kami turut menjemput usahawan tempatan untuk menjadi rakan niaga Co9P™.

“Dengan rangkaian hab ini, usahawan IKS berpeluang untuk bekerjasama dan meluaskan rangkaian perniagaan untuk meningkatkan solusi dan teknologi yang dapat diguna pakai dalam perniagaan mereka,” katanya.

Sumber: Bernama

Program Road2Growth bantu tingkatkan pembangunan teknologi dalam perniagaan


Content Type:

Duration:

Penubuhan 25 Startups, inkubator pertama Malaysia untuk teknologi Blockchain dan Internet-of-Things (loT), tepat pada masanya untuk melengkapkan ekosistem pembuatan Pulau Pinang yang kukuh.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata 25 Startups akan menarik pelbagai syarikat permulaan tempatan dan asing yang khusus dalam Blockchain dan loT yang matlamatnya untuk menguji potensi pasaran mereka dalam industri teknologi Malaysia yang berkembang pesat dan membangunkan produk mereka di peringkat tempatan di Pulau Pinang.

“Sepanjang tempoh 50 tahun, Pulau Pinang membina ekosistem pembuatan yang kukuh. Bagaimanapun, pembuatan saja tidak mencukupi untuk berada di hadapan dan memenuhi permintaan serta jangkaan pelanggan.

“Kami percaya kita perlu melengkapkan kekuatan ini dalam teknologi perkakasan dengan penyelesaian perisian digital yang menarik dan unik,” katanya berucap pada perasmian pejabat 25 Startups di sini malam ini.

Zahidi berkata, walaupun pandemik memperlahankan pertumbuhan syarikat permulaan dalam beberapa tahun ini, Pulau Pinang bertentangan dengan trend itu dengan peningkatan aktiviti baru-baru ini dan kadar pertumbuhan di sini mungkin lebih tinggi dengan pemain yang sesuai.

Beliau berkata, Pulau Pinang yang juga dikenali sebagai Lembah Silikon Timur, mempunyai industri pembuatan yang kukuh dengan pengalaman selama 50 tahun, menempatkan lebih 350 syarikat multinasional dan lebih 3,000 perusahaan kecil dan sederhana dalam sektor pembuatan, serta menarik jutaan pelancong setiap tahun.

Susulan itu, syarikat permulaan teknologi boleh memanfaatkan rantaian bekalan syarikat gergasi teknologi dan syarikat perindustrian ini untuk menyelesaikan masalah serta isu dunia sebenar.

“Dengan semua ruang kerja bersama ini terletak di Daerah Digital Kreatif di sini, saya berharap syarikat permulaan akan mengambil peluang menyertai dan bersepadu dengan hab ini yang dikuasakan sepenuhnya oleh infrastruktur 5G untuk memenuhi semua keperluan digital.

“Saya yakin pembukaan pusat ini akan menggalakkan lebih ramai pemain utama dari sektor swasta untuk menyertai ekosistem itu, seperti inkubator, pemecut, pelabur dan pemodal teroka, selain meningkatkan standard untuk memenuhi kepentingan global,” katanya.

Firma modal teroka di sebalik 25 Startups, Pengerusi Karuna Khoshee Venture Capital Sdn Bhd, Datin Ros Suryati Alang berkata, selain menggalakkan syarikat permulaan dalam Blockchain dan IoT, ia turut menumpukan usahanya mentransformasikan inovasi syarikat permulaan kepada model perniagaan yang mencatatkan keuntungan boleh dikomersialkan.

Sumber: Bernama

Penubuhan inkubator Blockchain, IOT lengkapkan ekosistem pembuatan Pulau Pinang


Content Type:

Duration:

Penggunaan 5G di Malaysia bersedia untuk memberi manfaat kepada pengguna akhir dalam pelbagai bidang dan mewujudkan pekerjaan baharu untuk orang ramai.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Universiti Sains Islam Malaysia Prof Ir Dr Hafizal Mohamad berkata Malaysia dapat menyaksikan pecutan dalam pekerjaan baharu dengan kemajuan rangkaian, ditambah dengan aplikasi kecerdasan buatan (AI) serta realiti tambahan (AR) baharu, khususnya dalam sektor pendidikan, pertanian dan pembuatan.

Sebagai antara negara pertama di rantau ini yang membina ekosistem 5G, beliau berkata dianggarkan kira-kira 148,000 pekerjaan baharu akan disediakan seiring dengan kemajuan pelancaran 5G baharu.

“Aplikasi AI dan AR baharu ini tidak boleh dilakukan dengan rangkaian yang ada sekarang, tidak seperti rangkaian 5G. Oleh itu, kita sepatutnya dapat melihat sejumlah besar syarikat pemula niaga akan berkembang tidak lama lagi untuk menyediakan perkhidmatan baharu bagi 5G,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sejumlah 500 lokasi 5G telah siap di bawah fasa 1A setakat Disember 2021, meliputi kawasan-kawasan di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur, manakala fasa 1B akan menyaksikan pelancaran 3,518 tapak 5G lagi menjelang hujung tahun ini.

Digital Nasional Bhd (DNB), jentera tujuan khas (SPV) milik kerajaan untuk pelancaran 5G, komited terhadap jadual yang dipercepatkan untuk melancarkan liputan 5G kepada 80 peratus penduduk menjelang 2024.

Hafizal berkata rangkaian generasi baharu itu membolehkan perusahaan kecil dan sederhana mempunyai kesalinghubungan yang terjamin, stabil dan boleh dipercayai untuk mempromosikan produk mereka dengan lebih kreatif.

“Sekiranya anda melihat kembali semasa era 3G, jika syarikat ingin mempromosikan perkhidmatan atau produk mereka, mereka dapat mengedarkan maklumat menggunakan video dan audio untuk menjelaskannya tetapi dengan 5G, kita mungkin melihat lebih banyak kaedah lanjutan digunakan, termasuk video definisi tinggi,” katanya.

Di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA), beliau berkata kerajaan telah menyediakan inisiatif berkualiti tinggi untuk rangkaian wayarles 5G yang mana SKMM telah mengenal pasti tiga jalur iaitu jalur rendah, jalur sederhana dan jalur tinggi, mengikut negara-negara lain.

“Dengan 5G, kita juga boleh melihat data berkelajuan tinggi dan aplikasi kependaman ultra rendah akan muncul, terutamanya dalam penggunaan industri kerana ia penting dalam era revolusi industri dan beberapa aplikasi menegak lain yang memerlukan kependaman sangat rendah.

“Biasanya jika anda melakukan ujian kelajuan, pengguna akhir boleh melihat beberapa kelajuan megabit sesaat untuk peranti serasi 4G tetapi 5G boleh menyampaikan sehingga data gigabit sesaat selain menyediakan kira-kira 100 kali peningkatan kapasiti berbanding 4G,” jelas beliau.

Rangkaian 3G telah ditamatkan berkuat kuasa 31 Dis 2021, manakala 4G sedang diperkukuh sebagai sebahagian daripada inisiatif JENDELA yang bertujuan untuk menaik taraf infrastruktur komunikasi digital Malaysia sebagai persediaan untuk pelancaran 5G.

Pada 10 Nov, 2021, Kementerian Komunikasi dan Multimedia melancarkan rangkaian 5G pertama negara dalam usaha meningkatkan kesalinghubungan dan menjadi negara berpendapatan tinggi.

Pelancaran 5G tidak akan menjejaskan kesalinghubungan 4G untuk orang ramai kerana kedua-dua rangkaian digunakan secara bebas, kata Hafizal sambil menambah rangkaian itu akan menyokong lebih banyak peranti, termasuk peranti internet pelbagai benda (IoT).

Tambahan pula, beliau berkata gabungan penggunaan 5G dan AI juga penting dalam pertanian pintar untuk menganalisis data pH, baja dan suhu dari bahagian terpencil dengan penggunaan sensor atau pengesan untuk mengesan.

“Selain itu, penggunaan biasa lain ialah bandar pintar. Sebagai contoh, Langkawi mendemonstrasikan  penghantaran dan pemantauan bagi tujuan penguatkuasaan dengan menyediakan kamera trafik di lokasi strategik untuk mengenali dan menganalisis tingkah laku manusia.

“Dalam industri minyak dan gas, kita boleh melihat penggunaan seperti robot autonomi Petronas untuk melakukan pemeriksaan, striming video 4K dan beberapa sensor lain untuk operasi mereka,” katanya.

Justeru, beliau percaya usaha-usaha kerajaan telah dilaksanakan dengan perancangan yang jelas, dan berharap sinergi dan penyelarasan dalam kalangan agensi berkaitan akan diperkukuh bagi memastikan rancangan itu dapat dilaksanakan seperti yang telah diatur.

Sumber: Bernama

Rangkaian 5G beri banyak manfaat, wujudkan pekerjaan baharu


Content Type:

Duration:

Kerajaan sedang menumpukan usaha menghasilkan lebih ramai bakat tempatan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk menangani cabaran dalam sektor pembuatan Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad.

Perkara itu disuarakan semasa beliau berucap merasmikan Forum Kebangsaan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) mengenai STEM yang diadakan hari ini, menurut kenyataan yang dikeluarkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pada Khamis.

Beliau berkata pembuatan merupakan antara sektor penting dengan potensi penyepaduan kepada rantaian nilai global, namun ia masih mengalami kekurangan bakat berkemahiran khususnya sainstis, pakar teknologi dan jurutera.

“Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bertujuan membina asas untuk meletakkan Malaysia sebagai negara berstatus pendapatan tinggi pada 2025.

“Penting untuk negara kita mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang boleh memenuhi permintaan industri. Justeru, kemasukan penuntut ke dalam bidang STEM kekal menjadi tumpuan dalam usaha Malaysia untuk menjadi negara maju,” katanya.

Menurut kenyataan itu, beliau juga berkata kekuatan industri pembuatan Malaysia berkait rapat dengan kemampuan negara menghasilkan bakat tempatan terbaik dalam bidang berkaitan STEM, di mana sektor ini berpotensi menyepadukannya dengan rantaian nilai global secara lebih ketara.

“Ini boleh dilakukan dengan memberi tumpuan lebih serius kepada perancangan dan pembangunan dalam aktiviti pembuatan. Penyelesaian teknikal baharu diperlukan untuk menggalakkan kemajuan dalam industri,” katanya.

Mustapa berkata inovasi dalam teknologi, rantaian bekalan dan pengurusan ini akan mempertingkatkan produktiviti dan kualiti proses pembuatan.

“Justeru, peserta industri mestilah bertindak proaktif dalam menggunakan teknologi baharu,” katanya.

Beliau mengulangi kepentingan tindakan membangunkan tenaga kerja yang dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan bidang berkaitan STEM memandangkan bakat tempatan amat diperlukan untuk melonjakkan sektor pembuatan dan ekonomi Malaysia secara keseluruhannya.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata pihaknya komited untuk memudah cara agenda kerajaan dalam membangunkan tenaga kerja STEM yang berkemahiran.

“Bakat merupakan antara pemacu produktiviti yang penting. Bertindak memperkukuh bakat tempatan membawa maksud memesatkan lagi pertumbuhan produktiviti. MPC akan bekerjasama dengan PEMUDAH dalam aspek ini. Menerusi inisiatif Nexus Produktiviti, MPC akan membentuk kerjasama inovatif dengan peserta industri dalam sektor pembuatan untuk menghasilkan lebih ramai bakat STEM,” katanya.

Menurut kenyataan MPC, industri pembuatan kekal menjadi sektor ekonomi penting Malaysia, apabila muncul sebagai penyumbang kedua tertinggi kepada Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Mengikut RMK12, sektor pembuatan diunjurkan berkembang pada 5.7 peratus setiap tahun.

Forum Kebangsaan PEMUDAH mengenai STEM yang dianjurkan bersama PEMUDAH, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FFM) dan MPC itu mengangkat tema ‘Pendidikan STEM: Kunci untuk Inovasi Pembuatan’ .

Sumber: Bernama

Hasilkan lebih ramai bakat STEM tempatan kukuhkan sektor pembuatan – Mustapa


Content Type:

Duration:

Starlink, penyedia Internet jalur lebar berkelajuan tinggi dan pendaman rendah yang dikendalikan oleh syarikat aeroangkasa milik Elon Musk, SpaceX, merancang untuk mengembangkan operasinya di Malaysia dalam usaha meningkatkan kadar penembusan Internet di negara ini, terutama bagi kawasan luar bandar.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata bagaimanapun setakat ini, ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan kerajaan (berkaitan dasar) mengenai cadangan Starlink untuk memperkenalkan kemudahan Internet melalui satelit.

“Setakat ini, kerajaan telah memperhalusi beberapa cadangan yang dikemukakan oleh Starlink.

“Wakil- wakil Starlink akan berada di Malaysia pada minggu hadapan untuk memperhalusi cadangan- cadangan ini, dan kita harap ini dapat dimuktamatkan dalam masa yang terdekat kerana mereka sudah bersedia datang ke Malaysia, membawa teknologi-teknologi baharu ini bagi kepentingan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Bernama dan TV3 selepas bertemu wakil SpaceX dan Starlink di ibu pejabat SpaceX di sini, pada Rabu.

Mohamed Azmin berkata pada masa ini, Malaysia telah mempunyai syarikat tempatan yang berpangkalan di Johor yang merupakan pengeluar utama komponen penting untuk satelit yang dibangunkan oleh Starlink.

“Hasrat mereka (SpaceX dan Starlink) adalah melihat rantaian bekalan ini dapat dikembangkan dalam kalangan syarikat tempatan, kerana dengan wujudnya pelaburan baharu ini, pastinya mereka memerlukan sokongan rantaian bekalan yang lebih luas.

“Ini akan memberi peluang kepada syarikat-syarikat Malaysia untuk terlibat dalam teknologi angkasa, tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata kehadiran Starlink di Malaysia penting untuk negara meneruskan usaha dalam agenda transformasi digital.

“Saya percaya dengan keberadaan Starlink di Malaysia, ia akan dapat memperkukuh kedudukan ekonomi Malaysia di rantau Asia Tenggara dan peringkat global,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman memaklumkan rundingan dengan SpaceX dan Starlink kini berada di peringkat pertengahan.

“Syarikat-syarikat ini melihat potensi yang dimiliki Malaysia, dan kerajaan sedang memudah cara proses untuk merealisasikan projek mereka di negara kita,” katanya kepada Bernama.

Selain pertemuan dengan SpaceX dan Starlink, Mohamed Azmin juga mengadakan pertemuan dengan pihak Cue Health Inc, syarikat teknologi kesihatan yang membangunkan ujian diagnostik mudah alih untuk kegunaan di rumah.

Beliau berkata syarikat itu telah memperkenalkan peranti perubatan khususnya untuk membuat ujian- ujian termasuk ujian COVID-19 dengan teknologi terkini.

“Mereka telah mengenal pasti beberapa tapak yang sesuai untuk pelaburan ini, dan mereka akan berada di Malaysia pada Jun untuk memuktamatkan tempat yang sesuai bagi pelaburan yang akan dibawa ke Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

Starlink milik Elon Musk rancang sedia internet menerusi satelit di Malaysia


Content Type:

Duration:

Ekonomi digital dijangka menyumbang 22.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan mewujudkan lebih 500,000 pekerjaan menjelang 2025, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata Malaysia telah memberikan keutamaan kepada meningkatkan penggunaan kaedah pengguna digital (e-dagang dan pembayaran digital); menarik, melatih dan mengekalkan tenaga kerja digital; menggalakkan usaha niaga keusahawanan digital; menyediakan gentian optik dan akses Internet jalur lebar mudah alih yang pantas serta menyelaraskan inovasi antara universiti, perniagaan dan pihak berkuasa digital.

“Tahap evolusi digital membantu mengatasi impak ekonomi daripada pandemik. Misalnya, lebih banyak ekonomi yang berkembang dari segi digital cenderung mendapat bahagian yang lebih besar daripada KDNK mereka daripada sektor teknologi tinggi apabila tenaga kerja boleh beralih kepada kerja jarak jauh dengan lebih mudah. 

“Selain itu, mereka cenderung untuk lebih baik dalam memberikan perkhidmatan awam dalam talian berikutan infrastruktur yang baik, pengalaman dengan transformasi digital dalam kebanyakan sektor awam dan Internet yang boleh diakses dan mampu milik.

“Malah ada yang memanfaatkan evolusi digital mereka yang baik untuk pengesanan kontak, pengenalan pendedahan, pengumpulan data dan pemesejan kesihatan awam yang mengurangkan gangguan ekonomi dengan ketara,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Inovasi Digital Asia Pasifik Huawei 2022 di sini hari ini.

Persidangan selama dua hari bertemakan “Innovation for a digital Asia Pacific” di Marina Bay Sands di sini menghimpunkan pemimpin industri, pihak berkepentingan utama, pelanggan utama dan organisasi berwibawa di seluruh rantau ini, berjumlah lebih 1,000 orang yang hadir secara fizikal dan lebih 30,000 peserta dalam talian.

Dr Adham turut berkongsi bahawa Malaysia baru-baru ini telah melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) untuk membantu membimbing transformasi negara menjadi sebuah negara yang dipacu secara digital, berpendapatan tinggi dan peneraju serantau dalam ekonomi digital.

“MyDigital akan terus mengukuhkan dan meningkatkan pembangunan ekonomi digital yang mampan dengan menyediakan platform kerjasama dan permintaan pasaran untuk penyelesaian digital yang dibangunkan dan digunakan oleh syarikat permulaan teknologi digital tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana dalam bentuk peranti dan sistem dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar teknologi tinggi,” katanya.

Dr Adham berkata semasa pandemik COVID-19, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperkenalkan infrastruktur vaksinasi kesihatan awam yang boleh digunakan semasa situasi pandemik kecemasan.  

Sistem Pengurusan Vaksin (VMS) ialah sistem yang dibangunkan oleh MOSTI melalui agensinya, Mimos Bhd menggunakan platform blockchain hyperledger untuk membolehkan ahli farmasi, pegawai perubatan dan pegawai yang berkaitan menjejaki dan mengesan rantaian bekalan vaksin daripada pengeluar sehingga penerimanya (pesakit) menggunakan teknologi blockchain.

“VMS sedang dijalankan dan MOSTI bersedia untuk berbincang dengan mana-mana negara mengenai pengiktirafan sijil vaksin,” katanya.

Beliau turut berkongsi mengenai Pusat Pengalaman 5G di kampus MOSTI, iaitu MRANTI, yang sedang membangunkan taman kecerdasan buatan (AI) pertama di Malaysia, sebuah plot seluas 300 ekar (121.4 hektar) yang akan menjadi platform untuk pembangunan penyelesaian AI dan terdapat juga pusat kecemerlangan teknologi dron dinamakan Area 57, simpanan tanah seluas lima ekar (2.02 hektar) untuk aktiviti penerbangan, ujian, penyelidikan dan pembangunan.

Sementara itu, katanya melalui kerjasama Mimos, Maxis dan Huawei Malaysia, Hab Inovasi AI, kemudahan yang dilengkapi dengan infrastruktur rangkaian 5G dan instrumen AI, telah ditubuhkan untuk mempercepatkan pewujudan kes penggunaan industri yang diupayakan oleh 5G, AI dan teknologi maju lain dalam negara.

Dr Adham berkata Malaysia melihat matlamat pembangunan mampan dalam gambaran yang lebih besar untuk menyokong kesihatan planet, yang menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.

Katanya MOSTI akan menerajui penggubalan pelan tindakan kebangsaan mengenai kesihatan planet menggunakan sains, teknologi dan inovasi untuk menguruskan alam sekitar.

Malaysia, melalui MOSTI, sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama strategik dengan institusi global dalam bidang pendigitalan, katanya.

“Misalnya, Mimos melalui Program Transformasi Digitalnya dengan Huawei memberi tumpuan kepada pembangunan kurikulum dan program kursus untuk teknologi dan kemahiran masa depan. Program ini merangkumi latihan kemahiran seperti dalam 5G, AI, Internet of Things dan data raya. 

“Melihat kepada manfaat yang tiada had yang ditawarkan oleh teknologi pendigitalan, Malaysia mengalu-alukan kerjasama dalam program pendigitalan secara dua hala dan pelbagai hala,” katanya.

Sumber: Bernama

Ekonomi digital Malaysia dijangka sumbang 22.6 peratus kepada KDNK, wujudkan setengah juta pekerjaan menjelang 2025


Content Type:

Duration:

Amazon Web Services Inc (AWS) komited untuk merealisasikan potensi Malaysia sebagai hab pusat data di rantau Asia Tenggara dan dijangka melabur satu jumlah yang besar untuk membangunkan pusat data di negara ini pada tahun ini.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan telah memberikan kelulusan kepada AWS untuk melabur di Malaysia, namun ada beberapa perkara yang masih perlu diperhalusi oleh syarikat itu dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Kewangan.

“Oleh kerana ini merupakan satu bidang teknologi baharu yang berkualiti tinggi, kerajaan bersedia untuk meneliti permintaan AWS untuk menggalakkan pelaburan berkualiti tinggi ini ke Malaysia.

“Kami sedang merundingkan beberapa insentif baru yang lebih inovatif dan menarik minat AWS untuk membina lebih banyak pusat data di Malaysia,” katanya kepada Bernama and TV3 selepas pertemuan dengan wakil AWS di sini, pada Selasa.

AWS merupakan salah satu syarikat gergasi perintis yang menyediakan perkhidmatan dalam pengkomputeran awan.

Menurut Azmin, perbincangan hari ini telah menghasilkan satu persefahaman tentang permintaan daripada AWS berhubung beberapa insentif baharu yang sedang dipertimbangkan oleh MITI dan Kementerian Kewangan.

“Kami yakin proses perundingan ini akan dapat dimuktamatkan dalam masa yang terdekat kerana bagi Malaysia, pelaburan ini amat penting untuk mempercepatkan proses transformasi dan adaptasi dalam teknologi digital di Malaysia,” katanya.

Sebelum itu, Azmin juga telah bertemu dengan wakil Microsoft Corporation, di mana syarikat teknologi gergasi tersebut komited untuk melatih satu juta tenaga kerja tempatan melalui inisiatif Bersama Malaysia Microsoft yang dilancarkan pada April 2021.

“Saya dimaklumkan bahawa hampir 500,000 tenaga pekerja tempatan telah dilatih melalui program tersebut mulai tahun ini, dan saya yakin sasaran untuk melatih satu juta tenaga pekerja tempatan akan dapat dicapai pada 2023,” katanya.

Menurutnya, Microsoft dan AWS juga bersedia memberikan input kepada kerajaan dalam usaha untuk mempertingkatkan daya saing negara dalam ekonomi digital.

“Kehadiran syarikat-syarikat tersebut pastinya akan dapat membantu mempercepatkan transformasi dan adapsi teknologi digital yang dapat membantu menjana pertumbuhan ekonomi yang lestari dan mampan di negara ini.

“Pelaburan seperti ini juga merupakan satu pelaburan yang selari dengan aspirasi Dasar MyDigital yang diperkenalkan untuk menjamin akses dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya pihak industri termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana  (PKS) dalam teknologi digital,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan Ammex Corporation pada petang Selasa, Azmin berkata pengimport sarung tangan industri untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) itu bersedia untuk meningkatkan jumlah import produk dari Malaysia.

Beliau berkata setakat ini, 60 peratus sarung tangan industri syarikat tersebut diimport dari Malaysia.

“Kami telah membantu mengenal pasti beberapa syarikat tempatan yang menjadi pengeluar sarung tangan industri ini untuk memenuhi permintaan syarikat tersebut.

“Ini akan membantu merancakkan lagi aktiviti sektor pembuatan di negara kita, khususnya dalam kalangan PKS bagi memenuhi piawaian antarabangsa dan juga meningkatkan produktiviti mereka bagi pasaran di AS,” katanya.

Sumber: Bernama

Amazon Web Services bakal labur jumlah yang besar untuk bangun pusat data di Malaysia – Azmin Ali


Content Type:

Duration:

Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) komited untuk terus bekerjasama dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bagi menggalakkan lebih banyak syarikat melaksanakan sistem pengurusan tenaga lestari melalui pensijilan Standard Emas Pengurusan Tenaga (EMGS).

Ketua Pegawai Eksekutif, Shamsul Bahar Mohd Nor berkata langkah itu selaras dengan aspirasi negara untuk memacu agenda kecekapan tenaga ke arah mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

“Perubahan iklim dan pemanasan global merupakan cabaran paling besar yang dihadapi oleh masyarakat pada abad ini.

“Bermula dengan revolusi industri, manusia telah banyak melakukan aktiviti membakar bahan bakar fosil untuk menghasilkan haba dan elektrik,” katanya pada majlis penganugerahan sijil EMGS di bawah Skim Pengurusan Tenaga ASEAN (AEMAS) di sini, pada Selasa.

Beliau berkata menurut laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, suhu bumi telah meningkat sebanyak satu darjah celsius sejak abad ke-19.

Sekiranya suhu bumi meningkat lebih daripada 1.5 darjah celcius, maka banyak kesan buruk akan berlaku contohnya pemanasan global akan menyebabkan cuaca tidak menentu dengan ribut menjadi ekstrem, hujan lebat lebih sering berlaku dan kemarau berpanjangan, katanya.

Shamsul Bahar berkata justeru, langkah-langkah mitigasi awal diperlukan bagi menangani perubahan iklim.

Beliau berkata ini termasuk inisiatif kecekapan tenaga yang bermula dengan budaya pengurusan tenaga untuk mengurangkan pengunaannya dan seterusnya memulihara sumber asli.

“Inisiatif untuk menambah baik prestasi kecekapan tenaga bukan sahaja menyumbang kepada penjimatan kos operasi, malah mencerminkan kesedaran dan komitmen sesebuah organisasi dalam usaha mengurangkan impak operasi terhadap alam sekitar,” katanya.

MGTC merupakan penyelaras negara yang dilantik untuk pelaksanaan program AEMAS di Malaysia.

AEMAS merangkumi dua subprogram iaitu Kursus Latihan Pengurus Tenaga (EMTC) dan pensijilan EMGS.

Beliau berkata secara amnya, MGTC berperanan mempromosikan program AEMAS, menghasilkan tenaga pengajar dan penilai tempatan serta melaksanakan penilaian terhadap pengurus tenaga dan organisasi.

Shamsul Bahar berharap ia dapat menarik minat lebih banyak organisasi untuk menyertai dan mencapai pensijilan EMGS yang diberikan kepada organisasi yang telah melaksanakan sistem pengurusan tenaga lestari dan telah disahkan memenuhi kriteria EMGS oleh penilai AEMAS.

Sebanyak 128 organisasi secara keseluruhannya menerima sijil EMGS pada majlis itu.

27 organisasi menerima pensijilan 1-bintang, diikuti 44 organisasi memperoleh 2-bintang dan 57 pula meraih pensijilan tertinggi iaitu 3-bintang.

Antara penerima pensijilan tertinggi ialah Institut Jantung Negara di sini, serta hospital di Sik (Kedah), Alor Gajah (Melaka), Balik Pulau (Pulau Pinang), serta Segamat dan Tangkak di Johor.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan amat aktif dalam pelaksanaan pensijilan EMGS sebagai sebahagian daripada komponen program kelestarian yang dilaksanakan di kemudahan kesihatan kerajaan.

Sumber: Bernama

MGTC, KeTSA galakkan lebih banyak syarikat laksana tenaga lestari menerusi EMGS


Content Type:

Duration:

DHL Express, penyedia logistik terkemuka dunia memindahkan Pusat Khidmat Prai ke kemudahan yang lebih besar bernilai RM13 juta di Taman Perindustrian Batu Kawan.

Ia berikutan peningkatan permintaan penghantaran antarabangsa daripada peniaga di negeri-negeri utara Semenanjung.

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo, berkata pusat khidmat baharu itu akan meningkatkan kapasiti pemprosesan penghantaran sebanyak 170 peratus yang membolehkan transit lebih pantas dan seterusnya meningkatkan tahap perkhidmatan untuk pelanggan di tanah besar Pulau Pinang, Perlis dan Kedah.

“Pusat khidmat baharu ini merangkumi ruang pergudangan dan pejabat seluas 2,386 meter persegi iaitu lima kali ganda lebih besar daripada saiz lokasi sebelumnya dan ia adalah respons terhadap peningkatan permintaan untuk perkhidmatan penghantaran antarabangsa daripada peniaga di wilayah utara.

“Selaras dengan komitmen Deutsche Post Group untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050, kemudahan ini dilengkapi dengan sistem panel solar dan infrastruktur cekap tenaga yang dijangka akan mengurangkan pelepasan gas hijau sebanyak 26.9 peratus,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian pembukaan Pusat Khidmat Prai baharu di Taman Perindustrian Batu Kawan.

Ia dirasmikan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Pusat Khidmat Prai sebelum ini di Taman Inderawasih di Perai.

Neo berkata, pusat khidmat baharu itu mengendalikan penghantaran domestik dan antarabangsa ke 220 negara dan wilayah di bawah liputan DHL Express.

Beliau berkata, ia turut menyediakan kemudahan ‘Service Point’ untuk pelanggan mengumpul dan menurunkan bungkusan.

Katanya. sebagai fasilitator utama dalam rangkaian bekalan global, DHL Express membantu perniagaan tempatan merealisasikan potensi pertumbuhan mereka dengan menembusi pasaran eksport dan Pusat Khidmat Prai yang baharu itu.

“Pelanggan kami berada di kedudukan yang lebih baik untuk memanfaatkan percambahan sektor e-dagang dalam segmen perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan pasaran perniagaan kepada pelanggan (B2C),” katanya.

Beliau berkata, pada Mei 2021, DHL Express memperkenalkan laluan terus Hong Kong-Pulau Pinang yang menghubungkan hab itu sebanyak lima kali seminggu dengan pesawat Airbus A300 dengan ruang kargo 54 tan ditetapkan khususnya bagi negeri ini apabila komponen dan alat ganti elektronik adalah sebahagian besar eksportnya.

“Penerbangan itu bukan sahaja akan menambah kapasiti tetapi turut memendekkan masa transit pergi balik dari bandar-bandar berkenaan.

“Malah, penyertaan dalam dagangan luar negara boleh membawa daya tahan, pembangunan mampan dan pekerjaan berkualiti untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat besar,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata kerajaan negeri gembira melihat DHL Express bertapak lebih kukuh di Pulau Pinang kerana ia dapat menyokong perkembangan perniagaan tempatan yang kini dilihat berlaku peningkatan dalam jumlah jualan luar negara.

“Pelaburan DHL Express menunjukkan keyakinan mereka terhadap negeri ini yang secara keseluruhannya memberi manfaat kepada ketersambungan strategik kami ke Asia,” katanya.

Sumber: Bernama

DHL Express labur RM13 juta pindah Pusat Khidmat Prai


Content Type:

Duration:

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memastikan wujud kerjasama antara sektor kerajaan, swasta dan usahawan bagi pembangunan ekonomi digital serta teknologi hijau di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata MOSTI mengambil serius pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika lawatan kerja ke Amerika Syarikat (AS) berhubung pembangunan ekonomi digital dan teknologi hijau di Malaysia.

Justeru, beliau berkata kerjasama itu penting bagi memastikan kejayaan pelan strategik kementerian khususnya Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara 2021-2025 dalam menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi yang makmur.

“Langkah kita sekarang tentu sekali melihat bagaimana serius kita akan pacu kegiatan teknologi hijau ini termasuk dalam sektor pertanian dengan lebih banyak rumah hijau ditadbir menggunakan internet pelbagai benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI).

“Kita perlu ada bakat dan kerjasama antara swasta, kerajaan serta usahawan dan saya akan bertanggungjawab memastikan kerjasama ini berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Sains MOSTI dan sambutan Hari Raya di sini, malam tadi.

Perdana Menteri dalam lawatan kerjanya itu mempelawa pelabur dan ahli perniagaan AS, terutama syarikat Fortune 500 untuk melabur atau meningkatkan pelaburan mereka iaitu dalam sektor digital ekonomi, teknologi hijau serta kereta elektrik.

Ismail Sabri turut mencadangkan supaya Tesla membuat pelaburan di Malaysia dalam menghasilkan kereta elektrik.

Sementara itu, Dr Adham berkata Malaysia telah mula membangunkan teknologi berkaitan kenderaan elektrik (EV) dalam usaha meletakkan negara sebagai pengeluar teknologi berkenaan.

Menurutnya, Program Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga NanoMalaysia (NESTI) juga telah diperkenalkan sebagai platform perintis peringkat kebangsaan, bagi membangun dan mengkomersialkan sistem penyimpanan tenaga untuk mobiliti elektrik, kegunaan di dalam sektor domestik dan industri, serta penyelesaian mudah alih.

Sumber: Bernama

MOSTI komited bina ekonomi digital, teknologi hijau


Content Type:

Duration:

Syarikat Hershey secara rasminya melancarkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) baharu di Johor, Malaysia, menjadikannya antara kemudahan R&D terbesar Hershey di luar Amerika Syarikat (AS).

Hershey berkata, pelaburan itu adalah aspek teras strategi syarikat untuk memacu pertumbuhan antarabangsa melalui inovasi.

“Kemudahan baharu ini akan membolehkan Hershey membangun dengan pesat, menguji dan melancarkan produk baharu yang disesuaikan dengan cita rasa pengguna di rantau ini,” menurut syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Urusan dan Naib Presiden untuk Asia, Eropah, Timur Tengah, Afrika (AEMEA) dan India Hershey, Herjit Bhalla berkata kemudahan di Malaysia akan menjadi hab pusat untuk operasi syarikat di rantau AEMEA, termasuk India dan China.

Kemudahan seluas 10,400 kaki persegi itu akan menempatkan makmal R&D, kemudahan pembangunan pembungkusan dan kawasan pemantauan, yang akan membolehkan syarikat bekerjasama dengan pelbagai pasukan inovasi untuk ujian rasa dan menyenarai pendek produk ikonik.

Sumber: Bernama

Hershey buka pusat R&D baharu di Johor


Content Type:

Duration:

wpChatIcon