Berita Perkhidmatan Archives - Page 13 of 24 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Scomi SGSB, Skill Johor bangunkan tenaga boleh diperbaharui di kampus TVET di Johor

Syarikat usaha sama Scomi Group Bhd (SGB) Scomi SGSB Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan Skill Johor Sdn Bhd (SJSB) untuk membangunkan program penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Kampus TVET SJSB di Johor.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, SGB berkata Scomi SGSB akan menyediakan pemasangan, ujian dan pentauliahan sistem solar fotovolta (PV).

“Scomi SGSB telah menjalankan beberapa lawatan tapak dan penilaian teknikal, dan telah menentukan bahawa sistem solar PV memberikan penyelesaian terbaik untuk menjana RE, sambil mengurangkan peningkatan kos tenaga kampus dalam tempoh 21 tahun dan kampus mempunyai kapasiti yang berpotensi untuk menyediakan sehingga 4 megawatt puncak (MWp),” katanya.

Ia berkata kedua-dua Scomi SGSB dan SJSB akan bekerjasama untuk pelaksanaan cadangan itu yang merangkumi pelaksanaan fasa satu sistem solar PV atas bumbung dengan kapasiti 1.18MWp dan diikuti dengan pembangunan 3MWp tambahan selepas kejayaan pelaksanaan fasa satu.

“Pemasangan sistem solar PV hanya boleh dimulakan sebaik sahaja kampus itu beroperasi yang dijadualkan antara suku keempat 2023 hingga suku pertama 2024,” katanya.

Kumpulan itu juga berkata bahawa kerjasama itu akan dimulakan dari tarikh MOU selama 24 bulan tertakluk kepada sebarang tempoh lanjutan yang dipersetujui bersama.

“MOU itu tidak mempunyai kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham yang utama bagi SGB dan tidak dijangka mempunyai kesan material ke atas pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan tahap kadar hutang SGB untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022,” katanya.

Sumber: Bernama

Scomi SGSB, Skill Johor bangunkan tenaga boleh diperbaharui di kampus TVET di Johor


Content Type:

Duration:

Perjanjian Kontrak Berpusat Pengkomputeran Awan (CFA) antara Kerajaan dengan empat syarikat Penyedia Perkhidmatan Awan (CSP) adalah khusus bagi memperkasa MyGovCloud, dalam penyediaan perkhidmatan Public Cloud, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, penglibatan empat CSP melalui anak syarikat masing-masing, membuka potensi pelaburan dalam negara bernilai RM12 bilion hingga RM15 bilion menjelang 2025.

Pelaburan itu, katanya lagi, menjadi ‘tulang belakang’ kepada pembentukan sebuah ekosistem digital yang mampan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lestari, sekali gus bakal menjadikan Malaysia sebagai hab digital utama di rantau ASEAN.

“Inisiatif MyGovCloud diyakini dapat melahirkan lebih ramai pakar pengkomputeran awan menerusi latihan berterusan dan program pensijilan yang disediakan oleh CSP dan MSP. Ini juga dapat meningkatkan kompetensi dan keupayaan penjawat awam seiring dengan keperluan dan teknologi semasa.

“Melalui pelaksanaan CFA, agensi sektor awam akan dapat menikmati perkhidmatan CLOUD yang lebih baik, cepat, cekap dan bersasar pada harga yang kompetitif menerusi tawaran diskaun pukal oleh CSP dan MSP,” Perdana Menteri berkata dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan ini pemeteraian CFA antara Kerajaan Persekutuan dan empat CSP, iaitu Telekom Malaysia Bhd, Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd, Amazon Web Services Malaysia Sdn Bhd, dan Google Cloud Malaysia Sdn Bhd.

Melalui majlis tersebut, Ketua Pengarah MAMPU Datuk Seri Yusof Ismail, telah bertukar dokumen perjanjian dengan wakil dari empat anak syarikat CSP yang terlibat, iaitu Radmik Solutions Sdn Bhd di bawah Amazon, Cloud Connect Sdn Bhd (TM), Enfrasys Solutions Sdn Bhd (Microsoft), dan Awantec System Sdn Bhd (Google).

Selain Perdana Menteri, yang turut menyaksikan pertukaran dokumen itu ialah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, serta pegawai kanan kerajaan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Kerajaan memperkenalkan perkhidmatan bersepadu dikenali sebagai government hybrid cloud atau MyGovCloud yang menggabungkan perkhidmatan MyGovCloud@PDSA dan Public Cloud oleh Cloud Service Provider (CSP).

Inisiatif MyGovCloud, jelasnya lagi, seiring dengan Inisiatif Kelima di bawah Teras 1 Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital), yang menyasarkan 80 peratus penggunaan storan Pengkomputeran Awan merentas sektor awam pada tahun ini.

“Ia bertujuan memacu transformasi digital sektor awam secara holistik yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi digital dan agenda pendigitalan ke seluruh negara.

“Pemilihan CSP dibuat selepas syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan dalam dan luar negara mengemukakan cadangan (Request for Proposal atau RFP) sebelum penilaian dibuat secara telus melibatkan pelbagai pihak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, perjanjian CFA merupakan satu inovasi dalam perolehan perkhidmatan CLOUD di semua agensi sektor awam, seiring dengan pengukuhan fungsi dan peranan MAMPU pada masa hadapan.

“Dengan termeterai perjanjian ini, saya berharap lebih banyak manfaat bakal dinikmati oleh rakyat secara amnya dan seluruh agensi sektor awam khasnya, bagi merancakkan pembangunan teknologi dan ekonomi digital kepada seluruh Keluarga Malaysia,” katanya lagi.

Sumber: Astro Awani

Perjanjian Kerajaan dan CSP buka potensi pelaburan sehingga RM15 bilion – PM Ismail Sabri


Content Type:

Duration:

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan negeri itu sebagai kuasa baharu dalam arena tenaga boleh diperbaharui dan kini membuka sempadannya untuk membantu industri tradisional menjadi lebih mampan.

Memandangkan hidrogen adalah antara sektor yang akan dibangunkan, beliau berkata kerajaan negeri secara khusus telah mengetengahkan tenaga boleh diperbaharui sebagai asas kepada pelan pembangunan 10 tahunnya iaitu Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

“PCDS 2030 adalah lebih daripada sekadar pelan tindakan dalaman kami untuk membentuk ekonomi kami. Ia adalah pendekatan pelbagai aspek ke arah kemampanan ekonomi, sosial dan alam sekitar dalam jangka panjang, yang dibina berdasarkan aspirasi kami untuk bekerjasama dengan penggubal dasar dan sektor swasta di dalam mahupun di luar pulau kecil kami,” katanya.

Dalam ucaptama di Sidang Kemuncak dan Pameran Hidrogen Dunia 2022 di Rotterdam, Belanda pada Isnin, beliau berkata Sarawak bersedia meneroka dengan lebih lanjut ekonomi hidrogen kerana ia memiliki sumber yang banyak, infrastruktur dan kepakaran yang mencukupi serta rantaian bekalan dan nilai.

“Dengan usaha bersepadu dan inisiatif sebenar, Sarawak menghantar mesej jelas ke seluruh dunia (bahawa) kami ingin Sarawak menjadi wilayah untuk pelaburan bersih dan hijau. Kami mahu industri rendah karbon global yang diservis oleh rantaian bekalan Sarawak,” katanya.

Abang Johari berkata Sarawak pada masa ini merupakan penyedia terbesar tenaga boleh diperbaharui Malaysia untuk hampir tiga juta penduduk di negeri itu dan sebahagian Indonesia di mana 70 peratus daripada jumlah campuran penjanaan adalah daripada sumber kuasa hidro, yang boleh digunakan bagi menghasilkan hidrogen rendah karbon.

“Ini menyediakan persekitaran yang ideal bagi membolehkan ekonomi hidrogen di Sarawak dan kajian dimulakan sebagai langkah perintis bagi meneroka, berinovasi dan menghasilkan hidrogen hijau sebagai penyelesaian untuk aplikasi komersial serta awam,” katanya.

Beliau berkata pada 2018, syarikat utiliti Sarawak Energy Berhad telah berjaya membina loji pengeluaran hidrogen bersepadu pertama di Asia Tenggara dengan kapasiti pengeluaran 130 kilogram sehari dan stesen pengisian semula bagi menampung sehingga lima bas dan 10 kereta sehari.

“Berbekalkan kemudahan hidrogen perintis ini, Sarawak mula bergerak ke arah pembangunan tenaga hijau pada masa akan datang bagi sektor penghantaran bagi Sarawak dan rantau Asia Pasifik. Ia kini berfungsi sebagai stesen pengisian semula minyak untuk bas elektrik sel bahan api hidrogen pertama Sarawak.

Agensi pembangunan dan pelaburan kerajaan negeri SEDC Sarawak turut berkolaborasi dengan Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) untuk membangunkan biofuel, hidrogen hijau dan sel bahan api bagi penerbangan atau Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).

Abang Johari berkata bahan api penerbangan alternatif seperti SAF boleh menjadi kunci kepada perjalanan udara yang mampan, menyumbang kepada strategi pengurangan pelepasan industri dan matlamat pelepasan sifar bersih.

Sumber: Bernama

Sarawak kuasa baharu dalam tenaga boleh diperbaharui – Abang Johari


Content Type:

Duration:

Kerajaan negeri berharap pelan tindakan bandar pintar dapat memperkasa agenda dalam mempersiapkan semua bandar di Johor bagi merealisasikan hasrat itu menjelang 2030.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata terdapat tujuh komponen bandar pintar telah digariskan iaitu Smart Government, Smart People, Smart Economy, Smart Living, Smart Mobility, Smart Environment dan Smart Digital Infrastructure. 

Beliau berkata komponen terbabit akan menjadi panduan bagi menghadapi era baharu negeri maju yang bukan sahaja berkaitan keperluan penyediaan kemudahan dan teknologi tinggi malah merangkumi aspek pembangunan modal insan yang berkemahiran serta berpengetahuan.

“Hari ini saya berpeluang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri kali pertama pada tahun ini yang antara lain membincangkan Pelan Tindakan Bandar Pintar Negeri Johor 2030. 

“Kerajaan negeri amat mengutamakan pembangunan yang holistik dan bagaimana di peringkat perancangan ini kita dapat mempercepat urusan yang berkaitan dengan pertimbangan pelan pemajuan bagi merancakkan semula ekonomi negeri yang terjejas akibat COVID-19,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkenaan atas komitmen yang diberikan.

“Semoga segala perancangan ini dapat kita laksanakan dengan baik, sama-samalah kita doakan,” katanya. 

Sumber: Bernama

Pelan tindakan bandar pintar negeri Johor diharap dapat direalisasi menjelang 2030


Content Type:

Duration:

Kerajaan terbuka terhadap usaha mengenal pasti entiti atau agensi yang dapat mengurangkan jurang antara industri dan birokrasi selain berperanan penting dalam pembangunan ekonomi digital Islam (IDE) yang pesat, kata MyDIGITAL Corporation.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fabian Bigar berkata kerajaan juga komited untuk menambahbaik kerangka sedia ada bagi kemudahan pembangunan IDE tempatan, termasuk dalam bidang seperti kewangan untuk penggiat tempatan selain persekitaran lebih kondusif untuk kalangan syarikat permulaan.

Dalam kenyataan bersempena sesi meja bulat dasar berkaitan baru-baru ini, beliau berkata biarpun Malaysia terbukti mencatat prestasi baik sebagai peneraju global dalam industri halal sebelum ini yang menjana ekosistem modal insan dan modal kewangan tempatan yang kukuh, adalah penting bagi negara ini untuk memastikannya tidak ketinggalan di tengah-tengah pertumbuhan pesat IDE global.

“Kita berkemungkinan kehilangan sedikit asas dalam kepesatan pertumbuhan IDE terutamanya jika dibandingkan dengan rakan negara serantau lain. Namun, kita mungkin sukar untuk diatasi jika dapat bekerja keras untuk mendapatkan semula apa yang telah hilang,” katanya.

Beliau berkata MyDIGITAL akan terus memainkan peranan penting untuk memberi kemudahan dan memantau lebih banyak kerjasama swasta-awam dan meleraikan kekangan pengawalseliaan yang mampu membantu pertumbuhan ekosistem IDE tempatan.

“Ini termasuk terus mendapatkan lebih banyak wacana daripada pihak berkepentingan dalam IDE tempatan bagi memastikan kerjasama lebih erat dalam industri. Kita terbuka dan bersedia untuk berurusan dengan semua pihak berkepentingan bagi memaksimumkan potensi inovasi digital dalam IDE, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” katanya.

Sesi meja bulat bertemakan ‘Harnessing the Power of Malaysia’s Islamic Digital Economy’ telah diadakan oleh MyDIGITAL menerusi kerjasama dengan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Antara topik perbincangan adalah keperluan bagi menamatkan kekangan di peringkat agensi-agensi kerajaan, saluran lebih banyak pembiayaan dan sokongan untuk penggiat tempatan serta keperluan mewujudkan dasar-dasar lebih jelas dan mesra bagi menggalakkan pelabur serta pelaburan asing dalam IDE tempatan.

Sumber: Bernama

Usaha bangunkan ekonomi digital Islam tempatan yang teguh akan dipertingkat


Content Type:

Duration:

MN Holdings Bhd (MNHB), pakar kejuruteraan utiliti bawah tanah dan kejuruteraan substesen yang membuat kemunculan sulung di Bursa Malaysia hari ini sedang membida tender untuk beberapa projek substesen solar (LSS) berskala besar.

Pengarah Urusan MNHB, Loy Siong Hay, berkata pembidaan itu adalah bagi penyelaras pengurusan projek dan kejuruteraan kerja-kerja reka bentuk.

Beliau berkata, kumpulan yakin tender terbabit akan menambah kepada kontrak baharu sebanyak RM172.2 juta pada 9 Mac 2022, di mana 21.4 peratus atau RM36.8 juta terdiri daripada kerja dari segmen kejuruteraan substesen manakala bakinya, 78.6 peratus atau RM135.4 juta adalah kerja dari segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah.

“MNHB berada pada kedudukan yang baik untuk mendapatkan tender kerana ia mempunyai keupayaan yang terbukti dalam melaksanakan projek LSS.

“Sehingga kini, kumpulan mendapat tiga projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) di bawah LSS2 dalam kapasiti sebagai subkontraktor,” katanya selepas majlis penyenaraian MNHB di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.

MNHB memulakan penyenaraian sulungnya di Pasaran ACE pada 26 sen, mencatatkan premium lima sen atau 24 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) syarikat iaitu 21 sen.

Pada loceng pembukaan, kaunter menyaksikan 20.83 juta saham bertukar tangan.

MNHB mempunyai 15 tahun sejarah operasi dalam industri pembinaan utiliti kuasa di Malaysia.

Ia menyediakan perkhidmatan terutama kepada sektor utiliti kuasa di Malaysia, daripada penjanaan kuasa kepada penghantaran dan pengedaran.

Siong Hay berkata, MNHB kini terbabit dalam projek EPCC sebagai kontraktor utama yang memperoleh projek loji kuasa fotovoltaik solar di bawah program LSS diperkenalkan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia pada 2016.

Beliau berkata, sebagai pakar kejuruteraan utiliti bawah tanah dan substesen, kumpulan mampu memikul peranan pengurusan dan penyeliaan keseluruhan projek, sumber bahan binaan yang diperlukan, peralatan substesen serta sistem untuk pemasangan dan pentauliahan.

MNHB dijangka menjana RM17.2 juta menerusi IPO itu dan pada harga

tawaran 21 sen sesaham, ia akan mempunyai permodalan pasaran berjumlah sehingga RM85.84 juta.

Penyenaraian itu juga termasuk tawaran penjualan 40.9 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

Sumber: Berita Harian

MNHB bida projek substesen solar berskala besar


Content Type:

Duration:

Pakar penyedia pembuatan elektronik (EMS) bersepadu, Escatec Sdn Bhd mengumumkan kerjasama baharu dengan Byte Lab, syarikat reka bentuk elektronik berpangkalan di Zagreb, memaparkan pelan strategiknya yang berterusan untuk berkembang sebagai peserta utama dalam industri global EMS.

Dalam satu kenyataan, Escatec yang dimiliki Switzerland dan beribu pejabat di Pulau Pinang berkata, langkah itu akan membolehkannya menawarkan perkhidmatan pembangunan produk, reka bentuk dan prototaip di Eropah dengan kos-berkesan.

Ia juga akan membolehkan Byte Lab menawarkan pelanggan yang memerlukan perkhidmatan pembuatan secara besar-besaran dengan akses kepada portfolio Escatec sebagai lokasi pembuatan yang kompetitif di Malaysia, Switzerland, United Kingdom, Republik Czech dan Amerika Syarikat.

Pengarah Pembangunan Strategik Escatec, Charles-Alexandre Albin berkata, kerjasama itu dijangka memberi keputusan segera yang kukuh memandangkan pelanggan telah menyatakan hasrat untuk mengawal kos dengan mengalihkan beberapa keperluan produk yang lebih dekat dengan mereka di Eropah.

“Kami melihat situasi ini sebagai kemajuan yang ketara berikutan Byte Lab, pada dasarnya sebagai tambahan kepada meja kerja Escatec, manakala Escatec menjadi rakan pembuatan eksklusif besar-besaran Byte Lab,” katanya.

Escatec yang ditubuhkan pada 1974, menawarkan perkhidmatan pembuatan elektronik lengkap dan kekotak bersepadu sepenuhnya – daripada reka bentuk dan pembangunan, prototaip dan pensijilan produk, sehingga pengeluaran besar-besaran dan perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan global jenama OEM yang utama.

Perolehan kumpulan pada 2021 berjumlah melebihi US$300 juta (US$1=RM4.35), dan ia diunjurkan kembali berkembang kukuh pada tahun ini.

Sumber: Bernama

Escatec bekerjasama dengan Byte Lab dorong tawaran perkhidmatan reka bentuk di Eropah


Content Type:

Duration:

Ekosistem pelaburan digital yang mantap dan berkembang maju memerlukan sokongan semua pihak dari seluruh negara, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Datuk Seri Mohammad Mentek.

Beliau berkata Sidang Kemuncak Pelaburan Digital Negeri 2022 berperanan sebagai platform dalam memupuk kerjasama penting.

“Ini khususnya dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama dan merangsangkan pelaburan dengan membangunkan sektor-sektor utama baharu di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada Isnin.

MDEC, agensi peneraju ekonomi digital Malaysia, menganjurkan Sidang Kemuncak Pelaburan Digital Negeri 2022 baru-baru ini bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai hab pelaburan digital di Asia Tenggara.

Persidangan tersebut disokong oleh MIDA melalui Pejabat Pelaburan Digital (DIO), menerusi perkongsian serta penyelarasan Strategi Pelaburan Digital Nasional dengan setiap Agensi Promosi Pelaburan (IPA) negeri.

Matlamat utama persidangan ialah mengukuhkan aspirasi pelaburan digital negara, nilai tawaran dan seterusnya mencipta pendekatan satu-negara khususnya memastikan sinergi serta kerjasama dalam memacu pelaburan digital ke Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata pihaknya teruja melihat IPA setiap negeri hadir secara aktif semasa acara itu dan seterusnya menunjukkan kepentingan dalam memupuk aspirasi pelaburan digital dalam kalangan IPA Malaysia.

“MIDA dengan kerjasama MDEC, telah berjaya menarik dan memudahkan pelabur dalam membawa pelaburan digital berkualiti tinggi melalui inisiatif DIO.

“Ia juga selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dalam mentransformasikan kluster ekonomi baharu dan sedia ada ke arah menjadi pemboleh digital, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan menggalakkan peningkatan kemahiran digital dalam kalangan tenaga kerja dan perniagaan tempatan,” katanya dalam kenyataan yang sama.

CEO MDEC, Mahadhir Aziz pula berkata persidangan itu adalah selaras dengan aspirasi MDEC yang merupakan sebahagian inisiatif Malaysia Digital, iaitu mengembangkan pelaburan digital melangkaui lokasi yang ditetapkan untuk menjadikanya inisiatif untuk seluruh negara.

“Setiap IPA di Malaysia amat penting dalam memacu pelaburan digital ke Malaysia — bayangkan bagaimana kita boleh lakukannya menerusi kelebihan kerjasama dalam mengembangkan ekonomi digital Malaysia,” katanya.

Menurut MDEC dan MIDA, Sidang Kemuncak Pelaburan Digital Negeri 2022 diyakini akan mewujudan platform yang ideal dalam meningkatkan kesan pengganda pelaburan, menyampaikan manfaat ekonomi berkualiti tinggi kepada negeri Tahap 2 dan seterusnya mempercepat kemajuan transformasi digital negara.

Sumber: Bernama

Ekosistem pelaburan digital mantap perlukan sokongan satu negara – K-KOMM


Content Type:

Duration:

Pemaju dan operator pusat data berprestasi tinggi terkemuka dari China, GDS Holdings Ltd, akan membangunkan kampus pusat data “hiperskala” di Nusajaya Tech Park, Iskandar Puteri dengan pelaburan RM1.38 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han berkata pembangunan kampus pusat data hiperskala itu membabitkan keluasan lantai bersih berjumlah 22,500 meter persegi dengan kapasiti tenaga 54 megawatt.

Pusat data hiperskala merupakan fasiliti kritikal perniagaan yang direka untuk menyokong jumlah data yang besar serta sering dikaitkan dengan syarikat-syarikat penghasil data gergasi seperti Google, Microsoft, dan Facebook.

GDS mempunyai rekod prestasi 20 tahun dan pelanggannya terdiri daripada penyedia perkhidmatan awan hiperskala, syarikat internet besar, institusi kewangan, telekomunikasi termasuk penyedia perkhidmatan IT, antara lain.

Lee dalam catatan di Facebook bersempena dengan majlis pecah tanah di sini semalam berkata fasa pertama projek itu dijangka siap menjelang awal 2024.

“Kami melihat projek ini telah mengesahkan daya tarikan Johor sebagai peneraju antarabangsa serta destinasi pelaburan domestik yang utama, yang didorong oleh infrastruktur kelas dunia dan persekitaran pengawalseliaan yang mesra perniagaan.

“Pelaburan ini seperti memberi isyarat bahawa Johor mahu menjadi negara yang progresif dan berteknologi maju yang sentiasa mencari nilai tambah,” kata Lee yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh.

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam satu kenyataan berasingan berkata projek tersebut menandakan permulaan pelan pelaburan jangka panjang syarikat Shanghai itu di Malaysia dan Asia Tenggara yang akan merangkumi pembangunan fasa kedua kampus pusat data di Nusajaya itu.

Pusat data baharu itu juga diunjurkan mampu mewujudkan 64 pekerjaan berkemahiran tinggi selain akan melayani pelanggan berpotensi dari China dan juga di seluruh dunia.

Kehadiran GDS di Malaysia dan pembinaan pusat data di Nusajaya itu dijangka akan mencatatkan sumbangan yang luar biasa kepada pembangunan ekonomi digital Malaysia.

Pembangunan projek ini disokong oleh Pejabat Pelaburan Digital (DIO), yang merupakan platform kerjasama antara MIDA dan MDeC.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GDS, William Huang berkata Malaysia adalah negara yang ideal untuk pelan penyerantauan syarikat, berdasarkan kepada lokasinya yang strategik, infrastruktur berkelas dunia dan akses kepada bakat berkemahiran tinggi, pelbagai budaya serta berbilang bahasa.

“Faktor-faktor ini, termasuk kedekatan Nusajaya ke Johor Bahru dan Singapura, akan menjadi baik untuk pelanggan GDS sedia ada yang ingin berkembang di rantau ini. Kami amat menghargai ekosistem Malaysia yang agak mantap dalam menyokong kehadiran kami di sini,” tambah Huang.

Sumber: Bernama

GDS China labur RM1.38 bilion dalam kampus pusat data hiperskala di Johor


Content Type:

Duration:

Sebanyak RM1.6 bilion diperuntukan untuk menaik taraf kemudahan dan infrastruktur internet di Kedah meliputi pelbagai skop di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pembangunan itu sedang dilaksanakan dan berlanjutan sehingga tahun 2025.

Menurutnya, antara yang dilakukan termasuk membina sejumlah menara baharu yang dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

“Skop yang pertama melibatkan pembinaan menara baharu untuk melengkapkan migrasi rangkaian daripada 3G ke 4G. Untuk melengkapkan kemudahan ini, keperluan menara baharu adalah kemestian.

“Projek ini sedang berjalan dengan 40 peratus telah siap manakala 60 peratus daripada menara itu dalam proses pelaksanaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Iftar Bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia di sini pada Jumaat.

Annuar berharap pembinaan kesemua menara terbabit dapat disiapkan sebelum akhir tahun ini.

“Sejumlah menara pemancar di Kedah juga perlu dinaik taraf dan pelaksanaannya sedang dilakukan bagi membolehkan perkhidmatan rangkaian 4G disediakan,” katanya.

Menurutnya, selain itu pemasangan kemudahan gentian optik di premis, kediaman dan sekolah sedang giat dilakukan di bawah fasa satu JENDELA.

“Banyak kawasan dan sekolah di luar bandar di Kedah tidak mempunyai rangkaian gentian optik. Pada peringkat awal dulu kerajaan pernah bekalkan internet ke sekolah dengan menggunakan kemudahan tanpa wayar namun projek itu sudah terhenti.

“Sekarang kita fikirkan sekolah perlu disediakan dengan jaringan gentian optik titik kehadiran (POP). Lebih 300 sekolah di luar bandar di negeri ini sudah dikenal pasti dan tender telah dikeluarkan, sekarang sedang dibuat penilaian dan kita belum lantik kontraktor,” katanya.

Annuar memberitahu, skop lain yang akan dibangunkan di negeri ini ialah melengkapkan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dengan kemudahan yang diperlukan.

“Walaupun semua kemudahan atau infrastruktur internet siap, bukan bermakna pembangunannya sudah lengkap kerana masih ada aspek perlu dibangunkan terutama membabitkan penggunaan teknologi terkini.

“Buat masa ini, ada beberapa teknologi terkini yang sedang kita buat penilaian khususnya untuk kawasan terpencil. Sekarang kita gunakan konsep satelit tetapi kini sudah ada teknologi lebih maju yang juga menggunakan satelit atau dirujuk sebagai satelit orbit rendah bumi yang sedang kita teliti,” ujarnya.

Menurutnya lagi, setakat ini perkembangan pembangunan JENDELA adalah mengikut jadual yang ditetapkan.

“Itu semua adalah skop yang terkandung bawah peruntukan RM1.6 bilion itu, kita harap ia dapat berjalan mengikut perancangan kerana pada awal 2023 kita berhasrat untuk teruskan JENDELA fasa dua sehingga 2025,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

RM1.6 bilion naik taraf infrastruktur internet di Kedah


Content Type:

Duration:

Top Glove Corporation Bhd telah menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 20 tahun dengan Shizen Malaysia Sdn Bhd sebagai pembuat sarung tangan terbesar dunia yang memperluas penggunaan tenaga solarnya.

Top Glove berkata Shizen Malaysia, unit Shizen Energy Inc, Jepun akan memasang, memiliki dan mengendalikan “grid memuncak” 10 megawatt (MW) yang mana pembuat sarung tangan itu membeli elektrik yang dijana oleh Shizen Malaysia selama 20 tahun, melalui kerjasama itu.

“Perkongsian yang baru ditandatangani diwujudkan susulan kerjasama sebelum ini di antara Top Glove dengan pemaju tenaga boleh diperbaharui tersebut yang bermula sejak November 2021,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Katanya kerjasama awal melibatkan loji kuasa suria atas bumbung telah membolehkan Top Glove untuk menjana tenaga boleh diperbaharui yang bersih dan pada kos yang kompetitif untuk kilang-kilangnya, mengurangkan purata kos elektrik syarikat itu, selain mengurangkan jejak karbonnya.

“Melalui PPA berkenaan, jumlah kapasiti solar Top Glove akan meningkat daripada 5.34 Megawatt puncak (MWp), menjimatkan kira-kira 13,000 tan pelepasan karbon dioksida (CO2) pada setiap tahun, bersamaan penanaman sekitar 400,000 pokok untuk menyerap jumlah CO2,” menurut syarikat itu.

MWp merupakan ukuran keluaran potensi maksimum bagi tenaga.

Pengarah Eksekutif Top Glove Lim Cheong Guan berkata syarikat itu akan bekerjasama rapat dengan Shizen Malaysia dalam komponen tenaga solar untuk mencapai matlamatnya dalam mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 25 peratus menjelang 2025.

Setakat ini, Top Glove mempunyai lapan kilang di Malaysia yang dilengkapi sistem tenaga solar.

Sumber: Bernama

Top Glove meterai urus niaga 20 tahun beli tenaga solar daripada Shizen Malaysia


Content Type:

Duration:

Subsidiari YTL Power International Bhd, YTL Data Center Holdings Pte Ltd (YTL DC) mengumumkan bahawa kerja-kerja bagi kampus pusat data di Johor yang berkapasiti 72-megawatt (MW) daripada 500MW, pertama di Malaysia yang dijana oleh tenaga solar.

Pengarah Urusan YTL Power Datuk Yeoh Seok Hong berkata pusat data pertama 72MW itu dijangka beroperasi pada suku pertama 2024.

Terletak 30 kilometer dari Singapura di wilayah Iskandar, Johor, Taman Pusat Data Hijau YTL akan menawarkan kepelbagaian dalam tenaga dan ketersambungan di tapak perindustrian yang besar, yang mana 111.1 hektar akan didedikasikan bagi pembangunan pusat data.

Ini memberikan peluang yang sangat baik untuk pelanggan yang mencari pusat data yang mesra alam bagi memenuhi keperluan mereka.

“Dengan pembangunan Taman Pusat Data Hijau YTL, kami memacu pengembangan platform infrastruktur kami memasuki zaman digital dengan menggabungkan kepakaran kami dalam tenaga boleh diperbaharui, pembangunan hartanah, telekomunikasi dan pusat data.

“Projek ini akan menjadi produk perdana kami dalam visi pusat data bersepadu kami bagi melayani para pelanggan kami di rantau Singapura yang lebih luas serta sebagai pemangkin untuk pengembangan serantau kami di ruang ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Yeoh , YTL melalui projek ini akan memanfaatkan kepakarannya dalam pembinaan infrastruktur, yang mampu menawarkan penyelesaian menyeluruh kepada pelanggan dan rakan kongsi.

Rancangan masa depan YTL DC adalah merangkumi penggunaan kepakaran kumpulan dalam tenaga boleh diperbaharui, telekomunikasi serta pembinaan bagi membangunkan kampus pusat data baharu di Thailand, Filipina, Indonesia dan Vietnam.

Taman Pusat Data Hijau YTL akan mempunyai sambungan gentian gelap ke Singapura kerana ia berdekatan dengan negara berkenaan.

“Ini membentangkan faedah kepada syarikat yang beroperasi di Singapura yang ingin berkembang, melengkapkan dan mengoptimumkan proses pusat data mereka. Sambungan gentian gelap akan menyediakan sambungan rangkaian kependaman langsung ultra rendah ke pusat data di Singapura dan lokasi lain di Malaysia,” katanya.

Disember lepas,  YTL DC mengumumkan pengambilalihan Dodid Pte Ltd, pemilik pusat data tahap III berkapasiti 12.5MW  di Singapura yang merangkumi 42,000 kaki persegi.

Di samping itu, kerja-kerja sedang dijalankan untuk mengembangkan dan menaik taraf kemudahan Pusat Data 5MW kumpulan itu di Sentul, Kuala Lumpur ke tahap III, yang menawarkan pelanggan tapak yang strategik di tengah-tengah Kuala Lumpur kerana berdekatan dengan hub pertukaran internet utama.

Sumber: Bernama

Taman Pusat Data Hijau YTL di Johor dilancarkan


Content Type:

Duration:

Kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan industri telekomunikasi tempatan penting dalam meningkatkan kecekapan kesalinghubungan rangkaian 4G melalui inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Digi Telecommunications Joachim Rajaram berkata kerjasama tersebut berupaya meluaskan liputan internet sekali gus menaik taraf rangkaian 4G di semua kawasan termasuk bandar, pinggir bandar, luar bandar dan kawasan terpencil di negara ini.

“Faedah kegunaan rangkaian 4G dapat menggunakan keperluan audio, video, perbankan dalam talian dan pelbagai lagi. Ia boleh disokong oleh rangkaian 4G dengan lebih mantap,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘3G-4G: Memperkasa Rangkaian, Memanfaatkan Rakyat’ pada malam Khamis.

Sementara itu, Joachim berkata dengan menggunakan portal JENDELA Map, pengguna dapat memilih rangkaian telekomunikasi sedia ada di Malaysia melalui portal itu yang menunjukkan kualiti perkhidmatan setiap rangkaian.

Selain itu, beliau berkata cabaran syarikat telekomunikasi adalah untuk mereka membentuk rangkaian yang dapat memberikan perkhidmatan sempurna untuk rakyat.

Katanya, usaha untuk meningkatkan sistem telekomunikasi sukar untuk tercapai kerana sistem telekomunikasi adalah kerja berterusan yang sedang dijalankan susulan permintaan tinggi daripada pengguna.

Pelan JENDELA dilancarkan pada Ogos 2020, adalah langkah siap siaga negara untuk beralih kepada teknologi 5G dan ia adalah sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) yang akan dilaksanakan dalam dua fasa. 

Sumber: Bernama

Jendela tingkat kecekapan penggunaan 4G di Malaysia


Content Type:

Duration:

Open DC dan Northern Gateway Sdn Bhd (NGX) telah membentuk pakatan strategik untuk membangunkan pusat data Tier 3 di Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) Delapan di Perlis.

Bagi tujuan ini, penyedia pusat data hab telekomunikasi, Open DC telah menandatangani perjanjian induk dengan NGX, anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengasas dan Pengarah urusan Open DC, Wong Weng Yew berkata pembangunan pusat data di taman teknologi tinggi itu dijangka meningkatkan lagi volum dagangan dengan membangunkan trafik internet rentas sempadan.

“Kami menyasarkan untuk menambah baik pembangunan internet di sempadan untuk mencontohi kemudahan Internet Exchange (IX) yang tersedia di sempadan Malaysia-Singapura.

“Memandangkan jumlah trafik Internet antara Indo-China melalui lokasi ini, hab itu juga akan dibangunkan sebagai kawasan strategik untuk menjadi hab komersial baharu serta pusat data di utara Semenanjung,” katanya.

SBEZ Delapan sebelum ini dikenali sebagai SBEZ Kota Perdana di Bukit Kayu Hitam, bandar sempadan antara Thailand dan Malaysia.

Menjelang tahun 2025, perdagangan antara Malaysia dan Thailand dijangka mencecah RM125 bilion, di mana dianggarkan 45 peratus daripada jumlah  dagangan adalah melalui Bukit Kayu Hitam, kata kenyataan itu.

Menjelaskan perkara ini, Ketua Pegawai Eksekutif NGX, Razwin Sulairee Hasnan Termizi berkata Delapan akan menyumbang kepada pembangunan infrastruktur internet serta revolusi digital dan perindustrian yang terjalin dengan ekosistem internet tempatan, melengkapkan kedua-dua pelan tindakan pembangunan digital negeri dan persekutuan.

Kenyataan itu berkata hab itu dijadual siap menjelang 2024 untuk membuka pintu bagi potensi kerjasama dengan pemain teknologi serantau lain dan sektor swasta dalam industri.

Ia juga berkata IX juga akan disediakan dalam pusat data ini untuk memudahkan pertukaran trafik di rantau ini oleh DE-CIX Malaysia.

DE-CIX Malaysia ialah pengendali IX yang menyediakan kependaman rendah dan sambungan berkelajuan tinggi ke kawasan yang kurang mendapat liputan di rantau ini.

Sumber: Bernama

Open DC, NGX akan bangunkan pusat data di Perlis


Content Type:

Duration:

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) akan mendahulukan negeri Selangor dalam usaha pelaksanaan dan naik taraf rangkaian perkhidmatan 5G, kata Menterinya Tan Sri Annuar Musa.

“Di bawah Program Jalinan Digital Negara (JENDELA), ada tiga program sedang berjalan iaitu yang pertama adalah menambah menara telekomunikasi baharu untuk 4G, manakala untuk penaiktarafan menara telekomunikasi kepada 5G, negeri Selangor akan didahulukan,” katanya.

Beliau berkata dua lagi program di bawah JENDELA termasuklah meningkatkan jumlah rumah yang mempunyai sambungan gentian optik, dan menaik taraf sistem pemancar daripada 3G kepada 4G.

Katanya di bawah program JENDELA, Selangor menerima peruntukan yang tinggi iaitu sebanyak RM5.34 bilion, untuk menaik taraf sistem telekomunikasi di negeri itu.

Beliau berkata melalui peruntukan tersebut, sebanyak 313 menara telekomunikasi baharu telah siap dibina setakat ini di negeri itu, manakala 35 menara lagi sedang dalam proses pembinaan.

“Selain itu, sejumlah 7,197 sistem pemancar telah dinaik taraf kepada 4G, dan sebanyak 652 sedang dalam pelaksanaan.

“Sebanyak 419,896 premis kini telah mempunyai sambungan gentian optik manakala pemasangan sebanyak 196,422 premis lagi, sedang dilaksanakan,” katanya pada majlis moreh bersama wakil agensi dan jabatan di bawah K-KOMM serta rakan strategik di Selangor, di sini malam tadi.

Manakala bagi inisiatif Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi), beliau berkata mana-mana kawasan Dewan Undangan Negeri di Selangor yang masih belum dilengkapi PEDi, diminta untuk memohon kepada kementerian untuk kelulusan segera.

Setakat ini terdapat 48 PEDi telah diwujudkan dan mula beroperasi di Selangor.

Sumber: Bernama

Selangor akan didahulukan bagi naik taraf rangkaian 5G – Annuar Musa


Content Type:

Duration:

Siemens Energy, syarikat teknologi tenaga utama dunia, bakal membuka Pusat Operasi Teknologi Keselamatan Siber ‘Managed Detection Response’ (MDR), kemudahan pertama seumpamanya di Asia Pasifik.

Pusat operasi yang dijangka membawa pelaburan lebih RM10 juta dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang itu dilihat bakal meletakkan Malaysia sebagai hab teknologi pertahanan siber di rantau ini.

Timbalan Presiden Kanan Asia Pasifik Siemens Energy, Samuel Morillon, berkata penubuhan Pusat Operasi Teknologi Keselamatan Siber MDR yang dijangka beroperasi akhir tahun ini, dilihat seiring dengan dengan peningkatan ancaman keselamatan siber dan proses pendigitalan infrastruktur tenaga global.

Katanya, pembangunan teknologi operasi pemantauan dan pengesanan dengan tujuan khusus dilihat sangat kritikal dalam memastikan ketahanan rantaian nilai industri tenaga.

“Penyelesaian MDR Siemens Energy yang canggih dan dikuasakan oleh Eos.ii membolehkan pelanggan sektor tenaga dan industri mengenal pasti kelemahan, memantau kejanggalan dan menjangkakan sebarang serangan atau kerosakan sebelum ia berlaku.

“Hasil daripada keselamatan siber yang lebih mantap dan kukuh akan menyumbang kepada pembangunan landskap tenaga lebih matang di rantau ini.

“Asia Pasifik akan menjadi penentu dalam transisi industri tenaga. Demi memastikan transformasi landskap tenaga secara efektif, adalah penting untuk kita memperkukuhkan pertahanan siber bagi infrastruktur operasi kritikal dalam rantaian nilai tenaga agar lebih selamat dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pecah tanah bagi penubuhan Pusat Operasi Teknologi Keselamatan Siber MDR di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sivasuriyamoorthy Sundara Raja.

Mengulas lanjut, Morillon berkata, Pusat Operasi Teknologi Keselamatan Siber MDR milik Siemens Energy dilengkapi dan tidak terhad kepada kemampuan pengurusan maklum balas insiden keselamatan, pengurusan risikan ancaman, pengurusan keterdedahan berdasarkan risiko serta pengenalpastian ancaman.

Katanya, kemudahan itu akan menyediakan kemudahan pemantauan dan pengesanan yang canggih dan berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk peserta industri tenaga di rantau ini pada kadar mampu milik.

“Penubuhan pusat operasi berkenaan menjadi satu penanda aras besar dalam aspirasi keselamatan siber Malaysia.

“Ia menjadikan Malaysia berpotensi sebagai hab keselamatan siber di Asia Pasifik dengan sasaran untuk membekalkan perkhidmatan secara global pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Sivasuriyamoorthy berkata, sebagai agensi penggalakan pelaburan utama, MIDA mengalu-alukan pelaburan Siemens Energy dalam menyokong inisiatif MyDigital.

“Ia mampu membina kepakaran tempatan dalam bidang keselamatan siber dalam usaha transformasi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi yang dipacu oleh pendigitalan dan seterusnya menjadi peneraju serantau dalam bidang ekonomi digital global.

“Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang menggariskan Malaysia sebagai hab digital ASEAN telah memberikan negara ini kebolehan yang mantap dalam penawaran penyelesaian keselamatan siber.

“Kami optimis kerjasama berterusan antara sektor awan dan swasta akan mempercepatkan kadar adaptasi teknologi digital dan amalan keselamatan siber yang cekap selari dengan pertumbuhan galak ekonomi digital di Malaysia,” katanya.

Siemens Energy adalah antara syarikat teknologi tenaga terkemuka dunia berpangkalan di Munich, Jerman.

Syarikat teknologi itu bekerjasama dengan pelanggan dan rakan kongsinya membabitkan sistem tenaga untuk masa hadapan, sekali gus menyokong peralihan kepada dunia yang lebih mampan.

Dianggarkan satu perenam daripada tenaga elektrik yang dijana di seluruh dunia adalah berdasarkan teknologi daripada Siemens Energy.

Siemens Energy mempunyai kira-kira 91,000 pekerja di seluruh dunia di lebih 90 negara.

Sumber: Berita Harian

Siemens Energy buka pusat operasi siber di Cyberjaya


Content Type:

Duration:

Kejuruteraan Asastera Bhd (KAB) melalui syarikat milik penuhnya KAB Gree Solar Sdn Bhd dan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) untuk membangunkan aset tenaga boleh diperbaharui untuk Mydin Kelantan.

Melalui PPA berkenaan, KAB Gree Solar akan mereka bentuk, membina, memasang, memiliki, mengendali dan menyelenggara sistem tenaga fotovoltaik (PV) solar yang bersambung grid pada bumbung tempat letak kereta terbuka pasar raya besar Mydin Tunjong.

Pengarah Urusan KAB, Datuk Lai Keng Onn, berkata PPA berkenaan membolehkan kumpulan itu menyokong komitmen Mydin untuk generasi akan datang yang menekankan kepentingan persekitaran operasi yang mampan.

“Kontrak jangka panjang bersama-sama peruncit komited seumpama ini adalah seiring dengan strategi kami untuk terlibat dengan organisasi yang berkongsi nilai yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di bawah fasa satu PPA itu, KAB akan menyediakan sehingga 2,041.65 kilowatt peak (kWp) tenaga elektrik solar kepada Mydin secara keseluruhan untuk sepanjang tempoh perjanjian itu.

Sementara itu, Mydin dijangka menjana penjimatan tenaga kira-kira 66 juta setiap kilowatt-sejam (kwh), dan kira-kira 38,650 tan setara dengan karbon dioksida (CO2e) dapat dielakkan untuk tempoh 21 tahun.

Bagi fasa dua, KAB akan membangunkan 2,064.40 kWp yang seterusnya sebaik sahaja terma dan pelaksanaan masa dimuktamadkan.

“Kami sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dengan organisasi yang berminat untuk mengurangkan jejak karbon mereka dan kami telah berjaya melaksanakannya dengan terus terbabit dengan syarikat yang berkongsi aspirasi yang sama dengan kami,” kata Keng Onn.

Menurut kumpulan itu, PPA berkenaan adalah sejajar dengan strategi jangka panjang KAB untuk membangunkan aset tenaga boleh diperbaharui sebagai satu daripada pemacu pertumbuhan utamanya.

Sehingga kini, ia telah mengumumkan pelbagai projek tenaga boleh diperbaharui melalui kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat di rantau ASEAN.

Sumber: Bernama

KAB pasang sistem tenaga PV di Mydin Tunjong


Content Type:

Duration:

Pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia telah melonjakkan minat pelabur terhadap hotel Malaysia, kata firma perunding hartanah terkemuka, Knight Frank Malaysia.

Menurut kaji selidik Malaysian Hospitality Investment Intentions keduanya yang menganalisis tahap permintaan pelaburan, keutamaan dan sentimen terhadap sektor itu mendedahkan 64 peratus daripada responden sedang mempertimbang untuk meningkatkan pendedahan mereka kepada sektor hotel Malaysia, kenaikan ketara daripada 36 peratus dalam 2020.

Pengarah Eksekutif Pasaran Modal Knight Frank Malaysia James Buckley berkata, susulan itu pihaknya menjangkakan terdapat peningkatan jumlah transaksi hotel dalam tempoh 24 bulan akan datang apabila sentimen pelabur semakin pulih.ADVERTISING

“Ramai dapat melihat permintaan terpendam yang kukuh untuk perjalanan percutian dan dalam jangka pendek, pelancong Singapura serta permintaan domestik akan memacu prestasi hotel pada 2022.

“Kami menjangkakan jumlah transaksi hotel meningkat pada 2022 kerana jurang harga antara vendor dan pembeli akan mengecil apabila pelabur menjadi lebih optimistik dengan pembukaan sempadan dan peningkatan ketibaan,” katanya.

Firma perunding hartanah itu menyatakan pelabur terus mencari pulangan tinggi untuk mengimbangi risiko melabur dalam sektor berkenaan dengan 33 peratus responden menyasarkan hasil bersih melebihi 7.0 peratus apabila mengambil alih hotel empat hingga lima bintang di Malaysia.

Sementara itu, 26 peratus responden menyasarkan hasil bersih 6.0 hingga 7.0 peratus, manakala 19 peratus akan menerima hasil bersih 5.0 hingga 6.0 peratus.

Buckley turut mengetengahkan bahawa Malaysia disenaraikan sebagai destinasi teratas daripada 140 negara dalam Indeks Perjalanan Muslim Global MasterCard CrescentRating 2021 sebagai destinasi percutian paling mesra Muslim.ADVERTISING

“Kalau mengikut sejarahnya, Malaysia telah menarik kumpulan pelancong antarabangsa yang pelbagai dari seluruh dunia dan berada pada kedudukan yang baik untuk menguasai pertumbuhan Pelancongan Halal,” katanya.

Walaupun pembiayaan bank untuk hotel agak sukar semasa pandemik, beliau optimis bank akan menyaksikan peningkatan dalam sektor tersebut dan mula memberi pinjaman semula.

“Kaji selidik itu turut menunjukkan pemilik hotel Malaysia cenderung mempunyai tahap hutang yang agak konservatif.

Sementara itu, ia menyatakan 43 peratus hotel mempunyai kurang daripada 49 peratus nisbah pinjaman kepada nilai, manakala 17 peratus tidak mempunyai hutang sama sekali.

Ia juga mendapati 31 peratus mempunyai nisbah pinjaman kepada nilai antara 50 peratus dan 69 peratus dan 9.0 peratus mempunyai tahap kadar hutang yang tinggi melebihi 70 peratus.

Secara keseluruhan, kaji selidik itu menyimpulkan bahawa pemilik hotel dengan tahap hutang konservatif telah berjaya mengharungi ribut pandemik dan tidak perlu menjual pada harga yang terlalu rendah.

Sumber: Bernama

Minat pelaburan dalam hotel di Malaysia meningkat – Knight Frank


Content Type:

Duration:

Pemegang amanah Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT), RHB Trustees Bhd, memeterai perjanjian jual dan beli bagi membeli kemudahan gudang logistik berkeluasan 1.55 juta kaki persegi di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor, daripada Equalbase PTP Sdn Bhd (EPSB) pada harga RM390 juta.

Amanah pelaburan hartanah itu berkata sebaik selesai cadangan pembelian itu, yang dijangka pada pertengahan 2022, hartanah itu akan dipajak semula kepada EPSB untuk tempoh tetap selama 10 tahun.

“Sewa bulanan permulaan ialah RM2.17 juta untuk tiga tahun pertama dengan pelarasan menaik seterusnya pada permulaan tahun keempat hingga tahun ke-10,” katanya dalam satu kenyataan.

Hartanah itu terletak secara strategik dalam Zon Perdagangan Bebas PTP dan berdekatan dengan pusat pemeriksaan Tuas di Singapura, dan merupakan bangunan hijau yang diperakui Indeks Bangunan Hijau (GBI), selaras dengan matlamat dan strategi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Axis-REIT.

Terletak di atas tanah pajakan seluas 7.45 hektar, hartanah itu merangkumi gudang dua tingkat yang dijadikan ruang pejabat tiga tingkat, tempat letak kereta yang terlindung, dan pejabat beserta bangunan sampingan.

Hartanah yang dibina kira-kira tiga tahun lepas itu, sesuai untuk dijadikan gudang kerana ia dilengkapi dengan 83 ruang punggah yang dilengkapi dengan perata dok hidraulik dan sistem pemercik tindak balas pantas penindasan awal (ESFR).

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Axis REIT Managers Bhd Leong Kit May memaklumkan bahawa pembelian itu akan menjadi yang terbesar setakat ini sejak penubuhan dana itu.

“Axis-REIT berhasrat untuk berkembang dengan pembelian hartanah berkualiti tinggi yang menambah pendapatan dan dengan cadangan nilai yang kukuh,” kata Leong.

Sumber: Bernama

Axis-REIT buat pembelian terbesar dengan pengambilalihan gudang PTP pada harga RM390 juta


Content Type:

Duration:

Pekat Group Bhd melalui anak syarikatnya, Pekat Solar Sdn Bhd (PSSB) memperoleh kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM38.3 juta dari Sun Estates Sdn Bhd (Sun Estates).

Pengarah Eksekutifnya, Wee Chek Aik, berkata kontrak EPCC yang diterima oleh firma pengkhususan dalam solar fotovolta (PV) dan perlindungan pembumian dan kilat (ELP) itu adalah bagi membangunkan ladang PV berskala besar (LSS).

Beliau berkata, Sun Estates juga menandatangani kontrak dua tahun dengan PSSB bagi penyenggaraan ladang PV solar, yang dijangka akan ditauliahkan pada Disember 2023.

“Perolehan kontrak terbaharu itu mengisi semula tempahan kontrak EPCC solar kumpulan kepada RM209 juta selepas penyempurnaan kontrak EPCC bernilai RM33.1 juta untuk ladang PV solar 12 MWp PROTON di Tanjung Malim Perak, enam bulan lebih awal daripada jadual.

“Kepakaran Pekat menjadi semakin relevan ketika semakin banyak organisasi mementingkan karbon dan berusaha untuk menggunakan tenaga bersih serta boleh diperbaharui,” katanya dalam satu kenyataan.

Aktiviti utama Sun Estates ialah pengendalian kemudahan penjanaan kuasa yang menghasilkan tenaga elektrik.

Ia dimiliki oleh PB Green Farm Sdn Bhd sebanyak 51 peratus dan 49 peratus lagi dimiliki oleh Mass Team Industries (M) Sdn Bhd.

Ladang PV solar arus ulang-alik 10 megawatt (MWac), yang terletak di Batang Padang, Perak, adalah sebahagian daripada pembidaan kompetitif Kitaran Pembidaan LSS 4 (LSS@MEnTARI) yang telah dijalankan oleh Suruhanjaya Tenaga pada 2021.

Mengulas lanjut, Chek Aik berkata, tenaga solar menyediakan alternatif yang sangat diperlukan untuk syarikat menguruskan kos tenaga jangka panjang terutama pada masa sekarang.

Beliau berkata, dengan harga arang batu hingga minyak dan gas meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh dua tahun lalu, kos penjanaan elektrik daripada bahan api berkenaan meningkat, manakala tarif elektrik domestik turut terkesan.

Katanya, walaupun menghadapi cabaran kos yang timbul daripada gangguan rantaian bekalan global, kumpulan masih optimis dengan prospek pertumbuhan dalam ruang tenaga boleh diperbaharui pada masa hadapan.

“Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih dan pendapatan kumpulan Pekat apabila projek siap kelak,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Pekat dapat kontrak bina ladang PV skala besar


Content Type:

Duration:

Buat kali pertama dalam sejarah, Malaysia berjaya merekodkan pendapatan menerusi sektor e-dagang dengan jumlah melepasi RM1 trilion yang dicatatkan pada 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Mahadhir Aziz, jumlah tersebut mampu ditambah menjelang akhir tahun ini.

Malah jelasnya, Malaysia ketika ini berada pada landasan yang betul dalam mencapai aspirasi negara iaitu merekodkan RM1.65 trilion menjelang 2025.

“Ini disokong menlalui pendekatan satu negara dalam pelan hala tuju strategik e-dagang atau National e-Commerce Strategic Roadmap (NESR) yang diterajui oleh MDEC. NESR merupakan satu batu loncatan ke arah dagangan digital iaitu dengan memanfaatkan peluang-peluang yang ada dalam pendigitalan,” jelasnya pada Majlis Pelancaran #JomCelikDigital Dengan Meta yang diadakan secara maya hari ini.

Tambahnya, perdagangan digital Malaysia dijangka mendapat faedah yang ketara menerusi ratifikasi perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang telah dimeterai.

Malaysia merupakan antara 15 negara yang telah menandatangani perjanjian tersebut yang mana asasnya merupakan perjanjian perdagangan bebas yang terbesar di dunia setakat ini.

“Ia bermakna perniagaan tempatan kini mempunyai akses keperluan yang luas dalam blok perdagangan terbesar di dunia. Berdasarkan perkembangan terbaharu berkenaan, MDEC dan kerajaan Malaysia komited untuk memastikan semua rakyat memiliki kemahiran dan juga peralatan bagi meraih faedah daripada ekonomi digital,” jelasnya ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut yang turut dihadiri oleh Pengarah Meta Malaysia Nicole Tan.

Menerusi program-program yang disediakan oleh MDEC katanya, usahawan-usahawan terutamanya membabitkan sektor perusahan kecil dan sederhana dan juga mikro mampu mengadaptasikan produk jualan mereka dengan lebih berkesan sehingga ke peringkat global.

Malah katanya, program seperti Go eCommerce Onboarding and Shop Malaysia Online setakat Oktober tahun lepas telah membantu lebih 500,000 perniagaan untuk mengguna pakai platform e-dagang dan juga sistem e-bayar.

Secara keseluruhannya jelas beliau, kesemua usahawan tersebut telah berjaya menjana lebih 85 juta transaksi dengan nilai barangan kasar lebih RM4.6 bilion.

“Yang paling penting daripada 500 ribu perniagaan berkenaan, 157 ribu adalah membabitkan usahawan wanita.

“MDEC akan berusaha untuk mengukuh dan mengembangkan ekosistem ekonomi digital yang saling menyokong antara satu sama lain.” Jelasnya lagi.

MDEC juga akan terus menjalinkan kerjasama erat bersama Meta Malaysia sebagai rakan ekosistem utama untuk terus menyediakan sokongan penting menerusi kepakaran dan juga program-program yang ada di Meta Malaysia.

Menurut Nicol inisiatif program #JomCelikDigital Dengan Meta terdiri daripada 4 Program Peningkatan Kemahiran Digital yang merangkumi seluruh rangkaian aplikasi Meta.

Katanya ia merangkumi Meta Boost, Pasar WhatsApp, IG Academy dan juga Meta Blueprint for Higher Education Program.

Ia jelasnya secara tidak langsung akan memberi tumpuan penting untuk meningkat dan merangsang daya tahan ekonomi digital negara, seterusnya membantu rakyat serta perniagaan yang terkesan akibat COVID-19.

Selain itu, ekonomi digital gelombang baharu ini juga mampu mewujudkan pelbagai peluang perniagaan serta pekerjaan, sekali gus meningkatkan pendapatan rakyat secara menyeluruh, termasuk komuniti di luar bandar.

Sumber: Astro Awani

Sektor e-dagang Malaysia berjaya catat rekod pendapatan RM1 trilion pada 2021


Content Type:

Duration:

Johor kembali menjadi destinasi pilihan sektor pelancongan kesihatan apabila mula menerima pesakit dari luar negara untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital di negeri ini, selepas sempadan antarabangsa negara dibuka.

Tidak terkecuali, Hospital Pakar KPJ Johor yang mula menerima pesakit dari Indonesia sebaik sempadan negara dibuka semula pada 1 April lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Azhar Abdullah berkata fasiliti dan perkhidmatan yang komprehensif merupakan antara faktor warga Indonesia memilih untuk menerima rawatan di hospital swasta itu.

Beliau berkata pihaknya menerima sehingga 10 pesakit daripada Indonesia setiap hari khususnya dari Batam dan Tanjung Pinang, sama ada untuk mendapatkan rawatan susulan selepas ditunda berikutan pandemik COVID-19 dan pesakit baharu.

“Servis kita antara yang komprehensif dan menyeluruh dengan pakar-pakar yang ada, itu yang membuatkan kita menjadi pilihan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hospital berkenaan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata Johor dan Indonesia sebenarnya mempunyai persamaan budaya, maka kebanyakan pelancong kesihatan yang datang berasa sangat selesa.

“Mereka berasa seperti berada di rumah, selain yakin dan mempunyai kepercayaan terhadap perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan di Hospital Pakar KPJ Johor,” katanya.

Beliau berkata perkhidmatan penghantaran pergi dan balik yang disediakan pihaknya sama ada ke hospital, hotel mahu pun destinasi lain yang ingin dituju pesakit, menjadi antara faktor hospital itu menjadi pilihan khususnya warga Indonesia.

Seorang pesakit dari Indonesia, Merina, 34, yang mengalami masalah bengkak di bahagian dada berkata dia memilih untuk mendapatkan rawatan di hospital berkenaan kerana perkhidmatan dan layanan baik yang diberikan.

Wanita itu yang ditemani suami Gunawan, 34, berkata dia membuat temu janji dengan pihak hospital sebaik mengetahui sempadan Malaysia dibuka.

“Rakan di Batam beritahu bahawa perkhidmatan di hospital ini bagus termasuk doktor-doktor pakarnya…jadi saya terus buat janji temu untuk rawatan di hospital,” katanya.

Sumber: Bernama

Pembukaan sempadan: Johor kembali jadi destinasi pilihan pelancongan kesihatan


Content Type:

Duration:

General Electric (GE) dan Edra Energy Sdn Bhd (Edra) hari ini mengumumkan permulaan operasi komersial loji kuasa Edra di Alor Gajah, Melaka.

Dikuasakan oleh teknologi GE, loji kuasa kitaran gabungan terbesar di dalam negara menambah lebih daripada 2.2 gigawatt (GW) ke dalam grid nasional, dan ia bersamaan dengan anggaran jumlah yang diperlukan untuk menguasakan sehingga 10% daripada permintaan semasa negara.

Tambahan lagi, GE membekalkan Edra dengan sebuah penyelesaian holistik, termasuk alat loji kuasa teras dan perjanjian perkhidmatan untuk mengurus semua aspek kitaran hayat projek.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif GE Gas Power Asia, Ramesh Singaram berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk menyokong Edra dalam pembekalan elektrik yang setara dengan keperluan untuk beberapa juta isi rumah Malaysia.

“Teknologi kami telah terbukti secara global dan ia telah mencapai tahap rekod kecekapan untuk memenuhi permintaan terhadap tenaga elektrik yang semakin meningkat dengan lebih baik dan matlamat penjanaan kuasa dan kemampanan kerajaan Malaysia yang tinggi.

“Teknologi H-Class kami, ditambah dengan penyelesaian digital dan kepakaran perkhidmatan, akan membantu menjadikan loji kuasa baharu Edra sebagai satu daripada loji kuasa yang paling cekap dan mampan di rantau ini. Tambahan lagi, projek ini mempunyai kesan limpahan yang besar kepada ekonomi tempatan, melalui penjanaan kira-kira 2,500 peluang pekerjaan, terutamanya kepada komuniti tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Loji baharu tersebut terdiri daripada tiga blok penjanaan yang mampu menjana lebih daripada 745 MW dari setiap blok, setiap daripadanya merangkumi sebuah turbin gas 9HA.02 GE, turbin wap STFD650, penjana W88 dan Penjana Wap Pemulihan Haba (HRSG).

Sistem kawalan bersepadu Mark* VIe GE akan menyediakan kawalan penjana turbin gas dan keterlihatan prestasi serta kit pengurusan prestasi aset (APM) bagi penyelesaian digital oleh GE Digital akan membantu untuk menjadikan operasi loji kuasa Melaka lebih selamat, senang diramal dan dipercayai sambil memastikan prestasi yang lebih baik pada kos mampan yang lebih rendah.

Tambahan lagi, sebagai sebahagian daripada perjanjian perkhidmatan itu, alat janaan kuasa di Alor Gajah merupakan sebahagian daripada armada yang dipantau oleh Pusat Pemantauan & Diagnostik (M&D) GE di Kuala Lumpur.

GE merupakan pemain utama dalam penjanaan kuasa di Malaysia sejak tahun 1975. Turbin gas GE (kitaran biasa dan gabungan) mempunyai kapasiti untuk menjana lebih daripada 7 GW elektrik dengan pangkalan terpasang yang mewakili lebih daripada 65% daripada jumlah kapasiti terpasang di negara ini.

Projek ini terus mengukuhkan hubungan yang terjalin lama antara GE dan Edra, yang dibina sejak 5 tahun yang lalu. GE telah menyelenggara dan memeriksa turbin gas syarikat tersebut yang dipasang di loji kuasa Telok Gong 1, Tanjong Kling dan Kuala Langat.

Secara kolektif, kemudahan-kemudahan ini mempunyai gabungan kapasiti keluaran sebanyak 1.4  GW yang dikuasakan oleh teknologi E-class GE.

Sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat ini untuk menyokong keperluan tenaga Malaysia yang semakin meningkat, pada tahun lepas, GE mengumumkan permulaan operasi komersial Loji Kuasa Track 4A Southern Power Generation, sebuah loji kuasa kitaran gabungan gas 1,440-megawat di Pasir Gudang, Johor.

Sumber: DagangNews

GE, Edra umum permulaan operasi komersial loji
kuasa di Melaka


Content Type:

Duration:

TWL Holdings Bhd (TWL) telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) dengan Tatra Investment LLC untuk membentuk kerjasama strategik bagi menembusi sektor penjagaan kesihatan di Malaysia dan Asia Tenggara.

TWL dalam satu kenyataan hari ini berkata kedua-dua pihak akan menubuhkan syarikat usaha sama 50-50 iaitu Tatra TWL Medicare Sdn Bhd.

“Kerjasama itu melibatkan perolehan, import, pembekalan, pengedaran, penyelidikan, pembangunan, pengeluaran serta pengkomersialan produk perubatan, farmaseutikal termasuk penjagaan kesihatan lain di Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.

Pengarah Urusan TWL Shirley Tan Lee Chin berkata fasa pertama kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada Ujian OXSED RaVid DIRECT SARS-CoV-2 dan produk “Cirdle Healthpod” yang menggunakan teknologi RT-LAMP sebagai alat ujian utama pengesanan COVID-19.

“Ujian RT-LAMP telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia), dengan tujuan menggantikan ujian RT-PCR yang sedia ada sebagai alat ujian utama untuk pengesanan COVID-19 di Malaysia,” katanya .

Melangkah ke hadapan, TWL berkata kedua-dua pihak juga turut memberi tumpuan ke atas produk perubatan dan kesihatan yang lain.

Sumber: Bernama

TWL, TATRA mahu tembusi sektor penjagaan kesihatan di Malaysia dan Asia Tenggara


Content Type:

Duration:

Kerajaan tidak mengeksport tenaga boleh baharu (TBB) yang dihasilkan sebaliknya digunakan untuk menarik kedatangan lebih ramai pelabur ke negara ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata TBB berkenaan menjadi rebutan kebanyakan pelabur luar negara, khususnya yang memilih untuk mengaplikasikan teknologi hijau dalam pengoperasian industri atau pelaburan yang dilakukan.

“Selain arang batu dan diesel, TBB yang terdapat di negara ini antaranya ialah hidrogen, solar dan gas. TBB berkenaan menjadi antara pilihan pelabur dan ia merupakan antara kelebihan yang terdapat di negara ini.

“Sehingga kini, penggunaan TBB telah mencapai 25 peratus berbanding sasaran kapasiti TBB yang telah ditetapkan sebanyak 31 peratus menjelang 2025,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Stesen Janakuasa Edra Melaka di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan turut dihadiri Pengerusi Edra Power Holdings Sdn Bhd Dai Honggang.

Takiyuddin berkata kerajaan juga menitikberatkan elemen keselamatan, mampu milik dan kelestarian yang menjadi tunggak dalam perancangan penjanaan elektrik yang dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.

“Selain itu, kerajaan juga komited untuk mengurangkan 45 peratus intensiti pelepasan gas rumah kaca di bawah Perjanjian Paris menjelang 2030 dan aspirasi kerajaan adalah untuk mencapai pelepasan gas bersih sifar menjelang 2050,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata penjanaan elektrik daripada sumber penjanaan yang lebih bersih akan dilaksanakan melalui pengoperasian beberapa stesen jana kuasa turbin gas kitaran seperti Edra Melaka Power Plant (EMPP) serta beberapa projek tenaga boleh diperbaharui di seluruh Semenanjung yang akan dibangunkan secara berperingkat.

Katanya, kapasiti baharu yang akan ditawarkan secara bidaan kompetitif akan menghasilkan kos penjanaan yang optima dan akhirnya dapat menawarkan kadar tarif berpatutan kepada pengguna.

Terdahulu, beliau berkata EMPP merupakan antara projek utama yang tersenarai dalam Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Semenanjung bagi 2021 hingga 2039, bertujuan memenuhi keperluan tenaga negara yang selamat, bersih dan terjamin.

“Kejayaan EMPP mencapai tarikh operasi komersial ini adalah tepat pada masanya, lebih-lebih lagi ketika ini ekonomi Malaysia sedang dalam proses pemulihan berikutan pandemik COVID-19, sekali gus memperkukuh kestabilan bekalan elektrik di Semenanjung serta membantu merangsang pembangunan ekonomi negara.

“Ia turut menandakan kesediaan dan keyakinan para pelabur dari dalam dan luar negara terhadap kemudahan dan infrastruktur asas di Malaysia yang kukuh serta berdaya saing,” katanya.

EMPP berupaya menyalurkan sebanyak 2,242 megawatt bekalan elektrik kepada sistem grid nasional justeru meletakkan Melaka khususnya dan Malaysia amnya, sebagai pangkalan stesen jana kuasa terbesar di Asia Tenggara.

Sumber: Bernama

Kerajaan tidak eksport tenaga boleh baharu – Takiyuddin


Content Type:

Duration:

wpChatIcon