Berita Perkhidmatan Archives - Page 15 of 24 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Nokia komited bantu kerajaan percepat pelaksanaan 5G

Nokia, peneraju global dalam industri telekomunikasi, komited untuk membantu kerajaan dalam usaha mempercepat pelaksanaan rangkaian 5G menerusi portfolionya yang kukuh pada tahun ini.

Pengarah Urusan Nokia bagi Malaysia, Maldives dan Sri Lanka Datuk Mohd Rauf Nasir berkata syarikat itu menawarkan penyelesaian menyeluruh dalam pelaksanaan 5G di serata dunia dan berminat menawarkan teknologi serta perkhidmatan bagi mempercepat proses 5G di negara ini.

“Kami mempunyai empat portfolio utama iaitu rangkaian mudah alih, infrastruktur rangkaian  merangkumi tiga sub portfolio, perkhidmatan rangkaian awan dan teknologi Nokia.

“Bagi membolehkan 5G beroperasi sepenuhnya, anda perlukan stesen asas atau rangkaian akses radio (RAN) yang juga di bawah portfolio rangkaian mudah alih kami. Nokia mempunyai kesemua aspek ini agar pelanggan dapat menjadikan 5G beroperasi sepenuhnya,” katanya kepada Bernama.

Mohd Rauf berkata kejayaan pelaksanaan rangkaian 5G juga bukan setakat merangkumi penyampaian infrastruktur kritikal terhadap perkhidmatan pengguna tetapi turut melibatkan aspek pendigitalan perniagaan.

“Malah, bagi kami, aspek ini amat penting bagi membolehkan sesebuah negara menjadi lebih berdaya saing dalam menarik kehadiran lebih ramai pelabur dengan infrastrukur yang berkelas dunia.

“Kami juga yakin mempunyai teknologi untuk ditawarkan kepada Malaysia bagi menjadikannya lebih kompetitif agar dapat menjana lebih banyak pelaburan,” katanya.

Mohd Rauf berkata Nokia juga telah menyaksikan pertumbuhan kukuh dalam penawaran penyelesaian rangkaian tetap sejak dua tahun lepas selepas kemunculan pandemik di peringkat global.

“Tumpuan kami bagi tahun ini adalah mempertingkat tawaran penyelesaian rangkaian tetap kami serta meninjau untuk menyediakan penyelesaian rangkaian mudah alih lebih baik berikutan portfolio kami yang sangat kukuh dalam kedua-dua bidang berkenaan,” katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) bagi pelaksanaan 5G, Mohd Rauf berkata Nokia bersedia untuk menyokong sebarang keputusan kerajaan.

“Saya tidak pasti bagaimana keputusan kerajaan mengenai pendekatan SWN tersebut. Kami serahkan perkara itu kepada kerajaan kerana ini perlu melibatkan kajian pakar dari segi keunikan yang dimiliki oleh negara ini.

“Fokus utama kami lebih kepada menyokong pelanggan untuk menggunakan teknologi terbaharu kami dan akan terus memberi sokongan dan perkhidmatan terbaik kepada mereka,” katanya. 

Sumber: Bernama

Nokia komited bantu kerajaan percepat pelaksanaan 5G


Content Type:

Duration:

Persidangan dan Pameran Antarabangsa Greentech dan Produk Eko Malaysia Ke-12 (IGEM 2021) yang berakhir Disember tahun lalu, menjana potensi pelaburan perniagaan bernilai RM4.6 bilion, meningkat 35. 3 peratus berbanding RM3.4 bilion yang dicatatkan pada edisi sebelumnya.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata dalam tempoh enam bulan penganjuran, IGEM 2021 telah mencatatkan lebih 15,000 pelawat berdaftar yang terdiri daripada syarikat awam berhad, usahawan mikro, kecil dan sederhana, agensi kerajaan, ahli akademik dan orang awam yang berminat terhadap kepelbagaian produk dan perkhidmatan teknologi hijau inovatif yang ditampilkan dalam 195 gerai pameran secara maya.

Selain itu katanya, sebanyak 144 sesi persidangan membabitkan 26 rakan persidangan yang terdiri daripada 250 pakar telah berjaya dianjurkan, manakala rekod kehadiran peserta persidangan mencecah seramai 8,496 perwakilan peringkat nasional dan antarabangsa.

“IGEM 2021 adalah penganjuran kali kedua secara dalam talian. Ia adalah platform para usahawan, peniaga dan pemain industri untuk memacu pertumbuhan sektor hijau melalui penerokaan peluang baharu, perkongsian pintar, pembinaan rangkaian strategik, merungkaikan cabaran dan pembangunan teknologi ke arah agenda kelestarian.

“Antara usaha niaga yang ditandatangani terdiri daripada sektor hidrogen, kenderaan elektrik dan bandar rendah karbon.

“Semua sektor ini dilihat banyak menyokong agenda ekonomi mampan, peluang pekerjaan dan limpahan manfaat kepada rakyat,” katanya pada sidang media mengumumkan pencapaian IGEM 2021 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Mansor Othman. Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC), Shamsul Bahar Mohd Nor.

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, setelah dua tahun IGEM diadakan secara dalam talian, penganjuran IGEM Ke-13 akan diadakan secara hibrid, dijangka pada bulan Oktober 2022. Katanya, platform digital www.virtual.igem.my akan dibuka dan format fizikal akan berlangsung selama tiga hari bermula 12 Oktober hingga 14 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Edisi maya akan bermula sebulan sebelum sesi fizikal. Pelaksanaan IGEM 2022 juga telah menetapkan sasaran potensi perniagaan sebanyak RM3 bilion, dihadiri oleh 30,000 pelawat dan 300 buah pameran yang akan disediakan.

“IGEM 2022 ini akan menjadi tumpuan utama di kalangan pihak berkepentingan dalam pelaksanaan dan penyelarasan strategi yang lebih berkesan terhadap perubahan iklim negara,” katanya.

Sumber: Berita Harian

IGEM 2021 jana potensi pelaburan perniagaan RM4.6 bilion


Content Type:

Duration:

Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), yang disenaraikan antara 20 pelabuhan utama dunia, berjaya melakar pencapaian terbaik dengan jumlah kontena masing-masing sebanyak 13.64 juta dan 11.2 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada tahun lepas.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata bagi Pelabuhan Klang, prestasi itu merupakan pencapaian terbaik sepanjang tempoh penubuhannya, meskipun terkesan akibat banjir besar yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor pada akhir 2021.

Beliau berkata bagi PTP pula, jumlah TEU itu juga dianggap luar biasa apabila merekodkan kenaikan sebanyak 14 peratus berbanding prestasi tahun sebelumnya.

“Kita berasa kagum, dalam senarai 20 pelabuhan terbesar dunia, dua daripadanya iaitu Pelabuhan Klang dan PTP tersenarai sebagai 15 pelabuhan paling sibuk.

Rekod ini menunjukkan kita (Malaysia) berdaya saing dan berjaya tingkatkan pengurusan kapasiti,” katanya di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia (MMW) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Wee berkata kerajaan sentiasa meneliti potensi setiap pelabuhan di negara ini termasuk melakukan perluasan pelabuhan susulan keperluan untuk menguruskan jumlah kenaikan TEU setiap tahun.

Sementara itu, semasa berucap di MMW 2022, Wee berkata industri perkapalan yang lebih hijau dan mampan merupakan cara yang baik untuk memastikan kejayaan sektor maritim pada era kebangkitan pascapandemik.

Beliau berkata peserta industri maritim perlu bekerja bersama-sama dalam menggunakan teknologi baharu serta menggalakkan amalan perkapalan hijau untuk mencapai matlamat tersebut.

Seiring dengan tema yang dipilih Pertubuhan Maritim Antarabangsa untuk Hari Maritim Sedunia 2022 iaitu Teknologi Baharu untuk Perkapalan yang Lebih Hijau, ia berperanan sebagai peluang untuk menunjukkan perlunya menyokong peralihan hijau dalam sektor maritim kepada masa depan yang mampan, katanya.

“Bagi merealisasikan inisiatif ini, kami memerlukan perkongsian kukuh seperti yang dinyatakan dalam Matlamat Pembangunan Mampan 17 (SDG 17) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang menekankan semua pihak perlu terlibat dengan berkongsi dan menguar-uarkan maklumat mengenai amalan terbaik di samping untuk mengakses sumber dan pengetahuan umum,” katanya.

MMW 2022 yang bermula hari ini hingga 24 Feb merupakan platform bagi pengawal selia dan peserta industri maritim meneroka pendekatan baharu dan membangunkan strategi berkesan untuk berkembang dalam normal baharu serta pulih daripada krisis pandemik.

Sumber: Bernama

Pelabuhan Klang, PTP catat pencapaian terbaik pada 2021 – Wee


Content Type:

Duration:

Acara Minggu Ekonomi Digital Malaysia pada Ekspo 2020 Dubai, berjaya menjana pelaburan dan perdagangan berkelayakan bernilai RM1.295 bilion ke Malaysia menerusi 110 perniagaan berpotensi, 138 padanan perniagaan dan 16 memorandum persefahaman (MoU).

Jumlah yang dijana daripada penyertaan 22 syarikat teknologi Malaysia, melepasi sasaran awal RM300 juta dari segi pelaburan dan 50 perniagaan berpotensi yang dijangka mewujudkan 890 peluang pekerjaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata pencapaian itu menjadi bukti kekuatan Malaysia dalam ekonomi digital serta keyakinan global terhadap negara sebagai destinasi pelaburan digital utama.

“Pelaburan berkelayakan tersebut akan memberi impak berganda iaitu mewujudkan banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi yang menjadi nadi kepada pemulihan ekonomi negara, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 serta memacu tawaran nilai Malaysia sebagai hab digital ASEAN,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Annuar juga menyifatkan perdagangan dan pelaburan berkelayakan berkenaan sebagai satu langkah besar ke arah merealisasikan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang menyasarkan pelaburan digital bernilai RM70 bilion menjelang 2025.

Delegasi pada Minggu Ekonomi Digital Malaysia yang berlangsung pada 9-15 Januari 2022, diketuai oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang juga agensi peneraju ekonomi digital Malaysia.

Acara itu turut menjadi pentas bagi pengumuman Malaysia Digital, program yang ditambah baik untuk menggantikan inisiatif MSC Malaysia atau Koridor Raya Multimedia yang beroperasi sejak 25 tahun lalu.

Malaysia Digital dijangka melonjakkan tawaran nilai Malaysia untuk menarik pelaburan digital menerusi rangka kerja yang berteraskan tiga komponen utama iaitu Ketangkasan, Fleksibiliti dan Relevan.

Menurut MDEC, kerajaan dan agensi itu turut memperkenalkan dua projek pemangkin iaitu DE Rantau dan Malaysia Digital Trade di bawah inisiatif berkenaan.

DE Rantau dirancang untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Nomad Digital pilihan di ASEAN manakala Malaysia Digital Trade akan memacu kesalingoperasian dan penyelarasan lebih baik bagi standard dan pendekatan kawal selia serta memudahkan perdagangan di dalam dan merentasi sempadan, kata MDEC.

Sumber: Bernama

Minggu Ekonomi Digital jana dagangan, pelaburan RM1.3 bilion


Content Type:

Duration:

Perkembangan dan keperluan industri dewasa ini yang lebih terarah kepada penggunaan teknologi pintar menerusi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), menuntut sumber manusia yang mempunyai kemahiran khusus atau niche.

Bagi memastikan negara ini tidak ketinggalan dalam mengadaptasi IR 4.0, kerajaan kini memberi lebih penekanan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diperkenalkan seawal 1970, dengan tumpuan pada komponen praktikal, kemahiran psikomotor serta latihan di industri.

Komitmen kerajaan terhadap revolusi TVET dicerminkan dalam belanjawan setiap tahun dengan Belanjawan 2022 memperuntukkan RM6.6 bilion, iaitu antara peruntukan terbesar pernah diberikan bagi memperkasa bidang TVET.

Namun begitu, stigma bahawa TVET adalah pendidikan kelas kedua dan hanya untuk individu yang kurang cemerlang dalam akademik masih utuh dalam kalangan masyarakat, menyebabkan ada ibu bapa yang keberatan membenarkan anak mereka mengikuti program TVET selain lulusan bidang itu juga dipandang rendah.

STIGMA LAPUK

Mengulas persoalan itu, Pengerusi Pusat Kajian Pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Mohamad Sattar Rasul berkata stigma tersebut seharusnya sudah tidak wujud kerana TVET mempunyai laluan kerjaya yang sangat jelas.

Jelas beliau, evolusi TVET amat membanggakan kerana pada era 1970an dan 1980an sistem pendidikan TVET hanya setakat sijil kemahiran dan tiada kesinambungan, iaitu tidak ada peluang untuk pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Jika kita lihat situasinya sekarang, laluan pendidikan TVET lebih mudah. Sebagai contoh, jika seseorang pelajar kurang cemerlang di peringkat PT3 atau SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), mereka masih boleh menyambung pendidikan di peringkat sijil di kolej vokasional atau kolej komuniti.

“Kemudian, mereka boleh sambung belajar ke peringkat diploma di politeknik sebelum meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di pelbagai universiti dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) seperti Universiti Malaysia Perlis, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

“Evolusi sistem pendidikan TVET yang mapan ini juga menjadikan Malaysia sebagai negara rujukan bagi negara ASEAN lain seperti Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand,” jelasnya kepada Bernama.

Mengulas lebih lanjut, katanya beliau juga tidak nampak ada jurang pemisah yang ketara di antara lepasan akademik dan TVET, khususnya dari segi kebolehpasaran.

“Bahkan negara kita sebenarnya memang amat memerlukan lebih ramai modal insan yang berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang teknikal, bukan hanya tinggi kognitif dan cemerlang akademik semata-mata,” tambah beliau.

BANYAK KELEBIHAN

Mohamad Sattar berkata TVET mempunyai kelebihan tersendiri, antaranya membolehkan pelajar meningkatkan kemahiran diri kerana didedahkan kepada inovasi dalam konteks dunia pekerjaan yang sebenar.

Ini kata beliau memudahkan lepasan TVET mendapatkan pekerjaan selain membuka peluang kepada diri untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu apabila mereka memanfaatkan kemahiran dengan menceburi bidang keusahawanan.

Menurut beliau, ibu bapa yang inginkan anak mereka mengikuti pengajian berasaskan teknikal dan vokasional juga tidak perlu risau kerana kursus yang ditawarkan oleh institusi berkaitan diiktiraf dan dipantau oleh agensi serta badan pengiktirafan di Malaysia seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Jabatan Pembangunan

Kemahiran (JPK), Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) dan badan profesional lain.

Pada masa ini terdapat 434 institut latihan kemahiran awam (ILKA) dan 753 institut latihan swasta di Malaysia yang mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.

PENUHI KEPERLUAN INDUSTRI

Sementara itu, Dekan Kanan Kolej Teknologi Kejuruteraan UMP Prof Dr Abdullah Ibrahim pula berkata kebiasaannya lepasan TVET mempunyai kemahiran yang memenuhi keperluan industri, justeru prospek kebolehpasaran mereka agak luas.

Perkara itu katanya boleh dilihat pada kadar kebolehpasaran mereka setiap tahun dengan 87 peratus dicatatkan pada 2020, yang mana 66.8 peratus daripada mereka diterima bekerja oleh pelbagai industri.

Dalam usaha meningkatkan tenaga kerja teknikal dan vokasional, kerajaan menerusi Rancangan Malaysia ke-12 menyasarkan lebih 55 peratus pengambilan lepasan SPM ke program TVET selain mencapai 86.7 peratus kadar kebolehpasaran lepasan TVET menjelang 2025.

Menurut Abdullah, komitmen kerajaan terhadap TVET diperkukuhkan lagi dengan pelbagai inisiatif, antaranya mewujudkan Majlis TVET Negara selain menyediakan peruntukan besar bagi memperkasa program itu melalui tiga teras strategik, iaitu Tadbir Urus Bersepadu; TVET Mencorak Masa Hadapan; dan TVET Dipacu Industri.

Selain itu, kerajaan juga menubuhkan Badan Koordinasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Kerajaan-Industri (GITC) yang dilihat boleh menyediakan ekosistem program TVET yang lebih bersepadu.

“GITC perlu digerakkan seaktif yang mungkin kerana inilah yang akan menjadi kunci kejayaan program yang melibatkan penghasilan tenaga kerja mahir atau separa mahir,” katanya, menambah program TVET kini juga membuka laluan pengajian hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).

Dalam pada itu, beliau berpandangan lepasan TVET peringkat diploma ke bawah mempunyai tahap kebolehpasaran yang tinggi.

“Apatah lagi dalam era pascapandemik ini dengan kebanyakan industri mula memperkasakan semula operasi mereka dan memerlukan tenaga kerja mahir, sekali gus menjadikan keperluan terhadap lepasan TVET sentiasa berterusan,” kata Abdullah.

TERUS KEMAS KINI KURIKULUM

Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan penyedia program TVET mengemas kini kurikulum pembelajaran agar lepasan yang dihasilkan mereka kekal relevan dengan keperluan pasaran semasa.

Ini katanya termasuk mendedahkan pelajar kepada teknologi pintar seperti Internet Pelbagai Benda (IoT).

“Di UMP misalnya, kita mengambil inisiatif dengan menawarkan program-program TVET peringkat ijazah seperti Ijazah Sarjana Muda Teknologi dan Teknologi Kejuruteraan dalam pelbagai disiplin bagi memastikan pengetahuan yang disebutkan tadi merentasi kurikulum semasa.

“Hubungan akrab UMP dan industri memudahkan lagi universiti untuk terus memperkasa program TVET berdasarkan saranan dan nasihat pihak industri,” tambah beliau.

DIDIKAN SECARA MOTIVASI

Kejayaan program TVET menghasilkan tenaga pakar juga tidak boleh disangkal seperti yang dicapai oleh Dr Halim Razali, Felow Penyelidik Kanan di Institut Tenaga Suria (SERI), UKM.

Beliau yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan (Bahan) daripada Pusat Latihan Staf Politeknik UTHM, berkata didikan secara motivasi dan nasihat yang berterusan daripada pensyarah banyak membantunya untuk berjaya dalam bidang teknikal dan vokasional.

“Kehidupan saya sebagai pelajar agak sukar kerana ketiadaan biasiswa pada ketika itu dan bergantung sepenuhnya pada ibu bapa yang hanya bekerja sebagai petani di kampung bagi membiayai pengajian saya.

“Namun guru-guru banyak memberikan motivasi dan alhamdulillah, saya berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pendidikan (Teknikal-TVET) di UTHM dan PhD di UKM,” katanya yang juga pensyarah di SERI.

Halim pernah menerima Anugerah Buku Negara pada 2013 menerusi bukunya yang bertajuk “Hidrogen Bahan Api Alternatif Enjin Pembakaran Dalam”, selain Anugerah Emas pada Ekspo Penyelidikan dan Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2013 melalui inovasi Motosikal Berkuasa Hidrogen.

Selain itu, beliau juga merupakan penerima Anugerah Bukul Ilmiah Terbaik kategori sains, teknologi dan perubatan, anjuran Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia pada 2016.

“Sememangnya kini saya boleh berbangga dengan pencapaian saya,” tambah beliau.

Sumber: Bernama

Stigma TVET Pendidikan Kelas Kedua Perlu Disingkir – Pakar


Content Type:

Duration:

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) berhasrat untuk menjadikan Menara Bank Rakyat setinggi 35 tingkat dengan keluasan 550,000 kaki persegi di Coronation Square di sini sebagai hab digitalisasi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata langkah itu sekali gus menjadikan kawasan tersebut sebagai hab perniagaan digital merangkumi urusan bank, keusahawanan, perniagaan dan pelbagai urusan digital lain.

“Apabila terdapat digitalisasi, kita tahu bahawa pada masa depan, platform ini akan memainkan peranan yang penting.

“Oleh itu, di kawasan ini dan bangunan ini, kita akan jadikan hab perniagaan digital daripada urusan bank, keusahawanan, perniagaan dan apa jua urusan yang menggunakan digital,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Menara Bank Rakyat di Coronation Square hari ini.

Noh berkata dengan kedudukannya yang strategik bersebelahan dengan Singapura akan menjadi tarikan kepada pelabur asing untuk menjalankan aktiviti perniagaan, seterusnya menjadi pemangkin kepada transformasi bandar raya bertaraf antarabangsa.

“Walaupun sebelum ini tergendala sedikit kerana pandemik COVID-19, saya dijanjikan bahawa projek ini akan siap pada Julai ini.

“Saya tengok sudah 85 peratus siap. Kita harap projek ini bukan sahaja akan menjadi mercu kejayaan Bank Rakyat di Zon Selatan tetapi juga Coronation Square yang akan menjadi mercu kejayaan dan pembangunan yang hebat bagi negeri ini,” katanya.

Noh berkata menara itu juga akan menyaksikan perniagaan digitalisasi yang lebih cekap dan bakal menjadi pusat latihan kepada usahawan.

Katanya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) turut bercadang untuk menempatkan 11 agensinya di Menara Bank Rakyat supaya dapat merancang pembangunan usahawan secara bersama.

Pada 23 Mac 2016, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar merasmikan model Menara Bank Rakyat Johor yang pada awalnya dijangka siap pada 2019.

Coronation Square seluas 2.3 hektar adalah antara Zon Pembangunan Projek Ibrahim International Business District (IIBD).

Coronade Properties Sdn Bhd merupakan pemaju Coronation Square.

Sumber: Bernama

Menara Bank Rakyat di Coronation Square bakal jadi hab digitalisasi


Content Type:

Duration:

StarFive Technology, peneraju dalam pembangunan teknologi dan ekosistem RISC-V di China akan melabur sebanyak RM250 juta bagi tempoh lima tahun akan datang untuk membuka pusat reka bentuk pertamanya di Asia Tenggara di GBS@Mayang, Pulau Pinang.

Naib Presiden dan Pengurus Besar StarFive Technology Malaysia Ong Chin Hu berkata Pulau Pinang dipilih sebagai destinasi bagi pengembangannya berikutan ketersediaan tenaga kerja dan status negeri itu sebagai Lembah Silikon yang memiliki reka bentuk litar bersepadu paling unggul di Asia.

Beliau berkata StarFive Technology Malaysia ditubuhkan di Pulau Pinang pada Mei tahun lepas dan kumpulan itu akan terus mengembangkan pusat reka bentuknya sebagai hab inovasi bertaraf dunia dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Pada masa depan, StarFive Technology akan membuat pelaburan tambahan sebanyak RM250 juta bagi pengembangan dalam tempoh lima tahun akan datang untuk mencipta pelbagai pekerjaan bernilai tinggi dan berpendapatan tinggi dan berhasrat untuk menjadi pusat inovasi bertaraf dunia,” katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman pelaburan itu di sini, semalam, yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Konsulat Jeneral China di Pulau Pinang Lu Shiwei.

Ong berkata StarFive Technology mempunyai portfolio lengkap siri RISC-V CPU IP, penyelesaian System on Chip (SoC) perisian dan perkakasan yang berasaskan platform.

Menurutnya, StarFive Technology komited untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan dan universiti tempatan bagi mempromosikan RISC-V open-source Instruction Set Architecture (ISA).

“Semakin banyak syarikat semikonduktor utama dunia menyertai komuniti RISC-V dan visi jangka panjang StarFive Technology adalah untuk mempromosi dan menyediakan tahap baharu platform perisian dan perkakasan terbuka yang boleh diperluaskan pada senibina pengkomputeran bagi merealisasikan visi pengkomputeran hijau, tenaga hijau dan bandar raya pintar,” katanya.

Beliau berkata StarFive Technology juga merancang mengembangkan pasarannya di rantau ini pada masa depan.

Sementara itu, Chow berkata sebagai satu daripada negeri paling pesat membangun di Malaysia, Pulau Pinang digelar sebagai magnet tenaga kerja di wilayah utara kerana negeri itu memiliki sekumpulan besar tenaga kerja yang bukan hanya semata-mata untuk tugasan memproses tetapi juga merangkumi penyelidikan, reka bentuk dan pembangunan – disokong oleh kemahiran khusus dan kecerdasan kumulatif.

“Kita akan terus menerajui pembangunan ekosistem mampan, dibuktikan oleh kecemerlangan industri dan tenaga kerja berkualiti yang berdekad-dekad lamanya dalam usaha menarik lebih banyak pelabur berkualiti tinggi dan mencapai tahap kejayaan yang lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya.

Produk dan penyelesaian syarikat StarFive Technology, yang ditubuhkan pada 2018 dan beribu pejabat di Shanghai, digunakan dalam perkakas rumah pintar, pemantauan pintar, robot perindustrian, pengurusan trafik, logistik pintar, peranti sesuai dipakai, storan padu, komunikasi rangkaian dan pengkomputeran canggih.

Sumber: Bernama

StarFive Technology dari China akan labur RM250 juta buka pusat reka bentuk di Pulau Pinang


Content Type:

Duration:

Kerajaan menggesa semua pihak untuk mengambil peluang mencipta dan berinovasi dengan memanfaatkan kepakaran serta menjalin kerjasama strategik antara akademia dan industri.

Ketika membuat gesaan itu, Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata usaha kolaboratif tersebut dapat menggalakkan inovasi berasaskan permintaan industri dalam memacu peningkatan produktiviti serta mengukuhkan pembangunan ekonomi Malaysia.

“Pandemik COVID-19 telah menimbulkan pelbagai isu termasuk proses pelaksanaan pendidikan di seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Ini bukan sahaja menyebabkan pembelajaran dan pengajaran konvensional tertangguh, bahkan tugasan guru dan pensyarah semakin mencabar apabila perlu menyesuaikan diri dengan norma kehidupan dan kebiasaan baharu yang memerlukan proses terbabit dilaksanakan secara dalam talian,” katanya.

Beliau berucap pada majlis apresiasi dan pelancaran kursus Pensijilan Perbankan dan Kewangan Islam bagi Pengamal Undang-Undang (CIBFL) dengan kerjasama Institut Perbankan dan Kewangan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Mohd Shahar berkata dalam alaf baharu yang mengutamakan kemahiran pembelajaran sepanjang hayat, orang ramai tiada pilihan selain memanfaatkan teknologi dan aplikasi pendidikan dalam talian.

Malah, katanya, konteks pendidikan masa kini memerlukan guru dan pensyarah untuk menguasai serta celik teknologi komunikasi dan maklumat.

“Meskipun masih dibelenggu ketidakpastian, dunia pendidikan pasca-COVID-19 akan beroperasi dalam persekitaran yang berbeza. Kita perlu mencari solusi lebih kreatif dan inovatif dalam menghadapi cabaran-cabaran mendatang dan perlu melangkah ke arah keadaan normal seterusnya’,” katanya.

Mohd Shahar berkata sektor pendidikan turut menerima peruntukan terbesar dalam Bajet 2022  iaitu sebanyak RM52.6 bilion.

Sehubungan itu, beliau berharap sektor terbabit dapat meningkatkan standard kualitinya setanding dengan negara-negara maju.

“Apa yang paling penting adalah perlu bergerak seiring dengan momentum pasca pandemik yang seterusnya memberi  manfaat kepada modal insan negara,” katanya.

Sumber: Bernama

Manfaatkan kepakaran, jalin kerjasama strategik akademia dan industri – Mohd Shahar


Content Type:

Duration:

Pelan Hala Tuju Robotik Negara (NRR) akan dibangunkan dalam usaha mengarusperdanakan penggunaan teknologi robotik seterusnya meningkatkan produktiviti negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pelan itu dijangka mampu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing dan meminimumkan pengaliran mata wang ke luar negara.

Di bawah pelan berkenaan, kerajaan menyasarkan kepadatan robot meningkat dari 55 unit bagi setiap 10,000 pekerja pada tahun 2019 kepada 195 unit bagi setiap 10,000 pekerja pada tahun 2030, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata pelan itu merupakan antara keputusan dicapai pada mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang kali pertama diadakan tahun ini.

Selain pelan berkenaan, beliau berkata mesyuarat dihadiri Menteri-Menteri serta Ketua Jabatan dan Agensi yang terlibat secara dalam talian itu, turut menyokong konsep Projek Pemangkin (Catalytic Projects) bagi memacu Aspirasi MyDIGITAL.

Ke arah itu, perdana menteri berkata mesyuarat bersetuju menubuhkan Pasukan Petugas Projek Pemangkin MyDIGITAL untuk memilih projek sesuai dan memantau pelaksanaannya yang merupakan kerjasama antara sektor awam dan swasta (public-private partnership).

Beliau berkata Projek Pemangkin itu akan dibiayai sektor swasta, dan kerajaan akan memainkan peranan sebagai pemudah cara.

Menurutnya antara contoh projek pemangkin termasuk perubatan pintar yang menyasarkan penubuhan hospital menggunakan teknologi 5G dan Bandar Pintar.

Ismail Sabri berkata mesyuarat turut dimaklumkan kemajuan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), yang menyaksikan tempoh dari September 2020 hingga Disember 2021, sebanyak 1.89 juta premis baharu diliputi capaian gentian optik dan 1,189 menara 4G baharu telah dibina.

Beliau berkata dalam tempoh sama, 95 peratus kawasan berpenduduk telah mendapat liputan 4G.

Selain itu, perdana menteri berkata mesyuarat dimaklumkan bahawa Digital Nasional Berhad (DNB) juga telah memulakan akses kepada rangkaian borong 5G dengan 500 tapak 5G telah diaktifkan setakat 31 Dis 2021 di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.

“DNB juga menyasarkan 3,500 tapak, bersamaan 36 peratus liputan di kawasan berpenduduk pada penghujung tahun 2022,” katanya.

Melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) pula, beliau berkata 883 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) sedang beroperasi manakala 28 lagi akan beroperasi menjelang 31 Mac ini di seluruh negara.

Sementara itu Ismail Sabri berkata sempena ulang tahun pertama pelancaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) serta pengenalan MyDIGITAL, beberapa program telah dan akan dilaksanakan sepanjang Februari dan Mac.

Ini katanya termasuk Technopreneur Industry Dialogue, beberapa siri dialog anjuran World Bank dan MyDIGITAL Corporation, Program Transformasi Digital Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, Kelantan; Sesi Perbincangan Meja Bulat mengenai Islamic Digital Technology dan Program Celik Digital Penjawat Awam.

“Keberhasilan MyDIGITAL akan menjadi penentu kejayaan pendigitalan Keluarga Malaysia seperti yang diharapkan menjelang tahun 2030,” katanya.

Sumber: Bernama

Pelan Hala Tuju Robotik Negara akan dibangunkan – PM


Content Type:

Duration:

Dalam usaha untuk menjadi pengendali penjagaan kesihatan swasta terkemuka, Selgate Corporation Sdn Bhd telah menjalinkan kerjasama dengan MTT Properties & Development Sdn Bhd untuk membangunkan sebuah hospital pakar swasta di Balik Pulau melalui cabang penjagaan kesihatannya Selgate Healthcare Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Selgate Corp Noor Hisham Mohd Ghouth berkata hospital itu dijangka siap menjelang 2025 dan akan menambah kira-kira 150 katil untuk operasi penjagaan kesihatannya.

“Dari segi pembiayaan, kami masih belum memuktamadkan strukturnya atau sama ada MTT atau Selgate Healthcare akan membina hospital berkenaan, tetapi kami akan terlibat sebagai pengendali hospital,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pengerusi Kumpulan MTT  Datuk Seri Kenny Ong Kean Lee di sini hari ini.

Beliau berkata kumpulan itu bercadang untuk mengendalikan tujuh hospital dengan kira-kira 1,000 katil dalam tempoh lima tahun akan datang dan hospital pertamanya di Rawang dijangka mula beroperasi awal tahun depan untuk menampung permintaan yang kian meningkat dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi.

Sementara itu, Ong berkata MTT Properties & Development telah memperuntukkan kawasan seluas 2.02 hektar untuk penglibatan pertamanya dalam penjagaan kesihatan di perbandaran Botanica CT Garden Township dan kerjasama inilah yang akan menyaksikan penubuhan hospital pakar swasta pertama di Balik Pulau.

Perkongsian itu adalah satu kejayaan untuk pemegang berkepentingan dan membuka jalan bagi pembangunan sebuah perbandaran berdikari sepenuhnya, menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti melangkaui perbandaran ke Balik Pulau dan komuniti kejiranan lain.

“Ia juga akan membantu meningkatkan lagi kemudahan penjagaan warga emas bersepadu pertama kami, Eden @ Botanica CT yang akan dilancarkan hujung tahun ini,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang turut hadir menyaksikan acara itu berkata hospital baharu berkenaan adalah penambahan kepada 18 hospital swasta sedia ada di negeri ini dan akan mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan penjagaan kesihatan utama negara.

“Menurut Rangka Tindakan Industri Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2021-2025, Pulau Pinang mendahului dalam pendapatan pelancongan penjagaan kesihatan, menjana RM750 juta daripada 500,000 pesakit yang datang ke negeri ini pada 2019,” tambah beliau.

Sumber: Bernama

Selgate, MTT bangunkan hospital pakar swasta pertama Balik Pulau


Content Type:

Duration:

Syarikat bioteknologi yang merintis terapeutik dan vaksin messenger RNA (mRNA), Moderna, Inc hari ini mengumumkan rancangan untuk menubuhkan anak syarikat baharu di Malaysia, disertai tiga anak syarikat lain di Taiwan, Singapura dan Hong Kong.

Pengumuman tersebut mengukuhkan kehadiran sedia ada Moderna di rantau ini dengan pejabat di Jepun, Korea Selatan dan Australia selain menunjukkan komitmen berterusannya terhadap rantau Asia-Pasifik sebagai bahagian penting dalam strategi jangka panjang dan visi komersialnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Moderna, Stephane Bancel berkata anak syarikat itu akan membantu menyampaikan penyelesaian mRNA kepada rakyat Malaysia.

“Malaysia merupakan peserta yang semakin berkembang dalam industri farmaseutikal dan bioteknologi.

“Kami berharap dapat meneroka peluang kerjasama tempatan memandangkan Moderna sedang meluaskan jejaknya di rantau Asia-Pasifik.

“Saya teruja untuk membina pasukan yang kukuh, yang dapat memenuhi potensi serantau dan menyampaikan platform mRNA yang kami tawarkan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut syarikat itu, rancangan untuk menubuhkan anak syarikat tempatan mencerminkan keyakinan pihaknya terhadap trajektori pertumbuhan semasa industri farmaseutikal dan kesihatan di Malaysia.

Ia menambah, Moderna juga terdorong dengan komitmen kerajaan tempatan terhadap penyelidikan dan pembangunan bioteknologi.

Moderna sedang aktif mengambil pekerja untuk membentuk pasukan bagi membina penyertaan yang kukuh dalam pasaran apabila pembekalan terapeutik mRNA syarikat berkembang, jelasnya.

Moderna menambah, pembekalannya adalah luas, merangkumi 40 program pembangunan dengan 25 daripadanya sedang berada di peringkat ujian klinikal.

Pihaknya terus mengemas kini strategi COVID-19 untuk menangani varian yang menjadi kebimbangan seperti Omicron di samping mempelopori vaksin dan terapeutik baharu untuk pelbagai penyakit dan keadaan, tambahnya.

“Moderna sedang membangunkan ubat-ubatan mRNA yang berpotensi mencegah dan merawat penyakit dengan keperluan ketara yang belum dipenuhi, merentasi penyakit berjangkit, imuno-onkologi, penyakit yang jarang dan amat jarang jumpa, serta penyakit autoimun,” menurutnya.

Moderna mempunyai operasi di 12 pasaran di seluruh dunia.

Pihak-pihak pengawal selia bagi lebih 70 pasaran telah meluluskan vaksin COVID-19 Moderna, termasuk sekurang-kurangnya 19 di rantau Asia-Pasifik.

Pada Ogos 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memberikan kelulusan bersyarat bagi vaksin COVID-19 Moderna untuk kegunaan kecemasan.

Sumber: Bernama

Moderna rancang tubuh anak syarikat baharu di Malaysia


Content Type:

Duration:

Pembangunan kawasan perindustrian khusus untuk tenaga boleh diperbaharui mampu merancakkan aktiviti industri dan melonjakkan pertumbuhan ekonomi Sabah ke tahap lebih tinggi.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata potensi itu bakal dinikmati menerusi pembangunan Kompleks Perindustrian Tenaga Diperbaharui Sabah Maju Jaya (SMJREIC) bernilai kira-kira RM1 bilion, yang akan dilaksanakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, di sini.

Katanya, apabila siap kompleks berkenaan akan menempatkan ‘Edible Oil Bulking Terminal’ dengan kapasiti 30,000 tan metrik dan Kompleks Penapisan Minyak Sawit pertama dengan kapasiti 100,000 tan metrik setahun.

Beliau berkata, sebuah loji Minyak Sayuran Berhidrogen (HVO) yang pertama di Malaysia dengan kapasiti 250,000 tan metrik setahun bagi menghasilkan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) turut dibina di kompleks berkenaan nanti.

“Pembangunan SMJREIC dapat membantu meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri, menjana peluang pekerjaan dan membawa masuk teknologi baharu ke Sabah.

“Dianggarkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan baharu dapat disediakan kepada rakyat Sabah menerusi pembangunan SMJREIC,” katanya pada pelancaran projek pembangunan kompleks berkenaan di sini, semalam.

Kompleks berkenaan akan dibina di kawasan seluas 10 hektar di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, di sini menerusi usaha sama antara Suria Capital Holdings Bhd selaku pemilik tanah dan Vandelay Ventures Sdn Bhd.

Hajiji turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua syarikat dan rakan kongsi termasuk Sawit Kinabalu dan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) sebagai pembekal bahan mentah, SULZER GTC Technology sebagai penyedia teknologi dan THINKAT Advisory Sdn Bhd sebagai rakan kongsi kewangan.

Katanya, menerusi projek itu, Suria Capital Holdings Bhd menambah satu lagi portfolio pelaburan berpotensi dalam senarai usaha niaga dipacu pihak swasta yang berjaya di negeri ini.

“Saya juga gembira kerjasama ini membabitkan Suria Capital Holdings Berhad selaku antara syarikat awam berhad yang mempunyai reputasi tinggi di negeri ini yang akan memainkan peranan besar dalam membantu memastikan projek berdaya maju ini dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Hajiji berkata Sabah dikurniakan banyak sumber tenaga boleh diperbaharui yang berpotensi menawarkan prospek kukuh untuk menyumbang secara signifikan kepada negeri dan negara untuk menjadi ekonomi bernilai tambah tinggi.

“Kerajaan negeri secara agresif menggalakkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan tenaga bersih melalui program yang dapat mempercepat pertumbuhan ekonomi dan membentuk serta mengukuhkan sektor tenaga baharu dan industri hijau Sabah.

“Selain memberi peluang untuk menggunakan tenaga secara cekap sambil mewujudkan persekitaran lebih baik melalui penggunaan sistem tenaga bersepadu dan fleksibel yang meningkatkan nisbah penjimatan tenaga, teknologi hijau juga menawarkan faedah alam sekitar yang lain termasuk peningkatan perlindungan kepada ekosistem dan biodiversiti, kualiti udara dan air serta pengurangan sisa pepejal,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan dan sektor swasta perlu mengambil langkah penting memberi tumpuan kepada faedah teknologi hijau berikutan penekanan global terhadap perubahan iklim dan kehidupan mampan.

Sumber: Berita Harian

Kompleks tenaga boleh diperbaharui bakal lonjak ekonomi Sabah – Hajiji


Content Type:

Duration:

Projek Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijadualkan siap pada Disember 2026 sudah mencapai kemajuan lebih 27 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata, projek yang membabitkan empat negeri, iaitu tiga di pantai timur dan Selangor itu berjalan lancar, walaupun berlaku kelewatan disebabkan masalah teknikal.

“Memang kita alami kelewatan tetapi dengan perkembangan sekarang kita boleh ‘catch up’ balik (dan). Secara keseluruhannya, boleh capai kemajuan lebih baik pada tahun ini.

“Insya-Allah, untuk jajaran Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor iaitu jajaran Seksyen A,B, dan C1 akan siap pada Disember 2026 dan beroperasi pada 1 Januari 2027,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Jalinan Kasih Keluarga Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Bersama Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Kastam di Sekolah Kebangsaan Bukit Bayas, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Darwis berkata, pengambilan tanah bagi projek ECRL di Terengganu dan Pahang juga berjalan lancar.

Katanya, ia sudah mencapai tahap 89 peratus dan pengambilan tanah dijangka selesai pada 2023.

Rangkaian rel sepanjang 665 kilometer (km) yang merangkumi 59 terowong dengan panjang keseluruhan 61 km serta beberapa jejambat dengan panjang keseluruhan 127 km dianggarkan menelan belanja RM50.27 bilion dan dijadualkan siap pada Disember 2026.

Pembinaan membabitkan Jajaran Seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun, manakala Seksyen B dari Dungun ke Mentakab, dan Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang.

Sumber: Berita Harian

ECRL sudah capai 27 peratus


Content Type:

Duration:

Pengeluar sarung tangan nitril, VIP Gloves Ltd, memeterai perjanjian induk dengan pemegang saham utama Ammorium Resources Sdn Bhd (Ammorium), Julian Foo Kuan Lin bagi pengambilalihan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Ammorium.

VIP Gloves, syarikat senaraian awam di bursa saham Australia, dalam satu kenyataan berkata, pengambilalihan Ammorium akan membolehkan syarikat menyelia pembangunan 60 barisan kemudahan bersepadu yang sebelum ini membabitkan sarung tangan perubatan di atas tanah seluas 21.45 hektar di Tronoh, Perak.

“Setiap barisan itu dijangka mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 15 juta helai sarung tangan sebulan atau keseluruhannya berjumlah 900 juta helai sebulan serta lebih 10.8 bilion sarung tangan setahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan Kumpulan VIP Gloves, Jimmy Yang menyifatkan pengambilalihan Ammorium itu akan meningkatkan barisan kemudahan pengeluaran sarung tangan syarikat, sekali gus dapat melonjakkan jumlah kapasiti pengeluaran kepada 13.46 bilion keping setahun apabila semua kemudahan itu beroperasi sepenuhnya.

“Kami juga dalam proses pembinaan kilang kedua di Semenyih, Selangor, yang dilengkapkan dengan lapan barisan pengeluaran dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 1.6 bilion helai sarung tangan yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2023,” katanya.

Pada masa ini, VIP Gloves mempunyai enam barisan kemudahan pengeluaran sarung tangan yang beroperasi manakala dua lagi kemudahan akan beroperasi dalam tempoh dua bulan akan datang.

“Penambahan lapan barisan kemudahan kilang baharu di Semenyih dan 60 barisan kilang di Tronoh dijangka menyumbang kepada hasil VIP Gloves bermula dari tahun kewangan akhir 2023,” katanya.

Bagi prospek masa hadapan, beliau yakin permintaan terhadap produk berkenaan terus kukuh berikutan masih ramai yang kekal berwaspada susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 membabitkan varian Omicron.

“Ini dapat mengekalkan kelangsungan permintaan terhadap peralatan perlindungan diri seperti sarung tangan perubatan dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan.

“Pengeluar sarung tangan turut menerima tempahan daripada pengguna baharu seperti syarikat penerbangan, restoran, rangkaian pakaian runcit serta pengusaha hotel yang mahu memastikan pekerja masing-masing terus mendapat perlindungan,” katanya.

Sumber: Bernama

VIP Gloves tingkat pengeluaran sarung tangan


Content Type:

Duration:

i-City Malaysia memantapkan lagi pelan transformasi digital taman temanya dengan pelaburan bernilai RM10 juta.

Ketua Riadah i-City, Tang Soke Cheng, berkata melalui pelaburan terbaharu kumpulan itu, taman tema di dalam kawasan pembangunan ultrapolis perdana itu akan dilengkapi dengan pengalaman Metaverse.

Beliau berkata, projek penambahbaikan taman tema itu akan dijalankan dengan kerjasama China Mobile International (CMIM) untuk menggabungkan City of Digital Lights i-City dengan pengalaman 3D Metaverse.

CMIM ketika ini katanya sedang dalam proses akhir membina platform teknologi untuk penyerapan Metaverse di taman temanya.

“Kumpulan menjangkakan pengalaman Metaverse terbaharu itu mampu menarik 10 juta pengunjung apabila disiapkan tahun hadapan.

“Teknologi Metaverse mampu menjadi kekuatan utama taman tema kami. i-City akan menjadi taman tema pertama menggunakan teknologi itu di Malaysia.

“Kumpulan akan memastikan kerja penambahbaikan dapat disiapkan tepat pada masanya menjelang detik tahun baharu 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Taman tema i-City sebelum itu pernah diiktiraf oleh CNN Travel sebagai destinasi ke-21 paling terang dan berwarna-warni di dunia, hanya dua takuk di atas New York Times Square di Amerika Syarikat.

Sementara itu, Pengarah Perusahaan CMIM, Jackie Chen Jiang Long, berkata pelaksanaan teknologi 5G di Malaysia pada tahun ini juga memberi sokongan kepada projek 3D Metaverse bersama i-City itu.

Beliau berkata, Metaverse memerlukan modaliti 3D untuk dihantar secara digital dalam pelbagai bentuk.

“Lebih banyak model 3D secara langsung, lebih banyak butiran yang diperlukan dan lebih banyak data yang akan digunakan.

“Oleh itu, pelaksanaan 5G bersama infrastruktur pengkomputeran awan skala besar yang sedang dibina oleh i-City akan memainkan peranan penting dalam kejayaan projek ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Taman tema i-City dilengkapi teknologi Metaverse


Content Type:

Duration:

Air Liquide, syarikat multinasional Perancis yang juga penyedia gas dan perkhidmatan kepada pelbagai industri termasuk perubatan, bahan kimia dan pengeluar elektronik, kini membuka ibu pejabat baharu bagi operasinya di Malaysia di 1Power House Bandar Utama di Petaling Jaya, Selangor.

Dalam kenyataannya, syarikat itu  berkata pejabat terbabit akan menempatkan sebanyak  450 pekerja Air Liquide Malaysia dan Cryogenic  Tank Services  yang menyokong operasi di negara ini selain ibu pejabat APAC Global Services (AGS) yang menyediakan perkhidmatan bersama bagi entiti Air Liquide di lebih 14 negara di Asia Pasifik.

Menurut syarikat itu, majlis perasmian ibu pejabat baharu itu telah dihadiri oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong serta Duta Besar Perancis ke Malaysia Roland Galharague.

Dalam pada itu, Lim menyifatkan  kehadiran Air Liquide bagi tempoh jangka panjang jelas memaparkan keyakinan serta dapat memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai lokasi hab perkhidmatan serantau pilihan di Asia.

“Menerusi komitmennya terhadap teknologi dan inovasi, operasi Air Liquide telah membawa nilai besar kepada negara ke arah memperluas ekosistem, memacu kesan pengganda ekonomi, bekerjasama dengan universiti tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain pemindahan teknologi dan kemahiran inovatif serta mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Pejabat baharu ini jelas memaparkan pencapaian bermakna dari segi pertumbuhan dan kita berhasrat untuk memberi kemudahan kepada lebih banyak pelaburan inovatif yang menarik serta berteknologi tinggi ke dalam Malaysia,” katanya.

Air Liquide mula bertapak di Malaysia pada 1927 dengan operasi awalnya menumpukan usaha menyokong industri tempatan, menawarkan pelbagai gas industri dan perubatan serta perkhidmatan kejuruteraan.

Sejak beberapa tahun lepas, operasinya di Malaysia telah dipelbagaikan dan berkembang pesat, bermula dengan penambahan Pusat Operasi Inovatif Pintar pada 2018 yang membolehkan pengurusan pengeluaran secara jarak jauh membabitkan unit-unit pengeluaran industri besar syarikat yang meliputi lapan negara di serata rantau ini.

Sumber: Bernama

Air Liquide buka ibu pejabat baharu bagi operasi Malaysia


Content Type:

Duration:

Pembukaan semula sepenuhnya sempadan negara akan membolehkan pelancong perubatan kembali ke Malaysia bagi menjalani rawatan di hospital selepas ia terhenti sejak awal 2020.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh, berkata langkah itu juga bakal membantu memulihkan sektor pelancongan perubatan yang telah menjana sebanyak RM1.7 bilion kepada negara pada 2019.

Beliau memaklumkan, APHM mempunyai keahlian 151 hospital di seluruh negara dengan majoritinya merawat pelancong perubatan, terutama dari negara jiran.

“Bagaimanapun, hospital swasta akan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung ujian saringan sebelum menerima pelancong perubatan untuk menjalani rawatan.

“Kami akan menerima pelancong perubatan yang sudah lengkap vaksinasi dengan dos penggalak (sebaik-baiknya) supaya kurang risiko untuk mereka mengalami sakit teruk jika berlaku jangkitan COVID-19 ketika menjalani rawatan, dan seterusnya melindungi penyedia penjagaan kesihatan tempatan kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Media semalam melaporkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju dengan cadangan supaya Malaysia membuka semula sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib, seawal 1 Mac depan.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipetik berkata bagaimanapun pembukaan sempadan kepada semua negara itu perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

Dalam pada itu, Dr Kuljit berkata, hospital swasta di negara ini bersedia menerima pesakit dari hospital awam sekiranya berlaku lonjakan kemasukan pesakit varian Omicron di fasiliti kerajaan.

Beliau berkata, ketika kemuncak kes COVID-19 varian Delta pada tahun lalu, sebanyak 113 hospital swasta menerima pesakit dari 49 hospital KKM.

“Kami berkeyakinan meneruskan sokongan kepada kerajaan untuk meringankan beban sebagaimana disebut oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dalam ucapannya pada 7 Februari lalu.

“Hospital swasta telah dimasukkan ke dalam Pasukan Petugas Bertindak Pantas COVID-19 (RRTF) Kebangsaan bagi memudahkan proses ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Kuljit berkata, APHM menggesa orang ramai agar segera mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19.

“Sudah terbukti di seluruh dunia bahawa vaksinasi lengkap dengan dos penggalak berjaya mengurangkan kesan lebih teruk pandemik itu, dan membantu menggalakkan pemulihan ekonomi dengan pembukaan sempadan antarabangsa,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Buka semula sempadan bolehkan pelancong perubatan kembali ke Malaysia – APHM


Content Type:

Duration:

Anak syarikat milik 80 peratus Uni Wall APS Holdings Bhd, NS Aero City Sdn Bhd (NSAC) memeterai memorandum kerjasama (MoC) dengan Sun Solutino Pte Ltd untuk membangunkan sebahagian tanah di Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Uni Wall, yang menjadi penyedia perkhidmatan fakad bangunan kepada pemaju hartanah, berkata pembangunan itu dengan anggaran nilai pelaburan sehingga RM1 bilion, akan merangkumi bahagian tertentu di kawasan pantai dalam MVV 2.0, pusat data baharu, dan ladang solar, serta pelaburan tenaga solar yang lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Siow Hon Yuen berkata, MoC itu akan kekal sah untuk tempoh satu tahun dari tarikh perjanjian dan kerjasama itu akan menjadi peluang besar bagi syarikat untuk memanfaatkan kepakaran luas mereka dalam sektor pembinaan.

“Sun Solutino pula akan menyediakan sokongan dalam amanah pelaburan hartanah (REIT), pengurusan pembangunan dan rangkaian antarabangsa.

“Kami yakin dengan kombinasi ini dan sokongan daripada pihak berkuasa kerajaan, kami akan dapat memajukan agenda kerajaan Negeri Sembilan untuk merangsang ekonomi tempatan dengan menyasarkan pemain industri utama yang mampu memberi impak secara keseluruhan,” katanya.

Beliau menambah bahawa syarikat itu membayangkan untuk mewujudkan platform yang berdaya maju, inklusif dan mampan bagi pemain industri melabur di Negeri Sembilan di bawah pembangunan MVV 2.0.

MVV 2.0 ialah koridor pertumbuhan ekonomi yang dimulakan oleh kerajaan Negeri Sembilan, yang diperuntukkan sebagai salah satu daripada 17 zon pembangunan yang digalakkan dalam Rancangan Fizikal Negara Malaysia.

Pembangunan keseluruhan, yang dijangkakan untuk menjadi bandar bersepadu seterusnya di Asia Tenggara dipacu oleh perkongsian awam-swasta, merentasi kawasan seluas 153,411 hektar meliputi daerah Seremban dan Port Dickson.

Sumber: Bernama

Uni Wall, Sun Solutino bangunkan sebahagian tanah Malaysia Vision Valley 2.0


Content Type:

Duration:

Mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) hari ini memperakukan penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri  (GITC) dalam usaha kerajaan memperkasa ekosistem aliran berkenaan, seterusnya menjadikannya pilihan utama belia.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata buat julung kalinya, badan diterajui industri itu akan terlibat secara langsung dalam pembangunan modal insan TVET negara khususnya berkaitan keperluan kemahiran dan tenaga kerja.

“Keanggotaan GITC terdiri daripada 12 persatuan berdasarkan sektor industri yang bersetuju bersama-sama berganding bahu menjayakan agenda TVET negara melalui GITC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mesyuarat MTVET secara telesidang yang dipengerusikannya hari ini disertai 13 menteri, tokoh industri termasuk daripada  Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), ahli akademik dan wakil pelajar.

Ismail Sabri berkata mesyuarat juga bersetuju dengan pelaksanaan “TVET Collaboration Hub” melibatkan 11 kementerian dan diselaraskan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Inisiatif ini bakal menjadi platform kolaborasi strategik kepakaran, peralatan dan teknologi antara pusat kecemerlangan dengan institusi-institusi TVET, pihak berkuasa wilayah ekonomi dan industri,” katanya.

Menurutnya, sejumlah 12 hab telah dikenal pasti termasuk automotif, semikonduktor, marin, penyaman udara, aeroangkasa, robotik, rel, telekomunikasi, hospitaliti dan pelancongan serta teknologi makanan yang akan dilaksanakan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri berkata mesyuarat turut bersetuju secara dasar dengan cadangan penarafan tunggal TVET, namun katanya proses libat urus bersama kementerian serta industri perlu dilaksanakan sebelum dibentangkan semula dalam mesyuarat MTVET yang akan datang.

“Inisiatif ini dijangka akan memperkukuh simbiosis ekosistem TVET dalam menghubungkan pihak-pihak yang terlibat untuk merapatkan jurang di antara permintaan dan penawaran tenaga kerja,” katanya.

Ismail Sabri berkata usaha-usaha yang dilaksanakan MTVET amat signifikan bagi merealisasikan strategi dan inisiatif yang dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Di bawah Bajet 2022, menurutnya kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion untuk memperkasa TVET melalui pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkaitan.

“Inisiatif-inisiatif ini bakal menyediakan graduan yang menepati keperluan industri, meningkatkan kualiti institusi TVET, memperkukuh penawaran program berorientasikan industri dan memperhebat keterlibatan aktif industri.

“Sudah tiba masanya TVET menjadi pilihan utama para belia dalam mempersiapkan diri mereka untuk masa depan kerana TVET telah terbukti mampu melahirkan individu berkemahiran, terlatih dan berbudaya usahawan,” katanya.

Menyedari kepentingan TVET,  perdana menteri berkata mesyuarat itu juga bersetuju agar kempen, promosi dan penjenamaan semula dilakukan secara komprehensif bagi menghapuskan persepsi yang mengatakan TVET adalah pendidikan kelas kedua dan sudah tidak relevan lagi.

“Melalui kempen dan promosi ini, kita mengharapkan supaya TVET dijadikan pilihan setara dengan akademik, sekali gus menjadikannya sebagai kerjaya pilihan sepertimana negara maju yang lain,” katanya.

Ke arah itu, katanya Kementerian Pendidikan telah diminta membuat pendedahan awal sistem pendidikan TVET kepada pelajar Tingkatan 1  agar mereka boleh membuat pilihan bersesuaian dengan kecenderungan mereka.

Menurutnya sehingga kini, terdapat 1,295 penyedia TVET awam dan swasta yang merentasi 11 kementerian termasuk 22 institusi TVET kerajaan negeri di seluruh Malaysia yang menyediakan pengajian peringkat sijil dan diploma.

Malah katanya, kerajaan kini mengiktiraf Diploma Vokasional Malaysia (DVM) sebagai laluan ke rangkaian universiti teknikal awam di Malaysia  iaitu Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Sumber: Bernama

Majlis TVET negara peraku penubuhan badan koordinasi TVET kerajaan-industri – PM


Content Type:

Duration:

Sarawak mampu menjadi kuasa ekonomi digital yang mempunyai infrastruktur dan utiliti yang baik, menikmati pendapatan tinggi dengan sokongan padu rakyat dan kecekapan perkhidmatan awam negeri, kata Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata tidak mustahil untuk mencapai matlamat itu jika semua orang memberi tumpuan untuk merealisasikan apa yang telah dirancang dan penjawat awam negeri bekerja keras untuk memastikan semua projek yang telah dilancarkan dapat disiapkan atau tidak tertangguh demi kepentingan rakyat.

“Sekarang pandemik ini telah reda, tidak ada sebab projek yang tertangguh tidak disiapkan,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2022.

Susulan prestasi memberangsangkan  Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya negeri bulan  lepas, khususnya  di bahagian Sibu, beliau berkata Bukit Assek, satu daripada kawasan utama di bahagian itu akan dibangunkan secara rancak untuk menarik pelaburan dan meningkatkan ekonomi.

Beliau berkata  Lembaga Pembangunan dan  Lindungan  Tanah  (LCDA) diberi tanggungjawab  untuk menerajui tugas merombak kawasan rendah, kawasan yang ditenggelami air di Bukit Assek seluas 202.343 hektar menjadi bandar moden.

Walaupun ia bukan satu tugas yang mudah dan sudah pasti akan mengambil masa lebih sedekad untuk direalisasikan, Abang Johari berkata dengan kehendak politik yang kuat, ia boleh dilaksanakan untuk kepentingan rakyat Sibu dan Sarawak secara keseluruhan.

Beliau berkata kawasan bandar perlu terus dibangunkan walaupun pembangunan sebelum ini telah dilaksanakan memandangkan keperluan penambahbaikan dan pemodenan kemudahan seperti dalam sistem pengangkutan awam dan ke arah mewujudkan bandar pintar.

Walaupun sambutan Tahun Baharu Cina ini masih tertakluk di bawah prosedur operasi standard seperti sejak 2020, beliau berharap Tahun Harimau akan menyuntik semangat semua lapisan masyarakat untuk terus berusaha ke arah mengukuhkan perpaduan sesama mereka.

“Untuk sambutan TBC tahun ini, kita tidak boleh berkunjung seperti biasa, tetapi ini tidak menghalang kita untuk terus mengukuhkan silaturahim dan semangat saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Sumber: Bernama

Sarawak mampu jadi kuasa ekonomi digital – Abang Johari


Content Type:

Duration:

ALOR SETAR, 30 Jan — Proses pelaksanaan projek berimpak tinggi, Kedah Aerotropolis yang merangkumi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Mukim Sidam Kiri di daerah Kuala Muda berada pada tahap yang memberangsangkan, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yang bertanggungjawab mengendalikan pembangunan projek itu hampir menyiapkan konsep dan reka bentuknya sebelum dibentang untuk kelulusan kerajaan persekutuan.

“Saya telah menulis kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan beliau secara dasarnya bersetuju kerana projek ini adalah PFI (private finance initiative)…dan kalau PFI kerajaan persekutuan tidak ada halangan.

“Pertama sekali perlu kepada kelulusan kabinet dan akan dimaklumkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed yang bertanggungjawab ke atas Unit Penyelarasan Pelaksanaan dan Unit Kerjasama Awam Swasta juga kemudian akan tengok tentang projek ini,” katanya pada siding media di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal KXP AirportCity Holdings Tan Sri Dr Ir Jamilus Hussein, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif  KXP AirportCity Holdings Nur Salman Saad, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif POS Aviation Mohamad Asif Abdul Talib dan  Ketua Pegawai Eksekutif KLIA College Fakri Zaki Mohammed Darus.

Terdahulu, Muhammad Sanusi menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persafahaman (MoU) antara KXP AirportCity Holdings dengan POS Aviation dan KLIA College.

Beliau berkata semua aspek berkaitan bagi menjayakan projek itu termasuk kewangan, pengambilan tanah dan keperluan teknikal juga telah selesai atau sedang diuruskan dengan baik.

“Saya tidak nampak apa-apa halangan lagi untuk kita bergerak sama-sama menjayakan satu projek berimpak tinggi bagi Kedah yang akan memberi manfaat kepada semua negeri-negeri di utara dan kepada Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai MoU itu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi KXP AirportCity Holdings berkata POS Aviation dilantik sebagai pengendali akhir (end user) kargo udara dan operasi darat, sementara kerjasama dengan KLIA College pula berkaitan untuk melahirkan tenaga kerja yang diperlukan di Kedah Aerotropolis.

Kedah Aerotropolis yang dirangka untuk memacu transformasi ekonomi negeri ini akan dibangunkan di kawasan seluas 9,800 ekar (3,965 hektar) merangkumi pembinaan KXP selain industri sokongan termasuk Sidam Logistics, Aerospace and Manufacturing (SLAM) Hub.

Sumber: Bernama

Pelaksanaan projek Kedah Aerotropolis pada tahap memberangsangkan – Menteri Besar


Content Type:

Duration:

Cabang pelaburan kerajaan negeri Sabah, Asian Supply Base  Sdn Bhd kini menumpukan pada perluasan operasi pangkalan untuk mengembangkan kapasitinya.

Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa  berkata sudah tiba masanya untuk syarikat yang berpangkalan di Labuan ini mengembangkan saiz operasi pangkalan sedia ada yang berkeluasan 139.61 hektar memandangkan statusnya sebagai hab logistik untuk industri minyak dan gas Labuan.

“Saya optimis Asian Supply Base mempunyai rancangan pembangunan jangka panjang untuk terus membangunkan pangkalan itu bagi menampung keperluan yang kian meningkat daripada pemain industri.

“PETRONAS telah memberikan sokongan dan pengiktirafan kepada komitmen dan usaha Asian Supply Base untuk menaik taraf kemudahan di pangkalan itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat prestasi syarikat itu di sini hari ini.

Yamani berkata pasukan pengurusan Asian Supply Base sedang berusaha untuk menyelesaikan urusan tanah dengan pihak berkuasa tempatan bagi pembesaran pangkalan operasi syarikat, berikutan nilai tanah di pulau ini secara relatifnya lebih tinggi dan terhad berbanding di negeri lain.

“Asian Supply Base telah mengadakan kerjasama dengan Perbadanan Labuan sejak 2007, dan dengan hubungan yang baik, kami berharap perjanjian tanah untuk pembesaran itu dapat direalisasikan,” katanya.

Pengerusi Asian Supply Base Datuk Suhaili Abd Rahman berkata syarikat telah bersedia untuk melabur dalam usaha pembesaran itu dengan memberi tumpuan kepada meningkatkan kecekapan, kemudahan dan pengalaman pelanggan.

“Kami telah berbincang mengenai rancangan pembesaran dan mengenal pasti tanah yang sesuai untuk pembesaran…ia kini terserah kepada kerajaan terutamanya pihak berkuasa tempatan untuk membantu memudahkan urusan tanah itu.

“Dengan meningkatnya permintaan daripada pelanggan berserta prospek pertumbuhan,  tumpuan utama kami ialah bergerak ke hadapan dan seterusnya mengoptimumkan terminal semasa,” katanya.

Suhaili menambah sejak beroperasi pada 1984, syarikat  telah mewujudkan ribuan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan Labuan dan Sabah serta menyokong aktiviti perniagaan.

Sebanyak 88 syarikat antarabangsa dan domestik berkaitan minyak dan gas kini sedang beroperasi di pangkalan operasi Asian Supply Base dengan 16 daripadanya adalah kontraktor penyusunan petroleum (PAC), dan baki 71 lagi adalah kontraktor penyusunan bukan petroleum.

Sumber: Bernama

Asian Supply Base rancang kembangkan saiz operasi pangkalan dan kapasiti


Content Type:

Duration:

Kerajaan negeri Terengganu komited untuk membawa masuk lebih banyak projek loji jana kuasa solar berskala besar (LSS) untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata projek berkenaan dapat memberi hasil kepada kerajaan negeri menerusi keuntungan pajakan tanah kepada syarikat swasta selain boleh memanfaatkan kawasan tanah terbiar.

“Ini merupakan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan tanah yang tidak diguna dan terbiar, selain daripada untuk tujuan pertanian, penempatan rakyat dan perindustrian, dapat digunakan untuk penjanaan sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Projek Large Scale Solar 29.99 MWac Kenyir Gunkul Solar Sdn Bhd yang turut dihadiri Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Paka di sini, hari ini.

Katanya walaupun secara kasar kos untuk membangunkan sistem solar lebih tinggi, namun ia mampu memberi pulangan yang berlipat kali ganda kepada negara dalam bentuk pemuliharaan alam sekitar yang semakin terancam.

“Ini adalah antara langkah kerajaan untuk merangsangkan ekonomi dan juga mengurangkan jejak karbon negara dan ia juga bertujuan merancakkan  pembangunan industri pembekalan elektrik negara khususnya industri TBB,” katanya.

Sementara itu Pengarah Kenyir Gunkul Solar Sdn Bhd, Datuk Seri Ong Ah Hwa berkata pihaknya sangat berbesar hati kerana projek berkenaan menyumbang kepada inisiatif murni kerajaan dalam mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida demi memelihara lapisan ozon.

“Bagi memastikan projek ini berjalan lancar kami melabur lebih RM15 juta untuk naik taraf kondisi tanah yang asalnya adalah kawasan paya yang rendah.

“Tapak tanah ini akan dipulangkan selepas 21 tahun (tempoh pajakan) dan tapak ini kemudiannya dapat diguna pakai untuk tujuan pembangunan lain,” katanya.

Ong berkata lebih 70 peratus tenaga kerja mahir bagi projek bernilai RM180 juta itu merupakan penduduk tempatan.

“Projek solar ini dapat memberi banyak impak positif dari segi keuntungan, meningkatkan nilai tanah serta menambah peluang pekerjaan,” katanya yang berharap dapat mengambil bahagian dalam lebih banyak pembangunan projek solar di Terengganu pada masa hadapan.

Sumber: Bernama

Kerajaan Terengganu komited bawa masuk lebih banyak projek solar – Samsuri


Content Type:

Duration:

Hong Seng Consolidated Berhad (Hong Seng) melalui sayap syarikat penjagaan kesihatan, HS Bio Sdn. Bhd. (HS Bio) telah memeterai perjanjian penjualan dan pembelian (SSA) dengan pemegang saham Premiumway Development Sdn Bhd (PDSB).

Perjanjian tersebut yang melibatkan cadangan pemilikan 100 peratus kepentingan dengan nilai RM1.09 juta dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuhnya, NeoGenix Laboratoire Sdn. Bhd. (NeoGenix Lab).

Pengarah Eksekutif Hong Seng, Christopher Chan berkata, susulan daripada SSA, HS Bio bercadang untuk memiliki hartanah milik PDSB bagi membolehkan syarikat tersebut membangun dan mengembangkan operasi penjagaan kesihatan khususnya untuk meningkatkan kapasiti makmal bagi mengekang wabak Covid-19.

“Cadangan pemilikan tersebut adalah untuk membangunkan ibu pejabat HS Bio susulan daripada pelan pengembangan Kumpulan yang memerlukan kawasan pejabat yang lebih luas.

“Sepanjang cadangan pengembangan HS Bio itu untuk membangunkan perniagaan penjagaan kesihatan, adalah penting bagi Kumpulan  menyepadukan operasi anak syarikat untuk mengurus dan meningkatkan kecekapan perniagaan,” katanya yang juga Pengarah HS Bio dalam kenyataan.

Selain itu, Chan menerangkan, perluasan ruang kawasan tersebut akan membolehkan Kumpulan melalui anak syarikatnya, HS Cloud Lab Sdn. Bhd. (HS Cloud Lab) yang mengendalikan operasi platform pengurusan makmal yang menawarkan logistik kritikal dan juga penyelesaian rangkaian bekalan untuk klinik dan juga makmal yang berpotensi.

“Ia akan membolehkan HS Cloud Lab bekerjasama dengan rakan industri lain yang akan membantu mengekang pandemik Covid-19.

“Kami telah diberi amaran terhadap kemungkinan gelombang baharu wabak ke Malaysia, sehubungan itu, ini adalah masa yang terbaik untuk pemain industri bersaing sesama sendiri tetapi bertindak sebagai rakan sekumpulan untuk menggunakan kekuatan masing-masing,” jelasnya.

Sumber: Kosmo

Hong Seng meterai SSA dengan PDSB bernilai RM1.09 juta


Content Type:

Duration:

Penglibatan pemain industri perlu diperkasa, khususnya dalam usaha melatih penuntut dan lepasan kolej vokasional menepati keperluan pasaran pekerjaan selain berpotensi mewujudkan syarikat pemula niaga.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ini berikutan pemain industri memainkan peranan untuk membimbing penuntut Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang dilihat dapat menggalakkan mereka menubuhkan syarikat pemula niaga khususnya dalam bidang teknologi dan kemahiran.

“Kebanyakan mereka (lepasan) bukan setakat diambil bekerja oleh pihak industri pada peringkat awalnya, tetapi  juga berpotensi  mengembangkan kemahiran dan dalam usaha menjana pendapatan sendiri (pada masa depan).

“Mereka juga berkemungkinan besar dapat menubuhkan syarikat sendiri atau syarikat pemula niaga dalam bidang teknologi dan kemahiran,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej Vokasional Kota Tinggi dengan pemain industi tempatan, di sini hari ini.

Dr Adham berkata kerjasama pemain industri dan penuntut TVET juga dapat membantu negara mencapai Pelan Hala Tuju Ekosistem Start-up Malaysia (SUPER) yang mana MOSTI menyasarkan untuk mewujudkan 5,000 syarikat termasuk lima syarikat bertaraf ‘unicorn’ menjelang 2025.

“Sekiranya mereka memerlukan perkembangan yang lebih tinggi daripada geran, MOSTI juga ada agensi seperti Malaysia Debt Ventures Bhd, Cradle Fund Sdn Bhd untuk membantu mereka,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kementerian turut mengalu-alukan kalangan lepasan TVET untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi atau ke luar negara bagi membolehkan mereka mempunyai kemahiran tinggi.

Malah, MOSTI juga sentiasa membuat pemantauan melalui Lembaga Ahli Teknologi Malaysia (MBOT) dengan beberapa program yang boleh menjadikan mereka ini setanding dengan ahli teknologi dan juruteknik berkemahiran tinggi.

Source: Bernama

Usaha pemain industri bimbing penuntut TVET mampu wujudkan syarikat pemula – MOSTI


Content Type:

Duration:

wpChatIcon