Berita Perkhidmatan Archives - Page 17 of 24 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ekonomi digital pacu kelangsungan perniagaan

Ekonomi digital menjadi aspek penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan dalam norma baharu, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau menegaskan, elemen itu menyaksikan negara melipatgandakan usaha terutama dalam menyediakan platform pembiayaan digital, e-dagang dan ekonomi gig.

“Terima kasih kepada COVID-19 kerana dunia telah mengambil lonjakan kuantum dalam penggunaan digital dan mengubah cara kita menerima penyelesaian digital serta mewujudkan tawaran lebih baik.

“Walaupun kita bercakap tentang kewajipan untuk kepelbagaian vaksin, keperluan bagi kepelbagaian digital menjadi sama pentingnya kerana pendigitalan adalah penggerak masa kini dan masa depan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Forum Inisiatif Asia Pasifik Ketiga 2021 bertajuk ‘Prioritising innovation as the key to unlocking post-crisis growth’ hari ini.

Pada 2016, saiz ekonomi digital global bernilai AS$11.5 trilion (RM48.6 trilion), bersamaan 15.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.

Saiz ekonomi digital dijangka terus berkembang kepada 24.3 peratus menjelang 2025.

Mohamed Azmin berkata, inovasi dalam meningkatkan keupayaan teknologi dan mempercepatkan penggunaan alat digital adalah aspek penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan di rantau ini khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi.

“Inovasi kreatif adalah penting untuk menangani dan menyelesaikan banyak isu baharu yang telah muncul seperti perlindungan data, keselamatan siber dan perkhidmatan percukaian digital, apatah lagi peraturan kecerdasan buatan di samping peraturan algoritma yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata, hari ini tindakan berdasarkan iklim memacu dasar ekonomi, strategi perindustrian dan pertumbuhan baharu adalah untuk menjadi lestari.

“Tindakan kita hari ini akan menentukan masa depan generasi kita,” katanya

Mohamed Azmin berkata, menyedari tentang perkara itu, Malaysia komited Realising this, Malaysia untuk memacu kemampanan dan pemulihan inklusif seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), dengan komitmen untuk mencapai sasaran pelepasan gas rumah hijau bersih sifar, seawal menjelang 2050.

“Seterusnya, menyepadukan elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) ke dalam perniagaan adalah keperluan yang semakin meningkat yang boleh memacu penciptaan nilai jangka panjang, menggalakkan amalan perniagaan yang mampan serta menarik lebih ramai pelabur yang berdaya maju,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Ekonomi digital pacu kelangsungan perniagaan


Content Type:

Duration:

Bidang teknikal kekal relevan dan terus berkembang luas selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata untuk itu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion dalam Belanjawan 2022 untuk memperkasa bidang Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional atau TVET.

“Bidang ini sering disalah erti sebagai pilihan kedua dan hanya layak untuk individu yang kurang cemerlang dari segi pencapaian akademik. Sebenarnya, stigma itu sudah lapuk kerana graduan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan TVET, sebenarnya kian mendapat perhatian oleh majikan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2021, yang diadakan secara maya hari ini.

Ismail Sabri berkata negara kini mempunyai banyak syarikat berteraskan teknologi yang bertaraf dunia dengan majoritinya dipelopori warga profesion teknikal.

Justeru itu, Perdana Menteri berkata peluang pekerjaan berkaitan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan TVET amat cerah dan tidak seharusnya dilepaskan oleh Keluarga Malaysia terutamanya golongan muda.

Beliau berkata peluang berkenaan adalah hasil perancangan teliti yang dilakukan kerajaan sejak 2013 bermula dengan pengenalan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara yang menggalakkan penggunaan teknologi termaju bagi melahirkan tenaga kerja profesional teknikal mahir dan berketerampilan.

Katanya, sehingga tahun ini, Malaysia telah mempunyai sejumlah 203,966 keanggotaan berdaftar dalam pelbagai bidang kemahiran berkaitan profesion teknikal.

Ismail Sabri berkata pelbagai inisiatif dan strategi yang berkait rapat dengan bidang teknikal telah diketengahkan kerajaan melalui dasar-dasar yang komprehensif dan holistik, yang mengambil kira pelbagai pandangan dan nasihat pakar.

Pandangan dan nasihat berkenaan meliputi daripada Kementerian Kerja Raya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan agensi teknikal negara iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata pandangan daripada pihak swasta dan juga penggiat industri turut tidak diketepikan.

“Ia bertujuan bagi memastikan bidang teknikal negara kekal mampan dan berdaya saing. Seiring dengan era Revolusi Industri 4.0, ekonomi global juga sedang giat mengalami transformasi melalui pencapaian baharu teknologi yang merentasi alam fizikal, digital dan biologi.

“Kemunculan teknologi baharu seperti automasi, robotik, kecerdasan buatan (A-l), Mesin ke Mesin (M-2-M) dan internet benda (l-o-T) mengubah cara dunia beroperasi,” katanya.

Ismail Sabri berkata bagi memastikan negara tidak ketinggalan dengan arus perubahan dan ledakan teknologi, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara.

Dasar berkenaan merupakan inisiatif yang melambangkan aspirasi kerajaan mentransformasi Malaysia ke arah pembangunan sosio-ekonomi negara yang inklusif dan mampan, berpacukan pendigitalan, seterusnya menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Beliau berkata dasar itu juga menyokong dasar-dasar pembangunan negara seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan melengkapi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

“Amat jelas di sini, inisiatif dan dasar yang saya sebutkan amat signifikan dengan semua lapisan profesion teknikal negara.

“Warga profesion teknikal berperanan penting untuk bersama-sama mengembleng tenaga ke arah menggerakkan negara dan melangkaui aspirasi rakyat dalam semua bidang pembangunan teknikal seperti kejuruteraan, kesihatan, penyelidikan, pendidikan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan sebagainya, bertepatan dengan tema sambutan HPTN 2021 iaitu ‘Menggerakkan Negara Melangkaui Aspirasi’,” katanya.

Ismail Sabri turut menyambut baik hasrat Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali yang mahu mencapai perkhidmatan awam berprestasi tinggi melalui pemimpin yang berkepakaran, berinovasi dan berani menghadapi cabaran bersandarkan nilai integriti, akauntabiliti dan ketelusan.

Justeru itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada warga profesion teknikal untuk mengisi jawatan strategik dan pembuat dasar negara, yang secara tradisinya diisi oleh golongan pengurusan, dalam merealisasikan perkhidmatan awam berprestasi tinggi.

“Saya yakin hasrat ini dapat direalisasikan kerana Malaysia mempunyai ramai bakat yang telah diiktiraf di pentas antarabangsa seperti Cik Fakhirah Khairuddin, Jurutera Mekanikal TESLA Inc. Amerika Syarikat dan Encik Mohammad Ruhaidi Abdul Rashid Jurutera Struktur, Pakar Rekabentuk dan Pengurus Kanan Teknikal di BMW Motorsport Jerman,” katanya.

Bagi sektor awam, Perdana Menteri berkata Malaysia juga boleh berbangga dengan agensi teknikal kerajaan seperti JKR, yang banyak berjasa kepada pembangunan infrastruktur negara dengan melaksanakan lebih RM500 bilion projek pembangunan infrastruktur sejak ditubuhkan pada 1872.

Antaranya adalah mempelopori penggunaan ‘Building Information Modeling’ (B-I-M), ‘I-Supervision’ dan e-Perolehan dalam pelaksanaan projek.

“Ini pastinya sebagai pemangkin serta ‘enabler’ kepada pelaksanaan teknologi IR4.0 yang berimpak tinggi seperti ‘3D Printing’, ‘I-o-T’, ‘Big Data’, ‘Virtual Reality’ dan ‘Augmented Reality’,” katanya.

Ismail Sabri berkata perkembangan global terkini khususnya IR4.0 yang berpaksikan kepada teknologi terkini dan menyasarkan persekitaran industri, ekonomi dan kehidupan yang lebih pantas, pintar dan dinamik, memerlukan negara memastikan para pekerja bidang teknikal dilengkapi dengan kemahiran terkini secara ‘upgrade’ dan ‘upscaling’, berdasarkan perkembangan teknologi dan keperluan industri masa hadapan.

Katanya, Malaysia juga perlu realistik dengan kemampuan generasi muda untuk diberikan pendedahan dan menyumbang kepakaran teknikal ke pentas antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama negara seantero dunia.

“Kerajaan bertekad mengukuhkan iltizam menjadikan Malaysia sebuah negara membangun seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Sumber: Bernama

Bidang teknikal kekal relevan, berkembang selari IR4.0 – PM


Content Type:

Duration:

Bridge Data Centres (BDC) yang berpangkalan di Singapura telah mengumumkan pembinaan kampus pusat data skala hiper keempatnya (MY06) di Johor yang akan melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM2.5 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam satu kenyataan, anak syarikat Chindata Group itu berkata syarikat itu telah menetapkan Fasa 1 projek itu akan dilaksanakan menjelang akhir tahun 2022 dengan Fasa 2 dijangka siap tidak lama lagi.

Ia berkata strategi pembangunan BDC bertujuan untuk menghubungkan semua pusat data Kumpulan Chindata menggunakan sambungan gentian optik, menghubungkan dengan Stesen Pendaratan Kabel Malaysia untuk meningkatkan capaian sambungan global.

Kampus skala hiper yang berkeluasan 16.19 hektar itu akan beroperasi pada kapasiti gabungan 100 MW IT di kawasan Kidex Sedenak di Lembah Teknologi Sedenak.

Ketua Pengarah Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata ruang pusat data itu adalah penting daripada segi ekonomi kepada transformasi Malaysia ke arah negara digital termaju, membuka jalan kepada perniagaan moden.

“Program Digital First dengan matlamat meningkatkan penggunaan pengkomputeran awan dalam sektor awam yang diumumkan sebagai sebahagian daripada Bajet 2022, menunjukkan keperluan pusat data sebagai kunci kepada transformasi digital,” katanya.

Komitmen BDC adalah bukti kukuh dan keyakinan terhadap kedudukan negara untuk menjadi hab pusat data serantau, katanya.

Selain itu, Arham berkata MIDA dengan  Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)  melalui Pejabat Pelaburan Digital akan meneruskan usahanya dalam melakukan transformasi dalam  kluster ekonomi baharu dan sedia ada sebagai pemboleh digital, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, menggalakkan peningkatan kemahiran digital tenaga kerja dan perniagaan tempatan.

Seiring dengan aspirasi kerajaan di seluruh negara untuk mencapai 50 peratus penggunaan awan melalui pusat data awan untuk penggunaan 5G menjelang tahun 2024, BDC komited untuk melabur dalam ekonomi pusat data yang sedang berkembang yang dijangka berkembang dengan ketara di rantau ini.

Bridge Data Centres (BDC) yang berpangkalan di Singapura telah mengumumkan pembinaan kampus pusat data skala hiper keempatnya (MY06) di Johor yang akan melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM2.5 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam satu kenyataan, anak syarikat Chindata Group itu berkata syarikat itu telah menetapkan Fasa 1 projek itu akan dilaksanakan menjelang akhir tahun 2022 dengan Fasa 2 dijangka siap tidak lama lagi.

Ia berkata strategi pembangunan BDC bertujuan untuk menghubungkan semua pusat data Kumpulan Chindata menggunakan sambungan gentian optik, menghubungkan dengan Stesen Pendaratan Kabel Malaysia untuk meningkatkan capaian sambungan global.

Kampus skala hiper yang berkeluasan 16.19 hektar itu akan beroperasi pada kapasiti gabungan 100 MW IT di kawasan Kidex Sedenak di Lembah Teknologi Sedenak.

Ketua Pengarah Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata ruang pusat data itu adalah penting daripada segi ekonomi kepada transformasi Malaysia ke arah negara digital termaju, membuka jalan kepada perniagaan moden.

“Program Digital First dengan matlamat meningkatkan penggunaan pengkomputeran awan dalam sektor awam yang diumumkan sebagai sebahagian daripada Bajet 2022, menunjukkan keperluan pusat data sebagai kunci kepada transformasi digital,” katanya.

Komitmen BDC adalah bukti kukuh dan keyakinan terhadap kedudukan negara untuk menjadi hab pusat data serantau, katanya.

Selain itu, Arham berkata MIDA dengan  Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)  melalui Pejabat Pelaburan Digital akan meneruskan usahanya dalam melakukan transformasi dalam  kluster ekonomi baharu dan sedia ada sebagai pemboleh digital, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, menggalakkan peningkatan kemahiran digital tenaga kerja dan perniagaan tempatan.

Seiring dengan aspirasi kerajaan di seluruh negara untuk mencapai 50 peratus penggunaan awan melalui pusat data awan untuk penggunaan 5G menjelang tahun 2024, BDC komited untuk melabur dalam ekonomi pusat data yang sedang berkembang yang dijangka berkembang dengan ketara di rantau ini.

Sumber: Bernama

Bridge Data tubuh kampus pusat data skala hiper di Malaysia


Content Type:

Duration:

Keseluruhan ekonomi internet Malaysia dijangka mencapai US$21 billion (US$1=RM4.20) dalam Nilai Dagangan Kasar (GMV) tahun ini, dan diunjur mencecah US$35 bilion menjelang 2025, demikian menurut edisi terkini Laporan e-Conomy SEA.

Laporan oleh Google, Temasek dan Bain & Company itu mengetengahkan pertumbuhan yang dicatatkan di semua sektor ekonomi internet negara.

Laporan bertajuk e-Conomy Southeast Asia (SEA) Report-Roaring ’20s: The SEA Digital Decade, menampilkan pandangan baharu mengenai ekonomi internet bagi enam negara di Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, dan Vietnam.

Dalam satu kenyataan hari ini, pengarah urusan Google Malaysia Marc Woo berkata meskipun terdapat sekatan pergerakan, perniagaan telah beralih kepada platform digital untuk terus bertahan dan ramai yang menjangka untuk meningkatkan penggunaan peralatan digital dalam tempoh lima tahun akan datang.

“GMV 2021 Malaysia dijangka mencecah US$35 bilion menjelang 2025 dan kami telah melihat bagaimana pandemik ini telah membawa kepada peralihan kekal dalam penggunaan digital di Malaysia dengan 81 peratus daripada semua pengguna internet kini menggunakan perkhidmatan digital.

“Pertumbuhan kukuh yang kami lihat ini menggalakkan, dan dengan inisiatif seperti MyDIGITAL untuk mentranformasikan negara menjadi sebuah negara yang dipacu secara digital dan peneraju ekonomi digital serantau menjelang 2030, ia mengukuhkan komitmen kami untuk membentuk ekonomi digital yang adil, selamat dan inklusif yang akan menyediakan peluang ekonomi untuk generasi masa kini dan masa depan dalam misi kami untuk bersama-sama memajukan Malaysia,” katanya.

Laporan ini merangkumi tujuh aliran sektor ekonomi internet: lima sektor terkemuka yang terdiri daripada e-dagang, pengangkutan & makanan, perjalanan dalam talian, media dalam talian, dan perkhidmatan kewangan digital, serta dua sektor yang terdiri daripada teknologi kesihatan (healthtech) dan edtech.

“Bersama-sama dengan seluruh rantau ini, Malaysia bergerak ke arah corak hidup baharu kerana pandemik ini telah membawa kepada peralihan kekal dalam memanfaatkan penggunaan digital.

“Pertumbuhan mendadak 47 peratus dalam pasaran digital Malaysia daripada US$14 bilion pada 2020 kepada US$21 bilion pada 2021 didorong oleh lonjakan ketara 68 peratus dalam e-dagang, yang dijangka meningkat kepada US$19 bilion menjelang 2025,” kata laporan itu.

Sektor pengangkutan dan makanan dan media dalam talian juga mencatatkan pertumbuhan dua digit masing-masing pada 35 dan 14 peratus, tambahnya.

Sumber: Bernama

Ekonomi internet Malaysia diunjur cecah US$21 bln GMV bagi tahun 2021 – Laporan


Content Type:

Duration:

Proton Holdings Bhd (Proton)  akan bekerjasama dengan Maxis bagi kes penggunaan teknologi 5G yang merangkumi pelbagai penyelesaian tertumpu untuk meningkatkan kilangnya di Tanjung Malim, Perak menerusi pemasangan rangkaian bermula Oktober 2021.

Dalam kenyataan bersama hari ini, pengeluar kereta nasional dan syarikat telekomunikasi itu  berkata perkongsian terbabit adalah sebahagian daripada strategi pertumbuhan Proton dalam pembangunan Proton City sebagai model bandar pintar menerusi alatan dan sistem terkini serta sejajar dengan komitmen Maxis untuk menyampaikan inovasi dan penyelesaian 5G terbaik bagi perusahaan.

“Kes penggunaan itu akan bergantung kepada rangkaian 5G yang dibina khas dan Maxis akan menguruskan perkhidmatan secara menyeluruh untuk beberapa penyelesaian internet benda (IoT) di ibu pejabat pembuatan Proton di Tanjung Malim,” katanya.

Menurutnya, penyelesaian itu termasuk sistem Keselamatan Pintar bagi menjejak dan memastikan keselamatan model kereta dihasilkan dari kilang pengeluaran dan sistem sokongan serta penyelenggaraan Realiti Terimbuh/Realiti Maya untuk jurutera Proton berkomunikasi dengan rakan kongsi antarabangsa dalam masa nyata.

“Inovasi yang menggunakan teknologi 5G pada akhirnya akan memenuhi visi Proton untuk membina Kampus Pembuatan Pintar melalui pemindahan data berkelajuan tinggi dan kependaman rendah serta memberikan mobiliti lebih baik.

“Ia juga akan memberi kebolehpercayaan dan ketersambungan yang lancar untuk komunikasi awam dan swasta, pemantauan keselamatan, pencahayaan pintar dan bangunan pintar,” katanya.

Menurut Proton, teknologi 5G itu akan membolehkannya melanjutkan penyelidikan dan pembangunan dalam teknologi kenderaan selular-untuk-kesemua  (CV2X) yang membolehkan pengeluar automotif itu mereka bentuk dan membina kenderaan autonomi kalis masa depan yang kukuh.

Sumber: Bernama

Proton, Maxis bekerjasama bagi kes penggunaan 5G di kilang Tanjung Malim


Content Type:

Duration:

Peruntukan kerajaan negeri di bawah Agenda Johor Digital menerusi Belanjawan Johor 2022  bakal meletakkan Iskandar Puteri sebagai hab utama pembangunan teknologi dron dan robot, inovasi, pembangunan bakat dan teknologi digital.

Presiden dan Ketua Eksekutif Iskandar Investment Bhd (IIB) Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad berkata peruntukan tersebut akan terus memacu pembangunan hab digital dan bakat di Iskandar Puteri serta menarik pelaburan berimpak tinggi dan bakat berkemahiran tinggi ke Johor.

“Johor memerlukan ekosistem digital bersepadu untuk menghubungkan kerajaan dengan perniagaan dan pengguna bagi memastikan pembangunan wilayah Iskandar Malaysia dapat direncanakan dengan strategik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengenai Belanjawan Johor 2022, beliau berkata IIB menyambut baik peruntukan RM2.3 juta untuk Young Drone Pilot Programme yang turut menyasarkan 10,000 peserta.

Dalam usaha untuk membangunkan dan melaksanakan ekosistem teknologi berasaskan IR4.0 dan menyokong Wawasan 2030 Johor, IIB turut melancarkan Iskandar New Economy Experience Talent (Iskandar NEXT) pada Oktober 2020, yang diharapkan dapat membawa ekonomi digital, perniagaan dan bakat baharu ke Iskandar Malaysia.

IIB turut mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM2.2 juta yang bakal disalurkan melalui insentif Digital Johor Startup Grant untuk syarikat baru bakal beroperasi di Medini Iskandar Malaysia.

“Sehingga 100 syarikat disasarkan untuk menerima geran ini dalam tempoh dua tahun akan datang untuk menjadi pemacu pelaksanaan program komuniti di Common Ground Iskandar Space (CGIS) mulai Januari 2022 – ruang kerja bersama pertama di Johor.

“CGIS, yang menjurus ke arah membina komuniti “digitech”, menyediakan landasan untuk syarikat permulaan digital serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di pinggir bandar Medini,” katanya.

Turut disambut baik ialah inisiatif pembangunan bakat dan teknologi digital di Johor dan Geran Pekerjaan Iskandar Malaysia (IMEG) sebanyak RM4 juta yang dilaksanakan mengikut konsep keperluan tenaga kerja industri sektor ekonomi utama, kata Khairil Anwar.

Pada Ogos lepas, program Bakat Digital dan Teknologi Baru  Muncul  Johor (JDETT) telah dilancarkan bagi mengembang, memupuk dan melahirkan bakat menyokong sektor teknologi di wilayah Iskandar Puteri.

Menurut Khairil Anwar, inisiatif itu dilaksanakan bagi mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi melalui kerjasama kerajaan negeri Johor dan Persekutuan, selain disokong oleh industri, bakat, latihan dan rakan pembiayaan. Selain itu, inisiatif pembangunan modal insan oleh IIB iaitu Perantis Iskandar telah diwujudkan untuk mendidik dan membangunkan bakat teknikal di EduCity.

Sumber: Bernama

Iskandar Puteri bakal jadi hab utama pembangunan bakat, teknologi digital


Content Type:

Duration:

Kerajaan telah memutuskan Sarawak sebagai antara negeri terawal diberi keutamaan dalam perancangan pelaksanaan rangkaian 5G yang dijangka bermula tahun hadapan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Sehubungan itu, katanya, Sarawak telah menjadi keutmaan tinggi dalam Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

Jelas beliau, langkah ini diambil kerana melihat kedudukan Sarawak yang strategik dari sudut geopolitik dan kesalinghubungan (connectivity).

“Dalam keadaan geopolitik yang baru, kita lihat bagaimana kedudukan Kepulauan Borneo keseluruhannya menjadi satu kawasan strategik. 

“Indonesia juga memindahkan ibu negara mereka ke Borneo dan Kerajaan juga berhasrat untuk menjadikan Sarawak dan Sabah sebagai negeri yang diberikan keutamaan tinggi di dalam perancangan ini.

“Dalam konteks hubungan internet, kedudukan Sarawak sekali lagi menjadi yang paling strategik, ini tertmasuk akan datang dalam pembangunan kabel dasar laut.

“Satu daripada kabel yang sedang dirancang masa akan datang adalah melalui kawasan Sarawak dan Sarawak dikenal pasti sebagai satu daripada titik pendaratan kerana kedudukannya yang strategik” katanya pada sidang media setelah menghadiri Jelajah Komunikasi Strategik di Tanjung Manis, hari ini.

Di samping itu, katanya, Sarawak juga mempunyai penjanaan bekalan elektrik mesra alam yang sangat diperlukan terutama sekali dberkaitan dengan pusat data untuk kegiatan-kegiatan ‘clouds computing’ dan sebagainya.

Oleh itu, dalam perancangan pelaksanaan 5G,  Kerajaan telah memutuskan Sarawak antara negeri yang paling awal akan menerima pelaksanaan ini mulai pada tahun hadapan untuk fasa 30 peratus pertama kawasan berpenduduk dengan 5G.

“Ini bermakna kita perlu membuat persiapan untuk melengkapkan 4G, walaupun kita utamakan 5G, tetapi asasnya adalah juga kepada prasarana 4G. 

“Jadi, di sinilah program JENDELA yang sedang kita laksanakan pada Fasa 1 dan 2 yang akan dilaksanakan tidak lama lagi. Fasa 1 dan 2, kedua-duanya fokus utama adalah untuk negeri Sarawak.

“Lebih dari RM3 bilion untuk Sarawak sahaja. Ini adalah satu agenda besar, kerana Sarawak negeri yang unik dan besar, kemudian taburan penduduknya meluas,” katanya.

Sehubungan itu, menerusi semua dasar dan perancangan tersebut, semua kawasan penempatan penduduk dalam Sarawak haruslah tersambung dengan rangkaian jalur lebar, katanya lagi.

“Jadi kalau dapat kita bekalkan talian tetap atau rangkaian optik gentian. Bagi (kawasan) yang tidak ada rangkaian optik gentian, kita guna satelit, teknologi satelit terkini juga akan dibawa ke Sarawak. 

“‘Fiberisation’ di bawah titik kehadiran atau PoP yang sedang kita jalankan fasa satu dan fasa dua, tak berapa lama lagi juga tumpuannya Sarawak,” katanya.

Oleh kerana penyediaan prasarana dengan pelaburan yang besar ini, tegasnya, adalah penting mendapat penyertaan daripada rakyat di kawasan terlibat.

Sumber: Utusan Borneo

Pelaksanaan rangkaian 5G di Sarawak mulai tahun hadapan


Content Type:

Duration:

Kerajaan akan menubuhkan Majlis Ekonomi Digital dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negeri untuk mengharmonikan pelan pembangunan digital di peringkat pusat dan negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata majlis tersebut berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR Negara.

Beliau berkata penubuhan majlis itu telah dipersetujui oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Okt, 2021.

Majlis ini juga akan memastikan kualiti ketersambungan digital dan akses kepada internet berada pada tahap yang terbaik untuk manfaat rakyat.

“Pendigitalan amat penting untuk pemulihan ekonomi akibat COVID-19 dan kemampanan ekonomi. Majlis Ekonomi Digital dan Dasar 4IR Negeri amat penting untuk pusat dan negeri dapat bergerak seiring mencapai sasaran Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya beliau yang akan mempengerusikan majlis tersebut dan dianggotai oleh exco-exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab dalam portfolio digital akan mengadakan mesyuarat pertama dalam masa terdekat.

Beliau berkata majlis itu akan turut menjadi platform untuk berkongsi idea dan pengalaman mengenai pembangunan digital di negeri masing-masing kerana ada di antaranya telah mempunyai perancangan yang teliti untuk masa depan.

Dalam pada itu, Unit Perancang Ekonomi (EPU) mengadakan siri jerayawara RMK-12 bersama kerajaan negeri Perak hari ini untuk menghebahkan dasar, strategi dan inisiatif RMK12 kepada semua pihak berkepentingan di peringkat negeri.

EPU telah mengadakan 11 siri jerayawara bersama kerajaan negeri termasuk bersama kerajaan negeri Perak dan satu sesi libat urus bersama ahli akademik, kumpulan pemikir dan wakil industri.

Mustapa berkata infrastruktur digital di Perak sedang ditambah baik melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilaksanakan bermula tahun 2020 hingga 2022.

Sehingga suku keempat 2021, JENDELA di negeri tersebut telah membina 176 buah menara baharu bagi memperluas liputan 4G dan sehingga kini, sebanyak 46 menara baharu telah siap dibina.

Selain itu, menaik taraf 1,882 stesen pemancar untuk liputan 4G dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,596 stesen telah dinaik taraf.

Sebanyak 252,475 premis akan menerima capaian gentian optik dan sebanyak 107,944 premis telah menerima capaian gentian optik manakala 73 buah perkampungan Orang Asli sedang dalam pelaksanaan untuk menerima liputan jalur lebar satelit tanpa wayar.

Sumber: Bernama

Kerajaan tubuh Majlis Ekonomi Digital dan Dasar 4IR Negeri bagi harmonikan pelan pembangunan digital


Content Type:

Duration:

Sime Darby Bhd menubuhkan pasukan petugas khas mobiliti bagi meneroka peluang baharu sektor automotif dengan pelaburan kira-kira RM42 juta setakat ini dalam syarikat pemula niaga mobiliti.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Jeffri Salim Davidson, berkata dorongan Sime Darby ke arah mobiliti adalah ‘enjin kedua’ kepada ‘enjin pertama’ Sime Darby Motors, yang terus diperkuatkan sehingga mencapai potensi sepenuhnya.

Enjin pertama merujuk kepada perniagaan permotoran sedia ada kumpulan itu yang terus diperkukuhkan, manakala enjin kedua berkaitan dengan strategi yang menumpukan masa depan untuk memanfaatkan aliran mobiliti baharu.

“Kami sudah membangunkan strategi mobiliti sebagai sebahagian daripada usaha kami dalam merevolusikan dan mengubah bahagian permotoran kami untuk bersedia bagi sektor automotif masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jeffri berkata, pelaburan terbaharu Sime Darby sebanyak RM42 juta dalam syarikat perkongsian kenderaan SOCAR dan platform kenderaan terpakai dalam talian CARRO memperlihatkan cita-citanya untuk berkembang dalam mobiliti.

“Sejak 2018, Sime Darby bekerjasama dengan SOCAR dalam penjualan kereta baharu dan kereta terpakai, pengurusan armada dan perkhidmatan selepas jualan mudah alih, selain bekerjasama dengan CARRO sejak 2020 dalam ekosistem kereta terpakai dan pajakan kenderaan di Malaysia dan Singapura,” katanya.

Beliau juga berkata, pelaburan ini adalah penting dalam mengembangkan perniagaan melangkaui pengedar tradisional dan dalam menerima model pemilikan alternatif selain untuk memanfaatkan potensi pertumbuhan yang kukuh dalam industri perkongsian kereta di rantau ini.

“Pelaburan kami dalam syarikat pemula niaga ini adalah strategik dan simbiotik. Ia datang selepas kami menghabiskan satu atau dua tahun kebelakangan ini dalam kerjasama untuk beberapa bidang bagi melihat bagaimana kami boleh memanfaatkan kekuatan satu sama lain,” tambahnya.

Sumber: Bernama

Sime Darby tubuh pasukan khas mobiliti


Content Type:

Duration:

Straits Ener­gy Resources Berhad (Straits Energy) telah memeterai memorandum persefahaman dengan Baicells Technologies Co., Ltd (Baicells).

Kerjasama tersebut bertujuan untuk memacu peluang perniagaan komunikasi rangkaian tanpa wayar yang semakin berkembang bagi pelancaran 4G dan 5G serta transformasi digital industri minyak dan gas (O&G) melalui internet kebendaan (IoT) di Malaysia dan serantau.

Baicells adalah syarikat antarabangsa, menyediakan penyelesaian akses NR 4G LTE dan 5G inovatif teknikal yang menghubungkan lebih 50 negara di seluruh dunia.

Pengarah Urusan Kumpulan Straits, Datuk Seri Ron Ho Kam Choy berkata, pihaknya teruja dengan kerjasama tersebut untuk meneroka dan memanfaatkan potensi perniagaan yang besar dalam ruang pelancaran 4G dan 5G serta IoT di Malaysia dan serantau.

Menurutnya, ekonomi dan teknologi digital akan menjadi tulang belakang kepada perkembangan ekonomi negara dan Straits sedang mengge­rakkan sumber dengan pantas untuk mengembangkan arena digital yang luas ini dalam pelancaran teknologi 4G dan 5G dan juga dalam transformasi digital industri minyak dan gas.

“Melalui infrastruktur dan rangkaian perniagaan sedia ada, kami optimis bahawa syarikat boleh menyumbang kepada proses pendigitalan berterusan bagi kedua-dua sektor awam dan swasta dengan sokongan kukuh Baicells dan rakan kerjasama lain,” katanya dalam kenyataan.

Sumber: Kosmo

Straits Energy meterai MoU dengan Baicells


Content Type:

Duration:

Kerajaan akan memperkenalkan MSC 2.0 dengan penjenamaan serba baharu dan akan ditambah baik bagi tujuan menangani jurang digital sedia ada, mendepani cabaran dan kekangan semasa serta meningkatkan tawaran nilai Malaysia dalam menarik lebih banyak pelaburan digital ke seluruh negara.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, usaha ini adalah sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Katanya keputusan tersebut diambil menerusi mesyuarat keempat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

“Selama 25 tahun, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menerusi inisiatif MSC Malaysia telah berjaya meningkatkan sumbangan ekonomi digital dari sifar peratus kepada lebih 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat 31 Dis 2020, beliau berkata MSC Malaysia telah membantu negara meraih pelaburan berjumlah lebih RM384 bilion dan pendapatan berjumlah RM588 bilion.

Mustapa berkata negara telah berkembang menjadi kuasa ekonomi digital global dengan berada pada kedudukan tiga terbaik dalam Indeks Lokasi Perkhidmatan Global oleh Kearney sejak 2004 menerusi inisiatif ini.

“Oleh itu, usaha mendigitalkan ekonomi rakyat dan merakyatkan ekonomi digital akan diteruskan,” katanya.

Selain itu, katanya kerajaan berpuas hati dengan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mengikut jadual di mana sebanyak 6.427 juta premis mendapat liputan gentian optik, purata kelajuan jalur lebar mudah alih ditingkatkan kepada 31.34 Mbps dan liputan 4G meningkat kepada 94.03 peratus di kawasan berpenduduk sehingga suku ketiga 2021.

“Rangkaian 5G di seluruh Malaysia akan dilaksanakan secara agresif bertujuan mencapai sasaran liputan 80 peratus di kawasan berpenduduk menjelang 2024 bagi memastikan negara kembali setanding dengan negara-negara jiran dalam masa terdekat,” katanya.

Bagi mendorong adaptasi teknologi digital oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Mustapa berkata MyDIGITAL Corporation akan menganjurkan Program Pemerkasaan Pendigitalan PMKS Kebangsaan 2021 pada 21 hingga 23 Nov 2021.

Katanya program ini diadakan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, MDEC, MCMC serta agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan.

“Majlis pelancaran akan dirasmikan di Bera, Pahang oleh Perdana Menteri. Program ini diadakan untuk berkongsi maklumat mengenai pakej rangsangan atau sokongan yang disediakan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri, pihak swasta, serta berkongsi pengalaman usahawan yang telah mencapai kejayaan daripada bantuan-bantuan tersebut,” katanya.

Mustapa berkata mesyuarat tersebut memutuskan bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui agensi Cradle Fund Sdn. Bhd menyelaras dan memantau pelaksanaan Malaysia Startup Ecosystem Roadmap (SUPER) 2021-2030 melalui platform MYStartup dalam usaha meletakkan Malaysia pada kedudukan 20 teratas dalam ekosistem pemula niaga global menjelang 2030.

Selain itu, beliau berkata pencapaian inisiatif MyDIGITAL akan dijadikan sebagai indeks petunjuk prestasi utama (KPI) untuk menteri-menteri dan ketua jabatan selaras dengan kepentingan ekonomi digital.

Sumber: Bernama

MSC 2.0 akan diperkenalkan bagi menarik lebih banyak pelaburan digital – Mustapa


Content Type:

Duration:

Peninsula Higher Education (PHE) Sdn Bhd dan Bosch Rexroth Sdn Bhd telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi menubuhkan pusat latihan kemahiran yang diperakui Bosch di seluruh Malaysia.

Pengarah PHE Sdn Bhd Datuk Seri Michael Tio berkata dalam lima tahun akan datang, PHE akan melabur RM10 juta bagi menubuhkan makmal canggih bagi kursus kejuruteraan yang akan dimulakan di Kampus The Ship di sini di Batu Kawan, dengan makmal pertama disasarkan tersedia pada Jun 2022.

Beliau berkata pusat itu akan menawarkan kursus mekatronik dan penawaran kursus akan dikembangkan berdasarkan permintaan dan sumbangan daripada peneraju industri yang lain.

“Saya faham kepentingan kursus kejuruteraan di Batu Kawan … permintaan sangat tinggi, terdapat ketidakpadanan antara penghasilan pelajar kejuruteraan dan permintaan industri terutamanya apabila Pulau Pinang dikenali sebagai Lembah Silikon Timur,” katanya selepas majlis menandatangani MoU itu di Kampus The Ship PHE di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedang mencari peralatan latihan bukan sahaja untuk menghasilkan siswazah yang relevan dengan Industri 4.0 tetapi turut menyediakan latihan kepada pekerja dalam industri.

Tambahnya untuk tahun pertama kerjasama itu, kira-kira 600 pelajar dari kolej berkenaan serta pekerja industri akan mengikuti program sijil profesional yang relevan bagi Industri 4.0.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bosch Rexroth di ASEAN dan Oceania Michel Gunawan berkata Bosch Rexroth akan menyediakan blok binaan pusat itu, termasuk peralatan latihan, sokongan teknikal serta Sistem Mekatronik Modularnya (mMS4.0), yang merupakan sukatan pelajaran yang disesuaikan dengan pasaran tempatan.

“Rexroth telah membangunkan mMS4.0 untuk universiti dan institusi pendidikan yang merupakan sistem latihan untuk I4.0, yang mana kandungan boleh diajar secara praktikal. Ia menggabungkan semua fungsi sistem pengeluaran yang lengkap, termasuk logistik,” katanya dalam ucapannya hari ini.

Sumber: Bernama

PHE labur RM10 juta tubuhkan pusat latihan diperakui Bosch di Malaysia


Content Type:

Duration:

Permintaan terhadap pusat data dan segmen aset logistik dijangka kekal tinggi pada masa hadapan, didorong oleh persekitaran bekerja dari rumah (WFH), pembelajaran jarak jauh dan letusan perniagaan e-dagang di tengah-tengah pandemik COVID-19, kata pengarah urusan kumpulan Coldwell Banker Richard Ellis (CBRE) Malaysia, Foo Gee Jen.

Beliau berkata permintaan untuk pusat data telah berkembang dengan pesat sepanjang tahun berikutan keperluan pelajar seperti pembelajaran jarak jauh dan persekitaran WFH, manakala e-dagang telah mencatatkan pertumbuhan signifikan dalam pasaran runcit global, yang akan memberi kesan limpahan kepada pembangunan pusat-pusat logistik.

“Semasa pandemik dan juga pertumbuhannya sepanjang lima tahun lepas, e-dagang telah disifatkan sebagai “bright spot” industri.

“Pasaran runcit global berkembang lebih daripada 140 peratus menjelang 2020, meningkat daripada 8.0 peratus pada 2015. Justeru, kami menjangka ia akan melonjak lebih jauh dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya semasa webinar amanah pelaburan hartanah (REIT) serantau Pacific Trustees bertajuk “Movers and Shakers in Malaysia, Singapore, Hong Kong and China – What to look out for in 2022?.

CBRE ialah firma perkhidmatan dan pelaburan hartanah komersial Amerika.

Menurut Foo, segmen hartanah Malaysia juga akan mengalami pertumbuhan yang sama, dengan negara mempunyai kira-kira RM6.3 bilion perniagaan e-dagang dalam talian, yang dijangka berkembang kepada kira-kira RM11 bilion menjelang 2025, disokong oleh industri fesyen, elektronik, media, mainan dan lain-lain industri.

“Ia (e-dagang) telah mempercepatkan permintaan untuk pembangunan logistik di Asia. Tetapi saya ingin mengingatkan mengenai hala tuju pembangunan logistik di Malaysia dalam bergerak ke hadapan. Kami menjangkakan menjelang 2024, seluas 5.5 juta kaki persegi lagi (kaki persegi) lagi pusat logistik akan dibangunkan dan memasuki pasaran dalam tempoh tersebut.

“Kami menjangkakan pasaran memerlukan kira-kira 4-5 juta kaki persegi menjelang 2024. Jadi kebimbangannya ialah, adakah akan berlaku lebihan pusat logistik? Ini sangat bergantung pada seberapa pantas pertumbuhan e-dagang antara tahun ini dan tahun hadapan serta sehingga 2024.

“Melihat pada situasi pandemik semasa, mungkin permintaan akan terus melonjak dan kita masih hidup dengan persekitaran COVID-19 untuk beberapa tahun akan datang sehingga semuanya selesai. Sudah pasti, saya berpendapat pada masa itu permintaan akan memerlukan lebih banyak perkhidmatan logistik dan perkhidmatan penghantaran yang lain,” tambahnya.

Foo bagaimanapun, menekankan bahawa Malaysia sedikit terlewat dalam menarik pengendali pusat data berbanding negara jirannya, Indonesia.

“Indonesia menyaksikan lonjakan pusat data berskala besar dalam tempoh dua tahun lepas, dan bagi Singapura, pusat data menyumbang empat peratus kepada REIT, manakala pusat data masih belum menyumbang kepada REIT Malaysia,” katanya.

Sementara itu, ketika membandingkan Malaysia dengan Singapura, Foo berkata terdapat 40 REIT di Singapura yang menyumbang 12 peratus kepada Bursa Singapura, manakala bagi Malaysia, terdapat 18 REIT dan ia membentuk dua peratus daripada permodalan pasaran Bursa Malaysia.

Permodalan pasaran REIT Singapura bernilai US$82 bilion, sementara permodalan pasaran REIT Malaysia adalah US$9 bilion.

Sumber: Bernama

CBRE M’sia unjur permintaan tinggi untuk pusat data, aset logistik


Content Type:

Duration:

Kerajaan Sarawak dalam usaha memperkukuh infrastruktur losgistiknya seiring dengan pembangunan ekonomi digital global, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata ini penting kerana pembangunan ekonomi digital, terutama e-dagang memerlukan sistem logistik yang cekap bagi tujuan penghantaran barangan atau produk.

Abang Johari menjelaskan infrastruktur logistik terbaik adalah yang mampu menghubungkan terus ke hab antarabangsa sama ada ke Singapura, Hong Kong atau Amerika Syarikat (AS).

“Jika seseorang di AS mahu membeli produk tempatan kita, sistem penghantaran mesti sudah ada, dalam erti kata lain perniagaan kargo perlu menepati masa untuk memastikan barangan yang dipesan dapat dihantar tepat pada waktunya.

“Kerajaan Sarawak memandang serius infrastruktur penghantaran ini terutama di kawasan luar bandar dan apabila infrastruktur dapat sampai ke kawasan luar bandar bermakna kita telah capai (kejayaan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran aplikasi dBazzar, platform e-dagang baharu yang dibangunkan di Sarawak, di sini hari ini.

Aplikasi yang menampilkan lebih 2,700 peniaga, menggunakan S Pay Global iaitu sistem transaksi milik Sarawak yang dibangunkan menerusi kepakaran Sarawak Information Systems (SAINS), syarikat pakar teknologi maklumat milik kerajaan negeri.

Sumber: Bernama

Ekonomi Digital: Sarawak perkukuh infrastruktur logistik – Abang Jo


Content Type:

Duration:

Pendapatan e-dagang Malaysia berjumlah RM279.0 bilion, melonjak 17.1 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2021, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bagi pertumbuhan suku tahunan, pendapatan e-dagang mengekalkan trend positif dengan peningkatan 4.3 peratus.

“Bermula Januari sehingga September, pendapatan e-dagang merekodkan RM801.2 bilion, meningkat 23.1 peratus bagi tahun ke tahun,” katanya.

Di peringkat negeri, Mohd Uzir berkata e-dagang dipacu oleh negeri perindustrian yang terdiri daripada negeri Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Manakala di peringkat industri, sektor pembuatan dan perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama pertumbuhan pendapatan e-dagang.

“Prestasi yang lebih baik ini pastinya didorong oleh pembudayaan norma baharu semasa pandemik Covid-19 yang meningkatkan lagi penggunaan digital di Malaysia,” katanya.

Berdasarkan pendapatan e-dagang mengikut jenis pasaran pada tahun 2019, pendapatan e-dagang pasaran tempatan yang dijana daripada jualan yang dijalankan di Malaysia mendominasi pasaran dengan sumbangannya sebanyak 87.6 peratus berbanding pasaran antarabangsa 12.4 peratus.

Nilai pendapatan yang dijana masing-masing berjumlah RM591.8 bilion dan RM83.5 bilion.

Sementara itu, pendapatan e-dagang mengikut jenis pelanggan melalui Perniagaan kepada Perniagaan (B2B) mencatatkan pendapatan tertinggi berjumlah RM449.6 bilion dengan sumbangan sebanyak 66.6 peratus dan diikuti Perniagaan kepada Pengguna (B2C) sebanyak RM194.0 bilion (28.7 peratus).

Seterusnya, Perniagaan kepada Kerajaan (B2G) merekodkan RM31.8 bilion (4.7 peratus).

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata teknologi digital berpotensi untuk memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) – dilancarkan oleh kerajaan pada Februari 2021 – merupakan asas kepada transformasi Malaysia untuk menjadi ‘nadi digital serantau’ yang dijangka merangsang produktiviti, meningkatkan inovasi dan menambah baik kehidupan dengan memanfaatkan internet, data raya, Internet Pelbagai Benda (IoT), Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi lain.

Sumber: Bernama

Pendapatan e-dagang Malaysia melonjak 17.1 peratus kepada RM279.0 bilion pada suku-3


Content Type:

Duration:

KOTA BHARU, 8 Nov — Pembinaan empangan hidroelektrik di Nenggiri, Gua Musang yang dijangka beroperasi pada 2026, bakal menyalurkan 300 megawatt (MW) kepada Grid Nasional apabila ia siap kelak.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Ir Baharin Din berkata projek bernilai RM5 bilion itu, bukan sahaja menyokong aspirasi kerajaan ke arah meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE), malah membawa pelbagai manfaat dalam menyelesaikan beberapa isu demi kesejahteraan rakyat Kelantan.

Katanya, selain membantu mengurangkan banjir, ia juga berupaya membantu Kelantan mengatasi isu pembekalan air bersih serta pengairan untuk pertanian, dan membuka peluang pekerjaan serta ekonomi baru di tasik takungan utamanya.

“TNB telah melaksanakan kesemua kerja-kerja awalan dan kajian-kajian yang diperlukan untuk membangunkan projek ini, dan telah memperolehi semua kelulusan yang diperlukan seperti Kajian Potensi Mineral, Kajian Penerimaan Awam, Kajian Impak Alam Sekeliling (EIA), Kajian Impak Sosial, Kajian Impak Warisan, dan sebagainya.

“Air yang ditakung dalam tasik takungan utamanya akan dilepaskan semula secara terkawal ke dalam Sungai Nenggiri, dan ini dapat membantu mengawal banjir di hilir empangan itu.

“Sebagaimana empangan lain milik TNB seperti di Skim Hidroeletrik Cameron Highlands, Sungai Perak dan Kenyir, empangan Nenggiri bakal memberi manfaat tebatan banjir dengan keupayaan menampung jumlah air hujan yang besar, semasa musim tengkujuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ir Baharin berkata apabila empangan hidroelektrik Nenggiri siap kelak, ia dapat mengukuhkan usaha TNB memastikan bekalan elektrik yang stabil untuk rakyat dan menjadi penggerak utama peralihan industri tenaga negara.

“Projek ini menyokong aspirasi tenaga lestari TNB menuju ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050, yang dipacu oleh komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 35%, serta pengurangan 50% kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.

“Justeru, ia menyokong aspirasi kerajaan ke arah meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga hijau negara kepada 40% pada tahun 2035,” katanya.

Untuk rekod, kapasiti penjanaan elektrik TNB di Semenanjung ketika ini merangkumi 18.0 peratus hidroelektrik (2,536 MW), 0.6 peratus solar (80 MW), 48.2 peratus arang batu (6,800 MW) dan 33.3 peratus gas (4,702.43 MW).

Ir. Baharin juga menyifatkan projek ini sebagai satu amanah kepada rakyat terutama peranan dan komitmen TNB terhadap alam sekitar.

Komuniti Orang Asli yang terlibat secara langsung dengan projek ini, khususnya dari Pos Pulat, Pos Tohoi dan Kg. Wias, akan dipindahkan ke penempatan baharu dengan infrastruktur dan keperluan asas yang lebih baik dan selesa.

“Mereka juga akan diberikan pakej rangsangan ekonomi untuk meningkatkan sosioekonomi mereka dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan, Pejabat Tanah dan Jajahan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan jabatan-jabatan kerajaan yang lain,” katanya.

Pada 2 Nov lalu, satu majlis pertukaran dokumen perjanjian projek itu dan penyerahan cek pampasan di Pejabat Menteri Besar Kelantan telah diadakan, di sini yang dihadiri Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Sumber: Bernama

Projek hidroelektrik Nenggiri beri manfaat kepada rakyat, tingkat kapasiti RE


Content Type:

Duration:

Huntsman Corp, pengilang dan pemasar global bahan kimia yang berbeza sedang mengembangkan kehadiran perkhidmatan kongsinya di Kuala Lumpur menjadi hab Perkhidmatan Perniagaan Global Asia Pasifik (GBS) global dan serantau.

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) berkata pengembangan itu akan mewujudkan jawatan pekerja berpengetahuan tambahan di negara ini dan membawa anggaran RM12 juta hingga RM15 juta faedah ekonomi setiap tahun.

“Organisasi GBS baharu itu akan menyediakan sokongan bernilai tinggi kepada perniagaan Huntsman di seluruh dunia, membolehkan syarikat mengimbangi kos, perkhidmatan, nilai dan kelajuan dengan lebih baik, sambil melakukan penambahbaikan secara berterusan dalam setiap aspek perniagaan,” kata MDEC dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu juga berkata pembangunan hab GBS baharu Huntsman akan itu dilakukan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

MDEC berkata syarikat itu menjangkakan jumlah anggota pasukan GBS akan berkembang sekurang-kurangnya 100 orang dalam beberapa tahun akan datang dan meningkatkan keupayaan khusus seperti automasi pintar, analitik data dan pemvisualan.

Huntsman ketikan mempunyai kira-kira 160 pekerja di Kuala Lumpur.

Syarikat itu memilih Kuala Lumpur sebagai hab GBSnya untuk lokasi strategik bandar di Asia Pasifik yang menyediakan kemudahan akses ke lokasi lain di dalam dan luar rantau ini.

Selain itu, golongan pekerja berkemahiran dan berbakat Malaysia akan membolehkan Huntsman melaksanakan operasi serantau tanpa mengambil lokasi fizikal di negara tersebut.

MDEC telah menyediakan sokongan kepada pusat perkhidmatan kongsi Huntsman yang sedia ada sejak penubuhannya pada 2010 dengan sokongan perniagaan berkualiti tinggi dalam perakaunan, audit dalaman dan teknologi maklumat.

Sumber: Bernama

Huntsman kembangkan operasi di Kuala Lumpur menjadi hab perkhidmatan perniagaan global


Content Type:

Duration:

Pemaju infrastruktur penggudangan terbesar Taiwan, ALP (Ally Logistic Property Co. Ltd) akan melabur sejumlah AS$1 bilion (AS$1 = RM4.15) di Malaysia bagi membangunkan penyelesaian penggudangan dalam usaha melonjakkan industri logistik negara.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu menyatakan, perancangan terbabit sedang dilaksanakan menerusi pembangunan taman logistik berkeluasan 10.92 hektar bernilai AS$180 juta yang merangkumi kemudahan penggudangan pintar dikenali sebagai OMega di Bukit Raja, Selangor dan pertama seumpamanya di negara ini.

Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ALP Charlie Chang berkata industri rantaian bekalan Malaysia menyediakan peluang besar yang belum dimanfaatkan dan memerlukan pelaburan berskala besar serta model perniagaan perkongsian ekonomi bagi memacunya.

“Pasaran Malaysia menawarkan potensi luas dan kami yakin pelaburan di sini dapat menarik lebih ramai penggiat serantau serta pelaburan bernilai tinggi bagi memacu aspirasi negara ini untuk muncul sebagai hab e-dagang serantau.

“OMega memperkenalkan model kerjasama pengoperasian bagi membuka peluang ekonomi baharu dan memacu pertumbuhan industri sambil memperkasa jenama tempatan dalam usaha transformasi mereka menembusi pasaran baharu serta meraih kekayaan,” katanya.

Pembinaan Omega ALP di Bukit Raja dijangka siap pada suku pertama 2024 dan menjadi sebahagian daripada rantaian kemudahan penggudangan serantau ALP yang dapat menarik perhatian pelabur multinasional serta jenama yang berminat mewujudkan pusat pengedaran di Malaysia.

Malah, gudang pintar OMega yang terletak di lokasi strategik di serata Malaysia juga dijangka dapat mewujudkan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan, kata kenyataan itu.

Sumber: Bernama

Firma Taiwan ALP labur AS$1 bilion bangunkan taman gudang pintar di Malaysia


Content Type:

Duration:

Hab Platform Perdagangan Dunia elektronik (eWTP) Cainiao Aeropolis yang baru dilancarkan telah meletakkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sebagai pusat pengedaran serantau (RDC) di pasaran Asia Pasifik.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata hab itu menerima beberapa pengendali logistik kargo sebagai pemain logistik kontrak, menyediakan ruang bagi pelanggan akhir mereka seperti pengendali kargo dan syarikat elektronik runcit.

Dengan ruang gudang yang amat luas kira-kira 1.1 juta kaki persegi, hab itu akan menyediakan masa pusing balik yang lebih pantas kepada pengendali serta perkhidmatan tokokan nilai seperti pembuatan ringan baharu, pemasangan, pembaikan dan logistikan pulangan, katanya.

“Ini kemudiannya akan menjadikan tempat ini sebagai RDC mereka bagi keseluruhan rantau, yang seterusnya membawakan volum baharu bagi kita,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran hab tersebut di sini, hari ini.

Hab itu, yang memulakan operasinya pada November tahun lepas dibangunkan menerusi perkongsian 30:70 antara MAHB dan Alibaba Group dengan pelaburan bernilai RM500 juta.

Dalam keseluruhan kawasan kargo KLIA, terdapat kira-kira 200 pemain terdiri daripada pengendali terminal kargo, syarikat pengangkutan barangan dan syarikat penerbangan kargo.

Iskandar berkata pengendali lapangan terbang itu berharap dapat menerima 10 pengendali baharu menyertai hab tersebut terutamanya daripada pasaran vertikal elektronik runcit, automotif, farmaseutikal, telekomunikasi, barangan sukan dan segmen fesyen laris.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang merasmikan pelancaran hab itu berkata, kemunculan e-dagang dalam tempoh beberapa tahun ini terbukti menjadi rahmat kepada pertumbuhan kargo udara kerana ia merupakan pemacu pemangkin terbesarnya.

“Hab Cainiao eWTP akan menjadi pembawa perubahan bagi Malaysia sebagai hab Asia Pasifik bagi RDC dan logistik e-dagang.

“Ia mendapat banyak manfaat berada di zon komersial bebas dengan akses ke sisi terminal lapangan terbang hinggalah kepada aktiviti tokokan nilai seperti pemasangan ringan dan pukal serta operasi kastam 24 jam menggunakan teknologi pintar yang membolehkan pelepasan kastam pelbagai modus menyeluruh,” katanya.

Wee berkata hab Cainiao eWTP, bersama dengan Kastam Diraja Malaysia telah menyediakan sistem pelepasan kastam yang akan hanya mengambil masa sejam setengah untuk selesai — peningkatan besar daripada 24 hingga 48 jam sebelum ini.

Pada 2020, pasaran logistik dan kargo Malaysia bernilai US$37.6 billion dan dijangka mencecah lebih daripada US$55 bilion menjelang 2026.

Sumber: Bernama

Hab eWTP Cainiao Aeropolis jadikan KLIA sebagai pusat pengedaran serantau


Content Type:

Duration:

Insentif pemilikan kenderaan elektrik (EV) yang diumumkan dalam Bajet 2022 akan menyokong pembangunan ekosistem kenderaan EV dan membuka lebih banyak peluang pelaburan hijau baharu, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata insentif berkaitan kenderaan EV itu juga akan menyokong pembangunan teknologi hijau dan rendah karbon serta pekerjaan hijau berkemahiran tinggi di Malaysia.

“Insentif kenderaan EV dilihat mampu menyokong pelaksanaan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) serta membantu meningkatkan indeks kualiti udara negara,” katanya dalam kenyataan hari ini mengenai Bajet 2022.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat semalam berkata kerajaan bercadang untuk memberikan pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan EV bagi menyokong pembangunan industri EV tempatan.

Tengku Zafrul berkata pengecualian cukai jalan sehingga 100 peratus juga diberikan kepada kenderaan EV, di samping pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas kos pembelian, dan pemasangan; sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran langganan kemudahan pengecasan EV.

Menyifatkan Bajet 2022 memberi penekanan yang signifikan kepada aspek menjamin pelestarian alam sekitar dan air negara, Tuan Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan yang mencadangkan peruntukan sejumlah RM4.172 bilion untuk melestarikan alam sekitar dan air kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Tuan Ibrahim berkata KASA akan meneruskan projek-projek pemuliharaan dan mitigasi banjir di seluruh negara dan mengalu-alukan inisiatif khusus menangani hakisan pantai di Pantai Merdeka di Kedah dan mengatasi banjir di Melaka.

Kerajaan menyediakan RM450 juta dalam Bajet 2022 kepada pelbagai kementerian untuk melaksanakan beberapa inisiatif berkaitan alam sekitar dan biodiversiti, antaranya projek pemeliharaan alam serta projek pemuliharaan alam menangani hakisan pantai di Pantai Merdeka di Kedah dan mengatasi banjir di Melaka.

Tuan Ibrahim dalam pada itu berkata KASA sedang menyusun semula proses pelaksanaan projek dari peringkat perancangan sehingga pengeluaran surat setuju terima (SST) bagi memastikan projek dapat dilaksanakan serta-merta di masa akan datang.

Sumber: Bernama

Bajet 2022: Insentif pemilikan kenderaan EV buka peluang pelaburan hijau baharu


Content Type:

Duration:

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Maxis Bhd membentuk perkongsian strategik bagi mewujudkan Lapangan Terbang Digital 5G pertama Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

MAHB dan Maxis dalam kenyataan bersama berkata, kerjasama itu bertujuan mengembangkan rangka kerja transformasi digital bagi operasi Smart Airport yang menjadi sebahagian daripada inisiatif Airports 4.0.

“MAHB ingin memanfaatkan Maxis sebagai pengendali telekomunikasi tunggal untuk menguruskan perkhidmatan kesalinghubungannya. Maxis pula akan menguruskan perkhidmatan dan penyelesaian rangkaian WiFi dan 5G di lapangan terbang utama negara, KLIA.

“Maxis juga akan mengembangkan penyelesaian digital berkemampuan 5G untuk penyewa dan penumpang lapangan terbang MAHB pada masa hadapan,” katanya.

Inisiatif transformasi digital menyeluruh oleh MAHB bermula sejak 2018.

Sejak itu, pengendali lapangan terbang itu meningkatkan usaha untuk meletakkan landasan teknologi yang memungkinkan pelaksanaan inisiatif ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata kedua-dua pihak akan melaksanakan kes penggunaan dan penyelesaian 5G ‘Smart Travel dan Tourism’, ‘Smart Retail’ serta ‘Smart Security’.

“5G akan menjadi pemangkin untuk menghubungkan kita dengan peluang perniagaan dan ekonomi baharu. Penggunaan 5G akan memperkuat asas untuk membolehkan teknologi baru dan digitalisasi operasi lapangan terbang kami.

“Ini juga membantu dalam mencipta pengalaman perjalanan baharu yang pintar untuk penumpang. Kami berharap perkongsian ini dapat mengubah lapangan terbang menjadi Lapangan Terbang Pintar,” katanya.

MAHB dan Maxis mengembangkan penyelesaian ‘Smart Retail’ serta ‘Smart Travel and Tourism’ yang akan memberikan pengalaman peribadi yang tiada tandingan bagi penumpang.

Ia termasuk membina platform ‘Tourist Hub’ untuk penumpang mempunyai akses ke panduan perjalanan, promosi dan tawaran.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut, berkata teknologi 5G berpotensi tinggi dan memungkinkan pengalaman pelanggan yang lebih baik.

“Kami komited memainkan peranan untuk menawarkan inovasi 5G terbaik untuk memberi manfaat kepada orang ramai dan perniagaan di negara ini menerusi kepakaran dan sumber kami.

“Lapangan terbang sudah berkembang dari hab transit menjadi destinasi kepada satu pengalaman perjalanan dari hujung ke hujung.

“Ketika menunggu ruang udara dibuka sepenuhnya, kami berhasrat untuk memulakan usaha dengan MAHB meningkatkan pengalaman dan perkhidmatan kesalinghubungan kepada pelawat dan penumpang,” katanya.

Sumber: Berita Harian

KLIA lapangan terbang digital 5G pertama negara


Content Type:

Duration:

Data dan teknologi akan menjadi antara elemen penting dalam memetakan wabak pemulihan ekonomi pasca COVID-19, kata Menteri Kewangan dan Menteri Penyelaras Rancangan Pemulihan Nasional (NRP), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz.

Beliau berkata, pemerintah akan memanfaatkan kekuatan data untuk membantu negara menjadi lebih tangkas dan responsif, disoroti oleh semangat inklusiviti ke arah ketahanan yang lebih baik dan kesejahteraan bersama.

Tengku Zafrul menyatakan bahawa Pelan Pembangunan Ekonomi Digital, atau MyDIGITAL, sangat penting dalam mendorong sektor perniagaan untuk bersaing di arena global, kerana ia menangani infrastruktur digital dan ekosistem digital.

“Yang pertama merangkumi pelaburan melalui projek Jaringan Digital Nasional (JENDELA), pelaburan untuk memperkukuhkan hubungan dengan rangkaian kabel dasar laut antarabangsa hingga 2023, dan juga rancangan 10 tahun untuk pelaksanaan 5G di seluruh negara dan dalam perkhidmatan cloud,” katanya .

Dalam ucapan khas semasa Sidang Kemuncak Pemulihan Nasional yang hampir diadakan hari ini, dia mengatakan bahawa usaha itu juga termasuk memperkuat ekosistem digital, menyokong penggunaan digital serta perlindungan privasi dan data.

Mengenai aspirasi 5G negara, katanya kerajaan juga mempercepat pengembangan dan pertumbuhan sambungan dan liputan 5G berkelajuan tinggi, berpatutan dan boleh dipercayai.

“Kami akan memulakan Fasa 1 dengan liputan 10 peratus 5G di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya pada akhir 2021.

“Fasa 1b akan merangkumi sekitar 40 peratus liputan di bandar-bandar besar di Selangor, Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak pada akhir tahun 2022, diikuti oleh seluruh negara secara berperingkat dengan liputan nasional 100 peratus yang disasarkan pada tahun 2024,” katanya .

Gabungan, langkah-langkah ini akan menangani usaha jangka pendek untuk menempatkan pembukaan semula Malaysia pada kedudukan yang lebih kuat sambil memastikan bahawa negara berada dalam posisi yang baik untuk memanfaatkan sepenuhnya megatrend esok pada pertengahan dan jangka panjang, katanya.

Tengku Zafrul juga menyatakan harapannya agar NRP dan Belanjawan 2022 berfungsi sebagai templat, bukan hanya mengenai cara keluar dari wabak itu, tetapi juga bagaimana untuk mengatasi cabaran yang lebih mendesak yang akan datang.

“Untuk itu, saya menyeru semua pihak, pemerintah, sektor swasta dan organisasi masyarakat madani untuk bersatu sebagai satu ‘Keluarga Malaysia’. Mari bersama, dan menang bersama,” tambahnya.

Sumber: Bernama

Memanfaatkan data, teknologi untuk memupuk pemulihan – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Kumpulan penjagaan kesihatan baharu, Aurelius Healthcare Sdn. Bhd. melaksanakan pengambilalihan hospital yang pertama, Pusat Perubatan Nilai dalam mencapai hasratnya menjadi platform pengurusan penjagaan kesihatan terkemuka di rantau Asia Tenggara.

Pengambilalihan ini merupakan langkah yang sangat bersesuaian dengan strategi Aurelius untuk mengubah penyampaian penjagaan kesihatan dan juga mencapai hasil terbaik bagi kesihatan para pesakit.

Berikutan pengambilalihan ini, Pusat Perubatan Nilai yang bercirikan multidisiplin dan dilengkapi 100 katil akan mula beroperasi sebagai Aurelius Hospital Nilai pada September 2021.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Aurelius Healthcare, Datuk Amir Firdaus Abdullah berkata, syarikat berhasrat untuk mencapai pertumbuhan pesat dan penambahbaikan terhadap hospital yang cemerlang ini bersama para doktor dan kakitangan berdedikasi.

Katanya, platform ini akan terus memberikan perkhidmatan kepada komuniti di Negeri Sembilan, Selangor, dan Melaka serta akan ditransformasikan sepenuhnya bagi Penjagaan Onkologi, Kardiologi, Penjagaan Wanita & Kanak-kanak, Ortopedik dan semua pengkhususan klinikal sebuah hospital tertiari lain untuk para pesakit.

“Terdapat perancangan bagi pengembangan pesat hospital dengan blok perubatan pesakit dalaman tambahan untuk menyediakan penjagaan dan sokongan yang terbaik kepada pesakit serta penjaga.

“Kami komited dalam menambah baik kemudahan dan perkhidmatan selain terus memastikan pesakit, doktor, pekerja, rakan kongsi dan komuniti yang menerima perkhidmatan kami memperoleh pengalaman hebat dan hasil klinikal yang dikehendaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Mei 2021, Navis Capital Partners telah menyempurnakan pelaburan majoriti dalam Aurelius Healthcare, dan komited terhadap usaha pengembangan organisasi dengan matlamat untuk memiliki 5 hingga 10 hospital yang pesat beroperasi dalam platform.

Aurelius Hospital Nilai, yang diterajui oleh Dr Darshini Kumar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu, menyediakan pelbagai perkhidmatan dan penjagaan menyeluruh menerusi Pusat Kecemerlangannya yang merangkumi Pusat Penjagaan Kanser, Pusat Jantung, Pusat Ortopedik, Pusat Wanita & Kanak-kanak serta Pembedahan Am.

Aurelius Healthcare ditubuhkan di Malaysia oleh pasukan veteran industri dengan  pengalaman pengurusan penjagaan kesihatan global.

Malah, Aurelius berhasrat untuk memodenkan dan menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses di seluruh negara.

Sementara itu, Rakan Kongsi di Navis Capital, Edwin Fua berkata, Aurelius dan Navis berkongsi wawasan yang sama tentang bagaimana penjagaan kesihatan swasta dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada komuniti di rantau ini.

Katanya, menerusi amalan pengurusan penjagaan kesihatan bertaraf dunia, interaksi bersama pelbagai pihak berkepentingan mengenai matlamat yang dikongsi bersama, penyepaduan penjagaan dan pelaburan dalam teknologi perubatan, mereka akan mewujudkan penjagaan kesihatan yang lebih mudah diakses untuk komuniti.

“Pengambilalihan ini juga merupakan langkah pertama dalam perjalanan panjang kami bersama Aurelius Healthcare dan kami menggalakkan mana-mana pihak yang ingin bersama kami dalam usaha ini untuk menghubungi kami bagi mengadakan perbincangan.

“Kami bersikap terbuka terhadap perbincangan perkongsian bersama baik secara greenfield (pembinaan kemudahan baharu) mahupun brownfield (pembelian atau penyewaan kemudahan sedia ada),” jelasnya.

Sumber: Dagang News

Aurelius Healthcare ambil alih Pusat Perubatan Nilai


Content Type:

Duration:

Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) menerima surat pemberitahuan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk membangunkan loji tenaga hidroelektrik 300 megawatt (MW) di Kelantan.

TNB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini mengumumkan surat pemberitahuan itu meminta TNB Genco untuk memenuhi syarat-syarat tertentu sebelum pelaksanaan projek.

“Seperti yang disyaratkan kerajaan, TNB Genco memperbadankan sebuah syarikat projek milik penuh bernama TNBPG Hydro Nenggiri Sdn Bhd bagi melaksanakan projek itu.

“Kerja-kerja pembinaan projek ini dianggarkan mengambil masa lima tahun dan jangkaan jangka masa operasi komersialnya adalah menjelang 1 Jun 2027,” katanya.

Projek berkenaan akan meningkatkan bahagian pasaran penjanaannya, terutama daripada hidro dan meningkatkan kecekapan keseluruhan portfolio aset penjanaannya termasuk tenaga boleh diperbaharui.

Projek ini juga akan meningkatkan keselamatan tenaga untuk negara dan membawa kesan sosio-ekonomi yang positif bagi Malaysia, Kelantan serta masyarakat tempatan.

“Ia juga akan memberi faedah tambahan kepada Kelantan daripada segi mitigasi banjir, bekalan air bersih dan air mentah untuk pengairan,” katanya.

Katanya lagi, projek berkenaan akan memperkukuhkan keselamatan bekalan tenaga di Semenanjung Malaysia, khususnya ke wilayah timur, memastikan lebih jauh kemampuan penyedia utiliti untuk memainkan peranannya dalam menyeimbangkan opsyen tenaga kepada negara.

Sumber: Bernama

TNB bangun loji tenaga hidroelektrik 300 MW di Kelantan


Content Type:

Duration:

Gergasi teknologi antarabangsa daripada industri perkhidmatan perniagaan digital global (DGBS), yang mengambil bahagian dalam Minggu Pelaburan Bulan Digital Malaysia 2021 (MTM’ 21) telah melahirkan keyakinan mereka terhadap Malaysia sebagai hab pelaburan yang menarik.

Industri DGBS adalah salah satu penyumbang utama ekonomi digital Malaysia, kata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam satu kenyataan hari ini.

“Walaupun syarikat GBS hanya menyumbang kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan syarikat MSC Malaysia yang aktif, mereka merupakan penyumbang terbesar kepada prestasi keseluruhan MSC Malaysia atau merangkumi hingga 50 peratus pelaburan, 66 peratus eksport dan 61 peratus penciptaan peluang pekerjaan,” katanya.

Sehingga kini, terdapat 579 syarikat GBS dalam MSC Malaysia, dengan 57 peratus merupakan pelaburan langsung asing (FDI).

Tambahan pula, 30 peratus daripada GBS milik asing ini adalah sebahagian daripada syarikat Forbes Global 2000 dan Fortune500 seperti HSBC Electronic Data Processing, Dassault Systèmes dan Jabil Global Business Services.

Pada pertengahan 2000-an, MDEC telah mula memberi penekanan terhadap industri perkhidmatan perkongsian serta penyumberan luar (SSO), pendahulu kepada GBS, dan pada 2006, Outsourcing Malaysia (OM) dibentuk bagi mempromosikan Malaysia sebagai hab GBS.

“MDEC baru-baru ini melancarkan Strategi Pelaburan Digital Masa Depan5 (DIF5), rancangan lima tahun yang memfokuskan kepada lima teras utama yang bertujuan menarik pelaburan termasuk memajukan ekonomi digital Malaysia sejajar dengan Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL),” katanya.

Selain mensasarkan penciptaan 50,000 pekerjaan bernilai tinggi, DIF5 memberi tumpuan kepada lima sektor industri untuk menarik 50 syarikat teknologi Fortune500 bagi meneroka dan berkembang di Malaysia, dengan industri DGBS menjadi salah satu industri tumpuan.

“Pengiktirafan daripada gergasi teknologi global ini menunjukkan kita berada di landasan yang betul untuk menubuhkan ‘Malaysia Heart of Digital ASEAN’,” kata Naib Presiden Kanan Pelaburan dan Jenama MDEC, Raymond Siva.   

Sumber: Bernama

Firma teknologi global mengekalkan Malaysia sebagai hab pelaburan menarik – MDEC


Content Type:

Duration:

wpChatIcon