Berita Perkhidmatan Archives - Page 18 of 24 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Lebih banyak usaha untuk percepat penerimagunaan teknologi

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lokman Hakim Ali berkata, lebih banyak usaha perlu dilaksanakan untuk mempercepatkan penerimagunaan teknologi kepada syarikat untuk meningkatkan produktiviti.

Beliau berkata, penerimagunaan teknologi memerlukan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi di pasaran buruh.

“Oleh itu, respons dasar yang bersesuaian adalah dengan menggalakkan dan menyokong peningkatan kemahiran dan kemahiran semula kepada tenaga kerja sedia ada.

“Kita perlu memastikan para pekerja ini dibekalkan dengan kemahiran untuk melengkapkan teknologi baharu, berbanding digantikan olehnya,” katanya pada perasmian Program MyReskill IoT secara maya pada Khamis.

Lokman berkata, penubuhan Program MyReskill IoT oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia amat diperlukan untuk membantu pekerja sedia ada kekal relevan di pasaran buruh dan merangsang produktiviti di peringkat perusahaan, sektor dan negara.

“Ini juga merupakan peluang untuk mengubah Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang menggunakan digital dan dipacu produktiviti.

“Memanfaatkan kelebihan teknologi dijangka menyumbang 30 peratus peningkatan produktiviti di semua sektor,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah penting untuk kerajaan mereka bentuk dan melaksanakan campur tangan dasar yang efektif untuk menyokong transformasi ini.

“Pengenalan dasar Industri 4WRD oleh MITI, dilengkapi dengan Rangka Kerja Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat negara dijangka memangkin pemulihan ekonomi melalui aplikasi dan penerimagunaan teknologi digital yang lebih tinggi,” katanya.

Sumber: Bernama

Lebih banyak usaha untuk percepat penerimagunaan teknologi


Content Type:

Duration:

Solarvest Holdings Bhd (Solarvest) memperoleh satu lagi projek solar berskala besar (LSS) bernilai RM175 juta di bawah program LSS@Mentari.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, kontrak berkenaan diperoleh daripada Classic Solar Farm Sdn Bhd bagi pembangunam loji LSS di Chuping, Perlis.

Kumpulan berkenaan akan melaksanakan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) bagi ladang solar 50 megawatt (MW).

Projek terbaharu itu adalah termasuk kontrak EPCC Solarvest yang diperoleh daripada program the LSS@Mentari meningkat kepada kira-kira RM371 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong, berkata projek terbaharunya itu dijangka menjadi loji solar terbesar di Perlis yang mana janaan tenaga bersihnya akan mengimbangi sekitar 78,450 tan karbon dioksida (CO2) setahun selepas ia beroperasi.

“Kami gembira diberi kepercayaan untuk membina satu lagi projek mercu tanda dan membantu meneroka tenaga bersih dari wilayah Utara.

“Dengan kejayaan projek ini, kontrak belum dibil kami meningkat kepada RM583 juta, berkemungkinan menjadi antara kontrak solar EPCC terbesar di Malaysia hari ini.

“Ini akan menjadi tahun yang sibuk untuk Solarvest ketika kami terus meningkatkan penguasaan pasaran kami di semua segmen pasaran utama kami.

“Solarvest secara kolektif menawar projek bernilai kira-kira 1,000MWp di seluruh kawasan operasi kami di Malaysia, Taiwan dan Filipina kami,” katanya.

Selaras dengan pelan pertumbuhan syarikat, Chun Shiong berkata, Solarvest sedang meningkatkan jumlah tenaga kerja untuk memenuhi permintaan yang semakin melonjak.

“Dalam masa yang mencabar ini, Solarvest terus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan memberi sumbangan positif kepada ekonomi tempatan.

“Ia semakin mengukuhkan keyakinan kita bahawa tenaga boleh diperbaharui akan terus memainkan peranan penting dalam mendorong pemulihan ekonomi di Malaysia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Solarvest majukan projek solar di Chuping, Perlis


Content Type:

Duration:

Inovasi bukan lagi pilihan tetapi keperluan, terutama untuk perniagaan kecil, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia, Datuk Muhammad Umar Swift.

Berucap di majlis Dialog Sintok @ ECOFI 2021 anjuran Institut Kajian Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECoFI) Universiti Utara Malaysia hari ini, beliau berkata teknologi dan ekonomi digital adalah kunci utama kepada pemulihan ekonomi negara.

Namun begitu, walaupun kepentingannya tidak dapat dinafikan, migrasi atau peralihan digital dalam kalangan perniagaan tempatan masih ketinggalan.

Dianggarkan hanya kira-kira satu pertiga perniagaan Malaysia yang melaksanakan strategi transformasi digital, dengan kurang daripada satu bagi setiap empat perniagaan memiliki pasukan strategi digital yang berdedikasi.

“Antara beberapa sebab utama penggunaan digitalisasi yang lebih perlahan dalam kalangan perniagaan mungkin terlalu bergantung kepada pekerja berkemahiran rendah; kekurangan kemudahan infrastruktur dan bakat untuk beralih ke operasi berasaskan teknologi; serta cabaran berterusan yang berkaitan dengan kemampuan dan kualiti akses internet jalur lebar tetap dan penyelesaian teknologi,” katanya.

Bagi mengatasi cabaran ini, Muhammad Umar berkata kerajaan telah melancarkan beberapa inisiatif sebagai langkah tindakan untuk mempromosikan digitalisasi perniagaan, termasuk Rangka Tindakan Ekonomi MyDigital yang diperkenalkan oleh Unit Perancang Ekonomi pada bulan Februari tahun ini.

Inisiatif seluruh negara itu menggariskan aspirasi kerajaan untuk berjaya mengubah Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang didorong oleh digital dan pemimpin serantau dalam ekonomi digital.

Rangka Tindakan itu mengunjurkan sumbangan 22.6 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2025, dengan pelaburan bernilai RM70 bilion dan 500,000 pekerjaan diwujudkan dalam ekonomi digital.

Selain itu, Muhammad Umar turut berkata digitalisasi dan teknologi dapat meningkatkan penyertaan dengan membolehkan perusahaan serta pengusaha sedia ada memberikan perkhidmatan kepada pasaran yang kurang mendapatan layanan.

“Tambahan pula, syarikat yang menggunakan teknologi digital secara efektif dapat menyaksikan kos yang lebih rendah dan peningkatan kecekapan, sekali gus mampu melonjakkan daya saing mereka.

“Perniagaan perlu mengambil peluang memanfaatkan pelbagai program sokongan sektor awam dan swasta untuk lebih cerdas dari segi teknologi dan bersaing dalam pasaran yang digerakkan atau berpusatkan teknologi hari ini,” tambahnya.

Sumber: Bernama 14 Sept 2021                                                        Services

Teknologi kunci utama pemulihan ekonomi negara


Content Type:

Duration:

Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) bakal menjadi pencetus perubahan kepada pembangunan Melaka bagi tempoh 25 hingga 30 tahun akan datang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sulaiman (BN-Lendu) berkata projek berkenaan dilihat mempunyai potensi untuk memperkukuhkan Melaka sebagai negeri berasaskan pelancongan di samping menerapkan ciri-ciri baharu yang bersepadu seperti pusat pelancongan antarabangsa, pusat komersil berasaskan Bandar Pintar, Revolusi Perindustrian 4.0, Pusat Logistik Marina, pusat budaya gaya hidup moden dan lain-lain.

“Secara umumnya, wilayah ekonomi koridor yang diwujudkan oleh kerajaan negeri ini memberi penekanan ke arah mempromosikan pembangunan ekonomi yang seimbang serta saksama di seluruh negara.

“Kita menyedari Melaka tidak termasuk dalam mana-mana koridor ekonomi wilayah sedia ada di Malaysia seperti Wilayah Pembangunan Iskandar (Johor), Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan Malaysia Vison Valley (Negeri Sembilan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan usul Rang Undang-Undang Perbadanan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka 2021 bagi bacaan kali kedua di Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Sulaiman berkata pembangunan M-WEZ boleh menjadi pelengkap kepada wilayah ekonomi sedia ada di samping meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat setempat.

Menurutnya, M-WEZ juga akan dibangunkan dengan mengambil contoh pembangunan persisiran pantai di tempat lain seperti Dubai, Hong Kong dan Toronto di Kanada.

“Secara keseluruhannya, M-WEZ memfokuskan kepada pembangunan persisiran pantai di kawasan tambakan laut sedia ada dengan keluasan sejumlah 10,117.14 hektar bermula dari Pantai Puteri sehingga Umbai di sepanjang 33 kilometer (km) pesisir pantai Melaka.

“Daripada jumlah ini, 3,035.14 hektar ditetapkan sebagai zon kawalan manakala baki 7,081.99 hektar adalah zon pembangunan yang akan menjadi ‘economy enabler’ (pendaya ekonomi) bagi Melaka,” katanya.

Beliau berkata menerusi M-WEZ juga kerajaan negeri menyasarkan pelaburan berimpak tinggi bernilai kira-kira RM100 bilion dan seterusnya menyumbang kepada pertambahan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sebanyak lima peratus atau RM2 bilion setahun.

“M-WEZ juga dijangka menawarkan sekurang-kurangnya 5,000 peluang pekerjaan baharu setiap tahun dan sekali gus dapat meningkatkan pendapatan rakyat setempat,” katanya.

Sulaiman berkata selain itu, projek penambakan laut berkenaan juga dijangka mampu mengurangkan impak terhadap evolusi urbanisasi berikutan berlakunya peningkatan mendadak terhadap kadar perbandaran iaitu 95 peratus pada 2020 berbanding 23 peratus pada 1980.

“Dengan keluasan tanah pembangunan yang terhad, kepadatan penduduk Melaka berada pada kedudukan keenam tertinggi iaitu 544 orang penduduk per kilometer persegi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

“Berdasarkan statistik ini, ia jelas menunjukkan keperluan kerajaan negeri untuk mencari sumber alternatif baharu bagi menampung kepadatan kependudukan untuk perancangan jangka masa panjang melalui tumpuan pembangunan ekonomi pesisiran pantai yang hanya mengambil 2.16 peratus nisbah tambakan berbanding keseluruhan jumlah keluasan tanah di Melaka seluas 2,270 kilometer persegi,” katanya.

Usul berkenaan kemudiannya disokong Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad (BN-Merlimau) dan dibahaskan Ketua Pembangkang Adly Zahari (PH-Bukit Katil), Datuk Hasan Abd Rahman (BN-Sungai Rambai), Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) dan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam).

Rang undang-udang berkenaan kemudiannya diluluskan selepas mendapat 16 undian menyokong berbanding 11 undian tidak menyokong manakala seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak hadir.

Sumber: Bernama

M-WEZ: Pencetus perubahan kepada pembangunan Melaka – Ketua Menteri


Content Type:

Duration:

Federal International Holdings Bhd (FIHB) menceburi sektor tenaga boleh baharu (RE) melalui cadangan kerjasama dengan satu daripada lima penjana tenaga terkemuka China, State Power Investment Corporation Ltd (SPIC).

Pengeluar perabot dan penggiat dalam sektor pembinaan itu berkata syarikat 50 peratus miliknya, Warrants RE Assets Sdn Bhd (WREA), memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan anak syarikat milik penuh SPIC, SPIC Energy Malaysia Bhd (SPICM) semalam untuk kedua-dua pihak mengambil alih sebahagian atau keseluruhan operasi tarif galakan, pemeteran bersih dan ladang solar berskala besar.

Di bawah kerjasama itu, katanya WREA akan bertanggungjawab untuk pendanaan manakala SPICM akan menyediakan sokongan teknikal berkaitan loji tenaga solar dan projek RE lain di Malaysia.

Pengarah Eksekutif FIHB Datuk Choy Wai Ceong berkata kerjasama ini melambangkan usaha pertamanya dalam segmen RE dan akan membantu syarikat memperluas kedudukannya dalam segmen baharu itu.

“Kerjasama itu akan menumpukan kepada pengambilalihan ladang solar, yang kemudiannya akan melalui proses pembaikan dan menaik taraf di bawah pasukan yang diterajui oleh SPIC.

“Ini akan membantu meningkatkan pemulihan ladang solar yang diperoleh dan membantu menjana aliran tunai yang positif dengan segera,” katanya.

Sumber: Bernama

FIHB bekerjasama dengan satu daripada lima penjana tenaga terkemuka China


Content Type:

Duration:

Malaysia bakal merangka beberapa inisiatif bagi meningkatkan daya saing sektor pengangkutan dan logistik, sekali gus menjadikan negara sebagai hab pengangkutan dan logistik di rantau ini menjelang 2025.

Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang diterbitkan Unit Perancang Ekonomi (ICU) pada Isnin, inisiatif itu meliputi usaha meningkatkan kecekapan dan memanfaatkan pendigitalan dalam perkhidmatan berkenaan.

“Pelaksanaan inisiatif ini akan menyumbangkan kepada penambahbaikan proses pengendalian kargo, peningkatan jumlah kargo dan pengukuhan perdagangan,” kata dokumen itu.

Antara inisiatif yang digariskan ialah meningkatkan kecekapan perkhidmatan pengangkutan dan logistik, menambah baik infrastruktur dan kapasiti perkhidmatan pelabuhan serta mempertingkatkan ketersambungan batuan akhir.

Antara yang diberi tumpuan adalah menggalakkan pergerakan barangan pelbagai mod, menaik taraf sistem penerbangan dan melaksanakan penyenggaraan pencegahan bagi jalan raya dan jambatan.

Dengan itu, menurut dokumen tersebut, ia akan memastikan proses pengendalian kargo adalah cekap, sistem yang digunakan dalam sektor penerbangan mematuhi piawaian antarabangsa serta jalan raya dan jambatan berada dalam keadaan baik.

Sehubungan itu, pengendali pelabuhan digesa untuk menyediakan perkhidmatan yang baik bagi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) kapal di bawah selia pihak berkuasa pelabuhan.

Justeru, dokumen itu menyatakan kemudahan parkir yang lebih sesuai juga akan disediakan untuk prime movers bagi mengurangkan kesesakan di pelabuhan semasa waktu puncak.

“Kemudahan dan peralatan pelabuhan akan dinaik taraf dan proses kerja akan sentiasa ditambah baik untuk meningkatkan kecekapan dan daya saing yang menyeluruh,” jelas dokumen itu lagi.

Sumber: Astro Awani

RMK-12: Malaysia sasar jadi hab pengangkutan, logistik menjelang 2025


Content Type:

Duration:

Xin Hwa Holdings Bhd, penyedia perkhidmatan logistik bersepadu menjangkakan prospek positif bagi industri itu pada masa depan susulan sokongan permintaan yang kukuh terhadap ruang gudang dan pemulihan segmen logistik di dalam dan luar negara.

Pengarah Urusannya Ng Aik Chuan dalam satu kenyataan hari ini berkata syarikat itu percaya ia berada di kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada prospek positif ini.

Beliau berkata, pusat e-penunaian baharu syarikat itu di Shah Alam yang disasar memulakan operasi pada bulan depan akan menambahkan lagi 300,000 kaki persegi atau 45.8 peratus kepada kapasiti gudang sedia adanya, meningkatkan jumlah ruang tersedia kumpulan kepada kira-kira 1.0 juta kaki persegi.

Menurut Ng, sekarang adalah masa yang sesuai bagi kumpulan untuk memanfaatkan  permintaan kukuh terhadap penyimpanan kerana gudang sedia adanya beroperasi hampir pada kapasiti penuh.

Beliau berkata lonjakan aktiviti membeli belah dalam talian berikutan pandemik COVID-19 dan sekatan pergerakan telah meningkatkan keperluan bagi ruang gudang.

Tambahan lagi, isu gangguan kontena perkapalan telah membawa kepada pergerakan perlahan kargo yang menyebabkan barangan perlu disimpan lebih lama di gudang, yang seterusnya memburukkan lagi masalah kekurangan ruang rumah gudang, katanya.

“Malahan, beberapa pelanggan berpotensi telahpun menghubungi kami untuk membincangkan untuk memajak ruang di pusat penunaian baharu kami. Oleh itu, kami menjangkakan kadar penggunaan gudang kami meningkat dengan kukuh dalam tempoh 12 bulan akan datang.

“Sementara itu, bagi segmen perkhidmatan pengangkutan darat kami, terdapat petanda kukuh pemulihan perlahan-lahan berikutan penyambungan semula aktiviti ekonomi di dalam negara,” katanya.

Menurut Kementerian Kewangan, keluaran dalam negara kasar (KDNK) perkhidmatan pengangkutan dan simpanan diunjur berkembang 7.5 peratus tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Selain itu, Ng berkata terdapat peluang besar yang boleh dimanfaatkan kumpulan apabila kerajaan dijangka melancarkan projek berkaitan prasarana dan pengangkutan mega baharu bagi merangsang ekonomi seperti Transit Aliran Berkapasiti Tinggi Lembah Klang dan menyambung semula projek mega lain termasuk Laluan Rel Pantai Timur, antara lainnya.

“Ini memberikan prospek baik bagi segmen perkhidmatan pengangkutan darat kumpulan pada masa depan,” katanya.

Sumber: Bernama

Xin Hwa jangka prospek positif susulan permintaan kukuh ruang gudang, pemulihan segmen logistik


Content Type:

Duration:

Kerajaan akan terus menyokong pertumbuhan syarikat yang menjalankan perkhidmatan logistik bersepadu dengan menawarkan insentif Perkhidmatan Logistik Bersepadu (ILS) dan status Perkhidmatan Logistik Bersepadu Antarabangsa (IILS).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lim Ban Hong berkata berdasarkan rekod Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sejak 2006 sehingga Mac 2021, terdapat 271 syarikat sektor logistik di seluruh negara diluluskan insentif ILS, manakala 212 syarikat lagi diluluskan status IILS.

“Dalam perkara ini, terdapat dua syarikat dari Sabah telah diluluskan insentif tersebut, namun tiada syarikat dari Sabah yang memperolehi status IILS,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) mengenai usaha yang telah digerakkan bagi mewujudkan pelaburan baharu dalam bidang logistik di negeri Sabah.

ILS merujuk kepada syarikat yang melakukan pelbagai aktiviti perkhidmatan berkaitan logistik daripada hujung ke hujung seperti pengangkutan udara, laut, darat dan kereta api, pergudangan dan perkhidmatan serta tambah nilai lain yang membentuk keseluruhan pakej perkhidmatan logistik.

Mengulas lanjut, Lim berkata kerajaan melalui MITI dan MIDA juga telah mengadakan program libat urus dengan syarikat-syarikat logistik di Sabah untuk berkongsi maklumat mengenai fasiliti dan insentif yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Dari segi pembangunan infrastruktur, beliau berkata kerajaan Persekutuan telah menyalurkan dana di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) berjumlah RM395 juta untuk projek pembangunan Terminal Pelabuhan Kontena di Kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu.

Menurutnya ia boleh meningkatkan kapasiti pengendalian kontena sehingga 50,000 unit bersamaan kontena 20 kaki (TEU) setahun. Lim berkata di bawah RMK12, kerajaan Persekutuan dianggarkan memperuntukkan RM1.027 bilion bagi projek pembesaran Pelabuhan Sapangar Bay yang dijangka meningkatkan kapasiti pengendalian kontena sehingga 875,000 TEU setahun menjelang 2024.

Sumber: Bernama

Kerajaan terus menyokong perkhidmatan logistik bersepadu, tawarkan ILS, IILS


Content Type:

Duration:

Kerajaan negeri Sabah menyambut baik pelan syarikat hartanah terbesar di Taiwan, Sinyi Realty Group, untuk membina sebuah resort eko-pelancongan mewah bertaraf lima bintang dianggarkan bernilai lebih RM1 bilion di Pulau Mengalum, di sini.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata beliau gembira apabila syarikat hartanah tersebut memilih untuk melabur di Sabah berikutan pelancongan amat penting bagi negeri ini dan sektor tersebut telah dikenal pasti sebagai antara tiga teras utama dalam pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Sabah antara negeri paling indah di Malaysia dan kami mempunyai banyak untuk ditawarkan dari segi pelaburan dalam sektor pelancongan,” katanya dalam kenyataan sempena pertemuan dengan Sinyi Realty Group di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Beliau berkata sejajar dengan SMJ, beliau memberi jaminan kepada Sinyi Realty Group bahawa kerajaan negeri akan memberikan bantuan yang diperlukan untuk memudahkan pelaburan syarikat tersebut.

Terdahulu, Pengerusi Sinyi Group Chou Chun Chi menyatakan penghargaan kepada kerajaan negeri dan ketua menteri atas sokongan terhadap pelaburan dan pembangunan di Pulau Mengalum yang akan menguasai pasaran pelancongan mewah.

“Ia akan menyediakan kira-kira 2,400 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan dijangka membawa masuk 97,000 pelancong ke Sabah setiap tahun,” katanya.

Selepas memperoleh lebih daripada separuh pulau dengan nilai RM266 juta pada 2019, Sinyi Realty Group merancang untuk memulihkan bahagian pulau yang tandus dengan menanam semula pokok di kawasan tersebut dan terumbu karang di sekitarnya yang rosak akibat aktiviti bom ikan.

Pulau Mengalum pernah menjadi pusat kuarantin ternakan sehingga tahun 1997 dan sebelum pandemik COVID-19, pulau itu, yang kira-kira satu jam 15 minit perjalanan menaiki bot dari ibu negeri, amat popular dalam kalangan pelancong China.

Sumber: Bernama

Syarikat Hartanah Terbesar Di Taiwan Rancang Labur ebih RM1 Bilion Di Pulau Mengalum


Content Type:

Duration:

Ekonomi digital, Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan pelaksanaan pembangunan mampan adalah ‘bahagian utama dengan potensi ekonomi yang belum dimanfaatkan’ dalam perdagangan dua hala antara Malaysia dan China, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ketiga-tiga bahagian ini mempunyai potensi ekonomi yang belum dimanfaatkan walaupun pelaburan dan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara berkembang pesat sejak 2009, yang mana China terus menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia, menyumbang 18.6 peratus daripada jumlah perdagangan pada 2020.

Ismail Sabri berkata demikian dalam ucapan pembukaan beliau semasa majlis pembukaan Pameran Import dan Eksport China ke-130 (Pameran Canton) yang diadakan secara maya, di sini pada Khamis.

Menyentuh mengenai ekonomi digital, beliau berkata, Malaysia telah melancarkan inisiatif MyDIGITAL awal tahun ini untuk mempercepat lagi transformasi digital negara. 

Inisiatif tersebut yang disasarkan menarik pelaburan digital domestik dan juga antarabangsa bernilai US$17.32 billion (US$1= RM4.15), akan dilaksanakan menerusi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, dan berfungsi sebagai sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk mempercepat kemajuan negara sebagai ekonomi maju dari segi teknologi menjelang 2030, katanya.

Mengenai 4IR, Ismail Sabri berkata, Malaysia telah memulakan usaha ke arah pendigitalan yang lebih meluas dengan lebih banyak usaha akan dilaksanakan seperti memanfaatkan sinergi kedua-dua dunia fizikal dan digital untuk meningkatkan daya saing Malaysia.

“Atas alasan ini, kami telah melancarkan 4IR, yang dibangunkan berdasarkan kepada pendekatan keseluruhan negara menerusi perkongsian rakyat-swasta-awam.

“Ini termasuk membangunkan prasarana yang bersandarkan 4IR bagi penggunaan teknologi lebih meluas di samping melaksanakan pendekatan kawal selia yang efektif, yang mana kesemuanya bertujuan memenuhi keperluan perniagaan dalam ekonomi digital serta mempercepat inovasi dan adapasi dalam teknologi,” katanya. 

Mengenai pelaksanaan pembangunan mampan, perdana menteri berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang dibentangkan baru-baru ini, ‘kemampanan sumber tenaga telah dikenal pasti sebagai satu daripada faktor utama dalam dimensi pemerkasaan ekonomi’.

“Antara lainnya, dimensi ini termasuk ekonomi berpaksikan rakyat, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan menangani perubahan iklim,” katanya. 

Ismail Sabri berkata bahagian-bahagian itu telahpun menjadi tonggak dasar perdagangan dan ekonomi China selama bertahun-tahun ini dan ia juga diterapkan dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta Rancangan Lima Tahun Ke-14 China. 

“Malaysia, yang menjadi satu daripada antara negara pertama yang menyokong BRI yakin bahawa inisiatif strategik dan berpandangan kehadapan ini akan membuka lebih banyak peluang kesalinghubungan. 

“Kami percaya persefahaman bersama ini akan mewujudkan kemungkinan baharu bagi pertumbuhan dan pembangunan di seluruh Asia Pasifik, Afrika serta Eropah Tengah dan Eropah Timur,” katanya. 

Tahun lepas, eksport Malaysia ke China berkembang 11.1 peratus kepada US$37.77 bilion, dan China juga merupakan sumber import terbesar Malaysia, menyumbang 21.5 peratus daripada jumlah import. 

“Begitu juga dalam pelaburan, China telah menjadi pelabur utama di Malaysia dengan pelaburan berjumlah US$4.41 bilion tahun lepas dan kedudukan ini kekal selama lima tahun lepas sejak 2016,” katanya.  

Beliau juga berkata 71 projek pembuatan dari China diluluskan pada 2020 yang dijangka menjana lebih daripada 10,000 peluang pekerjaan di Malaysia. 

Sumber: Bernama

Ekonomi digital, 41R, potensi yang belum dimanfaatkan dalam perdagangan Malaysia-China


Content Type:

Duration:

Sumbangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada ekonomi Malaysia terus meningkat kepada RM320.0 bilion pada tahun 2020 dengan mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu 10.4 peratus berbandin 7.3 peratus pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata industri ICT menunjukkan perkembangan yang positif walaupun negara berhadapan dengan cabaran yang getir berikutan pandemik COVID-19.

“Pertumbuhan positif ini seiring dengan fokus utama kerajaan dalam pemerkasaan ekonomi digital yang akan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 bagi memulihkan pertumbuhan negara menjangkaui pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata ICT menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), merangkumi Nilai Ditambah Kasar Industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (NDKTMK), 14.2 peratus dan e-dagang bagi industri lain sebanyak 8.4 peratus.

Sementara itu, NDKTMK mencatatkan nilai RM201.6 bilion dengan pertumbuhan yang lebih perlahan iaitu 3.3 peratus pada tahun 2020 berbanding 6.6 peratus pada tahun sebelumnya.

“Ini disebabkan oleh penyusutan dalam industri kandungan dan media dan perdagangan ICT dengan masing-masing mencatatkan 11.7 peratus dan 4.9 peratus.

“Bagaimanapun, industri pembuatan ICT dan perkhidmatan ICT terus menyokong pertumbuhan NDKTMK masing-masing dengan 5.9 peratus dan 6.7 peratus,” katanya.

Selain itu, Mohd Uzir berkata Nilai Ditambah Kasar e-dagang meningkat kepada RM163.3 bilion pada 2020 daripada RM129.2 bilion yang dilpaorkan tahun lepas, melonjak sebanyak 26.5 peratus berbanding 10 peratus direkodkan pada 2019.

“Buat pertama kali, sejak penyusunan semula Akaun Satelit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICTSA), e-dagang merekodkan sumbangan dua digit sebanyak 11.5 peratus kepada KDNK pada tahun 2020,” katanya.

Sektor Pembuatan kekal sebagai penyumbang utama kepada Nilai Ditambah Kasar e-dagang dengan sumbangan 54.5 peratus diikuti oleh sektor Perkhidmatan dengan 41.7 peratus.

“Pelaksanaan pelbagai fasa kawalan pergerakan bagi membendung penularan COVID-19 dan penutupan sektor ekonomi bukan penting telah mendorong pengguna untuk meningkatkan pembelian secara dalam talian, seterusnya mempercepatkan pertumbuhan pasaran e-dagang di Malaysia,” katanya.

Mohd Uzir turut melaporkan guna tenaga dalam industri ICT pada 2020 berjumlah 1.16 juta orang yang menyumbang sebanyak 7.7 peratus kepada keseluruhan guna tenaga.

“Industri pembuatan ICT merupakan penyumbang utama dengan 35.3 peratus diikuti oleh perkhidmatan ICT (29.5 peratus) dan perdagangan ICT (21.7 peratus),” katanya. 

Sumber: Bernama

Sumbangan ICT kepada ekonomi melonjak kepada RM320 bilion pada 2020


Content Type:

Duration:

Kumpulan perdagangan mudah alih GSM Association (GSMA) meramalkan penggunaan teknologi 5G dalam industri itu dijangka menyumbang kira-kira US$5 trilion (US$1=RM4.15) kepada ekonomi global menjelang tahun 2025.

Ketua GSMA Asia Pasifik (APAC) Julian Gorman berkata ini berikutan negara-negara di seluruh dunia semakin mendapat manfaat daripada peningkatan produktiviti dan kecekapan hasil daripada pertambahan penggunaan perkhidmatan mudah alih.

“Semua sektor ekonomi akan mendapat manfaat daripada 5G dalam tempoh ini dan industri utama seperti perkilangan, penjagaan kesihatan, pengangkutan, utiliti dan sektor awam telahpun mendapat manfaat daripada teknologi baharu untuk transformasi digital.

“Transformasi perusahaan akan memacu pertumbuhan ketara pada tahun-tahun akan datang dengan sektor pembuatan menjadi penyumbang terbesar kepada hasil global,” katanya pada sidang kemuncak GSMA Mobile 360 Asia Pasifik yang diadakan secara maya hari ini.

Semasa sidang kemuncak itu, GSMA mengumumkan pembentukan Komuniti Industri APAC 5G, ekosistem baharu yang ditubuhkan untuk mencari peluang dalam menyampaikan Industri 4.0 dan transformasi digital daripada rangkaian 5G, perkhidmatan awan, Internet Pelbagai Benda (IoT), data dan Kecerdasan Buatan (AI).

Tujuan Komuniti Industri 5G APAC adalah untuk memanfaatkan kesalinghubungan 5G agar rakyat, industri dan masyarakat berkembang maju.

“GSMA komited untuk memainkan peranan utama dalam menyokong dan memperkasakan kerja penting dan memulakan platform kerjasama bagi menyokong inovasi industri 5G, aplikasi dan peluang perniagaan dalam komuniti ini,” kata Gorman.

Komuniti itu disasarkan kepada pihak berkepentingan merentasi rantaian nilai termasuk kerajaan dan agensi, persatuan industri, penyedia rangkaian mudah alih, perusahaan dan pemain industri, penyedia penyelesaian, penganalisis, dan perunding.

Komuniti Industri APAC 5G terdiri daripada 12 ahli penyumbang, termasuk IoT sedia ada dan komuniti pasaran baharu 5G, yang mempunyai lebih daripada 500 ahli di lebih daripada 30 negara.

Sumber: Bernama

Penggunaan 5G dijangka sumbang US$5 trilion kepada ekonomi global menjelang 2025 – GSMA


Content Type:

Duration:

Malaysia perlu merebut peluang transformasi digital kerana ia bukan sahaja kritikal terhadap usaha pemulihan ekonomi Malaysia, tetapi, meningkatkan daya tahan ekonomi negara pada masa depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Memetik kajian daripada syarikat rundingan ekonomi strategik AlphaBeta, beliau berkata transformasi digital berpotensi mewujudkan nilai ekonomi tahunan di Malaysia sehingga RM257.2 bilion menjelang 2030.

“Dalam tempoh yang mencabar ini, rakyat Malaysia telah menunjukkan daya tahan yang luar biasa berikutan kita berkembang dan menyesuaikan diri dengan perubahan situasi disebabkan pandemik ini.

“Ekonomi dan teknologi digital adalah penting untuk membantu perniagaan kekal bertahan, membolehkan pelajar meneruskan pembelajaran, pencari kerja kekal meningkatkan kemahiran melalui kursus dalam talian, dan keluarga pula kekal berhubung,” katanya dalam ucapan pada majlis ‘Grow With Google’ yang diadakan secara maya, hari ini.

Mustapa berkata Malaysia kekal komited untuk mencapai sasaran menjadi negara termaju dari segi teknologi, berpacukan digital dan peneraju ekonomi digital serantau menjelang 2030, seperti yang ditetapkan dalam inisiatif MyDigital.

Melalui inisiatif yang dilaksanakan, beliau berkata ekonomi digital dijangka menyumbang 22.6 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2025 dan menjana 500,000 peluang pekerjaan baharu.

“Lebih banyak peluang untuk perniagaan membangun dan berkembang dengan aliran pendapatan digital bagi meningkatkan kecekapan kos melalui teknologi awan,” katanya.

Mustapa berkata kerajaan menyasarkan 875,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) memanfaatkan e-dagang menjelang 2025 selain matlamat untuk menjadikan 80 peratus daripada perkhidmatan kerajaan secara dalam talian pada tahun yang sama.

Katanya, ia berikutan kerajaan yang menggunakan digital akan meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan ketelusannya.

“Kami yakin mengenai kepentingan awam-swasta, yang mana sektor swasta harus menjadi rakan niaga yang bersama-sama memacu MyDigital supaya kita boleh mencapai matlamat ekonomi digital.

“Bagi pihak kita, kerajaan akan menjadi pemangkin, mewujudkan persekitaran dasar yang memudahkan agar pihak swasta boleh membawa modal dan kemahiran yang diperlukan untuk transformasi digital,” katanya.

Mustapa berkata Google telah menjadi rakan industri yang komited dalam memajukan pemulihan ekonomi Malaysia dan visi ekonomi digitalnya.

“Sebagai contoh, program kemahiran Google, ‘Mahir Digital Bersama Google’ menawarkan latihan percuma kepada PKS mikro untuk membantu mereka mengembangkan perniagaan dalam talian.

“Sejak dilancarkan pada 2019, lebih 15,000 rakyat Malaysia telah menerima manfaat daripadanya dan kita menggalakkan inisiatif yang serupa daripada sektor swasta.

“Sememangnya, MyDigital memerlukan pendekatan ‘seluruh negara’ daripada sektor awam dan swasta untuk berjaya,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia perlu rebut peluang transformasi digital — Mustapa


Content Type:

Duration:

Malaysia memerlukan transformasi digital yang inklusif untuk mencapai ekonomi digital yang berdaya maju, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Bercakap pada Sidang Kemuncak Ekonomi Digital Malaysia Ke-2 yang diadakan secara maya hari ini, beliau berkata negara mempunyai kapasiti untuk menjadikan krisis COVID-19 sebagai peluang baharu untuk membina masa depan yang lebih inklusif, berdaya tahan dan mampan.

“Kita kini dalam normal baharu. Oleh itu, kesalinghubungan perlu menjadi keutamaan, dan pihak berkepentingan seperti syarikat telekomunikasi dan industri vertikal, syarikat multinasional, organisasi kerajaan dan bukan kerajaan perlu membangunkan strategi untuk mempercepatkan penyertaan digital,” katanya.

Annuar berkata ekonomi digital memainkan peranan penting untuk Malaysia memperoleh semula daya saingnya, menyedari bahawa penggunaan teknologi dan inovasi akan menjadi teras untuk memacu pertumbuhan dalam semua sektor.

Penggunaan teknologi maju, terutamanya teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), akan digalakkan dalam ekonomi berasaskan teknologi tinggi, katanya, sambil menambah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menyasarkan untuk memaksimumkan potensi ekonomi digital.

“Tenaga kerja dan kemahiran yang diperlukan untuk memacu ekonomi digital dan IR 4.0 akan dipertingkatkan manakala penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi akan diperkukuh,” katanya.

Annuar juga berkata inisiatif MyDIGITAL yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melengkapkan RMK12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Ekonomi digital dijangka menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2025 dan mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan.

Inisiatif MyDIGITAL juga akan menjadi titik permulaan untuk menarik pelaburan baharu bernilai RM70 bilion dalam sektor digital, dari dalam dan luar negara.

Sidang Kemuncak Ekonomi Digital Malaysia Ke-2 pada tahun ini dianjurkan oleh KSI Strategic Institute for Asia Pacific.

Bertemakan “Reinventing the Digital Economy: The Key to Success Post-Crisis”, lebih 200 wakil dari sektor kerajaan dan swasta, ahli akademik, persatuan dan industri digital menyertai sidang kemuncak secara maya itu.

Sumber: Bernama

Malaysia perlukan transformasi digital inklusif bagi capai ekonomi digital berdaya maju


Content Type:

Duration:

Mercedes-Benz AG memuktamadkan rancangannya menjadikan Malaysia sebagai Pusat Logistik Komponen bagi pasaran Asia Pasifik.

Kemudahan baharu milik pengeluar kereta premium dari Jerman itu dijangka mempunyai kapasiti penyimpanan satu juta kaki persegi dan dilengkapi aspek penyimpanan serta sistem pengendalian bahan termaju bagi menawarkan rangkaian rantaian bekalan serantau lebih baik.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata keputusan Mercedes-Benz AG memilih Malaysia sebagai pusat logistik komponen serantau bukan sahaja memberi isyarat usaha pertumbuhan berterusan syarikat, malah ia membuktikan keyakinannya terhadap ekosistem negara.

“Pemilihan Malaysia menunjukkan Mercedes-Benz AG yakin terhadap ekosistem kita dan keupayaan negara dalam menyokong pertumbuhan jangka panjang syarikat itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamed Azmin berkata, kemampuan bakat berkemahiran tinggi terutama jurutera dan juruteknik tempatan serta Malaysia sebagai pusat rantaian global dan pusat pengedaran penting di rantau ini.

“Sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan akan terus meningkatkan aspek memudahkan untuk menjalankan perniagaan, logistik dan rangkaian pelabuhan serta mempromosikan kerjasama strategik dan hubungan industri bagi meningkatkan daya saing Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Mercedes-Benz AG dalam satu kenyataan berasingan berkata jenama kereta premium sudah memeterai perjanjian pajakan lokasi jangka panjang di Senai Airport City, Johor Bahru, yang mana berdasarkan perancangan operasinya akan bermula pada 2024.

“Mercedes-Benz turut memutuskan untuk melantik Tiong Nam Logistics Solutions Sdn Bhd bagi tujuan pembinaan bangunan baharu,” katanya.

Naib Presiden Perkhidmatan Global dan Operasi Komponen Mercedes-Benz AG, Thomas Schulz, berkata menerusi Pusat Logistik Perkhidmatan Selepas Jualan itu, syarikat terbabit komited dan akan terus memperuntukkan pelaburan bagi mengukuhkan kedudukannya di Malaysia.

“Kami mendapat kerjasama daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan kementerian berkaitan. Ia adalah sokongan yang hebat.

“Terletak di lokasi strategik di Johor Bahru, pusat ini dijangka akan mengukuhkan kembali kedudukan kami sebagai hab pengedaran serantau dan global, selain mewujudkan pekerjaan baharu di rantau ini,” katanya.

Pusat pengedaran baharu milik Mercedes-Benz AG itu akan menjadi sebahagian daripada jaringan rangkaian bekalan perkhidmatan selepas jualan prisnsipalnya, Daimler AG dan akan bertindak sebagai pusat pengedaran alat ganti di rantau ini dan negara lain.

Sumber: Berita Harian

Mercedes-Benz pilih Malaysia jadi pusat logistik serantau


Content Type:

Duration:

Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) milik kerajaan negeri Terengganu menyasarkan pembinaan empat lagi hospital
baharu dalam tempoh lima tahun lagi, iaitu sebahagian daripada pelan pembangunan strategiknya.

Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare Dr Rayney Azmi Ali berkata empat hospital tersebut ialah di Kemaman; Temerloh di Pahang; Kota Bharu, Kelantan dan di Pulau Pinang.

“Pembinaan hospital dalam masa terdekat ialah di Kemaman dengan kapasiti 100 katil di tanah seluas 2.18 hektar milik Majlis Perbandaran Kemaman yang dijangka bermula pada pertengahan tahun depan.

“Hospital itu dijangka beroperasi pada 2025 dengan kos pembinaan lebih RM100 juta. Apabila siap kelak, penduduk di bahagian selatan Terengganu berpeluang menikmati perkhidmatan kesihatan dan rawatan kepakaran yang berkualiti tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KMI Healthcare dengan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di sini hari ini, yang disaksikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Turut hadir Pengerusi KMI Healthcare Raja Datuk Idris Raja Kamarudin dan Yang Dipertua MPK Jusman Ibrahim.

KMI Healthcare ialah bahagian penjagaan kesihatan milik TDM Berhad, anak syarikat negeri Terengganu iaitu sebuah syarikat korporat yang tersenarai di papan utama Bursa Malaysia dengan dua bidang iaitu penjagaan kesihatan dan perladangan.

Mengulas lanjut, Dr Rayney Azmi berkata keistimewaan rangkaian hospital milik KMI Healthcare ialah menyediakan bilik persendirian yang membolehkan pesakit menikmati bilik privasi dengan perhatian jururawat perubatan secara khusus.

“Selain itu, KMI Healthcare juga cuba menerapkan konsep mesra ibadah dalam setiap cara kerja atau rawatan yang diberikan kepada pesakit. Aspirasi kami seterusnya adalah untuk menjadi rangkaian hospital yang patuh syariah dan diyakini oleh masyarakat setempat kerana kualiti perkhidmatan terbaik yang disediakan,” katanya.

Ketika ini, terdapat lima hospital di bawah rangkaian KMI Healthcare iaitu KMI Kuala Terengganu Medical Centre di sini; KMI Kuantan Medical Centre, Pahang; KMI Kelana Jaya Medical Centre, Selangor; KMI Taman Desa Medical Centre, Kuala Lumpur dan KMI Tawau Medical Centre, Sabah.

Ditanya sasaran pendapatan KMI Healthcare daripada lima hospital sedia ada, beliau berkata pihaknya menjangka pendapatan sebanyak RM220 juta sebelum akhir tahun ini.

“Setakat September, KMI Healthcare telah memperoleh RM163 juta dan kita yakin sasaran RM220 juta itu dapat dicapai dalam tempoh lebih dua bulan lagi,” katanya.

Sumber: Bernama

KMI Healthcare sasar bina empat hospital baharu menjelang 2025


Content Type:

Duration:

Penyedia perkhidmatan logistik bersepadu, Xin Hwa Holdings Bhd optimis terhadap prospek syarikat itu, didorong oleh lonjakan keperluan terhadap ruang gudang selain pemulihan perkhidmatan logistik susulan pembukaan semula sektor ekonomi.

Malah, Pengarah Urusannya Ng Aik Chuan berkata syarikat tersebut menyasarkan untuk memulakan operasi kemudahan pusat e-penunaian terbaharu di Shah Alam, menjelang akhir bulan ini.

“Pembukaan kapasiti baharu ini bertepatan pada masanya bagi merebut permintaan ketara terhadap keperluan ruang simpanan. Ini akan menambah keluasan sebanyak 300,000 kaki persegi ke atas kapasiti gudang sedia ada yang berjumlah 672,000 kaki persegi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ng berkata syarikat itu turut mendapat sambutan baik dan salah satu penyewa baharu yang juga sebuah syarikat perkhidmatan kurier dikenali, telah menyewa ruang berkeluasan sehingga 70,000 kaki persegi.

Pusat e-penunaian itu yang terletak di lokasi strategik bersebelahan Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), menawarkan kemudahan dalam bentuk bangunan pejabat tujuh tingkat serta gudang tiga tingkat.

Beliau menyifatkan bangunan serba guna itu tidak hanya sesuai bagi kegunaan simpanan kargo tetapi juga sesuai untuk mengendalikan logistik e-dagang.

Dalam pada itu, Ng berkata syarikat itu turut menambah dua lagi gudang secara pajakan bagi tempoh pasaran lebih cepat dalam usaha memanfaatkan permintaan kukuh terhadap ruang gudang tersebut.

Sebuah gudang baharu berkeluasan 100,000 kaki persegi di Klang yang dibeli pada September 2021, juga mencatatkan penyewaan penuh manakala kemudahan gudang berkapasiti 44,000 kaki persegi di Kuantan akan mula beroperasi bulan depan dengan kadar pengambilannya mencecah 100 peratus.

Oleh itu, kesemua tiga kemudahan gudang baharu di Shah Alam, Klang dan Kuantan secara keseluruhannya akan melonjakkan ruang gudang Xin Hwa sebanyak 66.1 peratus kepada 1.12 juta kaki persegi daripada 672,000 kaki persegi pada masa ini.

Bagi segmen logistiknya, Xin Hwa turut menawarkan perkhidmatan kargo projek — pengangkutan struktur besar, berat dan sukar yang memerlukan perancangan awal serba teliti dan penggunaan kenderaan khas serta tenaga kerja mahir.

“Sehubungan itu, pelaksanaan projek-projek infrastruktur mega yang disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 akan memberi peluang untuk kami. Malah, kami menjangkakan permintaan terhadap perkhidmatan kargo projek akan meningkat.

“Kami berpengalaman luas dalam bidang itu dan telah melaksanakan pelbagai tugas-tugas kargo projek untuk Transit Aliran Massa dan sektor swasta selain tugasan di Singapura dan Indonesia,” katanya.

Sumber: Bernama

Xin Hwa sasar manfaatkan permintaan terhadap ruang gudang, khidmat logistik


Content Type:

Duration:

Industri digital menawarkan 97,909 pekerjaan pada separuh pertama 2021 dan jumlah itu dijangka terus meningkat sehingga ke akhir tahun ini, demikian menurut Persatuan Teknologi Nasional Malaysia (PIKOM).

Jangkaan itu dibuat ketika unjuran PIKOM mendapati pertumbuhan gaji dalam industri berkenaan hanya berkembang 0.1 peratus pada tahun ini.

PIKOM bagaimanapun mendedahkan, walaupun wujud beberapa impak pandemik, gaji dalam industri digital masih berdaya tahan disokong pertumbuhan dalam sektor seperti e-dagang.

Pengarah Urusan JobStreet, Vic Sithasanan, berkata platform pencarian kerja terkemuka itu menjangkakan peratusan keperluan pekerja yang memiliki kemahiran dan kepakaran digital meningkat ketara berikutan permintaan tinggi terhadap peralatan dan proses digital.

“Justeru, ada keperluan mendesak kepada pekerja untuk meningkatkan kemahiran mereka dengan pengetahuan teknologi digital bersama literasi digital dan pemindahan kemahiran,” katanya dalam Laporan Penyelidikan PIKOM bersama JobStreet bertajuk ‘Unjuran Pasaran Pekerjaan Ekonomi dan Digital’.

Menurut laporan penyelidikan PIKOM, jumlah pekerjaan yang diiklankan di platform JobStreet mencecah 135,451 tahun lalu.

Dari aspek gaji pula, berdasarkan data JobStreet dan analisis serta jangkaan PIKOM, pertumbuhan gaji menunjukkan trend menurun seawal 2019 hingga 2020.

Pertumbuhan gaji tahun lalu secara purata berada pada 2.2 peratus dan dijangka meningkat 0.1 peratus tahun ini serta dua peratus pada 2022.

Pertumbuhan sederhana gaji pekerja dalam ekonomi digital itu selaras kesan langsung daripada COVID-19 termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ketidaktentuan ekonomi dan kehilangan pekerjaan.

Dari aspek perbandingan gaji di peringkat serantau dan global, kadar pertumbuhan di Malaysia dan Thailand terus merosot dengan gandaan 1.21 kali, Singapura 1.98 kali manakala Amerika Syarikat (AS) 2.1 kali.

Berdasarkan analisis, bakat digital pada peringkat pekerja kanan adalah yang paling terjejas tahun ini dari aspek kekosongan kerja dan gaji ditawarkan.

Namun, prospek lebih baik dalam pertumbuhan gaji pada jawatan permulaan hingga pengurus, manakala gaji bagi pengurus kanan tidak berubah pada tahun depan.

PIKOM turut mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih rendah tahun ini iaitu dua hingga 2.5 peratus, sebelum meningkat kepada 4.5 peratus hingga lima peratus tahun depan.

Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini bmenyemak turun unjuran KDNK negara antara tiga hingga empat peratus bagi keseluruhan tahun ini berbanding unjuran awal iaitu enam hingga 7.5 peratus.

Sementara itu, Pengerusi PIKOM, Danny Lee, berkata pandemik memacu pertumbuhan industri digital dan membentuk semula landskap e-dagang, perkhidmatan dalam talian, digitalisasi dan perhubungan.

Justeru, katanya ekonomi digital dijangka melepasi sasaran 20 peratus sumbangan kepada KDNK tahun lalu iaitu 21.7 peratus atau RM309.4 bilion.

“Bagi tahun ini, kami menjangkakan sumbangan ekonomi digital terus melonjak kepada RM331.1 bilion atau 22.4 peratus, manakala tahun depan pula dinjur meningkat kepada RM356.9 bilion atau 23.4 peratus.

“Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan pelaksanaan inisiatif 5G kerajaan akan menjadi satu lagi dorongan dalam memacu industri ini ke hadapan.

“Sektor e-dagang, perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembuatan ICT serta perdagangan ICT dan kandungan & media dijangka menjadi penyumbang utama industri digital,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Peluang kerja industri digital kekal tinggi


Content Type:

Duration:

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) antara RM600 juta dan RM700 juta untuk inisiatif digital Lapangan Terbang 4.0 bagi tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata sebahagian besar daripada peruntukan itu akan dibelanjakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun pertama pelan itu berikutan ia melibatkan menaik taraf kemudahan utama yang memberi tumpuan kepada keselamatan, pengalaman penumpang, operasi lapangan terbang dan inovasi tenaga kerja.

Beliau berkata pengendali lapangan terbang itu setakat ini telah menyelesaikan pemindahan rangkaiannya kepada seni bina rangkaian teras yang baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), dengan kos hampir RM50 juta, untuk memanfaatkan teknologi terkini seperti 5G, WiFi6 dan Internet of Things.

MAHB akan turut melaksanakan teknologi pengecaman wajah biometrik yang memberikan sehingga enam kali kecekapan semasa mendaftar masuk, serahan bagasi layan diri serta aplikasi mudah alih MYAirports yang dipertingkatkan pada akhir tahun.

“Kami ingin mempunyai ekosistem digital yang bersepadu sepenuhnya yang akan membolehkan kerjasama dan hubungan maklumat kami pada masa nyata di semua lapangan terbang kami.

“Kami ingin mempunyai pengalaman penumpang yang selamat dan bertaraf dunia di lapangan terbang kami dan memastikan aset kami dapat dijalankan dengan cekap dan mengoptimumkan proses yang kami miliki,” katanya kepada pemberita pada sesi “In Conversation with Malaysia Airports” yang diadakan secara maya pada Jumaat.

Mengulas mengenai pemulihan industri penerbangan tempatan, Mohd Shukrie berkata industri dapat mencapai paras sebelum pandemik pada suku pertama 2024 atau paling awal pada akhir 2023.

“Saya agak pasti industri tidak akan kembali kepada paras sebelum pandemik pada tahun depan,” katanya, sambil mengunjurkan Turki akan mencapai paras sebelum pandemik lebih cepat daripada Malaysia berdasarkan trafik penumpangnya yang tinggi.

Mengenai pembukaan semula sempadan, katanya MAHB sudah bersedia dan sentiasa bersedia untuk menerapkan keyakinan penumpang bagi menikmati perjalanan yang selamat.

MAHB telah menerima Akreditasi Kesihatan Lapangan Terbang global daripada Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) untuk KLIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISG) di Turki.

Langkah-langkah keselamatan di lapangan terbang ini berdasarkan standard global mengikut garis panduan Memulakan Semula dan Pemulihan Perniagaan Penerbangan ACI dan saranan Majlis Pasukan Petugas Pemulihan Penerbangan (CART) Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bersama dengan amalan terbaik industri.

Dalam perkembangan lain, katanya MAHB telah memuktamadkan cadangan untuk perjanjian pajakan tanah baharu KLIA yang lebih menarik dan dapat menangani isu menarik pelaburan langsung asing (FDI) serta hak pembangunan.

Syarikat akan turut mengemukakan cadangan mengenai pelan pembangunan semula Subang yang telah dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan, katanya.

Kedua-dua cadangan itu akan dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi, katanya.

“Apabila diluluskan, kami akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk membangunkan tanah di sekitar KLIA pada masa depan.

“Di bawah perjanjian operasi semasa dan perjanjian pajakan tanah yang kami miliki, ia tidak begitu kondusif dari segi menarik pelabur.

“Ia akan menjadi tempoh yang lebih lama berbanding pada masa ini yang agak pendek selain terma-termanya akan menjadi lebih mesra untuk menarik FDI dan untuk kami juga,” katanya.

Sumber: Bernama

MAHB peruntuk capex sehingga RM700 juta bagi inisiatif Lapangan Terbang 4.0


Content Type:

Duration:

Tri-Mode System (M) Bhd, penyedia perkhidmatan logistik bersepadu hari ini  mengumumkan  telah menerima kelulusan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk insentif cukai perkhidmatan logistik bersepadu (ILS) dan status perkhidmatan logistik bersepadu antarabangsa (IILS).

Dalam satu kenyataan, ia berkata insentif cukai ILS membolehkan Tri-Mode menikmati pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus daripada pendapatan berkanun selama lima tahun melalui status perintis insentif cukai (PS) yang diluluskan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986.

Di bawah terma dan syarat yang ditetapkan dalam surat kelulusan, Tri-Mode harus memastikan sekurang-kurangnya 60 peratus ekuitinya dipegang oleh rakyat Malaysia, mengekalkan penyediaan perkhidmatan logistik bersepadu seperti penghantaran barang, pengangkutan dan pergudangan serta menjalankan sekurangkurangnya salah satu aktiviti nilai tambah seperti pengurusan pengedaran dan rantaian bekalan, katanya.

Bagi status IILS, ia membolehkan Tri-Mode memiliki 100 peratus pemilikan ekuiti dalam mana-mana lesen ejen penghantaran barang yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Tri-Mode pada masa ini mengendalikan gudang seluas 85,485 kaki persegi yang telah berisi sepenuhnya. Gudang lain yang berkeluasan 28,000 kaki persegi sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada suku keempat 2021.

Sumber: Bernama

Tri-Mode peroleh kelulusan insentif cukai, pelesenan daripada MIDA


Content Type:

Duration:

Malaysia bersedia untuk memanfaatkan pendigitalan berikutan keperluan untuk membuat perubahan dilihat ketara semasa pandemik COVID-19, menurut Cyberview Sdn Bhd.

Ketua Bahagian Pembangunan Hab Teknologinya Shafinaz Salim menegaskan mengenai keperluan untuk mendidik perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berhubung penggunaan digitalisasi.

Beliau berkata, terdapat beberapa penyelesaian di peringkat tempatan yang boleh digunakan untuk pendigitalan.

“Malah, bagi kami di Cyberview, apabila kita bercakap tentang tonggak strategi Cyberjaya dari segi bandar pintar, kami berkongsi pengetahuan dan pengalaman kami kepada semua agensi kerajaan mengenai bandar pintar. Terdapat negeri berbeza yang mempunyai keperluan geografi dan pembiayaan yang berlainan, tidak semua mempunyai kelebihan kerana kebanyakannya berada di pinggir bandar atau di kawasan luar bandar.

“Bagaimanapun, kesemuanya teruja untuk memulakannya. Yang penting bagaimana mereka boleh melakukannya. Sebagai permulaan, di manakah mereka boleh mendapatkan bantuan, sesuatu yang tidak perlu mereka lakukan dari awal,” katanya semasa program ‘Tech Talk for 2021’ Cyberview, kali ketiga yang diadakan secara maya hari ini.

Shafinaz berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia telah bersedia untuk pendigitalan.

Sementara itu, rakan pengurusan Finnext Capital Sdn Bhd Aizat Rahim berkata PKS perlu menguruskan aliran tunai mereka dengan lebih baik dan membuat lebih banyak pelaburan dalam inovasi untuk terus maju.

“Banyak perniagaan berpendapat, ketika mereka mahu melakukan digitalisasi, ia memerlukan pelaburan yang besar…tetapi, ia tidak benar. Penyelesaian teknologi sebenarnya murah, serendah RM5 setiap bulan.

“Mereka perlu melihat apakah penyelesaian yang diperlukan dan pada masa ini juga, kerajaan telah menyediakan banyak insentif. MDEC misalnya, menyediakan geran. Kos untuk menjalankan pendigitalan sebenarnya murah,” katanya.

Bagaimanapun, rakan Itxotic Sdn Bhd, Ammar Zolkipli berkata kurangnya kumpulan kemahiran yang sesuai adalah isu jangka panjang yang tidak diselesaikan dengan lebih awal.

“Kekurangan Malaysia adalah set kemahiran. Saya berpandangan, dasar merupakan sesuatu yang tidak kita perkukuh, oleh itu perniagaan tanpa dasar yang teguh, akan cuba untuk melakukan yang termampu untuk terus beroperasi dan tidak mendorong pertumbuhan inovasi.

“Ia hanya memacu pertumbuhan hasil,” katanya.

Sumber: Bernama

Cyberview: Malaysia bersedia memanfaatkan pendigitalan


Content Type:

Duration:

Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd berhasrat untuk menyokong Malaysia dalam membangun dan memperkukuh ekonomi digitalnya di bawah kepimpinan serta pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baharu dilantik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Michael Yuan berkata sejak 20 tahun lepas, Huawei telah diberikan penghormatan untuk bersama dengan Malaysia dalam perjalanan ke arah transformasi digitalnya.

“Sepanjang tempoh itu, kami telah menyaksikan pertumbuhan mengagumkan serta sukar dipercayai berkat bakat luar biasa dan kepimpinan digital negara yang cemerlang.

“Justeru, Huawei sentiasa bersedia dan sanggup, sebagai peneraju teknologi global, untuk terus menjadi penyumbang berharga kepada kemajuan digital Malaysia menerusi kepakaran serta sumber teknologi kami, dan dalam usaha memperkukuh kedudukan negara ini sebagai Hab Digital Asean,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri yang dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan Malaysia pada 21 Ogos lepas, Yuan berkata: “Kami mendoakan agar Perdana Menteri diberikan kesihatan yang baik dan kejayaan yang cemerlang, serta memperoleh keamanan, kestabilan, kemajuan dan kemakmuran untuk rakyat Malaysia di bawah kepimpinan beliau.”

Ahli Parlimen Bera itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Sumber: Bernama

Huawei berhasrat sokong Malaysia dalam ekonomi digital di bawah PM baharu


Content Type:

Duration:

Penularan pandemik COVID-19 memberi impak yang besar bukan sahaja terhadap kesihatan rakyat tetapi juga ekonomi negara.

Pengalaman ini sebenarnya menekankan lagi keperluan kepada penguasaan teknologi baharu seperti yang digariskan di bawah Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara.

Dilancarkan pada 1 Julai lepas, Dasar 4IR Negara membawa misi  memacu pertumbuhan yang seimbang, bertanggungjawab dan mampan dengan memanfaatkan penggunaan teknologi dan inovasi.

Dasar ini  menyediakan prinsip panduan utama dan hala tuju strategik kepada kementerian dan agensi dalam penggubalan dasar dan pelan tindakan, bagi mengoptimumkan pengagihan sumber dan penyelarasan pelaksanaan dalam perkara berkaitan teknologi baru muncul yang akan memanfaatkan rakyat, sector swasta dan awam.

MEMACU PENDIGITALAN NEGARA

Dalam penjelasannya kepada Bernama, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri berkata pelaksanaan Dasar 4IR Negara adalah sangat kritikal pada masa ini, khususnya ketika negara menuju ke arah fasa pemulihan daripada pandemik.

Apatah lagi negara-negara lain sudahpun mengorak langkah secara proaktif dalam melaksanakan 4IR.

Justeru kata EPU, negara ini juga tidak boleh lagi berjuang tanpa kemahiran yang sepatutnya kerana pasaran pekerjaan semasa akan berubah mengikut perubahan teknologi, selain membantu negara bersedia dengan bidang kerja baharu pada masa akan datang.

“Melalui penerimagunaan teknologi baru muncul ini, Malaysia akan terus berada di landasan yang tepat untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, selari dengan tahap produktiviti, inovasi dan daya saing untuk maju dengan pesat.

“Utamanya, kerajaan melihat konsep penerimagunaan teknologi 4IR ini secara holistik yang merangkumi ketiga-tiga aspek kehidupan rakyat, iaitu  kehidupan, pekerjaan dan gaya hidup. Dasar 4IR Negara ini secara asasnya adalah manifestasi kehidupan rakyat yang lebih berkualiti dan mampan dalam era teknologi digital,” jelas EPU.

Menurut EPU, dasar ini juga bermatlamat meningkatkan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (MyWI) kepada 136.5 mata pada 2030, berbanding 124.4 mata pada 2018.

“Sebab itulah Dasar 4IR Negara ini mengguna pakai pendekatan berpaksikan kemanusiaan. Menerusi Dasar 4IR, kerajaan mampu teruskan usaha merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat Malaysia – antara bandar dan desa, generasi muda dan tua contohnya,” katanya.

JADI SOKONGAN KEPADA DASAR LAIN

Menurut EPU lagi, Dasar 4IR Negara secara asasnya akan memudah cara transformasi sosioekonomi melalui penggunaan teknologi 4IR secara beretika.

Dasar itu juga akan turut memacu hala tuju dasar lain dan menyokong pelaksanaan agenda negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan Rancangan Malaysia Lima Tahun.

Melalui Dasar 4IR Negara, kerajaan mampu mewujudkan ekosistem yang kondusif dalam memacu pendigitalan melalui kesepaduan teknologi dalam pelbagai bidang dan memudah cara pengenalan model perniagaan baharu, kata EPU.

Menurut EPU, kerajaan menggubal Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia bersama-sama Dasar 4IR Negara agar saling melengkapi.

“Kedua-dua dokumen ini dihubungkan di bawah MyDIGITAL, satu agenda negara bagi memastikan usaha yang telah digariskan oleh kedua-dua dasar dapat diintegrasikan dan dilaksanakan dengan jayanya bagi memberi manfaat kepada rakyat, perniagaan dan kerajaan,” katanya.

Jelasnya, menerusi transformasi pendigitalan negara, akan berlaku perubahan landskap ekonomi digital dari segi peningkatan literasi digital, kewujudan pekerjaan baharu dan berpendapatan tinggi, pengurusan perbankan dan kewangan yang lebih mudah dan teratur, akses yang lebih baik bagi pendidikan secara maya kepada anak-anak serta kemudahan mobilisasi perubatan untuk pekan terpencil.

“Contohnya, untuk menjalankan perniagaan pada zaman ini tidak perlu lagi menyewa kedai, tetapi boleh berniaga secara digital, buka kedai dalam talian di Facebook, Instagram atau WhatsApp sahaja, promosi produk atau perkhidmatan secara dalam talian. Seluruh rantaian bekalan ini dapat bergerak secara digital sepenuhnya,” kata EPU.

TANGANI MASALAH EKONOMI, PANDEMIK

Dasar 4IR Negara akan memberi tumpuan kepada 10 sektor utama serta enam sektor sokongan berdasarkan sumbangan sektor terbabit kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), di samping peranan sektor-sektor ini untuk mempengaruhi pertumbuhan sektor lain antaranya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Sektor-sektor tersebut ialah Perdagangan Borong dan Runcit; Pengangkutan dan Logistik; Pelancongan; Pendidikan; Pertanian; Penjagaan Kesihatan; Kewangan dan Insurans; Perkhidmatan Profesional, Saintifik dan Teknikal; Pembuatan serta Utiliti.

“Enam sektor sokongan pula ialah Pembinaan; Hartanah; Perlombongan dan Pengkuarian; Perkhidmatan Maklumat dan Komunikasi; Perkhidmatan Kesenian, Hiburan dan Rekreasi; serta Pentadbiran dan Khidmat Sokongan,” kata  EPU.

Mengenai PMKS, agensi itu berkata Dasar 4IR Negara menggariskan pelan yang holistik bagi membantu melonjakkan perniagaan sektor tersebut  termasuk menyediakan bantuan untuk membolehkan pengusaha PMKS memanfaatkan teknologi.  

“Daripada bantuan kewangan dalam bentuk insentif dan pembiayaan kepada khidmat nasihat dan bantuan sokongan maklumat – kerajaan akan membantu PMKS untuk bersedia,” kata EPU.

Hingga kini, sebanyak  RM20 bilion telah diperuntukkan dari segi bantuan kewangan dan bantuan bukan kewangan melalui pelbagai pakej rangsangan seperti PRIHATIN, PENJANA dan PEMERKASA untuk membantu perniagaan, terutama PMKS ke arah pendigitalan.

Sektor kesihatan juga menerima tumpuan yang amat besar di bawah Dasar 4IR Negara, khususnya bagi memerangi pandemik COVID-19, dengan kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan ketidakpadanan rantaian bekalan dan penyampaian perkhidmatan dalam industri penjagaan kesihatan menerusi penggunaan teknologi 4IR.

“Antara lain, kita akan membangunkan rangka kerja penerimagunaan teknologi yang pantas bagi teknologi 4IR berkaitan penjagaan kesihatan, selain membangunkan standard nasional dan garis panduan untuk program robotik dan dron berkaitan penjagaan kesihatan,” kata EPU.

MEMPERKASA EKONOMI DIGITAL

Sementara itu, pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed pula berpandangan  Dasar 4IR Negara adalah penerusan usaha kerajaan dalam memperkasa penggunaan teknologi dan 4IR.

Usaha ini katanya harus disokong semua pihak bagi mempercepat proses pendigitalan negara.

Beliau berkata pada masa ini, kira-kira 80 peratus rakyat Malaysia mempunyai akses kepada Internet sementara  62 peratus daripada perniagaan memanfaatkan Internet.

Angka ini berpotensi untuk meningkat pada masa depan, lebih-lebih lagi pada ketika ini berlaku keterbatasan perniagaan secara fizikal disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya.

Beliau memberi contoh langkah awal yang telah diambil oleh kerajaan, termasuk persetujuan gergasi teknologi Microsoft melabur RM4 bilion dengan pembukaan pusat data serantau pertamanya di Malaysia, yang akan menjana lebih 19,000 peluang pekerjaan baharu termasuk 4,000 atau sekitar 21 peratus peluang pekerjaan dalam bidang teknologi maklumat (IT).

Oleh itu, sokongan kerajaan dalam meningkatkan pelaburan berasaskan teknologi ini adalah selari dengan inisiatif yang dirangka dalam 4IR dan ini akan berterusan, sekali gus meningkatkan kebergantungan kepada ekonomi digital melalui 4IR, katanya.

Berhubung cadangan penambahbaikan dasar, Dr Anuar Shah Bali berkata antara yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan ialah menyediakan platform dalam talian yang boleh disertai oleh ramai usahawan bumiputera yang terjejas pendapatan disebabkan oleh PKP 3.0.

“Untuk mempercepat proses peralihan PMKS ke perniagaan dalam talian, kerajaan boleh berunding dengan penyedia pasaran dalam talian di Malaysia seperti Lazada dan Shopee untuk menyediakan lebih banyak ruang kepada usahawan terbabit menyertai platform mereka.

“Memang benar kebanyakan vendor sedia ada di platform terbabit adalah daripada PMKS, namun apa yang penting ialah kerajaan juga perlu menyediakan lebih banyak ruang, latihan dan pendedahan kepada mereka tentang dunia perniagaan secara dalam talian bagi membolehkan mereka lebih bersedia,” jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan juga boleh membantu usahawan PMKS yang mempunyai kedai fizikal dalam mempromosikan produk mereka melalui platform dalam talian dan bekerjasama dengan Lazada dan Shopee atau platform lain yang mampu menarik minat pengguna untuk membeli produk mereka. Katanya teknologi baharu yang ingin diperkenalkan juga perlulah mudah digunakan serta dilihat berguna untuk rakyat, khususnya kepada PMKS dalam menjana pendapatan masing-masing.

Beliau yakin dua perkara tersebut akan dapat membantu meningkatkan penerimaan teknologi dalam kalangan usahawan PMKS.

Sumber: Bernama

Dasar 4IR Negara Pacu Usaha Bersepadu Pembangunan Sosioekonomi


Content Type:

Duration:

Kemasukan pelajar antarabangsa ke Universiti Sains Malaysia (USM) meningkat lebih dua kali ganda di sebalik pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia ketika ini.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, jumlah kemasukan pelajar antarabangsa di USM meningkat kepada 1,086 pelajar bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, berbanding 338 pelajar bagi tempoh sama pada 2020.

“Pelbagai kaedah digunakan USM bagi memastikan peningkatan jumlah pelajar antarabangsa, antaranya mempelbagaikan aktiviti promosi secara berkala dan mempermudahkan proses pendaftaran diri pelajar secara dalam talian.

“Selain itu, USM juga meningkatkan kecekapan dalam kaedah pemprosesan permohonan dan mengoptimumkan pelbagai saluran komunikasi digital serta interaksi bersama bakal pelajar seperti e-mel, Facebook, Facebook Messenger, Sistem Pesanan Ringkas (SMS), WeChat, WhatsApp dan Zoom,” katanya baru-baru ini.

Menurutnya, kejayaan USM itu juga hasil usaha berterusan ahli akademik dan kerjasama pusat pengajian USM dalam memastikan pembelajaran dapat terus dilaksanakan dengan sebaik mungkin walaupun dalam suasana pandemik yang agak mencabar.

Antaranya ialah Institut Pengajian Siswazah (IPS); Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC); Pejabat Pembangunan Korporat Strategik; Bahagian Akademik dan Antarabangsa; Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni; Usains Holdings Sdn Bhd; Bahagian Penyelidikan dan Inovasi serta Bahagian Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM.

Turut membantu kejayaan USM, ialah pelbagai agensi luar termasuk Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Jabatan Imigresen Malaysia, katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Datuk Dr Narimah Samat berkata, sejak bermulanya pandemik Covid-19 pada awal Mac 2020, USM telah melaksanakan kaedah pembelajaran teradun (blended learning) iaitu menggabungkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dan bersemuka mengikut keperluan dan kesesuaian pelajar antarabangsa manakala penyeliaan pelajar penyelidikan dijalankan secara maya.

Katanya, bagi program ijazah tinggi, USM menerima kemasukan pelajar antarabangsa tertinggi antaranya dari China, Jordan, Iraq, Nigeria dan Pakistan.

“Bidang yang menjadi pilihan utama pelajar antarabangsa di USM pula adalah Pengurusan, Pendidikan, Sains Komputer, Bahasa Inggeris untuk Profesional dan Seni,” katanya.

Narimah berkata, usaha mempromosi kemasukan pelajar antarabangsa ijazah tinggi bagi kursus dan program berasaskan penyelidikan turut dipergiatkan secara maya, khususnya bidang Seni, Kemanusiaan, Pengurusan dan bidang lain yang kurang terkesan dengan sekatan pergerakan dalam penggunaan makmal ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pihak universiti juga memanfaatkan tempoh ‘lockdown’ makmal Sains dan Kejuruteraan dengan menjalankan kerja-kerja menaik taraf ruang dan peralatan sedia ada di beberapa fakulti yang dikenal pasti, supaya dapat memberi suasana pembelajaran dan penyelidikan yang kondusif dan terbaik untuk menarik pelajar antarabangsa menyambung pengajian di USM,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Pembangunan Korporat Strategik USM, Sabri Said berkata, pihak universiti akan terus memastikan jumlah kemasukan pelajar antarabangsa sentiasa berada pada tahap terbaik melalui kolaborasi antarabangsa dengan pelbagai rakan strategik selain menawarkan program akademik USM di luar negara.

“Usaha proaktif ini bagi memastikan USM kekal kompetitif dan menjadi destinasi pilihan pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah dan ijazah tinggi,” katanya.

Sumber: Bernama

USM terus jadi destinasi pilihan pelajar antarabangsa


Content Type:

Duration:

Kebanyakan majikan di negara ini sukar untuk mengisi jawatan berkemahiran digital di organisasi masing-masing berikutan kekurangan tenaga kerja dalam kalangan siswazah baharu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Akademi GA Sdn Bhd Andrew Pereira.

Beliau berkata banyak tugas atau jawatan dalam bidang kemahiran digital yang tidak mempunyai bekalan tenaga kerja yang mencukupi memandangkan kekosongan di pasaran telah meningkat tiga kali ganda.

“Jumlah siswazah dalam bidang digital tidak meningkat tiga kali ganda sejak tahun lepas dan kebanyakan organisasi tidak boleh mengakses tenaga kerja asing melalui kaedah yang sama dilakukan seperti sebelum pandemik, justeru, majikan sebenarnya sukar untuk mengisi jurang ini.

“Ini termasuk tugas-tugas seperti penganalisis, pembangun perisian dengan pelbagai bahasa pengaturcaraan pengekodan, pereka bentuk antara muka pengguna/pengalaman pengguna (UI/UX), saintis data, pemasar digital, pereka bentuk produk, pengurus produk serta pereka bentuk visual,” katanya dalam program The Nation bertajuk  “Dealing with rapid digitalisation” yang disiarkan di Bernama TV hari ini.

Akademi GA adalah rakan eksklusif General Assembly (GA) di Malaysia dan telah menerima hak untuk memasarkan dan menyampaikan kursus digital GA untuk manfaat pekerja tempatan dan agenda digital negara.

Ia menawarkan program untuk meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula melalui beberapa kursus seperti sains data, pemasaran digital, UI/UX, pengurusan produk, teknologi dan sebagainya.

Pereira berkata, pada masa ini Akademi GA bekerjasama dengan organisasi untuk melengkapkan pekerja mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakan proses transformasi digital dengan sokongan Khazanah Nasional Bhd dan Kementerian Pengajian Tinggi (MOHE).

“Kami membantu pelbagai agensi kerajaan untuk mengenal pasti kemahiran digital yang diperlukan agar ekonomi Malaysia terus maju dan melaksanakan program yang disasarkan dan membantu membina kemahiran-kemahiran itu.

“Kami juga bekerjasama dengan individu untuk membantu mereka memahami apakah kemahiran digital yang mereka perlukan untuk menjadikan matlamat karier mereka menjadi realiti dan menyampaikan program-program itu kepada mereka,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia masih kekurangan pekerja berkemahiran digital – Akademi GA


Content Type:

Duration:

wpChatIcon