Berita Perkhidmatan Archives - Page 3 of 24 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Equinix Akan Buka Pusat Data Di Kuala Lumpur Pada Suku Pertama Tahun Depan

Syarikat infrastruktur digital yang tersenarai di Nasdaq, Equinix Inc (Equinix) bercadang untuk membuka pusat data di Kuala Lumpur pada suku pertama tahun depan berikutan pengumumannya tahun lepas untuk menjalankan operasi di Malaysia menerusi pembukaan pusat data di Johor.

Presiden Equinix untuk Asia-Pasifik, Jeremy Deutsch berkata syarikat itu telah menyaksikan Malaysia muncul sebagai lokasi yang semakin strategik untuk infrastruktur digital global.

“Menerusi pengembangan Platform Equinix di dua bandar paling strategik di Malaysia, kami akan membolehkan perniagaan dan syarikat multinasional Malaysia dengan kehadiran (operasi) di Malaysia untuk memanfaatkan platform yang dipercayai untuk menyatukan dan menghubungkan infrastruktur asas untuk memperkasakan kejayaan mereka.

“Kami percaya kedua-dua pusat data itu akan memacu momentum pusat data sedia ada Equinix dan menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab sambungan yang dipacu secara digital,” katanya dalam satu kenyataan.

Dirangsang oleh pertumbuhan teknologi awan yang kukuh, penggunaan e-dagang dan pelaburan berterusannya dalam 5G, syarikat itu yakin Malaysia adalah salah satu pasaran pusat data yang paling pesat berkembang di rantau ASEAN dengan kebanyakan pembangunan dikaitkan dengan Johor dan Kuala Lumpur.

Equinix berkata pengembangannya dijangka menyediakan kapasiti infrastruktur digital lebih besar di Malaysia untuk menangani peningkatan permintaan daripada syarikat tempatan dan global yang berkembang di negara ini.

“Memandangkan Malaysia memasuki fasa dua Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, MyDIGITAL untuk ekonomi digital, permintaan untuk infrastruktur digital dijangka kekal kukuh.

“Menurut Synergy Research, Malaysia sudah pun menjadi pasaran lokasi bersama pusat data ketiga terbesar di rantau ASEAN dan diunjurkan mempunyai kadar pertumbuhan tahunan kompaun kira-kira 11 peratus dari tahun 2022 hingga 2027.

“Menerusi pengalaman global yang luas dalam menyokong pembangunan 5G, kemudahan baharu Equinix menyasarkan untuk mempercepatkan visi digital dibentangkan dalam pelan tindakan kerajaan, MyDIGITAL untuk mewujudkan Malaysia sebagai hab bagi penempatan bersama di ASEAN dan kuasa ekonomi digital serantau,” katanya.

Sumber: Bernama

Equinix Akan Buka Pusat Data Di Kuala Lumpur Pada Suku Pertama Tahun Depan


Content Type:

Duration:

Malaysia giat menggalakkan pelaburan dalam teknologi baharu seperti teknologi kewangan, e-dagang dan kesihatan digital, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.

Beliau berkata Malaysia telah mewujudkan sandbox kawal selia untuk menggalakkan inovasi dan menyediakan ruang selamat untuk menguji idea baharu.

“Kerajaan juga telah memperkenalkan pelbagai program insentif dan geran untuk menyokong syarikat permulaan teknologi dan menarik pelaburan langsung asing,” katanya dalam ucaptama bertajuk ‘Teknologi Memacu Perubahan’ di Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Shanghai 2023 di sini, hari ini.

MWC Shanghai 2023 diadakan dari 28 hingga 30 Jun 2023 di Shanghai New International Expo Centre, yang menyaksikan penyertaan kira-kira 300 peserta pameran, termasuk pemain global seperti Huawei.

Nie Ching berkata. kerjasama adalah kunci untuk merealisasikan sepenuhnya potensi pelaburan teknologi dan digital di Asia.

“Kami mengalu-alukan kerjasama dengan syarikat teknologi antarabangsa, pelabur dan inovator.

“Dengan bekerjasama, kami dapat memanfaatkan kekuatan, berkongsi pengetahuan dan memacu perubahan transformatif dalam industri,” katanya.

Menurutnya, syarikat yang berada di Malaysia akan dapat meneroka pasaran Asia yang luas dan memanfaatkan lokasi strategik Malaysia untuk berkembang lebih jauh ke negara jiran.

Beliau berkata, ekonomi digital adalah antara tonggak utama ekonomi Malaysia, menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2021.

“Angka ini diunjurkan meningkat kepada 25.5 peratus menjelang 2025,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia giat galak pelaburan teknologi baharu


Content Type:

Duration:

Fajarbaru Builder Group Bhd hari ini mengumumkan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk membangunkan sebuah bandar perubatan dan hab pembangunan bercampur di Bandar Cassia, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan.

Syarikat dalam satu kenyataan berkata, secara tentatif dinamakan ‘Medi-City Bandar Cassia,’ pembangunan yang dicadangkan itu terletak di atas sebidang tanah seluas 230 ekar. Antara perkara yang utama lain, Fajarbaru juga telah bersetuju untuk menggariskan model perniagaan, garis masa pembangunan, keperluan pembiayaan dan unjuran nilai pembangunan kasar pembangunan.

Sebagai sebahagian daripada MOU, Fajarbaru akan bekerjasama dengan perunding profesional dan pakar industri untuk menjalankan kajian pasaran dan kajian daya maju, membangunkan cadangan mengenai aspek teknikal dan kewangan untuk keseluruhan pembangunan.

MOU itu akan kekal berkuat kuasa selama enam bulan dari tarikh perjanjian, atau sehingga pemeteraian perjanjian muktamad antara Fajarbaru dan PDC. Fajarbaru boleh meminta pelanjutan MOU untuk tiga bulan lagi, tertakluk kepada kelulusan PDC.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fajarbaru, Datuk Seri Eric Kuan Khian Leng, berkata pihaknya berbesar hati diberi peluang untuk bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dalam pembangunan utama ini.

“Bandar perubatan ini bakal mewakili satu peristiwa penting dalam evolusi penjagaan kesihatan dan teknologi, menghimpunkan minda yang cemerlang, infrastruktur terkini dan ekosistem yang kondusif untuk penyelidikan dan pembangunan.

“Apabila siap, Medi-City Bandar Cassia akan berfungsi sebagai hab perubatan yang menyediakan perkhidmatan eko-pelancongan dan perniagaan global dengan kemudahan termasuk hospital, kampus perubatan, hab bekalan perubatan, suite korporat, pusat pemulihan, perkampungan persaraan, pusat kesihatan dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Beliau menambah, matlamat kumpulan adalah untuk membangunkan bandar perubatan yang berintegrasi ke dalam komuniti, menyumbang kepada kesihatan, kesejahteraan dan ekonomi masyarakat sekeliling, di samping menarik pelancong perubatan dari seluruh dunia.

“Akhirnya, kami berhasrat untuk mempromosikan Pulau Pinang sebagai hab perubatan serantau dan global, melalui Medi-City Bandar Cassia.

“Cadangan kami juga termasuk elemen bukan perubatan, runcit, hotel, kediaman, hab komersial, komponen rekreasi dan sistem pengangkutan bersepadu. Dari segi infrastruktur pengangkutan, kami akan dapat memanfaatkan pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, serta sistem infrastruktur yang dibina sebagai sebahagian daripada pembangunan Medi-City Bandar Cassia.

“Kami percaya kami telah merumuskan cadangan yang sangat strategik dan komprehensif yang akan meningkatkan lagi nilai tanah di Bandar Cassia,” katanya.

Menurutnya lagi, cadangan itu akan mewujudkan pelbagai jalan untuk pendapatan berulang jangka panjang untuk PDC, dan seterusnya, Negeri Pulau Pinang.

“Kita boleh menjangkakan sejumlah besar peluang pekerjaan akan diwujudkan, dengan kesan positif terhadap KDNK Pulau Pinang.

“Saya percaya projek ini akan membantu mengubah Pulau Pinang menjadi bandar antarabangsa, selaras dengan visi Kerajaan Negeri untuk masa depan Pulau Pinang.”

“Pembangunan Medi-City Bandar Cassia akan memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan ekonomi tempatan dan meletakkan Pulau Pinang sebagai peneraju serantau dan antarabangsa dalam sektor penjagaan kesihatan dan teknologi,” katanya.

Tambahan pula, penubuhan kemudahan penyelidikan perubatan dan institusi pendidikan akan memacu inovasi dan keusahawanan, menarik pelaburan dan memupuk ekosistem yang bertenaga.

Selaras dengan agenda kerajaan untuk menggalakkan pembangunan mampan, Medi-City Bandar Cassia akan direka bentuk untuk meminimumkan kesan alam sekitar. Daripada bangunan hijau kepada penyepaduan sumber tenaga boleh diperbaharui, Medi-City Bandar Cassia akan berinspirasi untuk memiliki persekitaran pintar dan mesra alam yang merangkumi prinsip kemampanan.

Sumber: Berita Harian

Fajarbaru, PDC bangun bandar perubatan Batu Kawan


Content Type:

Duration:

Anak syarikat milik penuh IJM Corp Bhd (IJM) memenangi kontrak bernilai RM653.6 juta untuk membangunkan fasa satu Hab Logistik Antarabangsa Shah Alam (SAILH).

IJM dalam satu kenyataan hari ini berkata, projek itu, yang diberikan oleh Global Vision Logistics (GVL) kepada IJM Construction Sdn Bhd, akan mewujudkan hab logistik bertauliah hijau pertama di negara ini, antara yang terbesar di rantau ASEAN.

“Pembinaan dijadualkan bermula menjelang suku ketiga tahun ini dengan anggaran siap dalam tempoh 26 bulan.

“Apabila siap fasa pertama pada 2025, pembangunan itu akan mempunyai keluasan 2.8 juta kaki persegi,” katanya.

Terletak di tapak seluas 28.73 hektar di Shah Alam, fasiliti itu akan menampilkan infrastruktur logistik yang canggih, teknologi dan sistem termoden serta pelbagai elemen yang mesra alam.

Fasa pertama SAILH merangkumi kompleks gudang setinggi empat tingkat, kemudahan tempat letak kereta empat tingkat dan pejabat satu tingkat di samping bangunan tambahan termasuk kerja-kerja pengujian dan pentauliahan.

Kontrak SAILH mengukuhkan lagi tempahan dalam tangan IJM Construction kepada RM5.1 bilion, yang terdiri daripada gabungan projek sektor swasta serta awam berprofil tinggi dalam pembinaan bangunan dan kejuruteraan awam.

“Kerjasama dengan GVL membolehkan kami mewujudkan hab logistik bertaraf dunia yang bukan sahaja sejajar dengan komitmen sifar bersih syarikat tetapi juga menetapkan penanda aras industri yang baharu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan IJM, Lee Chun Fai.

Berdasarkan kenyataan itu, SAILH akan menggabungkan ciri-ciri mesra alam bermula daripada pembinaan kepada fasa operasi termasuk penggunaan bahan binaan rendah karbon semasa pembinaan sehingga kepada pemasangan panel solar, kelengkapan air dan pencahayaan, lif termasuk sistem penyejukan udara yang cekap tenaga.

Sumber: Bernama

IJM dapat kontrak bina Hab Logistik Antarabangsa Shah Alam


Content Type:

Duration:

Malaysia berpotensi untuk berkembang menjadi hab penyimpanan bahan api hijau serantau dengan sokongan industri dan kerajaan, menurut kajian oleh Kerajaan Australia melalui Perkongsian untuk Infrastruktur (P4I).

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia berkata ini adalah bersandarkan penemuan awal kajian berterusan yang dikongsi oleh pakar maritim P4I Dr Jonathan Beard pada Persidangan Perkapalan Hijau yang berlangsung sempena Minggu Maritim Malaysia baru-baru ini.

“Kajian itu juga mendapati metanol merupakan bahan api hijau pilihan yang menerima pelaburan paling banyak daripada syarikat perkapalan,” menurut kenyataan itu.

Kajian melalui P4I itu dilaksanakan atas permintaan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) supaya lebih memahami penyimpanan sifar karbon selain meneroka potensi tapak mengisi minyak hijau di Malaysia.

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Malaysia mengambil bahagian sebagai rakan kongsi dalam kajian rintis itu.

“Kami berharap kejayaan pelaksanaan inisiatif ini akan menjadi pengubah cara dalam mentransformasikan industri maritim serantau dan seterusnya menggalakkan peluang untuk Malaysia menerajui bidang penghapusan karbon maritim,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen dalam kenyataan itu. 

Sumber: Bernama

Malaysia berpotensi jadi hab penyimpanan bahan api hijau serantau


Content Type:

Duration:

Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) yang akan menggariskan strategi menyeluruh dan inisiatif berimpak tinggi bagi mempercepat usaha peralihan tenaga negara disasar dilancarkan pada separuh kedua tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia sebahagian usaha bagi mencapai sasaran Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC), yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Dasar Tenaga Negara 2021-2040 (NEP 2040).

Dokumen dasar itu, secara strategik akan memeta arah ke hadapan dan menggariskan keutamaan bagi sektor tenaga pada masa akan datang serta meletakkan sektor itu sebagai pemangkin utama dalam pembangunan sosio ekonomi serta Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040.

“Bagi melaksanakan dasar ini dengan jayanya, sehingga mencapai manfaat penuh daripada kemajuan sosio ekonomi yang penting bagi negara, kerajaan sedang membangunkan beberapa beberapa pelan hala tuju strategik, dengan yang paling penting adalah NETR.

“Ia akan dilengkapkan dengan HETR, yang akan membuka jalan kepada pencapaian kemampanan alam sekitar, keselamatan tenaga jangka panjang di Malaysia, yang dipacu inovasi teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Energy Asia 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab setiap negara terhadap sasaran iklim global secara keseluruhan, Malaysia menyemak semula NDC bagi mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau kepada 45 peratus menjelang 2030, berbanding yang ditetapkan pada 2005.

Selain itu, katanya Malaysia terus melihat gas asli memainkan peranan penting dalam campuran tenaga dan sebagai salah satu daripada hidrokarbon terbakar paling bersih untuk beralih ke arah ekonomi karbon rendah.

Pada masa sama, Anwar berkata negara juga menyedari kepentingan menguruskan pelepasan metana sebagai gas rumah hijau yang sangat berkesan dan mengurangkan pelepasan gas itu sebanyak 30 peratus menjelang 2030.

“Industri kita yang berpengalaman juga menawarkan beberapa pendekatan semula jadi kepada yang boleh diperbaharui dan ekonomi karbon yang lebih rendah.

“Sebagai pengeluar tradisional gas asli dan gas asli cecair (LNG), hidrogen adalah langkah semula jadi seterusnya dalam rantaian nilai dan menawarkan laluan berpotensi untuk pertumbuhan ekonomi seterusnya,” katanya.

Bagi membangunkan keupayaan tenaga kerja tempatan, terutama belia, Perdana Menteri berkata Malaysia melaksanakan pelbagai program, termasuk menyokong program latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) bagi melengkapkan modal insan dengan kemahiran diperlukan.

“Usaha dan inisiatif ini akan membuka lebih banyak potensi kepada ekonomi Malaysia, peluang kepada pertumbuhan untuk semua, sejajar dengan rangka kerja Malaysia Madani,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Dua pelan hala tuju peralihan tenaga akan dilancar tahun ini


Content Type:

Duration:

Sarawak mempunyai potensi terbesar dalam negara ini untuk membangunkan sektor tenaga boleh baharu, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata agenda peralihan tenaga yang menjadi tumpuan kerajaan Sarawak ketika ini juga adalah seiring dengan kerajaan Persekutuan terutama dalam membina kedudukan Malaysia sebagai peneraju peralihan tenaga serantau.

Beberapa keputusan yang dibuat di peringkat Persekutuan setakat ini juga telah membolehkan kerajaan Sarawak mempercepat beberapa projek besar di negeri ini.

“(Projek besar itu) termasuk usaha mengeksport tenaga boleh baharu (secara) rentas sempadan serta penyerapan dan penyimpanan karbon (CCS),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) bersama kerajaan Sarawak di sini, pada Sabtu.

Pada 31 Mei lepas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata tenaga hidro akan masih menjadi tumpuan utama sumber tenaga Sarawak.

Beliau berkata sumber asli negeri yang banyak terutama daripada hujan yang lebat dan sungai menawarkan persekitaran terbaik untuk pembangunan tenaga boleh baharu seperti tenaga hidro.

Sumber: Bernama

Sarawak ada potensi besar dalam sektor tenaga boleh baharu – Rafizi


Content Type:

Duration:

Kerajaan sedang menyediakan dasar dan undang-undang berkaitan aspek keselamatan data dan siber yang lebih baik sebagai langkah menjadikan Malaysia sebagai hab digital Asia, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Sehubungan itu, beliau berkata, usaha seperti melakukan pindaan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan meneliti Rang Undang-Undang Omnibus sedang dilaksana untuk menjadikan dasar digital negara lebih komprehensif.

Beliau berkata, langkah itu kerana Malaysia kini menjadi lokasi pilihan pelabur asing dalam sektor digital, malah kedudukan Malaysia di tangga ke-27 dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2023 membuktikan negara menjadi perhatian syarikat asing dan pemain industri untuk melabur.

“Ramai pelabur melihat Malaysia sebagai destinasi yang selamat dan mereka yakin dengan dasar negara… ini memungkinkan kita menjadi hab digital serantau di rantau Asia.

“Malaysia boleh menjadi gerbang digital kepada rantau ini… kalau sektor pelancongan kita ada slogan Malaysia Truly Asia, untuk sektor ini kita boleh ketengahkan slogan seperti Digital Malaysia: Malaysia Through To Asia… iaitu negara sebagai gerbang digital kepada Asia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Persatuan Digital Malaysia 2023 di sini pada Khamis.

Selain itu, Fahmi berkata, Malaysia juga perlu bekerjasama dengan negara lain di rantau Asia Tenggara untuk membangunkan protokol perkongsian data merangkumi aspek data sovereignty and portability.

Katanya, langkah itu akan melengkapkan ekosistem ekonomi digital negara dan rantau ini, sekali gus memungkinkan berlakunya dekad emas digital bagi negara dan Malaysia mungkin boleh menjadi ‘Harimau Digital Asia’.

Terdahulu, beliau merasmikan program yang akan berlangsung selama dua hari sehingga esok, menghimpunkan syarikat dan pemain industri digital tempatan bagi meneroka hala tuju sektor berkenaan mendepani cabaran dan keperluan global.

Turut hadir pada program itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz dan Presiden Malaysia Digital Association (MDA), Eileen Ooi.

Sumber: Sinar Harian

Malaysia sebagai hab digital Asia, gubal dasar lebih baik


Content Type:

Duration:

Lebih banyak syarikat di Malaysia sedang meneroka dan mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) generatif ke dalam operasi perniagaan mereka, kata IBM Malaysia.

Berdasarkan kajian Institut Nilai Perniagaan IBM, lebih 40 peratus profesional ICT melaporkan bahawa organisasi mereka sedang meneroka secara aktif penggunaan AI generatif bagi memacu pertumbuhan perniagaan.

Pengarah Urusan dan Peneraju Teknologi IBM Malaysia Catherine Lian memberitahu agak mengejutkan apabila hampir satu pertiga daripada syarikat yang dikaji telah menyepadukan AI generatif, menetapkan penanda aras baharu dalam inovasi dan kejayaan. Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata kerajaan harus dipuji kerana meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam bidang AI.

“Kerajaan patut dipuji apabila memberikan tumpuan terhadap AI sebagai pemacu utama untuk pemulihan ekonomi, inovasi dan merapatkan jurang digital,” kata Lian.

“Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Malaysia 2021-2025 (AI-Rmap) dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MDEB) mencerminkan visi kerajaan dalam menyepadukan AI merentas sektor, memupuk peningkatan produktiviti, menarik pelaburan antarabangsa selain merapatkan jurang dengan negara maju,” tambahnya.

IBM percaya bahawa AI menawarkan potensi yang besar untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan sasaran dasar Revolusi Perindustrian Nasional 4.0 (4IR) bagi peningkatan output sebanyak 30 peratus menjelang 2030 menggariskan peranan penting teknologi AI.

IBM kekal komited dalam menyokong inisiatif AI Malaysia dan menyumbang kepada pembangunan ekosistem AI yang bertenaga serta berjaya di negara ini sambil membina masa depan digital yang makmur dan inklusif untuk Malaysia.

Resepi kepada penggunaan AI yang berjaya ialah data , kata syarikat itu. “Tetapi tidak cukup dengan hanya mengumpul dan menyimpan jumlah data yang besar, perniagaan perlu mengakses, mentadbir serta menggunakan data ini dengan lancar dan selamat untuk memacu transformasi digital.”

Walaupun sesetengah organisasi telah cuba menguruskan kerumitan ini dengan memindahkan data mereka ke repositori pusat, Lian berkata “realitinya adalah model salin dan tampal dalam pengurusan data adalah proses yang tidak cekap serta mahal”.

Bagi menangani cabaran ini, IBM telah memperkenalkan pendekatan baharu yang dipanggil strategi “fabrik data”, yang merupakan pendekatan bersepadu kepada pengurusan data yang mengintegrasikan sumber dan format data yang pelbagai dengan lancar.

Ia memecahkan silo data, membolehkan organisasi mengakses dan menganalisis data dari pelbagai lokasi dalam masa sebenar.

Sumber: Bernama

Lebih banyak syarikat di Malaysia guna kecerdasan buatan – IBM


Content Type:

Duration:

Kementerian Komunikasi dan Digital menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memfokuskan usaha menarik pelaburan langsung asing dan domestik bernilai tinggi dalam bidang digital tertentu seperti kecerdasan buatan (AI) dan analitis data raya.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata bidang lain termasuk Internet benda (IoT), blok rantai, keselamatan siber, teknologi dron, teknologi media kreatif termasuk realiti lanjutan dan realiti campuran.

“Secara kolektif, kerajaan melalui MDEC telah memperuntukkan jumlah keseluruhan RM238 juta di bawah bajet Rancangan Malaysia ke-12 sebagai pelaburan awam ke dalam sembilan sektor Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN) dengan memberi fokus kepada pembangunan industri seperti infrastruktur digital, pendidikan dan memberikan kemahiran kepada rakyat untuk berjaya dalam ekonomi digital.

“Sebanyak RM45 juta daripada jumlah peruntukan digunakan untuk meningkatkan kebolehupayaan teknologi seperti teknologi blok rantai, automasi, AI dan lain-lain, manakala RM50 juta daripada jumlah peruntukan adalah melalui geran padanan digital,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr. Wan Martina Wan Yusoff mengenai senarai prospek pelaburan digital yang telah dikenal pasti dan sektor yang terlibat di bawah pelaburan bernilai RM1 bilion semasa pelancaran PEMANGKIN pada 17 April lepas.

Sembilan sektor digital tumpuan khusus di bawah PEMANGKIN pertanian, pelancongan, kandungan, kesihatan, perbandaran, kewangan, perkhidmatan, perdagangan dan ekonomi Islam.

Sumber: Bernama

Kerajaan fokus tarik pelaburan bernilai tinggi bidang digital AI, data raya


Content Type:

Duration:

Kerjasama pemain industri dengan institusi program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu dipertingkatkan, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata TVET memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah pengangguran belia kerana ia menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan industri.

“Industri seharusnya lebih terlibat dalam membantu mengembangkan program latihan bagi pelajar TVET dan perlu memberi sokongan dalam penyediaan kemudahan serta infrastruktur seperti menawarkan peralatan dan teknologi terkini untuk pengajaran dan pembelajaran.

“Kerjasama dengan industri juga membolehkan institusi TVET menawarkan program lebih berkualiti dan relevan dengan keperluan pasaran kerana mereka adalah pihak paling mengetahui permintaan industri,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Konvokesyen dan Pentauliahan Kemahiran Malaysia Kolej Yayasan Pahang (KYP) Advanced Skills 2023 di Dewan Utama Majlis Bandaraya Kuantan di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Skills Sdn Bhd Datuk Dr Ahmad Munawar Abdul Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang (YP) Datuk Mahmud Mohd Nawawi.

Wan Rosdy berkata kerjasama erat pihak industri juga dilihat dapat meningkatkan kecekapan dan produktiviti kerana pekerja yang berkualiti serta terlatih mampu meningkatkan prestasi sekali gus mengurangkan kos operasi.

Pada ucapannya, Wan Rosdy juga berbangga dengan usaha sama YP, KYP Advanced Skills dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang melaksanakan program Tahfiz Mahir dengan tajaan penuh YP, bagi memperluaskan bidang kemahiran dalam kalangan penuntut tahfiz untuk memberi jaminan kerja dengan latihan yang diiktiraf di peringkat nasional.

“Bagi tujuan itu, kerajaan negeri menerusi Belanjawan Pahang 2023 memperuntukkan RM1 juta bagi pembangunan institusi latihan kemahiran baharu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional Maahad Tahfiz di Penor (Kuantan),” katanya.

Pada majlis itu, seramai 290 graduan menerima sijil terdiri daripada 154 penerima Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil Kemahiran Malaysia manakala 136 lagi menerima pentauliahan kemahiran Malaysia.

Sumber: Bernama

TVET: Kerjasama pemain industri perlu dipertingkat


Content Type:

Duration:

Isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) semakin penting bagi perniagaan, perdagangan serta pelaburan, dan negara yang berjaya melakukan peralihan tenaga di samping memperoleh kecekapan ESG serta teknologi hijau pula akan maju manakala pihak yang gagal akan ketinggalan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata menurut laporan Tinjauan Peralihan Tenaga Malaysia yang disediakan oleh Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa (Irena), Malaysia memerlukan pelaburan bernilai RM637 bilion sehingga 2050 untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu (TBB).

Beliau berkata untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih pada 2050, Malaysia memerlukan pelaburan sedemikian untuk memasang sistem baharu, menaik taraf grid dan memasang lebih banyak panel solar pada masa hadapan.

“Lebih banyak loji (jana kuasa) hidrogen dan loji (jana kuasa) hidro mini serta (infrastruktur) penyimpanan bateri diperlukan untuk menjadikan kita lebih bersedia bagi TBB supaya kita boleh bergerak maju.

Pada masa ini kapasiti kita untuk TBB, jika merangkumi (loji jana kuasa) hidro besar adalah 25 peratus. Kita masih banyak bergantung kepada bahan api fosil seperti arang batu dan gas asli.

“Kita berusaha dan telah mengumumkan tiada loji jana kuasa arang batu baharu di Malaysia selain akan menggunakan sumber tenaga baharu. Buat masa ini, kita melihat gas asli cecair sebagai satu bentuk penyambung memandangkan kita bergerak ke arah sifar bersih,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Hijau MIDF 2023.

Nik Nazmi berkata Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) sedang merangka Akta Perubahan Iklim yang akan menetapkan satu kerangka undang-undang berkaitan mitigasi perubahan iklim dan mekanisme pematuhan.

Sumber: Bernama

Negara yang berjaya laksana peralihan tenaga, kuasai ESG akan makmur


Content Type:

Duration:

Pembabitan Malaysia di Minggu Teknologi London (LTW) bakal mengukuhkan lagi kedudukan negara dalam bidang teknologi digital terutama sebagai hab pemprosesan data dan perkhidmatan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata LTW yang berfungsi sebagai platform mempamerkan inisiatif terbaharu digital dapat memupuk perkongsian antarabangsa dalam memacu inovasi dan merapatkan jurang digital.

“Saya teruja menyertai LTW ini. Antara perkara yang hangat dibincangkan adalah aspek tenaga kerja.

“Di United Kingdom (UK), jumlah tenaga kerja yang tidak mencukupi dalam bidang IT mencecah 2.5 juta orang. Saya lihat kalau di UK pun hadapi masalah ini apatah lagi kita di Malaysia,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis perasmian LTW di sini hari ini.

Beliau berkata, Malaysia yang berada di posisi strategik ekonomi digital dengan akses kepada 600 juta populasi Asean dan KDNK sebanyak AS$3.0 trilion perlu segera menangani isu ini.

Sepanjang LTW, Fahmi akan menyertai beberapa sesi meja bulat bersama tokoh serta eksekutif perniagaan selain menyampaikan ucaptama dan menjadi ahli panel forum.

LTW yang berlangsung dari 12-16 Jun menghimpunkan pemain industri digital dunia membuka tirai pagi ini di London.

Berlangsung di Queen Elizabeth II Centre, LTW dirasmikan Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak dan Datuk Bandar London, Sadiq Khan.

Lebih 30,000 pengunjung termasuk pemain industri digital disasar hadir selain pemula niaga dan pelabur.

Pembabitan Malaysia menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) diketuai Fahmi, dan ia kesinambungan daripada penyertaan pada edisi penganjuran tahun lalu.

Beberapa peluang baharu dijangka diraih menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman antara MDEC dengan UK-ASEAN Business Council dan International Data Center Authority yang bekerjasama dengan Commonwealth Enterprise and Investment Council.

Turut jadi perhatian adalah pengumuman pelaburan daripada 10 syarikat United Kingdom.

Malaysia menyasarkan sektor pelaburan ekonomi digitalnya mencapai RM130 bilion menjelang 2025.

Sumber: Bernama

Minggu Teknologi London platform pupuk kerjasama digital antarabangsa – Fahmi


Content Type:

Duration:

Mentri Besar, Trengganu (Incorporated) (MBI) dan PETRONAS Gas Bhd (PGB) menjalin kerjasama strategik meneroka potensi berkaitan dengan cadangan pembangunan loji jana kuasa hidro mini dan cadangan pengurusan operasi dan penyenggaraan terminal di Terengganu.

MBI dalam satu kenyataan berkata, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) menandakan langkah awal kerjasama antara kedua-dua pihak bagi mengukuhkan pembangunan ekonomi di negeri itu.

Kedua-dua pihak akan membuat penilaian bersama ke atas kebolehlaksanaan cadangan pembangunan berkenaan.

MBI dan PGB memeterai MoU itu dalam satu majlis yang dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di sini, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, berkata beliau yakin terhadap jalinan kerjasama strategik oleh kedua-dua belah pihak yang selaras dengan pelan dan aspirasi Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, kerjasama itu dijangka akan membuka peluang baharu dan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat Terengganu, sejajar dengan matlamat pelan jangka masa panjang yang diberi nama Pelan Induk Terengganu Sejahtera atau singkatannya PITAS 2030.

Sementara itu, MBI berkata, pembangunan loji jana kuasa hidro kecil yang dicadangkan melalui anak-anak sungai di daerah Dungun adalah seiring dengan teras strategik 9 PITAS 2030 iaitu Pengukuhan Infra, Pemerkasaan Teknologi Hijau dan Pengawalan Impak Bencana.

“Projek itu dilihat sebagai penyelesaian tenaga boleh baharu (TBB) yang kritikal dalam menjadi penyelesaian cabaran bekalan elektrik terutamanya bagi kawasan luar bandar yang terpencil,” katanya.

Cadangan kerjasama pengurusan, operasi dan penyenggaraan terminal oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Terengganu pula dilihat sebagai satu langkah strategik dan berimpak.

Jika dapat direalisasikan dengan jayanya, ia bakal membuka ruang pemerkasaan ekonomi bukan sahaja buat organisasi terbabit, tetapi juga buat komuniti setempat melalui penawaran peluang pekerjaan dan perkongsian kemahiran teknikal.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pesama Timber Corporation Sdn Bhd (Pesama), anak syarikat Golden Pharos Bhd (GPB) dengan Forest Avenue International (Forest Avenue) untuk meluaskan segmen pengkomersilan kayu siap dibentuk di pasaran.

Kerjasama itu membolehkan Pesama menghasilkan produk yang memberi nilai tambah, manakala Forest Avenue akan memberikan garis panduan kepada Pesama berkaitan spesifikasi produk, kemahiran tenaga kerja dan teknologi serta kerjasama lain dari masa ke masa.

Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos, Dr Mohd Zaki Hamzah, berkata kerjasama terbaharu itu membolehkan syarikat memperkukuh dan memperluaskan lagi kehadirannya di pasaran antarabangsa terutama di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Beliau berkata, Golden Pharos juga mempunyai pensijilan perkayuan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, sekali gus membolehkannya mengeksport produk perkayuan ke luar negara.

Sumber: Berita Harian

MBI, PETRONAS Gas teroka potensi kerjasama di Terengganu


Content Type:

Duration:

NEXTDC Ltd Australia merancang untuk melabur kira-kira RM3 bilion dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang melalui pembangunan Kuala Lumpur 1 (KL1), sebuah pusat data diperakui Tahap IV di Petaling Jaya, Selangor.

Pengendali pusat data terkemuka itu dalam satu kenyataan hari ini berkata KL1 memenuhi piawaian industri tertinggi di seluruh dunia dan dijangka menarik penyedia perkhidmatan teknologi global yang mencari keupayaan Tahap IV.

“Malaysia telah dipilih sebagai destinasi pertama untuk operasi syarikat di luar negara dengan pembinaan KL1.

“Syarikat itu juga komited kepada kemahiran digital dan inisiatif pendidikan untuk membantu memperkasakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan tenaga kerja digital di Malaysia untuk memacu kelebihan daya saing Malaysia di Asia,” kata NEXTDC.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata keputusan pelaburan baharu NEXTDC itu mencerminkan keyakinan terhadap ekosistem pelaburan dan perniagaan Malaysia.

Beliau berkata pelaburan itu mengesahkan semula reputasi Malaysia yang semakin meningkat sebagai destinasi pelaburan pusat data utama dan kedudukan negara sebagai hab digital pilihan di Asia Tenggara.

“Sebagai komponen sokongan ekonomi digital, inisiatif strategik NEXTDC juga sejajar dengan Dasar Pelaburan Baharu kami yang berhasrat untuk mewujudkan pertumbuhan sosioekonomi yang lebih mampan, seimbang dan inklusif pada masa depan.

“MITI dan agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) komited untuk memudahkan kejayaan inisiatif strategik NEXTDC di Malaysia khususnya ke arah membantu kami mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan rantaian bekalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) domestik yang lebih aktif,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), kerajaan akan menyokong penuh kehadiran NEXTDC dan pertumbuhan industri pusat data melalui pelbagai inisiatif di bawah Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN).

p>“Dengan memperkenalkan kampus pusat data baharu mereka, NEXTDC bukan sahaja memperkukuh infrastruktur digital Malaysia tetapi juga mempercepatkan transformasi digital kami yang sedang berjalan ketika ini.

“Langkah ini mencerminkan keyakinan yang tidak berbelah bahagi dalam ekosistem pusat data kami yang kukuh dan kumpulan bakat (tenaga kerja) berkemahiran dalam digital dan infrastruktur bertaraf dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri komited sepenuhnya untuk menyokong pelabur berimpak tinggi seperti NEXTDC.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Dr Justin Lee pula berkata kerjasama ekonomi digital adalah keutamaan di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) Australia-Malaysia.

“Kemasukan NEXTDC ke Malaysia dan pasaran Asia yang lebih luas adalah pencapaian penting, meningkatkan aspirasi ekonomi digital Malaysia dengan melabur dalam infrastruktur dan kemahiran kritikal untuk menarik syarikat teknologi utama,” katanya.

Ahli Parlimen Australia kelahiran Malaysia Sam Lim berkata kerajaan Australia komited untuk meningkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan, pelaburan dengan Malaysia serta rantau ini.

“Ini menyediakan pasaran dan peluang baharu yang menarik untuk perniagaan Australia. Saya mengharapkan banyak perniagaan Australia Barat mendapat manfaat menerusi hubungan penting ini.

“Strategi Ekonomi Asia Tenggara Australia yang akan datang pada 2040 akan mengukuhkan penglibatan ekonomi negara dengan Asia Tenggara dan meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala,” katanya.

Beliau adalah Ahli Parlimen Tangey di Perth, Australia Barat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif NEXTDC Craig Scroggie, kemudahan KL1 baharu itu akan menampilkan penanda aras kemampanan terkemuka dunia dan piawaian infrastruktur kritikal.

“Majlis khas ini menandakan permulaan pengembangan serantau NEXTDC di seluruh Asia dan kami teruja dengan sumbangan pelaburan strategik untuk membentuk masa depan infrastruktur digital dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan teknologi di Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

NEXTDC akan labur RM3 bilion di Malaysia dalam tempoh lima hingga 10 tahun


Content Type:

Duration:

Teknologi awan dan pusat data memainkan peranan besar dalam memajukan inisiatif Digital Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata teknologi awan dan pusat data adalah antara perkara asas untuk mencapai sumbangan ekonomi digital sebanyak 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025.

“Kementerian ini telah memperjuangkan Dasar Utamakan Awan dan menyaksikan penerimagunaan teknologi awan oleh sektor awam semakin berkembang.

“Pelabur juga akan mendapati kita komited untuk menyediakan insentif cukai dan infrastruktur keselamatan yang wajar, kemudahan tenaga hijau dan lokasi untuk pusat data,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan Invest Malaysia Siri 2 bertemakan ‘Digital Malaysia: Infrastruktur Esok, Hari Ini’ di sini, pada Rabu.

Fahmi berkata Malaysia adalah antara pasaran pusat data paling maju di Asia Tenggara.

“Anda pastinya mengetahui mengenai pengumuman berkaitan pelaburan besar yang dibuat oleh syarikat global seperti Amazon, Microsoft, Bridge Data Centres, Keppel Data Centres, Google dan Alibaba.

“Organisasi penganalisis pasaran, Arizton menganggarkan nilainya akan meningkat kepada US$1.57 bilion (US$1=RM4.59) pada 2027,” katanya.

Beliau berkata selain itu penting untuk meneliti teknologi 5G dan awan dalam konteks inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang lebih luas, menghubungkan semua rakyat Malaysia kepada janji bahawa ekonomi digital sebagai pemacu utama yang akan membantu membawa kemajuan saksama.

Sumber: Bernama

Teknologi awan, pusat data main peranan besar dalam Digital Malaysia – Fahmi


Content Type:

Duration:

Terengganu berpotensi tinggi untuk menerima limpahan besar daripada industri penyahkarbonan yang sedang dirintis kerajaan Pusat.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, telaga-telaga minyak kosong ekoran kehabisan sumber petroleum di perairan negeri tersebut boleh dijadikan sebagai pusat penyimpanan bahan mentah industri teknologi hijau berkenaan.

“Kerajaan Pusat mahu menjadikan negara sebagai peneraju ekonomi hijau di rantau ini kerana ia merupakan pelaburan paling besar dunia sejak 2021.

“Ada potensi besar di Terengganu dengan menukar industri minyak dan gas di Kerteh menjadi industri hijau menggunakan telaga minyak sedia ada (yang telah kosong),” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bersama kerajaan negeri Terengganu.

Rafizi berkata, telaga minyak kosong itu akan diisi dengan karbon dioksida sama ada dalam dan luar negara sebelum mengalami proses suntikan penyahkarbonan.

Jelas beliau, industri itu mendapat permintaan tinggi kerana ekonomi hijau yang lebih mesra alam kini semakin menjadi keutamaan global.

“Ikutkan fasiliti Petronas di Kerteh (Kemaman) hanya bersedia beroperasi (untuk industri penyahkarbonan) pada tahun 2030 tetapi kerajaan mahu ia dipercepatkan pada 2028.

“Sehubungan itu, kerajaan akan mengubal akta baharu bagi merangsang industri tersebut secepat mungkin,” katanya.

Rafizi berkata, penggubalan undang-undang tersebut bertujuan merangsang kemasukan pelabur asing bagi industri beteraskan teknologi hijau berkenaan.

Sumber: Kosmo

Terengganu berpotensi menerajui industri penyahkarbonan


Content Type:

Duration:

Cabang penjagaan kesihatan TDM Bhd iaitu Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (SEDC Perlis) bagi pembangunan perkhidmatan kesihatan di Perlis.

Menurut satu kenyataan bersama, kedua-dua pihak berhasrat untuk meneroka peluang pembangunan hospital atau kemudahan kesihatan swasta di negeri Perlis.

“Butiran lanjut akan ditentukan selepas penyelidikan lebih teliti oleh kedua-dua pihak,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare Dr Rayney Azmi Ali berkata Perlis dipilih atas permintaan masyarakat setempat dan juga saranan kerajaan negeri.

“Selain itu, ia juga adalah sebahagian daripada rancangan pembangunan strategik lima tahun KMI Healthcare untuk membangunkan perniagaan kesihatan kami agar lebih berdaya saing,” katanya.

Beliau juga berkata syarikat mahu mengimbangi kedudukan hospital di Pantai Timur Malaysia khususnya di bandar-bandar besar seperti Kuala Terengganu dan Kuantan. 

Sumber: Bernama

TDM, SEDC Perlis rancang teroka peluang pembangunan penjagaan kesihatan


Content Type:

Duration:

Kedatangan rakyat Indonesia ke Malaysia termasuk bagi tujuan pelancongan perubatan dijangka terus meningkat semasa rantau ini terus pulih daripada pandemik COVID-19.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin berkata seramai 1.5 juta rakyat Indonesia berkunjung ke Malaysia pada tahun lalu dengan 300,000 pelancong datang untuk tujuan perubatan.

“Dalam kerjasama kesihatan, Malaysia dan Indonesia telah melakukan pelbagai kerjasama seperti projek penyelidikan dan pembangunan dalam perubatan tradisional penyakit berjangkit serta teknologi perubatan.

“Lain-lain termasuk program latihan dan pendidikan serta kerjasama kawalan dan pencegahan penyakit,” katanya di perasmian Malaysia Healthcare Expo (MH Expo) di sini, semalam.

Malaysia menjadi destinasi pilihan alternatif bagi rakyat Indonesia untuk mendapatkan penjagaan kesihatan sejak 10 tahun lalu, dengan lebih 60 peratus daripada pelancongan perubatan ke Malaysia datang dari Indonesia.

Selain Indonesia, Malaysia juga menjadi tumpuan pelancong perubatan dari China, Australia, Singapura, United Kingdom untuk rawatan kesuburan, kardiologi, ortopedik, oftalmologi, onkologi, neurologi, pergigian dan pemeriksaan kesihatan.

“Ini mencerminkan kepercayaan pelancongan perubatan antarabangsa terhadap kualiti sistem penjagaan kesihatan di Malaysia sebagai alternatif bagi melengkapi rawatan yang diterima di negara asal,” kata Syed Md Hasrin.

Turut hadir pengarah Tourism Malaysia di Jakarta Junus Suhid, penasihat konsular dan imigresen kedutaan Mohamad Nurzaini Kasi dan setiausaha pertama kedutaan Ammil Afiq Jasimi.

MH Expo selama tiga hari yang berakhir pada Ahad ini (4 Jun) diadakan bertujuan menampilkan tawaran kombinasi perubatan dan pelancongan yang menarik daripada 20 kemudahan kesihatan swasta dari Malaysia. Turut hadir di acara ini yang dianjurkan oleh Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) ialah wakil-wakil pelancongan negeri.

Sumber: Bernama

Pelancongan perubatan terus gamit rakyat Indonesia ke Malaysia – Duta Besar


Content Type:

Duration:

Princeton Digital Group (PDG), penyedia perkhidmatan pusat data terkemuka di Asia akan melabur RM2 bilion untuk membangunkan sebuah kampus hiperskala 150 megawatt (MW) di Johor yang bakal menjadi antara pusat data terbesar di Asia Tenggara.

Bagi tujuan itu, PDG dan JLand Group (JLG), cabang hartanah dan infrastruktur Johor Corporation, hari ini memeterai perjanjian muktamad bagi pembelian tanah seluas 31 ekar di Taman Teknologi Sedenak (STeP), Johor.

Majlis menandatangani perjanjian antara kedua-dua pihak itu dimeterai di sini dengan disaksikan oleh Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Johor Corporation, Datuk Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Fasa pertama hiperskala berkapasiti 60MW dijadualkan siap untuk perkhidmatan menjelang suku kedua 2024.

Projek ini menandakan penceburan sulung PDG dalam pasaran Malaysia, sebagai negara keeenam selepas Singapura, China, Indonesia, India dan Jepun.

Pusat data yang dinamakan JH 1 itu bakal menjadi antara kampus pusat data yang terbesar di Asia Tenggara bagi memenuhi keperluan infrastruktur pelanggan merentasi rantau ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation yang juga Pengerusi JLG, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, berkata pada masa ini, tumpuan JLG ialah untuk meluaskan peluang perniagaan dalam bidang pusat data sambil pelabur dan pengendali memanfaatkan prospek sektor ini yang semakin pantas berkembang.

“Menerusi tawaran bersepadu di STeP, kami tetap komited untuk mengukuhkan kedudukan Johor sebagai titik tumpuan pusat data serantau memandangkan keupayaannya untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah. Penceburan PDG dalam Johor dan STeP adalah pengesahan kukuh strategi dan tawaran JLG.

“Dengan semakin banyak syarikat dan komuniti menumpukan usaha untuk memperkenalkan alat serta strategi digital generasi akan datang, permintaan bagi simpanan data yang boleh dipercayai, pintar dan berdaya tahan akan berkembang secara eksponen.

“Justeru, kita perlu berusaha meningkatkan prestasi kelestarian pusat data menerusi platform Internet Kebendaan Perindustrian (IIoT), pemantauan tenaga dan kuasa serta teknologi pendinginan inovatif,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PDG, Rangu Salgame, berkata: Penceburan ke pasaran Malaysia akan meluaskan operasi PDG di Asia, yang dikukuhkan lagi dengan kehadiran kami sebagai pemimpin infrastruktur digital seluruh Asia.”

JLG juga mengumumkan taman pusat data seluas 640 ekar yang dinamakan STeP 2, yang dijangka siap menjelang September 2024.

Sebagai sebahagian daripada pembangunan Ibrahim Technopolis (IBTEC) yang lebih besar, STeP 2 akan menerima bekalan tenaga daripada ladang fotovoltan solar, sejajar dengan Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF).

Tambahan lagi, STeP 2 dijangka mendapat manfaat daripada persiapan IBTEC untuk mencapai status Pusat Siber Digital Malaysia (MD).

Kepesatan pertumbuhan perkomputeran awan, e-dagang dan aplikasi data raya di Asia Pasifik telah menyaksikan peluasan kapasiti pusat data dan sistem infrastruktur pintar.

Dalam Indeks Peluang Pusat Data SEA-5 Knight Frank (SEA-5 Index), Malaysia dikenal pasti sebagai destinasi utama bagi pelaburan pusat data, dengan penggunaan sehingga 113 MW dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 8.7 peratus pada 2022.

Ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pasaran lokasi bersama yang utama, dengan menarik minat pelabur dan juga pengendali pusat data.

Sumber: Berita Harian

Pusat data RM2 bilion bakal dibina di Johor


Content Type:

Duration:

Tenaga hidro akan masih menjadi tumpuan utama sumber tenaga Sarawak, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata sumber asli negeri yang banyak, terutama hujan lebat dan sungai menawarkan persekitaran terbaik untuk pembangunan tenaga hidro selanjutnya.

Abang Johari berkata atas sebab ini, beliau baru-baru ini menyarankan agar Sarawak Energy Bhd untuk meneroka pembinaan empangan kuasa hidro di Sungai Trusan di Lawas.

“(Setakat ini) Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mahu mengambil ekuiti dalam projek Trusan dan kami sedang berunding dengan pihak ketiga untuk turut mengambil ekuiti.

“Saya difahamkan projek kuasa hidro Trusan tidak akan menjejaskan penempatan di situ kerana kawasan itu telah dibersihkan,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Vendor Sarawak Energy 2023 (SEVA 2023) di sini, malam tadi.

Loji hidroelektrik pertama Sarawak Energy, empangan Batang Ai berkuasa 108 megawatt (MW) telah beroperasi pada 1985, diikuti oleh Bakun (2,400MW) pada 2011 dan Murum (944MW) pada 2014.

Pada masa ini, projek hidroelektrik Baleh (1,285MW) sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2027.

Jumlah kapasiti terpasang loji hidro besar Sarawak Energy ialah 3,452MW.

Sebagai tambahan kepada projek hidroelektrik yang besar, Sarawak Energy juga telah membangunkan loji kuasa hidro kecil yang menyokong komuniti luar grid dan elektrik luar bandar di banyak kampung terpencil di Sarawak. 

Sumber: Bernama

Tenaga hidro kekal fokus utama sumber tenaga Sarawak


Content Type:

Duration:

Penyedia perkhidmatan penghantaran ekspres, GDEX Bhd melabur RM25 juta bagi melaksanakan operasi hab automatik, kemudahan yang akan meningkatkan kapasiti penyisihan tiga kali ganda kepada 350,000 penghantaran sehari.

Kemudahan penyisihan automatik sepenuhnya berkeluasan 145,000 kaki persegi menggunakan teknologi pintar dengan ketepatan pengisihan 99.99 peratus untuk memendekkan masa pemulihan dan mengurangkan risiko kerosakan bungkusan selain meningkatkan kualiti perkhidmatan pelanggan.

Dikenali sebagai GDEX Auto Hub, kemudahan itu adalah kira-kira 30 peratus lebih besar daripada hab penyisihan kumpulan sebelum ini di Petaling Jaya.

GDEX Auto Hub menggunakan penyisih sawat bersilang (cross-belt) dua dek untuk memaksimumkan kapasiti penyisihan dengan menggunakan ruang udara hab.

Selain itu, GDEX Auto Hub turut menggunakan peralatan mesra alam seperti forklift dan bicu palet elektrik, yang dikuasakan oleh bateri boleh dicas semula, menjadi sebahagian usaha berterusan GDEX untuk mengurangkan jejak karbon dalam operasi harian kumpulan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GDEX, Teong Teck Lean, berkata GDEX Auto Hub melengkapkan inisiatif transformasi GDEX 2.0 yang memerlukan pembinaan ekosistem logistik lengkap dan berasaskan teknologi yang memenuhi keperluan pelanggan yang semakin dinamik.

“GDEX Auto Hub menjadi satu lagi kejayaan dalam memperkukuh GDEX untuk masa hadapan. Kami terus memanfaatkan keupayaan dalam kejuruteraan proses dan menyepadukan penyelesaian teknologi terkini dalam operasi untuk menawarkan kepantasan dan kebolehpercayaan kepada perniagaan.

“Dengan cara ini, kami secara strategik mengubah cara memindahkan penghantaran, sambil turut menggerakkan perniagaan pada kadar yang dipercepatkan,” katanya kepada media selepas majlis perasmian GDEX Auto Hub di sini, hari ini.

Perasmian GDEX Auto Hub disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Yang turut hadir, Pengerusi GDEX, Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Mengulas lanjut, Teck Lean berkata, teknologi penyisihan baharu di GDEX Auto Hub menyediakan peluang kepada pekerja syarikat itu meningkatkan kemahiran, selaras dengan keperluan negara.

Katanya, GDEX telah memainkan peranan penting dalam pembangunan kerjaya terutama untuk mereka yang tidak berjaya melengkapkan pendidikan di sekolah menengah.

“Kami telah menubuhkan GDEX Academy yang menawarkan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam segmen logistik dan penghantaran. Tahun lalu sahaja, kami telah menyedia latihan dan pendidikan kepada lebih 5,000 individu,” katanya.

Beliau menjelaskan, sektor penghantaran ekspres dan logistik kekal sebagai komponen penting dalam ekonomi negara dan menjadi talian hayat kepada banyak perniagaan.

“Kami akan terus memainkan peranan proaktif dalam memperkasakan industri, di samping mengukuhkan kedudukan sebagai pemain terkemuka di Asia Tenggara.

“GDEX akan terus mengemudi inisiatif GDEX 2.0 untuk memupuk ekosistem berasaskan teknologi, yang bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan, menyediakan rangkaian penyelesaian dan perkhidmatan serba boleh, serta meluaskan jangkauannya kepada pelbagai jenis pelanggan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

GDEX labur RM25 juta tingkat kapasiti hab automatik


Content Type:

Duration:

Pelancaran Hab Auto GDex Berhad (GDex) yang berupaya menganjakkan industri perkhidmatan kurier ke arah Revolusi Industri 4.0, tidak bermakna bahawa peranan pekerja manual akan diketepikan, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, ketika negara menuju ke arah transformasi digital dan maklumat, kemudahan ini akan membantu meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti, kualiti perkhidmatan serta membolehkan pembelajaran dan pembangunan kemahiran baharu untuk pekerja.

“Walaupun hab pengisihan automatik akan mengurangkan pergantungan kepada pekerja manual, namun ini tidak bermakna akan terdapat kelemahan dalam pekerjaan pengendali hab, sebaliknya pekerja kurier akan mempelajari kemahiran baharu untuk memberi tumpuan kepada tugas yang memerlukan kemahiran yang lebih tinggi,” katanya dalam ucapan perasmian Hab Auto GDex di ibu pejabat GDex di sini pada Selasa.

Fahmi berkata, GDex kini turut memberi lebih tumpuan dalam penyelesaian keselamatan siber dengan menggaji 230 orang dalam Teknologi dan Maklumat (IT) untuk melindungi data pelanggan mereka.

“Ini adalah bidang yang tidak semestinya dikaitkan dengan logistik, tetapi ia adalah kebimbangan yang semakin meningkat dan saya berharap industri lain akan mengikutinya,” katanya.Fahmi berkata, sumbangan semasa ekonomi digital terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar negara adalah sekitar 22.6 peratus dan kerajaan merancang untuk melihat sumbangan ekonomi digital meningkat kepada 25 peratus menjelang 2025.

“Bercakap tentang ekonomi digital, ada komponen yang masih ‘manusiawi’ (memerlukan sentuhan manusia) termasuk penghantaran produk,” tambahnya.

Beliau juga berkata bahawa ‘Hari Kurier’ akan diperkenalkan sebaik sahaja penglibatan dan perbincangan dengan semua pihak berkaitan selesai dilakukan.

“Beberapa pengumuman penting sedang diperhalusi. Keterlibatan tertentu telah diadakan. Namun begitu, satu atau dua lagi penglibatan penting perlu dilakukan agar kami dapat mengaturkan sesuatu…,” katanya. 

Sumber: Bernama

Peralihan GDex ke arah IR4.0 tak ketepikan pekerja manual – Fahmi


Content Type:

Duration:

Kerajaan merancang menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat pemula dan industri digital serantau dalam usaha melonjakkan lagi aktiviti ekonomi digital negara.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ekonomi digital merupakan satu daripada tiga sektor strategik bernilai tinggi dan mampu merancakkan pelaburan serta menawarkan pekerjaan bergaji tinggi kepada rakyat yang diberi tumpuan oleh kementerian dalam penstrukturan semula ekonomi negara.

“Selain dari melonjakkan industri sedia ada seperti semikonduktor, perkilangan, minyak dan gas, komoditi ke peringkat rantaian nilai yang bernilai tinggi dengan fokus kepada proses penghiliran nilai tinggi, tiga sektor strategik yang diberi tumpuan oleh Kementerian Ekonomi adalah peralihan tenaga ke arah tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan keterjaminan makanan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Justeru, kementerian sedang bekerjasama dengan kementerian lain yang terlibat di dalam ekosistem ekonomi digital iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Komunikasi dan Digital; dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk merancakkan ekonomi digital negara, tambah beliau.

Rafizi menjelaskan, kerjasama itu perlu bagi menyelaraskan sistem sokongan awam yang dilaksanakan melalui pelbagai agensi ke arah pendekatan bersepadu untuk menambah baik ekosistem digital yang lebih berkesan.

Selain itu, beliau berkata, kerjasama dengan kementerian terlibat juga bertujuan memulakan pembangunan konsep dan penyelarasan fungsi di antara agensi-agensi kerajaan ke arah pelaksanaan kerajaan digital yang menghasilkan produk-produk perkhidmatan awam berasaskan data dan digital secara bersepadu.

“Satu langkah utama untuk mencapai kedua-dua sasaran ini ialah meningkatkan daya tarikan Kuala Lumpur sebagai pusat syarikat pemula dan industri digital serantau untuk menarik pelaburan dan bakat digital ke negara ini.

“Ia memerlukan perubahan dasar yang agresif yang mencakupi pelbagai bidang, termasuklah penyatuan usaha agensi-agensi kerajaan, proses visa pekerjaan yang lebih cekap dan terbuka, insentif digital yang lebih menarik dan penghasilan tenaga kerja dalam industri digital pada skala nasional,” katanya.

Menurut Rafizi, semasa menghadiri Forum Ekonomi Qatar baru-baru ini, beliau turut berpeluang berbincang dengan Jack Selby yang merupakan kakitangan terawal PayPal bersama-sama kumpulan pengasas syarikat seperti Elon Musk, Peter Thiel dan Reid Hoffman.

“Kumpulan pengasas PayPal ini menjadi tenaga utama yang menggerakkan industri digital dari Silicon Valley melalui penglibatan mereka di dalam syarikat-syarikat digital terkenal, antaranya seperti Tesla, SpaceX, Youtube, Facebook, LinkedIn dan OpenAI,” jelasnya.

Rafizi berkata, Selby yang kini merupakan Pengarah Urusan Thiel Capital dan pencetus Arizona Technology Innovation Summit, turut melahirkan minat membantu Malaysia membangunkan Kuala Lumpur sebagai pusat syarikat pemula dan industri digital serantau.

“Saya berminat menjalin perkongsian dengan beliau dalam bidang digital kerana usahanya membangunkan Arizona sebagai pusat syarikat pemula yang baharu di luar Silicon Valley dan selepas kerjaya di Silicon Valley, beliau kembali ke negeri asalnya Arizona dan membangunkan Arizona sebagai pusat baharu syarikat pemula, yang kini telah berjaya menarik syarikat-syarikat pemula.

“Kepakaran beliau akan membantu negara merangka dasar yang lebih mesra syarikat pemula dan mewujudkan jaringan kerjasama dalam bidang digital yang melonjakkan nama Kuala Lumpur sebagai destinasi utama industri digital di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata dasar dan inisiatif khusus akan diumum secara berperingkat dalam menzahirkan hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai daya tarikan syarikat pemula serantau.

Sumber: Bernama

KL bakal jadi hab syarikat pemula dan industri digital serantau


Content Type:

Duration:

Pakar tenaga bersih, Solarvest Holdings Bhd mengumumkan kejayaan menyiapkan projek pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) 1.1 megawatt-peak (MWp) untuk Bromma (M) Sdn Bhd di kilang pembuatannya di Chemor, Perak.

Solarvest berkhidmat sebagai penyedia kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan komisen (EPCC) untuk pemasangan atas bumbung panel PV solar dengan jangkaan penjanaan elektrik bersih tahunan sebanyak 1,497.8 megawatt-jam (MWj).

Ia membolehkan Bromma mengimbangi 957 tan pelepasan karbon dioksida, yang bersamaan dengan kesan penulenan udara 43,505 pokok matang.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Penggalakan dan Pemudahcara Pelaburan) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata, pihaknya menyatakan komitmen penuh menyokong perniagaan dan pelabur sepanjang perjalanan mereka di Malaysia.

Beliau berkata, dedikasi Bromma terhadap tenaga boleh diperbaharui (RE) tidak mungkin datang pada masa lebih sesuai.

“Kerajaan Malaysia baru-baru ini mengumumkan dasar berwawasan yang menonjolkan kepentingan sumber tenaga bersih.

“Dengan menggunapakai tenaga suria, Bromma bukan sahaja mengurangkan kesan alam sekitar mereka tetapi menyumbang secara aktif kepada matlamat bercita-cita tinggi negara untuk meningkatkan campuran kapasiti RE kepada 70% menjelang 2050.

Mereka membuka jalan untuk masa depan yang lebih cerah dan lebih hijau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, amalan kelestarian diperkuatkan dengan penggunaan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) yang pastinya akan memacu pertumbuhan mampan dengan menangani isu berkaitan perubahan iklim.

Katanya, ia selaras dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) untuk memastikan negara kekal sebagai destinasi berdaya saing untuk pelaburan bernilai tinggi, memberikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan holistik.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata, pihaknya gembira kerana berjaya menyelesaikan pemasangan sistem PV solar atas bumbung, yang mana komitmennya terhadap kualiti dan penghantaran tepat pada masanya untuk menyumbang kepada matlamat kemampanan Bromma.

“Dengan memanfaatkan kepakaran kami dalam kejuruteraan ‘turnkey’ dan penyelesaian teknikal, kami yakin dapat membantu Bromma mencapai sasaran kecekapan tenaga melalui sistem PV solar ini,” katanya.

Sumber: DagangNews.com

Solarvest perkasa insiatif hijau Bromma melaluipenyediaan rumusan tenaga bersih


Content Type:

Duration:

wpChatIcon