Berita Perkhidmatan Archives - Page 4 of 24 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Tiba masa Malaysia jadi peneraju sektor peralihan tenaga – Rafizi

Sudah tiba masanya Malaysia menerajui sektor peralihan tenaga, terutamanya bagi memudahkan perdagangan rentas sempadan sumber tenaga boleh diperbaharui (renewable energy atau RE).

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, dasar negara sebelum ini menumpukan pada pembangunan pasaran domestik secara organik.

Namun, katanya, Malaysia kini punyai peranan penting untuk dimainkan dalam menghubungkan seluruh rantau Asia, yang memerlukan perancangan teliti dan pelaburan yang besar.

“Kami cukup faham bahawa kami perlu sangat fokus kepada sektor peralihan tenaga, dalam tempoh enam bulan lepas sejak mengambil alih kerajaan.

“Jadi, kami telah membuat beberapa perubahan dasar utama, yang termasuk, contohnya, dalam beberapa bulan akan datang, Malaysia akan melancarkan pasaran pertukaran RE serantau.

“Ia akan memudahkan perdagangan rentas sempadan, kerana kami mempunyai situasi unik di mana Malaysia secara geografi sangat strategik dan mempunyai banyak potensi,” katanya dalam temu bual di Forum Ekonomi Qatar, dibawakan oleh Bloomberg.

Beliau berkata negara akan melancarkan satu pelan induk perindustrian baharu pada Ogos dan semakan semula perancangan lima tahunnya pada September.

“Kami sedang melakukannya secara berperingkat sebagai persediaan menuju pembentangan belanjawan pada November.

“Akan ada lebih banyak kejelasan pada asas bulan ke bulan kerana (apa) yang ingin kami elakkan ialah ‘big bang’ dengan senarai perkara yang kami ingin lakukan dan enam bulan seterusnya mengecewakan semua orang dengan pergerakan pelaksanaannya.

“Jadi, dengan mengimbangi antara perkara yang kami ingin lakukan dan cara kami melakukannya, saya fikir, ia kunci kepada kemampanan,” katanya.

Rafizi berkata, Malaysia perlu meningkatkan kapasiti lebih 11 kali dalam masa 20 tahun akan datang dan melabur kira-kira AS$150 bilion dalam infrastruktur.

“Semua ini, dengan tumpuan pada peralihan tenaga, memberi petanda yang baik kepada rantau ini serta pelabur, dan meningkatkan skala peralihan kami daripada pembuatan nilai sederhana kepada bernilai tinggi,” katanya.

Jelas Rafizi, sebagai sebuah negara yang meneroka industri semikonduktor sejak 1970-an, Malaysia kini sedia mempelbagaikan ruang untuk bergerak ke hadapan, termasuk dalam aspek tenaga kerja.

“Polisi pada masa lalu sangat didorong oleh bekalan. Ini bermakna, kami membina universiti dan kolej teknikal kami, kami membina kurikulum kebangsaan dan ia telah berfungsi selama kira-kira 30 tahun.

“Tetapi kadar teknologi telah meningkat dan kami beralih ke arah permintaan dengan memberi kebebasan dan insentif, serta bekerjasama dengan industri.

“Ini supaya industri diberi peluang melatih dengan cepat, mengambil pendekatan latihan sambil bekerja, beralih daripada pensijilan kebangsaan, dan lebih kepada mengambil orang ramai dan melatih mereka dalam industri,” katanya lagi.

Tambah Rafizi, insentif nasional dan insentif pelaburan perlu beralih daripada insentif cukai dan fiskal semata-mata, ke arah peningkatan kemahiran dan insentif latihan untuk pengilang, sekali gus membolehkan Malaysia meningkatkan latihan dan penyediaan tenaga kerja pada kadar yang lebih pantas.

Sumber: Astro Awani

Tiba masa Malaysia jadi peneraju sektor peralihan tenaga – Rafizi


Content Type:

Duration:

KPJ Healthcare Bhd (KPJ), antara pengendali perkhidmatan penjagaan kesihatan utama di negara ini, akan memperuntukkan pelaburan sebanyak RM500 juta pada tahun ini.

Pengerusi KPJ, Datuk Md Arif Mahmood, berkata pelaburan yang dilaksanakan itu bagi tujuan penambahbaikan 29 hospital di bawahnya termasuk pengukuhan ekosistem digital dan data.

Beliau berkata, kumpulan juga akan membina sebuah hospital baharu di Kuala Selangor yang akan sedia untuk beroperasi pada tahun depan.

“Perbelanjaan modal ini adalah untuk semua perkara di bawah KPJ merangkumi pembelian peralatan perubatan dan menaik taraf hospital sedia ada kumpulan.

“Kumpulan juga akan memulakan operasi hospital ke-30 dalam tahun depan di Kuala Selangor,” katanya selepas majlis pelancaran Hospital Pakar Damansara 2 (DSH 2) di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan berangkat merasmikan DSH 2.

Baginda turut melawat kompleks hospital di bawah KPJ itu serta menandatangani plak sebagai simbolik perasmian.

Turut mengiringi baginda, Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Johor Corporation (JCorp), Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh; Presiden serta Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim; Pegawai Pemimpin KPJ, Norhaizam Mohammad dan Ketua Pegawai Eksekutif DSH 2, Dr Ahmad Syukri Jamaludin.

Ketika ditanya mengenai industri pelancongan kesihatan, Md Arif berkata, sejak pembukaan sempadan dan lonjakan kembali ekonomi global serta serantau, industri itu memberikan peluang baharu kepada sektor perkhidmatan penjagaan kesihatan negara termasuk KPJ.

Beliau berkata, sektor perkhidmatan penjagaan kesihatan negara perlu mengambil peluang ini untuk memperkenalkan serta mengukuhkan lagi pelancongan kesihatan.

“Bukan saja kepada KPJ tetapi keseluruhan sektor berpotensi untuk berkembang dalam pelancongan kesihatan.

“Pembukaan sempadan telah memungkinan sektor ini mencapai kembali penguasaan terutamanya membabitkan pelancong kesihatan dari negara serantau seperti Indonesia dan Singapura.

“Namun pada masa sama, kita turut menumpukan kepada pesakit tempatan dalam menyediakan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Md Arif berkata, DSH 2 adalah hospital ke-29 yang juga hospital mewah pertama KPJ dengan pelaburan sebanyak RM100 juta bagi pembelian peralatan dan sebagainya.

Beliau berkata, DSH 2 kelak akan menyediakan 300 katil untuk merawat pesakit di bangunan 11 tingkat itu selain 10 unit rawatan rapi (ICU), tujuh dewan bedah, bilik endoskopi serta bilik rundingan.

Katanya, ketika ini kadar penghunian katil di DSH 2 adalah sebanyak 60 peratus daripada 60 katil yang tersedia dan jumlah itu dijangka akan meningkat kepada 120 katil pada hujung tahun ini.

“Sejak dibuka pada 1 September 2022, sebanyak 70 peratus pesakit adalah domestik manakala 30 peratus dari pesakit luar negara.

“Jumlah ini dijangka akan meningkat dan kami menyasarkan 50 peratus pesakit adalah dari luar negara menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

KPJ labur RM500 juta tambah baik 29 hospital


Content Type:

Duration:

Cognizant, pemimpin global dalam industri perkhidmatan profesional memperkukuhkan operasi di Malaysia dengan membuka Hab Serantau di Greater Kuala Lumpur.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Cognizant Malaysia mempunyai rancangan yang menarik di negara ini termasuk mewujudkan 5,000 pekerjaan baharu menjelang 2026 untuk diisi oleh rakyat negara ini.

“Saya difahamkan bahawa majoriti daripadanya adalah pekerjaan berkemahiran tinggi, berpendapatan tinggi,” katanya berucap pada majlis pelancaran Hab Serantau Cognizant Malaysia di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, Cognizant juga akan membangunkan Makmal Pengalaman Inovasi di Malaysia yang direka bentuk untuk pelanggan serantau dan global mereka merasai sendiri teknologi serta penyelesaian syarikat itu.

“Ketiga, penubuhan Pusat Kecemerlangan khusus di Malaysia bagi teknologi platform awan bersama AWS (Amazon Web Services). Ini, saya diberitahu, akan memacu transformasi awan di Malaysia dan seluruh rantau ini,” katanya.

Bermula dengan satu pasukan kecil terdiri daripada 32 pekerja pada 2014, Cognizant Malaysia telah berkembang menjadi tenaga kerja seramai 2,000 orang yang menyampaikan penyelesaian digital canggih ke seluruh rantau ini.

Tengku Zafrul berkata, kehadiran Cognizant yang semakin berkembang adalah bukti kepada kedudukan Malaysia yang mudah untuk menjalankan perniagaan, asas ekonomi mantap yang menyokong dasar pro-industri, pro-perdagangan dan pro-pelaburan MITI.

Beliau berkata, ia juga pengesahan bahawa Malaysia adalah destinasi pelaburan yang berdaya saing di rantau ini selain keupayaan Greater Kuala Lumpur untuk menarik syarikat-syarikat global utama mengembangkan kehadiran serantau masing-masing.

“Ini, pastinya adalah hasil usaha berterusan kerajaan untuk membina landskap kondusif bagi perniagaan untuk berkembang di Malaysia,” katanya.

Hab Serantau Cognizant Malaysia akan menjadi lokasi kepada Makmal Pengalaman Inovasi, Pusat Kecemerlangan Cognizant-AWS, Pusat Kecemerlangan Jaminan dan Kualiti Kejuruteraan serta Pusat Penyampaian Luar Pesisir.

Sumber: Berita Harian

Cognizant sedia pekerjaan bergaji tinggi di Malaysia


Content Type:

Duration:

Penubuhan Pusat bagi Revolusi Perindustrian Keempat Malaysia (Pusat 4IR Malaysia) penting bagi mewujudkan satu ekosistem dan rantaian bekalan tenaga kerja yang berterusan untuk memacu pelaburan langsung domestik (DDI).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata pusat itu bukan sahaja mampu menarik pelaburan langsung asing (FDI), namun ia juga akan menarik minat syarikat multinasional untuk melabur.

“Pusat itu lebih tertumpu kepada pemain domestik juga, kerana apabila pemain industri datang melabur, syarikat multinasional datang juga. Mereka memerlukan ekosistem yang sesuai…ia bermakna ekosistem dan kluster yang sesuai untuk menyokong syarikat multinasional besar agar perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat bersaiz sederhana dapat melakukan pembekalan, perkhidmatan, penyenggaraan dan sebagainya.

“Saya fikir penting bagi industri kita untuk bersedia kerana apabila pelaburan masuk dan apabila pelabur besar domestik terus melabur, kita mahu keseluruhan ekosistem dan rantaian bekalan, terutamanya PKS untuk terbabit,” katanya kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri MITI, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan Pusat 4IR Malaysia, sebuah pusat bebas dalam ekosistem global Forum Ekonomi (WEF) yang akan menumpukan kepada dua keutamaan iaitu transformasi digital dan GovTech serta peralihan tenaga.

Pusat itu adalah yang pertama di rantau ASEAN yang bakal menjadi platform bagi pemimpin kerajaan dan perniagaan, ahli akademik dan pakar untuk mewujudkan hab inovasi dan kepakaran bagi memanfaatkan potensi teknologi baru muncul.

Mengenai transformasi digital dan GovTech, pusat yang dihoskan oleh MyDIGITAL Corporation itu akan menumpukan kepada bidang untuk mempercepat fasa pertumbuhan seterusnya agenda transformasi digital Malaysia dan peranan yang boleh dimainkannya untuk memudahkan usaha bagi transformasi digital ASEAN.

Selain itu, pusat berkenaan juga akan menyokong Dasar Tenaga Malaysia 2022-2040, untuk mengemudi peralihan tenaga dan pembangunan ekonomi hijau sambil mengimbangi isu seperti jaminan tenaga, kemampuan dan kemampanan alam sekitar.

Sumber: Bernama

Pusat 4IR Malaysia bina rantaian bekalan pekerja berterusan


Content Type:

Duration:

Kejuruteraan Asastera Bhd (KAB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, KAB Energy Holdings Sdn Bhd (KABEH) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan PT CNEC Engineering Indonesia (PT CNEC) dan Transcend Global Limited (TGL) bagi mewujudkan usaha sama untuk projek penyelesaian tenaga mampan (SES) yang berpotensi (projek cadangan) di peringkat serantau.

PT CNEC adalah anak syarikat CNNC Group yang memiliki kepakaran luas dalam membina loji tenaga nuklear, terminal gas asli cecair (LNG), kemudahan tangki bahan api, operasi perlombongan dan loji penjanaan kuasa alternatif.

TGL pula adalah sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang dikaitkan dengan Dana Hijau Serantau, mengkhusus dalam pegangan pelaburan, perdagangan produk tenaga, memajak peralatan dan jentera berat, aktiviti penggabungan dan pemerolehan serta pelaburan dalam industri pertumbuhan tinggi.

Bersama-sama, KABEH dan PT CNEC akan bekerjasama untuk mengenal pasti dan membangunkan pelbagai projek cadangan manakala TGL akan membantu dalam menjalankan kajian kemungkinan kewangan untuk projek yang disenarai pendek dan memudahkan penggabungan dan pemerolehan (M&A) projek Syarikat Tujuan Khas (SPV).

Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn, berkata di bawah MoU itu, semua pihak akan memanfaatkan gabungan kepakarannya untuk menyediakan perniagaan serantau dengan penyelesaian kejuruteraan untuk tenaga yang mampan, hijau dan bersih.

Katanya, dengan peranan penting dalam memacu kejayaan MoU, KAB akan mencadangkan projek untuk semakan bersama dengan PT CNEC bagi menilai kebolehlaksanaannya.

“Projek cadangan terangkum di seluruh Asia termasuk sistem suria 100MW di Thailand, pembangunan ladang angin, penyahgaraman dan loji rawatan air di Filipina, pembangunan loji kuasa tawanan di Malaysia; dan inisiatif seperti loji penyinaran, pemajakan jentera dan peralatan, mini -Terminal LNG, dan perdagangan bahan dan peralatan di Indonesia.

“Senarai projek cadangan yang luas ini menunjukkan komitmen kami dalam meneroka peluang projek tenaga mampan yang lebih besar dan lebih bercita-cita tinggi yang akan memacu lagi pertumbuhan segmen SES kami.

“Langkah ini adalah selaras dengan keseluruhan strategi perniagaan kami dalam mengembangkan rangkaian penyelesaian kami untuk segmen SES bagi memenuhi keperluan pelanggan kami yang semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sumber: Berita Harian

Unit KAB bentuk pakatan laksana projek lestari serantau


Content Type:

Duration:

CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) telah memeterai perjanjian jual beli untuk memperoleh gudang logistik pegangan bebas bernilai RM39.7 juta di Shah Alam.

CapitaLand Malaysia REIT Management Sdn Bhd, pengurus CLMT berkata harga gudang yang terletak di Taman Perindustrian HicomGlenmarie itu sejajar dengan penilaian pasaran bebas sebanyak RM40.4 juta.

“Selaras dengan cadangan pengambilalihan, CMRM juga telah melaksanakan surat tawaran dengan peruncit fesyen mewah antarabangsa terkemuka untuk memajak sepenuhnya bangunan itu selama 10 tahun,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pajakan baharu itu dijangka bermula pada separuh pertama 2024 dan akan menjana pendapatan sewa kasar RM3.5 juta setahun dengan hasil anggaran 6.5%.

Di bawah perjanjian itu, CMRM juga akan mengubah harta logistik itu menjadi pusat pengedaran suhu terkawal dengan anggaran kos sebanyak RM14.6 juta.

Jumlah perbelanjaan pelaburan RM54.3 juta, termasuk harga belian RM39.7 juta, akan dibiayai sepenuhnya oleh pinjaman bank.

“Selepas transaksi, penggearan proforma CLMT akan meningkat daripada 44.3% kepada 44.8%, yang kekal di bawah 50% had kawal selia,” tambahnya.

Cadangan pengambilalihan itu dijangka siap pada separuh kedua 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif CMRM, Tan Choon Siang berkata kumpulan itu berbesar hati untuk mengukuhkan kehadiran logistik dengan pengambilalihan hartanah logistik kedua itu.

“Ia menekankan tumpuan kami untuk melaksanakan dan menyampaikan inisiatif pertumbuhan kumpulan bagi mendapatkan nilai dalam sektor ekonomi baharu yang berkembang pesat dan memanfaatkan peningkatan permintaan untuk infrastruktur logistik berkualiti tinggi di lokasi utama,” ujar beliau.

Menurut Choon Siang, pengubahan gudang itu kepada pusat pengedaran komitmen kumpulan dalam menyediakan penyelesaian hartanah yang menarik untuk penyewa.

“Pelaksanaan ini akan mempamerkan kepakaran pembangunan hartanah kumpulan justeru memacu penciptaan nilai untuk CLMT meningkatkan jejak logistiknya,” katanya.

Sumber: DagangNews.com

Capitaland Malaysia beli gudang RM39.7 juta diShah Alam


Content Type:

Duration:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan penubuhan Pusat bagi Revolusi Perindustrian Keempat Malaysia (Malaysia Centre for 4IR), sebuah pusat bebas dalam ekosistem global Forum Ekonomi (WEF) yang akan menumpukan kepada dua keutamaan iaitu transformasi digital dan GovTech serta peralihan tenaga.

Beliau berkata, pusat itu merupakan yang pertama di rantau ASEAN yang bakal menjadi platform bagi pemimpin kerajaan dan perniagaan, ahli akademik dan pakar untuk mewujudkan hab inovasi dan kepakaran bagi memanfaatkan potensi teknologi baru muncul.

“Menjadi harapan saya agar pusat ini dapat mempercepat lagi transformasi Malaysia menjadi negara yang dipacu secara digital, berpendapatan tinggi, inklusif dan peneraju serantau dalam ekonomi digital,” katanya menerusi ucapan beliau yang dirakam terlebih dahulu pada pelancaran pusat itu di sini, hari ini.

Mengenai transformasi digital dan GovTech, Anwar berkata, pusat itu yang dihoskan oleh MyDIGITAL Corporation akan menumpukan kepada bidang untuk mempercepat fasa pertumbuhan seterusnya agenda transformasi digital Malaysia dan peranan yang boleh dimainkannya untuk memudahkan usaha bagi transformasi digital ASEAN.

Selain itu, katanya, pusat tersebut juga akan menyokong Dasar Tenaga Malaysia 2022-2040, untuk mengemudi peralihan tenaga dan pembangunan ekonomi hijau sambil mengimbangi isu seperti jaminan tenaga, kemampuan dan kemampanan alam sekitar.

Malaysia Centre for 4IR yang dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Presiden Forum Ekonomi Dunia, Børge Brende, menyertai komuniti 18 pusat seumpama itu di seluruh dunia.

Ia akan memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan ekonomi digital di Malaysia, dengan tumpuan untuk menyokong transformasi digital dan kemajuan dalam sektor yang berkembang pesat termasuk peralihan tenaga hijau.

Anwar berkata, menyedari potensi transformatif 4IR, WFE telah menubuhkan Pusat bagi 4IR sebagai platform untuk menyokong pemimpin bukan sahaja dalam merealisasikan manfaat trajektori teknologi yang sentiasa berkembang tetapi juga usaha kerajaan untuk rangka kerja dasar baharu, model tadbir urus tangkas dan peraturan fleksibel untuk merangsang inovasi sambil menyediakan keselamatan sosial dan perlindungan yang mencukupi kepada rakyat.

“Dengan lebih 60 inisiatif, 300 pakar dasar dan kerajaan serta lebih 450 inovator dan perintis teknologi yang tersedia dalam ekosistem tersebut, perkongsian ini adalah tepat pada masanya ketika Malaysia mengembangkan ekonomi digitalnya,” katanya.

Perdana Menteri berkata, usaha mengembangkan ekonomi digital merupakan agenda penting bagi kerajaan.

“Pelan Tindakan dan Dasar Ekonomi Digital Malaysia untuk Revolusi Perindustrian Keempat telah digubal menggunakan pendekatan berpaksikan manusia bagi memastikan kita dapat memanfaatkan teknologi sambil memelihara nilai manusia, sosial dan budaya untuk kelestarian masa depan,” katanya.

Anwar berkata, pelan tindakan itu selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang bertujuan untuk mengeksploitasi peluang yang potensi yang tersedia daripada 4IR dan mempersiapkan pembangunan sosioekonomi Malaysia bagi kemampanan dan kemakmuran jangka panjang, sejajar dengan komitmen kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kami berhasrat untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia di persada global, dan ditambah dengan nilai Malaysia Madani, saya yakin kami mampu mempercepat transformasi Malaysia ke arah ekonomi digital maju dengan mengukuhkan infrastruktur kami, memudahkan inovasi dan mewujudkan ekosistem bagi kita semua untuk meningkatkan taraf hidup yang lebih tinggi kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

PM umum penubuhan Malaysia Centre For 4IR


Content Type:

Duration:

Malaysia berpotensi untuk menjadi peneraju hab digital pilihan di rantau Asia Tenggara bagi syarikat luar yang berasaskan teknologi pada masa akan datang.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata Malaysia sebelum ini telah pun menjadi destinasi pilihan kepada penyedia pemprosesan data kerana memiliki infrastruktur komunikasi dan keselamatan siber yang kukuh selain rakyat yang celik digital.

“…dan apabila saya dapat tahu syarikat teknologi konsumer yang berpangkalan di Shezhen, China, FreeYond memilih Malaysia sebagai negara pertama di Asia Tenggara untuk memasarkan produknya itu, ia sebagai petanda positif kepada Malaysia.

“Ia bukan sahaja memberi kesan dari segi pelaburan, tapi ini akan menjadikan Malaysia sebagai satu hab untuk banyak lagi produk yang lain berasaskan teknologi untuk datang ke Malaysia,” katanya pada sidang media di sini hari ini selepas majlis pelancaran rasmi telefon dan jam pintar keluaran FreeYond.

Dalam majlis yang diadakan FreeYond, melancarkan dua telefon pintar baharu – M5 dan F9, dua jam tangan pintar – Watch S1 dan F1 dan satu set kepala True Wireless Stereo (TWS) – Pods 1.

Sementara itu, Fahmi berkata hubungan ekonomi antara Malaysia-China khususnya mendatangkan impak positif apabila lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan terutama berkaitan bidang inovasi, teknologi dan kemahiran.

Beliau turut memaklumkan hubungan dua negara itu dijangka dapat diperkukuh lagi melalui lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Fahmi mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa masalah capaian Internet dalam Malaysia akan dapat diselesaikan menjelang Jun ini dan kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bersama syarikat telekomunikasi sedang berusaha untuk mengatasi perkara itu.

Sumber: Bernama

Malaysia berpotensi jadi peneraju hab digital Asia Tenggara


Content Type:

Duration:

Sarawak memerlukan kira-kira 6,000 teknologis bertauliah bagi merealisasikan visi sebagai peneraju Revolusi Industri 5.0 (IR5.0), kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Bercakap pada Simposium Borneo Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) 2023 di sini hari ini, beliau berkata Sarawak menyasarkan untuk mempunyai 10,000 teknologis menjelang 2025 namun pada masa ini, negeri itu hanya dapat menghasilkan kira-kira 30 peratus daripada yang disasarkan.

“Ketika ini kita (Sarawak) memiliki seramai 3,291 teknologis bertauliah yang terdiri daripada 1,961 graduan teknologi, juruteknik bertauliah (461), teknologis profesional (722) dan juruteknik bertauliah (147).

“Mudah-mudahan kita mampu mencapai angka berkenaan pada 2025, yang sukar… namun sekurang-kurangnya kita mesti mempunyai teknologis yang mencukupi menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata simposium seumpama itu mampu meningkatkan kapasiti teknologis dan juruteknik di Sarawak dengan mempromosi dan membangunkan bakat teknologis.

Abang Johari berkata sasaran Sarawak itu mampu dicapai melalui kerjasama negeri dengan pelbagai institusi dan syarikat seperti Persatuan Juruteknik dan Juruteknologi Profesional (APTT), MBOT serta Universiti Malaysia Sarawak.

Sementara itu, Presiden MBOT Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir dalam ucapannya berkata setakat ini lembaga itu telah mengakreditasi sebanyak 52 dan 46 program di institusi pengajian tinggi di Sarawak serta Sabah.

“Sejak ditubuhkan pada 2016, MBOT telah mendaftarkan seramai lebih 70,000 teknologis dan juruteknik termasuk 18,765 teknologis profesional dan 2,260 juruteknik bertauliah dengan lebih 5,000 daripada golongan profesional ini berasal dari Sarawak serta Sabah, iaitu kira-kira 7.5 peratus daripada jumlah ahli kami,” katanya.

Menurut Siti Hamisah, simposium berkenaan adalah satu daripada inisiatif untuk mengembangkan bakat industri berkemahiran tinggi, boleh menyesuaikan diri serta profesional sebagai tindak balas terhadap pembangunan pesat di Sarawak serta Sabah.

Bertemakan “Preparing A Sustainable Workforce”, simposium sehari itu bermatlamat mempromosi dan mengiktiraf sumbangan teknologis serta juruteknik, khususnya di Sarawak dan Sabah. 

Sumber: Bernama

Abang Johari: Sarawak perlu 6,000 teknologis bertauliah menjelang 2025


Content Type:

Duration:

Malaysia berharap dapat meneroka kerjasama dengan Bank Pembangunan Asia (ADB) dalam bidang tenaga dan perubahan iklim, terutama pembinaan keupayaan dan bantuan teknikal serta ekonomi hijau.

Hasrat itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima kunjungan hormat Presiden ADB, Masatsugu Asakawa di luar program Sidang Kemuncak ASEAN ke-42, hari ini.

Menurut Anwar, pertemuan itu turut membincangkan kerangka perjanjian kerjasama yang melibatkan sektor swasta dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Asakawa pula menyatakan sokongan kepada sasaran Malaysia untuk menjadi negara bebas karbon menjelang 2050 dan menyatakan ADB akan menerbitkan laporan pelan tindakan mengenai perubahan iklim yang boleh Malaysia teroka peluang kerjasama.

Selain itu, beliau turut berpuas hati dengan kerjasama sedia ada di antara Malaysia dan ADB dalam bidang bandar hijau, serta pembiayaan mampan dan hijau, bagi perumahan untuk golongan berpendapatan rendah di Malaysia.

ADB juga berharap dapat meningkatkan kerjasama dengan Malaysia melalui Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMB-EAGA).

Asakawa turut merakamkan penghargaan ke atas sumbangan Malaysia kepada Dana ADB selama ini. 

Sumber: Bernama

Malaysia teroka kerjasama ADB bidang tenaga, perubahan iklim


Content Type:

Duration:

Kerajaan memutuskan untuk memansuhkan larangan terhadap eksport tenaga boleh diperbaharui, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata, keputusan untuk memansuhkan larangan itu dibuat secara bersama antara Kementerian Ekonomi serta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebagai sebahagian usaha menambah baik dasar negara mengenai ekonomi hijau.

“Keputusan memansuhkan larangan eksport tenaga boleh baharu rentas sempadan akan memberikan manfaat kepada syarikat di Malaysia yang menjalankan perniagaan tenaga boleh baharu,” katanya pada sidang media bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Larangan eksport tenaga boleh diperbaharui dilaksanakan pada Oktober 2021 bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam sidang media itu juga, Rafizi turut mengumumkan kerajaan akan memperuntukkan RM50 juta untuk mengurangkan bil elektrik di bangunan kerajaan melalui penggunaan tenaga solar.

“RM50 juta akan diperuntukkan untuk menaik taraf dan mengubah suai bangunan kerajaan dalam tahun ini,” katanya lagi.

Mereka menambah bahawa kapasiti tenaga boleh diperbaharui dalam sistem bekalan elektrik dijangka mencapai kira-kira 70 peratus menjelang 2050.

Sumber: Astro Awani

Larangan eksport tenaga boleh diperbaharui dimansuhkan – Rafizi


Content Type:

Duration:

Kapasiti Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam sistem pembekalan elektrik disasar untuk ditingkatkan kepada 70 peratus menjelang 2050 bagi mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada negara serta menarik syarikat multinasional khususnya syarikat Renewable Energy 100 (RE100) untuk beroperasi di negara ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, mesyuarat jemaah menteri pada 3 Mei lepas bersetuju untuk meningkatkan kapasiti TBB kepada 70 peratus menjelang 2050 di bawah Hala Tuju Pembangunan Strategik TBB selepas meneliti memorandum mengenai Hala Tuju Pembangunan dan Dasar Perdagangan TBB yang dibentangkannya.

Dalam sidang media bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, di sini, hari ini, Rafizi berkata, setakat Disember 2022, jumlah kapasiti terpasang TBB dalam pembekalan elektrik negara adalah sebanyak 25 peratus.

Beliau berkata, peningkatan kapasiti TBB itu akan membolehkan lebihan kapasiti yang dijana didagangkan merentas sempadan dengan negara jiran di rantau ini menerusi mekanisme yang akan dibangunkan dan ditetapkan kerajaan melalui sistem pasaran tenaga elektrik rentas sempadan dibawah Dasar Perdagangan TBB.

“Kewujudan sistem pasaran tenaga elektrik untuk melaksanakan perdagangan TBB rentas sempadan akan meletakkan Malaysia di depan sebagai pusat TBB serantau,” katanya.

Rafizi berkata, penetapan sasaran baru kapasiti TBB dan campuran tenaga yang meningkatkan peralihan kepada TBB sebanyak 11 kali ganda dari tahun 2023 ke 2050 akan meredakan kos elektrik rakyat dalam tempoh masa jangka panjang apabila penjanaan tenaga elektrik beralih kepada TBB.

Menurutnya, kabinet juga bersetuju supaya pemasangan sistem solar di bangunan kerajaan dipercepat dan dipertingkat melalui penyediaan peruntukan pembangunan bagi memberi manfaat secara terus dari segi penjimatan bil elektrik kepada kementerian dan agensi kerajaan.

“Sejumlah RM50 juta diperuntukkan segera untuk memasang infrastruktur solar di bumbung dan kemudahan kerajaan di seluruh negara dalam tempoh enam bulan sebelum akhir tahun ini, sementara peruntukan yang lebih besar akan diberikan bagi tujuan ini dalam perbelanjaan pembangunan yang akan datang,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Sasar pertingkat Kapasiti Tenaga Boleh Baharu kepada 70 peratus


Content Type:

Duration:

Anak syarikat milik penuh Salcon Bhd (Salcon), Salcon Engineering Bhd, meraih kontrak pembinaan bernilai RM64.99 juta untuk membangunkan projek loji kuasa hidro berkapasiti 10.44MW di Empangan Sungai Selangor.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata Salcon Engineering telah menerima surat lantikan daripada AIS Small Hydro Sdn Bhd pada 14 April 2023, untuk projek berkenaan di bawah mekanisme tarif galakan.

AIS Small Hydro ialah syarikat tujuan khas yang ditubuhkan oleh Air Selangor Holdings Bhd (AIS Holdings) dan Worldwide Holdings Bhd (WHB).

“Projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Salcon Group untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 hingga 31 Disember 2025,” menurut Salcon.

Katanya, projek itu dijangka siap pada 3 Mei 2025.

Sumber:Bernama

Anak syarikat Salcon dapat projek bina loji kuasa hidro


Content Type:

Duration:

Anak syarikat 51 peratus milik Glomac Bhd, Glomac Technology Sdn Bhd, memeterai perjanjian dengan Tenaga Nasional Bhd untuk meninjau potensi peluang perniagaan dalam kemudahan tenaga solar dan hijau. 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Glomac berkata Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani hari ini (17 April 2023) dan akan kekal berkuat kuasa selama 24 bulan dari tarikh dimeterai.

“Bagaimanapun, jika pihak-pihak berkenaan memutuskan untuk melanjutkan perjanjian secara bertulis melalui persetujuan bersama atau ditamatkan lebih awal secara bertulis oleh mana-mana pihak mengikut peruntukan dalam MoU tersebut,” katanya.

Glomac berkata MoU itu tidak akan memberi sebarang impak ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham utama dalam Glomac dan dijangka tidak memberi sebarang impak yang ketara dan serta-merta ke atas pendapatan, aset bersih dan nisbah hutang Glomac Group untuk tahun kewangan berakhir 30 April 2023.

Sumber: Bernama

Glomac Bekerjasama Dengan TNB Teroka Perniagaan Kemudahan Tenaga Solar, Hijau


Content Type:

Duration:

Firma infrastruktur digital global, DigitalBridge Group dianggarkan akan melabur lebih RM4 bilion terutama dalam sektor infrastruktur di Malaysia pada penghujung 2023, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata DigitalBridge ialah firma infrastruktur digital yang melabur dalam pusat pangkalan data, menara telekomunikasi dan gentian optik.

“Menurut kertas putih oleh Knight Frank, pertumbuhan infrastruktur digital di Malaysia adalah yang terpantas, dan pusat-pusat data merekodkan 113 megawatt hanya pada tahun 2022, atau empat kali ganda melebihi Thailand,” katanya menerusi catatan di laman Facebook beliau pada Sabtu.

Beliau turut berkongsi gambar mengenai kunjungan hormat yang diterimanya daripada delegasi DigitalBridge tempoh hari.

Anwar menegaskan bahawa beliau akan terus komited dan menekankan kepentingan dalam memastikan ekosistem yang bersih dan kondusif bagi memudah cara sektor perniagaan dan pelaburan di negara ini.

“Ini sebagai sebahagian daripada usaha dan upaya kita memacu pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat. #MalaysiaMADANI,” katanya.

Media melaporkan bahawa berdasarkan Kertas Putih Pusat Data Malaysia Knight Frank (Malaysia) Sdn Bhd yang dilancarkan pada Rabu 12 April, Malaysia muncul sebagai destinasi utama untuk pelaburan pusat data dalam kalangan lima negara Asia Tenggara, dengan penggunaan 113MW pada 2022, dan kira-kira 20 peratus pertumbuhan bekalan diunjurkan untuk lima tahun akan datang.

Lima negara itu ialah Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam. 

Sumber: Bernama

PM: Firma global DigitalBridge dijangka labur lebih RM4b di Malaysia pada 2023


Content Type:

Duration:

RHB Investment Bank Bhd melihat Malaysia semakin pesat berkembang sebagai hab pusat data di Asia dengan dasar pro-perniagaan yang menyokong dapat menarik dan mengekalkan pelabur pusat data.

Pekerja berkemahiran dan berpengetahuan di Malaysia menggambarkan kelebihan daya saing yang ketara dalam memangkin pelaburan langsung asing yang lebih besar yang merupakan faktor penting untuk industri pusat data, katanya.

“Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim komited untuk mempercepatkan lagi penerimaan digital di negara ini yang merupakan petanda baik untuk industri pusat data domestik,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan.

Ia menunjukkan bahawa pandangan positif industri juga disokong oleh Dasar Pelaburan Baharu yang diumumkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Oktober 2022, di mana kerajaan berusaha meningkatkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

“Selain daripada Amazon Web Services dan Microsoft yang telah komited untuk membina rangkaian teknologi awan di negara ini, syarikat terkemuka dalam pusat data seperti GDS, Equinix dan Yondr Group telah mengeluarkan modal bagi membina kemudahan pertama mereka di Malaysia,” katanya.

“Idea pelaburan dalam ruang lingkup pusat data secara semula jadi melibatkan syarikat telekomunikasi talian tetap memandangkan pusat data adalah aset utama untuk perkhidmatan dan penyelesaian berkaitan perusahaan yang melengkapkan aset kabel dasar laut yang luas.

“Walaupun tiada syarikat senaraian awam pusat data di Bursa Malaysia, tema pusat data juga harus termasuk syarikat berkaitan pembinaan dan jenis perkhidmatan yang membentuk sebahagian daripada rantaian nilai yang lebih luas,” katanya.

Syarikat penyelidikan itu menamakan tiga saham, iaitu Telekom Malaysia Bhd (harga sasaran (TP): RM6.20, Time dotcom (RM5.60) dan Sunway Construction Group Bhd (RM2.07) yang dipercayai penerima manfaat daripada industri pusat data tersebut.

Sumber: Bernama

Perkembangan pesat Malaysia sebagai hab pusat data dapat tarik pelabur – RHB


Content Type:

Duration:

Citaglobal Genetec BESS Sdn Bhd melancarkan Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) untuk tenaga boleh diperbaharui (RE) yang pertama dibangun dan dihasilkan oleh syarikat Malaysia, menerusi prototaip BESS 1 Megawatt (MW) beroperasi sepenuhnya (Mybess).

Pengerusi Citaglobal Genetec BESS Sdn Bhd, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata melalui pembangunan BESS, syarikat menyasar untuk menyediakan penyelesaian simpanan tenaga dan mudah alih berkapasiti besar, yang kemudiannya boleh digunakan untuk memudahkan bekalan dan ketersambungan elektrik di luar bandar.

Katanya, secara keseluruhannya, unit BESS boleh disambungkan terus kepada RE atau sumber grid untuk mengurus bekalan sekejap-sekejap dan untuk menyimpan bekalan kuasa.

“Daripada sistem penukaran kuasa (PCS), sistem pengurusan kuasa (PMS), sistem pengurusan bateri (BMS), kepada bateri, konfigurasi sistem pengurusan tenaga (EMS) ini mempunyai banyak aplikasi.

“Ia boleh ditingkatkan atau diturunkan untuk memenuhi kapasiti dan keperluan yang berbeza merentasi industri yang berbeza seperti kilang perindustrian besar, pembuatan, pengangkutan seperti kereta api elektrik, stesen pengecas kenderaan elektrik, menjana kuasa pusat data kritikal, telekomunikasi, pelancongan ke komuniti luar bandar, yang mana terdapat banyak kes untuk penggunaan segera.

“Secara ringkasnya, BESS ini menyelesaikan banyak cabaran sedia ada kita dalam pengagihan kuasa, penyimpanan, kebolehskalaan dan mudah alih. Apabila digabungkan, kebolehskalaan dan penyelesaian mudah alih BESS ini, dengan sumber RE seperti solar, membolehkan perniagaan dan komuniti mengatasi cabaran yang terdapat dalam penjanaan elektrik konvensional,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran BESS yang disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz di sini, hari ini.

Norza berkata, semasa Citaglobal dan Genetec memulakan perjalanan ini pada awal 2022, pihaknya segera menyedari bahawa terdapat cabaran yang ketara untuk melaksanakan sistem pengurusan dan penyimpanan tenaga berskala besar dan cekap.

“Cabaran ini amat ketara dalam industri tenaga boleh diperbaharui. Ini kerana yang pertama, tiada penyedia penyelesaian di rantau ini dapat menyediakan apa yang kami perlukan.

“Kedua, kos yang terlalu tinggi untuk memperoleh penyelesaian di peringkat antarabangsa menjadikan projek ini tidak berdaya maju dari segi kewangan.

“Citaglobal dan Genetec menubuhkan usaha sama eksklusif kami (JV) untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan yang diperlukan (R&D), pengeluaran, perintis dan ujian BESS yang dibangunkan dan dihasilkan secara tempatan. Proses R&D mengambil masa hampir 10 bulan, dengan projek perintis dijalankan pada Disember 2022,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Mybess sistem simpanan tenaga bateri pertama buatan Malaysia


Content Type:

Duration:

Malaysia menyaksikan kapasiti pusat data kian berkembang apabila beberapa penyedia perkhidmatan awan gergasi dunia mula giat memperluaskan pasaran operasi di negara ini.

RHB Investment Bank dalam satu nota penyelidikan berkata, Malaysia menerima pelaburan baharu dengan kapasiti melebihi 800 megawatt (MW) yang diunjurkan beroperasi secara berfasa sepanjang tempoh lima tahun akan datang, dengan kos tanah dan tenaga lebih rendah menjadi faktor penarik utama.

“Keputusan Singapura pada awal 2022 untuk mengenakan syarat-syarat ke atas kapasiti bangunan pusat data baharu sebenarnya membuka peluang yang tidak disangka-sangka apabila syarikat seperti Equinix, AirTrunk, Yondr Group, dan GDS Holdings menempatkan kemudahan sulung mereka ke Johor.

“Lebih penting lagi, pembukaan rantau awan oleh Microsoft dan Amazon Web Services (AWS) menjadi satu pencapaian yang besar kerana ia memberikan rangsangan yang ketara kepada industri pusat data domestik dan ekonomi negara,” kata bank pelaburan itu menerusi nota yang disediakan penganalisis, Jeffrey Tan dan Wan Muhammad Ammar Affan.

RHB Investment Bank berkata, pertumbuhan industri pusat data Singapura dengan syarat-syarat yang ketat menyebabkan kekurangan inventori, lantas menyebabkan peralihan ke

negara jiran.

“Walaupun Singapura masih menjadi tumpuan pertumbuhan pusat data di Asia Tenggara, syarat-syarat yang lebih ketat untuk membina pusat data baharu menyebabkan pelabur mula mempertimbangkan tapak atau hab lain di rantau ini,” katanya.

Bank pelaburan itu menambah, pasaran pusat data di Indonesia pula berkembang pada purata kadar pertumbuhan tahunan enam peratus antara 2022 hingga 2028 kepada AS$3.1 bilion, berdasarkan laporan Arizton Advisory and Intelligence pada Mac 2023.

Ia berkata, pertumbuhan ini mendapat dorongan hasil daripada pengembangan kapasiti yang pantas oleh penyedia perkhidmatan awan besar, peraturan penyetempatan data, dan apabila penembusan capaian internet merapatkan jurangnya dengan negara-negara ASEAN lain.

“Kini, Indonesia sudah menjadi tempat tertubuhnya pelbagai rantau awan daripada Google, Alibaba, Amazon, Huawei, dan Microsoft dengan Pulau Batam muncul sebagai zon ekonomi baharu pusat data,” katanya.

Menurut Frost and Sullivan, ketiga-tiga negara ini dijangka mencatatkan nilai gabungan kira-kira 74 peratus untuk pasaran pusat data ASEAN menjelang 2025.

RHB Investment Bank mengemukakan saranan supaya pelabur mempertimbangkan saham syarikat berkaitan industri pusat data seperti Singtel, Telekom Malaysia (TM), Telekomunikasi

Indonesia (TLKM), Time dotCom, Indosat Ooredoo Hutchison (ISAT), YTL Power, XL Axiata (XL) dan DCI Indonesia (DCII).

“Kami menamakan MN Holdings dan Sunway Construction sebagai bakal kontraktor pusat data di Malaysia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Malaysia bakal muncul gergasi pusat data ASEAN


Content Type:

Duration:

Malaysia merupakan destinasi paling menarik bagi tujuan pelaburan pusat data dalam kalangan pasaran sedang pesat membangun di Asia Tenggara (SEA), kata firma perunding hartanah bebas Knight Frank Malaysia.

Firma tersebut telah melancarkan kertas putih berkaitan pusat data di Malaysia pada Rabu menerusi kerjasama dengan DC Byte, sekali gus mengetengahkan tarikan Malaysia sebagai pelaburan pusat data khususnya di Kuala Lumpur serta Johor.

ADVERTISING

Pengarah Sekutu Utama Pusat Data Knight Frank Asia Pasifik Fred Fitzalan Howard berkata Malaysia juga menerajui Indeks Peluang Pusat Data SEA-5 Knight Frank yang meninjau pasaran utama di Malaysia, Indonesia, Vietnam, Filipina serta Thailand bagi memahami kedudukan pusat data semasa negara terbabit berbanding saingan.

“Kertas putih itu memaparkan maklumat mengenai perkembangan di dua pasaran utama bagi pelaburan pusat data di Malaysia iaitu di Kuala Lumpur dan Johor. Di Kuala Lumpur misalnya menyaksikan minat ketara terhadap (perkhidmatan pengkomputeran) awan dengan penyedia berskala hiper Barat telah bertindak mengumumkan wilayah awan masing-masing sejak 12 bulan lepas.

“Kami juga mahu mengetengahkan mengenai peluang pertumbuhan di Johor yang bukan sekadar lokasi menerima limpahan dari Singapura, tetapi juga (semakin berkembang) sebagai hab pusat data untuk penyedia perkhidmatan skala hiper Barat dan China,” katanya selepas majlis pelancaran kertas putih itu.

Fitzalan Howard berkata faktor seperti angka pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia yang kukuh pada 8.7 peratus serta pengumumannya sebagai wilayah awan bagi Amazon Web Services (AWS) dan Google baru-baru ini, hanya meletakkan negara itu di kedudukan peneraju dalam pasaran SEA-5 tersebut.

Malah, katanya, pertumbuhan Malaysia berbanding pasaran peringkat-2 lain di Asia, juga membuktikan bahawa Malaysia selain Indonesia, di kedudukan utama sebagai penyedia ruang dan bekalan terbesar untuk pelaburan pusat data.

“Keadaan sebaliknya di negara-negara pesaing yang masih perlu menangani isu berkaitan undang-undang pemilikan tanah dan kawal selia telekomunikasi yang hanya mengekang potensi pertumbuhannya.

“Sejak sedekad lepas, perkembangan seperti lonjakan minat terhadap awan, inisiatif disokong kerajaan dan moratorium pusat data Singapura, ternyata telah menyumbang kepada Malaysia untuk muncul sebagai antara pasaran pusat data paling dinamik di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Menurut kertas putih berkenaan, Malaysia telah mencatatkan kadar pengambilan 113 megawatt (MW) pusat data pada 2022 — lonjakan lebih empat kali berbanding pasaran tertinggi berikutnya di Thailand yang mencatat pengambilan 25MW dan membuktikan dominasi Malaysia jika dibandingkan dengan pasaran lain.

“Sebahagian besar daripada pengambilan itu melibatkan pertumbuhan di Johor walaupun Kuala Lumpur turut menyumbang selepas mencatat kadar pengambilan dua digit sejak tiga tahun lepas,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia lokasi paling menarik bagi pelaburan pusat data di Asia Tenggara – Knight Frank


Content Type:

Duration:

NCT Group of Companies (NCT Group) melancarkan Taman Perindustrian Pintar NCT (NSIP), projek utama dalam Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS) dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sehingga RM10 bilion.

NSIP membabitkan keluasan keseluruhan 296.43 hektar, dijangka menampilkan infrastruktur termaju, kecerdasan buatan (AI), teknologi internet kebendaan (IoT), analisis data terkini dan pelbagai kemajuan terkini lain dalam pendigitalan serta automasi dengan pembangunan keseluruhan 10 tahun.

Fasa pertama berkeluasan 93.08 haktar daripada tiga fasa pembangunan taman perindustrian itu akan terdiri daripada 101 unit dan 27 plot yang menampilkan kilang semi-D, kilang berkembar, kilang berkembar pautan dan plot perindustrian sehingga 20.23 hektar dengan anggaran GDV RM2 bilion dijangka siap menjelang suku keempat 2025.

Sebagai Taman Perindustrian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan pensijilan GreenRE, NSIP akan dilengkapi sepenuhnya dengan kilang sedia solar, sistem penuaian air hujan, serta sistem pengurusan air dan sisa, bagi mengurangkan jejak karbon industri dan komersial serta menggalakkan amalan perniagaan yang mampan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NCT, Datuk Seri Yap Ngan Choy, berkata sebagai Taman Perindustrian Terurus (MIP) pertama Selangor, NSIP menyasarkan untuk mencipta sistem pintar dan bersambung yang membolehkan operasi lancar sambil memperkemas aliran proses hujung ke hujung untuk pelabur.

Katanya, NSIP dijangka menjadi hab untuk elektrik & elektronik (E&E), semikonduktor, logistik pintar dan pengangkutan serta industri berinspirasikan 4IR.

“NSIP ialah projek berwawasan yang bukan sahaja mewujudkan ekosistem yang merangkumi teknologi dan inovasi tetapi juga memberi peluang kepada pelabur yang berfikiran sama untuk beroperasi dalam persekitaran digital yang unik dan maju dari segi teknologi untuk perniagaan mereka berkembang maju.

“Menerusi projek mega ini, kami berharap dapat mewujudkan lebih daripada 50,000 pekerjaan semasa pembinaan bersama-sama dengan banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia sebaik sahaja ia siap,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah NSIP di sini, hari ini.

Majlis pecah tanah NSIP disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Yang turut serta, Speaker Kerajaan Negeri Selangor, Ng Suee Lim.

Ngan Choy berkata, dengan sokongan Invest Selangor, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), NSIP berjaya mendapatkan pelabur pertamanya dari China, YuePu untuk pembelian kawasan tanah seluas 19.45 hektar.

“Kami berbangga dengan kemajuan yang telah kami capai dan percaya bahawa NSIP akan diiktiraf sebagai kemuncak destinasi yang komprehensif dan bersepadu untuk bekerja, hidup, bermain dan belajar, menarik lebih ramai pelabur tempatan dan asing,” katanya.

Beliau menjelaskan, bagi memberikan lebih kemudahan menjalankan perniagaan, NSIP akan berfungsi sebagai pusat sehenti dengan menyediakan akses kepada perkhidmatan daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti Invest Selangor, MIDA, The Human Resource Development Corporation (HRD Corp) serta pihak berkuasa tempatan.

“Kemudahan ini bertujuan untuk membantu pelabur dalam NSIP mengembangkan perniagaan mereka dengan menawarkan penyelesaian kepada pelesenan perniagaan, cukai dan perkara berkaitan insentif.

“NCT telah bekerjasama dengan rakan kongsi seperti Telekom Malaysia Bhd, Solarvest Holdings Bhd, Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, Microsoft Malaysia dan banyak lagi untuk melengkapkan sepenuhnya MIP demi memenuhi keperluan perniagaan dan pengguna yang berkembang pada hari ini dan pada masa hadapan.

“Salah satu ciri menonjol taman perindustrian ini ialah Kuarters Pekerja Terurus Berpusat AI (CLQ) yang menyediakan penginapan berkualiti tinggi kepada sehingga 30,000 pekerja.

“Selain itu, NSIP juga mempunyai pusat komersial untuk menjadikan taman perindustrian ini sebagai peneraju dalam pasaran Malaysia sambil meningkatkan imej korporat perniagaan yang terletak di dalam taman itu,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Pembangunan Taman Perindustrian Pintar NCT dianggar RM10 bilion


Content Type:

Duration:

Teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak akan mengurangkan peluang pekerjaan kerana ia tidak akan menggantikan sepenuhnya tenaga kerja manusia, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud.

Beliau berkata ketika ini, penyediaan tenaga kerja yang mahir untuk mengendalikan dan mengoperasikan AI sedang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Robert Lau Hui Yew yang ingin mengetahui langkah kerajaan dari segi dasar untuk memanfaatkan AI pada masa sama mengurangkan kesan kehilangan pekerjaan, pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Mustapha berkata selain itu, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) juga telah membangunkan 182 standard kemahiran pekerjaan kebangsaan berkaitan bidang digital yang boleh menjadi rujukan kepada semua penyedia latihan terutamanya Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam melatih bakat mahir negara dalam bidang berkaitan digital.

“Antara bidang ialah pengaturcaraan dan penyiaran serta aktiviti penerbitan dan telekomunikasi. KSM (Kementerian Sumber Manusia) melalui Jabatan Tenaga Manusia (JTM) juga dalam usaha memperkasakan pendidikan TVET yang turut menyumbang kepada penyediaan pekerja berkemahiran dalam bidang digital serta kerja-kerja penyelenggaraan fizikal dan infrastruktur makmal keselamatan siber di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat.

“Selain itu, turut diadakan ialah program latihan kepada tenaga pengajar dan persijilan profesional kepada tenaga pengajar institusi JTM dalam bidang keselamatan siber,” katanya.

Beliau berkata bagi meningkatkan penyertaan belia dalam bidang digital, JPK juga mengadakan pertandingan kemahiran antarabangsa dan pertandingan kemahiran peringkat belia setiap tahun melibatkan penyertaan 1,300 belia.

Sumber: Bernama

Teknologi AI tidak kurangkan peluang pekerjaan – Timbalan menteri


Content Type:

Duration:

Pulau Pinang menyasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya 150,000 bakat dalam tempoh lima tahun akan datang untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan perindustriannya, kata Penasihat Khas Pelaburan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Lee Kah Choon.

Beliau berkata bahawa strategi pelbagai serampang perlu dimulakan segera melibatkan semua pihak berkepentingan seperti penggiat industri, institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan untuk menangani isu kumpulan bakat tersebut.

“Sistem pendidikan yang dipacu teknologi bermula dari peringkat rendah perlu dilaksanakan segera,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Lee berkata menarik bakat antarabangsa dengan set kemahiran tertentu seperti kejuruteraan perisian dan melaksanakan dasar yang lebih holistik untuk mengekalkan bakat kejuruteraan adalah penting untuk mewujudkan kumpulan bakat yang sihat dan mampan.

“Untuk menarik lebih ramai pekerja berpengetahuan ke negeri ini, Pulau Pinang telah melaksanakan beberapa inisiatif seperti Program Subsidi Latihan Industri Pulau Pinang untuk menarik pekerja berpengetahuan dari negeri lain,” katanya.

Selain itu, beliau berkata keupayaan Pulau Pinang untuk menyediakan persekitaran kerja, kehidupan dan beriadah yang kondusif untuk bakat luar bandar akan menjadi kunci kepada kejayaan inisiatif ini.

Sementara itu, Lee berkata bahawa Asia telah muncul sebagai pasaran yang paling pesat berkembang untuk industri teknologi perubatan (MedTech), mendorong pemain industri peringkat satu menubuhkan kilang pembuatan di rantau ini.

Kadar pertumbuhan tahunan kompaun lima tahun sebanyak 6.8 peratus, pasaran Asia dijangka mencecah AS$147 bilion (AS$1=RM4.39) pada 2027, katanya.

Beliau berkata Pulau Pinang mempunyai jumlah syarikat MedTech tertinggi di Asia Tenggara dan negeri itu berbangga menjadi rumah kepada enam daripada 30 syarikat peranti perubatan terbaik global (mengikut jualan).

Seiring dengan perubahan model perniagaan global, Lee berkata bahawa negeri itu turut menyaksikan lonjakan dalam bilangan aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

“Kami melihat lebih banyak pusat reka bentuk dan pembangunan ditubuhkan di Pulau Pinang untuk memanfaatkan bakat tempatan,” tambahnya.

Lee berkata Pulau Pinang terkenal dengan sektor elektrik dan elektronik (E&E) di peringkat nasional.

Pulau Pinang sasar tarik 150,000 bakat dalam tempoh lima tahun


Content Type:

Duration:

Pakar kejuruteraan utiliti bawah tanah dan substesen, MN Holdings Bhd (MN Holdings) bekerjasama dengan Shanghai DC-Science Co Ltd (DCS) China untuk membangunkan pusat data berprestasi tinggi pertamanya di Malaysia.

Projek dengan anggaran nilai keseluruhan lebih AS$600 juta (RM2.65 bilion) menyaksikan MN Holdings muncul sebagai rakan kongsi Malaysia untuk DCS, di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani di antara anak syarikat milik penuhnya, Mutu Nusantara Sdn Bhd dan syarikat dari China itu dua hari lalu.

Projek pusat data itu adalah sebahagian daripada siri pelaburan langsung asing (FDI) yang dijamin untuk Malaysia sempena lawatan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China pada 30 Mac hingga 2 April lalu.

Merentasi tapak seluas 8.09 hektar di Sedenak Tech Park, Johor, pusat data berprestasi tinggi itu adalah satu pencapaian penting bagi Malaysia.

Ia adalah lokasi pertama DCS di luar China, selepas membangunkan lebih daripada 300 pusat data di seluruh negara asalnya.

Di bawah perancangan semasa, utiliti untuk projek itu terdiri daripada beban kuasa 120MW dengan bekalan kuasa dwi untuk menyokong kemudahan 12,000 rak. Purata bekalan air harian dijangka kira-kira 5,000 tan, manakala infrastruktur akses rangkaian akan tersedia.

Fasa 1 projek itu dijadualkan untuk memulakan pembangunan tahun ini dan akan memulakan operasi pada separuh pertama tahun hadapan.

Pengarah Urusan MN Holdings, Loy Siong Hay, berkata syarikat itu mewakili Malaysia sebagai rakan kongsi pilihan DCS dan akan memastikan projek sulung penyedia perkhidmatan pusat data itu berjaya dilancarkan di sini.

“Perkongsian itu adalah bukti kepakaran teras MN Holdings dalam pembinaan utiliti bawah tanah, serta penyelesaian kejuruteraan substesen, yang merangkumi pemasangan kabel penghantaran elektrik, saluran paip pembetungan dan saliran, serta pembinaan dan pentauliahan loji.

“Ia menandakan kepelbagaian lebih jauh asas pelanggan MN Holdings, berikutan kejayaannya dalam memanfaatkan penyertaan yang lebih besar dalam projek solar berskala besar (LSS) dan kerja lain yang berkaitan dengan pusat data dan industri semikonduktor di sini.

“Kami berbangga untuk mengambil bahagian dalam pengembangan DCS di Malaysia. Perkembangan ini mengesahkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, dan akan menjadi rangsangan untuk bakat tempatan yang menyokong industri pusat data yang berkembang pesat,” katanya dalam satu kenyataan.

Siong Hay berkata, kerjasama dengan DCS akan dapat mengukuhkan lagi pengetahuan teknikal MN Holdings dalam pembinaan dan kejuruteraan pusat data.

“Memandangkan Malaysia melihat lebih banyak pelaburan daripada domestik dan antarabangsa, kami bersedia untuk menawarkan kepakaran kami dalam pembangunan infrastruktur uli bawah tanah dan kejuruteraan,” katanya.

Perkongsian terbaharu dengan DCS akan memberikan rangsangan kepada kontrak dalam tangan hadapan MN Holdings yang berjumlah RM325.9 juta pada 20 Januari lalu.

Beliau berkata, MN Holdings akan terus meneroka peluang dalam kalangan pelanggan tempatan dan antarabangsa di sini, memanfaatkan kepakaran terasnya dalam utiliti bawah tanah dan kejuruteraan substesen untuk menyokong pertumbuhan negara dalam pendigitalan, tenaga dan telekomunikasi,” katanya.

Butiran mengenai skop kerja akan dimuktamadkan selepas menandatangani perjanjian tambahan antara DCS dan MN Holdings, kata Siong Hay.

Sumber: Berita Harian

MN Holdings, DCS China bangun pusat data prestasi tinggi


Content Type:

Duration:

Ericsson dan Intel menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam pembangunan kes penggunaan 5G yang dapat mempercepat pendigitalan di Malaysia serta memacu penerimagunaan teknologi baharu itu oleh perusahaan.

Kedua-dua syarikat itu akan bekerjasama dalam kepakaran teknologi mereka masing-masing bagi memastikan bagaimana penyedia perkhidmatan komunikasi (CSP) boleh mempercepatkan penerimagunaan 5G dan mengembangkan pembabitan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) mereka berdasarkan kes penggunaan 5G.

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro, berkata kerjasama Ericsson dengan Intel di Malaysia akan menyumbang kepada penerimagunaan 5G dan pembangunan ekosistem tempatan yang seterusnya akan memacu transformasi digital di negara ini.

“Usaha ini juga akan memastikan negara mempunyai kelebihan tersendiri berbanding pasaran lain di rantau ini dalam soal pelaburan asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Urusan Intel Malaysia, AK Chong, berkata dengan peningkatan pendigitalan dalam kalangan masyarakat dan ekonomi, 5G menjadi komponen asas untuk memacu inovasi merentasi semua segmen perniagaan.

“Kerjasama ini menunjukkan bagaimana infrastruktur 5G Malaysia dengan perkhidmatan tercanggih yang inovatif yang dikuasakan oleh teknologi Ericsson dan Intel akan membolehkan perusahaan tempatan mentransformasikan dan mempercepatkan perniagaan mereka melalui penyelesaian digital,” katanya.

Sumber: Bernama

Ericsson, Intel tingkat penerimagunaan 5G di Malaysia


Content Type:

Duration:

Malaysia mengambil langkah nyata ke hadapan untuk menjadi hab yang diiktiraf bagi rumusan risikan siber generasi akan datang menerusi pemeteraian perjanjian perkongsian penting antara Velum Labs Sdn Bhd (Syarikat Sapura) dan TriCIS Ltd baru-baru ini.

Ia bersempena satu majlis menandatangani perjanjian telah diadakan di kemudahan Velum Labs yang canggih di Permata Sapura, Kuala Lumpur; disaksikan oleh Tan Sri Shahril Shamsuddin (Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura), Antony Summerfield (CEO TriCIS), Baroness Annabel MacNicoll Goldie (Menteri Pertahanan Britain) dan Charles Hay (Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia).

Velum Labs, anak syarikat syarikat Sapura adalah pengendali keselamatan dan perisikan siber terkemuka tempatan yang menyediakan rumusan perisikan siber dipertingkatkan yang diperoleh daripada pemahaman peneraju pasaran mengenai metodologi serangan siber.

TriCIS ialah pakar yang berpangkalan di UK dalam mereka bentuk dan kejuruteraan penyelesaian bersepadu yang sangat selamat, memenuhi piawaian keselamatan kerajaan dan ketenteraan tertinggi.

Dengan lebih empat dekad pengalaman, TriCIS ialah pembekal yang dipercayai kepada Kementerian Pertahanan United Kingdom dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Perjanjian perkongsian itu akan menyaksikan Velum Labs dan TriCIS menyediakan keupayaannya kepada pelanggan sektor kerajaan dan swasta di seluruh rantau; di bawah perjanjian dua hala bersama UK dan Malaysia.

Tan Sri Shahril Shamsuddin, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura, berkata pihaknya menghargai kepercayaan dan keyakinan yang diberikan TriCIS dalam Velum Labs, menggunakan sepenuhnya set kemahiran dan rekod prestasi kami dalam keselamatan siber dan ruang risikan siber.

Beliau menambah, memandangkan kami diurus dan dikendalikan oleh bakat tempatan, perkongsian ini jelas mencerminkan keupayaan bertaraf dunia dan pengetahuan teknikal yang wujud dalam tenaga kerja Malaysia.

“Dengan bergabung tenaga dengan TriCIS, kami dapat melonjak ke hadapan dari segi inovasi dan penyelesaian luar kotak yang boleh meletakkan Malaysia di barisan hadapan teknologi telekomunikasi yang berdaulat sambil memenuhi keperluan negara kita untuk mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat kita,” tambahnya.

Menurut Mordor Intelligence, Pasaran Keselamatan Siber Pertahanan Global bernilai AS$16.22 bilion pada 2020, dan dijangka mencecah AS$28.53 bilion menjelang 2026, mencatatkan CAGR kira-kira 10.51 peratus dalam tempoh ramalan (2021-2026).

Laporan itu juga menekankan bahawa Asia Pasifik adalah rantau yang paling pesat berkembang untuk pasaran ini.

Antony Summerfield, Ketua Pegawai Eksekutif TriCIS, berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan Velum Labs kerana pengetahuan teknikal dan kepakaran perisian mereka dalam keselamatan siber dan perisikan siber akan terbukti tidak ternilai dalam mencipta penyelesaian yang sangat maju yang mampu memenuhi pertahanan dan keperluan keselamatan negara dan industri di rantau ini dan di seluruh dunia.

“Kami juga berharap dapat memanfaatkan bakat Malaysia dan hubungan rapatnya dengan negara-negara di seluruh rantau ini untuk mengembangkan kehadiran kami dalam pasaran yang berkembang pesat dan dinamik ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Firma Malaysia, UK jalin kerjasama jadi peneraju pasaran risikan


Content Type:

Duration:

wpChatIcon