Berita Perkhidmatan Archives - Page 6 of 24 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pasaran dron Malaysia bakal cecah RM12 bilion

Pasaran dron Malaysia dijangka mencecah nilai berjumlah sehingga RM12.13 bilion atau 4.3 peratus daripada keseluruhan bahagian pasaran global tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata berdasarkan kajian pasaran pada 2021, industri dron global dijangka menjana nilai pasaran sejumlah AS$41.3 bilion (RM180 bilion).

Katanya, Malaysia berazam untuk terbabit secara aktif dalam industri yang sedang berkembang pesat ketika ini.

“Kerajaan komited dalam membangunkan industri berteknologi tinggi seperti dron supaya lebih ramai golongan muda dapat memanfaatkan teknologi baharu yang memberi impak tinggi terhadap ekonomi negara.

“Perkara membabitkan penyelidikan dan pembangunan(R&D) teknologi baharu adalah salah satu komponen tumpuan kerajaan hari ini, dan perkara itu akan diberi perhatian dalam pembentangan Belanjawan 2023 akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Majlis Pelancaran Makmal Pengajaran-Industri: Dronecubator-MakerxLab di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof Datuk Dr Wan Kamal Mujani.

Program dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MoF) akan dikendalikan oleh Persekutuan Sukan Udara Malaysia (Eng:Malaysian Sport Aviation Federation) (MSAF) serta Futurise, anak syarikat milik penuh Cyberview Sdn Bhd di bawah MoF.

Program Dronecubator yang dibangunkan UKM turut bekerjasama dengan Akademi Kecemerlangan Sukan Dron Negara (Aksadron) bertujuan melatih bakat baharu dan memberi pendedahan tentang teknologi sukan dron dengan memberi fokus terhadap penggunaan teknologi terkini.

Sementara itu, Dr Wan Kamal berkata, UKM sentiasa menyambut baik saranan kementerian untuk mengkomersilkan penyelidikan bermutu dan secara tidak langsung menjana pendapatan bagi kemudahan mahasiswa dan masyarakat.

“Ini adalah bertepatan dengan agenda utama UKM yang sekian lama menjadikan inovasi penyelidikan sebagai salah satu sumber penjanaan di universiti.

“Dengan adanya inkubator sukan dron ini, ia akan mengubah ekosistem pembelajaran dengan pengintegrasian bakat dan penerokaan teknologi yang memfokuskan pada sukan dan teknologi dron yang menggunakan pendekatan STEM dan sukan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Pasaran dron Malaysia bakal cecah RM12 bilion


Content Type:

Duration:

Kerajaan Sarawak tetap komited untuk mentransformasikan negeri ini menjadi bandar hijau yang mampan bagi mengiktiraf kelestarian alam sekitar.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, matlamat negeri adalah untuk mewujudkan bandar yang boleh didiami, sihat dan bertenaga yang akan memenuhi keperluan penduduk dan memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang.

“Untuk mencapai matlamat ini, kita melaksanakan pelbagai amalan pembangunan bandar yang mampan, termasuk bangunan cekap tenaga, sistem pengangkutan mampan dan pembangunan ruang hijau.

“Kita juga mempromosikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan mengurangkan jejak karbon sejajar dengan komitmen terhadap Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Asean Education Cities Conference (AECC) 2023 di Universiti Sunway di Petaling Jaya, pada Sabtu. 

Dengan memasukkan elemen kelestarian alam sekitar ke dalam usaha pemulihan ekonomi, Abang Johari berkata ia bukan sahaja membantu melindungi alam sekitar, malah turut mewujudkan peluang untuk pelaburan dan pertumbuhan dalam ekonomi hijau.

“Ini akan membolehkan kita menarik perniagaan dan pelabur yang mencari destinasi pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab.

“Ia secara tidak langsung akan menyokong matlamat kita untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata penggunaan Indeks Bangunan Hijau telah berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan beberapa projek bangunan hijau yang terkenal sedang dibangunkan di negeri ini.

“Bangunan-bangunan ini terdiri daripada bangunan pejabat komersial dan pembangunan kediaman kepada hotel dan projek bercampur,” jelasnya.

Memandangkan persekitaran binaan menjadi penyumbang besar kepada jejak karbon katanya, penekanan terhadap kualiti persekitaran dalaman bersama-sama dengan penambahbaikan dalam kualiti udara, pencahayaan, dan keselesaan haba adalah asas dalam pelan tindakan pembangunan bandar dan luar bandar Sarawak.

Tambahnya, ini boleh digunakan untuk  menerajui penggunaan bahan lestari dan amalan pembinaan.

“Salah satu projek terkenal adalah daripada Universiti Teknologi Sarawak (UTS) yang menerima penarafan Platinum berprestij untuk reka bentuk kampus yang menggabungkan elemen hijau,” katanya.

Menurut beliau, UTS dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak dan institusi itu memberi tumpuan kepada penyelidikan dan inovasi dalam pembangunan masyarakat bagi menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang 2030 dan pendigitalan Sarawak.

Katanya, Sarawak juga sedang membangunkan pelan tindakan masyarakat rendah karbon di bandar dan pekan di Sarawak untuk mencapai matlamat kemampanan dengan menangani kebimbangan berkaitan pengurangan pelepasan gas rumah hijau, menggalakkan sumber tenaga boleh diperbaharui, meningkatkan kecekapan tenaga, dan mempromosikan pilihan pengangkutan yang mampan.

“Kita juga telah membangunkan Pelan Induk Bandar Pintar Kuching yang mempertimbangkan mobiliti karbon rendah dan infrastruktur bandar pintar untuk ibu kota Sarawak.

“Kita juga mempunyai rancangan untuk membangunkan pelan induk bandar pintar yang serupa bagi kawasan bandar lain di Sarawak yang mengimbangi kelestarian alam sekitar dan pembandaran,” katanya.

Dengan itu, beliau berkata untuk membina masa depan yang lebih baik, terdapat keperluan untuk sistem pendidikan yang berdaya tahan, menyesuaikan diri dan mampu melengkapkan golongan muda dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi menghadapi cabaran secara berterusan.

“Kita perlu melabur dalam pendidikan dan penyelidikan, memupuk kerjasama antara universiti, sekolah dan perniagaan serta mewujudkan komuniti yang cergas dan inklusif yang menyokong pembelajaran dan inovasi.

“Dengan bekerjasama dan berkongsi amalan terbaik, kita boleh membina bandar pendidikan yang menjadi model untuk dunia. Kita boleh mencipta persekitaran yang menyokong, memberi inspirasi dan memperkasakan semua pelajar, tanpa mengira latar belakang atau keadaan mereka,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang bertujuan untuk mengekalkan bakat dan menarik individu berkemahiran dan mengurangkan fenomena ‘brain drain’ di negeri ini.

“Ingin saya tekankan bahawa masa depan pendidikan dan bandar mampan kita berada di tangan kita.

“Saya percaya membangunkan bandar bersepadu, pintar dan ekonomi boleh membawa banyak faedah, termasuk menggalakkan penggunaan tenaga hijau, kehidupan sihat, kemampanan dan kitaran ekonomi yang dimodelkan khas untuk Sarawak,” kata Abang Johari.

Sumber: Utusan Borneo

Kerajaan Sarawak komited transformasi negeri jadi bandar hijau yang mampan


Content Type:

Duration:

Malaysia yang berhasrat membangunkan ekosistem Ekonomi Digital yang mampan, pada masa yang sama tidak boleh memandang ringan kepentingan perlindungan data dan keselamatan siber.

Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Seri Mohammad Mentek berkata ia memerlukan banyak usaha, seperti penyediaan infrastruktur dan ketersambungan, terutama selepas Ekonomi Digital menjadi tumpuan ramai susulan kemunculan pandemik COVID-19, yang menjadikan isu ini semakin bertambah penting.

Bercakap kepada Bernama di luar Mesyuarat Menteri-menteri Berkaitan Digital ASEAN ke-tiga (ADGMIN) di sini, Mohammad berkata fokus Malaysia berhubung keselamatan siber dan perlindungan data dalam mesyuarat itu turut dikongsi sama oleh negara anggota ASEAN yang lain.

“Ketika ini kebanyakan negara-negara ASEAN mengambil peluang untuk mengambil kira keadaan ini.

“Ada beberapa langkah penting yang dibincangkan dalam kumpulan kerja yang berkaitan dalam ASEAN bagi memastikan perlindungan data dan keselamatan siber diberi perhatian,” katanya.

Mohammad berkata isu scam (penipuan) turut menjadi perhatian dalam perbincangan dengan pemimpin dan menteri kanan.

Scam kini dilihat semakin menjadi fenomena global, sepanjang masa, malah di saat ini, pasti ada yang sedang ditipu.

Scam juga adalah masalah merentasi sempadan, kerana seseorang boleh ditipu, atau menjalankan penipuan di mana-mana tempat jua di dunia ini,” katanya.

Bagaimanapun isu itu tidak akan disertakan dalam Kenyataan Media Bersama pada Jumaat memandangkan ia telah ditangani di ibu kota negara masing-masing.

Bagaimanapun ia akan disertakan dalam laporan, dan dibawa sebagai agenda dalam mesyuarat kumpulan kerja dan pemukiman pemimpin.

Sumber: Bernama

Malaysia hasrat bangunkan ekosistem ekonomi digital mampan


Content Type:

Duration:

Pemimpin perniagaan tempatan percaya Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik pada 2023, terutama dalam sektor digital dan teknologi yang berkembang pesat, kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari.

Menurutnya, pelaburan global dalam teknologi dijangka meningkat 5.1% pada 2023, menurut ramalan Gartner, dan ia akan menyaksikan peningkatan yang sama di Malaysia.

Katanya, peningkatan pelaburan di negara ini akan terus meningkat walaupun di kala inflasi kerana ia turut melonjakkan produktiviti.

Ansari juga melihat kesan positif unjuran pertumbuhan pelaburan teknologi terhadap hartanah dan menjangkakan permintaan baharu dalam sektor pembuatan, logistik dan hartanah komersial alternatif apabila pengguna sedia ada berkembang dan pengguna baharu memasuki pasaran.

“Dalam jangka panjang, sektor teknologi kolar putih yang berkembang maju akan cenderung untuk memacu permintaan dan harga hartanah di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Johor.

“Walaupun terdapat peningkatan untuk kerja yang dilakukan dari jauh, pekerja ini lebih suka berada di bandar, di mana mereka lebih dekat dengan perkhidmatan, hiburan, peluang pekerjaan dan komuniti pekerja lain seperti mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, Malaysia mempunyai kelebihan persekitaran perniagaan yang baik, di mana sebahagiannya ditubuhkan oleh inisiatif kerajaan dalam pendidikan, insentif cukai dan pelaburan sokongan.

“Pada 2021, ekonomi digital menyumbang kira-kira 23% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Menjelang 2025, satu daripada setiap empat ringgit yang diperoleh akan berada dalam ekonomi digital,” jelasnya.

Sementara itu, Ansari berkata, lapan daripada sepuluh pekerjaan baharu yang sedang berkembang pesat di dalam negara memerlukan kemahiran teknologi digital, termasuk bidang seperti analisis data, sains data, internet segala-galanya (IoT), transformasi digital dan keselamatan siber.

Kira-kira 8% pekerjaan pada hari ini adalah dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi, menurut Jabatan Perangkaan dan menjelang 2025 terdapat sekurang-kurangnya 500,000 pekerjaan berkaitan ekonomi digital baharu di Malaysia.

“Malaysia berada di kedudukan baik di belakang Singapura, contohnya, dalam kemahiran digital tetapi kami fikir terlalu ramai orang mengambil mudah kelebihan Malaysia dan gagal untuk menghargai kedudukan negara yang bagus pada tahun ini,” katanya.

Ekonomi Malaysia berada dalam keadaan baik memandangkan harga dan rantaian bekalan yang tidak terjangka berlaku satu demi satu pada tahun lalu.

Selain itu, kadar faedah yang lebih tinggi akan menyebabkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang sederhana pada tahun ini.

“Faktor positif yang menyokong ekonomi termasuk permintaan domestik, pendapatan boleh guna isi
rumah, pekerjaan yang lebih tinggi dan pemulihan dalam lawatan pelancongan,” tambahnya.

Sumber: DagangNews

Malaysia dalam kedudukan terbaik raih pertumbuhan teknologi pada 2023 – Juwai IQI


Content Type:

Duration:

Malaysia berminat meneroka teknologi baharu dalam 5G serta bidang penyiaran dari Amerika Syarikat (AS), kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Datuk Seri Mohammad Mentek.

Semasa kunjungan hormat oleh delegasi AS di luar Mesyuarat Pegawai Kanan Digital ASEAN Ketiga (ADGSOM) di sini hari ini, Mohammad bercakap mengenai rancangan Malaysia berkaitan ekonomi digital dan menggalakkan lebih banyak kerjasama antara kedua-dua negara.

Beliau turut menyentuh mengenai keselamatan siber, perlindungan data dan program antipenipuan sambil menekankan bahawa Malaysia berminat untuk meneroka kesemua bidang ini.

Pada mesyuarat itu, Timbalan Penolong Setiausaha bagi Dasar Maklumat dan Komunikasi Antarabangsa AS Steve Lang, yang mengetuai delegasi negara berkenaan, mempelawa Malaysia menyertai satu siri bengkel bermula dengan Memudahkan Aliran Data Rentas Sempadan di Asia Tenggara.

Turut hadir Setiausaha Bahagian Antarabangsa KKD Mano Verabathran dan Pegawai Ekonomi Misi AS ke ASEAN Henry Fung.

Sumber: Bernama

Malaysia hasrat teroka teknologi generasi baharu dengan AS


Content Type:

Duration:

UEM Edgenta Bhd, melalui Edgenta Healthcare Support memeterai tiga perjanjian Memorandum Penerokaan Perniagaan (MOBE) bersama WAS, First Ambulance Services (FAS) dan Optima Technic, bagi memperkukuhkan kedudukannya dalam perniagaan penjagaan kesihatan antarabangsa.

Edgenta Healthcare Support adalah peneraju pasaran dalam perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan bukan klinikal di Asia Tenggara, kepada lebih 300 hospital di Malaysia, Singapura, Taiwan dan India.

WAS adalah syarikat yang berpangkalan di Jerman dan salah satu pengeluar kenderaan

khas dan ambulans terkemuka di dunia dengan pengalaman melebihi 20 tahun.

Bertujuan untuk mengukuhkan perkhidmatan kecemasan dan menjadikannya lebih mampan pada masa hadapan, WAS menyediakan perkhidmatan kecemasan mesra pengguna yang lebih selamat dan cekap berpandukan kemajuan teknologi dan konsep inovatif ambulans dan kenderaan pengangkutan pesakit.

Sementara itu, FAS adalah perkhidmatan ambulans persendirian Malaysia, yang menawarkan penyelesaian lengkap terhadap perihal yang berkaitan dengan ambulans hospital, seperti bantuan bagi kecemasan dan perubatan pra-hospital, pengangkutan pesakit, serta pengulangan semula perubatan kepada masyarakat Malaysia.

Beroperasi di pusat-pusat perubatan utama di negara ini, FAS berdedikasi untuk memberikan bantuan yang cemerlang kepada masyarakat melalui ambulans pintar.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin, berkata syarikat itu dengan kerjasama WAS dan FAS, akan menyediakan penyelesaian terbaik bagi meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara ini serta rantau lain.

“Kami berharap dapat meningkatkan sistem penjagaan kesihatan negara agar setanding dengan peringkat antarabangsa.

“Gabungan kepakaran kami dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan, penjagaan kesihatan digital dan teknologi pengurusan aset akan menbolehkan kami meningkatkan sistem penjagaan kesihatan dan melancarkan perjalanan pesakit, bagi menyokong visi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), serta di rantau lain, terutamanya Timur Tengah, Asia dan negara lain di seluruh dunia.

“Sebagai sebahagian daripada komitmen dalam inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), kami juga meneroka EV Ambulans, selaras dengan pelancaran Wawasan 2030 oleh Putera Mahkota Kerajaan Saudi, Putera Mohammed bin Salman, yang bertekad ke arah mengurangkan pelepasan karbon negara.

“Ini satu langkah ke hadapan sejajar dengan aspirasi UEM Edgenta dalam menyediakan perkhidmatan perubatan kecemasan yang berkualiti tinggi, ke arah ekosistem penjagaan pesakit yang lebih baik”, katanya dalam satu kenyataan.

Perjanjian MOBE dimeterai di konvensyen Arab Health 2023 yang bertempat di Dubai World Trade Centre.

Sumber: Berita Harian

UEM Edgenta perluas khidmat ke pasaran global


Content Type:

Duration:

Rangka Kerja Kerjasama dalam Ekonomi Digital Malaysia-Singapura boleh menjadi contoh kepada negara ASEAN lain dalam menyediakan tenaga kerja, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat permulaan mereka untuk dekad digital.

“Melalui kerjasama ini, Malaysia berharap dapat mempelajari dan berkongsi amalan terbaik yang akan memudahkan pembinaan bakat, menaik taraf infrastruktur dan lain-lain sama ada dalam sektor awam atau swasta,” kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semalam.

Bagi Rangka Kerja Kerjasama dalam Ekonomi Hijau, katanya, Malaysia mengalu-alukan kerjasama dengan Singapura dalam pengetahuan teknikal untuk keperluan pengawalseliaan bagi kenderaan elektrik (EV), kenderaan autonomi dan inisiatif ekonomi hijau seperti kredit karbon dan lain-lain.

“Ini termasuk penyeragaman garis panduan industri, keperluan teknikal, tatakelakuan, undang-undang dan peraturan serta program pembinaan kapasiti,” katanya kepada media di Singapura selepas majlis menandatangani Rangka Kerja Kerjasama dalam Ekonomi Digital dan Ekonomi Hijau Malaysia dan Singapura.

Majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

“Rangka kerja kerjasama ini merupakan inisiatif antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura untuk meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi digital dan ekonomi hijau.

“Insya-Allah, kerjasama dua hala dalam ekonomi digital dan ekonomi hijau ini berpotensi untuk memacu pembangunan industri kedua-dua negara serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan bagi Malaysia dan Singapura.

“Saya bersetuju dangan banyak prinsip yang disebut oleh Perdana Menteri dari segi pertumbuhan ekonomi yang bermakna.

“Malah, dari dahulu, saya selalu berkongsi dengan media bahawa pertumbuhan ekonomi perlu memanfaatkan rakyat, dari segi peluang pekerjaan dan pemerkasaan rakyat untuk membina sebuah kehidupan yang baik, bukan memanfaatkan syarikat-syarikat besar sahaja,” katanya.

Beliau berkata prinsip ini juga perlu diterapkan dalam apa-apa perjanjian dua hala atau pelbagai hala – termasuk dari segi Rangka Kerja Kerjasama dengan Singapura dalam Ekonomi Hijau dan Ekonomi Digital.

“ASEAN memerlukan satu kepimpinan yang kuat untuk kemampanan masa depan rakyatnya. Pada pendapat saya, kerjasama dengan Singapura dalam ekonomi digital dan ekonomi hijau ini mampu menyediakan kepimpinan tersebut untuk menyumbang kepada kemakmuran ASEAN pada masa depan,” katanya.

Mengenai prospek pelaburan untuk Malaysia, Tengku Zafrul mengakui terdapat persaingan yang kuat dan terdapat bidang untuk ditingkatkan, terutamanya dalam industri yang ingin diberi tumpuan.

Menurut data MITI yang dikeluarkan baru-baru ini, Singapura menyumbang nilai eksport terbesar dalam kalangan negara-negara ASEAN iaitu RM232.57 bilion pada 2022, diikuti Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Singapura, Thailand dan Indonesia merupakan tiga destinasi eksport utama pada 2022, menyumbang 78.3 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke ASEAN.

Eksport ke hampir semua negara ASEAN mencatatkan rekod tertinggi baharu.

Sumber: Bernama

Rangka kerjasama ekonomi digital Malaysia-Singapura boleh jadi contoh kepada negara ASEAN – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Sea Ltd, sebuah syarikat internet pengguna global Singapura yang terkemuka dan pemilik platform e-dagang, Shopee, komited untuk mengembangkan pelaburannya di Malaysia, mewujudkan lebih daripada 2,000 pekerjaan dalam proses itu.

Shopee merupakan platform e-dagang serantau terbesar di Asia Tenggara dan Taiwan.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), keputusan ini telah dimaklumkan kepada Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa lawatan rasminya ke ibu pejabat syarikat itu di Singapura semalam.

Semasa lawatan itu, Sea Ltd memperincikan pelan projek pembesarannya di Malaysia, melibatkan penyelarasan dan penetapan cloud services, data hosting and processing, serta gudang logistik untuk perkhidmatan e-dagang.

“Projek cloud services Sea Ltd akan dibangunkan di fasiliti tiga tingkat dilengkapi dengan teknologi hijau di Kulai, Johor, dengan 24 data hall suites, bilik mekanikal dan elektrik, ruang pejabat, serta kemudahan penyimpanan dan tempat letak kereta yang dijangka siap menjelang suku pertama 2024,” kata MITI.

Selain itu, Shopee juga akan mengembangkan operasinya di Malaysia melalui gudang mega baharu yang sedang dibina, merupakan kemudahan logistik berteknologi tinggi dan bersepadu yang dilengkapi dengan kemudahan cloud infrastructure seluas 1.4 juta kaki persegi di Bukit Raja, Klang.

Tengku Zafrul berkata keputusan Sea Ltd untuk mengembangkan strategi pelaburannya di Malaysia jelas mencerminkan keyakinan syarikat terhadap prospek, serta kestabilan operasi, polisi dan dasar kerajaan serta landskap perniagaan di Malaysia.

“Perancangan pelaburan langsung asing (FDI) mereka di dalam pengkomputeran awan dan gudang berteknologi tinggi bakal mencipta lebih 2,000 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat kita, yang juga akan membantu dalam meningkatkan kemahiran dan produktiviti, serta daya saing negara dalam jangka panjang.

“Kami juga menjangkakan kesan limpahan yang positif untuk perusahaan kecil dan sederhana, korporat dan masyarakat setempat. Manfaat ini termasuk dari segi penyumberan tempatan, pembangunan vendor dan pengukuhan ekosistem perindustrian tempatan khususnya dalam sektor digital,” katanya.

Tengku Zafrul berkata MITI dan agensi berkaitan akan terus mempertingkatkan ekosistem perniagaan negara, ke arah memastikan Malaysia sentiasa dilihat sebagai sebuah destinasi mesra perniagaan, mesra pelaburan dan mesra perdagangan.

Sementara itu Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sea Ye Gang berkata ini adalah satu perkembangan signifikan bukan sahaja untuk kumpulan, tetapi juga untuk ekosistem digital tempatan.

“Kami berterima kasih di atas sokongan Menteri MITI dan pasukannya dalam pelan pengembangan dan strategi perniagaan kami,” katanya.

Misi pelaburan tiga hari menteri itu ke Singapura adalah sempena lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura pada 30 Jan.

Semasa misi pelaburan itu, Tengku Zafrul juga akan mengadakan pertemuan perniagaan dengan Kumpulan Yondr, peneraju global pusat data dan INSEACT, sebuah syarikat protein alternatif yang berpangkalan di Singapura, yang menghasilkan protein mampan bagi akuakultur (ternakan udang).

Sumber: Bernama

Syarikat induk Shopee, Sea Ltd kembang pelaburan, cipta 2,000 pekerjaan di Malaysia


Content Type:

Duration:

Malaysia dan Singapura akan menandatangani Memorandum Kerjasama (MOC) dalam ekonomi digital dan hijau, yang pertama untuk Putrajaya berikutan potensi pertumbuhan dalam kedua-dua sektor terbabit.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata perdagangan digital antara perdagangan yang paling pesat berkembang dan akan mengatasi perdagangan fizikal menjelang 2025.

“Malah, kami berharap dapat memuktamadkan MOC pertama kami dalam ekonomi digital dan hijau dengan negara jiran kita, Singapura dan akan disaksikan oleh Perdana Menteri kedua-dua negara tidak lama lagi,” katanya kepada Bernama pada akhir Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2023 di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Singapura pada akhir bulan ini.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong telah mempelawa Anwar untuk melawat Singapura selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Tengku Zafrul berkata perbincangan dengan Singapura mengenai MOC dalam perdagangan digital dan ekonomi hijau telah bermula pada tahun lalu dan telah dibentangkan kepada Kabinet, yang telah memberikan kelulusan untuk dimuktamadkan tidak lama lagi.

“Secara ringkasnya, ini adalah permulaan berikutan kami juga sedang berbincang dengan negara lain,” katanya.

Ditanya sama ada Malaysia akan turut mengambil pendekatan pelbagai hala dalam perjanjian perdagangan ekonomi digital dan hijau, menteri itu berkata: “Sudah tentu. Apa sahaja yang perlu dilakukan dengan cepat, kami akan melakukannya. Ia perlu dilaksanakan secara serentak.

“Kita juga merupakan anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), perjanjian perdagangan bebas ASEAN lain dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau. Bagaimanapun, yang pertama ialah dua hala,” katanya.

MOC adalah susulan rangka kerja kerjasama yang dimuktamadkan oleh kedua-dua negara pada Ogos 2022.

Rangka Kerja Kerjasama dalam Ekonomi Digital akan memudahkan kerjasama yang diperhebat dalam bidang seperti pemudahan perdagangan; identiti digital; piawaian; penggalakan pelaburan; pemudahan pendigitalan serta pendigitalan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Ini akan membuka peluang yang lebih luas, memberi manfaat kepada perniagaan, pekerja dan rakyat di kedua-dua negara.

Dari aspek ekonomi hijau, kedua-dua negara akan mengukuhkan kerjasama untuk nyahkarbon industri selain membolehkan perniagaan dan pekerja merebut peluang yang wujud.

Di bawah Rangka Kerja Kerjasama dalam Ekonomi Hijau, kedua-dua negara bersetuju untuk bekerjasama, antara lainnya dalam mobiliti generasi akan datang termasuk kenderaan elektrik dan kenderaan tanpa pemandu selain pertukaran dasar alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Menurut artikel WEF, Perjanjian Perkongsian Ekonomi Digital antara Chile, New Zealand dan Singapura ialah perjanjian perdagangan digital sahaja yang pertama terbuka kepada semua anggota Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), dan yang pertama ditandatangani secara elektronik pada Jun 2020.

Ia dirangka untuk melengkapkan rundingan WTO dalam aktiviti e-dagang dan ekonomi digital yang sedang dijalankan dalam forum antarabangsa lain seperti Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik serta Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi.

Perjanjian ekonomi digital terkini ialah Perjanjian Ekonomi Digital United Kingdom-Singapura, yang berkuat kuasa pada Jun 2022 selepas hanya enam bulan rundingan.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Tengku Zafrul berkata beliau juga akan menjadi sebahagian daripada delegasi dalam lawatan Perdana Menteri ke Singapura.

“Singapura amat penting kepada Malaysia dan begitu juga sebaliknya. Langkah yang baik untuk meneruskan tahap libat urus ini. Saya tidak mahu mendahului butirannya. Cukup untuk menyatakan, MITI menantikannya, bersama-sama dengan rakan sejawat saya di Singapura, untuk menandatangani MOC,” katanya.

Menteri Perdagangan dan Industri Singapura ialah Gan Kim Yong.

Menurut data yang dikeluarkan oleh MITI baru-baru ini, Singapura menyumbang nilai eksport terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara ASEAN sebanyak RM232.57 bilion pada 2022, diikuti Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Singapura, Thailand dan Indonesia adalah tiga destinasi eksport utama pada 2022, menyumbang 78.3 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke ASEAN.

Eksport ke hampir semua negara ASEAN mencatatkan rekod tertinggi baharu.

Sumber: Bernama

Singapura, Malaysia bakal meterai MOC dalam ekonomi digital, hijau – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Syarikat terkemuka telekomunikasi Sweden, Ericsson dan Intel, antara pembuat cip terbesar di dunia bersedia menjalinkan kerjasama di Malaysia dalam pembangunan penggunaan 5G yang boleh mempercepatkan penggunaan teknologi baharu untuk perusahaan dan pendigitalan di negara ini.

Langkah penting yang memberi manfaat kepada Malaysia adalah selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ericsson, Börje Ekholm dan Ketua Pegawai Eksekutif Intel, Pat Gelsinger bertemu di Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang sedang berlangsung di Davos, Switzerland.

Mereka membincangkan mengenai kerjasama selanjutnya antara Ericsson dan Intel di Malaysia untuk membina ekosistem 5G di negara ini dengan membangunkan kes penggunaan 5G yang akan memanfaatkan banyak sektor, kata Ericsson dalam satu kenyataan kepada Bernama.

“Menerusi kerjasama ini, kami akan menggunakan kelajuan, daya tahan, keselamatan dan kependaman rendah 5G untuk mempercepatkan transformasi Malaysia kepada ekonomi digital,” kata Ekholm

Manfaat pendigitalan untuk negara-negara yang sedang pesat membangun adalah menarik, Malaysia membuat langkah berani dengan pentauliahan rangkaian 5G di seluruh negara, kata Ekholm.

“Langkah strategik itu membuahkan hasil. Negara ini tidak lama lagi akan mencapai satu daripada pelancaran 5G terpantas di dunia, membolehkan semua orang menikmati faedah ekonomi digital lebih cepat daripada yang dijangkakan,” katanya.

Ekholm berkata bahawa 5G ialah platform untuk inovasi tanpa had yang mampu memacu impak positif secara eksponen kepada masyarakat.

Pelancaran rangkaian 5G Malaysia yang dipercepatkan oleh Digital Nasional Bhd (DNB) dengan kerjasama Ericsson, direka untuk menyampaikan pengalaman bertaraf dunia kepada pengguna, katanya.

“Penempatan pantas rangkaian DNB bermakna lebih banyak peluang untuk pendidikan, pembangunan kemahiran, pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi,” kata Ekholm.

Semasa mesyuarat di Davos, mereka turut membincangkan kerjasama berterusan antara kedua-dua syarikat mengenai 5G, faedah pendigitalan untuk negara sedang pesat membangun dan peranan ketersambungan yang boleh dimainkan dalam membina ekonomi digital yang mampan dan berdaya tahan.

“Banyak aplikasi pengguna baharu seperti permainan menggunakan teknologi awan serta perkhidmatan perusahaan termasuk kes penggunaan baharu untuk pendigitalan pelbagai industri sudah pun mewujudkan peluang perniagaan yang besar.

“Kami bekerjasama dengan Intel untuk membolehkan keupayaan ini melalui kes penggunaan 5G yang berbeza di seluruh dunia,” kata Ekholm.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan itu, Gelsinger berkata beliau bersetuju sepenuhnya mengenai manfaat daripada pendigitalan dan rangkaian 5G bertaraf dunia.

“Mereka mempunyai keupayaan untuk memberi kesan positif kepada cara kita bekerja, belajar, berhubung, membangun dan beroperasi, ia juga menjadi perkara utama untuk membina ekonomi yang mampan dan berdaya tahan.

“Pelancaran rangkaian 5G di seluruh negara di Malaysia dan pembinaan ekosistem 5G untuk menyokongnya akan membantu memasuki era baharu inovasi untuk rantau ini dan mempercepatkan transformasinya kepada ekonomi digital,” kata Gelsinger.

Intel berada di Malaysia selama 50 tahun dan kini sedang mengembangkan operasinya dengan membina sebuah kilang pembuatan yang besar di negara ini.

Sumber: Bernama

Ericsson, Intel sasar kerjasama 5G di Malaysia


Content Type:

Duration:

Sarawak akan mempunyai kelebihan dalam pengeluaran sumber tenaga boleh diperbaharui (RE) keempat sekiranya kerjasamanya dalam projek RE hibrid baharu dengan syarikat antarabangsa terkemuka Shell untuk menghasilkan tenaga angin dan solar terbukti berjaya.

Bagaimanapun, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg tidak mendedahkan lebih lanjut butiran kerjasama tersebut.

Beliau berkata teknologi turbin angin telah meningkat dengan pesat dan mungkin ia menyamai hidroelektrik, sel bahan api dan tenaga solar sebagai sumber TBB di negeri ini.

“Teknologi turbin angin dengan penggunaan AI (kecerdasan buatan) boleh mengawal selia bilah turbin (loji janakuasa) dan jika kerjasama ini terbukti berjaya, Sarawak akan memiliki semua sumber tenaga boleh diperbaharui,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kereta sel bahan api hidrogen, Toyota Mirai disumbangkan oleh UMW Toyota Motor di sini hari ini,

Abang Johari berkata inisiatif tenaga hijau kerajaan Sarawak telah menarik beberapa kerjasama daripada negara lain.

Beliau berkata anak syarikat Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), SEDC Energy telah menjalin kerjasama dengan syarikat Korea Selatan untuk membangunkan sebuah loji pengeluaran hidrogen di Bintulu yang dijangka beroperasi pada 2025.

Sementara itu, UMW Toyota Motor dalam satu kenyataan berkata empat daripada Toyota Mirai telah diserahkan kepada SEDC Energy manakala yang kelima disampaikan kepada Abang Johari untuk menandakan komitmen mereka terhadap neutraliti karbon menjelang 2050 dan inisiatif mobiliti hijau dan tenaga hijau Sarawak.

“UMW Toyota Motor dan SEDC Energy bersedia untuk memanfaatkan peluang untuk mengkaji lebih lanjut potensi teknologinya sebagai batu loncatan untuk membangunkan ekonomi rendah karbon dengan sistem sel bahan api baharu yang mengutamakan saiz padat, kecekapan dan produktiviti untuk menyokong mobiliti diperlukan masyarakat,” katanya.

Sama seperti sebuah kereta sedan konvensional dan keupayaan untuk mengisi minyak dalam tempoh lima minit, Toyota Mirai menggunakan sel bahan api hidrogen dengan potensi besar sebagai kenderaan mesra alam atau “ultimate eco-car”.

Menerusi penggunaan hidrogen, bahan buangan yang terhasil adalah air biasa.

Sumber: Bernama

Sarawak sasar tenaga hibrid, projek tenaga solar sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui


Content Type:

Duration:

Penyedia penyelesaian tenaga bersih Malaysia, Gentari Sdn Bhd (Gentari) menjalin kerjasama strategik dengan pembekal infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) yang berpangkalan di Bangkok, Evolt Technology Company Limited (Evolt) bagi meneroka kerjasama menawarkan penyelesaian tenaga bersih.

Bagi tujuan berkenaan, penyedia penyelesaian tenaga bersih Malaysia itu menerusi anak syarikat milik penuhnya, Gentari Green Mobility Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Evolt.

Kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk mengembangkan infrastruktur dan penyelesaian pengecasan EV di seluruh Asia Tenggara, serta meneroka bidang kerjasama lain yang berpotensi dalam tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian mobiliti hijau.

Ketua Pegawai Mobiliti Hijau Gentari, Shah Yang Razalli, berkata MoU dengan Evolt menandakan usaha sulung pihaknya dalam pembangunan infrastruktur serantau di Asia Tenggara.

Beliau berkata, Gentari menyasarkan untuk mewujudkan pangkalan di Thailand, dan kerjasama dengan Evolt itu akan menyaksikan pihaknya mensinergikan kepimpinan pasaran Evolt di Thailand dan kepakaran serantau dengan matlamat Gentari untuk mengembangkan rangkaian mobiliti hijau merentasi pasaran utama di Asia Pasifik.

Katanya, secara bersama, Gentari dan Evolt akan meneroka potensi pelaburan dalam pembangunan bersama infrastruktur pengecasan serantau bermula di Thailand, dengan tumpuan pada lokasi komersial seperti pusat beli-belah, hotel dan pejabat, serta hab transit trafik tinggi.

“Sementara itu, apabila rangkaian jalan raya serantau menjadi lebih bersepadu, kami juga melihat potensi dalam meneroka perkhidmatan perayauan dalam infrastruktur pengecasan yang akan menawarkan pemandu EV pengalaman pengecasan yang lancar walaupun ketika memandu merentasi sempadan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Evolt, Poonpat Loharjun, berkata perkongsian strategik dengan Gentari menandakan satu peristiwa penting bagi syarikat itu mempercepatkan pengembangan stesen pengecas EV.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai kepakaran untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai bagi setiap gaya hidup pengguna akhir, riadah dan di tempat kerja, yang menawarkan kemudahan untuk mengakses, perjalanan yang lancar untuk penumpang dan liputan yang mencukupi.

Katanya, Gentari berjaya melancarkan lebih 250 tempat pengecasan di India dan Malaysia serta semakin popular dan memperoleh kepercayaan pengguna di rantau ini.

“MoU ini akan menyaksikan kami bekerjasama dalam pelaburan dan pengembangan stesen pengecas di Thailand, sekali gus meningkatkan keupayaan dan kesediaan untuk peluang perniagaan pengecasan EV di Asia Pasifik,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada Jun 2022, Gentari mencapai kemajuan pesat dalam mengembangkan rangkaian mobiliti hijau.

Sehingga 5 Januari 2023, Gentari melalui entiti bersekutunya, mempunyai 151 titik pengecasan di 32 lokasi di Malaysia dan sejumlah 132 titik pengecasan di India.

Dengan misi untuk menjadi penyedia penyelesaian mobiliti hijau pilihan Asia Pasifik, Gentari menyasarkan untuk menguasai 10 peratus bahagian pasaran iaitu kira-kira 25,000 tempat pengecasan berdasarkan anggaran semasa merentasi pasaran utama di Asia Pasifik menjelang 2030.

Dalam jangka sederhana, Gentari menyasarkan untuk memasang 9,000 tempat pengecasan awam menjelang 2026, dengan kehadiran kukuh di Malaysia dan India.

Sumber: Berita Harian

Gentari, syarikat Thailand teroka kerjasama tenaga bersih


Content Type:

Duration:

Solarvest Borneo Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat Solarvest Holdings Berhad memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS) and Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi membangukan Makmal Tenaga Hijau.

Makmal itu akan dibangunkan di Kuching, Sarawak dengan tujuan melatih dan membangunkan bakat tempatan untuk menyokong pertumbuhan Borneo dalam industri tenaga bersih.

Ia akan menyediakan program pembelajaran berkaitan tenaga hijau yang melibatkan solar, mobiliti hijau, sistem storan bateri serta hidrogen hijau.

Perkongsian pembelajaran dan bakat bertujuan untuk merangsang kerjasama penyelidikan dan pembangunan serta penciptaan harta intelek dalam penyelesaian tenaga bersih.

Pengarah Solarvest Borneo, Leon Liew Chee Ing berkata, program berkenaan adalah selaras dengan visi Kerajaan Sarawak untuk menjadi kuasa tenaga boleh diperbaharui serantau.

“Sebagai anak Sarawak, saya bersyukur kerana dapat menyumbang kepada masyarakat setempat dengan CENTEXS, menerusi perkongsian dengan Huawei Malaysia, kami percaya pembangunan modal insan adalah langkah penting dalam membina masyarakat yang berdaya tahan dan progresif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman berkata, pihaknya sedar akan kepentingan melengkapkan bakat tempatan kami dengan latihan praktikal yang relevan untuk membolehkan integrasi yang lancar ke dalam tenaga kerja industri.

Katanya, makmal berkenaan telah membangunkan tiga program iaitu Solar, Green Mobility & Storage serta Green Hydrogen dan kami berbesar hati menawarkan kemudahan kami sebagai tempat ujian untuk program ini.

“Ini adalah satu langkah kecil, tetapi satu langkah yang bermakna apabila kita membantu Sarawak memenuhi aspirasinya untuk penjanaan kuasa hijau seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS2030),” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Unit Perniagaan Kuasa Digital Huawei Malaysia, Chong Chern Peng berkata, pihaknya komited untuk menyediakan teknologi hijau terbaik dan melatih bakat tempatan secara berterusan dalam bidang itu sambil memenuhi matlamat neutral karbon.

“Kami percaya pembangunan bakat tempatan di Sarawak akan membantu kami menangkap dan memenuhi keperluan dan permintaan pasaran industri hijau yang sentiasa berkembang. Kami berharap program yang ditawarkan di bawah kerjasama ini mampu menarik dan meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya.

Kerjasama itu adalah sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Strategik 5 Tahun Solarvest untuk berubah menjadi pakar tenaga bersih penjanaan semula.

Mereka juga telah melancarkan beberapa inisiatif hijau, termasuk cabang mobiliti hijau, “PowerBee” pada November 2022.

Sumber: DagangNews.com

Solarvest Borneo jalin kerjasama dengan
CENTEXS, Huawei Malaysia bangunkan Makmal
Tenaga Hijau


Content Type:

Duration:

Minetech Resources Bhd (Minetech), pakar kejuruteraan awam dan pengeluar produk bitumen hari ini mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuh Syarikat, Techmile Resources Sdn Bhd (TRSB), telah diberikan projek loji kuasa hidro bernilai RM36.71 juta.

TRSB telah menerima surat anugerah (LOA) daripada Tesdec Hydropower Sdn Bhd (Tesdec Hydropower) untuk kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) loji kuasa hidro kecil 3MW di Sungai Pelagat, Besut, Terengganu.

Projek yang dijangka bermula pada Januari 2023, diikuti dengan pembinaan pada 2025, dijangka siap menjelang Mei 2027, berada di bawah program suapan tarif (FiT) Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) di mana perniagaan atau individu yang memegang sijil kelulusan suapan SEDA boleh menjual RE pada kadar FiT kepada pemegang lesen pengedaran seperti Tenaga Nasional Bhd.

Pengerusi Eksekutif Minetech Datuk Dr Awang Daud Awang Putera berkata, projek ini mewakili Minetech satu lagi langkah ke hadapan dalam usaha menceburi ke dalam RE yang bermula pada 2020 sebagai sebahagian daripada transformasi organisasi di Minetech, yang merangkumi kepelbagaian dan rasionalisasi.

“Projek loji kuasa hidro kecil 3MW akan membolehkan kami mempamerkan kemampuan Minetech semasa kami mencari lebih banyak peluang dalam RE. Sebagai pelabur fotovoltaik solar berdaftar dengan SEDA dan pemilik loji kuasa solar terapung 9.99MW AC yang terletak di Pantai Remis, Perak, kami juga mampu menjual tenaga elektrik kepada agensi kerajaan, perniagaan dan individu di bawah Program Pemeteran Tenaga Bersih SEDA atau NEM 3.0.” katanya di sini hari ini.

Majlis menandatangani LOA telah diadakan di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu dan disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.TRSB menyediakan EPCC serta perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) untuk industri tenaga.

Tesdec Hydropower ialah sub-subsidiari Tesdec Bhd (Tesdec) melalui anak syarikatnya, Tesdec Services Sdn Bhd. Tesdec dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Terengganu manakala Tesdec Hydropower terutamanya terbabit dalam aktiviti tenaga pembaharuan (RE), pembangunan dan kemudahan di negeri ini.

Pengerusi Tenaga Tesdec Hydropower, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, pihaknya berbesar hati untuk memulakan projek tenaga boleh diperbaharui ini yang akan membawa manfaat kepada rakyat Terengganu dengan menyediakan sumber elektrik yang stabil dan bersih yang juga boleh menyokong kuasa sandaran yang penting sekiranya berlaku gangguan atau gangguan bekalan elektrik.

Sumber: Berita Harian

Minetech peroleh projek kuasa hidro kecil


Content Type:

Duration:

Pembekal perkhidmatan dron, Meraque Services Sdn Bhd (Meraque) merancang untuk menjadi pembekal perkhidmatan dron ke-10 terbaik di dunia dalam tempoh lima tahun akan datang, menurut Ketua Pegawai Strateginya, Rahman Hussin.

Beliau berkata, teknologi dron yang dibangunkan oleh Meraque berjaya memberi nilai tambah yang tinggi kepada pengguna di samping berhasil mengurangkan kos perniagaan.

Sehubungan itu, beliau yakin permintaan terhadap produk keluaran Meraque di pasaran tempatan dan antarabangsa akan terus meningkat pada masa hadapan.

“Setakat ini Meraque sudah bertapak di Indonesia, Filipina dan Kemboja. Kami dijangka menembusi (lebih banyak) pasaran antarabangsa dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya dalam temubual dengan Bernama, baru-baru ini.

Tahun lalu, Meraque dipilih sebagai syarikat pembekal perkhidmatan dron ke-19 terbaik dunia oleh Drone Industry Insight iaitu syarikat penyelidikan dan analitik pasaran dron terkemuka di dunia.

Menurut Rahman, antara teknologi Meraque adalah dron semburan tompok hibrid yang dibangunkan melalui Program Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

Beliau berkata, MTDC turut memberi sokongan penuh kepada Meraque melalui acara promosi membabitkan pelbagai industri serta menjalin rangkaian perniagaan dengan syarikat-syarikat dalam ekosistem MTDC.

Selain membantu menjana ekonomi negara, NTIS juga berperanan membantu melancarkan penggunaan teknologi baharu dalam pelbagai sektor terutamanya untuk memerangi pandemik COVID-19.

Dron semburan tompok hibrid iaitu teknologi pertama seumpamanya di Malaysia, diperkenalkan untuk membantu menangani masalah kekurangan tenaga buruh di negara ini terutamanya dalam sektor perladangan seperti sawit yang mengalami penguncupan drastik dari segi pengeluaran sewaktu pandemik.

Rahman berkata, teknologi berkenaan membolehkan peladang melakukan aktiviti penyemburan seperti baja dan racun perosak dengan mudah dan cekap.

Penyemburan yang dilakukan secara lebih spesifik dari segi penggunaan jumlah baja dan sebagainya, boleh membantu peladang untuk menikmati penjimatan hampir RM2 juta terhadap kos tenaga kerja dan kos bahan kimia yang terbabit, katanya.

Beliau berkata, buat masa sini, teknologi penyemburan itu diguna pakai di nurseri.

Menurutnya, Meraque juga giat membangunkan teknologi seumpamanya untuk kegunaan pokok di peringkat pertengahan bersaiz sederhana besar yang berumur antara 12 hingga 24 bulan.

“Seterusnya, kami akan cuba membangunkan teknologi yang membolehkan penyemburan dilakukan tanpa menggunakan tenaga kerja manual kepada pokok sawit yang matang,” katanya.

Rahman berkata, teknologi dron semburan tompok hibrid itu sedang diguna pakai oleh hampir 80 peratus nurseri sawit di seluruh Malaysia.

Beliau turut menggesa syarikat teknologi tempatan untuk berganding bahu dengan MTDC dan merebut peluang terhadap bantuan yang disediakan untuk membangunkan teknologi.

Sumber: Bernama

Meraque sasar jadi pembekal khidmat dron ke-10 terbaik dunia


Content Type:

Duration:

AWC Berhad memetrai Memoradnum Persefahaman (MoU) dengan PT Bintang Timur Investama (PTBTI) bagi meneroka peluang dalam bidang tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia.

Jalinan kerjasama itu akan bermula pada 9 Januari 2023 dan berkuat kuasa selama 12 bulan melainkan mana-mana pihak mengambil keputusan untuk menamatkan MoU itu.

“MoU itu akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak telah membuat perjanjian muktamad untuk melaksanakan tujuan dan objektif MOU ini atau tempoh kerjasama itu tamat atau mana-mana yang terdahulu,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

PTBTI merupakan syarikat yang terlibat dalam perundingan, pembiayaan dan pelaburan di Indonesia dengan modal saham terbitan dan berbayar sebanyak AS$5 juta (RM21.88 juta).

Jalinan kerjasama itu tidak akan memberi sebarang kesan kepada modal saham dan pegangan saham pemegang saham utama AWC.

MOU itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan ke atas pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan penggearan AWC untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023.

Sumber: DagangNews.com

AWC jalin kerjasama dengan PT Bintang Timur Investama teroka bidang tenaga hijau di Malaysia


Content Type:

Duration:

Chang Gung Memorial Hospital (CGMH), kumpulan hospital bukan kerajaan terbesar di Taiwan, menubuhkan pusat teknologi perubatan (MedTech) pertamanya, Taiwan Advance Medtech Centre (TAMC) di Pulau Pinang.

Pengarah Eksekutif TAMC Sdn Bhd, Datuk Dr Lee Toong Chow berkata TAMC merupakan usaha sama antara teknousahawan Pulau Pinang dan CGMH.

“TAMC memberi penekanan kepada penyelesaian pintar, penjagaan kesihatan AI (kecerdasan buatan), robotik canggih dan peranti perubatan kos efektif yang sesuai untuk keperluan tempatan.

“Cabaran bagi sistem kesihatan Malaysia seperti mana-mana negara lain, maju atau membangun adalah untuk mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang murah dan boleh diakses oleh semua,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran TAMC pada Ahad.

Selain itu, katanya penubuhan TAMC akan membentuk hubungan rapat dengan rakan kongsi MedTech CGMH yang membolehkan pengamal penjagaan kesihatan Malaysia memanfaatkan teknologi dan penyelesaian yang diaplikasi di CGMH.

“TAMC bertujuan untuk menjadi saluran antara Malaysia dan Taiwan terutamanya dalam monitor, lengan robotik dan terapi sel.

“Pembentukan TAMC akan terbukti menjadi pelaburan positif bagi Pulau Pinang.

“TAMC akan membawa kepada peningkatan industri peranti perubatan di negeri ini, membawa mereka ke era baharu penjagaan kesihatan pintar,” katanya.

Selain itu, beliau menyatakan TAMC akan membolehkan teleperubatan atau klinik jarak jauh diadakan secara berkala untuk perkongsian ilmu di peringkat tempatan.

“Pada masa ini, kami mahu memastikan TAMC di Malaysia berjalan lancar dan kemudian kami akan pertimbangkan negara lain seperti Indonesia.

“Selain itu penubuhan TAMC adalah pembuka mata kepada apa yang ditawarkan oleh industri penjagaan kesihatan yang berkembang pesat dan sentiasa inovatif,” katanya.

Sumber: Bernama

Pusat penjagaan kesihatan pintar era baharu diwujudkan di P.Pinang


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan berusaha untuk memastikan bahawa dasar mengenai peralihan hijau mestilah adil dan menggalakkan kesaksamaan sosial dan ekonomi.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan di seluruh dunia sedang bergelut dengan cabaran baharu – mencapai keseimbangan di antara menyokong pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif, memastikan akses tenaga yang selamat dan boleh dipercayai, serta menggalakkan kemampanan alam sekitar.

“Adalah penting bagi kerajaan bekerjasama untuk menyelaraskan rangka kerja perundangan dan kawal selia bagi menggalakkan pelaburan.

“Miti komited untuk memacu usaha menarik lebih banyak pelaburan dalam kenderaan elektrik (EV) dan memenuhi sasaran nasional sebanyak 15 peratus bagi jumlah volum industri (TIV) untuk EV dan hibrid menjelang 2030 dan 38 peratus TIV menjelang 2040,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian usaha sama (JV) antara Computer Forms Malaysia Bhd (CFM) dan Energy Absolute (EA) Public Company Ltd (PCL) Thailand di St Regis Kuala Lumpur pada Khamis.

Beliau juga berkata, pakatan itu menandakan perkongsian yang menjanjikan untuk memacu agenda kemampanan kedua-dua negara dalam sektor EV dan tenaga boleh diperbaharui (RE).

“Adalah penting bagi kerajaan bekerjasama untuk menyelaraskan rangka kerja perundangan dan kawal selia bagi menggalakkan pelaburan seperti usaha sama di antara CFM dan EA ini.

“Kombinasi RE dan menghijaukan sektor pengangkutan awam akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi inklusif yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara iaitu Thailand dan Malaysia,” katanya.

Majlis menandatangani perjanjian itu mengesahkan pelaburan RM5 bilion untuk menubuhkan kilang pembuatan Malaysia oleh syarikat JV bagi mengendalikan projek EV dan RE menggunakan kecekapan teras kedua-dua syarikat, kata kenyataan itu.

Kedua-dua syarikat itu akan membentuk syarikat JV Energy Absolute Malaysia Sdn Bhd. Pelaburan bersama akan dipacu oleh pasukan baharu dari kedua-dua negara untuk menyepadukan penyelesaian tenaga bersih dan mobiliti bagi membantu syarikat menyahkarbon dengan berkesan.

“CFM dan EA merancang untuk mengeluarkan bateri Lithium-Ion dan melaburdalam Sistem Penyimpanan Tenaga (ESS) dan stesen pengecasan untuk menyokong ekosistem EVMalaysia.” kata kenyataan itu.

Awal semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di laman Facebooknya berkata, syarikat JV itu akan membina kemudahan pembuatan EV khusus untuk sektor pengangkutan yang merangkumi semua mod pengangkutan elektrik – bas, bas sekolah, bot, motosikal, bateri EV, kereta api , kereta mobil elektrik – dengan nilai keseluruhan RM5 bilion.

Sumber: Bernama

Peralihan hijau mesti galakkan kesaksamaan sosial, ekonomi – MITI


Content Type:

Duration:

Komitmen Sarawak dalam menerokai tenaga boleh baharu bagi mencapai visi menjadi negeri maju menjelang 2030 mendapat perhatian Norway yang berminat mencari peluang kerjasama.

Perkara itu disampaikan Duta Besar Norway ke Malaysia Morten Paulsen semasa mengadakan kunjungan ke atas Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni di sini, semalam.

Dalam kenyataan hari ini, Dr Hazland berkata Paulsen telah menyatakan minat kerajaan Norway untuk menjalin kerjasama dan menerokai peluang dalam tenaga boleh baharu.

“Dasar kerajaan Sarawak yang turut mempromosikan tenaga hijau dan teknologi juga menarik minat Norway untuk menjadikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan khususnya dalam bidang tenaga hijau.

“Duta Besar Norway juga menyatakan minat dalam pelaksanaan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di Sarawak,” katanya.

Dr Hazland berkata Sarawak berpotensi besar dalam CCUS kerana mempunyai kawasan luas serta struktur geologinya yang sesuai untuk menyimpan karbon dioksida.

“Industri CCUS ini juga akan membuka peluang pekerjaan dan bakal memberikan sumber pendapatan baharu kepada Sarawak. Norway juga sedia membantu Sarawak menjayakan CCUS dengan menyedia dan membekalkan teknologi terkini,” katanya.

Sumber: Bernama

Norway berminat kerjasama dengan Sarawak dalam tenaga boleh baharu


Content Type:

Duration:

Sunway Medical Centre (SMC), Sunway City memenangi ‘2022 Malaysia Smart Hospital Company of the Year’ untuk tahun kedua di Anugerah Amalan Terbaik Frost & Sullivan.

Anugerah Kecemerlangan Frost & Sullivan mengiktiraf syarikat di pelbagai pasaran serantau dan global yang menunjukkan pencapaian cemerlang dan prestasi unggul dalam bidang seperti kepimpinan, inovasi teknologi, perkhidmatan pelanggan dan pembangunan produk strategik.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden Sunway Healthcare Group, Datuk Lau Beng Long berkata, kemenangan luar biasa ini adalah usaha kolektif oleh pasukan dan Sunway Medical Centre, Sunway City yang sentiasa komited untuk berada di barisan hadapan bagi teknologi hospital pintar di negara dan rantau ini.

Beliau menyatakan bahawa matlamat kumpulan itu adalah untuk mengubah sektor penjagaan kesihatan swasta Malaysia dan sentiasa mencari cara inovatif untuk meningkatkan pengalaman pesakit sambil mengekalkan keselesaan dan kesejahteraan mereka.

“Saya berterima kasih kepada pasukan yang gigih, yang sentiasa mencari penyelesaian klinikal dan hospitaliti baharu untuk memenuhi keperluan pesakit, perunding perubatan dan kakitangan kami dengan lebih baik. Tanpa kerja berpasukan yang mantap, pengiktirafan ini tidak mungkin dapat dicapai.

“Masih banyak yang perlu dilakukan tetapi anugerah ini adalah bukti bahawa kami berada di landasan yang betul dan kami menantikan masa untuk pertumbuhan yang menarik di hadapan,” tambahnya.

Penganalisis Penyelidikan Amalan Terbaik Frost & Sullivan, Azza Fazar mengulas bahawa Sunway Medical Centre mencipta tanda dalam industri hospital pintar Malaysia melalui pelaburan berterusan dalam teknologi, dan reputasinya sebagai hospital dengan berpusatkan sub-kepakaran yang bertumpu kepada tiga falsafah utama – kecemerlangan klinikal, kecekapan operasi dan pengalaman pesakit.

Selain itu, Sunway Medical Centre berterusan menyerlahkan komitmennya terhadap penjagaan pesakit yang inovatif dengan pelbagai pencapaian pada 2022.

Hospital itu adalah yang pertama di Malaysia yang memperoleh Sistem Pembedahan Generasi Keempat da Vinci Xi apabila ia dilancarkan pada Januari 2022.

“Dengan teknologi pembedahan termajunya, da Vinci Xi menjadikan pembedahan yang kompleks lebih mudah dan meningkatkan prestasi pembedahan, membolehkan pakar bedah dan pakar sakit puan mempunyai jarak pergerakan yang lebih luas dan penglihatan yang bertambah baik semasa pembedahan,” jelasnya.

Ia berkatam Sunway Medical Centre juga terus berada di barisan hadapan dalam teknologi dengan penambahan beberapa sistem pembedahan robotik yang canggih, iaitu Mako SmartRobotics dan ROSA Knee System yang mencipta sejarah dengan melaksanakan pembedahan penggantian sendi menggunakan bantuan robot yang pertama di Malaysia dengan Mako SmartRobotics pada 2021.

“Sistem canggih ini membolehkan pakar bedah melakukan prosedur sambil dibantu oleh robot dengan ketepatan yang lebih tinggi dan mengurangkan kesakitan kepada pesakit mereka selepas pembedahan,” katanya.

Tahun ini kemuncak kepada sambutan 1,000 pesakit robotik, satu pencapaian penting yang tiba sebagai satu lagi langkah dalam pelaburan gigih hospital ke dalam teknologi hospital pintar terkini untuk meningkatkan penjagaan pesakit dan perubatan ketepatan.

Sumber: Bernama

Sunway Medical Centre diiktiraf hospital pintar terbaik 2022


Content Type:

Duration:

Anak syarikat Sunway Bhd, Sunway Medical Centre Sdn Bhd (SMCSB) membeli bangunan hospital tujuh tingkat yang dibina khas dan tanah bernilai RM430 juta.

Kumpulan itu berkata SMCSB telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan RHB Trustees Bhd, sebagai pemegang amanah untuk Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT), untuk pembelian itu.

“Cadangan pembelian itu melibatkan pembelian tanah dan bangunan yang dikenali sebagai Menara A dan Menara B Pusat Perubatan Sunway, bersama-sama dengan kilang dan jentera, dan semua kelengkapan yang dilekatkan atau diletakkan atau digunakan di dalam bangunan itu.

“Hartanah itu kini dipajak dan digunakan oleh SMCSB untuk mengendalikan pusat perubatan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Sunway berkata hartanah itu termasuk bangunan hospital tujuh tingkat yang dibina khas dengan bawah tingkat bawah bersambung dengan blok tempat letak kereta bertingkat serta pusat konvensyen.

Ia berkata pembelian itu adalah sebahagian daripada rancangan Sunway Healthcare Group untuk merasionalisasi dan menyelaraskan keputusannya mengenai peningkatan perbelanjaan modal dan pemeliharaan nilai ke atas asetnya dengan memiliki pemilikan dan kawalan penuh.

“Selain itu, cadangan pembelian itu akan membolehkan SMCSB meningkatkan kecekapan operasi hospital dengan mempunyai lebih fleksibiliti dalam menguruskan kos operasi dan pembiayaannya.

“Dalam tempoh jangka panjang, ia dijangka melebihi pajakan jangka panjang,” katanya.

Pembelian itu juga katanya adalah sinergi dengan pengembangan kapasiti keseluruhan SMCSB dalam mengukuhkan kedudukan semasanya sebagai salah satu pusat perubatan terbesar di Malaysia.

“Ia dijangka mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat perubatan utama di bawah model “hub-and-spoke” Sunway Healthcare Group dalam penyediaan penjagaan tertiari dan kuaternari.

“(Selain itu, ini akan) memenuhi jangkaan peningkatan permintaan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan seperti pembedahan besar, rawatan penyakit perubatan yang kompleks dan peningkatan dalam pelancongan perubatan selepas pandemik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa,” katanya.

Sunway berkata bahawa SMCSB sebelum ini telah menjual hartanah itu kepada Sunway REIT dengan jumlah pertimbangan jualan sebanyak RM310 juta pada 31 Dis 2012.

SMCSB juga telah memeterai perjanjian pajakan induk bertarikh 9 Okt 2012, dengan Pemegang Amanah RHB (sebagai pemberi pajak) dan Sunway REIT Management Sdn Bhd (SRM) untuk tempoh 10 tahun yang bermula pada 31 Dis 2012, dan akan tamat pada 30 Dis 2022.

SMCSB ialah anak syarikat 99.99 peratus milik Sunway Healthcare Holdings Sdn Bhd, yang seterusnya merupakan usaha sama 90.26 peratus milik Sunway City Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Sunway.

Sumber: Bernama

Unit Sunway beli bangunan hospital 7 tingkat, tanah bernilai RM430 juta


Content Type:

Duration:

Hidrogen adalah kunci kepada menyahkarbonkan industri tenaga dan pengangkutan bagi memacu ekonomi hijau di Sarawak.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni berkata, bekalan kuasa di Sarawak kebanyakannya adalah hidroelektrik dan ini menjadikan Sarawak sesuai untuk pengeluaran hidrogen dan tenaga hijau.

Jelas beliau lagi, pelancaran projek Autonomous Rapid Transit (ART) oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mewakili komitmen Sarawak kepada menyahkarbonkan sektor pengangkutan dalam mencapai aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030).

“Kemajuan Sarawak dalam ART merupakan langkah pertama dalam penyahkarbonan sektor pengangkutan dan diramalkan akan mengurangkan trafik di Kuching, Sri Aman dan Serian sebanyak 12 peratus apabila sistem tersebut disediakan sepenuhnya.

“Bersama dengan bas berkuasa hidrogen, dijangka sebanyak 15 peratus jejak karbon daripada pengangkutan di kawasan Kuching akan dikurangkan menjelang tahun 2030,” jelasnya.

Dr Hazland menambah, kelebihan tambahan hidrogen untuk pengangkutan awam seperti ART ialah keupayaan menggunakan jalan dan infrastruktur sedia ada yang sesuai untuk bandar yang padat dengan penduduk dan bangunan.

Katanya lagi, ketersediaan tenaga elektrik yang sentiasa bertambah baik di kawasan luar bandar Sarawak, pembangunan dan pemasangan peralatan yang menukarkan air kepada hidrogen dan oksigen menggunakan elektrik sedang dilaksanakan.

Ujarnya, ini akan membolehkan masyarakat luar bandar menghasilkan sumber bahan api sendiri untuk memasak, pengangkutan dan juga menyimpan hidrogen untuk digunakan sebagai sumber tenaga semasa kecemasan.

Sumber: Sarawak Voice

Hidrogen pacu ekonomi hijau


Content Type:

Duration:

Ekonomi digital dan hijau selain e-dagang antara tiga prospek kerjasama baharu dikenal pasti boleh diteroka Malaysia bersama Singapura.

Perkara itu dimaklumkan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar, dengan antara bidang awal dikenal pasti termasuklah kemudahan jualan eksport e-dagang oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan sama ada ke dan melalui Singapura.

Selain itu, beliau berkata dia lagi bidang awal membabitkan kerjasama antara Hab Digital Malaysia (MDH) di Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan dan BLOCK 71 di Singapura mengenai ekosistem permulaan serta e–Dompet.

“Bidang kerjasama lain juga sedang dibincangkan adalah Industri 4.0, pembuatan termaju, sektor perkhidmatan, e-dagang, industri aeroangkasa dan eko-pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyembah maklum kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika baginda singgah di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura dalam rangka lawatan baginda ke Doha di Qatar baru-baru ini.

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sempena pertemuan itu, Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyerahkan sumbangan Tabung Ibnu Sabil MAIPs bernilai SGD1,519 (RM5,000) kepada Azfar yang menerima bagi pihak Pejabat Pesuruhjaya Tinggi berkenaan.

Sumbangan itu bertujuan untuk digunakan bagi membantu rakyat Malaysia yang berdepan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan.

Dalam pada itu, Azfar berkata, dalam 10 bulan pertama 2022, Malaysia terus kekal sebagai rakan dagangan kedua terbesar Singapura selepas China, dengan jumlah dagangan sebanyak S$129.5 bilion (RM426.6 bilion), meningkat 23.8 peratus daripada S$104.6 bilion dicatatkan untuk tempoh sama pada 2021.

“Pelabur daripada Singapura juga terus memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Ekonomi digital, hijau dan e-dagang prospek kerjasama Malaysia-Singapura


Content Type:

Duration:

Bandar Pendidikan Kumpulan Lapan Negara Membangun (D8) melibatkan nilai pelaburan lebih RM2 bilion akan dibangunkan di Taboh Naning di sini, dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata pembangunan Bandar Pendidikan D8 yang memberi fokus kepada perkembangan pendidikan berasaskan Islam itu, akan dibangunkan dalam tiga fasa secara berperingkat melibatkan keluasan 149.73 hektar.

“Setakat ini pembangunan Bandar Pendidikan D8 bagi fasa satu sedang dilaksanakan melibatkan pelaburan kira-kira RM1 bilion dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

“Pembangunan bandar pendidikan ini, merupakan inisiatif Yayasan D8 Malaysia susulan kolaborasi strategik yang dimuktamadkan pada Disember 2018, antara Organisasi D8 dan juga Kumpulan Al-Hidayah,” katanya selepas Majlis Kesyukuran dan Perasmian Bandar Pendidikan D8 di sini pada Ahad.

Sulaiman berkata organisasi D8 berkenaan melibatkan keanggotaan negara Islam terdiri daripada Malaysia, Bangladesh, Indonesia, Iran, Pakistan, Turki, Mesir dan Nigeria.

Beliau berkata satu pusat pengurusan antarabangsa D8 juga, akan ditempatkan dalam bandar pendidikan tersebut, untuk mengurus tadbir rancangan pembangunan terlibat, dilengkapi pelbagai kemudahan guna sama antaranya perpustakaan, dewan syarahan serta kompleks sukan.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pembangunan dalam bidang pendidikan, demi mengangkat martabat sektor pendidikan di Melaka.

“Inisiatif dilaksanakan Yayasan D8 Malaysia untuk membangunkan Bandar Pendidikan Malaysia D8 di Alor Gajah khususnya dalam aspek pendidikan dan pembelajaran adalah amat bertepatan (dengan dasar kerajaan negeri),” katanya.

Sumber: Bernama

Bandar Pendidikan Malaysia D8 bernilai lebih RM2 bilion dibangunkan di Melaka


Content Type:

Duration:

Lynas Malaysia boleh menjadi pemangkin untuk pelaburan dalam sektor tenaga hijau dan mineral kritikal negara memandangkan Malaysia merupakan satu-satunya pembekal utama unsur nadir bumi (REE) bukan China, kata Ketua Pegawai Operasi (COO) Lynas Rare Earths, Pol Le Roux.

Beliau berkata negara ASEAN lain telah berjaya menarik berbilion Pelaburan Langsung Asing dalam pembuatan hiliran magnet berprestasi tinggi dan teknologi berkaitan lain yang memerlukan unsur nadir bumi dan mewujudkan ribuan pekerjaan baharu.

“Sebagai contoh pembangunan kilang super magnet Malaysia menawarkan perkhidmatan kepada industri automotif mampu menghasilkan 5,000 tan magnet NdFeb (Neodymium Iron Boron) dan mewujudkan sehingga 5,000 peluang pekerjaan dan pelaburan sebanyak RM1 bilion,” katanya dalam kenyataan sempena persidangan ‘Menguasai Pengetahuan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif untuk Kelestarian Masa Depan’ yang diadakan di sini semalam.

Menurut Le Roux, Malaysia mempunyai peluang untuk menjadi peneraju dunia dalam industri yang menyokong teknologi yang digunakan setiap hari seperti kereta dan telefon pintar serta industri masa depan seperti kenderaan elektrik dan turbin angin.

Sementara itu, Naib Presiden Lynas Malaysia Datuk Seri Mashal Ahmad berkata Malaysia harus memanfaatkan sepenuhnya deposit nadir buminya dan aktiviti hiliran seperti retak dan larut lesap, pengekstrakan pelarut dan kemasan produk.

Mashal berkata negara berada pada kedudukan yang baik dengan kepakaran pemprosesan nadir bumi hiliran di kilang Lynas di Kuantan, Pahang dan oleh itu krisis tenaga memberi peluang kepada Malaysia untuk bergerak ke hadapan di hulu dan hiliran.

“Polisi atau rangka kerja nadir bumi negara akan menjadi langkah seterusnya yang ideal untuk menggalakkan perkembangan masa depan dalam industri hiliran Malaysia. Malaysia mempunyai kelebihan strategik sebagai satu-satunya pembekal penting produk nadir bumi bukan China dan kami boleh menggunakan kelebihan daya saing ini untuk memajukan lagi industri nadir bumi tempatan dan industri pembuatan termaju,” katanya.

Mashal berkata Lynas Malaysia telah lebih sedekad membangunkan kepakaran global dalaman dalam bidang pemprosesan nadir bumi di Lynas Malaysia dengan mewujudkan 4,600 pekerjaan dalam ekonomi Malaysia termasuk hampir 900 pekerjaan langsung dan menyumbang RM4.8 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sejak 2013.

“Malaysia memerlukan lebih banyak pekerjaan dengan gaji yang tinggi untuk menangani kenaikan kos sara hidup dan pekerjaan di Lynas Malaysia adalah pekerjaan bernilai tinggi yang baik untuk rakyat kita. Pembangunan selanjutnya dalam industri ini akan menawarkan pekerjaan berkemahiran tinggi baharu di Malaysia dan menyediakan sumber bekalan tempatan kepada industri pembuatan Malaysia termasuk kenderaan bermotor dan peralatan elektrik,” katanya.

Marshal juga berharap agar kerajaan seragamkan dan tidak mengubah peraturan mengenai pemprosesan unsur nadir bumi terlalu kerap untuk menarik dan mengekalkan pelabur dalam industri itu.

“Bagi pelabur masuk ke negara ini dan melabur berbilion dolar, mereka akan mewujudkan ribuan pekerjaan, jadi adalah penting untuk memastikan peraturan tidak kerap diubah,” katanya.

Beliau menambah Malaysia tidak harus melepaskan peluang ini mempunyai bekalan REE terbesar di luar China, mula tumpukan pemprosesan REE tempatan dan mengembangkan peranannya dalam industri pembuatan nadir bumi global dan bukannya membiarkan Vietnam menggunakan sumber Malaysia.

Sumber: Bernama

Lynas Malaysia boleh jadi pemangkin pelaburan tenaga hijau – COO Lynas Rare Earths


Content Type:

Duration:

wpChatIcon