Komponen Elektronik
Komponen elektronik ialah elemen penting yang terdapat dalam semua peralatan elektrik dan elektronik seperti alatan elektronik pengguna, elektronik industri dan peralatan elektrik. Keadaan ini dapat dilihat pada prestasi pelaburan semasa subsektor ini menyumbang sebahagian besar kepada pelaburan dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) sebanyak 62% (pada tahun 2021) dan sebahagian besarnya dipacu oleh pelaburan asing.
Subsektor ini menjana pertumbuhan penting kepada industri E&E kerana ia mempunyai pelbagai produk iaitu daripada peranti semikonduktor seperti litar bersepadu wafer (IC) dan aktiviti reka bentuk dan pembungkusan IC hinggalah komponen pasif seperti kapasitor, perintang, penyambung, induktor, kuarza kristal dan pengayun. Sektor ini juga merangkumi komponen seperti media penyimpanan, bahagian pemacu cakera, papan litar bercetak (PCB), substrat LED dan epitaksi, pengawal mikro dan bahagian logam dan plastik lain bagi kegunaan E&E.
Industri semikonduktor merupakan salah satu penyumbang utama aktiviti perkilangan di Malaysia. Ekosistem ini mempunyai kehadiran syarikat multinasional (MNC) yang lebih tinggi berbanding syarikat Malaysia. Kekuatan dan kemampuan pemain industri tempatan lebih tertumpu pada aktiviti hiliran di rantaian nilai semikonduktor dan merangkumi pemasangan (pembungkusan lanjutan) dan ujian serta integrasi sistem.
Bakal pelabur seharusnya berasa gembira dengan ketahanan industri ini dalam menghadapi pandemik COVID-19 global, tanda jelas kebolehsuaian dan ketangkasan pemain industri. Walaupun pandemik dan tindak balas kerajaan menyebabkan gangguan yang besar dalam operasi pembuatan – termasuk E&E – ia juga mengakibatkan permintaan lebih tinggi yang ketara terhadap produk E&E tertentu yang seterusnya mendorong pertumbuhan keseluruhan bagi sektor semikonduktor. Sehingga Jun 2022, 83% penduduk Malaysia telah divaksin sepenuhnya, mengurangkan kesan pandemik dan membuka jalan kepada peluang pertumbuhan dalam ekosistem E&E Malaysia.
Kami mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dalam aktiviti ekosistem semikonduktor huluan dan hiliran yang melibatkan reka bentuk IC, perkhidmatan kejuruteraan dan penyelesaian untuk menyokong fabrikasi wafer serta kehadiran industri pembungkusan IC yang kuat dan maju di Malaysia:
a) Reka bentuk Litar Bersepadu (IC) / sistem
b) Aktiviti Fabrikasi Wafer / Bahagian Depan
c) Pembungkusan IC / Aktiviti Bahagian Belakang & Penyelesaian Perkhidmatan Kejuruteraan
Kehadiran MNC di Malaysia telah membawa masuk inovasi teknologi terkini dan mewujudkan pekerjaan mahir. Ini telah memupuk rantaian bekalan tempatan dan memberi peluang kepada Malaysia untuk dihubungkan dengan rantaian nilai global. Pengoptimuman rantaian bekalan atau vendor tempatan juga telah mendorong Malaysia untuk bersaing dan menembusi pasaran global.