Produk Logam Asas
Industri produk logam asas di Malaysia memainkan peranan utama dalam pembangunan sektor perkilangan dan pembinaan. Industri ini merangkumi pembuatan produk logam jenis ferus (besi dan keluli) dan bukan ferus (aluminium, timah, tembaga, dan lain-lain).
Syarikat Malaysia aktif dalam aktiviti huluan, pertengahan dan hiliran serta menghasilkan produk rata dan panjang. Produk rata (seperti papak, gulungan panas dan gulung sejuk dan produk keluli bersalut) digunakan sebagai bahan mentah perantaraan untuk kegunaan hiliran dalam sektor E&E, bahagian dan komponen automotif, minyak dan gas, perabot, jentera dan peralatan serta produk fabrikasi. Produk panjang (seperti bilet, blum dan rebar) digunakan terutamanya dalam industri pembinaan dan kejuruteraan awam.
Subsektor produk besi dan keluli di Malaysia sedang bergerak menuju Industri 4.0; langkah yang penting untuk mengekalkan kerancakan subsektor ini dan memastikannya terus berdaya saing dalam jangka panjang. Proses huluan dan hiliran sedang beralih ke arah pembuatan pintar menggunakan teknologi terkini.