Malaysia Mencatatkan Rekod Tertinggi Pelaburan dalam Sejarah Sebanyak RM378.5 Bilion, Dengan Pertumbuhan 14.9% Tahun-Ke-Tahun, Menjana Lebih 207,000 Pekerjaan pada 2024 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia Mencatatkan Rekod Tertinggi Pelaburan dalam Sejarah Sebanyak RM378.5 Bilion, Dengan Pertumbuhan 14.9% Tahun-Ke-Tahun, Menjana Lebih 207,000 Pekerjaan pada 2024

Malaysia Mencatatkan Rekod Tertinggi Pelaburan dalam Sejarah Sebanyak RM378.5 Bilion, Dengan Pertumbuhan 14.9% Tahun-Ke-Tahun, Menjana Lebih 207,000 Pekerjaan pada 2024

  • Pada tahun 2024, Malaysia menarik pelaburan yang diluluskan sebanyak RM378.5 bilion dalam sektor perkhidmatan (RM252.7 bilion), perkilangan (RM120.5 bilion), dan utama (RM5.3 bilion). Ini merupakan peningkatan sebanyak 14.9% berbanding dengan RM329.5 bilion pelaburan yang diluluskan pada tahun 2023.
  • Pelaburan Domestik (DI) menyumbang sebanyak 55.0% atau RM208.1 bilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, manakala Pelaburan Asing (FI) menyumbang sebanyak 45.0% atau RM170.4 bilion.
  • Sektor perkhidmatan menerajui sebahagian besar pelaburan sebanyak RM252.7 bilion atau 66.8% daripada jumlah pelaburan yang diluluskan. Ini merupakan peningkatan sebanyak 50.1% berbanding dengan RM168.4 bilion pelaburan yang diluluskan pada tahun lepas.
  • Sektor perkilangan mencatatkan RM120.5 bilion, mewakili 31.8% daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, manakala sektor utama menyumbang sebanyak RM5.3 bilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.
  • Lima (5) sumber utama FI* diterajui oleh Amerika Syarikat (RM32.8 bilion), Jerman (RM32.2 bilion), Republik Rakyat China (RM28.2 bilion), Singapura (RM27.3 bilion) dan Hong Kong SAR (RM7.4 bilion).
  • Lima (5) negeri yang telah mencatatkan pelaburan tertinggi yang diluluskan termasuk Selangor (RM101.1 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM91.5 bilion), Johor (RM48.5 bilion), Kedah (RM45.8 bilion) dan Pulau Pinang (RM32.0 bilion).
  • Dengan jumlah 6,700 projek yang diluluskan, 207,241 pekerjaan baharu akan dijana di negara ini. Kedua-dua kelulusan projek dan penjanaan pekerjaan baharu meningkat tahun ke tahun masing-masing sebanyak 31.3% dan 62.8%.

Kuala Lumpur, 25 Februari 2025 – Malaysia telah mencatatkan satu kejayaan luar biasa dengan RM378.5 bilion pelaburan yang diluluskan pada tahun 2024, menandakan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 14.9% dan yang tertinggi dalam sejarah negara. Meliputi 6,700 projek merentasi sektor-sektor utama, pelaburan ini akan mewujudkan lebih daripada 207,000 pekerjaan baharu, mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama.

Walaupun berdepan dengan cabaran ekonomi global yang berterusan, Malaysia terus menarik pelaburan yang kukuh, dengan pelaburan domestik (DI) menyumbang sebanyak RM208.1 bilion (55.0%) dan pelaburan asing (FI)* menyumbang sebanyak RM170.4 bilion (45.0%). Prestasi yang kukuh ini membuktikan daya tahan ekonomi negara dan keyakinan pelabur.

Keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia kekal utuh, dengan pelaburan strategik yang datang dari lima negara utama. Amerika Syarikat mendahului dengan RM32.8 bilion, diikuti oleh Jerman (RM32.2 bilion), Republik Rakyat China (RM28.2 bilion), Singapura (RM27.3 bilion) dan Hong Kong SAR (RM7.4 bilion).

YB Datuk Seri Tengku Zafrul, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), menyatakan, “Walaupun berhadapan dengan cabaran global, Malaysia berjaya  merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM378.5 bilion, angka tertinggi dalam sejarah negara kita. Lebih penting daripada angka-angka ini adalah pelaksanaan terhadap pelaburan yang diluluskan untuk mewujudkan lebih 207,000 pekerjaan dengan gaji yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, serta mencipta peluang sebenar untuk perniagaan, terutamanya PKS. Setiap ringgit yang dilaburkan dalam industri yang inovatif, mampan dan bernilai tinggi mewujudkan kesan penggandaan yang memperkukuh ekonomi kita. MITI dan MIDA kekal komited untuk memudahkan pelaburan sedemikian, di samping mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk meningkatkan ketahanan rantaian bekalan dan ekosistem perindustrian kita.”

Momentum Pelaburan Kukuh Merentasi Negeri-Negeri Utama

Selangor mendahului sebagai destinasi pelaburan utama dengan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM101.1 bilion, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM91.5 bilion), Johor (RM48.5 bilion), Kedah (RM45.8 bilion) dan Pulau Pinang (RM32.0 bilion). Secara keseluruhan, lima negeri ini menarik pelaburan sebanyak RM318.9 bilion, mewakili 84.3% daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan pada tahun 2024.

Selain daripada negeri-negeri utamatersebut, projekpelaburan transformasi juga sedang giat dijalankan di seluruh Malaysia, terutamanya dalam industri berimpak tinggi. Projek-projek penting termasuk Hab Pengurusan Sisa Terjadual oleh syarikat E Concern (Borneo)bernilai RM739.3 juta di Sabah dan projek pembesaran oleh syarikat OCI TerraSus bernilai RM799.8 juta di Sarawak untuk kemudahan pengeluaran soda kaustik (caustic soda), yang kedua-duanya akan menyumbang kepada pembangunan industri mampan di Malaysia.

SEKTOR PERKHIDMATAN MENERAJUI DENGAN RM252.7 BILION PELABURAN YANG DILULUSKAN

Sektor perkhidmatan terus menjadi pemacu utama kepada perkembangan ekonomi Malaysia, dengan memperoleh pelaburan yang diluluskan sebanyak RM252.7 bilion, yang mewakili 66.8% daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan. Pelaburan ini dijangka akan menjana 119,083 pekerjaan baharu, sekali gus mengukuhkan lagi peranan utama sektor ini sebagai tunjang ekonomi Malaysia. Sebahagian besar pelaburan sektor perkhidmatan datang dari sumber domestik, berjumlah RM171.1 bilion atau 67.9%, dengan pelaburan asing menyumbang selebihnya iaitu 32.1% atau RM81.0 bilion. Gabungan ini membuktikan daya tarikan sektor ini kepada pelabur tempatan dan antarabangsa.

Transformasi Digital dan Pelaburan Teknologi Menerajui Pertumbuhan

Subsektor maklumat dan komunikasi1 menerajui pertumbuhan sektor ini, menarik pelaburan sebanyak RM136.0 bilion, yang mewakili 53.8% daripada jumlah pelaburan sektor perkhidmatan. Pelaburan ini mencerminkan penggunaan pesat teknologi digital negara merentasi industri seperti pertanian, penjagaan kesihatan, kewangan, pelancongan, dan Ekonomi Digital Islam. Projek-projek utama yang memacu kejayaan ini termasuk:

I. STT GDC Malaysia 2 Sdn. Bhd.

Lokasi: Johor

Sebagai peneraju global dalam penyelesaian pusat data, STT GDC sedang mengembangkan kedudukannya di Malaysia untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi infrastruktur digital. Pelaburan ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan teknologi bernilai tinggi dan menyokong agenda ekonomi digital negara.

Pertumbuhan menyeluruh sektor perkhidmatan dibuktikan lagi dengan prestasi kukuh merentasi pelbagai subsektor termasuk:

  1. Hartanah: RM64.5 bilion
  2. Perkhidmatan Sokongan2: RM12.9 bilion
  3. Utiliti3: RM11.1 bilion
  4. Perkhidmatan Pengangkutan4: RM8.5 bilion

Kemampanan dan Pelaburan Hijau Menjadi Tumpuan Utama

Malaysia kekal di barisan hadapan dalam pembangunan industri mampan, dengan integrasi teknologi hijau memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan negara. Antara inisiatif yang berkaitan kemampanan dan pelaburan hijau ialah projek pembangunan ladang solar NUR Renewables bernilai RM250.0 juta di Kulim, yang menggabungkan penyelesaian tenaga bersih dengan teknologi Industri 4.0. Projek ini menetapkan penanda aras baharu untuk amalan industri mampan dengan menggabungkan sistem digital canggih untuk mengoptimumkan kecekapan tenaga dan meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu.

Seterusnya dalam memperkukuh ekosistem logistik dan rantaian bekalan negara, YCH Group yang berpangkalan di Singapura akan melabur sebanyak RM500.0 juta di Supply Chain City Malaysia di Bukit Raja, Selangor. Pembangunan strategik ini memanfaatkan infrastruktur kukuh Malaysia dan lokasi utamanya   untuk meningkatkan kedudukan negara sebagai kuasa logistik serantau.

Komitmen Kerajaan Malaysia terhadap pertumbuhan hijau jelas melalui dasar-dasar progresif, termasuk:

  • Garis Panduan Pembangunan Mampan Pusat Data, memastikan pengembangan sektor digital yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
  • Strategi Pelaburan Hijau(GIS), bertujuan untuk menarik dan memudah cara pelaburan dalam industri mampan.
  • Garis Panduan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), direka untuk mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam ekonomi hijau global.

Dengan inisiatif yang berani dan berpandangan jauh ini, Malaysia berkedudukan baik untuk memanfaatkan peluang yang muncul dalam ekonomi hijau sambil memupuk daya tahan ekonomi jangka panjang dan kemampanan alam sekitar.

SEKTOR PERKILANGAN MERAIH RM120.5 BILION

Selain sektor perkhidmatan, sektor perkilangan Malaysia terus menunjukkan kekuatan dan ketahanan, mencapai pelaburan yang diluluskan sebanyak RM120.5 bilion, yang merangkumi 31.8% daripada jumlah pelaburan yang diluluskan pada tahun 2024. Pelaburan ini melibatkan 1,108 projek dan dijangka akan menjana hampir 88,000 pekerjaan baharu, di mana 82.2% (72,116 pekerjaan) adalah khusus untuk rakyat Malaysia.

Pelaburan asing (FI) merupakan penyumbang dominan, dengan jumlah sebanyak RM88.9 bilion (73.8%), manakala pelaburan domestik (DI) kekal signifikan pada RM31.6 bilion (26.2%). Aliran masuk modal asing yang kukuh ini membuktikan daya tarikan Malaysia sebagai hab perkilangan global yang utama.

Penjanaan pekerjaan baharu dalam kategori peranan bernilai tinggi amat menggalakkan di mana  41.6% merangkumi jawatan pengurusan, teknikal, dan bakat mahir—menyokong secara langsung matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, yang bertujuan untuk membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi landskap perindustrian Malaysia yang sedang berkembang.

Industri Elektrik dan Elektronik (E&E) Menerajui Pertumbuhan Perkilangan

Industri E&E, yang menjadi asas kepada kekuatan perkilangan Malaysia, mencatatkanpelaburan terbesar dengan RM55.8 bilion, mewakili 46.3% daripada jumlah keseluruhan sektor, membuktikan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan teknologi global. Permintaan yang semakin meningkat untuk elektronik didorong oleh Industri 4.0, yang mengintegrasikan teknologi digital ke dalam industri, dan tumpuan kepada kemampanan, seperti yang ditunjukkan oleh kemajuan dalam kecerdasan buatan (AI), data raya, pengkomputeran awan, e-dagang, e-mobiliti, teknologi hijau, dan teknologi kewangan (Fintech).

Industri-industri lain yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor perkilangan termasuk:

a) Kelengkapan Pengangkutan – RM15.8 bilion
b) Kimia dan Produk Kimia – RM10.6 bilion
c) Jentera dan Kelengkapan (M&E) – RM10.6 bilion
d) Pengilangan Makanan – RM6.1 bilion

Pengembangan strategik ekosistem semikonduktor Malaysia, perkilangan yang dipacu tenaga boleh baharu, dan pengeluaran industri berteknologi tinggi mengukuhkan komitmen negara untuk membangunkan asas perindustrian yang dipacu inovasi, mampan dan berdaya saing di peringkat global.

Pelaburan Perkilangan Berimpak Tinggi Utama

Beberapa syarikat multinasional melaksanakan pelaburan yang berkualiti dalam industri berteknologi tinggi dan berimpak tinggi di Malaysia, yang terus memperkukuh landskap perkilangan negara:

I. EVE Energy Malaysia Sdn. Bhd. 

Pelaburan: RM6.8 bilion

Industri: Bateri Litium

EVE Energy Co., Ltd. yang berpangkalan di Republik Rakyat China sedang mengembangkan pangkalan pengeluaran bateri litium silindernya di Malaysia untuk menyokong industri EV, peralatan kuasa, dan pasaran Asia Tenggara yang lebih luas. Projek ini merupakan langkah penting dalam mengukuhkan rantaian bekalan EV Malaysia.

II. MKS Instruments Malaysia Sdn. Bhd. 

Pelaburan: RM2.2 bilion

Industri: Aplikasi Semikonduktor dan Perindustrian

Anak syarikat MKS Instruments Inc. yang berpangkalan di Jerman, kilang supercenter di Pulau Pinang akan menyokong pengeluaran peralatan fabrikasi wafer global. Kemudahan ini mengintegrasikan penyelesaian automasi termaju dan teknologi mampan untuk meningkatkan pengilangan semikonduktor di samping mengurangkan kesan alam sekitar.

III. F&N Agrivalley 

Pelaburan: RM1.7 bilionIndustri: Makanan dan Tenusu

Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) sedang membuat langkah besar ke dalam perniagaan huluan dengan ladang tenusu dan pengilangan susu segar bersepadu di Gemas, Negeri Sembilan. Projek ini menandakan langkah penting ke arah mewujudkan F&NHB sebagai salah satu pengeluar susu terbesar di Malaysia.

IV. Chery Corporate Malaysia Sdn. Bhd. 

Pelaburan: RM1.4 bilion

Industri: Energy-Efficient and Electric Vehicles (EEVs)

Chery yang berpangkalan di Republik Rakyat China telah menubuhkan kilang pemasangan di Shah Alam, Selangor, yang bertujuan untuk mengeluarkan kenderaan energy-efficient dan electric passenger. Inisiatif ini dijangka memacu inovasi dalam industri EV dan menjana kesan limpahan yang besar dalam rantaian bekalan tempatan.

V. Plexus Manufacturing Sdn. Bhd 

Pelaburan: RM1.0 bilion

Industri: Semikonduktor dan Teknologi Penjagaan Kesihatan

Kemudahan pengeluaran keenam syarikat Plexus Manufacturing Sdn . Bhd, di Pulau Pinang akan menyokong operasi syarikat dalam segmen Peralatan Modal Semikonduktor dan Penjagaan Kesihatan & Sains Hayat. Ia selaras dengan visi NIMP 2030 dan dijangka mewujudkan 1,800 pekerjaan berkemahiran tinggi.

VI. Dominant Opto Technologies Sdn. Bhd. 

Pelaburan: RM1.0 bilion

Industri: LED Automotif

Pengeluar Surface Mount Technology (SMT) LED automotif yang terkemuka, Dominant Opto Technologies menyumbang secara signifikan kepada sektor automotif global. Syarikat ini menggunakan proses pengilangan cekap tenaga dan membangunkan LED mesra alam untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam penyelesaian pencahayaan automotif.

SEKTOR UTAMA MENUNJUKKAN PELUANG POSITIF

Sektor utama mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM5.3 bilion, merangkumi 1.4% daripada keseluruhan jumlah kelulusan. Didorong oleh 67 projek, ia dijangka mewujudkan 463 pekerjaan baharu, dengan tumpuan kepada perlombongan (RM4.5 bilion), pertanian (RM766.8 juta) serta perladangan dan komoditi (RM71.6 juta).

Tumpuan Berterusan kepada  Tarikan Pelaburan Berkualiti dan Mampan

Landskap pelaburan Malaysia terus bersinar dengan aliran pelaburan yang kukuh dan projek berpotensi tinggi, mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama. Setakat 31 Januari 2025, MIDA sedang menilai 1,049 projek dengan cadangan pelaburan berjumlah RM58.8 bilion.

● Sektor perkhidmatan mendahului dengan 995 projek bernilai RM31.8 bilion.

● Sektor perkilangan menyusul rapat, dengan 54 projek bernilai RM27.0 bilion.

Selain itu, MIDA kini dalam rundingan secara aktif dalam prospek pelaburan  berpotensi tinggi sebanyak RM63.5 bilion, mencerminkan keyakinan pelabur yang kukuh terhadap asas ekonomi Malaysia.

Pelaksanaan Projek Perkilangan Yang Diluluskan

Kejayaan Malaysia dalam menarik pelaburan bukan sahaja memfokuskan kepada kelulusan, tetapi juga pelaksanaan yang berkesan. Inisiatif strategik seperti Majlis Pelaburan Negara, Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan, dan Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran pelaburan yang kondusif.

MITI dan MIDA telah bekerja keras untuk melibatkan pihak berkepentingan di peringkat persekutuan dan negeri, bagi memastikan kejayaan fasilitasi dan pelaksanaan projek pelaburan.

Antara 2021 dan Disember 2024, Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI) telahmeluluskan 3,494 projek perkilangan, di mana:

● 84.5% (2,950 projek) telah mencapai pelbagai peringkat pelaksanaan daripada t pengeluaran, pembinaan kilang atau pemasangan mesin / jentera

● 13.0% merangkumi projek-projek dalam peringkat perancangan, pemilihan lokasi dan perundingan bersama pihak pemaju.

● Hanya 2.5% projek tidak dilaksanakan, menunjukkan kadar kejayaan pelaksanaan projek yang tinggi di Malaysia.

Data tahunan menunjukkan bahawa:

●Lebih daripada 90% projek perkilangan yang diluluskan pada 2021 dan 2022 telah dilaksanakan.

● Manakala, 88.7% projek yang diluluskan pada 2023 dan 67.8% projek yang diluluskan pada 2024 telah memasuki fasa pelaksanaan—trajektori positif memandangkan projek perkilangan biasanya memerlukan 18 hingga 24 bulan untuk dilaksanakan, bergantung kepada skala dan kompleksiti projek.

Memperkukuh Ekosistem Pelaburan Malaysia

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, memuji pencapaian penting pelaburan tersebut, dengan menyatakan, “Fokus kami tetap untuk menarik pelaburan strategik dan berkualiti tinggi yang selaras dengan keutamaan negara. Melalui penglibatan proaktif dengan pelabur, sokongan menyeluruh, dan memupuk kerjasama kukuh antara sektor awam dan swasta, MIDA dan MITI terus memacu transformasi perindustrian, mempercepatkan penerapan teknologi termaju, dan menggalakkan amalan mampan. Untuk kekal berdaya saing dan berdaya tahan, Malaysia mesti mentransformasikan sektor-sektor ekonomi—terutama perkilangan dan perkhidmatan—dengan meningkatkan rantaian nilai melalui pendekatan menyeluruh kerajaan.”

MIDA terus memacu promosi pelaburan negara dengan memusatkan usaha promosi dan pemasaran pelaburan merentas agensi penggalakan pelaburan dan koridor ekonomi wilayah. Inisiatif ini, yang dipacu oleh MITI, meningkatkan keterlihatan global Malaysia disamping menghapuskan pertindihan, meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan mengurangkan kekeliruan pelabur.

Dengan menyelaraskan usaha pelaburan dan memastikan penyelarasan yang lebih kukuh di peringkat serantau dan nasional, Malaysia berhasrat untuk terus meningkatkan kadar pelaksanaan dan mewujudkan pengalaman pelaburan yang lancar bagi pelabur. Pendekatan ini menekankan dedikasi negara untuk menyediakan ekosistem pelaburan yang teratur, cekap dan berkualiti tinggi kepada pelabur.

Masa Depan Dibina Atas Daya Tahan, Inovasi dan Kemakmuran Ekonomi

Perjalanan pelaburan transformatif Malaysia mewakili langkah berani ke arah masa depan yang berdaya tahan, inovatif dan makmur. Dengan rangka kerja dasar yang kukuh, fasilitasi proaktif dan keyakinan pelabur yang tidak berbelah bahagi, Malaysia bersedia untuk mengukuhkan kedudukan globalnya sebagai destinasi pelaburan utama.

*Nota: Kompilasi pelaburan asing adalah berdasarkan sumber ultimate.

1Maklumat dan Komunikasi termasuk Telecommunications, MSC Status/MD Status and ICT Services
2Perkhidmatan Sokongan termasuk R&D, Logistics Services, Green Technology, Design Services, Professional Services and Other Support Services
3Utiliti termasuk Energy and Water
4Perkhidmatan Pengangkutan termasuk Maritime, Aviation and Road

***TAMAT***

Mengenai MIDA

MIDA adalah agensi promosi dan pembangunan pelaburan utama kerajaan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk menyelaras dan menggalakkan pelaburan ke dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan di Malaysia. Beribu pejabat di Kuala Lumpur Sentral, MIDA mempunyai 12 pejabat negeri dan 21 pejabat luar negara. MIDA terus menjadi rakan strategik perniagaan dalam merebut peluang yang muncul dari revolusi teknologi pada era masa kini. Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari www.mida.gov.my dan ikuti kami di saluran X, Instagram, Facebook, Linkedin, TikTok dan Youtube.

Pertanyaan Media, Sila Hubungi:

Puan Fatmah Ahmad
Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)
Emel: [email protected] | Tel: +603-2267 2428

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon