Upacara Pecah Tanah Untuk Pembinaan Kilang Nextgreen Global Berhad Di Green Technology Park, Pahang
KUALA LUMPUR, 9 JUN 2022 – Nextgreen Global Berhad (NGGB) hari ini telah mengadakan Majlis Pecah Tanah Kilang Fasa 1B di Green Technology Park (GTP) Pekan, Pahang. Majlis ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang. Kilang Fasa 1B akan melibatkan pembinaan tiga (3) buah bangunan untuk mengilang tisu, makanan haiwan dan baja. Dari segi pengeluaran, kilang tisu ini dijangka akan menghasilkan 10,000 tan metrik, manakala dua buah kilang yang lain akan mengeluarkan 30,000 tan metrik makanan haiwan dan 30,000 tan metrik baja organik.
Jumlah pelaburan baharu bagi pembinaan ketiga-tiga kilang tersebut adalah sebanyak RM162 juta dengan pecahannya seperti berikut: –
Kilang Tisu | RM 80 Juta |
Kilang Makanan Haiwan | RM 50 Juta |
Kilang Baja | RM 32 Juta |
YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail berkata, “Kerajaan Negeri berharap dengan adanya pelaburan dari NGGB ini dapat menarik lebih banyak pelabur ke arah projek berteraskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus serta selaras dengan Sustainable Development Goals (SDG) bagi pembangunan Negeri Pahang yang mampan. Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan dan membantu dalam memudahcara urusan pelaburan bagi mencapai kejayaan di Negeri Pahang. Melalui pelaburan ini, Kerajaan Negeri berharap dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan seterusnya meningkatkan ekonomi individu dan ekonomi negeri.”
Datuk Arham Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) merakamkan ucapan tahniah kepada pihak Pengurusan dan kakitangan NGGB, berkata “Di Malaysia, industri pulpa dan kertas sedang memacu ke arah penggunaan tandan buah kosong (empty fruit bunch) daripada kelapa sawit kerana ia menyediakan bahan mentah yang banyak untuk pengeluaran pulpa dan kertas. Dalam tempoh lima (5) tahun yang lepas (2017-2021), MIDA telah meluluskan 48 projek berkaitan biojisim dengan jumlah pelaburan RM1.24 bilion. MIDA akan terus memberi khidmat fasilitasi kepada pihak industri, seperti NGGB dalam merealisasikan pelaburan mampan dan inklusif yang akan mewujudkan rantaian industri baharu, spill-over yang positif serta pekerjaan bernilai tinggi selaras dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA). MIDA berharap lebih ramai lagi pemain industri akan turut serta menghasilkan produk berasaskan bio yang bernilai lebih tinggi, selain daripada mengeksport bahan mentah sahaja; ini dilihat sebagai salah satu jalan penyelesaian dalam menanggani isu perubahan iklim dan juga menggalakkan pembangunan dan aktiviti sosio-ekonomi luar bandar.”
YH. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berkata, “Ketiga-tiga pelaburan baharu di Fasa 1B, GTP ini menunjukkan keyakinan pelabur untuk membuat pelaburan baharu di Wilayah ECER amnya dan Pahang khususnya. GTP yang memberi penekanan kepada teknologi hijau ini adalah selari dengan Sustainable Development Goals (SDG), dan ini telah menjadi nilai tambah yang meningkatkan daya tarikan GTP kepada pelabur-pelabur berpotensi. ECERDC, MIDA dan Kerajaan Negeri akan memudahcara urusan pelabur-pelabur ini agar projek mereka dapat direalisasikan bagi memberi limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan, termasuk memudahcara permohonan untuk mendapatkan Pakej Insentif ECER bagi menjalankan projek mereka.”
Bersempena dengan Majlis Pecah Tanah ini juga turut diadakan satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara NGGB dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dalam usaha membangunkan industri pertanian negara yang bersifat hijau, lestari dan mesra alam sekitar. Memorandum Persefahaman ini ditandatangani oleh Dato’ Lim Thiam Huat, Pengarah Urusan NGGB dan Dato’ Haji Zamri Yaakob, Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS. Antara bidang kerjasama strategik yang dimeterai kedua belah pihak ini merangkumi pengeluaran baja yang organik, makanan haiwan yang mesra alam dan juga bidang perlaburan yang strategik dan berdaya maju.
Menurut Dato’ Lim Thiam Huat, pembinaan Fasa 1B ini jelas mencerminkan iltizam dan komitmen syarikat yang berterusan dalam usaha memartabatkan teknologi hijau dalam negara, sekaligus dapat melengkapkan sebahagian daripada perancangan pembangunan GTP di tanah seluas 410 ekar di Pekan, Pahang. Malahan jalinan kerjasama yang dimeterai hari ini antara NGGB dan NAFAS adalah satu langkah tepat bagi membawa industri pertanian negara sejajar dengan agenda teknologi hijau nasional berteraskan Sustainable Development Goals (SDG) dan seterusnya menyumbang ke arah jaminan mutu bekalan makanan negara pada harga yang berpatutan.
Lebih penting lagi, usaha yang digagaskan melalui konsep pembangunan ‘zero waste’ di GTP ini akan menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi kitaran (circular economy) berdasarkan pengeluaran produk dan kitar semula sisa daripada kilang untuk dijadikan produk boleh dipasarkan semula seperti baja organik dan makanan haiwan. Inisiatif sisa sebagai sumber pendapatan (waste-to-money) di GTP ini sudah tentunya berupaya mewujudkan ekosistem perusahaan mampan untuk negara, terutama dalam memenuhi cabaran ekonomi global ketika ini.
*****
Mengenai MIDA
MIDA adalah agensi promosi dan pembangunan pelaburan utama Kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menyelaras dan menggalakkan pelaburan ke dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan di Malaysia. Beribu pejabat di Kuala Lumpur Sentral, MIDA mempunyai 12 pejabat wilayah dan 20 pejabat luar negara. MIDA terus menjadi rakan strategik bagi perniagaan dalam merebut peluang yang timbul dari revolusi teknologi pada era masa kini. Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari www.mida.gov.my dan ikuti kami di saluran Twitter, Instagram dan Facebook, LinkedIn, Youtube dan TikTok.
Mengenai NGGB
Nextgreen ialah sebuah syarikat pelaburan induk yang bertapak di Malaysia. Nextgreen komited dalam mewujudkan ekonomi hijau yang lestari dengan menjadi perintis bagi pengeluaran pulpa dan kertas bukan berasaskan kayu menggunakan teknologi sifar sisa dan tenaga boleh diperbaharui.
Syarikat ini mula beroperasi pada tahun 1982 sebagai pencetak dan menawarkan servis pracetak, akhbar dan pasca akhbar dan merupakan syarikat percetakan majalah dan buku pertama di Malaysia yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur. Pada tahun 2015, Nextgreen telah mempelbagaikan aktiviti perniagaannya kepada pembuatan produk pulpa dan kertas yang boleh diperbaharui. Nextgreen telah merevolusikan industri pulpa dan kertas dengan menyepadukan pengeluaran pulpa dan kertas hijau bukan berasaskan kayu dengan tenaga boleh diperbaharui dan teknologi sifar sisa.
Kini, Nextgreen sedang membangunkan sebuah Taman Teknologi Hijau yang lebih dikenali sebagai Green Technology Park (GTP) yang bertempat di Pekan, Pahang untuk dijadikan sebagai hub pengeluar pulpa dan kertas terbesar di Asia.
Pertanyaan Media:
Puan Manjit Kaur Balkar Singh
Pengarah, Bahagian Teknologi Makanan dan Industri Berasaskan Sumber, MIDA
Emel: [email protected] | Tel: +603-2267 3509
Encik Mohd Syarul Razi Mohd Hazmi
Pegawai Khas kepada Pengarah Nextgreen Global Berhad
Emel: [email protected] | Tel: +6014-537 2306