Iconic Worldwide Bhd bercita-cita menjadi pembuat sarung tangan terkemuka di dunia berikutan pelaburannya sebanyak RM155 juta untuk kilang pembuatan peralatan perlindungan diri (PPE) yang baharu di Pulau Pinang.
Pengarah Urusannya, Datuk Tan Kean Tet, berkata anak syarikat milik penuh kumpulan itu, Iconic Medicare Sdn Bhd, mahu mengilang dan mengedarkan sarung tangan lateks serta nitril untuk kegunaan rumah, perindustrian dan perubatan termasuk dua jenis topeng muka pakai buang.
“Menurut Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), permintaan dunia terhadap sarung tangan dianggarkan mencecah 330 bilion keping setahun dan selepas siapnya kemudahan pembuatan baharu ini, kami mampu menghasilkan 3.3 bilion keping sarung tangan, yang bersamaan dengan satu peratus permintaan global.
“Permintaan untuk sarung tangan bertambah 10 peratus setahun sebelum COVID-19, tetapi ia dijangka meningkat lebih 30 peratus setahun akibat pandemik itu.
“Kami sudah menetapkan untuk menghasilkan 17 bilion keping sarung tangan yang merangkumi kira-kira lima peratus daripada pasaran global,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pecah tanah kemudahan pembuatan PPE Iconic Medicare oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di sini, semalam.
Kemudahan baharu itu akan memasang dan mentauliahkan talian pengeluaran topeng muka pakai buang dan sarung tangan yang dijangka mampu menghasilkan minimum kira-kira 3.3 bilion keping sarung tangan dan lebih kurang 220 juta topeng muka setahun.
“Kami menjangkakan pengeluaran sarung tangan itu akan menjana potensi hasil sebanyak RM1 bilion setahun manakala pengeluaran topeng pakai buang bakal menjana hasil sebanyak RM100 juta setahun sebaik sahaja ia beroperasi sepenuhnya.
“Secara keseluruhannya, Iconic Worldwide dijangka menjana potensi keuntungan kasar berjumlah RM450 juta setahun,” katanya.
Kemudahan pembuatan baharu yang terletak di kawasan seluas 2.2 hektar itu dijadualkan siap pada Julai tahun depan dan beroperasi pada September 2021.
Menurutnya, sebanyak 22 barisan pengeluaran yang terdiri daripada 12 barisan celupan sarung tangan serta 10 barisan pengeluaran topeng akan dipasang dan ditauliahkan sepanjang 12 bulan itu.
“Selain itu, kami sudah merancang untuk meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran kerana jumlah pesanan yang diterima sudah melepasi apa yang kami mampu,” katanya.
Menerusi kepelbagaian perniagaan terbabit, Kean Tet berkata kumpulan berharap dapat mengurangkan kebergantungannya kepada segmen pelancongan dan perhotelan di samping menjana lebih banyak peluang pekerjaan termasuk menyumbang kepada ekonomi Pulau Pinang dan Malaysia.
Sumber: Bernama
Iconic Worldwide sasar jadi pengeluar sarung tangan global
Content Type:
Duration: