2020 Archives - Page 4 of 4 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia dijangka lulus pelaburan baharu RM138 bilion

UOB Global Economics and Markets Research meningkatkan unjuran pelaburan diluluskan Malaysia untuk tahun ini kepada RM138 bilion.

Ini berikutan jumlah kelulusan pelaburan negara bagi sembilan bulan pertama tahun ini melepasi jangkaan awalnya sebanyak RM100 bilion.

Ahli Ekonomi Kanannya, Julia Goh, berkata sasaran baharu itu kira-kira 32 peratus lebih tinggi daripada pelaburan sebenar yang diluluskan ketika krisis kewangan global pada 2009.

“Ini adalah isyarat menggalakkan bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik dengan usaha berterusan kerajaan untuk mempercepatkan proses kelulusan pelaburan di samping menawarkan insentif yang berdaya saing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut firma penyelidikan itu, sektor pembuatan mempamerkan daya tahan dengan pelaburan diluluskan meningkat 16.6 peratus tahun ke tahun kepada RM65.3 bilion pada sembilan bulan pertama tahun ini.

“Ini mengimbangi sebahagian daripada penurunan dalam sektor perkhidmatan dan utama, masing-masing merosot 51. 8 peratus tahun ke tahun kepada RM42.8 bilion dan 73.5 peratus tahun ke tahun kepada RM1.7 bilion,” katanya.

Ia menambah, China, Singapura dan Switzerland adalah tiga sumber utama pelaburan langsung asing dalam sektor pembuatan.

Subsektor utama yang memberikan manfaat termasuk produk petroleum, produk logam asas, elektrik dan elektronik, jentera serta peralatan serta produk kimia serta kimia.

Dalam pada itu, Goh berkata dalam Belanjawan 2021, kerajaan melancarkan pelbagai inisiatif untuk mempercepatkan pelaburan di Malaysia bagi mendorong pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan kesan pengganda yang lebih tinggi dalam ekonomi.

Inisiatif ini termasuk pakej insentif istimewa berjumlah RM1 bilion bagi projek teknologi bernilai tambah tinggi termasuk pelaburan penyelidikan dan pembangunan dalam kluster aeorangkasa dan elektronik.

Beliau berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut melaksanakan beberapa inisiatif termasuk menubuhkan Unit Penyelarasan dan Pemecutan Projek (PACU) untuk menyediakan kemudahan menyeluruh terhadap semua projek yang diluluskan bagi membolehkan pelaburan di negara ini dibuat tepat pada masanya.

“Dengan inisiatif bagi menarik pelaburan di tengah-tengah peluang perniagaan yang pesat membangun dalam normal baharu pasca pandemik dan pemulihan ekonomi global, kami menjangkakan pelaburan keseluruhan akan meraih semula momentum pada 2021 hingga 2022.

“Pelaksanaan pelaburan yang diluluskan ini, setakat ini akan membantu memulakan pelaburan swasta pada 2021 dan seterusnya,” kata beliau.

Goh berkata, ratifikasi daripada Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang baharu ditandatangani menjelang 2021 akan memperkuatkan kedudukan Malaysia sebagai gerbang ke ASEAN dan lebih daripada itu, serta memperkukuh unjuran pelaburan dan perdagangan negara dalam jangka pertengahan.

Sumber: Berita Harian

Malaysia dijangka lulus pelaburan baharu RM138 bilion


Content Type:

Duration:

Cyberview Sdn Bhd (Cyberview) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memanfaatkan keupayaan serta kekuatan masing-masing dalam pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI).

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud, berkata kerjasama itu dapat menarik pelaburan berkualiti untuk ekonomi negara pasca pandemik COVID-19.

Beliau berkata, MIDA berusaha untuk tidak hanya mempromosikan pengembangan ekosistem perindustrian semata-mata, tetapi juga untuk memastikan penggunaan sepenuhnya kemudahan yang ada di negara ini.

Katanya, ini termasuk kemudahan yang tepat untuk memenuhi kehendak perniagaan, terutamanya ketika ini.

“MOU dengan Cyberview adalah langkah menuju matlamat ini. Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, Malaysia berusaha untuk mendorong lebih banyak pelaburan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), Global Trading Center dan Principal Hub.

“MIDA optimis melalui MOU ini, kami dapat memberi kemudahan kepada pelabur kami dengan lebih baik kerana Cyberjaya berpotensi menjadi lokasi yang ideal kerana infrastruktur dan sambungan yang lengkap, pelan induk bandar pintar yang komprehensif dan jarak dekat dengan kemudahan lain.

“Kami yakin bahawa ia akan menterjemahkan pelaburan yang lebih berkualiti masuk ke Malaysia, terutama dalam bidang teknologi. ” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengarah Urusan Cyberview, Najib Ibrahim, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan MIDA untuk menarik dan membawa pelaburan bernilai tinggi seperti perkhidmatan yang inovatif dan berasaskan teknologi.

Beliau berkata, Cyberciew juga menyasarkan dapat meningkatkan peluang pekerjaan, terutama dalam bidang yang berkaitan dengan teknologi serta mendorong pemindahan modal ke Cyberjaya dan Malaysia.

“Kami yakin MOU ini akan meningkatkan ekosistem inovatif bandar kami dengan memacu aktiviti R&D&C, dengan usaha yang difokuskan pada kelompok teknologi seperti mobiliti pintar, penjagaan kesihatan pintar dan kreatif digital.

“Namun, kami tidak sepenuhnya terhad pada ketiga-tiga bidang ini. Kawasan ini adalah sebahagian daripada rancangan induk baharu kami bagi Cyberjaya yang bertujuan untuk mewujudkan identiti unik untuk bandar pintar sebagai pilihan lokasi pelaburan teknologi,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Kerjasama Cyberview, MIDA tarik pelaburan ke Cyberjaya


Content Type:

Duration:

PETRONAS Gas Bhd (PGB) membekalkan stim kepada syarikat Jepun, Polyplastics Asia Pacific Sdn Bhd (PAP), perniagaan baharu yang diperoleh susulan perjanjian tahun lalu.

Stim dihasilkan dengan elektrik dari kemudahan penjanaan bersama 350 megawatt yang berkelas dunia dan efisien di Gebeng, Pahang. Selain Gebeng, PGB juga mempunyai kemudahan yang sama di Kerteh, Terengganu.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PGB, Kamal Bahrin Ahmad, berkata anak syarikat PETRONAS itu mahu menjadi rakan kongsi penyelesaian terbaik kepada pelanggannya dan pada masa sama terus mengekalkan prestasi operasi terbaik di kesemua asetnya di seluruh negara.

“Rekod prestasi yang sangat baik dalam kebolehpercayaan bekalan kepada pelanggan sedia ada kami serta harga kami yang kompetitif menjadikan kerjasama jangka panjang ini dapat dilaksanakan,” katanya.

Pengarah Urusan PAP, Yoshimitsu Shirai, berkata pihaknya gembira menerima bekalan stim pertama daripada PGB, yang menandakan fasa baharu dalam perjalanan syarikat itu untuk melayani pelanggannya.

PAP adalah anak syarikat milik penuh syarikat Jepun, Polyplastics Limited Company dan ditubuhkan pada 1997. Syarikat itu terbabit dalam perniagaan plastik kejuruteraan dan adalah syarikat multinasional yang diperakui untuk inovasi dan nilai baharu.

Pada April 2019, PGB dan PAP mengadakan dua perjanjian jual beli jangka panjang yang berasingan, yang mana perjanjian pertama adalah untuk bekalan stim baharu, sementara yang kedua adalah untuk lanjutan bekalan elektrik sedia ada antara kedua-dua pihak.

PGB ditubuhkan pada 1983 sebagai anak syarikat milik penuh PETRONAS dan disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia pada 4 September 1995.

Syarikat dimiliki 51 peratus oleh PETRONAS, sementara baki saham dimiliki oleh pelabur institusi lain dan pemegang saham runcit.

Ia adalah syarikat infrastruktur dan utiliti gas terkemuka di Malaysia dengan perniagaan teras dalam pemprosesan gas, penghantaran gas, pengkelasan semula dan utiliti.

Syarikat itu memproses gas asli yang disalurkan dari lapangan luar pesisir dan mengangkut gas yang diproses melalui rangkaian saluran paip Penggunaan Gas Semenanjung (PGU) kepada PETRONAS Group dan pelanggannya di Malaysia dan Singapura.

Sumber: Berita Harian

Petronas Gas bekal stim kepada syarikat Jepun


Content Type:

Duration:

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melancarkan Geran Automasi Pintar (SAG) yang bertujuan mendorong penerapan automasi untuk penggiat industri, terutama pengeluar dan penyedia perkhidmatan tempatan.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerajaan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) komited untuk memacu industri dan perniagaan Malaysia ke arah automasi dan pendigitalan.

“Lebih daripada sekadar memiliki penyedia penyelesaian dan tenaga mahir yang sesuai, ia juga untuk memastikan keperluan untuk mendapatkan bantuan kewangan dapat dipenuhi.

“Pelancaran SAG adalah tepat pada masanya untuk meningkatkan pelaburan domestik strategik yang akan membantu dan memberi insentif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pertengahan (MTC) untuk memantapkan rangkaian operasi, pengeluaran dan perdagangan mereka pada masa depan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Inisiatif SAG adalah sebahagian daripada peruntukan RM100 juta dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan pada Jun lalu.

Geran itu akan diberikan secara padanan atau 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan yang layak, sehingga had maksimum sebanyak RM1 juta bagi setiap syarikat.

PKS dan MTC yang telah melakukan aktiviti pembuatan atau perkhidmatan dalam tempoh 12 bulan lepas layak dipertimbangkan untuk pemberian SAG berkenaan.

Untuk memenuhi syarat untuk mendapatkan insentif itu, mesin automasi, peralatan atau perisian yang dibeli mesti digunakan secara langsung dalam rantaian nilai syarikat untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan mereka.

Penambahbaikan akan dinilai berdasarkan pelbagai kriteria seperti pengurangan pekerja tidak mahir, jumlah waktu bekerja, kadar kerosakan hasil pembuatan dan juga peningkatan jumlah pengeluaran.

Pihak berkepentingan yang berminat boleh mengemukakan permohonan bagi SAG itu kepada MIDA dari 1 November, 2020 hingga 31 Disember, 2021.

Kerajaan optimis pemberian geran itu akan melihat penggunaan automasi dan pendigitalan yang lebih banyak di negara ini untuk memenuhi rantaian bekalan global yang berkembang dengan teknologi hari ini, kata Mohamed Azmin.

“Pemberian geran ini bukan sahaja dapat meningkatkan daya saing dan kemampuan industri Malaysia tetapi juga mengurangkan kebergantungan kita kepada pekerja asing berkemahiran rendah sambil mewujudkan peluang pekerjaan baru di sektor bernilai tambah tinggi,” katanya.

Selain itu, MIDA bekerjasama dengan bank panel terpilih akan menganjur Program Mempercepatkan SAG untuk memberi kesedaran dan memberikan bimbingan kewangan kepada syarikat mengenai automasi dan pendigitalan melalui siri sesi latihan dan penilaian simulasi.

Sumber: Berita Harian

MITI lancar Geran Automasi Pintar


Content Type:

Duration:

Malaysia merekodkan pelaburan bernilai RM109.8 bilion dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama untuk tempoh sembilan bulan pertama 2020.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam kenyataannya berkata, pelaburan ini membabitkan 2,935 projek dan akan mewujudkan 64,701 peluang pekerjaan di Malaysia.

“Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebanyak 61.2 peratus atau RM67.2 bilion, sementara pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak RM42.6 bilion.

“Penyumbang terbesar FDI untuk sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama dalam tempoh itu ialah China sebanyak RM17 bilion, Singapura (RM8 bilion), Switzerland dan Amerika Syarikat (AS) masing-masing RM2.8 bilion serta Belanda (RM2.4 bilion),” katanya.

MIDA berkata, untuk projek yang diluluskan mengikut negeri, lima negeri utama iaitu Selangor, Sarawak, Sabah, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menyumbang RM76.8 bilion atau 69.9 peratus kepada jumlah pelaburan yang diluluskan untuk Januari hingga September 2020.

Katanya, sektor perkilangan menarik sebahagian besar pelaburan yang diluluskan untuk tempoh itu, menyumbang lebih separuh (59.5 peratus) atau RM65.3 bilion.

“Ia diikuti sektor perkhidmatan dengan pelaburan sebanyak 39 peratus atau RM42.8 bilion, dan sektor utama dengan pelaburan yang diluluskan berjumlah 1.5 peratus atau RM1.7 bilion,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerajaan tidak pernah berganjak dalam mengutamakan keperluan rakyat walaupun negara dan dunia masih berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19.

Beliau berkata, kerajaan berusaha untuk memastikan kehidupan rakyat dan kemampanan perniagaan terus berdaya maju, bukan saja ketika mendepani wabak ini tetapi untuk tempoh tahun-tahun akan datang.

Oleh itu, katanya Belanjawan 2021 menjadi asas untuk mempercepatkan pelaburan di Malaysia bagi memacu pemulihan ekonomi dan mewujudkan kesan berlipat ganda pada ekonomi.

“Kerajaan melalui MIDA berharap dapat memanfaatkan insentif daya saing ini untuk meninjau dan menarik lebih banyak pelabur, tempatan serta asing, mengambil peluang di Malaysia sepenuhnya.

“Kami yakin pelabur akan memperoleh nilai dengan memanfaatkan rangkaian industri sokongan tempatan Malaysia yang kukuh dan tenaga kerja berbakat untuk melaksanakan pembuatan produk berteknologi tinggi dan perkhidmatan bernilai tambah tinggi.

“Ini bagi memenuhi pelanggan mereka di rantau ini, pada masa sekarang dan masa depan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Pelaburan sembilan bulan 2020 cecah RM109.8 bilion


Content Type:

Duration:

Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah membuat pengaturan kerja dari rumah dan akan menggunakan pelbagai platform digital untuk berhubung dengan pihak berkepentingan ketika Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari.

MIDA berkata ia menutup semua premisnya di KL Sentral dan seluruh negara mulai hari ini hingga 31 Mac dalam usaha mencegah penularan COVID-19.

“MIDA akan terus responsif dalam memberikan nasihat dan sokongan kepada pelanggannya.

“Para pegawai MIDA, terutamanya para pengarah dan timbalan pengarah boleh dihubungi dengan mudah melalui e-mel mereka masing-masing di https://www.mida.gov.my/contact-us/ atau melalui [email protected],” katanya dalam satu kenyataan.

Lebih banyak maklumat dan kemas kini boleh didapati di www.mida.gov.my atau di Twitter, Instagram, Facebook dan LinkedIn.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lepas mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan, dilaksanakan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan juga Akta Polis 1967, yang merangkumi pelbagai aktiviti.

Sumber: Bernama

Posted on : 18 March 2020

MIDA tutup pejabat, berhubung dengan pihak berkepentingan melalui platform digital


Content Type:

Duration:

wpChatIcon