2021 Archives - Page 10 of 33 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


RMK-12: Malaysia akan menjadi negara pendapatan tinggi pada tahun 2025, KDNK berkembang 4.5-5.5 peratus setahun – PM

Pelbagai pembaharuan yang dibawa  dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik pada tahun 2025,  kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

RMK-12 merupakan pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama, katanya.

“Kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara atau whole-of-nation approach yang melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, industri serta masyarakat dalam satu misi tunggal untuk melaksanakan pembaharuan,” kata perdana menteri dalam ucapannya semasa membentangkan usul mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 di parlimen hari ini.

“Tujuan pembaharuan ini bukanlah untuk menjana kekayaan negara semata-mata. Sebaliknya, untuk menangani beberapa cabaran struktur ekonomi, menyediakan tenaga kerja masa hadapan, meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah,” tambah beliau.

Di samping itu, ia juga bagi memastikan pelaksanaan kaedah yang lebih berkesan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Perdana menteri berkata dalam tempoh lima tahun 2021-2025, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun.

“Saya percaya kita akan dapat mencapai sasaran pertumbuhan purata sektor perkhidmatan sebanyak 5.2 peratus, pembuatan 5.7 peratus, pertanian 3.8 peratus, perlombongan dan pengkuarian 2.6 peratus serta pembinaan 4.2 peratus dalam tempoh RMK-12.”

Sektor pelancongan yang paling terjejas berikutan pandemik dijangka akan pulih dengan sasaran pertumbuhan 3.8 peratus sementara perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pula dijangka dapat menyumbang sebanyak 45 peratus kepada KDNK dan 25 peratus kepada jumlah eksport pada tahun 2025, jelas beliau.

Ismail Sabri berkata fokus dalam merancakkan ekonomi akan tertumpu kepada usaha mengembalikan semula momentum pertumbuhan kesemua sektor ekonomi dan mewujudkan sumber pertumbuhan baharu.

“Pertumbuhan beberapa industri yang strategik dan berimpak tinggi  iaitu elektrik dan elektronik, perkhidmatan global, aeroangkasa, industri halal, kreatif, pelancongan, biojisim dan aktiviti pertanian pintar akan dilonjakkan. Transformasi PMKS juga akan diperkasa,” tambah Ismail Sabri.

Pertumbuhan produktiviti pula akan dilonjakkan melalui aktiviti  penyelidikan dan inovasi, penggunaan teknologi termaju, di samping mengurangkan kebergantungan kepada buruh kurang mahir.

Katanya kerajaan mahu melihat sektor swasta kembali memainkan peranan lebih besar bagi membantu negara memacu pertumbuhan ekonomi.

“Sehubungan ini, saya memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengurangkan kerenah birokrasi, menyediakan infrastruktur yang berkualiti dan berdaya harap, memperkukuh ekosistem bagi menyokong pelaburan swasta dan membangunkan tenaga kerja mahir,” katanya.

Kerajaan juga telah bersetuju meluluskan beberapa program dan projek utama untuk dilaksanakan dalam RMK-12 bagi melonjakkan pertumbuhan sektor dan industry strategik.

“Antaranya, dana pinjaman pelaburan penyelidikan dan pembangunan bidang aeroangkasa, elektrik dan elektronik; penubuhan Centre of Excellence for Future Industry; dana harta intelek; dan skim pembiayaan mudah bagi pendigitalan dan penerimagunaan teknologi untuk menyokong syarikat tempatan beralih kepada teknologi termaju,” kata beliau.

Kerajaan juga berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi.

“Untuk Malaysia menjadi negara berpendapatan dan berteknologi tinggi, kita tiada pilihan selain menerima guna teknologi baharu dan berusaha mencipta serta membangunkan teknologi sendiri. Kita juga perlu memastikan infrastruktur diperkukuh dan bakat masa hadapan dibangunkan untuk memangkin pertumbuhan ekonomi,” kata Ismai Sabri.

Antara lainnya, penyediaan infrastruktur digital melibatkan pelaburan sektor awam dan swasta, bernilai RM28 bilion bagi menambah baik rangkaian 4G sedia ada sementara bagi mempercepat pelaksanaan 5G di seluruh negara, sebanyak RM15 bilion lagi akan dilabur oleh sektor swasta.

Selain itu, sejajar dengan perkembangan teknologi serta inovasi, usaha untuk melahirkan pembangun dan pencipta teknologi tempatan akan dipergiat bagi menjana kekayaan dan pertumbuhan ekonomi.

“Bagi tujuan ini, semua aktiviti pembangunan dan penyelidikan (R&D), pengkomersialan dan inovasi  akan dijajarkan dengan keutamaan negara. Sebanyak 50 peratus daripada dana penyelidikan kerajaan akan disediakan untuk penyelidikan eksperimental yang berpotensi untuk dikomersialkan,” kata Ismail Sabri.

Justeru, kerajaan telah meluluskan penubuhan pusat sehenti bagi pengkomersialan dan pemindahan teknologi serta Program NanoMalaysia Energy Storage Technology Initiative (NESTI).

Bagi menyelaras aktiviti R&D dan pengkomersialan dan inovasi serta memastikan ianya bersesuaian dengan keutamaan nasional, Unit Pengurusan Penyelidikan (RMU) telah ditubuhkan.

Peranan RMU adalah untuk mengurangkan pertindihan fungsi, memperkukuh kerjasama antara pihak industri, ahli akademik dan kerajaan dalam pelbagai bidang, serta meningkatkan kecekapan dalam penggunaan sumber sedia ada.

Pada tahun 2025, peratusan perbelanjaan kasar R&D kepada KDNK dijangka mencapai 2.5 peratus, berbanding 1.0 peratus sahaja pada tahun 2020.

Sektor swasta disasarkan menyumbang lebih besar dengan peningkatan dua kali ganda, iaitu mencapai 70 peratus kepada jumlah perbelanjaan R&D, tambah beliau.

Sumber: Bernama

RMK-12: Malaysia akan menjadi negara pendapatan tinggi pada tahun 2025, KDNK berkembang 4.5-5.5 peratus setahun – PM


Content Type:

Duration:

Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk Malaysia setelah pandemik COVID-19 merencatkan usaha-usaha yang telah dilaksanakan selama ini.

Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata perencanaan komprehensif RMK12 akan melonjakkan ekonomi ke tahap lebih tinggi, menjana pertumbuhan rancak serta mampu mencipta kekayaan untuk dikongsi oleh Keluarga Malaysia.

Katanya RMK12 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat semalam adalah lanjutan usaha gigih bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memulakan libat urus dengan pelbagai pihak sebagai langkah yang inklusif.

Katanya peruntukan sebanyak RM400 bilion menzahirkan komitmen kerajaan untuk mendepani cabaran-cabaran ekonomi global yang dinamik.

“RMK12 mengunjurkan sasaran jumlah purata pelaburan swasta setiap tahun sebanyak RM258 bilion dan untuk mencapai sasaran ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperkukuhkan asas-asas ekonomi negara dengan memberi tumpuan dalam usaha menggalakkan perdagangan dan pelaburan terbuka, telus serta mesra-perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Azmin berkata kerajaan juga akan meratifikasi Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang akan memberi akses pasaran yang lebih luas kepada industri tempatan.

Beliau berkata perancangan lima tahun itu juga memberi penekanan kepada pembangunan pertumbuhan sektor baharu dalam mencerdaskan ekonomi negara yang selari dengan usaha MITI termasuk pembangunan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), industri Halal dan Aeroangkasa.

“Ini adalah bertepatan dengan Dasar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) untuk menarik pelabur asing (FDI) yang berimpak dan berteknologi tinggi bagi meningkatkan daya saing dan tarikan Malaysia sebagai hab pelaburan serantau,” jelas beliau.

Beliau berkata penegasan perdana menteri dalam menjadikan Malaysia negara neutral karbon seawal tahun 2050 adalah sejajar dengan teras NIA bagi mempercepatkan pertumbuhan hijau dengan memberi lebih penekanan terhadap ESG.

Dalam melaksanakan usaha ini, katanya, MITI memberi keutamaan kepada usaha memperkukuhkan ekosistem bagi pembangunan kenderaan kenderaan cekap tenaga (EEV) termasuk kenderaan elektrik (EV).

Ini meliputi pembuatan komponen kritikal, penetapan piawaian dan menggalakkan aktiviti keupayaan dan kemampuan penyelidikan untuk membangunkan teknologi tempatan.

“Bagi memastikan pertumbuhan sektor baharu yang inklusif, perusahaan mikro kecil sederhana (PMKS) turut diberikan perhatian utama bagi mengadaptasi perniagaan mereka kepada automasi, teknologi dan digitalisasi demi kelangsungan perniagaan.

“Memandangkan PMKS merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara, maka RMK12 juga mensasarkan untuk meningkatkan sumbangan KDNK sektor ini kepada 45 peratus,” katanya.

MITI menyediakan pelbagai kemudahan bertujuan membantu PMKS seperti skim pembiayaan mudah melalui MIDF.

Pemerkasaan PMKS melalui pendigitalan akan menyuntik dinamisme dalam seluruh rantaian ekonomi khususnya ke kawasan luar bandar selari dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif.

“Walaupun landskap pelaburan dan perdagangan kekal mencabar dan kompetitif, saya yakin RMK12 berada di landasan yang tepat didokong dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah menggariskan beberapa langkah proaktif untuk menggerakkan agenda pemulihan ekonomi dan menjamin pertumbuhan yang mampan,” tambah beliau.  

Sumber: Bernama

RMK12 bakal jadi pemangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan


Content Type:

Duration:

Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) yakin sasaran dan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dapat dicapai melalui kerjasama dan rundingan yang erat antara kerajaan dan sektor perniagaan, terutamanya sektor pembuatan.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata pemangkin dasar RMK12 dapat memastikan Malaysia akan mencapai pertumbuhan ekonomi tahunan yang disasarkan sebanyak 4.5 peratus – 5.5 peratus dan menyokong sektor pembuatan, yang diunjurkan akan mencapai purata pertumbuhan sebanyak 5.7 peratus dalam tempoh tersebut.

Empat pemangkin dasar itu ialah membangunkan bakat masa hadapan; mempercepat penerimagunaan teknologi dan inovasi; menambah baik ketersambungan dan infrastruktur pengangkutan serta memperkukuh perkhidmatan awam.

“FMM amat yakin bahawa sebagai pemangkin utama pertumbuhan dengan hubungan huluan dan hiliran yang luas dalam rantaian nilai, sektor pembuatan dapat menyumbang dengan lebih baik dalam membantu mencapai strategi produktiviti, pelaburan, meningkatkan rantaian nilai dan mengukuhkan eksport,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh itu, FMM menggesa kerajaan untuk terus menyokong sektor ini dengan memastikan persekitaran operasi dan pelaburan yang mesra perniagaan melalui pengurangan beban dan kos pengawalseliaan yang tidak perlu serta persaingan yang lebih setara untuk memudahkan persaingan yang adil dan terbuka.

“Keutamaan haruslah menyokong dan menggalakkan pengembangan sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan membolehkan untuk mendapat pulangan lebih tinggi untuk memulihkan ekonomi, meningkatkan kemampanan perniagaan, memastikan jaminan pekerjaan dan untuk pertumbuhan jangka sederhana dan panjang,” katanya.

Soh berkata FMM berharap dapat menjalin hubungan erat dengan kerajaan dalam program dan inisiatif yang berkaitan antaranya di bawah bidang keutamaan strategik.

Beliau berkata FMM gembira apabila mendapati kerajaan menekankan inisiatif untuk menyokong sektor swasta, termasuk sektor pembuatan, seperti memangkinkan industri strategik dan berimpak tinggi yang akan dapat menarik pelaburan berkualiti tinggi dan memperluas asas eksport dan penyertaan dalam rantaian nilai global.

Katanya insentif sedia ada akan turut dikaji semula untuk memberi tumpuan kepada pelaburan berdasarkan teknologi maju dan memenuhi aspek kelestarian alam sekitar.

Soh juga berkata perdagangan antarabangsa akan diperkukuh dengan mengenal pasti pasaran dan produk baharu, meningkatkan daya saing industri eksport utama selain menggalakkan kerjasama perdagangan melalui ratifikasi perjanjian perdagangan bebas baharu seperti Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).  

Sumber: Bernama

Sasaran RMK12 dapat dicapai melalui kerjasama kerajaan dan sektor perniagaan


Content Type:

Duration:

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menyeru pihak-pihak yang berkaitan segera meratifikasi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) untuk menyumbang dan memacu pemulihan ekonomi pasca pandemik di rantau itu.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 pada 26 Okt.

Memandangkan pandemik COVID-19 telah mencetuskan cabaran dan kesukaran, maka ia menuntut semua pihak bekerja lebih kuat dalam integrasi ekonomi dan meratifikasi RCEP, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Menurutnya, perjanjian itu akan meningkatkan keyakinan dalam perdagangan dan pelaburan serantau selain menyumbang secara signifikan kepada pemulihan ekonomi pasca pandemik.

“Saya menantikan ratifikasi RCEP oleh semua negara anggota ASEAN dan rakan kongsi, supaya perjanjian itu dapat dikuat kuasa menjelang Januari 2022 sebagaimana yang dirancang.”

Negara-negara ASEAN juga perlu secara beransur-ansur membuka semula ekonomi dan sempadan negara kerana hidup bersama COVID-19 menjadi antara satu aspek penting, katanya.

Lee berkata selepas dua tahun berlalu pandemik COVID-19 kekal sebagai cabaran utama, sehubungan itu negara ASEAN mesti bekerjasama untuk meningkatkan akses kepada vaksin.

“Sebagai pengerusi bersama Kemudahan COVAX, Singapura komited terhadap akses vaksin COVID-19 yang adil dan saksama untuk semua negara,” katanya.

Sumber: Bernama

ASEAN perlu ratifikasi segera RCEP untuk pacu pemulihan ekonomi: PM Singapura


Content Type:

Duration:

ASEAN perlu membuka kembali sempadan dan membenarkan “safe travel” untuk memulihkan ekonomi rantau ini yang terjejas akibat pandemik COVID-19, kata Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha.

Sebagai contoh, beliau berkata Thailand telah memperkenalkan projek perintis ‘Phuket Sandbox’ untuk menyambut kedatangan pelancong asing secara bertahap dan akan membuka lebih banyak kawasan di wilayah lain untuk pelancong antarabangsa.

“Rangka Kerja Pengaturan Koridor Perjalanan ASEAN harus diguna pakai, dengan pengiktirafan bersama vaksin dan sijil vaksin untuk memudahkan perjalanan perniagaan dan diikuti pelancongan,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang-sidang kemuncak berkaitan melalui sidang video pada Selasa.

Prayuth berkata ASEAN harus mengelak mengambil langkah yang boleh menghalang pergerakan barangan untuk memastikan ketersambungan rantaian bekalan ketika pandemik dan menggunakan lebih banyak pasaran intra-ASEAN bagi merangsang ekonomi serantau.

Krisis COVID-19 menyebabkan rantau ini mudah terdedah kepada ancaman baharu yang di luar jangkaan, katanya.

Menurut Prayuth ASEAN harus mengukuhkan lagi kesiapsiagaan sebagai tindak balas terhadap penyakit baharu yang mungkin muncul dan memperkukuh keselamatan kesihatan awam untuk jangka panjang, termasuk melalui menggalakkan kerjasama dalam penyelidikan serta pembangunan vaksin.

“Pada masa ini, Thailand berada di landasan yang tepat dalam pembangunan vaksin COVID-19 dan negara bersedia bekerjasama dengan negara anggota ASEAN yang lain dalam hal ini,” katanya.

Prayuth menegaskan komitmen Thailand untuk bersama-sama memacu Komuniti ASEAN dan menjalin integrasi serantau yang lebih luas supaya ASEAN dapat terus berfungsi sebagai penggerak utama masyarakat dan ekonomi global.

Sumber: Bernama

ASEAN perlu benarkan ‘safe travel’ untuk pulih ekonomi – Prayuth


Content Type:

Duration:

ASEAN dan Korea Selatan perlu mengukuhkan kerjasama dalam transformasi digital, bidang yang dapat merancakkan ekonomi blok serantau itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea ke-22 yang diadakan menerusi sidang video hari ini, beliau berkata, Korea Selatan dianggap sebagai peneraju dunia dalam teknologi digital dan aplikasi yang dapat memacu produktiviti.

Sidang berkenaan diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-39 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, dipengerusikan Brunei dengan tema “We Care, We Prepare, We Prosper”.

“Ekonomi digital rantau ini diunjur mencecah AS$300 bilion menjelang 2025 apabila berjuta-juta penduduk memanfaatkan pembelian dalam talian, menggunakan khidmat penghantaran makanan serta perkhidmatan dalam talian yang lain,” katanya.

Berikutan itu, Ismail Sabri berkata, wujud keperluan bagi menangani ancaman jenayah siber yang dilihat semakin meningkat sejajar dengan digitalisasi.

Untuk itu, katanya, Cybersecurity Malaysia merancang inisiatif Pembangunan Profesional Keselamatan Digital dan Pembelajaran Berterusan ASEAN, bertujuan mengukuhkan kemampuan keselamatan siber bagi membantu menangani ancaman siber di rantau ini.

“Malaysia berharap akan mendapat sokongan Korea Selatan berkaitan cadangan program ini,” katanya.

Mengulas mengenai COVID-19, Perdana Menteri berkata, pandemik itu menyerlahkan peri pentingnya buat ASEAN dan Korea Selatan bagi menyelaras usaha secara berkesan menguruskan aspek darurat kesihatan awam serta dalam menangani kemunculan penyakit.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, Malaysia mengalu-alukan inisiatif hub vaksin Korea Selatan kerana ia membolehkan rantau ini mendapat akses vaksin COVID-19 secara saksama, efektif, selamat dan mampu milik.

“ASEAN dan Korea Selatan juga boleh meningkatkan kerjasama dalam inisiatif bagi mengukuhkan sistem kesihatan awam,” katanya.

Malaysia turut menyuarakan penghargaan terhadap sumbangan Korea Selatan sebanyak US$ 1 juta kepada Tabung COVID-19 ASEAN dan bantuan negara itu sebanyak US$5 juta bagi meningkatkan kapasiti projek pengesanan COVID-19 selain kesediaan negara berkenaan berkongsi maklumat serta amalan baik dalam menangani kesan pandemik.

Sumber: Bernama

ASEAN, Korea Selatan perlu perkukuh kerjasama transformasi digital


Content Type:

Duration:

Kerajaan meluluskan 40 projek berkaitan industri aeroangkasa dengan jumlah nilai pelaburan sebanyak RM3.8 bilion dari 2017 hingga Jun 2021, yang mewujudkan 4,563 peluang pekerjaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pekerjaan ini kebanyakannya pekerjaan berkemahiran tinggi diisi oleh juruteknik dan jurutera Malaysia, menerajui hala tuju ke hadapan untuk pekerjaan bernilai tinggi dan berkemahiran di negara ini.

“Pada masa depan, kerajaan akan terus menggalakkan dan memudahkan pelaburan langsung asing berkualiti tinggi ke Malaysia,” katanya dalam ucaptama pada webinar bertajuk ‘Memperkukuh Industri Aeroangkasa Malaysia dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)’ hari ini.

Katanya, seperti yang digariskan dalam rangka kerja Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), tumpuannya adalah menarik pelaburan berkualiti tinggi.

Mustapa turut menyatakan keyakinan bahawa industri aeroangkasa akan terus menjadi industri yang berkembang maju di Malaysia pada tahun-tahun akan datang walaupun pandemik COVID-19 memberi cabaran kepada negara.

Beliau berkata, trend menunjukkan Asia Pasifik mempunyai pertumbuhan tertinggi dalam penghantaran pesawat baharu untuk dekad akan datang, menjadi bukti kepada ekonomi rantau ini yang berkembang.

“Kerajaan melihat sektor swasta dan ahli akademik sebagai rakan pembangunan bersama. Kami telah menubuhkan unit pengurusan penyelidikan di Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk menyelaraskan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan bagi memastikan perbelanjaan tertumpu kepada hasil yang ketara,” katanya.

Beliau menambah, keupayaan logam keras yang semakin meningkat, seperti yang dapat dilihat daripada UMW Aerospace dan SAM Aerospace, kedua-duanya pakar dalam pembuatan komponen enjin, menunjukkan skop disiplin teknologi aeroangkasa yang dikuasai oleh Malaysia.

“Negara kini menempatkan lebih 230 syarikat berkaitan aeroangkasa yang menyokong rantaian bekalan Malaysia, menjana jumlah pendapatan sebanyak RM16.2 bilion pada 2019, menjadikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa kedua terbesar di Asia Tenggara,” katanya.

Di bawah RMK-12, industri aeroangkasa dijangka menjana pendapatan sebanyak RM30 bilion dan lebih 30,000 pekerjaan menjelang akhir 2025.

Mustapa berkata, strategi dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif seperti membangunkan ekosistem yang mampan, membentuk kluster, pengezonan aktiviti aeroangkasa dan mewujudkan sistem digital aeroangkasa serta menceburi tenaga mampan.

“Kami menjangka penyertaan dan kerjasama yang lebih besar daripada semua pihak berkepentingan, terutama dalam bidang pembangunan tenaga kerja, strategi dan pelaksanaan program serta pemindahan dan penciptaan teknologi,” katanya.

Mengenai masa depan, beliau berharap kepada penyertaan dalam aktiviti reka bentuk dan pembinaan program pesawat, bahagian dalam pembuatan aeroangkasa global serta pasaran penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dan keupayaan dalam integrasi avionik dan sistem yang lebih besar.

Sumber: Bernama

Nilai pelaburan industri aeroangkasa cecah RM3.8 bilion


Content Type:

Duration:

Xin Hwa Holdings Bhd, penyedia perkhidmatan logistik bersepadu menjangkakan prospek positif bagi industri itu pada masa depan susulan sokongan permintaan yang kukuh terhadap ruang gudang dan pemulihan segmen logistik di dalam dan luar negara.

Pengarah Urusannya Ng Aik Chuan dalam satu kenyataan hari ini berkata syarikat itu percaya ia berada di kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada prospek positif ini.

Beliau berkata, pusat e-penunaian baharu syarikat itu di Shah Alam yang disasar memulakan operasi pada bulan depan akan menambahkan lagi 300,000 kaki persegi atau 45.8 peratus kepada kapasiti gudang sedia adanya, meningkatkan jumlah ruang tersedia kumpulan kepada kira-kira 1.0 juta kaki persegi.

Menurut Ng, sekarang adalah masa yang sesuai bagi kumpulan untuk memanfaatkan  permintaan kukuh terhadap penyimpanan kerana gudang sedia adanya beroperasi hampir pada kapasiti penuh.

Beliau berkata lonjakan aktiviti membeli belah dalam talian berikutan pandemik COVID-19 dan sekatan pergerakan telah meningkatkan keperluan bagi ruang gudang.

Tambahan lagi, isu gangguan kontena perkapalan telah membawa kepada pergerakan perlahan kargo yang menyebabkan barangan perlu disimpan lebih lama di gudang, yang seterusnya memburukkan lagi masalah kekurangan ruang rumah gudang, katanya.

“Malahan, beberapa pelanggan berpotensi telahpun menghubungi kami untuk membincangkan untuk memajak ruang di pusat penunaian baharu kami. Oleh itu, kami menjangkakan kadar penggunaan gudang kami meningkat dengan kukuh dalam tempoh 12 bulan akan datang.

“Sementara itu, bagi segmen perkhidmatan pengangkutan darat kami, terdapat petanda kukuh pemulihan perlahan-lahan berikutan penyambungan semula aktiviti ekonomi di dalam negara,” katanya.

Menurut Kementerian Kewangan, keluaran dalam negara kasar (KDNK) perkhidmatan pengangkutan dan simpanan diunjur berkembang 7.5 peratus tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Selain itu, Ng berkata terdapat peluang besar yang boleh dimanfaatkan kumpulan apabila kerajaan dijangka melancarkan projek berkaitan prasarana dan pengangkutan mega baharu bagi merangsang ekonomi seperti Transit Aliran Berkapasiti Tinggi Lembah Klang dan menyambung semula projek mega lain termasuk Laluan Rel Pantai Timur, antara lainnya.

“Ini memberikan prospek baik bagi segmen perkhidmatan pengangkutan darat kumpulan pada masa depan,” katanya.

Sumber: Bernama

Xin Hwa jangka prospek positif susulan permintaan kukuh ruang gudang, pemulihan segmen logistik


Content Type:

Duration:

Negeri Sembilan dijangka menyumbang kira-kira 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menerusi projek Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0), kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata kerajaan negeri telah memohon daripada kerajaan Persekutuan supaya insfrastruktur seperti jalan, paip dan kemudahan lain diberi keutamaan.

“Perkara itu telah diutarakan ketika sesi perbincangan dan mesyuarat antara beberapa kementerian yang terlibat termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, pada Rabu.

Beliau berkata kerajaan negeri turut membincangkan mengenai pembangunan MVV di kawasan lain seperti di Port Dickson.

MVV 2.0 merupakan rancangan jangka panjang pembangunan Negeri Sembilan ke arah menjadi negeri maju yang memiliki pembangunan metropolis bertaraf dunia sekali gus memberi impak kepada ekonomi negara menerusi pelaburan tempatan dan antarabangsa.

Pembangunan berkeluasan 153,411 hektar tersebut merangkumi daerah Seremban dan Port Dickson.

MVV 2.0 menumpukan empat pemacu ekonomi iaitu industri berteknologi tinggi, industri perkhidmatan dan pelancongan, sektor pendidikan dan penyelidikan berasaskan kemahiran serta industri perkhidmatan khas atau aktiviti berkaitan hab logistik, penerbangan dan maritim.

Sumber: Bernama

N.Sembilan jangka sumbang 15 peratus kepada KDNK menerusi MVV 2.0 – Aminuddin


Content Type:

Duration:

Pelabur global dijangka menuju ke Asia berikutan prospek ekonomi di seluruh dunia diramal tidak menentu dengan pertumbuhan yang terjejas pada 2022 dan 2023, demikian menurut ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Shan Saeed menzahirkan keyakinan bahawa ekonomi global akan kembali kepada era stagflasi atau kemelesetan-inflasi pada 1970-an dengan kadar inflasi yang tinggi, pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan kadar pengangguran yang masih meningkat.

“Disebabkan pandemik COVID-19, kira-kira 100 hingga 300 juta orang telah terjerumus ke kancah kemiskinan, manakala 20 hingga 30 juta individu hilang pekerjaan di seluruh dunia.

“Oleh itu, kita berada dalam keadaan ekonomi yang rapuh dengan ketara pada 2022 dan 2023. Pemulihan ekonomi global dijangka mencatatkan pertumbuhan terjejas dengan kewangan yang tidak kukuh dan bazuka terhadap pasaran kewangan,” katanya kepada Bernama.

Beliau menegaskan dalam tempoh stagflasi, para pelabur kebiasaannya menumpukan kepada hartanah dan komoditi.

“Malaysia akan cenderung mendapat manfaat susulan harga minyak dan komoditi yang lebih tinggi, dijangka pada tahun depan.

“Juwai IQI menjangka keluaran dalam negara kasar akan berkembang antara empat dan lima peratus pada tahun depan,” katanya.

Malah, beliau berkata peluang pelaburan masih dilihat dalam sektor gas asli cecair (LNG), e-dagang, teknologi dan infrastruktur.

Katanya infrastruktur adalah satu-satunya strategi pelaburan yang berkesan untuk merangsang pertumbuhan di seluruh dunia.

“Semua penggiat utama bergerak ke ASEAN dan Malaysia kekal sebagai kisah pertumbuhan berikutan kestabilan makroekonomi dan keyakinan ekonomi di peringkat makro.

“Nilai keseluruhan projek infrastruktur dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) pada harga semasa bersamaan US$4.5 trilion dan Malaysia adalah pemain penting dalam BRI berikutan kedudukan geografi yang strategik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Centennial Asia Advisors Pte Ltd, Manu Bhaskaran berkata Asia Tenggara berada dalam kedudukan yang baik pada masa ini berikutan trend jangka panjang yang kekal menggalakkan.

Beliau berkata demikian dalam sesi panel pada Sidang Kemuncak Ekonomi dan Keusahawanan Asia 2021 hari ini.

Sidang kemuncak bertemakan ‘Membina Infrastruktur Mampan untuk Pertumbuhan Ekonomi’ itu, dianjurkan Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik dan pihak lain.

“Terdapat penyusunan semula dalam rantaian bekalan pengeluaran yang sebahagian besarnya akan memanfaatkan negara-negara di rantau ini. Meskipun dilanda COVID-19, kita menyaksikan adanya aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI).

“Malah, turut  dilihat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, seluruh sudut penawaran telah membuat pembaharuan di banyak negara di ASEAN, yang akan meningkatkan keberkesanan rantau ini melalui FDI,” katanya.

Beliau berkata perubahan dan penambahbaikan terkini bagi memudahkan urusan perniagaan, dan mengurangkan karenah birokrasi akan menyumbang kepada pelaburan dan pertumbuhan yang lebih besar.

Sumber: Bernama

Ahli ekonomi jangka pelabur global akan tertumpu ke Asia


Content Type:

Duration:

Ekonomi Malaysia dijangka kembali berkembang kukuh pada 2022, seiring dengan pemulihan ekonomi dan perdagangan dunia dalam tempoh separuh kedua 2021 dan tahun depan apabila lebih banyak negara mempergiat usaha vaksinasi.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang kedua, menurut Kementerian Kewangan (MOF),  pelaksanaan langkah rangsangan ekonomi secara berterusan akan menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dijangka kekal kukuh pada 6.0 peratus berdasarkan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa manakala 5.8 peratus menurut Bank Dunia.

“Sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, pemulihan Malaysia amat bergantung kepada pemulihan ekonomi global terutamanya rakan dagang utama negara,” katanya.

Dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mesyuarat itu diadakan buat kali kedua pada tahun ini bagi membincangkan keadaan ekonomi serta situasi fiskal semasa, unjuran fiskal jangka sederhana dan kedudukan hutang kerajaan Persekutuan.

Ahli jawatankuasa itu termasuklah Menteri Kewangan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi dan Gabenor Bank Negara Malaysia.

Menurut MOF, prospek pemulihan ekonomi dalam masa terdekat lebih memberangsangkan, disokong oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi secara sistematik di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk aktiviti sosial seperti makan di restoran dan pelancongan.

Katanya pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan dan bantuan yang tepat pada masanya turut memberikan pemangkin tambahan kepada pemulihan ekonomi yang ditunjukkan oleh indikator ekonomi yang lebih baik.

“Ini seperti pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bulanan kembali berkembang kukuh sebanyak 40.1 peratus dan 19.8 peratus pada April dan Mei 2021 berbanding penguncupan 28.8 peratus pada April 2020.

“Bagaimanapun, pertumbuhan KDNK bulan Jun merosot 4.4 peratus disebabkan impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula pada pertengahan Mei dan Fasa 1 PPN pada awal Jun,” katanya.

Selain itu, katanya pemulihan dalam pasaran buruh dengan kadar pengangguran berkurangan kepada 4.8 peratus pada Julai 2021 berbanding paras tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020 dan peningkatan jualan sektor pembuatan sebanyak 0.6 peratus kepada RM119.8 bilion pada Julai 2021 berbanding penguncupan 33 peratus pada April 2020.

Seterusnya peningkatan perdagangan luar dengan aktiviti eksport yang berkembang sebanyak 18.4 peratus kepada RM95.6 bilion pada Ogos 2021 manakala aktiviti import meningkat 12.5 peratus kepada RM74.2 bilion, katanya.

Menurut MOF, kenaikan Indeks Pelopor sebanyak 0.5 peratus pada Julai 2021 selepas merosot sebanyak 6.0 peratus pada April 2020 yang menunjukkan pemulihan ekonomi secara beransur-ansur dalam jangka pendek dan prospek ekonomi yang bertambah baik menjelang 2022.

Sumber: Bernama

Ekonomi Malaysia dijangka kembali berkembang kukuh pada 2022, sejajar dengan pemulihan ekonomi global – MoF


Content Type:

Duration:

Kerajaan akan terus menyokong pertumbuhan syarikat yang menjalankan perkhidmatan logistik bersepadu dengan menawarkan insentif Perkhidmatan Logistik Bersepadu (ILS) dan status Perkhidmatan Logistik Bersepadu Antarabangsa (IILS).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lim Ban Hong berkata berdasarkan rekod Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sejak 2006 sehingga Mac 2021, terdapat 271 syarikat sektor logistik di seluruh negara diluluskan insentif ILS, manakala 212 syarikat lagi diluluskan status IILS.

“Dalam perkara ini, terdapat dua syarikat dari Sabah telah diluluskan insentif tersebut, namun tiada syarikat dari Sabah yang memperolehi status IILS,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) mengenai usaha yang telah digerakkan bagi mewujudkan pelaburan baharu dalam bidang logistik di negeri Sabah.

ILS merujuk kepada syarikat yang melakukan pelbagai aktiviti perkhidmatan berkaitan logistik daripada hujung ke hujung seperti pengangkutan udara, laut, darat dan kereta api, pergudangan dan perkhidmatan serta tambah nilai lain yang membentuk keseluruhan pakej perkhidmatan logistik.

Mengulas lanjut, Lim berkata kerajaan melalui MITI dan MIDA juga telah mengadakan program libat urus dengan syarikat-syarikat logistik di Sabah untuk berkongsi maklumat mengenai fasiliti dan insentif yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Dari segi pembangunan infrastruktur, beliau berkata kerajaan Persekutuan telah menyalurkan dana di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) berjumlah RM395 juta untuk projek pembangunan Terminal Pelabuhan Kontena di Kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu.

Menurutnya ia boleh meningkatkan kapasiti pengendalian kontena sehingga 50,000 unit bersamaan kontena 20 kaki (TEU) setahun. Lim berkata di bawah RMK12, kerajaan Persekutuan dianggarkan memperuntukkan RM1.027 bilion bagi projek pembesaran Pelabuhan Sapangar Bay yang dijangka meningkatkan kapasiti pengendalian kontena sehingga 875,000 TEU setahun menjelang 2024.

Sumber: Bernama

Kerajaan terus menyokong perkhidmatan logistik bersepadu, tawarkan ILS, IILS


Content Type:

Duration:

Pihak Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menarik pelaburan berimpak tinggi bernilai RM2.34 bilion hasil kerjasama secara kolektif bersama lima lagi syarikat pelabur baharu di Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, ia sekali gus mencipta 4,400 peluang pekerjaan yang akan memacu pemulihan sosioekonomi negeri.

Katanya, pihaknya mengalu-alukan pelaburan oleh Eco Medi Glove Sdn Bhd, Onetexx Sdn Bhd, PNA Technologies Sdn Bhd, HICOM-Teck See Manufacturing (M) Sdn Bhd dan Dynacare Sdn Bhd.

“Bagi mempercepatkan proses pemulihan susulan pandemik COVID-19, kerajaan negeri Perak akan terus memfokuskan usaha menarik pelaburan strategik dan berimpak tinggi untuk menjana ekonomi termasuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu Negeri Perak (Mesyuarat JPN) di sini hari ini.

Saarani kemudiannya menyaksikan Majlis Komitmen Pelaburan Negeri Perak bersama NCIA secara maya.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengerusi Jawatankuasa Industri Pelaburan dan

Pembangunan Koridor negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan dan Pembangunan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria dan Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Saarani berkata, NCIA menjalin kerjasama yang lebih erat dengan Kerajaan Negeri Perak untuk merancang, melaksana dan menyelaras pembangunan di wilayah yang kurang membangun seperti di Kamunting, Kampung Gajah, Tanjung Malim dan Sitiawan.

Menurutnya, kerajaan negeri menggalakkan pelaburan bernilai tinggi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan terutama dalam aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), pendigitalisasi dan penerimagunaan teknologi baharu selaras dengan Pelan Pembangunan Perak 2040.

“Saya memohon NCIA agar dapat menarik lebih banyak pelaburan yang berimpak besar ke negeri ini. Negeri Perak perlu memberi tumpuan kepada pengeluaran produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk getah terutama sarung tangan.

“Ini memandangkan Perak mempunyai kelebihan dalam industri ini berbanding negeri lain. Promosi berkaitan pelaburan ke ini perlu diperluaskan agar menjadi destinasi tumpuan pelaburan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, ekosistem perniagaan dan infrastruktur yang komprehensif, jumlah tenaga kerja terlatih mencukupi, insentif fiskal menarik, NCIA sebagai pemudahcara pelaburan melalui pelbagai program insentif yang di tawarkan, syarikat yang melabur kini lebih yakin dengan keputusan untuk memperluas operasi di negeri ini.

Sementara itu, Jebasingam berkata, NCIA mengumumkan penambahbaikan kepada program insentif merangkumi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) Tax Incentives (NTax@NCER), NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) dan Dana Usahawan (DU@NCER) dalam usaha menyokong komuniti perniagaan di negeri ini dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19.

Katanya, melalui program DU@NCER, NCIA menyediakan geran pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di Perak bagi mengatasi implikasi ekonomi terkesan oleh pandemik.

“Sehingga kini, program DU@NCER sudah menyokong pembangunan 13 usahawan PKS tempatan dengan jumlah pelaburan baharu RM135 juta dan mewujudkan 520 peluang pekerjaan baharu.

“Bagi memastikan negeri Perak kekal stabil dalam pertumbuhan sosioekonomi, NCIA akan terus komited dalam melaksanakan program modal insan yang inklusif, holistik, dan berpaksikan rakyat dalam memacu pembangunan sosioekonomi masyarakat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

NCIA tarik pelaburan baharu RM2.34 bilion di Perak


Content Type:

Duration:

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) berjaya menarik pelaburan bernilai RM13 bilion, melepasi sasaran bagi 2021 iaitu sebanyak RM12 bilion walaupun masih berdepan cabaran pandemik.

Pelaburan itu dijangka akan mewujudkan lebih 10,600 peluang pekerjaan baharu serta 570 peluang keusahawanan di seluruh ECER.

“Kami mengambil peluang untuk bekerja dengan cara yang berbeza dan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri serta berbagai agensi seperti Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) dan juga Wakil Dagang Persekutuan Russia di Malaysia dalam menganjurkan webinar untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI).

“Pelaburan komited yang berjaya ditarik setakat ini adalah bukti kejayaan usaha Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC),” kata Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis ECERDC.

ECERDC akan meneruskan usaha dalam menarik pelaburan baharu melalui kerjasama dengan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang berkaitan untuk menyokong usaha menarik pelaburan ke wilayah ini dan ke Malaysia.

Bagi menjayakan usaha itu, kerajaan meneruskan dasar mesra pelabur dan melanjutkan Pakej Insentif ECER sehingga 31 Disember 2022 bagi pelabur di ECER.

Mesyuarat Majlis ECERDC yang diadakan secara maya dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Pengerusi Majlis.

Ia dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk

Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Pada mesyuarat itu, Perdana Menteri memuji inisiatif proaktif oleh Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES), kerjasama

antara ECERDC dan TUM International GmbH (TUMInt), anak syarikat universiti terkemuka Jerman, Technische Universität München (Universiti Teknikal Munich), dalam menyampaikan pengetahuan Industri 4.0 (I4.0) kepada pelajar Malaysia dengan membangunkan Aplikasi Web ACES I4.0.

Ismail Sabri yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis ECERDC diberi taklimat dan melihat testimoni Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0 yang telah diadakan di negeri ECER baru-baru ini.

Web aplikasi itu dibangunkan bagi mempersiapkan para pelajar untuk pekerjaan masa hadapan dengan meningkatkan kesedaran mengenai I4.0 dan melengkapkan bakat di ECER dengan kemahiran dan pengetahuan untuk memenuhi permintaan masa hadapan.

Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0 telah memberi manfaat kepada seramai 3,110 orang pelajar di serata ECER.

ECERDC sedang merancang untuk melancarkan program ini di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan ACES juga sedang dalam perbincangan dengan Kerajaan Negeri Johor mengenai program khusus bagi pelajar di Johor.

Sumber: Berita Harian

ECER tarik pelaburan RM13 bilion


Content Type:

Duration:

Kerajaan menawarkan insentif dalam bentuk pengecualian cukai langsung dan tidak langsung bagi aktiviti pemasangan atau pengilangan kenderaan elektrik (EV), pembuatan komponen serta pembangunan ekosistem seperti fasiliti pengecasan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara insentif yang dinikmati oleh pengeluar produk tulen adalah taraf perintis, elaun cukai pelaburan serta pengecualian duti import dan eksais.

“Malaysia mengambil pendekatan banding dan tawar dengan melaksanakan dasar yang komprehensif, jelas dan konsisten merangkumi keseluruhan rantaian bekalan industri EV serta memberi galakan dalam meningkatkan penggunaan EV.

“Manakala pesaing serantau memberi tumpuan insentif hanya kepada pengilang peralatan asal (OEM),” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamed Azmin berkata, Dasar Automotif Nasional telah menggariskan inisiatif khusus bagi memperkukuh ekosistem EV seperti pembuatan komponen kritikal, penetapan standard dan menggalakkan aktiviti pembangunan dan penyelidikan, pengkomersialan dan inovasi untuk membangunkan teknologi tempatan.

“Kementerian sedang memperhalusi cadangan pakej insentif untuk menggalakkan penggunaan EV yang antara lain pengecualian cukai jalan, pengecualian cukai pendapatan kepada individu yang memasang stesen pengecas EV dan juga insentif kepada pembeli EV melalui pelepasan cukai pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata salah satu fokus kerajaan dalam memulihkan ekonomi negara adalah pelaksanaan dasar-dasar perdagangan dan pelaburan yang terbuka dan mesra perniagaan.

Beliau berkata pelaksanaan dasar perdagangan dan pelaburan tersebut adalah termasuk meratifikasi Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Perjanjian perdagangan bebas ini akan berupaya mempertingkat pasaran eksport bagi produk tempatan melalui pengurangan atau penghapusan duti import di pasaran rakan dagang serta pengurangan halangan bukan tarif,” katanya.

Sumber: Bernama

Kerajaan tawar insentif untuk kenderaan elektrik


Content Type:

Duration:

Perak merekodkan prestasi pelaburan memberangsangkan dengan nilai sebanyak RM5.2 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, nilai pelaburan yang direkodkan dari Januari hingga Jun 2021 itu hampir menyamai prestasi nilai pelaburan keseluruhan sepanjang tahun lalu yang berjumlah RM5.6 bilion.

Menurutnya, peningkatan sebanyak 126 peratus itu menyaksikan Perak berada di landasan yang kukuh bagi memasuki fasa pemulihan ekonomi kesan pandemik Covid-19.

“Prestasi itu menunjukkan Perak masih mampu merekodkan peningkatan pelaburan meskipun berdepan persekitaran sangat mencabar susulan pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan terhadap perjalanan ekonomi utama di seluruh dunia.

“Pelaburan Januari hingga Jun 2021 di negeri Perak didominasi oleh projek-projek perkilangan apabila jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor itu adalah sebanyak RM4.06 bilion meliputi 21 buah projek,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Hadir sama, Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman.

Saarani berkata, antara projek terbesar yang telah diluluskan dalam sektor perkilangan di negeri ini sepanjang tempoh berkenaan termasuklah Sheng Long AquaTechnology (M) Sdn Bhd iaitu syarikat dari China yang mempunyai kepakaran di dalam bidang akuakultur dan makanan akuakultur berprestasi tinggi dengan nilai pelaburan RM3 bilion.

Menurut beliau, selain itu syarikat Eco Medi Glove dari Singapura yang menghasilkan sarung tangan, PNA Technologies Sdn Bhd yang merupakan syarikat pembuatan kelengkapan bagi industri automotif yang akan membuat pelaburan di Kampung Gajah dan beberapa syarikat lain.

Beliau berkata, bagi sektor perkhidmatan dan sektor utama pula, masing-masing mencatatkan jumlah pelaburan yang telah diluluskan sebanyak RM1.15 bilion dan RM22,000 melibatkan sebanyak 151 projek.

“Kelulusan pelaburan dalam semua sektor diunjur mewujudkan 4,162 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat negeri Perak dengan sektor perkilangan menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak 91.4 peratus.

“Kerajaan negeri akan terus menggiatkan usaha termasuk melipatgandakan kerjasama dengan pihak MIDA yang membantu memperkasakan proses perniagaan selain meningkatkan kecekapan pelbagai fungsi organisasi,” katanya.

Sementara itu, Arham berkata, terdapat juga permohonan pelaburan di negeri ini yang ditolak atas faktor-faktor tertentu.

Katanya, antara sebab permohonan tersebut ditolak kerana projek tersebut akan menjejaskan alam sekitar.

Sumber: Sinar Harian

Perak terima pelaburan RM5.2 bilion


Content Type:

Duration:

Hab perdagangan koko di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini, dilihat mampu menarik minat pelabur asing untuk melabur di Malaysia sekali gus menambah pendapatan negara. 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata buat masa sekarang,  Malaysia lebih banyak mengimport biji koko dari negara-negara Afrika dan memprosesnya dalam negara sebelum mengeksport kembali.

“Kita cuba lihat potensi untuk membawa pelabur luar masuk bagi memulakan syarikat atau kilang coklat di Malaysia dan menjadikan hab ini sebagai pusat pengedaran kepada Asean dan negara-negara lain,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat hab berkenaan di sini hari ini.

Buat masa ini, terdapat empat buah syarikat tempatan yang menjadikan PTP sebagai hab, antara lain melibatkan pengisaran biji koko sebanyak 460,000 metrik tan setahun. Zuraida berkata potensi besar dapat dilihat daripada segi pengisaran biji koko berbanding penanaman koko sendiri dalam negara memandangkan kerumitan dalam penanaman pokok itu. Di Malaysia hanya 5,200 penanam koko melibatkan anggaran pengeluaran sekitar 1,000 metrik tan.

“Industri koko telah menyumbang sebanyak RM6.2 bilion kepada pendapatan eksport negara pada 2020. Kementerian yakin unjuran pendapatan eksport negara pada tahun ini sebanyak RM6.5 bilion mampu dicapai,” kata Zuraida.

Sumber: Bernama

Hab perdagangan koko harap tarik pelabur asing


Content Type:

Duration:

Tiga universiti awam (UA) tempatan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk membantu graduan ijazah kejuruteraan masing-masing memperoleh peluang pekerjaan dengan syarikat asing.

Menerusi Program HyTalent Pusat Pembangunan Penilaian MIDA, UA yang berkolaborasi dengan lembaga itu ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman, berkata berdasarkan persefahaman itu, seramai 500 bakat tempatan daripada universiti terbabit akan dipadankan untuk menimba kemahiran serta pengalaman dalam syarikat asing selama setahun.

Beliau berkata, masa depan graduan yang menyertai program berkenaan ‘terjamin’ untuk memperoleh pekerjaan, sekali gus dapat membantu isu pengangguran.

“Bila bercakap mengenai peserta industri, kita bercakap terutamanya mengenai pelaburan terus asing (FDI) atau syarikat asing. Kita akan bawa mereka menyertai program ini. Mereka tahu apa jenis keperluan dan set kemahiran yang diperlukan untuk mengendalikan operasi.

“Saya yakin semua 500 pelajar akhirnya akan diambil bekerja oleh peserta industri yang menyertai program ini, sebab kami tahu apa keperluan industri kerana kami yang menarik pelaburan dan tahu jenis jurutera yang diperlukan, apa bentuk teknologi IoT (Internet Kebendaan) dan sebagainya.

“Dengan itu kami akan kenal pasti syarikat ini dan maklumkan kepada mereka. Saya yakin walaupun ini program perintis, selepas perbincangan panjang lebar dengan industri, teknologi dan institusi teknikal vokasional, kami percaya program ini akan berjaya, mereka (graduan) ini akan diambil bekerja,” katanya pada sidang media petang tadi.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani MoU Program HyTalent MADC dengan UKM, UTM dan UPM sambil disaksikan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Arham menjelaskan program yang dijangka bermula awal tahun depan itu akan menyediakan latihan selama enam bulan dari segi kepemimpinan dan enam bulan lagi, diletakkan untuk menimba pengalaman kerja dengan peserta industri.

Sekiranya program ini ‘berkesan’, beliau berkata, MIDA akan mempertimbang memperluaskan kerjasama dengan institusi pengajian lain termasuk swasta.

“Ini adalah program perintis. Kita mulakan dengan tiga universiti awam. Program ini bukan eksklusif tetapi terbuka kepada universiti lain.

“Selesai saja program ini, sudah semestinya kita akan buka kepada universiti lain sama ada universiti tempatan awam atau swasta. Kalau boleh nak rekrut lebih ramai (graduan),” katanya.

Sumber: Berita Harian

UA, MIDA meterai kerjasama bantu graduan kejuruteraan


Content Type:

Duration:

Kilang pembuatan Western Digital (WD) di Batu Kawan, Pulau Pinang menjadi fasiliti pertama di negara ini yang memperoleh status sebagai anggota World Economic Forum (WEF) Global Lighthouse Network.

WEF Lighthouse merupakan inisiatif oleh WEF dengan kerja­sama McKinsey & Company yang mengiktiraf penggunaan tekno­logi revolusi perindustrian keempat (IR4.0) oleh perusahaaan dan berjaya mencapai kemampanan operasi serta kecekapan produktiviti lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman berkata, kejayaan fasiliti Western Digital di Batu Kawan untuk menjadi sebahagian daripada 90 fasiliti pembuatan glo­bal yang turut mencapai status sama, merupakan pengiktirafan kepada ekosistem sektor pembuatan di negara ini.

“Pencapaian ini penting kerana­ ia meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang memiliki operasi pembuatan yang maju, malah membuktikan ke­tersediaan kita dari segi infra­struktur, sumber manusia dan polisi yang cukup kondusif bagi membo­lehkan WD mencapai status ini.

“Ia juga bakal menjadi contoh dan menetapkan penanda aras baharu kepada peneraju industri lain untuk memanfaatkan teknologi IR4.0 bagi menambah baik kecekapan dan kelestarian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan secara maya semalam.

Sementara itu, Naib Pre­siden Kanan Global Flash Back-End Ope­rations WD, KL Bock ber­kata, pihaknya bersedia berkongsi­ dengan pemain industri lain untuk memulakan transformasi ke arah penggunaan teknologi IR4.0 bagi mencapai standard global dalam pembuatan pintar.

Jelasnya, status tersebut memberi ruang kepada syarikat me­nyertai komuniti fasiliti pembuatan pintar dan rantaian nilai peneraju global, selain peluang untuk mene­roka potensi kerjasama.

“Tekanan dari segi kos dan produktiviti akan sentiasa wujud, persoalannya ialah bagai­mana kita menangani isu ini sambil mentransformasikan operasi bagi memberi lebih nilai kepada pemegang taruh,” ujarnya.

Sumber: Kosmo

Kilang WD capai pengiktirafan global


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menggesa perniagaan agar segera menugasi semula tenaga kerja, melancarkan model perniagaan baharu, meningkatkan produktiviti dan membangunkan lebih banyak strategi jangka sederhana dan jangka panjang sebagai mempersiapkan industri semikonduktor kepada normal baharu.

Timbalan Menteri MITI Datuk Lim Ban Hong berkata pemulihan jangka panjang yang mampan akan bergantung kepada langkah-langkah untuk melaksanakan orientasi semula dan inovasi perniagaan.

“Saya percaya usaha sinergi antara kerajaan dan persatuan industri untuk memanfaatkan ekosistem inovasi cip unik akan memudahkan kerjasama penyelidikan dan pembangunan yang lebih mantap dan memangkinkan inovasi baharu yang kritikal dalam teknologi semikonduktur.

“Kebangkitan semula industri semikonduktor akan lebih kukuh dan kekal sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia,” katanya dalam ucapan pembukaan beliau semasa merasmikan Forum E&E Nasional Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) 2021 yang diadakan secara maya, semalam.

Lim berkata beliau percaya Malaysia akan mencatatkan pemulihan ekonomi yang lebih kukuh dan mengunjurkan prospek pertumbuhan baik bagi industri semikonduktor ke arah penghujung tahun walaupun impak daripada pandemik COVID-19 telah menjejaskan dengan teruk ekonomi negara dan mengganggu rantaian bekalan industri.

“Kerajaan akan terus melibat urus dengan industri, dan kerajaan-kerajaan lain di sepanjang rantaian bekalan bagi memastikan gangguan minimum bekalan semikonduktor, memandangkan keunggulan Malaysia sebagai pembekal utama semikonduktor dunia.

“Sebarang langkah-langkah kesihatan awam akan diimbangi dengan impak ekonomi daripada langkah-langkah ini,” katanya.

Forum tahunan anjuran MSIA yang bertemakan ‘Fueling the Semiconductor Renaissance’ itu adalah bertujuan untuk mengumpulkan pakar-pakar dari Malaysia dan luar negara bagi membincangkan cabaran yang dihadapi oleh industri dan bagaimana Malaysia boleh terus mengembangkan sektor elektrik dan elektronik dan meningkatkan rantaian nilainya.

Sumber: Bernama

MITI Gesa Perniagaan Bersiap Sedia Mulakan Semula Perniagaan dalam Normal Baharu


Content Type:

Duration:

Peningkatan penyertaan dari kalangan syarikat tempatan dalam rantaian nilai industri elektrik dan elektronik (E&E) boleh melonjakkan lagi prestasi perdagangan Malaysia dan mengurangkan aliran keluar mata wang dalam bergerak ke hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sehingga kini, semakin banyak syarikat tempatan telah memulakan perniagaan mereka selepas memperoleh kemahiran teknikal dan pengetahuan semasa berkhidmat dengan syarikat multinasional (MNC).

“Sejak 50 tahun yang lepas, kita telah berjaya mewujudkan ekosistem E&E yang komprehensif, terutama untuk aktiviti pembuatan semikonduktor front-end hingga back-end. Sebahagian besar MNC telah memulakan operasi mereka di sini, termasuk syarikat gergasi industri seperti Intel dan ST Micro.

“Syarikat-syarikat Malaysia juga telah menjadi sebahagian daripada industri, menyediakan produk dan perkhidmatan yang diperlukan oleh MNC dan menjadi sebahagian daripada rantaian nilai global,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada penutupan Forum E&E Kebangsaan Malaysia 2021 yang diadakan secara maya hari ini.

Mustapa berkata pendedahan itu membolehkan pemain atau peserta Malaysia mengenal pasti peluang yang muncul dalam rantaian nilai E&E untuk menghasilkan keistimewaan mereka sendiri.

“Syarikat domestik kita telah memberikan perkhidmatan kepada pelanggan dalam segmen automotif, pengguna, pengurusan tenaga, perindustrian dan perubatan.

Mereka menyediakan perkhidmatan reka bentuk dan kejuruteraan; penyelesaian yang boleh disesuaikan mulai dari reka bentuk litar bersepadu (IC), kejuruteraan dan ujian; pembungkusan IC; serta pembuatan modul, peranti sistem dan produk siap,” katanya.

Bagaimanapun, Mustapa berkata seperti yang diketengahkan dalam Aiming High Report Bank Dunia baru-baru ini, Malaysia perlu menangani beberapa isu ketika negara dalam peralihan ke arah negara berpendapatan tinggi.

“Isu-isu ini termasuk kadar pertumbuhan ekonomi yang agak lebih perlahan berbanding kebanyakan negara lain yang telah pun mencapai status berpendapatan tinggi dalam beberapa dekad sebelum ini,’’ katanya.

Sekiranya dibandingkan dengan negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Mustapa berkata nisbah cukai Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rendah, perlindungan sosialnya yang tidak mencukupi dan prestasi yang agak lemah dari segi langkah-langkah yang berkaitan dengan pengurusan alam sekitar dan rasuah.

“Keutamaan kita adalah untuk membina semula dengan lebih baik – membangunkan semula ekonomi Malaysia, menempatkan ekonomi Malaysia pada landasan yang lebih kukuh dan membina ekonomi yang lebih kompetitif. Ekonomi global kini mengalami perubahan material dalam perdagangan, perkhidmatan, perjalanan, maklumat dan teknologi.

“Khususnya, rantaian bekalan global disusun semula dengan penyerantauan (regionalisation) yang lebih luas berserta pelbagai sokongan (multi-shoring) bagi mendukung peningkatan fokus terhadap daya tahan. Penyusunan semula seumpama itu akan menghadirkan cabaran dan peluang untuk Malaysia – terutama dalam sektor yang fokus pada eksport seperti industri E&E yang maju,” katanya.

Beliau berkata bahawa Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) akan memberi tumpuan kepada industri berpotensi tinggi seperti sektor elektrik dan elektronik canggih untuk memacu ekonomi ke hadapan dan mewujudkan peluang ekonomi.

“E&E telah dikenal pasti berdasarkan prospeknya dalam menghasilkan aktiviti dan produk tambah nilai yang tinggi, penggunaan teknologi canggih, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi, pekerjaan berkemahiran tinggi serta sumbangan mereka dalam mencapai agenda hijau.

“Kejayaan kita dalam mentransformasikan sektor E&E adalah salah satu faktor penentu utama Malaysia mencapai status berpendapatan tinggi,” tambahnya.

Dalam tempoh lapan bulan pertama 2021, eksport produk E&E Malaysia meningkat 18.8 peratus kepada RM283 bilion.

Sumber: Bernama

Peningkatan penyertaan tempatan dalam industri E&E mampu lonjakkan prestasi perdagangan – Mustapa


Content Type:

Duration:

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tiba di Frankfurt, Jerman, bersempena program Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala antara Malaysia dan penggerak kuasa ekonomi Eropah.

Misi yang bermula hari ini sehingga 21 Okt, 2021, akan turut meliputi Perancis dan United Kingdom (UK), demikian menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Di samping itu, negara-negara ini juga telah menggariskan dasar serta polisi untuk mencapai sasaran pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050 yang sejajar dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” kata kementerian itu.

Mohamed Azmin turut disertai oleh pegawai kanan MITI dalam misi tersebut yang bertujuan memaparkan dasar kerajaan Malaysia sebagai mesra perniagaan serta keupayaannya dalam bidang strategik seperti kemampanan, pembuatan tinggi dan Revolusi Perindustrian 4.0.

“Justeru, program TIM ini akan membabitkan sesi libat urus dengan pemimpin industri serta pelabur terkemuka Eropah dalam meninjau prospek perniagaan akan datang di Malaysia,” kata MITI.

Selain itu, Mohamed Azmin akan turut memanfaatkan sesi libat urus itu dengan berkongsi maklumat mengenai Pelan Pemulihan Negara, RMK12 dan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

Beliau dijadualkan bertemu dengan pihak Persatuan Persekutuan Pengurusan Bahan, Pembelian dan Logistik eV (BME) yang dianggotai oleh lebih 9,000 penggiat logistik di Jerman dan Eropah.

Mohamed Azmin juga akan menemui kalangan pemimpin automotif global, Porsche AG dan Daimler AG di Stuttgart yang terbukti mencatat kemajuan dalam pembangunan kenderaan elektrik (EV) yang selari dengan hala tuju Malaysia membabitkan bidang pertumbuhan baharu dengan penekanan dalam elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Pada 2020, Jerman merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia serta menjadi sumber kedua terbesar dari segi pelaburan langsung asing (FDI) dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah (EU).

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021, jumlah perdagangan dua hala dengan Jerman bernilai RM35.45 bilion (US$8.59 bilion) dengan eksport dan import masing-masing sebanyak RM18.75 bilion (US$4.55 bilion) dan RM16.70 bilion (US$4.05 bilion).

Sementara itu, dalam kalangan EU, Perancis merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dan sumber ketiga terbesar FDI pada 2020.

Malah, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021, jumlah keseluruhan perdagangan antara Malaysia dan Perancis mencecah RM8.37 bilion (US$2.03 bilion) manakala eksport ke Perancis mencecah RM3.64 bilion (US$0.89 billion) dan import pada RM4.73 billion (US$1.15 bilion).

Majoriti pelaburan Perancis di Malaysia merangkumi produk-produk bahan kimia dan barangan berasaskannya, jentera dan peralatan, kelengkapan pengangkutan serta produk petroleum.

Pada 2020, UK pula merupakan rakan dagang ke-18 terbesar Malaysia di peringkat global.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan UK bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini telah mencecah RM11.19 bilion (US$2.72 bilion) yang disumbangkan oleh eksport sebanyak RM6.52 bilion (US$1.58 bilion) dan import RM4.67 bilion (US$1.13 bilion).

Sumber: Bernama

Azmin, pegawai kanan MITI ke Eropah untuk misi dagangan, pelaburan


Content Type:

Duration:

Kerajaan negeri Sabah menyambut baik pelan syarikat hartanah terbesar di Taiwan, Sinyi Realty Group, untuk membina sebuah resort eko-pelancongan mewah bertaraf lima bintang dianggarkan bernilai lebih RM1 bilion di Pulau Mengalum, di sini.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata beliau gembira apabila syarikat hartanah tersebut memilih untuk melabur di Sabah berikutan pelancongan amat penting bagi negeri ini dan sektor tersebut telah dikenal pasti sebagai antara tiga teras utama dalam pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Sabah antara negeri paling indah di Malaysia dan kami mempunyai banyak untuk ditawarkan dari segi pelaburan dalam sektor pelancongan,” katanya dalam kenyataan sempena pertemuan dengan Sinyi Realty Group di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Beliau berkata sejajar dengan SMJ, beliau memberi jaminan kepada Sinyi Realty Group bahawa kerajaan negeri akan memberikan bantuan yang diperlukan untuk memudahkan pelaburan syarikat tersebut.

Terdahulu, Pengerusi Sinyi Group Chou Chun Chi menyatakan penghargaan kepada kerajaan negeri dan ketua menteri atas sokongan terhadap pelaburan dan pembangunan di Pulau Mengalum yang akan menguasai pasaran pelancongan mewah.

“Ia akan menyediakan kira-kira 2,400 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan dijangka membawa masuk 97,000 pelancong ke Sabah setiap tahun,” katanya.

Selepas memperoleh lebih daripada separuh pulau dengan nilai RM266 juta pada 2019, Sinyi Realty Group merancang untuk memulihkan bahagian pulau yang tandus dengan menanam semula pokok di kawasan tersebut dan terumbu karang di sekitarnya yang rosak akibat aktiviti bom ikan.

Pulau Mengalum pernah menjadi pusat kuarantin ternakan sehingga tahun 1997 dan sebelum pandemik COVID-19, pulau itu, yang kira-kira satu jam 15 minit perjalanan menaiki bot dari ibu negeri, amat popular dalam kalangan pelancong China.

Sumber: Bernama

Syarikat Hartanah Terbesar Di Taiwan Rancang Labur ebih RM1 Bilion Di Pulau Mengalum


Content Type:

Duration:

Kerajaan sedang berusaha untuk meratifikasikan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong.

Beliau berkata, buat masa ini draf pindaan ke atas Akta Paten 1983, Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Cap Dagangan 2019 di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang diperhalusi Jabatan Peguam Negara dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada akhir 2021.

“Ini perlu bagi memastikan ketiga-tiga akta ini sejajar dengan obligasi dan komitmen Malaysia di bawah perjanjian RCEP,” katanya pada persidangan Dewan Negara di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Lim Hui Ying mengenai maklumat terkini berkaitan ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan RCEP serta sama ada kerajaan berhasrat untuk meneruskan rundingan tersebut pada ketika ini.

Ban Hong berkata, pada 15 November 2020, RCEP telah ditandatangani 15 negara merangkumi 10 negara anggota ASEAN dan lima Rakan Dialog ASEAN iaitu Australia, China, Korea, Jepun dan New Zealand.

“Perjanjian RCEP hanya akan berkuat kuasa apabila sekurang-sekurangnya enam negara anggota ASEAN dan tiga rakan dialog ASEAN meratifikasikan perjanjian tersebut.

“Sehingga kini, China, Jepun dan Singapura telah meratifikasikan RCEP dan dijangka perjanjian ini mula berkuat kuasa pada Januari 2022,” katanya.

Mengenai CPTPP, beliau berkata, ia merupakan satu perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara 11 negara anggota di rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia yang telah ditandatangani pada 8 Mac, 2018.

“Perjanjian CPTPP telah mula berkuat kuasa secara berperingkat sejak Disember 2018 bagi Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura, Vietnam dan Peru. Baki tiga negara anggota iaitu Brunei Darussalam, Chile dan Malaysia masih belum meratifikasikan dan menguatkuasakan CPTPP.

“Kerajaan telah mempergiatkan usaha bagi melengkapkan pindaan ke atas akta-akta yang berkaitan bagi membolehkan Malaysia meratifikasikan CPTPP,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, enam akta telah diluluskan di Parlimen manakala baki lapan akta yang masih perlu dipinda dan diluluskan di Parlimen adalah Akta Kerja 1955, Akta Kesatuan Sekerja 1959, Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) di bawah Kementerian Sumber Manusia.

“Bagi KPDNHEP iaitu Akta Petunjuk Geografi 2000, Akta Paten 1983 dan Akta Hak Cipta 1987 manakala Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Sumber: Bernama

Kerajaan dalam usaha ratifikasi RCEP: Timbalan Menteri


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menerusi pusat sehentinya yang berusia setahun One Stop Centre (OSC) bagi Pengembara Perniagaan telah mempermudahkan 1,120 syarikat dan 2,822 pengembara perniagaan jangka pendek (STBT) dengan nilai pelaburan RM121.37 bilion.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata pusat itu yang ditubuhkan pada 2 Okt tahun lepas telah memudahkan proses permohonan kemasukan dan pergerakan pengembara perniagaan di Malaysia.

“OSC adalah pencetus perubahan bagi pelabur baharu untuk menjalankan aktiviti perniagaan baharu dan yang sedia ada bagi mengembang atau mempelbagaikan operasi sedia ada mereka,” katanya dalam ucapan pembukaan beliau pada satu webinar mengenai OSC bagi Pengembara Perniagaan.

Webinar yang berlangsung selama tiga hari itu bertujuan untuk mewujudkan kesedaran mengenai program OSC untuk memudahkan pergerakan STBT dengan mempercepat kelulusan kemasukan mereka ke Malaysia.

Menurutnya, MIDA terus mengalu-alukan pelabur untuk menjalankan perniagan di Malaysia di tengah-tengah pandemik dan Malaysia kekal berada di landasan pemulihan ekonomi dan pertumbuhan di samping mengimbangi antara melindungi kesihatan awam dan mata pencarian.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (bahagian tenaga kerja) Afidah Mastor berkata daripada 2,822 penilaian bagi STBT, 2,121 (75 peratus) telah diluluskan, manakala 580 (21 peratus) ditolak dan 121 (4 peratus) masih menunggu keputusan.

“Bagi pengembara perniagaan jangka panjang, MIDA telah menilai 18,659 pengembara dan 90.8 peratus tela diluluskan manakala 9.2 peratus ditolak,” katanya.

Afidah berkata enam negara utama yang memohon di bawah program tersebut ialah Jerman, jepun, Amerika Syarikat, Indonesia, China dan Korea Selatan.

Sumber: Bernama

Permudah kebenaran masuk pelaburan, syarikat asing


Content Type:

Duration:

wpChatIcon