2021 Archives - Page 11 of 33 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Greatech kembangkan operasi di Pulau Pinang

Kilang baharu bernilai RM51 juta milik penyedia penyelesaian automasi kilang, Greatech Technology Bhd di Batu Kawan, Pulau Pinang membuktikan komitmennya untuk kekal bertapak di Pulau Pinang sekali gus menyokong pertumbuhan pekerjaan bagi wilayah utara Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Greatech, Datuk Tan Eng Kee, berkata projek peluasan itu bertujuan bergerak ke arah masa depan ekonomi yang cerah untuk perniagaan, pekerja, pihak berkepentingan dan penduduk sekitar.

Beliau berkata, kilang baharu yang merangkumi bangunan pejabat dan pengeluaran moden seluas 265,000 kaki persegi serta boleh menempatkan sehingga 500 pekerja itu didirikan di kawasan seluas 2.83 hektar.

Katanya, lokasinya yang strategik, akan membantu dalam mempercepat tempoh penghantaran kepada pelanggan dan menyokong pertumbuhan mampan untuk masa depan.

Ia katanya terletak tidak jauh dari dua kilang pembuatan baharu Greatech yang lain di Batu Kawan dan berdekatan dengan ibu pejabat korporat kumpulan di Bayan Lepas.

Pembinaannya katanya dijadualkan selesai pada April 2022 dan dirancang untuk sedia dihuni pada Mei tahun yang sama.

“Pada pertengahan 2022, kapasiti bangunan syarikat akan mencatatkan peningkatan yang agak besar iaitu kepada 1,100,000 kaki persegi dengan kapasiti tenaga kerja 1,200 orang untuk memanfaatkan peluang yang lebih baik dengan pelanggan sedia ada dan baharu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata kehadiran Greatech dalam arena teknologi semakin meluas sejak syarikat itu memulakan operasi pada 1997 dan ia telah membantu menarik perniagaan dan pelaburan asing ke negara ini.

“Berasaskan kedudukan Greatech bahawa pekerjaan bernilai tinggi seperti kerja reka bentuk dalam bidang automasi mesti dihasilkan secara tempatan di Malaysia, saya yakin penglibatan mereka dalam pasaran asing akan memberi faedah kepada negara.

“Ini terutama ketika warga kita dapat memanfaatkan perkongsian dan pendedahan teknologi pada platform antarabangsa,” katanya.

Sumber: Bernama

Greatech kembangkan operasi di Pulau Pinang


Content Type:

Duration:

Ekonomi digital, Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan pelaksanaan pembangunan mampan adalah ‘bahagian utama dengan potensi ekonomi yang belum dimanfaatkan’ dalam perdagangan dua hala antara Malaysia dan China, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ketiga-tiga bahagian ini mempunyai potensi ekonomi yang belum dimanfaatkan walaupun pelaburan dan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara berkembang pesat sejak 2009, yang mana China terus menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia, menyumbang 18.6 peratus daripada jumlah perdagangan pada 2020.

Ismail Sabri berkata demikian dalam ucapan pembukaan beliau semasa majlis pembukaan Pameran Import dan Eksport China ke-130 (Pameran Canton) yang diadakan secara maya, di sini pada Khamis.

Menyentuh mengenai ekonomi digital, beliau berkata, Malaysia telah melancarkan inisiatif MyDIGITAL awal tahun ini untuk mempercepat lagi transformasi digital negara. 

Inisiatif tersebut yang disasarkan menarik pelaburan digital domestik dan juga antarabangsa bernilai US$17.32 billion (US$1= RM4.15), akan dilaksanakan menerusi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, dan berfungsi sebagai sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk mempercepat kemajuan negara sebagai ekonomi maju dari segi teknologi menjelang 2030, katanya.

Mengenai 4IR, Ismail Sabri berkata, Malaysia telah memulakan usaha ke arah pendigitalan yang lebih meluas dengan lebih banyak usaha akan dilaksanakan seperti memanfaatkan sinergi kedua-dua dunia fizikal dan digital untuk meningkatkan daya saing Malaysia.

“Atas alasan ini, kami telah melancarkan 4IR, yang dibangunkan berdasarkan kepada pendekatan keseluruhan negara menerusi perkongsian rakyat-swasta-awam.

“Ini termasuk membangunkan prasarana yang bersandarkan 4IR bagi penggunaan teknologi lebih meluas di samping melaksanakan pendekatan kawal selia yang efektif, yang mana kesemuanya bertujuan memenuhi keperluan perniagaan dalam ekonomi digital serta mempercepat inovasi dan adapasi dalam teknologi,” katanya. 

Mengenai pelaksanaan pembangunan mampan, perdana menteri berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang dibentangkan baru-baru ini, ‘kemampanan sumber tenaga telah dikenal pasti sebagai satu daripada faktor utama dalam dimensi pemerkasaan ekonomi’.

“Antara lainnya, dimensi ini termasuk ekonomi berpaksikan rakyat, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan menangani perubahan iklim,” katanya. 

Ismail Sabri berkata bahagian-bahagian itu telahpun menjadi tonggak dasar perdagangan dan ekonomi China selama bertahun-tahun ini dan ia juga diterapkan dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta Rancangan Lima Tahun Ke-14 China. 

“Malaysia, yang menjadi satu daripada antara negara pertama yang menyokong BRI yakin bahawa inisiatif strategik dan berpandangan kehadapan ini akan membuka lebih banyak peluang kesalinghubungan. 

“Kami percaya persefahaman bersama ini akan mewujudkan kemungkinan baharu bagi pertumbuhan dan pembangunan di seluruh Asia Pasifik, Afrika serta Eropah Tengah dan Eropah Timur,” katanya. 

Tahun lepas, eksport Malaysia ke China berkembang 11.1 peratus kepada US$37.77 bilion, dan China juga merupakan sumber import terbesar Malaysia, menyumbang 21.5 peratus daripada jumlah import. 

“Begitu juga dalam pelaburan, China telah menjadi pelabur utama di Malaysia dengan pelaburan berjumlah US$4.41 bilion tahun lepas dan kedudukan ini kekal selama lima tahun lepas sejak 2016,” katanya.  

Beliau juga berkata 71 projek pembuatan dari China diluluskan pada 2020 yang dijangka menjana lebih daripada 10,000 peluang pekerjaan di Malaysia. 

Sumber: Bernama

Ekonomi digital, 41R, potensi yang belum dimanfaatkan dalam perdagangan Malaysia-China


Content Type:

Duration:

Malaysia kini bersedia untuk kembali ke landasan sebagai hab pelaburan bagi pelabur serantau dan antarabangsa, disokong kaedah yang kreatif dan inovatif dalam menggalakkan pelaburan yang dilaksanakan kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata matlamat tersebut boleh dicapai melalui kerjasama yang berterusan dengan semua anggota Keluarga Malaysia dan gelembung selamat bagi semua perniagaan dengan melaksanakan norma baharu yang wajar, setakat ini.

“Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) telah menggariskan sembilan bidang tumpuan dalam merancakkan semula pelaburan Malaysia antaranya memberikan nafas baharu kepada pertumbuhan ekonomi, memperkukuh pengupaya ekonomi, menaik taraf keselamatan sosial, menghapuskan kemiskinan tegar dan mengecilkan jurang pendapatan di seluruh negara.

“Keunikan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dengan kepelbagaian strata sosial telah sekian lama menyediakan peluang kepada pelabur. Perbezaan bangsa misalnya, memerlukan set keperluan yang berlainan. Dari sudut pemahaman lain, lebih banyak produk dan perkhidmatan berpotensi untuk dipasarkan di negara ini,” katanya dalam rakaman awal ucap tama beliau bersempena program Siri Maya 1 Invest Malaysia 2021, hari ini.

Perdana menteri juga menyifatkan Malaysia menyediakan persekitaran yang kondusif kepada komuniti perniagaan untuk melabur, termasuk sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN menerusi Perjanjian Perkongsian  Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Dalam kalangan 15 negara RCEP itu sendiri menjana hampir 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Malah, telah dianggarkan bahawa keseluruhan agregat pendapatan KDNK itu akan meningkat sebanyak US$174 bilion menjelang 2030.

“Ini akan memberi peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kita untuk meningkatkan persaingan di samping memudahkan akses ke pasaran serantau yang lebih luas.

“Iklim pertumbuhan ini diperkukuhkan lagi dengan peningkatan Malaysia yang konsisten dalam bidang infrastruktur digital. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia telah menyaksikan pertumbuhan pantas dalam ekonomi digital, perniagaan dalam talian dan transaksi tanpa tunai,” katanya.

Di peringkat antarabangsa, Ismail Sabri berkata Malaysia kekal sebagai pemain aktif dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik, kerjasama ekonomi antarabangsa yang menawarkan lebih 500 juta penyertaan dengan nilai gabungan KDNK sebanyak US$10 trilion. 

Sementara itu, perdana menteri menyifatkan komponen penting bagi masa depan negara terletak kepada Rangka Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara.

Jelas beliau, kedua-dua aspek tersebut juga adalah sejajar dengan Dasar Sains, Teknologi Dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 yang bertujuan membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

“Menerusi 4IR, kita menyasarkan untuk mewujudkan satu ekosistem dalam ekonomi yang diterajui oleh sains, teknologi dan inovasi. Ia akan memudahkan pembangunan teknologi tempatan dengan mewujudkan peluang ekonomi dan melahirkan bakat atau tenaga kerja dalam bidang seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet Benda (IoT) dan Teknologi Blockchain.

“Malah, dengan adanya MyDIGITAL ini, aspek pembuat keputusan akan menumpukan usaha membangunkan infrastruktur dan modal insan. Ini akan memastikan akses lebih meluas dan pengoptimuman penggunaan generasi teknologi baharu,” kata beliau.

Bagi mencapai sasaran tersebut, perdana menteri berkata kerajaan telah mengenal pasti strategi utama serta penting untuk usaha pembaharuan ekonomi yang diwujudkan bagi memacu pemulihan ekonomi dan mempertingkat landskap kompetitif negara di mata pelabur dan meningkatkan penyertaan pelabur serantau dan antarabangsa.

“Malaysia telah memberi perhatian khusus terhadap teknologi hijau dalam 4IR. Masa depan kita juga adalah berkait rapat dengan keadaan alam sekitar. Sejajar dengan tindakan semakin banyak negara melaksanakan matlamat neutral karbon, Malaysia juga telah mula menggalakkan pelbagai sektor dan industri untuk bertindak memajukan teknologi yang bersesuaian.

“Berikutan itu, Bursa Malaysia dan pelbagai kementerian kini giat menumpukan kerjasama secara konsisten untuk melancarkan pasaran karbon secara suka rela dalam peralihan kepada ekonomi karbon sifar,” katanya.

Setakat ini, Ismail Sabri berkata kalangan awam dan sektor swasta juga bekerjasama dari segi wawasan dan strategi bersama untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mesra alam sekitar.

“Kita menyasarkan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara neutral karbon seawal-awalnya pada 2050,” katanya. 

Sumber: Bernama

Malaysia sedia kembali sebagai hab pelaburan serantau, antarabangsa


Content Type:

Duration:

Eksport Malaysia ke China pada tahun lalu berkembang sebanyak 11.1% merangkumi AS$37.77 bilion (RM156.9 bilion), manakala China menjadi pelabur tertinggi di Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak AS$4.41 bilion (RM18.32 bilion) tahun lalu dan kedudukan itu kekal sejak 2016.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 71 projek pembuatan dengan penyertaan China diluluskan pada tahun lalu dan dijangka menjana lebih 10,000 peluang pekerjaan di Malaysia.

”Sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Malaysia menyokong semangat kerjasama kedua-dua negara untuk masa depan yang lebih baik,” katanya dalam ucaptama majlis pembukaan Pameran Import dan Eksport China (Canton Fair) ke-130 secara maya hari ini.

Perdana Menteri berkata, ekonomi digital, Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR) dan pembangunan lestari antara potensi ekonomi yang boleh dimanfaatkan dalam hubungan dua hala di antara Malaysia dan China.

Ismail Sabri berkata, tiga bidang terbabit antara potensi yang belum diterokai sepenuhnya walaupun pelaburan dan perdagangan dua negara semakin berkembang sejak 2009.

Katanya, China terus menjadi rakan perdagangan terbesar negara merangkumi 18.6% daripada jumlah keseluruhan pada tahun lalu.

“Bagi memacu transformasi digital, Malaysia pada awal tahun ini melancarkan inisiatif MyDIGITAL yang menjadi sebahagian perancangan kerajaan meningkatkan kemajuan negara dalam ekonomi teknologi berdaya tinggi menjelang 2030.

“Inisiatif ini dilaksanakan menerusi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia. Antara lain MyDIGITAL menyasarkan untuk menarik kira-kira AS$17.32 bilion pelaburan digital tempatan dan luar negara,” katanya.

Ismail Sabri berkata, Malaysia turut melancarkan Dasar 4IR sebagai platform menuju ke arah digitalisasi yang lebih luas dalam mengimbangi sinergi dunia digital dan fizikal, untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya saing berdasarkan pendekatan menyeluruh perkongsian masyarakat, swasta dan awam.

“Ia termasuk membangunkan infrastruktur berasaskan 4IR bagi penggunaan teknologi yang lebih luas. Semua ini untuk memenuhi keperluan perniagaan dalam ekonomi digital, selain memacu inovasi dan adaptasi teknologi.

“Ketiga ialah mengadaptasi pembangunan lestari. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kelestarian sumber tenaga dikenal pasti sebagai satu faktor utama dalam dimensi pemerkasaan ekonomi. Dimensi ini merangkumi tumpuan ekonomi, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan mitigasi perubahan iklim,” katanya.

Perdana Menteri berkata, tiga bidang terbabit menjadi dasar perdagangan dan pelaburan China sejak dahulu dan termaktub dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

“Malaysia antara negara pertama yang menyokong BRI dan kami menegaskan keyakinan ini inisitif strategik dan berpandangan ke hadapan,” katanya.

Sumber: Dagang News

Eksport Malaysia ke China berkembang 11.1%, China kekal pelabur tertinggi negara sejak 2016


Content Type:

Duration:

Malaysia akan terus mensasarkan pelaburan berorientasikan teknologi maju berkualiti tinggi dalam bidang pertumbuhan baharu yang juga memfokuskan kepada kemampanan jangka panjang bersesuaian dengan inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pelaburan baharu berasaskan kepada elemen itu akan mendorong pertumbuhan di sektor teknologi yang canggih.

“Seperti yang termaktub dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), penekanan khusus diberikan kepada elemen ESG sebagai lesen baharu untuk beroperasi kerana tiada lagi banyak alternatif, ia mendapat permintaan daripada pengguna dan pelabur.

“ESG akan membentuk perniagaan menjadi pemangkin untuk menangani krisis iklim dan cabaran dan peluang yang wujud akibat perubahan iklim,” katanya dalam ucapan yang dirakam lebih awal pada ‘Invest Malaysia 2021 Virtual Series 1’, hari ini.

Beliau berkata dengan asas ekonomi Malaysia yang kukuh, kerajaan yakin kepada prospek pemulihan yang mampan, pertumbuhan ekonomi yang saksama dan kemakmuran bersama.

“Kami berazam untuk mencapai semua ini melalui kerjasama, perkongsian dan semangat yang diharapkan bukan hanya dicapai Malaysia atau ASEAN tetapi di seluruh dunia, menuju bersama ke arahan masa depan lebih cerah,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan juga akan terus memperkukuhkan asas ekonomi Malaysia melalui pelaksanaan dasar perdagangan dan pelaburan yang terbuka, telus dan mesra perniagaan.

Beliau berkata, ia termasuk usaha yang sedang dilakukan oleh kerajaan untuk meratifikasi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Seperti negara lain di seluruh dunia, ekonomi kita telah dilanda oleh serangan pandemik COVID-19.

“Bursa Malaysia telah melalui waktu susah dan senang, memetik pepatah Inggeris – ‘we have taken the beating on the chin’ (Malaysia menghadapinya dengan berani tanpa merungut), akhirnya Malaysia terus berada dalam kedudukan kukuh, ia satu pencapaian,” katanya.

Beliau berkata, bagi menyediakan asas yang kukuh tetapi fleksibel adalah untuk melabur bagi keuntungan strategik jangka panjang kerana Malaysia memerlukan kemasukan aliran modal yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi.

“Justeru, kami mengutamakan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) kerana ia jelas memberi kesan positif kepada pertumbuhan,” katanya.

Mengenai sektor perdagangan, Azmin berkata, jumlah perdagangan pada Ogos 2021 mengalami trajektori menaik, berkembang 15.7 peratus kepada RM169.8 bilion dengan eksport tumbuh sebanyak 18.4 peratus dengan mencapai RM95.6 bilion.

“Pada separuh pertama 2021, FDI melonjak 223.1 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada 2020. Malaysia mencatatkan RM107.5 bilion daripada jumlah FDI dan DDI yang diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer, hampir 70 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, pelaburan itu membabitkan sebanyak 2,110 projek dan ia dijangka menghasilkan 45,000 peluang pekerjaan.

Mohamed Azmin berkata, semakin banyak projek berintensifkan modal yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan membantu mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan bernilai tinggi dan berkemahiran.

“Malaysia terus menarik pelaburan bernilai tinggi dan berteknologi tinggi menerusi pekerja berkemahiran tinggi dan kesediaan menggunakan teknologi maju untuk industri tambah nilai,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia sasar pelaburan teknologi maju – Azmin


Content Type:

Duration:

Kelonggaran langkah membendung penularan pandemik susulan kadar vaksinasi yang tinggi membuka lembaran baharu proses pemulihan ekonomi Malaysia pasca COVID-19 dengan unjuran pertumbuhan lebih mantap menuju ke hadapan, demikian kata penganalisis.

Sebahagian besar penganalisis berpandangan, kebenaran merentas negeri, kadar vaksinasi yang tinggi dan pengurangan kes COVID-19 akan merangsang perbelanjaan domestik dan pekerjaan, sekali gus menyokong pertumbuhan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pihaknya menjangkakan pertumbuhan ekonomi bagi 2021 adalah 4.2 peratus, manakala bagi 2022 pula, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bakal meningkat lagi sebanyak 5.3 peratus.

Beliau berkata, ia bererti proses pemulihan ekonomi bakal berlangsung dan kebenaran untuk merentasi negeri sudah pasti akan membantu dalam merealisasikan jangkaan pertumbuhan yang lebih baik tahun hadapan.

“Kedua-dua enjin pertumbuhan iaitu sektor luaran dan ekonomi domestik akan bergerak lebih aktif sejajar dengan proses pembukaan ekonomi,” katanya kepada BH bagi mengulas mengenai lembaran baharu pemulihan ekonomi Malaysia dengan pelonggaran langkah membendung pandemik.

Dari sudut politik, Mohd Afzanizam berkata, secara ketaranya ialah dari segi merangka dasar dan melaksanakan dasar yang bakal dan telah diumumkan.

Beliau berkata, dalam hal itu sumber ekonomi termasuklah kerajaan sememangnya terhad, justeru perkara berkenaan memerlukan suatu kebijaksanaan dan ketegasan dalam melaksanakan satu dasar terutamanya yang berkaitan reformasi struktur ekonomi.

“Akan ada perkara yang kurang popular seperti pelaksanaan cukai baharu dan penjajaran dalam perbelanjaan kerajaan perlu dilakukan bagi memastikan sumber yang terhad dapat diagihkan ke tempat yang lebih produktif,” katanya.

Ahli Ekonomi MIDF Research, Abdul Mui’zz Morhalim pula berkata, pihaknya menjangkakan prospek pemulihan ekonomi yang lebih memberangsangkan pada suku keempat 2021 berikutan aktiviti perbelanjaan dalam negeri diunjur bertambah baik apabila ekonomi negara dibuka semula termasuk kebenaran merentas negeri.

Beliau berkata, secara umumnya, pelonggaran kawalan pergerakan bagi individu yang telah divaksin penuh adalah seperti dijangka berikutan kadar pemberian vaksin yang menggalakkan dan situasi COVID-19 di Malaysia yang dilihat bertambah baik.

“Kami berpendapat ekonomi negara mampu berkembang sebanyak 4.6 peratus bagi tahun ini disokong pertumbuhan ekonomi yang akan kembali meningkat bagi suku keempat 2021.

“Momentum pertumbuhan yang lebih baik ini dijangka akan terus berlanjutan ke tahun hadapan disokong kenaikan permintaan luar negeri serta peningkatan aktiviti perbelanjaan domestik yang dijangka akan lebih baik berbanding tahun ini,” katanya.

Namun begitu, Abdul Mui’zz berkata, terdapat juga faktor yang boleh menjejaskan pemulihan ekonomi iaitu pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan kerana ia akan mempengaruhi prestasi eksport dan aktiviti pembuatan.

Selain itu, beliau berkata, pemulihan pasaran pekerjaan yang lembap pula akan menjejaskan pemulihan perbelanjaan domestik kerana paras pengangguran masih berada paras yang tinggi berbanding sebelum pandemik COVID-19 bermula.

Mengenai politik pula, ahli ekonomi itu menjelaskan, suasana politik tempatan buat masa ini secara umumnya tidaklah begitu membimbangkan berbanding beberapa bulan sebelum ini.

Namun, katanya, sebarang perubahan situasi politik akan terus dipantau sekiranya ia bakal menjejas hala tuju dan pelaksanaan dasar ekonomi negara selain memberi kesan langsung yang ketara terhadap prestasi pemulihan ekonomi negara umumnya.

Sementara itu, RHB Research dalam nota penyelidikannya berkata, dengan Malaysia beralih kepada keadaan politik yang lebih stabil dan kekangan COVID-19 yang mengurang, kadar vaksinasi yang tinggi membantu mempercepat proses normalisasi.

Malah, penganalisis ekonomi RHB juga telah mengekalkan KDNK sebanyak 5.4 peratus bagi 2021, mengatasi unjuran rasmi kerajaan 3.0 peratus hingga 4.0 peratus.

Bagi tahun depan pula, dengan faktor yang lebih positif dan dinamik, ia menjangkakan KDNK Malaysia bagi 2022 ialah 5.5 peratus.

Sementara itu, Affin Hwang Investment Bank dalam nota penyelidikannya pula menjangkakan kerajaan akan membuka semula sempadan untuk pelancong asing pada suku pertama 2022 berikutan kadar vaksinasi di negara ini yang tinggi dan juga kemajuan kadar vaksinasi di negara jiran.

Ia berkata, pelonggaran sekatan pergerakan bagi rakyat Malaysia yang mendapat vaksin penuh diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad sangat mengejutkan terutama membabitkan pemansuhan sekatan bagi perjalanan antarabangsa yang mana sebelum ini, pihaknya menjangkakan kerajaan hanya membenarkan perjalanan antarabangsa pada suku pertama 2022.

“Dengan mempertimbangkan kenyataan Perdana Menteri, kami jangka pembukaan semula (sempadan) untuk pelancong asing akan beransur-ansur, bersasar dan kelulusan kemasukan akan bergantung kepada situasi COVID-19 dari negara asal,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Pelonggaran sekatan buka lembaran baru pemulihan ekonomi


Content Type:

Duration:

Kerajaan komited menyediakan peruntukan bagi melaksanakan projek berimpak tinggi sekurang-kurangnya 50 peratus daripada peruntukan pembangunan asas di Terengganu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ia bagi meningkatkan kesinambungan dan akses yang lebih baik kepada infrastruktur asas, ameniti dan perkhidmatan.

“Beberapa projek sambungan akan diteruskan antaranya Hospital Kemaman dan Hospital Dungun serta projek berkaitan tebatan banjir.

“Selain itu, beberapa perkara yang dikemukakan oleh kerajaan Terengganu ialah berkaitan pembangunan pulau-pulau termasuk bekalan elektrik, pertanian dan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup sesi libat urus pasca-Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bersama kerajaan negeri Terengganu di sini semalam.

Terdahulu, beliau mengadakan sesi libat urus pasca-RMK12 secara hibrid bersama pegawai kanan kerajaan negeri, di Wisma Darul Iman di sini.

Selain itu, Mustapa berkata kerajaan juga akan meneruskan projek pembangunan taman industri polimer di Kerteh, Dungun; pembangunan lembangan sungai bersepadu di Kemaman, pemuliharaan muara sungai di Besut, Dungun dan Setiu.

Projek tebatan banjir Kuala Terengganu Utara, naik taraf jalan persekutuan Chukai ke Kemaman, projek jalan raya Simpang Pulai-Gua Musang-Kuala Berang dan pembangunan kawasan tanaman getah pekebun kecil juga akan diteruskan.

Beliau berkata peruntukan awal kerajaan pusat untuk pembangunan negeri Terengganu pada tahun ini ialah sebanyak RM1.36 bilion namun tidak dapat dibelanjakan sepenuhnya kerana berlaku pandemik COVID-19.

Ditanya mengenai jumlah peruntukan yang bakal diterima oleh Terengganu pada tahun depan pula, Mustapa berkata ia akan diperincikan dalam pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Okt ini.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri berterima kasih dengan komitmen kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit yang melambatkan sebarang projek seperti isu tanah dan isu kelulusan PBT (pihak berkuasa tempatan).

“Kita berharap ia dapat dipercepatkan supaya kita dapat mengurangkan kerenah-kerenah birokrasi ini. Jadi dengan cara itu mungkin objektif yang nak dicapai, kemajuan mampan secara bersama ini dapat kita capai,” katanya.

Sumber: Bernama

RMK12: Projek berimpak tinggi bakal dilaksana di Terengganu


Content Type:

Duration:

Kelantan bakal menjadi negeri pertama mewujudkan Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS) di negara ini dengan peruntukan berjumlah RM74 juta.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata Taman Perindustrian IBS seluas 81 hektar itu akan dibina di Sungai Bagan, Machang, dalam masa terdekat dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Beliau berkata, ia akan mengumpulkan pengusaha produk pembinaan, terutama yang berkaitan IBS dan teknologi baru muncul (emerging technologies), sekali gus menjadi pusat rujukan setempat bagi mempertingkat kapasiti serta keupayaan industri pembinaan di Pantai Timur.

“Pembangunan Taman Perindustrian IBS ini selari dengan Dasar Pembinaan Negara 2030 dan akan dibangunkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Ia secara langsung dapat memperkukuhkan jaringan ekosistem IBS di Malaysia, seterusnya meningkatkan bilangan penggiat IBS terutama dalam kalangan Bumiputera serta usahawan kecil dan sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Kelantan dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia) Mengenai Usaha Sama Bagi Membangunkan Taman Perindustrian IBS Di Kelantan, di sini, hari ini.

MoU itu ditandatangani Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad, dan Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ahmad ‘Asri Abdul Hamid, dengan disaksikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Fadillah; serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, Taman Perindustrian IBS akan turut dibangunkan di beberapa negeri lain, sekali gus membantu keseluruhan ekosistem sektor pembinaan di Malaysia.

Beliau berkata, kerjasama dijalinkan mencakupi khidmat nasihat teknikal dari segi reka bentuk, pengilangan dan pemasangan IBS, serta pemindahan teknologi sistem terbuka.

“Ia selaras hasrat meningkatkan dan memperkembang penggunaan kaedah pembinaan IBS yang bermula 25 Februari 2018 dengan pemeteraian kerjasama CIDB Malaysia melalui anak syarikat, CIDB IBS Sdn Bhd, dengan Persatuan Kontraktor Perumahan Kelantan (PKPK) untuk membangun serta memperluaskan penggunaan IBS dalam sektor pembinaan rumah, khususnya di Kelantan.

“Hasil kerjasama antara CIDB IBS dengan PKPK itu telah menjadi pemangkin bagi projek pembinaan di Kelantan mengguna pakai kaedah pembinaan IBS.

“Pada masa sama, ia juga menjadi titik tolak kepada pihak Kerajaan Kelantan yang berhasrat mengembangkan ruang lingkup kerjasama secara lebih meluas kepada usahawan di negeri ini, terutama dalam sektor pembinaan, melalui cadangan pembinaan Taman Perindustrian IBS,” katanya.

Dalam pada itu, Fadillah memaklumkan, pelaksanaan Program Kecemerlangan IBS bakal memberi peluang pekerjaan kepada lebih 3,500 sumber manusia.

“Penggunaan IBS secara menyeluruh juga dapat membantu dari segi pengurusan kos pembinaan perumahan, selain harganya lebih kompetitif.

“Insentif IBS akan disemak semula untuk menggalakkan pemaju menggunakan teknologi itu bagi mempertingkat kualiti dan kecekapan serta mengawal kos,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Kelantan negeri pertama bina Taman Perindustrian IBS


Content Type:

Duration:

Kerajaan mahu industri kenaf dikembangkan dan menghasilkan lebih banyak produk akhir bagi meningkatkan jumlah eksport negara berasaskan komoditi tersebut.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata pada masa ini nilai eksport kenaf negara adalah sebanyak RM10 juta dan jumlah itu dapat ditingkatkan jika pengusaha kenaf berupaya menghasilkan lebih banyak produk hiliran selain fiber.

“Di seluruh negara terdapat kira-kira 2,000 hektar ladang kenaf termasuk yang diusahakan oleh pengusaha kecil dan penghasilan produk industri hiliran (produk akhir) masih kecil, selain pengeluaran hasil kenaf (fiber) itu sendiri juga masih rendah untuk kegunaan tempatan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke ladang kenaf seluas 200 hektar di Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA) dekat sini, hari ini.

Justeru, Zuraida berkata, kerajaan sangat mengalu-alukan orang ramai untuk menceburi bidang penanaman kenaf kerana ia mudah diusahakan dan hanya mengambil tempoh empat bulan untuk dituai.

“Sesiapa yang mempunyai sekurang-kurangnya satu hektar tanah, sudah layak untuk memohon bantuan untuk tanaman kenaf daripada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN),” katanya.

Menurutnya, faktor cuaca serta tanah di wilayah utara sangat sesuai untuk penanaman kenaf dan disebabkan itu ladang yang terletak di CVIA dan beberapa kawasan di Kedah utara memfokuskan kepada penghasilan benih kenaf sahaja.

“Tapi sekiranya ladang kenaf dapat diperluaskan dengan penglibatan lebih ramai pengusaha kenaf secara kecil-kecilan, mungkin boleh difikirkan untuk menghasilkan lebih banyak produk akhir sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk dan negara,” katanya.

Zuraida berkata, kerajaan negeri juga disarankan agar meningkatkan tempoh pajakan tanah untuk perusahaan tanaman kenaf supaya pengusaha ladang seperti di CVIA boleh membuat perancangan jangka masa panjang dalam mempelbagaikan produk mereka.

Menurutnya, kementeriannya melalui LKTN akan terus memastikan pelbagai program dan inisiatif berkaitan pembangunan industri kenaf dipertingkat dan ditambah baik.

“Ini penting agar industri ini terus berdaya saing dan mampan di samping menjana pendapatan serta memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” katanya.

Pembangunan pelbagai industri hiliran kenaf termasuklah penghasilan sistem binaan berindustri (IBS), pulpa untuk pembungkusan mesra alam, biokomposit dan makanan ternakan.

Sumber: Bernama

Kerajaan mahu industri kenaf diperkembang, hasilkan lebih banyak produk akhir – Zuraida


Content Type:

Duration:

Malaysia kekal menjadi rakan dagang dan sumber pelaburan utama Filipina, kata Setiausaha Jabatan Perdagangan dan Industri (DTI) Ramon M. Lopez.

Beliau berkata, walaupun ketika pandemik minat syarikat Malaysia untuk melabur atau mengembangkan perniagaan di Filipina kekal kukuh.

“Pada 2020, Malaysia berada di kedudukan ke-10 sebagai rakan dagang Filipina, dengan keseimbangan perdagangan memihak kepada Malaysia. Dari segi pelaburan, Malaysia ditangga ke-12 sumber pelaburan IPA yang diluluskan, mencatat pertumbuhan 43.90 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Dan tahun ini (Januari hingga Jun 2021), Malaysia adalah sumber FDI ke-6 (pelaburan langsung asing),” menurut Philippine Trade and Investment Centre Kuala Lumpur (PTIC-KL) memetik ucapan Ramon M. Lopez di Forum Pelaburan Filipina Ke-2 yang diadakan secara maya pada Khamis.

Menurut kenyataan PTIC-KL, Lopez telah memberi jaminan bahawa Filipina terbuka untuk perniagaan, dan merakamkan penghargaan kepada Malaysia kerana terus yakin dan berminat untuk melabur di Filipina.

Beliau juga menggalakkan lebih banyak pelaburan dari Malaysia dalam lima industri utama iaitu pembuatan, perniagaan tani, perkhidmatan, infrastruktur dan pembinaan serta tenaga.

Filipina juga menggalakkan pelaburan Malaysia dalam sektor khusus halal, oleh syarikat makanan dan minuman hingga perbankan Islam.

“Syarikat-syarikat Malaysia dipelawa untuk melabur di Filipina bagi mengembangkan industri Halal untuk memenuhi keperluan penduduk Islam (sebanyak 10 hingga 12 juta orang) Filipina dan bukan Islam.

“Dilaporkan baru-baru ini terdapat pelaburan dari Malaysia bernilai AS$130 juta, meliputi beberapa sektor di atas,” katanya.

Sementara itu, Atase Perdagangan di PTIC-KL Katrina Banzon berkata Filipina telah menerima pelaburan diluluskan oleh Agensi Promosi Pelaburan (IPA) bernilai US$1.66 bilion dari Malaysia antara 2018 dan 2020 dalam lima industri berkenaan.

Forum sehari itu, sebahagian daripada Forum Pelaburan Filipina 2021 yang diadakan untuk mempromosikan Filipina sebagai destinasi pelaburan dan rakan kongsi ideal bagi syarikat-syarikat di Malaysia.

Forum Pelaburan Filipina 2021 dianjurkan PTIC KL dan Lembaga Zon Ekonomi Filipina (PEZA) dengan kerjasama Jabatan Perdagangan dan Perindustrian, Filipina di Kuala Lumpur dan Kedutaan Malaysia di Manila.

Sumber: Bernama


Malaysia kekal rakan dagang, sumber pelaburan utama Filipina


Content Type:

Duration:

Syarikat perkhidmatan pembuatan elektronik, Hotayi Electronic (M) Sdn Bhd, melabur sebanyak RM300 juta untuk mengembangkan kemudahannya di sini bagi menampung peningkatan permintaan terhadap produknya.

Pengarah Urusannya, Goh Guek Eng, berkata pengembangan kemudahan itu akan meningkatkan pengeluaran sebanyak 50 peratus dan mewujudkan 600 peluang pekerjaan baharu.

“Pengembangan ini penting bagi kami untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Kami menjangka pembinaan selesai pada April 2022 dan pengeluaran di kilang baharu itu dijangka bermula pada Mei 2022,” katanya pada upacara pecah tanah, di Batu Kawan, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Pengerusi Hotayi Electronic Datuk Seri Lee Hung Lung dan Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang Datuk Loo Lee Lian.

Sementara itu, Chow berkata Hotayi Electronic giat mengembangkan bakat kejuruteraan dan pekerja mahir dan projek pengembangan baharu itu akan meluaskan usahanya dan meningkatkan lagi daya saing tenaga kerja tempatan.

“Agak melegakan melihat aspirasi Hotayi tidak terjejas oleh cabaran ekonomi global.

“Saya yakin Pulau Pinang akan mendapat manfaat daripada prospek menarik industri pada masa depan dan ekosistem perindustrian serba boleh dan prasarana kita yang baik akan menyokong keperluan pertumbuhan Hotayi di Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, Pulau Pinang mencatatkan peningkatan ketara dalam perdagangan luar negara hasil daripada ekosistem pembuatan kukuh negeri itu meskipun berdepan penularan pandemik COVID-19.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021, eksport Pulau Pinang meningkat 15 peratus tahun ke tahun kepada RM223 bilion, mewakili 29 peratus daripada eksport negara dan menjana lebihan perdagangan RM65 bilion atau 44 peratus daripada lebihan perdagangan negara.

Sumber: Bernama

Hotayi Electronic labur RM300 juta kembang operasi


Content Type:

Duration:

Kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan ke atas import aloi gegelung gulungan sejuk dan keluli bukan aloi yang mempunyai ketebalan antara 0.20 milimeter hingga 2.60 milimeter dan kelebaran antara 700 milimeter hingga 1,300 milimeter yang berasal atau dieksport dari China, Republik Korea (Korea Selatan) dan Vietnam.

Duti yang dikenakan adalah di antara 7.42 peratus dan 42.08 peratus.

Kerajaan juga telah membuat penentuan muktamad bahawa duti anti-lambakan tidak akan dikenakan ke atas import plat hitam kilang timah dan barang dagangan subjek untuk penggunaan akhir automotif, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini.

“Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menguatkuasakan kutipan duti anti-lambakan ini selama lima tahun, bermula 9 Oktober 2021 hingga 8 Oktober 2026.

“Dengan melanjutkan pengenaan duti anti-lambakan ke atas import dagangan subjek dari China, Korea Selatan dan Vietnam. ia diharap isu amalan perdagangan tidak adil dapat ditangani.” kata MITI dalam satu kenyataan di sini hari ini.

MITI berkata kadar duti terhadap Bengang Steel Plates Co. Ltd, BX Steel POSCO Cold Rolled Sheet Co. Ltd, dan Jiangsu Shagang International Trade Co. Ltd, semuanya dari China, masing-masing dikenakan 42.08 peratus, 35.89 peratus dan 42.08 peratus. Duti terhadap syarikat lain dari China juga akan dikenakan sebanyak 42.08 peratus.

Bagi Korea Selatan pula, duti yang dikenakan kepada Hyundai Steel Company adalah 11.55 peratus dan POSCO tidak dikenakan. Syarikat lain dari negara itu akan dikenakan duti 21.64 peratus.

Untuk China Steel Sumikin Viet Nam Joint Stock Company dari Vietnam, duti 33.70 peratus akan dikenakan, POSCO – Viet Nam Co. Ltd. pula adalah 7.42 peratus dan syarikat lain juga akan dikenakan kadar duti sebanyak 33.70 peratus, katanya.

Pada 12 April 2021, kerajaan telah memulakan kajian semula pentadbiran terhadap pengenaan duti anti-lambakan berkenaan dengan import aloi gegelung gulungan sejuk dan keluli bukan aloi yang mempunyai ketebalan antara 0.20 milimeter hingga 2.60 milimeter dan kelebaran antara 700 milimeter hingga 1,300 milimeter yang berasal atau dieksport dari China, Korea Selatan dan Vietnam ke Malaysia.

Siasatan tersebut dijalankan berdasarkan petisyen yang dikemukakan oleh Mycron Steel CRC Sdn. Bhd, bagi pihak industri domestik yang mengeluarkan produk yang serupa.

Berdasarkan subseksyen 28(8) Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993, kajian semula pentadbiran dijalankan oleh kerajaan untuk menentukan sama ada terdapat keperluan melanjutkan tempoh pengenaan duti anti-lambakan bagi mengimbangi lambakan atau/dan menghalang kemudaratan yang berterusan sekiranya pengenaan duti ini dihentikan atau diubah.

Selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994, kerajaan telah menjalankan dan menyempurnakan kajian semula pentadbiran sebelum memutuskan untuk mengenakan duti anti-lambakan, katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia kenakan duti anti-lambakan untuk lima tahun aloi gegelung gulungan sejuk, keluli bukan aloi dari China, Korea Selatan & Vietnam


Content Type:

Duration:

Sumbangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada ekonomi Malaysia terus meningkat kepada RM320.0 bilion pada tahun 2020 dengan mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu 10.4 peratus berbandin 7.3 peratus pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata industri ICT menunjukkan perkembangan yang positif walaupun negara berhadapan dengan cabaran yang getir berikutan pandemik COVID-19.

“Pertumbuhan positif ini seiring dengan fokus utama kerajaan dalam pemerkasaan ekonomi digital yang akan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 bagi memulihkan pertumbuhan negara menjangkaui pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata ICT menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), merangkumi Nilai Ditambah Kasar Industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (NDKTMK), 14.2 peratus dan e-dagang bagi industri lain sebanyak 8.4 peratus.

Sementara itu, NDKTMK mencatatkan nilai RM201.6 bilion dengan pertumbuhan yang lebih perlahan iaitu 3.3 peratus pada tahun 2020 berbanding 6.6 peratus pada tahun sebelumnya.

“Ini disebabkan oleh penyusutan dalam industri kandungan dan media dan perdagangan ICT dengan masing-masing mencatatkan 11.7 peratus dan 4.9 peratus.

“Bagaimanapun, industri pembuatan ICT dan perkhidmatan ICT terus menyokong pertumbuhan NDKTMK masing-masing dengan 5.9 peratus dan 6.7 peratus,” katanya.

Selain itu, Mohd Uzir berkata Nilai Ditambah Kasar e-dagang meningkat kepada RM163.3 bilion pada 2020 daripada RM129.2 bilion yang dilpaorkan tahun lepas, melonjak sebanyak 26.5 peratus berbanding 10 peratus direkodkan pada 2019.

“Buat pertama kali, sejak penyusunan semula Akaun Satelit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICTSA), e-dagang merekodkan sumbangan dua digit sebanyak 11.5 peratus kepada KDNK pada tahun 2020,” katanya.

Sektor Pembuatan kekal sebagai penyumbang utama kepada Nilai Ditambah Kasar e-dagang dengan sumbangan 54.5 peratus diikuti oleh sektor Perkhidmatan dengan 41.7 peratus.

“Pelaksanaan pelbagai fasa kawalan pergerakan bagi membendung penularan COVID-19 dan penutupan sektor ekonomi bukan penting telah mendorong pengguna untuk meningkatkan pembelian secara dalam talian, seterusnya mempercepatkan pertumbuhan pasaran e-dagang di Malaysia,” katanya.

Mohd Uzir turut melaporkan guna tenaga dalam industri ICT pada 2020 berjumlah 1.16 juta orang yang menyumbang sebanyak 7.7 peratus kepada keseluruhan guna tenaga.

“Industri pembuatan ICT merupakan penyumbang utama dengan 35.3 peratus diikuti oleh perkhidmatan ICT (29.5 peratus) dan perdagangan ICT (21.7 peratus),” katanya. 

Sumber: Bernama

Sumbangan ICT kepada ekonomi melonjak kepada RM320 bilion pada 2020


Content Type:

Duration:

IBM telah melancarkan komitmen dan pelan global bagi menyediakan 30 juta orang dengan kemahiran baharu yang diperlukan untuk pekerjaan masa depan menjelang 2030.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat teknologi yang beribu pejabat di New York berkata bagi mencapai tujuan tersebut, IBM telah membuat pelan halatuju yang jelas dengan 170 rakan kongsi baharu dan pengembangan program di lebih dari 30 buah negara di seluruh Amerika, Asia Pasifik, Eropah, Timur Tengah dan Afrika.

Usaha itu akan memanfaatkan program IBM sedia ada dan platform pembinaan kerjaya untuk memperluaskan akses pendidikan dan permintaan terhadap peranan teknikal.

Ia berkata pelan itu bergantung kepada kombinasi programnya yang meluas dan merangkumi kerjasama dengan universiti dan entiti utama kerajaan, termasuk agensi-agensi pekerjaan.

“Rakan kongsi juga meliputi organisasi bukan kerajaan, terutamanya yang memfokuskan kepada golongan seperti belia, wanita, dan veteran tentera,” katanya.

Di Malaysia, syarikat itu berkata baru-baru ini telah mengumumkan kerjasama dengan Politeknik Balik Pulau (PBU) di Pulau Pinang untuk menubuhkan IBM SkillsBuild@PBU Learning Institute, yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada hampir 800 pelajar di politeknik setiap tahun.

“Di bawah kerjasama itu, PBU akan memanfaatkan platform IBM SkillsBuild untuk mengakses kandungan pembelajaran yang diiktiraf secara percuma, lencana bagi memperakui pembelajaran dan bimbingan pembangunan kerjaya daripada pakar IBM,” katanya.

Melalui IBM SkillsBuild @PBU Learning Institute, syarikat itu berkata politeknik menyasarkan bagi melahirkan minda golongan pemuda yang paling cemerlang di negara ini dan memberi mereka peluang untuk mempelajari kemahiran yang relevan dan berkembang maju dalam ekonomi digital di masa depan.

Sumber: Bernama

IBM komited beri kemahiran kepada 30 juta orang di seluruh dunia menjelang 2030


Content Type:

Duration:

Inari Amertron Bhd. mempunyai keupayaan untuk berkembang di China menerusi kerjasama terbaharunya dengan China Fortune-Tech Capital Co. Ltd (CFTC), menurut MIDF Research.

Pada Isnin, Inari memaklumkan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) tidak terikat dengan CFTC untuk menubuhkan syarikat usaha sama di China yang akan menjalankan pembuatan pemasangan dan pengujian semikonduktor (OSAT) serta perniagaan berkaitan untuk pasaran China.

Menerusi kerjasama itu, Inari akan menyediakan kepakaran dan kepimpinan operasi untuk mengembangkan Amertron Technology (Kunshan) Co. Ltd (ATK) di bawah syarikat usaha sama tersebut dan juga tapak kilang baharu di negara berkenaan.

CFTC pula yang memiliki pengalaman luas dalam pengurusan dana ekuiti persendirian akan menyediakan kepakaran, kerjasama dan panduan terhadap peluang perniagaan syarikat usaha sama tersebut termasuk dari segi jualan, strategi pemasaran, pembangunan perniagaan dan risiko berkaitan kerangka kerja kawal selia di China.

Melihat kepada kelebihan MoU ini, MIDF Research positif terhadap perkembangan ini kerana ia mampu menyediakan aliran hasil dan pendapatan yang lebih baik kepada Inari.

Ini membolehkan firma itu menyemak semula unjuran hasil dan pendapatan bagi tahun kewangan 2022 dan 2023 masing-masing sebanyak 5% dan 5.4% dengan meletakkan harga sasaran baharu pada RM4.51 sesaham.

Harga sasaran baharu itu ditambat pada pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2022 sebanyak 12.8 sen berbanding nisbah harga kepada pendapatan (PER) 35.2x yang berada di atas paras purata 2 tahun, 28.0x.

“Kami berpendapat penilaian premium adalah wajar dengan mengambil kira peningkatan jangka panjang bagi industri semikonduktor. Oleh itu, kami mengekalkan saranan ‘beli’ bagi saham Inari,” jelasnya.

Setakat 9.18 pagi, saham Inari menokok 11 sen atau 2.89% kepada RM3.91 dengan 6.17 juta saham diniagakan.

Sumber: DagangNews

Inari mampu berkembang luas dalam pasaran semikonduktor di China – MIDF


Content Type:

Duration:

Penapis mampan yang juga pemasar lilin, pelembut, minyak pelembut dan bahan pemplastik khusus terkemuka global yang berpangkalan di Jerman, H&R GmbH & Co KGaA, akan melabur RM200 juta bagi kemudahan pembuatan khusus di Lumut, Perak.

Perancangan pelaburan itu diumumkan semasa pertemuan antara H&R dan delegasi misi perdagangan dan pelaburan ke Jerman yang diketuai oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ia menjelaskan, pembinaan kemudahan itu dirancang bermula pada Mac 2022 diikuti dengan permulaan pengeluaran pada awal 2024.

“Projek ini dijangka dilaksanakan dalam tiga fasa, dengan kapasiti dirancang sebanyak 150,000 tan setahun,” menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

H&R GmbH & Co KGaA menambah, fasa satu dan fasa dua adalah bagi pengeluaran bahan pemplastik khusus, minyak putih dan emulsi lilin daripada sumber mineral, sintetik dan boleh baharu manakala fasa tiga akan menumpukan pengeluaran boleh baharu menerusi teknologi sintesis yang dirancang secara unik.

H&R menjelaskan, pihaknya akan menubuhkan entiti baharu, H&R Chempharm Asia Sdn Bhd, untuk memberi tumpuan kepada pengeluaran bahan pemplastik mesra alam untuk penggunaan dalam penghasilan tayar dan getah serta minyak putih perubatan dan teknikal untuk penggunaan bagi makanan, farmaseutikal, kosmetik dan polimer dengan pengenalan baharu produk berasaskan bio.

“Pelaburan ini dijangka dapat mewujudkan 70 pekerjaan baharu di Malaysia,” menurutnya.

H&R menambah, selain H&R Chempharm Asia Sdn Bhd, ia mempunyai dua kemudahan sedia ada di Malaysia iaitu H&R Malaysia Sdn Bhd dan H&R Malaysia Wax Sdn Bhd masing-masing di Pelabuhan Klang dan Batu Caves, Selangor.

Kedua-dua kemudahan itu telah beroperasi sejak 1990, menghasilkan emulsi khusus lilin serta menjalankan aktiviti pemasaran dan pengedaran pelbagai lilin dan minyak khusus.

Mohamed Azmin berkata, pengumuman pelaburan H&R itu membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap persekitaran perniagaan Malaysia yang kekal kondusif.

Beliau berkata, syarikat itu telah menunjukkan matlamat yang jelas untuk mengurangkan kebergantungannya terhadap bahan mentah berasaskan fosil dan menjurus lebih kepada bahan mentah boleh baharu atau hibrid untuk penggunaan khusus dan produk yang lebih lestari dan akhirnya merealisasikan operasi neutral karbon pada 2035.

“Ini sejajar dengan komitmen Malaysia untuk memacu pembaharuan dalam mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih karbon menjelang 2050.

“Pelaburan strategik ini akan terus menyokong dan mendorong komitmen Malaysia terhadap nilai alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di samping memajukan pertumbuhan hijau seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12),” katanya dalam kenyataan sama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman, berkata langkah H&R untuk terus meningkatkan usaha ke arah produk berasaskan bio di Malaysia adalah bukti bahawa ekosistem industri kimia negara adalah kukuh dan menjadi pemangkin penting bagi industri lain seperti automotif, makanan, alat perubatan dan farmaseutikal.

“MIDA, melalui Unit Pencepatan dan Penyelarasan Projek (PACU) kami akan bekerja sama dengan H&R untuk pemudahan menyeluruh dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek mereka di Malaysia,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Eksekutif H&R, Niels H Hansen, berkata hala tuju strategik dan visi Malaysia untuk ekonomi neutral karbon akan memperkukuh usaha syarikat ini untuk melabur lagi di dalam negara ini.

“Pelaburan kami di Lumut, Perak bertujuan untuk menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih mampan, dan menumpukan kepada pengurangan sumber berasaskan fosil,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia yang berada di tengah-tengah di Asia Tenggara, adalah hab pembuatan mampan dan kaya dengan sumber bahan mentah mineral dan boleh baharu, untuk memberi manfaat kepada komuniti ASEAN.

“Sebagai peneraju industri dalam pembuatan dan pemasaran produk khusus, kami berhasrat untuk membangunkan model perniagaan hibrid dalam projek kami di Lumut bagi mengubah pengeluaran produk berasaskan mineral kepada pengkhususan boleh baharu dengan bahan mentah dari tempatan untuk kepada pelanggan global kami,” katanya.

H&R mempunyai lebih 100 tahun pengalaman mengoperasikan penapisan khusus di kilang pembuatan di seluruh dunia.

Sumber: Bernama

Firma Jerman labur RM200 juta di Lumut, Perak


Content Type:

Duration:

BASF PETRONAS Chemicals Sdn Bhd (BPC), iaitu usaha sama berpangkalan di Malaysia antara BASF Jerman dan PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCG) bercadang meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan Asid 2-Ethylhexanoic (2-EHA) di kawasan Verbund yang terletak di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan.

Sehubungan itu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini dalam Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Eropah, menyambut baik projek dan rancangan pengembangan BPC di Malaysia.

“Kerajaan, melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus menawarkan bantuan yang diperlukan kepada syarikat itu untuk merealisasikan rancangan masa depan mereka, memperkukuh komitmen kita untuk menarik dan mengekalkan kualiti pelaburan di negara ini,” katanya dalam kenyataan Jumaat.

Menurut kenyataan itu, rancangan untuk meningkatkan pengeluaran adalah antara perkara penting yang dibincangkan dalam mesyuarat di antara BASF yang diwakili Ahli Lembaga Pengarah Eksekutif BASF SE Dr Markus Kamiet dengan menteri kanan itu pada 13 Okt 2021.

Selain daripada kawasan pengeluarannya di Kuantan, BASF turut mengeluarkan 2-EHA di kawasan Verbund di Ludwigshafen, Jerman. BPC berhasrat untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan 2-EHA daripada 30,000 kepada 60,000 tan metrik menjelang 2024.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG Datuk Sazali Hamzah berkata 2-EHA merupakan bahagian penting dalam pertumbuhan BPC dan pengembangan itu tepat pada masanya yang bertujuan memenuhi keperluan pasaran yang kian meningkat.

“Pengembangan itu juga seiring dengan strategi pertumbuhan mampan PCG untuk memperluas portfolio dengan produk-produk bernilai tinggi.

“Malah, dengan memanfaatkan penyepaduan sedia ada antara BPC dan kemudahan lain PCG di kawasan Verbund di Kuantan, kami dapat memaksimumkan rantaian nilai dengan mempertingkat kualiti serta kecekapan daya saing produk serta terus menawarkan penyelesaian inoivatif untuk para pelanggan kami,” katanya.

Bahan 2-EHA yang berperanan sebagai bahan kimia perantara, digunakan sebagai sebatian dalam penghasilan pelincir sintetik selain menjadi bahan tambahan minyak.

Ia turut digunakan dalam cecair dengan fungsi tertentu seperti bendalir penyejuk automotif, garam logam bagi mengeringkan cat, penstabil, pemangkin serta penggunaan lain dalam pelbagai industri.

Sumber: Bernama

BASF Petronas Chemicals akan tingkatkan pengeluaran 2-EHA di Kuantan


Content Type:

Duration:

Misi perdagangan dan pelaburan terkini ke Perancis berjaya menjana jumlah potensi pelaburan bernilai RM2.6 bilion dan RM300 juta nilai potensi eksport, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ini membuktikan kejayaan usaha Malaysia yang berterusan dalam menarik pelaburan berkualiti dan meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi, menurut kementerian itu.

“Minat yang tinggi yang ditunjukkan oleh syarikat Perancis dalam misi itu menjadi pemangkin utama untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala, terutamanya dalam bidang yang menyokong agenda mampan dan hijau yang disokong oleh kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Misi ke Perancis, yang berlangsung dari 15-17 Oktober, 2021, diterajui oleh MITI dan Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Antara lain delegasi Malaysia turut mengadakan sesi bersemuka dengan syarikat Perancis, terutamanya Airbus, Saint-Gobain, Adisseo Group, Prolaser dan Innovafeed.

Pada sesi itu, syarikat Perancis menunjukkan minat yang tinggi untuk terus menjadikan Malaysia sebagai rakan perniagaan mereka dalam sektor aeroangkasa, bioteknologi, kimia maju, peranti perubatan, produk halal dan pembinaan, menurut kementerian itu.

Menurut kenyataan tersebut, Mohamed Azmin turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Perwakilan Perdagangan Luar Negeri dan Daya Saing Ekonomi, Franck Riester, di Paris.

Dalam pertemuan itu, Mohamed Azmin menekankan peluang dalam sektor teknologi hijau Malaysia yang sedang berkembang dan keupayaan pemain industri Malaysia dalam sektor bernilai tinggi ini.

Kedua-dua menteri mengadakan perbincangan mengenai topik yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk strategi pemulihan ekonomi dalam fasa endemik, meneruskan pembaharuan di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), memanfaatkan kedudukan Malaysia dalam perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) mega serta peluang pelaburan dan komersial dalam tenaga boleh baharu.

Delegasi Malaysia turut menyambut baik minat baharu Perancis terhadap rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia dan melihat perkembangan baharu ini sebagai landasan untuk terus mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.

Delegasi itu mengalu-alukan minat Perancis yang semakin meningkat terhadap rantau ini berikutan republik itu akan mengambil alih jawatan pengerusi Majlis Kesatuan Eropah pada separuh pertama 2022.

Mohamed Azmin turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Mouvement des Enterprises de France (MEDEF) International.

Kerjasama strategik antara MIDA dan MEDEF International akan melengkapkan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) Malaysia melalui kerjasama yang ditingkatkan bertujuan untuk memudahkan ekosistem industri negara dengan infrastruktur pemangkin dan teknologi baharu. 

Sumber: Bernama

Misi perdagangan Malaysia ke Perancis jana pelaburan berpotensi RM2.6 bilion


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan jaringan perniagaan swasta Perancis di luar negara, MEDEF International, untuk terus mendorong, mempromosikan dan memudahkan pelaburan dan kerjasama perniagaan yang berpotensi.

Pemeteraian di Paris itu disaksikan oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam menekan kepentingan MoU itu, beliau berkara Perancis telah lama beroperasi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan Malaysia.

“Menyedari sinergi antara keupayaan inovatif Perancis dan saranan nilai Malaysia, kami yakin akan ada lebih ramai pelabur Perancis melabur terutama dalam bidang bernilai tinggi dan berteknologi tinggi seperti peralatan pengangkutan (aeroangkasa) serta jentera dan peralatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata pada masa yang sama, kerajaan berharap pelaburan ini dapat mengalakkan lebih banyak program pembangunan bakat untuk tenaga kerja kalis masa depan, berdasarkan Aspirasi Pelaburan Nasional negara dan Rancangan Malaysia ke-12.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman berkata kerjasama itu akan membolehkan lebih banyak perniagaan dan penyedia teknologi Malaysia mewujudkan jalinan dengan rantaian bekalan global dengan lebih baik.

“Kerajaan Malaysia, melalui MIDA, akan terus bekerjasama rapat dengan MEDEF International untuk meningkatkan dan merealisasikan lagi pelaburan Perancis di
Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

MIDA, MEDEF International meterai MOU galakkan pelaburan


Content Type:

Duration:

Kerajaan telah mengambil langkah awal ke arah memperkasa pembangunan, validasi dan pengkomersialan pembangunan teknologi kenderaan elektrik (EV) tempatan menerusi Program NanoMalaysia Energy Storage Technology Initiative (NESTI).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataan semalam berkata aspek itu dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan penjanaan pekerjaan selari dengan aspirasi menjadikan Malaysia negara berteknologi tinggi dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Program ini menekankan pembangunan dan pengkomersialan sistem simpanan tenaga bagi kegunaan mobiliti elektrik termasuk bateri, ultra kapasitor, penyimpanan hidrogen dan reaktor, sistem pengurusan tenaga dan kitar semula bateri,” katanya, sambil menambah program yang dikemukakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata bagi memperkasa teknologi EV, kementerian itu (MOSTI) menggunakan pendekatan ‘whole of nation’ bagi meningkatkan penerimaan terhadap teknologi itu, seterusnya mencapai hasrat meletakkan negara sebagai pengeksport komponen EV tersohor di rantau ASEAN.

Sehubungan itu, MOSTI memaklumkan program Enabling Mobility Electrification for Green Economy (EMERGE) oleh NanoMalaysia telah menerima Dana Penyelidikan Strategik di bawah Malaysia Grand Challenge.

Antara lain program itu bertujuan menambah baik blok pembangunan teknologi EV melalui Program Pengkomersialan Teknologi Nano dalam usaha meningkatkan sistem simpanan dan pengurusan tenaga, Internet of NanoThings dan pembangunan stesen pengecas serta membangunkan prototaip EV.

Selain itu satu inisiatif sampingan EMERGE iaitu Rapid Electric Vehicles Innovation Validation Ecosystem (REVIVE) juga telah diwujudkan untuk memberi fokus kepada penukaran enjin biasa kepada enjin elektrik.

“MOSTI yakin penerimaan awam terhadap kenderaan EV akan meningkat dalam jangka pendek memandangkan kenderaan EV jimat tenaga dan hanya memerlukan infrastruktur pengisian yang sederhana melibatkan sistem pertukaran bateri.

“Teknologi EV juga mempunyai potensi yang besar untuk perkhidmatan pengangkutan awam dan penghantaran menjelang 2030,” katanya.

Aspirasi memperkasa industri kenderaan elektrik negara ini adalah berdasarkan Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (MySTIE 10-10) iaitu inisiatif yang menyokong Dasar Sains, Teknologi Dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030.

Perkara itu turut mengambil kira fokus yang terkandung dalam Dasar Automotif Negara (NAP) 2020, Dasar Pengangkutan Negara (NTP) 2019-2030 dan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.

Sumber: Bernama

Kerajaan perkasa pembangunan teknologi EV melalui NESTI – Adham


Content Type:

Duration:

Strategi pemulihan sektor ekonomi akan direalisasikan menerusi Bajet 2022 yang dirangka berdasarkan senario negara ketika ini, kata Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, negara ketika ini sedang dalam tempoh pemulihan daripada pandemik COVID-19 yang hampir melumpuhkan keseluruhan ekosistem perniagaan.

“Bajet 2022 menjadi cerminan tekad kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara sekali gus mengembalikan keyakinan pelabur asing untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis penyerahan surat penerimaan kemudahan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) SME Relief Program (SRP) Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) Fasa 2 SME Bank, di sini, semalam.

Bajet 2022 akan dibentangkan di Parlimen pada 29 Oktober ini.

Tengku Zafrul memberi jaminan bahawa kerajaan akan meneruskan kesemua pakej bantuan yang telah diumumkan bagi tujuan pemulihan jangka panjang sektor ekonomi negara.

“Bajet 2022 bakal menentukan kesinambungan dasar dan bantuan untuk menyokong perniagaan agar kekal berdaya tahan ketika menghadapi krisis selain melindungi mata pencarian, kehidupan rakyat dan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata strategi pemulihan negara yang terkandung dalam Bajet 2022 akan memastikan usahawan PKS sektor pelancongan terus berdaya saing sekali gus meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurutnya, KDNK sektor pelancongan menyumbang 15.9 peratus atau RM240.5 bilion pada 2019 namun merosot kepada 14.1 peratus atau RM199.4 bilion pada 2020 akibat pandemik itu.

Nancy dalam pada itu berkata sebanyak 337 daripada 688 permohonan untuk pembiayaan sektor pelancongan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) telah diluluskan sehingga 24 September lepas yang melibatkan pembiayaan sebanyak RM66.9 juta.

Beliau berkata kemudahan pembiayaan itu menjadi ‘nilai tambah’ kepada usahawan PKS sektor pelancongan untuk kembali memulakan operasi setelah kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri berkuat kuasa 11 Oktober lepas.

“Sektor pelancongan menerima impak teruk sejak penularan pandemik COVID-19 berikutan sekatan perjalanan dan penutupan pintu sempadan antarabangsa.  Jadi, pelbagai inisiatif dan pakej rangsangan disediakan untuk usahawan industri pelancongan supaya mereka mampu bertahan dalam tempoh krisis ini,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga bersetuju memberi pengecualian cukai pelancongan dan perkhidmatan kepada pengendali hotel sehingga akhir tahun ini menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), di mana RM2.34 bilion nilai pengecualian cukai tersebut telah dimanfaatkan oleh pengendali premis penginapan.

Sumber: Bernama

Strategi pemulihan sektor ekonomi akan direalisasikan menerusi Bajet 2022


Content Type:

Duration:

Momentum hubungan Malaysia dengan rakan-rakan strategik asing seperti Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU) terus kukuh meskipun berdepan cabaran pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar memberitahu Dewan Negara pada Rabu, perkara itu dibuktikan menerusi peningkatan nilai dagangan dua hala antara Malaysia dengan AS dan EU yang masing-masing menokok 27.1 peratus kepada RM121.01 bilion (USD29.44 bilion) dan 26.66 peratus kepada RM79.94 bilion bagi tempoh Januari hingga Julai 2021 berbanding tempoh sama tahun lepas.

“AS dan EU masing-masing merupakan rakan dagang ketiga dan keempat terbesar Malaysia selepas China (rakan dagang terbesar) dan Singapura (kedua terbesar). 

“Nilai dagangan dua hala pada 2019 antara Malaysia dengan AS adalah sebanyak RM165.22 bilion (USD39.17 bilion) manakala dengan EU sebanyak RM159.35 bilion (USD38.48 bilion),” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Zaiedi Suhaili mengenai prospek kerjasama strategik dan ekonomi Malaysia dengan blok negara Eropah dan AS terbabit bagi memastikan tempoh pasca COVID-19 dapat membuka peluang lebih besar kepada sektor pelancongan negara selain aspek hubungan ekonomi.

Menjelaskan selanjutnya, Kamarudin berkata selaras dengan pengumuman Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), tumpuan akan diberikan kepada industri strategik serta berimpak tinggi termasuk pelancongan, elektrik dan elektronik (E&E), perkhidmatan global, aeroangkasa, industri kreatif, industri halal, industri biojisim serta aktiviti pertanian pintar.

Menurutnya, bagi memperkukuh Perkongsian Komprehensif Malaysia-AS, pihaknya akan memperluas kerjasama dalam bidang-bidang baharu seperti pengeluaran dan pengedaran vaksin termasuk vaksin COVID-19, tenaga boleh baharu, ekonomi hijau, perdagangan digital, keselamatan siber, pelancongan kesihatan, robotik, aeroangkasa dan pembangunan lestari.

Antara langkah yang diambil adalah mempelawa lebih banyak syarikat-syarikat AS AS memindahkan operasi perniagaan ke Malaysia dan meninjau kerjasama dalam bidang teknologi digital dengan negara itu di peringkat ASEAN.

Bagi EU, Kamarudin berkata langkah-langkah diambil untuk memperkukuh kerjasama strategik dan ekonomi itu adalah menerusi pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Perkongsian dan Kerjasama serta mempertimbang untuk menyambung rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU.

“Kita juga akan mempertingkatkan kesalinghubungan udara dan perdagangan antara kedua-dua rantau di bawah hubungan ASEAN-EU.

“Langkah lain adalah mempromosi Malaysia sebagai sebuah lokasi strategik untuk pelaburan dan pelancongan di bawah hubungan kerjasama serantau di peringkat ASEM (Mesyuarat Asia-Eropah) serta mencadangkan pengiktirafan Sijil Vaksinasi timbal balas COVID-19 di antara Malaysia dan EU,” katanya.

Beliau turut berkongsi komitmen kerajaan untuk mengeratkan lagi hubungan kerjasama Malaysia dengan negara-negara berkenaan menerusi kementerian peneraju seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) serta Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC).

“Ini bagi memastikan nilai perdagangan antara Malaysia dengan EU, AS serta kemasukan pelancong dari negara-negara berkenaan terus bertambah walaupun dunia (masih) berdepan situasi COVID-19 serta ekonomi yang meruncing.

“Malah bagi tujuan itu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sedang dalam misi lawatan ke tiga negara Eropah iaitu Jerman, Perancis dan United Kingdom yang berakhir pada 22 Oktober ini,” katanya. 

Sumber: Bernama

Hubungan Malaysia dengan AS, EU terus kukuh meskipun berdepan cabaran COVID-19


Content Type:

Duration:

Sejajar dengan peranan kenderaan elektrik (EV) sebagai instrumen pengubah dalam industri automotif yang matang, Malaysia tiada pilihan kecuali bertindak untuk memperhebatkan lagi penglibatannya dalam sektor terbabit.

Menurut Pengasas TGT Automotive Solution Sdn Bhd Kevin Tham, ini juga bertepatan dengan kedudukan Malaysia yang telah menceburi industri elekterikal dan elektronik (E&E) sejak lebih 50 tahun lamanya, malah merupakan pengeksport terbesar litar bersepadu (IC) automotif di peringkat dunia.

Selaku pihak terlibat dalam syarikat yang menawarkan penyelesaian teknologi kepada sektor automotif, beliau berkata Malaysia juga mempunyai barisan jurutera penyelidikan dan pembangunan E&E yang dapat melengkapkan sistem elektronik daripada peringkat IC sehingga ke peringkat sistem.

“Menerusi Proton dan Perodua misalnya, kita mempunyai kemahiran yang serba lengkap melibatkan kejuruteraan reka bentuk automotif. Oleh itu, Malaysia mempunyai asas-asas terbaik untuk beralih kepada hab EV serantau berbanding negara-negara jiran.

“Tesla Motors misalnya menjadi bukti terbaik bagaimana syarikat pengeluar kenderaan itu ‘memaksa’ pengeluar automotif Jerman bertindak mengubah haluan masing-masing daripada menumpukan hibrid kepada EV dalam tempoh singkat.

“China pula membuktikan bagaimana ia membuat persiapan sewajarnya pada tempoh satu hingga dua dekad lepas dalam usaha pembangunan teknologi EV selain langkah untuk menerapkannya di pasaran.

“Malah, pada hari ini, China adalah pengeluar dan pasaran terbesar kenderaan itu di dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, Tham berkata Malaysia tidak seharusnya ketinggalan berbanding negara-negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Menurutnya, antara cadangan yang dikemukakan oleh TGT Automotive kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) adalah memberi tumpuan terhadap beberapa komponen penting selain teknologi bateri.

Ini termasuk sistem penjanaan kuasa kereta api yang melibatkan aspek pembangunan peranti semikonduktor, fabrikasi IC, teknologi pembungkusan gred automotif sehingga integrasi sistem penjanaan kuasa kereta api selain integrasi bateri dinamik EV yang dikitar semula kepada ESS (sistem penyimpanan tenaga) bagi panel solar atau peralatan tenaga UPS (sumber/bekalan tenaga yang tidak terjejas).

Sementara itu, Pengarah Wheelspin Motorsports Jagjeet Singh menyifatkan MOSTI berperanan penting dalam usaha tersebut memandangkan ia mempunyai sumber-sumber bagi melibatkan pakar industri berkaitan bagi mengemukakan penyelesaian yang ditambah baik untuk Malaysia dan seterusnya dapat diubah dalam bentuk pelan tindakan dengan memanfaatkan ‘pendekatan keseluruhan kerajaan.’

Justeru, beliau berkata Menteri MOSTI Datuk Seri Dr Adham Baba bertindak tepat pada masanya bagi menangani isu tersebut berikutan Malaysia kini telah ketinggalan dari segi penerimagunaan EV berbanding negara-negara lain di rantau ini.

Pada 18 Oktober lepas, Adham telah mempengerusikan sesi libat urus bersama penggiat industri EV tempatan bagi mendapatkan pandangan serta maklum balas mengenai pembangunan ekosistem industri kenderaan tersebut di negara ini.

“Seiring dengan gesaan untuk mengurangkan pelepasan karbon, Malaysia boleh memainkan peranannya dengan menggalakkan penggunaan EV dalam semua sektor daripada pengangkutan, rekreasi serta suka permotoran,” kata Jagjeet.

Ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada 27 September lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan memperkenalkan Dasar Tenaga Negara bagi menyediakan hala tuju strategik jangka panjang untuk menyokong aspirasi negara neutral karbon.

Beliau juga menyuarakan komitmen untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara neutral karbon seawal-awalnya pada 2050.

Bagi menyokong usaha terbabit, Ismail Sabri berkata instrumen ekonomi seperti penetapan harga dan cukai karbon akan diperkenalkan manakala perincian pengurangan karbon itu akan diumumkan selepas kajian strategi pembangunan jangka panjang rendah karbon dimuktamadkan menjelang akhir 2022.

Menurut Perdana Menteri, penjanaan tenaga elektrik yang lebih bersih akan dilaksanakan menerusi pengoperasian beberapa loji janakuasa gas di Semenanjung Malaysia bagi menggantikan loji janakuasa arang batu.

Sumber: Bernama

Malaysia perlu perhebat penglibatan dalam industri kenderaan elektrik


Content Type:

Duration:

Kumpulan perdagangan mudah alih GSM Association (GSMA) meramalkan penggunaan teknologi 5G dalam industri itu dijangka menyumbang kira-kira US$5 trilion (US$1=RM4.15) kepada ekonomi global menjelang tahun 2025.

Ketua GSMA Asia Pasifik (APAC) Julian Gorman berkata ini berikutan negara-negara di seluruh dunia semakin mendapat manfaat daripada peningkatan produktiviti dan kecekapan hasil daripada pertambahan penggunaan perkhidmatan mudah alih.

“Semua sektor ekonomi akan mendapat manfaat daripada 5G dalam tempoh ini dan industri utama seperti perkilangan, penjagaan kesihatan, pengangkutan, utiliti dan sektor awam telahpun mendapat manfaat daripada teknologi baharu untuk transformasi digital.

“Transformasi perusahaan akan memacu pertumbuhan ketara pada tahun-tahun akan datang dengan sektor pembuatan menjadi penyumbang terbesar kepada hasil global,” katanya pada sidang kemuncak GSMA Mobile 360 Asia Pasifik yang diadakan secara maya hari ini.

Semasa sidang kemuncak itu, GSMA mengumumkan pembentukan Komuniti Industri APAC 5G, ekosistem baharu yang ditubuhkan untuk mencari peluang dalam menyampaikan Industri 4.0 dan transformasi digital daripada rangkaian 5G, perkhidmatan awan, Internet Pelbagai Benda (IoT), data dan Kecerdasan Buatan (AI).

Tujuan Komuniti Industri 5G APAC adalah untuk memanfaatkan kesalinghubungan 5G agar rakyat, industri dan masyarakat berkembang maju.

“GSMA komited untuk memainkan peranan utama dalam menyokong dan memperkasakan kerja penting dan memulakan platform kerjasama bagi menyokong inovasi industri 5G, aplikasi dan peluang perniagaan dalam komuniti ini,” kata Gorman.

Komuniti itu disasarkan kepada pihak berkepentingan merentasi rantaian nilai termasuk kerajaan dan agensi, persatuan industri, penyedia rangkaian mudah alih, perusahaan dan pemain industri, penyedia penyelesaian, penganalisis, dan perunding.

Komuniti Industri APAC 5G terdiri daripada 12 ahli penyumbang, termasuk IoT sedia ada dan komuniti pasaran baharu 5G, yang mempunyai lebih daripada 500 ahli di lebih daripada 30 negara.

Sumber: Bernama

Penggunaan 5G dijangka sumbang US$5 trilion kepada ekonomi global menjelang 2025 – GSMA


Content Type:

Duration:

Infineon Technologies, pengeluar semikonduktor global dari Jerman akan memindahkan pengeluaran silikon karbida dan epitaksi nitrida galliumnya ke Taman Teknologi Tinggi Kulim serta mengembangkan pangkalan pembuatannya di Malaysia tahun depan.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata syarikat itu baru-baru ini juga mengumumkan pelaburan berkaitan dengan pengembangannya yang bernilai RM11.53 bilion di seluruh dunia bagi tahun fiskal 2022.

“Hasrat ini dinyatakan dalam satu mesyuarat bersempena dengan Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke Stuttgart, Jerman pada 14 Okt, 2021,di mana saya bertemu dengan Jochen Hanebeck, ketua pegawai operasi Infineon Technologies dan menyerahkan kepada beliau surat tawaran daripada kerajaan yang menunjukkan minat negara untuk menyokong dan memudahkan pelan pelaburan selanjutnya Infineon.

“Ketika ini, Malaysia merupakan satu daripada hab serantau utama Infineon Technologies yang telahpun melabur sebanyak RM20 bilion dengan operasi pembuatan semikonduktor bersepadunya. Nilai pengembangan ini akan diumumkan apabila tiba waktunya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Azmin berkata Infineon juga melahirkan hasrat untuk terus menjadi rakan strategik kepada Malaysia dalam mempercepat pertumbuhan industri elektrik dan elektronik, terutamanya ke arah meningkatkan rantaian nilai dalam bahagian pembungkuasan, pengujian litar bersepadu dan pemprosesan wafer.

Menurutnya, pengumuman itu juga sejajar dengan pelan jangka panjang syarikat itu untuk meningkatkan pelaburan sebanyak 50 peratus dalam tahun fiskal 2022 bagi menampung peningkatan permintaan yang disokong oleh pemacu pertumbuhan seperti pengelektrikan dan pendigitalan sektor di seluruh dunia.

Beliau berkata ini akan dapat meningkatkan perolehan Infineon, menyokong keunggulan Malaysia sebagai satu daripada hab semikomduktor utama dan terbesar di rantau ini.

“Sudah tentunya, ini merupakan bukti jelas ekosistem kita yang kondusif dan keupayaan tenaga kerja tempatan untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang mereka.

“Pengembangan ini sudah pastinya akan membawa kepada pewujudan pekerjaan berkualiti tinggi dan keupayaan teknologi khusus yang mana kerajaan akan terus bekerjasama rapat dengan Infineon Technologies dalam memperkenalkan langkah-langkah strategik bagi mengukuhkan pertumbuhan kita,” kata Mohamed Azmin.

Pada masa hadapan, katanya, kerajaan akan memastikan persekitaran kondusif bagi peneraju semikonduktor global untuk menggerakkan rantaian nilai menerusi penerimagunaan teknologi canggih dan pengeluaran produk canggih baharu.

Sehubungan itu, katanya, industri elektrik dan elektronik telah dikenal pasti sebagai satu daripada industri strategik dan berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang akan memangkinkan pertumbuhan ekonomi negara.

Sumber: Bernama

Infineon Technologies kembang pangkalan pembuatan di Malaysia tahun depan – Azmin


Content Type:

Duration:

wpChatIcon