2021 Archives - Page 13 of 33 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Indeks Harga Pengeluar pengeluaran tempatan naik 11.7 peratus tahun ke tahun pada Julai 2021 – Perangkaan

Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia  untuk pengeluaran tempatan meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun pada Julai 2021, disumbangkan terutamanya oleh harga komoditi utama iaitu minyak mentah (64.4 peratus), buah tandan segar (57.3 peratus) dan minyak sawit (42.7 peratus).

IHPR yang mengukur kos barangan di pintu kilang menokok 11.5 peratus tahun ke tahun pada Jun 2021.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan yang dicatatkan itu didorong oleh lonjakan dalam indeks perlombongan sebanyak 57.7 peratus tahun ke tahun berikutan harga gas asli yang lebih tinggi serta kenaikan harga berterusan bagi komoditi minyak mentah.

Ini diikuti oleh indeks pertanian, perhutanan dan perikanan yang merekodkan pertumbuhan dua digit 31.5 peratus tahun ke tahun (Jun 2021: 29.8 peratus) disumbangkan oleh kenaikan harga komoditi buah tandan segar dan komoditi lain.

Di samping itu, kenaikan indeks pembuatan dipengaruhi oleh kenaikan harga komoditi utama dan komoditi berkaitan pembinaan (7.1 peratus), katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dari segi indeks utiliti, Mohd Uzir berkata bekalan air dan bekalan elektrik serta gas masing-masing meningkat 1.3 peratus dan 0.2 peratus tahun ke tahun.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, beliau menambah IHPR pengeluaran tempatan merekodkan peningkatan marginal 0.6 peratus pada Julai 2021 berbanding 0.2 peratus pada bulan sebelumnya.

“Pertumbuhan positif ini disokong oleh indeks perlombongan yang tumbuh 3.9 peratus bulan ke bulan, diikuti indeks bagi pertanian, perhutanan dan perikanan serta pembuatan yang masing-masing meningkat 2.2 peratus dan 0.2 peratus bulan ke bulan,” katanya.

Namun begitu, Mohd Uzir berkata indeks bekalan elektrik dan gas serta bekalan air mencatatkan penurunan 0.2 peratus bulan ke bulan.

Sementara itu, beliau berkata peningkatan IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan disumbangkan terutamanya oleh indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya yang meningkat 35.8 peratus tahun ke tahun.

“Pada masa yang sama, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen turut meningkat 10.5 peratus tahun ke tahun.

Namun begitu, indeks barang siap mencatatkan penurunan 0.4 peratus tahun ke tahun, katanya.

Sumber: Bernama

Indeks Harga Pengeluar pengeluaran tempatan naik 11.7 peratus tahun ke tahun pada Julai 2021 – Perangkaan


Content Type:

Duration:

Tri-Mode System (M) Bhd, penyedia perkhidmatan logistik bersepadu hari ini  mengumumkan  telah menerima kelulusan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk insentif cukai perkhidmatan logistik bersepadu (ILS) dan status perkhidmatan logistik bersepadu antarabangsa (IILS).

Dalam satu kenyataan, ia berkata insentif cukai ILS membolehkan Tri-Mode menikmati pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus daripada pendapatan berkanun selama lima tahun melalui status perintis insentif cukai (PS) yang diluluskan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986.

Di bawah terma dan syarat yang ditetapkan dalam surat kelulusan, Tri-Mode harus memastikan sekurang-kurangnya 60 peratus ekuitinya dipegang oleh rakyat Malaysia, mengekalkan penyediaan perkhidmatan logistik bersepadu seperti penghantaran barang, pengangkutan dan pergudangan serta menjalankan sekurangkurangnya salah satu aktiviti nilai tambah seperti pengurusan pengedaran dan rantaian bekalan, katanya.

Bagi status IILS, ia membolehkan Tri-Mode memiliki 100 peratus pemilikan ekuiti dalam mana-mana lesen ejen penghantaran barang yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Tri-Mode pada masa ini mengendalikan gudang seluas 85,485 kaki persegi yang telah berisi sepenuhnya. Gudang lain yang berkeluasan 28,000 kaki persegi sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada suku keempat 2021.

Sumber: Bernama

Tri-Mode peroleh kelulusan insentif cukai, pelesenan daripada MIDA


Content Type:

Duration:

Pahang mencatatkan nilai eksport berjumlah RM28.8 bilion pada 2020 iaitu peningkatan sebanyak RM3.4 bilion atau 13.5 peratus berbanding RM25.4 bilion pada tahun sebelumnya, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurutnya, antara komponen utama yang menyumbang terhadap prestasi tersebut ialah barangan berasaskan besi dan keluli bernilai RM10.5  bilion, oleokimia berasaskan kelapa sawit (RM1.9 bilion), barangan elektrik dan elektronik (RM863 juta) serta keluaran petroleum bertapis (RM571 juta).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lee Ah Wong (BN-Cheka) mengenai nilai perdagangan Pahang bagi 2020 pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini, hari ini.

Selain itu, Wan Rosdy turut memaklumkan mengenai kelewatan melibatkan pelaksanaan projek  mengatasi masalah air keruh bernilai RM18 juta merangkumi tiga loji rawatan air (LRA) di Raub di Sungai Bilut, Sungai Semantan dan Sungai Klau.

“Kelewatan ini mungkin disebabkan oleh pandemik COVID-19 kerana ada masanya kita tidak mempunyai barangan untuk melaksanakan kerja tersebut,” katanya ketika menjawab pertanyaan Chow Yu Hui (DAP-Tras) mengenai status pelaksanaan projek tersebut.

Menurut Wan Rosdy, ini melibatkan LRA Sungai Bilut yang lewat tiga peratus dan LRA Sungai Klau dengan kelewatan 4.42 peratus manakala kerja di LRA Sungai Semantan sebaliknya berjalan mengikut jadual.

Semua projek tersebut dijangka siap pada Februari dan April 2022, kata beliau.   

Sumber: Bernama

Nilai eksport Pahang naik 13.5 peratus kepada RM28.8 bilion – MB


Content Type:

Duration:

Memandangkan keadaan ketidakstabilan politik negara telah  mereda dan kadar vaksinasi terus meningkat, tumpuan utama kini adalah untuk menggerakkan kembali ekonomi dan membuka semula lebih banyak sektor bagi memastikan perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kekal bertahan, kata seorang ahli ekonomi.

Profesor Madya Ahmed Razman Abdul Latiff daripada Putra Business School berkata insiatif pemberian bantuan pembayaran sekali kepada PKS mungkin tidak lagi berkesan sekarang kerana perniagaan perlu menjana pendapatan mereka sendiri untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Kita perlu memastikan ada kecairan dalam pasaran dan perniagaan dapat menjana pendapatan bagi menampung gaji pekerja mereka dan menghasilkan pengganda ekonomi apabila menjalankan urus niaga. 

“Ini hanya boleh dicapai dengan membukakan lebih banyak sektor ekonomi secepat mungkin dan membenarkan orang ramai untuk bergerak antara daerah dan negeri, tetapi sudah tentunya tertakluk kepada prosedur operasi standard (COVID-19),” katanya pada program Mid-day Update Bernama TV, hari ini.

Sementara itu,  Ahmed Razman berkata keyakinan pelabur tempatan mungkin telah kembali pulih apabila ketidakstabilan politik negara telah mereda dengan pelantikan perdana menteri baharu. 

“Kita boleh lihat petandanya sekiranya anda melihat kepada bursa saham dan FTSE Bursa Malaysia KLCI sejak dua hari lepas, apabila ia meningkat di atas paras 1,500,” katanya.

Bagaimanapun  beliau berkata, pelabur asing mungkin mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana mereka mungkin mahu melihat dahulu bagaimana pembentukan kabinet kerajaan.

“Mereka mungkin juga mahu mengetahui apa yang akan dibentangkan di Parlimen bulan depan bagi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), serta Belanjawan 2022 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada Oktober,” katanya.   

Sumber: Bernama

Kini masanya untuk gerakkan kembali ekonomi – Ahli ekonomi


Content Type:

Duration:

Sebanyak 30 syarikat berminat untuk melabur di Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA) sehingga Julai tahun ini, kata Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata, daripada jumlah itu lima syarikat yang komited telah mendapat kelulusan dasar melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi melaksanakan projek pelaburan di CVIA.

“Syarikat yang telah diluluskan oleh MMKN adalah Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dengan anggaran pelaburan sebanyak RM54 juta, Biotech Birdnest Processing Sdn Bhd dengan anggaran pelaburan RM13 juta, Next Generation Oil Sdn Bhd dengan anggaran pelaburan RM2 bilion.

“Selain itu Universiti Kuala Lumpur Asian Sustainable Transportation Institute (UniKLASTI) dengan anggaran pelaburan RM197 juta dan Perlis Inland Port dengan anggaran pelaburan RM1.8 bilion juga telah mendapat kelulusan yang sama daripada MMKN,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks DUN Perlis, hari ini.

Azlan berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang ingin tahu jumlah pelabur yang menyatakan minat untuk melabur di CVIA dan jumlah pelaburan terbesar yang boleh meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perlis.

Katanya, baki pelabur yang berminat untuk melabur di CVIA adalah syarikat yang terbabit dengan solar hab atau ladang solar di atas tanah kerajaan negeri.

Menurutnya, kerajaan berpendapat pelaburan ladang solar ini tidak mendatangkan kesan ataupun impak yang tinggi kepada kerajaan negeri dan ia menggunakan tanah yang luas.

“Kerajaan negeri bagaimanapun secara dasar telah meluluskan untuk projek janakuasa tenaga berhampiran CVIA di kawasan Padang Besar yang bakal menjana 1,000 hingga 1,500 megawatt dengan nilai pelaburan antara RM4 bilion hingga RM6 billion,” katanya.

Sumber: Bernama

30 syarikat berminat melabur di Chuping


Content Type:

Duration:

Pandemik Covid-19, program vaksinasi, peralihan ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), senario ekonomi dan perancangan pembangunan menjadi antara intipati utama Perutusan Khas Sempena Sambutan Hari Jadi Rasmi ke-72 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook Kerajaan Negeri Melaka pada Selasa, Mohd Ali menyeru agar semua pihak terus bertenang dalam menghadapi situasi penularan Covid-19 berikutan peningkatan kes di Malaysia amnya dan Melaka khususnya pada masa ini.

Katanya, beliau berharap program vaksinasi yang sedang giat dijalankan pada masa ini, dapat membentuk komuniti kelompok dan bakal memulihkan negara dalam tempoh tidak berapa lama lagi, di samping menyeru rakyat terus membudayakan norma baharu dengan mematuhi semua prosedur operasi standard yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

“Negeri Melaka dijangka beralih ke Fasa Dua PPN menjelang bulan September 2021 dan tanpa kerjasama daripada semua pihak, usaha mengawal penularan Covid-19 ini tidak mampu dicapai dan akan terus memberi kesan negatif kepada sosioekonomi negeri Melaka,” katanya.

Mohd Ali berkata, antara cabaran utama pandemik Covid-19 adalah rakyat kehilangan sumber mata pencarian bagi meneruskan kehidupan dan secara langsung turut memberi kesan kepada kadar pengangguran di Melaka.

Katanya, pada 2020, Melaka mencatat kadar pengangguran 2.2 peratus iaitu kedua terendah selepas Putrajaya, malah kadar tersebut adalah jauh lebih rendah berbanding 4.5 peratus di peringkat nasional.

Pun begitu katanya, laporan pelaburan Melaka pada tahun ini memberi gambaran positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri, dan berharap keadaan tersebut terus meningkat sehingga hujung tahun malah pada tahun-tahun mendatang.

Mohd Ali berkata, berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Melaka merekodkan RM3.425 bilion jumlah pelaburan sehingga Mac tahun ini, membabitkan RM3.264 bilion pelaburan asing dan RM161 juta pelaburan domestik.

“Walaupun kita sedang berhadapan krisis ekonomi, saya mencadangkan supaya usaha-usaha untuk mempromosi Melaka sebagai salah sebuah destinasi pelaburan yang kondusif di negara ini, akan terus dipertingkatkan.

“Agensi-agensi seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Invest Melaka, Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ), serta anak-anak syarikat kerajaan negeri hendaklah melaksanakan peranan masing-masing untuk tujuan tersebut,” katanya.

Sebagai negeri yang berteraskan pelancongan, Mohd Ali berkata, penutupan sempadan dan sekatan perjalanan telah memberi impak yang ketara dalam sektor ini, malah kedatangan pelancong ke Melaka menunjukkan penurunan ketara, iaitu 5.7 juta pelancong pada 2020 berbanding 18.73 juta orang pada 2019.

“Bagaimanapun, saya amat berbangga dengan usaha pantas kerajaan negeri, mengatur dan merancang supaya sektor pelancongan ini terus diaktifkan, walaupun dalam keadaan yang amat mencabar.

“Inisiatif seperti membangunkan Melaka Tourism Digital Platform dengan kempen Melaka Safe Haven, Melaka Is The Place To Be dan Relax In Melaka, serta kempen Melakan Visit Melaka amatlah bertepatan, dan harus dilaksanakan secara berterusan bagi menarik kehadiran pelancong ke negeri ini pada tahun ini, dan menjadikan Melaka sebagai destinasi pilihan utama,” katanya.

Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri dan anggota pentadbiran kerajaan, pasukan keselamatan dan rakyat di sektor swasta, yang berusaha keras untuk memastikan Melaka terus cemerlang.

“Tidak ketinggalan, saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada frontliners yang terus cekal bertugas saban hari tanpa mengira penat dan lelah, dalam memastikan situasi Covid-19 ini dapat ditangani dengan baik.

“Saya juga mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa Covid-19 yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya dan mendoakan semoga semua pesakit Covid-19 diberikan kesembuhan segera,” katanya.

Sumber: Bernama

Masih ada sinar buat Melaka di sebalik kemelut pandemik


Content Type:

Duration:

Malaysia bersedia untuk memanfaatkan pendigitalan berikutan keperluan untuk membuat perubahan dilihat ketara semasa pandemik COVID-19, menurut Cyberview Sdn Bhd.

Ketua Bahagian Pembangunan Hab Teknologinya Shafinaz Salim menegaskan mengenai keperluan untuk mendidik perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berhubung penggunaan digitalisasi.

Beliau berkata, terdapat beberapa penyelesaian di peringkat tempatan yang boleh digunakan untuk pendigitalan.

“Malah, bagi kami di Cyberview, apabila kita bercakap tentang tonggak strategi Cyberjaya dari segi bandar pintar, kami berkongsi pengetahuan dan pengalaman kami kepada semua agensi kerajaan mengenai bandar pintar. Terdapat negeri berbeza yang mempunyai keperluan geografi dan pembiayaan yang berlainan, tidak semua mempunyai kelebihan kerana kebanyakannya berada di pinggir bandar atau di kawasan luar bandar.

“Bagaimanapun, kesemuanya teruja untuk memulakannya. Yang penting bagaimana mereka boleh melakukannya. Sebagai permulaan, di manakah mereka boleh mendapatkan bantuan, sesuatu yang tidak perlu mereka lakukan dari awal,” katanya semasa program ‘Tech Talk for 2021’ Cyberview, kali ketiga yang diadakan secara maya hari ini.

Shafinaz berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia telah bersedia untuk pendigitalan.

Sementara itu, rakan pengurusan Finnext Capital Sdn Bhd Aizat Rahim berkata PKS perlu menguruskan aliran tunai mereka dengan lebih baik dan membuat lebih banyak pelaburan dalam inovasi untuk terus maju.

“Banyak perniagaan berpendapat, ketika mereka mahu melakukan digitalisasi, ia memerlukan pelaburan yang besar…tetapi, ia tidak benar. Penyelesaian teknologi sebenarnya murah, serendah RM5 setiap bulan.

“Mereka perlu melihat apakah penyelesaian yang diperlukan dan pada masa ini juga, kerajaan telah menyediakan banyak insentif. MDEC misalnya, menyediakan geran. Kos untuk menjalankan pendigitalan sebenarnya murah,” katanya.

Bagaimanapun, rakan Itxotic Sdn Bhd, Ammar Zolkipli berkata kurangnya kumpulan kemahiran yang sesuai adalah isu jangka panjang yang tidak diselesaikan dengan lebih awal.

“Kekurangan Malaysia adalah set kemahiran. Saya berpandangan, dasar merupakan sesuatu yang tidak kita perkukuh, oleh itu perniagaan tanpa dasar yang teguh, akan cuba untuk melakukan yang termampu untuk terus beroperasi dan tidak mendorong pertumbuhan inovasi.

“Ia hanya memacu pertumbuhan hasil,” katanya.

Sumber: Bernama

Cyberview: Malaysia bersedia memanfaatkan pendigitalan


Content Type:

Duration:

Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd berhasrat untuk menyokong Malaysia dalam membangun dan memperkukuh ekonomi digitalnya di bawah kepimpinan serta pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baharu dilantik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Michael Yuan berkata sejak 20 tahun lepas, Huawei telah diberikan penghormatan untuk bersama dengan Malaysia dalam perjalanan ke arah transformasi digitalnya.

“Sepanjang tempoh itu, kami telah menyaksikan pertumbuhan mengagumkan serta sukar dipercayai berkat bakat luar biasa dan kepimpinan digital negara yang cemerlang.

“Justeru, Huawei sentiasa bersedia dan sanggup, sebagai peneraju teknologi global, untuk terus menjadi penyumbang berharga kepada kemajuan digital Malaysia menerusi kepakaran serta sumber teknologi kami, dan dalam usaha memperkukuh kedudukan negara ini sebagai Hab Digital Asean,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri yang dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan Malaysia pada 21 Ogos lepas, Yuan berkata: “Kami mendoakan agar Perdana Menteri diberikan kesihatan yang baik dan kejayaan yang cemerlang, serta memperoleh keamanan, kestabilan, kemajuan dan kemakmuran untuk rakyat Malaysia di bawah kepimpinan beliau.”

Ahli Parlimen Bera itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Sumber: Bernama

Huawei berhasrat sokong Malaysia dalam ekonomi digital di bawah PM baharu


Content Type:

Duration:

Penularan pandemik COVID-19 memberi impak yang besar bukan sahaja terhadap kesihatan rakyat tetapi juga ekonomi negara.

Pengalaman ini sebenarnya menekankan lagi keperluan kepada penguasaan teknologi baharu seperti yang digariskan di bawah Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara.

Dilancarkan pada 1 Julai lepas, Dasar 4IR Negara membawa misi  memacu pertumbuhan yang seimbang, bertanggungjawab dan mampan dengan memanfaatkan penggunaan teknologi dan inovasi.

Dasar ini  menyediakan prinsip panduan utama dan hala tuju strategik kepada kementerian dan agensi dalam penggubalan dasar dan pelan tindakan, bagi mengoptimumkan pengagihan sumber dan penyelarasan pelaksanaan dalam perkara berkaitan teknologi baru muncul yang akan memanfaatkan rakyat, sector swasta dan awam.

MEMACU PENDIGITALAN NEGARA

Dalam penjelasannya kepada Bernama, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri berkata pelaksanaan Dasar 4IR Negara adalah sangat kritikal pada masa ini, khususnya ketika negara menuju ke arah fasa pemulihan daripada pandemik.

Apatah lagi negara-negara lain sudahpun mengorak langkah secara proaktif dalam melaksanakan 4IR.

Justeru kata EPU, negara ini juga tidak boleh lagi berjuang tanpa kemahiran yang sepatutnya kerana pasaran pekerjaan semasa akan berubah mengikut perubahan teknologi, selain membantu negara bersedia dengan bidang kerja baharu pada masa akan datang.

“Melalui penerimagunaan teknologi baru muncul ini, Malaysia akan terus berada di landasan yang tepat untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, selari dengan tahap produktiviti, inovasi dan daya saing untuk maju dengan pesat.

“Utamanya, kerajaan melihat konsep penerimagunaan teknologi 4IR ini secara holistik yang merangkumi ketiga-tiga aspek kehidupan rakyat, iaitu  kehidupan, pekerjaan dan gaya hidup. Dasar 4IR Negara ini secara asasnya adalah manifestasi kehidupan rakyat yang lebih berkualiti dan mampan dalam era teknologi digital,” jelas EPU.

Menurut EPU, dasar ini juga bermatlamat meningkatkan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (MyWI) kepada 136.5 mata pada 2030, berbanding 124.4 mata pada 2018.

“Sebab itulah Dasar 4IR Negara ini mengguna pakai pendekatan berpaksikan kemanusiaan. Menerusi Dasar 4IR, kerajaan mampu teruskan usaha merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat Malaysia – antara bandar dan desa, generasi muda dan tua contohnya,” katanya.

JADI SOKONGAN KEPADA DASAR LAIN

Menurut EPU lagi, Dasar 4IR Negara secara asasnya akan memudah cara transformasi sosioekonomi melalui penggunaan teknologi 4IR secara beretika.

Dasar itu juga akan turut memacu hala tuju dasar lain dan menyokong pelaksanaan agenda negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan Rancangan Malaysia Lima Tahun.

Melalui Dasar 4IR Negara, kerajaan mampu mewujudkan ekosistem yang kondusif dalam memacu pendigitalan melalui kesepaduan teknologi dalam pelbagai bidang dan memudah cara pengenalan model perniagaan baharu, kata EPU.

Menurut EPU, kerajaan menggubal Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia bersama-sama Dasar 4IR Negara agar saling melengkapi.

“Kedua-dua dokumen ini dihubungkan di bawah MyDIGITAL, satu agenda negara bagi memastikan usaha yang telah digariskan oleh kedua-dua dasar dapat diintegrasikan dan dilaksanakan dengan jayanya bagi memberi manfaat kepada rakyat, perniagaan dan kerajaan,” katanya.

Jelasnya, menerusi transformasi pendigitalan negara, akan berlaku perubahan landskap ekonomi digital dari segi peningkatan literasi digital, kewujudan pekerjaan baharu dan berpendapatan tinggi, pengurusan perbankan dan kewangan yang lebih mudah dan teratur, akses yang lebih baik bagi pendidikan secara maya kepada anak-anak serta kemudahan mobilisasi perubatan untuk pekan terpencil.

“Contohnya, untuk menjalankan perniagaan pada zaman ini tidak perlu lagi menyewa kedai, tetapi boleh berniaga secara digital, buka kedai dalam talian di Facebook, Instagram atau WhatsApp sahaja, promosi produk atau perkhidmatan secara dalam talian. Seluruh rantaian bekalan ini dapat bergerak secara digital sepenuhnya,” kata EPU.

TANGANI MASALAH EKONOMI, PANDEMIK

Dasar 4IR Negara akan memberi tumpuan kepada 10 sektor utama serta enam sektor sokongan berdasarkan sumbangan sektor terbabit kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), di samping peranan sektor-sektor ini untuk mempengaruhi pertumbuhan sektor lain antaranya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Sektor-sektor tersebut ialah Perdagangan Borong dan Runcit; Pengangkutan dan Logistik; Pelancongan; Pendidikan; Pertanian; Penjagaan Kesihatan; Kewangan dan Insurans; Perkhidmatan Profesional, Saintifik dan Teknikal; Pembuatan serta Utiliti.

“Enam sektor sokongan pula ialah Pembinaan; Hartanah; Perlombongan dan Pengkuarian; Perkhidmatan Maklumat dan Komunikasi; Perkhidmatan Kesenian, Hiburan dan Rekreasi; serta Pentadbiran dan Khidmat Sokongan,” kata  EPU.

Mengenai PMKS, agensi itu berkata Dasar 4IR Negara menggariskan pelan yang holistik bagi membantu melonjakkan perniagaan sektor tersebut  termasuk menyediakan bantuan untuk membolehkan pengusaha PMKS memanfaatkan teknologi.  

“Daripada bantuan kewangan dalam bentuk insentif dan pembiayaan kepada khidmat nasihat dan bantuan sokongan maklumat – kerajaan akan membantu PMKS untuk bersedia,” kata EPU.

Hingga kini, sebanyak  RM20 bilion telah diperuntukkan dari segi bantuan kewangan dan bantuan bukan kewangan melalui pelbagai pakej rangsangan seperti PRIHATIN, PENJANA dan PEMERKASA untuk membantu perniagaan, terutama PMKS ke arah pendigitalan.

Sektor kesihatan juga menerima tumpuan yang amat besar di bawah Dasar 4IR Negara, khususnya bagi memerangi pandemik COVID-19, dengan kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan ketidakpadanan rantaian bekalan dan penyampaian perkhidmatan dalam industri penjagaan kesihatan menerusi penggunaan teknologi 4IR.

“Antara lain, kita akan membangunkan rangka kerja penerimagunaan teknologi yang pantas bagi teknologi 4IR berkaitan penjagaan kesihatan, selain membangunkan standard nasional dan garis panduan untuk program robotik dan dron berkaitan penjagaan kesihatan,” kata EPU.

MEMPERKASA EKONOMI DIGITAL

Sementara itu, pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed pula berpandangan  Dasar 4IR Negara adalah penerusan usaha kerajaan dalam memperkasa penggunaan teknologi dan 4IR.

Usaha ini katanya harus disokong semua pihak bagi mempercepat proses pendigitalan negara.

Beliau berkata pada masa ini, kira-kira 80 peratus rakyat Malaysia mempunyai akses kepada Internet sementara  62 peratus daripada perniagaan memanfaatkan Internet.

Angka ini berpotensi untuk meningkat pada masa depan, lebih-lebih lagi pada ketika ini berlaku keterbatasan perniagaan secara fizikal disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya.

Beliau memberi contoh langkah awal yang telah diambil oleh kerajaan, termasuk persetujuan gergasi teknologi Microsoft melabur RM4 bilion dengan pembukaan pusat data serantau pertamanya di Malaysia, yang akan menjana lebih 19,000 peluang pekerjaan baharu termasuk 4,000 atau sekitar 21 peratus peluang pekerjaan dalam bidang teknologi maklumat (IT).

Oleh itu, sokongan kerajaan dalam meningkatkan pelaburan berasaskan teknologi ini adalah selari dengan inisiatif yang dirangka dalam 4IR dan ini akan berterusan, sekali gus meningkatkan kebergantungan kepada ekonomi digital melalui 4IR, katanya.

Berhubung cadangan penambahbaikan dasar, Dr Anuar Shah Bali berkata antara yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan ialah menyediakan platform dalam talian yang boleh disertai oleh ramai usahawan bumiputera yang terjejas pendapatan disebabkan oleh PKP 3.0.

“Untuk mempercepat proses peralihan PMKS ke perniagaan dalam talian, kerajaan boleh berunding dengan penyedia pasaran dalam talian di Malaysia seperti Lazada dan Shopee untuk menyediakan lebih banyak ruang kepada usahawan terbabit menyertai platform mereka.

“Memang benar kebanyakan vendor sedia ada di platform terbabit adalah daripada PMKS, namun apa yang penting ialah kerajaan juga perlu menyediakan lebih banyak ruang, latihan dan pendedahan kepada mereka tentang dunia perniagaan secara dalam talian bagi membolehkan mereka lebih bersedia,” jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan juga boleh membantu usahawan PMKS yang mempunyai kedai fizikal dalam mempromosikan produk mereka melalui platform dalam talian dan bekerjasama dengan Lazada dan Shopee atau platform lain yang mampu menarik minat pengguna untuk membeli produk mereka. Katanya teknologi baharu yang ingin diperkenalkan juga perlulah mudah digunakan serta dilihat berguna untuk rakyat, khususnya kepada PMKS dalam menjana pendapatan masing-masing.

Beliau yakin dua perkara tersebut akan dapat membantu meningkatkan penerimaan teknologi dalam kalangan usahawan PMKS.

Sumber: Bernama

Dasar 4IR Negara Pacu Usaha Bersepadu Pembangunan Sosioekonomi


Content Type:

Duration:

Kemasukan pelajar antarabangsa ke Universiti Sains Malaysia (USM) meningkat lebih dua kali ganda di sebalik pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia ketika ini.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, jumlah kemasukan pelajar antarabangsa di USM meningkat kepada 1,086 pelajar bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, berbanding 338 pelajar bagi tempoh sama pada 2020.

“Pelbagai kaedah digunakan USM bagi memastikan peningkatan jumlah pelajar antarabangsa, antaranya mempelbagaikan aktiviti promosi secara berkala dan mempermudahkan proses pendaftaran diri pelajar secara dalam talian.

“Selain itu, USM juga meningkatkan kecekapan dalam kaedah pemprosesan permohonan dan mengoptimumkan pelbagai saluran komunikasi digital serta interaksi bersama bakal pelajar seperti e-mel, Facebook, Facebook Messenger, Sistem Pesanan Ringkas (SMS), WeChat, WhatsApp dan Zoom,” katanya baru-baru ini.

Menurutnya, kejayaan USM itu juga hasil usaha berterusan ahli akademik dan kerjasama pusat pengajian USM dalam memastikan pembelajaran dapat terus dilaksanakan dengan sebaik mungkin walaupun dalam suasana pandemik yang agak mencabar.

Antaranya ialah Institut Pengajian Siswazah (IPS); Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC); Pejabat Pembangunan Korporat Strategik; Bahagian Akademik dan Antarabangsa; Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni; Usains Holdings Sdn Bhd; Bahagian Penyelidikan dan Inovasi serta Bahagian Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM.

Turut membantu kejayaan USM, ialah pelbagai agensi luar termasuk Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Jabatan Imigresen Malaysia, katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Datuk Dr Narimah Samat berkata, sejak bermulanya pandemik Covid-19 pada awal Mac 2020, USM telah melaksanakan kaedah pembelajaran teradun (blended learning) iaitu menggabungkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dan bersemuka mengikut keperluan dan kesesuaian pelajar antarabangsa manakala penyeliaan pelajar penyelidikan dijalankan secara maya.

Katanya, bagi program ijazah tinggi, USM menerima kemasukan pelajar antarabangsa tertinggi antaranya dari China, Jordan, Iraq, Nigeria dan Pakistan.

“Bidang yang menjadi pilihan utama pelajar antarabangsa di USM pula adalah Pengurusan, Pendidikan, Sains Komputer, Bahasa Inggeris untuk Profesional dan Seni,” katanya.

Narimah berkata, usaha mempromosi kemasukan pelajar antarabangsa ijazah tinggi bagi kursus dan program berasaskan penyelidikan turut dipergiatkan secara maya, khususnya bidang Seni, Kemanusiaan, Pengurusan dan bidang lain yang kurang terkesan dengan sekatan pergerakan dalam penggunaan makmal ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pihak universiti juga memanfaatkan tempoh ‘lockdown’ makmal Sains dan Kejuruteraan dengan menjalankan kerja-kerja menaik taraf ruang dan peralatan sedia ada di beberapa fakulti yang dikenal pasti, supaya dapat memberi suasana pembelajaran dan penyelidikan yang kondusif dan terbaik untuk menarik pelajar antarabangsa menyambung pengajian di USM,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Pembangunan Korporat Strategik USM, Sabri Said berkata, pihak universiti akan terus memastikan jumlah kemasukan pelajar antarabangsa sentiasa berada pada tahap terbaik melalui kolaborasi antarabangsa dengan pelbagai rakan strategik selain menawarkan program akademik USM di luar negara.

“Usaha proaktif ini bagi memastikan USM kekal kompetitif dan menjadi destinasi pilihan pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah dan ijazah tinggi,” katanya.

Sumber: Bernama

USM terus jadi destinasi pilihan pelajar antarabangsa


Content Type:

Duration:

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menzahirkan rasa bersyukur kerana negeri itu masih menjadi pilihan pelabur tempatan dan asing untuk menjalankan perniagaan walaupun dihimpit pandemik COVID-19 yang berpanjangan.

Baginda bertitah, keadaan tersebut didorong oleh kemudahan prasarana yang lengkap dan moden serta dasar-dasar kerajaan yang dapat memudah cara aspek persekitaran perniagaan.

Sultan Sharafuddin bertitah, pakej-pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat dan disokong oleh kerajaan negeri bagi memastikan kelangsungan persekitaran perniagaan, juga berjaya mengekalkan Selangor sebagai pusat tumpuan ekonomi negara.

Titah baginda, ini berikutan  Selangor turut menempatkan sebilangan besar kalangan pemain perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta  industri pembuatan dan perkilangan.

“Kelebihan daya saing ini menyaksikan prestasi pelaburan dan perindustrian 2020 dengan pencapaian cemerlang yang mana Selangor mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

“Sebanyak 324 projek perkilangan telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah RM18.43 bilion iaitu RM6.95 bilion (37.7 peratus) adalah pelaburan tempatan dan RM11.48 bilion (62.3 peratus) daripada pelaburan asing.

“Jepun masih merupakan pelabur utama dan diikuti oleh Belanda  dan China,”  titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-14, di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, di sebalik kemelut COVID-19 itu, baginda turut dimaklumkan bahawa sebanyak 19,950 potensi peluang pekerjaan berjaya diwujudkan menerusi projek-projek perkilangan yang diluluskan di Selangor.

“Petaling mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi berbanding daerah lain di negeri itu dengan nilai pelaburan melebihi RM5.934 bilion. Ini diikuti oleh Kuala Langat dengan jumlah melebihi RM5.785 billion dan Klang melebihi RM3.477 billion.

“Nilai pelaburan itu melepasi nilai sasaran pelaburan sebanyak RM12 bilion pada 2020,” titah baginda.

Bagi tahun ini, Sultan Selangor bertitah sasaran pelaburan yang ditetapkan masih RM12 bilion berdasarkan jangkaan berlaku pengurangan dalam aktiviti pelaburan akibat penularan COVID-19 selain proses pemulihan ekonomi dihadapi negara ketika ini.

Sumber: Bernama

Sultan Sharafuddin zahir rasa syukur Selangor kekal pilihan pelabur


Content Type:

Duration:

Kebanyakan majikan di negara ini sukar untuk mengisi jawatan berkemahiran digital di organisasi masing-masing berikutan kekurangan tenaga kerja dalam kalangan siswazah baharu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Akademi GA Sdn Bhd Andrew Pereira.

Beliau berkata banyak tugas atau jawatan dalam bidang kemahiran digital yang tidak mempunyai bekalan tenaga kerja yang mencukupi memandangkan kekosongan di pasaran telah meningkat tiga kali ganda.

“Jumlah siswazah dalam bidang digital tidak meningkat tiga kali ganda sejak tahun lepas dan kebanyakan organisasi tidak boleh mengakses tenaga kerja asing melalui kaedah yang sama dilakukan seperti sebelum pandemik, justeru, majikan sebenarnya sukar untuk mengisi jurang ini.

“Ini termasuk tugas-tugas seperti penganalisis, pembangun perisian dengan pelbagai bahasa pengaturcaraan pengekodan, pereka bentuk antara muka pengguna/pengalaman pengguna (UI/UX), saintis data, pemasar digital, pereka bentuk produk, pengurus produk serta pereka bentuk visual,” katanya dalam program The Nation bertajuk  “Dealing with rapid digitalisation” yang disiarkan di Bernama TV hari ini.

Akademi GA adalah rakan eksklusif General Assembly (GA) di Malaysia dan telah menerima hak untuk memasarkan dan menyampaikan kursus digital GA untuk manfaat pekerja tempatan dan agenda digital negara.

Ia menawarkan program untuk meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula melalui beberapa kursus seperti sains data, pemasaran digital, UI/UX, pengurusan produk, teknologi dan sebagainya.

Pereira berkata, pada masa ini Akademi GA bekerjasama dengan organisasi untuk melengkapkan pekerja mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakan proses transformasi digital dengan sokongan Khazanah Nasional Bhd dan Kementerian Pengajian Tinggi (MOHE).

“Kami membantu pelbagai agensi kerajaan untuk mengenal pasti kemahiran digital yang diperlukan agar ekonomi Malaysia terus maju dan melaksanakan program yang disasarkan dan membantu membina kemahiran-kemahiran itu.

“Kami juga bekerjasama dengan individu untuk membantu mereka memahami apakah kemahiran digital yang mereka perlukan untuk menjadikan matlamat karier mereka menjadi realiti dan menyampaikan program-program itu kepada mereka,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia masih kekurangan pekerja berkemahiran digital – Akademi GA


Content Type:

Duration:

Ekonomi Johor diunjur berkembang antara tiga hingga lima peratus tahun ini dengan negeri itu kini berada di landasan pemulihan, kata Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.

Beliau berkata unjuran itu adalah berdasarkan kepada unjuran di peringkat nasional yang telah dikemaskinikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu pada tiga hingga empat peratus.

Menurutnya, ekonomi Johor kekal berada pada landasan pemulihan pada 2021 didorong terutamanya oleh peningkatan program vaksinasi di negeri ini yang sekali gus membolehkan ia beralih ke fasa berikutnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Hasni yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Benut berkata sektor ekonomi yang dibuka semula dijangka memulihkan sentimen isi rumah dan perniagaan secara beransur-ansur.

“Ekonomi Johor akan menerima faedah limpahan kesan positif daripada peningkatan permintaan luaran, permintaan terpendam domestik serta pelaburan yang berterusan dalam projek infrastruktur berskala besar,” katanya pada penggal persidangan keempat Dewan Undangan Negeri Johor, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, pakej rangsangan ekonomi (PRE) Ihsan Johor 1.0, 2.0 dan 3.0 juga berjaya memberikan sokongan aliran tunai, khususnya kepada isi rumah dan perniagaan yang terjejas.

Pada tahun lepas prestasi ekonomi Johor menguncup kepada 4.6 peratus berbanding penguncupan 5.6 peratus di peringkat nasional.

Berdasarkan penyata kewangan pada 17 Ogos, 2021, Hasni berkata, kedudukan kewangan negeri berada pada tahap stabil dengan baki terkumpul Kumpulan Wang Disatukan (Rizab Negeri) berjumlah RM1.38 bilion.

Menteri Besar berkata hasil kerajaan negeri yang telah dikutip sehingga 17 Ogos berjumlah RM1.05 bilion atau 65.29 peratus berbanding anggaran asal.

“Kedudukan kewangan Negeri Johor pada ketika ini adalah pada kedudukan surplus dengan lebihan berjumlah RM 184.72 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Chew Chong Sin (PH-Mengkibol), Abd Taib Abu Bakar (PN-Machap), Khairuddin A. Rahim (PH-Senggarang), Datuk Md Othman Yusof (PN-Kukup), Aminolhuda Hassan (PH-Parit Yaani) dan Tan Chen Choon (PH-Jementah).

Kesemua ADUN berkenaan bertanyakan bagaimana mengenai prestasi ekonomi Johor semenjak pandemik COVID-19 tercetus dan unjuran prestasi bagi tahun ini.

Sumber: Bernama

Ekonomi Johor diunjur berkembang tiga hingga lima peratus pada 2021


Content Type:

Duration:

Iconic Worldwide Bhd (Iconic Worldwide) telah mengembangkan rangkaian produk peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk merangkumi alat perubatan diagnostik in-vitro (IVD) dan pelitup muka ‘copper oxide’ selaras dengan lonjakan ke atas permintaan baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Iconic Worldwide berkata ini adalah sebahagian daripada usahanya  untuk meningkatkan sumbangan pendapatan daripada segmen PPE syarikat, yang menyumbang 15.19 peratus daripada jumlah pendapatannya pada tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2021.

“Cabang penjagaan kesihatannya, Iconic Medicare Sdn Bhd telah bekerjasama dengan pengeluar peralatan asli (OEM) dari Amerika Syarikat untuk alat perubatan seperti ‘Coronavirus Ag Rapid Test Cassette’ (ujian calitan), COVID-19 Ag Rapid Test Cassette (ujian cecair); dan ‘SARS-CoV-2 Neutralising Antibody Rapid Test Cassette’ (seluruh darah, serum, plasma),” katanya.

Pengarah Urusan Datuk Tan Kean Tet berkata kumpulan kini sedang memohon mendapatkan kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) untuk membolehkan produk berkenaan dijual di Malaysia.

“Permintaan untuk kit ujian pada masa ini sangat tinggi kerana kilang melakukan pemeriksaan saringan secara mingguan dan masyarakat umum pula menggunakannya di rumah dengan lebih kerap untuk menguji kesihatan diri.

“Kami menyasar untuk melancarkan produk ini pada suku keempat tahun ini,” tambah beliau.

Selain itu, Iconic Worldwide berkata unit penjagaan kesihatannya telah mempelbagaikan rangkaian produk pelitup muka dengan menghasilkan jenis pelitup pelindung baharu seperti KF99 dan KN99.

Ia dilengkapi dengan struktur pelitup 3D untuk perlindungan yang lebih baik dan pelindung penerobosan berganda yang meningkatkan prestasi penapisan keseluruhan. 

“Ini adalah alat pelindung pernafasan piawaian tertinggi yang tersedia, oleh itu dengan meningkatnya jumlah kes baru-baru ini, kami melihat permintaan tinggi untuk produk ini dalam pasaran,” kata Tan.

Beliau menambah pengembangan rangkaian produk PPE ini diharap dapat memberikan sumbangan positif kepada keseluruhan pendapatan masa depan dan juga pendapatan sesaham kumpulan.

Sumber: Bernama

Iconic Worldwide kembangkan rangkaian produk PPE


Content Type:

Duration:

Kawasan Perindustrian Zon Bebas Kinta dipilih sebagai projek perintis bagi pelaksanaan  gagasan Silver Valley, sebuah koridor industri yang memberi fokus kepada sektor pembuatan dan pelaburan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri Pelaburan dan Pembangunan Koridor Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata langkah awal bagi mencapai sasaran tersebut adalah dengan menaik taraf kemudahan dan infrastruktur di kawasan perindustrian itu untuk dijadikan sebagai model industri kepada daerah-daerah lain.

“Kalau kita lihat sekarang ini, lokasi Perak di tengah-tengah antara negeri Selangor dan Pulau Pinang, ia menjadi kelebihan kepada kita untuk maju dalam sector pembuatan dan pelaburan. Melalui Silver Valley ini kita mahu jadikan seluruh Perak sebagai koridor industri yang inklusif dan mampan bagi memastikan pembangunan yang adil dan seimbang.

“Kita mahu aspek pembangunan ini dapat dilihat di daerah masing-masing supaya penduduk setempat tidak ketinggalan dan terpinggir. Kita tidak mahu sebagai contoh, hanya daerah Kinta sahaja membangun tapi daerah Bagan Datuk terpinggir, kita mahu semua dibangunkan dengan kelebihan lokasi strategik yang kita ada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi bual bicara pada slot ‘Cer Citer YB’ di Radio PerakFM hari ini dan turut berkongsi hasrat kerajaan negeri dalam memastikan Perak sebagai salah satu lokasi pelaburan yang kondusif, inklusif dan mampan di dalam negara melalui gagasan Silver Valley tersebut.

Tegasnya, gagasan Silver Valley itu merupakan satu perancangan jangka masa panjang dalam usaha memastikan semua daerah di Perak menerima limpahan sector ekonomi berkenaan.

“Kita perlu memanfaatkan sumber yang banyak di negeri ini termasuk penyelidik dan pengkaji bertaraf dunia dengan adanya universiti seperti Universiti Teknologi Petronas, Universiti Teknologi Mara, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan politeknik.

“Bukan itu sahaja, kita juga ada bahan semula jadi yang diperlukan industri. Itulah wawasan kita pada jangka masa panjang iaitu gagasan Silver Valley,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi pelaburan negeri pada tahun ini, Shahrul Zaman berkata keadaan pandemik COVID-19 yang masih belum pulih menyebabkan prestasi pelaburan di Perak agak perlahan dan mencabar.

“Untuk tahun ini, sehingga Mac lepas, statistik menunjukkan sebanyak RM970 juta melalui 34 jumlah projek yang mewujudkan sebanyak 3,529 peluang pekerjaan.

“Tetapi jika ingin dibandingkan prestasi pelaburan keseluruhan tahun lepas, kita mencatatkan pelaburan sektor pembuatan negeri bernilai RM3.7 bilion  yang melibatkan 104 buah projek dengan menawarkan 7,158 peluang pekerjaan,” katanya.

Sumber: Bernama

Kawasan Perindustrian Zon Bebas Kinta dipilih projek perintis gagasan Silver Valley


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan HSBC Malaysia memperbaharui kerjasama untuk menarik lebih banyak pelaburan global ke Malaysia.

Menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang diperbaharui, kedua-dua pihak akan terus memudahkan penubuhan dan pengembangan syarikat multinasional di negara ini.

MoU itu tertumpu kepada memperkasa serta membentuk semula ekonomi Malaysia ketika dan pasca COVID-19 dengan memaksimumkan peluang pelaburan langsung asing (FDI) berpotensi ke Malaysia.

Ia terutama dalam sektor pembuatan, iaitu industri elektrik dan elektronik, kimia, mesin dan peralatan, aeroangkasa dan alat perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman, berkata MoU itu sejajar dengan rangka kerja Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi, terutama dalam bidang teknologi dan inovasi.

Beliau berkata, Malaysia akan terus menjadi rakan niaga strategik untuk perniagaan di ASEAN dan seterusnya.

“Kita mempunyai kumpulan bakat mantap dan ekonomi yang pelbagai disokong oleh asas ekonomi yang kukuh.

“Lebih-lebih lagi, rantaian bekalan tempatan Malaysia berintegrasi dengan baik ke dalam rantaian nilai global, disokong oleh industri sokongan kejuruteraan tempatan yang matang dan utuh adalah faktor penarik tidak dapat dinafikan pelabur yang ingin mengembangkan kapasiti pengeluaran mereka dengan cekap dan mudah,” katanya dalam satu kenyataan.

Arham berkata, kerjasama yang diperbaharui dengan HSBC Malaysia itu juga menandakan komitmen MIDA untuk membantu pelabur dengan lebih baik dan memberikan sokongan yang lebih kukuh ketika menghadapi gelombang pandemik semasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Stuart Milne, berkata selama lebih 130 tahun, HSBC telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan pembangunan Malaysia.

Beliau berkata, sejarah bank itu di Malaysia bermula sejak permulaan perbankan di rantau ini dan kemudiannya, seperti sekarang, peranan bank itu adalah untuk memacu pembangunan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan dunia yang lebih luas.

“Oleh itu, kami menghargai kerjasama penting ini antara HSBC dan MIDA. Kedua-dua organisasi mula bekerjasama secara jangka panjang pada 2016 yang menunjukkan kepercayaan MIDA kepada HSBC sebagai antara peneraju bank antarabangsa di Malaysia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

MIDA, HSBC perbaharui kerjasama tarik pelaburan


Content Type:

Duration:

Serba Dinamik Holdings Bhd optimis untuk menjadi peserta utama dalam sektor tenaga boleh baharu (RE) antarabangsa menerusi langkah memanfaatkan anak syarikatnya yang berpangkalan di Scotland, Wellahead Engineering Ltd, yang diambil alih pada 2020.

Dalam kenyataan pada Selasa, penyedia perkhidmatan minyak dan gas bersepadu itu menjelaskan ia merancang untuk memperluas dan merealisasikan pencapaian dalam segmen perniagaan tersebut, meskipun berlaku ketidaktentuan situasi ekonomi dan cabaran luaran.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata wujud peluang perniagaan yang besar dalam sektor RE, khususnya dengan ladang kincir angin.

“Wellahead dipertanggungjawabkan untuk mewujudkan hubungan selain mengenal pasti peluang bagi Serba Group dalam segmen ini, di samping bertindak sebagai pemudah cara untuk menembusi saluran ke dalam sektor yang berpotensi menguntungkan ini. Rancangan telah dilaksanakan untuk menjadikan sasaran ini satu kenyataan,” katanya.

Pangkalan tempatan bagi Wellahead adalah di Dyce, Aberdeen, yang merupakan hab utama bagi firma multinasional minyak dan gas utama, dan baru-baru ini muncul sebagai pusat untuk peserta utama dalam industri ladang kincir angin luar pesisir.

“Pangkalan Wellahead di Aberdeen akan membolehkan akses mudah ke dalam pasaran United Kingdom dan Eropah. Serba Dinamik juga merancang untuk mengakses pasaran global bagi produk Wellahead.

“Kejayaan awal adalah meraih pesanan dari Bangladesh dan Oman,” katanya.

Abdul Karim berkata Serba Dinamik juga menikmati status keahlian platinum dalam Dewan Perdagangan Aberdeen, yang mempunyai hubungan global dengan persatuan perdagangan minyak dan gas serta RE untuk memanfaatkan peluang perniagaan.

Wellahead menjalankan perniagaan sejak lebih 30 tahun dengan rekod prestasi yang baik dalam industri mereka bentuk dan membuat komponen khusus dan berkejituan tinggi bagi sektor minyak dan gas huluan.

Produk syarikat itu dieksport ke Eropah, Asia Tenggara dan Australia.

Sumber: Bernama

Serba Dinamik sasar jadi peserta utama dalam sektor tenaga boleh baharu antarabangsa


Content Type:

Duration:

Rantau Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mencatatkan peningkatan 6.1 peratus untuk pertumbuhan ekonomi pada suku pertama 2021, melantun dengan kukuh daripada penguncupan dua peratus pada suku pertama 2020.

Menurut laporan terkini oleh Unit Sokongan Dasar APEC (PSU), cabang penyelidikan dan analisis untuk forum berkenaan, angka ini selesa untuk meletakkan rantau di landasan tepat untuk mencapai pertumbuhan bagi tahun 2021 yang diunjurkan pada 6.4 peratus.

Laporan itu menyatakan pertumbuhan yang tinggi pada suku pertama 2021 didorong oleh gabungan beberapa faktor termasuk titik perbandingan yang rendah berikutan penguncupan ekonomi yang besar setahun lalu selain perbelanjaan kerajaan yang lebih tinggi berikutan kesan pandemik yang berterusan terhadap aktiviti ekonomi, sementara penggunaan domestik pula meningkat dengan ketara dalam tempoh ini.

Dalam jangka masa terdekat ini, unit itu masih melihat langkah-langkah rangsangan daripada kerajaan untuk mendorong pertumbuhan ekonomi di rantau ini.

Menurut laporan itu lagi, penggunaan swasta akan turut mendapat keyakinan kerana pengguna dijangka dapat memanfaatkan simpanan mereka yang terkumpul, sebahagiannya disebabkan oleh pemindahan wang tunai dan subsidi yang luas kepada isi rumah.

“Program dan pemberian vaksinasi masih memacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan pemulihan di rantau ini.

“Kami masih melihat jurang perbezaan dalam akses kepada liputan vaksinasi di seluruh APEC; ekonomi dengan pemberian vaksin yang lebih cepat serta sokongan fiskal berterusan akan pulih lebih pantas dan kuat, sementara ekonomi yang masih bergelut mendapatkan akses vaksin dan mempunyai ruang fiskal yang terhad akan memerlukan lebih banyak masa untuk pulih kerana ketidakpastian ini,” demikian menurut kata pengarah PSU APEC, Dr Denis Hew.

Liputan vaksinasi di seluruh APEC sangat berbeza, antara 148 dos untuk setiap 100 penduduk hingga ke serendah hanya satu dos setiap 100 penduduk.

Akibatnya, kadar mereka yang mendapat vaksinasi lengkap merentasi seluruh ekonomi amat berbeza, daripada serendah 0.2 peratus sehingga setinggi 72 peratus penduduk setakat pertengahan bulan Ogos.

“Perlumbaan dalam usaha untuk memberi vaksin kepada sebanyak mungkin penduduk dalam jangka waktu sesingkat yang boleh sangat penting.

“Ekonomi tidak mampu terus mengenakan sekatan, menutup sempadan dan memberikan sokongan fiskal dan monetari yang luas tanpa batas waktu,” kata penyelidik di PSU APEC, Rhea C Hernando.

Beliau berkata, kerjasama pelbagai hala adalah kunci dalam memudahkan aliran bebas komponen vaksin dan bekalan yang berkaitan kerana ini akan secara signifikan menyumbang kepada kebolehaksesan dan kemampuan vaksin, terutama bagi ekonomi berpendapatan rendah dan sederhana.

“Sudah jelas sekarang ini, untuk pemulihan ekonomi terus kukuh, kesihatan perlu dijaga dan oleh itu akses kepada vaksin amat diperlukan dengan segera untuk melindungi sebanyak mungkin nyawa,” kata Hernando.

Mengenai perdagangan, rantau ini menunjukkan prestasi positif pada suku pertama tahun 2021, dengan nilai eksport barang dagangan dan import masing-masing meningkat pada kadar yang lebih tinggi sebanyak 16.8 peratus dan 16.2 peratus daripada penguncupan 6.1 peratus untuk eksport dan 4.1 peratus untuk import dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Peningkatan prestasi ini terutama dirangsang oleh farmaseutikal dan peralatan pejabat dan komunikasi, sementara sektor pertanian, pakaian, logam dan mineral juga membantu meningkatkan perdagangan, tambah laporan itu.

Impak Covid-19 yang tidak berubah terhadap sektor pengangkutan dan perjalanan/pengembaraan terus mengheret prestasi perkhidmatan komersial APEC.

Dari tempoh Januari hingga Mac 2021, perkhidmatan komersil terus merosot kepada 12 peratus untuk eksport dan 15.2 peratus untuk import, berbanding penurunan 9.5 peratus untuk eksport dan 9.2 peratus untuk import untuk tempoh yang sama pada tahun 2020.

Laporan itu turut maklum terdapat peningkatan inflasi pada separuh pertama 2021 kepada 2.3 peratus berbanding 1.6 peratus pada separuh pertama 2020 dan ini disebabkan oleh normalisasi harga secara bertahap.

Inflasi dijangka kembali ke tahap prapandemik di seluruh dunia apabila faktor harga mengambil kira gangguan bahagian bekalan berkaitan dengan pandemik.

Menurut laporan itu, unjuran inflasi sepanjang tahun untuk rantau APEC adalah dua peratus dan boleh meningkat menjadi 2.2 peratus pada pada tahun 2022.

Ia juga menambah tekanan harga memerlukan pemantauan berterusan dan komunikasi yang jelas daripada pihak berkuasa dasar monetari untuk memandu jangkaan inflasi.

Sumber: Bernama

Malaysia kekal pada trajektori untuk pemulihan negara Rantau APEC catat pertumbuhan ekonomi kukuh


Content Type:

Duration:

Kuala Lumpur berada di kedudukan kesembilan di Asia Pasifik dan di luar Silicon Valley/San Francisco, Amerika Syarikat sebagai hab inovasi teknologi terkemuka dalam tempoh empat tahun akan datang, menurut tinjauan terbaharu oleh KPMG.

Dalam Tinjauan Industri Teknologi global 2021 yang melibatkan lebih daripada 800 pemimpin industri, KPMG berkata, ini berdasarkan beberapa faktor di peringkat tempatan seperti infrastruktur dan demografi serta pada peringkat makro seperti persekitaran pengawalseliaan dan insentif cukai nasional yang berpotensi dilaksanakan.

Ketua sektor Teknologi, Media dan Telekomunikasi KPMG di Malaysia, Guy Edwards berkata, ia tidak mengejutkan memandangkan beberapa kajian dibuat telah mengenal pasti faktor yang menjadikan Malaysia peluang pelaburan yang menarik.

“Pasti ada keyakinan global yang berterusan terhadap potensi yang ada pada negara sebagai pusat pembangunan, hasil daripada dedikasi kerajaan Malaysia untuk memajukan infrastruktur teknologi negara dengan memperkenalkan inisiatif seperti dasar Revolusi Industri Keempat Nasional.

“Inisiatif kerajaan itu membantu memperkukuhkan potensi Malaysia sebagai hab teknologi, lebih banyak yang diperlukan selain dari pada memperkenalkan dasar baharu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tinjauan itu menunjukkan 61 peratus orang dalam industri yakin bahawa pandemik Covid-19 telah mengubah pendapat mereka terhadap bandar mana yang mendahului hab inovasi teknologi.

Hanya satu pertiga daripada kaji selidik itu berpendapat bahawa Silicon Valley di AS akan mengekalkan kedudukan sebagai peneraju dalam inovasi, manakala jumlah yang sama menyatakan ia tidak lagi menjadi peneraju.

Sumber: Bernama

KL antara 10 bandar di Asia Pasifik dahului hab inovasi teknologi


Content Type:

Duration:

Malaysia tetap berada di landasan yang betul dalam memulihkan ekonominya melalui dorongan permintaan luaran yang disokong oleh produk elektrik dan elektronik (E&E), petroleum, getah, minyak sawit serta kimia, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ini berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku kedua 2021 yang meningkat 16.1 peratus dari tahun ke tahun berbanding pengurangan 0.5 peratus pada suku pertama 2021 dengan sektor pembuatan menjadi penyumbang utama dengan catatan pertumbuhan sebanyak 26.6 peratus pada suku kedua 2021 berbanding 6.6 peratus semasa suku pertama 2021.

“Ini mampu diraih berikutan komitmen kami dalam memastikan bahawa negara dapat menangani cabaran wabak dengan berkesan dan muncul dengan lebih mantap,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Daripada segi prestasi pelaburan, pelaburan swasta merekodkan kenaikan 17.4 peratus menjelang suku kedua 2021 iaitu bernilai RM59.3 bilion berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, membuktikan gambaran positif peningkatan perbelanjaan modal di sektor perkhidmatan dan pembuatan, yang sangat penting bagi penciptaan peluang pekerjaan.

Ketika bercakap mengenai pelaburan langsung asing, MITI menjelaskan kerajaan akan terus menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi dalam teknologi serta inovasi bagi meletakkan Malaysia sebagai hab rantaian bekalan alternatif di Asia.

“Sebagai hasil daripada misi perdagangan dan pelaburan yang telah dirancang dengan rapi dan strategik yang dilaksanakan dalam tempoh Januari hingga Jun 2021, Malaysia telah berjaya meraih komitmen pelaburan sebanyak RM35.97 bilion dengan penciptaan 28,000 peluang pekerjaan selain daripada potensi nilai eksport berjumlah RM3. 4 bilion.

“Tambahan pula, penubuhan Pusat Sehenti untuk Pelancong Perniagaan bagi memudahkan pergerakan pelabur semasa wabak ini telah membantu menyenangkan pengusahaan 43 projek dengan potensi nilai pelaburan sebanyak RM115.8 bilion,” katanya.

Prestasi eksport pada 2021 dijangka mencatatkan pertumbuhan lebih lanjut dengan sektor pembuatan meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk memenuhi pengembangan permintaan luaran.

Prestasi dalam sektor E&E, sarung tangan getah dan peranti perubatan dijangka akan mendapat lonjakan selepas menyaksikan permintaan berterusan terhadap produk ini susulan perebakan pandemik Covid-19.

“Kerajaan telah mengambil tindakan pantas dan tegas untuk memastikan bahawa negara mampu mengekalkan kestabilan pertumbuhan ekonomi termasuk menguruskan krisis kesihatan awam yang terbesar di negara ini,” katanya.

Kerajaan juga turut mengulangi komitmen untuk bekerjasama dengan industri dan komuniti perniagaan dalam mengukuhkan ekonomi selain, memastikan kesejahteraan rakyat yang berkelanjutan.

Sumber: Bernama

Malaysia kekal pada trajektori untuk pemulihan negara: MITI


Content Type:

Duration:

Langkah pengumuman kelonggaran sekatan ekonomi, termasuk pembukaan sektor-sektor tidak penting termasuk automotif dan kilang komponennya bermula hari ini, disifatkan sebagai perkembangan positif bagi industri automotif.

MIDF Amanah Investment Bank berkata pengumuman tersebut juga penting kerana dapat menghidupkan semula operasi keseluruhan rantaian nilai berkaitan mulai minggu ini dan tempoh-tempoh berikutnya.

Bagaimanapun, katanya, pembukaan semula kilang pembuatan automotif itu masih tertakluk kepada status pekerja yang perlu lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 pada kadar minimum 40 peratus hingga 59 peratus yang membenarkan kapasiti operasi sehingga 60 peratus.

Sebaliknya, kilang dengan kadar vaksinasi pekerja lengkap suntikan vaksin 60 peratus hingga 79 peratus serta 80 peratus hingga 100 peratus, masing-masing dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80 peratus dan 100 peratus.

“Premis peruncitan automotif di negeri-negeri pula perlu mempunyai sekurang-kurangnya 50 peratus kadar vaksinasi pekerja manakala pelanggan perlu mendapat suntikan lengkap,” katanya dalam nota penyelidikan pada Isnin.

Menurutnya, berdasarkan kenyataan penggiat terpilih, lebih 90 peratus pekerja mereka termasuk di peringkat kilang, telah mendapat suntikan lengkap yang jauh lebih tinggi daripada kadar vaksinasi di peringkat negeri.

“Namun, kami difahamkan bahawa tenaga kerja itu perlu menghabiskan tempoh 14 hari selepas suntikan kedua dan menandakan pengeluaran berkemungkinan diperingkat secara beransur-ansur mulai sekarang hingga akhir Ogos ini,” katanya.

Menurutnya, perkembangan positif lain adalah stok pemasangan tempatan (CKD) pada masa ini adalah memadai berikutan penghantaran yang masih dijalankan ketika sekatan pergerakan, sekali gus dapat melonjakkan pengeluaran bagi menampung kerugian dialami sebelum ini.

“(Perkembangan) kedua merujuk kepada tunggakan pesanan yang kukuh (dua hingga empat bulan sebelum sekatan pergerakan dilaksanakan) manakala permintaan turut disokong semula oleh pengecualian cukai sehingga 31 Disember, 2021.

“Ketiga, kami melihat wujudnya ruang untuk kilang-kilang automotif meningkatkan jadual syif pengeluaran apabila dapat memenuhi keperluan kapasiti operasi penuh menjelang akhir bulan ini,” katanya.

Faktor seterusnya adalah Lembah Klang yang juga antara tumpuan permintaan utama yang menyumbang 41 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV), telah mencapai kadar vaksinasi sebanyak 64.7 peratus yang membolehkan kehadiran semula bakal pembeli ke bilik-bilik pameran.

Sumber: Bernama

Kelonggaran sekatan ekonomi dorong perkembangan positif sektor automotif


Content Type:

Duration:

Central Global Berhad (CGB), pengeluar pita penutup industri dan label stok, yang juga kontraktor am binaan, kini sedang dalam proses memuktamadkan pembelian mesin yang akan menggandakan kapasiti sayap pengeluaran Kumpulan untuk menghasilkan pita penutup industri.

Dengan pembelian mesin baharu itu, kilang CGB di Kuala Muda, Kedah akan memiliki kapasiti untuk mengeluarkan pita sehingga 70 juta meter persegi setahun daripada 20 juta meter persegi pita setahun menggunakan mesin lama.

Pengerusi Eksekutif CGB, Datuk Faisal Zelman berkata, syarikatnya mempunyai potensi pesanan sehingga 30 juta meter persegi pita penutup daripada pelanggan sedia ada. Mesin baharu ini akan menjadikan CGB lebih produktif dan efisien, serta membolehkan keupayaan untuk mengembangkan perniagaan.

“Kami juga mampu memenuhi tempahan tertunggak bernilai RM10 juta dari Julai dan Ogos yang tertunda disebabkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan apabila dilanjutkan selama dua minggu di sebahagian daripada Kuala Muda pada akhir Julai lalu. Kami hanya mampu memulakan semula operasi dari 2 Ogos 2021 dan hanya berada pada kapasiti 60 peratus kakitangan, namun kami sukacita mengumumkan bahawa kesemua kakitangan kami sudah divaksinasi sepenuhnya pada 23 Ogos 2021.” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Menurut Faisal, pembelian mesin baharu bagi kilang CGB di Kuala Muda, sebahagiannya akan dibiayai menerusi proses penempatan persendirian 18 juta saham baharu yang dijangka menjana sebanyak RM26 juta, merangkumi pembiayaan bagi projek pembinaan di Pulau Pinang.

Tambahnya, pengembangan pengeluaran sayap perkilangan adalah seiring dengan inisiatif pertumbuhan CGB ke atas segmen pembinaannya.

Kumpulan itu memeterai MoU pada awal Jun bersama Multi Scopes Engineering Sdn Bhd bagi membentuk sebuah usaha sama untuk membida projek pembinaan loji rawatan kumbahan bernilai RM250 juta di Kwasa Damansara, Selangor dan telah dianugerahkan projek menaiktaraf sistem pembekalan air bernilai RM101 juta di Lahad Datu, Sabah pada April 2021.

Sumber: Berita Harian

CGB tingkat kapasiti 250 peratus penuhi permintaan baharu


Content Type:

Duration:

Indeks nilai seunit eksport dan import Malaysia bulanan kekal mencatatkan pertumbuhan positif pada Jun 2021, masing-masing pada 1.9 peratus dan 0.5 peratus di sebalik ketidaktentuan aktiviti ekonomi, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) pada Rabu.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport yang tinggi ini disumbang oleh kenaikan indeks minyak galian (7.3 peratus), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (3.5 peratus) dan alat jentera serta kelengkapan pengangkutan (0.8 peratus).

“Sementara itu, indeks volum eksport merekodkan peningkatan 12.2 peratus pada bulan yang sama, didorong oleh pertumbuhan indeks bahan kimia (29.6 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (15.4 peratus) dan minyak galian (11.3 peratus).

“Indeks volum eksport pelarasan bermusim mengembang 21.2 peratus daripada 142.6 mata kepada 172.8 mata,” tambahnya.

Berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport meningkat 12.8 peratus.

Mengenai indeks nilai seunit import, Mohd Uzir berkata, peningkatan pada Jun 2021 dipacu oleh pertumbuhan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (4.4 peratus), minyak galian (1.6 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (0.7 peratus).

“Sementara itu, indeks volum import turut naik 5.5 peratus pada Jun 2021 berbanding bulan sebelum dengan kenaikan indeks volum import disumbang oleh peningkatan indeks minyak galian (20.5 peratus), makanan (13.0 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (3.0 peratus).

“Indeks volum import pelarasan bermusim pada Jun 2021 menambah 14.5 peratus daripada 149.0 mata kepada 170.6 mata,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Indeks nilai seunit eksport, import catat pertumbuhan positif Jun 2021


Content Type:

Duration:

Pemasangan panel fotovoltaik solar (PV) khas untuk harta tanah komersial atau perindustrian akan membantu perniagaan menjimatkan kos elektrik sekurang-kurangnya 25 peratus, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia Ng Wei Wei.

Dia mengatakan jumlah simpanan diterjemahkan kepada jangka masa pembayaran balik rata-rata tiga hingga lima tahun atas jumlah pelaburan perniagaan.

“Isi rumah kediaman bertanah dapat menikmati antara 30 persen hingga 50 peratus simpanan bulanan dalam bil elektrik.

“Syarikat dan individu dapat menjimatkan wang sambil mengurangkan jejak karbon mereka,” katanya dalam ucaptama di webinar bertajuk “Tenaga suria sebagai sumber tenaga yang boleh diperbaharui di Malaysia” hari ini.

Di samping itu, katanya, tenaga suria telah menjadi sumber tenaga boleh diperbaharui yang lebih berpatutan, mudah diakses dan boleh dipercayai di Asia Tenggara dan kos masuk untuk mendapatkan sistem suria telah menyaksikan penurunan yang ketara hampir 70 peratus dari 2010 hingga 2020.

Ng mengatakan UOB telah melancarkan program U-Solar untuk membantu pelanggan mengatasi masalah kos mereka berkaitan dengan memasang dan mengendalikan sistem tenaga suria di kediaman, premis perniagaan dan kilang mereka.

Menurutnya, program ini telah membantu para pelanggannya untuk menghasilkan 32,000 megawatt jam tenaga suria dan menyumbang kepada pengurangan gas rumah kaca sebanyak 21.4 tan karbon dioksida di negara ini, yang setara dengan 4.650 kereta yang dilepaskan selama setahun.

“Kami mengharapkan permintaan untuk penyelesaian U-Solar kami meningkat karena kami melihat peningkatan minat terhadap tenaga suria, terutama berasal dari sektor komersial, industri, dan kediaman,” katanya.

Sementara itu, Ng mengatakan akan dianggarkan AS $ 1 trilion (AS $ 1 = RM4.23) peluang ekonomi tahunan di Asia Tenggara menjelang 2030 ketika rantau ini menuju ke arah ekonomi yang lebih hijau.

UOB, katanya, berkomitmen untuk memainkan peranan dan bertujuan untuk membangun portfolio kewangan berkelanjutan sebanyak AS $ 15 bilion pada tahun 2023 memandangkan permintaan yang semakin meningkat oleh perniagaan untuk peluang tersebut.

Sehingga Jun 2021, bank telah mencapai US $ 13 bilion.

Dia berkata sebagai kesinambungan menjadi semakin penting di luar tujuan membuat keuntungan tradisional, syarikat mesti menggabungkan pertimbangan persekitaran, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) ke dalam strategi perniagaan mereka agar dapat bersaing dengan lebih baik dalam jangka panjang.

“Masa depan cerah untuk tenaga suria. Melabur dalam tenaga bersih dan boleh diperbaharui seperti solar adalah salah satu daripada banyak cara untuk mengurangkan jejak karbon dalam perniagaan anda,” katanya.

Dia menambahkan bahawa ada desakan kuat dari pemerintah untuk meningkatkan tenaga terbarukan dalam target campuran kapasiti tenaga negara menjadi 31 persen pada 2025 dan 40 persen pada 2035, dan solar akan menjadi penyumbang utama.

Sumber: Bernama

Solar PV dapat membantu perniagaan menjimatkan 25% kos elektrik, kata UOB


Content Type:

Duration:

Prestasi ekonomi Malaysia yang semakin baik akan melonjakkan keyakinan pelabur dan sekali gus menggambarkan petunjuk bahawa negara ini bergerak ke arah yang betul, kata ahli ekonomi.

Profesor Madya Putra Business School, Abu Sofian Yaacob, berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh dan peningkatan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah isyarat positif kepada bakal pelabur bahawa negara ini masih bertahan di tengah-tengah peningkatan kes jangkitan COVID-19.

“Walaupun pada ketika ini Malaysia masih berhadapan dengan kadar jangkitan COVID-19 yang tinggi, kita telah membuktikan berjaya menaikkan KDNK berserta dengan keyakinan bahawa kadar vaksinasi berjalan lancar ke arah imuniti kelompok,” katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 16.1 peratus pada suku kedua 2021, disokong khususnya oleh peningkatan permintaan dalam negeri dan prestasi eksport yang berterusan.

Abu Sofian berkata, untuk ekonomi meneruskan pencapaian positifnya, kerajaan perlu menguatkuasakan langkah-langkah yang lebih ketat bagi memastikan sektor ekonomi terus beroperasi dengan risiko minimum terhadap jangkitan COVID-19.

Beliau menambah, terdapat juga keperluan untuk membuka kembali lebih banyak sektor ekonomi secepat mungkin untuk meningkatkan kehidupan masyarakat terutama yang terlibat dalam perniagaan ekonomi mikro.

“Dengan membenarkan peniaga membuka kembali perniagaan, mereka boleh mendapat pendapatan yang lebih stabil dan tidak sepenuhnya bergantung pada pemberian kerajaan,” tambahnya.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berpendapat bahawa ekonomi masih lemah dan lanjutan kawalan pergerakan akan terus mempengaruhi kegiatan ekonomi.

“Walaupun KDNK suku kedua 2021 naik lebih tinggi, ini hanya disebabkan oleh kesan asas yang rendah. Sekiranya kita bandingkan dengan paras KDNK suku kedua 2019, ekonomi masih menguncup sebanyak 3.9 peratus,” jelas beliau.

Bank pusat hari ini juga menyemak semula sasaran pertumbuhan ekonomi untuk tahun 2021 kepada antara tiga dan empat peratus, lebih rendah daripada unjuran awal antara enam dan tujuh peratus.

Mohd Afzanizam menyatakan semakan KDNK itu perlu berdasarkan ketidakpastian yang meningkat terhadap kadar kecepatan pembukaan semula ekonomi.

“Pada julat unjuran tiga hingga empat peratus, ini jelas menunjukkan bahawa bank pusat dan kerajaan agak berhati-hati terhadap risiko penurunan. Itu bermakna pendirian ke atas dasar monetari dan fiskal dijangka kekal meluas dalam usaha memudahkan proses pemulihan,” kata beliau.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata syarat untuk pemulihan ekonomi yang berterusan adalah kepantasan dalam pembukaan semula ekonomi.

“Ini sangat bergantung kepada program vaksinasi yang kini berjalan dengan baik.

“Walaupun keseimbangan risiko lebih menjuruskan kepada menurun, sokongan dasar yang cukup besar seharusnya dapat memberikan dorongan yang diperlukan sebaik sahaja negara ini mencapai imuniti kelompok dalam waktu terdekat,” tambah beliau.

Sumber: Bernama

Prestasi ekonomi Malaysia mampu yakinkan pelabur


Content Type:

Duration:

wpChatIcon