2021 Archives - Page 14 of 33 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pertumbuhan KDNK dua digit tunjukkan trajektori pemulihan berkesan

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 16.1 peratus tahun ke tahun bagi suku kedua 2021 menunjukkan ekonomi terus berada di landasan pemulihan, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, pertumbuhan pada suku kedua 2021 itu dicapai selepas penguncupan yang lebih kecil pada kadar 0.5 peratus dicatatkan semasa suku pertama 2021 berbanding kemerosotan 3.4 peratus ketika suku keempat 2020.

“Dari segi enam bulan pertama tahun ini, KDNK meningkat sebanyak 7.1 peratus, berbanding penurunan 8.4 peratus dalam tempoh yang sama pada 2020,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, dari segi prestasi KDNK bulanan, pertumbuhan pada April dan Mei 2021 menunjukkan trend pemulihan yang kukuh dengan masing-masing menunjukkan peningkatan 40.1 peratus dan 19.8 peratus.

Pertumbuhan ini didorong oleh kesan asas yang rendah pada bulan-bulan yang sama pada 2020, katanya.

“Selain itu, pertumbuhan juga telah disokong oleh pelaksanaan pakej bantuan dan rangsangan sepanjang tempoh tersebut, iaitu Permai (Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia), Pemerkasa (Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi) dan Pemerkasa Tambahan bernilai RM75 bilion, dengan dilengkapi oleh langkah-langkah Belanjawan 2021 yang masih berlangsung,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, KDNK pada Jun mencatatkan penguncupan 4.4 peratus disebabkan oleh kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada pertengahan Mei, serta Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai awal Jun.

Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan PKP 1.0 tahun lepas, penurunan pada Jun 2021 adalah lebih kecil berbanding April 2020 iaitu -28.8 peratus, katanya.

Beliau berkata, walaupun terdapat beberapa halangan berikutan peningkatan semula kes Covid-19 menjelang akhir suku kedua, indikator ekonomi utama telah menunjukkan tanda pemulihan yang menggalakkan.

“Ini termasuk peningkatan 1.4 peratus bagi Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pada Jun 2021 serta kenaikan 6.5 peratus nilai jualan sektor pembuatan bagi Jun 2021 kepada RM124.4 bilion”, katanya.

Tambah beliau, indikator ekonomi utama lain adalah peningkatan sebanyak 20.5 peratus bagi pendapatan sektor perkhidmatan, kepada RM404.5 bilion pada suku kedua 2021, di mana setiap segmen dalam sektor tersebut menunjukkan tanda pemulihan manakala pendapatan e-dagang meningkat 23.3 peratus kepada RM267.6 bilion susulan urus niaga e-dagang daripada sektor pembuatan dan perkhidmatan yang meningkat.

Tengku Zafrul berkata. dari segi pasaran modal pula, secara keseluruhannya, keyakinan pelabur kekal kukuh, dipacu oleh pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia oleh tiga agensi penarafan kredit global utama iaitu S&P, Moody’s dan Fitch.

Menurutnya, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 2.1 peratus dalam tempoh suku kedua 2021, disokong oleh penyertaan pelabur runcit, dengan jumlah pelaburan bersih RM9.4 bilion setakat ini bagi 2021.

Selain itu katanya, penyertaan yang lebih tinggi daripada pelabur runcit dalam industri pengurusan dana terus direkodkan dengan Nilai Aset Bersih (NAV) segmen unit amanah meningkat sebanyak 2.4 peratus kepada RM531.8 bilion pada akhir Jun 2021 dan ini menyumbang 30.5 peratus kepada jumlah permodalan pasaran Bursa Malaysia.

“Pelabur asing kekal yakin terhadap pasaran bon ringgit. Dalam tempoh separuh pertama 2021, sejumlah RM24.5 bilion aliran masuk bersih telah direkodkan, dengan kira-kira 60 peratus merupakan langganan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

“Pegangan asing dalam bon Kerajaan Malaysia juga meningkat pada kadar terpantas dalam tempoh lima tahun kepada RM223 bilion, atau 25.1 peratus daripada jumlah terkumpul. Ini merangkumi RM192.1 bilion dalam bentuk MGS dan RM30.8 bilion dalam bentuk Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII),” katanya.

Menteri Kewangan itu memberitahu, ekonomi Malaysia dijangka pulih secara beransur-ansur susulan pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan kejayaan mencapai nilai ambang yang ditetapkan mengikut Pelan Pemulihan Negara bagi setiap negeri.

Beliau berkat,a keadaan ini seterusnya akan membolehkan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih luas, dan setakat ini, enam negeri telah beralih ke Fasa Dua manakala dua negeri serta Wilayah Persekutuan Labuan berjaya beralih ke Fasa Tiga.

Setakat ini, lebih 70 peratus populasi dewasa di Malaysia telah menerima satu dos vaksin justeru, pada kadar ini, 80 peratus populasi dewasa di Lembah Klang, dan 50 peratus populasi dewasa Malaysia dijangka lengkap divaksin menjelang akhir Ogos.

Pada Jumaat, Bank Negara Malaysia mengumumkan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 16.1 peratus pada suku kedua 2021 tahun-ke-tahun berbanding dengan -0.5 peratus pada suku pertama, disokong terutama oleh permintaan domestik yang bertambah baik serta prestasi eksport yang terus kukuh.

Prestasi itu berbeza dengan penguncupan 17.1 peratus pada suku kedua tahun lepas susulan kesan langkah sekatan pergerakan apabila Covid-19 melanda negara.

Bank pusat menjelaskan pertumbuhan kukuh itu menunjukkan asas yang rendah susulan penyusutan ketara aktiviti pada suku kedua 2020.

Sumber: Bernama

Pertumbuhan KDNK dua digit tunjukkan trajektori pemulihan berkesan


Content Type:

Duration:

Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) adalah lapangan terbang No.1 dunia pada suku kedua tahun ini dalam kategori masing-masing dalam kaji selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) global terkini oleh Majlis  Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI).

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata kedua-dua lapangan terbang itu mendapat skor penuh 5.0/5.0 dalam kaji selidik industri itu yang menjadi penanda aras lapangan terbang terbaik dunia dari segi kemudahan dan standard perkhidmatan.

KLIA sebelum ini di tempat kesembilan, mendapat skor 4.99/5.0 pada suku pertama dalam kategori lebih 40 juta penumpang setahun (mppa) manakala LGK di tempat ketiga dengan skor 4.97/5.00 dalam kategori dua hingga lima mppa.

“Di KLIA, keputusan amat baik ini menjadi bukti kepada usaha syarikat yang terus mengekalkan perkhidmatan luar biasa dan melaksanakan langkah-langkah keselamatan selain ia bersedia untuk penyambungan semula perjalanan.

“Inisiatif utama yang menyumbang kepada peningkatan prestasi termasuklah pelaksanaan ketat prosedur operasi standard (SOP) perjalanan baharu yang meningkatkan pengalaman perjalanan yang selamat dan pembukaan 64 tandas yang baru diubahsuai untuk keselesaan penumpang yang berterusan,” kata Ketua

Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh dalam kenyataan.

Beliau berkata suasana terminal LGK yang segar dan bertambah baik, hasil daripada inisiatif penetapan semula komersial yang berjaya, terus menyumbang kepada kepuasan penumpang secara keseluruhannya yang transit di terminal tersebut.

Mohd Shukrie berkata pengendali lapangan terbang itu telah menyaksikan aliran meningkat secara beransur-ansur dalam jumlah penumpang dengan mencatatkan kenaikan sebanyak 35 peratus daripada bulan sebelumnya untuk pertumbuhan trafik secara keseluruhannya pada Julai.

Bulan lepas, kumpulan lapangan terbang itu mengatasi paras tiga juta sebanyak 3.3 juta jumlah pergerakan penumpang untuk rangkaian lapangan terbangnya buat kali pertama pada tahun ini dengan majoriti trafik disumbangkan oleh asetnya di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISG).

Di peringkat tempatan, MAHB  mencatatkan peningkatan hampir 40 peratus dalam jumlah pergerakan penumpang sebanyak 260,000 (Antarabangsa: 72,000; Domestik: 188,000) pada bulan lepas berbanding Jun untuk rangkaian lapangan terbangnya di sini. 

“Walaupun terdapat sekatan perjalanan antara negeri, sempadan ditutup dan sekatan perjalanan yang lebih ketat di seluruh rantau berikutan penularan kes baharu, kenaikan marginal itu adalah positif untuk MAHB berikutan pengumuman kerajaan baru-baru ini yang memberikan fleksibiliti kepada mereka yang mendapat vaksinasi sepenuhnya untuk melakukan perjalanan antara negeri dan pembukaan semula pelancongan domestik dalam negeri yang sama (untuk negeri yang beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara) mulai 10 Ogos,” katanya.

Selain itu, MAHB turut menantikan projek perintis Pulau Langkawi yang mencontohi model sandbox Phuket dengan memberi vaksinasi kepada 80 peratus daripada jumlah penduduk di pulau itu sebagai langkah untuk membuka pulau tersebut kepada pelancong yang telah menerima vaksinasi sepenuhnya.

“Terdapat juga kemungkinan aktiviti pelancongan domestik di seluruh Malaysia disambung semula pada September yang akan memberikan rangsangan yang amat diperlukan kepada lapangan terbang, rakan kongsi syarikat penerbangan dan industri pelancongan,” kata Mohd Shukrie.

Sumber: Bernama

KLIA, LGK lapangan terbang No.1 dunia pada suku kedua tahun ini


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menggesa para pelabur untuk terlibat dengan pemula niaga tempatan bagi menginovasi proses serta meneroka ke dalam perniagaan baharu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) Khairuddin Abdul Rahim berkata untuk mendorong pertumbuhan perniagaan agar terus relevan dalam normal baharu, pemimpin perniagaan termasuk pengusaha kecil dan sederhana (PKS) perlu menerapkan inovasi secara kreatif ke dalam model perniagaan mereka.

“Pemberian Dana Strategik Domestik adalah inisiatif MIDA untuk mendukung syarikat milik Malaysia ke arah meningkatkan rantaian nilai dan menjadi lebih kompetitif dalam ekosistem global.

“Kami berharap melalui kemudahan ini, syarikat-syarikat Malaysia tidak akan ketinggalan selama wabak ini belum mereda.

“Sebaliknya, mereka harus merebut peluang dalam tempoh ini bagi menghidupkan kembali penawaran dan kemampuan mereka,” katanya semasa berucap ketika merasmikan webinar ‘Start- up Pitching Session MIDA-Cyberview Series 1/2021’ hari ini.

Sesi yang bertemakan “Penggunaan Teknologi Terhadap Industri”, merupakan kolaborasi penting antara MIDA dan Cyberview Malaysia untuk mempromosikan hubungan pemula niaga tempatan dengan peneraju industri serta pelabur aktif.

Ia memaparkan pembentangan daripada pemula niaga baharu seperti Move Robotic, Synapse Innovation, VITA, My Conceptual Robotics, Urban Farm Tech, TrackerHero dan MEDKAD.

Webinar itu telah menarik lebih daripada 300 peserta termasuk pengeluar, penyedia perkhidmatan dan bakal pelabur.

Selain daripada apa yang MIDA tawarkan, Ketua Bahagian Pembangunan Hab Teknologi Cyberview Malaysia, Shafinaz Salim menjelaskan program Cyberview Living Lab membolehkan perniagaan memanfaatkan bandar Cyberjaya sebagai bukti pengujian konsep dan inisiatif perintis sebelum pengkomersialan penyelesaian mereka.

“Inisiatif kami dirancang bagi menyokong serta membimbing pemula niaga yang tertumpu pada penciptaan nilai dalam ekonomi digital masa kini.

“Sebilangan alumni Cyberview Living Lab kami terus memainkan peranan penting dan secara aktif menyumbang kepada ekosistem teknologi,” katanya.

Sebagai pemaju hab teknologi untuk Cyberjaya, Shafinaz berkata Cyberview komited untuk membina landasan pelancaran yang bernilai tinggi untuk perniagaan yang ingin mengubah idea mereka menjadi produk yang berdaya maju dan inovatif.

Sumber: Bernama

MIDA seru pelabur melibatkan diri dengan pemula niaga tempatan


Content Type:

Duration:

Pendapatan transaksi e-dagang Malaysia pada suku kedua 2021 meningkat sebanyak 23.3 peratus tahun ke tahun kepada RM267.6 bilion, didorong khususnya oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam kenyataan mengenai Prestasi Sektor Perkhidmatan dan Pendapatan e-Dagang Suku Kedua 2021 yang dikeluarkan pada Rabu, prestasi hasil sektor perkhidmatan juga meningkat 20.5 peratus kepada RM404.5 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu berikutan kesan tahun asas perbandingan yang rendah.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata di bawah sektor perkhidmatan itu, segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman (F&B) serta penginapan meningkat 21.8 peratus kepada RM324.6 bilion.

“Ini diikuti oleh segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan yang naik 14.7 peratus kepada RM59.5 bilion.

“Segmen kesihatan dan kesenian, hiburan dan rekreasi pula merekodkan pertumbuhan 27.3 peratus kepada RM12.2 bilion manakala segmen profesional dan ejen hartanah meningkat 8.0 peratus kepada RM8.2 bilion,” katanya.

Mohd Uzir berkata, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor perkhidmatan bagi suku kedua 2021 menokok 0.4 peratus atau RM100.5 juta berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

“Peningkatan ini disumbangkan oleh segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan sebanyak RM120.8 juta atau 2.8 peratus,” katanya.

Segmen perdagangan borong dan runcit, F&B dan penginapan menambah RM9.3 juta manakala kesihatan dan kesenian, hiburan dan rekreasi naik sebanyak RM3 juta.

Walaupun upah dan gaji meningkat pada tempoh di bawah kajian, Mohd Uzir berkata bilangan pekerja dalam sektor itu berjumlah 3.6 juta orang iaitu susut 25,812 orang atau 0.7 peratus berbanding suku sama tahun lalu.

Menurutnya, sebahagian besar pengurangan itu disebabkan oleh segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan yang susut sebanyak 11,297 orang atau 2.4 peratus, diikuti oleh perdagangan borong dan runcit, F&B dan penginapan yang merosot 6,127 orang atau 0.2 peratus.

Selain itu, jumlah pekerja dalam segmen segmen kesihatan dan kesenian, hiburan dan rekreasi susut 1.7 peratus atau 4,772 orang manakala segmen profesional dan ejen hartanah berkurangan sebanyak 3,616 orang atau 2.0 peratus, kata Mohd Uzir.

Sumber: Bernama

Urus niaga e-dagang di Malaysia melonjak


Content Type:

Duration:

Subsidiari milik penuh Dialog Group Bhd, Dialog Corporate Sdn Bhd telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Diyou Fibre (M) Sdn Bhd (DFMSB) membabitkan pelaburan sekitar USD25 juta (RM106 juta).

Operator terminal tangki itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata MoU tersebut akan membentuk persefahaman antara pihak-pihak terbabit bagi menubuhkan satu syarikat tujuan khas (SPV) untuk membina, memiliki dan mengoperasikan kemudahan pengeluaran pelet polietilena tereftalat kitar semula (PET kitar semula) menggunakan emping PET yang dikitar semula sebagai bahan mentah bagi menghasilkan gred makanan pelet PET kitar semula untuk dijual.

Dialog akan memperoleh struktur kepentingan ekuiti sebanyak 51 peratus dalam SPV, manakala DFMSB mendapat baki 49 peratus, katanya.

“Usaha ke dalam industri kitar semula plastik pasca-pengguna akan menjadi pelaburan pertama Dialog ke dalam perniagaan petrokimia hiliran dan ia akan memenuhi permintaan yang meningkat untuk bahan PET kitar semula gred makanan yang dipacu berikutan permintaan dari masyarakat antarabangsa untuk menyokong ekonomi kitaran,” katanya.

MoU tersebut terus menyokong inisiatif serta sumbangan syarikat dalam memberi kesan positif terhadap alam sekitar, selain daripada menyokong insiatif kerajaan Malaysia ke atas kelestarian seperti yang dinyatakan dalam rangka kerja ekonomi kitarannya.

Katanya, cadangan usaha itu merupakan lanjutan Dialog daripada inisiatif berkenaan dalam mencapai kelestarian perniagaan serta memenuhi agenda Lingkungan, Sosial dan Tadbir Urus melalui usaha yang berdaya maju secara komersial.

Sekarang ini, Dialog telah melabur dalam syarikat pemula niaga yang telah membangunkan teknologi eksklusif bagi mengumpul karbon dan memanfaatkan karbon dalam pengeluaran bahan bakar serta bahan kimia yang akan mengurangkan Pelepasan Gas Rumah Kaca.

“Dialog tetap komited terhadap nilai teras dan strategi utama perniagaan yang mampan dengan merebut peluang serta mengurangkan risiko melalui kepelbagaian portfolio,” katanya.

Sumber: Bernama

Dialog, Diyou Fibre Labur RM106 Juta Dalam SPV


Content Type:

Duration:

Unit Tiong Nam Logistics Holdings Bhd, Tiong Nam Logistics Solutions Sdn Bhd (TNLS) menandatangani dua perjanjian jual beli dengan Senai Airport City Sdn Bhd untuk memperoleh dua lot tanah kosong pada harga RM136.4 juta.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Tiong Nam, berkata tanah seluas 20.23 hektar itu terletak di dalam Zon Komersial Bebas di Bandar Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor Bahru, Johor.

“Tanah berkenaan akan digunakan untuk pembinaan gudang dengan kawasan berkeluasan sekitar 1.09 juta kaki persegi. Jumlah kos pembinaan gudang dianggarkan berjumlah RM200.02 juta.

“Kapasiti gudang Tiong Nam Group akan meningkat selepas pembinaan gudang ini siap. TNLS akan mengemukakan permohonan yang diperlukan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk pembinaan tersebut selepas pembelian itu selesai,” katanya.

Tiong Nam berkata, pembelian tanah itu sebahagiannya dilakukan menerusi penjanaan dana dalaman dan pinjaman bank.

Sumber: Bernama

Tiong Nam beli tanah RM136.4j daripada Senai Airport


Content Type:

Duration:

Ekosistem digital Asia Tenggara yang sedang pesat berkembang mempunyai potensi untuk menjana peluang pendapatan berjumlah AS$23 bilion (RM97.5 bilion) menjelang 2025, daripada kira-kira AS$4 bilion (RM16.96 bilion) pada 2019.

Rakan Pengurusan Serantau ASEAN EY, Liew Nam Soon, berkata ekosistem digital berfokuskan pelanggan sedang terbentuk di seluruh Asia Tenggara bagi menyampaikan nilai pada kepantasan dan skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, ia adalah sebagai tindak balas kepada gangguan digital industri dan dipacu pantas oleh pandemik COVID-19.

“Terdapat pertumbuhan pesat syarikat pemula dan natif digital. Beberapa peneraju natif digital di Asia Tenggara berubah menjadi platform super digital, dengan memberikan perkhidmatan yang saling berkaitan melalui pengalaman bersepadu – dari perjalanan, penghantaran makanan, barang runcit, logistik, perkhidmatan kesihatan, gaya hidup dan kewangan

“Pengguna hari ini menjangkakan kelajuan, responsif dan akses dengan pengalaman yang disesuaikan dengan kehendak mereka.

“Ekosistem digital membantu syarikat mencipta nilai melalui pertumbuhan pendapatan, memperoleh akses pasaran baharu, mengurangkan kos pemerolehan pelanggan, yang akhirnya mengukuh dan mengekalkan hubungan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media secara maya membentangkan kajian oleh EY bertajuk, ‘Membina ekosistem digital yang berjaya di Asia Tenggara’, hari ini.

Dalam pada itu, Nam Soon berkata, kira-kira 39 peratus perusahaan di ASEAN menunjukkan kemajuan besar ke arah transformasi digital.

Katanya, 65 peratus syarikat ASEAN akan memulakan perjalanan digitalisasi mereka dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“COVID-19 telah mempercepatkan transformasi digital terhadap semua perniagaan dengan ketara di rantau ini dan syarikat akan terus mengubah perniagaan dan beralih kepada pendigitalan untuk mendorong pertumbuhan menguntungkan.

“Model perkongsian dapat memberikan momentum yang signifikan untuk perjalanan transformasi digital mereka,” katanya.

Sementara itu, Rakan EY-Parthenon dan pakar ASEAN, Joongshik Wang berkata Malaysia mempunyai syarikat permulaan unicorn yang sedikit berbanding negara serantau lain.

“Saya terkejut mengenainya kerana lebih daripada 80 atau 90 peratus syarikat tertumpu di Singapura dan Indonesia dan kita melihat unicorn baharu muncul semakin aktif di Vietnam.

“Malaysia mempunyai kematangan pasaran secara keseluruhan dan kesediaan tinggi untuk ekonomi digital tetapi apa yang menarik, kita melihat jumlah syarikat permulaan yang sedikit,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Sektor digital Asia Tenggara berpotensi jana RM97.5 bilion


Content Type:

Duration:

Syarikat kaca multinasional Jerman, Schott AG memilih Malaysia untuk menubuhkan pusat kecekapan IT antarabangsa terbaharunya, Schott Asia IT Services Sdn Bhd (SAITS).

Penubuhan pusat kecekapan IT baharu itu mendapat sokongan penuh oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi peneraju transformasi digital di Malaysia.

Terletak di Kuala Lumpur, SAITS akan berperanan penting untuk Schott IT yang memberi fokus kepada menyatukan syarikat perkhidmatan IT yang ketika ini terletak di beberapa lokasi berasingan, di bawah satu bumbung.

Pada fasa permulaan, pusat kecekapan IT baharu itu akan membantu menguruskan aktiviti IT seperti pengurusan virtualisasi dan platform awan, perkhidmatan penyediaan rangkaian dan tempat kerja moden meliputi 45 kilang pembuatan dan tujuh unit perniagaan di seluruh dunia.

Dalam ucapannya di Malaysia Tech Month 2021 (MTM’21), Naib Presiden & Ketua Penyelesaian Maklumat Serantau Schott AG, Mirko Goetze, berkata kedudukan Malaysia yang strategik dari segi geografi iaitu terletak di tengah Asia adalah faktor utama syarikat berkenaan memilih untuk menubuhkan SAITS di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, Malaysia adalah lokasi ideal dan memenuhi banyak syarat yang diperlukan oleh Schott terutama dari segi undang-undang IP dan privasi, tawaran dan kesetiaan pekerja, kemahiran bahasa Inggeris dan hubungan baik dengan budaya Barat.

Katanya, kepelbagaian budaya dan bahasa dalam kalangan tenaga kerja di negara ini adalah antara faktor pemilihan yang dianggap penting dalam menyokong operasi global Schott dan kepelbagaian dalam pasukan projek SAITS.

“Malaysia menawarkan pelbagai inisiatif dan insentif dalam pelaburan digital yang mana adalah pemacu penting bagi kami. Status MSC, menawarkan insentif cukai kepada syarikat asing yang ingin memulakan pusat kecekapan IT di Malaysia adalah salah

satu contoh insentif pelaburan yang kukuh di Malaysia.

“Malaysia menawarkan infrastruktur yang stabil dan mampu milik, sekali gus membantu penubuhan SAITS. Negara ini juga mempunyai sektor inovasi yang mantap dan membantu kelahiran syarikat gergasi serantau seperti Grab dan Carsome,” katanya.

Schott AG adalah syarikat kaca multinasional Jerman yang pakar dalam pembuatan kaca dan kaca-seramik.

Syarikat berpangkalan di Mainz itu beroperasi di 34 negara dan adalah rakan kongsi berkemahiran tinggi dalam industri berteknologi tinggi meliputi industri kesihatan, elektronik ke optik pengguna, automotif dan aeroangkasa.

Pada 1974, ia menubuhkan kilang pembuatan di Pulau Pinang dan pada tahun kewangan 2020, Schott mempunyai seramai 16,500 pekerja di seluruh dunia dan menjana jualan sebanyak 2.24 bilion euro.

Syarikat itu juga dimiliki oleh Carl Zeiss Foundation, antara yayasan tertua di Jerman.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) dan Ketua Pegawai Pemasaran MDEC, Raymond Siva, berkata penubuhan SAITS yang canggih di Malaysia adalah jaminan keyakinan yang berterusan oleh syarikat Jerman untuk Malaysia dan menjadikan negara ini destinasi pelaburan digital utama.

Beliau berkata, ia juga adalah langkah ke hadapan kepada Strategi Pelaburan Digital Future5 MDEC (Digital Investments Future5 Strategy – DIF5), memfokus kepada lima teras utama dalam usaha menarik pelaburan dan memacu ekonomi digital selari dengan Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

DIF5 berperanan untuk memacu pertumbuhan dalam ekonomi digital dengan memperoleh pelaburan digital berkualiti tinggi.

Penubuhan SAITS, bukan saja akan mengukuhkan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN, tetapi juga memberi peluang untuk membangun dan mengembangkan bakat dalam negara selari dengan visi MDEC dalam Malaysia 5.0, membolehkan negara terintegrasi dengan teknologi, menyediakan peluang digital yang adil kepada rakyat dan perniagaan.

Pengurus Pelaburan Baharu, Pelaburan dan Geran Pembangunan MDEC, Kamelinder Singh, pula berkata MDEC banyak membantu mempercepatkan proses penubuhan SAITS dengan mengurangkan sebarang kekangan dan kerumitan yang disebabkan oleh pendemik COVID-19.

Sebagai petunjuk kelebihan Malaysia dalam menawarkan bakat berkemahiran digital, pencarian bakat oleh Schott’s IT untuk SAITS telah menyaksikan lebih 2,000 permohonan diterima dan lebih 200 sesi temu duga telah dijalankan.

Berdasarkan jumlah berkenaan, 50 bakat adalah berkaitan T-Systems, 30 bakat berkaitan sistem IBM, manakala 130 bakat adalah kategori lain-lain.

Ketika ini, SAITS memiliki seramai 30 pekerja berkemahiran tinggi dan akan meningkat kepada 150 pekerja dalam tempoh dua

hingga lima tahun akan datang.

Jerman adalah pelabur asing terbesar daripada Kesatuan Eropah di Malaysia dan penubuhan SAITS itu menunjukkan keyakinan berterusan oleh syarikat Jerman di negara ini.

Setakat Jun 202, sejumlah 461 projek pembuatan dengan pembabitan Jerman dilaksanakan di Malaysia, membabitkan jumlah pelaburan sebanyak AS$9.36 bilion (RM33.31 bilion), demikian mengikut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Projek itu mewujudkan sebanyak 47,277 peluang pekerjaan.

Setakat ini, terdapat 27 Syarikat MSC yang aktif dari Jerman yang menyediakan perkhidmatan IT dan perniagaan global (GBS).

Ia termasuklah syarikat antarabangsa terkenal seperti DHL, T-Systems dan BMW.

Sumber: Berita Harian

Firma Jerman pilih Malaysia lokasi pusat kecekapan IT


Content Type:

Duration:

Sarawak akan terus memanfaatkan pembangunan tenaga lestari bagi memenuhi aspirasinya menjadi pembekal tenaga kepada ASEAN dan memacu pertumbuhan yang mampan di rantau itu, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini.

Beliau berkata memiliki sumber asli yang banyak serta tenaga kerja yang cekap dan berkemahiran tinggi, membolehkan Sarawak menumpukan kepada kelestarian alam sekitar dan ekonomi digital, yang akan terus menjadi prinsip teras untuk mempercepatkan pertumbuhan sosioekonomi pascapandemik COVID-19.

“Dua minggu lepas kita melancarkan  Strategi Pembangunan 2030 Pasca-COVID-19 (PCDS) untuk membangunkan masyarakat yang menikmati kemakmuran ekonomi, inklusif sosial dan persekitaran mampan yang dipacu data dan inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum menyaksikan majlis menandatangani perjanjian mengenai pertukaran tenaga dan kesalingsambungan  antara anak syarikat Sarawak Energy, Syarikat SESCO Berhad dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) secara maya, dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili dan CEO SESB Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid yang turut disaksikan Pengerusi SESB Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Abang Johari berkata perjanjian itu mempertanggungjawabkan kedua-dua organisasi untuk mewujudkan kesalingsambungan Sarawak-Sabah dan bergerak selangkah lebih dekat ke Grid Borneo yang lebih luas.

Beliau berkata perkongsian Sarawak dan Sabah ini akan menggalakkan lebih banyak kolaborasi di rantau ini dan memupuk perkongsian pembelajaran untuk mendorong mereka mendekati masa depan tenaga lestari untuk semua, sambil meningkatkan lagi hubungan mesra antara Sarawak dengan Sabah.

“Selain manfaat ini, kerjasama ini akan menggalakkan kerjasama rapat dalam banyak bidang penting kerana pembangunan kesalingsambungan adalah besar, pelaburan jangka panjang untuk kedua-dua pihak.

“Menerusi pendekatan bersepadu ini, kami akan dapat memupuk pemahaman dan perkongsian faedah lebih besar antara Sarawak dengan Sabah yang membentuk wilayah Malaysia di Borneo,” katanya. 

Sumber: Bernama

Sarawak berhasrat jadi pembekal tenaga di rantau ASEAN – Abang Johari


Content Type:

Duration:

Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan menjadi penyumbang bagi mengekalkan status Malaysia sebagai hab dagangan kompetitif dan destinasi pelaburan di ASEAN.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata RCEP juga akan memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengembangkan capaian global dan mengukuhkan peranan penting sebagai tulang belakang ekonomi ASEAN.

“Memeterai RCEP bukan sahaja membuktikan komitmen dan keazaman Malaysia untuk memantapkan sistem dagangan pelbagai hala tetapi juga sebagai instrumen pemulihan ekonomi bagi menangani COVID-19 yang membantu memastikan pembukaan berterusan pasaran serta aliran barangan tanpa gangguan dan meningkatkan rantaian bekalan serantau,” katanya dalam satu kenyataan bersempena dengan sambutan Hari ASEAN ke-54.

Majlis peringatan secara maya itu diketuai oleh Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga ketua delegasi Malaysia dan tonggak politik-keselamatan ASEAN, serta dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri sebagai ketua tonggak sosio budaya ASEAN.

Manakala, Mohamed Azmin mewakili tonggak ekonomi ASEAN.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), permeteraian perjanjian RCEP pada November 2020 adalah satu pencapaian penting ASEAN semasa tempoh ketidaktentuan global yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Selain itu, Kerangka Perjanjian Koridor Perjalanan ASEAN (ATCAF) dan ratifikasi RCEP dikenal pasti sebagai antara instrumen utama bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi di bawah Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF),” katanya.

MITI berkata, di bawah pengerusian Brunei Darussalam yang bertemakan ‘We Care, We Prepare, We Prosper’ tahun ini, ASEAN bergerak maju ke arah pemulihan ekonomi menerusi pelbagai inisiatif di bawah ACRF, termasuk ATCAF.

Sementara itu, MITI berkata ASEAN Online Sale Day (AOSD) akan berlangsung di laman web http://aseanonlinesaleday.com/ bermula 8 hingga 10 Ogos 2021, bagi meraikan Hari ASEAN ke-54.

“Inisiatif AOSD dilancarkan pada 2020, di tengah-tengah peningkatan penggunaan teknologi dan pendigitalan di rantau ini sejak bermulanya pandemik awal tahun lalu,” katanya sambil menambah lebih 40 PKS Malaysia mengambil bahagian dalam jualan tahun ini.

Sumber: Bernama

RCEP kekalkan status Malaysia sebagai destinasi pelaburan


Content Type:

Duration:

Perjanjian antara Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan anak syarikat Sarawak Energy Berhad (SEB), Syarikat SESCO Bhd, akan menyaksikan pengimportan bekalan elektrik 30MW bagi tempoh 15 tahun sebagai permulaan menerusi talian transmisi litar berkembar 275kV sejauh 31km dari Lawas di Sarawak hingga ke Mengalong di Sabah.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata ia merupakan perjanjian bagi mengimport bekalan elektrik dari Sarawak dalam usaha memacu pembangunan negeri sebagaimana yang digariskan menerusi rancangan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau berkata sambungan itu dijangka bermula pada akhir 2023 setelah peluasan grid di bawah Agenda Utara Sarawak Energy menghubungkan Miri dengan bandar-bandar di utara Sarawak, yakni Limbang dan Lawas.

“Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif itu kerana ia akan memacu sistem bekalan tenaga Sabah.. bekalan elektrik yang stabil amat penting kearah memastikan kejayaan agenda pembangunan SMJ yang berpaksikan kepada tiga teras utama yakni pertanian, industri dan pelancongan,” katanya semasa dalam ucapan yang disampaikan secara maya di sini.

Terdahulu beliau bersama Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyaksikan majlis menandatangani perjanjian mengenai pertukaran tenaga dan kesalingsambungan secara maya, antara kedua-dua syarikat berkenaan.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili dan CEO SESB Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid dalam satu majlis yang turut disaksikan oleh Pengerusi SESB Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Hajiji berkata perjanjian itu juga merupakan langkah pertama yang amat penting kearah merealisasikan matlamat bersama inisiatif Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) bagi menampilkan sambungan infrastruktur dalam kalangan negara-negara Asean menerusi Asean Power Grid (APG) yang akan menambah baik tahap ekonomi semua negara terlibat.

Ketua Menteri berkata bekalan elektrik yang lebih stabil akan terus meningkatkan pelaburan tempatan dan asing selain menyokong pertumbuhan pekilangan industri dan sektor huluan, di samping mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor industri ringan dan berat.

Lebih penting lagi, katanya ia akan meningkatkan taraf sosio ekonomi, terutama di kawasan luar bandar.

“Menerusi perjanjian ini, kerajaan negeri berharap ia akan mengeratkan kerjasama antara Sabah dan Sarawak, di samping memupuk kerjasama lebih kukuh di masa akan datang yang akan memberikan manfaat kepada kedua-dua negeri, dan penduduknya,” katanya.

Hajiji berkata perjanjian itu selaras dengan wawasan SESB untuk menjadi syarikat bekalan tenaga yang efektif, boleh dipercayai, dan pemangkin kepada pembangunan Sabah.

Sumber: Bernama

Bekalan tenaga elektrik dari Sarawak pacu pembangunan Sabah – Hajiji


Content Type:

Duration:

Purata pendapatan dijangka meningkat tahun ini tetapi bergantung kepada corak pemulihan ekonomi negara, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, corak pemulihan bagi setiap sektor ekonomi negara dijangka tidak sekata dan akan mempengaruhi gaji dan upah.

“Jika kita (negara) berjaya dalam usaha untuk mempertingkatkan ekonomi digital dan pembangunan teknologi dalam aktiviti ekonomi dalam jangka masa panjang, kita amat yakin purata pendapatan yang diukur dari segi gaji dan upah pasti akan meningkat.

“Tetapi ia bergantung bagaimana kita merealisasikannya dalam jangka masa sederhana.

Dalam jangka masa pendek, keutamaan yang diberikan adalah kepada pekerja kembali bekerja dalam sektor-sektor perniagaan (yang terjejas),” katanya selepas mengumumkan laporan sosioekonomi negeri tahun 2020 secara maya pada Khamis.

Sumber: Bernama

Purata pendapatan dijangka meningkat tahun ini: DOSM


Content Type:

Duration:

Malaysia terus menerajui Indikator Ekonomi Islam Global (GIEI) bagi tahun ketujuh berturut-turut, dipacu oleh ekosistem ekonomi halal yang pesat susulan negara memberi pengaruh yang besar dalam sektor kewangan Islam dan makanan halal.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), Datuk Mahmud Abbas berkata, Malaysia mengesahkan kedudukannya sebagai hab halal global terkemuka pada 2020 dengan merekodkan nilai eksport tahunan RM31 bilion bagi produk halal dan pada masa sama menarik pelaburan bernilai RM0.6 bilion kepada Taman Halal Malaysia.

“Setakat ini, sebanyak 28,000 pekerjaan telah diwujudkan menerusi usaha ini.

“Malaysia mempunyai 6,727 syarikat yang mempunyai persijilan halal, dan daripada jumlah itu 1,507 adalah pengeksport dan lebih 1,300 merupakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan di Forum Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)-HDC 2021 bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Melalui Pasaran Modal Islam’ yang diadakan secara maya pada Khamis.

Beliau berkata, Malaysia juga mempunyai 1.3 juta perniagaan, dan daripada jumlah itu 90 peratus dikategorikan sebagai PKS, termasuk 200,000 yang menjalankan perniagaan berkaitan halal.

Katanya, sememangnya terdapat potensi yang amat besar untuk industri halal ini berkembang lebih jauh.

“Pasaran Asia Timur Laut seperti Jepun, China dan Korea Selatan juga telah menyertai industri ini dan membuka pasaran mereka untuk modal Islam dan pelancongan mesra Muslim,” katanya.

Mahmud berkata, sekatan pergerakan di seluruh dunia telah menimbulkan persoalan mengenai keperluan sara diri produk penting tertentu yang meliputi farmaseutikal, peralatan perubatan dan makanan.

Beliau berkata, bagi industri makanan halal sahaja, ia bernilai AS$1.6 trilion, manakala industri kosmetik dan farmaseutikal halal masing-masing bernilai AS$39 bilion dan AS$97 bilion.

Menjelang 2030, sektor makanan dan minuman halal global diunjurkan bernilai AS$2.1 trilion.

“Justeru, wujud peluang dalam industri halal ini yang bukan hanya dari segi perniagaan malah lebih penting kemampuan untuk memenuhi kecukupan negara,” katanya.

Forum SC-HDC 2021 selama dua hari itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai pengumpulan dana berasaskan pasaran patuh syariah bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), terutama yang tergolong dalam ekonomi halal.

Pada acara itu, SC turut memperkenalkan inisiatif terbarunya, Kit Panduan Penilaian Penyaringan Syariah Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Tidak Tersenarai, dalam usahanya menambah baik ekosistem bagi aktiviti pengumpulan dana patuh syariah.

Sumber: Bernama

Malaysia kekal terajui Indikator Ekonomi Islam Global bagi tahun ketujuh


Content Type:

Duration:

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) setakat ini berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM9.5 bilion ke Pahang, melepasi sasaran awal RM5.1 bilion yang ditetapkan pada tahun ini.

ECERDC dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan komited itu bakal mewujudkan lebih daripada 6,700 pekerjaan baharu dan 170 peluang keusahawanan bagi rakyat Pahang.

“Hasil pelaburan yang memberangsangkan dalam tempoh mencabar ketika ini membuktikan kerjasama erat antara ECERDC, kerajaan persekutuan dan negeri serta agensi berkaitan, ia menyumbang kepada peningkatan pelaburan baharu yang signifikan seperti pembangunan tanah tinggi bersepadu, peluasan kilang pembuatan keluli serta pembuatan sarung tangan di Pahang untuk tahun 2021.

“Bagi mengekalkan momentum kemasukan pelaburan ke Pahang, ECERDC terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mengadakan lebih banyak aktiviti promosi pelaburan pada separuh kedua tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat, berkata EDERDC telah menganjurkan tiga webinar pada separuh pertama 2021 untuk membina hubungan dan menarik pelabur antarabangsa memandangkan tidak dapat mengadakan misi pelaburan ke luar negara atau acara secara fizikal.

Antara webinar yang dianjurkan ialah ‘Investment Opportunities in the East Coast Economic Region for Petrochemical and Automotive Industries’ dengan anjuran bersama Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun dan ‘Malaysia: The Oil, Gas and Petrochemical Hub for ASEAN’ dengan kerjasama wakil-wakil perdagangan daripada Persekutuan Rusia, kata Baidzawi.

“Webinar pelaburan itu telah menyaksikan penyertaan lebih daripada 900 pelabur berpotensi dan ECERDC yakin dapat menarik pelaburan baharu ke Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan Pahang,” katanya.

Selain itu, ECERDC mempunyai perancangan mengetengahkan Taman Automotif Pahang (PAP) di Pekan sebagai Taman Perindustrian Automotif Hijau, ia membabitkan ciri penjimatan tenaga, tenaga boleh diperbaharui dan sistem pengurusan sisa holistik selaras dengan peralihan global ke arah kenderaan elektrik (EV) dan Dasar Automotif Nasional 2020.

“Kerajaan Pahang juga telah mengenal pasti kawasan tanah di Pahang Barat yang sesuai bagi projek Lembah Tenusu ECER yang mensasarkan untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) susu segar negara sebanyak 40 peratus bagi mengurangkan kebergantungan terhadap susu import.

“Mengenai pembangunan modal insan pula, program empower ECER-Akademik telah membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah mencapai keputusan akademik lebih baik dalam persekitaran pandemik COVID-19,” katanya.

Sebagai contoh, pada 2020 seramai 2,173 orang pelajar di Pahang yang mengambil bahagian telah menunjukkan pencapaian membanggakan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan 92 peratus peserta lulus dalam peperiksaan berbanding 46 peratus dicatatkan sebelum mereka mengikuti program itu, katanya.

Beliau berkata, program empower ECER and entrepreneur ECER juga akan terus menyokong usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berdaya tahan dalam realiti baharu dengan menyediakan latihan bagi membantu mereka beralih ke platform e-dagang.

“Di bawah program entrepreneur ECER, seramai 173 orang usahawan di Pahang telah menerima pinjaman berjumlah RM5.5 juta daripada Maybank dan Agrobank antara Januari dan Mei lepas bagi membantu mereka memperbaiki aliran tunai dan memperkukuhkan lagi perniagaan,” katanya.

Sumber: Bernama

ECERDC tarik pelaburan komited RM9.5 bilion ke Pahang


Content Type:

Duration:

Syarikat pembuatan komponen Techfast Holdings Bhd (Techfast) kini dikenali sebagai Fast Energy Holdings Bhd (Fast Energy) susulan daripada langkah penjenamaan semula untuk mencerminkan strategi korporat yang baharu kumpulan tersebut.

Syarikat yang tersenarai di Pasaran ACE itu berkata kumpulan itu secara aktif berusaha untuk memperluaskan jejaknya di sektor tenaga dengan meneroka peluang dalam tenaga yang boleh diperbaharui dan langkah dilakukan baru-baru ini adalah cerminan kepada pencapaian utama penglibatannya dalam pasaran tenaga.

“Kami mahu  memanfaatkan permintaan tenaga  alternatif terutama daripada organisasi yang ingin meningkatkan prestasi Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) mereka menerusi peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui,” kata Pengarah Eksekutif Kumpulan, Vincent Tan Wye Chuan.

Sebagai sebahagian daripada pelannya, Fast Energy telah menggabungkan anak syarikat milik penuhnya, Fast Solar Sdn Bhd untuk meningkatkan prospek dalam industri tenaga diperbaharui yang berkembang pesat, khususnya tenaga solar.

Kegiatan utamanya yang dimaksudkan meliputi pelaburan dalam projek solar serta reka bentuk, pembinaan, operasi dan perdagangan produk berkaitan dengan solar.

Pada bulan Mac, 2021, Fast Energy telah mempelbagaikan perniagaannya dalam perdagangan petroleum dan pengisian minyak.

Setakat ini, ia telah memperoleh beberapa kontrak untuk menghantar minyak bahan api marin kepada pelanggannya yang bernilai RM4.2 bilion.

Sementara itu, kumpulan ini dalam proses untuk melupuskan anak syarikat milik penuhnya, Techfast Precision Sdn Bhd (TPSB), berikutan permintaan produknya semakin menurun termasuk peralatan seperti skru dan nat yang tidak digunakan lagi disebabkan kepada kemajuan teknologi dalam proses pembuatan computer dan televisyen.

Pelupusan yang dicadangkan itu akan mengumpulkan hasil berjumlah RM6.1 juta tunai serta mengurangkan kos operasi kumpulan.

“Kami juga mencadangkan terbitan hak dua belian dengan waran percuma dengan hasil yang berpotensi dijana sehingga RM109.1 juta. Suntikan modal ini akan memperkukuhkan lembaran imbangan syarikat dan memberi kami fleksibiliti kewangan untuk mencatat pertumbuhan pada masa depan,” katanya.

Ketika berita ini ditulis, harga saham Fast Energy turun 0.5 sen kepada 24.5 sen di Bursa Malaysia.

Sumber: Bernama

Techfast kini dikenali sebagai Fast Energy


Content Type:

Duration:

Unit Solarvest Holdings Bhd, Atlantic Blue Sdn Bhd telah memperoleh kontrak bernilai RM66 juta daripada Grooveland Sdn Bhd sebagai kontraktor utama kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi pembangunan loji fotovolta solar berskala besar (LSSPV) 17.36MW di Perak.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata kontrak yang diperoleh itu akan memberi sumbangan positif kepada aset bersih dan pendapatan sesaham Solarvest dan kumpulan syarikatnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 dan seterusnya sehingga projek itu selesai.

Dalam kenyataan berasingan, ia berkata dengan kontrak terkini itu, tempahan EPCC Solarvest baharu yang diperoleh daripada program LSS @ Mentari meningkat kepada kira-kira RM196 juta, meningkatkan jumlah perolehan nilai kontrak yang belum dibilkan ke paras tertinggi mencecah RM400 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong, berkata aliran pelaburan untuk projek solar telah berkembang pesat kerana lebih banyak pemain utama industri tenaga yang tidak boleh diperbaharui seperti minyak dan gas menyalurkan perbelanjaan pengembangan mereka ke sektor pertumbuhan tinggi ini.

“Dorongan untuk ekonomi kitaran dan rantaian nilai hijau juga memacu pemain industri tempatan beralih kepada tenaga boleh diperbaharui dan pada masa yang sama, industri solar di Malaysia memperoleh daya tarikan daripada pelabur asing kerana Asia Tenggara kini menjadi rantau pertumbuhan utama seterusnya,” kata beliau.

Chun Shiong berkata, prospek Solarvest di luar Malaysia juga cerah dan positif kerana usaha meneroka pasaran luar negara seperti Taiwan dan Filipina dijangka memasuki peringkat seterusnya dengan keputusan tender dijangka diumumkan dalam waktu dekat.

“Lebih kurang 30 peratus daripada sekitar 1,000 MW dalam buku tender kami adalah dari dua negara ini dan apabila pendapatan dari Taiwan dan Filipina mula masuk, kami menjangkakan tahap pertumbuhan yang tinggi untuk kumpulan,” tambah beliau.

Sumber: Bernama

Solarvest dapat kontrak solar RM66j di Perak


Content Type:

Duration:

Lam Research Corporation, pembekal global bagi peralatan dan perkhidmatan fabrikasi wafer inovatif kepada industri semikonduktor, secara rasmi membuka kemudahan baharu dengan pelaburan bernilai RM1 bilion di Batu Kawan, dekat sini, pada Selasa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tim Archer, berkata kilang pembuatan di Kawasan Perindustrian Batu Kawan itu mempunyai keluasan lantai 800,000 kaki persegi iaitu 100,000 kaki persegi lebih luas berbanding rancangan awal.

Beliau berkata, kilang itu akan menjadi hab operasi Lam Manufacturing di Asia selain dijangka melonjakkan pengeluaran untuk menjadi kemudahan pembuatan yang mencatatkan jumlah tertinggi dalam kalangan kilang global lain milik pihaknya.

“Dalam melangkah maju, perancangan kami adalah terus mendapatkan dan membina perkongsian kukuh dengan rantaian bekalan tempatan supaya kami boleh meningkatkan keluaran dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang, di samping memenuhi permintaan dunia yang amat tinggi terhadap semikonduktor,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian secara maya.

Turut menyaksikan majlis itu secara maya ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Ahmad Khairuddin Abdul Rahim; Duta Amerika Syarikat di Malaysia, Brian McFeeters dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Sementara itu, ketika menyuarakan galakan kepada pelabur, Kon Yeow berkata, lebih banyak syarikat semikonduktor global sedang mengembangkan operasi mereka ke negeri ini, sekali gus membuktikan usaha kerajaan negeri dalam mewujudkan persekitaran mampan, ekosistem perindustrian yang rancak dan teguh serta daya tarikan infrastruktur yang menyokong pelabur utama.

“Pulau Pinang akan dapat memperkukuh lagi rantaian nilai semikonduktor global dengan memanfaatkan peluang baharu dalam pembuatan semikonduktor bagi wafer siap, yang mewujudkan prospek untuk pekerjaan bernilai tinggi kepada tenaga kerja tempatan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Lam Manufacturing Malaysia, Soon K Kuek berkata, sejajar dengan perluasan kemudahan baharu itu, pihaknya juga menggaji lebih ramai bakat tempatan.

Beliau berkata, awal tahun ini, Lam Research memberi komitmen untuk menggaji 350 pekerja tempatan bagi pekerjaan bernilai tinggi seperti juruteknik pengeluaran, pemasang dan profesional bertumpukan operasi.

“Jumlahnya kini telah melebihi angka terbabit dan menjelang akhir tahun ini, kami berhasrat untuk mengambil lebih 600 pekerja tempatan,” katanya.

Sumber: Bernama

Lam Research rasmi pembukaan kilang bernilai RM1 bilion


Content Type:

Duration:

Platform dalam talian rasmi, Pejabat Pelaburan Digital (DIO), yang dilancarkan pada Isnin akan berperanan penting untuk Malaysia dalam usaha menarik pelaburan berkualiti, khususnya berkaitan pendigitalan, dari dalam dan luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pejabat itu akan bertindak sebagai jendela tunggal untuk menyelaras dan melancarkan semua pelaburan digital asing dan domestik dalam negara.

Beliau berkata aspek itu termasuk minat pelaburan digital yang dicapai semua agensi penggalakan pelaburan lain di Malaysia.

“Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini meluluskan penubuhan DIO yang akan berperanan penting dalam menarik pelaburan digital.

“DIO merupakan kerjasama antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC),” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada pelancaran platform dalam talian rasmi DIO secara maya pada Isnin.

Beliau menggesa pelabur terutama pelabur asing supaya terus memanfaatkan kelebihan Malaysia dalam usaha pengembangan operasi mereka di Asia.

Mustapa berkata skop DIO meliputi empat bidang iaitu, penyelarasan, penilaian, pemudahan dan sokongan dasar.

“Fungsi utama DIO adalah menilai minat pelaburan digital serta memberi saranan nilai yang sesuai kepada pelabur. Selain itu, DIO turut menyokong pemudahan pelaburan menyeluruh seperti proses sebelum dan selepas kelulusan, termasuk pemudahan bagi ekspatriat dan bakat digital,” katanya.

Beliau berkata penubuhan DIO adalah dalam usaha menyokong Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia di bawah inisiatif MyDIGITAL yang dilancarkan pada Februari 2021 — dengan matlamat khusus memperoleh pelaburan bernilai RM70 bilion menjelang 2025 selain melonjakkan sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia daripada 19.1 peratus kepada 22.6 peratus.

Beliau berkata platform dalam talian DIO baharu ini akan menyediakan pendekatan cekap dalam mempertimbangkan cadangan pelaburan untuk pelabur, dan dengan proses permohonan terlaras, ia juga akan membolehkan pelabur mendapat maklum balas pantas daripada pegawai yang bertanggungjawab di DIO.

“Sebelum ini, pelabur perlu menggunakan banyak saluran, termasuk menerusi agensi penggalakan pelaburan lain, yang kerap kali menimbulkan kekeliruan dan potensi kehilangan minat pelaburan digital.

“Kerajaan dan agensi seperti MIDA dan MDEC menyedari mengenai keperluan untuk bertindak pantas. Kami terus giat berusaha untuk memastikan kami dapat mengekalkan serta mempertingkatkan aliran masuk pelaburan digital berkualiti yang besar dan stabil,” katanya.

Beliau yakin semua program, dasar dan usaha yang kerajaan dan seluruh agensi lakukan, seperti DIO, akan meningkatkan pelaburan dan akhirnya memacu negara ke hadapan.

Mustapa turut mengulangi bahawa kerajaan dan semua agensi seperti MDEC akan terus mencipta dan mengembangkan ekosistem kondusif yang perlu untuk menarik pelaburan.

Beliau berkata untuk memacu penerimagunaan digital dan teknologi dalam bidang kemahiran, kesalinghubungan, tadbir urus dan inovasi, kerajaan memperkenalkan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara baru-baru ini.

Selain itu, platform seperti Bulan Teknologi Malaysia 2021 akan menyokong lagi dan menjadikan Malaysia sebagai nadi Digital ASEAN, katanya.

Beliau berkata ketika Malaysia menumpukan usaha menarik pelaburan digital berkualiti bagi mengembangkan ekonomi, kerajaan juga terus menekankan peranan pendigitalan terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Bagi merealisasikannya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah dan meneruskan rancangan serta melancarkan beberapa inisiatif untuk menambah baik kebajikan rakyat, katanya.

Sumber: Bernama

Pejabat Pelaburan Digital jadi jendela tunggal selaraskan pelaburan berkualiti – Mustapa


Content Type:

Duration:

Syarikat semikonduktor Korea Selatan, Simmtech Co Ltd akan melabur US$120 juta (US$1 = RM4.23) untuk mendirikan kilang pertamanya di Asia Tenggara (SEA), yang akan berlokasi di Taman Perindustrian Batu Kawan Pulau Pinang.

Pengarah Urusan SimmTech Asia Tenggara Jeffery Chun berkata keputusan untuk mendirikan kilang pembuatan berskala besar pertama syarikat di Pulau Pinang datang secara semula jadi kerana negeri ini mempunyai ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) yang mantap, kumpulan bakat yang hebat dan asas  pelanggan sedia ada.

“Memang sesuailah untuk kami untuk memilih rantau ini yang mempunyai latar belakang E&E yang kuat serta akses ke perniagaan dan sumber tempatan.

“Ini adalah fasa pelaburan pertama kami; kebanyakannya akan dilaksanakan semasa projek pembinaan dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya pada taklimat media secara maya mengenai pelaburan strategik berkenaan hari ini.

Beliau menambah kilang papan litar bercetak (PCB) semikonduktor dan substrat pembungkusan di Pulau Pinang akan menjadi kilang pertamanya di rantau Asia Tenggara kerana syarikat itu pada masa ini hanya beroperasi di negara asalnya Korea Selatan, China dan Jepun.

Chun berkata  pembinaan kilang itu dijangka selesai menjelang  awal tahun depan, sementara operasi dan penghantaran produk dari kilang baharu dijadualkan bermula pada separuh pertama tahun depan.

Beliau berkata meskipun dalam situasi pandemik COVID-19, pembinaan masih dijalankan dan syarikat itu tidak menjangkakan sebarang penangguhan besar.

“Sebaliknya, kami melihat pandemik ini sebagai peluang bagi industri kerana trend dalam talian yang semakin meningkat mewujudkan permintaan yang lebih tinggi untuk produk semikonduktor … dan ini adalah tempoh yang baik untuk industri semikonduktor secara keseluruhan.

“Sebaik beroperasi sepenuhnya, kapasiti pengeluaran (kilang) di Pulau Pinang akan mewakili 20 peratus daripada kapasiti gabungan semasa Simmtech Group di Korea Selatan, China dan Jepun,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang turut hadir pada taklimat media maya itu berkata kilang Simmtech berkeluasan 7.2 hektar di Taman Perindustrian Batu Kawan dijangka dapat mewujudkan 1,200 pekerjaan bernilai tinggi dalam segmen kejuruteraan, pembuatan dan pengurusan kualiti.

Chow turut berharap kedatangan Simmtech akan menandakan permulaan babak baru dalam hubungan negeri ini dengan Korea Selatan, antara negara paling terkenal dalam bidang teknologi global.

Beliau berkata sebagai hab E&E terkemuka di negara ini, Pulau Pinang terus menjadi tonggak utama perdagangan luar Malaysia yang mana pada tahun 2020, negeri ini mencatat eksport bernilai RM310 bilion dan lebihan perdagangan bernilai RM110 bilion, masing-masing menyumbang 32 peratus dan 60 peratus daripada jumlah eksport dan lebihan perdagangan negara.

Dari segi pelaburan, Pulau Pinang mencatat prestasi pelaburan yang luar biasa untuk tahun 2019 dan 2020 dengan mencatatkan pelaburan pembuatan bernilai RM31 bilion sepanjang tempoh berkenaan.

Produk E&E menyumbang 47 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan pembuatan, mewakili 35 peratus daripada jumlah pelaburan E&E negara, sekali gus memperkukuhkan kedudukan negeri ini sebagai Lembah Silikon Timur.

Sumber: Bernama

Syarikat semikonduktor Korea Selatan Simmtech akan labur US$120 juta di Pulau Pinang


Content Type:

Duration:

Kerjasama dan usaha bersepadu yang erat antara negara anggota ASEAN harus segera dilaksanakan untuk menghidupkan kembali industri pelancongan serantau.

Timbalan Setiausaha Agung untuk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), Satvinder Singh berkata, ia penting kerana sektor ini telah terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, malah Asia Tenggara kini menyaksikan peningkatan ketara kes jangkitan.

“Perjalanan dan pelancongan telah menjadi antara sektor terpenting dalam ekonomi dunia, dan tidak dinafikan sektor ini penyumbang besar kepada KDNK kita.

“Oleh itu, kita perlu bersatu, menerusi usaha yang lebih bersepadu untuk kita segera mengatasi cabaran ini,” katanya dalam ucapan penutup webinar maya bertajuk “ASEAN Tourism Webinar 2021: Outlook and Pathways to Recovery”, pada Selasa.

Dianjurkan CARI ASEAN Research and Advocacy, webinar itu juga menampilkan, antara lain, Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia (MoTCE) Sandiaga Uno dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat.

Satvinder berkata, langkah sekatan membendung penularan Covid-19 dalam negeri telah memberi kesan kepada semua pihak yang terkait dengan industri pelancongan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), oleh itu sektor awam dan swasta harus menggandakan usaha untuk liputan vaksinasi.

Liputan vaksinasi tidak hanya dapat disediakan oleh kerajaan sahaja. Sektor swasta juga perlu membantu dengan meningkatkan kempen vaksinasi, untuk komuniti mereka.

“Pasport Kesihatan Digital ASEAN diharap akan menjadi dokumentasi ujian dan vaksinasi yang berkesan dan bersesuaian dengan beberapa protokol kesihatan global, serta memberi keyakinan kepada pelancong,” katanya.

Sementara itu, Ketua Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN 2021 Brunei Yanty Rahman berkata, banyak perniagaan, khususnya PMKS yang bergantung kepada pelancongan, terpaksa menutup perniagaan atau sedang menghadapi masalah.

“Meskipun sedang menghadapi penularan virus delta yang lebih mudah berjangkit, penting untuk sektor awam dan swasta bekerjasama untuk satu hala tuju pemulihan.

“Hala tuju itu akan memberi keyakinan kepada pelancong dengan memastikan pematuhan semua protokol penjagaan kesihatan ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menyokong pemulihan perjalanan secara beransur-ansur di rantau ini, sehingga kita dapat pulih semula bersama,” katanya.

Industri pelancongan ASEAN menyumbang kepada 14.3 peratus daripada KDNK dan 13.7 peratus daripada jumlah pekerjaan di rantau ini.

Namun, pada 2020 ketibaan pelancong antarabangsa merosot 80.5 peratus dan menyebabkan kerugian sebanyak 75.8 peratus.

Source: Bernama

Anggota Asean gesa kerjasama pulihkan industri pelancongan serantau


Content Type:

Duration:

Indeks Harga Pengeluar (IHPR) untuk pengeluaran tempatan naik 11.5 peratus tahun ke tahun pada Jun 2021, menjadikan lima bulan berturut-turut mencatatkan aliran menaik, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks perlombongan meningkat 64.4 peratus disebabkan harga gas asli yang lebih tinggi serta kenaikan yang berterusan bagi minyak mentah.

Beliau berkata indeks pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 29.8 peratus berikutan harga yang lebih rendah bagi minyak sawit mentah dan ternakan.

“Di samping itu, indeks pembuatan yang dipengaruhi oleh kenaikan harga komoditi utama dan komoditi berkaitan pembinaan turut menunjukkan peningkatan signifikan sebanyak 6.7 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dari segi indeks utiliti, katanya bekalan air naik 1.6 peratus serta bekalan elektrik dan gas turun 0.2 peratus.

Bagi perbandingan bulanan, Mohd Uzir berkata IHPR untuk pengeluaran tempatan merekodkan peningkatan marginal 0.2 peratus pada Jun 2021 berbanding 1.0 peratus pada bulan sebelumnya, disokong oleh indeks perlombongan (8.2 peratus) dan pembuatan (0.8 peratus).

Bagaimanapun, pertanian, perhutanan dan perikanan; bekalan elektrik dan gas serta bekalan air, masing-masing mencatatkan penurunan 10.5 peratus, 0.8 peratus dan 0.2 peratus.

Sementara itu, katanya IHPR untuk pengeluaran tempatan bagi suku kedua 2021 naik 11.3 peratus kepada 111.3 berbanding 100.0 pada suku yang sama tahun sebelumnya. 

Mohd Uzir berkata pertumbuhan ini disebabkan kenaikan indeks perlombongan (74.0 peratus), pertanian, perhutanan dan perikanan (46.0 peratus), pembuatan (5.0 peratus) dan bekalan air (1.4 peratus), manakala indeks bekalan elektrik dan gas mencatatkan penurunan 0.3 peratus.

Bagi perbandingan suku tahunan, katanya IHPR untuk pengeluaran tempatan turun 2.6 peratus berbanding 5.1 peratus pada suku pertama 2021.

Jabatan Perangkaan turut melaporkan IHPR untuk pengeluaran tempatan bagi semua peringkat pemprosesan mencatatkan kenaikan harga pada Jun 2021.

“Indeks bahan mentah untuk diproses selanjutnya meningkat 39.2 peratus pada Jun 2021 berbanding 53.6 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya,” katanya.

Katanya indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen turut meningkat 9.0 peratus manakala indeks barang siap meningkat 0.3 peratus. 

Sumber: Bernama

IHPR bagi pengeluaran tempatan naik 11.5 peratus pada Jun 2021


Content Type:

Duration:

Tahap keyakinan pelabur tidak terjejas walaupun ketika persekitaran mencabar akibat COVID-19 di Malaysia, demikian menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau menjelaskan, pelabur asing melihat prospek pemulihan ekonomi negara yang kekal kukuh ketika ini.

“Bulan lalu, agensi penarafan antarabangsa seperti S&P (S&P Global Ratings) dan juga Moody’s (Moody’s Investors Service) masing-masing telah memberikan penarafan A- dan A3 kepada Malaysia. Minggu lalu, Fitch Ratings turut mengekalkan penarafan Malaysia di tahap BBB+.

“Penarafan sebegini bukanlah calang-calang diberikan, jauh sekali kepada sesuatu negara yang dianggap ‘gagal’. Asas ekonomi negara masih teguh.

“Prospek pertumbuhan Malaysia pada jangka masa sederhana masih cerah, pasaran modalnya masih utuh, sektor kewangan negara miliki kecairan dan modal penampan yang mendalam,” katanya dalam laporan LAKSANA ke-63, hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, dari segi sejarah, tahap pelaburan langsung asing (FDI) dan persekitaran perniagaan Malaysia kekal stabil di sebalik landskap politik semasa.

“Sebagai contoh, peralihan kerajaan dilakukan secara aman dan teratur pada 2018, manakala di sebalik polemik politik pada tahun 2020, Belanjawan 2021 tetap diluluskan di Parlimen.

“Selain itu, pelabur asing juga mempunyai keyakinan dan kepercayaan pada kekuatan institusi negara, di mana FDI telah menunjukkan trend peningkatan.

“Untuk suku pertama 2021, negara mencatat aliran masuk FDI sebanyak RM9.1 bilion, peningkatan sebanyak 33.8 peratus tahun ke tahun daripada RM6.8 bilion yang dicatatkan pada suku pertama tahun lalu,” katanya.

Untuk rekod, beliau menjelaskan, Malaysia juga terus menerima pelbagai pelaburan asing, berjumlah hampir RM60 bilion, dari syarikat antarabangsa yang terkemuka baru-baru ini.

“Ini termasuklah pelaburan dari Microsoft berjumlah AS$1 bilion (RM4.2 bilion); Risen Energy Co Ltd bernilai RM42.2 bilion; pelaburan GIC Pte Ltd dalam Sunway Healthcare Holdings sebanyak RM750 juta; pelaburan RM8.6 bilion oleh AT&S; dan pelaburan sebanyak RM4.2 bilion oleh SK Nexilis dari Korea Selatan,” katanya.

Tengku Zafrul menegaskan, jumlah perdagangan Malaysia juga telah melepasi angka RM1 trilion dalam masa enam bulan, tempoh paling singkat pernah dicatatkan bagi mencapai penanda aras itu.

“Bagi separuh pertama tahun ini, jumlah perdagangan Malaysia berjumlah RM1.056 trilion, berkembang 26 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Eksport melonjak 30.2 peratus kepada RM585.56 bilion dan import meningkat 21.1 peratus kepada RM470.53 bilion. Ini menjadi nilai separuh pertama yang tertinggi direkodkan bagi perdagangan, eksport dan import.

“Lebihan dagangan juga melonjak 87.7 peratus kepada RM115.04 bilion,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Tahap keyakinan pelabur tidak terjejas – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Tidak siapa boleh mempertikaikan bahawa tenaga yang boleh diperbaharui terutama tenaga solar adalah sumber tenaga alternatif yang cukup mampan di Malaysia.

Kerajaan sendiri mengakui hakikat itu apabila Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah baru-baru ini memberitahu bahwa mereka meletakkan sasaran untuk meningkatkan campuran kapasiti tenaga boleh dibaharui dalam pembekalan elektrik negara dari 23 peratus sekarang kepada 31 peratus pada tahun 2025 dan 40 peratus pada 2035.

Untuk menjana tenaga yang boleh diperbaharui dan mesra alam ini, Malaysia mempunyai sumber yang mencukupi yang perlu dimanfaatkan semaksimum mungkin. Terdapat beberapa sumber tenaga baharu yang boleh diterokai sebagai sumber penjanaan elektrik di Malaysia yang boleh digunakan secara meluas tanpa menjejaskan kualiti kehidupan sama ada terhadap manusia atau pun terhadap persekitaran flora dan fauna.

Berdasarkan kepada maklumat yang dikongsikan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), potensi terbesar tenaga boleh dibaharui di Malaysia datangnya dari tenaga solar. Ia boleh menjana tenaga elektrik berjumlah 269 gigawatt (GW) diikuti hidro kuasa besar (13.4 GW), tenaga bio atau bioenergi (3.6 GW), hidro kuasa kecil (1.7 GW) dan geoterma (0.2 GW).

Di Semenanjung Malaysia tenaga solar boleh menghasilkan tenaga elektrik berjumlah 137.5 GW, hidro kuasa besar (3.1 GW), tenaga bio (2.2 GW), hidro kuasa kecil (1.7 GW) dan geoterma (162 MW).
Sementara di Sabah, tenaga solar berpotensi menjana elektrik 99.4 GW, tenaga bio (0.8 GW), hidro kuasa kecil (0.6 GW), hidro kuasa besar (0.3 GW) dan geothermal (67 MW).

Di Sarawak penggunaan tenaga solar berpotensi menjana tenaga elektrik berjumlah 32.1 GW , hidro kuasa besar (10 GW), tenaga bio (0.6 GW) dan hidro kuasa kecil (0.2 GW).

Malaysia mula menggunakan tenaga solar secara mampan mulai tahun 2012 dengan pengenalan insentif feed-in-tariff atau tarif galakan untuk kegunaan industri dan bukan industri. Kerajaan turut memperkenalkan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau atau Green Technology Financing Scheme (GTFS).

Pada 2017 pihak berkuasa mula menawarkan skim Solar Berskala Besar dengan jumlah tenaga 500 MW. Pada tahun tersebut New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA) berasaskan Mekanisme Sistem Harga Marginal (SMP) turut diperkenalkan.

Kemudian kerajaan membuka tawaran Solar Berskala Besar Pusingan Ke-2 dengan kapasiti tenaga 500 MW pada 2018, Solar Berskala Besar 3 (500 MW) pada 2019 dan Solar Berskala Besar 4 (1000 MW) pada 2020.

Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan Skim Permeteran Tenaga Bersih atau Net Energy Metering (NEM) pada 2016 dengan kapasiti 500 MW dan NEM 3.0 (500 MW) pada 2021 bagi menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu. Melalui skim NEM ini, pengguna dijangka dapat menjimatkan bil elektrik sehingga 50 peratus.

Bagaimanapun terdapat cabaran dalam pembinaan ladang solar terutama yang berskala besar, antaranya termasuk kos pembinaan yang tinggi (high capital upfront cost). Bagi loji tenaga solar berkapasiti 30 MW kos pelaburan boleh mencecah RM 250 juta.

Misalnya, syarikat Gading Kencana Sdn. Bhd. telah mengeluarkan pelaburan modal yang tinggi bagi pembinaan ladang solar berskala besar di Ayer Keroh, Melaka dan di Bidor, Perak dengan kos melebihi RM300 juta, malah syarikat ini juga mengeluarkan pelaburan RM150 juta bagi pembinaan ladang solar ketiganya di Bidor.

Pengusaha juga perlu menyediakan sendiri 20 hingga 30 peratus pembiayaan muka (equity portion) kerana pihak bank tidak memberikan pembiayaan sepenuhnya. Selain itu, pengusaha ladang solar turut berdepan dengan hibah atau kadar faedah tinggi yang dikenakan oleh pihak bank.

Cabaran lain termasuk proses bidaan tarif yang kompetitif yang akan membawa kepada kadar pulangan dalaman (IRR) yang rendah, kos pendahuluan penerbitan sukuk yang mahal, kos tinggi untuk mendapatkan pinjaman melalui bank perdagangan, kos yang tinggi untuk penyambungan ke sistem grid dan IRR tinggi diperlukan oleh badan pelaburan berkaitan kerajaan.

Walau bagaimanapun, kerajaan menyediakan banyak insentif kepada pihak yang berminat untuk meneroka pasaran tenaga boleh dibaharui termasuk pengenalan Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS).

GTFS adalah program menyaksikan pihak kerajaan akan menyediakan 60 peratus jaminan terhadap pinjaman dan dua peratus diskaun terhadap kadar faedah pinjaman. Malahan terdapat badan-badan yang disediakan oleh kerajaan bagi memudahkan kalangan usahawan untuk terbabit dalam industri tenaga boleh baharu yang selamat untuk kehidupan manusia dan makhluk lain.

Antaranya termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Danajamin Nasional Berhad (Danajamin), Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC), Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia (Green Tech Malaysia) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Selain itu, beberapa akta turut digubal bagi mengawal selia pembangunan tenaga boleh dibaharui di Malaysia. Iaitu Akta Tenaga Boleh Baharu 2011, Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) 2011, Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Akta Suruhanjaya tenaga 2001.

Permintaan tenaga elektrik di Malaysia sebelum Covid-19 adalah sebanyak 18,000 MW. Tetapi dalam tempoh serangan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan permintaan terhadap tenaga berkurangan kepada 11,000 MW.

Menariknya, beberapa minggu kebelakangan ini permintaan itu meningkat secara perlahan-lahan dan menjadi tanda bahawa pemulihan ekonomi sedang berlaku. Justeru, tenaga boleh dibaharui dilihat antara yang boleh membantu menggerakkan semula ekonomi dan pembangunan negara.

Minat kerajaan terhadap tenaga solar dilihat cukup signifikan selepas menerima pelaburan berjumlah RM42.2 bilion dari syarikat pengeluar sel dan modul solar dari China, Risen Solar Technology. Ini sekali gus merancakkan industri tenaga boleh baharu di Malaysia.

Diharapkan melalui perkembangan ini, tenaga solar akan menjadi alternatif kepada sumber tenaga konvensional di Malaysia, terutama ketika negara ini berusaha untuk memastikan keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian alam sekitar.

Datuk Dr. Ir. Mansor Tobeng ialah Profesor Adjung di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd.

Sumber: Utusan Malaysia

Solar ejen pertumbuhan ekonomi


Content Type:

Duration:

Jumlah eksport bulanan Malaysia meneruskan momentum positif apabila mencatat pertumbuhan kukuh 27.2 peratus kepada RM105.47 bilion pada Jun, angka kedua tertinggi selepas RM105.59 bilion yang diraih pada April lalu.

Prestasi eksport Malaysia pada bulan dikaji juga adalah kali ketiga melepasi angka RM100 bilion tahun ini dan peningkatan tahun ke tahun selama 10 bulan berturut-turut sejak September 2020.

Bagi tempoh separuh pertama, nilai dagangan eksport melonjak 30.2 peratus kepada RM585.56 bilion dengan angka terbabit adalah tertinggi bagi tempoh enam bulan bagi Malaysia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pertumbuhan eksport pada Jun selari dengan pemulihan ekonomi global dengan pembukaan aktiviti ekonomi di luar negara menandakan permintaan luaran yang lebih baik.

“Eksport Malaysia meningkat 27.2 peratus, didorong oleh eksport domestik dan eksport semula. Eksport domestik bernilai RM84.7 bilion menyumbang 80.3 peratus kepada jumlah eksport, meningkat 21.0 peratus, tahun ke tahun.

“Sementara itu, eksport semula mencatatkan RM20.8 bilion, meningkat 61.2 peratus. Import pada Jun 2021 berjumlah RM83.2 bilion, naik 32.1 peratus berbanding Jun 2020, melebihi pertumbuhan eksport bagi dua bulan berturut-turut.

“Jumlah dagangan Malaysia berkembang 29.3 peratus, mencapai RM188.7 bilion, tahun ke tahun. Prestasi bulan ke bulan bagi eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan juga menunjukkan trend menaik masing-masing 14.3 peratus, 5.9 peratus, 10.4 peratus dan 61.7 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan berasingan berkata, pertumbuhan eksport disumbangkan oleh permintaan yang kukuh bagi keluaran petroleum, barangan elektrik dan elektronik (E&E) khususnya litar bersepadu elektronik yang digunakan dalam pengeluaran telefon pintar, kereta, komputer dan kelengkapan rumah serta keluaran getah.

“Eksport ke semua pasaran utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua angka,” katanya.

Pada Jun 2021, eksport bagi ketiga-tiga sektor merekodkan pertumbuhan kukuh dua angka berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Eksport barangan perkilangan yang merangkumi 86.6 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 25.8 peratus tahun ke tahun kepada RM91.3 bilion dan menjadi pertumbuhan dua angka yang ke tujuh bulan berturut-turut.

Selain itu, eksport yang meningkat melebihi RM1 bilion direkodkan bagi keluaran petroleum, barangan E&E, keluaran getah, kimia dan bahan kimia, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit serta barangan perkilangan logam.

Eksport keluaran pertanian berkembang 40 peratus kepada RM8.81 bilion berbanding Jun 2020 dipacu terutama oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Sementara itu, eksport hasil galian naik 32.9 peratus tahun ke tahun kepada RM4.96 bilion, mencatatkan pertumbuhan dua angka bagi tiga bulan berturut-turut dengan peningkatan itu disumbang oleh kenaikan eksport petroleum mentah dan gas asli cecair (LNG).

Prestasi perdagangan Malaysia mengekalkan momentum kenaikan pada Jun dengan jumlah perdagangan meningkat 29.3 peratus kepada RM188.7 bilion berbanding Jun 2020.

Perdagangan, eksport dan import merekodkan nilai bulanan kedua tertinggi setakat ini selepas April 2021.

Ia juga menjadi nilai bulanan tertinggi dicatatkan bagi bulan Jun dan pertumbuhan dua angka bagi lima bulan berturut-turut.

Bagi tempoh separuh pertama 2021, MITI berkata, jumlah perdagangan Malaysia melepasi RM1 trilion, tempoh paling singkat pernah dicatatkan bagi mencapai tanda aras itu.

“Perdagangan bernilai RM1.056 trilion, berkembang 26 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Eksport naik 30.2 peratus kepada RM585.56 bilion dan import meningkat 21.1 peratus kepada RM470.53 bilion.

“Ini menjadi nilai separuh tahun yang tertinggi direkodkan bagi perdagangan, eksport dan import. Lebihan dagangan melonjak 87.7 peratus kepada RM115.04 bilion,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Prestasi eksport negara terus cemerlang


Content Type:

Duration:

Pelabur dari Malaysia, New Zealand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kini berpeluang untuk mengadakan kerjasama dengan rakan perniagaan di Australasia, Timur Tengah dan ASEAN. 

Menerusi inisiatif bersama antara Persatuan Perniagaan New Zealand (NZMBA) dan Majlis Perniagaan Malaysia (MBC) yang berpangkalan di UAE ia akan menyediakan laluan membolehkan hubungan perniagaan strategik peringkat tinggi selain membantu mengeratkan hubungan sesama rakyat. 

Pengasas dan Presiden NZMBA Dave Ananth berkata inisiatif bersama itu akan menyaksikan kedua-dua pihak meningkatkan aktiviti ekonomi dan pelaburan antara pasaran Malaysia, New Zealand dan UAE.

“Pasukan bilateral NZMBA-MBC berfungsi sebagai platform untuk perniagaan di Malaysia, New Zealand dan UAE mengintai peluang baharu dan terlibat dengan rakan strategik di wilayah-wilayah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

  Beliau berkata, satu perjanjian kerjasama telah ditandatanganinya dan Pengerusi MBC, UAE, Fahmy Ansara untuk menyediakan peluang kepada kedua-dua pihak bersama-sama mempromosi produk halal, kewangan Syariah dan projek infrastruktur di New Zealand.

“Kami juga sepakat untuk menjalin kerjasama lebih luas dalam pensijilan halal New Zealand untuk komoditi daging dan tenusu bagi tujuan eksport ke pasaran Malaysia dan Timur Tengah, selain projek infrastruktur melibatkan sektor kerajaan dan swasta di negara kepulauan itu,” tambahnya.

Sementara itu, Fahmy berkata inisiatif bersama itu melibatkan pertukaran jaringan, teknologi, dan perkongsian pengetahuan antara kedua-dua pihak.

Perjanjian kerjasama menjemput semua MBC di seluruh dunia untuk bergabung dan merebut peluang yang ada. 

NZMBA dan MBC, UAE turut membincangkan mengenai penganjuran dan persiapan untuk Ekspo Dunia 2021 yang akan diadakan di Dubai, UAE dari Oktober 2021 – Mac 2022.

Kedua-dua pihak juga mempertimbangkan rancangan untuk mengadakan pameran hibrid Perniagaan UAE-NZ-Malaysia bersempena dengan Ekspo Dunia 2021 dan FieldDays Expo 2022/2023, acara pertanian terbesar di Hemisfera Selatan berkaitan teknologi dan inovasi canggih.

Sumber: Bernama

Inisiatif bersama bantu pelabur berkembang ke Australia, Timur Tengah dan Asean


Content Type:

Duration:

wpChatIcon