2021 Archives - Page 15 of 33 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Percepat pelancaran vaksin COVID-19 perlu jadi fokus utama dasar luar

Pada masa ini perkara paling utama adalah negara manakah yang paling banyak membantu untuk menjadikan dunia kembali normal di tengah-tengah peningkatan pandemik COVID-19.

Sama ada negara itu kuasa lembut  (soft power) atau kuasa keras (hard power), ini harus menjadi fokus dasar luar  negara  yang mempunyai sumber dan kemampuan untuk cuba membantu.

Demikian menurut Rakan Kongsi, Sanctuary Counsels, Jonathan McClory, di Persidangan Diplomasi Awam Asia 2021 Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF) di sini hari ini.

McClory, perunding strategi bebas yang mengkhusus dalam soft power, diplomasi awam, hubungan budaya, penjenamaan tempat dan industri kreatif berkongsi topik “Public Diplomacy in a Post-COVID-19 World” bersama tiga penceramah lain.

Sesi dikendalikan Pengarah Pusat Diplomasi Awam, Universiti Southern California, Dr Jay Wang.

McClory ditanya sama ada sesebuah negara yang tidak memiliki kekuatan ketenteraan boleh menunjukkan soft power dan diplomasi awam yang baik untuk menyatukan masyarakat, misalnya dalam menyelesaikan masalah tertentu seperti pelancaran vaksin global yang lebih baik.

“Tidak semestinya ia hanya boleh dilakukan negara yang memiliki infrastruktur ketenteraan terbaik, tetapi negara yang boleh membantu membangun keupayaan di bidang kesihatan awam atau dalam pelaksanaan pembiayaan pelancaran vaksin di seluruh dunia.

“Dan, saya fikir itu akan menjadi perkara paling penting untuk soft power,” katanya.

McClory menyatakan Jepun adalah antara negara yang dapat melakukannya tanpa melibatkan kuasa ketenteraan.

Menurut perunding itu ia terbukti dengan semua tindakan yang dilakukan negara ini di Asia Tenggara seperti meningkatkan kapasiti di pelbagai bidang dan pembangunan dan “sebahagian daripadanya adalah kesihatan awam.”

Katanya, Kesatuan Eropah juga telah melakukannya dengan cukup baik dalam usaha mereka membekalkan vaksin untuk Vaccines Global Access (COVAX).

Sumber: Bernama

Percepat pelancaran vaksin COVID-19 perlu jadi fokus utama dasar luar


Content Type:

Duration:

Kerajaan, menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), terus menumpukan kepada usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi daripada syarikat asing dan tempatan menerusi pelbagai strategi pelaburan dan inisiatif dasar di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Arham Abdul Rahman berkata strategi agresif berterusan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi daripada pelabur asing dan tempatan menunjukkan hasil yang meyakinkan dengan Malaysia merekodkan pelaburan dilulus bernilai RM80.6 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama pada suku pertama 2021 (Januari-Mac), lonjakan sebanyak 95.6 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas.

“Pelaburan dilulus ini melibatkan 993 projek dan dijangka menjana 32,557 peluang pekerjaan. Malaysia kekal sebagai lokasi pelaburan kompetitif bagi pelabur asing meskipun keadaan tidak menentu global ketika ini,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

Beliau berkata jumlah pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama meningkat sebanyak 383.4 peratus kepada RM54.9 bilion bagi tempoh Januari-Mac 2021 daripada RM11.4 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

“Projek FDI utama kebanyakannya dalam sektor berorientasikan eksport dan teknologi tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E) dan peralatan perubatan serta sektor berintensifkan modal seperti produk logam asas dan produk kimia.

“Kebanyakan syarikat multinasional (MNC) dan asing di Malaysia terlibat dalam sektor teknologi tinggi seperti mikroelektronik, mekatronik, bahan direkayasa, biobahan, komponen perubatan, komponen logam dan komposit aeroangkasa serta produk kimia,” katanya.

Arham berkata MNC memainkan peranan penting sebagai ejen transformasi negara bagi pembuatan dan industri perkhidmatan berkaitan pembuatan.

Menurutnya, kerajaan terus memberi sokongan kepada rantaian dan vendor bekalan tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka dan memenuhi keperluan MNC.

Dalam usaha menaik taraf ekosistem domestik industri yang menyokong projek asing utama di sini, beliau berkata kerajaan memperkenalkan Dana dan Geran Automasi Pintar (SAG). 

Ia membantu vendor tempatan dalam rantaian bekalan MNC untuk mengautomasi dan mendigitalkan proses pembuatan dan perniagaan mereka bagi mencapai kecekapan yang lebih tinggi.

Mengenai kepentingan FDI dalam sektor perkhidmatan, beliau berkata, skim Hab Prinsipal (PH) menjadi aktiviti perniagaan pilihan utama bagi pelabur asing, disokong oleh insentif cukai kerajaan sejak 2015.

“Malaysia berhasrat menjadi lokasi pilihan utama bagi ibu pejabat di rantau Asia Pasifik, bersaing dengan negara-negara pesaing serantau lain. Negara juga semakin mendapat perhatian sebagai pusat hab digital di ASEAN dengan pelancaran inisiatif MyDigital di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Arham berkata pada 12 April, 2021, Kabinet telah meluluskan agenda pelaburan baharu berdasarkan Aspirasi Pelaburan Nasional dan perancangan Malaysia yang unik kepada pelabur.

Seperti yang dilihat dalam pengumuman bagi projek diluluskan pada suku pertama 2021, beliau berkata banyak pelabur asing yang menunjukkan keyakinan menerusi pelaburan jangka panjang mereka di Malaysia.

“Satu projek yang penting adalah projek pembuatan baharu oleh SK Nexilis dari Korea Selatan, pengeluar kerajang tembaga untuk penghasilan bateri kenderaan elektrik (EV). Kemudahan yang dicadangkan di Malaysia itu akan melaksanakan sepenuhnya inisiatif RE100 untuk melaksanakan 100 peratus tenaga elektrik boleh diperbaharui.

“Kehadiran syarikat ini akan menarik lebih ramai pelabur untuk melengkapkan rantaian bekalan pembuatan bateri EV Malaysia, menjadikan negara sebagai hab kerajang tembaga berkualiti tinggi dan kejituan tinggi untuk aplikasi khusus,” katanya.

Dalam landskap domestik, Arham berkata penggiat tempatan seperti Amerix Metal Machining Technology telah merebut peluang untuk memperluas dan mempelbagaikan operasi mereka pada 2020, meningkatkan lagi keupayaan rangkaian industri sokongan Malaysia.

Prestasi perdagangan Malaysia dilihat mengekalkan trend peningkatan pada Mei 2021 dengan dagangan yang meningkat 48.7 peratus kepada RM170.88 bilion berbanding Mei 2020, manakala eksport melonjak 47.3 peratus kepada RM92.31 bilion, bulan kesembilan berturut-turut bagi pengembangan tahun ke tahun sejak September 2020.

Arham berkata pengembangan yang kukuh dalam eksport dan import adalah isyarat yang dinanti-nantikan bahawa pemulihan ekonomi Malaysia semakin pantas.

“Kerajaan juga telah menetapkan misi penentu bagi mengurangkan impak kesihatan, ekonomi dan sosial  pandemik. Sejak Mac 2020, banyak inisiatif telah dilancarkan dalam siri langkah rangsangan berkaitan strategi 6R (Resolve (ketegasan), Resilience (ketahanan), Restart (jana semula), Recovery (pemulihan), Revitalise (memperkasa) dan Reform (menyusun semula).

“Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (KITA PRIHATIN), Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (PEMERKASA) dan PEMERKASA Tambahan yang bernilai RM380 bilion, dilaksanakan untuk membantu meredakan impak COVID-19, merangsang pertumbuhan ekonomi dan menggalakkan pelaburan yang berkualiti,” katanya.

Pakej Kesejahteraan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi Nasional (PEMULIH) baru-baru ini turut memperuntukkan RM150 bilion untuk menangani cabaran yang dihadapi akibat gelombang pandemik semasa, katanya.

Melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2021-2030 dan Rancangan Malaysia ke-12, Arham berkata kerajaan akan terus menetapkan strategi utama baharu untuk meningkatkan lagi daya saing perindustrian Malaysia dan hala tuju strategik dalam agenda pembangunan negara.

“MIDA sentiasa meninjau, menarik dan memudahkan pelaburan berteknologi tinggi, berasaskan pengetahuan dan berintensifkan modal yang menghasilkan kesan pengganda kepada ekonomi negara. “Berupaya menyediakan peluang pekerjaan bernilai tinggi sentiasa menjadi rancangan strategik MIDA, terutamanya ke arah era Industri 4.0.

“Landskap perindustrian menuntut keperluan untuk menggabungkan pengetahuan teknikal, pemikiran kritikal, keupayaan menyelesaikan masalah serta kemahiran kepimpinan yang tepat,” katanya.

Sumber: Bernama

MIDA kekal tumpu tarik pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia


Content Type:

Duration:

K.K.I.P Sdn Bhd yang juga pemaju dan pengendali Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), telah memeterai perjanjian pajakan dengan SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd, unit SK Nexilis Korea Selatan, membabitkan kilang pengeluaran kerajang tembaga di kawasan tersebut.

K.K.I.P merupakan anak syarikat milik penuh kerajaan negeri Sabah menerusi Ordinans Ketua Menteri (Diperbadankan) selain menjadi  agensi kerajaan negeri di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Perindustrian.

Perjanjian itu telah ditandatangani oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri dengan Ketua Pegawai Eksekutif SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd Shin Dong Hwan dalam satu majlis di sini, pada Isnin.

Terdahulu dalam ucapannya, Joachim mengalu-alukan kehadiran SK Nexilis yang membawa masuk pelaburan bernilai RM4.2 bilion ke negeri tersebut.

“Bagi pihak kerajaan Sabah, kami menyambut baik pelaburan ini yang akan mewujudkan 400 pekerjaan untuk penduduk negeri ini,” katanya.

SK Nexilis merupakan pengeluar terkemuka bagi produk kerajang tembaga untuk penghasilan bateri kenderaan elektrik (EV).

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Joachim berkata kilang tersebut akan dibina di kawasan seluas 40.5 hektar di KKIP bermula Ogos depan dan dijangka beroperasi pada 2023.

“Kita berharap majlis pecah tanah itu dapat diadakan pada awal atau akhir Ogos depan. Ini merupakan prospek yang baik dan kita berharap dapat membuka kilangkilang lain berkaitan kerajang tembaga di Sabah seperti bateri EV dan boleh dieksport,” katanya. Malah, beliau berkata pihaknya optimis usaha itu menjadi satu permulaan baik dan kerajaan negeri itu juga kini dalam proses rundingan dengan pelabur kilang kaca dari China.

Sumber: Bernama

K.K.I.P, SK Nexilis meterai perjanjian bangunkan kilang kerajang tembaga di Sabah


Content Type:

Duration:

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yakin akan dapat mencapai sasaran pelaburan 2021 bagi Terengganu menjelang penghujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, ia susulan kemasukan pelaburan yang memberangsangkan dan setakat 30 Jun 2021, ECERDC telah berjaya menarik pelaburan sebanyak RM2.7 bilion daripada sasaran pelaburan komited RM3.9 bilion untuk tahun ini ke Terengganu.

Pihaknya juga menjangka sebanyak 3,040 pekerjaan dan 214 peluang keusahawanan baharu dapat diwujudkan untuk rakyat Terengganu menerusi semua pelaburan itu.

“ECERDC akan meneruskan usaha untuk memastikan semua projek dan inisiatif yang sedang berjalan seperti kerja infrastruktur dan program pembangunan modal insan dilaksanakan seperti yang dirancang bagi mempertingkatkan daya tarikan negeri ini sebagai sebuah destinasi pelaburan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Baidzawi berkata, ECERDC juga akan terus menggiatkan usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan ke wilayah ini terutamanya dalam sektor minyak, gas dan petrokimia (OGP).

“Walaupun tidak dapat menerajui misi pelaburan ke luar negara atau mengadakan acara fizikal, ECERDC telah menganjurkan tiga webinar pada separuh pertama 2021 untuk membina hubungan dan menarik pelabur-pelabur antarabangsa.

“Lebih 900 pelabur berpotensi telah mengambil bahagian dalam tiga webinar pelaburan ini. Di samping itu, terdapat beberapa program webinar sedang dalam perancangan untuk 2021 bagi menarik pelabur ke sektor-sektor ekonomi utama lain di Terengganu seperti pertanian, pelancongan dan tenaga bio,” katanya.

Selain itu, Baidzawi berkata, kerja-kerja perluasan bagi fasa tiga dan fasa empat yang sedang berjalan di Taman Biopolimer Kerteh iaitu sebuah taman perindustrian bersepadu juga akan mengetengahkan negeri ini sebagai pemain utama dalam industri bio.

“Fasa satu dan fasa dua sudah hampir penuh diduduki. Kelebihan taman industri ini terletak pada akses mudah kepada bahan mentah untuk sektor ini. Taman ini telah menarik pelaburan komited sebanyak RM5.4 bilion sejak ia dilancarkan dan telah mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata ECERDC juga telah melaksanakan pelbagai program latihan semula dan peningkatan kemahiran graduan bagi membantu mereka yang terkesan akibat Covid-19.

“Di Terengganu, seramai 1,135 peserta telah dilatih dan daripada jumlah itu, 943 orang telah ditawarkan pekerjaan yang mana mereka menikmati pendapatan antara RM1,400 hingga RM4,000 sebulan.

“Begitu juga dengan program empower ECER-Akademik di Terengganu yang mencatatkan kadar lulus membanggakan iaitu 98 peratus lebih tinggi daripada purata kebangsaan dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2020,” katanya.

Sumber: Bernama

ECERDC tarik RM2.7 bilion pelaburan ke Terengganu


Content Type:

Duration:

Dagang NeXchange Bhd (DNeX) menyelesaikan pengambilalihan 60 peratus kepentingan ekuiti dalam SilTerra Malaysia Sdn Bhd (SilTerra) daripada Khazanah Nasional Bhd.

Ia sekali gus menjadikan DNeX sebagai pemegang saham majoriti SilTerra.

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata kemasukan syarikat itu ke pasaran semikonduktor adalah tepat pada masanya memandangkan masalah kekurangan cip global semasa mempengaruhi antaranya penghantaran kereta, peralatan rumah, ‘notebook’, telefon pintar, dan konsol permainan video.

“Kami menjangkakan permintaan untuk terus meningkat menjangkaui tahun 2024 didorong oleh penggunaan teknologi tanpa wayar 5G, IR 4.0, ‘Internet of Things’ (IoT), pengkomputeran awan dan kenderaan elektrik yang semakin meningkat.

“Bersama rakan kongsi, Beijing Integrated Circuit Advanced Manufacturing and High-End Equipment Equity Investment Fund Center (Limited Partnership) (CGP Fund), kami yakin dengan kemampuan untuk mengubah SilTerra menjadi pemain teknologi semikonduktor global yang kompetitif yang akan dapat memanfaatkan permintaan tinggi untuk cip semikonduktor di peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SilTerra terbabit dalam pembuatan wafer semikonduktor dan membekalkan syarikat pengeluar peranti multinasional ‘fabless’ dan bersepadu.

Syed Zainal berkata, melangkah ke hadapan, DNeX akan menumpukan kepada pengukuhan asas SilTerra dari segi penggunaan kilang dan pengoptimuman kos sementara memperkenalkan rangkaian pelanggan global yang luas.

“Sudah tiba masanya untuk meletakkan SilTerra kembali di dalam peta,” katanya.

Sumber: Berita Harian

DNeX muktamad ambil alih Silterra


Content Type:

Duration:

Meskipun usaha mempercepatkan ujian saringan besar-besaran dan program vaksinasi terus menjadi keutamaan Pulau Pinang, namun ia juga komited memastikan kemampanan perniagaan di tengah-tengah krisis pandemik COVID-19 sekarang terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).  

InvestPenang, agensi penggalakan pelaburan negeri berkata, antara lainnya, Pulau Pinang telah melancarkan beberapa inisiatif untuk membantu PKS melaksanakan pendigitalan, melengkapkan perniagaan dengan kemahiran yang perlu dan peluang untuk mendapatkan pelanggan berpotensi dalam persekitaran normal baharu.

“Selain itu, berikutan rombakan tenaga kerja dalam seluruh industri dan wilayah, kerajaan negeri memanfaatkan peluang ini dengan melaksanakan usaha besarbesaran bagi menarik tenaga kerja seluruh negara dan mengukuhkan tenaga kerja sedia ada di Pulau Pinang.

“Ia juga untuk menangani penawaran dan permintaan tenaga kerja dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi menampung peningkatan permintaan terhadap tenaga kerja sedemikian,” kata InvestPenang dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini selepas sesi dialog maya antara Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan wakil industri.

Bagi memastikan persekitaran perniagaan Malaysia kekal kondusif, ia berkata, langkah-langkah menyeluruh untuk  mencapai  kesimbangan kesejahteraan warga, sistem penjagaan kesihatan fungsian dan ekonomi mampan, diperlukan.

Oleh itu, katanya, penggubal dasar perlu menilai dengan berhati-hati potensi hasil bagi mengelakkan kesan yang tidak dapat dielakkan ke atas kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global dan statusnya sebagai destinasi pelaburan berkualiti tinggi.

Sementara itu, Chow yakin dengan prospek bahawa 40 peratus daripada penduduk dewasa di Pulau Pinang akan menerima vaksin menjelang minggu ketiga Ogos, disokong oleh pertambahan pemberian vaksin kepada kira-kira 30,000 dos sehari.

Satu daripada syarat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara adalah 40 peratus daripada penduduk perlu divaksinkan sepenuhnya sebelum memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara dan kemudiannya semua aktiviti ekonomi akan dibenarkan beroperasi.

Meskipun lonjakan kes COVID-19 ketika ini, Chow melahirkan keyakinannya terhadap langkah-langkah yang diambil untuk meminimumkan impak tersebut  dan menyedari keperluan bagi memperhalusi langkah-langkah tersebut berdasarkan perkembangan terbaharu.

“Pelan pemulihan Pulau Pinang kekal kukuh dan sasaran kami  untuk mencapai imuniti kelompok menjelang Oktober boleh dicapai memandangkan peruntukan vaksin yang mencukupi dan pengoptimuman pusat vaksinasi,” katanya.

Source: Bernama

Pulau Pinang komited pastikan kemampanan PKS, komuniti perniagaan


Content Type:

Duration:

Sebanyak 17,053 syarikat melibatkan kira-kira 1.3 juta pekerja di seluruh negara telah berdaftar di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) sehingga semalam.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong berkata daripada jumlah itu, seramai 298,306 pekerja telah menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19 manakala 28,596 pekerja telah lengkap menerima dos kedua sehingga semalam.

“Vaksinasi adalah elemen yang sangat penting dalam pemulihan ekonomi negara dan kami berharap inisiatif pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) PIKAS dapat membantu mencapai sasaran vaksinasi penuh di seluruh negara menjelang Oktober.

“Kita juga berharap lebih banyak PPV PIKAS akan dibuka dalam masa terdekat agar proses pemberian vaksin kepada pekerja sektor industri dapat dipercepatkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Common PPV PIKAS di Pusat Konvensyen Bayou di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyertai lawatan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam. Turut sama dalam lawatan itu Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman.

Mengulas lanjut, Lim berkata setakat ini sebanyak 12 Common PPV PIKAS dan 22 ‘on-site’ PPV sedang dan telah tamat menjalankan proses vaksinasi melibatkan warga industri di seluruh negara.

Beliau berkata Common PPV PIKAS berperanan mengendalikan pemberian vaksin melibatkan lebih daripada satu syarikat manakala ‘on-site’ PPV dibuka khas untuk kilang yang mempunyai pekerja lebih daripada 1,000 orang.

“’On-site’ dibuka di kilang berkenaan untuk mengurangkan pergerakan pekerja yang ramai dari satu tempat ke tempat yang lain seperti ke Common PPV dan pembukaan PPV ini akan dipertimbangkan mengikut keperluan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Common PPV PIKAS di Pusat Konvensyen Bayou yang akan dibuka esok ialah yang pertama dibuka bagi kategori itu di Melaka dan PPV berkenaan berupaya menampung kapasiti penerima vaksin sebanyak 1,500 orang sehari.

Katanya jumlah vaksin yang telah diluluskan oleh Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) untuk PPV berkenaan adalah sebanyak 15,000 dos dan pihaknya telah mengemukakan permohonan untuk penambahan vaksin sebanyak 35,000 dos lagi kepada 50,000 dos vaksin.

“Kita juga mengemukakan satu permohonan pembukaan ‘on-site’ PPV serta dua Common PPV di Melaka dan sedang menunggu tarikh operasi daripada CITF,” katanya.

Sumber: Bernama

17,053 syarikat libatkan 1.3 juta pekerja berdaftar dengan PIKAS


Content Type:

Duration:

Pharmaniaga Bhd menegaskan bahawa model perniagaan utamanya ialah memberi tumpuan kepada mengeluarkan dan mengedarkan vaksin Sinovac kepada kerajaan Persekutuan dalam memerangi pandemik Covid-19 di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, ini untuk memastikan penduduk di negara ini mendapat vaksinasi dan mencapai imuniti kelompok.

“Model perniagaan kedua kami ialah memberikan vaksin kepada kerajaan negeri dan syarikat swasta berikutan mereka tidak boleh menunggu program vaksinasi kerajaan Persekutuan dan memerlukan perniagaan mereka untuk terus beroperasi.

“Negeri-negeri yang telah menyatakan minat untuk membeli vaksin Sinovac daripada Pharmaniaga termasuklah Selangor, Pahang, Perak, Sarawak, Sabah, Johor dan Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media secara maya pada Jumaat.

Beliau berkata, jumlah permintaan untuk vaksin Sinovac dari tujuh negeri itu adalah hampir lima hingga enam juta dos dengan Selangor mencatatkan permohonan tertinggi iaitu hampir 2.5 juta dos.

“Kita ada pelbagai tempahan untuk dalam negara seperti untuk kerajaan negeri dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) telah memberi kebenaran untuk membuat penghantaran awal seperti di Selangor berikutan kes yang tinggi dan untuk mempercepatkan proses vaksinasi.

“Bagi negeri lain, kita perlu tunggu seperti yang telah dimaklumkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin yang akan bermula pada 1 Ogos nanti,” katanya.

Bagaimanapun, Zulkarnain berkata, kesemua kerajaan negeri yang ingin membeli vaksin Sinovac daripada Pharmaniaga perlu menepati syarat harga siling, garis panduan dan syarat penjualan yang telah ditetapkan oleh JKJAV dan Kementerian Kesihatan yang akan diumumkan minggu depan.

Selain menyediakan vaksin di Malaysia, katanya Pharmaniaga turut melihat kepada model perniagaan pasaran eksport berikutan telah menerima panggilan dan permintaan termasuk dari negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Kemboja dan Thailand untuk vaksin tersebut.

Zulkarnain menjelaskan bahawa negara-negara tersebut amat memerlukan vaksin berikutan mereka tidak boleh mendapat pesanan mereka tepat pada waktunya atau tidak boleh mendapat bekalan vaksin yang mencukupi.

“Kami (Pharmaniaga) bernasib baik berikutan kami merancang lebih awal untuk memastikan terdapat vaksin yang mencukupi untuk kerajaan Persekutuan, bekalan tambahan untuk kerajaan negeri dan sektor swasta (pada masa itu Sinovac belum diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia),” katanya.

Beliau berkata, syarikat farmaseutikal itu kini dalam perbincangan dengan Sinovac Biotech Ltd untuk membekalkan dan mengedarkan vaksin Sinovac ke negara-negara lain.

“Ini adalah strategi yang akan kami teruskan dan sudah tentu, ini akan memberi impak kepada pendapatan dan keuntungan kami jika kami dapat menjual vaksin Sinovac ke negara-negara asing.

“Bagaimanapun, perkara utama sekarang ialah memastikan semua rakyat Malaysia mendapat vaksinasi berikutan penduduk adalah keutamaan tertinggi kami,” katanya.

Sumber: Bernama

Pharmaniaga beri tumpuan edar vaksin Sinovac kepada kerajaan


Content Type:

Duration:

Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia menggesa kerajaan meratifikasi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) menjelang akhir tahun.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid, berkata ini kerana, Malaysia sudah kehilangan kelebihan awal apabila belum lagi meratifikasi kedua-dua perjanjian itu.

Katanya, kerajaan perlu mengambil tindakan pantas untuk membolehkan perniagaan memanfaatkan kedua-dua perjanjian bebas yang telah ditandatangani Malaysia.

“ASEAN-BAC menghantar memorandum maya kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menyokong rafitikasi RCEP dan CPTPP.

“Kami mahu kerajaan meratifikasikan kedua-dua perjanjian ni pada akhir tahun ini bagi mendapat manfaat lebih awal dan mengukuhkan ekonomi negara,” katanya pada ucapan penutup webinar Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia 2021, hari ini.

Mohd Munir berkata, semua komuniti perniagaan menyedari kepentingan proses ratifikasi RCEP dan CPTPP bagi menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran negara peserta.

“Perjanjian perdagangan ini memberikan peluang kepada perniagaan Malaysia dengan menawarkan akses pasar ke hampir sepertiga populasi dunia, memperluas saluran sumber bahan mentah antara rantau dengan harga yang kompetitif dan mengintegrasikan rantaian bekalan.

“RCEP dan CPTPP juga dapat mempromosikan ketelusan yang lebih luas untuk berkongsi kemudahan perdagangan, kerjasama ekonomi, keseragaman peraturan berkaitan dengan e-dagang dan memberikan kepastian dalam perlindungan hak harta intelek,” katanya.

Setakat ini, empat negara sudah meratifikasi RCEP iaitu Singapura, Thailand, China dan Jepun.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi Malaysia, Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Lee Heng Guie berkata, RCEP memerlukan enam negara ASEAN dan tiga negara bukan ASEAN melaksanakan ratifikasi bagi membolehkan perjanjian itu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari.

“Semua negara yang memeterai perjanjian ini tahun mereka perlu melengkapkan ratifikasi tahun ini untuk mempercepatkan pelaksanaan pada 1 Januari tahun depan,” katanya.

Pengarah Eksekutif Sekretariat Kerjasama Ekomomi Asia Pasifik (APEC), Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria berkata, data pelaburan langsung asing (FDI) menunjukkan Vietnam telah meraih manfaat kerana telah meratifikasi CPTPP lebih awal.

“Tinjauan The Economist baru-baru ini menunjukkan responden lebih yakin dengan Vietnam berbanding negara ASEAN yang lain,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Kerajaan digesa ratifikasi segera RCEP, CPTPP


Content Type:

Duration:

Sheng Tai International Sdn Bhd mengumumkan rancangan untuk mentransformasikan salah satu daripada sembilan menara projek The Sail Melaka menjadi Menara Kebudayaan pertama di Malaysia, yang disasar menarik pelaburan langsung asing bernilai RM1 bilion dari China.

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata bahawa Menara Kebudayaan Maritim adalah salah satu menara di The Sail Melaka yang bernilai RM6.5 bilion, pembangunan strategik di sepanjang Zon Ekonomi Pesisir Melaka (M-WEZ) yang dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

Pembangunan itu akan menempatkan hotel mewah lima bintang dan enam bintang; kondotel mewah; suite perniagaan; pusat membeli-belah mewah seluas sejuta kaki persegi serta dataran budaya dengan lot-lot kedai yang menghadap Selat Melaka.

“Dengan saiz 350,000 kaki persegi, menara kebudayaan 61 tingkat dapat menampung hingga 1.000 perniagaan daripada pelbagai jenis industri, termasuklah seni dan budaya, baba nyonya, fesyen, makanan, dan pendidikan.

“Saiz setiap suite boleh mencapai 2,000 kaki persegi, berharga dari RM500,000,” katanya.

Sumber: Bernama

Sheng Tai sasar tarik FDI RM1 bilion bagi projek Menara Kebudayaan pertama Malaysia


Content Type:

Duration:

Kerajaan memulakan kajian semula pentadbiran duti anti-lambakan ke atas pengimportan gegulung keluli yang dipracat, dicat atau disalut warna yang berasal atau dieksport dari China dan Vietnam.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kutipan duti anti-lambakan ini akan dikuatkuasakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia selama lima tahun mulai 20 Julai 2021 hingga 19 Julai 2026.

Duti untuk produk oleh semua pengeluar dari China adalah 52.10 peratus, manakala duti untuk produk keluaran Vietnam dari Maruichi Sun Steel Joint Stock Company (12.06 peratus), NS Bluescope Vietnam Limited (34.85 peratus), Nam Kim Steel Joint Stock Company (0.06 peratus) dan lain-lain (34.85 peratus).

MITI berkata kerajaan telah menyempurnakan kajian semula pentadbiran tersebut selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994.

Kajian semula pentadbiran duti anti-lambakan ke atas pengimportan gegelung keluli tersebut telah dimulakan pada 22 Januari 2021.

“Penyiasatan tersebut dijalankan berdasarkan petisyen yang dikemukakan oleh CSC Steel Sdn Bhd, bagi pihak industri tempatan,” katanya.

Menurut MITI, kajian semula pentadbiran dijalankan bagi menentukan sama ada terdapat keperluan melanjutkan tempoh pengenaan duti anti-lambakan bagi mengimbangi lambakan subjek dagangan serta menghalang kemudaratan yang berterusan sekiranya pengenaan duti ini dihentikan atau diubah berdasarkan subseksyen 28(8) Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993.

Permohonan boleh dihantar kepada Pengarah, Seksyen Amalan Perdagangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Aras 9, Menara MITI No. 7, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah 50480 Kuala Lumpur, Malaysia.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi MITI di talian 03-62084634/4640 atau email kepada [email protected].

Sumber: Bernama

Malaysia kenakan duti anti-lambakan gegelung keluli China, Vietnam


Content Type:

Duration:

Malaysia masih kekal sebagai destinasi pilihan dalam kalangan pelabur serta warga asing dengan perspektif global menumpukan aspek pelaksanaan program vaksinasi serta usaha meningkatkan tahap imunisasi rakyat negara ini.

Menurut Penganalisis Crisis Comm, Peter Nicoll, pergerakan di pasaran Malaysia juga ternyata bertambah baik pada awal minggu ini walaupun sebahagian besar fokus lebih tertumpu ke atas pasaran Amerika Syarikat (AS) serta soal pelarasan dalam pelbagai portfolio menteri terbabit.

“Namun, semua perkembangan ini berlaku sebelum pengumuman oleh (agensi penarafan antarabangsa) Fitch Ratings yang bertindak mengekalkan penarafan terbitan jangka panjang Malaysia berdenominasi mata wang asing pada BBB+ dengan prospek stabil.

“Ini adalah satu perkara yang positif dan menjadi tumpuan pelabur dan warga asing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program ‘Mid-Day Update’ terbitan Bernama TV pada Rabu.

Bagaimanapun, pada masa sama, Nicoll berkata aspek kestabilan politik terus menjadi kebimbangan utama pelabur.

“Kita menjangkakan dapat melihat beberapa impak positif susulan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam beberapa minggu akan datang termasuk pengumuman mengenai kelonggaran untuk mereka yang lengkap dua dos suntikan vaksin yang dapat menggalakkan lebih ramai tampil mendapatkan suntikan itu.

“Apa yang boleh kita katakan, perkembangan ini menunjukkan bahawa Malaysia kini di landasan tepat untuk mencapai sasaran (imuniti kelompok),” katanya.

Selain itu, Nicoll menyifatkan sentimen pesimis dalam kalangan rakyat sebagai sesuatu yang telah dijangkakan kerana pandemik yang membabitkan jangka masa panjang dan rakyat perlu berurusan dengan pelbagai peraturan serta menyesuaikan diri dengan kehidupan dalam norma baharu.

“Malaysia masih lagi dalam fasa pengurusan pandemik dan belum beralih ke fasa pemulihan walaupun kita dapat melihat garis panduan yang lebih jelas mengenai peralihan berkenaan menerusi PPN,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia kekal destinasi pilihan pelabur dunia


Content Type:

Duration:

Pulau Pinang perlu menyasar untuk menjadi hab inovasi antarabangsa selain menjadi pusat pembuatan global dalam industri elektrik dan elektronik (E&E).

Penasihat Khas Pelaburan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Lee Kah Choon berkata untuk mencapai visi ini, negeri itu perlu menubuhkan dana pelaburan industri bernilai berbilion ringgit untuk melabur dalam usaha menginovasi perniagaan dan memupuk usahawan tempatan  mengeluarkan produk yang boleh bersaing di persada dunia.

“Namun begitu, tenaga kerja yang ada ketika ini jelas terlalu kecil untuk memastikan hab inovasi global Pulau Pinang ini berjaya.

 “Justeru  pertumbuhan bersih 30,000 pekerja berpengetahuan setiap tahun kepada jumlah tenaga kerja negeri adalah suatu yang mesti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lee berkata Pulau Pinang berpeluang baik  untuk merebut peluang yang tercetus daripada pandemik dan perang perdagangan dengan memanfaatkan situasi gangguan rantaian bekalan yang sebelum ini ditutup.

“Bagaimanapun, masa adalah amat penting kerana peluang ini berlalu dengan sangat pantas,” katanya. 

Pada masa hadapan, katanya, penyerantauan akan menjadi lebih lazim seperti Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) yang melibatkan Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico; China dengan negara-negara Asia Tenggara yang berdekatannya seperti Myanmar, Vietnam, Laos dan Kemboja.

Beliau berkata sekatan pergerakan sempadan antarabangsa pada awalnya membuka peluang bagi Malaysia untuk memanfaatkan gangguan rantaian bekalan tetapi sekatan pergerakan sempadan yang berlarutan akan menutup peluang bagi syarikat Malaysia apabila alternatif lain ditemui dan dilaksanakan.

“’Strategi ‘Made in China 2025’ adalah peluang terbaik bagi syarikat Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan tetapi ia akan menjadi satu ancaman serius sekiranya Malaysia terlepas peluang ini.

“Sebaik sahaja rantaian bekalan dan ekosistem direalisasikan, sukar bagi orang luar untuk menembusinya,” katanya.

Sumber: Bernama

Pulau Pinang perlu sasar jadi hab inovasi antarabangsa – Lee


Content Type:

Duration:

Pengekalan penarafan oleh agensi penarafan antarabangsa, Fitch Ratings, membuktikan daya tahan ekonomi negara dalam persekitaran yang tidak menentu, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata pengekalan  penarafan terbitan jangka panjang Malaysia berdenominasi mata wang asing pada BBB+ itu juga mencerminkan prospek dan asas pertumbuhan negara jangka sederhana yang kukuh serta lebihan akaun semasa yang stabil disokong oleh kepelbagaian pasaran dan produk eksport.

Katanya Malaysia secara konsisten mencatatkan lebihan akaun semasa sepanjang dua dekad dengan lebihan akaun semasa terbesar dicatatkan pada 2020 berjumlah RM184.8 bilion, bersamaan 4.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kedudukan itu turut disokong oleh rizab antarabangsa yang mencukupi, aset luaran bank dan korporat yang besar serta kedudukan luaran mata wang asing bersih berjumlah RM1.1 trilion atau 77.0 peratus daripada KDNK pada akhir Mac 2021, katanya.

“Faktor-faktor ini disokong oleh dasar tukaran asing yang fleksibel, memperkuatkan keupayaan Malaysia berdepan dengan kejutan luaran.

“Tambahan pula, pengekalan Malaysia dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) FTSE Russell merupakan satu testimoni ke atas pasaran modal yang maju serta asas makroekonomi yang kukuh dan berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Demi melindungi rakyat dan sektor perniagaan, sejak bermulanya pandemik COVID-19, katanya bantuan berterusan telah diberikan melalui pelaksanaan lapan pakej rangsangan dan bantuan kerajaan bernilai RM530 bilion dan belanjawan tahunan bernilai RM322.5 bilion bagi tahun 2021.

Tengku Zafrul berkata di bawah langkah-langkah Belanjawan 2021 dan pakej tersebut, RM300 bilion masih boleh dibelanjakan bagi menyokong pemulihan ekonomi,

terutamanya ketika melalui pelbagai fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sementara itu, beliau berkata kejayaan vaksinasi akan menjadi penentu kepada pemulihan ekonomi negara, justeru Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan terus dipergiat bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi.

Faktor lain yang mendorong pemulihan ekonomi negara termasuklah permintaan luaran yang lebih baik oleh rakan dagang utama  dan pelaksanaan projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi, katanya.

“Faktor penyumbang lain termasuklah asas ekonomi negara yang kekal kukuh walaupun dalam situasi mencabar serta struktur ekonomi yang kukuh dan pelbagai.

“Khususnya, Fitch menyatakan bahawa sektor pembuatan dan eksport Malaysia akan terus memanfaatkan lonjakan permintaan global terhadap produk eksport negara seperti produk elektrik dan elektronik, minyak mentah dan peralatan perlindungan peribadi,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Menteri Kewangan berkata agenda nasional akan tertumpu kepada digitalisasi dan penggunaan teknologi serta menambah baik prospek dan daya tahan ekonomi Malaysia dalam jangka panjang.

Dalam jangka sederhana, kerajaan berpegang teguh untuk melaksanakan pembaharuan struktur secara berterusan yang akan membolehkan Malaysia menarik pelaburan berkualiti tinggi serta dapat menjana pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

Beliau berkata kerajaan kekal komited dalam memastikan kemampanan fiskal negara dan konsolidasi fiskal jangka sederhana.

“Berpandukan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana dan disokong oleh pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana secara berperingkat yang bertujuan untuk meningkatkan dan mempelbagaikan asas hasil negara, kerajaan akan dapat meneruskan konsolidasi fiskal setelah negara pulih daripada pandemik ini.

“Ini akan dapat mengimbangi keperluan fiskal jangka pendek dengan kemampanan fiskal dan ekonomi,” katanya.

Dalam tempoh sedekad yang lepas, defisit fiskal telah berjaya dikurangkan daripada 6.7 peratus pada 2009 daripada KDNK kepada 3.4 peratus pada 2019.

Sumber: Bernama

Pengekalan Fitch Ratings cerminkan keyakinan terhadap dasar dan prospek Malaysia – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Malaysia menjadi destinasi pilihan pengembangan bagi syarikat ASEAN yang mencari peluang pertumbuhan di ASEAN, demikian menurut kajian terkini Standard Chartered (StanChart).

Menurut StanChart dalam laporan strategiknya Perniagaan Tanpa Sempadan: Koridor Antara-ASEAN,  yang meneroka peluang berpotensi tinggi bagi pertumbuhan rentas sempadan di  rantau ini, ia berkata 49 peratus daripada responden kajian memilih Malaysia sebagai satu daripada negara yang menawarkan peluang pengembangan yang terbaik di ASEAN dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Laporan itu juga menyatakan automotif, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan digital adalah sektor pertumbuhan utama bagi Malaysia.

“Negara ini telah mula menunjukkan kemajuan dalam mengembangkan kemampuan bagi memacu pertumbuhan dalam kedua-dua segmen kenderaan elektrik dan pembekal pusat data.

“Malaysia juga dilihat sebagai hab pembuatan peranti perubatan terkemuka dan peneraju pasaran serantau dalam pelancongan perubatan,” jelas StanChart dalam satu kenyataan hari ini.

Secara keseluruhan, kajian itu menunjukkan majoriti syarikat ASEAN menumpukan pada peluang antara rantau mengharapkan pertumbuhan perniagaan yang rancak di rantau ini dalam 12 bulan akan datang dengan 99 peratus responden menjangkakan pertumbuhan dalam pengeluaran manakala 96 peratus menjangkakan pertumbuhan dalam pendapatan.

Menurut tinjauan itu juga, akses kepada pasaran pengguna ASEAN yang besar dan semakin berkembang, akses kepada pasaran global yang dipacu oleh rangkaian perjanjian perdagangan bebas serta ketersediaan tenaga kerja yang mencukupi dan  berkemahiran merupakan antara pendorong paling penting untuk pengembangan di rantau ini.

Di samping itu, dengan termeterainya Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang dijangkakan menarik lebih banyak pelaburan ke ASEAN, semua responden berkata mereka merancang untuk meningkatkan pelaburan mereka dalam masa tiga atau lima tahun akan datang, katanya.

Dalam ASEAN, Malaysia adalah hab utama untuk pelaburan, dan merupakan sumber ketiga terbesar pelaburan langsung asing antara-ASEAN pada tahun 2019.

Sumber: Bernama

Malaysia jadi destinasi pilihan pengembangan ASEAN – kajian StanChart


Content Type:

Duration:

Eksport produk getah Malaysia dianggar meningkat sebanyak 80 peratus untuk mencecah RM74 bilion tahun ini daripada RM41 bilion tahun lepas, dirangsang oleh lonjakan dalam permintaan terhadap sarung tangan getah.

Sarung tangan getah dijangka menguasai lebih 90 peratus daripada jumlah eksport negara untuk produk getah, demikian menurut jurucakap Lembaga Getah Malaysia.

“Kegiatan ekonomi global yang semakin baik telah mencerahkan prospek permintaan terhadap getah asli. Penggunaan global getah asli diunjur berkembang 6.7 peratus kepada 13.7 juta tan pada tahun 2021 selepas menyusut 7.8 peratus pada tahun 2020.

“Penggunaan di pasaran utama seperti China dan Amerika Syarikat turut menunjukkan peningkatan positif, didorong oleh pembukaan semula operasi perniagaan susulan program pemberian vaksin untuk memerangi COVID-19,” katanya kepada Bernama menerusi e-mel.

Bagaimanapun, beliau menambah dengan kemunculan semula kes COVID-19 di Malaysia yang menjuruskan kepada  pelaksanaan kawalan pergerakan, pengurangan tenaga kerja dan pelbagai langkah kawalan lain yang dikenakan oleh kerajaan akan menyebabkan gangguan kepada rantaian bekalan getah asli.

Sementara itu, eksport getah asli Malaysia dijangka meningkat sekitar 5.0 peratus kepada RM6.5 bilion berbanding RM6.2 bilion pada 2020, terutama disokong oleh harga getah yang lebih baik pada tahun 2021 berbanding tahun sebelumnya.

Dari segi trend pengeluaran getah tahun ini, ia diunjurkan mengukuh kepada 530,000 tan tahun ini daripada 514,700 tan pada tahun 2020, yang merupakan paras terendah dalam tempoh satu dekad.

Sumber: Bernama

Lonjakan permintaan untuk sarung tangan getah tingkatkan eksport produk getah tahun ini


Content Type:

Duration:

Satu perkara yang ingin dikongsi bekas Duta Sweden Dag Juhlin-Dannfelt dengan rakyat Malaysia adalah hubungan unik sejak lebih enam dekad antara Malaysia dan Sweden.

Ketika ditemu bual media tempatan, Juhlin-Dannfelt menyifatkan hubungan dua hala kedua-dua negara ibarat Volvo dan Proton.

“Kehadiran Volvo jauh lebih lama berbanding ketika Proton dan Perodua mula diperkenalkan begitulah lamanya hubungan dua hala sudah terjalin.

“Kereta pertama yang dikeluarkan di Malaysia ialah buatan Sweden – Volvo, pada 1967. Kereta pertama yang pernah dieksport dari Malaysia sekitar 1969 juga adalah Volvo, menjadikan Malaysia sebagai pusat serantau kami pada masa itu.

“Sekarang, Volvo dan Proton seperti sepupu! amat rapat,” kata Juhlin-Dannfelt, merujuk kedua-duanya kini di bawah Geely dan bagaimana hubungan dua hala berkembang sejal bertahun-tahun lamanya.

Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, Juhlin-Dannfelt berasa amat bertuah kerana berpeluang menikmati banyak pengalaman berharga sepanjang berada di Malaysia sebaik menyerahkan watikah pelantikannya pada 2 Disember 2016.

“Saya amat suka dengan Malaysia. Saya mempunyai pengalaman lima tahun yang menarik dengan tiga kerajaan berbeza serta tiga Raja berbeza.

“Kita mungkin tidak sepakat dalam semua isu, tetapi tulang belakang utama hubungan kita ialah perdagangan,” katanya.

Kira-kira 100 syarikat Sweden dan komersial yang berkaitan berada di Malaysia. Ada ruang pelaburan yang besar di negara ini kerana iklim perniagaan sangat menggalakkan bagi kedua-dua pihak.

Malaysia, “negara berbakat” dan mempunyai kelebihan untuk muncul sebuah negara berjaya, katanya.

Menyentuh mengenai pandemik COVID-19, walaupun Malaysia menghadapi saat yang sukar sekarang, beliau yakin negara ini mampu menepis semua cabaran dan memuji pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan.

Sempena majlis perpisahan secara digital dengan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini, beliau memuji usaha kementerian selain berbincang beberapa perkara termasuk inisiatif kesihatan digital dan kerjasama penyelidikan dan pembanguan (R&D) antara institusi penyelidikan klinikal kedua-dua negara.

“Saya kagum dengan pencapaian kerajaan Malaysia berbanding di negara saya sendiri. Di Sweden terdapat kira-kira 15,000 korban dan hampir satu juta dijangkiti virus itu (hampir 10 peratus daripada jumlah penduduk).

“Memandangkan jumlah penduduk Malaysia adalah tiga kali ganda berbanding jumlah penduduk Sweden, saya rasa keseluruhan rekod Malaysia cukup baik,” kata Juhlin-Dannfelt.

Menyentuh mengenai peningkatan kes baharu setiap hari di negara ini, beliau berkata pandemik itu sendiri satu cabaran buat manusia sejagat, dan negara seperti Sweden serta Kesatuan Eropah (EU) sudah pasti akan memberikan bantuan tambahan.

Hubungan diplomatik kedua-dua negara terjalin pada 1958, dengan penubuhan kedutaan di ibu negara Stockholm dan Kuala Lumpur.

Selepas hampir enam tahun berada di Malaysia, Juhlin-Dannfelt akan kembali mencurahkan khidmatnya di Kementerian Luar di negara kelahirannya dan sudah pasti “cintanya terhadap Malaysia” akan kekal terpahat dalam dirinya.

Sumber: Bernama

Bekas duta Sweden, hargai hubungan dua hala Malaysia-Sweden


Content Type:

Duration:

Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) menandatangani perjanjian dengan Pestech International Bhd melalui anak syarikatnya Pestech Energy Sdn Bhd untuk bekerjasama dalam projek penyelidikan bagi mencari penyelesaian tenaga alternatif yang bersih untuk menggantikan penjana diesel atau penyelesaian penyimpanan tenaga berasaskan kimia lain yang sebahagian besar digunakan pada elektrifikasi di luar bandar.

Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan secara maya pada 16 Julai dengan Pengurus Besar Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak Energy Dr Ng Sing Muk menandatangani bagi pihak syarikat utiliti milik kerajaan negeri itu manakala Pestech Energy diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Vind Sidhu.

Ia turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Group Datuk Sharbini Suhaili, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan  Pestech International Bhd Paul Lim Pay Chuan serta pengurusan kanan dan kakitangan daripada kedua-dua syarikat.

Sarawak Energy dan Pestech International dalam kenyataan bersama memaklumkan hasil daripada projek itu juga diharapkan dapat menangani isu pelupusan bateri daripada sistem tenaga suria ketika kerajaan Sarawak meneruskan hasratnya untuk menyediakan liputan elektrik penuh di negeri ini menjelang 2025.

Di bawah perjanjian itu, Sarawak Energy dan Pestech Energy akan menjalankan kajian, reka bentuk dan membangunkan penyelesaian hidrogen autonomi boleh cas semula yang akan ditempatkan di Rumah Bangau di daerah Song selama 15 bulan sebagai inisiatif untuk meneroka potensi penyelesaian penyimpanan hidrogen untuk elektrifikasi di kawasan luar bandar.

Sementara itu, Lim dalam ucapannya semasa majlis menandatangani itu berkata Pestech akan memberi sokongan dan komitmen penuh untuk melibatkan diri, menyampaikan dan mengadaptasi inisiatif tenaga boleh diperbaharui untuk masa depan tenaga yang mampan.

“Matlamat kami melangkaui mengelektrifikasi kawasan luar bandar, tetapi juga meninggalkan kesan yang besar kepada pelbagai aspek kehidupan masyarakat, termasuk menyediakan manfaat persekitaran dan ekonomi jangka panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Sharbini berkata kerjasama itu juga menyokong hasrat Sarawak Energy untuk menggalakkan inovasi terbuka dalam kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan mereka.

“Dengan memupuk idea inovatif dan bekerjasama dengan pakar industri, kami percaya bahawa kami dapat membangun dan menawarkan teknologi baharu yang boleh menggantikan amalan konvensional untuk pengeluaran yang lebih besar dan mampan,” katanya.

Sumber: Bernama

Sarawak Energy, Pestech meterai perjanjian teroka tenaga alternatif boleh diperbaharui


Content Type:

Duration:

Kerjasama antara Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN amat  penting untuk meletakkan kedua-dua pihak di landasan tepat untuk pemulihan pasca-COVID-19, kata Duta dan Ketua Delegasi EU ke Malaysia Michalis Rokas.

Beliau berkata tiada negara yang dapat menghadapi krisis ini tanpa kerjasama antarabangsa oleh itu perdagangan global menjadi blok utama pemulihan daripada pandemik tersebut.

“Kesan COVID-19 memerlukan tahap usaha kolektif yang lebih untuk merangsang semula ekonomi dan kehidupan masyarakat.

“Dagangan dapat mencipta banyak peluang penting untuk peralihan sosial dan ekonomi jangka panjang. Kegiatan ini menandakan komitmen EU untuk multilateralisme serta perdagangan yang terbuka dan berdasarkan peraturan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Datuk Mohd Zamruni Khalid berkata penting bagi ASEAN dan EU saling memperkukuhkan pengetahuan dan pemahaman agar ekonomi terus berdaya tahan.

Kursus bertajuk “Perjanjian Perdagangan Bebas & Kerjasama Ekonomi EU-ASEAN”, diadakan secara dalam talian dari 13 Julai hingga 16 Julai,  dihadiri  pegawai kerajaan dari negara serta Sekretariat ASEAN, pakar organisasi antarabangsa, dan kumpulan pemikir terkemuka di Eropah dan Asia Tenggara serta ahli akademik.

Menurut kenyataan itu selain bertujuan untuk menyokong pemulihan pantas ekonomi ASEAN – tertumpu pada perkongsian EU-ASEAN dan juga peranan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).

Kursus ini turut menekankan pentingnya perdagangan global untuk menangani cabaran COVID-19.

EU adalah rakan kongsi pembangunan nombor satu ASEAN, dan rakan niaga serta pelabur utama ketiga.

“Dengan menyatukan dua ekonomi terbesar di dunia, perjanjian seperti itu akan mewujudkan kawasan perdagangan bebas dengan gabungan pasaran melebihi satu bilion orang”, tambahnya.

Sumber: Bernama

Kerjasama EU, ASEAN penting untuk pemulihan ekonomi pasca pandemik


Content Type:

Duration:

Scomi Group Bhd memeterai perjanjian usaha sama (JV) dengan RC Asia Engineering Sdn Bhd untuk membida tender pembinaan stesen kereta api, landasan atau infrastruktur kereta api lain yang berkaitan dalam industri rel secara kolektif.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata kedua-dua pihak telah menandatangani perjanjian JV itu hari ini bagi tujuan penyelarasan syarat untuk syarikat usaha sama (JV Co) yang akan diperbadankan kemudian.

Scomi akan memiliki 51 peratus kepentingan ekuiti dalam JV Co manakala RC Asia Engineering akan memegang baki 49 peratus.

Pelaksanaan JV itu juga akan menggunakan kemahiran, kepakaran, pengalaman dan keupayaan antara satu sama lain untuk manfaat JV Co.

“Syarikat tidak menjangka sebarang risiko luar biasa melainkan risiko operasi berkaitan cadangan JV itu yang sama dengan risiko operasi yang biasa dihadapi Scomi Group Bhd.

“Justeru, Lembaga Pengarah percaya bahawa pengalaman dan kepakaran pasukan pengurusannya akan membolehkan syarikat mengurangkan risiko ini dengan berkesan,” katanya. RC Asia Engineering merupakan pakar dalam landasan kereta api dan terlibat dalam pembinaan baharu, menaik taraf dan membaik pulih landasan kereta api serta kerja-kerja infrastruktur berkaitan landasan kereta api.

Sumber: Bernama

Scomi-RC Asia bida tender dalam industri rel


Content Type:

Duration:

Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) disaran untuk memanfaatkan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi memperkukuhkan kehadiran mereka dalam rantaian bekalan serantau.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong berkata dengan memanfaatkan RCEP, PKS dapat memenuhi potensi permintaan 2.2 bilion penduduk merentasi 15 buah negara.

“Sama seperti dengan rakan-rakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang ada, kerajaan menggalakkan syarikat untuk memanfaatkan kemudahan ini bagi mengukuhkan eksport mereka dengan lebih baik dan memaksimumkan akses ke negara-negara rakan kongsi dan rakan FTA lainnya,” kata beliau dalam ucapan penutup pada program maya Hari Eksport eNasional (eNED) 2021 hari ini.

Sehingga kini, Malaysia telah menandatangani tujuh FTA dua hala dan sembilan FTA serantau, dengan yang terbaru adalah RCEP, yang dirancang untuk memperluas dan memperdalamkan hubungan ASEAN dengan Australia, China, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Lim berkata selain FTA, syarikat Malaysia digesa untuk mematuhi syarat, piawaian dan perakuan antarabangsa serta mengamalkan amalan perniagaan yang sesuai dengan piawaian antarabangsa dan selaras dengan semangat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Melangkah ke hadapan, katanya agenda kemampanan adalah inisiatif lain yang akan terus diperjuangkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Kemampanan adalah topik yang sedang hangat yang terus menjadi tumpuan utama di seluruh dunia, terutama dalam kalangan pengeksport kerana negara-negara lain mula mengutamakan agenda ini dalam peraturan dan pematuhan perdagangan.

“Dalam mempersiapkan diri menghadapi cabaran atau peluang di masa depan dalam perdagangan, syarikat perlu memasukkan elemen Alam sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) dalam proses dan model perniagaan mereka. Ini akan membantu meningkatkan kedudukan Malaysia dalam perdagangan global, “kata Lim.

Kebimbangan yang semakin meningkat berkaitan dengan alam sekitar, faktor ekonomi dan kerangka peraturan telah memaksa banyak industri dan perniagaan untuk menghadapi cabaran.

Di tengah-tengah ketidakpastian global, ESG juga menjadi amalan pengurusan risiko, terutamanya dalam rantaian bekalan. Bagi memastikan barang dan produk Malaysia terus menarik kepada pengguna global, kemampanan adalah strategi yang mesti diamalkan oleh industri Malaysia, tambah beliau.

Sumber: Bernama

PKS disaran manfaatkan RCEP bagi memperkasakan kehadiran dalam rantaian bekalan serantau


Content Type:

Duration:

Hubungan perdagangan dua hala di antara Malaysia dengan Turki  akan berkembang lebih kukuh menerusi perluasan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara kedua-dua kerajaan, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menerusi kenyataan di sini pada Rabu, MITI menjelaskan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menekankan pentingnya usaha mempertingkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan sedia ada di antara Malaysia dengan Turki, termasuk menerusi Malaysia-Turki FTA (MTFTA).

“Presiden Turki berkata potensi penuh jumlah perdagangan di antara Malaysia dengan Turki masih belum direalisasikan. Beliau turut mengatakan perlunya keduadua negara bekerjasama rapat untuk melonjakkan jumlah dagangan sedia ada,” menurut MITI.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Erdogan di Kompleks Presiden pada Rabu, jelasnya.

Edorgan diiringi Menteri Industri dan Teknologi Turki, Mustafa Varank serta Duta Turki ke Malaysia, Merve Safa Kavakçı.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut menekankan komitmen Malaysia untuk membolehkan import dari Turki mengakses pasaran Malaysia, tambah MITI.

Menurut kementerian itu, beliau juga mengatakan perluasan FTA sedia ada penting untuk memudahkan dan meningkatkan eksport Turki ke Malaysia.

Semasa kunjungan hormat itu, Mohamed Azmin menjelaskan dalam mengukuhkan mandat berkaitan perdagangan,  pemeteraian Deklarasi Bersama mengenai Perluasan MTFTA tersebut menandakan komitmen tegas untuk terus menerajui liberalisasi progresif apabila bentuk dasar perlindungan baharu dilaksanakan, jelas MITI.

Menurut kementerian itu Malaysia dan Turki telah menandatangani deklarasi berkenaan pada Selasa untuk memperkukuh mandat dalam meneruskan perluasan perjanjian berkenaan agar ia merangkumi aspek perkhidmatan, pelaburan dan e-dagang.

Menurut MITI mengenai pertahanan pula, kedua-dua pihak pada Rabu bersetuju untuk meningkatkan inisiatif kerjasama bagi manfaat bersama yang akan mendorong kemajuan teknologi di Malaysia dan Turki.

“Presiden Turki juga mengatakan terdapat 14 Memorandum Persefahaman (MoU) dalam sektor pertahanan, yang ketika ini sedang dilaksanakan.

“Beliau berkata merealisasikan semua MoU ini adalah amat penting untuk memastikan kedua-dua negara benar-benar meraih manfaat daripada pengaturan berkenaan,” jelas MITI.

Dalam pertemuan itu juga, kedua-dua pihak bersetuju bahawa pengaturan perdagangan utama seperti perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) boleh berfungsi sebagai alat pelengkap untuk syarikat Turki melabur dan beroperasi di Malaysia, memandangkan mereka akan memperoleh manfaat daripada keutamaan yang diberikan dalam perjanjian tersebut apabila mengeksport ke ASEAN, Jepun, Korea, China, Australia dan New Zealand.

MITI menjelaskan Malaysia dan Turki juga sepakat untuk mengadakan mesyuarat khusus dalam tempoh terdekat, antara pegawai yang berkenaan, bagi membincangkan secara lebih teliti mengenai perjanjian swap mata wang dua hala.

“Presiden dan Menteri Kanan juga mengatakan bahawa terdapat mesyuarat antara bank pusat kedua-dua negara pada 30 Jun, 2021 mengenai perkara ini dan menzahirkan harapan bagi kemajuannya,” tambah kementerian itu.

Selain itu, Presiden Erdogan menyampaikan solidariti Turki bersama-sama dengan Malaysia dalam usaha mengekang pandemik COVID-19.

“Beliau turut menunjukkan hasrat untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi mencapai pengaturan pengiktirafan bersama ke atas vaksin,” menurut MITI.

Pertemuan itu berakhir dengan nada positif apabila Edorgan dan Mohamed Azmin mengulangi keyakinan mereka bahawa Malaysia dan Turki akan terus memupuk dan memperkukuh lagi hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan dua hala.

Sumber: Bernama

Perluasan FTA akan kukuhkan lagi hubungan perdagangan MalaysiaTurki


Content Type:

Duration:

Pendaftaran Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) bagi sektor pembuatan akan dipercepatkan dengan pelaksanaan pendaftaran secara dalam talian di http://pikas.miti.gov.my.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lim Ban Hong berkata PIKAS telah mendapat sambutan menggalakkan dan telah membantu menyokong mempercepatkan kadar vaksinasi rakyat Malaysia.

“Syarikat yang menghantar maklumat melalui emel sebelum ini disaran  untuk memasukkan maklumat syarikat mereka di sistem dalam talian PIKAS supaya maklumat tersebut lengkap bagi tujuan penyelarasan dan pemprosesan.

“PIKAS memainkan peranan penting dalam memberi keyakinan kepada pekerja sektor pembuatan untuk berasa selamat ke tempat kerja. Program ini juga adalah langkah pragmatik untuk meningkatkan semula produktiviti syarikat dalam kita menyesuaikan hidup bersama pandemik ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat 14 Julai 2021, sebanyak 10,522 syarikat yang melibatkan 903,244 orang pekerja di seluruh negara telah mendaftar di dalam PIKAS. Daripada jumlah ini, 101,117 telah menerima dos pertama vaksinasi.

Pada tarikh yang sama juga,  sebanyak 19 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) PIKAS telah memulakan operasi di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu.

MITI dengan kerjasama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) juga sedang melipatgandakan usaha untuk menambah bilangan PPV PIKAS sedia ada bagi meningkatkan pemberian vaksin dalam kalangan tenaga kerja sektor pembuatan di Malaysia.

Beliau berkata syarikat-syarikat sektor pembuatan yang berminat menyertai PIKAS boleh layari www.miti.gov.my atau hubungi talian hotline PIKAS di 03-62071193, 03-62071194, 03-62071195 atau 03-62071196 atau emel [email protected].

PIKAS dilancarkan pada 16 Jun 2021 merupakan sebuah kolaborasi strategik  seumpamanya di antara pihak awam dan swasta yang fokusnya untuk mempercepatkan vaksinasi di kalangan pekerja dalam sektor pembuatan. Melalui PIKAS, kerajaan menyediakan vaksin secara percuma manakala pihak swasta akan membiayai dan menguruskan PPV, sekali gus mengurangkan kos pentadbiran pemberian vaksin yang perlu ditanggung kerajaan.

Sumber: Bernama

Pendaftaran PIKAS dipercepat untuk tingkatkan jumlah pekerja sektor pembuatan divaksinasi


Content Type:

Duration:

Maxis Bhd mengambilalih Peering One Sdn Bhd, syarikat penyelesaian awan tempatan yang menumpukan kepada perkhidmatan pengurusan awan hibrid dan persendirian.

Langkah itu adalah usaha Maxis untuk memperkukuhkan kedudukan sebagai syarikat penyelesaian konvergen.

Syarikat telekomunikasi itu dalam kenyataannya hari ini berkata, pengambilalihan berkenaan memperkuatkan keupayaan Maxis sebagai penyedia penyelesaian awan sehenti, dengan penawaran lengkap bagi memenuhi spektrum penuh keperluan perniagaan.

“Pengambilalihan Peering One khususnya untuk kumpulan pakar profesional awan, pangkalan pelanggan dan kedudukan pasaran mereka yang kukuh, akan meningkatkan keupayaan Maxis untuk menawarkan penyelesaian awan terbaik bagi hibrid dan persendirian.

“Penyatuan Peering One dalam pasukan kami di Maxis adalah tonggak penting dalam perjalanan untuk menjadi penyedia penyelesaian awan terbaik kepada pelanggan dan mendalamkan lagi kepakaran domain,” menurut Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Paul McManus.

Beliau berkata, pengambilalihan itu juga memperkukuh komitmen Maxis untuk menyokong inisiatif MyDIGITAL bagi mengubah Malaysia menjadi pemimpin serantau dalam ekonomi digital dan memberikan yang terbaik kepada rakyat dan teknologi bagi membolehkan perniagaan dan negara untuk terus meneraju.

Peering One mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam menyediakan perkhidmatan awan dan ICT kepada pelanggan perusahaan di Malaysia.

Sumber: Bernama

Maxis ambil alih firma awan, Peering One


Content Type:

Duration:

Kerajaan akan melancarkan Dasar Tenaga Negara tidak lama lagi sebagai panduan kepada pembangunan sektor tenaga Malaysia, terutamanya dalam peralihan industri kepada masa depan rendah karbon, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 memberi peluang kepada industri tenaga untuk melaksanakan perubahan yang besar dan menerapkan kemampanan dengan mengamalkan kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam sektor perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) walaupun terjejas oleh pandemik.

“Di peringkat global, permintaan terhadap dana ESG meningkat 29 peratus kepada hampir AS$1.7 trilion (AS$1=RM4.19) pada suku akhir 2020,” katanya dalam ucapan pada siri pertama Forum Kemampanan OGSE Kebangsaan yang diadakan secara maya pada Khamis.

Selain Pelan Tindakan Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 yang dilancarkan baru-baru ini, Dasar Tenaga Negara turut penting yang membolehkan perniagaan OGSE membuat keputusan hari ini untuk membantu membentuk masa depan yang lebih bersih dan mampan untuk generasi akan datang.

Pada masa ini, hanya terdapat 32 syarikat OGSE tempatan yang melaksanakan pelaporan kemampanan.

Mustapa berkata, amalan yang rendah menunjukkan kesedaran mengenai ESG kekal tidak sekata dalam kalangan penggiat OGSE – malah dalam kalangan syarikat senaraian awam – terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Bagi mempersiapkan industri OGSE untuk perjalanan ESG, beliau berkata, para penggiat perlu melengkapkan diri mereka dengan kemahiran dan pengetahuan yang tepat untuk menempuh perjalanan di hadapan.

Katanya, industri perlu seiring dengan standard yang berubah-ubah, dan hari ini, bermakna menyepadukan ESG dalam amalan perniagaan akan kekal relevan dan kompetitif.

“Kita berdepan dengan realiti bahawa mereka yang enggan berubah – atau berubah terlalu perlahan – mungkin akan ketinggalan atau tenggelam oleh persaingan,” katanya.

Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), Mohd Yazid Ja’afar berkata, industri minyak dan gas (O&G) mempunyai lebih banyak tekanan untuk mematuhi keperluan ESG berikutan penggiat berada dalam penilaian yang tinggi berikutan sifat operasi mereka yang boleh memberi impak negatif kepada alam sekitar dan orang ramai secara amnya.

“Malah, dalam kad laporan industri ESG untuk O&G yang diterbitkan oleh S&P Global Ratings pada Februari tahun lepas, sektor itu mempunyai pendedahan negatif yang tinggi terhadap faktor alam sekitar dan sosial dalam jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya dalam pembentangannya pada forum tersebut.

Bagaimanapun, Mohd Yazid berkata, bukan mudah bagi syarikat untuk melaksanakan amalan mampan terutamanya untuk syarikat OGSE berikutan antara lainnya, pelaporan dan penilaian yang rumit.

“Kami menyedari cabaran yang dihadapi oleh syarikat untuk mengamalkan konsep kemampanan ini tetapi ini merupakan langkah penting dalam usaha untuk mentransformasikan sektor ini menjadi kukuh dan berdaya tahan,” katanya, sambil menambah MPRC akan mengenal pasti inisiatif dan kerjasama untuk memastikan pelaksanaan amalan kemampanan yang lebih menyeluruh untuk sektor tersebut.

Forum Kemampanan OGSE Kebangsaan setengah hari itu merupakan anjuran bersama Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri dan MPRC.

Sumber: Bernama

Kerajaan akan lancar Dasar Tenaga Negara tidak lama lagi


Content Type:

Duration:

wpChatIcon