2021 Archives - Page 18 of 33 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia tarik RM8.9 bilion pelaburan Korea Selatan, Jepun

Malaysia memperoleh pelaburan komited sebanyak RM8.9 bilion pada 2021 daripada misi perdagangan dan pelaburan (TIM) ke Korea Selatan dan Jepun baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman, berkata Malaysia sentiasa mengalu-alukan pelaburan langsung asing yang berkualiti tinggi dari seluruh dunia.

Beliau berkata Korea Selatan dan Jepun akan terus menjadi negara pelabur utama di negara ini.

“Pelaburan ini memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia berikutan kesan pengganda ke atas ekonomi dan peranannya berterusan dalam era pasca pandemik.

“Melalui kajian semula dasar dan pendekatan bersasar, kerajaan akan memastikan Malaysia terus menjadi lokasi pelaburan pilihan dengan persekitaran yang baik untuk pelaburan yang berkualiti di Asia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“TIM yang diketuai oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu diadakan pada 31 Mac hingga 6 April lalu.

Arham berkata, senarai pelaburan yang diraih Malaysia adalah daripada SK Nexilis Co Ltd dari Korea Selatan, anak syarikat SK Group, yang baru-baru ini mengumumkan pelaburan bernilai RM2.3 bilion untuk mendirikan kilang pembuatan kerajang tembaga nipis di Sabah.

Bagaimanapun, jangkaan pelaburan itu telah disemak semula kepada RM4.24 bilion.

Beliau berkata projek itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan ekosistem industri teknologi tinggi yang lengkap, terutamanya dalam sektor automotif dan telekomunikasi.

“Kilang pembuatan di Kota Kinabalu itu akan dijana menggunakan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui, dan operasi tersebut akan menjadi yang pertama untuk SK Nexilis di luar Korea Selatan.

“Malaysia akan menjadi hab utama untuk pengeluaran kerajang tembaga nipis dengan teknologi dalaman, selain meningkatkan rangkaian dan keupayaan tenaga kerja negara dengan kehadiran syarikat tersebut,” katanya.

SK Nexilis adalah peneraju di peringkat global dalam inovasi teknologi tipis untuk pembuatan kerajang tembaga, menguasai 16 peratus daripada bahagian pasaran dunia untuk bateri kenderaan elektrik (EV).

Arham berkata, pelaburan lain adalah daripada LG Chem Ltd, syarikat kimia terbesar dari Korea Selatan yang mengiktiraf prestij dan pencapaian sebagai syarikat kimia Global Top 10, yang telah menyatakan minat untuk membangunkan kluster petrokimia di Malaysia.

Beliau berkata syarikat itu akan mewujudkan usaha sama dengan Petronas Chemicals Group Bhd untuk menghasilkan lateks getah nitril butadiena di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang dengan potensi pelaburan sebanyak RM600 juta, dan operasi dijangka bermula pada Mac 2023.

“Penubuhan LG Chem di Malaysia akan melengkapkan pembangunan kluster petrokimia di Pengerang, Johor dan meningkatkan penggunaan stok suapan daripada Petronas,” katanya.

Selain itu, SPC Group, konglomerat yang terbabit dalam penghasian makanan dan produk manisan di Korea Selatan, serta antara jenama tertua di negara itu dalam industri manisan dan roti, merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengedaran serantau untuk adunan halalnya dengan nilai pelaburan dianggarkan sebanyak RM91.2 juta untuk memenuhi permintaan daripada pasaran ASEAN.

Pelaburan dari Jepun pula katanya, Nippon Electric Glass Co. Ltd. (NEG), antara pengeluar kaca khas terkemuka di dunia, akan melabur sekurang-kurangnya RM1 bilion untuk pengeluaran baharu gentian e-kaca yang akan digunakan untuk menghasilkan bahagian dan komponen automotif dalam pengeluaran bilah turbin angin untuk penjanaan tenaga angin.

Sumber: Bernama

Malaysia tarik RM8.9 bilion pelaburan Korea Selatan, Jepun


Content Type:

Duration:

Misi Mohamed Azmin dijangka mengukuhkan nilai Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan dan rakan dagangan dengan meningkatkan keyakinan komuniti perniagaan di Arab Saudi dan UAE.

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengetuai misi perdagangan serta pelaburan ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) esok sehingga 4 Mei ini.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, misi itu sebahagian daripada usaha berterusan untuk mempromosikan peluang perniagaan dan perkongsian strategik antara Malaysia serta rantau Asia Barat.

Katanya, ia juga bertujuan mengekalkan momentum hubungan ekonomi antara Malaysia dan kedua-dua negara itu susulan lawatan rasmi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi dan UAE pada Mac lalu.

Kementerian itu berkata, misi berkenaan dijangka mengukuhkan nilai Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan dan rakan dagangan dengan meningkatkan keyakinan komuniti perniagaan di Arab Saudi dan UAE.

“Kedua-dua negara ini adalah antara rakan dagangan dan pelaburan paling penting Malaysia di Asia Barat dan berharap hubungan yang lama terjalin ini dapat ditingkatkan lagi ke tahap lebih strategik dari segi pelaburan berkualiti dan perdagangan dipelbagaikan,” kata MITI dalam kenyataan, hari ini.

Dalam lawatan ke Arab Saudi, Mohamed Azmin akan bertemu Menteri Perdagangan dan Pengerusi Lembaga Pengarah Pihak Berkuasa Am Perdagangan Asing, Dr Majid Abdullah Alkassabi; dan Menteri Industri dan Sumber Galian Bandar I, Al Khorayef.

Di UAE, Mohamed Azmin akan bertemu dengan Menteri Ekonomi, Abdulla bin Touq Al Marri dan Menteri Negeri bagi Perdagangan Asing, Dr Thani bin Ahmed Al Zeyoudi.

Beliau juga dijangka bertemu dengan menteri kanan lain kedua-dua negara itu.

Mesyuarat yang diadakan itu akan membincangkan mengenai isu dua hala utama dan kolaborasi dalam bidang kepentingan bersama termasuk kerjasama ekonomi dua hala dan serantau, kewangan dan langkah pemulihan ekonomi pasca ekonomi.

“Mohamed Azmin akan memberi taklimat kepada rakan sejawatnya di Arab Saudi dan UAE mengenai Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), kerangka pertumbuhan ke hadapan yang akan membentuk asas pembaharuan menyeluruh dasar pelaburan Malaysia.

“NIA akan menjadi pusat kepada hala tuju pelaburan baharu Malaysia menawarkan pelbagai peluang kepada pelabur dari Arab Saudi dan UAE,” kata MITI.

Selain mesyuarat rasmi, beliau juga akan mengadakan mesyuarat perniagaan bersemuka dengan syarikat terkemuka Arab Saudi dan UAE serta pelabur berpotensi untuk meneroka lagi peluang perniagaan baharu serta kolaborasi dalam industri minyak dan gas, penjagaan kesihatan dan runcit.

Mohamed Azmin juga akan menyaksikan majlis menanda tangani Memorandum Eksplorasi Perniagaan (MOBE) antara UEM Edgenta Bhd, anak syarikat Khazanah Nasional Bhd dan ASMA Advanced Solutions LLC di Riyadh.

Memorandum ini menandakan usaha strategik syarikat Malaysia dalam pasaran perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan dan pengurusan fasiliti bersepadu di Arab Saudi.

Pada tahun 2020, Arab Saudi adalah rakan dagangan kedua terbesar dan sumber import terbesar Malaysia di rantau Asia Barat.

Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara berjumlah RM20.27 bilion (AS$4.83 bilion) dengan eksport Malaysia ke Arab Saudi berjumlah RM4.13 bilion (AS$0.99 bilion) dan nilai import pada RM16.14 bilion (AS$3.84 bilion).

Pelaburan utama dari negara itu termasuklah kimia dan produk kimia, pembuatan makanan, produk elektronik dan elektrik serta tekstil.

Sementara itu, UAE adalah rakan dagangan terbesar dan destinasi eksport terbesar Malaysia di rantau Asia Barat pada tahun 2020. Jumlah perdagangan kedua negara berjumlah RM20.59 bilion (AS$4.92 bilion) dengan jumlah eksport ke UAE berjumlah RM8.49 bilion (AS$2.03 bilion), manakala import sebanyak RM12.10 bilion (AS$2.89 bilion).

Sumber pelaburan utama dari UAE adalah sektor mesin dan peralatan, farmaseutikal halal dan pembuatan makanan.

Mohamed Azmin akan disertai delegasi kecil pegawai kanan MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Misi itu akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ketat seperti yang dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta kerajaan Arab Saudi dan UAE.

Sumber: Bernama

Mohamed Azmin ketuai misi perdagangan ke Arab Saudi, UAE


Content Type:

Duration:

Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) harus mengukuhkan cadangan nilai pelaburan yang dapat ditawarkan kepada pelabur asing yang ingin mengambil bahagian dalam pertumbuhan jangka panjang negara.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Malaysia sentiasa menjadi negara yang pro-perniagaan dan mesra pelabur, ia dibuktikan  dalam dasar kerajaan melalui insentif cukai, pengezonan ekonomi dan pelbagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk mengendalikan kemasukan pelabur.

“Selain itu, keadaan infrastruktur asas seperti pelabuhan, lapangan terbang, lebuh raya, bekalan elektrik dan telekomunikasi boleh dipercayai dan dapat memudahkan pergerakan barangan dan perkhidmatan dengan cara yang paling berkesan.

“Malaysia adalah negara yang aman dan berbilang kaum serta budaya,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata Malaysia mempunyai semua yang diperlukan untuk menarik pelabur asing.

“Malaysia  memiliki kekuatan dalam  sektor elektrik dan elektronik dan memandangkan teknologi  berkemungkinan  disepadukan  dalam  pelbagai aspek kehidupan manusia, wajar bagi negara untuk terlibat dalam sektor hiliran, justeru itu lebih banyak aktiviti penyelidikan dan pembangunan akan berlaku.

“Seterusnya, permintaan untuk pekerja berkemahiran tinggi juga akan meningkat,” katanya.

Pada Rabu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kabinet telah meluluskan NIA, kerangka pertumbuhan yang berpandangan jauh, ia akan menggariskan asas bagi reformasi dasar pelaburan Malaysia.

Selain itu, Azmin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata NIA akan menjadi pusat untuk mengaktifkan kembali iklim pelaburan Malaysia, menarik pelaburan berkualiti tinggi ke dalam negara dan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, terutama pasca-COVID-19.

Sumber: Bernama

Aspirasi Pelaburan Nasional harus perkukuhkan cadangan nilai pelaburan – Ahli Ekonomi


Content Type:

Duration:

Cypark Resources Bhd menjalinkan kerjasama  dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) untuk menyertai Projek Perkongsian Awam Sisa kepada Tenaga (WTE) di Sungai Udang, Melaka.

Penyedia penyelesaian tenaga boleh baharu dan kejuruteraan alam sekitar bersepadu itu menandatangani perjanjian kerjasama dengan anak syarikat milik penuh PKNM, PKNM Energy Sdn Bhd (PKNME) pada Jumaat bagi tujuan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cypark, Datuk Daud Ahmad berkata berlandaskan perjanjian berkenaan, pihaknya bekerjasama dengan PKNME untuk meneroka, membangunkan dan menyelesaikan isu pengurusan sisa di negeri itu menerusi teknologi yang terbukti berkesan sejak sekian lama dan mesra alam sekitar termasuk pembangunan projek WTE Melaka.

“Susulan pembangunan loji WTE pertama Malaysia di Ladang Tanah Merah, kami sukacita mengumumkan loji kedua WTE di negara ini akan dibangunkan tidak lama lagi.

“Ia juga menandakan kita semakin hampir kepada kaedah hijau dalam menguruskan sisa yang memberi manfaat kepada kesihatan manusia dan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata kerjasama itu membolehkan Cypark maju lebih dekat ke arah merealisasikan matlamat membangunkan lebih banyak projek WTE selepas projek WTE di Ladang Tanah Merah, Negeri Sembilan.

Sebagai peneraju  pembangunan WTE, Cypark yakin mampu memperluas kepakarannya menerusi pemerolehan lebih banyak tender WTE, disokong oleh rekod prestasi cemerlang dalam pembinaan, pemilikan dan pengoperasian loji WTE pertama Malaysia.

Sumber: Bernama

Cypark jalin kerjasama dengan PKNME untuk sertai projek perkongsian awam WTE di Melaka


Content Type:

Duration:

Malaysia telah berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM81.9 bilion daripada 240 syarikat tahun ini.

Menurut Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kesemua pelaburan itu berkualiti tinggi termasuk pelaburan dalam sektor teknologi, inovasi, teknologi hijau, kenderaan elektrik dan teknologi kewangan.

Beliau berkata dasar pelaburan berkualiti tinggi itu turut diamalkan ketika misi perdagangan dan pelaburan di Korea dan Jepun pada awal April sehingga berjaya menarik pelaburan hampir RM7 bilion.

“Ketika saya berada di Seoul, Korea dan mengadakan perbincangan lanjut dengan pimpinan tertinggi SK Nexilis, mereka telah bersetuju untuk melipatgandakan pelaburan mereka di Sabah daripada RM2.3 bilion kepada RM 4.24 bilion,” katanya dalam Buletin Utama TV3 hari ini.

Azmin berkata syarikat gergasi Jepun turut menunjukkan komitmen pelaburan yang sama termasuk pembekal komponen elektronik,Taiyo Yu-den yang berhasrat melabur RM3.75 bilion bagi mengembangkan operasinya di Sarawak.

Oleh itu, katanya potensi pelaburan di Sabah dan Sarawak turut membuktikan kerajaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada Lembah Klang atau Semenanjung Malaysia.

Katanya, Malaysia masih menjadi destinasi pelaburan utama bagi pelabur asing walaupun ada tanggapan bahawa syarikat-syarikat multinasional meninggalkan negara.

“Dengan fakta yang telah saya berikan ini, hanya sebahagian kecil daripada apa yang telah dipersetujui, membuktikan Malaysia masih lagi menjadi destinasi pelaburan utama,” katanya.

Azmin berkata sebanyak RM44 bilion kini berada di pelbagai peringkat penilaian pelaburan asing untuk masa akan datang.

Beliau dijadualkan berlepas ke Arab Saudi pada minggu depan bagi misi perdagangan dan pelaburan yang seterusnya.

Malaysia mencatatkan RM164 bilion pelaburan yang diluluskan melalui 4,599 projek dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama pada 2020.

Sumber: Bernama

Malaysia berjaya tarik RM81.9 bilion FDI tahun ini – Azmin


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bekerjasama bagi mempermudah usaha pelaburan berkaitan menerusi penubuhan Pejabat Pelaburan Digital (DIO).

Dalam kenyataan bersama pada Jumaat, kedua-dua agensi itu berkata peranan DIO juga sejajar dengan Rangka Tindakan MyDIGITAL dan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang berpandukan teras Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Matlamat usaha ini adalah bagi memperkukuh penyelarasan semua agensi galakan pelaburan untuk menarik pelaburan baharu berkaitan bidang yang pesat berkembang ini,” kata kenyataan itu.

Penubuhan DIO itu disahkan oleh Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED4IR) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan penubuhan DIO itu sebagai bertepatan pada masanya kerana dapat menyuntik nilai unik bagi pelaburan digital akan datang.

“Ekonomi digital adalah enjin pertumbuhan masa depan bagi Malaysia. Kita yakin dengan adanya tadbir urus berstruktur dalam penggalakkan dan kemudahan pelaburan sedemikian, ekosistem digital Malaysia akan lebih diperkukuh serta mantap bagi (persediaan) masa depan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, DIO juga seiring dengan evolusi landskap pelaburan serantau ke arah pendigitalan dan Industri 4.0 selain dapat memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam usaha pemulihan bagi tempoh pasca-COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA, Arham Abdul Rahman berkata, kedua-dua agensi terbabit komited dalam usaha memudahkan pelaburan berkualiti ke dalam negara, termasuk pelaburan digital.

“MIDA selaku agensi penggalakkan dan pelaburan utama di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), berharap dapat bekerjasama erat dengan MDEC bagi melonjakkan pertumbuhan pelaburan digital.

“Kerjasama ini secara tidak langsung dapat mewujudkan lebih banyak tenaga profesional tempatan yang berkemahiran tinggi serta memupuk jaguh digital global bagi jangka panjang. Ini akan meningkatkan lagi kelebihan daya saing Malaysia dengan menawarkan pelbagai faktor untuk menarik pelabur,” katanya.

Dalam pada itu, CEO MDEC, Surina Shukri pula menyifatkan DIO sebagai ‘pengubah keadaan’ kerana menjadi titik atau pusat perhubungan tunggal untuk pelabur bagi ekonomi digital Malaysia.

“DIO adalah pencapaian penting kemudahan pelaburan dalam menarik pelaburan digital berkualiti tinggi demi manfaat perniagaan serta rakyat kita serta seiring dengan agenda Malaysia 5.0,” katanya.

Sumber: Bernama

DIO pacu usaha pelaburan digital Malaysia


Content Type:

Duration:

Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) melabur lebih RM200 juta bagi pembinaan kilang penghentakan badan kereta baharu di kilangnya di Tanjung Malim yang dijangka siap menjelang suku ketiga 2022.

Proton dalam satu kenyataan berkata kilang itu akan menempatkan jentera hentakan “Superlarge” untuk meningkatkan lagi kebolehan hentakan syarikat.

“Lebih penting lagi, perkembangan ini adalah sebahagian rancangan syarikat untuk menambah tahap penggunaan komponen tempatan bagi model sedia ada dan akan datang,” katanya sambil kilang baharu itu merupakan sebahagian dari rancangan syarikat menaikkan taraf Tanjung Malim ke kilang pembuatan tahap dunia.

Syarikat itu berkata, Ia akan membolehkan pengeluaran panel badan yang lebih besar dan selain daripada pelaburan ini, sebanyak RM1.2 bilion telah dibelanjakan untuk barisan pengeluaran yang baru pada 2019.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong berkata, penambahan baharu ini adalah sebahagian daripada strategi Proton untuk memastikan ia boleh terus berkembang.

“Ini bermakna syarikat akan mempunyai kebolehan untuk mengeluarkan pelbagai model tetapi lebih penting lagi, kami akan mengeluarkan produk yang bertaraf tinggi dan mempunyai teknologi baharu.

“Haluan dan perkembangan masa depan Proton adalah jelas. Malaysia akan tetap menjadi pasaran utama tetapi syarikat perlu mempunyai kebolehan untuk bersaing di luar negara,” katanya.

Menurut Chunrong, fasiliti baharu itu amat penting kepada syarikat kerana ia membolehkan penambahan penggunaan komponen tempatan pada masa hadapan.

“Ini juga akan membolehkan Proton melibatkan lebih ramai vendor tempatan dalam proses pengeluarannya dan dengan demikian, mengembangkan lagi ekosistem automotif tempatan,” katanya.

Sumber: Bernama

Proton labur lebih RM200 juta bina kilang baharu


Content Type:

Duration:

Operasi Intel di Malaysia kini memanfaatkan tenaga solar untuk membantu menjana tenaga bagi enam bangunannya di Kulim, Kedah dan Pulau Pinang susulan penyiapan pemasangan solar 3.2 megawatt (MW) baharu pada Januari tahun ini.

Dalam kenyataan pada Khamis, ia menjelaskan, projek itu merupakan ladang solar terbesar Intel di luar Amerika Syarikat (AS).

Pemasangan yang mencapai kapasiti terpasang keseluruhan 4.1 MW itu dilaksanakan oleh NEFIN, pemaju tenaga boleh baharu.

Penyiapan projek tersebut menyumbang kira-kira 15 peratus kepada kapasiti tenaga elektrik solar fotovoltaik global Intel selain akan mengurangkan pelepasan karbon dioksida kira-kira 3,800 tan.

Naib Presiden Korporat dan Pengurus Besar Pembuatan Ujian Pemasangan Intel Malaysia, Robin Martin berkata, pelaburan berterusan dalam tenaga alternatif merupakan teras utama komitmen Intel untuk mengoperasikan kemudahan pembuatannya pada tahap kesan paling rendah terhadap alam sekitar.

“Penggunaan tenaga boleh baharu yang dijanakan dalam kawasan yang sama di Intel Malaysia adalah sebahagian usaha penting Intel sebagai warga korporat yang bertanggungjawab untuk melakukan inisiatif yang lebih baik demi bumi kita.

“Ia juga sebagai sebahagian matlamat RISE 2030 kami untuk mencapai 100 peratus tenaga boleh baharu,” katanya yang juga Pengarah Urusan Intel Malaysia.

RISE 2030 berasaskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan pada 2015 oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan disasarkan dicapai pada 2030.

Ia bertujuan menggalakkan dan mencapai keadilan, kesaksamaan, kemampanan dan keamanan.

Panel ladang solar baharu di Intel Malaysia meliputi kawasan seluas kira-kira 900 ruang tempat letak kenderaan dan tambahan 50,208 kaki persegi di bahagian bumbung bangunan, menjana kira-kira 6,000 MWh elektrik setiap tahun.

Permintaan elektrik bangunan di kawasan itu pada waktu puncak sebahagiannya digantikan dengan sumber solar.

Bekalan tenaga daripada sumber solar juga membantu mempelbagaikan dan memperkenalkan gabungan tenaga boleh baharu bagi gabungan bekalan tenaga kawasan itu yang lebih banyak dijanakan oleh sumber gas asli dan arang batu.

Sejajar dengan tema Hari Bumi Sedunia ‘Restore Our Earth’, Intel menekankan komitmennya untuk menjimatkan tenaga dan memperluas projek tenaga boleh baharu dan teknologi cekap tenaga bagi reka bentuk dan operasi teknologi, dalam usaha menangani perubahan iklim.

Ia telah menggunakan beberapa sistem terma solar untuk penyediaan air panas domestik ke semua kawasannya di Malaysia bagi usaha mengakhiri kebergantungannya kepada sumber bahan api konvensional dan akan meneruskan langkah perluasan penggunaan sumber tenaga bersih dan hijau.

Sumber: Bernama

Malaysia tempatkan ladang solar terbesar Intel di luar AS


Content Type:

Duration:

Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) menjangkakan Kompeks Bersepadu Pengerang (PIC) yang akan beroperasi pada separuh kedua 2021 akan menyumbang 10 hingga 15 peratus kepada perolehannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Pengerusinya, Datuk Md Arif Mahmood, berkata kumpulan itu akan meningkatkan operasi PIC kepada kapasiti penuh pada tahun depan dan menambah 1.8 juta tan bahan kimia kepada portfolionya.

“Ia bergantung kepada bagaimana harganya (namun), ia mungkin akan menyumbang 10 hingga 15 peratus kepada keseluruhan perolehan,” katanya pada sidang akhbar secara maya selepas mesyuarat agung tahunan PCG, hari ini.

Loji penapisan dan petrokimia di Pengerang, Johor adalah usaha sama antara PETRONAS dan Saudi Aramco.

“Kebiasaannya, apabila kita memulakan sesebuah kompleks, kita tidak akan menjalankannya secara kapasiti penuh. Saya berpendapat, pada tahun ini bagi loji bahan kimia (pengeluaran) akan kurang daripada sejuta tan, iaitu pada kira-kira 0.7 juta tan. Ia tidak akan siginifikan (sebagai penyumbang) pada 2021,” kata Md Arif.

Beliau berkata pada tahun ini, PCB dijangka tidak menyamai jumlah pengeluaran sebanyak 10.7 juta tan setahun yang dicapai pada tahun lepas susulan jumlah pemulihan pada 2021.

“Kami menghadapi pemulihan yang sedikit berat pada tahun ini melibatkan lima daripada fasiliti kami. Untuk memenuhi jumlah pengeluaran yang sama sebanyak 10.7 juta tan adalah sesuatu yang terlalu lama untuk kami, namun ia adalah sesuatu yang kami perjuangkan. Rancangan pada tahun ini (akan dicapai) dengan menghampiri jumlah itu,” kata Md Arif.

Ketua Pegawai Kewangan Mohd Azli Ishak berkata, pada masa ini PCB sedang menilai lebih daripada 10 projek dengan dua hingga tiga keputusan pelaburan akhir (FID) akan diumumkan pada tahun ini.

“Kami akan terus membuat penilaian dan mengeluarkannya pada tahap yang berbeza. Sebaik sahaja kami mencapai FID ini, kami akan mengumumkannya,” katanya dan menurutnya PCB mencari peluang secara proaktif untuk berkembang dalam bahan kimia khusus menerusi penggabungan dan pengambilalihan.

Pada 2020, PCB mengumumkan tiga FID iaitu kemudahan pengadunan silikon di Gebeng, Pahang, pengembangan loji Da Vinci Group di Belanda dan perkongsian bagi pengedaran kimia cecair di Indonesia.

Sumber: Bernama

Kompeks Bersepadu Pengerang mula operasi separuh kedua 2021


Content Type:

Duration:

Industri aeroangkasa diunjur pulih dan mencatatkan semula prestasi perolehan seperti sebelum pandemik seawal tahun depan, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, unjuran itu boleh dicapai sekiranya Malaysia terus memanfaatkan pakej kerja baharu yang memberi impak positif kepada keseluruhan ekosistem melalui penyetempatan produk.

“Pemulihan akan dipercepat jika industri dapat memperluas lagi perkhidmatan kargo udara, penerbangan perniagaan serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), di samping perkhidmatan latihan profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada webinar Airbus Malaysia Connect, semalam.

Beliau berkata, pandemik menjejaskan industri aeroangkasa Malaysia dengan perolehan keseluruhan merosot 20 hingga 30 peratus pada 2020 daripada perolehan RM16.22 bilion pada 2019.

Mohamed Azmin berkata, penerbangan komersial adalah subsektor yang paling terjejas teruk berikutan penutupan sempadan antarabangsa dan perintah kawalan pergerakan domestik.

Katanya, ini menyaksikan pembuatan aeroangkasa dan perniagaan MRO mengalami pesanan tertunda serta perkhidmatan penyelenggaraan yang tinggi.

“Kebanyakan aktiviti pembuatan dan perkhidmatan aeroangkasa terhenti sementara, manakala sebahagian pekerja diberhentikan atau diberikan cuti sementara berikutan larangan perjalanan di seluruh dunia selain pesawat komersial dan perniagaan tidak beroperasi.

“Memandangkan pembuat pesawat mengurangkan kadar pengeluaran buat sementara waktu untuk menyesuaikan operasi dengan persekitaran pasaran yang mengalami penyusutan, saya ingin memaklumkan bahawa ada kalangan mereka yang berada dalam ekosistem rantai bekalan memanfaatkan kelembapan permintaan untuk mengatur semula kewangan dalam pembangunan kemampuan dan teknologi baharu,” katanya.

Dalam melangkah maju, beliau menggesa komuniti aeroangkasa untuk terus menyesuaikan operasi mereka dan bersedia dengan apa sahaja yang mendatang.

“Ketika kita bergerak maju bagi merebut peluang baharu, amat penting untuk kerajaan dan pihak industri bekerjasama secara strategik untuk menjadikan sektor ekonomi penting ini kembali kukuh dan melonjak ke tahap pencapaian dan kecemerlangan baharu,” katanya.

Sumber: Bernama

Industri aeroangkasa dijangka pulih seawal 2022


Content Type:

Duration:

Program Kerjasama Industri (ICP) memainkan peranan penting dalam mengukuhkan industri aeroangkasa Malaysia, menurut pengeluar pesawat dan produk aeroangkasa, Airbus SE.

Ketua Airbus Defence and Space Asia Pasik Johan Pelissier berkata ICP akan memberi manfaat kepada rantaian bekalan tempatan, terutamanya pada masa ini apabila seluruh industri menuju ke arah pemulihan selepas COVID-19.

Sebagai rakan kongsi dalam tempoh yang lama dengan Malaysia, katanya Airbus telah membangunkan kerjasama industri yang luas dan kukuh serta membawa banyak faedah kepada ekonomi negara.

“Hari ini kita boleh menemui komponen ‘Buatan Malaysia’ dengan mudah pada produk pesawat awam Airbus dan pesawat A400M,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi selepas Airbus Malaysia Connect Webinar hari ini.

Beliau antara penceramah pada sesi bertajuk “A Fine Balance – Assets, Economics and National Defence”.

Ditanya mengenai komitmen syarikat dalam ekosistem aeroangkasa Malaysia, beliau berkata  pengeluar peralatan asli  (OEM) seperti Airbus dapat memberikan sumbangan yang bermakna untuk membantu Malaysia menguruskan evolusi, dalam negara mengkaji pembelian aset pertahanan baharu.

“Ini bukan sahaja membina keupayaan tetapi mewujudkan operasi kendiri dan membangunkan nilai kejuruteraan peringkat tinggi bagi menyokong operasi dengan lebih cekap dan berkesan.

“Malaysia kekal sebagai pasaran utama Airbus dan kami komited dengan kehadiran kami di sini, menawarkan yang terbaik untuk menyokong perjalanan transformasi negara,” katanya.

Airbus dan Malaysia telah menjadi rakan strategik selama lebih 40 tahun, sejak Malaysia Airlines menempah pesawat badan lebar A300B4 asli pada Ogos 1978.

Sejak itu, negara telah menjadi asas pelanggan yang utama untuk syarikat itu di rantau Asia Pasik melibatkan pesawat komersial, pertahanan, angkasa dan produk helikopter.

Malaysia merupakan asas pembekal terbesar untuk Airbus di Asia Tenggara dengan syarikat aeroangkasanya menghasilkan komponen dan struktur aero dalam barisan produk syarikat.

Airbus turut menyediakan kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih serta latihan di negara ini dan terlibat dalam aktiviti penyelidikan dan teknologi di peringkat tempatan.

Sumber: Bernama

ICP penting bagi perkukuh industri aeroangkasa Malaysia – Airbus


Content Type:

Duration:

Sanichi Technology Bhd menawarkan sehingga 1.42 bilion terbitan hak bernilai lapan sen dengan 712 juta waran percuma (Sanichi-WF) kepada pemegang saham sedia adanya.

Eksesais korporat itu akan menyaksikan untuk setiap satu saham yang dimiliki pemegang saham, akan menerima enam terbitan saham berserta dengan tiga waran.

Di bawah pelan diversifikasi itu, Sanichi merancang untuk memasang dan mentauliahkan sehingga 15 barisan bekas sarung tangan secara berperingkat selama 36 bulan untuk mengeluarkan sarung tangan nitril kelas perubatan.

Ia dijangka menghasilkan kapasiti pengeluaran lebih daripada 3.11 bilion keping setahun.

Sebagai permulaan, Sanichi berhasrat untuk menggunakan hasil daripada cadangan terbitan kak dengan waran untuk memperoleh, memasang dan mentauliahkan sehingga enam barisan bekas sarung tangan itu.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Dr Pang Chow Huat berkata, pihaknya optimis bahawa enam barisan pengeluaran itu dapat menghasilkan kapasiti pengeluaran sehingga 1.24 bilion sarung tangan setahun.

“Pada purata harga jualan pasaran RM328 setiap setiap karton, (1,000 keping setiap karton), anggaran kapasiti pengeluaran dalam ringgit (atau pendapatan) adalah RM408.08 juta dan berdasarkan margin konservatif 30 peratus, jangkaan sumbangan kepada keuntungan sbeelum cukai kumpulan adalah RM122.43 juta,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Sanichi tawar terbitan hak bagi pengeluaran sarung tangan


Content Type:

Duration:

Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) berada dalam landasan untuk menjadi lima pengeluar sarung tangan utama di Malaysia dengan bermulanya operasi kilang pengeluaran sarung tangan pertamanya di Kapar, Selangor bulan depan.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata Fasa 1 kilang pengeluaran sarung tangan itu akan mempunyai 12 barisan pengeluaran, dengan enam barisan pertama siap pada suku kedua tahun ini dan baki enam lagi barisan pengeluaran disasarkan beroperasi suku ketiga 2021.

Beliau berkata, keseluruhan 12 barisan pengeluaran itu mempunyai kelajuan tinggi yang mana setiap satunya mampu mengeluarkan 38,000 sarung tangan sejam.

Katanya, Mah Sing mempunyai kapasiti maksimum pengeluaran bagi Fasa 1 sehingga 3.68 bilion sarung tangan setahun.

“Kilang kami sangat berautomasi dengan barisan pengeluaran dilengkapi mesin dan jentera automatik.

“Digabungkan dengan sistem Perancangan Sumber Enterpris (ERP) dan sistem Pengambilalihan Data dan Kawalan Pemantauan (SCADA), ia akan menyokong dan memacu operasi kilang untuk mencapai kecekapan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan media sempena selesainya ujian dan operasi dua barisan pertama pengeluaran sarung tangan getah di sini, hari ini.

Hoy Kum berkata, tempahan sarung tangan keluarannya adalah kukuh dan penghantaran pertama sarung tangan akan bermula seawal bulan depan.

Beliau berkata, pembeli adalah dari luar negara antaranya Eropah, China, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Asia Barat, Jepun, United Kingdom (UK), Singapura dan Korea.

Menuju ke depan, Hoy Kum berkata, Mah Sing akan meneruskan pengembangan kemudahan pengeluaran sarung tangannya bagi Fasa 2 jika permintaan sarung tangan terus melebihi bekalan Fasa 1.

Beliau berkata, Mah Sing meninjau untuk menyenaraikan bahagian penjagaan kesihatan dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memberi lebih nilai kepada pemegang sahamnya.

Katanya, Mah Sing juga akan terus melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan meninjau lebih banyak ciri automasi untuk meningkatkan lagi kecekapan kilang pengeluarannya pada masa depan.

Sumber: Berita Harian

Mah Sing mula keluar sarung tangan bulan depan


Content Type:

Duration:

Malaysia bakal menjadi hab penting di peringkat global dalam pembangunan industri mineral pada masa akan datang kerana memiliki kepelbagaian sumber mineral yang dianggarkan bernilai RM4.11 trilion.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, berkata sumber mineral di seluruh negara itu berpotensi untuk diusahahasilkan secara optimum.

Katanya, kajian tinjauan awal dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menganggarkan nilai sumber mineral logam negara bernilai RM1.03 trilion, mineral bukan logam (RM2.96 trilion) dan mineral tenaga (RM0.12 trilion).

“Walaupun nilai ini masih merupakan anggaran, hakikat yang perlu kita ketahui adalah Malaysia mempunyai sumber mineral yang sangat bernilai dan mampu menjadi sebahagian kepada penyumbang utama kemajuan ekonomi negara.

“Melihat kepada kewujudan kepelbagaian sumber mineral yang tersebar di seluruh negara, ia bukan sahaja memberikan pendapatan kepada negara, malah memberi manfaat kepada kemajuan ekonomi negeri melalui aktiviti perlombongan dan pengeksportan bahan mineral yang dijalankan.

“(Justeru) Saya mengalu-alukan kerjasama antara agensi kerajaan dengan penggiat industri bagi menjadikan industri mineral negara lebih cekap dan berkesan serta mengutamakan soal aspek perlombongan mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama dalam bidang pembangunan industri mineral antara Ranhill Berhad dan Malaysian Chamber of Mines (MCOM) dengan JMG.

Majlis di sebuah hotel di Putrajaya itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Shamsul, Anuar Nasarah.

Turut hadir, Presiden Ranhill, Tan Sri Hamdan Mohamad.

MoU ini bertujuan untuk memastikan pihak industri mineral mengutamakan prinsip kebertanggungjawaban dalam menjaga kelestarian alam sekitar dan sistem biodiversiti negara ketika melakukan aktivivti eksplorasi, perlombongan, pemprosesan dan penghasilan produk berasaskan mineral.

MoU ini diadakan sempena pelancaran Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030) oleh Muhyiddin sebelum ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menyatakan kerajaan mensasarkan untuk industri mineral menjana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM29 bilion setahun pada tahun 2030.

Sumber: Astro Awani

Malaysia miliki sumber mineral RM4.11 trilion, bakal jadi hab penting pembangunan industri global


Content Type:

Duration:

Globetronics Technology Bhd (Globetronics), pengeluar sensor optik miniatur di Malaysia membina platform canggih berasaskan awan menerusi penggunaan pemprosesan Industri 4.0 dalam operasi pengeluaran besar-besaran syarikat itu.

Syarikat itu dalam kenyataannya berkata, pembinaan platform canggih bernilai RM50.2 juta itu akan menggabungkan kecerdasan buatan (AI), analitik data raya dan realiti lanjutan (AR + VR).

Katanya, ia akan diterapkan dalam rantaian bekalan dan pembuatan pintar hujung-ke-hujung, yang akan membolehkan penyesuaian tahap lebih tinggi, mengurangkan masa kitaran dan pengesanan kualiti terbaik bagi portfolio produk yang pelbagai serta memenuhi keperluan pelanggan yang dinamik.

“Langkah mengintegrasikan kecerdasan ke dalam mesin dan proses perniagaan syarikat tepat pada masanya dalam menangani cabaran pemerolehan tenaga kerja tidak mahir serta meningkatkan daya tahan sebagai tindak balas terhadap COVID-19.

“Pelaksanaan automasi untuk prosesnya juga akan membantu kami dalam memberi tumpuan kepada aktiviti menjana pendapatan tinggi seperti ramalan dan preskriptif data bagi memaksimumkan operasi mesin.

“Ia akan menjadi hala tuju bagi inisiatif ‘Lights off’ kilang kami dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman, berkata sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menerajui transformasi digital dalam sektor pembuatan, langkah pengembangan Globetronics dijangka membuka jalan kepada peningkatan produktiviti, penciptaan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran rakyat dengan memanfaatkan teknologi canggih dan kemampuan AI.

“Pengenalan dasar Industry4WRD berfungsi sebagai hala tuju strategik kepada Malaysia untuk melaksanakan Industri 4.0 sepenuhnya termasuk pembuatan dan bandar pintar, grid pintar dan penyelesaian pintar.

“Penerapan Industri 4.0 Globetronics akan melengkapkan industri elektrik dan elektronik bagi menghasilkan produk fotonik semikonduktor canggih menerusi penggunaan robot autonomi dan pembuatan pintar,” katanya.

Transformasi IR 4.0 Globetronics memfokuskan kepada tenaga kerja, menyusun semula pembuatan dan latihan tenaga kerja menerusi realiti lanjutan (ER).

Teknologi ER syarikat itu akan merapatkan jurang digital dan fizikal dengan meletakkan imej penstriman langsung dengan pangkalan data mesin yang diperoleh dari penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta fasa pembuatan.

Sumber: Berita Harian

Globetronics labur RM50.2 juta bina platform awan canggih


Content Type:

Duration:

Anak syarikat milik 70 peratus Tasco Bhd, TASCO Yusen Gold Cold Sdn Bhd (TYGC) dengan Swift Integrated Logistics Sdn Bhd (SILSB) bercadang untuk bersama-sama membeli 100 peratus kepentingan dalam Hypercold Logistics Sdn Bhd bernilai RM21.10 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Tasco berkata TYGC dan SILSB telah menandatangani perjanjian jualan saham bersyarat dengan Hypercold hari ini bagi cadangan pengambilalihan itu.

Di bawah perjanjian itu, penyedia penyelesaian logistik berkenaan berkata TYGC dan SILSB masing-masing akan memperoleh 50 peratus kepentingan dalam Hypercold bernilai RM10.55 juta.

Mengenai rasional pengambilalihan itu, Tasco berkata syarikat itu menerusi TYGC telah memperkukuhkan kedudukannya sebagai penyedia logistik rangkaian sejuk terkemuka di Semenanjung. Bagaimanapun, ia tidak mempunyai logistik rangkaian sejuk di Sabah atau Sarawak.

“Dengan melaksanakan cadangan pengambilalihan itu, ia akan melengkapkan infrastruktur sedia ada TYGC untuk mengembangkan tawaran perkhidmatan logistik rangkaian sejuknya ke Sabah dan Sarawak,” katanya.

Katanya, langkah pengambilalihan bersama SILSB akan memastikan kadar penghunian gudang rangkaian sejuk dan infrastruktur logistik Hypercold yang lebih tinggi memandangkan TYGC boleh memanfaatkan asas pelanggan SILSB yang luas di Sabah dan Sarawak.

“Hypercold sesuai dengan strategi TYGC kerana rekod prestasi operasinya kira-kira 10 tahun dengan penggiat utama industri makanan dan minuman di Sabah,” katanya.

Menurut Tasco, ketika ini Hypercold mempunyai kapasiti gudang rangkaian sejuk terbesar dengan 3,000 ruang palet serta lapan trak kawalan suhu di Sabah.

Mengenai unjuran, Tasco menjangka permintaan bagi logistik rangkaian sejuk akan meningkat seiring dengan peningkatan pendapatan boleh guna penduduk di Sabah dan Sarawak yang mana pengguna akan mempunyai permintaan lebih tinggi terhadap makanan segar dan bersih, yang seterusnya memacu permintaan kepada perkhidmatan logistik rangkaian sejuk yang menyeluruh.

Sumber: Bernama

Tasco cadang beli 50 peratus Hypercold bernilai RM10.55 juta


Content Type:

Duration:

Pelaburan bernilai US$1 bilion oleh Microsoft Corp ke dalam Malaysia baru-baru ini memberi mesej kepada pelabur global bahawa syarikat utama seperti Microsoft mempunyai keyakinan kukuh terhadap dasar ekonomi dan pendekatan ke atas modal insan oleh kerajaan di samping infrastruktur moden yang dimiliki negara ini.

Ketua Pakar Ekonomi Juwai IQI Global, Shan Saeed berkata ia menunjukkan kerajaan juga telah menetapkan strategi tepat termasuk melibatkan bukti kepada pelabur global bahawa Malaysia merupakan hab teknologi Asia Tenggara.

“Kestabilan makroekonomi negara menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelabur seperti Microsoft.

“Lebih-lebih lagi syarikat teknologi, seperti FaceBook, Tencent dan Huawei, yang akan mempertimbangkan Malaysia sebagai hab Asia Pasik mereka dalam usaha memacu keberuntungan dan unjuran pertumbuhan mereka, didorong keyakinan positif pelabur terhadap negara dan dasar kerajaan ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sejak lima tahun lepas, Malaysia telah menarik pelabur yang mencari pertumbuhan jangka panjang dan kestabilan serta kekonsistenan dalam instrumen dasar kerajaan.

Shan berkata berasaskan pelaburan bernilai US$1 bilion itu, kerajaan telah memberi mesej positif ke seluruh dunia yang menandakan trajektori kukuh baharu dari segi pertumbuhan dan unjuran negara.

“Di Juwai IQI, kami terus mengekalkan keyakinan terhadap prospek ekonomi Malaysia, dipacu oleh produktiviti buruh, yang mahir berbahasa Inggeris, cekap teknologi dan berorientasikan hasil.

“Berasaskan pelaburan ini yang memasuki Malaysia, ia akan melonjakkan unjuran terhadap industri pembuatan, elektrik dan elektronik, perkhidmatan serta logistik dalam negara sekali gus menyediakan hala tuju baharu kepada pelabur, yang akan diikuti oleh pemimpin industri lain,” katanya.

Beliau berkata pelaburan itu hadir ketika kerajaan melaksanakan tindak balas terhadap pandemik COVID-19 menerusi dasar positif yang diterima baik oleh pelabur global seperti Microsoft.

“Di Juwai IQI kami mengekalkan pendirian kami bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka pada 3.0 hingga 4.0 peratus tahun ini dengan peningkatan untuk mencecah 5.0 peratus pada akhir tahun.

“Pada akhirnya, dasar ekonomi kerajaan bertumpuan teknologi akan merangsangkan pertumbuhan bagi tempoh sukuan dan tahun-tahun akan datang. Malaysia bersedia untuk menjadi hab data/awan bagi banyak syarikat teknologi di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Pada Isnin lepas, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaburan bernilai US$1 bilion oleh Microsoft bagi tempoh lima tahun akan datang di Malaysia menerusi inisiatif  “Bersama Malaysia” yang dijangka mewujudkan sebanyak 19,000 pekerjaan, termasuk berkaitan teknologi maklumat (IT) dalam kalangan pengguna perkhidmatan awannya.

Menurut Perdana Menteri, di bawah inisiatif itu, Microsoft turut menjalin lima kerjasama dengan agensi kerajaan dan syarikat termasuk Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), Petronas, Celcom dan Grab.

Sementara itu, berkongsi sentimen sama, Profesor di Fakulti Perniagaan Universiti Sunway, Prof Dr Yeah Kim Leng berkata pelaburan Microsoft membabitkan penubuhan sebuah pusat data di Malaysia juga memaparkan rangsangan penting terhadap sentimen pelabur.

“Ini berlaku tepat pada masanya ketika terdapat kebimbangan mengenai prestasi FDI di negara ini yang berkurangan, terutama pada 2020. Walaupun ini (pelaburan Microsoft) bukanlah berperanan sebagai pengubah keadaan, tetapi ia sudah jelas membuktikan keyakinan kukuh sebuah syarikat global terhadap prospek pertumbuhan Malaysia serta potensi pembangunan perkhidmatan pusat data,” katanya.

Beliau juga menyifatkan FDI tersebut berpotensi melonjakkan aspek pendigitalan di sektor awam dan swasta Malaysia selain berupaya menarik penyertaan lebih banyak penyedia perkhidmatan data.

Menurutnya, pada masa sama, aspek inovasi dan pelaksanaan penyelesaian digital itu juga dapat menyuntik impak positif dalam usaha meningkatkan produktiviti serta daya saing yang merentasi semua sektor ekonomi.

“Pelaburan itu tidak hanya sekadar isyarat keyakinan sebuah firma perisian terbesar dunia terhadap prospek pertumbuhan negara ini, tetapi juga ke atas rancangan pendigitalan bagi transformasi ekonomi Malaysia kepada sebuah negara berpendapatan tinggi.

“Sejajar dengan kedudukan strategiknya di salah satu rantau paling pesat berkembang di dunia, kalangan penyedia perkhidmatan industri perisian, vendor dan pembekal akan memberi dorongan besar terhadap usaha Malaysia menjadi hab pengeluaran dan perkhidmatan bagi rantau ini,” katanya.

Menurut Dr Yeah, industri perisian tempatan akan menjadi penerima utama manfaat pelaburan tersebut selain impak limpahan ekonomi yang positif berikutan peranan pusat data berkenaan yang dapat mempermudah usaha rancangan pendigitalan negara.

“Kerajaan dan pelbagai sektor ekonomi yang mana kualiti kecekapan, produktiviti dan perkhidmatannya didorong oleh penerimagunaan penyelesaian digital dan perkhidmatan data, akan menyaksikan peluang pertumbuhan yang lebih ketara,” katanya.

Sumber: Bernama

Pelaburan US$1 bilion Microsoft manifestasi keyakinan terhadap strategi ekonomi Malaysia


Content Type:

Duration:

Jemaah Menteri telah meluluskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang berperanan sebagai kerangka pertumbuhan masa depan serta menggariskan asas bagi pembaharuan dasar pelaburan negara ini.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata NIA juga menjadi teras bagi merancakkan semula iklim pelaburan Malaysia, menarik pelaburan berkualiti tinggi ke dalam negara selain mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, khususnya pada tempoh pasca-COVID-19.

“Sejajar usaha melangkah ke depan, Malaysia perlu mengguna pakai satu pendekatan komprehensif untuk mempergiat semula ekosistem pelaburan serta memberi tindak balas sewajarnya terhadap kemunculan perkembangan trend mega selain keperluan pelabur yang sentiasa berubah.

“Malaysia perlu berani bangkit untuk menghadapi cabaran ini dengan sentiasa meningkatkan nilai unik negara yang merentasi pelbagai elemen seperti insentif, kemudahan, tenaga kerja, infrastruktur selain mekanisme perundangan, pengawalseliaan, presedur dan institusi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Mohamed Azmin berkata, sejajar dengan penekanan itu, teras NIA menumpukan aspek kejelasan serta keteguhan dengan kesemua aspirasi ini dipaparkan dalam semua dokumen dasar kebangsaan serta inisiatif berkaitan pelaburan, termasuk Pelan Induk Perindustrian Keempat dan Rancangan Malaysia Ke-12.

Sehubungan itu, katanya, NIA berteraskan lima parameter sebagai asas bagi mempertingkat daya saing dan memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan.

“Ini akan turut mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi yang mewujudkan pendapatan lebih baik untuk rakyat, mengembangkan serta menyepadukan jaringan domestik ke dalam rantaian bekalan serantau dan global dengan memantapkan daya tahan.

“Aspek lain termasuk membangunkan kluster baharu dan sedia ada dengan menumpukan sektor produktiviti tinggi, termasuk produk-produk dan perkhidmatan tempatan sambil meningkatkan keterangkuman untuk menyumbang ke arah agenda pembangunan sosioekonomi,” katanya.

Malah, sejajar usaha bagi meningkatkan kepelbagaian dan penglibatan dalam industri lebih kompleks, beliau berkata penekanan itu perlu disasarkan ke arah penerapan rejim cukai dan insentif lebih dinamik dan mantap, mewujudkan kelompok bakat atau tenaga kerja menerusi kerjasama dengan industri berkaitan, meningkatkan rangka kerja pelesenan dan pengawalseliaan serta pemudahcara seperti prosedur kastam.

Mohamed Azmin berkata NIA turut mengiktiraf kepentingan peranan strategi penggalakan pelaburan bagi menarik pelaburan berkualiti.

NIA juga akan menjadi garis panduan dasar dan langkah bukan dasar yang melibatkan penekanan khusus terhadap promosi serta kemudahan strategi pelaburan yang lebih bersasar, relevan dan berkesan.

“Ini penting dalam usaha memastikan pelaburan dalam sektor keutamaan yang dikenal pasti dapat memasuki negara dan seterusnya membawa kepada impak limpahan ekonomi yang positif,” katanya.

Selain itu, katanya, NIA turut menumpukan aspek keterangkuman dan kemampanan yang selaras dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) berikutan pelaburan baharu yang berteraskan elemen-elemen itu dan seterusnya mendorong pertumbuhan sektor sofistikated dari segi teknologi selain mengukuhkan hubungan di masa depan serta jaringan terbabit.

“Bagi jangka panjang, NIA menggalakkan kelangsungan aliran pelaburan berkualiti dalam bidang pertumbuhan baharu dan berkemungkinan kompleks, memupuk inovasi dan elemen canggih, mewujudkan peluang pekerjaan dan mempertingkat prospek pendapatan.

“Ini akan turut meningkatkan lagi keyakinan pelaburan dan perniagaan di Malaysia ketika kita terus mengekalkan daya saing dan menawarkan khidmat sebagai pusat aktiviti ekonomi dan perniagaan di rantau ini,” katanya.

Sumber: Bernama

NIA jadi teras pembaharuan dasar pelaburan negara – Azmin


Content Type:

Duration:

Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM) menjangkakan pelaburan dalam sektor penerbangan dan peralatan perubatan akan lebih berkembang pada masa akan datang, disokong pertumbuhan mampan industri elektrik dan elektronik (E&E).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Siobhan Das, berkata kedua-dua sektor hampir saling melengkapi industri asas E&E, bergantung antara satu sama lain di samping berkongsi kemahiran dan pengetahuan yang sama.

Beliau berkata, kerajaan sudah melaksanakan pelan pelaburan yang amat berjaya dalam industri E&E, dibuktikan dengan kejayaan syarikat dari Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Taiwan di negara ini.

“Terdapat pertumbuhan (pelaburan) daripada sektor E&E dan juga terdapat peralihan ke arah sektor penjagaan kesihatan serta peralatan perubatan.

“Walaupun penerbangan semakin menjadi bidang yang mantap, kita mahu melihat pertumbuhan lebih besar datangnya daripada kedua-dua industri ini,” katanya pada webinar Bank Dunia bertajuk ‘Sasaran Tinggi: Menongkah Tahap Pembangunan Malaysia Selanjutnya’ hari ini.

Memetik inisiatif bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) ‘Bersama Malaysia’ Microsoft untuk menubuhkan pusat data serantau pertamanya di negara ini, Siobhan ia dibina berdasarkan asas Malaysia yang mantap dan teguh.

“Mana-mana pelabur yang meninjau Asia, wajar memerhatikan Malaysia dengan amat serius,” katanya.

Untuk terus berada di depan pesaing, Siobhan menggesa kerajaan untuk memodenkan ekosistem industri dengan membuka sektor perkhidmatan bagi menggalakkan penyertaan lebih meluas pelaburan asing.

Mengenai bagaimana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan boleh meningkatkan kehadiran di arena global, Siobhan berkata, mereka perlu memiliki kepekaan yang lebih baik terhadap isu pematuhan kawal selia seperti inisiatif iklim atau amalan buruh.

“Banyak boleh dilakukan untuk membantu PKS memahami bagaimanana cara bekerja di peringkat global, kerana pelabur yang berada di sini bukan hanya bekerja untuk pasaran Malaysia, malah juga pasaran global.

“Justeru, mereka perlu memahami pelbagai perkara yang akan memberikan impak ke atas syarikat global dan ekosistem rantaian bekalan global,” katanya sambil menambah PKS juga perlu meningkatkan penggunaan bahasa Inggeris bagi membolehkan mereka berinteraksi secara langsung dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D) atau pusat operasi di pelbagai negara.

Sumber: Bernama

Pelaburan sektor penerbangan, perubatan dijangka meningkat


Content Type:

Duration:

Projek pembangunan kilang memproses lateks nitril butadiena (NBR) bagi pengeluaran sarung tangan yang mencecah RM1.5 bilion (US$370 juta) di Lipat Kajang, Jasin akan membuka lebih 7,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata projek usahasama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dan KenTeam Sdn Bhd itu akan dimulakan pada Mei depan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2022.

“Justeru, pada hari ini kita menandatangani Perjanjian Dasar Induk bagi cadangan penjualan tanah milik PKNM seluas 38.4 hektar di Plot 14, Kawasan Industri Elkay, Lipat Kajang kepada syarikat KenTeam Sdn Bhd.

“Saya difahamkan, harga jualan keseluruhan tanah itu berjumlah RM107.5 juta,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu di sini hari ini.

Perjanjian tersebut ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif PKNM Datuk Azmi Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif KenTeam Sdn Bhd Datuk Seri Justin Lim.

Sulaiman berkata beliau mahu projek itu akan mengikut segala terma dan syarat yang ditetapkan.

“Kerajaan negeri juga optimis bahawa projek yang bakal dilaksanakan ini akan dapat memberikan impak positif terutama mewujudkan peluang perniagaan baharu pada masa hadapan sekali gus membawa limpahan ekonomi bukan sahaja kepada Melaka malah negara secara amnya,” katanya.

Sementara itu, Justin berkata pelaburan di Melaka adalah satu peluang terbaik dan antara usaha untuk mengembalikan pelaburan ke negeri ini ketika pandemic COVID-19.

“Dalam tempoh enam bulan ini, kita akan mulakan pembangunan struktur dan diharap siap mengikut masa ditetapkan.

“Kami berharap projek ini akan membawa lebih banyak pelaburan ke Melaka pada masa hadapan memandangkan lokasi kilang yang terletak di kawasan strategik seperti mempunyai kemudahan lebuh raya dan pelbagai fasiliti lain,” katanya.

Sumber: Bernama

Pelaburan RM1.5 bilion PKNM-KenTeam buka 7,000 peluang pekerjaan di Jasin


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyambut baik pelan Microsoft Corp untuk menubuhkan pusat data serantau pertamanya di Malaysia yang akan mempercepatkan inovasi negara dalam teknologi awan.

Agensi promosi dan pembangunan pelaburan utama kerajaan itu yakin inisiatif Bersama Malaysia Microsoft akan menjadi pemacu kepada agenda digital pertama negara sejajar dengan aspirasi MyDIGITAL negara, selain meningkatkan keyakinan pelabur tempatan dan asing di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Arham Abdul Rahman berkata pelaburan Microsoft dengan pusat data serantau pertamanya di negara ini menjadi bukti kukuh terhadap dasar pelaburan Malaysia yang pro-perniagaan, pro-perdagangan dan mesra perniagaan.

“Kehadiran Microsoft, penggiat teknologi global, mengembangkan kedudukannya dalam infrastruktur digital di Malaysia membantu membentuk tulang belakang untuk ekosistem digital yang mampan.

“Aspek paling penting, komitmen Microsoft melalui infrastruktur digital bertaraf dunia akan meletakkan kita dalam kedudukan yang lebih tinggi untuk maju ke arah negara digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MIDA berkata pusat data serantau Microsoft yang akan datang dijangka memberi manfaat kepada perniagaan tempatan, kerajaan dan masyarakat dalam semua sektor, selain pengguna akan mendapat akses yang cepat kepada perkhidmatan awan paling maju Microsoft serta kemampuan untuk menyimpan data dan aplikasi di negara ini.

Pusat data serantau tempatan itu akan terdiri daripada pusat data yang terletak di Greater Kuala Lumpur, beroperasi dalam perimeter yang ditentukan latensi dan dihubungkan melalui rangkaian latensi rendah yang khusus.

“Kami akan terus menyokong usaha Microsoft di Malaysia, terutamanya dalam mentransformasikan landskap digital, infrastruktur dan tenaga kerja mahir negara, sekali gus meningkatkan daya saing dan tarikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan teknologi tinggi,” kata Arham.

Sementara itu, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia K. Raman berkata: “Kami berasa rendah hati dengan sokongan yang diberikan oleh MIDA dan kami berharap dapat mengukuhkan kerjasama kami dalam merealisasikan aspirasi digital inklusif Malaysia.”

Inisiatif Bersama Malaysia Microsoft telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin dengan pusat data serantau pertama itu melibatkan pelaburan sekurang-kurangnya US$1 bilion (US$1= RM4.1180) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Penubuhan itu dijangka mewujudkan 19,000 pekerjaan, termasuk 4,000 pekerjaan berkaitan IT dalam kalangan pengguna awan.

Sumber: Bernama

MIDA sambut baik pelan Microsoft dalam inisiatif bersama Malaysia


Content Type:

Duration:

Microsoft Corporation (Microsoft) melihat potensi besar dalam masa depan Malaysia yang memberi keutamaan kepada teknologi digital.

Naib Presiden Eksekutif dan Presiden Microsoft Global Sales, Jean-Philippe Courtois, berkata ini mendorong syarikat multinasional itu menubuhkan pusat data serantau pertamanya di negara ini, bernilai RM4 bilion, melalui insentif Bersama Malaysia.

Katanya, beliau kagum dengan kekuatan Malaysia dalam kepelbagaian serta komitmen negara untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.

“Kami menyokong penuh cita-cita digital diutamakan Malaysia ini. Tema kita hari ini ialah Bersama Malaysia, mencerminkan komitmen jangka panjang kami di negara ini.

“Microsoft berbangga berada di Malaysia selama hampir 30 tahun ini dan menjangka akan terus memperkukuh perkongsian ini untuk memperkasa ekonomi digital inklusif negara ini,” katanya hari ini.

Beliau berucap pada pelancaran Inisiatif Microsoft Bersama Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Courtois berkata, penubuhan pusat data serantau pertama di Malaysia itu bakal menjadi pengubah keadaan kepada ekonomi tempatan.

Katanya, ia bakal membolehkan perniagaan di Malaysia memanfaatkan perkhidmatan awan, kecerdasan buatan (AI) internet benda (IoT), ‘edge solutions’ dan, data bagi memperkasa pekerja, membabitkan pelanggan, mengubah produk dan mengoptimum operasi melalui rangkaian pengalaman.

“Mereka juga boleh menyimpan data di Malaysia, dengan keselamatan dan kerahsiaan data dipertingkat,” katanya.

Microsoft turut melihat keperluan memperkasa sumber manusia dalam tenaga kerja digital Malaysia.

Courtois berkata, lebih banyak pekerjaan akan memerlukan kemahiran digital pada masa hadapan, dan pihaknya komited untuk memberi kemahiran kepada sejuta rakyat Malaysia, sebagai sebahagian daripada inisiatif Bersama Malaysia menjelang Disember 2023.

“Kami berkongsi visi MyDIGITAL kerajaan, iaitu ekonomi digital akan berjaya apabila setiap orang mempunyai peluang sama untuk berjaya,” katanya.

Untuk itu, Courtois berkata, Microsoft akan mengadakan kerjasama dengan Perbadanan Sumber Manusia Berhad (HRDF), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), TalentCorp Malaysia serta Grab Malaysia, selain kerjasama dengan pertubuhan bukan berkeuntungan bagi memastikan penyertaan digital seperti Junior Achievement Malaysia, Biji-biji Enterprise dan pasukan Bolasepak Orang Buta Kebangsaan.

Beliau berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan kerajaan dan tenaga pengajar di negara ini untuk memperkasa pelajar dengan kemahiran digital.

Courtois berkata, Microsoft dengan kerjasama Kementerian Pendidikan akan memberi akses teknologi Mircosoft kepada 5.2 juta pelajar serta tenaga pengajar dan bekerjasama dengan 10 universiti tempatan, bagi mengintegrasi kandungan industri Microsoft ke dalam kurikulum.

Sumber: Bernama

Malaysia utamakan teknologi digital – Microsoft


Content Type:

Duration:

Kerajaan telah memastikan pembaharuan ekonomi selaras dengan penanda aras global, termasuk matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata hasil daripada aspek itu juga akan mencerminkan komitmen Malaysia dalam memudahkan pelabur, meningkatkan kecekapan dan menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan.

“Ia menekankan agenda menentukan cadangan nilai pelaburan Malaysia terkandung dalam Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) kita, strategi memandang ke hadapan bertujuan untuk menarik pelaburan yang berkualiti didorong oleh inovasi, teknologi tinggi, ekonomi hijau dan penyertaan rantaian bekalan domestik yang lebih besar,” katanya dalam ucapan pada pertemuan antara pemain industri dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), inisiatif itu tepat pada masanya berikutan Malaysia ke arah mempercepatkan pemulihan ekonomi dalam landskap ekonomi global yang amat mencabar.

MITI berkata, pertemuan itu menyediakan saluran yang kondusif kepada pihak berkepentingan industri untuk berkongsi isu di lapangan, memberikan cadangan yang membina kepada kerajaan dan membincangkan peluang untuk membantu peserta industri memulihkan perniagaan mereka yang terjejas oleh pandemik COVID-19.

“Perkara yang dibincangkan pada sesi berkenaan termasuklah perlu mengutamakan peserta industri yang dianggap sebagai barisan hadapan ekonomi negara untuk Program Vaksinasi Negara; penggunaan pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan serta fleksibiliti mekanisme pembiayaan dan kawalan harga untuk produk/industri yang terpilih,” menurut MITI dalam kenyataan.

Pertemuan itu turut membincangkan mengenai pengurusan dan keperluan tenaga kerja; menambah baik kemudahan untuk pelaburan baharu; ratifikasi segera Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP); serta menyambung semula Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (MEUFTA) dan pembangunan NIA baharu.

Pada sesi itu, kementerian berkenaan berkata, peserta turut dimaklumkan mengenai impak positif yang dapat dibawa oleh program Safe@Work MITI kepada perniagaan mereka.

Mengenai masa depan, MITI berkata, ia akan terus bekerjasama dengan kementerian dan agensi kerajaan lain dan yang paling penting dengan peserta industri, untuk memastikan Malaysia dapat memulihkan ekonominya selepas pandemik.

Sumber: Berita Harian

Pembaharuan ekonomi sejajar penanda aras global – Azmin


Content Type:

Duration:

Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) menyasarkan untuk menarik pelaburan baharu bernilai hampir RM5 bilion dalam segmen hiliran minyak dan gas serta aktiviti sokongan yang berkaitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed, berkata ia akan dilakukan dalam fasa kedua pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), iaitu untuk tempoh dari tahun lalu hingga 2025.

“JPDC menyasarkan pelaburan baharu di PIPC membabitkan pembangunan loji penghasilan produk petrokimia, pembukaan kawasan perindustrian baharu serta pengembangan aktiviti yang bermula pada fasa pertama, bermula 2012 dan siap pada 2019.

“Pada fasa kedua juga, JPDC merancang mendapatkan dana untuk penambahbaikan dan naik taraf prasarana dan kemudahan awam yang mampu menyokong pertumbuhan industri hiliran minyak dan gas di Pengerang.

“Pada fasa pertama, kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan pembangunan RM2.48 bilion untuk 25 pakej kerja pembinaan lebuh raya dan jalan raya, naik taraf jalan Persekutuan, pembinaan jaringan saliran dan perparitan di dalam kawasan industri, serta pembinaan kemudahan awam termasuk balai bomba, balai polis, klinik kesihatan, kompleks perikanan dan sekolah di kawasan PIPC.

“Kerajaan Johor juga menyalurkan peruntukan kira-kira RM1 bilion untuk pembinaan penempatan baharu di Pengerang bagi membolehkan pembangunan industri berjalan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif JPDC, Mohd Yazid Ja’afar.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, pada fasa kedua PIPC, JPDC juga akan turut mempergiatkan program latihan peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan agar mereka berpeluang diambil bekerja dalam operasi industri hiliran minyak dan gas di PIPC dan seluruh Malaysia.

“Sejak 2013 hingga Mac 2021, JPDC telah melaksanakan 58 program peningkatan kemahiran, membabitkan 4,097 tenaga kerja Malaysia yang menerima latihan di 12 institusi latihan teknikal awam Malaysia.

“Program peningkatan kemahiran berkenaan diselaraskan dengan keperluan dan permintaan industri dan berjaya menghasilkan kadar pengambilan pekerja setinggi 95 peratus.

“Pada fasa kedua juga, JPDC akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor dan pelabur industri di PIPC untuk meningkatkan tahap kemahiran dan persijilan teknikal kontraktor dan usahawan pembekal khidmat tempatan agar mereka berpeluang

melayakkan diri menjadi pembekal bertauliah untuk syarikat-syarikat minyak dan gas hiliran di PIPC dan Malaysia,” katanya.

Ini seterusnya akan membantu pengembangan kapasiti keupayaan kontraktor dan syarikat tempatan, serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Menerusi fasa pertama pembangunan PICC menyaksikan dua pelaburan pemangkin dalam industri hiliran minyak dan gasyang dibangunkan dengan jumlah nilai pelaburan RM121.78 bilion (AS$29.5 bilion).

Ia membabitkan Kompleks Bersepadu Pengerang oleh PETRONAS dan usahasama dengan Aramco membabitkan nilai pelaburan RM111.4 bilion (AS$27 bilion) dan Pengerang Deepwater Terminals oleh DIALOG Group Berhad dan rakan niaganya dengan nilai pelaburan RM10.3 bilion (AS$2.5 bilion).

Pada fasa pertama PIPC juga, Johor Corporation sudah memulakan kerja pembangunan Pengerang Industrial Park manakala Kumpulan Serba Dinamik memulakan aktiviti penyenggaraan, pembaikan dan baik pulij loji di Pengerang eco-Industrial Park selain Benalec Holdings Berhad sudah mendapat kebenaran merancang untuk pembangunan Pengerang Maritime Industrial Park.

Sumber: Berita Harian

JPDC sasar pelaburan baharu hampir RM5 bilion


Content Type:

Duration:

Bintai Kinden Corporation Bhd bercadang mengambil alih Johnson Medical International Sdn Bhd untuk mengembangkan segmen perniagaan penjagaan kesihatannya.

Sehubungan itu, ia telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan vendor Yeo Eng Lam untuk mengambil alih kira-kira tiga juta saham biasa, mewakili 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Johnson Medical sebanyak RM50 juta.

“Cadangan pengambilalihan itu akan dipenuhi menerusi gabungan tunai berjumlah sehingga RM26 juta dan terbitan kira-kira 58.54 juta saham biasa dalam Bintai Kinden pada 41 sen setiap satu,” katanya.

Menerusi MoU itu, vendor itu akan menyediakan jaminan keuntungan kepada Bintai Kinden berjumlah RM3.50 juta dan RM5.60 juta, masing-masing bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 dan tahun kewangan 2022.

Naib Pengerusi Eksekutifnya Ibrahim Othman berkata, langkah itu akan membolehkan syarikat berkenaan mengembangkan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan selain pengedaran Greenie Medi Cold Chain Box (peti sejuk beku) pada masa ini, yang direka untuk penyimpanan dan pengedaran vaksin COVID-19 di bawah segmen perniagaan penjagaan kesihatannya.

“Ini akan membolehkan Bintai Kinden untuk meneroka segmen penjagaan kesihatan bagi membekal dan memasang pelbagai peranti perubatan seperti loket perubatan, unit penjagaan kesihatan bergerak dan modular, panel kepala katil, unit pembedahan bergerak dan stesen kerja trauma untuk memenuhi permintaan bagi perniagaan penjagaan kesihatan disebabkan pandemik ini.

“Tanpa mengambil kira perkara luar jangka, langkah korporat ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan pada masa akan datang dan menambah baik kedudukan kewangan Bintai Kinden,” katanya.

Harga saham Bintai Kinden pada 46 sen tidak berubah ketika ditutup hari ni dengan jumlah dagangan 58.23 juta.

Johnson Medical yang ditubuhkan pada 1994 adalah penyedia penyelesaian kejuruteraan perubatan yang memberi tumpuan kepada pembuatan, pembekalan dan pemasangan bilik bedah, unit rawatan kritikal dan sistem penghantaran gas perubatan dan perniagaan peralatan dan bekalan perubatan.

Sumber: Berita Harian

Bintai Kinden cadang ambil alih Johnson Medical


Content Type:

Duration:

wpChatIcon