2021 Archives - Page 2 of 33 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


VentureTECH tampung permintaan silinder gas oksigen

VentureTECH melabur sebanyak RM2.5 juta dalam Gas Pantai Timur Sdn Bhd (GPT) untuk menampung lonjakan permintaan terhadap silinder gas oksigen daripada hospital dan klinik kerajaan ketika negara terus berusaha membendung pandemik COVID-19.

GPT adalah pembekal utama gas perubatan dan perindustrian yang termasuk oksigen, asetilena dan nitrogen yang diproses di loji gas dekat Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Kelantan dan Kawasan Perindustrian Gopeng, Perak.

Pelaburan itu akan menyaksikan GPT mengembangkan stesen pengisian semula silindernya di Puchong bagi gas perubatan untuk keperluan hospital di wilayah tengah.

Pengarah Urusan VentureTECH, Dr Norida Abd Rahman, berkata visi syarikat itu adalah untuk menyokong syarikat tempatan yang beroperasi dalam sektor berkaitan penjagaan kesihatan kritikal bagi membendung pandemik tersebut untuk memenuhi keperluan mendesak sistem penjagaan kesihatan negara demi kepentingan rakyat.

“Pelaburan ini adalah sejajar dengan falsafah pelaburan VentureTECH yang disasarkan untuk menjana impak sosial yang positif.

“Pelaburan VentureTECH dalam GPT memainkan peranan penting kerana ia akan dapat membantu Malaysia memulihkan aktiviti ekonominya sejajar dengan Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) selain menyokong penyepaduan internet pelbagai benda (IoT) selain teknologi pengesanan dalam sistem bekalan pengeluaran dan pengedaran bagi menambah baik kecekapan,” katanya.

Sementara itu, GPT berkata permintaan terhadap silinder oksigen meningkat lebih daripada lapan kali ganda semasa gelombang ketiga COVID-19, yang memberi tekanan besar kepada sistem penjagaan kesihatan negara ekoran peningkatan penghunian katil ICU dan keperluan bagi sokongan pernafasan.

Ketua Pegawai Eksekutif GPT, Nik Ahmed Nerang Nik Rithauddeen, berkata syarikat itu bersiap sedia bagi sebarang kemungkinan untuk memastikan hospital tidak lagi mengalami masalah kekurangan silinder, walaupun kes jangkitan harian telah semakin terkawal.

“Pelaburan daripada VentureTECH membolehkan kami memastikan dapat menampung permintaan,” katanya.

GPT berkata, ia menyasar meningkatkan campuran produknya dengan membangunkan barisan pengeluarannya sendiri bagi gas lain, meningkatkan keupayaan logistiknya dan membuka loji pengeluaran gas baharu di wilayah selatan.

Sumber: Bernama

VentureTECH tampung permintaan silinder gas oksigen


Content Type:

Duration:

China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia biarpun ketika berdepan krisis semasa Covid-19 apabila kedua-dua negara terus memperkuatkan ikatan ekonomi yang dijalin sejak 1974.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia yang menjadi negara perintis ASEAN yang mengikat hubungan diplomatik secara rasmi dengan China itu mahu hubungan strategik tersebut kekal terikat.

“China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009 dan menyumbang 18.6 peratus daripada keseluruhan pelaburan Malaysia pada 2020.

“Eksport ke China direkodkan tertinggi pada 2020 dengan berkembang sebanyak 11.1 peratus menjadi AS$37.77 bilion (RM159.77 bilion), manakala China juga menjadi sumber import terbesar Malaysia iaitu sebanyak 21.5 peratus,” katanya menerusi ucapan yang disiarkan secara maya hari ini.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Ekonomi dan Teknologi China Antarabangsa 2021 (GCETS) di Batu Ferringhi di sini yanh dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Turut mengadakan ucapan secara maya ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Duta Besar China, Ouyang Yujing.

Sementara itu, menerusi ucapan tersebut, Perdana Menteri berkata, China juga merupakan pelabur luar terbesar negara dalam sektor pembuatan dalam tempoh lima tahun sejak 2016 sehingga 2020.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsan dan Industi menerusi agensinya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan 243 projek dengan jumlah pelaburan AS$14.91 bilion (RM63.07 bilion) dan menyumbang 50,000 peluang pekerjaan di Malaysia.

“Syarikat-syarikat terkenal China seperti Huawei, Longi Solar, Jinko Solar, Alliance Steel, Alibaba Group dan banyak lagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan dan kehadiran syarikat-syarikat ini menggambarkan ekosistem mesra pelabur di Malaysia.

“Selain itu, kolaborasi ekonomi China dan Malaysia turut diperkuatkan dengan menandatangani Five Year Program for Economic and Trade Cooperation serta Belt and Road Initiative masing-masing pada 2013 dan 2017,” katanya.

Sumber: Kosmo

China kekal rakan dagang terbesar Malaysia


Content Type:

Duration:

Intel Corporation yang juga antara pengeluar cip terbesar dunia, akan melabur lebih RM30 bilion dalam tempoh 10 tahun ini bagi mengembangkan operasinya di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Patrick Gelsinger berkata pelaburan tambahan di negara ini turut melibatkan pengembangan kemudahan ujian pemasangan pembuatan sedia ada selain membangunkan prosedur ‘die prep’ atau proses sebelum pemasangan dengan penambahan keupayaan pembungkusan yang lebih maju.

Syarikat itu juga merancang untuk mempunyai fasiliti baharu di negara ini bagi membolehkannya menambah jumlah pengeluaran serta meningkatkan kedudukannya dalam rantaian nilai pemindahan teknologi dan pembinaan kapasiti, katanya.

“Pembinaan bagi tujuan pengembangan baharu di Kulim dan Pulau Pinang sudah pun dimulakan. Kemudahan baharu yang menyokong teknologi maju pembungkusan itu dijangka mencatat pengeluaran pada 2024,” katanya pada sidang media mengumumkan pelaburan baharu tersebut di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Arham Abdul Rahman.

Sementara itu, Mohamed Azmin menyifatkan pelaburan Intel itu sebagai hasil kerjasama strategik jangka panjang syarikat itu dengan Malaysia selama 50 tahun manakala kemudahan bertaraf dunia itu akan turut meletakkan negara ini di barisan hadapan sektor semikonduktor dunia.

“Ini turut menjadi bukti keyakinan kukuh Intel terhadap Malaysia selaku hab pelaburan pilihan. Pada masa sama, ia juga menunjukkan peningkatan trajektori pemulihan ekonomi kita serta prospek cerah dari segi pertumbuhan yang memberangsangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Gelsinger berkata Intel juga komited untuk meneruskan pelaburan serta melakukan inovasi di negara ini dengan pelaburan baharu tersebut dijangka mewujudkan lebih 4,000 pekerjaan baharu Intel selain lebih 5,000 pekerjaan binaan bagi rakyat tempatan.

“Kami bukannya pemburu sebaliknya hadir di Malaysia untuk mewujudkan ekosistem, komuniti dan perkongsian dengan syarikat pemula niaga di sini bagi membangunkan keupayaan teknologi pasaran Malaysia secara menyeluruh,” katanya.

Mengulas kekurangan semikonduktor dunia pada masa ini, beliau berkata keadaan tersebut secara keseluruhannya amat ketara yang menyaksikan Intel dan industri memberi tindak balas dalam bentuk pembangunan kapasiti serta memacu bekalan sepantas mungkin.

Menurutnya, ini penting bagi membolehkan bekalan keseluruhan semikonduktor pada tahun ini berupaya meningkat lebih ketara berbanding dua hingga tiga dekad lepas.

Gelsinger berkata industri semikonduktor berkembang kira-kira 5.0 peratus setahun dengan nilainya mencecah kira-kira US$500 bilion pada tempoh sebelum COVID-19 namun keadaan pandemik berkenaan telah menjejaskan rantaian bekalan.

Permintaan terhadap semikonductor yang melonjak sehingga 200 peratus tahun ke tahun berbanding rantaian bekalan yang telah terjejas itu sebaliknya telah mewujudkan jurang besar bekalan yang perlu ditampung, katanya.

“Saya menjangkakan kekangan dan kekurangan itu akan berterusan sehingga 2023 kerana usaha menghasilkan bekalan serta membina kemudahan baharu akan memakan masa yang lama. Malah, lebih banyak masa diperlukan bagi mewujudkan kapasiti terbabit serta memberi tindak balas terhadap usaha menangani (pandemik),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Gelsinger berkata Intel Corp dijangka mengumumkan mengenai perkembangan membabitkan kemudahan seterusnya di Amerika Syarikat dan Eropah pada awal tahun depan.

Menurutnya, usaha pengembangan di Malaysia merupakan langkah penting dalam strategi menyeluruh syarikat bagi meningkatkan peluang kapasitinya.

Sumber: Bernama

Intel Corp labur RM30 bilion bagi pengembangan kemudahan di Malaysia


Content Type:

Duration:

Amerika Syarikat (AS) akan terus bekerjasama rapat dengan Malaysia untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan di negara ini dan mengukuhkan pemulihan ekonomi pasca pandemik, kata Setiausaha Negara AS Antony J. Blinken.

Beliau berkata Malaysia mencapai pertumbuhan memberangsangkan walaupun semasa era pandemik COVID-19 dan maklum akan peranan penting yang dimainkan Malaysia dalam menyokong rantaian bekalan global.

Menurutnya, rangka kerja ekonomi Indo Pasifik komprehensif AS akan meningkatkan lebih banyak peluang pelaburan bagi negara seperti Malaysia termasuk dalam sektor seperti perdagangan dan ekonomi digital, rantaian bekalan yang kukuh, tenaga bersih dan pelaburan infrastruktur.

“Kami mengenal pasti lebih banyak peluang pelaburan bagi syarikat Amerika. Minggu ini, kita menyaksikan syarikat AS mengumumkan janji niaga pelaburan baharu penting di Malaysia,” katanya pada sidang media bersama dengan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah selepas mesyuarat dua hala di pejabat Saifuddin di sini, pada Rabu.

Blinken berkata AS merupakan pelabur asing kedua terbesar di Malaysia terutamanya dalam sektor elektronik.

“Kami bekerjasama rapat dengan Malaysia, ekonomi ketiga terbesar di Asia Tenggara dan rakan dagangan kedua terbesar kami di rantau ini, bagi mengukuhkan pemulihan ekonomi pasca COVID-19,” katanya.

Mengenai Laut China Selatan,  Blinken berkata AS dan Malaysia bersetuju semua pertikaian perlu diselesaikan secara aman dan mengikut undang-undang antarabangsa, sejajar dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut  (UNCLOS).

Blinken sedang dalam lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia sebagai sebahagian daripada kunjungan sulung beliau ke tiga negara Asia Tenggara —  Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Sumber: Bernama

AS akan tingkat perdagangan dan pelaburan di Malaysia


Content Type:

Duration:

Malaysia berhasrat meneroka kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) untuk memperkenal Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) dalam rangkaian bekalan elektrik negara.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata tenaga solar ketika ini mempunyai kepentingan yang amat ketara dalam sistem penjanaan tenaga di Malaysia.

Katanya, aspek kelangsungan bekalan tenaga daripada penjanaan sistem solar sebagai sumber boleh diperbaharui (RE) perlu diberi perhatian khusus.

“Kita bercadang untuk memperkenal skala utiliti menerusi BESS dengan keseluruhan kapasiti 500 megawatt (MW), bagi tempoh 2030 hingga 2034 ke dalam sistem elektrik Semenanjung.

“Ini antara ruang kerjasama yang ingin diterokai selanjutnya bersama AS. Kementerian ketika ini menjalankan kajian menerusi sebuah syarikat persendirian, berbekalkan jaminan oleh kementerian, dikenali sebagai MyPower.

“Peranan utama MyPower bagi memastikan kelangsungan industri bekalan elektrik negara,” katanya pada ucaptama Rundingan Meja Bulat mengenai Tenaga Diperbaharui Malaysia-AS, di sini, hari ini.

Sejak dilancarkan pada November lalu, Takiyuddin berkata, inisiatif Tarif Elektrik Hijau (GET) mula melakar kejayaan dan meraih sokongan pelbagai syarikat multinasional, dengan 16 peratus daripada kuota sedia ada sudah dilanggan.

Bagi memacu matlamat penggunaan bekalan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu, beliau berharap syarikat AS di Malaysia yang ingin memenuhi komitmen urus tadbir, alam sekitar dan sosial mereka berupaya merebut peluang menerusi GET.

“Selain mencapai sasaran perubahan iklim, pelaksanaan rangkaian inisiatif ini dijangka memacu pertumbuhan ekonomi menerusi suntikan pelaburan baharu dan peluang pekerjaan.

“Contohnya, apabila kita menawarkan projek solar berskala besar 1,000 MW dan projek solar atas bumbung berkadar 500 MW tahun lalu, ia menjana peluang pelaburan bernilai AS$1.2 bilion serta 18,000 peluang pekerjaan baharu.

“Berbekalkan hubungan diplomatik yang utuh di antara kedua-dua negara, Malaysia sudi menerima tawaran untuk meneroka kerjasama dengan AS ke arah peralihan tenaga hijau dan lebih lestari.

“Menerusi sokongan AS, Malaysia diyakini mampu mencapai segenap matlamat yang digariskan ke arah peralihan tenaga hijau dan usaha menangani kesan gas rumah yang menyumbang kepada polemik perubahan iklim,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, pula menyifatkan Malaysia sebagai rakan dagang dan pihak berkepentingan dalam usaha meningkatkan kerjasama memerangi isu pemanasan global.

Menyedari hakikat itu, beliau menzahirkan tekad untuk memberi bantuan dalam segenap aspek kepada Malaysia, termasuk membabitkan pemindahan teknologi, kepakaran, kewangan dan aset berkaitan.

“Matlamat bakal berdepan pelbagai cabaran, tetapi menerusi kerjasama dengan Malaysia, ia mampu memberi impak berkali ganda.

“Bukan sekadar memenuhi komitmen bagi menangani kesan pemanasan global, tetapi usaha meneroka kerjasama ke arah tenaga hijau berupaya menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan sosioekonomi masyarakat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Malaysia-AS teroka tenaga solar


Content Type:

Duration:

Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) terbuka untuk sebarang kerjasama dengan organisasi atau mana-mana syarikat yang mahu memacu industri plastik Malaysia ke arah ekonomi kitaran (CE).

Naib Presiden MPMA, C.C. Cheah berkata persatuan itu akan terus menyokong pihak berkepentingan industri plastik ke arah mencapai CE dan melaksanakan skim tanggungjawab pengeluar lanjutan (EPR) di Malaysia.

“Plastik adalah bahan yang berharga dan hanya melalui sistem kitaran sahaja nilai bahan ini boleh dikekalkan dalam rantaian bekalan dengan impak minimum terhadap alam sekitar.

“Plastik tidak sewajarnya berakhir di tapak pelupusan tetapi ia harus diasingkan sebagai bahan kitar semula,” katanya semasa Siri Webinar EPR Ekonomi Kitaran Malaysia Yang Dipercepatkan – Jilid 1 hari ini.

Banyak negara telah menetapkan sasaran ke atas produk kitaran, memacu reka bentuk serta inovasi produk, meningkatkan permintaan bagi bahan kitar semula dan pembangunan teknologi dalam kitar semula.

“Ini mendorong industri plastik Malaysia ke arah haluan yang sama,” tambahnya.

Sementara itu, menurut beliau lagi, Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 yang dilancarkan sebelum ini adalah cerminan kepada usaha kerajaan untuk menangani pencemaran sisa plastik, yang akan memacu pelaksanaan EPR bagi pembungkusan plastik di seluruh negara sebagai permulaan.

“Industri plastik menyokong ini sebagai skim EPR yang akan meningkatkan pemulihan dan kitar semula plastik, sekali gus memacu industri ke arah CE,” katanya.

Jumaat lepas, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang melancarkan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030, berkata rangka kerja itu, yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa, akan menjadi pedoman bagi pihak berkepentingan dalam memelihara plastik berdasarkan konsep ekonomi kitaran di seluruh rantaian nilai.

Rangka kerja tersebut merupakan antara tindakan di bawah Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna yang telah diluluskan oleh Kabinet pada 2018.

Tuan Ibrahim berkata skim EPR merupakan elemen penting dalam rangka kerja yang akan mengubah ekosistem pengurusan sisa plastik tempatan.

Di bawah skim EPR, pengilang bukan sahaja bertanggungjawab merawat dan melupuskan sisa plastik yang telah dipasarkan melalui jenama masing-masing, malah mereka juga perlu mengambil kira komponen reka bentuk serta penggunaan resin kitar semula.

Sumber: Bernama

MPMA terbuka untuk pacu industri plastik ke arah ekonomi kitaran


Content Type:

Duration:

Bina Puri Holdings Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, BP Energy Sdn Bhd (BP Energy) menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Perjanjian bertarikh 1 Disember 2021 itu membabitkan pembangunan ladang solar fotovoltaik (PV) berskala besar dengan kapasiti 5.00 MWa.c di Kampung Dasar, Kunak, Sabah.

Tempoh kontrak PPA adalah selama 21 tahun daripada tarikh operasi komersial yang dijadualkan pada 30 Jun 2023, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia pada Rabu.

Ia akan menyaksikan BP Energy mereka bentuk, membina, menguji, mentauliah, memiliki, mengendali dan menyelenggara fasiliti penjanaan tenaga solar PV itu untuk sambungan ke rangkaian pengagihan voltan sederhana SESB di PMU Kunak.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Puri, Datuk Matthew Tee Kai Woon berkata, selepas 4 tahun menerima Surat Penerimaan Tawaran bagi projek ini daripada Suruhanjaya Tenaga (ST), pihaknya amat berbesar hati kerana akhirnya telah menandatangani PPA berkenaan.

Katanya, daripada 10 syarikat yang dianugerahkan di bawah projek solar berskala besar pusingan kedua (LSS2) di Sabah, Bina Puri adalah syarikat pertama yang menandatangani PPA dengan SESB.

“Ini merupakan satu peristiwa penting bagi kumpulan kerana ia adalah projek tenaga pertama Bina Puri di Malaysia, berikutan kejayaan penyenaraian anak syarikat tenaga kami pada Jun 2017 di Bursa Saham Indonesia (IDX).

“Dengan pengumuman ini, kami berharap dapat memperoleh lebih banyak projek tenaga di Malaysia terutamanya Sabah kerana kami juga mempunyai kedudukan yang kukuh dalam sektor lain di sini seperti pembinaan dan pembangunan hartanah,” jelasnya.

Pada 5 Jun 2017, anak syarikat tenaga Bina Puri, PT Megapower Makmur (MPOW), sebuah syarikat jana kuasa elektrik bebas telah disenaraikan di IDX.

MPOW mengendalikan 4 buah loji janakuasa diesel dengan kapasiti 14.0 megawatt di 4 lokasi di seluruh Indonesia dan sebuah loji mini hidro 4.2 megawatt di Sulawesi Selatan, Indonesia.

Bina Puri adalah syarikat berkaitan bukan kerajaan (bukan GLC) pertama yang berjaya disenaraikan di IDX.

Sumber: DagangNews

Bina Puri tandatangani PPA dengan SESB bagi projek solar di Sabah


Content Type:

Duration:

Terdapat keperluan segera untuk beralih kepada ekonomi kitaran memandangkan sumber asli negara mengalami penyusutan yang cepat dan pertumbuhan semula yang perlahan selain kemerosotan kualiti.

Pengarah Bahagian Ekonomi Alam Sekitar dan Sumber Asli, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri Che Kodir Baharum berkata ekonomi kitaran menjadi pemacu perubahan dalam mempercepatkan pertumbuhan hijau, selaras dengan agenda Rancangan Malaysia Ke-12.

Beliau berkata secara lazimnya, kebanyakan sektor di Malaysia mengamalkan konsep ekonomi linear yang menggunakan sumber secara intensif dan kurang cekap, menjana sisa dalam jumlah yang tinggi, menghasilkan gas rumah kaca dan menyebabkan pencemaran.

“Ekonomi kitaran memberi penekanan kepada mengembalikan sumber ke dalam sistem ekonomi dan alam sekitar melalui inisiatif guna semula dan pencegahan sisa, seterusnya mengurangkan kehilangan sumber.

“Sumber dan nilai produk dikembalikan dalam rantaian nilai selama yang mungkin. Ini akan membantu mengurangkan penjanaan sisa,” katanya dalam ucapan perasmian sesi webinar siri pertama bertajuk ‘Malaysia Percepat Peralihan Ke Arah Ekonomi Kitaran: Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR)’ hari ini.

Che Kodir berkata peralihan kepada ekonomi kitaran akan dapat mempertingkat kecekapan dan keberkesanan kos dengan ketara, mengurangkan kebergantungan terhadap sumber asli, menjadikan ekonomi lebih inovatif dan berdaya saing dan mewujudkan peluang baharu untuk pertumbuhan hijau.

“Perniagaan, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana akan digalakkan untuk menerima pakai konsep ekonomi kitaran dalam reka bentuk, pengeluaran, logistik, penggunaan dan pengurusan sisa bagi produk dan perkhidmatan.

“Antara inisiatif yang akan dilaksanakan di bawah ekonomi kitaran ialah EPR,” katanya.

Katanya EPR merupakan pendekatan dasar di mana pihak pengeluar bertanggungjawab sama ada dalam bentuk kewangan atau fizikal untuk merawat dan melupuskan produk selepas guna yang telah dibawa masuk ke pasaran.

“Dalam hubungan ini, peraturan baharu bagi buangan peralatan elektrik dan elektronik (e-sisa) isi rumah akan diperkenalkan dan diperluas untuk meliputi lain-lain jenis dan aliran sisa terutamanya bahan pembungkusan dan plastik sekali guna.

“Peraturan berkaitan, instrumen ekonomi dan mekanisme pemantauan akan disediakan untuk membolehkan pengeluar dan peruncit melaksanakan EPR bagi jenis sisa yang lain,” katanya.

Sumber: Bernama

Negara perlu segera beralih kepada ekonomi kitaran – EPU


Content Type:

Duration:

Komarkcorp Bhd, pengeluar topeng muka terbesar di negara ini, berhasrat bagi menggandakan barisan pengeluarannya kepada 100 pada 2022.

Pakar percetakan dan pelabelan melalui anak syarikatnya, Komark Mask (M) Sdn Bhd, kini mempunyai 30 barisan pengeluaran dengan kapasiti tahunan sebanyak 360 juta keping topeng.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Roy Ho Yew Kee berkata bahagian percetakan pada masa ini mempunyai dua aliran pendapatan, dengan perniagaan pembuatan topeng muka menyumbang untuk meningkatkan perniagaan percetakan memandangkan kos percetakan telah diterjemahkan kepada pengeluaran topeng.

“Kilang baharu kami di Meru, Klang dijadual siap pada Januari tahun depan yang mana ia akan menggandakan keseluruhan barisan pengeluaran kami kepada 60 baris.

“Kami memutuskan untuk membina kilang baharu supaya kami boleh menyasarkan pasaran eksport kami ke Indonesia, Thailand dan Vietnam, yang membolehkan kami menjimatkan kos pengangkutan,” katanya semasa lawatan media di kilang pembuatannya di Balakong, Selangor hari ini.

Bangunan seluas 60,000 kaki persegi itu akan menempatkan 70 lagi barisan pengeluaran, dengan 20 daripadanya dijadualkan dipasang dan beroperasi menjelang Januari 2022.

Sementara itu, kilang sedia ada di Balakong akan diperluaskan bagi menampung sehingga 40 mesin pembentuk topeng, dengan kapasiti bulanan sebanyak 40 juta topeng muka pakai buang.

Ho juga berkata syarikat itu tidak sabar untuk melihat perniagaan topeng berkembang kerana terdapat perubahan ketara dalam permintaan pengguna yang mana mereka lebih suka topeng berjenama atau topeng berfesyen.

“Syarikat kami akan bersaing dengan pengeluar topeng yang besar dari China atas dasar kualiti, dan kami optimis jumlah hasil kami akan terus meningkat setiap suku tahun pada tahun akan datang,” katanya.

Sumber: Bernama

Komarkcorp sasar menggandakan barisan pengeluaran dengan kilang pembuatan topeng baharu


Content Type:

Duration:

Sime Darby Motors (SDM) Malaysia dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah memformalkan memorandum persefahaman untuk meneroka pelbagai inisiatif bagi mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Dalam satu kenyataan bersama semalam, kedua-dua pihak berkata inisiatif itu, antara lain, termasuk memastikan rangkaian infrastruktur pengecasan EV yang sangat cekap disediakan untuk menyokong pertumbuhan ini.

Pihak terbabit juga menyasarkan untuk melihat inisiatif yang cekap tenaga dan tenaga boleh diperbaharui yang lain bagi mengoptimumkan kos infrastruktur pengecasan EV dan untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Sime Darby Bhd Datuk Jeffri Salim Davidson berkata kumpulan itu mempunyai cita-cita EV yang jelas dan TNB memainkan peranan penting dalam memastikan matlamatnya dapat dicapai di Malaysia.

“Rakan kongsi seperti TNB memainkan peranan penting sebagai pemboleh dalam membantu kami mencapai sasaran portfolio produk yang lebih cekap tenaga menjelang 2025 dan menjadi peneraju bagi EV di Asia Pasifik,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Baharin Din berkata minat kumpulan itu untuk mempercepatkan e-mobiliti berpunca daripada cita-cita kumpulan untuk mewujudkan persekitaran EV yang kondusif yang menggalakkan kadar penggunaan EV yang lebih tinggi dalam kalangan orang ramai, justeru menyokong agenda jejak mobiliti rendah karbon untuk Malaysia.

“Sebagai pemacu utama peralihan tenaga negara, inisiatif ini juga membina usaha kami untuk menerajui pembangunan ekosistem yang kondusif bagi penggunaan EV yang lebih luas di Malaysia,” katanya.

Baharin menambah di bawah kerjasama itu, TNB akan menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan stabil kepada ekosistem pengecasan EV berdasarkan kawasan geografi terpilih yang dipersetujui bersama oleh TNB dan SDM Malaysia.

“TNB juga akan menawarkan SDM Malaysia penyelesaian yang boleh mengoptimumkan kos elektriknya dan menyokong sumber tenaga hijau dan mampan dalam mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.

Sumber: Bernama

Sime Darby, TNB bekerjasama bagi mempercepatkan penggunaan EV di Malaysia


Content Type:

Duration:

Pertumbuhan e-dagang Malaysia menduduki tempat pertama dalam kalangan negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dalam laporan terkini Deloitte bertajuk ‘Technology-empowered Digital Trade in Asia Pacific’.

Deloitte dalam satu kenyataan hari ini berkata, saiz pasaran e-dagang Malaysia berjumlah AS$6.297 bilion, mewakili 61.4 peratus daripada saiz pasaran e-dagang di China dan disenaraikan dalam kalangan pasaran membangun selepas Indonesia dan Thailand.

Penyedia perkhidmatan audit, perundingan, cukai dan nasihat itu berkata Malaysia juga mencatatkan kadar penembusan tertinggi bagi pendigitalan jualan e-dagang rentas sempadan pada 65.7 peratus.

Bagaimanapun, keseluruhan e-dagang rentas sempadan negara dihadkan oleh faktor-faktor seperti prasarana logistik rentas sempadan dan operasi teknikal yang menjejaskan pembangunannya.

“Ketika ini, penggunaan rentas sempadan hanya menyumbang 42 peratus daripada saiz pasaran ekonomi Internet di Malaysia, yang lebih rendah berbanding pasaran matang dalam kalangan anggota RCEP,” katanya.

Deloitte mengkategorikan Malaysia bersama dengan Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina sebagai pasaran membangun selepas China, Korea Selatan, Singapura dan Jepun yang merupakan antara pasaran matang.

Pasaran peringkat awal ialah Myanmar, Kemboja, Laos dan Brunei.

Deloitte percaya rantau ini bakal memasuki era emas bagi perdagangan digital dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Peningkatan berterusan prasarana digital akan menyelesaikan secara efektif dua kekangan utama yang memberi kesan kepada perdagangan rentas sempadan iaitu logistik dan pembayaran.

“Teknologi blockchain juga mewujudkan ruang baharu imiginasi bagi perdagangan digital,” katanya.

Selain itu, prasarana kritikal seperti 5G akan membantu membina platform pengedaran data dan seni bina rangkaian baharu dan memudahkan Internet of Everything (IoE).

“Pengumpulan meluas data raya ditambah dengan kecerdasan buatan (AI) juga akan memainkan peranan utama dalam membuat keputusan yang bijak,” katanya.

Peningkatan perusahaan mikro-multinasional (mMNEs) telah menjadi pemacu utama di sebalik transformasi perdagangan digital di Asia Pasifik.

mMNEs menyediakan ‘produk buatan tempatan’ yang dipelbagaikan dan perkhidmatan penyesuaian ringan bagi pembeli global selain menyumbang lebih 85 peratus daripada aktiviti e-dagang rentas sempadan Asia Pasifik.

Sementara itu, WorldFirst, perniagaan pembayaran antarabangsa utama dengan lebih 40 peratus bahagian pasaran di China, Jepun dan Korea menganggap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi di rantau ini.

“Dengan sokongan prasarana jualan dan pembayaran dalam talian rentas sempadan dan RCEP mula berkuat kuasa tahun depan, PKS di rantau ini akan dapat bertapak kukuh dalam perdagangan rentas sempadan,” kata Ketua WorldFirst di China Frankie Fan.

Sumber: Bernama

Pertumbuhan e-dagang Malaysia di kedudukan pertama dalam kalangan anggota RCEP – Deloitte


Content Type:

Duration:

Momentum hubungan dan kerjasama antara Malaysia dengan China serta Amerika Syarikat (AS) terus memperlihatkan perkembangan positif bukan sahaja dalam bidang ekonomi, malah juga bidang lain seperti pertahanan, pembuatan serta keselamatan siber.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata Malaysia sentiasa mengambil inisiatif mengimbangi hubungan baik dengan China dan AS menerusi platform hubungan dua hala dan juga pelbagai hala.

“Contohnya dalam hubungan dua hala, Menteri Luar (Datuk Saifuddin Abdullah) telah membuat lawatan rasmi ke China pada 3 dan 4 Dis baru-baru ini, manakala Setiausaha Negara AS pula akan memulakan lawatan beliau ke Malaysia pada hari esok, 15 Dis.

“Bagi platform pelbagai hala, Malaysia akan terus menggunakan pendekatan Kepusatan ASEAN bagi menjamin kemakmuran dan keselamatan rantau ini,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee mengenai bagaimana Malaysia sebagai negara anggota blok berkecuali mengemudi diplomasi antara kuasa besar global China dan AS.

Kamarudin berkata Malaysia melalui ASEAN juga telah mengambil bahagian dalam satu mesyuarat bersama yang dikenali sebagai Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri dan Pembangunan G7, dengan AS merupakan anggota G7, pada 12 Dis.

Beliau berkata adalah menjadi prinsip Malaysia untuk sentiasa mengekalkan hubungan dua hala yang baik dengan semua negara.

“Malaysia juga mengamalkan sikap berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana negara kuasa besar dunia termasuklah China dan AS dalam persaingan strategik mereka, selaras dengan prinsip asas Pergerakan Negara-negara Berkecuali atau Non-Aligned Movement,” katanya.

Sumber: Bernama

Perkembangan positif hubungan Malaysia dengan China, AS


Content Type:

Duration:

Rakyat Malaysia perlu memahami bahawa peralihan kepada rangkaian generasi kelima (5G) daripada generasi keempat (4G) teknologi rangkaian selular jalur lebar pada masa ini adalah lebih daripada hanya perubahan teknologi, ia adalah keputusan dasar yang akan mempengaruhi secepat mana negara dapat menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Negara Singapura, Taiwan, Hong Kong dan Korea Selatan dikenali sebagai “Empat Naga Asia”, dan kejayaan ekonomi mereka telah menjadi model kepada banyak negara membangun, terutamanya Malaysia.

Satu perkara yang negara-negara ini mempunyai persamaan ialah keempat-empatnya telah mempunyai rangkaian dan pengguna 5G secara langsung, menurut The Edge dalam laporannya.

Korea Selatan mencapai nilai ambang pendapatan sederhana rendah pada 1969 (tahun sama seperti Malaysia), meningkat kepada status pendapatan sederhana tinggi pada 1988 dan naik kepada status pendapatan tinggi pada 1995 dan sudah tentu akan terus meningkat dan kekal sebagai aspek penting dalam rantaian nilai global.

Mana-mana negara yang ingin kekal berdaya saing di peringkat global dan meningkatkan rantaian nilai perlu mempunyai kesalinghubungan jalur lebar berkelajuan tinggi yang dipercayai.

Dari segi perspektif, penggunaan teknologi yang lebih tinggi dan lebih baik seperti 5G boleh dibandingkan dengan pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan pada akhir 1980-an, yang mengubah jaringan pengangkutan jalan raya di negara ini apabila ia dibuka pada September 1994, ketersediaan 5G di seluruh negara dijangka menjadi perbezaan yang penting dalam Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).

Bagi Korea Selatan, negara yang mempunyai budaya fandom itu mampu mengatasi negara lain dalam melancarkan rangkaian 5G pertama pada 3 April 2019, berikutan negara itu telah menghabiskan beberapa dekad untuk meletakkan asas yang kukuh dalam pelbagai bidang, daripada kesalinghubungan fiber kepada keupayaan untuk mengeluarkan peralatan rangkaian, panel paparan kristal cecair, bateri dan telefon boleh lipat 5G yang menarik.

“Bagi Singapura, kita semua sedia maklum bahawa negara jiran ini mempunyai ekonomi yang kukuh dan tidak akan melabur kecuali aspek itu dapat memberi manfaat untuk republik itu atau rakyatnya,” katanya.

Pada Mei, Singapura telah bertindak melancarkan Rangkaian Kendiri 5G yang berupaya dari segi transmisi data secara bebas menerusi rangkaian 5G tanpa bergantung sebahagiannya kepada infrastruktur 4G sebagaimana melibatkan rangkaian bukan kendiri 5G.

Walaupun menteri perdagangan dan industri republik itu pada Ogos lepas berkata 5G tersebut dijangka meliputi separuh daripada negara itu menjelang akhir 2022 dan keseluruhannya menjelang akhir 2025, maklumat di laman sesawang Singapore Telecommunications Ltd menunjukkan liputan rangkaian 5G berkenaan telah merangkumi lebih dua pertiga kawasan Singapura.

Korea Selatan melancarkan perkhidmatan 5G untuk perniagaannya seawal Disember 2018, sekali gus menetapkan landasan bagi pembinaan serta pengujian kapal-kapal autonomi yang tidak hanya merangkumi kenderaan darat yang dijana oleh platform internet pelbagai benda (IoT), tetapi juga kelebihan pelbagai akses serta pengkomputeran awan.

Perkhidmatan kilang pintar berasaskan langganan seperti pengesanan produk cacat atau tidak menepati spesifikasi kini bukan lagi asing selain penyelesaian yang dijana oleh 5G seperti dron autonomi untuk logistik masa sebenar, udara, air, semburan racun serangga dan pelbagai pemantauan lain.

Kerajaan Korea Selatan telah bertindak memperakui peranan 5G seiring dengan kecerdasan buatan (AI) dan data sebagai pengupaya 4IR seawal 2017 apabila memperkenalkan dasar-dasar seperti strategi i-Korea 4.0 dan 5G+ selain mewujudkan satu jawatankuasa presiden bagi menyelaras pengembangan keupayaannya dalam data, rangkaian yang berhubungan secara hiper dan AI bagi mencapai kehidupan lebih baik dengan memanfaatkan teknologi itu.

“Penggunaan 5G membantu dari segi kelajuan internet yang lebih pantas, kapasiti jalur lebar lebih besar dan kekurangan penangguhan kependaman atau transmisi maklumat. Mungkin aspek ini dilihat sebagai mudah serta bersifat asas, namun ketiga-tiga elemen itu dapat mengatasi halangan bagi teknologi baharu muncul dan sedang membangun seperti IoT, pemanduan dan penghantaran secara autonomi, realiti maya dan realiti terimbuh (AR),” kata penerbitan itu.

Malah, kependaman lebih rendah dalam 5G itu dapat melonjakkan IoT ke tahap baharu yang membolehkan kewujudan mesin atau jentera dengan keupayaan untuk mengesan dan memberi tindak balas dalam hampir masa sebenar manakala liputan rangkaian yang stabil dan meluas pula bertepatan dengan hasrat syarikat yang mahu menggunakan sistem penghantaran berasaskan dron autonomi.

Secara kesimpulannya, pelaksanaan 5G bukan satu pilihan tetapi merupakan satu keutamaan negara memandangkan Malaysia perlu melakukan lonjakan teknologi yang dapat merentasi semua industri.

Atas kepentingan itu, sebarang kesilapan dalam membuat keputusan pada masa ini yang berkemungkinan menjejaskan pelaksanaan 5G, akan hanya menyebabkan kesan buruk itu perlu ditanggung oleh negara ini dan rakyatnya untuk beberapa dekad akan datang.

Sumber: Bernama

Lonjakan teknologi capai status negara berpendapatan tinggi


Content Type:

Duration:

Malaysia kini menceburi bidang pengeluaran bahan api biodiesel generasi kedua dan biojet yang dijangka dapat dikomersialkan ke pasaran global dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata kejayaan bermakna itu dicapai susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) membabitkan pertukaran teknikal dalam pengeluaran kedua-dua bahan api itu di negara ini, hari ini.

MoU yang dimeterai oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Pengerang Maritime Industries Sdn Bhd, Shanxi Construction Investment Group Co Ltd dan Institut Kimia Arang Batu Akademi Sains China itu akan disusuli dengan mewujudkan kilang minyak sayuran berhidrogen (HVO) di Pengerang, kata beliau.

Bercakap pada sidang media selepas majlis pemeteraian MoU itu di sini, hari ini, beliau berkata kilang tersebut berpotensi mengeluarkan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) atau lebih dikenali sebagai bahan api biojet yang melibatkan usaha pemecahan dan penghidrogenan minyak sawit menjadi bahan api hidrokarbon yang dapat digunakan dalam industri penerbangan.

“Pelaburan bernilai kira-kira RM3 bilion diperlukan bagi pembinaan kilang tersebut yang merangkumi pengambialihan tanah dan aspek infrastruktur. Fasa pertama kilang itu dapat menghasilkan kapasiti sebanyak 500,000 tan setahun.

“Kerjasama membabitkan kilang HVO di Malaysia itu akan terus mendorong pertumbuhan ekonomi. Saya yakin projek ini akan menyuntik lebih banyak nilai ke atas produk-produk minyak sawit Malaysia dengan memperkukuh dagangan dalam produk-produk yang mempunyai nilai tambah,” katanya.

Mengulas selanjutnya, Zuraida berkata satu kajian berkaitan bahan api biodiesel generasi kedua dan biojet yang melibatkan teknologi hijau, telah dilaksanakan sejak enam bulan lepas dan dijangka selesai dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Pada masa ini, industri terbabit diterajui oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Finland, Neste Corporation yang mengeluarkan HVO di Singapura dengan keduaduanya adalah negara bukan pengeluar minyak sawit.

“Malaysia sebaliknya merupakan negara pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia manakala China adalah antara negara yang mengimport minyak kita. Oleh itu, saya berpendapat bahawa kita juga mampu melakukan lebih baik daripada mereka (Neste) di masa-masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Luar Shanxi Wang Chongjun berkata pembinaan kilang HVO itu akan bermula sebaik kajian terbabit selesai yang akan turut menentukan jenis teknologi dan kemudahan yang diperlukan.

“Kita berhasrat menggunakan produk-produk minyak sawit Malaysia seperti minyak sawit yang telah menapis semua nutrien seperti vitamin atau minyak sisa bagi penghasilan generasi biodiesel dan biojet generasi kedua itu.

“Pengaturan rancangan pengeluaran itu pada masa ini adalah bahan api biojet atau SAF, diesel hijau dan produk-produk bahan kimia hijau berkaitan yang seiringan dengan pengeluaran tersebut,” katanya.

Menurutnya, produk-produk itu disasarkan untuk dieksport ke pasaran Eropah dan China.

Sumber: Bernama

Malaysia ceburi pengeluaran bahan api biodiesel generasi kedua, biojet


Content Type:

Duration:

Kesalinghubungan yang lancar merupakan antara tunjang utama kepada ekonomi negara dan kerajaan Malaysia berusaha melakukan segalanya bagi memastikan kemajuannya walaupun berdepan cabaran getir ketika negara berjuang memerangi penularan pandemik COVID-19. 

Pencapaian utama tahun ini dari segi kesalinghubungan adalah pembukaan semula Laluan Perjalanan Vaksin Lengkap jalan darat (VTL-Darat) antara Johor dan Singapura menerusi Tambak yang merupakan antara lintasan sempadan paling sibuk di dunia. Tambak berusia 97 tahun itu yang juga dikenali sebagai Tambak Johor, ditutup kepada 400,000 pengembara yang berulang-alik setiap hari sejak pertengahan Mac 2020 bagi membendung penularan virus COVID-19.

Inisiatif VTL-Darat itu dilancarkan secara bersama oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong di pusat pemeriksaan Woodlands pada 29 Nov, 2021.

Peringkat awal VTL-Darat hanya terhad kepada pengangkutan bas dengan tidak lebih daripada 1,500 pengembara setiap hari, manakala kaedah pengangkutan darat lain akan dilancarkan secara berperingkat dengan kuota harian pengembara akan ditingkatkan setiap minggu. 

Kedua-dua negara itu juga bersetuju memperluaskan VTL-Darat untuk merangkumi laluan perkhidmatan bas tambahan menerusi Laluan Kedua Malaysia-Singapura, kereta api di bawah kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan secara beransur-ansur membenarkan kenderaan peribadi seperti kereta dan motosikal.

Pada masa yang sama, kerajaan juga merancang untuk mengembangkan inisiatif VTL ke negara-negara jiran lain dalam usaha untuk memulihkan industri pengangkutan di negara ini.

Cadangan Pemulihan Kembali Projek HSR

Cadangan pemulihan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HRS) Kuala Lumpur-Singapura yang telah ditamatkan suatu yang mengejutkan kerana pada Mac tahun ini Malaysia mengumumkan ia telah membayar S$102.8 juta (S$1=RM3.09) kepada Singapura sebagai pampasan menamatkan projek tersebut.

Bagaimanapun, semasa lawatannya ke Singapura baru-baru ini, Ismail Sabri telah mencadang untuk menghidupkan semula perbincangan mengenai projek HSR.

Lee pula memberi respons dengan menyatakan republik itu terbuka kepada cadangan baharu dari Malaysia dan Singapura berharap dapat menerima butiran lebih terperinci dari Malaysia.

Kemajuan berhubung perkara ini sudah pastinya akan menjadi perhatian utama pada 2022.

Mengenai projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura, pembinaan projek itu sedang berjalan lancar dan kedua-dua negara menyasarkan system tersebut memulakan perkhidmatan penumpang pada akhir 2026. 

Laluan RTS adalah projek kereta api rentas sempadan sepanjang 4 kilometer yang menghubungkan terminal di Singapura di stesen Woodlands North ke terminal Malaysia di Bukit Chagar, Johor Bahru.

Ia akan menyokong kapasiti puncak sebanyak 10,000 penumpang setiap sejam di setiap hala.

ECRL Menjadi Kenyataan

Selepas banyak diperdebatkan, kerajaan Selangor bersetuju pada 2 Dis 2021 untuk menerima cadangan jajaran utara projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan meluluskan jajaran ECRL Seksyen C, yang melibatkan Seksyen C1 dari Mentakab ke Gombak dan Seksyen C2 yang meliputi Gombak -Serendah-Pelabuhan Klang.

Rangkaian rel sepanjang 665 kilometer itu,  yang merangkumi 59 terowong dengan panjang keseluruhan 61 kilometer, serta beberapa jejambat dengan panjang keseluruhan 127 kilometer, dianggarkan menelan belanja RM50.27 bilion.

Menurut Kementerian Pengangkutan pada 9 Mac, projek itu telah dipertingkatkan lagi dengan memanjangkan jajaran asal daripada  640 kilometer  kepada 665 kilometer untuk sistem jajaran rel yang lebih cekap.

ECRL dijadualkan siap pada Disember 2026, ia telah mencapai kadar kemajuan 25.09 peratus setakat Oktober tahun ini.

Ketidakpastian KVDT2

Gambaran mengenai projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) masih kekal kabur. Penamatan kontraktor Dhaya Maju-LTAT Sdn Bhd telah dibuat oleh Kabinet pada 28 Ogos dan 2 Sept tahun lepas.

Pada 26 Julai 2021, Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd telah diberikan “injunksi Erinford” untuk menghalang KTMB daripada mengambil sebarang tindakan selanjutnya terhadap pembatalan lesen syarikat pembinaan untuk menduduki tapak projek.

Injunksi Erinford ialah perintah mahkamah khusus untuk menghalang atau memaksa pihak lain melakukan tindakan spesifik  untuk mengekalkan status quo sementara menunggu keputusan rayuan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong bagaimanapun berkata, projek itu boleh disiapkan menjelang 2026, seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Wee berkata, ia boleh dicapai dengan perancangan rapi dan kerjasama semua pihak yang terlibat, termasuk majlis tempatan dan syarikat yang terlibat dalam projek itu.

Kemajuan Pan-Borneo Sabah, Sarawak

Sementara itu, kemajuan kerja untuk 12 pakej dalam pelaksanaan Fasa Satu projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah berada pada tahap 62 peratus setakat Oktober 2021, meliputi jarak 706 kilometer yang dibahagikan kepada 35 pakej kerja.

Pada 6 Nov, Perdana Menteri turut melancarkan  projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur jajaran Sandakan-Kinabatangan-Beluran-Telupid sepanjang 58 kilometer melibatkan tiga pakej kerja bernilai RM877 juta.

Kerajaan juga sedang meneliti beberapa cadangan untuk mempercepatkan pelaksanaan baki Fasa Satu Lebuhraya Pan Borneo Sabah, meliputi 19 pakej kerja.

Bagi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak pula, kerajaan persekutuan memberi jaminan bahawa pembinaan Fasa Dua Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dari Pujut ke Lawas akan diteruskan.

Pembinaan projek mega fasa kedua itu sebelum ini telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional namun dibatalkan apabila Kerajaan Persekutuan bertukar tangan selepas pilihan raya umum 2018.

Pada 4 Dis, Jajaran Seksyen Serian sepanjang 33.65 kilometer telah siap sepenuhnya, melibatkan kerja menaik taraf Jalan Persekutuan sedia ada dari Bulatan Serian ke Balai Ringin dengan kos keseluruhan RM700 juta.

Ia merupakan sebahagian daripada Pakej Kerja Tiga projek Lebuhraya Pan Borneo dari Bulatan Serian ke Simpang Pantu dengan panjang keseluruhan 75.015 kilometer. 

Sabah Akan Modenkan Perkhidmatan Rel

Sistem pengangkutan bakal mencapai satu lagi kejayaan dengan cadangan melaksanakan projek ‘’sky train’’ untuk memodenkan perkhidmatan rel Sabah, menghubungkan kawasan di Kota Kinabalu.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 11 Mac, projek itu bagaimanapun masih dalam peringkat perancangan walaupun pelabur yang berminat telah dikenal pasti dan beberapa siri perbincangan telah dijalankan.

RMK12 Sediakan Infrastruktur yang Lancar

Di bawah RMK12, kerajaan akan melaksanakan strategi untuk meningkatkan kebolehcapaian keseluruhan pengangkutan awam dan menggalakkan peralihan penggunaan daripada pengangkutan persendirian kepada pengangkutan awam.

Rangkaian rel dan jalan raya juga akan diintegrasikan untuk menyediakan kesalinghubungan yang lebih baik antara lapangan terbang, pelabuhan, kawasan perindustrian dan bandar serta pada masa yang sama, ECRL akan dihubungkan kepada sistem rel semasa.

Langkah ini bertujuan menyediakan kesalinghubungan ke lapangan terbang sedia ada selain  melengkapkan rangkaian jalan raya di wilayah pantai timur sambil meningkatkan jumlah penumpang pengangkutan awam darat, penumpang udara dan pergerakan kargo.

Sumber: Bernama

Kesalinghubungan Malaysia kembali berada di Landasan dengan pelancaran VTL, pemulihan ECRL dan HSR


Content Type:

Duration:

Kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada pemindahan teknologi, latihan dan pembinaan kapasiti bagi pelabur serta syarikat multinasional yang datang ke Malaysia selepas ia meratifikasikan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia bertujuan memastikan pelaburan yang masuk ke negara ini akan menyediakan dan mencipta nilai bagi pemain tempatan sejajar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang dilancarkan pada April lalu.

“Paling terkini adalah Porsche AG, yang memutuskan membuka kilang di Kedah. Ini adalah bidang baharu kejuruteraan, kita memperkatakan mengenai kejituan yang kita boleh manfaatkan dan boleh dipindahkan kepada tenaga kerja tempatan.

“Pembukaan kilang baharu itu akan membuka peluang baharu bagi tenaga kerja tempatan untuk belajar mengenainya,” katanya pada sidang media majlis penyerahan dan penghargaan Program Perantisan Pemindahan Teknologi (TTAP), di sini, hari ini.

NIA adalah strategi berpandangan ke hadapan bertujuan menarik pelaburan berkualiti yang dipacu inovasi, teknologi tinggi, ekonomi hijau dan inklusi rantaian bekalan domestik lebih meluas.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Azmin berkata, usaha diselaraskan sektor awam dan swasta adalah penting, justeru kerajaan komited menggalakkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan domestik serta global, meningkatkan kapasiti tenaga kerja tempatan dan volum pengeluaran tempatan serta melonjakkan eksport dan pelaburan.

“Sejajar dengan NIA kita, ia bukan hanya sekadar memenuhi permintaan pasaran domestik tetapi juga menyasarkan pasaran global sebagai pembekal kepada pasaran dunia,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, pasaran automotif berkembang dengan permintaan bagi kenderaan pintar dan bercirikan tenaga bersih terus meningkat.

“Kemudahan mobiliti itu bermakna bandar moden di serata dunia kini berdepan tekanan untuk membolehkan orang ramai mempunyai pilihan (pengangkutan) bergerak secara lebih cekap dan dalam persekitaran mampan,” katanya.

Malah, beliau berkata, seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), negara ini sudah melancarkan Dasar Kenderaan Elektrik (EV) bagi memangkin permintaan EV dan membangunkan infrastrukturnya.

“Memandangkan EV mempunyai rantaian bekalan berbeza, bahagian mekanikal yang tidak banyak dan lebih bercirikan elektronik, kita turut mengambil langkah menerajui rantaian nilai itu dengan TTAP sebagai turut menjadi pelengkap masa depan mobiliti berkenaan.

“Tindakan menggalakkan tenaga kerja baharu seperti jurutera Internet Pelbagai Benda (IoT), saintis data, juruteknik robotik dan pakar strategi rantaian bekalan digital adalah satu tindakan perlu.

“Pada masa sama, kita juga perlu memastikan bahawa idea Dasar Automotif Nasional dapat dilaksanakan dengan tepat pada tahun akan datang dalam usaha mengekalkan daya saing Malaysia di peringkat global,” katanya.

TTAP yang dibangunkan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta Persona Energy Sdn Bhd, adalah program pemindahan teknologi unik bagi melahirkan barisan tenaga kerja automotif, kepakaran dan teknologi rantaian nilai tempatan menerusi program perintis membabitkan jurutera tempatan terpilih bagi meraih pengetahuan kejuruteraan penting dalam teknologi perlumbaan di Kejuaraan Kereta Lasak Dunia Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Pada Jun lalu, empat jurutera perintis TTAP iaitu Muhammad Amzar Danish Chairil, Anderson Kent Robert, Luqman Othman dan Muhammad Taufiq Mohd Zin, menjadi sebahagian daripada pasukan JOTA di acara terbabit.

Sepanjang program itu, perintis berkenaan dianggap sebahagian daripada pasukan dan diberi tanggung jawab kejuruteraan masa nyata berkaitan segmen tertentu pembangunan kenderaan bagi setiap perlumbaan.

Ini termasuk pengumpulan dan analisis prestasi komponen kereta lumba, reka bentuk dan susun atur keperluan serta kelengkapan bengkel ketika perlumbaan, baik pulih serta penyelenggaraan kereta lumba dan aktiviti kejuruteraan diperlukan bagi tempoh pembangunan serta pada hari perlumbaan.

Sumber: Bernama

Tumpu pindahan teknologi, latihan selepas ratifikasi perjanjian perdagangan


Content Type:

Duration:

Prestasi sektor automotif yang lesu hampir sepanjang tahun ini ekoran ketidaktentuan pasaran yang disebabkan oleh risiko COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akhirnya mula rancak kembali pada suku akhir 2021.

Kilang kereta dan pengeluar peralatan tulen (OEM) meningkatkan pengeluaran dan serahan kenderaaan bagi memenuhi pesanan tertunggak dan pesanan baharu apabila bilik pameran menyambung kembali operasi perniagaan selepas sekatan pergerakan penuh seluruh negara ditarik balik pada Ogos.

Bulan penuh pertama keadaan pasaran yang pulih kembali selepas PKP adalah bulan yang produktif bagi pengeluar kereta nasional dan juga beberapa OEM apabila ekosistem automotif tempatan dan juga eksport mula meraih momentum.

Serahan kenderaan  Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd  (Perodua) meningkat sebanyak  102 peratus bulan ke bulan kepada  14,160 unit pada  September daripada 6,988 unit pada Ogos apabila situasi bekalan semakin bertambah baik secara beransur-ansur, manakala Proton Holdings Bhd (Proton) mencatatkan jualan 10,380 unit kenderaan bagi mengekalkan kedudukannya di tempat kedua dalam kategori jualan automotif kereta nasional. 

Prestasi Baik Dicatatkan Pengeluar Kereta Nasional

Perodua memecah rekod jualan bulanan baharu dan pengeluarannya sendiri dengan  pendaftaran  sebanyak 27,858 kenderaan pada Oktober manakala Proton sebanyak 13,362 unit.

Bulan jualan tertinggi dalam sejarah Perodua itu disokong oleh peningkatan pengeluaran dan serahan pantas kenderaan kepada pelanggan apabila pengeluar kereta itu menyasar sebanyak mungkin serahan kenderaan pada suku keempat 2021.

UMW Toyota Motor yang berada di kedudukan ketiga dalam kategori jualan automotif Malaysia juga mencatatkan pemulihan jualan susulan kelonggaran sekatan PKP penuh dengan jualan sebanyak 8,500 unit kenderaan pada Oktober, peningkatan 5.8 peratus daripada 8,033 unit yang dijual pada September.

Berdasarkan kepada pecahan jualan kenderaan baharu mengikut data jenama sehingga Oktober 2021 oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan CGS-CIMB Research, Perodua menerajui senarai tersebut dengan 38.4 peratus bahagian pasaran diikuti Proton (22 peratus), Toyota (14.1 peratus), Honda (9.8 peratus), Nissan (2.4 peratus), Mazda (2.1 peratus), Isuzu (1.9 peratus) dan BMW (1.2 peratus).

Pada November, Perodua mencatatkan 20,299 jualan (-27.1 peratus bulan ke bulan) berikutan gangguan daripada kes COVID-19 dan kekurangan cip semikonduktor yang dilaporkan menjejaskan pengeluarannya.

Pengeluar kereta kompak itu, bagaimanapun, menyasarkan pendaftaran bulanan tertinggi dalam sejarah bagi bulan Disember dengan sekurang-kurangnya 30,000 unit pendaftaran berikutan ia menyasarkan untuk mengakhiri tahun ini dengan lebih 200,000 unit terjual.

Menangani Cabaran Yang Menyelubungi Industri

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata: “Kami sedang bekerjasama dengan ekosistem automotif untuk mengatasi isu seperti peningkatan kes COVID-19 dan kekurangan bekalan cip semikonduktor. Dengan tindakan balas ini dilaksanakan, kami menjangka Disember 2021 sebagai bulan terbaik kami.”

Sementara itu, jualan keseluruhan Proton sebanyak 14,187 unit (domestik dan eksport) pada November meningkatkan jumlah untuk tempoh awal tahun kewangan hingga setakat ini kepada 100,566 unit, meningkatkan jangkaan syarikat akan dapat mengakhiri tahun ini dengan pertumbuhan jualan yang positif.

“Melepasi nilai ambang 100,000 unit dengan baki tempoh kira-kira sebulan lagi merupakan pengalaman terbaik kami selepas satu tahun lagi terganggu oleh COVID19. Kami berasa rendah diri dengan pencapaian ini dan kini yakin dapat mengakhiri tahun ini dengan jumlah jualan yang meningkat,” menurut CEO Proton Edar Sdn Bhd Roslan Abdullah yang dilaporkan berkata demikian baru-baru ini.

Secara keseluruhannya, 2021 merupakan tahun yang mencabar bagi sektor automotif, bukan sahaja untuk pengeluar tetapi juga pengguna.

Hampir sepanjang tahun ini, jumlah kenderaan berkurangan di jalan raya dan lebuh raya berikutan had perjalanan, sekatan kapasiti yang ditetapkan dan keadaan yang lebih ketat untuk perjalanan rentas negeri selain daripada kecemasan manakala perniagaan terhenti selama beberapa bulan pada pusingan pertama tempoh PKP, pelaksanaan semula PKP dan sekatan pergerakan di seluruh negara berikutan peningkatan kes COVID-19.

Pelancaran Baharu Terjejas Akibat Pandemik

Walaupun permintaan pengguna bertambah baik di samping kelonggaran sekatan COVID pada suku ketiga, pengeluar berdepan dengan cabaran gangguan berkaitan pandemik dan isu rantaian bekalan, ditambah dengan kekurangan cip semikonduktor yang merupakan fenomena global yang menjejaskan pelbagai sektor, turut menjejaskan pengeluaran dan jualan.

Tahun 2021 turut menyaksikan pelancaran baharu yang terhad dan model yang dinaik taraf.

Antara acara penting pada 2021 adalah pelancaran Perodua Ativa, Hyundai Staria, Hyundai Kona Electric, Toyota Corolla Cross, BMW iX, Volkswagen Arteon berwajah baharu, Proton Pesona dan Iriz berwajah baharu, Perodua Myvi berwajah baharu, dan model Honda City Hatchback serba baharu.

Pada tahun depan, kerajaan melalui Bajet 2022 melanjutkan pengecualian Cukai Perkhidmatan dan Jualan (SST) sedia ada untuk kenderaan baharu di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (PENJANA) sehingga 30 Jun 2022.

Skim PENJANA menawarkan 100 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) pemasangan tempatan (CKD), serta 50 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang, SUV dan MPV yang dipasang sepenuhnya (CBU).

Bank Negara Malaysia menerusi mesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk tahun ini pada 3 Nov lepas, mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus selepas mempertimbang prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia di tengah-tengah kebimbangan mengenai pandemik COVID-19 yang berlarutan.

Jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi sektor automotif Malaysia kira-kira 500,000 unit setahun dijangka meningkat tahun depan dengan persekitaran kadar faedah rendah, serta pelepasan cukai PENJANA dan dasar kerajaan yang menggalakkan bagi memulihkan permintaan domestik.

Menggalak Pembelian Kenderaan Elektrik Untuk Capai Objektif Karbon Rendah

Kerajaan menerusi Bajet 2022 menyasarkan sektor kenderaan elektrik (EV) menerima pengecualian sepenuhnya duti import, duti eksais dan cukai jualan bermula tahun depan.

Pengecualian cukai jalan 100 peratus akan diberikan kepada pembeli EV serta pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas kos pembelian dan pemasangan, sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran langganan kemudahan pengecasan EV.

Insentif itu merangkumi 100 peratus pengecualian duti ke atas EV CBU sehingga 31 Dis 2023 dan 100 peratus pengecualian duti ke atas EV CKD sehingga 31 Dis 2025.

Kesemua ini, sejajar dengan aspirasi negara untuk matlamat mobiliti rendah karbon dan agenda mobiliti hijau seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke12 (RMK12), dijangka memangkin permintaan dan merangsang peralihan industri terhadap segmen EV serta mempercepatkan perjalanan Malaysia untuk menjadi negara bebas karbon menjelang 2050.

Sumber: Bernama

Sektor automotif kembali rancak menuju penghujung tahun


Content Type:

Duration:

Agenda hijau seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menjadi petanda positif bagi industri tenaga Malaysia yang bergerak seiring dengan peralihan global ke arah amalan bersih dan lestari.

AmBank Research, menerusi laporan penyelidikannya pada September, menjelaskan dasar-dasar akan diperkemas untuk peralihan tersebut dan ia akan merangkumi langkah mengutamakan petrol dan diesel yang dihasilkan secara tempatan, meningkatkan penggunaan bahan api bio serta merangka pelan hala tuju gas asli.

Ia turut meliputi usaha menggalakkan pelaburan bernilai tinggi dalam industri petrokimia serta mempertingkatkan kerjasama dan perkongsian strategik dalam kalangan operator minyak dan gas bersaiz kecil dan sederhana untuk melaksanakan projek sukar.

“Kami berpendapat, semua dasar ini menyokong unjuran positif kami terhadap sektor ini memandangkan aktiviti cari gali dan pembangunan oleh syarikat minyak antarabangsa pada masa ini adalah rendah.

“Ini dijangka membawa kepada kekurangan bekalan global bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, kecuali perbelanjaan modal meningkat secara ketara dalam dua hingga tiga tahun akan datang,” tambahnya.

Selain itu, pemintaan kian meningkat terhadap gas asli, yang merupakan bahan api peralihan, dan petrokimia  sejajar dengan pemulihan ekonom global pascapandemik dan pertambahan populasi akan terus menyokong momentum pendapatan bagi sektor ini.

PELAN HIJAU PERTAMA MALAYSIA

Penolong Profesor Perniagaan dan Masyarakat, Asia School of Business,  Dr Renato Lima de Oliveira berkata RMK12 merupakan perancangan ‘hijau’ pertama Malaysia, sedikit sebanyak disebabkan jurang setahun daripada tempoh asal yang ia sepatutnya dibentangkan pada Ogos 2020.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata agenda pertumbuhan hijau kini lebih kukuh dan perancangan baharu lima tahun itu memanfaatkan sentimen berkenaan.

“Pada masa sama, Kesatuan Eropah telah merancakkan strategi pengurangan karbon, membuat pendiriannya dengan cukai karbon diselaraskan sempadan bagi masa depan; dana alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) semakin bertambah besar; di samping beberapa syarikat telah mengumumkan sasaran sifar bersih menjelang 2050, termasuk Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pada November tahun lepas.

“Aset jangka panjang berintensifkan karbon seperti loji jana kuasa arang batu baharu adalah liabiliti dalam dunia masa kini. Ia sepatutnya dielakkan, bukan sahaja dari sudut pendirian alam sekitar malah ia semakin hilang daya saing. Jadi, penyesuaian keutamaan ini sewajarnya disambut dengan amat baik,” katanya.

Berdasarkan rangkanya, RMK12 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan diluluskan Parlimen pada 7  Okt lepas, adalah satu kenyataan berani dengan mitigasi perubahan iklim diberikan penekanan ketara.

Malaysia menyasar untuk mencatatkan neutral karbon pada 2050 paling awal dan membaik pulih sektor tenaga, pengangkutan serta penggunaan tanah.

CUKAI KARBON

Mengikut RMK12, kerajaan mengumumkan bahawa instrumen harga karbon akan diperkenalkan dalam bentuk cukai karbon dan Skim Perdagangan Karbon Peringkat Domestik (DETS).

Kemudahan ini pada dasarnya akan menetapkan nilai atau harga ke atas pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang akan dibayar oleh pihak yang bertanggungjawab dan secara berkesan mendorong perniagaan untuk mengurangkan pelepasan agar kekal berdaya saing serta lestari.

Perincian langkah-langkah lain bagi pengurangan karbon akan diumumkan sebaik sahaja kajian strategi pembangunan jangka panjang karbon rendah dimuktamadkan menjelang hujung 2022.

de Oliveira berkata cukai karbon secara teknikal merupakan penyelesaian terbaik untuk menggalakkan pelaburan intensif pengurangan karbon.

“Bagaimanapun, ia terbukti agak sukar dilaksanakan dari sudut politik, sebaliknya, kerajaan sering menggunakan kaedah lain untuk menggalakkan sumber tenaga yang boleh diperbaharu seperti pelepasan cukai dan lelongan solar berskala besar atau penalti ke atas pengeluaran karbon berlebihan melalui peraturan pelepasan langsung,” katanya.

Bagi membolehkan cukai karbon berjaya, penting bagi mengumpul sokongan politik yang diperlukan untuk pelaksanaannya.

de Oliveira menegaskan bahawa harga karbon yang sangat tinggi akan mewujudkan tindak balas politik pada mulanya, manakala harga yang sangat rendah tidak akan memberi kesan.

“Ia juga mungkin penting untuk menjadikan pendapatan ini neutral. RMK12 mengumumkan kajian kebolehlaksanaan mengenai harga karbon tetapi ia belum menjadi komitmen yang kukuh,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Profesor Madya Putra Business School, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata pengenalan cukai karbon boleh dipertimbangkan untuk menyokong 17 Matlamat Pembangunan Lestari yang diperjuangkan oleh kerajaan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Sudah tentu, pengenalan cukai sedemikian hanya boleh dilakukan dengan wacana yang betul antara pihak berkepentingan yang berkaitan dengan kesedaran dan kempen mengenainya mesti dilaksanakan,” katanya.

PEMBUATAN KENDERAAN ELEKRTIK 

Berdasarkan RMK12, kerajaan juga akan memberi keutamaan kepada pembangunan industri pembuatan kenderaan cekap tenaga (EEV) untuk menyokong inisiatif mobiliti mesra alam.

Kerajaan sedang mengkaji pakej insentif bagi menggalakkan pemilikan kenderaan elektrik (EV) dalam kalangan rakyat Malaysia, yang melibatkan pengecualian cukai jalan serta insentif melalui pulangan cukai pendapatan dan pelepasan cukai pendapatan untuk pemasangan kemudahan EV.

de Oliveira berkata  pembangunan industri pembuatan EEV mungkin diterjemahkan kepada kereta mesra alam yang lebih murah daripada segi skala dan kesan rangkaian.

“Sekiranya lebih banyak kenderaan elektrik dihasilkan di Malaysia, kos unit mungkin akan turun. Ini juga akan mewujudkan insentif untuk melabur dalam infrastruktur sokongan seperti pengecas EV.

“Apabila ada lebih banyak stesen pengecas di seluruh negara, pemandu tidak perlu risau mengenai masalah jarak perjalanan atau risiko kehabisan bateri apabila membuat perjalanan lebih lama. Sekali gus, kesemua ini membantu meletakkan industri EV dalam kitaran yang baik,” katanya.

Sumber: Bernama

Agenda hijau petanda baik bagi industri tenaga Malaysia


Content Type:

Duration:

KUCHING, 10 Dis — Kerajaan negeri Sarawak telah mengenal pasti kawasan baharu di Samarahan untuk mengembangkan Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya berikutan taman teknologi tinggi itu hampir mencapai kapasiti penuh.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pengembangan itu adalah seiring dengan matlamat kerajaan negeri untuk memperhebat usaha bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI).

Beliau berkata Sarawak sentiasa berada pada kedudukan empat destinasi pelaburan terbaik di Malaysia dalam sektor pembuatan sejak beberapa tahun lepas dan masih berupaya menarik RM15.7 bilion pelaburan pada 2020 meskipun dalam keadaan pandemik COVID-19 yang berlanjutan.

“Sarawak mempunyai jisim bumi yang luas dan banyak sumber asli, oleh itu, kita perlu lebih banyak FDI untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi demi kebaikan rakyat.

“Kita perlu terus mencipta peluang perniagaan baharu untuk komuniti perniagaan kita dalam sektor teknologi tinggi dan akan terus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada golongan siswazah dan lepasan sekolah,” katanya semasa lawatan kerja ke projek pelaburan baharu Taiyo Yuden (Sarawak) Sdn Bhd di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya.

Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif  Taiyo Yuden, Yoshio Akimoto.

Awang Tengah berkata zon perindustrian itu menawarkan pekerjaan kepada lebih 13,700 individu dengan 98 peratus daripada tenaga kerja merupakan rakyat Sarawak dan hampir 10 peratus daripadanya adalah jurutera.

Beliau berkata gaji tahunan yang dibayar untuk pekerja di Sama Jaya pada 2020 berjumlah RM598 juta.

“Ia selanjutnya menjana RM667 juta limpahan kepada ekonomi tempatan kita secara tahunan, memanfaatkan Perusahaan Kecil dan Sederhana daripada logistik kepada pergudangan, bekalan dan perkhidmatan mesin, penyelenggaraan, katering dan dobi,” katanya.

Awang Tengah berkata Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya telah melakukan yang terbaik meskipun ketika pandemik COVID-19 yang menyebabkan kelembapan ekonomi, selain menjejaskan pertumbuhan ekonomi di banyak negara.

Syarikat multinasional di Sama Jaya telah mengeksport barangan bernilai RM6.93 bilion pada 2020, peningkatan 27.5 peratus daripada RM5.43 bilion pada 2019 dan beberapa produk daripada Sama Jaya terdapat dalam jenama global seperti Apple, Samsung dan BMW.

Sementara itu, Yoshio berkata syarikat itu telah melabur RM700 juta dalam Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya untuk membina kilang baharu bagi memenuhi pertambahan permintaan pada masa depan.

Beliau berkata kilang baharu itu akan mula beroperasi pada 2023 dan menawarkan peluang pekerjaan kepada 2,000 orang.

Sumber: Bernama

Sarawak kenal pasti kawasan di Samarahan untuk kembangkan Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya


Content Type:

Duration:

Perak merekodkan prestasi pelaburan yang memberangsangkan, iaitu sebanyak RM5.2 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peningkatan itu sebanyak 126 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, meskipun berdepan suasana ekonomi yang begitu mencabar.

“Kerajaan negeri akan terus meningkatkan keyakinan pelabur untuk menjadikan Perak sebagai destinasi tumpuan pelaburan.

“InvestPerak yang berperanan sebagai Centre of Investment akan melaksanakan pelbagai aktiviti promosi dan insentif penggalakan pelaburan serta memudah cara urusan kemasukan pelaburan,” katanya.

Saarani berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2022 di Dewan Negeri Perak di sini, pada Jumaat.

Katanya, antara program yang akan dilaksanakan adalah Pendigitalan No Objection Letter (E-NOL) dan tawaran insentif Silver Valley Pre-Package bagi projek berimpak tinggi.

Selain menepati kriteria serta Program Pemantauan Pelaksanaan Projek Pelaburan di Negeri Perak, iaitu PACU@Perak.

“‘Silver Valley Pre-Package Incentives’ menyediakan tiga pakej tawaran yang berbeza mengikut nilai pelaburan.

“Antara insentif yang ditawarkan adalah diskaun premium tanah sehingga 30 peratus, remisyen cukai tanah sehingga 15 peratus bagi tempoh tiga tahun selepas ‘production date’, ‘pre-consultation’ serta pemprosesan Kebenaran Merancang secara ‘fast track’ dalam tempoh 21 hari tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.

Saarani berkata, InvestPerak akan membelanjakan RM4.5 juta yang terdiri daripada peruntukan kerajaan negeri iaitu RM1.5 juta dan dana dalaman RM3 juta.

“Kerajaan Negeri amat berbesar hati menerima peruntukan sebanyak RM10 juta pada tahun 2021 yang telah disalurkan melalui MIDA bagi menaik taraf kawasan perindustrian Bemban dan kawasan perindustrian Kampung Acheh, masing-masing RM5 juta,” katanya.

Sumber: Astro Awani

Perak catat prestasi pelaburan RM 5.2 bilion


Content Type:

Duration:

UOB Malaysia melancarkan U-Energy, platform pembiayaan bersepadu yang pertama di Asia, bagi memacu pembangunan dan penggunaan projek kecekapan tenaga untuk bangunan dan kediaman di negara ini.

Berikutan pelancaran U-Energy yang pertama di Singapura, UOB akan membantu perniagaan dan pemilik rumah di Malaysia untuk menjimatkan bil elektrik, mengurangkan pelepasan karbon dan juga mencapai matlamat kemampanan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan pemain industri strategik untuk mewujudkan ekosistem rakan kongsi dan penyelesaian yang memudahkan usaha kemampanan bagi pelanggannya.

Katanya, bagi perniagaan dan pemilik rumah, melaksanakan projek kecekapan tenaga di premis mereka mungkin mengambil banyak masa, pelaburan dan juga sumber.

“Penyelesaian hujung ke hujung yang disediakan oleh U-Energy akan memudahkan pelanggan kami mengakses perkhidmatan, daripada perundingan projek dan pembiayaan, kepada pelaksanaan, untuk menjimatkan kos tenaga dan mengurangkan jejak karbon.

“Ia juga menunjukkan peranan UOB sebagai pemangkin dan pemboleh dalam membentuk tingkah laku dan tindakan ke arah menempa masa depan yang mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di Malaysia, platform U-Energy menampilkan 10 syarikat perkhidmatan tenaga (ESCO), yang boleh digunakan oleh pelanggan untuk projek kecekapan tenaga.

ESCO memainkan peranan penting dalam ekosistem dengan menyediakan teknologi dan perkhidmatan seperti perundingan projek, pengauditan tenaga reka bentuk yang mampan dan cekap dari segi kos, serta pelaksanaan dan pengurusan pengubahsuaian bangunan secara menyeluruh.

Secara purata, ESCO dalam platform U-Energy akan membantu pelanggan mengurangkan penggunaan tenaga sekurang-kurangnya sebanyak 20%.

U-Energy turut disokong agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Malaysian Green Technology Corporation.

Pemilik bangunan komersial dan perindustrian boleh memilih untuk terus membeli peralatan atau sistem cekap tenaga dengan pembiayaan hijau daripada UOB Malaysia.

Di bawah skim ini, pemilik bangunan boleh mendapat pinjaman sehingga RM25 juta dengan kemudahan pinjaman selama tempoh maksimum 7 tahun, tertakluk kepada sistem yang optimum dan saiz peralatan oleh rakan kongsi U-Energy.

Untuk membolehkan ia lebih cepat dipasarkan, permohonan pinjaman daripada pemilik bangunan yang merupakan pelanggan UOB Malaysia sedia ada akan menerima kelulusan yang pantas.

Sebagai alternatif, pemilik bangunan boleh menggunakan model ‘tenaga sebagai perkhidmatan’ yang mana UOB Malaysia akan memberi pinjaman hijau kepada rakan kongsi U-Energy tanpa kos pendahuluan kepada pemilik bangunan.

Bagi pemilik rumah, UOB Malaysia menawarkan pelan ansuran faedah sifar peratus sehingga 3 tahun apabila kad kredit UOB digunakan sebagai kaedah pembayaran untuk projek pengubahsuaian kecekapan tenaga.

Sumber: DagangNews

UOB Malaysia lancar U-Energy, platform pembiayaan bersepadu pertama di Asia


Content Type:

Duration:

KUALA LUMPUR 9 Dis – Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) menerima kunjungan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di tapak pembinaan baharu di Techpark @ Bandar Enstek.

Dalam satu kenyataan DLMI berkata, ia merupakan tapak pembinaan untuk hab pengilangan tenusu halal bertaraf dunia bernilai RM400 juta itu dan kerja-kerja pembinaannya baru dimulakan.

Pengarah Urusan DLMI, Ramjeet Kaur Virik berkata, projek tersebut dibiayai sendiri daripada sumber dalaman termasuk penjualan tanah kilang sedia ada DLMI di Petaling Jaya baru-baru ini dengan harga RM200 juta.

“Hasil jualan tersebut secara keseluruhannya akan digunakan untuk pembinaan hab baharu manakala operasi di kilang Petaling Jaya akan diteruskan sehingga hab pengilangan tenusu halal baharu di Bandar Enstek itu dijangka mula beroperasi pada penghujung tahun 2023,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya lagi, sebuah Pusat Penternakan Tenusu tercanggih, yang akan berfungsi sebagai pusat pembelajaran sehenti untuk para penternak tenusu tempatan juga akan ditubuhkan di hab baharu ini.

Dalam pada itu Ramjeet turut mengalu-alukan kehadiran Datuk Seri Aminuddin melawat tapak baharu DLIM.

“Kami berterima kasih di atas bimbingan dan sokongan yang diberikan oleh pihak Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan visi kami untuk membina hab halal pengilangan bertaraf dunia untuk negara.

“Usaha ini adalah manifestasi Kerjasama Bistari Awam-Swasta Malaysia untuk membangunkan negara secara berterusan di samping memartabatkan Agenda Jaminan Makanan,” katanya.

Sementara itu Datuk Seri Aminuddin berkata, bagi pihak kerajaan negeri, beliau mengucapkan tahniah kepada DLMI atas keyakinan dan sokongannya terhadap Negeri Sembilan dengan membina hab pembuatan tenusu halal baharu bertaraf dunia di negeri itu “Dengan keupayaan dan kecanggihan teknologi bersepadunya, DLMI pada asasnya membina Kilang Pintar dengan piawaian Industri 4.0 dan ini akan mewujudkan pelbagai peluang masa hadapan yang boleh memberi manfaat kepada negeri dan negara kita,” katanya.

Sumber: DagangNews

Hab baharu Dutch Lady Milk terima kunjungan Menteri Besar Negeri Sembilan


Content Type:

Duration:

Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah meluluskan sebanyak RM109.1 bilion dalam tempoh 100 pentadbiran bagi meningkatkan pelaburan asing dalam sektor pembuatan, dengan unjuran 25,000 peluang pekerjaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata MITI telah berjaya meningkatkan pelaburan asing dalam sektor tersebut dengan memacukan pertumbuhan ekonomi melalui program galakan pelaburan yang strategik.

Selain itu, katanya, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi juga telah meningkatkan eksport sektor agrokomoditi dengan nilai eksport RM147.2 bilion yang meningkatkan sumbangan kepada pendapatan rakyat dan negara.

“Atas kesedaran bahawa syarikat dan pengusaha adalah enjin pemulihan ekonomi, Kementerian Kewangan juga melalui inisiatif bayaran untuk Program Subsidi Upah telah menyalurkan sebanyak RM3.3 bilion bagi membantu aliran tunai peniaga kecil dan perusahaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya semasa majlis perasmian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, inisiatif ini telah memberikan manfaat kepada 189,000 majikan dan 1.9 juta pekerja.

Menurutnya, inisiatif-inisatif yang diperkenalkan kerajaan ini merupakan  kejayaan  Aspirasi Keluarga Malaysia melalui  Teras Satu iaitu  Menstukturkan Semula Ekonomi.

Beliau  berkata, kerajaan telah mengariskan enam teras utama dalam pencapaian 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia iaitu menstrukturkan ekonomi, menjamin keselamatan dan ketenteraman negara, meningkatkan kesejahteraan sosial, mempertingkat infrastruktur menyeluruh, memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia dan memperkasakan penyampaian perkhidmatan. 

Selain itu, katanya,  kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)  melalui kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah membolehkan pembukaan penuh sektor ekonomi.

“Ini menjadi ramuan asas kepada proses kebangkitan ekonomi makro dan rakyat, sekali gus menyemai benih pemulihan yang kukuh apabila negara memasuki suku keempat 2021,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, Malaysia mencatatkan peningkatan keluaran dalam negara kasar sebanyak 3.0 peratus bagi tempoh sembilan bulan pertama 2021, berbanding penguncupan 6.4 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Angka mutakhir kadar pengangguran sudah berkurangan kepada 4.3 peratus pada Oktober 2021, berbanding kemuncak 5.3 peratus pada Mei 2020.

“Angka terbaru ini juga lebih rendah dari dua bulan sebelumnya,  menunjukkan bahawa 100 hari  pertama membawa keberhasilan hakiki dalam aspek peluang pekerjaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata  trend penurunan kadar pengangguran yang menggalakkan ini juga turut disertai lonjakan 24.7 peratus  eksport dan peningkatan 11.6 peratus dalam nilai jualan sektor pembuatan pada bulan yang sama.

Katanya, Malaysia mencatatkan perkembangan pelaburan langsung asing bersih (FDI) yang positif sebanyak RM12.8 bilion pada suku ketiga 2021 berbanding RM8.2 bilion pada suku kedua, iaitu peningkatan 56 peratus.

“Ini menjadikan jumlah FDI bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini kepada lebih RM30 bilion iaitu peningkatan sebanyak 300 peratus berbanding tempoh yang sama bagi tahun 2020. Angka ini masih dapat dicapai di sebalik penutupan sempadan akibat pandemik,” katanya.

Selain itu, katanya, pelbagai program dirangka untuk memastikan Keluarga Malaysia dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan selesa dan  bukan hanya golongan pekerja yang diperjuangkan, tetapi juga golongan usahawan.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah berjaya melahirkan 3,667 usahawan baharu yang terdiri daripada belia, graduan dan warga yang hilang pekerjaan akibat pandemik,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga telah menyalurkan geran sebanyak RM40.48 juta kepada PKS, industri kreatif digital dan syarikat industri digital.

“Ini bertujuan memacu penerimagunaan digital, pengkomersialan teknologi dan harta intelek, sekali gus memperkasa daya saing,” katanya.

Di samping itu, katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui kerjasama dengan Agro Bank telah menyalurkan pembiayaan bernilai lebih RM80 juta kepada 4,217 penerima, serta menyasarkan peruntukan keseluruhan bernilai RM110 juta hingga tahun 2022.

Sumber: Bernama

Kerajaan lulus RM109.1 bilion untuk tingkat pelaburan asing dalam tempoh 100 hari pentadbiran – PM


Content Type:

Duration:

Pengeluar cip terbesar dunia, Intel Corporation, melalui anak syarikatnya, Intel Malaysia Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk meningkatkan pembangunan bakat dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) negara.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), berkata skop MoU itu akan merangkumi pembangunan modal insan untuk tenaga kerja masa hadapan, kerjasama penyelidikan dan pembangunan, pengembangan sumber tempatan, memacu penggunaan Industri 4.0 oleh pemain ekosistem E&E serta pelaksanaan Program Kesediaan Digital Intel.

“MoU ini adalah rangka kerja bagi memudahkan penyemaian ekosistem bakat teknologi yang akan berkembang maju dan akhirnya menyediakan tenaga kerja Malaysia untuk dunia digital serta kecerdasan buatan yang semakin meningkat,” kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.

MIDA adalah agensi di bawah kementerian itu.

MITI berkata, kerjasama strategik itu akan meneroka pembangunan program penyelidikan dan pembangunan bakat jangka panjang antara Intel serta institusi pengajian tinggi Malaysia yang terpilih dalam membina kumpulan bakat yang mampan dan berdaya saing.

“MoU ini juga bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui kerjasama akademik dan industri yang lebih besar dengan menyediakan graduan bagi memenuhi keperluan industri,” katanya.

Sebagai tanda kepada kerjasama terjalin itu, Intel dan MIDA akan terus berganding bahu dalam penyelidikan teknologi termasuk pembangunan terkini bagi menyokong pembangunan ekosistem E&E di Malaysia.

MITI berkata, penggunaan Industri 4.0 dalam bidang pembuatan pintar juga ditekankan dalam MoU selain daripada meningkatkan aktiviti pendigitalan melalui pelaksanaan Program Kesediaan Digital Intel bagi menyokong Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

“Selaras dengan aspirasi kerajaan Malaysia untuk mempersiapkan negara dan belia memasuki masa hadapan, kerjasama ini adalah tepat pada masanya dalam menyokong Rancangan Malaysia ke-12 untuk memajukan ekonomi digital dan memanfaatkan teknologi baru muncul.

“Perkongsian ini juga akan mengukuhkan lagi matlamat negara dalam menghidupkan semula agenda nasional bagi meningkatkan daya saing jangka panjang Malaysia seperti yang dirumuskan dalam Aspirasi Pelaburan Negara,” katanya.

MITI berkata, kerajaan akan meneruskan usaha untuk menggalakkan lebih banyak perkongsian awam-swasta yang menyediakan penyelesaian ketara dalam memenuhi keperluan industri, sambil meningkatkan kesan ekonomi melalui pemindahan teknologi serta kandungan pengetahuan, petunjuk eksport baharu dan kesan limpahan di seluruh industri.

Sumber: Bernama

Intel, MIDA meterai kerjasama tingkat pembangunan bakat


Content Type:

Duration:

Kerajaan Negeri Perlis menawarkan enam insentif kepada pelabur termasuk berkaitan tanah dan cukai dalam usaha menarik minat mereka untuk melabur di negeri itu.

Malah, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata berdasarkan maklumat pihak Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Perlis juga merupakan negeri yang menawarkan insentif paling menarik kepada pelabur berbanding Pulau Pinang, Perak dan Kedah.

Menurutnya, kesemua insentif itu adalah di bawah Pakej Insentif Rangsangan Pelaburan Pasca COVID-19 yang diluluskan oleh kerajaan negeri berkuat kuasa mulai 1 Februari lepas hingga 31 Dissember tahun depan.

Katanya, insentif pertama melibatkan pengurangan premium tanah pada kadar antara 10-30 peratus, insentif kedua bayaran cukai tanah secara berjadual manakala insentif ketiga berkaitan pengecualian bayaran caj perkhidmatan sebanyak RM1,000.

“Selain itu, insentif keempat dari segi tempoh keputusan dasar kerajaan negeri dalam masa dua minggu dari tarikh pembentangan dalam Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Negeri Perlis dan insentif seterusnya berkaitan pengurangan cukai taksiran sebanyak 10 peratus untuk sektor pergudangan dan pembuatan dalam tempoh dua tahun bagi pelabur baharu.

“Insentif keenam membabitkan pengurangan bayaran lesen bagi sektor pergudangan dan pembuatan dalam tempoh dua tahun untuk pelabur baru,” katanya.

Beliau menjawab soalan Gan Ay Ling (PH-Indera Kayangan) mengenai pakej atau insentif ditawarkan kerajaan negeri bagi menarik pelabur ke Perlis, pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis di sini, hari ini.

Dalam pada itu, menjawab soalan Mohd Shukri Ramli (Pas-Sanglang), Azlan berkata walaupun pembangunan fizikal Jeti Bersepadu Kuala Sanglang belum dimulakan, namun aspek berkaitan peraturan yang perlu dipatuhi dan kelulusan pembangunan jeti itu telah pun diperoleh.

“Pelaksanaan Pembangunan Jeti Bersepadu Sanglang ini berkait rapat dengan projek Perlis Inland Port (PIP) yang mana projek pembangunan Jeti Kuala Sanglang ini akan dilaksanakan enam bulan selepas projek PIP dimulakan,” katanya.

Sumber: Bernama

Perlis tawar enam inisiatif untuk tarik minat pelabur – Azlan Man


Content Type:

Duration:

wpChatIcon