2021 Archives - Page 20 of 33 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Eksport halal negara cecah RM31 bilion pada tahun lepas

Prestasi eksport halal negara tahun lepas melepasi sasaran yang ditetapkan apabila berjaya mencecah nilai sebanyak RM31 bilion.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jumlah yang dicapai iaitu 63 peratus lebih tinggi daripada sasaran yang ditetapkan melalui Pelan Induk Industri Halal pertama.

“Pada tahun 2020, jumlah eksport halal negara mencecah RM31 bilion melangkaui sasaran RM19 bilion yang telah ditetapkan melalui Pelan Induk Industri Halal yang pertama,” katanya dalam ucaptama pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) program pembiayaan Dana GO Halal pada Selasa.

Program antara Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dan Halal Development Corporation Berhad (HDC) itu bertujuan mendorong lebih ramai penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam industri halal negara.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, berdasarkan potensi industri halal itu, kerajaan mahu menjadikannya sebagai industri strategik untuk menjayakan objektif Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Menurutnya, ia termasuk memperluaskan perkongsian kekayaan dan kemakmuran dalam kalangan rakyat dengan merancakkan pertumbuhan PKS bumiputera.

“Industri halal mempunyai peranan strategik dalam merancakkan pertumbuhan PKS. Sebanyak 200,000 syarikat PKS terlibat secara langsung dalam aktiviti berkaitan halal.

“Sehingga Disember 2020, sebanyak 6,727 syarikat PKS telah mempunyai sijil halal. Daripada jumlah itu, hanya 1,507 syarikat PKS terlibat dalam aktiviti mengeksport. Ini menunjukkan potensi pertumbuhan untuk industri halal negara masih luas,” ujarnya.

Justeru katanya, HDC perlu mengambil langkah strategik dan menyediakan pelan tindakan untuk meningkatkan penglibatan syarikat multinasional dalam industi halal serta menarik pelaburan asing (FDI) dan rantaian bekalan halal.

“Dalam konteks pandemik hari ini dan permintaan kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti, Malaysia memerlukan FDI untuk pengeluaran vaksin serta peranti perubatan halal.

“Malaysia juga berpotensi menjadi hab kepada pengeluaran vaksin dan peranti perubatan halal di rantau ini,” jelasnya.

Sumber: Sinar Harian

Eksport halal negara cecah RM31 bilion pada tahun lepas


Content Type:

Duration:

Kilang terbaharu milik Adient Automotive Seating Sdn. Bhd. (Adient) di Alor Gajah, Melaka telah mula mengeksport penyandar kepala ke Thailand dan Indonesia.

Pengarah Urusannya, AJ Dabydin berkata, kilang baharu yang bernilai RM10 juta dan dilengkapi dengan teknologi pengeluaran busa terkini itu bakal memenuhi keperluan pasaran tempatan dan juga eksport.

Menurut beliau, syarikat telah melabur sejak tahun 1983 dalam bidang tersebut secara kon­sisten untuk meningkatkan kapasiti operasi kilang sebagai usaha menjadi hab eksport ke rantau Asia Tenggara.

“Melalui inisiatif ini, kami akan menggalakkan penghasilan komponen di dalam negara, membangunkan keupayaan pembekal tempatan dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan hasil eksport bagi Malaysia serta penduduknya.

“Memanfaatkan amalan terbaik Kumpulan Adient yang me­rupakan pemimpin global dalam tempat duduk automotif, kami berusaha untuk membawakan pengalaman pemanduan kende­raan yang paling selamat dan selesa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Dabydin menjelaskan, dalam mencapai misi menjadi hab utama eksport, kilang tersebut tetap memenuhi tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar.

Antara usaha syarikat adalah untuk melaksanakan sistem pe­ngumpulan air hujan bagi mengu­rangkan kebergantungan kepada bekalan air perbandaran dan pemasangan panel solar untuk menjana tenaga elektrik untuk memacu pelbagai peralatan.

Tambah beliau, kilang ini juga dilengkapi peralatan rendah emisi karbon yang mendapat penarafan tenaga lima bintang dan menggunakan lampu LED di seluruh kilang.

“Usaha menerima pakai konsep Industri 4.0 dengan automasi dan teknologi pintar merupakan satu lagi pertimbangan pen­ting dalam strategi pembuatan ­Adient.

“Kami perlu melatih semula dan meningkatkan lagi kemahiran pekerja untuk mewujudkan interaksi manusia dengan mesin melalui kaedah yang lebih berkesan.

“Ia juga dapat memastikan pekerja selamat menerusi susun atur kilang yang membenarkan penjarakan fizikal satu meter dan laluan logistik yang dirancang dengan teliti,” jelas beliau.

Sumber: Kosmo

Kilang busa tempat duduk Adient bakal jadi hab eksport


Content Type:

Duration:

Impak ekonomi COVID-19 ke atas Malaysia dijangka bersifat sementara dan negara pasti akan pulih semula, kata HSBC.

“Kami sedar Bank Dunia telah menurunkan pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.5 peratus tahun ini (berbanding jangkaan 6.0 peratus pada Mac dan 6.7 peratus menjelang Disember 2020).

“(Unjuran kami adalah) sebenarnya sedikit di bawah itu, pada 4.1 peratus untuk tahun ini,  susulan cabaran  yang telah mengekang pertumbuhan permintaan domestik,” menurut Ketua Bersama Penyelidikan Ekonomi Asia HSBC, Frederic Neumann dalam satu sidang media mengenai Prospek Asia HSBC untuk separuh kedua 2021  hari ini.

Cabaran yang dihadapi Malaysia akibat pandemik itu hanyalah seretan sementara, dengan bank itu meramalkan pertumbuhan 5.4 peratus bagi 2022 kerana yakin negara memiliki kedudukan yang unik dalam banyak aspek untuk bangkit semula daripada pandemik COVID-19.

“Salah satu bidang ini adalah daripada segi rantaian bekalan, yang mana Malaysia menerima sejumlah besar pelaburan langsung asing dan mempunyai kedudukan yang istimewa bagi menawan rantaian bekalan yang bergerak ke Asia Tenggara.

“Kami melihat Malaysia sebagai kisah kejayaan  apabila negara  ini menawan  bahagian  pasaran eksport dalam pembuatan global. Kami percaya akan ini akan mencatatkan lebih banyak kejayaan selepas kesan domestik akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini semakin pudar,” katanya lagi.

Daripada segi jadual penghantaran vaksin, Neumann berkata Malaysia sebenarnya agak mendahului saingan yang lain dan menjelang awal tahun depan, Malaysia sudah sewajarnya mencapai imuniti secara besar-besaran.

Dalam laporan unjurannya, HSBC menjelaskan kesan buruk ekonomi Malaysia akibat sekatan dijangka kurang berbanding PKP pertama pada 2020, memandangkan kini terdapat pengecualian yang lebih jelas termasuk persediaan awal perniagaan dan pengguna.

“Mujurlah, walaupun menghadapi cabaran jangka pendek yang ketara, prospek Malaysia untuk pemulihan kekal agak cerah. Kerajaan telah memperolehi vaksin yang mencukupi bagi penduduk termasuk sebahagian besar vaksin mRNA.

“Walaupun program vaksinasi  agak merangkak pada mulanya disamping wujud tanda-tanda  tentangan daripada orang awam, kadar inokulasi harian telah dipercepatkan dengan mendadak. Kami percaya tahap imuniti secara besar-besaran boleh dicapai menjelang Januari 2022, ini akan membenarkan pertumbuhan sebanyak 5.4 peratus pada 2022,” katanya.

Satu lagi  kelebihan Malaysia adalah sektor pembuatannya yang berdaya tahan, yang  dijangka mencerminkan pertumbuhan eksport yang kukuh, walaupun selepas mengambil kira pemyusutan semasa Jun dan Julai, menurut laporan itu.

“Malaysia adalah salah satu pengeksport cip automotif siap terbesar di dunia dan mendapat keuntungan daripada kekurangan bekalan semasa. Sektor bioperubatan (sarung tangan pembedahan) dan komoditi sewajarnya menyaksikan pertumbuhan jumlah yang berterusan tahun ini,” katanya.

Inflasi utama akan tetap meningkat dalam jangka pendek kerana kesan asas yang tidak baik dan harga minyak yang lebih tinggi, tetapi permintaan yang rendah diramal akan terus mengekalkan inflasi teras di tahap terbawah.

“Namun, kadar  dasar sebenar  nyata yang negatif akan mendorong Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan polisi  monetari  semasa meskipun  wujud risiko penurunan terhadap unjuran pertumbuhannya,” tambah HSBC lagi.

Sumber: Bernama

HSBC jangka impak ekonomi COVID ke atas Malaysia bersifat sementara


Content Type:

Duration:

Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara (Dasar 4IR Negara) yang merupakan dasar menyeluruh bagi memacu usaha bersepadu dalam mentransformasi pembangunan sosioekonomi negara melalui penggunaan teknologi termaju 4IR akan dilancarkan pada 1 Julai 2021.

Unit Perancang Ekonomi (UPE) Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, Dasar 4IR Negara bakal menyediakan prinsip panduan utama dan hala tuju strategik kepada kementerian dan agensi dalam penggubalan dasar dan pelan tindakan bagi mengoptimumkan pengagihan sumber dan penyelarasan pelaksanaan dalam perkara berkaitan teknologi baru muncul yang akan memanfaatkan rakyat, sektor swasta dan awam.

“Dasar ini menyokong dasar-dasar pembangunan negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan Rancangan Malaysia Lima Tahun.

“Ia juga melengkapi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dalam mendorong pembangunan ekonomi digital. Strategi dan inisiatif di bawah Dasar 4IR Negara akan diurus tadbir oleh Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Majlis pelancaran akan disiarkan menerusi laman www.4irnegara.gov.my serta Facebook dan YouTube Unit Perancang Ekonomi @EPUMalaysia dan MOSTI @officialmosti dan akan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“Melalui pelancaran Dasar 4IR Negara ini, kerajaan komited untuk menyokong penggunaan teknologi demi kebaikan – sosial, ekonomi dan alam sekitar.

“Kelangsungan inisiatif-inisiatif ini akan dapat merealisasi sepenuhnya transformasi pembangunan sosioekonomi negara melalui penggunaan teknologi 4IR yang beretika,” kata UPE.

Sumber: Bernama

Dasar 4IR Negara akan dilancarkan pada 1 Julai 2021


Content Type:

Duration:

Sebanyak 669,846 pekerja dari 4,537 syarikat di seluruh negara mendaftar dengan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) setakat 27 Jun 2021.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawah PIKAS yang dikelolakannya di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Setia Alam, Selangor telah memulakan proses vaksinasi bagi pekerja sektor pembuatan di negeri itu pada Isnin.

PIKAS mempunyai matlamat untuk mempercepat vaksinasi bagi sekurang-kurangnya dua juta pekerja dalam sektor pembuatan menjelang penghujung suku ketiga 2021, jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.

Ia merupakan program dilancarkan sebagai fasa empat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bertujuan membantu mempercepat vaksinasi dalam kalangan rakyat, dengan menyasarkan tenaga kerja dalam sektor pembuatan kritikal, tambahnya.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Isnin mengadakan lawatan kerja di PPV PIKAS SCCC dan untuk memastikan semua persiapan berjalan lancar.

PPV di SCCC adalah antara lapan PPV Penggunaan Umum di seluruh negara yang telah mendapat kebenaran untuk beroperasi selewat-lewatnya pada 5 Julai 2021.

MITI menjelaskan terdapat dua jenis PPV di bawah PIKAS iaitu PPV Penggunaan Umum dan PPV di Tapak, dengan PPV Penggunaan Umum melibatkan pusat konvensyen dan pameran termasuk hotel manakala PPV Di Tapak (On-Site) pula adalah PPV di premis kilang.

“Melalui PIKAS, kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma, manakala pihak swasta akan menguruskan pentadbiran PPV termasuk penglibatan perkhidmatan perubatan swasta.

“Majikan perlu menanggung sepenuhnya kos pentadbiran bagi vaksinasi pekerja dan tidak dibenarkan untuk memindahkan kos pentadbiran vaksinasi dengan menolak gaji pekerja walaupun pekerja tidak lagi berkhidmat dengan syarikat selepas mendapat dos vaksin pertama,” tegasnya.

Menurut MITI, pada masa PIKAS dilaksanakan, kerajaan tetap komited memastikan vaksinasi bagi golongan yang paling rentan dan yang telah mendaftar di bawah PICK kekal menjadi keutamaan.

Syarikat yang berminat untuk menyertai PIKAS boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui www.miti.gov.my.

Sumber: Bernama

669,846 pekerja dari 4,537 syarikat mendaftar dengan PIKAS


Content Type:

Duration:

Malaysia kini lebih menggalakkan kemasukan pelaburan secara selektif ke dalam negara bagi mencapai status berpendapatan tinggi sejajar dengan dasar pelaburan baharu untuk menarik lebih ramai pelabur berkualiti tinggi semasa dan selepas tempoh pandemik Covid-19.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ia bertepatan dengan dasar baharu, Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), yang akan menjana pekerjaan berpendapatan tinggi, terutama pada pasca-Covid-19 dan seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Selepas perbincangan dan libat urus bersama Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia pada Mac lalu, kami berpendapat inilah masa yang sesuai untuk memperkenalkan dasar ini.

“Tujuannya adalah menarik pelaburan berkualiti tinggi dan berteknologi agar negara kita boleh bersedia dengan tenaga kerja yang memenuhi permintaan industri dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing,” katanya menerusi catatan di laman Facebook rasminya pada Sabtu.

Beliau berkata pada masa sama, Bank Dunia turut mengunjurkan Malaysia mencapai ekonomi berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.

Mohamed Azmin berkata ia dapat dibuktikan dengan kemasukan pelaburan berteknologi canggih dan berkualiti tinggi, iaitu SK Nexilis dengan nilai pelaburan berjumlah RM4.24 bilion (Sabah) dan AT&S pula komited dengan nilai pelaburan sebanyak RM8.5 bilion (Kedah).

Beliau berkata SK Nexilis akan menghasilkan kerajang tembaga untuk kenderaan elektrik (EV) yang menggunakan teknologi terkini manakala syarikat AT&S pula akan mengeluarkan papan litar bercetak (PCB) dan substrat litar bersepadu (IC) berteknologi tinggi.

Syarikat berkenaan masing-masing akan menciptakan 5,000 peluang pekerjaan yang berkualiti, katanya.

Beliau berkata kerajaan amat komited dalam membantu meningkatkan sosioekonomi rakyat, terutama pada pasca-Covid-19.

“Namun, untuk merealisasikannya, kita memerlukan ketekunan dan keterbukaan untuk mencapai pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

“Saya berharap dengan adanya dasar baharu ini ia akan kekal menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan dunia,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia galak kemasukan pelaburan secara selektif ke dalam negara – Azmin


Content Type:

Duration:

Anak syarikat milik penuh Hong Seng Consolidated Bhd,  Hong Seng Industries Sdn Bhd  (HSI) memeterai perjanjian dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk menyewa semula tanah perindustrian yang terletak di Kedah Rubber City (KRC), Padang Terap, Kedah dengan nilai RM44.69 juta.

“Perjanjian tersebut akan membolehkan syarikat menyewa tanah perindustrian seluas 503.31 hektar itu di KRC untuk tempoh 60 tahun, dengan pilihan untuk memperbaharui selama 30 tahun lagi,” menurut Hong Seng dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“HSI ingin membina dan mengoperasikan kilang pembuatan lateks butadiena nitril (NBL) dengan kapasiti yang dirancang 480 kilo-tan setahun,” katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan Hong Seng Datuk Teoh Hai Hin berkata syarikat telah memperuntukkan jumlah pelaburan sebanyak RM1.5 bilion untuk pengembangan perniagaannya di KRC dalam tempoh lima tahun akan datang dari 2022 dan seterusnya.

“Ia dijangka dapat menarik pelaburan sebanyak RM5 bilion dan mewujudkan 2,600 peluang pekerjaan baharu di wilayah utara,” katanya dalam kenyataan berasingan hari ini.

Baru-baru ini, kumpulan mempelbagaikan kepada perniagaan pembuatan sarung tangan melalui Hong Seng Gloves Sdn Bhd, yang sedang mewujudkan enam unit getah butadiena nitril, meningkatkan barisan pengeluaran celup sarung tangan dengan sistem sokongan utiliti di Sungai Petani, Kedah dan kumpulan menjangka untuk memulakan perniagaan pembuatan sarung tangannya pada suku ketiga 2021.

Hong Seng berkata penyewaan semula itu akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman, pinjaman bank, hasil yang diterima daripada langkah tersebut  dan penukaran sekuriti boleh tukar syarikat atau langkah pengumpulan dana pada masa depan.

Sumber: Bernama

Hong Seng sewa tanah, labur RM1.5 bilion dalam kilang NBL


Content Type:

Duration:

Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menarik pelaburan RM16 bilion bagi 2021 dan bakal mewujudkan 19,652 peluang pekerjaan.

Pengumuman pelaburan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Ke-26 yang diadakan secara sidang video dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada mesyuarat itu, Perdana Menteri turut menyaksikan lapan syarikat menyatakan komitmen pelaburan berimpak tinggi di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis.

Dalam satu kenyataan, NCIA berkata, pelaburan yang diterima itu adalah kerjasama NCIA dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MOF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan pada 15 Jun 2021.

Ia berkata, pelaburan yang diperoleh itu adalah bukti kejayaan agensi berkenaan dalam membina ekosistem berdaya tahan yang mendorong pemulihan era pasca pandemik COVID-19 dan pada masa yang sama, menyediakan jaringan keselamatan sosial untuk rakyat.

Pihak NCIA pada mesyuarat itu juga membuat pembentangan berhubung perkembangan terkini projek sosioekonomi seperti pelan pemulihan COVID-19 dan juga pelaksanaan program modal insan yang bertumpu kepada pembangunan rakyat di NCER.

Sumber: Berita Harian

NCER tarik pelaburan RM16 bilion di wilayah utara


Content Type:

Duration:

Kerajaan telah meluluskan lesen pengilang dan galakan insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk aktiviti reka bentuk, pembangunan dan pengilangan sel solar dan modul solar di Malaysia bagi syarikat Risen Energy Co. Ltd dengan jumlah pelaburan sebanyak RM42.2 bilion.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelaburan yang dibuat melalui Risen Solar Technology Sdn Bhd untuk tempoh lima tahun dari 2021 hingga 2025 itu dijangka menjana 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Selain itu, syarikat tersebut juga akan menjalinkan kerjasama dengan universiti dan institusi tempatan dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk pengambilan pelajar secara internship (latihan amali),” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat secara maya bersama pengerusi dan presiden Risen Energy, Xie Jian yang turut disertai Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Arham Abdul Rahman.

Muhyiddin berkata kehadiran Risen Solar dalam industri ini akan menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran berintegrasi bagi produk solar.

Menurutnya, ketika ini terdapat beberapa syarikat pengeluar global solar seperti Jinko Solar, Longi Solar, JA Solar, Hanwha Q Cell, First Solar dan Sun Power yang sedang beroperasi di Malaysia.

“Pelaburan daripada syarikat Risen Energy ini merupakan satu kejayaan besar buat negara, sekali gus menunjukkan keupayaan pengurusan ekonomi Malaysia ketika dunia sedang bergelut dengan cabaran pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, trend kemasukan berterusan pelaburan asing berimpak tinggi ini tentunya menyuntik lebih keyakinan dalam kalangan komuniti pelabur luar terhadap prospek pemulihan ekonomi Malaysia selari dengan aspirasi Pelan Pemulihan Negara, yang pastinya akan membawa manfaat besar kepada masyarakat dari segi peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan,” tambahnya.

Sumber: Bernama

Kerajaan lulus pelaburan pengilangan sel solar bernilai RM42.2 bilion: PM Muhyiddin


Content Type:

Duration:

TA Securities Holdings Bhd sebagai mewakili Binasat Communications Bhd memeterai perjanjian dengan Nik Abdul Hakim Abd Razak dan  Mohd Solehuddin Yahya untuk membeli  255,000 saham biasa atau  51 peratus kepentingan ekuiti dalam  Borderless Connection Sdn Bhd (BCSB) dengan harga RM18.36 juta.

Sejajar dengan cadangan pengambilalihan itu, syarikat tersebut bercadang untuk melaksanakan cadangan pempelbagaian aktiviti utama Binasat dan anak syarikatnya dengan memasukkan penyediaan perkhidmatan infrastruktur utiliti termasuk perkhidmatan utiliti rangkaian transmisi dan pengagihan serta kemudahan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) kemudahan fotovoltaik solar (PV).

“Lembaga percaya perniagaan BCSB akan menyediakan arus pendapatan tambahan kepada kumpulan dan mempelbagaikan asas pendapatannya.

“Pada masa depan lembaga menjangka perniagaan utiliti kuasa, mengikut cadangan pengambilalihan itu akan menyumbang 25 peratus atau lebih kepada keuntungan bersih kumpulan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia. 

Ia juga merupakan inisiatif kumpulan untuk mengurangkan pergantungannya kepada perniagaan sedia adanya.

Sementara itu, selepas cadangan pengambilalihan itu, BCSB berhasrat memanfaatkan status penyenaraian Binasat sebagai syarikat senaraian awam di Pasaran ACE, reputasi, rangkaian industri dan sumber untuk menyertai dalam lebih banyak projek transmisi dan pengagihan.

Bayaran pembelian itu akan dibiayai menerusi gabungan tunai dan saham.

Sumber: Bernama

Binasat ambil alih 51 peratus pegangan dalam BCSB dengan harga RM18.36 juta


Content Type:

Duration:

Pelbagai produk dan destinasi eksport yang dimiliki Malaysia dijangka membantu ekonomi ini mengurangkan kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlanjutan sehingga akhir Jun, menurut Moody’s Investors Service pada Rabu.

Malaysia menguatkuasakan PKP buat kali ketiga mulai 1 Jun selepas kes COVID-19 harian mencecah 8,000.

Dari dua minggu, ia dilanjutkan selama dua minggu lagi sehingga 28 Jun, 2021.

Menurut agensi penarafan itu menerusi laporan terbarunya, peningkatan semula kes pandemik serta kadar vaksinasi yang rendah di Asia Pasifik telah menimbulkan risiko baharu terhadap permintaan domestik walaupun pemulihan perdagangan global akan menyokong ekonomi yang lebih berorientasi eksport di rantau ini.

Penolong Naib Presiden dan Penganalisis Moody’s, Nishad Majmudar berkata sekatan pergerakan baharu untuk membendung penularan virus akan mengekang permintaan domestik dan menjejaskan keyakinan pengguna.

“Sementara itu, kadar vaksinasi adalah rendah di kebanyakan bahagian Asia-Pasifik, dengan hanya Maldives, Mongolia, Singapura dan China yang telah memberikan dos vaksin pertama kepada sekurang-kurangnya 40 peratus rakyat mereka,” katanya.

Bagaimanapun di ekonomi yang lebih berorientasikan eksport, termasuk Vietnam (Ba3, positif); Taiwan; China (Aa3, positif) dan Malaysia (A3, stabil), sumbangan besar daripada perdagangan akan mengimbangi permintaan domestik yang lemah dan meningkatkan keluaran — selagi penutupan kilang dan lokasi pemprosesan eksport ekoran COVID dihadkan.

Eksport Vietnam yang pesat telah membantu ekonominya berkembang dalam keadaan pandemik — eksportnya meningkat  lapan peratus pada suku pertama 2021 berbanding prestasi pada suku keempat 2020 berasaskan pelarasan musim.

Prestasi yang sama dicatatkan Taiwan apabila eksportnya meningkat lapan peratus pada suku pertama 2021 berbanding suku keempat 2020;  dan  16 peratus berbanding suku yang sama 2020, mendorong lonjakan 8.9 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Pelbagai produk dan destinasi eksport Malaysia dijangka membantu mengurangkan kesan lanjutan sekatan pergerakan sehingga akhir Jun.

“Moody’s mengunjurkan pertumbuhan 7.2 peratus, 4.2 peratus dan 5.3 peratus masing-masing bagi negara-negara ini,” jelasnya.

Sementara itu, pemulihan akan lebih baik bagi negara yang turut bergantung kepada pelancongan antarabangsa, seperti Thailand (Baa1, stabil).

Moody’s menjangkakan KDNK Thailand meningkat 2.8 peratus pada 2021 — kenaikan yang agak kecil daripada penguncupan 6.1 peratus pada 2020, menunjukkan industri pelancongan ketinggalan dalam mencatatkan pemulihan.

Sumber: Bernama

Pelbagai produk, destinasi eksport Malaysia akan bantu kurangkan impak PKP – Moody’s


Content Type:

Duration:

Kedah terus menerima pelaburan besar walaupun dalam persekitaran pandemik COVID-19 dan terkini membabitkan projek bernilai RM8.5 bilion dari syarikat Austria yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Menurut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, syarikat itu merupakan pengeluar utama dunia bagi produk papan litar bercetak (PCB) berkualiti tinggi dan papan litar substrat bersepadu (IC).

“Perbincangan lanjut dengan syarikat Austria semalam telah berjalan dengan baik. Mereka tunjukkan kesungguhan yang sangat positif dan bidang kuasa kita sebagai kerajaan negeri ialah menyediakan tanah dengan keluasan mencukupi.

“Ini merupakan satu pencapaian besar bagi Kedah kerana dalam keadaan dilanda pandemik, kita masih terima pelabur besar sekali gus menyediakan peluang pekerjaan dan membantu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya pada sidang media secara maya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi syarikat tersebut menjangkakan dapat memulakan kerja-kerja pembinaan kilang itu pada September atau November 2021 sehingga tahun depan.

Beliau juga dimaklumkan bahawa kilang itu akan dibangunkan dalam beberapa fasa dan cabarannya adalah untuk menyediakan tenaga kerja mahir.

Menurutnya, kira-kira 5,000 orang jurutera dalam disiplin berkaitan diperlukan oleh syarikat itu dalam fasa pertama yang dijangka beroperasi pada 2024 manakala fasa seterusnya memerlukan khidmat 10,000 tenaga mahir.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan berunding dengan institusi pengajian tinggi di seluruh negara untuk membekalkan tenaga mahir yang bersesuaian dengan kehendak pasaran.

“Kita perlu (melahirkan) penuntut dengan kemahiran khusus atau mengikuti bidang berkaitan bagi memastikan sumber tenaga mencukupi untuk menyambut pelabur, khususnya di Kedah,” katanya.

Sumber: Bernama

Kedah terus terima pelaburan besar walaupun pandemik – Sanusi


Content Type:

Duration:

Pekat Group Bhd (Pekat) memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE, Bursa Malaysia dengan cemerlang apabila sahamnya melonjak kepada 85 sen, atau premium 165 peratus berbanding harga rujukan tawaran awam permulaan (IPO) 32 sen sesaham.

Penyedia solar fotovoltan (PV) dan perlindungan kilat dan pembumian (ELP) itu turut merekodkan 30.58 juta saham diniagakan.

Pengarah Urusan Pekat, Chin Soo Mau, berkata dana yang diperoleh daripada kejayaan proses penyenaraian itu akan diguna bagi mengembangkan perniagaan solar PV dan ELP.

Beliau berkata, daripada RM44.4 juta jumlah dana yang dijana itu, RM18 juta akan digunakan untuk aktiviti pembinaan ibu pejabat baharu dan kemudahan operasi.

Sebanyak RM12.7 juta katanya akan digunakan bagi keperluan modal kerja terutama bagi pembelian bahan untuk projeknya seperti modul solar PV, pembalik solar PV dan produk dan aksesori ELP; RM10 juta pula bagi membayar balik pinjaman bank manakala RM3.7 juta lagi untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.

Katanya, Pekat menjangkakan permodalan pasarannya akan meningkat kepada RM206.4 juta selepas penyenaraiannya itu, berdasarkan modal saham diperbesarkan sebanyak 645 juta saham.

Sehingga 3 Mei 2021 katanya, kontrak dalam tangan sedia ada Pekat adalah bernilai RM154.9 juta, merangkumi RM92.8 juta bagi projek solar PV dan RM62.1 juta untuk projek ELP.

“Daripada jumlah itu, RM117.2 juta dijangka dibilkan pada 2021, RM24.8 juta pada 2022, RM11.5 juta pada 2023 dan RM1.4 juta pada 2024.

“Kumpulan juga dijangka meraih manfaat daripada inisiatif kerajaan, insentif kewangan dan potongan cukai bagi industri solar PV, dan memulih di dalam sektor pembinaan, dipacu oleh penerusan semula aktiviti di seluruh subsektor.

“Pekat akan menggunakan kelebihan daripada sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) yang semakin pesat dan pemulihan di dalam sektor pembinaan,” katanya selepas majlis penyenaraiannya di Bursa Malaysia secara maya.

Soo Mau, berkata polisi dan insentif kerajaan akan berperanan sebagai pemangkin pertumbuhandi dalam industri solar PV pada segmen pengguna akhir yang berbeza seperti kediaman, komersial dan industri.

Beliau berkata, insentif dan potongan cukai semasa seperti Skim Pembiayaan Teknologi Hijau dan Elaun Cukai Pelaburan Hijau oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga akan terus memupuk lagi pembangunan di dalam industri solar PV.

Pekat katanya turut meraih manfaat daripada pelbagai program solar PV seperti inisiatif solar bumbung terbaharu menerusi program Pemeteran Bersih Tenaga (NEM 3.0) yang akan berkuatkuasa dari 2021 sehingga 2023 dengan kuota 500 MW diperuntukkan untuk meningkatkan penggunaan solar.

“Bagi subsektor kejuruteraan awam kumpulan, pertumbuhan dijangka pulih berdasarkan kepada permulaan semula aktiviti pembinaan bagi projek prasarana besar seperti Mass Rapid Transit 3, Light Rail Transit 3, Rapid Transit System Johor Baharu-Singapura dan lebuh raya Pan Borneo serta jalan raya pesisir pantai di Sarawak.

“Ia akan meningkatkan permintaan bagi kepakaran dan produk ELP Pekat. Malah laporan kajian pasaran bebas turut mengunjurkan sektor pembinaan dijangka pulih sebanyak 13.4 peratus pada 2021, didorong penerusan aktiviti di semua subsektor selepas mencatat penurunan sebanyak 19.4 peratus pada 2020,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Saham Pekat melonjak lebih 160 peratus selepas disenaraikan


Content Type:

Duration:

Suntikan pelaburan langsung asing (FDI) yang besar dalam anak syarikat Sunway Bhd, Sunway Healthcare Holdings Sdn Bhd, membuktikan keyakinan terhadap konglomerat dan juga ekonomi Malaysia, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, suntikan itu turut mencerminkan rekod prestasi cemerlang sektor penjagaan kesihatan negara.

Katanya, susulan penularan pandemik COVID-19 dan kesan buruknya ke atas hidup dan kehidupan manusia di seluruh dunia, kepentingan pelaburan dalam penjagaan kesihatan tidak boleh dipandang remeh.

“Saya gembira bahawa dana pelaburan Singapura, GIC Ventures Pte Ltd, melabur sebanyak RM750 juta bagi membeli 16 peratus kepentingan dalam bahagian penjagaan kesihatan konglomerat utama Malaysia, Sunway Group,” katanya dalam ucapan yang dirakam terlebih dahulu bagi majlis permeteraian pelaburan antara Sunway dan GIC (Ventures), hari ini.

Greenwood Capital Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura, unit milik penuh GIC (Ventures), akan menyuntik pelaburan sebanyak RM750 juta ke dalam Sunway Healthcare menerusi pembelian 16 peratus pegangan itu dengan hasil akan digunakan bagi pengembangan hospital sedia ada dan tujuan modal kerja.

Muhyiddin berkata, pada 2019, negara menarik 1.3 juta pelancong penjagaan kesihatan antarabangsa dengan perolehan hospital sebanyak RM1.7 bilion.

Kebanyakan pengembara penjagaan kesihatan negara datang dari Indonesia, China, India, Bangladesh, Jepun, United Kingdom, Filipina, Australia, Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

“Disokong oleh perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta negara yang bertaraf dunia dan infrastruktur yang canggih, Malaysia turut disenaraikan di kedudukan pertama Penjagaan Kesihatan Terbaik dalam Kategori Dunia dalam indeks ‘2019 International Living Annual Global Retirement Index’, mengatasi negara seperti Perancis dan Thailand.

“Semua ini menjadikan Malaysia mengalu-alukan dengan tangan terbuka pelaburan domestik dan juga asing dalam sektor penjagaan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan penjagaan kesihatan swasta negara yang mantap itu disokong oleh barisan doktor berpengalaman dan diiktiraf peringkat antarabangsa serta kakitangan perubatan terlatih yang membantu menjadikan Malaysia satu daripada destinasi pelancongan perubatan di rantau ini.

Menurut Fitch Solutions Macro Research, pasaran penjagaan kesihatan Malaysia dijangka berkembang sebanyak 127 peratus kepada RM127.9 billon pada 2027 daripada RM56.3 bilion pada 2017.

Pelaburan terbaharu oleh Singapura itu menunjukkan bahawa Malaysia kekal menarik kepada pelabur meskipun landskap ekonomi mencabar akibat daripada pandemik.

Sumber: Berita Harian

Pelaburan dalam Sunway Healthcare bukti keyakinan terhadap Malaysia


Content Type:

Duration:

Yenher Holdings Bhd menyasar rancangan untuk mengembangkan operasinya meliputi pasaran luar negara seperti Myanmar, Bangladesh dan China akan tercapai dalam tempoh 24 bulan selepas penyenaraian kumpulan itu di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 15 Julai ini.

Pengarah Urusan Kumpulan, Cheng Mooh Tat, berkata dengan disokong oleh jumlah penduduk yang besar di negara-negara membangun seperti Myanmar dan Bangladesh, kumpulan itu mempunyai kelebihan untuk meningkatkan pengeluaran ternakan di negara-negara berkenaan.

“Walaupun terdapatnya beberapa ketidakpastian politik di Myanmar sejak beberapa bulan lepas, kami terus mengawasi keadaan ini dengan teliti dan akan menilai keadaan sebelum memasuki pasaran,” katanya dalam sidang media secara maya sempena pelancaran prospektus syarikat itu hari ini.

Kumpulan ini terbabit terutamanya dalam pembuatan dan pengedaran produk kesihatan dan pemakanan nutrisi haiwan.

Ia juga menyediakan perkhidmatan analisis diagnostik dan bahan tambah nilai serta perkhidmatan perundingan percuma untuk pelanggannya.

Cheng berkata dengan mengambil kira pengalaman dan kejayaannya dalam industri makanan tempatan selama lebih 30 tahun dan berdasarkan kajian yang menunjukkan permintaan untuk ternakan yang semakin meningkat di tahun-tahun mendatang, kumpulan itu optimis mampu bersaing di China kerana ia turut memiliki kelebihan dari segi komunikasi di pasaran China.

Pada masa ini, eksport Yenher ke 11 negara termasuk Indonesia, Hong Kong, Brunei, Belgium, Pakistan, Korea Selatan, Nigeria, Thailand dan Vietnam adalah sekitar 10 peratus daripada jumlah penjualan.

Kumpulan ini mempunyai dua kilang pembuatan, makmal dalaman untuk penyelidikan dan pembangunan dengan kira-kira 140 pekerja yang berpusat di Pulau Pinang.

Ia juga mempunyai cawangan di Taichung, Taiwan dan melantik satu pengedar masing-masing di Korea Selatan dan Pakistan pada tahun 2020.

Sementara itu, pelancaran prospektus itu bersempena dengan tawaran awam permulaan (IPO) Yenher sebanyak 106.19 juta saham pada harga terbitan 95 sen sesaham.

IPO itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 64.43 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan sehingga 41.76 juta saham sedia ada. Sebaik sahaja disenaraikan di Bursa Malaysia, permodalan pasaran Yenher dianggarkan berjumlah RM285 juta.

Sebanyak RM61.21 juta akan dikumpul menerusi IPO berkenaan dengan RM31 juta daripada perolehan kasar akan digunakan untuk pembinaan kilang pembuatan baharu dengan pematuhan Amalan Pengilangan Baik (GMP); RM9.7 juta untuk pembelian mesin dan peralatan baharu; RM16 .71 juta untuk tujuan modal kerja dan selebihnya RM3.8 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

“Kilang pembuatan baharu itu dijangka memulakan pengujian dan pengoperasian pada suku pertama 2023 dan beroperasi sepenuhnya pada suku keempat 2023,” kata Cheng.

Dengan siapnya kilang pembuatan baharu berserta dengan segala mesin dan peralatan, kumpulan ini mampu meningkatkan kapasiti pengeluarannya dan bersedia untuk memenuhi permintaan yang tinggi untuk produk syarikat.

“Dengan status penyenaraian ini, ia akan melonjakkan profil dan imej korporat serta meningkatkan kesedaran jenama produk dan seterusnya memperluas jangkauan pasaran kami. Ini pastinya dapat membantu Yenher menarik pelanggan baru dan mengembangkan pangkalan pelanggan kami,” tambahnya.

Sumber: Bernama

IPO: Yenher sasar perluas operasi luar negara


Content Type:

Duration:

Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan melonjakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia antara 0.8 hingga 1.7 mata peratusan dan pertumbuhan eksport sebanyak 24.4 peratus dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi Malaysia Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) Lee Heng Guie berkata blok perdagangan terbesar di dunia menyediakan peluang besar kepada negara ini memandangkan saiz perdagangan antara Malaysia dan negara anggota RCEP ialah 58 peratus pada tahun 2020.

Selain itu, pelaburan ASEAN yang berjumlah RM36.9 bilion merangkumi 26.5 peratus daripada jumlah pelaburan di Malaysia, katanya pada Webinar Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN 2021 hari ini.

Beliau berkata pelaburan Jepun dan China masing-masing mewakili 9.6 peratus dan 5.9 peratus daripada jumlah pelaburan di negara ini.

RCEP juga bersedia meningkatkan peluang komersial dan perkongsian strategik dalam kalangan negara-negara anggota RCEP untuk meneroka perniagaan.

“Memandangkan kira-kira 92 peratus garis tarif akan dikurangkan dalam tempoh 20 tahun, ia akan membuka akses pasaran yang lebih baik bagi rakyat Malaysia dan membantu menarik pelaburan berkualiti tinggi,” katanya.

Lee bagaimanapun menambah RCEP akan memberikan kesan bercampur-campur pada sektor ekonomi dan industri.

Sementara syarikat-syarikat telekomunikasi, perbankan, perundingan akan mendapat manfaat daripada peningkatan kerjasama, syarikat yang terbabit dalam sector makanan dan minuman, bahan kimia, getah, produk plastik, mesin dan peralatan serta elektrik dan elektronik pula akan mendapat lebih banyak permintaan.

Industri tekstil dan pakaian akan terjejas oleh pesaing kos rendah seperti Vietnam, sementara kayu dam produk kayu-kayan mungkin menghadapi persaingan dari negara-negara peserta.

Lee berkata kesan keseluruhan daripada persaingan terhadap produk kayu Malaysia masih dapat dikendalikan kerana perabot Malaysia masih diminati di pasaran Eropah dan Jepun.

Beliau menambah pada tahun 2020, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan RM81.8 bilion dengan 14 negara anggota RCEP.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Industri Farmaseutikal Malaysia Billy Urudra menyarankan agar kerajaan mewujudkan kerangka peraturan yang diperakui oleh syarikat atau negara.

“Industri ini masih belum diselaraskan,” katanya sambil menambah setiap negara anggota memiliki peraturannya sendiri dan mengenakan banyak syarat seperti Thailand dan Vietnam.

Oleh itu, beliau berkata tanpa kerangka peraturan, industri penjagaan kesihatan tidak akan mendapat sebarang keuntungan daripada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Pada masa ini, industri farmaseutikal domestik bernilai RM20 bilion.

Malaysia begitu bergantung pada import iaitu sekitar RM6 bilion hingga RM7 bilion daripada jumlah bekalan ubat-ubatan yang bernilai RM8 bilion, dan sangat penting untuk mempunyai bekalan domestik yang mencukupi bagi memenuhi keperluan terutama pada era COVID-19 masa ini, katanya.

Sumber: Bernama

RCEP mampu lonjakkan KDNK Malaysia antara 0.8-1.7 mata peratusan


Content Type:

Duration:

Malaysia dan United Kingdom (UK) bersama melancarkan buku panduan bertajuk “Smart City Handbook: Malaysia” bagi memupuk kolaborasi dan kerjasama dalam aspek pembangunan bandar raya pintar antara dua negara.

Buku panduan itu menggariskan beberapa aspek landskap bandar raya pintar di seluruh Malaysia di samping menampilkan contoh kepakaran serta projek-projek bandar raya pintar UK.

Bercakap di majlis pelancaran pada Selasa, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin berkata buku panduan itu juga menyenaraikan cadangan-cadangan mengenai bagaimana cara dan di mana syarikat-syarikat UK boleh membantu Malaysia dalam menguruskan serta menyelesaikan pelbagai isu dalam membangunkan bandar raya pintar dan lestari.

Turut mengikuti majlis pelancaran yang diadakan secara maya itu ialah Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Charles Hay.

Dalam ucapan pembukaannya Zuraida berkata kerajaan Malaysia komited untuk mengubah bandar raya di Malaysia menjadi bandar raya pintar dan lestari, yang merupakan agenda nasional yang utama.

Beliau berkata Kerangka Kerja Bandar Raya Pintar Malaysia yang dilancarkan pada Sept 2019, bertindak sebagai garis panduan dan rujukan nasional, terutama bagi bandar raya dan pihak berkuasa tempatan serta lain-lain pemegang taruh yang berkaitan dalam membangunkan serta melaksanakan inisiatif bandar raya pintar.

Katanya bandar raya seperti Kuala Lumpur, Johor, Putrajaya, George Town dan Kota Kinabalu telah melaksanakan pelbagai inisiatif bandar raya pintar, dan beberapa inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan negara luar seperti UK serta pertubuhan antarabangsa seperti The United Nations Human Settlements Programme (UN-Habitat) dan Mott MacDonald sebagai rakan penyampai.

Zuraida berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan bekerjasama rapat dengan semua pihak berkuasa tempatan yang berkaitan dan akan menjadi fasilitator kepada pelaksanaan bandar raya pintar, di samping menyampaikan maklumat berhubung peluang-peluang yang terdapat dalam negara untuk pembangunannya.

“Dalam perkara ini, KPKT ingin mencari rakan kerjasama strategik serta peluang-peluang pelaburan bagi membantu dalam pembiayaan bandar raya pintar,” katanya.

Sementara itu Hay berkata Malaysia dan UK memiliki hubungan kerjasama dua hala yang lama serta akrab, dan pelancaran buku panduan hari ini adalah contoh terbaik dalam kerjasama moden, yang ditingkatkan bagi menggambarkan usaha menghadapi cabaran-cabaran baharu, terutama dalam mengguna pakai teknologi-teknologi baharu.

“Urbanisasi sedang berlaku dengan pantas di serata dunia, kita memiliki pengalaman luas untuk dikongsi terutama dalam bidang kreatif seperti inovasi, teknologi digital, Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan,” katanya.

Beliau berkata UK sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa pembangunan di Iskandar Malaysia dan Melaka di bawah program ‘Prosperity Fund Global Future Cities Programme 2019 – 2022’ UK.

Sumber: Bernama

Malaysia, UK lancar buku panduan mengenai bandar raya pintar


Content Type:

Duration:

Focus Dynamics Group Bhd (Focus Dynamics) membeli 138.05 juta saham terbitan hak Saudee Group Bhd (Saudee) yang mewakili 19.37 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan pengeluar makanan sejuk beku itu.

Pelaburan itu dibuat berdasarkan memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani pada Oktober 2020 antara kedua-dua syarikat itu untuk melancarkan kemudahan pengeluaran berasaskan robotik serta membangunkan kios burger robotik.

“Selepas enam bulan meneroka dan berunding, kedua-dua syarikat memutuskan untuk menjalin kerjasama, dengan Focus Dynamics mengambil kepentingan yang besar sebanyak 19.37 peratus dalam Saudee Group Bhd.

“Dana ini akan digunakan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memperkemaskan operasi Saudee saat ini dengan termasuk lebih banyak proses robotik dalam operasi pembuatannya dan peruntukan tambahan untuk kios burger automatik serta robot.

“Dengan menerokai industri pemprosesan makanan bernilai RM21.76 bilion (yang diunjurkan) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), syarikat memulakan jawatankuasa kerja untuk bersama-sama membangunkan teknologi bagi membolehkan pelancaran kios robot dalam tempoh 12 bulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Automasi, digitalisasi serta kecerdasan buatan menjadi tumpuan utama Focus Dynamics dengan konsep makanan dan minuman (F&B).

Dengan pelancaran Mixobot di premis utamanya Lavo pada April 2021, Focus Dynamics bercadang untuk membawa keseluruhan teknologi ke ruang F&B pada masa depan.

Sumber: Berita Harian

Focus Dynamics beli 19.37 peratus saham Saudee


Content Type:

Duration:

Axiata Group Bhd (Axiata), Telenor Asia Pte Ltd (Telenor) dan Digi.Com Bhd (Digi) memuktamadkan kajian daya maju pelaburan dan memeterai perjanjian transaksi bagi pelaksanaan cadangan penggabungan Celcom Axiata Bhd (Celcom) dan Digi (MergeCo).

Pemeteraian perjanjian transaksi itu hari ini mengesahkan hasrat untuk mewujudkan penyedia perkhidmatan bersepadu digital yang lebih utuh dan lebih berdaya tahan, dan menjadi peneraju pengendali telekomunikasi Malaysia dalam memacu cita-cita digital negara ini.

Berdasarkan asas proforma, MergeCo dijangka mempunyai pelanggan kira-kira 19 juta dengan pendapatan sebanyak RM12.4 bilion, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM5.7 bilion, keuntungan selepas cukai RM1.9 bilion dan aliran tunai sejumlah RM4.0 bilion.

Penggabungan Celcom-Digi akan menyaksikan Axiata dan Telenor masing-masing menguasai 33.1 peratus pegangan dan syarikat bergabung itu akan terus disenarai di Bursa Malaysia Securities Bhd.

“Dijangka menjadi antara lima syarikat terbesar disenaraikan di Bursa dari segi permodalan pasaran, MergeCo dinilai pada nilai ekuiti pra-sinergi yang digabungkan mencecah kira-kira RM50 bilion,” katanya dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Axiata dan Telenor.

Axiata dan Telenor berkata, fasa perancangan integrasi akan merangkumi kerja terperinci mengenai sinergi dan rancangan perniagaan MergeCo, dan anggaran awal menunjukkan peningkatan nilai berpotensi melalui sinergi kos dan perbelanjaan modal sekitar RM8 bilion berdasarkan nilai asas kini bersih.

Ia berkata, MergeCo akan menyaksikan gabungan skala, pengalaman, kecekapan dan kekuatan kewangan kedua-dua kumpulan telekomunikasi global itu dengan pengetahuan pasaran dua syarikat tempatan yang utuh.

“Kedudukannya yang unik untuk menangani peningkatan penggunaan perkhidmatan digital dan jangkaan penyambungan yang lebih baik, MergeCo akan mempunyai keupayaan untuk memanfaatkan kemajuan teknologi dan menarik perkongsian berasaskan internet global untuk memberikan pelbagai penyelesaian inovatif untuk pelanggannya.

“Ia dalam kedudukan baik untuk melaksanakan teknologi digital bila 5G, Internet untuk Segalanya (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran berawan secara bersama mempercepatkan digitalisasi merentasi semua masyarakat,” katanya.

MergeCo juga menyasarkan untuk melabur sehingga RM250 juta dalam tempoh lima tahun dalam membangunkan Pusat Inovasi bertaraf antarabangsa di Kuala Lumpur dengan sasaran memacu transformasi digital Revolusi Industri 4.0 (4IR), mengukuhkan ekosistem tempatan dan menjadikan Malaysia di barisan hadapan evolusi digital global.

Dalam memanfaatkan peluang baharu dalam ekonomi digital, Pusat Inovasi itu akan melakukan penyelidikan dan pembangunan yang luas, membangunkan kes penggunaan 5G, menyokong syarikat permulaan digital tempatan, dan menyediakan platform untuk memupuk tenaga kerja berasaskan pengetahuan selaras dengan aspirasi MyDIGITAL.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris, berkata cadangan penggabungan berjalan lancar dan sejajar dengan hasratnya untuk memberikan cadangan nilai mantap yang membolehkan pelanggan mengambil bahagian lebih yakin dengan negara beralih ke arah ekonomi digital.

Beliau berkata, pihaknya berharap dapat menyampaikan nilai dan pilihan yang lebih baik untuk memberi manfaat kepada masyarakat, terutamanya dalam merapatkan jurang di kawasan luar bandar dan membantu perniagaan Rumah dan Perusahaan memanfaatkan peluang baharu dalam persekitaran digital yang dipercepatkan.

“Dengan andaian peralihan yang lancar, tempoh pasca integrasi, kami menjangkakan peningkatan dalam EBITDA dan marjin aliran tunai dalam entiti digabungkan sejajar dengan komitmen berterusan kami untuk memaksimumkan pembayaran dividen untuk pemegang saham kami,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Asia dalam Telenor Group, Jørgen A. Rostrup, berkata pihaknya tidak sabar untuk bekerjasama dengan Axiata untuk merealisasikan potensi cadangan penggabungan.

Beliau berkata, industri telekomunikasi berada di awal peralihan digital yang menarik, dan teknologi baharu akan mengubah cara pembangunan dan penyampaian perkhidmatan untuk sektor swasta dan awam.

“Dengan penggabungan ini, kami menggabungkan kecekapan, pengukuhan kewangan dan skala untuk melangkaui penyambungan dan melaksanakan teknologi yang terus meningkatkan pengalaman digital pelanggan kami,” katanya.

Dalam pengumuman sebelum ini, Axiata dan Telenor bersetuju Izzaddin menjadi Pengerusi dan Rostrup sebagai Timbalan Pengerusi MergeCo, yang mana akan dinamakan sebagai Celcom Digi Bhd sebaik saja diluluskan pemegang saham, sementara

Idham Nawawi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Albern Murty sebagai Timbalan CEO.

Sementara itu, dari aspek kepentingan nasional, Axiata dan pemegang saham institusi utama Malaysia dijangka memiliki lebih 51 peratus MergeCo selepas proses penggabungan selesai.

Kedua-dua pihak komited untuk melindungi kesejahteraan pekerja tanpa pemberhentian secara paksa.

Setelah selesai, Axiata akan menerima terbitan saham biasa baharu dalam Digi, mewakili 33.1 peratus daripada modal saham terbitan Digi yang diperbesarkan, pertimbangan tunai sebanyak RM2 bilion, yang mana RM1.7 bilion dari Digi sebagai hutang dalam MergeCo dan kira-kira RM300 juta dari Telenor sebagai sebahagian daripada kesamarataan pemilikan di bawah syarat penggabungan yang dicadangkan.

Cadangan penggabungan itu dijangka selesai suku kedua 2022, tertakluk kepada kelulusan yang berkaitan.

Sumber: Berita Harian

Axiata, Telenor, Digi meterai perjanjian bergabung


Content Type:

Duration:

Malaysia memberi fokus kepada rancangan penjanaan tenaga dengan sasaran 31 peratus Tenaga Diperbaharui (RE) dalam kapasiti terpasang pada tahun 2025, dan 40 peratus pada tahun 2035, sebagai rancangan peralihan tenaga hingga tahun 2040.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dalam kenyataan malam ini berkata Menterinya Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah telah berkongsi rancangan peralihan tenaga Malaysia dengan Menteri-menteri Tenaga ASEAN dan perwakilan lain yang mengambil bahagian dalam Mesyuarat Khas Menteri-menteri ASEAN Mengenai Tenaga serta Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, yang berlangsung secara maya hari ini.

Dalam mesyuarat itu Shamsul Anuar berkata kapasiti terpasang bagi RE di Malaysia setakat ini adalah 7,995 megawatt (MW), dan menjelang 2035, kapasitinya diunjurkan meningkat sekali ganda sehingga 18,000 MW.

“Menteri juga menjelaskan bahawa untuk meningkatkan pengagihan RE dalam gabungan kapasiti tenaga, kerajaan akan memberi tumpuan kepada Semenanjung Malaysia, memandangkan ia meliputi 80 peratus permintaan elektrik negara.

“Daripada 31 peratus sasaran RE pada tahun 2025, 26 peratus adalah dari Semenanjung Malaysia dan dari 40 peratus sasaran pada tahun 2035, Semenanjung mewakili 32 peratus.

“Kapasiti RE di Semenanjung diunjurkan meningkat daripada 4,430 MW ketika ini kepada 10,944 MW dalam 15 tahun akan datang. Memandangkan solar memiliki potensi tertinggi, Malaysia merancang untuk memperkenalkan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), dengan jumlah kapasiti 500 MW mulai 2030 dan tahun seterusnya,” menurut kenyataan itu.

Dalam mesyuarat itu, Shamsul Anuar berkata dengan sasaran RE itu, kepekatan pelepasan karbon disasar untuk dikurangkan 45 peratus pada tahun 2030, dan seterusnya 60 peratus pada tahun 2035, berbanding tahap 2005 yang merupakan selaras dengan sasaran Sumbangan Yang Ditentukan Negara (NDCs) di bawah Perjanjian Iklim Paris.
Beliau turut menegaskan bahawa rancangan peralihan tenaga Malaysia perlulah mengikut kemampuan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 7 memastikan akses kepada tenaga yang mampu dimiliki, mampan dan moden untuk semua.

“Sehubungan itu semasa Malaysia berusaha untuk mencapai sasaran RE yang lebih tinggi dalam gabungan kapasitinya, kementerian (KeTSA) juga mempertimbangkan kemampuan rakyat terhadap peralihan tenaga dan ketahanan sistem tenaga Malaysia,” katanya.

Shamsul Anuar berkata lebih daripada 7,000 MW Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) loji janakuasa arang batu akan berakhir pada tahun 2033, dan digantikan kebanyakannya dengan gas dan RE, yang sekali gus menurunkan pelepasan karbon Malaysia.

“Walaupun Malaysia tidak akan membangun loji tenaga arang batu baharu, KeTSA tidak menolak pilihan untuk melanjutkan operasi loji itu, namun keputusan untuk lanjutannya bergantung kepada ketersediaan teknologi di masa depan dalam mengurangkan pelepasan dan juga kos penggunaan teknologi itu,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu Shamsul Anuar berkata memandangkan solar memiliki potensi tertinggi di Semenanjung, kebanyakan RE Malaysia akan disumbangkan oleh solar, dan pihak kementerian akan memperkenalkan skala utiliti BESS dengan jumlah kapasiti 500 MW dari 2030-2034.

“ASEAN akan terus bekerjasama dengan pelbagai rakan dialog dan organisasi antarabangsa untuk mencapai matlamat tenaga lestari. Malaysia menghargai sokongan yang diberikan oleh Jepun untuk meningkatkan lagi dasar dan programnya, yang akan membantu mengubah sistem tenaga kita ke arah pelepasan karbon yang lebih rendah.

“Malaysia mengalu-alukan Inisiatif Peralihan Tenaga Asia (AETI) Jepun dalam memberikan sokongan dari segi kepakaran, perkongsian pengetahuan dan peningkatan kapasiti ke arah pembangunan tenaga yang lestari, berpatutan dan boleh diharapkan di masa depan untuk ASEAN,” menurut kenyataan itu.

Sempena Mesyuarat Khas Menteri-menteri Tenaga ASEAN, serta Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun; para menteri ASEAN bersama-sama dengan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, telah mengeluarkan Pernyataan Bersama mengenai “Meningkatkan Perkongsian dalam Merealisasikan Peralihan Tenaga di ASEAN ”.

Source: Bernama

Malaysia kongsi rancangan peralihan tenaga dengan Menteri Tenaga ASEAN


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyeru industri yang belum berdaftar dengan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) agar segera berbuat demikian bagi mencapai tahap imuniti kelompok negara.

Menteri Kanan merangkap menteri MITI Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kementerian itu telah memperkenalkan PIKAS khusus untuk pekerja-pekerja sektor pembuatan sejak 16 Jun lepas bagi mengelakkan jangkitan virus daripada terus meningkat dalam kalangan pekerja, terutamanya dalam subsektor pembuatan.

Di bawah PIKAS, Mohamed Azmin berkata MITI menyasarkan seramai dua juta pekerja sektor pembuatan akan mencapai imuniti kelompok selewat-lewatnya September ini.

“Untuk merealisasikan perkara ini, ia juga bergantung kepada bekalan vaksin termasuk tenaga kerja dari segi bilangan doktor dan pasukan kesihatan yang ditempatkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) PIKAS.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah memberi jaminan kita akan menerima lebih banyak dos vaksin pada Ogos nanti. Jika cepat kita laksanakan, cepat juga kita akan kembali kepada kehidupan biasa, namun tetap dengan norma baharu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, melihat kepada data-data KKM, beliau sedia maklum bahawa kluster baharu pada masa ini kebanyakannya adalah dari tempat kerja.

“Saya faham, mungkin ada yang menyoal kenapa sesetengah sektor itu dibenarkan beroperasi sedangkan sekarang negara di bawah perintah sekatan pergerakan penuh,” katanya.

Beliau berkata keputusan membenarkan sektor pembuatan dibuka kerana ia merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan produk dan perkhidmatan yang perlu termasuk untuk menyokong kelancaran fungsi infrastruktur seperti penjagaan kesihatan awam.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, bagi syarikat-syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan MITI, kementerian tidak akan teragak-agak untuk memberi kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

Sumber: Bernama

Industri belum daftar PIKAS diminta segera berbuat demikian – Azmin


Content Type:

Duration:

Micron Malaysia yang membuat pelaburan sehingga RM1.5 bilion dalam tempoh 10 tahun, amat yakin dengan prospek masa depannya di negara ini, dirangsang oleh gelombang positif sektor semikonduktor dan ekonomi digital.

Naib Presiden dan Pengurus Negara Micron Malaysia, Amarjit Singh Sandhu, berkata syarikat itu, sebuah entiti di bawah Micron Technology Inc yang tersenarai di Nasdaq, pertama kali mengumumkan rancangan pelaburannya di Pulau Pinang, khususnya di Batu Kawan pada 2018 dengan merancang menubuhkan Pusat Kecemerlangan (CoE) Micron untuk pemasangan dan ujian pemacu keadaan pepejal (SSD).

“Terdapat banyak aspek berbeza dalam ekonomi digital serta ada pelbagai aplikasi, baik 5G, pertumbuhan pusat data, permainan, peranti untuk pembelajaran dalam talian, e-dagang dan sebagainya. Kami mengambil bahagian dalam semua sektor yang berbeza ini.

“Semikonduktor sangat penting dari segi keperluan ekonomi digital dan hala tuju dunia. Justeru, kami sangat yakin dari segi potensi dan peluang pertumbuhan kami, khususnya dalam pasaran ini,” katanya kepada Bernama.

Mengulas mengenai operasinya di Pulau Pinang, beliau berkata operasi berjalan lancar walaupun dalam situasi pandemik COVID-19 dengan penyiapan bangunannya serta pengambilan lebih daripada 2,000 pekerja, malah turut berjaya membuat penghantaran produk kepada pengguna utama.

Amarjit berkata, Micron Technology pada umumnya fokus untuk mengembangkan perniagaan memori dan penyimpanan manakala Micron Malaysia pula berada dalam kedudukan baik untuk berkembang dengan kehadiran keseluruhan syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu dalam ruang semikonduktor.

“Sudah tentulah kami mempunyai rancangan pengembangan di sini dan ia sentiasa dikaji; tetapi pada ketika ini, kami sibuk mempersiapkan operasi dan sebaik sahaja rancangan itu sudah pasti, kami akan mengumumkannya.

“Melangkah ke hadapan, kami amat yakin dengan prospek di sini. Apabila keadaan pandemik bertambah baik dalam beberapa bulan mendatang, itu akan membantu kami mempercepatkan pertumbuhan operasi di Pulau Pinang,” jelasnya.

Sumber: Bernama

Micron yakin prospek perniagaan di Malaysia


Content Type:

Duration:

Kumpulan Powernet Bhd (KPower) berjaya berkembang di pasaran domestik dan global dalam masa yang singkat terutama sekali dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, kata Pengarah Urusan dan Timbalan Pengerusi Kumpulannya, Mustakim Mat Nun.

Menurutnya, syarikat berada di landasan yang betul dan disokong oleh prospek pertumbuhan yang cerah.

Sehingga kini, KPower memenangi beberapa projek besar dalam industri tenaga dan solar di pasaran antarabangsa.

“Setakat ini, kami berjaya meraih lebih 50 peratus kontrak melalui tender terbuka dengan nilai melebihi RM2 bilion daripada jumlah tender dibida yang bernilai lebih RM4 bilion.

“Jumlah tender yang dimenangi ini adalah daripada pasaran domestik dan antarabangsa iaitu Nepal, Indonesia serta Laos. Tender yang dibida turut membabitkan bidaan di Asia Barat sebagai strategi penembusan pasaran ke rantau berkenaan,” jelas Mustakim.

Dengan pertumbuhan yang memberangsangkan dan prospek yang cerah, KPower berjaya menarik minat pelabur melalui permintaan global bagi sektor tenaga boleh diperbaharui.

Walaupun pasaran dan ekonomi kini dalam keadaan yang tidak seimbang, KPower berjaya merangka semula perniagaannya dengan menceburi segmen perniagaan baharu untuk menjana aliran pendapatan yang mampan, selain memajukan perniagaan sedia ada.

Dalam masa hanya beberapa tahun, KPower berjaya mempelbagaikan aliran pendapatannya melalui empat segmen perniagaan utama iaitu tenaga dan utiliti, pembangunan hartanah, logistik serta industri kesihatan dan teknologi, katanya.

Kejayaan KPower disokong oleh barisan pengurusan profesional yang berpengalaman luas dalam pengurusan projek dan pelaksanaan, aktiviti pembinaan dan pelaburan terutama dalam sektor utiliti dan tenaga boleh diperbaharui.

KPower memulakan model pemilikan aset tunggalnya apabila disenarai pendek bagi projek Solar Berskala Besar keempat (LSS4) untuk pembangunan loji fotovolta solar (PV) 50MW di Pahang.

Kemenangan projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) sebanyak RM475 juta baru-baru ini adalah projek kuasa hidro pertama di Pahang bagi syarikat itu.

KPower turut memperoleh projek bernilai RM2.37 bilion di seluruh Malaysia, Laos, Indonesia dan Nepal sejak Jun 2019.

Melalui kejayaan ini, KPower mengukuhkan prestasi kewangannya melalui segmen perniagaan baharu.

Syarikat merekodkan peningkatan dalam perolehan sebanyak 334 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga tahun kewangan 2021 dengan keuntungan melonjak 432 peratus tahun ke tahun dalam tempoh yang sama.

Keputusan memberangsangkan ini didorong oleh aktiviti berkaitan pembinaan terutama tapak projek sedia ada, permulaan kerja-kerja di Indonesia dan sumbangan daripada projek-projek berdasarkan pesanan di Malaysia dan luar negara.

KPower sentiasa aktif meneroka dalam peluang perniagaan baharu melalui penggabungan dan pengambilalihan yang berpotensi untuk meningkatkan prospek perniagaan.

Daripada sasaran tempahan kontrak bernilai RM2 bilion untuk tahun kewangan 2021, projek bernilai RM1.158 bilion sudah dimenangi sehingga kini.

Setakat 20 Mei 2021, KPower merekodkan tempahan kontrak tertunggak sebanyak RM1.9 bilion.

Sumber: Bernama

KPower kuasai pasaran tenaga, solar global


Content Type:

Duration:

Pemulihan ekonomi untuk separuh kedua tahun ini dijangka kukuh merentasi pasaran-pasaran maju seperti yang ditunjukkan oleh Indeks Pengurus Pembelian (PMI) untuk bulan April 2021, kata seorang penganalisis.

Pengarah Urusan Affin Hwang Asset Management Bhd Datuk Teng Chee Wai berkata antaranya, pemulihan ini akan disokong oleh pemberian vaksin COVID-19, yang membolehkan ekonomi dibuka semula.

“Pasaran maju pula jauh ke hadapan dari segi pemberian vaksinasi kepada penduduknya, sementara pasaran pesat membangun masih lagi berusaha dengan pemberian yang agak perlahan dan ini akan menjejaskan pemulihan ekonomi,” katanya pada webinar Kajian dan Tinjauan Pasaran 2021 Affin Hwang AM di sini hari ini.

Sementara itu, Teng berkata Malaysia kekal sebagai pasaran pelaburan yang menarik dalam kalangan rakan setaranya di ASEAN terutama dalam sektor pembuatan.

Walaupun terdapat ketidakpastian yang berpanjangan dalam lingkungan ‘’kebisingan’’ geopolitik yang semakin meningkat, peluang pelaburan masih ada, tambahnya.

Teng menambah sektor pembuatan di negara ini berada di jalan pemulihan, didorong oleh peningkatan sederhana dalam perbelanjaan pengguna untuk kenderaan, elektronik isi rumah, perbelanjaan berterusan bagi barangan asas dan bahan binaan.

Pada 5 Mei, IHS Markit berkata sektor pembuatan Malaysia mencatat pertumbuhan memberangsangkan pada April 2021 dengan PMI meningkat melepasi paras neutral 50.0 untuk pertama kalinya dalam tempoh 10 bulan dan untuk kali kedua sejak September 2018.

Malaysia mencatatkan PMI 53.9 pada April, kadar pertumbuhan terpantas dalam sejarah sejak pertengahan 2012.

Mengenai prospek ringgit, Teng berkata unit tempatan dijangka ‘tersekat’ dalam jarak yang sempit di tengah kekurangan petunjuk baharu.

“Kebimbangan berterusan mengenai kesihatan ekonomi dan kebangkitan semula kes COVID-19 dijangka dapat merancakkan permintaan untuk dolar AS, justeru, melemahkan mata wang Asia yang lain termasuk ringgit,” katanya.

Ringgit cenderung mencecah 4.1750 berbanding dolar AS minggu depan terutamanya dipengaruhi oleh faktor luaran.

Sumber: Bernama

Ekonomi global akan pulih pada separuh kedua 2021


Content Type:

Duration:

Pulau Pinang, yang merupakan hab pembuatan utama negara, dijangka menyaksikan peningkatan pelaburan ke dalam sektor pembuatan menjelang separuh kedua 2022 berikutan tahun penyatuan pada 2021.

Penasihat Pelaburan Khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Seri Lee Kah Choon berkata jumlah pelaburan pembuatan yang diluluskan di Pulau Pinang masing-masing sebanyak RM14.1 bilion serta RM16.9 bilion pada 2019 dan 2020.

“Selepas dua tahun prestasi pelaburan yang cemerlang termasuk pencapaian tertinggi sepanjang masa pada 2019, 2021 disifatkan sebagai tahun penyatuan bagi industri pembuatan, yang konsisten dengan trend sejarah pelaburan Pulau Pinang.

“Walaupun berdepan dengan cabaran pandemik, sasaran Pulau Pinang untuk pelaburan pembuatan pada 2021 adalah RM5 bilion,” katanya semasa taklimat media dalam talian mengenai prospek pelaburan negeri itu.

Beliau berkata permintaan pelaburan dijangka melonjak sebaik sahaja pandemik COVID-19 menjadi lebih terkawal, dirangsang oleh pelancaran teknologi baharu seperti 5G, kecerdasan buatan dan automasi.

Tambahnya, apabila keadaan bertambah baik dan sempadan dibuka walaupun hanya sebahagian, komuniti pelaburan dijangka aktif.

Pada suku pertama tahun ini, Pulau Pinang mencatatkan sejumlah RM1.1 bilion dalam pelaburan pembuatan yang diluluskan.

Lee berkata daripada nilai keseluruhan semasa suku pertama, RM567 juta atau 52 peratus daripada jumlah pelaburan pembuatan yang diluluskan diperoleh daripada pelaburan langsung domestik dan baki RM516 juta (48 peratus) datang melalui pelaburan langsung asing.

Tiga industri pembuatan teratas bagi pelaburan yang diluluskan di Pulau Pinang pada suku tersebut adalah produk fabrikasi logam (RM433 juta), jentera dan peralatan (RM226 juta) serta elektrik dan elektronik (RM163 juta).

Sumber: Bernama

Pulau Pinang sasar pelaburan pembuatan akan meningkat pada 2022


Content Type:

Duration:

wpChatIcon