2021 Archives - Page 26 of 33 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Spritzer beli lapan lot tanah RM76.11 juta

Anak syarikat milik penuh Spritzer Bhd, Chuan Sin Sdn Bhd bercadang untuk membeli lapan lot tanah pertanian daripada Trong Oil Palm Estate Sdn Bhd dengan harga RM76.11 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Spritzer berkata, pihaknya memeterai perjanjian jual beli bagi cadangan pengambilalihan lot tanah yang berukuran kira-kira 496.79 hektar itu.

Lot tanah itu yang terletak berhampiran bandar Trong, Perak, ketika ini ditanam dengan pokok kelapa sawit yang berusia antara tujuh dan 32 tahun.

Spritzer berkata cadangan pembelian itu adalah bagi pengembangan masa depan Chuan Sin kerana kedudukan tanah itu yang terletak berdekatan dengan Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Barat menjadikannya tapak yang sesuai untuk kilang air mineral.

Justeru itu, produknya dapat diangkut dengan lebih cekap ke semua tempat di sepanjang lebuh raya.

“Selepas berjaya mendirikan kilang air mineral tersebut, cadangan pembelian itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa depan syarikat,” katanya sambil menambah pengambilalihan tanah itu akan dibiayai dana dalaman.

Sumber: Bernama

Spritzer beli lapan lot tanah RM76.11 juta


Content Type:

Duration:

MIDF Research mengekalkan saranan ‘positif’ terhadap sektor automotif susulan perkembangan positif membabitkan pemulihannya berbanding prestasi lebih lemah yang dicatat pada Januari lepas.

Dalam nota penyelidikannya pada Khamis, ia berkata prestasi sektor itu pada Januari dijejaskan oleh faktor membabitkan kekangan inventori selepas mencatat suku keempat 2020 yang lebih kukuh selain kekurangan bekalan komponen dan cip di peringkat global.

“Dua faktor pertama itu telah ditangani berikutan keputusan membenarkan aktiviti pembuatan beroperasi semula, termasuk di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Namun, masalah kekurangan cip masih ketara sehingga pertengahan tahun 2021 walaupun impaknya terhad kepada model tertentu di pasaran.

“Selain itu, jumlah kehadiran di bilik-bilik pameran juga menunjukkan peningkatan semula selepas PKP di negeri-negeri tertentu ditamatkan,” katanya.

Menurut MIDF Research, setakat tahun ini, jumlah keseluruhan industri (TIV) susut 10 peratus kepada 75,621 unit.

Bagaimanapun, data bagi Mac-April dijangkakan meningkat berikutan tamatnya sekatan pergerakan 10 kilometer, operasi penuh Jabatan Pengangkutan Jalan dan pembelian pra-Hari Raya Aidiltri.

Malah, TIV bagi Mac-April 2021 itu mengatasi angka lebih lemah pada tempoh sama tahun lepas (dengan jualan hanya 165 unit pada April 2020) yang terjejas teruk akibat PKP.

Sementara itu, CGS-CIMB dalam nota penyelidikannya, mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor automotif dan menyasarkan TIV 2021 mencecah 580,000 atau 10 peratus lebih tinggi tahun ke tahun berikutan peningkatan jualan diraih Proton (20 peratus tahun ke tahun) dan Perodua (13 peratus tahun ke tahun) yang didorong oleh beberapa pelancaran model baharu.

“Kami berpendapat bahawa permintaan terhadap X50 dan X70 kekal kukuh dengan pihak pengurusan Proton menyatakan pada sesi taklimat keputusan kewangan suku keempat 2020 DRB-Hicom bahawa model-model tersebut mengalami kelewatan tempahan kira-kira 3-4 bulan.

“Perodua pula telah menerima lebih 8,000 tempahan bagi Kenderaan Utiliti Sukan terbaharunya, Ativa. Secara keseluruhannya, kami menjangkakan perkembangan positif ini dapat merangsang pertumbuhan TIV bagi suku kedua 2021 dan tempoh selepas itu,” kata CGS-CIMB.

Sumber: Bernama

Sektor automotif dijangka pulih susulan permintaan kukuh – Firma penyelidikan


Content Type:

Duration:

Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menjadi syarikat tenaga global yang pertama mengeluarkan gas asli cecair (LNG) daripada dua kemudahan terapung berikutan penghantaran kargo pertama oleh Petronas Floating LNG DUA (PFLNG DUA) pada 24 Mac, 2021.

Kargo tersebut dimuatkan ke dalam kapal pengangkut LNG Seri Camar yang dikendalikan oleh MISC Bhd untuk penghantaran kepada Pembeli LNG Petronas di Thailand, katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Petronas berkata PFLNG DUA, kini terletak di lapangan gas Blok H Rotan, 140 kilometer di luar pesisir Sabah, mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 1.5 juta tan LNG setahun dan beroperasi pada kedalaman air 1,300 meter.

Katanya pencapaian ini mengesahkan usaha berterusan Petronas untuk membuka lapangan gas laut dalam dan terdampar dengan penyelesaian LNG terapung (FLNG) yang lebih mampan dan menjimatkan berbanding penyelesaian konvensional.

“Petronas berbangga dengan pencapaian ini daripada kemudahan LNG terapung kedua kami. Kargo pertama PFLNG DUA menunjukkan komitmen kami untuk meneruskan usaha perintis kami dalam menyediakan penyelesaian yang lebih mampan untuk memanfaatkan lagi nilai daripada pengeluaran LNG melalui kemajuan teknologi.

“Begitu juga dengan kemudahan terapung utama kami, mobiliti PFLNG DUA akan membolehkan kami membuka lebih banyak lapangan gas yang terpencil dan terdampar pada masa depan, menyediakan Petronas dengan sumber LNG yang baharu dan mampan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap tenaga bersih,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Petronas berkata dengan penghantaran kargo pertama PFLNG DUA, Petronas terus memperluas kepimpinannya dalam teknologi FLNG, selepas memperkenalkan PFLNG SATU, LNG terapung operasi pertama di dunia, pada 2016.

PFLNG SATU turut menyelesaikan penempatan semula FLNG yang pertama di dunia apabila ia dipindahkan ke lapangan gas Kebabangan, Sabah dari lapangan gas Kanowit di Sarawak pada Mac 2019.

Sumber: Bernama

Petronas, syarikat tenaga global pertama hasilkan LNG daripada dua kemudahan terapung


Content Type:

Duration:

Pemanjangan landasan dan pembinaan lapangan terbang  antarabangsa baharu antara rancangan kerajaan negeri  bagi menampung keperluan pelancong kesihatan dan permintaan dari kalangan pelabur dalam negeri.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata cadangan itu bagaimanapun bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan kerana kos perbelanjaannya yang tinggi.

Beliau berkata ini kerana Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh tidak dapat menampung pendaratan kapal terbang yang besar kerana landasan yang pendek.

“Kalau kita ingin panjangkan landasan lapangan terbang itu, kita terpaksa membayar pampasan yang tinggi kerana ia berdekatan dengan sekolah dan kawasan perumahan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Kedai Bergerak Negeri Perak (KBNP) peringkat negeri di Arena Square Lawin hari ini.

Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan berkata kerajaan negeri menyedari permintaan dari kalangan pelancong dan pelabur yang ratarata jika diberi pilihan tidak mahu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terlebih dahulu untuk ke Ipoh.

Beliau berkata bagi pelancong perubatan yang mahu mendapatkan rawatan di sini juga, mereka terpaksa turun di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di Pulau Pinang untuk datang ke Ipoh.

“Kita ada kawasan yang perlu dikenal pasti dan pemilihan kawasan baharu itu kena betul,” katanya, namun beliau tidak mendedahkan lokasi yang dicadangkan.

Sebelum ini Perak pernah merancang untuk memanjangkan landasan LTSAS lagi 500 meter menjadikan keseluruhannya 2.5 kilometer (km).

Sementara itu, Saarani berkata 40 lokasi KBNP akan dilaksanakan di seluruh negeri ini dengan tujuan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan COVID-19 mendapatkan barangan kering dan basah dengan harga yang murah dan menjimatkan berbanding di kedai lain.

Menurutnya, KBNP menawarkan harga murah dengan diskaun sehingga 25 peratus bagi membolehkan rakyat terutama di luar bandar dan di pinggir bandar yang hilang pendapatan dan pekerjaan membeli barangan keperluan dengan harga berpatutan.

“KBNP mendapat sumbangan daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang menjadi rakan penaja KBNP manakala Yayasan Bena Upaya (YBU) sebagai urusetianya,” katanya.

KBNP diwujudkan semula sebagai menggantikan Kedai Bergerak Amanjaya yang pernah diwujudkan pada 2014.

Sumber: Bernama

Perak tinjau kemungkinan bina lapangan terbang baharu


Content Type:

Duration:

Inisiatif di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) akan menyaksikan automasi dan ekonomi digital menjadi sektor penting, ia akan memulihkan ekonomi dengan lebih meluas menerusi peningkatan produktiviti dan inovasi teknologi, kata VentureTECH.

Pengarah Urusannya, Dr Norida Abd Rahman berkata fokus kepada inisiatif automasi dan digitalisasi di bawah Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) sudah pasti akan mendorong syarikat tempatan untuk segera meningkatkan pelaburan mereka dalam automasi supaya kekal kompetitif daripada segi kos dan inovatif.

Beliau berkata  sebelum penularan COVID-19, VentureTECH telah aktif mempromosikan penggunaan  IR4.0, terutama automasi dan digitalisasi antara syarikat portfolio di industri baharu dan bernilai tambah tinggi.

“Kami juga melabur dalam bidang seperti ‘remote sensing’, komunikasi, automasi dan robotik seperti tenaga pintar, pembuatan pintar dan mobiliti, dan subsector berasaskan pembuatan dan asas tani lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika pandemik, beliau berkata VentureTECH telah berhubung dengan agensi kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) serta institusi kewangan untuk menggabungkan sokongan dalam membantu syarikat tempatan meneruskan perniagaan dan berkembang.

Norida berkata syarikat-syarikat yang menawarkan penyelesaian teknologi kompetitif  dan terkini akan berada dalam kedudukan  yang baik  apabila  ekonomi bertambah baik.

“Sebagai pelabur ekuiti impak yang mensasarkan  hasil sosioekonomi, kami berharap aktiviti pelaburan kami dalam situasi semasa akan terus melahirkan pekerja berkemahiran tinggi, mempromosikan inovasi dan mendorong kerjasama strategik serta sinergi perniagaan melalui pelabur kami.

“Kami juga berharap dapat terus memperkasakan ekonomi dan pembangunan sosioekonomi Bumiputera dengan memperkukuhkan  kompetensi teknologi dan operasi dalaman serta mengenal pasti peluang perniagaan baharu dalam tempoh pemulihan ketika krisis pandemik,” katanya.

Sumber: Bernama

Inisiatif di bawah PEMERKASA akan lonjakkan automasi, ekonomi digital – VentureTECH


Content Type:

Duration:

Taman halal di Malaysia mencatatkan peningkatan pelaburan langsung domestik (DDI) sebanyak RM200 juta atau 1.25 peratus pada 2020, kata Halal Development Corporation Bhd (HDC).

Sehingga kini, taman halal di Malaysia berjaya menarik jumlah pelaburan kumulatif sebanyak RM16.1 bilion sejak 2011, menunjukkan bahawa industri halal tempatan masih berkembang meskipun berdepan banyak cabaran ketika ini.

Daripada jumlah ini, RM9.5 bililon atau 59 peratus adalah pelaburan langsung asing (FDI) manakala RM6.6 bilion atau 41 peratus adalah DDI.

Pada masa ini sejumlah 295 syarikat sedang beroperasi di 21 taman halal di seluruh Malaysia, dengan 42 syarikat atau 143 peratus adalah perbadanan multinasional, manakala 253 syarikat atau 85.7 peratus syorikat milk tempatan” katanya dalam satu kenyataan hani ini

HDC berkata Malaysia menerajui Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIE) tahunan bagi 2020/21 selama lapan tahun berturut-turut, apabila ia menduduki tempat pertama bagi empat daripada enam kategori termasuk sektor makanan halal, kewangan Islam, pelancongan mesra Muslim dan farmaseutikal serta kosmetik.

“Malaysia juga berada di kedudukan kedua dan keempat masingmasing dalam sektor media dan rekreasi serta fesyen sederhana, dalam Laporan Tahunan Ekonomi Islam Global (SGIE) yang diterbitkan oleh firma penyelidikan strategi dan penasihat antarabangsa, DinarStandard,” katanya

Menurut HDC, Singapura merupakan pengimport produk halal terbesar Malaysia pada 2020 dengan jumlah eksport bernilai RM4,10 bilion.

“Negara itu mengetepikan China di kedudukan dua dengan jumlah eksport bernilai RM3.44 bilion, manakala Amerika Syarikat di tempat ketiga dengan RM1.74 bilion dan Thailand (RM148 bilion) serta Indonesia (AM1.34 billon) masing-masing berada di tempat keempat dan kelima.

Ini sedikit sebanyak dapat meringankan impak penuh ekonomi akibat daripada penutupan sempadan yang menyaksikan eksport halal Malaysia menguncup kira-kira RM10 bilion, susut daripada RM40.2 bilion pada 2019 kepada hanya RiM30.5 billon sepanjang 2020.

Penurunan nilai eksport halal itu juga selari dengan penyusutan 19 peratus bilangan pengeksport halal Malaysia, daripada 1,876 pada 2019 kepada 1,507 pada 2020, kata HDC.

Dari segi sumbangan mengikut sektor, makanan dan minuman halal terus menjadi penyumbang utama kepada ekonomi halal bemilai sebanyak RM1740 bilion, diikuti ramuan halal (RM8.83 bilion), kosmetik dan penjagaan peribadi (RM267 bilion), derivative minyak sawit (RMO.89 bilion), kimia perindustrian (RMO.47 bilion) dan farmaseutikal halal (RMO.30 bilion).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari berkata eksport halal tahunan Malaysia pada asalnya diunjur mencecah RM42 bilion menjelang 2020.

Bagaimanapun, tahun lepas merupakan tahun yang sangat mencabar dengan keadaan harga minyak mentah yang tidak menentu dan penularan pandemik CoVID-19.

Meskipun keadaan yang tidak menentu inį industri halal tempatan terus mempamerkan daya tahan yang padu berkutan asasrya yang kukurn katanya

Hairol Arifein berkata HDC akan berusaha untuk memenuhi misi utamarya bagi memudahkan kemasukan penggiat industri ke dalam ekonomi halal serta meningkatkan jumlah eksport halal Malaysia dan jumlah pelaburan langsung ke taman halal.

Beberapa inisiatif telahpun difangka bagi tujuan ini termasuk pengenalan unit taman halal komersial HDC, Platform Bersepadu Halal, Institut Latihan Halal dan Perunding dan Penasihat Halal untuk menarik sekurang-kurangnya 50,000 syorikat peruUsahaan kecil dan sederhana bagi menyertai industri terseburt katanya.

Sumber: Bernama

Taman Halal Malaysia catat peningkatan pelaburan langsung domestik RM200 juta


Content Type:

Duration:

Firma Amerika Syarikat (AS) dan Eropah memilih Malaysia sebagai negara kedua terbaik selepas Singapura di Asia Tenggara untuk menubuh atau mengembangkan sumber, operasi atau jualan bagi tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.

Menurut kajian Standard Chartered, ‘Perniagaan Tanpa Sempadan’, ketua pegawai kewangan dan perbendaharaan di AS, United Kingdom (UK), Jerman dan Perancis menyatakan walaupun wujud ketidaktentuan disebabkan COVID-19 dan kesan ekonomi, pasaran luar negara kekal menjadi kunci pertumbuhan.

Kajian itu juga menyatakan penekanan tambahan diperlukan pelabur untuk melabur dalam teknologi digital, aliran kewangan dan meningkatkan tumpuan terhadap isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang berkaitan dengan perdagangan serta rantaian bekalan.

“Penekanan yang menjadi perhatian utama dalam kalangan responden yang ingin berkembang ke pasaran luar negara membuka peluang kepada Malaysia meningkatkan pelaburan asing berpotensi menerusi kesedaran lebih tinggi mengenai kelonggaran untuk menjalankan perniagaan di sini,” katanya.

Tahun lalu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia mencecah RM64.2 bilion.

Menurut kajian Standard Chartered, pelancaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) baru-baru ini, dijangka dapat mempercepatkan hasrat Malaysia menjadi ekonomi berteknologi maju dan memberi sokongan kepada pelaburan asing berprofil tinggi, termasuk syarikat yang terbabit dalam sektor pembuatan serta perkhidmatan yang tersenarai dalam Fortune 500.

Kajian itu menjelaskan, MyDIGITAL dijangka menarik nilai pelaburan berpotensi mencecah RM81.9 bilion.

“Asia kekal sebagai rantau pertumbuhan utama dengan lebih 85 peratus responden beroperasi atau mempertimbang untuk aktiviti perniagaan.

“Afrika dan Asia Barat juga memperlihatkan peningkatan marginal empat peratus menjadi pasaran yang memiliki pertumbuhan berpotensi untuk tempoh enam hingga 12 bulan akan datang,” katanya.

Kajian Standard Chartered turut mendapati, walaupun terdapat hasrat untuk berkembang di peringkat antarabangsa, pemahaman mengenai keperluan pengawalseliaan di pasaran luar negara tetap menjadi halangan terbesar (35 peratus) bagi syarikat yang ingin berkembang atau memperkukuhkan operasi antarabangsanya.

“Ini diikuti oleh keperluan untuk membina hubungan dengan pembekal dan penyesuaian aspek logistik rantaian bekalan (21 peratus).

“Ketika syarikat memandang ke hadapan dalam persekitaran pasca pandemik, tiga keutamaan responden menunjukkan sedikit perubahan pelbagai isu termasuk kegagalan rantaian bekalan (50 peratus) dan keperluan kecairan (47 peratus) hinggalah peningkatan pelaburan dalam pendigitalan bagi menggerakkan kecairan (66 peratus dan ESG (23 peratus),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Abrar A Anwar, berkata Malaysia menjadi pasaran pertumbuhan penting kepada syarikat itu dan ia akan terus melabur dalam aspek teknologi bagi membantu pelanggan perbankan runcit, institusi dan komersial untuk berkembang.

“Berdasarkan legasi kukuh selama 146 tahun di Malaysia, kami sangat komited untuk mempermudahkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Peningkatan keyakinan di negara ini ditambah dengan kehadiran Standard Chartered di Asia, Afrika dan Asia Barat adalah tepat di tengah-tengah laluan perdagangan global yang dengan mudah menghubungkan dunia dengan Malaysia serta Malaysia ke dunia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Malaysia destinasi kedua pilihan pelabur di Asia Tenggara


Content Type:

Duration:

Malaysia boleh menjadi peneraju dalam pertumbuhan ekonomi di rantau ini dengan melaksanakan ekonomi digital yang inklusif dan berdaya tahan dari segi reka bentuk, membolehkan penyertaan aktif daripada orang kurang upaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dengan 90.1 peratus daripada isi rumah di Malaysia kini dihubungkan melalui jalur lebar mudah alih dan tetap, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) menyasarkan untuk mencapai 100 peratus kebolehcapaian Internet di seluruh isi rumah menjelang 2025.

“Berdasarkan amalan kerja jarak jauh daripada normal baharu, kita mempunyai peluang untuk mengarusperdanakan akses sebagai pertimbangan untuk merealisasikan aspirasi ekonomi digital Malaysia.

“Covid-19 telah memaksa interaksi pendidikan, sosial, dan ekonomi ke ruang dalam talian. Melalui rangka tindakan ini, kami menyasarkan untuk mendigitalkan sektor awam kami, membina infrastruktur digital, membangunkan tenaga kerja kami yang sedia digital, meningkatkan ekonomi kita dan memupuk masyarakat yang lebih inklusif,” katanya.

Mustapa berkata demikian pada Siri Dialog Digital 2021 mengenai MyDIGITAL anjuran Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI), sebuah kumpulan pemikir yang tidak memihak bertanggungjawab untuk mempromosikan dasar-dasar berasaskan bukti yang menangani isu ketaksamaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SERI Helmy Haja Mydin berkongsi bahawa ekonomi digital pada masa ini menyumbang 19.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan diunjurkan akan mencapai 20 peratus pada tahun ini.

“Kami menantikan pelaksanaan rangka tindakan yang inklusif yang akan mempercepatkan usaha negara untuk mengatasi sasaran rangka tindakan sebanyak 22.6 peratus untuk sumbangan ekonomi digital kepada KDNK menjelang 2025.

“Sebagai kerajaan yang berusaha ke arah visi pembangunan sosio-ekonomi yang dipercayai, inklusif dan mampan, kita perlu memastikan pelaksanaannya berpadanan dengan aspirasi rangka tindakan yang komprehensif ini,” katanya.

Seorang ahli panel dalam dialog tersebut, Pengarah Hal Ehwal Undang-Undang dan Kerajaan, Pasaran Baharu ASEAN dan SEA Microsoft Dr Jasmine Begum, berpandangan bahawa data menyediakan dorongan yang diperlukan untuk teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan dan Pengkomputeran Kuantum.

“Dengan data menjadi nadi ekonomi digital, membuka potensi era digital akan bergantung kepada kemampuan individu untuk berinovasi, bersaing dan melakukan transaksi merentas sempadan.

“Dasar Digital Pertama, Pengkomputeran Awan Pertama digariskan dalam rangka tindakan yang akan terus menggalakkan inovasi dalam sektor awam dan swasta selain mempercepatkan transformasi negara untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital,” katanya.

Mengenai Malaysia, katanya usaha kerajaan untuk membuka sempadan digital akan memperluaskan peluangnya melebihi 32 juta orang, dengan aliran data rentas sempadan intra-ASEAN membolehkan daya saing dan pertumbuhan ekonomi yang lebih besar dalam pasaran 20 kali lebih besar daripada jumlah penduduk negara ini, katanya.

Sementara itu, ahli panel lain, Rakan Pengurusan Bersama Southeast Asia Roland Berger, John Low, berpendapat bahawa pengecualian digital ternyata tidak menjadi masalah yang unik kepada Malaysia.

Di Asia Tenggara, sebuah rantau dengan kira-kira 700 juta orang, 150 juta individu dewasa dianggarkan dikecualikan dari segi digital, katanya, sambil menambah pengecualian itu didorong oleh ketidakupayaan, buta huruf, gender, usia, kekayaan dan tumpuan aktiviti ekonomi yang didominasi di kawasan bandar.

“Faktor utama untuk merapatkan jurang adalah dengan memahami tahap sedia negara dalam menerima pendigitalan, jenis-jenis halangan dan langkah lain yang perlu dilakukan untuk memastikan keseimbangan digital,” katanya.

Indeks Penyertaan Digital Roland Berger menilai keadaan keterangkuman digital, dengan mempertimbangkan empat aspek utama: kebolehcapaian, kemampuan, keupayaan dan sikap, serta Malaysia dianggap sebagai peneraju utama di Asia Tenggara, berada di kedudukan kedua selepas Singapura.

“Di peringkat global, Malaysia berada di kedudukan 21. Walaupun ketinggalan dari segi kebolehcapaian dan kemampuan, Malaysia menunjukkan prestasi yang baik berhubung keupayaan dan terbaik di rantau ini untuk sikap,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia boleh jadi peneraju ekonomi digital Asia Tenggara


Content Type:

Duration:

Bandaraya Ipoh bakal menjadi Bandar Pintar atau ‘Smart City’ yang keempat di negara ini selepas Kuala Lumpur, Putrajaya dan Petaling Jaya menjelang 2030 dengan konsep berbeza iaitu Manusia, Infrastruktur dan Alam Sekitar.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Majlis Bandaraya Ipoh dan PlanMalaysia serta beberapa agensi untuk memberi dimensi segar kepada hala tuju pembangunan selain penanda aras baharu kepada pembangunan bandar-bandar lain di negeri ini.

“Beberapa objektif telah distruktur untuk menjadikan Ipoh sebagai bandaraya yang mesra dengan penggunaan teknologi maklumat, menyelesaikan masalah perbandaran melalui penggunaan smart solution selain menjadikan warga Ipoh ceria, sihat, pintar dan mempunyai kemahiran berteknologi tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pelancaran Ipoh Smart City 2030 di sini semalam yang turut dihadiri Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.

Jelasnya, dokumen Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh menyasarkan kepada tujuh domain iaitu Kehidupan Pintar, Persekitaran Pintar, Tadbir Urus Pintar, Warga Pintar, Infrastruktur Digital Pintar, Ekonomi Pintar dan Mobiliti Pintar sebagai penyelesaian kepada 24 cabaran perbandaran dan potensi yang telah dikenal pasti di Bandaraya Ipoh.

Menurut Saarani, kerajaan negeri telah mengadakan kerjasama bersama Telekom Malaysia untuk meningkatkan kelajuan internet daripada 100MB kepada 1GB melalui Pelaksanaan Projek Fiber Optik UNIFI dengan permulaan pelaksanaan di Pusat Bandar Ipoh yang dapat menyokong inisiatif pintar yang dilaksanakan.

“Selain itu, saya berharap pelan ini akan menjadi pemangkin kepada perancangan lebih besar MBI pada masa hadapan, termasuklah melaksanakan sistem pengurusan bandar secara automatik terutamanya dalam sistem trafik, sistem mengenal pasti kekosongan parkir, info cuaca, bencana atau banjir kilat, kutipan sampah, pengurusan saman dan aduan.

“Usaha ke arah tersebut telah mula dilaksanakan di peringkat awal dalam beberapa perkhidmatan seperti Park@Perak, e-Aduan, Bayaran Online, Permohonan Online, dan Pemantauan Bandar Selamat melalui CCTV,” katanya.

Terdahulu, Saarani menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani Rumaizi bersama Universiti Sultan Azlan Shah bagi kajian Ipoh Bandaraya Bestari Sejahtera, MoU bersama Tenaga Nasional Berhad untuk pemasangan bumbung Panel Solar di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak dan MoU bersama Sunway untuk cadangan menaik taraf sebahagian kawasan Tambun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Retail TNB Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan pada sidang media majlis itu berkata pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) di bangunan UTC Perak dianggarkan mampu memberi penjimatan sehingga RM2.5 juta untuk MBI bagi tempoh 21 tahun kontrak Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE).

“Manfaat penggunaan panel solar PV ini bukan sahaja bertepatan dengan usaha MBI untuk mencapai matlamat menjadi bandar raya pintar lestari yang lebih bersih, hijau dan lebih maju malah mereka mampu menjimatkan RM47,964 bil elektrik pada tahun pertama projek,” katanya.

Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah yang turut hadir pada majlis itu berkata pihaknya bercadang untuk mengeluarkan kos sebanyak RM2 bilion untuk membangunkan sebahagian kawasan Tambun dalam tempoh tujuh tahun.

“Kami sedang membina beberapa bangunan termasuk pusat perubatan, kampus universiti, pusat beli-belah dan sebagainya jadi kami berharap dapat menarik lebih ramai pengunjung untuk singgah dan menikmati kemudahan dan perkhidmatan yang kami tawarkan,” tambahnya. 

Sumber: Bernama

Ipoh bandar pintar keempat di Malaysia menjelang 2030: MB


Content Type:

Duration:

Negeri Sembilan berpotensi untuk bersaing dengan negeri-negeri lain seperti Selangor dalam menarik pelaburan baharu, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM)

Presidennya Tan Sri Soh Thian Lai berkata negeri itu juga berupaya menjadi hab seterusnya bagi Greater Klang Valley, didorong oleh tujuh industri tumpuannya dalam Tahun Melabur Negeri Sembilan 2021 (Invest NS 2021).

“Tujuh kluster keutamaan Negeri Sembilan adalah selaras dengan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11)  dan visi untuk beralih kepada  produk yang lebih kompleks dan pelbagai yang mempunyai nilai tinggi dan berteknologi tinggi.

“Ia seterusnya dapat meningkatkan rantaian nilai aktiviti pembuatan Malaysia ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi,” katanya semasa Siri Webinar Pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)  bertajuk ‘Business As (Un)Usual: Investment Prospects in Negeri Sembilan’ di sini, hari ini.

Tujuh industri tumpuan itu termasuklah aeroangkasa; automotif; pertanian dan asas tani; bioteknologi; peranti/bahagian perubatan dan saintik; teknologi canggih dan industri sokongan.

Selain itu, Soh berkata Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) ditubuhkan  untuk menyokong rangka  tindakan ini, dengan menumpukan kepada antara lainnya pembuatan berteknologi tinggi, teknologi bersih dan perkhidmatan khusus.

MVV 2.0 dicadangkan untuk ditransformasikan menjadi zon pelaburan khusus dengan pusat kelulusan sehenti.

“Negeri Sembilan menawarkan lokasi yang ideal dalam kawasan Greater Klang Valley, dengan penggunaan tanah yang strategik, perkhidmatan sosial yang cekap, kemudahan komuniti yang dipertingkatkan, pengangkutan bersepadu dan perkhidmatan logistik serta rangkaian.

“Ia mempunyai infrastruktur dan utiliti yang berkualiti, menyediakan nilai tambah kepada pelabur,” katanya.

Sementara itu, Soh berkata, sektor pembuatan masih menjadi pemacu utama ekonomi Malaysia dan merupakan penyumbang penting kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Negeri Sembilan.

“Negeri Sembilan mempunyai sekurang-kurangnya dua projek pembangunan mega  yang dirancang –  Projek Laluan Rel Pantai Timur  dan MVV 2.0 — yang akan meningkatkan pelaburan dan pertumbuhan ekonomi dengan ketara.

“Bagi ECRL, negeri itu akan mempunyai dua stesen di Kuala Klawang dan Nilai, manakala MVV 2.0 — koridor ekonomi baharu negara — disasarkan menjadi metropolis bertaraf dunia seluas lebih 153,411 hektar, mengunjur dari Nilai ke Port Dickson,” katanya.

Fasa 1 MVV 2.0 terdiri daripada antara lainnya taman perindustrian berteknologi tinggi, daerah pengangkutan bersepadu, daerah pelancongan dan kawasan perlindungan burung/sungai.

Pada 2019, negeri itu memohon untuk menubuhkan  zon perdagangan bebas dalam MVV 2.0 bagi membantu merancakkan dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif  MIDA, Ahmad Khairuddin berkata pelaburan ke Negeri Sembilan semakin mendapat momentum, dan tahun lepas merupakan tahun terbaik bagi negeri itu dari segi pelaburan.

“Negeri Sembilan berpotensi untuk menarik pelaburan dalam sektor automotif, kimia dan elektronik maju, dipacu oleh MVV 2.0,” katanya.

Sumber: Bernama

FMM jangka Negeri Sembilan bakal jadi tarikan baharu pelaburan


Content Type:

Duration:

Sebuah Pusat Pengembara Perniagaan (BTC) telah diwujudkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memudahkan kemasukan kelompok pengembara perniagaan asing ke negara ini.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, BTC adalah antara komponen utama inisiatif Pusat Sehenti (OSC) yang diwujudkan kerajaan bagi kelancaran pergerakan serta mempermudah kemasukan pengembara bagi tujuan perniagaan di Malaysia.

Malah, katanya, setakat ini OSC telah meluluskan sebanyak 93 permohonan daripada syarikat-syarikat pelaburan untuk pengembara perniagaan jangka pendek yang membabitkan pelaburan bernilai RM15 bilion.

“Antara kemudahan bagi pengembara perniagaan jangka pendek itu termasuk sistem sokongan yang lancar menerusi perkhidmatan bercirikan ‘fast-track’ atau pantas seperti transkripsi ujian RT-PCR Covid-19 yang membolehkan keputusan diperoleh dalam masa tiga jam.

“Selepas disahkan sihat, mereka boleh berurusan dengan imigresen dan kerajaan akan melantik pegawai seranta untuk mereka yang mempunyai jadual perniagaan khusus,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kemudahan BTC itu di KLIA, pada Selasa.

Pengembara perniagaan jangka pendek adalah kepada mereka yang tidak mempunyai sebarang pas kemasukan khusus dan berhasrat untuk berada di negara ini bagi tempoh 14 hari atau kurang, tertakluk kepada kelulusan oleh jawatankuasa OSC dan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Mengulas selanjutnya, Mohamed Azmin juga menyifatkan pelancaran BTC sebagai pencapaian bermakna dalam usaha berterusan kerajaan untuk merancakkan semula ekonomi dan seterusnya mencatat pemulihan pada tahun ini.

“Kita sedar pandemik Covid-19 ini masih ada namun kita kini berupaya menguruskan risiko dengan lebih baik serta berpengalaman mengendalikan keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi,” katanya.

Menurutnya, BTC yang berasaskan pendekatan di Singapura, Korea Selatan dan di Kesatuan Eropah, juga berperanan penting bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan menarik untuk perniagaan asing.

“Sejak setahun lalu, kita telah melaksanakan pendekatan baharu termasuk kaedah secara maya bagi mengadakan perbincangan untuk menarik pelabur asing.

“Namun, tidak dinafikan rundingan itu adalah lebih berkesan jika dapat dijalankan secara bersemuka,” katanya.

Sumber: Bernama

BTC KLIA sedia kemudahan untuk pengembara perniagaan asing


Content Type:

Duration:

Sabah mempunyai potensi amat besar untuk menarik pelaburan dari dalam dan luar negara berikutan kedudukannya yang strategik di rantau ini, selain mempunyai kekayaan sumber asli, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, ini dapat dibuktikan antara lain dengan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia (BIMP-EAGA) yang berpotensi menarik pelaburan asing bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan taraf sosioekonomi rakyat di Sabah.

“Saya difahamkan jumlah perdagangan di Sabah pada tahun 2020 mencecah RM79.5 bilion iaitu nilai eksport sebanyak RM41.4 bilion dan import sebanyak RM38.1 bilion.

“Kelulusan pelaburan dalam sektor pengilangan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk Sabah pada 2020 ialah RM11.95 bilion bagi melaksanakan 15 projek,” katanya ketika merasmikan Sesi Balai Rakyat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus bekerjasama erat dengan Kerajaan Sabah demi memastikan ekosistem yang lengkap untuk menyokong pembangunan industri seperti perkilangan serta pembuatan.

Pada masa sama, katanya, Sabah turut berpotensi dalam pembangunan industri aeroangkasa selari dengan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

“Sebagai contoh, Pejabat Penyelaras Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) mencadangkan Kota Kinabalu sebagai kluster aeroangkasa dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Pelaburan ini mampu mewujudkan lebih 1,500 peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah, selain memberi impak positif kepada sektor lain di Sabah susulan peningkatan rantaian pelaburan,” katanya.

Sumber: Bernama

Sabah berpotensi tarik pelaburan – Muhyiddin


Content Type:

Duration:

Pembangunan Lok Kawi Resort City dijangka memacu sektor pelancongan, satu daripada tiga teras utama yang digariskan dalam pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Pelan SMJ 2021-2025 merangkumi tiga teras utama iaitu sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan sebagai fokus pertumbuhan ekonomi; modal insan dan kesejahteraan rakyat serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau yang akan bergerak seiring dengan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Hajiji berkata pembangunan Lok Kawi Resort City yang merangkumi pembinaan pusat peranginan, hotel, kompleks beli-belah, taman tema, blok komersial dan pejabat serta perumahan itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 166.3 hektar di Lok Kawi, Putatan, dekat sini, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM7 billion.

Katanya projek itu dilihat akan dapat melonjak persekitaran yang kondusif bagi sektor pelancongan di Sabah.

“Kerajaan negeri optimis sektor pelancongan di Sabah akan berkembang dengan pesat sebaik sahaja pandemik Covid-19 dapat ditangani. Projek ini dijangka dapat menyediakan 5,000 peluang pekerjaan dan akan bertambah apabila beroperasi sepenuhnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pembangunan Lok Kawi Resort City di sini, pada Isnin.

Ia dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut hadir ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan serta Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada majlis itu, Hajiji turut mengiringi Muhyiddin menyaksikan majlis menandatangani dua Memorandum Persefahaman inisiatif pelaburan asing dan domestik antara Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) Sdn Bhd dan SK Nexilis Co. Ltd serta kerajaan Sabah dan Linaco Group of Companies. 

Mengenai MoU antara KKIP Sdn Bhd dan SK Nexilis Co. Ltd, Hajiji berkata syarikat pengeluar kerajang tembaga untuk kenderaan yang berpangkalan di Korea Selatan itu bersetuju untuk membuat pelaburan di luar negara dan memilih Sabah sebagai destinasi pelaburan.

Beliau berkata pelaburan tersebut melibatkan sejumlah RM2.3 bilion dan dijangka menawarkan 500 peluang pekerjaan dalam fasa awal manakala pembinaan kilang disasarkan mula beroperasi pada 2023 yang dijangka meningkatkan lagi penggunaan pelabuhan dengan kadar 10,000 TEU setahun.

Hajiji berkata MoU antara kerajaan Sabah dan Linaco Group of Companies melibatkan penanaman dan memproses kelapa iaitu kelapa hibrid dengan hasil tinggi berskala besar diikuti pembangunan kilang memproses kelapa secara bersepadu untuk mengoptimumkan pengeluaran produk berasaskan kelapa.

“Sebagai sebuah syarikat terkemuka yang membekalkan produk berasaskan kelapa kepada lebih 40 negara, Linaco akan membeli semua kelapa yang dituai melalui penanaman kelapa bersepadu. Sebuah Pusat Kecemerlangan juga akan dibangunkan untuk memantau pelaksanaan amalan terbaik projek ini.

“Kilang memproses kelapa akan beroperasi secepatnya dengan pelaburan awal dianggarkan RM200 juta,” katanya, sambil menambah, penglibatan sektor swasta dan pelabur dari dalam dan luar negara akan menjadi antara strategi utama pelaksanaan hala tuju SMJ.

Sumber: Bernama

Pembangunan Lok Kawi Resort City pacu inisiatif pelan SMJ: Hajiji


Content Type:

Duration:

Hasil daripada sektor aeroangkasa Malaysia dijangka pulih semula ke paras sebelum pandemik atau RM16.2 bilion  yang direkodkan semasa 2019, mulai 2022 dengan syarat industri ini mampu mendapatkan pakej kerja baharu daripada pengeluar peralatan asal (OEM).

Ketua Pejabat Koordinasi Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) Shamsul Kamar Abu Samah berkata pakej kerja baharu  ini diharap  boleh diwujudkan bagi pembuatan dan perkhidmatan dalam ekosistem aeroangkasa.

“Kami menjangkakan sektor ini akan melantun semula dan mencapai tahap RM16 bilion bermula 2022. Bagaimanapun, tempoh pemulihan  boleh dipercepatkan sekiranya industri ini dapat mengembangkan  perniagaan kargo, jet mewah, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta kemudahan latihan bagi mencapai hasil yang direkodkan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran awal Pertunjukan Penerbangan Selangor 2021 di sini hari ini.

Pakej kerja tersebut boleh diagihkan kepada pembekal tempatan bukan sahaja merangkumi Peringkat Pertama dan Peringkat Kedua, malah keseluruhan ekosistem itu boleh mendapat manfaat daripada penempatan produk.

“Kami ingin menyemarakkan pengeluaran komponen secara tempatan sebanyak mungkin,” katanya.

Di bawah projek jangka panjang itu, Malaysia merancang untuk membangunkan bahan sumber bio bagi pesawat dalam tempoh lima tahun.

“Kami sedang meneliti untuk menghasilkan bahan  sumber  bio  seperti kerusi pesawat, kabin dan peralatan. Ini akan memberi peluang kepada kami  bagi menghasilkan bahan-bahan bekenaan,” katanya.

Hasil aeroangkasa Malaysia mengecil antara 20 dan 30 peratus pada 2020 daripada paras 2019 iaitu  sebanyak RM16.2 bilion  selepas terjejas akibat pandemic COVID-19.

Ini telah menghentikan sebahagian besar aktiviti pembuatan dan perkhidmatan aeroangkasa, manakala sejumlah tenaga kerja terpaksa ditamatkan ekoran sekatan perjalanan di seluruh dunia, menyebabkan pesawat komersial dan jet mewah perniagaan terpaksa disimpan.

“Kami masih menilai data kami dan berharap industri ini dapat pulih dengan cepat  pada tahun ini. Bagaimanapun, terdapat perniagaan penerbangan  lain yang berkembang, menyumbang kepada peningkatan aktiviti dan latihan MRO,” katanya.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif bagi sektor aeroangkasa yang akan diletakkan sebagai  komponen terpenting dalam industri di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Beliau berkata faktor yang paling utama adalah bagaimana untuk mengurus serta menstabilkan industri di samping memastikan golongan yang terjejas dapat kekal dalam perniagaan dan kemahiran mereka dipertingkatkan dalam usaha menyokong industri apabila ia stabil dalam tempoh satu atau dua tahun dari sekarang.

Menurut Shamsul Kamar lagi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta NAICO bercita-cita untuk membawa pakej kerja baharu bagi membantu OEM terutamanya dalam pembekal Peringkat Pertama dan Peringkat Kedua, khususnya membabitkan pembangunan pesawat baharu seperti jet perniagaan atau pesawat kecil.

“Dalam jangka masa panjang, kami mahu mengukuhkan pemain yang kebanyakannya terlibat dalam pembuatan, MRO termasuk latihan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia boleh menggunakan bakat dan kepakaran tempatannya dalam membangunkan dron dengan mengembangkan keupayaan syarikat tempatan dengan disokong oleh penyelidikan di universiti dan pusat latihan.

“Kami mahu membangunkan ekosistem yang bukan sahaja terhad kepada dron tetapi  merangkumi  pesawat  tanpa pemandu (UAV) termasuk pesawat berautonomi dan yang mampu terbang secara menegak atau berlepas melalui landasan yang pendek.

“Untuk  mampu menghasilkan produk kami sendiri dalam tempoh lima tahun akan datang seperti dron atau UAV, kami  perlu melihat bagaimana  untuk membangunkan produk tempatan yang boleh digunakan bagi pasaran domestik dan serantau,” katanya lagi.

Sumber: Bernama

Hasil aeroangkasa Malaysia pulih tahun depan — NAICO


Content Type:

Duration:

Tindakan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia tidak akan menjejaskan pelaburan asing ke dalam negara, kata Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata ini adalah kerana apa yang telah negara ini lakukan iaitu mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara ke Amerika Syarikat adalah berlandaskan undang-undang termasuk undang-undang antarabangsa.

“Ia turut diperhatikan pelabur-pelabur asing sama ada Malaysia ambil tindakan selari dengan peruntukan perlembagaan dan peruntukan undang-undang.

“Jadi kalau kita berpegang pada Keluhuran Perlembagaan dan undang-undang negara serta antarabangsa, saya tidak melihat ia akan menjejaskan (pelaburan asing), malahan Malaysia masih lagi menjadi destinasi pelaburan yang amat popular dalam kalangan pelabur asing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Khas COVID-19 Untuk Sekolah-Sekolah Parlimen Gombak sumbangan Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azmin berkata sebagai bukti bahawa Malaysia kekal menjadi destinasi pillihan pelabur asing, negara ini bakal menerima pelaburan asing baharu dari sebuah syarikat Korea Selatan bernilai RM2.3 bilion bagi membina kilang pengeluaran bateri kenderaan elektrik di Sabah.

“Esok saya akan ke Sabah bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin yang akan menyaksikan perjanjian pelaburan baharu syarikat dari Seoul ini.

“Ini merupakan kemudahan pertama syarikat berkenaan di luar Korea dan mereka memilih Malaysia untuk bangunkan kilang mereka yang menggunakan teknologi hijau,” jelas beliau.

Selain itu, Azmin berkata baru-baru ini, syarikat pengeluar kertas dan ‘paperboard’ terbesar di Asia, Nine Dragons Paper (Holdings) Ltd juga akan menambah pelaburan sebanyak RM5.4 bilion di Malaysia.

“Ini akan beri kesan positif kepada sektor tenaga kerja di Malaysia dimana rakyat akan mendapat pekerjaan berkualiti dengan pendapatan lebih baik.

“Ini semua bukti yang cukup menyakinkan bahawa Malaysia masih menjadi destinasi pelaburan asing sebab kestabilan dan kemakmuran negara serta tenaga kerja yang mahir dan mampu menguasai beberapa bahasa, antara faktor pelabur asing datang ke Malaysia,” katanya.

Menurut laporan media, Pyongyang pada Jumaat mengumumkan akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas mahkamah awal bulan ini memutuskan seorang ahli perniagaan dari Korea Utara diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan pengubahan wang haram.

Sumber: Bernama

Tindakan Korea Utara tidak jejaskan pelaburan asing – Azmin


Content Type:

Duration:

Kerjasama erat antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sabah telah memberi lebih banyak ruang bagi kemasukan pelaburan berkualiti tinggi ke negeri itu, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, kemasukan pelaburan baharu berkualiti tinggi itu juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing selain menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk tenaga mahir dalam kalangan warga Sabah.

“Saya yakin anak-anak Sabah berkemahiran serta berpotensi untuk turut terlibat dalam (pelaburan) industri teknologi tinggi ini dan perlu diberi peluang terbaik bagi mendapatkan pekerjaan berkualiti tinggi.

“Ada empat lagi (pelaburan) besar yang akan saya bincangkan dengan Ketua Menteri Sabah (Datuk Hajiji Noor) petang esok membabitkan minat (pelabur) ke Sabah. Ada beberapa perkara yang kita perlu selesaikan untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi pelaburan,” katanya kepada pemberita di sini, pada Ahad.

Beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SK Nexilis, Kim Young-tae.

Laporan sebelum ini menyatakan, SK Nexilis yang juga sebuah syarikat terkemuka dari Korea Selatan, bakal melabur RM2.3 bilion bagi pembinaan sebuah kilang kerajang tembaga di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) yang bermula pada Julai ini dan dijangka siap dalam masa dua tahun.

Mengulas pelaburan SK Nexilis itu, Mohamed Azmin berkata pembinaan kilang itu akan melibatkan 5,000 tenaga kerja dan akan memberi peluang pekerjaan kepada 400 tenaga mahir apabila siap kelak.

“Pelaburan ini sudah pasti memberi kesan positif kepada Malaysia. Ini juga sekali lagi membuktikan bahawa pelabur asing cukup yakin kepada Malaysia dengan meletakkan pelaburan sebegitu besar.

“Malah, pelaburan sebanyak RM2.3 bilion itu juga merupakan antara yang terbesar bagi Sabah,” kata beliau.

Sumber: Bernama

Kerjasama erat pacu kemasukan pelaburan berkualiti di Sabah


Content Type:

Duration:

Pelaburan RM2.3 bilion bagi membina kemudahan pengeluaran kerajang tembaga untuk bateri kenderaan elektrik (EV) oleh syarikat Korea Selatan, SK Nexilis di Sabah dijangka bakal menyediakan 5,000 peluang pekerjaan.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pelaburan itu sudah tentu akan memberi kesan yang baik terhadap ekonomi Sabah.

“Ini adalah pelaburan yang terbesar bagi Sabah di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan projek ini akan bermula pada Julai tahun ini. Dijangka 5,000 peluang pekerjaan tersedia untuk pembinaan kemudahan ini.

“Setelah siap, dalam tempoh dua tahun mereka menyasarkan lebih kurang 400 pekerja tenaga mahir akan terbabit secara langsung dalam pengeluaran kerajang tembaga.

“Jadi ini memberikan satu kesan yang positif kepada ekonomi di Sabah dan juga menyediakan pekerjaan berkualiti tinggi kepada rakyat di sini,” katanya selepas bertemu Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SK Nexilis, Kim Young Tae, hari ini.

Azmin berkata, pelaburan besar itu adalah bukti keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.

“Sabah juga mempunyai hak untuk mendapatkan pelaburan berkualiti untuk mengurangkan kebergantungan kita dengan tenaga asing. Saya yakin anak Sabah juga mempunyai kemahiran dan potensi untuk terbabit dalam industri berteknologi tinggi.

“Cuma mereka harus diberikan peluang dan ini adalah peluang yang terbaik untuk anak Sabah khususnya untuk mendapatkan pekerjaan berkualiti tinggi,” katanya.

Sementara itu, Azmin turut memaklumkan pihaknya akan bertemu dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor petang esok bagi membincangkan perkara mengenai pelaburan yang berkemungkinan dilaksanakan di negeri ini.

“Kita ada empat lagi pelaburan besar yang berkualiti tinggi yang saya akan bincangkan dengan Ketua Menteri Sabah esok petang yang telah pun menunjukkan minat untuk datang ke Sabah.

“Cuma ada beberapa perkara yang perlu kita selesaikan untuk menjadikan Sabah destinasi pelaburan penting di Malaysia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Syarikat Korea labur RM2.3 bilion di Sabah


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus membantu peserta industri aeroangkasa tempatan untuk mempertingkatkan daya tahan mereka menerusi pengenalan teknologi terkini dan transformasi digital seiring dengan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong, berkata satu program pembangunan berstruktur akan dirangka oleh Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) sebagai Pusat Kecemerlangan Aeroangkasa Negara yang menekankan kemajuan ekosistem tempatan, pelaksanaan Industri 4.0 dan pembangunan profesional aeroangkasa generasi akan datang.

“Menerusi inisiatif ini, rantaian bekalan aeroangkasa tempatan dijangka dapat diperkukuh selain menambah baik struktur kos dan mengekalkan daya saing mereka di peringkat global,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM50 juta yang diumumkan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) akan terus menyokong pemulihan industri aeroangkasa serta digunakan bersama untuk peralatan perubatan.

Berlandaskan inisiatif itu, NAICO sedang mengenal pasti bidang berpotensi untuk Malaysia membida dan memperoleh pakej kerja baharu dari pengeluar peralatan tulen (OEM), syarikat peringkat satu dan penyedia perkhidmatan global, katanya.

Lim berkata, geran padanan juga ditawarkan di bawah inisiatif itu kepada syarikat aeroangkasa yang berjaya meraih kontrak atau pakej kerja baharu yang dapat disediakan oleh rantaian bekalan tempatan selain mengekalkan pekerjaan bagi tenaga kerja mahir.

Beliau berkata, justeru, MITI menggalakkan syarikat peringkat satu dan dua bekerjasama dengan pembekal masing-masing selain mendorong pembekal asing mereka untuk mempertimbangkan keputusan melabur di Malaysia menerusi penubuhan anak syarikat atau usaha sama dengan rakan kongsi Malaysia.

“MITI dan agensinya akan memudahkan usaha itu dengan menyediakan pakej insentif menarik termasuk bantuan berkaitan projek penyelidikan dan pembangunan serta pembangunan modal insan,” katanya.

Pada 2019, industri aeroangkasa Malaysia mencatatkan perolehan sebanyak RM16.2 bilion dengan 27,500 pekerja berkemahiran tinggi berkhidmat dalam industri.

Perkembangan positif itu dipacu oleh pertambahan jumlah aktiviti dalam perniagaan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih, dengan bahagian pasaran sebanyak 49 peratus manakala segmen pembuatan (komponen struktur udara dan enjin) menyumbang 47 peratus bahagian pasaran.

“Di peringkat global, Malaysia diwawarkan sebagai negara yang menghasilkan produk aeroangkasa berkualiti tinggi untuk peneraju aeroangkasa dunia seperti Airbus, Boeing, Rolls-Royce, Safran, Honeywell dan Thales,” katanya.

Sumber: Bernama

MITI permudah pembangunan semula industri aeroangkasa


Content Type:

Duration:

Kerajaan Negeri Sembilan dalam usaha meneroka pelaburan berkualiti untuk meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi Webinar Pelaburan dan Program Misi Perdagangan yang akan diadakan secara maya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata Webinar Pelaburan itu menampilkan tokoh korporat, Pengerusi Bursa Malaysia merangkap Penasihat NS Corporation, Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai moderator pada program itu, Selasa depan.

“Webinar ini akan memberi pendedahan kepada pelabur dan masyarakat berhubung perniagaan dalam keadaan kebiasaan baharu. Keadaan sekarang adalah berbeza…berniaga secara fizikal mungkin lebih sukar bagi mereka yang menggunakan platform digital ataupun secara maya.

“Kami akan membincangkan mengenai persekitaran perniagaan pasca pandemik COVID-19 dan kemudian mendedahkan potensi perniagaan di Malaysia khususnya di Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media Promosi Webinar Pelaburan di sini, hari ini.

Mohamad Rafie berkata antara yang menyertai sesi webinar itu ialah Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Berhad Datuk Azmir Merican, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Ahmad Khairuddin, dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.

Pelaburan berkualiti dapat mengalakkan rakyat di negeri ini menjana pendapatan lebih baik meskipun negara berdepan situasi sukar akibat pandemik COVID-19, katanya.

“Ini bermakna kita tidak lagi berminat pelaburan berbentuk buruh yang menggunakan pekerja ramai namun ia akan turut menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Kerajaan negeri akan lebih berhati-hati dalam memilih pelabur yang dibawa masuk ke negeri ini bagi memastikan pelaburan itu memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” katanya.

Mengenai program Misi Perdagangan, beliau berkata ia melibatkan perbincangan secara maya dengan pihak kedutaan di lapan buah negara iaitu Sepanyol, Perancis, Taiwan, Jepun, Turki, Jerman, Korea Selatan dan China dijadual berlangsung pada 31 Mac depan.

“Program pertama bermula dengan negara Sepanyol yang akan membincangkan bersama pihak kedutaan serta wakil MIDA di luar negara dalam usaha untuk menarik lebih ramai pelabur antarabangsa ke negeri ini,” katanya. 

Sumber: Bernama

Kerajaan Negeri Sembilan teroka pelaburan menerusi webinar pelaburan


Content Type:

Duration:

Syarikat gergasi telekomunikasi Sweden, Ericsson yang dinamakan sebagai peneraju dalam 5G menyediakan teknologi itu di pusat sokongan globalnya di Malaysia bagi memenuhi keperluan negara dan serantau.

Pusat itu adalah antara pusat sokongan terbesar Ericsson di peringkat global.

“Ericsson berada di Malaysia sejak sekian lama dan kami berhasrat mempercepatkan perjalanan transformasi digital Malaysia,” kata Presiden Ericson bagi Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbo.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi mengumumkan pencapaian Ericsson yang dinamakan sebagai peneraju bagi Infrastruktur Rangkaian 5G untuk Penyedia Perkhidmatan Komunikasi dalam laporan Magic Quadrant 2021 yang dikeluarkan oleh Gartner, baru-baru ini.

“Ericsson mempunyai komitmen jangka panjang untuk membentuk ekosistem 5G global berikutan kita melihat 5G sebagai platform inovasi yang akan mengubah cara hidup dan pekerjaan serta memperkasa negara,” katanya.

Pada masa ini, pusat sokongan global itu menyediakan aktiviti membabitkan kelengkapan 2G, 3G dan 4G.

“Kami sudah menggerakkan semua generasi mobiliti di Malaysia iaitu 2G, 3G, 4G dan baru-baru ini kami adalah yang pertama mencuba 5G di Malaysia bersama-sama pelanggan kami, Celcom Axiata.

“Percubaan itu yang dijalankan menerusi jalur 28 GHz adalah yang pertama di Asia Tenggara dan menggambarkan kejayaan penting dalam perjalanan negara ke arah 5G,” katanya.

Ia seumpama komitmen Ericsson untuk Malaysia sejak berada di sini pada 1965 dengan memberikan manfaat jalur lebar mudah alih kepada negara.

Komitmen jangka panjang Ericsson di negara ini diperkukuhkan lagi dengan pelancaran inisiatif MyDIGITAL oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Februari.

Inisiatif digital itu antara lain menumpukan kepada cadangan melancarkan generasi seterusnya bagi teknologi mudah alih 5G dan meningkatkan sambungan digital negara dan meletakkan negara ini sebagai peneraju digital.

Ketika melancarkan inisiatif berkenaan, Muhyiddin menegaskan bahawa ia adalah pengubah berikutan semakin banyak perkhidmatan pintar yang mempunyai impak langsung akan disediakan demi kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu Hagerbo berkata: “Pelaburan kami untuk masa depan Malaysia adalah termasuk Pusat Inovasi Ericsson untuk 5G (IC5G) di Universiti Teknologi Malaysia, pusat pertama seumpamanya di Malaysia yang mana kami menjalankan penyelidikan, seminar, latihan, program hackathon dan pameran.

“Kehadiran kami selama 56 tahun di Malaysia banyak membantu untuk membangunkan pengalaman tempatan yang amat kukuh dalam bidang Rangkaian Akses Radio (RAN), rangkaian teras dan perkhidmatan terurus yang menyokong Malaysia dan rantau ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai laporan oleh Gartner, Hagerbo berkata ia mengiktiraf Ericsson sebagai peneraju bagi ‘Kemampuan Melaksanakan’ dan ‘Kesempurnaan Visi’.

Penilaian itu termasuk produk dan perkhidmatan Ericsson, kegerakbalasan pasaran dan rekod prestasi, pelaksanaan pemasaran, pengalaman pelanggan dan daya maju keseluruhan.

“Pengiktirafan bebas Ericsson sebagai peneraju global 5G mencerminkan keyakinan penyedia perkhidmatan kepada kami untuk melancarkan dan menguruskan rangkaian 5G mereka. Ketika ini, Ericsson mempunyai 132 perjanjian 5G dan berjaya melancarkan 79 rangkaian komersial di 40 negara, setakat ini.

“Pelaburan penting kami dalam 5G telah memastikan kami mempunyai produk, penyelesaian, kemahiran dan kakitangan terbaik, justeru kami berupaya memenuhi keperluan pelanggan dan dapat memberikannya apabila mereka atau sesebuah negara memulakan pelancarannya, memerlukannya,” katanya.

Sumber: Bernama

Ericsson sedia bantu Malaysia terokai 5G


Content Type:

Duration:

Cadangan membabitkan dasar pelaburan baharu untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi kini di fasa akhir sebelum dibentangkan di Kabinet.

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu merupakan hasil perbincangan kementeriannya melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan.

“Kita berharap untuk mendapat pengesahan (sokongan) bagi cadangan itu dalam masa beberapa minggu lagi,” katanya dalam sidang media pada Khamis.

Selain itu, Mohamed Azmin berkata, walaupun negara berdepan pelbagai cabaran untuk menarik pelaburan asing akibat sekatan perjalanan, usaha seperti sesi libat urus secara maya masih diadakan secara berterusan.

Menurutnya, tindakan proaktif libat tersebut dengan pelbagai pihak seperti dewan perniagaan, persatuan industri dan kedutaan asing juga kerap diadakan yang turut mengetengahkan aspek bantuan dan inisiatif kerajaan selain mendapatkan maklum balas serta cabaran yang dihadapi mereka.

“Malaysia masih merupakan destinasi pilihan mereka bagi tujuan pelaburan langsung asing,” katanya.

Katanya, pelaburan terbaru dari China bernilai RM5.4 bilion yang membabitkan usaha pelaburan di Bentong, Pahang serta Banting, Selangor.

Menurutnya, selain itu, Korea Selatan juga menyasarkan untuk melabur sebanyak RM2.3 bilion di Malaysia bagi pengeluaran bateri khas untuk kenderaan elektrik — usaha pertama di luar negara tersebut.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, beliau akan melakukan misi perdagangan ke Jepun dan Korea Selatan pada akhir bulan ini.

“Kita juga mahu memaklumkan mereka bahawa kita adalah sebuah kerajaan yang mesra perniagaan, mempermudah aktiviti perniagaan serta dalam persekitaran yang kondusif,” katanya.

Sumber: Bernama

Cadangan dasar pelaburan baharu kini di fasa akhir


Content Type:

Duration:

Kerajaan komited untuk menarik pelaburan, memperkasa perdagangan luar, meningkatkan adaptasi penggunaan teknologi digital dan menjamin pertumbuhan lestari dalam memperkukuh daya saing negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata untuk itu, kerajaan melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan atau PEMUDAH sentiasa komited untuk memastikan peraturan yang tangkas atau ‘agile regulation’ dilaksanakan bagi mendorong pelaburan semula perniagaan domestik.

Ini katanya, termasuk perluasan program Authorised Economic Operator Nasional yang memberi kemudahan laluan hijau kepada syarikat yang layak bagi urusan eksport dan import dan pemendekan tempoh memproses permohonan pelaburan.

“Bank Negara Malaysia (BNM) telah meningkatkan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar sebanyak RM2 bilion dan Fasiliti Automasi dan Digitalisasi sebanyak RM700 juta bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapatkan pinjaman.

“Dengan penambahan ini, kemudahan yang disediakan oleh BNM untuk manfaat PKS berjumlah RM6 bilion,” katanya ketika mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) secara langsung hari ini.

Muhyiddin berkata, bantuan moratorium bersasar yang diumumkan oleh kerajaan melalui BNM telah berjaya mengurangkan beban 1.4 juta peminjam individu dan PKS yang terjejas, dengan kadar kelulusan sehingga 95 peratus.

Katanya, beliau ingin menekankan bahawa bantuan berkenaan masih dibuka kepada orang ramai.

“Di bawah MIDF, sebanyak RM200 juta disediakan untuk skim pembiayaan pembangunan automasi, digitalisasi dan penggunaan teknologi hijau. MIDF juga telah bersetuju untuk mengurangkan kadar faedah pinjaman dari 5.0 kepada 3.0 peratus bagi tempoh 12 bulan, bermula 1 April ini.

“Di samping itu, dana tambahan sebanyak RM50 juta bagi Geran Automasi Pintar di bawah MIDA turut disediakan supaya lebih banyak PKS dan Syarikat Tahap Pertengahan atau ‘Mid-Tier Companies’ dapat meningkatkan kecekapan operasi dan pembuatan menerusi teknologi tinggi. Selain itu, bagi menyokong IR4.0, peruntukan berjumlah RM50 juta akan diberi kepada program Industry4WRD di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Bagi menggalakkan PKS meningkatkan automasi yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, SME Bank akan menyediakan dana pinjaman RM200 juta untuk membiayai pembelian mesin dengan insentif geran sehingga 20 peratus ke atas nilai mesin,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Kerajaan komited tarik pelaburan, perkasa perdagangan luar


Content Type:

Duration:

Negara-negara Asia Tenggara, yang sedang pulih daripada impak pandemik COVID-19 boleh mendapat manfaat daripada pelaburan dalam prasarana hijau, transformasi digital, data raya dan mobilisasi hasil menerusi pembaharuan cukai, kata Bank Pembangunan Asia (ADB).

“Ketika negara-negara perlahan-lahan mula bangkit semula daripada impak buruk kesihatan dan ekonomi akibat daripada pandemik itu, kita kini berada pada waktu yang kritikal.

“Pandemik COVID-19 menyediakan peluang unik untuk membina semula bagi pemulihan yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan,” kata Presidennya Masatsugu Asakawa dalam ucap tama beliau pada Simposium Pembangunan Asia Tenggara bertemakan “Innovation through Collaboration: Planning for Inclusive Post-COVID-19 Recovery” di Manila hari ini yang diadakan secara penstriman langsung.

Asakawa berkata pandemik itu memberikan cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini; justeru, perlu untuk mengorak langkah di laluan baharu bersama-sama, iaitu dengan memanfaatkan idea dan teknologi baharu dan menggunakan platform sedia ada bagi inovasi dan perkongsian.

Menurutnya, ekonomi membangun di Asia Tenggara boleh mendapat manfaat daripada tiga bidang dasar baharu.

Ia termasuk melabur dalam pembangunan lestari alam sekitar dalam lima sektor iaitu pertanian, laut, bandar dan pengangkutan, pengurusan sisa buangan dan tenaga bersih yang boleh mewujudkan 30 juta peluang pekerja di rantau ini menjelang 2030.

“Keduanya, mereka perlu mengembangkan asas cukai dengan memaksimumkan pematuhan cukai dan mempermudahkan proses pematuhan yang akan dapat meningkatkan hasil kerajaan dan meletakkan mereka di kedudukan lebih baik bagi membiayai pemulihan pandemik.

“Ketiga menggunakan data raya dengan lebih baik lagi, yang mana negara-negara boleh memanfaatkan transformasi digital rantau ini bagi meningkatkan penjagaan kesihatan, perlindungan sosial dan pendidikan,” katanya.

Asakawa berkata peluang pertumbuhan hijau ini akan memerlukan pembiayaan dan satu cara ADB bekerjasama dengan negara-negara di rantau ini untuk menangani keperluan pembiayaan ini adalah menerusi ASEAN Catalytic Green Finance Facility, yang dimiliki menteri-menteri kewangan di 10 negara anggota ASEAN dan ADB.

Negara-negara Asia Tenggara boleh menggunakan kemudahan ini untuk mengakses kewangan dan pengetahuan bagi projek prasarana hijau untukpengangkutan lestari, tenaga bersih dan sistem air yang kukuh, katanya.

Bagi memanfaatkan data raya, beliau berkata, transformasi digital Asia Tenggara sedang dilaksanakan.

Oleh itu, negara-negara boleh menggunakan peluang ini untuk mentransformasikan sektor utama kerajaan bagi menyediakan penyampaian perkhidmatan yang lebih efektif, katanya.

Sumber: Bernama

Pelaburan hijau, mobilisasi hasil, data raya boleh bantu pemulihan Asia Tenggara – ADB


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan konglomerat antarabangsa, UMW Corp Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meneroka bidang kerjasama yang berpotensi untuk menarik pelaburan yang akan memberi nilai kepada ekonomi.

MIDA dan UMW menjangka untuk memanfaatkan kemampuan dalam sektor seperti mobiliti, aeroangkasa, mesin dan peralatan, pembuatan dan kejuruteraan, latihan bakat (melatih pekerja), penyelidikan dan pembangunan serta pembangunan tanah industri.

MoU ini akan menjadi batu loncatan untuk mempercepat pihak berkepentingan dalam industri yang inovatif dan bernilai tinggi, termasuk kumpulan UMW untuk merebut peluang yang wujud daripada revolusi teknologi dalam kebiasaan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud, berkata kerjasama itu akan memudahkan ekosistem industri negara dengan infrastruktur dan teknologi baru yang sangat diperlukan.

“MIDA yakin bahawa melalui kepakaran dan rangkaian industri UMW yang luas dalam sektor automotif, peralatan, pembuatan, kejuruteraan, serta minyak dan gas, penggiat tempatan dan penyedia teknologi kami dapat memperoleh keuntungan dalam rangkaian rantaian bekalan global,” katanya.

Kerjasama itu juga akan meningkatkan usaha berterusan kerajaan untuk menempatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini, katanya.

“Sokongan untuk perniagaan akan merangkumi insentif cukai yang kompetitif untuk memacu aktiviti pelaburan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Unit Percepatan dan Koordinasi Projek bagi memudahkan pelaksanaan projek yang diluluskan.

“Ini termasuk inisiatif Pusat Sehenti yang diwujudkan tepat pada masanya untuk membolehkan pelancong perniagaan melakukan perjalanan dan meneruskan pekerjaan mereka di Malaysia sepanjang tempoh pandemik COVID-19,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Bhd, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata kerjasama kukuh antara agensi kerajaan dan sektor swasta adalah penting bagi meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik.

Menurut kenyataan itu, Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM164 bilion melalui 4.599 projek di sektor pembuatan, perkhidmatan, dan primer pada 2020.

Pelaburan ini dijangka dapat mewujudkan sebanyak 114,673 pekerjaan baharu selepas ia dilaksanakan.

MIDA berkata, ia juga telah mengenal pasti projek pelaburan asing berprofil tinggi, termasuk syarikat dalam senarai Fortune 500, di sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Rundingan sedang berjalan dengan syarikat daripada pelbagai sektor seperti automotif, kimia dan elektronik untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pembuatan, perkhidmatan dan rantaian bekalan global bernilai tinggi.

Sumber: Bernama

MIDA, UMW bekerjasama tarik pelaburan bernilai tinggi


Content Type:

Duration:

Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), akan menganjurkan forum pelaburan dalam talian bertajuk ‘Malaysia in its Present State’.

Forum itu akan diadakan pada 6 April depan mulai 2 petang waktu tempatan.

Menteri MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijangka menyampaikan ucapan perasmian di forum itu disamping duta Jepun, Hiroshi Oka.

JETRO dalam satu kenyataan berkata forum itu akan meliputi persekitaran pelaburan am di Malaysia, dengan tumpuan kepada sektor yang mempunyai potensi yang baik termasuk industri pembuatan membabitkan produk dengan nilai tambahan yang tinggi, industri digital serta ibu pejabat serantau.

”Kami telah menjemput penceramah dari kerajaan Malaysia dan syarikat Jepun yang berpangkalan di Malaysia bagi menyampaikan topik mengenai persekitaran pelaburan terkini dan insentif yang ada,” katanya.

Forum ini juga akan memberi tumpuan khusus ke atas Johor, yang mana ia menempatkan salah satu koridor ekonomi yang utama iaitu Iskandar Malaysia.

“Dalam sesi ini, kami akan meneroka peluang pelaburan, memperkenalkan ekosistem digital dan menjelaskan trend syarikat Jepun yang melabur di negeri ini. “Ini akan menjadi peluang yang sangat baik bagi memahami keadaan semasa di Malaysia, khususnya  di tengah-tengah sekatan perjalanan untuk melawat Malaysia,” tambahnya.

Sumber: Bernama

JETRO, MITI, MIDA anjur forum pelaburan dalam talian


Content Type:

Duration:

wpChatIcon