Pelaksanaan 5G menjadi antara lima tumpuan untuk dilaksanakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) pada tahun ini.
Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan memberikan tumpuan dalam menjayakan pelaksanaan 5G yang dipercepatkan setahun, sekali gus akan menyempurnakan kesalinghubungan internet ke seluruh negara.
“Ia akan menjadi katalis kepada pembangunan ekonomi digital yang lebih rancak termasuk daripada segi pembangunan industri digital tempatan, penjenamaan negara dan pelaburan digital.
“Selain itu, pemerkasaan teknologi keselamatan siber (SiberKasa) membabitkan CyberSecurity Malaysia (CSM) akan membangunkan SiberKasa iaitu memperkasa dan mengukuhkan prasarana keselamatan siber negara membabitkan tiga komponen utama iaitu manusia, proses dan teknologi,” katanya berucap sempena Majlis Pelancaran Buku Menghormati Lambang-lambang Kebesaran Negara Dan Kad Laporan Setahun KKMM (Mac 2020 hingga Mac 2021) di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, selain itu, CSM agensi yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa, akan memperluaskan pembabitannya di peringkat ASEAN dan antarabangsa, manakala Bahagian Kawalan Pematuhan KKMM sedang menyiapkan dasar dan draf Akta Anti-Buli Siber.
Katanya, aspek peningkatan pelaburan asing dalam ekonomi digital juga akan diberi keutamaan.
“Ia bertujuan meneruskan kerja pembinaan kapasiti masyarakat dan membangun produk ekonomi digital tempatan, termasuk melahirkan ikon negara dan pemasarannya pada peringkat antarabangsa, yang mana Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam menarik lebih banyak pelaburan asing dalam ekonomi digital,” katanya.
Saifuddin berkata, pengantarabangsaan Industri Kreatif Malaysia menjadi tumpuan keempat yang mana KKMM khususnya melalui RTM akan menganjurkan Anugerah Nasyid Antarabangsa Malaysia pertama tahun ini yang akan menobatkan Malaysia sebagai persada nasyid kontemporari.
Katanya, KKMM melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), MyCreative Venture dan Cendana akan juga memulakan pelan tindakan Road to Oscar, Road to Grammy serta Jejak Budaya dan Warisan Kuala Lumpur.
“Kita juga mengharapkan Perjanjian Pengeluaran-Bersama Filem dengan negara lain dapat dimeterai, bermula dengan Australia, Korea Selatan dan China.
“Tumpuan terakhir adalah transformasi RTM secara menyeluruh sempena ulang tahun ke-75 RTM dengan mengetengahkan penyampaian, program berita dan hal ehwal semasa,” katanya.
sumber: Berita Harian
Pelaksanaan 5G antara lima tumpuan KKMM tahun ini
Content Type:
Duration: