2021 Archives - Page 28 of 33 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia raih RM164 bilion pelaburan diluluskan pada 2020

Malaysia mencatat sejumlah RM164 bilion pelaburan yang diluluskan melalui 4,599 projek dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama pada 2020 meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang amat mencabar akibat pandemik COVID-19.

Ia lebih rendah berbanding 5,287 projek dengan pelaburan berjumlah RM211.4 bilion diluluskan pada 2019 berikutan sektor perkhidmatan dan utama yang secara langsung dipengaruhi oleh penurunan permintaan global akibat pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelaburan yang dicatatkan pada 2020 itu dijangka dapat mewujudkan 114,673 pekerjaan baharu dalam pelbagai sektor ekonomi setelah dilaksanakan.

Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata walaupun berdepan dengan cabaran akibat pandemik, pelaburan projek baharu yang merangkumi 66.9 peratus dari keseluruhan projek perkilangan yang diluluskan, tetap dapat dijana pada 2020.

Beliau berkata, ia adalah bukti usaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan dasar yang mesra pelabur telah dilaksanakan untuk membolehkan pelabur mempunyai keyakinan untuk mewujudkan operasi baharu di negara ini.

“Pasukan kami juga telah bekerja keras untuk memastikan projek yang diluluskan dapat dilaksanakan dengan lancar. Ini dapat dilihat melalui peringkat pelaksanaan yang baik bagi projek yang telah diluluskan.

“Untuk tempoh 2016-2020, daripada 4,178 projek yang telah diluluskan, 70.0 peratus pelaburan bernilai RM197.2 bilion telah dilaksanakan di negara ini, ” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 2020, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebahagian besar dari jumlah pelaburan yang diluluskan dengan sumbangan 60.9 peratus (RM99.8 bilion), sementara pelaburan langsung asing (FDI) merangkumi baki RM64.2 bilion (39.1 peratus).

Sektor perkilangan menerajui jumlah pelaburan yang diluluskan pada 2020 dengan mencatat pelaburan sebanyak RM91.3 bilion, diikuti oleh sektor perkhidmatan RM66.7 bilion dan sektor utama dengan RM6.0 bilion.

China (RM18.1 bilion), Singapura (RM10.0 bilion) dan Belanda (RM7.0 bilion) adalah tiga sumber FDI teratas dari keseluruhan sektor ekonomi di Malaysia, menyumbang lebih daripada separuh (54.8 peratus) daripada jumlah FDI yang diluluskan untuk tahun itu.

Selangor (RM38.7 bilion) mencatatkan pelaburan tertinggi yang diluluskan tahun lalu, diikuti oleh Sabah (RM21.0 bilion), Sarawak (RM19.6 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM17.1 bilion) dan Pulau Pinang (RM16.0 bilion), yang mana lima negeri itu saja menyumbang lebih 60 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan untuk 2020.

Sektor perkilangan Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM91.3 bilion untuk 2020, meningkat 10.3 peratus berbanding 2019.

Bilangan projek perkilangan yang diluluskan juga meningkat sebanyak 6.2 peratus dari 988 projek pada 2019 kepada 1,049 projek pada 2020.

Apabila dilaksanakan, projek perkilangan yang diluluskan itu akan mewujudkan pekerjaan baru untuk lebih daripada 80,000 orang, dengan 35.8 peratus adalah jawatan pengurusan, teknikal dan penyeliaan (MTS), termasuk jurutera, penyelia penyelenggaraan kilang, pembuat tools and die, juruteknik, kakitangan IT, pengawal kualiti, juruelektrik dan pengimpal.

FDI menyumbang 62 peratus (RM56.6 bilion) dari jumlah pelaburan yang diluluskan di sektor perkilangan, sementara pelaburan domestik merangkumi baki 38 peratus (RM34.7 bilion).

China kekal pelabur teratas dalam sektor perkilangan di Malaysia, menyumbang RM17.8 bilion daripada jumlah pelaburan asing yang diluluskan dalam sektor itu.

Sumber FDI utama yang lain termasuk Singapura (RM8.8 bilion), Belanda (RM6.5 bilion), Amerika Syarikat (RM3.7 bilion), Hong Kong (RM2.9 bilion), Switzerland (RM2.8 bilion), Thailand (RM1.9 bilion), Jepun (RM1.7 bilion) dan Korea (RM1.4 bilion).

Selangor (RM18.4 bilion) adalah penerima pelaburan terbesar dalam sektor perkilangan untuk 2020, diikuti oleh Sarawak (RM15.7 bilion), Pulau Pinang (RM14.1 bilion), Sabah (RM12.0 bilion) dan Johor (RM6.8 bilion), dengan kelima-lima negeri itu menyumbang 73.4 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan di sektor itu tahun lalu.

Dengan langkah Malaysia menuju industri teknologi canggih, projek berintensifkan modal yang membabitkan teknologi canggih dan tenaga kerja mahir mendominasi landskap perkilangan, dengan nisbah pelaburan modal bagi setiap pekerja (CIPE) meningkat kepada RM1,138,055 pada 2020 berbanding RM1,052,497 pada 2019.

Selain itu, sejumlah 101 projek telah diluluskan dengan pelaburan bernilai RM100 juta ke atas.

Dari segi industri yang menunjukkan prestasi tinggi pada 2020, elektrik dan elektronik (RM15.6 bilion), produk petroleum termasuk petrokimia (RM15.5 bilion), produk logam asas (RM14.4 bilion), kertas, percetakan dan penerbitan (RM7.8 bilion), mesin dan peralatan

(RM7.1 bilion), bahan kimia dan produk kimia (RM6.3 bilion), produk getah (RM4.3 bilion) serta teknologi pengangkutan (RM3.9 bilion) telah menyumbang hampir 90 peratus jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan tahun lalu.

“Perlu diperhatikan bahawa pelaburan dalam tiga subsektor pemangkin iaitu elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan dan kimia, serta dua bidang pertumbuhan tinggi – aeroangkasa dan alat peranti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe11) merangkumi lebih satu pertiga (38.6 peratus) dari jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan dengan pelaburan bernilai RM35.2 bilion pada 2020.

“Oleh kerana 2020 menandakan berakhirnya Rancangan Malaysia Ke-11, kerajaan sedang giat memuktamadkan Rancangan Malaysia Ke-12. Rangka tindakan pasca 2020 ini akan memacu langkah ke hadapan untuk agenda pembangunan Malaysia dalam dekad yang akan datang.

“Kami optimis bahawa ia akan merencanakan langkah untuk meningkatkan lagi strategi daya saing industri Malaysia dalam industri penting dan utama untuk transformasi ekonomi yang mampan bagi meningkatkan sektor perkilangan dan perkhidmatan negara ke tahap maju dan kompleks dalam norma baharu pasca COVID-19 dan seterusnya, ” kata Azmin.

Projek utama yang diluluskan tahun lalu terdiri daripada syarikat multinasional dalam industri bertaraf tinggi dan teknologi tinggi yang baharu beroperasi di Malaysia, termasuk Dexcom, syarikat Amerika Syarikat (AS) dan peneraju sistem pemantauan glukosa berterusan yang akan menghasilkan penawaran khusus mereka di Pulau Pinang.

Sehingga Disember 2020, MIDA mempunyai potensi pelaburan bernilai RM65.9 bilion yang sedang dinilai secara aktif dan setelah diluluskan, ia diharapkan dapat dilaksanakan dalam 2021 hingga 2022.

MIDA juga telah mengenal pasti 240 projek pelaburan asing berprofil tinggi, termasuk syarikat Fortune 500 di sektor perkilangan dan

perkhidmatan, dengan gabungan nilai pelaburan berpotensi RM81.9 bilion, termasuk rundingan yang sedang berlangsung dengan syarikat dari pelbagai sektor seperti automotif, kimia, dan elektronik canggih untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat perkilangan,

perkhidmatan dan rantaian bekalan global bernilai tinggi.

“Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang baharu dilancarkan oleh kerajaan juga akan mempercepat kemajuan Malaysia untuk menjadi ekonomi maju dari segi teknologi.

“Rancangan 10 tahun ini akan meletakkan asas transformasi negara ke arah ekonomi digital yang maju dan membimbing MITI dan MIDA dalam usaha kita untuk terus menarik pelaburan bernilai tinggi pada masa depan,” kata Azmin.

Sumber: Berita Harian

Malaysia raih RM164 bilion pelaburan diluluskan pada 2020


Content Type:

Duration:

Aktiviti perkilangan mencatatkan peningkatan pada separuh kedua 2020 dengan indeks semasa bagi aktiviti perniagaan melonjak 70 mata kepada 101 mata berbanding separuh pertama 2020.

Kaji selidik dua kali setahun Indeks Keadaan Perniagaan FMM-MIER (FMM BCI) dilaksanakan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang melepasi paras 100 mata itu menunjukkan responden optimis dengan perniagaan mereka kebelakangan ini.

Sebanyak 38 peratus responden melihat peningkatan dalam aktiviti perniagaan mereka pada separuh kedua 2020, sementara 37 peratus responden melihat ia rendah dan 25 peratus lagi neutral.

Walaupun indeks jualan tempatan dan eksport meningkat pada separuh pertama 2020, ia masih berada di bawah paras optimis, sekali gus menunjukkan kedua-dua jualan itu kekal lemah.

Kebanyakan responden (41 peratus) yang menjual di dalam pasaran tempatan mencatatkan jualan rendah, sementara 29 peratus mencatatkan peningkatan kecil jualan dan 30 peratus lagi mencatatkan tiada perubahan dalam jualan kebelakangan ini.

Indeks itu juga memperlihatkan kos pengeluaran terus meningkat pada separuh kedua 2020.

Manakala, indeks pekerjaan dalam sektor perkilangan meningkat 95 berbanding 82 pada separuh pertama 2020, namun kekal di bawah 100 mata, menunjukkan keyakinan terhadap pekerjaan masih lagi kurang dalam sektor berkenaan meskipun sentimen meningkat sedikit.

Mengenai tinjauan separuh pertama 2021, responden kaji selidik itu berpandangan, peningkatan semula kes jangkitan COVID-19 pada suku terakhir 2020 terus memberi cabaran kepada kerajaan dan perniagaan.

Memandangkan pergerakan dan permintaan yang terhad menuju ke depan, responden berhati-hati terhadap unjuran perniagaan pada separuh pertama 2021, dengan indeks bagi aktiviti perniagaan meningkat kepada 87 mata, di bawah paras siling bagi mengukur keyakinan.

Kaji selidik yang dijalankan bermula 23 Disember 2020 hingga 31 Januari 2021 membabitkan 652 responden di seluruh negara itu menunjukkan 23 peratus responden memberi jawapan positif, sementara 41 peratus tidak menjangkakan sebarang perubahan dalam bulan mendatang.

Jangkaan bagi jualan tempatan dan eksport bagi separuh pertama 2021 sama-sama lemah.

Jangkaan bagi jualan tempatan dan eksport masing-masing berada pada paras 74 dan 88, sekali lagi mencerminkan sikap berhati-hati responden.

Mengenai strategi dalam tempoh enam bulan akan datang, responden akan memberi tumpuan dalam latihan dan peningkatan kemahiran selain pelaksanaan perkilangan mantap dengan strategi berkaitan automasi paling popular dalam kalangan responden.

Strategi lain yang akan dilaksanakan pada separuh pertama 2021 ialah pengembangan pasaran, pengenalan produk baharu, kepelbagaian aktiviti perniagaan dan pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan serta inovasi.

Sementara itu, bantuan yang diperlukan responden daripada kerajaan pada 2021 ialah pengurangan cukai korporat; diskaun elektrik dan gas asli dan melanjutkan subsidi upah bersasar kepada semua pekerja dalam semua sektor.

Responden juga mencadangkan insentif eksport, kos kawal selia dan undang-undang yang rendah.

Sumber: Berita Harian

Aktiviti perkilangan mulai meningkat separuh kedua 2020


Content Type:

Duration:

Ekonomi negara mencatatkan prestasi membanggakan dengan pasaran bon menunjukkan aliran masuk yang tinggi, pelaburan asing kekal positif dan ringgit muncul sebagai antara mata wang paling kukuh di Asia Tenggara meskipun negara dilanda pandemic COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, prestasi itu menunjukkan keyakinan pelabur asing dalam pasaran Malaysia tetap teguh.

Beliau berkata pasaran bon mencatatkan aliran masuk sebanyak RM23.1 billon sehingga Ogos 2020 dan pelaburan asing bersih meningkat kepada RM6.1 bilion pada suku keempat 2020 berbanding RM2.2 bilion dicatatkan pada suku kedua 2020.

“Antara faktor yang menyokong keyakinan pelabur luar ini ialah usaha giat kerajaan untuk mengadakan libat urus dengan pelabur sedia ada bagi memahami kehendak industri dalam tempoh pelaksanaan kawalan pergerakan.

“Selain itu, usaha-usaha untuk menarik pelaburan tambahan dan baharu juga sentiasa giat dijalankan,” kata beliau dalam Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung hari ini.

Muhyiddin seterusnya berkata setelah mengharungi segala cabaran pada tahun 2020, kerajaan bertekad untuk memacu pemulihan ekonomi dengan lebih rancak pada tahun 2021 demi kesejahteraan rakyat.

Beliau menambah walaupun aktiviti ekonomi akan dibuka, kawalan pergerakan masih diperlukan termasuk kawalan sempadan antarabangsa, kawalan pergerakan merentasi negeri dan juga aktiviti sosial dan perniagaan di mana penjarakan sosial tidak dapat diamalkan.

Perdana menteri juga berkata kerajaan akan merangka empat langkah tambahan dalam tempoh terdekat.

“Pertama, menyediakan bantuan secara bersasar kepada kumpulan rentan, terutamanya golongan miskin serta golongan yang mengalami kehilangan pendapatan.

“Kedua, meningkatkan sokongan kepada perniagaan, khususnya perniagaan yang masih tidak dapat beroperasi dan perniagaan yang sedang dalam proses pembukaan semula pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ketiga, memberi tumpuan kepada sistem penyampaian awam, terutamanya bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang memerlukan, menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan serta mengurangkan karenah birokrasi supaya aktiviti ekonomi kembali rancak sehingga ke peringkat akar umbi dan menggalakkan pelaburan baharu dari dalam dan luar negara.

“Keempat, memberi fokus utama kepada agenda pendigitalan selaras dengan pertumbuhan sumber kekayaan baharu dan transformasi ekonomi negara dalam aktiviti yang berasaskan pengetahuan dan inovasi,” jelas beliau.

Sumber: Bernama

Sentimen pelabur asing tetap teguh meskipun Malaysia dilanda COVID-19


Content Type:

Duration:

Pembukaan lebih banyak sektor ekonomi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan fasa kedua (PKP 2.0) berjaya mengurangkan kerugian negara kepada RM300 juta sehari berbanding RM2.4 bilion sehari ketika PKP 1.0.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, PKP fasa kedua ini membenarkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi berbanding PKP terdahulu bagi mengimbangi aspek kesihatan rakyat dan juga tekanan ekonomi semasa.

“Ketika PKP pertama dahulu, negara kita mengalami kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari dan jika ia dilaksanakan secara berterusan, pasti sistem ekonomi negara kita termasuk sistem kesihatan awam akan lumpuh,” katanya ketika ucapan perasmian Hari Hasil ke-25 Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) secara maya, semalam.

Katanya, negara juga berjaya mengehadkan kes kematian akibat Covid-19 dengan nisbah 0.3 peratus atau dalam kategori 5.0 peratus terbawah di peringkat dunia.

Beliau berkata, keberkesanan langkah kerajaan membendung penularan Covid-19 juga diiktiraf oleh agensi penarafan kredit antarabangsa, Moody’s melalui pengekalan penarafan Malaysia pada tahap A3 dengan unjuran stabil pada Januari tahun ini.

“Moody’s juga menjangka penularan Covid-19 tidak akan menyebabkan kesan yang berpanjangan terhadap struktur ekonomi negara.

“Oleh itu, gelombang penularan semasa dan yang seterusnya hanya akan menangguhkan, tanpa menghalang pemulihan ekonomi negara ke arah landasan pertumbuhan yang lebih tinggi dan mampan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, kejayaan penarafan ini dipacu oleh asas ekonomi yang kukuh, disiplin fiskal yang baik termasuk dengan sokongan kepelbagaian sektor ekonomi.

Bagaimanapun katanya, ia amat bergantung kepada keupayaan negara mengekang pandemik dan melaksanakan pemulihan berterusan dalam permintaan luaran.

Walaupun Malaysia mengalami penguncupan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.6 peratus pada tahun lalu, Tengku Zafrul berkata, angka ini adalah lebih baik berbanding unjuran awal oleh organisasi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (-5.8 peratus), Bank Dunia (-5.8 peratus) dan Bank Pembangunan Asia (-6.0 peratus).

Prestasi Malaysia juga katanya, lebih baik jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Thailand (-6.1 peratus) dan Filipina (-9.5 peratus) dan negara lain seperti United Kingdom (-9.9 peratus).

Sumber: Bernama

PKP 2.0: Kerugian negara berkurang kepada RM300 juta sehari


Content Type:

Duration:

Kerajaan akan terus memberi fokus utama kepada agenda pendigitalan selaras dengan pertumbuhan sumber kekayaan baharu dan transformasi ekonomi negara dalam aktiviti yang berasaskan pengetahuan dan inovasi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menjelang tahun 2025, ekonomi digital dijangka menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Berdasarkan Laporan International Institute for Management Development (IMD) World Digital Competitiveness Ranking 2020, daripada 63 buah negara, Malaysia berada pada kedudukan ke-26 dengan skor 82.39 peratus,” katanya pada Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin pada Isnin.

Manakala dari segi aspek kreativiti dan inovasi, Malaysia berada pada kedudukan ke-12 daripada 190 ekonomi Rantau Asia Timur dan Pasifik dengan skor 81.5 dalam Laporan Menjalankan Perniagaan 2020 Bank Dunia.

Sehubungan itu, kerajaan telah melancarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan inisiatif MyDigital pada 19 Februari lalu bertujuan menyediakan hala tuju untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya saing dalam era digital ini.

“Inisiatif MyDigital yang berpotensi menarik pelaburan yang dianggarkan bernilai RM70 bilion pastinya akan meningkatkan daya saing negara di samping menjadi antara pemangkin utama pemulihan ekonomi negara dan penciptaan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan untuk rakyat,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, kerajaan melalui kementerian dan agensi-agensi berkaitan telah bekerjasama dengan pihak penyedia perkhidmatan komunikasi utama untuk membangunkan sebuah pelan infrastruktur digital yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan baharu rakyat.

Katanya, pelan tindakan yang dikenali sebagai Jalinan Digital Negara (Jendela), akan menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12.

Justeru katanya, pelaksanaan Jendela diharapkan dapat menyediakan penyelesaian kepada masalah capaian internet di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan juga telah meluluskan sebanyak 128 projek teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan pendigitalan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM3.8 bilion dengan peruntukan tahun 2021 sebanyak RM538.7 juta.

“Projek-projek yang diluluskan tersebut meliputi pembangunan sistem, infrastruktur dan perisian keselamatan siber, latihan kompetensi kerajaan digital serta menaiktaraf kelengkapan ICT di institut latihan,” jelasnya.

Sumber: Bernama

Kerajaan beri fokus sumber kekayaan baharu


Content Type:

Duration:

Kerajaan telah mengenal pasti beberapa industri berpotensi tinggi sebagai peneraju dan sumber pertumbuhan baharu negara di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Antara industri berpotensi tinggi adalah industri aeroangkasa, elektrikal dan elektronik yang lebih canggih, kreatif, biojisim dan pertanian pintar.

“Kerajaan juga akan melaksanakan strategi untuk mempertingkat produktiviti bagi mempercepatkan peralihan kepada industri yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi serta berteknologi tinggi,” kata beliau sewaktu menyampaikan Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung hari ini.

Muhyiddin berkata dalam usaha merancang pembangunan dan kemajuan ekonomi negara untuk jangka masa panjang, kerajaan komited meletakkan ekonomi Malaysia di atas landasan yang lebih kukuh dan berdaya saing.

Beliau menambah pelan pembangunan sosioekonomi negara lima tahun adalah penting bagi menetapkan hala tuju strategik yang jelas dan meletakkan ekonomi negara di atas asas yang lebih kukuh.

Antara keutamaan kerajaan dalam RMKe-12 termasuklah menyediakan ekosistem yang kondusif untuk membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta menggalakkan pelaburan yang berkualiti dengan memberi tumpuan kepada aktiviti berteknologi tinggi.

Pembangunan di Sabah dan Sarawak serta negeri-negeri lain yang kurang membangun akan dipercepatkan dengan memantapkan penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas, tambah beliau.

RMKe-12 bermatlamat merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi Malaysia, selain memastikan kemakmuran negara dapat diagihkan secara lebih adil dan saksama tanpa mengabaikan kelestarian alam sekitar.

Sumber: Bernama

Aeroangkasa, pertanian pintar antara industri berpotensi tinggi RMK12


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengemukakan kertas cadangan pendekatan keselamatan di tempat kerja dalam menangani isu penularan COVID-19 di tempat kerja.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kertas cadangan itu akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan kelulusan.

Beliau berkata, apabila diluluskan kelak, pendekatan itu akan membolehkan majikan turut sama bertanggungjawab dan berperanan melindungi pekerja mereka.

“Sebelum ini kita berpandangan sebahagian besar kes itu disumbang pekerja yang menginap di tempat penginapan yang tidak kondusif, mungkin terlalu sesak, terlalu ramai dalam satu bilik.

”Namun, ada juga peratusan menunjukkan kluster ini berlaku di tempat kerja. Berikutan itu, Ketua Setiausaha saya, Datuk Lokman Hakim Ali, pasukan saya bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sudah mengadakan beberapa libat urus dengan dewan perniagaan dan persatuan industri untuk melihat apa yang boleh kita lakukan.

“Ia kerana kita mahu, bukan saja kerajaan mengenakan syarat yang ketat, sebaliknya kita mahu majikan melakukan kawalan kendiri, memberi kuasa kepada pihak industri untuk tampil dan membantu kerajaan menghentikan COVID-19,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, jika majikan menjaga dan memastikan kesihatan serta keselamatan pekerja daripada jangkitan, kerajaan tidak perlu mengambil tindakan terhadap mereka termasuk menutup atau menghentikan operasi, malah majikan juga akan dapat meningkatkan produktiviti masing-masing.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama-sama MITI dan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Jawatankuasa Teknikal sudah merangka beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang boleh dilaksanakan, khususnya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan, bagi membantu sektor pelancongan yang teruk terjejas akibat penularan COVID-19 serta penutupan sempadan negara kepada pelancong dan pengembara luar.

Katanya, keputusan mengenainya masih belum dibincangkan kerana KKM akan membentangkan penilaian risiko dalam masa terdekat untuk melihat tindakan boleh diambil selepas PKP tamat.

“Memang kita maklum industri pelancongan antara sektor paling terjejas akibat COVID-19. Ia memberi kesan bukan saja kepada industri perhotelan, tetapi logistik dan penerbangan serta banyak subsektor lain.

“Apa pun keputusan akan diambil, yang penting pematuhan kepada SOP dan dibuat berdasarkan data serta sains. Jika kita ada data khusus yang boleh membuktikan sektor pelancongan boleh dilaksanakan dalam masa terdekat, saya percaya kerajaan akan mengambil langkah ke arah itu,” katanya.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri pula berkata, sektor pelancongan tempatan sudah dibuka di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk aktiviti mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) serta mesyuarat bersemuka di seluruh negara.

“Hotel tidak pernah ditutup dan untuk membantu hotel di kawasan PKP, PKPB dan PKPP, bahagian makanan dan minuman (F&B) juga dibenarkan dibuka sepenuhnya dengan syarat mematuhi SOP penjarakan fizikal di meja makan.

“Banyak aktiviti pelancongan juga sudah dibenarkan dibuka di kawasan PKPB seperti taman tema dan sebagainya. Sedikit demi sedikit ia akan dibuka selepas penilaian risiko dibuat KKM,” katanya.

Sumber: Berita Harian

MITI akan kemuka pendekatan ‘selamat di tempat kerja’ tangani COVID-19


Content Type:

Duration:

Ketersediaan vaksin COVID-19 dalam negara disifatkan sebagai jalan terbaik dalam usaha merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi.

Felow Akademi Sains Malaysia Datuk Dr Madeline Berma berkata dengan adanya vaksin  itu  juga memberi petanda bahawa kerajaan tidak perlu  lagi melaksanakan Perintah Kawalan pergerakan (PKP), termasuk kemungkinan membuka sepenuhnya sektor ekonomi.

“Ketika kerajaan melaksanakan PKP sebelum ini, kita lihat pada ketika itu ekonomi menguncup lebih 17 peratus, ekonomi domestik dan external kita terjejas kerana pada ketika itu tiadanya vaksin…apa dilaksanakan ketika itu hanyalah dengan mengamalkan penjarakan zikal, hentikan segala bentuk ekonomi, pergerakan dan sebagainya.

“Tetapi dengan adanya vaksin pada hari ini kalau dari segi ekonomi makanya, kita tidak perlu lagi lockdown (sekatan pergerakan) dan tiada alasan lagi untuk kerajaan melaksanakannya,” kata beliau.

Madeline berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang  Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Setahun Malaysia Prihatin (Ekonomi, Politik  dan Perundangan)’ di sini, malam ini.

Beliau berkata meskipun negara telah mempunyai vaksin, apa yang penting adalah rakyat harus kekal mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dan menjaga diri bagi membantu mengekang penularan jangkitan COVID-19 secara optimum.

Sementara itu, mengenai keprihatinan kerajaan sepanjang setahun mentadbir negara, Penganalisis Politik dan Perundangan Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata langkah yang dilaksanakan kerajaan selama  ini membuktikan keprihatinan  kerajaan terhadap kesengsaraan rakyat khususnya ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

“Sebenarnya pada saya secara peribadi, tidak boleh untuk bandingkan kerajaan sekarang dengan kerajaan sebelum ini kerana dalam sejarah Malaysia, ini kali pertama sebuah kerajaan dibina pada masa sama mendapat cabaran paling hebat dengan isu COVID-19 sekali gus perlu urus tadbir negara dengan baik, kebajikan rakyat, ekonomi dan sebagainya.

“Ini perlukan fokus amat hebat dan perlukan bantuan dan sokongan semua pihak tidak kira pembangkang atau kerajaan, jabatan kerajaan atau swasta…kerajaan ini memang digelar kerajaan prihatin kerana banyak program dan agenda dilaksanakan kerajaan untuk rakyat,” katanya.

Malaysia menerima kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 jenis Pzer-BioNTech melibatkan 312,390 dos pada Ahad (21 Feb) lepas.

Sumber: Bernama

Vaksin COVID-19 jalan terbaik rancak ekonomi


Content Type:

Duration:

Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berada di landasan tepat untuk memulakan kapasiti pengeluaran 300,000 tong minyak mentah sehari menerusi usaha sama dengan syarikat minyak Arab Saudi iaitu Saudi Aramco di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Johor pada awal separuh kedua 2021 berbanding Mac seperti dijangkakan sebelum ini.

Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (Hiliran) Petronas,  Datuk Md  Arif Mahmood berkata kelewatan itu disebabkan oleh impak akibat pandemik COVID-19 yang perlu dihadapi oleh pasukan di lapangan terbabit.

“Kami kini melakukan banyak pengurangan dari segi pengurusan pekerja di kawasan itu.

“(Pada masa ini) masih ada kira-kira 4,000 pekerja dan kontraktor di kawasan itu selain kakitangan Petronas yang dianggarkan lebih 2,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya bagi mengumumkan prestasi kewangan syarikat petroliam dan gas negara bagi suku keempat dan tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2020 di sini, pada Jumaat.

Selain itu, Md Arif turut menegaskan bahawa Petronas juga perlu memastikan bahawa kerja-kerja berkaitan diurus secara berhati-hati berikutan pandemik tersebut telah memberi impak terhadap jadual terbabit.

Dalam satu kenyataan, Petronas berkata setakat 31 Disember 2020, PIC berada dalam kedudukan bagi peralihan kepada operasi komersial dengan menumpukan penyediaan bagi mencapai operasi yang selamat, boleh dipercayai serta cekap.

Menurut Petronas, susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kilang penapisan dan petrokimia itu telah dijangka dimulakan pada separuh kedua 2021, tertakluk kepada keselamatan serta penyiapan kerja-kerja berbaki yang terbukti memuaskan.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya,  Tengku Muhammad Tauk Tengku Aziz berkata Petronas dan Saudi Aramco juga komited untuk memastikan kejayaan permulaan PIC biarpun terdapat spekulasi mengenai usaha itu berdepan kesukaran.

“Ini kekal satu komitmen dan saya juga sering berhubung dengan pihak pengurusan Saudi Aramco. Kami turut memanfaatkan sumber-sumber terbaik mereka bagi melengkapkan lagi pasukan kami dan setakat ini saya tidak berminat untuk melayan sebarang spekulasi mengenai kerjasama itu,” kata beliau.

Sumber: Bernama

Kompleks Bersepadu Pengerang beroperasi pada separuh kedua 2021 – Petronas


Content Type:

Duration:

Cabot Corp akan melabur dalam kemampuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta teknologi getah mampan baharu di kilangnya di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Syarikat bahan prestasi dan kimia khusus global itu merancang untuk meningkatkan jumlah kakitangan lebih daripada 30 peratus selain menggunakan kawalan digital dan sistem automasi untuk meningkatkan pembuatan menerusi penyelesaian Engineered Elastomer Composites (E2C) yang dilancarkannya tahun lepas.

“Syarikat  juga memeterai lanjutan dan peluasan jangka panjang bagi pajakan tanah di Port Dickson,” menurut kenyataan bersama Cabot Corp dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada Jumaat.

Cabot menyasar untuk menerajui dan mengungguli teknologi getah melalui inovasi khusus seperti alat baharu untuk pemodelan dan pengoptimuman pencampuran cecair; kaedah baharu untuk menentukan ciri komposit elastomer, serta automasi pemprosesan getah berterusan.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud berkata beliau yakin Cabot akan memperoleh manfaat daripada ekosistem industri kimia pepejal Malaysia, yang disokong oleh persekitaran perniagaan dan dasar mesra pelabur serta ketersediaan pekerja mahir di negara ini.

“Pelaburan oleh Cabot menjadi bukti bahawa persekitaran perniagaan Malaysia adalah berdaya tahan dan menjanjikan pulangan kepada pelabur,” katanya.

Beliau berkata sebagai rakan kepada pelabur, MIDA kekal komited untuk membawa projek dipacu pengetahuan dan berkualiti tinggi ke Malaysia, sejajar dengan agenda pelaburan negara untuk pertumbuhan ekonomi mampan jangka panjang yang berterusan.

Sementara itu, Naib Presiden dan Pengurus Besar Cabot Engineered Elastomer Composites, David Reynolds berkata kilang Cabot di Malaysia telah menjadi asset utama pihaknya untuk membangunkan dan mengembangkan portfolio penyelesaian komposit elastomer.

“Justeru, kami turut komited untuk terus bekerjasama dengan MIDA dalam memperkukuh pelabur kami di Port Dickson di samping menyokong pertumbuhan rangkaian produk berprestasi tinggi ini,” katanya.

Penyelesaian E2C Cabot merupakan kategori baharu bagi komposit getah berprestasi berasaskan proses pencampuran cecair proprietari untuk susu getah asli, termasuk tiga produk berdaya maju secara komersial untuk penggunaan tayar perlombongan bagi laluan lasak. Penyelesaian itu diiktiraf sebagai antara 10 elastomer terbaik dalam Senarai Kemampanan yang julung kali diwujudkan oleh European Rubber Journal pada Julai 2020.

Sumber: Bernama

Cabot Corp akan melabur dalam teknologi getah mampan baharu di Malaysia


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menggesa  perniagaan, terutama perusahaan kecil dan menengah  (PKS) untuk melaksanakan pendigitalan dan memupuk budaya inovasi dalam perniagaan mereka supaya kekal berdaya tahan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif II MIDA, Ahmad Khairuddin Abdul Rahim berkata bagi memacu pertumbuhan perniagaan dan kekal relevan dalam persekitaran kebiasaan baharu ketika ini pemimpin perniagaan, terutamanya PKS harus berkir secara kreatif dan berinovasi terhadap model perniagaan mereka.

“Kesediaan untuk berinovasi juga harus seiring dengan pemahaman mengenai bagaimana memupuk budaya inovasi dalam kehidupan harian. Fokus berkenaan akan membantu perniagaan Malaysia beralih daripada model pertumbuhan konvensional lama kepada membangunkan pertumbuhan baharu melalui penggunaan sistem

digital,” katanya dalam ucapan perasmiannya semasa sesi Webinar mengenai ‘Domestic Investment’ yang diadakan secara maya hari ini.

Sesi yang bertemakan “Innovation and Transition to New Business Models” oleh Jabatan Politeknik dan Pendidikan Kolej Komuniti (DPCCE), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Sirim Bhd dan AmBank.

Dasar  Kebangsaan mengenai IR 4.0 atau dikenali sebagai  Industry4WRD  adalah panduan  terbaik  dan insentif Penilaian Kesediaan Industry4WRD serta  Dana Intervensi membolehkan syarikat tempatan menilai kemampuan dan kesediaan mereka untuk menggunakan proses Industri 4.0, memahami keupayaan dan jurang mereka ketika ini serta menyiapkan rancangan bagi penerapan Industri 4.0 dengan berkesan.

“Ini merupakan langkah pertama bagi perusahaan di Malaysia untuk menyesuaikan diri dengan lanskap teknologi yang sentiasa berubah dengan pantas dan pada masa yang sama membangunkan bidang pertumbuhan baharu dengan mengutamakan kecekapan operasi dan ketahanan melalui digital dan teknologi automasi,” katanya.

Ahmad Khairuddin  berkata  pemboleh kritikal lain adalah  pekerja  mahir dan program peningkatan untuk mendorong dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia seterusnya ketersediaan tenaga kerja mahir akan menyokong peralihan semua sektor ekonomi ke arah aktiviti berintensifkan pengetahuan.

“Kerajaan  juga memperkenalkan  Elaun Modal Automasi, sebuah inisiatif utama untuk memotivasikan perusahaan  tempatan melakukan automasi dan menaik taraf mesin. Pemberian Geran Automasi Pintar  di bawah peruntukan RM100 juta adalah inisiatif yang diberikan kepada PKS dan syarikat pertengahan berdasarkan padanan atau 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan yang layak, hingga had pemberian maksimum RM1 juta bagi satu syarikat,” katanya.

Sementara itu, webinar tersebut menerima penyertaan lebih daripada 300 peserta, termasuk pengeluar, penyedia perkhidmatan dan bakal pelabur.

Sumber: Bernama

MIDA gesa syarikat tempatan laksana pendigitalan


Content Type:

Duration:

Ekonomi Malaysia bakal menunjukkan prospek yang lebih baik pada bulan-bulan akan datang berdasarkan prestasi Indeks Pelopor (IP) yang mencatatkan 108.8 mata pada Disember 2020 daripada 101.6 mata pada Disember 2019 serta mengekalkan pertumbuhan tahunan 7.1 peratus sejak November 2020.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ketika ini dunia sedang dalam proses pelancaran vaksin COVID-19 dan Malaysia bersama-sama dengan ekonomi global lain dijangka kembali kepada pertumbuhan positif tahun ini.

“Ekonomi global pada ketika ini berada dalam trend pemulihan daripada kemerosotan akibat COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan mengenai Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 2/2021 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan, hari ini.

Laporan tersebut menyediakan analisis terperinci berdasarkan kepada statistik utama semasa bagi prestasi ekonomi Malaysia.

Mohd Uzir berkata, menurut World Economic Outlook Update yang dikeluarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Januari 2021, ekonomi dunia diunjurkan bertambah baik kepada 5.5 peratus pada 2021 dan 4.2 peratus pada 2022 susulan  aktiviti ekonomi yang perlahan berikutan langkah kawalan bagi membendung pandemik pada 2020.

Mengenai prestasi ekonomi negara pada suku keempat 2020, beliau berkata pandemik COVID-19 telah memberikan kesan yang mendalam terhadap ekonomi global pada tahun itu dengan hampir semua negara di seluruh dunia mengalami kelembapan ekonomi dan Malaysia tidak terkecuali apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup 3.4 peratus.

Dari segi prestasi bulanan pula, katanya, ekonomi Malaysia mencatatkan penguncupan 4.7 peratus pada Oktober 2020, menyusut lebih perlahan pada November kepada negatif 4.0 peratus dan negatif 1.7 pada Disember.

“Bagi keseluruhan tahun 2020, KDNK Malaysia menyusut 5.6 peratus berbanding pertumbuhan positif 4.3 peratus pada 2019 berikutan kemerosotan dalam semua sektor ekonomi disebabkan oleh beberapa gelombang peningkatan kes COVID-19 serta penguatkuasaan pelbagai fasa kawalan pergerakan di sepanjang tahun.             

“Penyusutan ini adalah yang kedua terendah pernah direkodkan selepas kemelesetan ekonomi pada tahun 1998,” katanya.

Menurutnya, walaupun krisis kesihatan ini masih berlarutan ketika melangkah ke 2021, tindak balas kerajaan pada kali ini dilihat lebih seimbang antara kehidupan dan mata pencarian dengan membenarkan sektor ekonomi beroperasi di bawah prosedur operasi standard (SOP)  ketat yang merupakan langkah positif kepada keseluruhan ekonomi serta memberi kelegaan kepada perniagaan.

Mengenai  ketibaan kumpulan pertama vaksin COVID-19 ke Malaysia, Mohd Uzir berkata ia pasti dapat membantu mengurangkan impak kepada ekonomi serta  membolehkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi semula dan berkemungkinan membenarkan pembukaan semula sempadan antarabangsa secara beransur-ansur.

“Namun demikian, perniagaan tidak seharusnya memandang vaksin sebagai jalan penyelesaian dan perlu berterusan mengamalkan norma baharu. Dengan kepantasan adaptasi penggunaan e-Dagang berikutan pelaksanaan penjarakan zikal dan sekatan pergerakan, tidak dipertikaikan lagi digitalisasi merupakan hala tuju ke hadapan,” katanya.

Justeru, katanya, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang holistik dilancarkan baru-baru ini bertepatan kerana menggariskan bidang fokus digitalisasi termasuk mendaya upaya bakat, menyediakan persekitaran digital yang dipercayai dan selamat serta mengembangkan bidang fokus dalam sektor ekonomi.

Sumber: Bernama

Ekonomi Malaysia dijangka kembali positif tahun ini susulan pelancaran vaksin COVID-19


Content Type:

Duration:

Madewings Malaysia Sdn Bhd (Madewings) akan membuka kilang pembuatan pelitup muka berkualiti tinggi yang pertama di Malaysia bagi memenuhi keperluan semasa negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Zaimy Asrul Abd Razak, berkata pihaknya sedang memperincikan pelbagai berkaitan perlesananan, nilai pelaburan, pemindahan teknologi dan sebagainya yang dijangka selesai menjelang hujung tahun ini.

“Kilang ini akan memberi fokus kepada penghasilan pelitup muka jenis ‘flat mask’, ‘fold flat KN95’ dan ‘cup type KN95’, kesemuanya dihasilkan mengikut standard piawaian ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Setakat ini kita sudah mendapat kelulusan daripada ibu pejabat iaitu Madewings Medical Tech Group dan proses seterusnya sedang dijalankan.

“Pembukaan kilang ini juga akan menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan sekaligus membantu mereka mendepani cabaran akibat pandemik COVID-19,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Sumbangan 100,000 pelitup muka jenis KN95 kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan termasuk orang ramai yang memerlukan.

Mohamad Zaimy berkata, produk yang dihasilkan itu adalah untuk pasaran terbuka termasuk bagi kegunaan hospital dan klinik.

Sementara itu, Mohd Rashid berkata pembukaan kilang itu merupakan satu kejayaan bukan sahaja kepada syarikat terbabit bahkan petanda baik bagi negara dalam usaha untuk menarik masuk pelabur asing.

“Penggunaan pelitup muka pada hari ini sudah diwajibkan, justeru kita harus pastikan pelitup muka yang digunakan adalah jenis yang berkualiti sebab apa yang penting adalah ia berfungsi dengan baik untuk menutup rongga mulut dan hidung bagi mengelakkan jangkitan COVID-19,” katanya.

Madewings Malaysia Sdn Bhd adalah anak syarikat Madewings Medical Tech Group yang berpangkalan di Guangzhou, China.

Syarikat itu mempunyai kepakaran dalam pembuatan kit perlindungan muka dan respiratori dengan mencatatkan jualan kira-kira AS$431 juta tahun lalu.

Sumber: Bernama

Madewings rancang buka kilang pelitup muka pertama di Malaysia


Content Type:

Duration:

‘ECK Group of Companies’ (ECK) mengumumkan dilantik kerajaan negeri Kedah bagi menyertai usahasama membangunkan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Syarikat terbabit pada kenyataan hari ini berkata, mereka akan terbabit secara langsung sebagai rakan strategik projek KXP bermula daripada urusan pembinaan sehingga pentauliahan lapangan terbang itu.

Katanya, ia termasuk membawa masuk operator lapangan terbang dan operator kargo antarabangsa untuk menjalankan operasi di KXP selepas ia siap kelak.

“Selain membangunkan lapangan terbang bertaraf antarabangsa dengan dua landasan, ECK turut akan terbabit dalam pembangunan komponen utama lain iaitu bandar raya udara dikenali ‘Kedah Aerotropolis’ dan ‘Airport City’ di Mukim Sidam Kiri, Kuala Muda.

“ECK juga akan memainkan peranan menarik pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur di Kedah Aerotropolis dan Airport City,” katanya.

Mengulas lanjut, ECK mengumumkan, sebuah syarikat bertujuan khas (SPV) akan ditubuhkan dengan fungsi utama mendorong pembangunan dan kewangan bandar raya udara di kawasan seluas lebih 4,000 hektar.

Katanya, syarikat SPV ini terbabit akan dipengerusikan Tunku Laksamana Kedah Datuk Seri Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

“Anggota lembaga pengarah syarikat pula terdiri daripada wakil kerajaan negeri Kedah dan pihak swasta.

“Setelah siap, KXP bakal mengubah wajah Kedah dan negeri jiran secara drastik,” katanya.

ECK menjelaskan, pelabur dalam pelbagai industri seperti sektor kewangan, pengilangan serta perusahaan berat dan sederhana khususnya teknologi udara, semikonduktor dan sebagainya yang bernilai tinggi akan menghidupkan KXP.

“Kedah Aerotropolis akan menjadi bandar raya moden dengan komponen perumahan dan perniagaan, bandar perubatan, pengurusan akademi, teknologi informasi dan komunikasi serta hab pengangkutan serba lengkap,” katanya.

Sumber: Harian Metro

ECK dilantik bangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim


Content Type:

Duration:

DENSO MALAYSIA Sdn Bhd, anak syarikat DENSO Corporation melabur RM160 juta bagi meningkatkan kapasiti pengeluarannya di Selangor.

Pelaburan dalam projek yang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu dijadualkan bermula April ini.

Projek yang membabitkan pengeluaran semikonduktor automotif ASIC dikenali ‘Exposed Pakage’ atau (Ex-PKG) memiliki fungsi tinggi dan berdaya saing, penyebaran haba tinggi yang cekap serta mengurangkan kos.

Komitmen anak syarikat pembekal sistem dan komponen mobiliti global terkemuka dari Jepun itu dengan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) membabitkan usaha membangunkan komponen kritikal dalam komponen Kenderaan Generasi Baharu (NxGV), teknologi mobiliti dan pemanduan berautonomi.

Pengarah Urusan DENSO MALAYSIA, Tomoya Nakamura, berkata kilang di Selangor dipilih sebagai satu-satunya pusat pengeluaran semikonduktor di ASEAN di luar Jepun.

“Kilang pengeluaran ini disokong rangkaian pembekalan di Malaysia yang kukuh, infrastruktur yang dibangunkan dengan baik dan persekitaran yang mesra perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Di bawah projek itu, DENSO MALAYSIA akan berfungsi sebagai hab pembuatan dan pengedaran bekalan kepada DENSO di Jepun dan syarikat kumpulan DENSO lain di seluruh Amerika Utara, China, Eropah dan rantau lain.

DENSO akan membantu mempromosikan eksport alat ganti automotif ke luar Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan industri automotif di negara ini.

Nakamura berkata, pelaburan berkenaan juga akan mewujudkan barisan pengeluaran automatik menerusi teknik pemprosesan unik dan peralatan pengeluaran rekaan DENSO yang memiliki kecekapan dan kualiti tinggi.

“Pemindahan pengetahuan produk juga akan mengembangkan kemahiran kejuruteraan tempatan di kalangan tenaga kerjanya menerusi konsep ‘Hitozukuri (pembangunan sumber manusia)’ DENSO yang berdedikasi.

“Di samping itu, pengenalan rangkaian pengeluaran automatik sepenuhnya juga akan mempercepat peralihan teknologi Industri 4.0, seperti penggunaan Internet Kebendaan (IoT), pengurusan data besar dan automasi kilang di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud, berkata kerajaan menyambut baik langkah DENSO untuk menjadikan Malaysia sebagai negara di luar Jepun untuk menghasilkan produk canggih sebagai hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berterusan.

“Kami mengakui perbelanjaan operasi lebih RM20 juta dalam tempoh lima tahun akan menguntungkan ekosistem perniagaan tempatan bermula dari industri insurans, perundangan, perbankan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pengangkutan.

“Keputusan DENSO memperluaskan kehadiran mereka di Malaysia membuktikan negara menjadi lokasi pelaburan yang kompetitif untuk operasi bernilai tinggi di tengah-tengah ketidaktentuan global,” katanya.

Di Malaysia, DENSO MALAYSIA menghasilkan pelbagai produk merangkumi sistem penyaman udara, radiator, unit kawalan enjin, unit kawalan elektronik beg udara, stereng kuasa elektrik dan produk lain.

Sumber: Berita Harian

DENSO labur RM160 juta tingkat kapasiti di Selangor


Content Type:

Duration:

Kerajaan melalui Pihak Berkuasa Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia akan membuka permohonan bagi kuota Tarif Galakan (FiT) sebanyak 188 Megawatt (MW) untuk sumber biogas, mini hidro dan biojisim di Semenanjung Malaysia bermula Jun ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata daripada jumlah yang ditawarkan, 32MW diperuntukkan untuk sumber biogas, 126MW untuk sumber mini hidro dan 30MW bagi sumber biojisim.

“Kesemua kuota FiT ini boleh dipohon secara bidaan dalam talian (e-bida) melalui laman sesawang SEDA Malaysia, www.seda.gov.my, bermula 1 Jun ini untuk biogas, 8 Jun untuk mini hidro dan 22 Jun untuk biojisim,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Shamsul Anuar berkata penawaran kuota FiT baharu itu berupaya menjana pelaburan sebanyak RM1.5 bilion dan mewujudkan sebanyak 600 peluang pekerjaan dalam industri Tenaga Boleh Baharu (TBB).

Beliau berkata projek-projek yang bakal diluluskan itu akan mula menjana dan membekalkan elektrik mulai pertengahan 2024.

“Apabila penjanaan elektrik mula digunapakai pada 2024, secara sendirinya ia dapat meningkatkan kebolehupayaan elektrik di seluruh negara terutama dalam sector TBB. Secara tidak langsung bekalan elektrik kita diharap akan lebih stabil dan rakyat juga akan mendapat manfaatnya,” katanya.

Menurut Shamsul Anuar, permohonan kuota FiT yang dilaksanakan secara e-bida mula diperkenalkan pada 2018 bagi sumber biogas sebelum diperluaskan bagi sumber mini hidro pada 2019 dan sumber biojisim pada tahun ini.

Beliau berkata pelaksanaan e-bida bertujuan memastikan supaya kuota FiT diluluskan kepada pembida dengan tawaran tarif terendah.

“Pendekatan ini membolehkan dana Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu dioptimumkan, seterusnya lebih banyak kuota FiT boleh ditawarkan kepada syarikatsyarikat pemaju TBB,” katanya.

Shamsul Anuar berkata tawaran permohonan kuota FiT itu terbuka kepada semua syarikat yang berdaftar dengan SEDA Malaysia, namun amat menggalakkan agar syarikat-syarikat tempatan mengambil peluang ini.

Beliau berkata sejak program FiT diperkenalkan pada 2011, kuota sebanyak 1,394MW telah diluluskan bagi semua sumber TBB melibatkan sebanyak 10,476 projek di seluruh negara.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga sedang mengkaji alternatif lain yang lebih berdaya maju untuk melaksanakan projekprojek TBB di Sabah.

“Kajian sedang dilakukan untuk membolehkan projek TBB dilaksanakan di sana dan buat masa ini kami masih teruskan projek-projek lama yang masih berjalan di Sabah, maksudnya tidak ada program seumpama ini (FiT) dibuat di Sabah,” katanya.

Sumber: Bernama

Permohonan kuota FiT dibuka Jun ini


Content Type:

Duration:

Pelaksanaan rangkaian teknologi selular generasi kelima (5G) dijangka memacu permintaan bagi rangkaian gentian optik, sekali gus memberi manfaat kepada aspek ketersambungan negara dan penyedia prasarana digital, Telekom Malaysia Bhd (TM) serta penggiat talian tetap, demikian menurut firma penyelidikan.

Ini susulan pengumuman kerajaan membabitkan 5G di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia bersempena pelancaran agenda MyDIGITAL pada minggu lepas.

Sejajar usaha itu, kerajaan turut mewujudkan Syarikat Tujuan Khas Milik Kerajaan Malaysia (GOMSPV) bagi menerajui serta memantau pelaksanaan pembangunan infrastruktur dan rangkaian 5G di seluruh negara dalam tempoh 10 tahun dengan pelaburan sebanyak RM15 bilion.

CGS-CIMB Securities Sdn Bhd (CGS-CIMB) dalam nota penyelidikannya pada Selasa, optimis bahawa sebahagian besar daripada inisiatif MyDIGITAL akan memberi kesan neutral terhadap pengendali mudah alih manakala TM akan meraih mendapat manfaat susulan langkah pajakan gentian optiknya kepada GOMSPV bagi tujuan pelaksanaan 5G.

“Kami turut mengunjurkan permintaan lebih kukuh terhadap pusat-pusat data TM apabila kerajaan memindahkan 80 peratus data awam ke dalam pengkomputeran awan hibrid menjelang akhir 2022,” katanya.

CGC-CIMB yang mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor itu berkata ketidaktentuan utama adalah dari segi kecekapan kos bagi pelaksanaan rangkaian 5G tersebut.

“Sebahagian daripadanya bergantung kepada sejauh mana bayaran GOMSPV untuk memajak infrastruktur sedia ada serta daripada siapa.

“Ini kerana pelaksanaan yang membabitkan kos tinggi akan menjurus kepada peningkatan fi akses serta mengurangkan manfaat penjimatan kos bagi syarikat-syarikat telekomunikasi yang pada masa sama perlu berdepan harga runcit lebih rendah berikutan kekurangan perbezaan rangkaian,” katanya.

Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) yang turut berkongsi saranan sama ‘neutral’ terhadap sektor tersebut, pula berpendapat bahawa risiko utama adalah mengenai kemampuan GOMSPV melaksanakan 5G berkenaan.

“Sumber pembiayaan GOMSPV itu pada masa ini masih kurang jelas dengan pengendalinya menolak penggunaan dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat, cukai baharu dan suntikan langsung kerajaan.

“Pada pandangan kami, usaha pengumpulan dana menerusi pasaran saham akan memerlukan GOMSPV menjadi lebih berorientasikan keuntungan yang akan terarah kepada peningkatan fi akses. Ini bertentangan dengan objektif keterangkuman data dan pembinaan negara yang menjadi model pelaksanaan usaha ini.”

Bagaimanapun, Maybank IB berkata secara keseluruhannya, model borong GOMSPV yang mana syarikat-syarikat telekomunikasi mendapat akses rangkaian dengan termanya sedang dirangka, akan ‘melepaskan’ syarikat terbabit daripada perbelanjaan modal 5G dan mengurangkan tekanan pulangan dalam jangka terdekat.

Sumber: Bernama

Pelaksanaan 5G pacu permintaan terhadap rangkaian gentian optik


Content Type:

Duration:

Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan berperanan sebagai pemangkin pemulihan ekonomi dalam keadaan pandemik COVID-19, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Penggalakan Pelaburan Asing MIDA, May Lim Ming Yee berkata pemeteraian perjanjian perdagangan bebas itu tepat pada waktunya, memandangkan situasi semasa, dengan ia akan, antaranya, mempermudah dan melindungi pelaburan negara-negara peserta dan pemansuhan tarif.

“Perniagaan boleh menikmati akses pasaran lebih luas dan peluang rentas sempadan antara pasaran RCEP,” katanya pada webinar MIDA bertema ‘Pelaburan China di Malaysia dan Dasar Pelaburan Terkini 2021’ pada Isnin.

Sementara itu, Penolong Pengarah bahagian yang sama, Por Yee Yun berkata di antara Januari dengan September 2020, China berada di kedudukan teratas senarai pelaburan negara utama yang diluluskan bagi sektor pembuatan Malaysia iaitu bernilai RM16.77 bilion, diikuti Singapura (RM7.61 bilion) dan Switzerland (RM2.77 bilion).

“Pelaburan yang diluluskan dari China bagi sektor pembuatan menunjukkan peningkatan, dan negara itu merupakan penyumbang pelaburan langsung asing (FDI) terbesar sejak empat tahun lepas, mencatatkan RM15.3 bilion pada 2019 dan RM16.77 bilion setakat suku ketiga 2020,” katanya.

Beliau berkata untuk menarik FDI China ke Malaysia, tumpuan perlu diberikan kepada elektrik dan elektronik; jentera dan peralatan; kimia; peralatan perubatan serta aeroangkasa.

“Sektor lain turut termasuk automotif; pengangkutan; tekstil; farmaseutikal; logam; pemprosesan makanan serta perkhidmatan,” katanya.

Sumber: Bernama

RCEP berperanan sebagai pemangkin pemulihan ekonomi Malaysia – MIDA


Content Type:

Duration:

Kejayaan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan menjadi faktor penting dalam menentukan laluan Malaysia ke arah merealisasikan pemulihan ekonomi, menurut Asia Pacific Investment Bank Ltd (APIB).

Pengarah Jabatan Pengurusan Aset, Lai Heow Gran berkata program itu akan mengekang penularan jangkitan virus sekali gus membolehkan usaha pemulihan ekonomi terus dipacu.

“Bagaimanapun, ekonomi ini mungkin berdepan risiko sekiranya vaksinasi ini tidak dapat mengatasi evolusi virus,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu beliau berkata Malaysia dijangkakan meraih manfaat daripada pemulihan ekonomi Singapura dan China – dua rakan dagang terbesar negara.

Heow Gran turut mengunjurkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi separuh pertama 2021 kekal tidak berubah pada 1.75 peratus untuk merancakkan pertumbuhan pasaran.

Mengenai e-dagang, beliau berkata walaupun COVID-19 menjejaskan ekonomi negara secara keseluruhannya namun pandemik itu telah memangkin pembangunan pesat sektor e-dagang Malaysia.

Pada 2020, nilai keseluruhan transaksi e-duit dalam negara melonjak sebanyak 60 peratus tahun ke tahun untuk mencecah paras tinggi bernilai RM29.4 bilion, katanya.

“Nilai keseluruhan e-dagang Malaysia diunjurkan mencapai RM36.1 bilion pada 2021 dan RM41.7 bilion pada 2022,” katanya.

Sumber: Bernama

Program imunisasi faktor utama pemulihan ekonomi – APIB


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bekerjasama dengan Pusat Teknikal Industri Mekanikal Perancis (CETIM) untuk memperkukuhkan lagi ekosistem teknologi Malaysia dengan menarik pelaburan berkualiti.

Dalam  kenyataan  bersama hari ini, MIDA dan CETIM  berkata  mereka telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menggalakkan, mempromosikan dan memberi kerjasama dalam bidang teknologi kejuruteraan dan pembuatan termasuk bidang baharu seperti pembuatan pintar, Industri 4.0 dan ekonomi pekeliling.

“Kedua-dua pihak akan melakukan inisiatif bersama seperti kegiatan penyelidikan, program latihan dan pertukaran, bertukar maklumat teknikal dan kepakaran dalam penyelidikan dan pembangunan  teknologi industri, serta  berkerjasama dengan institusi pendidikan tinggi  tempatan  dan organisasi penyelidikan dalam bidang industri pembangunan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Azman Mahmud menyambut baik terhadap pertimbangan CETIM untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat serantau dengan menubuhkan pejabat Asia Pasik di sini.

MoU itu mencerminkan inisiatif berterusan agensi itu untuk meningkatkan landskap teknologi Malaysia seiring dengan agenda Industri 4.0, katanya.

“MIDA telah menjadi saluran antara entiti seperti CETIM, pemain industri dan ahli akademik untuk membuat kolaborasi baru yang berkesan sejajar dengan agenda aspirasi pelaburan Malaysia untuk mengembangkan industri bernilai tambah, modal dan pengetahuan tinggi.

“Terutama  ketika ini apabila pandemik telah mengubah cara kita hidup dan menjalankan perniagaan, peluang muncul dalam ruang teknologi untuk  bagi pihak berkepentingan memanfaatkannya,” katanya.

Justeru itu,  MIDA optimis bahawa inisiatif itu  dengan CETIM akan meningkatkan kemampuan teknologi industri negara dan membawa kepada  lebih banyak pelaburan dalam bidang baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif CETIM Daniel Richet berkata pusat itu dan MIDA yang telah berhubung sejak 2013 akan terus meneroka cara terbaik untuk menangani masalah dan cabaran dalam menerapkan Industri 4.0 di lanskap perindustrian Malaysia.

“CETIM memiliki sejarah dan pengalaman yang panjang dalam menyokong penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi dan pembangunan semua perusahaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana dalam industri mekanikal di Perancis, pertama melalui program nasional untuk robotik, pembuatan aditif dan kemudian pada peringkat antarabangsa.

“Kami bangga dapat berkerjasama dengan MIDA kerana Malaysia kini memberi keutamaan kepada automasi industri dan digitalisasi,” kata Richet.

Sementara itu, kenyataan itu berkata MIDA sebagai pihak berkuasa dalam promosi pelaburan dan pembangunan yang utama di Malaysia, MIDA terus meningkatkan usahanya untuk memacu hubungan R&D yang lebih kukuh antara industri, institusi pengajian tinggi dan penyelidikan.

Sehingga kini, MIDA telah meluluskan  sebanyak 195 projek R&D dengan jumlah pelaburan sebanyak RM3 bilion, merangkumi 46 kemudahan R&D dalaman, 79 syarikat R&D kontrak, 30 syarikat R&D, 24 syarikat status R&D serta 16 projek R&D strategik nasional.

“Kerajaan terus menyokong kerangka R&D di negara ini melalui pelbagai insentif dan bantuan kewangan,” kata kenyataan itu.

MIDA menawarkan insentif cukai kepada pengilang yang mempunyai kemudahan R&D dalaman atau penyedia perkhidmatan penyelidikan.

“Insentif elaun cukai pelaburan ditawarkan kepada entiti yang mendapat kelulusan sebagai syarikat R&D, syarikat R&D kontrak atau kemudahan R&D dalaman dan pada masa yang sama, syarikat R&D kontrak juga dapat memilih insentif status perintis,” katanya. Bagi mengaktifkan kegiatan R&D, rma-rma yang menerima perkhidmatan daripada syarikat berstatus R&D layak untuk menuntut potongan dua kali ganda atas perbelanjaan yang dikeluarkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), katanya.

Sumber: Bernama

MIDA dan CETIM akan perkukuhkan ekosistem teknologi Malaysia


Content Type:

Duration:

Malaysia akan melancarkan Makmal Ujian  Keselamatan SIber 5G pertama di Asia Tenggara – usaha bersama oleh agensi pakar keselamatan siber nasional, CyberSecurity Malaysia (CSM), Huawei Technologies (M) Sdn Bhd dan Celcom Axiata Bhd.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata makmal ujian akan menjadi model keselamatan siber secara menyeluruh yang merangkumi sejumlah senario dan menawarkan perkhidmatan aplikasi mudah alih dan penilaian perkakasan.

“Ia akan merangkumi ekosistem  ujian  5G yang komprehensif yang terdiri daripada teknologi seperti rangkaian akses radio 5G (RAN), rangkaian Edge dan juga aplikasi cloud.

“Makmal ujian juga  menjalankan  kes ujian termasuk keselamatan Interner Pelbagai Perkara  (IoT), keselamatan telekomunikasi dan melihat  bagaimana untuk meningkatkan kesediaan untuk bertindak balas terhadap serangan siber yang berkaitan dengan 5G,” katanya dalam ucapan maya pada forum yang dihoskan oleh Huawei bersama-sama dengan Mobile World Congress 2021 (MWC21) di Shanghai, China.

Saifuddin  berkata  perkara yang melibatkan  Internet, kesalinghubungan, data, pembangunan kapasiti,  pembangunan, e-perniagaan, dan keselamatan  siber, kerajaan  Malaysia melihatnya daripada  pendekatan holistik dan ia adalah daripada platform nasional iaitu Agenda Digital Nasional dan  Majlis  Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini bukan yang terbaik tetapi saya berpendapat  ini adalah  langkah ke hadapan, mungkin ada antara anda yang mengenali Koridor Raya Multimedia (MSC) versi Malaysia,” kata Saifuddin.

Beliau berkata MSC dibentuk 25 tahun lepas dan sekarang kerajaan sedang melihat versi MSC yang baharu.

“Ia mungkin akan dinamakan sebagai MSC 2.0 tetapi yang lebih penting, kami memiliki platform nasional, dan ia merujuk kepada Digital Nasional dan 4IR,” katanya.

“Kami berharap kami dapat menyatukan kerja kami dengan lebih baik dan juga melancarkan semua aktiviti kami dengan cara yang terbaik,” kata Saifuddin.

Sumber: Bernama

Malaysia akan lancar makmal ujian keselamatan siber 5G pertama di Asia Tenggara


Content Type:

Duration:

Malaysia dikenalpasti sebagai lokasi pilihan syarikat dari Jerman, Leuze electronic GmbH + co. KG, untuk menubuhkan kilang pengeluaran sensor optik pertamanya di Asia Tenggara.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata Leuze membuat pengumuman rasmi pembukaan kilang baharunya di Melaka pada bulan lalu dan kini dalam fasa pembinaan yang pesat.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud dalam satu kenyataan berkata keputusan syarikat itu untuk berpindah ke Malaysia bagi pengembangan perniagaannya menyatakan bahawa ia amat yakin dengan negara ini.

MIDA telah memulakan hubungan pertama dengan Leuze pada Disember 2018 dan sejak itu ia terbabit dengan pasukan syarikat untuk memudahkan peruntukan projek berkenaan, terutamanya dalam mendapatkan kelulusan lesen yang diperlukan.

“Malaysia mempunyai ekosistem yang matang dan pelbagai bagi pembangunan pesat aplikasi sensor dalam industri elektronik.

“Pencapaian terpenting dalam aktiviti Leuze di Malaysia pastinya selari dengan hasrat kerajaan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berasaskan teknologi tinggi dan berpengetahuan luas.

“Era baharu elektronik sedang muncul di peringkat global dan MIDA berada di barisan hadapan teknologi kerana Leuze akan membawa masuk produk sensor melangkaui sempadan dan teknologi baharu ke dalam negara,” katanya.

Azman berkata kerajaan akan memastikan Malaysia kekal sebagai lokasi pelaburan pilihan dengan persekitaran yang menggalakkan bagi pelaburan berkualiti dan MIDA sentiasa berusaha menarik lebih banyak pelaburan baharu dalam bidang teknologi serta inovasi untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju pembuatan di Asia.

Menurut Pengarah Operasi Projek Global dan Pengurus Projek Leuze, Sebastian Raible, Melaka dipilih sebagai tapak pengeluaran baharu memandangkan ia mempunyai aliran tenaga kerja yang cemerlang di rantau ini dengan universiti yang mantap serta industri elektronik yang berkembang maju.

“Kilang baharu ini akan beroperasi sebagai Leuze Electronic Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh kumpulan itu dan akan menghasilkan sensor untuk pasaran Asia yang agak lumayan.

“Kilang ini sedang dibina di atas tapak yang merangkumi lebih 17,000 meter persegi dan bangunan pertama kilang dianggarkan siap menjelang suku pertama 2022.

“Dengan jumlah ruang lantai boleh guna di bawah 7,000 meter persegi dalam fasa pengembangan pertama, kilang ini memerlukan 150 hingga 200 pekerja,” katanya lagi.

Sumber: Bernama

Leuze Jerman buka kilang sensor optik di Melaka


Content Type:

Duration:

China kekal menjadi pelabur asing terbesar Malaysia dalam sektor pembuatan untuk empat tahun berturut-turut sejak 2016.

Timbalan Pengarah Kanan Promosi Pelaburan Asing Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), May Lim Ming Yee, berkata republik itu juga terus mengungguli dalam kedudukan pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan di Malaysia untuk sembilan bulan pertama 2020.

Katanya, dari Januari hingga September 2020, MIDA telah meluluskan 58 projek pembuatan membabitkan penyertaan China yang bernilai RM16.77 bilion.

“Di sebalik kesan buruk daripada pandemik COVID-19 terhadap corak pelaburan global, China terus menjadi rakan FDI paling utama negara.

“Dalam tempoh empat tahun ini, MIDA telah meluluskan 172 projek dengan jumlah pelaburan sebanyak RM43.6 bilion yang menyediakan lebih 40,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi webinar dalam talian MIDA anjuran Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) mengenai ‘Kemas Kini Pelaburan China di Malaysia dan Dasar Pelaburan Terkini 2021’ hari ini.

Sesi itu turut disertai Penolong Pengarah Promosi Pelaburan Asing MIDA, Por Yee Yun.

Dalam pada itu Yee Yun berkata, banyak syarikat teknologi China menunjukkan minat yang mendalam untuk mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran luar.

Katanya, China kini sedang mengukuhkan tumpuan mereka ke dalam empat sektor teknologi iaitu tenaga boleh diperbaharui, internet segalanya (IoT), peranti perubatan dan teknologi pengguna.

“Sehubungan itu, syarikat China mahu memastikan yang operasi mereka mendapat sokongan daripada keperluan pasaran yang mereka sasarkan.

“Mereka boleh memanfaatkan Malaysia sebagai hab serantau operasi di ASEAN yang mana kita menyediakan kelebihan seperti kesamaan kebudayaan memandangkan ramai rakyat negara ini mampu membaca, menulis dan bercakap pelbagai bahasa dengan fasih.

“Selain itu, Malaysia juga menawarkan tenaga kerja mahir, persekitaran kompetitif dari segi kos untuk menjalankan perniagaan, akses mudah ke pasaran ASEAN dan mendapat sokongan kukuh daripada agensi kerajaan seperti MIDA bagi memudah cara syarikat asing menubuhkan operasi mereka di sini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

China kekal rakan pelaburan utama negara sejak empat tahun lalu


Content Type:

Duration:

Ekonomi Malaysia dijangka kembali mencatatkan pertumbuhan positif tahun ini bersama ekonomi global lain susulan kemajuan pelancaran vaksin yang bakal meningkatkan semula penggunaan di seluruh dunia, kata Bank Dunia.

Ketua Ahli Ekonomi bahagian Makroekonomi, Amalan Global Perdagangan dan Pelaburannya, Richard Record berkata, kumpulan itu menjangka pemberian vaksin sebahagian besarnya boleh diselesaikan pada 2021 di kebanyakan negara, yang dijangka membawa kepada pemulihan ekonomi dan permintaan serta meningkatkan perdagangan dan harga komoditi.

“Kami mengunjurkan pertumbuhan global 4.0 peratus tahun ini. Bagi Malaysia, kami mengunjurkan pertumbuhan ekonomi tahun ini dalam jajaran antaran 5.6 dan 6.7 peratus,” katanya semasa Forum Prospek Ekonomi dan Strategik Malaysia 2021 (MESOF) secara maya yang bertajuk: “The Post-COVID-19 New Normal – Where Do We Go From Here” (Normal Baharu Pasca COVID-19 – Apa Yang Perlu Kita Lakukan Seterusnya), pada Isnin.

MESOF dianjurkan secara bersama oleh Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik (KSI) dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran risiko kepada pertumbuhan adalah kemajuan perlahan pemberian vaksin dan langkah pembendungan baharu yang boleh membawa kepada pelaksanaan lagi perintah kawalan pergerakan sambil menambah penggunaan merupakan bahagian terbesar daripada ekonomi Malaysia.

“Risiko kepada prospek pertumbuhan termasuklah kelewatan pelancaran vaksin yang tidak dijangka, langkah pengekangan yang tidak efektif, peningkatan bilangan isi rumah rentan dan landskap politik tempatan yang tidak menentu.

“Dalam tempoh terdekat ini, dasar perlu menumpukan kepada membendung penularan dan melindungi golongan paling rentan serta membina penampan fiskal ketika keadaan ekonomi bertambah baik,” katanya.

Seorang ahli panel lain, Shan Saeed, Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Global, berkata kerajaan Malaysia terus mengekalkan kestabilan makroekonomi yang bergerak pantas dan mengejutkan peserta pasaran.

“Kerajaan dapat mengawal sepenuhnya ekonomi dan akan terus menyokong apabila ekonomi memerlukan.  Gabungan dasar fiskal dan monetari menjadi kunci bagi pertumbuhan ekonomi dan Bank Negara Malaysia masih ada banyak ruang untuk berbuat sesuatu dalam landskap monetari,” katanya.

Mengenai keluaran dalam negara kasar (KDNK) pula, beliau mengunjurkan pertumbuhan antara 3.0 hingga 4.0 peratus dan menjangka bank pusat mengekalkan kadar dasar semalaman pada satu hingga 1.75 peratus pada 2021.

Sementara itu, Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata Tinjauan Ekonomi Malaysia 2021 mengunjurkan perdagangan luar negara berkembang sebanyak 3.9 peratus dengan eksport barangan dijangka meningkat 2.7 peratus susulan pemulihan perdagangan dan rantaian bekalan global manakala import diunjur naik 5.3 peratus, disumbang oleh peningkatan pelbagai jenis import.

“Inflasi dijangka kembali semula pada 2021 selepas aliran deflasi apabila pandemik COVID-19 telah menjejaskan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan.

“Ini susulan pelancaran awal program vaksin COVID-19 yang selamat dan efektif dan peningkatan permintaan berikutan kekurangan bekalan,” katanya.

Memetik Kementerian Kewangan, Mohd Uzir berkata inflasi diunjur pada 2.5 peratus berbanding -1.13 peratus pada 2020, menandakan lonjakan kukuh perbelanjaan pengguna.

Mengenai tenaga buruh, beliau berkata ia diunjurkan kekal pada 1.1 peratus manakala kadar pengangguran diunjur menyusut kepada 3.5 peratus pada 2021 berbanding anggaran 4.5 peratus pada 2020, apabila ekonomi negara dijangka melantun semula pada 2021 selepas mencatatkan prestasi lemah pada 2020 disebabkan pandemik tersebut.

Sumber: Bernama

Ekonomi Malaysia dijangka pulih tahun ini, kata Bank Dunia


Content Type:

Duration:

Ekonomi negara dijangka menunjukkan perkembangan positif menjelang pertengahan tahun ini sejajar dengan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan bermula pada Rabu depan.

Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr Madeline Berma berkata para pakar ekonomi meramalkan Malaysia berupaya memulihkan ekonomi bermula suku ketiga tahun ini, bergantung kepada kelancaran pelaksanaan program vaksinasi berkenaan.

“Ini juga sejajar dengan ramalan yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi yang menjangkakan ekonomi negara akan pulih sekitar 4.5 hingga lima peratus,” katanya menerusi program liputan khas ketibaan kumpulan pertama vaksin COVID-19 ke Malaysia di Bernama TV pada Ahad.

Madeline berkata sektor perkhidmatan merupakan antara sektor yang perlu diutamakan dalam pemberian vaksin melalui pelaksanaan program vaksinasi yang dijadual bermula pada Rabu.

“Keutamaan perlu diberikan kepada penerima vaksin dari kalangan sektor perkhidmatan dan perkilangan untuk meningkatkan kadar pengeluaran,” tambahnya.

Madeline berharap dengan pelaksanaan program imunisasi di peringkat kebangsaan, sektor pelancongan dan eksport negara turut dapat digerakkan semula bagi membuka lebih peluang ekonomi kepada pemain industri.

“Sektor pelancongan dan eksport negara adalah sektor yang banyak terkesan disebabkan penutupan sempadan negara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ,” katanya.

Dalam pada itu, Madeline berkata kehadiran pelaburan syarikat farmaseutikal antarabangsa ke Malaysia dalam penyelidikan dan penghasilan vaksin COVID-19 dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam negara.

Beliau berkata potensi kerjasama penyelidikan dan penghasilan vaksin dalam negara akan membuka peluang kepada pengambilan pekerja dari kalangan graduan berkemahiran tinggi.

“Kita harap kehadiran syarikat farmaseutikal dengan peluang pekerjaan akan memacu ekonomi negara dan memberi keyakinan terhadap pelabur asing dan tempatan bahawa ekonomi negara sedang berkembang dan kembali rancak dengan kitaran yang baik. “Ini satu perkembangan baik dalam usaha menuju ke arah negara berteknologi tinggi sejajar dengan pelancaran  Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL),” katanya.

Sumber: Bernama

Ketibaan vaksin: Ekonomi negara dijangka pulih bermula pertengahan tahun – Pakar


Content Type:

Duration:

wpChatIcon