2021 Archives - Page 3 of 33 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Petronas Gas lulus pelaburan RM460 juta untuk projek stesen pemampat gas di Johor

Petronas Gas Bhd (PGB) telah meluluskan “keputusan pelaburan akhir (FID)” membabitkan pembinaan projek stesen pemampat gas baharu di Kluang, Johor dengan kos pelaburan sejumlah RM460 juta.

Syarikat itu akan membina dan memasang stesen yang bertujuan meningkatkan kapasiti gas Peninsular Gas Utilization (PGU) II, khususnya di wilayah selatan, sebagai sebahagian daripada perniagaan pengangkutan gas PGB.

“Kapasiti gas tambahan yang terhasil daripada projek ini akan merangsang pertumbuhan permintaan gas daripada pelbagai industri di wilayah selatan dan menyediakan jaminan bekalan kepada pengguna gas yang sedia ada di rantau ini,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Projek ini selesai dan ditauliahkan pada suku pertama 2024.

“PGB akan menggunakan kemudahan pembiayaan Islam daripada RHB Islamic Bank Berhad untuk membiayai kos projek,” kata syarikat itu dan menambah, tiada kesan material ke atas pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan penggearan untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2021.

Sumber: Bernama

Petronas Gas lulus pelaburan RM460 juta untuk projek stesen pemampat gas di Johor


Content Type:

Duration:

Nestlé Malaysia akan beralih sepenuhnya kepada tenaga boleh diperbaharui bagi seluruh operasinya di Malaysia mulai 1 Januari 2022.

Langkah itu akan membolehkan syarikat mengurangkan pelepasan sehingga 75,000 tan karbon dioksida setiap tahun.

Dalam pada itu, syarikat akan mempercepatkan usaha dan memenuhi komitmennya untuk memperolehi 100 peratus bekalan elektrik daripada sumber tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2025.

Langkah itu dapat dilaksanakan menerusi program Tarif Elektrik Hijau (GET), yang dilancarkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dengan kerjasama TNBX Sdn Bhd, anak syarikat Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada akhir bulan lalu.

Nestlé Malaysia adalah satu daripada sembilan syarikat korporat yang berikrar untuk menyokong program ini dan antara yang pertama menyempurnakan proses kelulusan.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols, berkata syarikat akan terus berusaha mengurangkan kesan alam sekitar sambil berusaha mencorakkan masa depan yang lebih hijau untuk semua.

“Dengan menyokong dan menyertai program GET yang dilancarkan baru-baru ini, kami kini boleh memenuhi keperluan tenaga elektrik daripada kuasa solar dan hidroelektrik yang dibekalkan oleh TNBX.

“Peralihan ini akan membolehkan kami menerima Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui Malaysia (mREC), sekali gus menyumbang kepada komitmen untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau menjelang 2030 dan mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

“Kami juga menyumbang kepada wawasan negara Malaysia untuk mempercepatkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Pengarah Urusan TNBX Sdn Bhd, Ir Nirinder Singh Johl, berkata pihaknya gembira kerana terdapat syarikat global seperti Nestlé Malaysia yang menyokong program GET, memberikan capaian kepada tenaga bersih sebagai insentif kepada rakyat Malaysia untuk lebih bersifat mesra alam dan mengurangkan jejak karbon dalam penggunaan elektrik.

“Ini sudah pasti menyumbang kepada agenda pembangunan lestari negara dan kami berharap syarikat lain akan menyusul,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Nestlé Malaysia guna tenaga boleh diperbaharui


Content Type:

Duration:

Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu menerima sembilan cadangan pelaburan dari dalam dan luar negara melibatkan pelaburan RM882 juta pada tahun ini,  persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, cadangan pelaburan itu dijangka mewujudkan 320 peluang pekerjaan, dan sehingga kini sebanyak 35 syarikat domestik dan asing sedang beroperasi di POIC Lahad Datu.

“Pelaburan (35 syarikat) ini telah mewujudkan sebanyak 2,214 peluang pekerjaan dengan nilai pelaburan RM3.53 bilion,” katanya ketika mengulung perbahasan Belanjawan 2022 Sabah di sini malam ini.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berkata Taman Perindustrian Kota Kinabalu  (KKIP) sehingga kini berjaya menarik pelaburan bernilai RM3.4 bilion.

Beliau berkata hasil pelaburan itu sebanyak  242 buah kilang dan 21 buah institusi latihan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) telah beroperasi di KKIP dengan menyediakan lebih 10,500 peluang pekerjaan.

Katanya, yang terbaharu syarikat SK Nexilis, pelabur terbesar dan berteknologi tinggi dari Korea Selatan melabur RM4.2 bilion untuk pengeluaran kerajang tembaga mewujudkan 7,000 peluang pekerjaan semasa fasa pembinaan dan 400 peluang pekerjaan apabila beroperasi sepenuhnya pada September 2023.

“KKIP Sdn Bhd juga sedang dalam proses rundingan dengan lima buah syarikat domestik dan asing yang ingin melabur dalam pelbagai sektor industri dengan nilai pelaburan RM4.95 bilion dan mewujudkan 2,585 peluang pekerjaan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Joachim berkata hanya Sabah Ammonia Urea (SAMUR) sedang beroperasi di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dengan nilai pelaburan RM6 bilion dan membabitkan 500 orang pekerja.

Beliau berkata empat projek telah diluluskan secara prinsip oleh Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Minyak dan Gas Sabah (SOGDC) dengan nilai pelaburan dianggarkan RM16.2 bilion.

Kesemua projek itu bakal mewujudkan 49,070 peluang pekerjaan di SOGIP.

Sumber: Bernama

POIC Lahad Datu terima sembilan cadangan pelaburan bernilai RM882 juta


Content Type:

Duration:

Pulau Pinang menyasarkan untuk mewujudkan dua lagi ruang Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) dalam tempoh sehingga tiga tahun akan datang, sejajar dengan usaha menjadi pusat sehenti bagi syarikat global.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pada masa ini Pulau Pinang menempatkan lebih daripada 60 GBS yang menyediakan perkhidmatan untuk operasi peringkat global dan Asia Pasifik selain menerima permintaan berterusan syarikat multinasional (MNC) untuk mendapatkan ruang GBS.

“Matlamat kami adalah untuk menarik lebih banyak GBS ke negeri ini, sama ada organisasi tempatan dan multinasional serta mengembangkan perkhidmatan GBS kepada yang bernilai tinggi seperti automasi proses robotik, kecerdasan buatan dan pemprosesan/analisis data raya berteraskan data serta keselamatan siber.

“Kami juga telah mengenal pasti dua bangunan yang masing-masing berkeluasan kira-kira 27,871 meter persegi (bagi tujuan itu),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kemudahan GBS@Mahsuri di sini, hari ini.

Chow juga menyifatkan industri Perkhidmatan Perniagaan Digital Global sebagai antara penyumbang utama terhadap ekonomi digital Malaysia selain menjadi penyumbang terbesar prestasi keseluruhan MSC Malaysia iaitu sehingga 50 peratus bagi pelaburan, eksport (66 peratus) dan mewujudkan pekerjaan (61 peratus).

Malah, katanya, pasaran GBS Malaysia dijangka berkembang kepada US$1.5 bilion (US$1 = RM4.22) menjelang akhir 2024 berbanding US$1.3 bilion pada 2019 sepertimana dalam laporan terbaharu Global Data Findings.

“Atas alasan itu dan menyedari kepentingannya, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang juga cabang pembangunan utama negeri ini, telah bertindak mewujudkan ruang GBS pertama GBS@Mayang yang disusuli dengan pembukaan kemudahan bercirikan reka bentuk moden, GBS@Mahsuri,” katanya.

Ruang GBS@Mahsuri setinggi dua tingkat itu terletak di kawasan seluas 1.25 hektar dan siap dibina pada 1 Okt, 2020 dengan kos bernilai RM21 juta manakala kawasan sewaan bersih seluas 7,443 meter persegi.

Pada masa ini, kemudahan itu menempatkan empat MNC terkemuka iaitu Cisco Systems (M) Sdn Bhd, Clarivate (M) Sdn Bhd, Emerald Global Services Sdn Bhd dan Teleperformance Malaysia Sdn Bhd.

Sumber: Bernama

Pulau Pinang sasar buka lebih banyak Perkhidmatan Perniagaan Global


Content Type:

Duration:

Pelbagai projek dan inisiatif kini sedang dan bakal dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dalam usahanya untuk merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi daerah itu.

Antaranya termasuklah pembangunan Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) dan projek pertanian lain yang mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri Johor.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Johor pada Selasa berkata pelan pembangunan ECERDC untuk daerah berkenaan adalah selaras dengan inisiatif yang digariskan dalam Belanjawan Negeri Johor 2022.

Ia akan menyokong objektif kerajaan negeri untuk menambah baik jaminan keselamatan makanan dan membangunkan lagi pengeluaran agromakanan, katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Pembangunan JDV, yang dijadualkan bermula bulan ini melibatkan Perjanjian Kerjasama antara kerajaan negeri, ECERDC, dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor (SSI), yang mana pelantikan syarikat bagi menguruskannya akan dimuktamad pada Jun tahun depan.

Apabila beroperasi sepenuhnya, JDV dijangka menghasilkan sebanyak 5.1 juta liter susu segar sekali gus meningkatkan pengeluaran susu negara sebanyak 11 peratus.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Baidzawi Che Mat berkata ECERDC juga telah melaksanakan pelbagai projek lain termasuk pembangunan Tanjong Penyabong bagi menarik kehadiran pelancong.

“Projek itu telah menerima anugerah ‘Special Commendation Government (Public Space) Placemaker Awards ASEAN’ daripada Nextdor Property Communications bulan lepas sebagai pengiktirafan terhadap impak projek ruang awam yang memenuhi keperluan pengunjung.

“Manakala, projek Kampungstay di Air Papan yang melibatkan pembinaan 10 chalet, dewan serba guna, dua  restoran serta menaik taraf rumah bagi menggalakkan pelancongan berasaskan komuniti dijangka siap sepenuhnya Mei tahun depan,” kata Baidzawi.

Menurutnya, apabila siap kelak, projek tersebut dijangka memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat di samping menjana pendapatan pemilik rumah dengan menawarkan pengalaman Kampungstay dan perkhidmatan berkaitan pelancongan selain lawatan berpandu.

Selain itu, sebuah lagi projek yang sedang dijalankan iaitu pembinaan Pusat Penemuan Hutan Hujan (Rainforest Discovery Centre) PETA di Taman Negara EndauRompin (Johor), dijangka siap pada April 2023.

Tarikan pelancongan baharu itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan dalam industri pelancongan kepada masyarakat setempat khususnya Orang Asli di kawasan tersebut, katanya.

Selain itu, Taman Pemprosesan Ikan Endau-Mersing yang menyediakan platform kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) untuk menghasilkan produk hiliran berasaskan ikan, kini sedang dalam pembinaan dan sudahpun 53 peratus siap.

Sumber: Bernama

Pelbagai projek sedang, bakal dilaksana ECERDC untuk rancakkan pertumbuhan ekonomi Mersing


Content Type:

Duration:

Kerajaan meluluskan Geran Automasi Pintar (SAG) kepada 167 syarikat dengan nilai padanan (1:1) berjumlah RM99.5 juta, setakat 31 Oktober lalu.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata daripada jumlah itu, 86 peratus penerima geran adalah syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan selebihnya merangkumi syarikat peringkat pertengahan (MTC).

“Inisiatif berjumlah RM50 juta ini adalah untuk membantu PKS dan MTC mengautomasikan proses pengeluaran serta operasi syarikat.

“Ia menarik minat yang tinggi dalam kalangan syarikat PKS dan MTC. Maka dalam program pemerkasaan, dana tambahan sebanyak RM50 juta diberi seperti yang diumumkan pada Mac lalu.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan geran SAG adalah sebanyak RM100 juta dan ia diberi secara padanan 50-50 hingga had maksimum sebanyak RM1 juta bagi setiap syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdapat tujuh kriteria utama dalam pengagihan SAG, antaranya ialah syarikat berkenaan mesti terbabit aktiviti pembuatan dan perkhidmatan, selain beberapa kriteria lain.

Bagi dana projek berimpak tinggi yang berjumlah RM2 bilion, Mohamed Azmin berkata, ia sebagai peruntukan strategik dan berimpak tinggi bagi memastikan Malaysia dapat menarik pelaburan daripada syarikat bertaraf dunia, projek mega serta strategik.

“Ini selaras Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), termasuk untuk bersaing dengan negara rantau serta menawarkan insentif lebih kompetitif bagi projek yang telah kita tetapkan.

“Projek disasarkan melalui dana ini dijangka menjana pelaburan bernilai RM101.3 bilion dengan peluang pekerjaan kepada lebih 12,700 orang.

“Ia membabitkan sektor keutamaan negara, iaitu semikonduktor, infrastruktur digital, farmaseutikal dan teknologi pintar,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, kajian analisis kos faedah (CBA) Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan disiapkan pada akhir tahun ini.

“Apabila CBA siap, kita bersedia untuk berkongsi maklumat dan dapatan daripada CBA ini untuk maklumat awam,” katanya. 

Sumber: Bernama

167 syarikat terima Geran Automasi Pintar RM99.5 juta


Content Type:

Duration:

Sekarang adalah masa yang sesuai untuk kedua-dua Malaysia dan Singapura mengukuhkan kerjasama dua hala, termasuk meneroka bidang baharu dengan kepentingan bersama, terutama ketika ekonomi dunia telah dibuka semula, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, pelbagai skim perjalanan termasuk Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) yang telah dimuktamadkan antara kedua-dua negara, akan memudahkan usaha kedua-dua kerajaan untuk mengukuhkan pemulihan ekonomi pasca COVID-19, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan pelancongan.

“Bagi pelancongan, kedua-dua negara akan mendapat manfaat daripada peningkatan ketibaan pelancong untuk menggiatkan semula industri pelancongan dan seterusnya mengukuhkan lagi hubungan sosioekonomi kita,” katanya pada akhir lawatan rasmi dua harinya ke negara itu.

Bidang lain yang berpotensi tinggi untuk kerjasama ialah Revolusi Industri 4.0, teknologi kewangan, pembuatan termaju, e-dagang, aeroangkasa dan ekopelancongan.

“Adalah penting bagi kedua-dua Malaysia dan Singapura untuk saling melengkapi bagi mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan sambil kedua-duanya berusaha meningkatkan rantaian nilai global untuk manfaat bersama.

“Kita sentiasa mengalu-alukan pelaburan tambahan dari Singapura, dan kita yakin asas ekonomi Malaysia yang kukuh akan terus menarik pelabur, khususnya dari Singapura,” tambah beliau.

Katanya, Kementerian Kewangan bersedia untuk memudahkan pelaburan masuk dengan memastikan insentif cukai Malaysia serta pemboleh lain kekal menarik kepada pelabur.

Semasa lawatan kerja itu, Tengku Zafrul turut membincangkan beberapa topik berkisar mengenai perdagangan, ekonomi dan pelaburan dengan para menteri Singapura termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras Dasar Ekonomi, Heng Swee Keat; Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Tharman Shanmugaratnam; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Dr. Vivian Balakrishnan; Menteri Kewangan, Lawrence Wong; dan Menteri Tenaga Manusia dan Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr. Tan See Leng.

Singapura dan Malaysia adalah rakan dagangan kedua terpenting antara satu sama lain.

Singapura ialah sumber terbesar pelaburan langsung asing (FDI) negara dan destinasi pelaburan langsung terbesar Malaysia di luar negara (DIA).

Pada 2020, Singapura dinamakan pelabur terbesar dengan jumlah pelaburan RM152.83 bilion, menguasai 21.7 peratus daripada FDI Malaysia.

Hubungan ini adalah hubungan timbal balik kerana Singapura dinamakan sebagai destinasi pelaburan utama Malaysia pada tahun yang sama (2020), dengan kedudukan Pelaburan Langsung Luar Negara (DIA) bernilai RM110.38 bilion, iaitu kira-kira 21.3 peratus daripada DIA Malaysia.

Secara keseluruhan, pada akhir suku ketiga 2021, FDI Singapura berjumlah RM162.04 bilion manakala DIA mencecah RM106.59 bilion.

Sumber: Bernama

Masa yang sesuai untuk Malaysia, Singapura kukuh kerjasama ketika ekonomi dunia dibuka semula – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Kerajaan Sabah hari ini mengumumkan penubuhan syarikat minyak dan gas milik penuh Sabah, dinamakan SMJ Petroleum Sdn Bhd.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor ketika mengumumkan perkara itu berkata, ia satu kejayaan bersejarah bagi Sabah hasil keputusan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai di antara kerajaan negeri dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

“CCA adalah dokumen yang paling penting di antara Sabah dan PETRONAS sejak 16 Jun 1976 apabila perjanjian pembayaran tunai atau royalti dipersetujui, yang ditandatangani di antara Sabah dan PETRONAS.

“Majlis menandatangani CCA hari ini sememangnya menandakan era baharu dalam industri minyak dan gas Sabah,” katanya pada Majlis Menandatangani CCA di antara kerajaan negeri dan PETRONAS di Menara Kinabalu, di sini, petang ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata sejajar dengan terma dan syarat CCA, kerajaan negeri menubuhkan syarikat milik penuhnya sendiri untuk terbabit secara aktif dalam industri minyak dan gas.

“Saya berasa gembira mengumumkan penubuhan SMJ Petroleum Sdn Bhd yang akan menerajui penyertaan komersial negeri dalam industri minyak dan gas serta menyelaras semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri sedia ada bagi memastikan terma dan syarat CCA dilaksanakan untuk kepentingan Sabah dan rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata, satu jawatankuasa bersama ditubuhkan oleh Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) baru-baru ini untuk membincangkan pembabitan secara komersial Sabah dalam industri minyak dan gas di antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan PETRONAS.

Sebelum penubuhan jawatankuasa itu, katanya, kerajaan negeri dan PETRONAS mengambil inisiatif sendiri dengan mengadakan perbincangan bermula pada 8 Oktober lalu, yang akhirnya berjaya memuktamadkan CCA dua bulan kemudian.

“Ini menunjukkan PETRONAS dan kerajaan negeri boleh bekerjasama dalam pembangunan industri minyak dan gas di Sabah. Komitmen kerajaan negeri dan PETRONAS memudahkan Kerajaan Persekutuan kerana hanya satu Mesyuarat Jawatankuasa Bersama untuk kedua-dua pihak mencapai titik persamaan yang ditetapkan dalam CCA,” katanya.

Hajiji berkata, perjumpaan Jawatankuasa Bersama diadakan pada 1 Disember lalu yang mana Kerajaan Persekutuan bersetuju mengesahkan dan memudahkan penguatkuasaan CCA.

Sumber: Berita Harian

Sabah tubuh syarikat minyak, gas sendiri


Content Type:

Duration:

Misi Bandar Pintar UK ke Malaysia secara maya akan menjadi platform yang ideal kepada pihak berkepentingan di United Kingdom (UK) dan Malaysia untuk bertemu, bertukar-tukar kepakaran dan meneroka bidang kerjasama dalam pembangunan bandar pintar.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Charles Hay MVO berkata Malaysia adalah rakan strategik penting bagi UK, termasuk dalam aspek bandar pintar.

“Kami telah bekerjasama dengan jayanya bersama-sama KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) untuk menghasilkan Buku Panduan Bandar Pintar Malaysia dan kami mempunyai banyak inisiatif di bawah Program  Bandar Masa Depan Global, UK-PACT dan Program Tindakan Iklim Bandar yang baharu,” katanya semasa prapelancaran misi itu secara maya hari ini.

Dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia dengan kerjasama Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Misi Bandar Pintar UK ke Malaysia 2022 akan diadakan secara maya bermula 22 Feb hingga 24 Feb, 2022.

Ia bertujuan meningkatkan kesedaran dan berkongsi kepakaran mengenai bandar pintar UK dengan mempamerkan kejayaan pelaksanaan penyelesaian bandar pintar di bandar-bandar di seluruh UK.

MIGHT berkata misi selama tiga hari itu akan turut menghimpunkan pemimpin terkemuka, pembina ekosistem dan penyedia penyelesaian bandar pintar dari UK dan Malaysia.

“Misi ini mewujudkan satu platform kepada pihak berkepentingan untuk bertukar-tukar pendapat dan meneroka bidang kerjasama dalam pembangunan bandar pintar, menyelaraskan kepada tujuh bidang tumpuan yang digariskan dalam Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia.

“Tujuh bidang tumpuan itu adalah Ekonomi Pintar, Kehidupan Pintar, Persekitaran Pintar, Masyarakat Pintar, Kerajaan Pintar, Mobiliti Pintar dan Infrastruktur Digital Pintar,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman dalam ucaptamanya berkata, Malaysia sentiasa meningkatkan amalan terbaik dalam membangunkan dan melaksanakan inisiatif teknologi mampan dan hijau di peringkat kebangsaan dan negeri.

“Kami akan terus memanfaatkan pengalaman luas kami dalam kerjasama antarabangsa untuk menawarkan platform strategik kepada sektor awam dan swasta bagi menghimpunkan sumber dan kepakaran dalam membangunkan industri strategik dan amalan terbaik pembangunan mampan melalui aplikasi sains, teknologi dan inovasi,” katanya.

Forum peringkat tinggi yang diadakan pada prapelancaran itu menumpukan perbincangan mengenai perancangan bandar, standard reka bentuk dan pelaksanaan teknologi.

Antara ahli panel yang terlibat ialah wakil kanan daripada British Standards Institution, Connected Places Catapult, Digital Penang dan PlanMalaysia.

Sumber: Bernama

Misi Bandar Pintar UK ke Malaysia, platform ideal teroka kerjasama pembangunan bandar pintar


Content Type:

Duration:

Penyelidikan baharu Standard Chartered iaitu ‘Masa Depan Perdagangan 2030: Trend dan pasaran untuk diperhatikan’ menyatakan bahawa Malaysia akan menjadi pemacu utama pertumbuhan perdagangan global pada masa hadapan.

Eksport Malaysia diunjurkan berkembang pada kadar purata tahunan lebih daripada lapan peratus untuk merentasi AS$498 bilion menjelang 2030.https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.493.0_en.html#goog_1994046412

Dalam satu kenyataan hari ini, Standard Chartered berkata penyelidikan itu juga mendapati 43 peratus daripada korporat global kini melakukan atau merancang bagi mendapatkan sumber/mengilang di Malaysia dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Ini adalah bukti bahawa Malaysia akan menjadi pemacu utama pertumbuhan perdagangan global sepanjang dekad akan datang,” katanya.

Laporan itu membuat unjuran bahawa eksport global akan menghampiri dua kali ganda daripada AS$17.4 trilion kepada AS$29.7 trilion sepanjang dekad akan datang.

Menurut laporan itu, koridor pertumbuhan masa depan di China dan Singapura akan terus menjadi koridor eksport terbesar untuk Malaysia, masing-masing menyumbang 19 dan 17 peratus daripada jumlah eksport pada 2030.

“India pula adalah koridor eksport yang berkembang pesat untuk Malaysia dengan purata pertumbuhan tahunan 11.8 peratus dari 2020 hingga 2030.

“Malaysia sedang melabur untuk menjadi hab logistik serantau dan membina keupayaan pembuatan termaju,” katanya.

Laporan itu berkata, antara sektor yang akan mendominasi eksport pada 2030 ialah jentera dan elektrik, logam dan mineral, serta pertanian dan makanan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Abrar A. Anwar, berkata ketersambungan perdagangan adalah enjin penting dalam menggalakkan pembangunan ekonomi dan pengembangan antarabangsa syarikat-syarikat di Malaysia.

“Selain meluaskan laluan perdagangan serantau, koridor masa depan masih akan merentasi benua. Berlatarkan keadaan ini, kami bekerjasama rapat dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk menumpukan usaha menjadikan globalisasi berfungsi untuk perniagaan di Malaysia, mulai daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hinggalah kepada syarikat multinasional, selain memacu model yang lebih mampan dan inklusif untuk perdagangan global.

“Ini termasuk mengembangkan rangkaian penyelesaian kewangan mampan kami untuk membantu pelanggan melaksanakan amalan perdagangan yang mampan dan adil merentasi rantaian bekalan mereka,” tambah beliau.

Sumber: Bernama

Malaysia bakal jadi pemacu utama pertumbuhan global


Content Type:

Duration:

Industri pelancongan di Tasik Kenyir dijangka bertambah rancak pada tahun hadapan dengan siapnya hotel bertaraf tiga bintang di Pulau Poh.

Pengarah Eksekutif yang juga Presiden Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun, berkata pembinaan hotel lapan tingkat dengan 100 bilik itu, sudah mencapai lebih 90 peratus dan dijangka dibuka kepada pelancong pada suku kedua tahun hadapan.

“Kita sedang siapkan dokumen permohonan bidaan (RFB) untuk beberapa syarikat yang berminat untuk masuk menguruskan hotel ini.

“Kita mahu mencari pengusaha yang memiliki reputasi dan nama besar dalam industri berkaitan kerana tidak mahu berlaku masalah di kemudian hari,” katanya di sini, hari ini.

Selain hotel, beliau berkata, pihaknya turut memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 juta bagi kerja pembaikan taman tema air berdekatan hotel tersebut, yang dijadualkan bermula tahun depan.

Katanya, taman tema itu sebelum ini beroperasi dan dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), tetapi terpaksa ditutup atas beberapa faktor termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita akan naik taraf sedikit taman tema ini.. mungkin mengambil idea daripada Taman Tema Sunway Lagoon, sebagai daya tarikan baharu ke Kenyir yang sebelum ini banyak bergantung pada rumah bot.

“Kalau boleh kita mahu taman tema ini dikendalikan di bawah pengusaha sama dengan hotel, tetapi perlu keluarkan dokumen RFB dahulu dan lihat macam mana perkembangannya,” katanya.

Hotel di Pulau Poh, yang mula dibina pada 2017 itu, adalah sebahagian daripada pelan pembangunan Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir dan turut dilengkapi kemudahan lain seperti jeti kargo dan Jambatan Ikonik yang sudah dibuka kepada orang ramai.

Sumber: Bernama

Hotel tiga bintang di Tasik Kenyir siap tahun depan


Content Type:

Duration:

Mah Sing Healthcare Sdn Bhd, unit perniagaan penjagaan kesihatan Mah Sing Group Bhd, akan memasarkan sarung tangan pemeriksaan gred perubatan di Amerika Syarikat (AS) selepas mendapat pelepasan pemberitahuan prapasaran daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS.

Pemaju hartanah itu, yang mempelbagaikan kepada pembuatan sarung tangan pada tahun ini, berkata anak syarikat itu menerima surat pemberitahuan FDA AS bertarikh 4 Disember 2021, mengenai pelepasan pemberitahuan prapasaran 510(k) untuk memasarkan sarung tangan pemeriksaan nitril.https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.493.0_en.html#goog_890699837

“Ini akan dikemas kini di laman web FDA dalam masa terdekat,” menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bahagian sarung tangan Mah Sing mula beroperasi pada Mei 2021. Pada Jun, syarikat mengumumkan pihaknya bersedia untuk mengeksport ke Eropah selepas mendapat pensijilan penandaan Conformitè Europëenne (CE) PC Management System Pvt Ltd dan pensijilan untuk sarung tangan pemeriksaan nitril dan lateks TUV Rheinland LGA Products GmbH.

“Dengan pelepasan 510(k) ini, pengeluaran lesen peranti perubatan baru-baru ini daripada Health Canada dan sementara menunggu siapnya pensijilan Peraturan Peranti Perubatan (MDR) EU, Mah Sing Healthcare akan dapat mengeksport sarung tangan gred perubatan ke pelbagai pasaran yang lebih luas, termasuk pasaran utama seperti AS, Kanada dan Eropah,” katanya.

Mah Sing berkata, pada bulan ini, ia dijangka menyelesaikan pengoperasian semua 12 barisan pengeluaran di bawah fasa pertama perniagaan sarung tangannya.

“Mesin celup sarung tangan berkelajuan tinggi baharu ini dapat menghasilkan 38,000 unit sarung tangan untuk setiap barisan pengeluaran dalam tempoh sejam, membolehkan kapasiti pengeluaran maksimum sehingga 3.68 juta unit sarung tangan setahun,” katanya.

Kilang sarung tangan Mah Sing Healthcare adalah kilang dengan automasi yang tinggi untuk meningkatkan keberkesanan kos.

Ia dilengkapi dengan ciri jalur automatik, kiraan automatik dan penyusunan automatik serta penyelesaian untuk kecekapan yang lebih tinggi.

Mah Sing berkata, pihaknya turut merancang untuk memasukkan barangan ke dalam kotak secara automatik dalam masa terdekat dengan bekerjasama dengan pakar automasi pembungkusan.

Katanya, pihak pengurusannya bertekad untuk melaksanakan amalan pembuatan yang dipertingkatkan dan akan mematuhi sepenuhnya alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta peraturan antarabangsa lain seperti pematuhan Protokol Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

“Permintaan untuk sarung tangan dijangka kekal stabil berikutan peningkatan struktur permintaan, kebimbangan mengenai jangkitan semula, peningkatan kesedaran mengenai kesihatan dan keperluan pematuhan kepada kebersihan untuk sektor penjagaan kesihatan dan bukan penjagaan kesihatan,” katanya.

Sumber: Bernama

Mah Sing dapat pelepasan pasarkan sarung tangan ke AS


Content Type:

Duration:

Jade Marvel Group Bhd (JMGB Group) telah menandatangani perjanjian dengan YHL Foods Sdn Bhd (YHLF) untuk membentuk syarikat usaha sama dikenali sebagai YHL Jadem Frozen Sdn Bhd (YHLF) untuk perniagaan makanan laut sejuk beku baharu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata syarikat usaha sama itu akan menjalankan perniagaan menyediakan perkhidmatan berkaitan pemprosesan makanan laut sejuk beku dan kemudahan penyimpanan sejuk serta eksport, import, jualan, pemasaran dan pemborongan semua jenis makanan laut sejuk beku.

“Usaha sama itu mewakili peluang strategik untuk JMGB Group mengembangkan perniagaannya ke dalam perniagaan makanan laut beku, sekali gus menyediakan aliran hasil tambahan.

“Pihak lembaga percaya bahawa usaha sama itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan yang diperbesarkan dan kepada kedudukan kewangan masa depan kumpulan,” katanya.

JMGB akan memegang 60% saham YHLJF manakala YHLF pula sebanyak 40%, tambahnya.

Sebelum ini syarikat itu pada 16 Oktober lalu memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk menjalin kolaborasi dengan sebuah syarikat swasta tempatan untuk menguruskan perniagaan berkaitan industri kesejahteraan menerusi sistem kawalan teknologi maklumat sehenti.

Syarikat itu berkata, ia memeterai MoU dengan BHealthy Wellness Sdn Bhd, yang mana pemilik dan pengarahnya iaitu Chua Kian Leong dan Goh Chee Siang memiliki pengalaman luas di dalam industri tersebut, termasuk perkhidmatan spa, refleksologi dan kepakaran kecantikan.

Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak bersetuju dengan aturan usaha sama 51:59, dengan Jade Marvel memegang 51% kepentingan.

Jade Marvel telah ditubuhkan pada 1980 sebagai sebuah syarikat sendirian berhad untuk mengeluarkan dan membekalkan campuran asfalt untuk kerja-kerja penurapan jalan di sektor kerajaan dan swasta.

Sejak penyenaraiannya pada tahun 2004, Jade Marvel telah mengembangkan aktiviti perniagaannya daripada pembuatan bahan binaan iaitu konkrit Asfaltik dan agregat kepada pembangunan hartanah dan projek lain.

Sumber: Bernama

Jade Marvel ceburi perniagaan makanan laut sejuk beku


Content Type:

Duration:

Malaysia menjana potensi pulangan perdagangan dan pelaburan bernilai lebih RM33.9 bilion menerusi sejumlah 43 Memorandum Persefahaman, Memorandum Kerjasama dan Surat Niat serta 602 petunjuk perniagaan dengan beberapa syarikat antarabangsa dalam tempoh lapan minggu pertama penyertaan di Expo 2020 Dubai.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar)   berkata pencapaian ini disumbang menerusi usaha sama rentas kementerian melibatkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama agensi di bawah kementerian terbabit serta syarikat swasta.

“Dengan perkembangan positif ini, kerajaan yakin penyertaan Malaysia dalam Expo 2020 Dubai akan menghasilkan impak yang lebih luas lagi.

“Ia juga membuktikan bahawa syarikat dan teknologi Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa dan berjaya menarik pelaburan serta minat daripada pelbagai rakan strategik. Momentum ini dijangka berterusan untuk tempoh 18 minggu akan datang dengan usaha gigih pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ismail Sabri berkata bagi memastikan pencapaian dan sinergi yang lebih padu, penyertaan rentas kementerian-kementerian tersebut telah diselaraskan menerusi sub-tema Pavilion Malaysia iaitu pengkomersialan teknologi tempatan, membangunkan ekosistem pemula niaga yang mampan, inovasi teknologi hijau, daya tahan iklim dan infrastruktur lestari, bandar pintar dan rendah karbon, kewangan mampan serta industri halal dan pembuatan mampan.

Pavilion Malaysia di Expo 2020 Dubai yang direka bentuk dengan konsep kanopi hutan hujan tropika bertemakan ‘Energising Sustainability’ (Menjana Kemampanan) telah merekodkan kunjungan lebih 330,000 pelawat sehingga 3 Disember 2021.

Malaysia juga telah berjaya melepasi sasaran asal iaitu RM10 bilion bagi potensi pulangan perdagangan dan pelaburan dalam penyertaan Malaysia di Expo 2020 Dubai, katanya.

Lawatan peringkat tertinggi ke Pavilion Malaysia termasuklah menerima tetamu kehormat dari Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, India, Kemboja, Kuwait, Republik Guinea, Rusia, United Kingdom, serta Dewan Perniagaan Sharjah.

Expo Dubai 2020 bermula 1 Oktober hingga 31 Mac 2022. 

Sumber: Bernama

Malaysia jana lebih RM33.9 bilion potensi pulangan perdagangan dan pelaburan di Expo 2020 Dubai


Content Type:

Duration:

Melaka menerima pelaburan yang lebih tinggi berjumlah RM4.26 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 berbanding dua tahun sebelumnya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

“Nilai ini adalah lebih tinggi berbanding 2019 dan 2020 iaitu masing-masing hanya sebanyak RM0.9 bilion dan RM1.9 bilion,” katanya ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-72 Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, berikutan ketidaktentuan ekonomi dunia dan situasi pandemik COVID-19 yang masih belum reda prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Melaka pada 2020 mencatatkan nilai penyusutan pada kadar negatif 5.9 peratus berbanding 2019 pada kadar 2.9 peratus.

Sulaiman berkata sektor perkhidmatan dan pembuatan mendominasi struktur ekonomi dengan masing-masing menyumbang sebanyak 48.6 peratus dan 37.3 peratus manakala pertanian (11.2 peratus), pembinaan (2.4 peratus) dan perlombongan serta pengkuarian 0.1 peratus.

“Dengan segala ketidaktentuan dan pelbagai cabaran melanda sejak 2020, pelbagai sektor ekonomi mengalami penyusutan, tetapi Alhamdulillah, sektor pertanian mencatatkan peningkatan positif sebanyak 3.7 peratus iaitu daripada RM4.433 bilion kepada RM4.598 bilion.

“Kadar pengangguran Melaka pada 2020 mencatat kedudukan kedua terendah selepas Putrajaya, iaitu 2.2 peratus berbanding peringkat nasional pada kadar 4.5 peratus,” katanya.

Menurutnya, walaupun kadar pengganguran Melaka mencatatkan angka yang selesa, kerajaan negeri sentiasa melaksanakan inisiatif untuk membantu rakyat mencari pekerjaan khususnya kepada golongan muda contohnya melalui penganjuran program bersama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) iaitu Karnival Penjana Kerjaya Melaka Careertrans.

Sulaiman berkata di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), Rolling Plan Pertama 2021, Melaka menerima peruntukan sebanyak RM369 juta untuk pelaksanaan 169 projek dan program yang telah dirancang sepanjang 2021.

Manakala dalam Bajet 2022 persekutuan, sebanyak 171 projek pembangunan dengan kos keseluruhan bernilai RM5.534 bilion telah diluluskan untuk dilaksanakan di negeri ini melibatkan RM574 juta untuk dibelanjakan pada 2022.

“Sebagai tambahan, sebanyak RM20 juta juga telah diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai projek berkenaan jaminan makanan, pelancongan serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar termasuk menangani isu banjir.

“Seterusnya, pentadbiran kerajaan negeri yang baharu akan merancang dan menyusun semula program dan projek sedia ada yang lebih sesuai, dinamik dan pragmatik untuk setiap kumpulan sasar melalui inisiatif Bajet 2022 Melaka dan juga projek secara penswastaan khususnya yang dirancang di Zon Pembangunan Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ).

“Selain itu, permohonan program dan projek juga akan dipanjangkan kepada kerajaan Persekutuan melalui permohonan Rolling Plan Ketiga RMKe-12 bagi pelaksanaan tahun 2023,” katanya.

Sementara itu Sulaiman berkata Kerajaan Persekutuan telah meluluskan lapan projek bernilai RM931.2 juta sebagai langkah penyelesaian jangka masa panjang bagi menangani isu banjir di negeri berkenaan.

Salah satunya adalah projek menaik taraf kolam tebatan banjir Krubong-Durian Tunggal sebagai kolam dwi-fungsi untuk tebatan banjir dan sumber air yang mana ia merupakan yang pertama seumpamanya dilaksanakan di Malaysia.

Selain itu, katanya, sebanyak 27 projek jangka pendek bernilai RM17.6 juta akan dilaksanakan pada 2022 menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Menyentuh mengenai konsep Keluarga Malaysia garapan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Sulaiman berkata, idea berkenaan bukanlah satu retorik atau slogan semata-mata tetapi merupakan semangat yang diterapkan dalam pentadbiran negara, kepentingan dan kesejahteraan rakyat dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga.

Justeru, kerajaan negeri komited untuk memastikan perancangan pembangunan bagi tempoh lima tahun akan datang bersifat inklusif di mana tiada satu golongan pun yang akan tertinggal daripada menikmati manfaat perancangan tersebut, katanya. 

Sumber: Bernama

Melaka Terima Pelaburan RM4.26 Bilion Bagi Tempoh Jan-Jun Tahun Ini – Sulaiman


Content Type:

Duration:

Perjanjian perdagangan serantau dan pelbagai hala penting dalam memacu pemulihan ekonomi dan pertumbuhan mampan serta menyediakan asas bagi kepaduan lebih kukuh dalam perdagangan, terutamanya bagi menggerakkan pertumbuhan pasca krisis, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut beliau, ketika sistem dagangan dicipta semula, kebimbangan tercetus sama ada liberalisasi perdagangan tidak terkawal akan dicapai dengan mengorbankan golongan yang lemah dan yang terpinggir. 

Mohamed Azmin berkata demikian dalam ucapannya pada Forum Inisiatif Asia Pasifik Ketiga 2021 yang bertemakan “Prioritising innovation as the key to unlocking post-crisis growth” (Mengutamakan inovasi sebagai kunci untuk pertumbuhan pasca krisis), semalam.

“Justeru, adalah wajar untuk mengulangi bahawa perlindungan istimewa yang tertulis dalam Perjanjian Perdagangan Bebas ini bagi entiti tersebut, serta kepentingan kaum asli, perlu dihormati bukan dari segi pelanggaran tetapi dari segi pematuhan,” katanya.

Mengambil contoh kesepakatan serantau, iaitu Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik, Mohamed Azmin berkata perjanjian ini penting dalam memacu pemulihan ekonomi dan pertumbuhan mampan serta menyediakan blok binaan bagi kepaduan yang lebih kukuh.

“Jika kita mengikut peraturan — yang diasaskan pada sistem dagangan pelbagai hala yang bebas, adil dan terbuka –maka trajektori semula jadi adalah bagi persaingan dalam kerangka saling pergantungan,” katanya.

Beliau juga memberi penekanan kepada kepentingan inovasi dalam pemulihan pasca pandemik, dengan memberi contoh lonjakan kuantum dunia dalam penerimagunaan digital, yang menukar cara penyelesaian digital diterima dan penawaran dipertingkat diwujudkan.  

“Keperluan bagi multilaterisme digital adalah sama penting kerana pendigitalan merupakan kuasa penggerak bagi hari ini dan masa depan,” katanya.  

Pada 2016, saiz ekonomi digital global bernilai US$11.5 trilion, bersamaan dengan 15.5 peratus daripada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar global dan ia diunjur terus berkembang sehingga 24.3 peratus menjelang 2025.

Sumber: Bernama

Perjanjian serantau, pelbagai hala penting untuk pacu pemulihan ekonomi pasca pandemik


Content Type:

Duration:

Ekonomi digital menjadi aspek penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan dalam norma baharu, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau menegaskan, elemen itu menyaksikan negara melipatgandakan usaha terutama dalam menyediakan platform pembiayaan digital, e-dagang dan ekonomi gig.

“Terima kasih kepada COVID-19 kerana dunia telah mengambil lonjakan kuantum dalam penggunaan digital dan mengubah cara kita menerima penyelesaian digital serta mewujudkan tawaran lebih baik.

“Walaupun kita bercakap tentang kewajipan untuk kepelbagaian vaksin, keperluan bagi kepelbagaian digital menjadi sama pentingnya kerana pendigitalan adalah penggerak masa kini dan masa depan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Forum Inisiatif Asia Pasifik Ketiga 2021 bertajuk ‘Prioritising innovation as the key to unlocking post-crisis growth’ hari ini.

Pada 2016, saiz ekonomi digital global bernilai AS$11.5 trilion (RM48.6 trilion), bersamaan 15.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.

Saiz ekonomi digital dijangka terus berkembang kepada 24.3 peratus menjelang 2025.

Mohamed Azmin berkata, inovasi dalam meningkatkan keupayaan teknologi dan mempercepatkan penggunaan alat digital adalah aspek penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan di rantau ini khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi.

“Inovasi kreatif adalah penting untuk menangani dan menyelesaikan banyak isu baharu yang telah muncul seperti perlindungan data, keselamatan siber dan perkhidmatan percukaian digital, apatah lagi peraturan kecerdasan buatan di samping peraturan algoritma yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata, hari ini tindakan berdasarkan iklim memacu dasar ekonomi, strategi perindustrian dan pertumbuhan baharu adalah untuk menjadi lestari.

“Tindakan kita hari ini akan menentukan masa depan generasi kita,” katanya

Mohamed Azmin berkata, menyedari tentang perkara itu, Malaysia komited Realising this, Malaysia untuk memacu kemampanan dan pemulihan inklusif seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), dengan komitmen untuk mencapai sasaran pelepasan gas rumah hijau bersih sifar, seawal menjelang 2050.

“Seterusnya, menyepadukan elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) ke dalam perniagaan adalah keperluan yang semakin meningkat yang boleh memacu penciptaan nilai jangka panjang, menggalakkan amalan perniagaan yang mampan serta menarik lebih ramai pelabur yang berdaya maju,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Ekonomi digital pacu kelangsungan perniagaan


Content Type:

Duration:

Kerajaan bersetuju untuk mempertingkat rundingan erat bersama Jepun bagi memperkukuh kerjasama di bawah perkongsian strategik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida pada Khamis berkata, Malaysia dan Jepun turut menyatakan kesediaan untuk memperkukuh hubungan dua hala yang terjalin sekian lama.

“Kami turut membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama, khususnya mengenai usaha memperkembangkan kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan, perdagangan, industri pertahanan serta pembangunan sumber manusia.

“Malaysia juga mengalu-alukan penubuhan kampus luar negara pertama Universiti Tsubuka di Malaysia oleh Negara Matahari Terbit,” ujarnya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Ismail Sabri dan Fumio juga membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama, khususnya mengenai usaha memperkembangkan kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan, perdagangan, industri pertahanan serta pembangunan sumber manusia.

“Selain mengalu-alukan penubuhan kampus luar negara pertama Universiti Tsubuka di Malaysia, saya turut menekankan pendirian jelas dan tegas berkenaan Laut China Selatan.

“… yang mana semua pihak perlu mengelakkan sebarang tindakan berunsur provokatif yang akan menambah ketegangan, mengawal tindakan dan menekankan bahawa Lut China Selatan perlu kekal sebagai perairan perdagangan yang aman dan stabil,” katanya.

Kedua-dua pemimpin itu turut bertukar pandangan mengenai perkembangan terkini di Myanmar dan Semenanjung Korea selain ASEAN Outlook on Indo-Pacific dan Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership.

Sumber: Astro Awani

Jepun-Malaysia sedia perkukuh hubungan – PM


Content Type:

Duration:

Sektor pembuatan di Malaysia semakin pulih berikutan permintaan tinggi daripada ekonomi global terutama dari rantau Asia Pasifik, demikian menurut AmBank (M) Bhd.https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.493.0_en.html#goog_1785987997

Bank itu berkata, peningkatan keseluruhan dalam sektor pembuatan pada bulan lalu turut disumbangkan oleh penamatan sekatan pergerakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Peningkatan berlaku di sebalik gangguan rantaian bekalan semasa yang mengehadkan prestasi sebenar pembuatan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

AmBank mengekalkan unjuran pertumbuhan bagi sektor pembuatan sekitar 3.5 peratus dengan paras tertinggi sehingga empat peratus bagi seluruh tahun ini.

“Peningkatan dalam sektor pembuatan akan kekal dipengaruhi oleh pembukaan semula ekonomi, prestasi mantap sektor elektrik dan elektronik (E&E), pengeluar sarung tangan, subkumpulan petroleum dan kimia, permintaan luaran yang teguh serta harga komoditi yang tinggi,” katanya.

Sektor pembuatan Malaysia terus merekodkan peningkatan apabila Indeks Pengurus Pembelian (PMI) IHS Markit pada November meningkat kepada 52.3 berbanding 52.2 pada Oktober.

AmBank berkata, ia masih lagi memantau beberapa faktor yang dapat mencetuskan ancaman besar terhadap kemajuan pemulihan kerana boleh mengembalikan ekonomi kepada kemelesetan jika menjadi kenyataan.

Katanya, varian Omicron yang baru ditemui menjadi risiko yang besar, ditambah pula dengan tekanan ke atas pengeluaran disebabkan isu rantaian bekalan sedia ada.

Sumber: Berita Harian

Permintaan tinggi pulihkan sektor pembuatan negara


Content Type:

Duration:

Bidang teknikal kekal relevan dan terus berkembang luas selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata untuk itu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion dalam Belanjawan 2022 untuk memperkasa bidang Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional atau TVET.

“Bidang ini sering disalah erti sebagai pilihan kedua dan hanya layak untuk individu yang kurang cemerlang dari segi pencapaian akademik. Sebenarnya, stigma itu sudah lapuk kerana graduan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan TVET, sebenarnya kian mendapat perhatian oleh majikan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2021, yang diadakan secara maya hari ini.

Ismail Sabri berkata negara kini mempunyai banyak syarikat berteraskan teknologi yang bertaraf dunia dengan majoritinya dipelopori warga profesion teknikal.

Justeru itu, Perdana Menteri berkata peluang pekerjaan berkaitan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan TVET amat cerah dan tidak seharusnya dilepaskan oleh Keluarga Malaysia terutamanya golongan muda.

Beliau berkata peluang berkenaan adalah hasil perancangan teliti yang dilakukan kerajaan sejak 2013 bermula dengan pengenalan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara yang menggalakkan penggunaan teknologi termaju bagi melahirkan tenaga kerja profesional teknikal mahir dan berketerampilan.

Katanya, sehingga tahun ini, Malaysia telah mempunyai sejumlah 203,966 keanggotaan berdaftar dalam pelbagai bidang kemahiran berkaitan profesion teknikal.

Ismail Sabri berkata pelbagai inisiatif dan strategi yang berkait rapat dengan bidang teknikal telah diketengahkan kerajaan melalui dasar-dasar yang komprehensif dan holistik, yang mengambil kira pelbagai pandangan dan nasihat pakar.

Pandangan dan nasihat berkenaan meliputi daripada Kementerian Kerja Raya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan agensi teknikal negara iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata pandangan daripada pihak swasta dan juga penggiat industri turut tidak diketepikan.

“Ia bertujuan bagi memastikan bidang teknikal negara kekal mampan dan berdaya saing. Seiring dengan era Revolusi Industri 4.0, ekonomi global juga sedang giat mengalami transformasi melalui pencapaian baharu teknologi yang merentasi alam fizikal, digital dan biologi.

“Kemunculan teknologi baharu seperti automasi, robotik, kecerdasan buatan (A-l), Mesin ke Mesin (M-2-M) dan internet benda (l-o-T) mengubah cara dunia beroperasi,” katanya.

Ismail Sabri berkata bagi memastikan negara tidak ketinggalan dengan arus perubahan dan ledakan teknologi, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara.

Dasar berkenaan merupakan inisiatif yang melambangkan aspirasi kerajaan mentransformasi Malaysia ke arah pembangunan sosio-ekonomi negara yang inklusif dan mampan, berpacukan pendigitalan, seterusnya menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Beliau berkata dasar itu juga menyokong dasar-dasar pembangunan negara seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan melengkapi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

“Amat jelas di sini, inisiatif dan dasar yang saya sebutkan amat signifikan dengan semua lapisan profesion teknikal negara.

“Warga profesion teknikal berperanan penting untuk bersama-sama mengembleng tenaga ke arah menggerakkan negara dan melangkaui aspirasi rakyat dalam semua bidang pembangunan teknikal seperti kejuruteraan, kesihatan, penyelidikan, pendidikan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan sebagainya, bertepatan dengan tema sambutan HPTN 2021 iaitu ‘Menggerakkan Negara Melangkaui Aspirasi’,” katanya.

Ismail Sabri turut menyambut baik hasrat Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali yang mahu mencapai perkhidmatan awam berprestasi tinggi melalui pemimpin yang berkepakaran, berinovasi dan berani menghadapi cabaran bersandarkan nilai integriti, akauntabiliti dan ketelusan.

Justeru itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada warga profesion teknikal untuk mengisi jawatan strategik dan pembuat dasar negara, yang secara tradisinya diisi oleh golongan pengurusan, dalam merealisasikan perkhidmatan awam berprestasi tinggi.

“Saya yakin hasrat ini dapat direalisasikan kerana Malaysia mempunyai ramai bakat yang telah diiktiraf di pentas antarabangsa seperti Cik Fakhirah Khairuddin, Jurutera Mekanikal TESLA Inc. Amerika Syarikat dan Encik Mohammad Ruhaidi Abdul Rashid Jurutera Struktur, Pakar Rekabentuk dan Pengurus Kanan Teknikal di BMW Motorsport Jerman,” katanya.

Bagi sektor awam, Perdana Menteri berkata Malaysia juga boleh berbangga dengan agensi teknikal kerajaan seperti JKR, yang banyak berjasa kepada pembangunan infrastruktur negara dengan melaksanakan lebih RM500 bilion projek pembangunan infrastruktur sejak ditubuhkan pada 1872.

Antaranya adalah mempelopori penggunaan ‘Building Information Modeling’ (B-I-M), ‘I-Supervision’ dan e-Perolehan dalam pelaksanaan projek.

“Ini pastinya sebagai pemangkin serta ‘enabler’ kepada pelaksanaan teknologi IR4.0 yang berimpak tinggi seperti ‘3D Printing’, ‘I-o-T’, ‘Big Data’, ‘Virtual Reality’ dan ‘Augmented Reality’,” katanya.

Ismail Sabri berkata perkembangan global terkini khususnya IR4.0 yang berpaksikan kepada teknologi terkini dan menyasarkan persekitaran industri, ekonomi dan kehidupan yang lebih pantas, pintar dan dinamik, memerlukan negara memastikan para pekerja bidang teknikal dilengkapi dengan kemahiran terkini secara ‘upgrade’ dan ‘upscaling’, berdasarkan perkembangan teknologi dan keperluan industri masa hadapan.

Katanya, Malaysia juga perlu realistik dengan kemampuan generasi muda untuk diberikan pendedahan dan menyumbang kepakaran teknikal ke pentas antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama negara seantero dunia.

“Kerajaan bertekad mengukuhkan iltizam menjadikan Malaysia sebuah negara membangun seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Sumber: Bernama

Bidang teknikal kekal relevan, berkembang selari IR4.0 – PM


Content Type:

Duration:

Bridge Data Centres (BDC) yang berpangkalan di Singapura telah mengumumkan pembinaan kampus pusat data skala hiper keempatnya (MY06) di Johor yang akan melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM2.5 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam satu kenyataan, anak syarikat Chindata Group itu berkata syarikat itu telah menetapkan Fasa 1 projek itu akan dilaksanakan menjelang akhir tahun 2022 dengan Fasa 2 dijangka siap tidak lama lagi.

Ia berkata strategi pembangunan BDC bertujuan untuk menghubungkan semua pusat data Kumpulan Chindata menggunakan sambungan gentian optik, menghubungkan dengan Stesen Pendaratan Kabel Malaysia untuk meningkatkan capaian sambungan global.

Kampus skala hiper yang berkeluasan 16.19 hektar itu akan beroperasi pada kapasiti gabungan 100 MW IT di kawasan Kidex Sedenak di Lembah Teknologi Sedenak.

Ketua Pengarah Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata ruang pusat data itu adalah penting daripada segi ekonomi kepada transformasi Malaysia ke arah negara digital termaju, membuka jalan kepada perniagaan moden.

“Program Digital First dengan matlamat meningkatkan penggunaan pengkomputeran awan dalam sektor awam yang diumumkan sebagai sebahagian daripada Bajet 2022, menunjukkan keperluan pusat data sebagai kunci kepada transformasi digital,” katanya.

Komitmen BDC adalah bukti kukuh dan keyakinan terhadap kedudukan negara untuk menjadi hab pusat data serantau, katanya.

Selain itu, Arham berkata MIDA dengan  Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)  melalui Pejabat Pelaburan Digital akan meneruskan usahanya dalam melakukan transformasi dalam  kluster ekonomi baharu dan sedia ada sebagai pemboleh digital, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, menggalakkan peningkatan kemahiran digital tenaga kerja dan perniagaan tempatan.

Seiring dengan aspirasi kerajaan di seluruh negara untuk mencapai 50 peratus penggunaan awan melalui pusat data awan untuk penggunaan 5G menjelang tahun 2024, BDC komited untuk melabur dalam ekonomi pusat data yang sedang berkembang yang dijangka berkembang dengan ketara di rantau ini.

Bridge Data Centres (BDC) yang berpangkalan di Singapura telah mengumumkan pembinaan kampus pusat data skala hiper keempatnya (MY06) di Johor yang akan melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM2.5 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam satu kenyataan, anak syarikat Chindata Group itu berkata syarikat itu telah menetapkan Fasa 1 projek itu akan dilaksanakan menjelang akhir tahun 2022 dengan Fasa 2 dijangka siap tidak lama lagi.

Ia berkata strategi pembangunan BDC bertujuan untuk menghubungkan semua pusat data Kumpulan Chindata menggunakan sambungan gentian optik, menghubungkan dengan Stesen Pendaratan Kabel Malaysia untuk meningkatkan capaian sambungan global.

Kampus skala hiper yang berkeluasan 16.19 hektar itu akan beroperasi pada kapasiti gabungan 100 MW IT di kawasan Kidex Sedenak di Lembah Teknologi Sedenak.

Ketua Pengarah Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata ruang pusat data itu adalah penting daripada segi ekonomi kepada transformasi Malaysia ke arah negara digital termaju, membuka jalan kepada perniagaan moden.

“Program Digital First dengan matlamat meningkatkan penggunaan pengkomputeran awan dalam sektor awam yang diumumkan sebagai sebahagian daripada Bajet 2022, menunjukkan keperluan pusat data sebagai kunci kepada transformasi digital,” katanya.

Komitmen BDC adalah bukti kukuh dan keyakinan terhadap kedudukan negara untuk menjadi hab pusat data serantau, katanya.

Selain itu, Arham berkata MIDA dengan  Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)  melalui Pejabat Pelaburan Digital akan meneruskan usahanya dalam melakukan transformasi dalam  kluster ekonomi baharu dan sedia ada sebagai pemboleh digital, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, menggalakkan peningkatan kemahiran digital tenaga kerja dan perniagaan tempatan.

Seiring dengan aspirasi kerajaan di seluruh negara untuk mencapai 50 peratus penggunaan awan melalui pusat data awan untuk penggunaan 5G menjelang tahun 2024, BDC komited untuk melabur dalam ekonomi pusat data yang sedang berkembang yang dijangka berkembang dengan ketara di rantau ini.

Sumber: Bernama

Bridge Data tubuh kampus pusat data skala hiper di Malaysia


Content Type:

Duration:

Sektor pembuatan Malaysia terus mencatat peningkatan pada November 2021 didorong oleh pertumbuhan pengeluaran serta tempahan baharu, demikian menurut data terkini IHS Markit.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) IHS Markit — petunjuk komposit satu angka bagi prestasi pembuatan, telah meningkat kepada 52.3 daripada 52.2 pada Oktober ketika pengilang terus mencatat pemulihan operasi bagi bulan kedua berturut-turut.

“Berikutan pemulihan permintaan, syarikat-syarikat terbabit berkata keadaan itu meningkatkan tekanan ke atas kapasiti yang menyebabkan tahap pekerjaan kembali ke paras pengembangan. Walaupun kecil, tetapi ini merupakan perkembangan (positif) yang pertama kali sejak Mac lepas,” kata IHS Markit.

Firma data itu menyifatkan angka terbaharu itu sebagai membuktikan bahawa pengeluaran perindustrian telah meningkat pada tempoh suku keempat setakat ini dan berkemungkinan besar turut memberi sumbangan positif terhadap pertumbuhan ekonomi pada akhir 2021.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Ahli Ekonomi Perniagaan Chris Williamson berkata biarpun pengeluar menyambut baik pemulihan permintaan itu, aspek pengeluaran sebaliknya masih dikekang oleh masalah kekurangan bekalan yang ketara.

Menurutnya, ini menyebabkan jumlah tempahan yang tidak dapat disiapkan telah meningkat selain isu lonjakan harga apabila permintaan melebihi penawaran.

“Namun, apa yang menggalakkan adalah syarikat-syarikat semakin optimis bahawa masalah pengeluaran ini dijangka selesai dalam bulan-bulan akan datang.

“Ini sekali gus melonjakkan prospek bagi tahun mendatang yang merupakan antara yang tertinggi sejak bermulanya pandemik COVID-19. Pada masa sama, ini turut memberi petanda baik bagi membolehkan momentum pemulihan dapat berterusan ke arah 2022,” katanya.

Bagi kemajuan masa depan, IHS Markit berkata kalangan pengeluar turut optimis terhadap kemampuan pengeluaran masing-masing pada tahun-tahun akan datang.

Malah, katanya, tahap sentimen itu adalah amat memberangsangkan dan yang tertinggi pernah dicatatkan sejak April lepas.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan berasingan, IHS Markit berkata sektor pembuatan ASEAN kekal mencatat pengembangan pada November walaupun PMI tersebut susut kepada 52.3 berbanding 53.6 pada Oktober.

Bagaimanapun, ia menyifatkan angka tersebut sebagai petunjuk persekitaran pembuatan ASEAN yang meningkat dan terpantas pernah dicatatkan.

“Kedua-dua aspek pengeluaran dan tempahan baharu terus meningkat dengan kadar pertumbuhannya terus menghampiri paras kemuncak manakala tindakan syarikat mengurangkan kerja pula di paras terendah dalam tempoh lima bulan,” katanya.

Indonesia mencatat tahap terpantas dengan PMI pada 53.9 dan diikuti Malaysia (52.3) manakala Vietnam, Filipina dan Singapura (52.2) selain Thailand (50.6) dan Myanmar (50.0).

Ketika mengulas prestasi itu, ahli ekonomi Lewis Cooper berkata PMI itu kekal melebihi paras 50.0 yang menjadi satu lagi paparan peningkatan persekitaran pembuatan, dipacu oleh kenaikan pengeluaran kilang dengan kadar pertumbuhan pengeluaran mencatat penyusutan kecil berbanding rekod hasil tinjauan pada Oktober.

“Secara keseluruhannya, data terbaharu itu memberi sedikit petunjuk yang positif dengan sektor pembuatan ASEAN terus mencatat pemulihan manakala tahap pertumbuhan dan kerja-kerja baharu hampir mencecah paras kemuncaknya,” katanya.

Sumber: Bernama

PMI pembuatan Malaysia meningkat kepada 52.3 pada November — IHS Markit


Content Type:

Duration:

Keseluruhan ekonomi internet Malaysia dijangka mencapai US$21 billion (US$1=RM4.20) dalam Nilai Dagangan Kasar (GMV) tahun ini, dan diunjur mencecah US$35 bilion menjelang 2025, demikian menurut edisi terkini Laporan e-Conomy SEA.

Laporan oleh Google, Temasek dan Bain & Company itu mengetengahkan pertumbuhan yang dicatatkan di semua sektor ekonomi internet negara.

Laporan bertajuk e-Conomy Southeast Asia (SEA) Report-Roaring ’20s: The SEA Digital Decade, menampilkan pandangan baharu mengenai ekonomi internet bagi enam negara di Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, dan Vietnam.

Dalam satu kenyataan hari ini, pengarah urusan Google Malaysia Marc Woo berkata meskipun terdapat sekatan pergerakan, perniagaan telah beralih kepada platform digital untuk terus bertahan dan ramai yang menjangka untuk meningkatkan penggunaan peralatan digital dalam tempoh lima tahun akan datang.

“GMV 2021 Malaysia dijangka mencecah US$35 bilion menjelang 2025 dan kami telah melihat bagaimana pandemik ini telah membawa kepada peralihan kekal dalam penggunaan digital di Malaysia dengan 81 peratus daripada semua pengguna internet kini menggunakan perkhidmatan digital.

“Pertumbuhan kukuh yang kami lihat ini menggalakkan, dan dengan inisiatif seperti MyDIGITAL untuk mentranformasikan negara menjadi sebuah negara yang dipacu secara digital dan peneraju ekonomi digital serantau menjelang 2030, ia mengukuhkan komitmen kami untuk membentuk ekonomi digital yang adil, selamat dan inklusif yang akan menyediakan peluang ekonomi untuk generasi masa kini dan masa depan dalam misi kami untuk bersama-sama memajukan Malaysia,” katanya.

Laporan ini merangkumi tujuh aliran sektor ekonomi internet: lima sektor terkemuka yang terdiri daripada e-dagang, pengangkutan & makanan, perjalanan dalam talian, media dalam talian, dan perkhidmatan kewangan digital, serta dua sektor yang terdiri daripada teknologi kesihatan (healthtech) dan edtech.

“Bersama-sama dengan seluruh rantau ini, Malaysia bergerak ke arah corak hidup baharu kerana pandemik ini telah membawa kepada peralihan kekal dalam memanfaatkan penggunaan digital.

“Pertumbuhan mendadak 47 peratus dalam pasaran digital Malaysia daripada US$14 bilion pada 2020 kepada US$21 bilion pada 2021 didorong oleh lonjakan ketara 68 peratus dalam e-dagang, yang dijangka meningkat kepada US$19 bilion menjelang 2025,” kata laporan itu.

Sektor pengangkutan dan makanan dan media dalam talian juga mencatatkan pertumbuhan dua digit masing-masing pada 35 dan 14 peratus, tambahnya.

Sumber: Bernama

Ekonomi internet Malaysia diunjur cecah US$21 bln GMV bagi tahun 2021 – Laporan


Content Type:

Duration:

Pharmaniaga Bhd memperuntukkan RM295 juta untuk perbelanjaan modal (capex) kumpulan dalam tahun kewangan 2022 (TK2022), berbanding RM106.9 juta pada TK2021.

Ketua Pegawai Kewangan Norai’ni Mohamed Ali berkata peruntukan perbelanjaan modal itu sebahagian besarnya adalah untuk logistik dan pengedaran yang menyumbang 61 peratus, diikuti oleh pembuatan (36 peratus) dan Indonesia (tiga peratus).

“Bagi logistik dan pengedaran, kami sedang melihat pembesaran gudang baharu, pusat pengedaran berpusat untuk sektor swasta, pendigitalan, pembelian perisian untuk projek ubat-ubatan jangka panjang dan sistem migrasi serta pembelian dan penggantian gudang dan peralatan pejabat sedia ada,” kata beliau dalam taklimat media secara maya mengenai keputusan syarikat untuk suku ketiga (S3) berakhir 30 September 2021 hari ini.

Manakala bagi pembuatan, beliau berkata kumpulan itu akan terus menggunakan separuh daripada peruntukan untuk melabur dalam vaksin halal dan projek insulin halal.

“Tidak lupa kepada rakan kami di Indonesia, kami juga melabur dalam automasi dan pendigitalan serta menaik taraf pelbagai peralatan komputer dan makmal,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata kumpulan akan memberi penekanan kepada usaha penyelidikan dan pembangunan yang juga tonggak utama pertumbuhan Pharmaniaga, membolehkannya mengembangkan saluran produk dan menyediakan penyelesaian yang lebih baik kepada
negara.

“Ini bertujuan untuk menyokong kerajaan Malaysia agar bersedia menghadapi pandemik pada masa hadapan.
“Digitalisasi dan teknologi digital akan menjadi tulang belakang kepada usaha ini,” katanya.

Zulkarnain berkata Pharmaniaga akan meneruskan mengisi dan menghabiskan pembuatan vaksin Sinovac COVID-19 bagi memenuhi permintaan domestik dan antarabangsa, kerana kumpulan itu mempunyai kepakaran, keupayaan dan kemudahan serta sokongan penuh daripada rakan kongsi teknikal dari luar negara.

“Pada masa yang sama, kami akan memulakan penubuhan kilang pembuatan insulin yang akan ditempatkan di tapak Pharmaniaga LifeScience kami yang berteknologi tinggi di Puchong, sementara penubuhan kilang vaksin halal pertama di dunia sedang berjalan di landasan yang betul.

“Mengenai urusan logistik dan pengedaran kami dengan Kementerian Kesihatan (KKM), kami akan meneruskannya dan pada masa ini kami sedang berunding dengan kerajaan untuk memuktamadkan konsesi/kontrak baharu,” tambahnya.

Keuntungan bersih Pharmaniaga bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 meningkat kepada RM49.83 juta daripada RM1.44 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu, manakala hasil melonjak kepada RM2.13 bilion daripada RM624.8 juta disebabkan pertumbuhan positif merentasi konsesi kumpulan, bukan konsesi dan perniagaan di Indonesia.

Perniagaan bukan konsesi merupakan pemacu utama berikutan penjualan vaksin Sinovac COVID-19 kepada KKM serta sektor swasta.

Syarikat itu telah mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak dua sen sesaham dengan tarikh akhir pada 6 Disember 2021, tarikh kelayakan pada 7 Disember dan perlu dibayar pada 29 Disember 2021.

Sumber: Bernama

Pharmaniaga peruntuk RM295 juta untuk perbelanjaan modal TK2022


Content Type:

Duration:

Selangor mencatatkan prestasi yang menggalakkan dengan nilai pelaburan yang lebih tinggi direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 iaitu sebanyak RM4.64 bilion, berbanding RM3.39 bilion yang direkodkan bagi tempoh yang sama 2020.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari memberitahu Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini bahawa jumlah projek pekilangan yang diluluskan adalah sama bagi tahun ini dan tahun lepas iaitu sebanyak 122 projek.

Beliau berkata menurut data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebanyak 9,179 peluang pekerjaan dihasilkan bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 yang merangkumi RM4.06 bilion pelaburan tempatan dan RM576.98 juta pelaburan asing, berbanding 5,001 peluang pekerjaan dijanakan bagi tempoh yang sama 2020, termasuk RM1.82 bilion pelaburan tempatan dan RM1.55 bilion pelaburan asing.

Beliau berkata demikian di Persidangan Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-14 bagi menjawab soalan Mohd Najwan Halimi (PH-Kota Anggerik) yang bertanya mengenai impak COVID-19 kepada prestasi pelaburan Selangor.

“Agensi penggalakan pelaburan negeri iaitu Invest Selangor sentiasa melaksanakan pelbagai program dalam usaha memastikan Selangor kekal relevan dan sentiasa diyakini oleh pelabur sebagai destinasi pelaburan mereka,” katanya.

Selain strategi khusus seperti Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Selangor dan Pelan Tindakan Bioteknologi Selangor, Amirudin berkata kerajaan negeri turut melaksanakan program Selangor International Business Summit Hybrid 2022 (SIBS 2022) yang mempunyai komponen-komponen Selangor International Expo (F&B);

“Dalam membantu merancakkan pembangunan ekonomi serta perlaksaaan projek oleh pihak swasta, kerajaan negeri juga telah meluluskan cadangan penubuhan sebuah Jawatankuasa Petugas Khas Projek Pembangunan Selangor Golden Triangle (SGT).

“Dalam melaksanakan agenda pemakmuran negeri dan peningkatan kualiti hidup rakyat pula, kerajaan negeri menubuhkan Majlis Industri Rel Selangor yang akan memberikan tumpuan khusus terhadap pembangunan industri rel di Selangor,” katanya.

Dalam hasrat untuk menyediakan kawasan perindustrian yang kondusif dan selesa kepada pelabur, Amirudin berkata kerajaan negeri telah mewujudkan Garis Panduan Cadangan Pembangunan Taman Perindustrian berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP).

Sumber: Bernama

Selangor catat RM4.64 bln pelaburan dari Jan hingga Jun 2021 – Amirudin


Content Type:

Duration:

wpChatIcon