2021 Archives - Page 32 of 33 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sektor automotif dijangka catat pertumbuhan lapan peratus

Jumlah jualan keseluruhan industri Malaysia (TIV) diunjur berkembang kepada 570,000 unit pada tahun ini, naik lapan peratus berbanding 529,434 unit kenderaan yang direkodkan semasa tahun lepas, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Presiden MAA Datuk Aishah Ahmad berkata kenderaan penumpang dan komersial dijangka mencatatkan jualan, masing-masing sebanyak 513,000 dan 57,000 unit pada tahun ini.

Jangkaan pemulihan ekonomi global termasuk di Malaysia, kesinambungan insentif pengecualian cukai jualan bagi kenderaan penumpang sehingga 30 jun depan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan kadar faedah pinjaman sewa beli yang lebih rendah akan membantu merangsang jualan, katanya. 

”Ditambah pula dengan banyak pakej rangsangan ekonomi yang dimulakan oleh kerajaan, MAA optimis pasaran automotif tempatan akan melantun semula pada 2021,” katanya kepada pemberita semasa taklimat maya mengenai prestasi peniaga dan pengilang motor untuk 2020 hari ini.

Pengenalan model baharu dengan spesifikasi tambahan terkini, gaya reka bentuk dan harga yang sangat kompetitif, juga akan membantu mengekalkan minat belian. 

“Selain itu, kempen promosi yang agresif oleh syarikat-syarikat kereta juga akan meningkatkan jualan,” katanya. 

Beliau berkata prestasi jualan yang lebih tinggi daripada jangkaan iaitu sebanyak 184,121 unit yang direkod pada suku keempat 2020 berbanding 161,296 unit yang dicapai dalam tempoh yang sama pada 2019, telah membantu mengurangkan jangkaan penurunan TIV. 

“Bagi tahun penuh 2020, TIV berada pada 529,434 unit, penurunan sebanyak 12.4 peratus dari tahun ke tahun daripada 604,281 unit yang dicatatkan semasa tahun sebelumnya.

“Walaupun mencatatkan penurunan dua digit dalam TIV, namun ini adalah pencapaian yang baik untuk industri automotif tempatan memandangkan persekitaran perniagaan yang sangat mencabar dan lebih tinggi daripada 470,000 unit yang dijangkakan MAA,” tambah beliau.

 Beliau menyifatkan prestasi yang lebih baik daripada jangkaan disebabkan oleh insentif pengecualian cukai jualan bagi kenderaan penumpang di bawah pakej PENJANA dari 15 Jun 2020 hingga 31 Dis 2020. 

Di bawah pakej PENJANA, kerajaan mengumumkan pengecualian cukai jualan sehingga 100 peratus untuk kenderaan penumpang (CKD) pemasangan tempatan dan 50 peratus ke atas kenderaan penumpang yang diimport (CBU).

Sementara itu, jualan kenderaan penumpang jatuh 12.6 peratus dari tahun ke tahun kepada 480,965 unit pada 2020 daripada 550,177 unit yang direkodkan semasa 2019, manakala jualan kenderaan perdagangan merosot 10.4 peratus dari tahun ke tahun kepada 48,469 unit berbanding 54,469 unit sebelum ini. 

Pengeluaran kenderaan baharu pada tahun lepas juga menurun sebanyak 15 peratus dari tahun ke tahun kepada 485,186 unit daripada 571,632 unit pada 2019, disebabkan oleh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020 dan juga sejajar dengan jualan keseluruhan yang lebih rendah pada 2020.

Sumber: Bernama

Sektor automotif dijangka catat pertumbuhan lapan peratus


Content Type:

Duration:

Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan menumpukan kepada penambahbaikan infrastruktur pengangkutan, logistik, pengedaran dan utiliti serta mengeratkan hubungan bandar dan luar bandar dalam usaha untuk melonjakkan ekosistem ekonomi negeri Perlis.

NCIA berkata, infrastruktur perhubungan dan mobiliti adalah pemboleh yang sangat penting untuk memudahkan proses pemulihan sosioekonomi di negeri ini kesan daripada pendemik COVID-19.

Kedudukan Perlis yang strategik dari segi geografi iaitu berdekatan dengan sempadan Malaysia-Thailand telah memberi kelebihan untuk memanfaatkan pelbagai peluang ekonomi dan perniagaan dalam perdagangan rentas sempadan.

“Infrastruktur logistik dan mobiliti sangat penting untuk ditambah baik bagi mengatasi masalah kesesakan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand. Padang Besar merupakan salah satu pintu utama untuk eksport barangan dari Selatan Thailand,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi meneruskan penambahbaikan perdagangan di sempadan Malaysia dan Thailand, Terminal Padang Besar telah dinaik taraf bagi mengurangkan kesesakan pergerakan kargo.

 “Jumlah kapasiti pengendalian kontena oleh KTMB di Terminal Keretapi Padang Besar ditingkatkan  daripada 110,000 TEU kepada 150,000 TEU setahun (TEU= unit kontena bersamaan 20 kaki),” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata kejayaan projek naik taraf ini telah meningkatkan keberkesanan pengurusan kontena di sempadan.

“Ia akan menarik lebih banyak pelaburan sektor swasta dan menggalakkan aktiviti ekonomi serta akan merancakkan pelaburan di Perlis Inland Port (PIP).

“PIP direka untuk melonjakkan lagi perdagangan antara Malaysia dan Thailand serta dalam masa yang sama, memenuhi keperluan pemain industri di Chuping Valley Industrial Area (CVIA) dengan menyediakan perhubungan rel secara terus ke Pelabuhan Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Azlan berkata, ketika ini  komitmen pelaburan telah melebihi RM460 juta dan lebih 600 peluang pekerjaan bakal diwujudkan oleh syarikat yang beroperasi dalam industri Peralatan Perubatan, Elektrik dan Elektronik (E&E) dan Pertanian Pintar.

“Pembangunan CVIA ketika ini berjalan mengatasi jadualnya dengan kawasan seluas 60 ekar akan siap dibangunkan dengan infrastruktur pada hujung Januari 2021 dan seterusnya bersedia untuk kehadiran pelabur.

“Kesan pembangunan CVIA ini menawarkan peluang yang cukup besar kepada pembangunan sosioekonomi negeri dengan potensi jumlah pelaburan swasta sebanyak RM4.5 bilion dan mewujudkan lebih 12,000 pekerjaan apabila projek ini beroperasi sepenuhnya kelak,” katanya.

Menurutnya lagi, NCIA telah bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Perlis untuk membangunkan Kangar Sentral, iaitu sebuah terminal bas berintegrasi baharu dengan kapasiti lebih besar dan akses yang lebih baik serta pelbagai kemudahan baharu untuk orang awam.

Katanya, kerja-kerja pembinaan telah bermula Oktober tahun lalu dan dijangka siap pada suku kedua 2023 dengan melibatkan kos sebanyak RM30 juta.

“Selain itu, dalam usaha untuk merancakkan semula industri pelancongan Perlis, kajian kebolehlaksanaan akan dilakukan bagi pembangunan semula Terminal Jeti Kuala Perlis.

“Penambahbaikan fasiliti logistik dan perhubungan sangat diperlukan bagi membolehkan aliran trafik yang lebih berkesan dan mempromosikan aktiviti ekonomi,” katanya.

Sumber: Bernama

NCIA utamakan pemulihan sosioekonomi Perlis, tambah baik perhubungan dan mobiliti


Content Type:

Duration:

Malaysia mempunyai formula yang tepat untuk meletakkan negara ini pada landasan pemulihan, baik dari segi kesihatan awam mahupun ekonomi, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata gabungan beberapa keputusan terbaru melibatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) serta inisiatif menerusi Belanjawan 2021 dan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi Dan Rakyat Malaysia (PERMAI) — termasuk mempercepatkan perolehan vaksin dan menggalakkan ujian saringan pekerja — dilihat sebagai formula yang tepat.

“Paling penting, kesemua langkah ini perlu dilihat secara keseluruhan, bukan secara berasingan,” katanya semasa membentangkan Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-37 hari ini.

Beliau berkata kerajaan tetap akan berusaha melakukan yang terbaik untuk membendung pandemik COVID-19 dan memastikan proses pemulihan ekonomi dapat diteruskan.

Semalam, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) telah memutuskan OPR dikekalkan pada 1.75 peratus setelah mengambil kira pelbagai kemudahan kerajaan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan pakej di bawah Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (KITA PRIHATIN), serta Belanjawan 2021 yang masih diteruskan atau akan dilaksanakan, katanya.

“Langkah-langkah yang telah dan akan terus dilaksanakan termasuk moratorium pinjaman, geran khas, Program Subsidi Upah dan pembiayaan mudah kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Tengku Zafrul juga berkata BNM turut mengumumkan lanjutan fleksibiliti bagi institusi perbankan menggunakan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) untuk memenuhi pematuhan SRR sehingga 31 Dis, 2022.

“Secara ringkasnya, langkah ini akan memastikan mudah tunai mencukupi bagi menyokong aktiviti kewangan dan ekonomi,” katanya.

Mengenai Pembiayaan PKS PENJANA bernilai RM2 bilion, beliau berkata sejumlah 6,139 permohonan telah diluluskan dengan nilai pembiayaan keseluruhan RM1.18 bilion setakat 8 Jan, 2021 berbanding dengan 5,976 permohonan dengan nilai pembiayaan keseluruhan RM1.15 bilion setakat 1 Jan, 2021.

Beliau berkata bagi Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA, terdapat 567 permohonan bagi pembiayaan ini diterima setakat 8 Jan, 2021 dan daripada jumlah itu 271 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan RM54.9 juta.

Sementara itu, Pembiayaan Mikro Kredit PENJANA di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN), sejumlah RM320 juta telah disalurkan untuk dimanfaatkan oleh 9,358 PKS Mikro termasuk dalam bidang peruncitan dan perkhidmatan setakat 8 Januari, katanya.

Tengku Zafrul berkata setakat 8 Januari, 389 PKS menerima dana daripada skim Bumiputera Relief Financing (BRF) yang diuruskan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd, melibatkan sejumlah RM105.6 juta.

Beliau berkata bagi sokongan kepada industri pertanian dan makanan pula, sejumlah RM71.3 juta telah disalurkan di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank untuk dimanfaatkan oleh 6,748 PKS mikro pertanian.

Seterusnya, dari segi permohonan i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), 4.8 juta permohonan di bawah Kategori 1 telah diterima KWSP setakat 20 Jan, 2021 dengan 3.18 juta permohonan yang melibatkan RM25.3 bilion telah diluluskan.

“Ahli-ahli yang yang permohonan mereka telah diluluskan telah mula menerima jumlah keseluruhan RM13 bilion pada Januari ini,” katanya.

Bagi Skim pengeluaran i-Lestari di bawah KWSP, setakat 8 Jan, 2021 jumlah pengeluaran kumulatif tidak berubah iaitu sebanyak RM14.77 bilion melibatkan 4.93 juta penerima, katanya.  

Sumber: Bernama

Malaysia ada formula tepat bagi pemulihan – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Negara-negara anggota ASEAN perlu memperkukuhkan kesalinghubungan dan bergerak sebagai satu blok bagi komuniti ASEAN dalam mempercepatkan  pendigitalisan terutama semasa pandemik COVID-19.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Seri Mohammad Mentek berkata ini kerana sektor digitalisasi berfungsi sebagai pemboleh kritikal bagi hampir semua sektor lain.

Oleh itu, katanya, adalah penting bahawa sektor ini memastikan keselamatan ekosistem digital dengan kebergantungan semua sektor untuk berfungsi dan menjalankan urusan masing-masing.

“Saya percaya bahawa kita telah mengadakan perbincangan yang berhasil dan Malaysia akan memastikan dedikasi sepenuhnya semasa memegang jawatan pengerusi,” katanya dalam ucapan penutup pada mesyuarat pertama Pegawai-Pegawai Kanan Digital ASEAN (ADGSOM1), di sini, Rabu malam.

Terdahulu, pegawai kanan tersebut mengadakan pertemuan dengan rakan dialog iaitu Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, India, Kesatuan Eropah (EU) dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).

Mohammad juga mempengerusikan bersama mesyuarat ADGSOM1+EU secara maya dengan Pentadbir Prinsipal EU, Direktorat Jeneral Hal Ehwal Antarabangsa untuk Rangkaian Komunikasi, Kandungan dan Teknologi, Petri Koistinen.

Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut termasuk kemajuan Pelan Kerja ICT ASEAN dan rakan dialog dan persediaan mesyuarat peringkat menteri yang dijadual berlangsung esok.

Mesyuarat ADGSOM secara maya selama dua hari itu disertai oleh kesemua 10 negara anggota ASEAN itu dan ia dihoskan oleh Malaysia dengan Sekretariat ASEAN bertindak sebagai pemudah cara.

Mesyuarat kemudian akan diteruskan dengan Mesyuara Menteri-Menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1) hari ini yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan mesyuarat tersebut dengan menyampaikan ucaptama pada jam 10 pagi.

Sumber: Bernama

ASEAN perlu bergerak sebagai satu blok dalam percepatkan digitalisasi


Content Type:

Duration:

MIDA tingkat usaha lahir pekerja tempatan berdaya maju

Kemunculan teknologi disruptif diikuti dengan pandemik COVID-19 merangsang teknologi automasi dan digital sebagai satu norma baharu dalam melaksanakan aktiviti perniagaan.

Pandemik ini memberi impak besar terhadap ekonomi dan pasaran kewangan, termasuk pengurangan pendapatan yang ketara, peningkatan kadar pengangguran serta gangguan ke atas sistem penawaran dan permintaan yang saling berkaitan dalam ekonomi global.

Semua industri mesti mempercepatkan penerapan teknologi baharu dalam mewujudkan pendekatan yang lebih baik bagi mengurangkan impak negatif perniagaan.

Penggunaan automasi dan digitalisasi memberikan rangsangan perniagaan sangat diperlukan untuk kesinambungan stabil dalam gelombang perniagaan berisiko, terutama ketika pengurangan produktiviti yang disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan masyarakat.

Industri jentera dan peralatan (M&E) di Malaysia berkembang daripada pengeluaran mesin serta peralatan yang ringkas bagi industri asas kepada mesin dan peralatan berintegrasi, bernilai tambah tinggi dan berteknologi tinggi untuk industri khusus seperti; semikonduktor, kenderaan autonomi, robotik, sains hayat, metrologi serta pertahanan dan keselamatan.

Sebagai perbandingan, pada 2010 terdapat kira-kira 25 syarikat automasi dan peralatan teknologi tempatan di Malaysia, dengan nilai pasaran sebanyak RM234 juta.

Pada masa kini, ada lebih daripada 50 syarikat automasi beroperasi, dengan 10 syarikat utama yang mempunyai jumlah nilai pasaran terkumpul melebihi RM25 bilion.

Vitrox Technologies Sdn Bhd adalah sebuah syarikat tempatan dan antara pemain utama di pasaran global dalam peralatan automasi bagi pemeriksaan secara penglihatan (automated advanced vision inspection solutions) untuk industri semikonduktor dan elektronik, telah mengambil inisiatif untuk bergerak seiring dengan gelombang teknologi global.

Syarikat juga telah membuat pelaburan melebihi 12 peratus daripada pendapatannya dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) sejak 10 tahun yang lalu. 66 peratus daripada jumlah tenaga kerja syarikat mempunyai latar belakang teknikal.

Pada tahun 2019, jumlah tenaga kerja untuk bahagian kejuruteraan syarikat meningkat daripada 348 kepada 413 orang, peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding 2018.

Tanpa komitmen tinggi terhadap pembangunan teknologi melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan kejuruteraan, Vitrox tidak akan dapat mencapai tahap kejayaan yang dicapai pada hari ini.

Berdasarkan pengalaman dalam inovasi teknologi dan transformasi digital, Vitrox menekan bahawa kapasiti teknikal tenaga kerja harus dipupuk berdasarkan permintaan yang semakin meningkat dan keperluan yang mendesak untuk masa hadapan.

Ini merujuk kepada pekerjaan yang berkaitan dengan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), memandangkan tenaga kerja ini memainkan peranan penting di dalam menentukan masa hadapan industri serta ekonomi negara.

Seperti yang diunjurkan di dalam Kajian Nasional mengenai Modal Insan (2012), Malaysia memerlukan lapan juta pekerja di dalam bidang STEM menjelang 2050.

Pada peringkat global, Forum Ekonomi Dunia (WEF) melaporkan bahawa 75 juta bidang pekerjaan semasa akan digantikan dengan mesin dan aplikasi algoritma, manakala 133 juta bidang pekerjaan baharu akan wujud pada masa yang sama; di mana pengwujudan pekerjaan baharu dijangka berkembang daripada 16 peratus kepada 27 peratus menjelang 2022.

Bidang pekerjaan yang dijangka semakin meningkat termasuk penganalisis data saintis; kecerdasan buatan (AI) & pakar pembelajaran mesin, penganalisis perisian dan aplikasi, pakar big data, pakar transformasi digital dan pakar perkhidmatan teknologi maklumat.

Bagi mengekalkan kepentingan bidang STEM dalam menentukan masa hadapan Malaysia, Pelan Tindakan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menggariskan inisiatif strategik yang akan dilaksanakan secara bersama oleh kementerian berkaitan.

Selaras dengan inisiatif tersebut, kerajaan telah melancarkan Dasar Sains dan Pendekatan Teknologi yang menyasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus pelajar memfokuskan kepada subjek Sains.

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk program mentor-mentee, duta STEM dan program teater mini STEM.

Selain itu, kerajaan akan terus memperkukuhkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET. Di bawah Belanjawan 2021, sejumlah RM6 bilion diperuntukkan untuk menyokong program TVET.

Sebagai agensi utama kerajaan dalam promosi pelaburan dan pembangunan industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meningkatkan usaha dalam menyediakan tenaga kerja tempatan berdaya maju agar sejajar dengan keperluan bidang pekerjaan masa hadapan, bagi meningkatkan daya saing negara dalam menjadi sebuah destinasi pelaburan pilihan.

MIDA bekerjasama dengan penggubal dasar di kementerian berkaitan, pemain industri dan institusi akademik untuk menjalankan beberapa inisiatif seperti Program Latihan (Internship) Teknikal, Pameran E-kerjaya, Program Perantisan MIDA dan Program Pasca Sekolah dalam Rekabentuk IC (PSFP-IC), untuk memastikan tenaga kerja tempatan mempunyai kemahiran yang diperlukan dan seiring dengan perkembangan teknologi yang berterusan.

Proses penyediaan tenaga kerja untuk keperluan industri pada masa hadapan bukanlah sesuatu yang mudah.

MIDA akan terus menawarkan sokongan dan kolaborasi dengan pelbagai pihak yang berkaitan untuk merangka pelan tindakan bagi memastikan pelajar serta tenaga kerja tempatan dapat melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi terkini untuk memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Sejajar dengan Malaysia menuju ke arah Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), pencapaian teknologi adalah penting dalam mewujudkan persekitaran hidup yang cerdas, dinamik dan mapan.

Sumber: Berita Harian

Pembangunan tenaga kerja penuhi keperluan industri


Content Type:

Duration:

Keadaan di rantau Asia Pasifik (APAC) dijangka lebih baik pada tahun 2021, disokong oleh pemulihan kegiatan ekonomi secara berperingkat berikutan langkah-langkah awal membendung penularan pandemik di beberapa ekonomi Asia, kata Moody’s Investors Service.

Dalam satu laporan, Moody’s berkata sokongan fiskal dan monetari yang berterusan di kedua-dua pasaran maju dan pesat membangun turut membantu memperbaiki keadaan.

Bagaimanapun, ia maklum langkah sekatan pergerakan semula di beberapa bahagian dunia telah menghentikan pemulihan ekonomi global yang baharu muncul dan menimbulkan ketidakpastian mengenai peningkatan keadaan kredit .

Pegawai Kredit dan Naib Presiden Kanan Kumpulan Moody’s Clara Lau berkata trend penarafan bagi syarikat APAC sangat negatif pada tahun 2020, dengan jumlah tindakan penarafan negatif mencapai paras tertinggi 254 berbanding serendah 30 tindakan positif pada tahun ini.

“Trend penarafan negatif agak mereda pada separuh kedua tahun ini, dengan bahagian penarafan dengan implikasi negatif pada 26 peratus akhir 2020 daripada paras tertinggi 29 peratus pada suku kedua 2020, ” kata Lau.

Moody’s berkata walaupun trend penarafan negatif akan terus mereda pada tahun 2021, keadaan kredit untuk syarikat APAC akan berbeza mengikut sektor dan wilayah/rantau.

Sementara itu Moody’s menjangkakan bank-bank pusat kemungkinan mengekalkan kadar faedah pada tahap yang sangat rendah dan terus menyediakan rangsangan fiskal dan monetari, termasuk program pembelian aset dan kemudahan pinjaman untuk bank meningkatkan pinjaman kepada sektor swasta.

Sumber: Bernama

Situasi di rantau APAC akan lebih baik pada 2021: Moody’s


Content Type:

Duration:

Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) kini bersedia menjadikan makanan halal sebagai teras pertumbuhan baharunya susulan pembelian ke atas tiga firma makanan dan minuman bernilai RM60 juta.

Tiga firma itu ialah Sri Nona Food Industries Sdn Bhd, Sri Nona Industries Sdn Bhd dan Lee Shun Hing Sauce Industries Sdn Bhd.

Menerusi kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, F&N menjelaskan pelaburan tersebut akan membolehkan syarikat menambah jenama makanan isi rumah Malaysia yang kukuh ke dalam portfolio jenama terkemukanya.

Pemegang saham F&N menyokong strategi itu yang dibentangkan dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-59 F&N secara maya hari ini, dalam usaha merealisasikan matlamat untuk menjadi syarikat makanan dan minuman sepenuhnya yang terkemuka di rantau ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe berkata pihaknya sentiasa meneroka cara untuk membentuk semula perniagaan menerusi pertumbuhan organik dan sinergi perniagaan bagi memastikan masa depan yang lebih mampan.

“Pelaburan terbaru itu akan berperanan sebagai platform untuk kami berkembang ke dalam segmen makanan halal yang lebih banyak di samping memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap cara mudah serta produk sedia untuk dimakan.

“Berlandaskan kemampuan penyelidikan dan pembangunan kami yang kukuh, kami yakin pembelian baharu itu akan membantu mengembangkan kategori makanan halal kami, memperkenalkan lebih banyak produk inovatif serta meningkatkan margin keuntungan bagi jangka panjang,” katanya semasa AGM itu.

Mengenai sekatan pergerakan dan perubahan tingkah laku pembelian dalam kalangan pengguna, F&N telah menambah baik operasi e-dagangnya pada 2020.

Lim berkata baru-baru ini pihaknya membuka pusat pemenuhan F&N Life di sini yang menyediakan lebih banyak pilihan untuk pengguna selain pilihan ambil sendiri dan penghantaran ekspres pada hari berikutnya bagi pembeli dalam talian.

Pada tahun kewangan berakhir pada 30 Sept, 2020, syarikat ini mencatatkan pencapaian berdaya tahan dengan prestasi lebih kukuh pada suku pertama serta pemulihan pada suku keempat selain eksport yang kukuh.

Perolehan sebanyak RM3.99 bilion bagi tahun kewangan 2020 manakala keuntungan selepas cukai kekal pada RM410.1 juta, walaupun pandemik COVID-19 dan tekanan harga komoditi.

Sektor makanan dan minuman Thailand terus memberikan sumbangan besar walaupun menghadapi kesan COVID-19 dan pengisytiharan darurat, dengan menyumbang 70 peratus kepada keuntungan syarikat pada tahun kewangan 2020.

F&N yakin perniagaannya di Thailand akan terus menunjukkan prestasi berdaya tahan dan cekap pada tahun kewangan 2021 untuk menyokong strategi syarikat dalam melangkah maju.

Lim berkata syarikat turut mengambil langkah untuk mengekalkan pertumbuhan menerusi pelaburan dalam pelbagai inisiatif bagi menggalakkan inovasi dan kemampanan perniagaan.

F&N turut memperuntukkan RM30 juta untuk membiayai program tenaga boleh diperbaharu termasuk projek bumbung solar 10MWp di kilang Shah Alam, Pulau Indah dan Bentong.

Selain itu, tiga projek perbelanjaan modal yang sedang dilaksanakan dijangka siap sepenuhnya pada tahun kewangan 2021.

Projek itu ialah gudang bersepadu bernilai RM182 juta di Shah Alam yang dilengkapi dengan sistem dapatan semula penyimpanan automatik (ASRS); pusat pengedaran serantau berkeluasan 20,000 meter persegi di Rojana, Thailand, yang akan dilengkapi dengan ASRS bernilai RM40 juta; serta gudang dan barisan pengeluaran air minuman 200 botol seminit bernilai RM20 juta di Taman Perindustrian Kota Kinabalu, Sabah.

Mengenai unjuran F&N bagi tahun kewangan 2021, Lim berkata pihaknya kekal berhati-hati terhadap ketidaktentuan domestik dan global akibat COVID-19.

“Memandangkan kita kini memasuki satu lagi tahun yang mencabar, pengetahuan, kemahiran, kepakaran, sumber dan komitmen akan terus mengemudi kami untuk mencapai matlamat dalam situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Pada AGM hari ini, pemegang saham meluluskan dividen satu peringkat akhir sebanyak 33.0 sen sesaham, menjadikan nilai dividen keseluruhan sebanyak 60.0 sen sesaham bagi tahun kewangan 2020 (tahun kewangan 2019: 60.0 sen sesaham) yang boleh bayar kepada pemegang saham pada 5 Feb, 2021.

Tarikh kelayakan dividen adalah pada 21 Jan, 2021.

Sumber: Bernama

Makanan halal akan jadi teras pertumbuhan baharu F&N


Content Type:

Duration:

Oleh Dr. Rossilah Jamil, Profesor Madya di Pusat Pengajian Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia. Kajiannya tertumpu pada bidang sumber manusia, pengembangan manusia, dan pendidikan pengurusan.

KUALA LUMPUR, 19 Jan  —  Pandemik COVID-19 telah menggegarkan dunia hingga ke terasnya, mujur kemajuan teknologi membolehkan aktiviti diteruskan meskipun terdapat sekatan pergerakan dan penjarakan sosial.

Laporan menunjukkan pandemik mempercepat digitalisasi perniagaan kepada tiga hingga empat tahun. Ia juga  memberikan pengajarakan dan menyedarkan pemimpin pentingnya mempunyai ekosistem digital untuk mencegah kejatuhan ekonomi.

Komuniti ASEAN tidak ketinggalan mempercepatkan digitalisasi dan sejak pandemik, beberapa perbincangan peringkat tinggi telah diadakan untuk menyegerakan pendigitalan di rantau ini.

Kebanyakan negara ASEAN menyediakan rancangan digitalisasi mereka sendiri. Bagaimanapun,disebabkan pandemik, terdapat desakan untuk menggabungkan dan melancarkan usaha itu kepada satu ekosistem digital yang kolektif untuk menggalakkan pemulihan segera di rantau ini.

Menggabungkan pendigitalan wilayah bukanlah mudah. Sebagai contoh, IMD World Digital Competitiveness Ranking 2020 yang mengukur kapasiti digital dan kesediaan 63 ekonomi menunjukkan hanya lima anggota ASEAN tersenarai , iaitu Singapura (di kedudukan kedua), Malaysia (26), Thailand (39), Indonesia (56) dan Filipina (57).

Terdapat juga masalah bakat yang harus ditangani kerana perbincangan Industi  4IR dan Kecerdasan Buatan (AI) dilihat sebagai  fenomena ‘pencipta pekerjaan’ atau ‘pemusnah pekerjaan’.

Laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF) menjangkakan kehilangan pekerjaan yang besar. Kumpulan yang menyokong digitalisasi sebagai mencipta pekerjaan secara umumnya percaya AI hanya akan menambah pekerjaan berbanding menggantikan tugas manusia.

Strategi bersepadu diperlukan untuk kemahiran dan meningkatkan kemahiran selain mengumpulkan modal insan. Mereka yang cenderung mendapat keuntungan dari ekonomi 4IR kebanyakannya adalah pekerja berkemahiran tinggi dan berpengetahuan.

Golongan berisiko besar adalah kumpulan pekerja berkemahiran rendah. Jika mereka gagal menguasainya, digitalisasi akan memaksa mereka meninggalkan pekerjaan yang tidak dapat dilakukan secara automatik –  ia mengakibatkan penurunan kemampuan dan nilai bakat.

Pemain ekonomi utama iaitu pengusaha mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) memerlukan sokongan untuk beralih ke model perniagaan digital. Pendidikan STEM (sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik) perlu disemak semula bagi menyediakan bakat digital yang diperlukan. Pada masa sama, hak modal insan bukan tradisional seperti pekerja gig dan kumpulan marginal tidak boleh dipinggirkan.

Transformasi digital memerlukan perubahan dan kepimpinan organisasi. Perniagaan yang mampu bertahan disebabkan kemampuannya berkembang dan mengubah amalan perniagaan mengikut persekitaran luaran.

Dalam pelbagai organisasi, banyak usaha mengubah menemui kegagalan kerana masalah berkaitan manusia. Pemimpin sering meremehkan emosi, ketahanan, dan kehebatan mereka yang terlibat dalam proses perubahan. Perubahan mengganggu kecekapan, rutin, dan membelenggu kuasa yang ada. Walaupun sumber kewangan halangan yang pasti,  sumber insan adalah sumber penting menuju transformasi digital. 

Kerangka kerja yang kukuh diperlukan bagi menangani cabaran ini. Ia harus menjelaskan peranan kerajaan, syarikat Teknologi Maklumat (IT), penyedia platform dan industri tempatan.

Oleh itu, pembangunan Pelan Induk Digital ASEAN tepat pada masanya. Sebagai satu daripada ekonomi terbesar di dunia, ASEAN mempunyai potensi besar untuk memberikan nilai lebih tinggi melalui digitalisasi. Pelan Induk akan dilengkapi dengan inisiatif sebelumnya oleh ASEAN, seperti Pelan Induk ICT 2020 dan Pelan Induk mengenai Penyambungan ASEAN 2025.

Strategi digitalisasi tidak hanya merangkumi aspek ekosistem digital, pemerintahan dan keselamatan siber, tetapi juga perubahan organisasi dan pengembangan bakat.

Bagi Malaysia, peranan utamanya dalam memimpin penyediaan Pelan Induk Digital ASEAN sejajar dengan usaha berterusannya menyediakan negara ini untuk masa depan. Pelan Induk harus membantu komuniti ASEAN secara kolektif memanfaatkan era digital seiring dengan kebiasaan baharu untuk pembangunan inklusif di rantau ini.

Sumber: Bernama

Digitalisasi semasa pandemik – Satu desakan perubahan untuk organisasi dan pembangunan bakat


Content Type:

Duration:

Pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion yang diumumkan hari ini akan membantu mengurangkan kesan lonjakan semula kes COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) ke atas pertumbuhan Keluaran Dalam negara Kasar (KDNK) suku pertama selain menyokong pemulihan ekonomi, kata ahli-ahli ekonomi. 

Ahli Ekonomi Kajian Perniagaan Universiti Sunway Prof Dr Yeah Kim Leng berkata pakej PERMAI adalah bantuan yang amat dialu-alukan terutamanya bagi isi rumah berpendapatan rendah dan perniagaan yang terkesan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Senada dengan beliau ialah Datuk Michael Kang, Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia, yang mengatakan bahawa pengumuman itu tepat pada masanya kerana bantuan tersebut boleh membantu perniagaan sekurang-kurangnya bagi tempoh jangka pendek.

“Lanjutan moratorium (pinjaman) yang diumumkan hari akan dapat membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana. Sekurang-kurangnya kurang la sikit kebimbangan mereka. 

“Bagaimanapun, kami bimbang jika PKP 2.0 dilanjutkan kerana kita masih lagi mencatatkan kes harian empat angka,” katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas mengenai pakej bantuan tersebut yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Pakej tersebut yang terdiri daripada 22 inisiatif berteraskan tiga matlamat utama iaitu memerangi pandemik, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kesinambungan perniagaan. 

Antara bantuan yang diumumkan hari ini ialah moratorium pembayaran pinjaman bersasar dan pengurangan ansuran pembayaran balik akan terus ditawarkan oleh bank semasa pelaksanaan PKP 2.0.

Bagaimanapun, Kang berharap agar semua perniagaan dapat beroperasi semula pada 1 Feb ini dengan mematuhi prosedur operasi standard yang ketat.

“Jika (PKP) dilanjutkan, kita sememangnya memerlukan lebih banyak bantuan, terutamanya bagi mereka yang akan kehilangan pekerjaan dan perniagaan yang terjejas.

“Bantuan itu seharusnya mencukupi buat masa ini tetapi kerajaan tidak seharusnya melanjutkan (PKP) lagi selepas akhir bulan,” katanya lagi.

Mengulas mengenai kadar pengangguran negara, Ketua Ahli Ekonomi dan Ketua Penyelidikan AmBank Group Dr Anthony Dass berkata pakej bantuan PERMAI sudah pastinya akan dapat membantu menangani isu berkenaan.

Beliau juga percaya bantuan bagi bencana alam dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menerusi Jaringan Bantuan Bencana diumumkan segera kerana ia boleh memberi impak terhadap pandemik secara langsung akibat daripada gangguan perkhidmatan kesihatan dan prasarananya serta kesukaran menjaga penjarakan fizikal dalam kalangan mangsa banjir di pusat penempatan sementara.

Kerajaan memperuntukkan RM25 juta di bawah program jaringan sebagai geran padanan bersama GLC bagi inisiatif sosial, termasuk peruntukan bantuan komuniti untuk warga tua, orang kurang upaya, kehilangan tempat tinggal, dan mangsa banjir.

“Sebaik sahaja ekonomi pulih dan berada di landasan yang sewajarnya, hutang tinggi (negara) perlu diselesaikan dan barulah kita mula menumpukan pada penarafan,” katanya, dan menambah kerajaan serta pakar ekonomi tidak harus terlalu memikirkan mengenai penarafan buat masa ini. 

Sementara itu, Yeah tidak menolak kemungkinan peningkatan defisit fiskal dan nisbah hutang berbanding KDNK sebanyak setengah mata peratusan, walaupun beliau mengatakan kedua-dua metrik hutang masih terkawal meskipun meningkat.

Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim yang sependapat dengan Yeah berkata had hutang berkanun mungkin dinaikkan lagi, kemungkinan pada 65 peratus.

“Kita fikir dengan mengambil kira kesan jangka panjang pandemik terhadap ekonomi dan langkah fiskal yang belum pernah terjadi sebelumnya diperlukan untuk mengurangkan kesan daripada PKP yang terbaharu, had hutang berkanun dapat dinaikkan lagi, mungkin kepada 65 peratus.

“Dan ya, Malaysia memang memiliki ruang untuk menaikkannya kepada 65 peratus, susulan jangkaan peningkatan (hutang negara) dengan langkah rangsangan yang diumumkan hari ini,” katanya kepada Bernama.

Adam turut memetik Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menjangka kemungkinan kerajaan menaikkan siling hutang kepada lebih 60 peratus daripada KDNK selepas 2021.

Dalam pengumumannya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa impak daripada PKP 2.0 ke atas ekonomi dijangka terkawal dan pertumbuhan akan terus disokong oleh sektor eksport yang memberangsangkan dengan pemulihan perdagangan dunia,

 “Kita telah menyaksikan kesan pelaksanaan PKP ke atas pertumbuhan ekonomi, apabila KDNK suku kedua 2020 mencatatkan kemerosotan yang ketara dan kadar pengangguran juga telah meningkat.

“Alhamdulillah, dengan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi, kita berjaya mencapai kadar penguncupan KDNK yang lebih kecil, iaitu daripada 17.1 kepada 2.7 peratus, dan penurunan kadar pengangguran daripada 5.1 kepada 4.7 peratus, daripada suku kedua kepada suku ketiga 2020,” katanya semasa mengumumkan pakej itu hari ini.

Kerajaan telah melaksanakan empat pakej rangsangan ekonomi sejak penularan pandemik pada awal tahun 2020 bernilai RM305 bilion, atau lebih 20 peratus daripada KDNK untuk membantu rakyat dan perniagaan, serta melindungi ekonomi.

Dass mengunjurkan keseluruhan ekonomi akan meningkat kepada 70-80 peratus pada suku kedua 2021 dengan kelonggaran langkah-langkah sekatan secara berperingkat berbanding operasi semasa kira-kira 50-60 peratus pada suku pertama 2021 semasa PKP 2.0, dan ekonomi dijangka beroperasi seperti biasa pada separuh kedua tahun ini.

“Pengurangan dalam KDNK domestik akan menjadi antara 0.6 peratus dan 1.3 peratus pada suku pertama, yang bermakna unjuran KDNK 2021 sebanyak 6.5 peratus kini berada antara 5.2 peratus dan 5.9 peratus.

“Peningkatan pertumbuhan tetap ada, (tetapi ini) bergantung kepada (perkembangan) luaran dan domestik,” katanya.

Sumber: Bernama

Pakej bantuan PERMAI boleh rangsang pertumbuhan KDNK, kekalkan PKS – Ahli Ekonomi


Content Type:

Duration:

Projek berimpak tinggi, Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap, telah menarik pelaburan berpotensi melebihi RM2.1 bilion dengan lebih 5,000 peluang pekerjaan dihasilkan oleh pemain industri getah tempatan, setakat ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata melalui pakej insentif fiskal menarik dan komprehensif, pemain industri berkenaan telah memberikan komitmen untuk menjadi sebahagian daripada projek tersebut yang dijangka mula beroperasi pada suku kedua tahun depan.

“KRC mempunyai potensi besar seiring dengan peningkatan permintaan dunia terhadap produk-produk getah. Fasa pertama projek ini telah dimulakan tahun lepas dan kemajuan pelaksanaannya pada masa ini adalah melebihi 30 peratus.

“Kerja-kerja ekosistem pembuatan dan logistik sedang dijalankan dan KRC sedia menerima pelabur bermula tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Muhammad Sanusi, apabila siap sepenuhnya, KRC bersedia memacu Malaysia untuk muncul semula sebagai pemimpin dunia dalam industri getah yang akan memberi keuntungan kepada rakyat menerusi peluang pekerjaan baharu selain peningkatan pendapatan.

KRC dibangunkan di kawasan seluas 503 hektar di Padang Terap dan merupakan projek taman perindustrian getah berstatus nasional pertama di Malaysia yang diusahakan bersama kerajaan negeri dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, sejajar dengan permintaan dunia terhadap sarung tangan kelas perubatan getah yang semakin meningkat, NCIA juga telah meluluskan pelaburan baharu bernilai RM10 bilion membabitkan pengeluar sarung tangan utama yang berhasrat memperluaskan kemudahan barisan pengeluaran mereka di Taman Teknologi Tinggi Kulim dan Taman Sains dan Teknologi Bukit Kayu Hitam.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) telah meluluskan pelaburan melalui insentif fiskalnya bernilai hampir RM10 bilion selain mewujudkan lebih 15,000 peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan, logistik dan agribio bagi Kedah pada tahun lepas.

Beliau turut menyifatkan kejayaan NCER menarik pelaburan dalam tempoh mencabar ini sebagai bukti ketahanan ekonomi negara dan wilayah berkenaan.

“Ditambah pula dengan fokus dalam meningkatkan ekosistem bakat NCER melalui program modal insan bersepadu, rakyat dijangka akan melihat perkembangan sosioekonomi yang kukuh dan mampan apabila tempoh mencabar (akibat pandemik COVID-19) ini berakhir,” katanya.

Sumber: Bernama

Kedah Rubber City tarik pelaburan RM2.1 bilion setakat ini – MB


Content Type:

Duration:

Impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini terhadap ekonomi negara masih terkawal dengan pertumbuhan terus disokong oleh sektor eksport yang memberangsangkan dan pemulihan perdagangan dunia.

Ketika menegaskan perkara itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini juga berikutan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi dalam PKP tersebut.

“Kita telah menyaksikan kesan pelaksanaan PKP (terdahulu) ke atas pertumbuhan ekonomi yang mana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2020 mencatat kemerosotan yang sangat ketara dan kadar pengangguran juga telah meningkat.

“Alhamdulillah, dengan pelaksanaan pakej-pakej rangsangan ekonomi, kita berjaya mencapai kadar penguncupan KDNK yang lebih kecil iaitu daripada 17.1 kepada 2.7 peratus dan penurunan kadar pengangguran daripada 5.1 kepada 4.7 peratus pada suku kedua kepada suku ketiga 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan dan platform media sosial di sini, hari ini.

Menurut Muhyiddin, sejak bermulanya penularan pandemik COVID-19 pada awal tahun lepas, kerajaan telah melaksanakan empat pakej rangsangan ekonomi bernilai RM305 bilion atau lebih 20 peratus daripada KDNK bagi membantu rakyat serta perniagaan selain turut melindungi ekonomi negara.

Jelas Perdana Menteri, pakej-pakej rangsangan ekonomi ini juga telah melibatkan suntikan fiskal kerajaan sebanyak RM55 bilion.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan tidak menjangkakan impak yang sama seperti suku kedua 2020 akan dialami dengan pelaksanaan PKP kali ini memandangkan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan untuk beroperasi.

“Oleh itu, impak PKP semasa ke atas ekonomi masih terkawal. Pertumbuhan akan terus disokong oleh sektor eksport yang memberangsangkan dengan pemulihan perdagangan dunia,” kata beliau.

Muhyiddin juga optimis bahawa pakej rangsangan ekonomi, Belanjawan 2021 dan pakej bantuan PERMAI juga akan terus merancakkan penggunaan.

Ini turut didorong oleh projek serta program berimpak tinggi yang mempunyai kesan pengganda besar akan terus memacu momentum pemulihan ekonomi, kata beliau. 

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga sedar bahawa pelaksanaan PKP dan disusuli dengan Proklamasi Darurat yang berkuat kuasa mulai 11 Januari sehingga 1 Ogos 2021, mungkin menimbulkan sedikit kegusaran dalam kalangan masyarakat serta komuniti perniagaan.

“Ingin saya tegaskan sekali lagi, bahawa pengisytiharan darurat ini semata-mata bertujuan mengekang penularan wabak COVID-19 yang kini menjadi ancaman terbesar terhadap pembangunan sosioekonomi negara.

“Kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan impak daripada langkah tersebut ke atas persekitaran ekonomi negara adalah terkawal. Malah, kita telah melihat sejak 11 Januari 2021, pasaran modal seperti Bursa Malaysia dan pasaran bon kekal stabil dan teratur.

“Bagi membiayai pakej bantuan PERMAI, kerajaan akan membuat penjajaran semula peruntukan sedia ada berdasarkan keutamaan semasa dan melalui perbelanjaan yang lebih berhemat,” kata beliau.

Pada masa sama, beliau juga menegaskan bahawa kerajaan akan memastikan segala program yang diumumkan akan dilaksanakan dengan cepat dan lancar.

Sumber: Bernama

Impak PKP kali ini terhadap ekonomi masih terkawal – PM


Content Type:

Duration:

Sankyu Group dijangka melabur RM100 juta bagi pembinaan Akademi Teknikal Sankyu, pusat latihan sumber manusia pertamanya di luar Jepun di Daerah Pusat Perniagaan (CBD) Medini, Iskandar Puteri.

Pengarah Urusan Sankyu Southeast Asia Holdings, Junichi Matsumura, berkata pusat itu akan dibina di tanah seluas 1.67 hektar dan dijangka mula beroperasi tahun depan.

“Malaysia terus menjadi hab strategik di rantau ini untuk Sankyu, dan ini terbukti melalui pelaburan kami yang berterusan dan pembangunan infrastruktur penting di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud, berkata pusat latihan Sankyu di Malaysia akan menjadi syarikat pertama di Asia Tenggara.

Beliau berkata, Malaysia terus menjadi pilihan strategik syarikat multinasional di rantau ini, berdasarkan peralihan dinamik negara kepada perkhidmatan dengan kualiti yang amat baik untuk menyokong dan mengembangkan ekonominya yang pelbagai.

“MIDA optimis pusat latihan ini akan memberi manfaat ekonomi yang positif dari segi mewujudkan pekerjaan, pemindahan teknologi dan pengetahuan melalui latihan. Ini akan mewujudkan peluang baharu kepada perniagaan dan vendor tempatan.

“MIDA akan terus menggalakkan kerjasama strategik antara syarikat asing dan tempatan untuk hasil yang saling memberi manfaat, memastikan ekosistem yang mampan untuk entiti perniagaan di negara ini, bukan hanya pada masa ini tetapi juga untuk masa depan,” katanya.

Sumber: Bernama

Firma Jepun labur RM100 juta bina akademi di Johor


Content Type:

Duration:

AmBank Group menawarkan geran sehingga RM1 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat sederhana (MTC) melalui Geran Automasi Pintar (SAG) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, MIDA dan AmBank berkata inisiatif SAG adalah sebahagian daripada peruntukan RM100 juta yang diluluskan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“Pemberian ini akan diberikan kepada PKS dan MTC yang memenuhi syarat berdasarkan padanan atau 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan yang layak, sehingga had maksimum RM1 juta untuk sebuah syarikat,” katanya.

PKS dan MTC yang telah melakukan aktiviti pembuatan atau perkhidmatan dalam tempoh 12 bulan lepas layak dipertimbangkan untuk pemberian SAG.

Untuk memenuhi syarat untuk mendapatkan insentif, mesin automatik, peralatan atau perisian yang dibeli melalui geran mesti digunakan secara langsung dalam rantaian nilai syarikat untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan mereka.

Peningkatan akan dinilai berdasarkan pelbagai kriteria seperti pengurangan jumlah pekerja tidak mahir, tempoh masa bekerja, kadar kecacatan/kerosakan dan juga peningkatan jumlah pengeluaran.

Pihak berkepentingan yang berminat boleh mengemukakan permohonan mereka ke pelbagai bahagian industri dan perkhidmatan di MIDA.

Kedua-dua pihak itu sebelum ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membantu syarikat terutamanya PKS dan MTC dalam meningkatkan pengetahuan mereka mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan automasi dan pendigitalan.

AmBank akan menjalankan beberapa siri latihan simulasi dan sesi bilik kelas yang secara khusus dirancang untuk membantu syarikat mengenal pasti masalah perniagaan serta mengutamakan penyelesaian automasi dan digitalisasi.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA, Datuk Azman Mahmud berkata kerjasama itu melengkapkan matlamat agensi itu untuk memberi kesedaran dan panduan kewangan bagi membantu PKS dan MTC dalam mengautomasikan dan digitalisasi operasi dan proses pengeluaran mereka.

“Memahami keperluan pelabur, SAG tidak hanya akan meningkatkan daya saing dan kemampuan industri Malaysia tetapi juga mengurangkan kebergantungan kita kepada pekerja asing berkemahiran rendah sambil mewujudkan peluang pekerjaan baharu di sektor nilai tambah yang tinggi.

“Kami percaya bahawa kerjasama ini akan mendorong perniagaan di Malaysia dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi ke arah penggunaan automasi dan digitalisasi secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata bank itu teruja kerana menjadi bank pertama yang bekerjasama dengan MIDA dalam memberikan bantuan yang sangat diperlukan kepada PKS dan MTC susulan daripada lanskap perniagaan yang mencabar ketika ini.

“Melalui kerjasama ini, kami dapat berkongsi kepakaran dan sumber daya kami dengan syarikat-syarikat berkenaan untuk membantu perniagaan mereka berdaya tahan pada masa depan.

“Inisiatif ini akan menjadi sebahagian daripada program AmBank BizRACE untuk membangunkan pelanggan kami dalam bidang utama Revolusi Industri (IR) 4.0, digitalisasi dan industri halal, yang sesuai dengan agenda kemampanan AmBank,” katanya.

Beliau berkata bank itu yakin ia akan menawarkan perkhidmatan selain daripada pembiayaan untuk membantu para pelanggannya bersaing dengan lebih baik dan program AmBank BizRACE menyediakan platform bagi PKS untuk meneroka aliran pendapatan baharu, produk baharu, meningkatkan bakat mereka dan meningkatkan kecekapan dengan menggunakan teknologi digital dan automasi penyelesaian.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk membantu PKS mengatur semula dan mengaktifkan semula perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Sumber: Bernama

AmBank tawar geran kepada PKS dan syarikat sederhana


Content Type:

Duration:

AT Systematization Bhd (AT) menerusi anak syarikat milik penuhnya, AT Glove Engineering Sdn Bhd (AGESB) membeli tanah seluas kira-kira 783,324 kaki persegi di Taiping, Perak pada pertimbangan harga RM10.5 juta daripada Seacera Group Bhd.

AT dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pembelian tanah itu bertujuan untuk mengembangkan perniagaan AGESB dalam jualan dan pengeluaran sarung tangan nitrilnya.

Katanya, pertimbangan pembelian itu dijangka akan dibiayai menerusi kombinasi dana yang dijana secara dalaman daripada kumpulan, pinjaman atau pelaksanaan sekuriti boleh tukar tertunggak syarikat.

“Kombinasi dana yang sebenarnya akan diputuskan pada peringkat kemudian setelah mengambil kira tahap gearam, kos faedah serta keperluan tunai dalaman untuk operasi perniagaan kumpulan,” katanya.

AT pada tahun lalu mula mempelbagaikan perniagaannya untuk memanfaatkan perubahan paradigma dalam penggunaan sarung tangan pakai nitril global.

Pandemik COVID-19, yang tersebar di seluruh dunia, mendorong permintaan untuk sarung tangan gred perubatan pakai buang melambung tinggi, mencecah 15 kali daripada harga jualan puratanya.

Malaysia, yang menyumbang hampir 70 peratus bekalan sarung tangan dunia, menyaksikan industri dibanjiri banyak peserta baharu dalam sembilan bulan terakhir ini.

AT melakukan pelaburan awal di kilang sarung tangan pertamanya di Chemor, dengan membangunkan keseluruhan operasi dari awal, sebelum mengeluarkan sarung tangan pertama pada akhir bulan tahun lalu.

Dalam masa lima bulan dari perancangan awalnya, AT kini dalam tahap produksi sepenuhnya dengan anggaran kapasiti 63,000 keping sejam pada akhir bulan ini.

Sementara itu, Seacera dalam kenyataannya berkata, tanah yang dijual kepada AGESB itu dinilaikan pada RM11.7 juta oleh penilai bebas pada bulan Jun 2015.

“Cadangan pelupusan ini adalah untuk menjual beberapa aset dalam meraih tunai untuk membayar pemiutang dan pinjaman bank.

“Selain itu, ia juga akan digunakan untuk keperluan modal kerja termasuk antaranya bayaran kepada pembekal dan perbelanjaan kos bulanan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

AT beli tanah perkukuh perniagaan sarung tangan


Content Type:

Duration:

Pelaksanaan darurat yang pernah dilaksanakan sebelum ini seperti di Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri Bugaya, Sabah, terbukti tidak menjejaskan keyakinan pelabur untuk melabur di Malaysia.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata malah, pelabur asing melihat langkah itu sebagai kesungguhan kerajaan untuk menangani penularan pandemik COVID-19.

Katanya sejak proklamasi darurat dilaksanakan pada 12 Jan lepas, aktiviti perniagaan adalah berjalan seperti biasa.

“Pelabur semakin yakin bahawa Malaysia berjaya menangani penularan COVID-19 secara bertanggungjawab dan kita akan meneruskan usaha ini. 

“Apabila kita dapat melandaikan keluk COVID-19, ekonomi negara akan pulih dengan lebih cepat. Jika panjang lagi masanya, lagi besar (usaha untuk memulihkan ekonomi). Itu sebabnya kita memerlukan situasi di mana ordinan (darurat) telah diperkenankan oleh Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) bertujuan untuk menangani COVID-19,” katanya kepada pemberita di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan penganalisis mengenai kemungkinan keyakinan pelabur asing boleh terjejas berikutan pelaksanaan darurat.

Pada Selasa lepas, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di negara ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin menyampaikan bantuan kepada beberapa wakil keluarga di daerah ini yang terjejas akibat banjir bersempena misi bantuan kemanusiaan pasca banjir Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta agensi-agensi di bawahnya.  

Ahli Parlimen Gombak itu juga menjelaskan proklamasi darurat itu bertujuan untuk menangani isu pandemik secara lebih berkesan.

“Peguam Negara juga telah memberikan penjelasan secara terperinci dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam kepada semua Menteri Besar yang hadir termasuklah Ketua Menteri Pulau Pinang, Menteri Besar Negeri Sembilan dan Menteri Besar Selangor dari kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan.

“Kita telah memberikan penjelasan dan penjelasan itu diterima baik oleh semua,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata MITI antara kementerian yang paling aktif mengadakan libat urus dengan persatuan industri dan dewan perdagangan untuk mendapatkan maklum balas daripada mereka.

“Kita percaya kita boleh mendapat pandangan yang baik dan daripada libat urus kita kemukakan kepada MKN untuk mengeluarkan senarai yang kita rasa perlu diberi kebenaran (beroperasi) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 atau PKP Bersyarat (PKPB).

“Aktiviti ekonomi juga perlu berjalan kerana kita tidak mahu pekerjaan anak-anak kita terjejas dan juga pendapatan negara khususnya Keluaran Dalam Negara Kasar. 

“Bagi sektor lain, kita harap mereka dapat memahami keperluan untuk menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpandangan antara langkah untuk membendung penularan pandemik ini adalah dengan mengurangkan pergerakan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata kerajaan akan meneliti senarai industri yang dibenarkan beroperasi dari semasa ke semasa mengikut perkembangan semasa dan situasi COVID-19 dalam negara.

“Kerajaan sentiasa mengambil sikap terbuka. Kita akan mendapatkan pandangan tambahan dan merujuk kepada KKM sebelum memberi pertimbangan yang sewajarnya,” katanya.

Sumber: Bernama

Pelaksanaan darurat tidak jejas keyakinan pelabur


Content Type:

Duration:

ASEAN perlu membina ekosistem ekonomi baharu dengan menggalakkan pembangunan infrastruktur digital yang dapat diakses perniagaan kecil dan individu untuk memperkukuh usaha pemulihan ekonomi dan memacu pertumbuhan berterusan serta menyeluruh.

Kedutaan Thailand di Malaysia berkata ia dapat membantu kumpulan itu menjadi sebahagian ekonomi digital yang berkembang di rantau ini, dianggarkan menyumbang lebih US$240 bilion dalam lima tahun akan datang.

“Di pihak kami, Thailand sedang membangunkan “Hub Digital ASEAN “, yang akan membantu meningkatkan infrastruktur digital di ASEAN, dan juga” Digital Park Thailand “, sebagai sebahagian Koridor Ekonomi Timur. 

“Sektor swasta akan memainkan peranan penting dalam pembangunan infrastruktur dan teknologi dan inovasi perniagaan melalui pelaburan PPP (Perkongsian Awam-Swasta),” kata kedutaan menerusi email kepada Bernama sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Pertama ( ADGMIN1) yang dipengerusikan Malaysia minggu depan.

Kedutaan berkata selain membina infrastruktur fizikal, promosi integrasi digital juga penting untuk meningkatkan peluang perniagaan di rantau ini.

Pada 2019, ASEAN berjaya menyelesaikan operasi langsung Tingkap Tunggal ASEAN (ASW) untuk semua negara anggotanya, yang dianggap sebagai satu pencapaian penting.

ASW, menyediakan teknologi maklumat terjamin dan kerangka undang-undang yang membenarkan pertukaran data perdagangan, pengangkutan, dan komersial secara elektronik di antara agensi kerajaan dan sektor swasta di rantau ini.

“Tetapi ASEAN perlu melihat di luar ruang lingkup Tingkap Tunggal ASEAN dan berusaha ke arah pendigitalan sepenuhnya untuk menjadi” Digital ASEAN “. Ini melibatkan promosi kesalinghubungan pembayaran dan perdagangan digital yang meluas,” tambahnya.

Kedutaan berkata kerajaan Thailand membangunkan Pelan Induk Ekonomi Digital Nasional bagi tempoh 20 tahun dan beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa undang-undang dan peraturan baharu dilancarkan untuk menyokong pelaksanaan dasar ekonomi digitalnya.

Menurutnya, pada 2018, dianggarkan sekitar 17 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand disumbangkan ekonomi digital. Ia dijangka meningkat kepada 25 peratus pada 2027.

Nilai pasaran ekonomi digital Thailand dianggap kedua terbesar di ASEAN, katanya.

Sementara itu, kedutaan berkata Thailand dan negara ASEAN lain mengakui peri pentingnya teknologi dan peningkatan transformasi digital, terutama penggunaan teknologi digital untuk mengatasi kesan pandemik COVID-19.

“Isu perbezaan digital sentiasa menjadi antara elemen penting dalam Pelan Induk ICT ASEAN. ASEAN berkomitmen untuk mengatasi pelbagai kekurangan digital dalam kemahiran, infrastruktur, dan undang-undang di seluruh ASEAN, serta risiko dan cabaran dihadapi digitalisasi, ” tambahnya.

Menurut kedutaan ADGMIN1 minggu depan, ASEAN berpeluang berbincang dan berkongsi pengalaman mengenai tindak balas terhadap cabaran yang muncul dalam spektrum digital, terutama dalam landskap sosioekonomi pandemik COVID-19 ketika ini.

Situasi COVID-19 memberi peluang kepada rantau ini  menyegerakan transformasi digital yang inklusif, membuka lebih banyak ruang serta peluang ASEAN melakar kejayaan pada masa depan.

“Kami ingin menekankan kepentingan teknologi digital dalam mencapai pertumbuhan ekonomi inklusif, berdaya tahan, dan mampan di rantau ini. Thailand menantikan Pelan Induk Digital ASEAN 2025 diterima pakai yang menjadi hala tuju ASEAN mencapai visi itu,” katanya.

Pelan Induk Digital ASEAN 2025 dijangka diterima pakai pada ADGMIN1.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah akan mempengerusikan ADGMIN1 melalui sidang video dari 21 hingga 22 Januari.

Bertemakan “ASEAN: A Digitally Connected Community”, mesyuarat itu bertujuan memperkukuh kerjasama ASEAN ke arah membangun ekosistem digital sebagai tonggak dalam rancangan pembangunan pasca-COVID-19.

Sumber: Bernama

ASEAN perlu tingkat pembangunan digital untuk perniagaan kecil, individu


Content Type:

Duration:

Volkswagen Group, salah satu daripada pengeluar automotif terkemuka dari Wolfsburg, Jerman, telah menubuhkan Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau yang baharu di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor. 

Volkswagen Group dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan bersama berkata kemudahan yang terletak di lokasi strategik itu bertujuan menyediakan rantaian bekalan alat ganti tulen kepada 21 pasaran di rantau Asia Pasifik. 

Dengan fasiliti yang lebih besar iaitu 50,000 meter persegi, pusat tersebut mampu menyimpan lebih banyak alat ganti dan dengan itu menyediakan kecekapan bagi ketersediaan komponen yang lebih baik. 

Terdapat 65,000 alat ganti tulen membabitkan pelbagai jenama dalam kumpulan kereta penumpang berkenaan seperti Volkswagen, Audi, ŠKODA termasuk kenderaan komersil keluaran Volkswagen.

“Volkswagen Group sentiasa mengikuti trend penubuhan hab pengedaran global dan serantau di Malaysia oleh syarikat-syarikat dalam industri seperti automotif, sains hayat termasuk peranti perubatan, elektrik dan elektronik, jentera serta peralatan. 

”Syarikat-syarikat ini berusaha untuk memanfaatkan lokasi strategik Malaysia serta infrastrukturnya yang cekap dan boleh dipercayai seperti pelabuhan, lapangan terbang serta institusi kewangan, membolehkan mereka meningkatkan kecekapan operasi dan mengoptimumkan kualiti produk termasuk perkhidmatan serta kepantasan bagi pelanggan mereka,” kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 

Sementara itu, Ketua Jualan Volkswagen Group Dr Christian Dahlheim berkata rantau Asia Pasifik menawarkan banyak potensi pertumbuhan untuk kumpulan itu, terutamanya mengenai e-mobiliti. 

”Malaysia menawarkan lokasi berpusat dan bersambung yang paling sempurna serta sesuai dengan rancangan kami untuk mengembangkan jejak kami di rantau ini,” katanya. 

Fasiliti baharu ini menawarkan pengagihan yang lebih baik dan kecekapan dalam pemprosesan. Ia terletak di zon perdagangan bebas dengan sambungan pelabuhan langsung, pemprosesan gudang yang dipertingkatkan sebanyak 15 peratus.   

Kemudahan ini juga disesuaikan dengan keperluan Volkswagen Group, yang mana sistem penyimpanan seperti “paternoster” separa automatik dan lorong sempit menegak dibina untuk ruang gudang yang lebih luas dan pengoptimuman pemprosesan. 

”Pusat Pengedaran Alat Ganti ini sudah pasti akan mengukuhkan rantaian bekalan selepas jualan global kumpulan, satu mercu tanda penting dalam menyediakan penyampaian alat ganti tulen yang lebih baik kepada pelanggan kami di Asia Pasifik. 

“Kami gembira dengan kemudahan dan bantuan yang diberikan MIDA untuk melaksanakan projek kami di sini,” kata Ketua Perkhidmatan Selepas Jualan kumpulan itu, Roman Havlásek.   

Projek kumpulan itu telah dipermudahkan oleh skim Pusat Perdagangan Global (GTC), yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, untuk menggalakkan syarikat multinasional (MNC) dan syarikat tempatan menubuhkan hab pengedaran global serta serantau mereka.

MIDA mengalu-alukan pelaburan seperti Volkswagen Group yang akan mengukuhkan hubungan dalam industri tempatan, mewujudkan pekerjaan untuk rakyat Malaysia dan meningkatkan kedudukan negara sebagai hab rantaian bekalan global. 

Skim GTC adalah skim yang dipertingkatkan, bersifat komprehensif yang menyediakan insentif cukai bagi memudahkan aktiviti import dan eksport serta bertujuan untuk menyokong syarikat dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan utama yang menceburi aktiviti perolehan, pengedaran termasuk perdagangan untuk mengukuhkan lagi rantaian bekalan global mereka. 

Maklumat lanjut boleh diperolehi daripada Bahagian Perkhidmatan Perniagaan dan Operasi Serantau di atau www.mida.gov.my.

Sumber: Bernama

Volkswagen wujudkan pusat pengedaran alat ganti di Tanjung Pelepas


Content Type:

Duration:

Ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan meskipun pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) di enam negeri dan pengisytiharan darurat di seluruh negara, hasil sumbangan produktiviti buruh yang memacu pertumbuhan ekonomi. 

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Global Shan Saeed berkata negara mampu bertahan meskipun keadaan ekonomi dunia yang bergelora berikutan sokongan daripada dasar fiskal dan monetari berterusan kerajaan untuk menyokong laluan pertumbuhan ekonomi.

“Bagaimanapun, pada pandangan saya, kerajaan harus menilai kemajuan perniagaan dan pasaran untuk mengukur momentum sebelum mengumumkan sebarang rangsangan fiskal bagi ekonomi.

“Perusahaan kecil dan sederhana memerlukan banyak sokongan daripada kerajaan memandangkan syarikat kecil mendapati sukar untuk menguruskan aliran tunai mereka,” katanya kepada Bernama.

Shan berkata pasaran ketika ini berada di tengah-tengah keadaan saling mempengaruhi antara epidemiologi dan ekonomi. 

“Ia suatu pertimbangan yang sangat berhati-hati antara penjagaan kesihatan dan perniagaan. Kerajaan berusaha sebaik mungkin untuk mengekalkan momentum bagi ekonomi pada tahap makro,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Juwai IQI mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar Malaysia kekal sama, pada tiga hingga empat peratus tahun ini, dengan ringgit diniagakan antara paras RM3.67 dan RM4.10 berbanding dolar AS.

“Ringgit akan terus mencatatkan kestabilan struktur pada 2021 dan akan didagangkan antara paras 3.67 dan 4.10 berbanding dolar AS. Andaian utama bagi kekuatan ringgit pada 2021 adalah kelemahan dolar AS, harga minyak tinggi, ringgit mengekori pergerakan Yuan dan kestabilan makroekonomi tempatan,” kata Shan.  

Beliau juga berkata Bank Negara Malaysia (BNM) memiliki banyak ruang untuk berbuat sesuatu dari segi dasar monetari pada 2021, sambil menambah bank pusat akan terus melaksanakan dasar monetari berhemat untuk memastikan pertumbuhan ekonomi, kestabilan harga pada peringkat makro dan kestabilan kewangan dalam sistem. 

“BNM akan menggunakan pendekatan taktikal dan strategik mengikut keadaan pasaran atau apabila diperlukan. Kami di Juwai IQI, akan terus optimis terhadap tinjauan pertumbuhan berikutan respons dasar yang padu daripada kerajaan,” katanya. 

Beliau menjangkakan lima sektor iaitu minyak dan gas, semikonduktor, pembuatan, penjagaan kesihatan dan perladangan (minyak sawit) akan mendapat manfaat tahun ini.

Sumber: Bernama

Ekonomi Malaysia miliki daya tahan utuk bangkit kembali dengan kukuh


Content Type:

Duration:

Phamaniaga Bhd memiliki kapasiti untuk mengeluarkan dua juta dos vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh Sinovac Life Sciences Co Ltd dari China setiap bulan bermula Mac tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata vaksin itu akan menjadi yang pertama dikeluarkan di Malaysia di kilang berteknologi tinggi milik anak syarikat milik penuh Pharmaniaga, Pharmaniaga LifeSciences Sdn Bhd, di Puchong.

Beliau berkata kumpulan itu akan melabur sebanyak RM3 juta untuk menaik taraf kilang tersebut bagi  pengeluaran vaksin.

“Kami yakin dapat melaksanakan tugas itu dengan jayanya kerana pakar teknikal kami telah mengusahakan untuk menubuhkan kilang vaksin halal di Malaysia sejak 2017.

“Semasa pandemik COVID-19 menular ke seluruh dunia awal tahun lepas, kami dengan segera mengerahkan pasukan kami untuk bekerjasama dengan rakan kongsi global kami, termasuk Sinovac bagi aktiviti perkilangan isi dan selesai (fill and finish) dan pindahan teknologi untuk mempercepatkan penyediaan vaksin bagi membendung pandemik itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis permeteraian perjanjian antara Pharmaniaga dan Sinovac Life Sciences Co Ltd di sini, hari ini. 

Majlis permeteraian itu disaksikan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovsi Khairy Jamaluddin.

Pharmaniaga akan menjalankan aktiviti isi dan selesai vaksin dibangunkan oleh Sinovac Life, yang dijangka sedia untuk diedarkan kepada orang ramai pada akhir Mac 2021.

Perjanjian itu adalah bagi membekalkan 14 juta dos vaksin COVID-19 yang akan dijalankan untuk aktiviti isi dan selesai.

Pharmaniaga telah bekerjasama dengan Agensi Kawal Selia Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) untuk memastikan kilangnya terus mematuhi dengan ketat keperluan kawal selia. 

Zulkarnain berkata vaksin Sinovac COVID-19 telah menyempurnakan percubaan fasa tiga di Brazil dan Turki dan ini sedang dalam proses mendapatkan kelulusan di kedua-dua negara itu.  

“Ketika ini kami sedang berbincang dengan NPRA bagi pendaftaran dan mereka sangat menyokong projek ini, oleh itu kami yakin dapat mengeluarkan vaksin tersebut dan sedia untuk diedarkan ke hospital pada akhir Mac 2021,” katanya. 

Sementara itu, Khairy berkata perjanjian antara Pharmaniaga dan Sinovac adalah satu inisiatif swasta. 

“Kita menyokong ini kerana kita telah membayangkan kepada Pharmaniaga bahawa kita berminat dengan vaksin Sinovac.

“Kini pemerolehan kerajaan daripada sebahagian daripadanya, harap-harapnya, akan dapat dimuktamadkan minggu depan,” katanya. 

Khairy memberi jaminan program vaksin bagi COVID-19 akan dilaksanakan dalam tempoh suku pertama 2021.

“Kita tidak terlalu lewat atau terlalu awal. Kita boleh merancang program imunisasi kita yang boleh mengurangkan banyak pembaziran dan akan dilancarkankan secekap yang mungkin,” katanya.  

Sumber: Bernama

Pharmamiaga akan keluarkan vaksin COVID-19 Sinovac bermula Mac 2021


Content Type:

Duration:

Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) hari ini menyambut baik langkah kerajaan membenarkan operasi perniagaan terus dijalankan sepanjang tempoh darurat yang dijangka berakhir pada 1 Ogos depan.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata kalangan perniagaan terbabit juga akur sepenuhnya dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada awal pagi ini sebagai langkah membendung penularan COVID-19 di negara ini.

“Pihak industri yakin bahawa vaksin COVID-19 yang akan diterima tidak lama lagi serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pelbagai peringkat itu berkesan bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19 dan langkah darurat itu boleh ditarik balik dengan seberapa segera,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, FMM turut mengingatkan supaya kalangan perniagaan dan industri sentiasa mematuhi langkah berjaga-jaga serta prosedur operasi standard menangani bagi COVID-19 yang telah ditetapkan.

Sumber: Bernama

Pekilang lega darurat tak jejas operasi perniagaan


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah merangka prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif, relevan dan praktikal untuk membantu kelancaran operasi dan memastikan pelaksanaan pelan kesinambungan syarikat yang berkesan.

Dalam kenyataan, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ini terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 13 hingga 26 Jan 2021.

Beliau berkata SOP bagi sektor pengilangan dan pembuatan di bawah tanggungjawab MITI boleh dimuat turun dari laman sesawang MITI di www.miti.gov.my.

Syarikat yang telah berdaftar dengan pangkalan data MITI iaitu COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) melalui pautan https://notification.miti.gov.my tidak perlu membuat pendaftaran semula untuk beroperasi dalam tempoh PKP.

Syarikat ini hanya perlu memuat turun surat notifikasi pengesahan pendaftaran yang boleh dimuat turun mulai hari ini, 12 Jan 2021 bermula jam 3.00 petang.

Syarikat sektor pengilangan dan pembuatan dalam perkhidmatan perlu yang belum berdaftar dengan CIMS boleh berbuat demikian di pautan https://notification.miti.gov.my mulai 3.00 petang, 12 Jan 2021.

Surat notifikasi pengesahan pendaftaran boleh dimuat turun oleh syarikat selepas pendaftaran.

“Pendaftaran ini hanya terpakai untuk syarikat dalam sektor pengilangan dan pembuatan di bawah seliaan MITI.

“Majikan bertanggungjawab untuk memuat turun surat notifikasi pengesahan pendaftaran untuk membolehkan pergerakan pekerja dalam tempoh PKP,” katanya.

Pekerja syarikat yang dibenarkan untuk berada di tempat kerja pada satu-satu masa adalah wajib membawa sesalinan surat notifikasi pengesahan pendaftaran yang dibekalkan oleh majikan bersama pas pekerja/surat pengesahan majikan.

Ini bertujuan memudahkan pergerakan kenderaan komersial dan juga pergerakan pekerja antara kediaman dan tempat kerja, katanya.

Selaras dengan objektif untuk mengekang penularan pandemik COVID-19, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan dibenarkan berada di pejabat.

Jumlah pekerja kumpulan sokongan dan pekerja yang terlibat secara langsung dalam barisan pengeluaran akan ditentukan oleh majikan masing-masing dengan mengambil kira pematuhan ketat SOP yang ditetapkan.

“Bagi kerja-kerja yang tidak memerlukan kehadiran secara fizikal, arahan Bekerja Dari Rumah (BDR) akan berkuatkuasa.

“Kerajaan menyeru pihak industri dan swasta mempertingkatkan pelaksanaan BDR sebagai norma baharu selari dengan kecanggihan teknologi terkini dan aplikasi dalam talian,” kata Mohamed Azmin.

MITI, dengan kerjasama pihak berkuasa negeri akan menjalankan penguatkuasaan secara berkala sepanjang tempoh PKP ke atas syarikat untuk memastikan pematuhan SOP dan akan mengambil tindakan mengkompaun kesalahan selaras dengan Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Majikan yang didapati melanggar dan tidak mematuhi SOP akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk menutup premis berkenaan, katanya.

Beliau berkata MITI telah menyediakan senarai soalan-soalan lazim (FAQ) untuk membantu pihak industri mendapatkan maklumat terperinci dan tepat mengenai SOP yang ditetapkan oleh kerajaan bagi membolehkan sektor pengilangan dan pembuatan beroperasi dalam tempoh PKP.

Kerajaan membenarkan sektor ekonomi dalam perkhidmatan perlu beroperasi sepanjang tempoh PKP di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Mohamed Azmin berkata enam negeri yang dikenakan PKP merupakan pemacu aktiviti ekonomi utama negara dan penyumbang yang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Pada 2019, sumbangan Selangor kepada KDNK negara sebanyak 24.2 peratus, Wilayah Persekutuan (16.9 peratus), Johor (9.4 peratus ), Pulau Pinang (6.7 peratus ), Sabah (6.0 peratus ) dan Melaka (3.1 peratus).

Sumber: Bernama

MITI rangka SOP pelan kesinambungan syarikat


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus berfungsi di MIDA Sentral tetapi dengan jumlah kakitangan yang minimum, bagi membantu perniagaan dalam operasi mereka berikutan pengenaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PKP yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berkuat kuasa esok. 

Dalam usaha mengutamakan keselamatan kakitangan di samping mengurangkan gangguan kepada perkhidmatan dan operasi perniagaan, pegawai MIDA akan bekerja dari rumah secara bergilir-gilir. 

MIDA melalui satu kenyataan hari in menjelaskan ia menggalakkan pihak berkepentingan untuk memanfaatkan pelbagai alat teknologi yang tersedia bagi komunikasi jauh atau mesyuarat maya seperti persidangan video dan panggilan persidangan. 

“Penglibatan dalam talian untuk pertanyaan perniagaan boleh diatur melalui https://appointment.mida.gov.my/appointment/ dan pertanyaan am lain boleh dikemukakan pada https://investmalaysia.mida.gov.my/eTRANS_TH/LoginCS.aspx,” katanya. 

Pegawai MIDA, khususnya pengarah dan timbalan pengarah juga boleh dihubungi dengan mudah melalui e-mel masing-masing pada https://www.mida.gov.my/contact-us/;

“Penghantaran dokumen melalui pos atau perkhidmatan kurier digalakkan bagi mengurangkan hubungan fizikal di MIDA. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mida.gov.my atau ikuti MIDA di platform media sosial, seperti Twitter, Instagram, Facebook dan LinkedIn,” tambahnya.

Sumber: Bernama

MIDA akan beroperasi dengan kakitangan minimum semasa PKP


Content Type:

Duration:

Kerajaan hari ini memberi jaminan kepada rakyat dan pelabur bahawa pentadbiran negara sentiasa disokong oleh sistem kewangan teratur, termasuk pasaran kewangan dan modal.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi jaminan tersebut susulan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi ini bagi mengekang penularan COVID-19 serta pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Dalam kenyataan hari ini, Tengku Zafrul juga menegaskan bahawa kerajaan akan terus melaksanakan langkah-langkah dalam Belanjawan 2021 bagi memastikan Malaysia kekal di landasan pemulihan pada tahun ini.

“Apa yang lebih penting, kita mempunyai kecairan domestik yang mencukupi bagi rangsangan fiskal tambahan untuk menyokong kehidupan, mata pencarian dan perniagaan, jika perlu,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan juga telah mula mempertimbangkan pelbagai langkah untuk mendokong rakyat dan perniagaan sepanjang tempoh terbabit dan tidak akan berkompromi dalam soal membabitkan kelangsungan hidup rakyat serta perniagaan.

Selain itu, asas ekonomi Malaysia yang mantap akan terus membolehkan kerajaan bertindak secara berkesan terhadap persekitaran penuh cabaran dan terus mempertahankan pertumbuhan serta ketahanan ekonomi.

“Saya ingin menekankan bahawa kerajaan tetap komited untuk membina momentum pemulihan semasa dan memastikan kemampanan jangka panjang bagi kedudukan kewangan awam dan ekonomi negara,” kata beliau.

Menurut Tengku Zafrul, pasaran modal Malaysia juga akan terus beroperasi bagi menyokong dan memudah cara proses pengumpulan dana, perdagangan dan pelaburan dengan semua fungsi pengawalseliaan yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKP, PKP Bersyarat (PKPB), PKP Pemulihan (PKPP) dan Ordinan Darurat.

Beliau turut menegaskan bahawa kesinambungan operasi pasaran modal adalah penting untuk menyokong ketahanan dan pemulihan ekonomi negara serta membantu pelabur menguruskan peluang dan risiko pelaburan dalam tempoh tersebut.

“Saya ingin menekankan bahawa Malaysia mempunyai ekosistem pasaran modal yang berdaya tahan, yang disokong oleh kecairan yang tinggi. Terdapat mekanisma pengurusan pasaran tersedia untuk mengawal (keadaan) turun naik.

“Dana pelepasan serta susun atur margin dan simpanan juga sedia ada untuk memastikan risiko penyelesaian dan pelepasan yang sentiasa terurus,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul turut memberi jaminan bahawa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta Bursa Malaysia akan terus memantau perkembangan semasa demi pengurusan risiko secara proaktif di pasaran dan akan melaksanakan langkah pencegahan tambahan mengikut kesesuaian.

Dari segi intermediasi kewangan dan sistem pembayaran, operasi institusi kewangan dan pasaran kewangan akan turut diteruskan seperti biasa dengan perkhidmatan terus tersedia dan boleh diakses oleh peminjam.

Menurutnya, Bank Negara Malaysia akan memantau keadaan pasaran kewangan bagi memastikan mudah tunai mencukupi dalam pertukaran asing, pasaran bon dan pasaran wang (termasuk repo) mencukupi serta keadaan pasaran kekal teratur.

“Penampan sistem perbankan Malaysia dan amalan pengurusan risiko yang mantap dijangka mampu mengurangkan kesan sebarang potensi penurunan kualiti kredit dan terus menyokong pemberian pinjaman oleh bank kepada ekonomi ketika tempoh Ordinan Darurat dan pelaksanaan PKP pelbagai peringkat ini,” kata beliau.

Sumber: Bernama

Kerajaan Jamin Sistem Kewangan Teratur, Teruskan Langkah Belanjawan 2021


Content Type:

Duration:

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi jaminan bahawa aktiviti ekonomi negara akan terus berfungsi sepanjang tempoh darurat namun tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Malah, beliau menegaskan bahawa kerajaan akan turut memastikan aktiviti ekonomi tidak terhenti agar rakyat dapat terus bekerja manakala perniagaan, perdagangan dan industri mampu beroperasi seperti biasa.

“Kerajaan juga komited untuk memastikan amalan-amalan tadbir urus terbaik terus diamalkan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat ini.

“Organisasi kawal selia negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa iaitu Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia akan terus memainkan peranan mereka sebagai pemangkin pengawal selia dan pemudah cara syarikat dan pasaran,” kata beliau dalam perutusan khas darurat yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di negara ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga menjelaskan kepada pihak berkepentingan bahawa Malaysia masih terbuka untuk perniagaan dalam menghadapi masa yang mencabar ini.

“Tempoh darurat ini akan memberi kita ketenangan dan kestabilan yang diperlukan selain membolehkan kita menumpukan usaha pemulihan ekonomi dan pertumbuhan.

“Kita kekal komited terhadap tadbir urus yang baik dalam tempoh-tempoh ini dan mempunyai ekosistem pengawalseliaan yang kukuh dan dinamik,” kata beliau.

Muhyiddin berkata kerajaan telah menggerakkan strategi enam peringkat sejak Mac tahun lepas yang turut disertakan dalam Belanjawan 2021 dan mampu memacu semula ekonomi.

Kestabilan yang berterusan itu sudah pasti akan membolehkan negara kekal bertahan serta dapat membina landasan pemulihan ekonomi yang telah diusahakan secara gigih sejak tahun lepas, kata Perdana Menteri.

Sumber: Bernama

Aktiviti ekonomi negara terus berfungsi sepanjang tempoh darurat – PM Muhyiddin


Content Type:

Duration:

Komuniti perniagaan antarabangsa dan domestik terus memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang disukai berikutan kekuatan dan potensi negara ini, kata Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Walaupun pandemik COVID-19 sedang menular, banyak syarikat antarabangsa dan multinational telah mula mewujudkan program pembangunan vendor serta inisiatif pengurusan rantaian bekalan bersama-sama dengan syarikat dan pembekal tempatan. 

“Selama bertahun-tahun, pembekal tempatan telah menjadi pengeluar yang besar dalam hak liputan  mereka dan ada di antara mereka yang kini telah tersenarai dalam bursa saham kami, ini menyediakan peluang pekerjaan untuk bakat tempatan,” kata menteri itu dalam catatan beliau di LinkedIn hari ini.

Antara projek yang diluluskan untuk tempoh sembilan bulan pertama 2020 termasuk LEM (Switzerland), Dexcom, Ultra Clean (Amerika Syarikat), Keysight Technologies (Amerika Syarikat), Bosch (Jerman) serta Nippon Electric Glass (Malaysia) Sdn Bhd. 

Kedudukan Malaysia juga mendapat pengiktirafan daripada pelbagai firma penarafan dalam pelbagai metrik; bukti kepada perlaksanaan dasar Malaysia yang agak mantap.

Tengku Zafrul menyatakan bahawa menurut laporan oleh Bloomberg baru-baru ini, Malaysia adalah destinasi utama kelima di kalangan ekonomi baru muncul untuk pelaburan dan perniagaan, disokong oleh potensi pemulihan ekonomi yang pesat, kedudukan fiskal termasuk kewangan yang stabil serta keupayaan dalam menangani dan mengurangkan pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, beliau menegaskan seperti banyak negara lain, Malaysia juga berhadapan dengan cabaran yang sukar, khususnya bagi membina semula ekonomi yang terjejas akibat COVID-19. 

Usaha kerajaan bermula dengan inisiatif yang diperkenalkan melalui pelan pemulihan ekonomi jangka pendek (PENJANA) yang diumumkan pada Jun 2020.

Di bawah Belanjawan 2021, banyak insentif ini sama ada telah diperluaskan atau dilanjutkan bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk aktiviti perkhidmatan tambah nilai tinggi dan hab inovasi, teknologi canggih dan penyediaan industri masa depan.

Beliau menegaskan kementerian telah bekerjasama dengan agensi dan kementerian lain bagi memastikan insentif-insentif ini disediakan kepada pelabur yang tulen. 

“Tetapi harus diingat dua perkara penting: Malaysia masih dalam krisis kesihatan dan setiap negara adalah unik daripada segi memikat pelaburan langsung asing. 

“Walaupun Malaysia masih berusaha tanpa henti untuk menangani COVID-19, pemulihan dalam kesihatan awam, ekonomi ataupun pelaburan, pasti akan mengambil masa,” katanya.

Tengku Zafrul berkata kementerian telah menghubungi pelbagai agensi dan kumpulan perniagaan tempatan serta antarabangsa termasuk Dewan Perniagaan Malaysia Amerika, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia Perancis dan Dewan Perniagaan Malaysia British serta mengadakan perbincangan dengan pelbagai duta, pesuruhjaya dan menteri.

“Kami tidak berjaya bertemu dengan setiap satu (daripada mereka) tetapi kami sedang menuju ke arah itu. 

“Pegawai kementerian dan saya amat berharap dapat bertemu dengan semua dewan perniagaan dan pihak berkepentingan lain di Malaysia bagi melihat sejauh mana kami boleh bekerjasama, khususnya dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta agensi berfokuskan pelaburan lain – untuk memudahkan lebih banyak pelaburan daripada rakan perdagangan kami pada 2021 dan seterusnya,” katanya lagi.

Sumber: Bernama

Malaysia Terus Jadi Destinasi Pelaburan Yang Disukai, Kata Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

wpChatIcon