2021 Archives - Page 33 of 33 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerajaan Negeri Sabah Tubuh Majlis Penasihat Ekonomi

Kerajaan negeri Sabah telah menubuhkan ‘Majlis Penasihat Ekonomi Sabah’ (SEAC) yang terdiri daripada pemain industri, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk melengkapkan usahanya dalam pemulihan ekonomi negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata SEAC adalah usaha dibuat secara sukarela oleh anggota dilantik yang telah bersetuju untuk memberikan perkhidmatan mereka kepada negeri tersebut sebagai penasihat.

Beliau berkata idea SEAC dicetuskan ketika kerajaan di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih pucuk pimpinan.

“Sejak Oktober tahun lalu, majlis penasihat berkenaan tidak membuang masa dengan mengumpulkan kesemua anggotanya untuk mencari jalan penyelesaian untuk memulihkan ekonomi negeri Sabah,” katanya selepas kepada pemberita mesyuarat khas SEAC di sini hari ini.

SEAC diketuai oleh Tan Sri David Chu Sui Kiong sebagai Pengerusinya manakala Datuk Tan Kim Beng memegang jawatan Setiausaha SEAC.

Hajiji berkata rancangan itu harus dilaksanakan selepas keadaan menjadi stabil pasca-COVID-19.

Sementara itu, beliau mengumumkan tindakan pembangunan negeri Sabah atau Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan SMJ 2021-2025) yang kini dalam peringkat akhir dan akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada masa yang terdekat ini.

“Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ akan melibatkan sektor swasta dan di sinilah kita melihat SEAC sebagai antara platform untuk membawa perubahan dan mengubah ekonomi Sabah,” katanya.

Beliau juga membincangkan keperluan dan keutamaan Sabah untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

“Tujuan pertemuan itu adalah untuk menjalin kerjasama yang lebih besar dan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan. Antaranya adalah untuk meningkatkan aliran masuk pelaburan domestik dan asing di Sabah dan khususnya untuk membawa lebih banyak pelaburan baharu ke Sabah.

“Sasaran kami adalah untuk meningkatkan nilai pelaburan yang diluluskan, Sabah mencatat sebanyak RM11.7 bilion untuk suku pertama 2019 dan membuktikan bahawa Sabah akan terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik bagi pelabur asing,” katanya. 

Sumber: Bernama

Kerajaan Negeri Sabah Tubuh Majlis Penasihat Ekonomi


Content Type:

Duration:

Jumlah nilai jualan sektor pembuatan Malaysia berkembang sebanyak 2.1 peratus tahun ke tahun kepada RM119.9 bilion pada November 2020.

Berasaskan bulan ke bulan, nilai jualan tersebut merosot 1.7 peratus, demikian menurut Jabatan Perangkaan.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan tahun ke tahun yang direkodkan pada November 2020 itu dipacu oleh produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (10.5 peratus), produk peralatan elektrik dan elektronik (5.3 peratus) dan produk makanan, minuman dan tembakau (5.1 peratus).

Bagaimanapun, katanya, bilangan pekerja sektor pembuatan pada November 2020 berkurangan sebanyak 2.2 peratus tahun ke tahun kepada 2.2 juta orang berbanding 2.25 juta orang bagi tempoh sama 2019.

Selain itu, jumlah gaji dan upah yang dibayar adalah RM7.19 bilion iaitu susut 1.3 peratus atau RM91.8 juta berbanding tempoh sama sebelumnya.

Menurut Mohd Uzir, nilai jualan yang dicatatkan oleh setiap pekerja meningkat 4.5 peratus tahun ke tahun kepada RM54,599 manakala purata gaji dan upah setiap pekerja dalam sektor itu berjumlah RM3,275 pada November 2020.

Sumber: Bernama

Jualan sektor pembuatan berkembang


Content Type:

Duration:

Kerajaan membenarkan lima sektor ekonomi perlu beroperasi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan dilaksanakan untuk tempoh selama 14 hari mulai Rabu, 13 Jan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata sektor tersebut adalah pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran serta perladangan dan komoditi.

“Sektor ini dibenarkan beroperasi kerana peranannya menyokong kerja-kerja membekal keperluan asas seperti makanan, minuman, dan barangan keperluan rumah serta penjagaan diri, kelengkapan Peralatan Pelindung Peribadi (PPE), peranti perubatan dan ubatan kepada petugas kesihatan, aktiviti perdagangan antarabangsa, memastikan rantaian bekalan tidak terputus dan menyokong infrastuktur kritikal dan kerja-kerja kecemasan,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian sewaktu menyampaikan perutusan khas pelaksanaan PKP yang disiarkan secara langsung hari ini.

Menurutnya, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan yang dibenarkan berada di pejabat manakala keperluan kumpulan sokongan akan ditentukan majikan.

Jumlah pekerja yang ditentukan perlu mengambil kira pematuhan ketat prosedur operasi standard (SO) yang ditetapkan.

“Mana-mana majikan yang melanggar SOP dan menyebabkan berlakunya penularan jangkitan COVID-19 ditempat kerja, tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang termasuk menutup premis berkenaan,” tegasnya.

Perdana Menteri berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperincikan jenis-jenis perkhidmatan yang disenaraikan sebagai sektor ekonomi perlu.

Bagi sektor atau perkhidmatan yang tidak disenaraikan sebagai sektor ekonomi perlu, arahan bekerja dari rumah akan berkuat kuasa.

Semua majikan mesti mematuhi arahan untuk mengurangkan pergerakan dalam komuniti, terutamanya di kawasan yang berkepadatan tinggi, tambahnya.

Sumber: Bernama

Hanya lima sektor ekonomi perlu dibenarkan beroperasi semasa PKP – PM


Content Type:

Duration:

Advancecon Holdings Bhd akan menjana jumlah kapasiti sebanyak 993.96 kilowatt (kWp) tenaga solar di bawah skim Pemeteran Tenaga Bersih berikutan pemeteraian perjanjian pembelian tenaga dengan dua syarikat hari ini.

Anak syarikat milik penuhnya, Advancecon Solar Sdn Bhd, menandatangani perjanjian selama 21 tahun dengan Prominent Image Sdn Bhd dan Oon Corp Resources (M) Sdn Bhd, untuk mereka bentuk, membina, memasang, memiliki, mengendali serta menyelenggara sistem penjanaan tenaga solar fotovolta. 

”Sistem penjanaan tenaga solar fotovolta untuk Prominent Image (di Rawang, Selangor) akan mempunyai kapasiti penjanaan akhir sebanyak 342.32 kWp selepas semua kajian dan kerja reka bentuk yang konklusif dijalankan. 

”Tarikh operasi komersialnya dijangka bermula pada suku pertama 2021,” kata kontraktor perkhidmatan kerja tanah dan kejuruteraan awam itu dalam satu kenyataan hari ini. 

Sementara itu, Advancecon berkata pemasangan untuk dua premis Oon Corp di Senawang, Negeri Sembilan, akan mempunyai kapasiti generasi akhir sebanyak 651.64 kWp. 

”Operasi komersialnya dijangka bermula pada suku kedua 2021,” tambahnya lagi. 

Sumber: Bernama

Advancecon Memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga Dengan Dua Syarikat


Content Type:

Duration:

Inix Technologies Holdings Bhd (Inix) melalui anak syarikatnya, Inix Glove Manufacturing Sdn Bhd (Inix Glove) menandatangani perjanjian pajakan 10 tahun bagi tapak kemudahan sarung tangan di Beranang, Selangor.

Inix berkata, perjanjian pajakan itu adalah langkah seterusnya bagi kumpulan dalam segmen perniagaan pembuatan sarung tangan.

Pengarah Eksekutifnya, Siva Kumar Kalugasalam, berkata pada akhir tahun lalu, kumpulan menandatangani memorandum perjanjian dan sudah membayar 45 peratus deposit bagi memperoleh kepentingan dalam syarikat pengeluar sarung tangan, L&S Gloves Sdn Bhd (L&S Glove).

Beliau berkata, proses pembelian L&S Glove itu masih dijalankan ketika ini.

Ketika ini katanya, L&S Glove mempunyai dua barisan pengeluaran.

“Melalui perjanjian penyewaan baru, L&S Gloves dan Inix Glove akan dapat menambah dua lagi barisan pengeluaran pada bulan hadapan.

“Selepas itu, Inix akan menambah dua barisan pengeluaran setiap tiga bulan sehingga cukup jumlah keseluruhan 14 barisan pengeluaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Inix, Tan Sri Syed Mohd Yusof Syed Nasir, berkata langkah kumpulan memajak kilang dan memberi dua daripada 12 barisan pengeluaran tambahan menunjukkan komitmen menceburkan diri dalam pembuatan sarung tangan dan pengembangan 14 barisan pengeluaran dalam masa tempoh 12 bulan.

Ketika ini, pengeluaran sarung tangan L&S Gloves habis terjual dengan penghantaran dilaksanakan setiap hari.

L&S Glove mempunyai pesanan yang mencukupi untuk bertahan selama dua tahun akan datang.

Perancangan penambahan barisan pengeluaran itu akan menjadikan kapasiti pengeluaran lebih dari 110 juta keping sarung tangan lateks sebulan.

Pada 7 Disember tahun lalu, Inix menandatangani MoA dengan L&S Gloves untuk memperoleh 51 peratus kepentingan ekuiti.

Pengarah L&S Gloves, Teo Xiong Sheng, berkata pelaburan Inix dalam projek itu dianggarkan sekitar RM50 juta.

Xiong Sheng berkata, 97 peratus pengeluaran akan dieksport ke China dan India manakala bakinya untuk kegunaan domestik.

Syarikat juga katanya dalam perancangan meninjau pasaran baru seperti Eropah.

Sumber: Berita Harian

Inix, L&S Glove akan mula pengeluaran tambahan sarung tangan


Content Type:

Duration:

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia  (DPMM) bahagian Labuan akan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi wilayah persekutuan itu dengan kerjasama erat bersama pihak berkuasa tempatan dan dewan perniagaan lain.

Presiden DPMM Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata organisasi ini berpotensi untuk menjadikan sektor swasta enjin pertumbuhan pulau bebas cukai itu.

“DPMM Labuan, dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan dewan perniagaan lain boleh memainkan peranan penting dalam membangun dan mengembangkan peranan sektor swasta, bukan hanya dalam ekonomi tetapi juga dalam tadbir urus lebih meluas di pulau ini,” katanya kepada Bernama selepas mesyuarat jawatankuasa keahlian negeri DPMM Labuan, di sini, hari ini.

Beliau berkata Labuan perlu mengekalkan daya saingnya sebagai pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa Malaysia dan hab minyak dan gas serantau agar ia tidak ketinggalan.

“Justeru, DPMM Labuan sebagai sebuah dewan perniagaan perlu memainkan peranan penting untuk membantu membentuk ekonomi Labuan, membangunkan aktiviti perniagaan dan mewujudkan peluang pekerjaan…ini akan menjadi tumpuan kami bagi tahun ini,” katanya.

Terdahulu, Suhaili yang merupakan bekas Ahli Parlimen Labuan berkata dewan perniagaan bukan sekadar menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan, keamanan dan kemakmuran, tetapi juga membangunkan ekosistem keusahawanan inklusif.

“Saya percaya..kita perlukan dewan perniagaan yang diterajui oleh lelaki dan wanita yang berkebolehan dengan visi dan integriti,” katanya. 

Menurutnya, terdapat juga persatuan yang diterajui pemimpin dengan visi dan mereka mempelawa orang lain yang memiliki pelbagai kemahiran untuk membantu mereka mengembangkan persatuan mereka dan mereka berani untuk menerima perubahan dinamik dalam dunia hari ini.

“Para pemimpin ini menghargai sumbangan kakitangan mereka. Daripada menggunakan platform untuk mempromosikan diri mereka sendiri, mereka sebaliknya melabur dalam pekerja yang boleh memperjuangkan usaha sektor swasta,” katanya.

Sumber: Bernama

DPMM Labuan akan main peranan penting dalam pembangunan ekonomi tempatan


Content Type:

Duration:

VS Industry Bhd (VS), penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM200 juta bagi tahun kewangan 2021 untuk mengembangkan dan meningkatkan kapasiti dan keupayaannya.

Pengarah Urusannya, Datuk SY Gan, berkata meskipun 2020 adalah tahun yang sukar bagi syarikat itu berikutan cabaran pasaran yang belum pernah berlaku sebelum ini akibat pandemik COVID-19 dan isu-isu makroekonomi yang berterusan, namun ia berjaya memperoleh dua pelanggan baharu dari Amerika Syarikat (AS).

“Selain itu, kami juga menjangkakan tempahan kukuh daripada pelanggan sedia ada kami akan kekal dalam tempoh terdekat ini. Dengan ini dan pelanggan yang baru diperoleh, kapasiti sedia ada kami dijangka dipenuhi sepenuhnya pada 2021.

“Oleh itu, kami memperuntukkan kira-kira RM200 juta bagi perbelanjaan modal tahun kewangan 2021 untuk mengembang dan meningkatkan kapasiti dan keupayaan kami,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat agung tahunan ke-38 syarikat itu.

Pada masa hadapan, beliau berkata, VS mahu mengekalkan standard kecemerlangan dalam operasinya dan berusaha bagi serahan berkualiti tinggi tepat pada masa kepada pelanggan.

“Kami berusaha menambah baik prestasi dalam tahun kewangan fiskal baharu mencatatkan keuntungan bersih suku tahun terbaik yang pernah dicatatkan sebanyak RM66.7 juta dalam suku pertama 2021 dan disokong oleh pemulihan semula ekonomi global dan tempatan,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan kapasitinya, VS pada 14 Okt, 2020 memeterai Perjanjian Jual dan Beli dan Pembinaan dengan Ipark Development Sdn Bhd, anak syarikat AME Elite Consortium Bhd, untuk membeli enam bidang tanah dengan bangunan industri di Senai, Johor, dengan jumlah bayaran RM98.8 juta.

Pembelian itu dijangka selesai pada 3 Jun 2021.

Sumber: Bernama

VS Industry peruntuk RM200 juta perbelanjaan modal


Content Type:

Duration:

Duta Besar Jerman ke Malaysia yang baru dilantik, Dr Peter Blomeyer, mengekalkan sokongannya kepada kesinambungan perniagaan syarikat Jerman yang sedia ada di negara ini dan akan menggalakkan lebih banyak syarikat Jerman untuk mengembangkan operasi mereka di luar negara di sini.

Blomeyer, yang membuat kunjungan hormat ke Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), berkata Malaysia antara negara pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan paling maju dan matang di rantau ini.

Ekosistem ini memberikan kelebihan daya saing kepada syarikat Jerman untuk menempatkan projek mereka di Malaysia, beliau dipetik sebagai berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh MIDA hari ini.

Menurut Blomeyer, syarikat Jerman sedia ada yang beroperasi di sini melihat Malaysia sebagai hab yang menarik di Asia Pasifik.

Selain itu, katanya komuniti perniagaan Jerman menyambut baik keputusan mengecualikan keperluan pengiklanan untuk kedudukan, iaitu pelabur, pemilik syarikat, C-suite, ekspatriat untuk pejabat serantau dan pemindahan antara syarikat.

Blomeyer turut menyatakan hasrat untuk menjalin kerjasama dengan institusi latihan tempatan dalam meningkatkan keupayaan latihan dan kemudahan mereka dalam pembangunan modal insan dengan menawarkan program German Dual Vocational Training (GDVT) di Malaysia.

Jerman merupakan pelabur asing terbesar Malaysia dari Kesatuan Eropah.

Sehingga Jun 2020, sebanyak 461 projek pembuatan dengan penyertaan Jerman telah dilaksanakan dengan jumlah pelaburan sebanyak US$9.36 bilion (RM33.31 bilion).

Projek tersebut telah mewujudkan 47,277 pekerjaan.

Pengerusi MIDA Datuk Abdul Majid Ahmad Khan berkata beliau dan Blomeyer telah berbincang mengenai pelbagai perkara yang memerlukan perhatian daripada kedua-dua negara untuk meneruskan pergerakan barangan kepada pengguna walaupun terdapat kebimbangan mengenai pandemik.

“Komuniti perniagaan dari kedua-dua pihak perlu segera mengambil langkah dengan penerimaan kepada  prosedur operasi standard yang ketat.

“MIDA telah bekerjasama dengan kedutaan dan dewan perniagaan asing untuk memastikan pelabur mendapat bantuan kepada kelulusan dan akses yang diperlukan bagi membuat keputusan pelaburan dan perniagaan yang baik dalam pelbagai pasaran,” katanya.

Abdul Majid turut memberi taklimat kepada Blomeyer mengenai pelan MIDA untuk mengadakan misi perdagangan dan pelaburan serta lawatan kerja ke Eropah, termasuk Jerman, selepas kawalan sempadan dibuka kepada pelancong perniagaan.

Beliau turut menyatakan komitmen kerajaan untuk memudahkan kelancaran operasi perniagaan, termasuk pelaburan Jerman di Malaysia.

Beliau berkata komitmen yang kukuh daripada kedua-dua institusi penting untuk menarik pelaburan yang berkualiti untuk projek dengan nilai tambah tinggi, berteraskan modal dan berpaksikan kepada pengetahuan.

Sumber: Bernama

Malaysia kekal sebagai lokasi pelaburan kompetitif bagi syarikat Jerman – Duta


Content Type:

Duration:

Malaysia mempunyai tarikan sebagai destinasi untuk perniagaan dalam komuniti global dan kerajaan memahami kepentingan untuk menarik pelaburan, kata Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Walaupun menghadapi kesukaran pada 2020, katanya Malaysia terus menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI), mencatatkan RM109.8 bilion dari segi pelaburan yang diluluskan melibatkan hampir 3,000 projek dalam sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan dalam tempoh sembilan bulan pertama 2020.

Dalam aspek ini, katanya 59.5 peratus (RM65.3 bilion) daripada sektor pembuatan, 39 peratus (RM42.8 bilion) daripada sektor perkhidmatan dan 1.5 peratus (RM1.7 bilion) daripada sektor utama.

“Melalui Penjana Kapital, baru-baru ini kami memudahcara komitmen lapan pengurus modal teroka antarabangsa bersama-sama kerajaan untuk melabur sehingga RM1.57 bilion dalam syarikat pemula Malaysia dalam bidang fintech, edutech, agritech, mobiliti dan AI, yang dijangka menjana 1,800 pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya dalam ucapan pada Hari Korporat Tahunan Maya CGS-CIMB 2021 Ke-13, hari ini.

Tengku Zafrul merujuk kepada laporan oleh EY baru-baru ini yang memerihalkan Kuala Lumpur sebagai destinasi penting untuk komuniti perniagaan antarabangsa, mengambil kira faktor seperti kemudahan infrastruktur yang bersepadu, tenaga kerja yang pelbagai dan berkualiti, serta kesediaan negara untuk mengadaptasi teknologi digital.

Beliau turut merujuk kepada laporan Bloomberg yang meletakkan Malaysia di kedudukan kelima antara ekonomi membangun sebagai destinasi pelaburan dan perniagaan, melihat kepada potensi pemulihan ekonomi yang pesat, kedudukan fiskal dan kewangan yang stabil serta kemampuan untuk membendung dan mengatasi pandemik COVID-19.

Katanya kerajaan turut menyasarkan untuk menjana 500,000 pekerjaan pada tahun ini, yang juga merupakan antara agenda utama Belanjawan 2021.

“Bagi tujuan ini, selain daripada peruntukan RM3.7 bilion di bawah inisiatif JanaKerja, yang termasuk insentif pengambilan pekerjaan, peningkatan kemahiran dan latihan semula serta peluang pekerjaan dalam sektor awam dan antara GLC; penting untuk dinyatakan bahawa inilah kali pertama dalam sejarah Malaysia kerajaan telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri dengan penyertaan kementerian berkaitan seperti Kementerian Kewangan, Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Sumber Manusia.

“Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menjana peluang pekerjaan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata walaupun Malaysia mengalami semakan semula penarafan kredit negara oleh Fitch, permintaan untuk bon kerajaan tetap tinggi dengan purata nisbah bidaan kepada terbitan dicatatkan pada kadar 2.6 kali ganda untuk sukuk 10-tahun kerajaan yang diterbitkan pada awal Disember lepas.

“Ini adalah pengiktirafan kukuh terhadap usaha tindak balas krisis oleh kerajaan dan asas ekonomi negara yang masih kukuh,” katanya.

Bagaimanapun, katanya terdapat satu syarat utama bagi pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Peningkatan kadar jangkitan harian boleh menghalang usaha untuk mencapai unjuran bagi tahun 2021 dan selanjutnya. Oleh itu, kita mesti terus berwaspada. Kita telah memenangi pelbagai pertempuran, namun, kita perlu memenangi peperangan melawan COVID-19.

“Rakyat Malaysia dan sektor perniagaan tidak boleh leka. Marilah kita berdiri teguh menentang COVID-19, demi untuk kemenangan bersama,” katanya.

Sumber: Bernama

Kerajaan memahami kepentingan FDI – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Kedah bakal menerima pelaburan dalam industri kenderaan teknologi hijau dan peralatan pertahanan bernilai RM1.5 bilion tidak lama lagi.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata projek berimpak tinggi itu dijangka menjadikan Kedah sebagai sebuah hab pemasangan kenderaan teknologi hijau dan industri pertahanan yang utama di Asia Tenggara.

“Projek ini akan dikendalikan oleh dua buah syarikat besar iaitu Go Auto Group dan Flumen Holdings Sdn. Bhd. yang turut mempunyai rangkaian perniagaan di luar negara.

“Kedua-dua syarikat ini merupakan pemain utama dalam industri kenderaan cekap tenaga dan teknologi hijau serta terlibat dalam pembekalan peralatan pertahanan dan teknologi informasi,” katanya kepada pemberita selepas majlis Ramah Mesra Bersama Penghuni Perumahan Generasi Baharu Felda di Felda Laka Selatan, dekat sini pada Rabu.

Menurut Muhammad Sanusi syarikat Go Auto sememangnya sudah mempunyai operasi kilang automotif di Gurun sejak 2015.

Katanya, sehingga kini syarikat itu sudah mengeluarkan kenderaan cekap tenaga jenama Haval dan Borgward dari China, van komersial dengan teknologi Higer serta bas elektrik dengan jenama sendiri, Go Auto.

Muhammad Sanusi berkata pelaburan itu juga dijangka dapat menyediakan lebih 8,000 peluang pekerjaan baharu, di samping membawa masuk pemain industri automotif dan pertahanan terkemuka dunia.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kedua-dua syarikat berkenaan juga akan bergabung untuk memiliki 80 peratus saham dalam Darulaman FC Sdn. Bhd. (DFC) secara konsesi (5+5 tahun) tertakluk kepada perjanjian.

“Bagi pegangan saham dalam DFC mereka akan menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang akan dimeterai kelak.

“Pemilihan kedua-dua syarikat ini adalah berdasarkan rekod dan potensi kewangan, perancangan pembangunan perniagaan bola sepak yang mandiri serta membawa nilai dan aktiviti pelaburan yang berimpak tinggi kepada Kedah,” katanya.

Sumber: Bernama

Kedah bakal terima pelaburan dalam teknologi hijau dan pertahanan bernilai RM1.5 bilion


Content Type:

Duration:

Ekonomi Malaysia dijangka melonjak semula dengan lebih pesat lagi selepas negara berjaya mengawal dan meredakan pandemik COVID-19, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata jangkaan ini berdasarkan indeks sekatan pergerakan berkesan, apabila sebuah perunding antarabangsa mengunjurkan Malaysia adalah antara tiga negara yang mempunyai ruang paling banyak untuk mengawal dan meredakan pandemik COVID-19 pada 2021.

Beliau turut memetik laporan berita sebuah syarikat media antarabangsa, yang meletakkan Malaysia di tempat kelima sebagai destinasi tumpuan pelaburan dan perniagaan utama dalam kalangan ekonomi membangun sedunia bagi tahun 2021, mengatasi negara-negara seperti China, Filipina, India dan Indonesia.

“Ini berdasarkan, antara lainnya, potensi pemulihan ekonomi yang pesat, serta kedudukan fiskal dan kewangan negara yang stabil,” katanya ketika membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-35 hari ini.

Beliau turut memetik laporan oleh sebuah firma perunding antarabangsa baru-baru ini yang menyimpulkan bahawa Kuala Lumpur kekal menarik kepada komuniti perniagaan antarabangsa, mengambil kira faktor-faktor seperti kemudahan infrastruktur yang bersepadu, kepelbagaian dan mutu sumber manusia, serta kesediaan negara dalam mengadaptasi teknologi digital.

“Dalam kerajaan merangka perjalanan ekonomi negara pasca COVID-19 ini, semestinya sebarang keputusan perlu mengimbangi antara pengurusan sumber sedia ada, serta impak positif atau pengganda bagi jangka masa pendek dan panjang.

“Pendekatan ini akan terus diamalkan oleh Kementerian Kewangan dalam penggubalan setiap dasar,” katanya.

Sumber: Bernama

Ekonomi Malaysia Dijangka Melonjak Semula Dengan Lebih Pesat Selepas COVID-19 Berjaya Dikawal


Content Type:

Duration:

Ekonomi Asia-Pasifik (APAC) kini mendahului pemulihan di peringkat global daripada COVID-19, didorong oleh langkah-langkah diambil mengawal pandemik itu, pelonggaran sekatan perjalanan dan peningkatan dalam perdagangan global, kata Moody’s Analytics.

Ketua Pakar Ekonomi APAC, Steve Cochrane berkata pemulihan Asia diketuai China dan pemulihan China disebabkan oleh eksport yang berada pada kedudukan sama seperti sebelum penularan COVID-19.

“Kepantasan urus niaga perdagangan antarabangsa China dan peningkatan jumlah import memberi kesan kepada rantau APAC dengan Vietnam, Singapura, Taiwan, Malaysia, dan New Zealand mencatatkan eksport melebihi jumlah direkodkan setahun lepas pada bulan September” katanya dalam laporan bertajuk “APAC Outlook: Next Year Looks Better for Most of the Region” bertarikh 17 November, 2020.

Cochrane berkata walaupun hanya beberapa negara sahaja yang melaporkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat 13 November, 2020, antaranya ialah China, Indonesia, Malaysia dan Korea Selatan, masing-masing melaporkan pertumbuhan bagi tempoh suku ke suku.

“Ekonomi APAC telah melakukan yang terbaik untuk mengawal penularan COVID-19 dan ia kembali bersama pemulihan dalam pengeluaran industri serta perdagangan global.

“Selain itu, ia menikmati paras sokongan fiskal dalam kebanyakan negara yang menstabilkan ekonomi mereka dengan menjaga keadaan kewangan perusahaan dan isi rumah supaya mereka dapat menyumbang kepada pemulihan ekonomi,” katanya.

Mengenai aliran portfolio, Cochrane berkata para pelabur berkeyakinan terhadap China, manakala Malaysia dan Filipina juga mempunyai aliran hutang positif kumulatif bersih setakat ini bagi tahun 2020.

Beliau berkata seluruh rantau APAC tidak akan pulih sepenuhnya sehingga pemulihan ekonomi global selanjutnya memperluaskan rangkaian perdagangan global yang melibatkan lebih banyak barangan pengguna seperti automotid dan komoditi seperti minyak mentah serta petrokimia.

Beliau berkata pemulihan ekonomi di rantau APAC tidak akan lengkap sehingga pergerakan perjalanan dan pelancongan di peringkat antarabangsa aktif semula.

“Ini akan menjadi proses yang panjang ketika para pegawai melakukan penilaian terhadap langkah-langkah pencegahan kepada kemasukan pengembara dan pelancong dari negara asal mereka,” katanya.

Risiko-risiko lain di rantaui ini adalah kesanggupan kerajaan untuk terus memberikan menyediakan sokongan fiskal yang disasarkan kepada isi rumah dan industri yang terjejas akibat wabak itu, katanya.

Bagaimanapun beliau berkata Malaysia, Singapura, Australia dan Jepun memang memiliki program sokongan yang cukup besar, ia secara langsung mensasarkan rumah tangga dan industri yang menghadapi kesukaran.

Walaupun mudah menggambarkan kemampuan rantau APAC untuk mengawal pandemik itu, Cochrane berkata wujud kluster tempatan yang terus menjadi risiko di rantau itu, sebagai contoh kes wabak itu kini meningkat di Malaysia.

“Sekiranya tiada penularan semula jangkitan COVID-19, pelabur berkemungkinan akan memperkukuhkan pasaran baharu di rantau APAC, terutama sekiranya pasaran baharu di Eropah Timur, Amerika Latin dan Afrika terus menghadapi kesukaran dan kesan ekonomi akibat wabak itu,” katanya.

“Secara keseluruhan, Cochrane berkata unjuran asas ekonomi di rantau APAC akan mencatatkan pertumbuhan positif pada 2021, China, VIetnam dan Hong Kong akan menjadi menjadi antara negara yang dijangka merekodkan pertumbuhan yang pantas.

Sumber: Bernama

Ekonomi Asia-Pasifik mendahului pemulihan daripada COVID-19 – Moody’s Analytics


Content Type:

Duration:

Malaysia perlu meningkatkan pelaburan dalam aktiviti pemprosesan hiliran dan beralih untuk menghasilkan lebih banyak produk minyak sawit yang mempunyai nilai tambah.

Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Ravi Muthayah, berkata industri minyak kelapa sawit harus bergerak ke arah nilai tambah yang tinggi dan tidak menghindari risiko dalam keputusan perniagaan memandangkan peniaga tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada minyak sawit sebagai komoditi.

“Ini kerana minyak sawit sering mengalami ketidakstabilan dan ketidaktentuan harga,” katanya pada Pameran dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit Malaysia 2021 (POTS Digital 2021) hari ini.

Memandangkan syarat-syarat pasaran global yang lebih ketat, beliau berkata penting untuk menempatkan minyak sawit secara strategik di pasaran baharu, terutamanya di pasaran yang belum dimanfaatkan dan juga beberapa pasaran yang belum mengenali minyak sawit sebagai minyak yang boleh dimakan.

“Bagi mempromosikan lagi produk kita sebagai minyak yang lestari dan selamat untuk dimakan, kita mungkin boleh meneroka pasaran bukan tradisi di Timur Tengah, Afrika Utara dan Eropah Timur yang sebahagian besarnya masih belum dimanfaatkan,” katanya.

Bagaimanapun, Ravi berkata minyak sawit akan terus berdepan cabaran selagi terdapat minyak sayuran boleh dimakan lain yang menjadi pesaing.

Sehubungan itu, beliau berharap penggiat industri akan terus terlibat dalam usaha mengurangkan salah faham dan memberikan maklumat yang tepat mengenai minyak sawit, dari segi fleksibiliti, aspek kesihatan, sumbangannya kepada ekonomi dan hak pekerja.

“Hak pekerja adalah sama penting dan tidak harus diambil ringan. Ia penting bagi memastikan industri minyak sawit dipandang sebagai industri yang bertanggungjawab dan prihatin,” katanya.

Bertemakan ‘Minyak Sawit Malaysia – Bergerak Kehadapan Dalam Norma Baharu’, acara yang berlangsung secara maya selama empat hari itu yang bermula hari ini dianjurkan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Sebanyak 27 kertas kerja akan dibentangkan dalam seminar berkenaan, merangkumi topik seperti isu terkini dalam industri minyak sawit, cabaran dan kemajuan pasaran, cabaran kelestarian, aplikasi inovatif dalam industri, aspek pemakanan dan diet, serta perkembangan terkini pasaran dan unjuran harga.

Sumber: Bernama

Pelaburan dalam produk sawit perlu ditingkatkan


Content Type:

Duration:

ASEAN perlu berusaha menyediakan sambungan internet sejagat yang mencapai standard antarabangsa supaya ekonomi digital dapat berkembang pesat.

Pengasas Digital Marketing Rider, Shalini Subramaniam, berkata sehubungan itu penting untuk memastikan sistem pendidikan dapat memenuhi tuntutan digital dan jaringan keselamatan data bagi memacu pertumbuhan ekonomi digital.

Dalam wawancara eksklusif dengan Bernama baru-baru ini, beliau berkata Asia Tenggara berpotensi untuk muncul satu daripada ekonomi digital utama dunia kerana pasaran internet di rantau ini paling pantas berkembang.

Menurut laporan Jabatan Komunikasi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Internet telah menjangkau kebanyakan penduduk di Brunei, Malaysia dan Singapura, tetapi lebih 70 peratus rakyat Kemboja, Indonesia, Laos dan Myanmar masih agak ketinggalan dan tidak dapat menyertai sepenuhnya dalam ekonomi digital.

Ujar Shalini ketersambungan internet dan menambah akses ke rangkaian jalur lebar penting untuk meningkatkan peluang bagi individu, syarikat dan usahawan digital, terutamanya dari ASEAN.

Beliau berpendapat halangan utama seperti kurangnya kesedaran digital dan kepercayaan terhadap teknologi itu perlu ditangani terlebih dahulu supaya perusahaan kecil dan sederhana (SME) dapat mencapai potensi penuh dalam akses dan penggunaan teknologi digital.

“Penting bagi ASEAN untuk mengenal pasti perkhidmatan jalur lebar yang boleh dipercayai selain memperkuat pemboleh utama pertumbuhan Internet. Membentuk pasukan petugas akan membantu mengenal pasti perkara penting ini untuk membentuk dan menyokong pelaksanaannya,” katanya.

Ditanya adakah undang-undang khusus diperlukan untuk membantu dan mengatur ekonomi digital di Malaysia, Shalini berkata ketika kerajaan terus mendukung di samping menumpukan usaha membangun ekonomi digital, dasar lebih spesifik untuk memantau serta mengawasi transaksi dalam talian untuk menjamin privasi pelanggan, kepercayaan dan keselamatan perlu diperkenalkan.

Menurut Malaysia Digital Marketing Statistics 2020, rata-rata rakyat Malaysia menghabiskan masa menggunakan internet kira-kira lapan jam, lima minit sehari.

“Ia menunjukkan lebih banyak perniagaan akan menggunakan digitalisasi, yang bermaksud ekonomi digital Malaysia akan terus berada pada momentum pertumbuhan,” katanya.

Malaysia akan mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Yang Pertama (ADGMIN1) secara telesidang dari 21 hingga 22 Januari.

Bertemakan ‘ASEAN: A Digitally Connected Community’, mesyuarat itu bertujuan memantapkan jalinan kerjasama negara ASEAN, ke arah pembangunan ekosistem digital sebagai tunjang dalam rancangan pembangunan pasca COVID-19.

ASEAN terdiri Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, Brunei, Laos, Myanmar, Kemboja dan Vietnam.

Sumber: Bernama

ASEAN perlu pastikan ketersambungan internet capai standard antarabangsa


Content Type:

Duration:

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia IHS Markit meningkat kepada 49.1 pada Disember 2020 daripada 48.4 pada November 2020, yang menunjukkan penambahbaikan dalam sektor pembuatan di negara ini.

Bacaan terkini itu adalah yang tertinggi sejak Ogos 2020, menurut IHS Markit dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, ia berkata gangguan berterusan akibat pandemik COVID-19 menyaksikan banyak syarikat mengalami masalah penyumberan dan penerimaan bahan mentah, sekali gus menyebabkan tempoh penghantaran lebih panjang selain peningkatan mendadak kos input.

IHS Markit berkata, data pada Disember menunjukkan bahawa output dan pesanan baharu kekal perlahan disebabkan permintaan terus terjejas akibat impak pandemik COVID-19.

Permintaan asing bagi barangan buatan Malaysia turut menguncup meskipun beberapa syarikat melaporkan kemasukan semula pesanan daripada pasaran di luar Asia.

Katanya, walaupun jumlah pengeluaran dan jualan adalah lebih rendah pada bulan terakhir 2020, tahap pekerjaan secara umumnya adalah stabil buat kali pertama sejak Mei.

“Secara positif, pengeluar barangan Malaysia menunjukkan kestabilan tahap pekerjaan yang lebih luas.

“Persediaan untuk pesanan pada masa akan datang memerlukan kapasiti tambahan, mendorong tinjauan indeks pekerjaan mencatatkan paras tertinggi dalam masa sembilan bulan pada Disember,” katanya.

Dari segi kos input, IHS Markit berkata ia meningkat selama tujuh bulan berturut-turut pada Disember, mencerminkan peningkatan kos bahan mentah dan logistik, terutama kos penghantaran.

“Kadar inflasi kos input meningkat amat cepat dalam tempoh tiga tahun lalu dan secara keseluruhannya mendadak,” katanya.

Ia berkata, pengeluar melepaskan sebahagian daripada kos yang lebih mahal itu kepada pelanggan menerusi bayaran output lebih tinggi.

Sementara itu, paras inventori jatuh pada Disember 2020 berikutan beberapa perniagaan tidak mahu menyimpan barangan sebelum dan selepas pengeluaran, manakala selebihnya melaporkan kelewatan bekalan telah menjejaskan usaha mengisi semula, kata IHS Markit.

Menurutnya, pengeluar Malaysia akan optimis namun berhati-hati terhadap unjuran output pada tahun akan datang.

“Meskipun syarikat terus mencatatkan sentimen positif, keyakinan berkurangan dengan ketara sejak Ogos.

“Anggota panel mengaitkan unjuran positif ini dengan harapan pemulihan kepada permintaan domestik dan luaran yang akan mendorong tahap pengeluaran untuk tempoh 12 bulan akan datang,” katanya.

PMI Pembuatan Malaysia IHS Markit adalah berdasarkan data yang disusun IHS Markit daripada respons kepada soal selidik yang dihantar kepada pengurus pembelian, membabitkan kira-kira 400 pengeluar.

Indeks adalah berbeza di antara 0 dan 100 dan bacaan melebihi 50 menunjukkan peningkatan keseluruhan manakala di bawah 50 ialah penurunan keseluruhan.

Sumber: Berita Harian

Sektor pembuatan tunjuk isyarat pemulihan


Content Type:

Duration:

Belanjawan 2021 Malaysia akan mengurangkan kemerosotan ekonomi, tetapi pemulihan ekonomi akan bergantung kepada perdagangan global, menurut Moody’s Analytics.

Ahli Ekonominya, Denise Cheok berkata sekatan pergerakan di Eropah dan Amerika Syarikat mewujudkan risiko penurunan yang ketara, walaupun terdapat vaksin.

“Pengedaran vaksin akan mengambil masa dan perbelanjaan pengguna dijangka hanya akan meningkat secara beransur-ansur,” katanya dalam nota hari ini.

Belanjawan 2021 Malaysia adalah yang terbesar dalam sejarah negara, dengan sebanyak RM322.5 bilion diperuntukkan untuk tahun semasa.

Mengenai eksport negara, katanya Malaysia akan menaikkan cukai eksport ke atas minyak sawit mulai Januari 2021.

“Ini dijangka meningkatkan eksport pada Disember berikutan pembeli daripada permintaan beban hadapan India dan China,” katanya.

Beliau berkata eksport pertanian Malaysia pada November didorong oleh permintaan yang tinggi terhadap minyak sawit dan produk yang berkaitan.

Sementara itu, katanya jualan runcit, yang rendah sejak suku kedua tahun lepas, dijangka kekal berada di bawah paras sebelum pandemik COVID-19 hingga pertengahan tahun ini.

Cheok berkata sentimen pengguna dan pelabur terjejas pada November selepas lonjakan kes COVID-19 dicatatkan yang membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan separa di kebanyakan negeri.

Sumber: Bernama

Pemulihan ekonomi Malaysia bergantung kepada perdagangan global – Moody’s Analytics


Content Type:

Duration:

K-Star Sports Ltd, yang tersenarai di Bursa Malaysia, akan bekerjasama dengan penggiat industri sarung tangan baharu, AT Systematization Bhd (ATS) bagi mempromosikan, memasarkan dan menjual sarung tangan perubatan yang dihasilkan ATS ke China dan Taiwan. 

Syarikat kasut dan pakaian sukan itu, yang beribu pejabat di Wilayah Fujian China, berkata anak syarikat milik penuhnya K Star Healthcare Sdn Bhd hari ini menandatangani perjanjian pembelian sementara bersama anak syarikat ATS, AT Glove Engineering Sdn Bhd. 

K-Star berkata ia mempunyai rangkaian pangkalan jualan yang luas di China dan Taiwan.

“Masa pendahuluan yang lebih cepat untuk penghantaran oleh ATS berbanding pemain yang ada sekarang juga memberi kelebihan kepada kedua syarikat untuk memanfaatkan pasaran China,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Pengerusi Eksekutif K-Star Ding Jianping berkata permintaan terhadap sarung tangan getah masih kekal kukuh meskipun terdapat vaksin COVID-19.

“Ini kerana peningkatan kes jangkitan tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan. Selain daripada itu, pengedaran vaksin secara besar-besaran dan kesannya akan mengambil masa.

“Sarung tangan tetap diperlukan untuk pengujian dan pemberian vaksin,” katanya. 

AT Glove akan membantu K-Star dalam mendapatkan lesen eksport atau import yang diperlukan atau kebenaran lain yang perlu untuk mengeksport dari Malaysia ke China dan / atau Taiwan, kata Ding.

Sementara itu, Pengarah Urusan ATS Choong Lee An berkata sejak pembukaan kilang pengeluaran sarung tangan pada akhir Disember 2020, ATS menerima banyak pertanyaan mengenai produk mereka.

“Sebagai pemain baharu dalam industri ini bermakna kami harus mempunyai masa penghantaran yang lebih pantas, berbanding mendapatkannya daripada pemain sedia ada. Selain itu, produk kami mendapat kelulusan Sijil CE Eropah, yang memberikan keyakinan kepada para pelanggan kami,” kata Choong.

Sumber: Bernama

K-Star Sports, AT Systematization Bekerjasama Pasarkan Sarung Tangan Ke China, Taiwan


Content Type:

Duration:

ITRAMAS Corporation Sdn Bhd terus optimis terhadap prospek perniagaannya dan menyasarkan pendapatan lebih tinggi sebanyak RM300 juta pada tahun ini daripada RM250 juta sebelum ini, untuk segmen pelbagai, terutamanya teknologi hijau.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lee Choo Boo berkata sasaran itu didorong oleh beberapa projek yang sedang dilaksanakan dan yang akan datang di peringkat tempatan dan antarabangsa di United Kingdom, Vietnam, Amerika Selatan, Afrika dan Timur Tengah.

“Dengan tiga loji tenaga fotovoltaik solar di Melaka, Terengganu dan Kedah yang kini beroperasi dengan pengeluaran yang lebih tinggi daripada jangkaan antara enam dan lapan peratus, kami menjangka segmen solar menyumbang kira-kira 60 peratus kepada pendapatan tahun ini manakala baki berada di bawah bahagian bandar pintar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

ITRAMAS yang ditubuhkan pada 1999, adalah sebuah syarikat pembangunan infrastruktur hijau dan lestari di Malaysia. Berpusat di Kuala Lumpur, ia telah berkembang kepada pelbagai sektor merangkumi tenaga boleh diperbaharui berskala besar, cekap tenaga, bandar pintar dan perkhidmatan pembuatan elektronik.

Selama beberapa tahun, syarikat berjaya melaksanakan projek hijau dan lestari bernilai hampir RM2 bilion, dan kini merupakan pengeluar tenaga solar terbesar di Malaysia dengan beroperasi pada 200MWp.

Mengenai permintaan terhadap tenaga solar, Lee berkata terdapat trend yang semakin meningkat dalam sektor komersial dan perindustrian tetapi minat yang rendah di kawasan kediaman.

“Solar kini semakin mendapat perhatian di negara ini. Dari aspek perniagaan, kita dapat melihat lebih 100 syarikat membida tender Solar Berskala Besar Pusingan Keempat, yang amat kompetitif.

“Sebagai penggiat industri, kami merancang untuk mempromosikan dan memasuki kawasan kediaman untuk tenaga solar.

“Kami yakin dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kawasan kediaman akan menjadi segmen utama apabila masyarakat lebih menyedari mengenai teknologi hijau; ia dapat menjimatkan wang, dan merupakan peningkatan dalam teknologi penyimpanan,” katanya.

Mengenai masa depan, Lee berkata sektor solar akan menjadi sektor utama, terutamanya dalam tempoh semasa apabila tidak banyak projek infrastruktur yang dijalankan berikutan pandemik dan solar dilihat semakin banyak.

Mengenai perkhidmatan cekap tenaga yang merangkumi penyelidikan dan pembangunan produk LED, pembuatan dengan nilai tambah tinggi, operasi dan penyelenggaraan untuk lampu awam, katanya semua ini untuk memenuhi keperluan setiap pelanggan.

“Kami juga giat melancarkan telefon pintar, lampu pintar yang merupakan sebahagian daripada infrastruktur 5G, lampu yang dihubungkan dan lampu jalan tenaga solar.

“Ini akan membolehkan kami membawa tenaga hijau dan lampu jalan cekap tenaga ke kawasan luar bandar apabila anda tidak memerlukan infrastruktur kabel elektrik berikutan ia dapat menampung sendiri,” katanya.

Penerima Anugerah Tadbir Urus Baik Global – Anugerah Inovasi dan Penyelesaian Hijau 3G 2020, ITRAMAS mempunyai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Pulau Pinang, memberi tumpuan kepada R&D produk, pembiayaan dan pelaburan projek, pembuatan produk, pembangunan projek, reka bentuk dan pemasangan serta operasi dan penyelenggaraan.

“Ini antara penyelesaian kami untuk menyokong penggunaan tenaga lestari dan boleh diperbaharui. Dalam mencapai matlamat itu, kami akan terus menyokong pertumbuhan teknologi hijau sebagai model pembangunan baharu untuk meningkatkan kemampanan pelanggan dan juga negara,” katanya.

Sumber: Bernama

ITRAMAS sasar 60 peratus pendapatan daripada segmen solar


Content Type:

Duration:

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan memfokuskan usaha mempercepatkan penyediaan kemudahan capaian internet bagi kawasan ‘last mile’ atau pedalaman di beberapa kawasan Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, tahun ini.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata walaupun pelbagai inisiatif menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan namun usaha penyediaan infrastruktur capaian internet harus dipercepatkan.

Beliau berkata sasaran KKMM adalah untuk memastikan kira-kira empat peratus kawasan yang masih tiada capaian internet di Pantai Timur dan beberapa lokasi lain di Semenanjung serta pedalaman Sabah dan Sarawak, mendapat kemudahan komunikasi itu.

“Kemudahan internet yang perlu disediakan hendaklah praktikal, misalnya rumah panjang di Sarawak tidak sesuai untuk menggunakan gentian optik atau jalur lebar, tetapi sesuai dengan menggunakan satelit.

“(Di Sarawak) Saya beritahu MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), kita perlu segera cadangkan, tentukan dan sediakan jenis satelit apa yang sesuai, jangan tunggu cadangan itu datang sendiri,” katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan program bual bicara Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di RTM 1, pagi tadi.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata KKMM menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut menyasarkan usaha memperluaskan jumlah pekerjaan nilai tinggi dalam sektor ekonomi gig.

Jelasnya, ketika ini perkembangan pekerjaan nilai tinggi dalam sektor ini hanya pada paras 20 peratus dan kementerian itu menyasarkan peningkatan kepada sekurang-kurangnya 40 peratus pada tahun ini.

“Cabaran kita dan MDEC sekarang bukan untuk menarik jumlah pekerja ekonomi gig, kerana jumlah mereka memang ramai, sebaliknya kita mahu menambah peluang pekerjaan nilai tinggi sektor itu,” katanya.

Sumber: Bernama

KKMM fokus percepat penyediaan internet kawasan pedalaman tahun ini – Saifuddin


Content Type:

Duration:

Pemaju gaya hidup, A Rock Group Holdings Bhd giat mencari peluang pertumbuhan dengan bergabung atau mengambil alih perniagaan baharu untuk memastikannya terus berkembang dan menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi selepas pandemik.

Pandemik telah menjadi faktor yang mengganggu sektor pelancongan, yang bermakna terdapat peluang untuk dimanfaatkan, kata Marco Hong, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah A Rock Limestone Bhd, anak syarikat A Rock Group. 

Kami yakin untuk setiap krisis, akan terdapat pengubah pasaran dan pemimpin. Kami mencari usahawan dan pelabur yang mempunyai pemikiran yang sama untuk mewujudkan nilai melalui projek kami,” katanya kepada Bernama.

Oleh itu, syarikat menyasarkan industri perhotelan dan pelancongan berdasarkan perubahan dalam tata laku perbelanjaan pengguna dan struktur pasaran pasca COVID-19, kata Yan Ng, CEO dan Pengarah A Rock Coral Reefs Bhd, satu lagi anak syarikat A Rock Group.

“Kami gembira projek pertama kami, A Rock Coral Reefs (resort konsep Maldives) di Langkawi telah bersedia untuk memberikan perkhidmatan kepada bukan hanya pasaran tempatan tetapi juga antarabangsa. Kami juga telah memulakan projek kedua — A Rock Limestone, berikutan kami yakin dengan potensi Langkawi,” katanya.

A Rock Limestone adalah konsep resort yang direka mengikut destinasi percutian terkenal di dunia di Santorini, Greece.

“Selain itu, pandemik akan berakhir dengan adanya vaksin dan pasaran pelancongan akan pulih. Dalam tempoh sukar ini, walaupun kebanyakan syarikat sedang berusaha untuk bertahan, kami terus ke hadapan,” kata Ng.

Selain projek di Langkawi, dengan sumber kewangan, kumpulan ini dapat membantu mereka yang terjejas teruk oleh pandemik, katanya.

“Kami mencari rakan strategik dengan hartanah dan perkhidmatan dalam sektor pelancongan. Alasan kami dapat melakukan ini ialah berdasarkan kekuatan kewangan kami.

“Bersama-sama, kami yakin kumpulan kami dan rakan perniagaannya akan menjana keuntungan melalui campuran aliran pendapatan yang stabil, bermula daripada perniagaan runcit, perdagangan dan pengurusan hotel,” kata Ng.

Sumber: Bernama

A Rock Group sasar peluang ambil alih bagi kembangkan kedudukan


Content Type:

Duration:

wpChatIcon