2021 Archives - Page 4 of 33 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelan Induk Pelaburan Negeri Johor 2030 dijangka siap akhir 2021

Pelan Induk Pelaburan Negeri Johor (PIPNJ) 2030 yang akan menjadi asas pemacuan agenda pelaburan Johor pada masa hadapan, dijangka siap menjelang akhir 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Datuk Mohd Izhar Ahmad berkata pelan tersebut merupakan dokumen rujukan yang komprehensif untuk memacu agenda pelaburan Johor bagi tempoh 10 tahun akan datang.

“Ia amat penting terutama tempoh pasca-COVID-19. Pelan ini dijangka siap pada hujung tahun ini,” katanya pada hari kedua persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Chen Choon (PH-Jementah) dan Jimmy Puah (PH-Bukit Batu) mengenai inisiatif dan usaha kerajaan dalam membantu pelabur di Johor yang turut terkesan berikutan pandemik.

Ketika membentangkan Belanjawan Johor 2022 pada Khamis lepas, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata PIPNJ 2030 yang akan dilancarkan dalam masa terdekat, akan menjadi asas kepada usaha untuk menjadikan Johor sebagai destinasi pelaburan utama di Asia Tenggara.

Mohd Izhar berkata kerajaan negeri telah dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengekalkan pelaburan sedia ada selain membantu para pelabur yang terkesan dalam usaha memastikan Johor terus dikenali sebagai destinasi pelaburan menarik dan mesra pelabur.

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah sesi libat urus dengan pelbagai persatuan perniagaan bagi mendapatkan maklum balas sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap pemasalahan yang dihadapi pihak industri ketika pandemik COVID-19, katanya.

Beliau berkata mengikut laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Johor mencatatkan pelaburan dengan nilai keseluruhan RM6.56 bilion dalam tempoh enam bulan pertama 2021, yang diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama.

Jumlah pelaburan tersebut dijangka boleh menyediakan sebanyak 7,860 peluang pekerjaan, katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tan mengenai jumlah pelaburan dan jumlah peluang pekerjaan di Johor bagi enam bulan pertama tahun ini.

Sumber: Bernama

Pelan Induk Pelaburan Negeri Johor 2030 dijangka siap akhir 2021


Content Type:

Duration:

Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) disaran mengambil peluang untuk memanfaatkan sumber yang disediakan kerajaan sebagai langkah peralihan daripada perniagaan konvensional kepada dalam talian, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pelbagai inisiatif telah dilaksanakan dan diperuntukkan untuk membantu usahawan mengetengahkan perniagaan mereka misalnya menerusi Bajet 2022 yang menumpukan perbelanjaan kepada insentif bagi mendorong adaptasi teknologi digital PMKS.

“Antaranya, RM25 juta diperuntukkan kepada Halal Development Corporation (atau HDC) untuk program Penjenamaan Digital Produk Halal PMKS dan program Peningkatan Kebolehpasaran Produk Halal PMKS.

Selain Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) yang dilancarkan pagi tadi, sebanyak RM200 juta turut diperuntukkan untuk inisiatif Skim Geran Pendigitalan PKS dengan RM50 juta dikhususkan untuk usahawan mikro Bumiputera di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Pemerkasaan Pendigitalan  PMKS di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan timbalannya Datuk Zahidi Zainul Abidin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Mengulas lanjut, beliau berkata menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), salah satu fokus utama adalah menyokong perkembangan pertumbuhan kesemua sektor ekonomi, terutamanya mempercepatkan transformasi PMKS.

Katanya, melalui RMK-12 juga, PMKS dijangka dapat menyumbang sebanyak 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dan 25 peratus daripada jumlah eksport pada tahun 2025.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan sehingga suku ketiga 2021, lebih daripada 200,000 PMKS telah menerima guna e-dagang dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,759 PMKS telah berjaya mengeksport barangan dan menerokai pasaran baharu.

“Ketika kerajaan menutup premis akibat  COVID-19 yang mana perniagaan tidak boleh dijalankan secara bersemuka, ramai dalam kalangan peniaga termasuk yang berada di bandar kecil dan luar bandar beralih menggunakan Internet (untuk memasarkan produk) dan hasil perniagaan mereka bertambah,” katanya.

Dalam usaha memperkasakan bidang pendigitalan, Ismail Sabri berkata kerajaan sedang mempertingkatkan capaian Internet di seluruh negara melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dengan menyasarkan 100 peratus kawasan berpenduduk mendapat liputan 4G pada 2025.

“Kerajaan sedang memastikan setiap kawasan, setiap tempat di seluruh negara termasuk kawasan yang jauh di dalam  akan mendapat capaian Internet (4G) sepenuhnya pada hujung tahun 2025,” katanya.

Sementara itu, Program Pemerkasaan Pendigitalan PMKS Kebangsaan 2021 yang bermula hari ini sehingga Selasa dianjurkan oleh MYDIGITAL Corporation bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Ia bertujuan memberi maklumat kepada PMKS mengenai segala bantuan, insentif dan penyelesaian digital yang tersedia dalam usaha membantu mendigitalkan perniagaan usahawan. 

Sumber: Bernama

Usahawan PMKS disaran ambil peluang sumber disediakan kerajaan – PM


Content Type:

Duration:

Usahawan terkemuka Malaysia Datuk Seri Vijay Eswaran menggesa pengintegrasian ekonomi di Asia, sambil menegaskan bahawa Asia perlu membangun sebagai blok perdagangan untuk menjadi kuasa yang kukuh.

Ia berikutan ekonomi global akan beralih daripada Barat ke Timur ketika pasca pandemik dan “masa depan akan menjadi sebagai Milenium Asia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bercakap pada Mesyuarat Tahunan Horasis Asia selaku perhimpunan utama di Asia bagi pemimpin kanan perniagaan dan kerajaan di rantau ini, baru-baru ini, Vijay berkata negara penggerak di Asia merangkumi India, China, ASEAN termasuk Malaysia, selain Jepun, Taiwan dan Korea Selatan.

“Ini adalah hab serantau, yang pada asasnya penting, yang mana itulah sebabnya ‘kita perlu memberi lebih penekanan kepada kawasan berhampiran kita dan Asia perlu membangunkan falsafahnya sendiri untuk menangani cabaran dalam melangkah ke hadapan,” katanya.

Mengulas mengenai topik ‘Membentuk Asia Baharu’ Vijay yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan QI, sebuah konglomerat di Asia menyifatkan ia bakal menjadi cabaran sebenar dalam membentuk ekonomi global ketika semua pihak sedang menuju norma baharu pasca pandemik.

Beliau berkata separuh daripada penduduk dunia menetap di Asia dengan ekonomi yang berkembang lebih pantas dan semakin saling berkait dalam aspek kebudayaan, perniagaan dan perdagangan.

Blok perdagangan mega baharu berpotensi untuk membantu mendorong pelaburan ekoran krisis COVID-19 dan menyediakan rangka kerja bagi kerjasama serantau yang seterusnya dalam situasi ketegangan perdagangan global.

“Kita perlu mengakui bahawa Asia akan menjadi peneraju atau sekurang-kurangnya menyumbang separuh daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dunia menjelang 2040 dan ini merupakan perkembangan yang penting,” kata Vijay yang menyokong laporan penyelidikan oleh McKinsey.

“Saya berpandangan, apa yang telah dilaksanakan China melalui Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) adalah langkah sangat kukuh dalam membawa bersama negaranegara merentasi dunia ketiga, dan terutamanya di ASEAN, ini telah mendapat perhatian dan disambut baik.

“Ia telah mengalihkan impak China kepada dunia dan membangunkan peluang pelaburan baharu, membina pasaran eksport, dan merangsang pendapatan dan penggunaan domestik rakyat China, yang pada akhirnya memacu mereka untuk menjadi kuasa ekonomi pada hari ini,” katanya.

Mengenai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), beliau berkata PKS bakal menjadi masa depan untuk pasca pandemik.

Beliau menegaskan kesihatan ekonomi negara banyak bergantung kepada kelangsungan perniagaan kecil dan sederhana, dan sehubungan itu, golongan itu memerlukan perlindungan terbesar dan skim kredit kewangan untuk meneruskan kelangsungan akibat pandemik.

“PKS adalah kuasa sebenar pada masa akan datang. PKS paling terjejas semasa pandemik dan PKS perlu dibangunkan semula.

“Tidak dinafikan bahawa firma-firma besar adalah penting untuk membawa masuk pelaburan, pelaburan langsung asing ke pelbagai negara merentasi Asia, namun, kita perlu menumpukan kepada PKS kerana mereka merupakan enjin pertumbuhan dan mereka perlu bangkit semula, bermula semula dan diperkasa semula,” katanya.

Vijay turut menegaskan berhubung kepentingan untuk menggalakkan keusahawanan dan menurutnya pandemik telah mencetuskan lambakan usahawan baharu yang memanfaatkan penerimaan pengguna terhadap ekonomi digital.

Diadakan di platform persidangan digital Horasis pada Jumaat, acara itu menghimpunkan lebih 400 pemimpin perniagaan dan politik terkemuka dari seluruh Asia dan dunia untuk membincangkan kaedah menangani cabaran ekonomi, politik dan sosial akibat COVID-19.

Kumpulan QI adalah ahli aktif Horasis, kumpulan pemikir antarabangsa sejak 2016.

Sepanjang berlangsungnya Mesyuarat Horasis Asia 2021, perbincangan tertumpu ke arah memulakan semula aktiviti ekonomi, bagaimana pekerjaan di rantau ini pada masa akan datang, dan bagaimana pembangunan yang lebih mampan akan berlaku di Asia dalam dunia pasca koronavirus.

Sumber: Bernama

Asia mampu jadi kuasa kukuh pasca pandemik


Content Type:

Duration:

SilTerra Malaysia Sdn Bhd telah memeterai perjanjian pembekalan dan pembelian wafer berbilang tahun dengan ILI Technology Corp (Ilitek), sebuah firma yang hanya mereka bentuk dan menjual kawalan sesentuh dan litar bersepadu (IC) pemacu yang berpangkalan di Taiwan.

Di bawah perjanjian itu, SilTerra akan bekerjasama dengan Ilitek dalam pembangunan teknologi dan fabrikasi wafer yang menyasarkan kawalan sesentuh dan IC pemacu paparan untuk pasaran industri dan peralatan rumah.

“Ilitek telah menjadi rakan kongsi teknologi dan perniagaan jangka panjang SilTerra sejak 2006,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kedua-dua syarikat akan terus bekerja rapat dalam pembangunan produk dan pengeluaran besar-besaran berdasarkan platform teknologi voltan tinggi 0.16um dan 0.13um SilTerra.

Teknologi voltan tinggi ialah salah satu teknologi pemboleh yang paling berjaya dan penting daripada SilTerra untuk pasaran IC pemacu paparan global bagi panel kecil yang boleh dipakai dan peranti mudah alih, panel sederhana untuk monitor dan panel besar untuk aplikasi TV.

Pengarah Urusan Kumpulan Dagang NeXchange Bhd (DNeX) Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, yang juga Pengerusi Eksekutif SilTerra, berkata perjanjian itu menandakan satu peristiwa penting dalam aspirasi SilTerra untuk menjadi peneraju bertaraf dunia dalam pasaran semikonduktor global dari segi kecemerlangan operasi dan kemajuan teknologi.

Beliau berkata perjanjian itu akan membantu SilTerra mendapatkan pemuatan wafer yang stabil, memastikan pertumbuhan yang mampan untuk syarikat pada masa hadapan.

Selain itu, perkongsian itu juga akan meliputi teknologi bersama dan pembangunan pasaran untuk mengembangkan perniagaan dan bahagian pasaran SilTerra dalam pasaran industri kawalan sesentuh, tambahnya.

SilTerra ialah pelaburan strategik DNeX, dan Beijing Integrated Circuit Advanced Manufacturing dan High-End Equity Investment Fund Center (Limited Partnership) (CGP Fund).

Baru-baru ini, SilTerra mengumumkan bahawa syarikat itu memeterai perjanjian pembekalan dan pembelian wafer berbilang tahun jangka panjang dengan ChipOne Technology (Beijing) Co Ltd bernilai lebih AS$400 juta.

Sumber: Bernama

SilTerra menandatangani perjanjian dengan ILI Technology Corp dari Taiwan


Content Type:

Duration:

Syarikat-syarikat Malaysia dan Bangladesh digesa untuk melihat kemungkinan menerima perkongsian baharu dalam bersama-sama membangunkan dan menggiatkan semula industri pakaian yang telah terjejas teruk disebabkan pandemik COVID-19.

Setiausaha Agung Bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Bangladesh-Malaysia (BMCCI) Datuk Goonahalam Subramaniam berkata kerajaan Malaysia dan Bangladesh boleh mencari jalan memudahkan rancangan untuk bersama-sama mewujudkan hab pembuatan pakaian di Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha menggiatkan semula industri pakaian.

“Hab itu harus diwujudkan di negeri yang mempunyai perkhidmatan logistik yang berhubung dengan baik dan projek itu, seterusnya, boleh meningkatkan pembangunan ekonomi di negeri yang dipilih,” katanya kepada Bernama.

Goonahalam berkata pihaknya bersedia bekerjasama dengan agensi perdagangan seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam mencari lokasi yang sesuai untuk projek sektor berintensifkan buruh, memandangkan jumlah peluang pekerjaan yang boleh disediakan dan industri menjadi kunci kepada enjin bagi pertumbuhan dan pekerjaan.

“Hab pakaian di Malaysia harus dilengkapi dengan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama, dan antara lainnya pusat rawatan sisa dan reka bentuk,” katanya.

Beliau juga berkata Malaysia telah menjadi pencetus (trendsetter) global dalam bidang tekstil dan pakaian, sambil menambah pereka Malaysia telah mencipta pakaian yang dipakai oleh selebriti, ahli kerabat dan juga ketua negara.

Sebaliknya, beliau berkata ketersediaan luas tenaga kerja kos rendah dan rekod prestasi yang terbukti dalam pengeluaran dan eksport tekstil meletakkan Bangladesh sebagai hab pembangunan industri pakaian serantau di Asia.

“Melihat kepada keupayaan ini, hab pembuatan tekstil di Malaysia boleh direalisasikan melalui kemungkinan jalinan perniagaan antara kedua-dua negara dalam usaha membina ekosistem yang lebih kukuh dan komprehensif yang memfokuskan kepada bakat, kemahiran dan inovasi,” katanya.

Goonahalam memetik statistik Biro Promosi Eksport Bangladesh menyatakan dalam tempoh tujuh tahun lalu, lebih 5,000 kilang pakaian dibina di republik itu, sambil menambah Bangladesh pada hari ini adalah salah satu pengeksport pakaian terbesar di dunia, dengan sektor pakaian siap pakai (RMG) menyumbang lebih daripada 80 peratus eksportnya.

Bangladesh menyasarkan 8.0 peratus bahagian pasaran pakaian global untuk mencapai unjuran eksport RMG bernilai US$50 bilion (US$1=RM4.23) menjelang 2021.

Sumber: Bernama

Malaysia-Bangladesh boleh merangka perkongsian baharu giatkan semula industri pakaian – BMCCI


Content Type:

Duration:

Petunjuk keyakinan perniagaan bagi suku keempat 2021 adalah semakin baik berikutan kelonggaran sekatan ekonomi sejak pertengahan Oktober lepas, menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

“Peniaga semakin yakin menjelang suku keempat 2021 dengan merekodkan petunjuk keyakinan -0.3 peratus berbanding -21.3 peratus suku tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan hari ini.

Statistik Kecenderungan Perniagaan Bagi Suku Keempat 2021, berdasarkan Survei Kecenderungan Perniagaan yang dijalankan secara suku tahunan dikeluarkan hari ini dan memaparkan jangkaan prestasi perniagaan bagi suku tahun dan enam bulan yang akan datang.

Mohd Uzir berkata survei itu menunjukkan kesemua sektor menjangkakan prospek perniagaan yang lebih baik dengan sektor industri dan perdagangan borong dan runcit melonjak ke trajektori positif.

“Sektor industri meramalkan pandangan positif iaitu 3.6 peratus pada suku tahun rujukan berbanding -11.0 peratus pada suku tahun lepas. Petunjuk keyakinan bagi sektor perdagangan borong dan runcit turut meningkat pada suku keempat 2021 kepada 3.3 peratus daripada -39.4 peratus,” katanya.

Sektor perkhidmatan dan pembinaan menjangkakan prestasi perniagaan yang bertambah baik, walaupun berada dalam trajektori negatif dengan petunjuk keyakinan bagi sektor perkhidmatan berada di negatif yang lebih baik iaitu -1.3 peratus berbanding -22.8 peratus pada suku tahun sebelumnya.

“Bagi sektor pembinaan, ia mencatatkan petunjuk keyakinan negatif yang lebih kecil iaitu -40.4 peratus berbanding -45.0 peratus pada suku tahun lepas,” katanya.

Merujuk kepada tinjauan perniagaan bagi enam bulan akan datang, keyakinan sektor industri, perniagaan borong dan runcit dan perkhidmatan merangsang imbangan bersih keseluruhan untuk merekodkan 24.1 peratus bagi tempoh Oktober 2021 hingga Mac 2022 berbanding -21.7 peratus sebelum ini.

Sektor industri meramalkan keadaan perniagaan yang kukuh dengan imbangan bersih 24.5 peratus bagi tempoh yang sama berbanding -11.8 peratus bagi Julai hingga Disember 2021.

Sektor perdagangan borong dan runcit optimistik terhadap situasi perniagaan untuk enam bulan ke hadapan dengan lonjakan imbangan bersih kepada 35.1 peratus daripada -59.7 peratus dicatatkan sebelumnya.

Secara khusus, subsektor perdagangan borong dan perdagangan runcit melonjak ke trajektori positif dan sektor perkhidmatan menjangkakan pandangan perniagaan yang positif dengan 24.3 peratus untuk enam bulan akan datang berbanding -14.2 peratus.

“Ia dicerminkan terutamanya oleh semua subsektor di bawah sektor perkhidmatan yang mencatatkan imbangan bersih positif kecuali subsektor hartanah dan teknologi maklumat dan komunikasi. Sebaliknya, sektor pembinaan kekal dalam zon pesimis dengan imbangan bersih lebih baik iaitu -18.4 peratus,” katanya.

Sumber: Bernama

Sentimen perniagaan dijangka semakin baik pada enam bulan akan datang


Content Type:

Duration:

Indikator ekonomi utama Malaysia menunjukkan momentum pemulihan yang menggalakkan bagi suku keempat 2021 dan tempoh 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merekodkan penyusutan 4.5 peratus pada suku ketiga namun peralihan berterusan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah mengurangkan impak terhadap penguncupan KDNK Malaysia yang dicerminkan menerusi penyusutan kecil 1.1 peratus pada September 2021 berbanding Ogos 2021 (-4.7 peratus) dan Julai (-7.6 peratus).

“Dari segi penawaran, semua sektor menyusut pada suku ini, manakala dari segi permintaan, perbelanjaan penggunaan akhir swasta dan pembentukan modal tetap kasar mencatatkan penurunan, kecuali perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan yang kekal positif pada suku ketiga 2021.

“Ekonomi Malaysia meningkat 3.0 peratus bagi tempoh sembilan bulan dari Januari hingga September 2021 berbanding negatif 6.4 peratus tahun yang lalu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ia bagi mengulas Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 11/2021 yang diterbitkan DOSM.

MESR ini menumpukan senario ekonomi pada September 2021 dan prestasi ekonomi bagi suku ketiga tahun ini serta beberapa sorotan statistik akan datang bagi Oktober 2021.

Laporan ini juga dilengkapi dengan artikel khas bertajuk ‘COVID-19: Kesan Krisis Kesihatan Global Terhadap Perdagangan Barangan Malaysia’ yang memperihalkan prestasi perdagangan dan tinjauan perdagangan pascapandemik terhadap bekalan barangan terpilih yang berkaitan COVID-19.

Mengenai perdagangan luar negara, Mohd Uzir berkata Imbangan Akaun Semasa (CAB) Malaysia pada suku ketiga 2021 merekodkan lebihan RM11.6 bilion, berikutan defisit yang lebih tinggi dalam akaun Pendapatan.

Beliau berkata akaun barangan mencatatkan lebihan lebih tinggi sebanyak RM41.2 bilion apabila eksport menyusut pada kadar yang lebih perlahan berbanding import.

“Dari segi prestasi pelaburan, pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia terus mencatatkan aliran masuk RM12.8 bilion daripada RM8.2 bilion manakala pelaburan langsung Malaysia di luar negara (DIA) berubah kepada aliran masuk bersih RM4.7 bilion berbanding aliran keluar bersih RM4.0 bilion pada suku sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata prestasi jumlah dagangan Malaysia pada suku ketiga 2021 meningkat 18.1 peratus kepada RM546.2 bilion berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

Pertumbuhan kukuh ini disumbangkan oleh pembukaan semula aktiviti ekonomi domestik dan permintaan luaran yang berterusan, katanya.

Beliau berkata pada tempoh yang sama, import meningkat 21.0 peratus mengatasi pertumbuhan eksport sebanyak 15.8 peratus yang masing-masing mencatatkan RM242.5 bilion dan RM303.7 bilion.

Mohd Uzir berkata Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) merekodkan penurunan 1.1 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2021 berikutan pertumbuhan negatif yang dicatatkan dalam semua komponen IPP iaitu perlombongan, pembuatan dan elektrik.

Beliau berkata bagaimanapun bagi September 2021, IPP pulih kepada 2.5 peratus tahun ke tahun, terutama didorong oleh peningkatan 4.0 peratus dalam indeks pembuatan.

Nilai jualan sektor pembuatan pada suku ketiga 2021 meningkat 6.4 peratus tahun ke tahun kepada RM381.8 bilion dan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih baik iaitu 11.6 peratus pada September 2021.

“Sementara itu, hasil sektor perkhidmatan merosot 8.7 peratus tahun ke tahun kepada RM391.0 bilion pada suku ketiga tahun 2021 dipengaruhi oleh permintaan yang lebih perlahan berikutan kebanyakan negeri masih dalam Fasa Satu dan fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada hampir keseluruhan suku tahun tersebut.

Mengenai harga, Mohd Uzir berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan peningkatan 2.2 peratus pada suku ketiga 2021 manakala Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan meningkat 11.8 peratus tahun ke tahun.

“Mengenai pasaran buruh pada suku ketiga 2021, bilangan penduduk bekerja mencatatkan kenaikan 1.2 peratus tahun ke tahun untuk merekodkan 15.27 juta orang.

Kadar pengangguran kekal pada 4.7 peratus sementara bilangan penganggur meningkat marginal 0.2 peratus kepada 746.2 ribu orang,” katanya.

Indeks Pelopor (IP) kembali kepada pertumbuhan positif 0.6 peratus pada September 2021 selepas merekodkan penurunan 2.3 peratus pada Ogos.

“Secara keseluruhannya, ini menandakan prospek ekonomi yang lebih baik pada bulan-bulan akan datang. Ini adalah selari dengan penemuan terkini Statistik Kecenderungan Perniagaan yang menunjukkan keyakinan perniagaan bertambah baik pada suku keempat 2021.

“Keyakinan perniagaan mencatatkan penurunan marginal terutamanya disumbangkan oleh sektor industri dan perdagangan borong dan runcit di mana petunjuk keyakinan bagi sektor-sektor tersebut akan pulih kepada trajektori positif,” katanya.

Mohd Uzir berkata pengumuman belanjawan yang bercirikan pengembangan bagi 2022 dengan tema “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” dijangka dapat meminimumkan tekanan ekonomi dan memacu pertumbuhan ekonomi ke landasan yang betul, di samping pelaksanaan program vaksinasi berterusan dan pembukaan semula perjalanan rentas negeri.

Beliau berkata walaupun prestasi ekonomi keseluruhan mencatatkan penyusutan pada suku ketiga 2021, kebanyakan petunjuk ekonomi menunjukkan peningkatan secara beransur-ansur terutama pada September 2021.

Beliau berkata secara keseluruhannya, kelonggaran sekatan secara berperingkat dijangka menggalakkan pemulihan segmen ekonomi yang terjejas seperti pelancongan, kesenian dan rekreasi serta pengangkutan.

“Bajet 2022 yang diumumkan baru-baru ini dirangka ke arah komitmen untuk mencapai pemulihan penuh pada 2022. Inisiatif strategik jangka pendek yang merangkumi langkah-langkah untuk memastikan bantuan berterusan sampai kepada kumpulan dan sektor yang terjejas akan meningkatkan pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata melangkah ke hadapan, menerusi inisiatif-inisiatif ini ditambah dengan rancangan jangka sederhana yang lebih holistik iaitu Rancangan Malaysia Ke12, ia dapat merangsang pengembangan ekonomi seterusnya.

Sumber: Bernama

Indikator ekonomi utama Malaysia tunjukkan momentum pemulihan memberangsangkan


Content Type:

Duration:

SIRIM Bhd telah bekerjasama dengan Turkish Aerospace melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan mewujudkan kerjasama bagi membangunkan ekosistem industri aeroangkasa.

Melalui MoU itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam bidang penilaian pematuhan, pembangunan kualiti dan standard, pembangunan penyelidikan dan inovasi teknologi baharu bagi industri aeroangkasa.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad dan Pengarah Turkish Aerospace Malaysia Muhammad Najmi Ibrahim menandatangani memorandum itu bersempena Pameran Penerbangan Selangor 2021.

Ahmad Sabirin berkata MoU itu akan membolehkan kedua-dua pihak mempercepatkan penggunaan teknologi termaju berkaitan aeroangkasa seperti dron atau pesawat udara tanpa pemandu (UAV).

“SIRIM dan Turkish Aerospace turut berharap untuk membangunkan rangka kerja teknologi strategik perniagaan antarabangsa berkaitan industri aeroangkasa dan mengenal pasti penyelesaian penuh bagi pelaksanaan projek Pembuatan Pintar Industri 4.0,” katanya dalam kenyataan bersama.

Beliau menambah, SIRIM melalui bahagian penyelidikannya akan membantu proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui rakan industri strategik untuk aplikasi baharu seperti bahan termaju, termasuk salutan nano, gentian karbon dan polimer.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Prof Temel Kotil berkata, dengan perkembangan itu, ia berharap untuk menyumbang dan menjadi pemangkin kepada industri aeroangkasa Malaysia melalui beberapa projek bersama yang akan memanfaatkan kedua-dua pihak.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, SIRIM akan menerajui Pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti Aeroangkasa sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membangunkan industri berkenaan.

Sumber: Bernama

SIRIM, Turkish Aerospace meterai MoU bangunkan ekosistem industri aeroangkasa


Content Type:

Duration:

Selangor merancang untuk memberi tumpuan kepada segmen perniagaan dan penerbangan am industri aeroangkasa kerana sektor ini terbukti berdaya tahan terhadap impak daripada pandemik.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata sebagai contoh segmen industri penerbangan yang berdaya tahan semasa pandemik adalah operasi kargo udara, tetapi tidak semua syarikat penerbangan atau pengendali mempunyai keupayaan atau sumber bagi memanfaatkan pasaran itu, manakala satu lagi adalah perniagaan dan penerbangan am.

“Negeri ini sudah mempunyai `permata tetapi tidak digilap’ iaitu Lapangan Terbang Subang, jadi, kami berazam untuk membantu membuka potensi lapangan terbang ini bagi menyokong dan mengekalkan pertumbuhan dalam perniagaan dan industri penerbangan am, serta aktiviti-aktiviti penerbangan lain.

“Selangor sentiasa memberi penekanan kepada industri aeroangkasa. Dengan dua lapangan terbang utama di negeri ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang, kami mempunyai volum trafik udara tertinggi di negara ini dan sememangnya merupakan lokasi terbaik yang dilengkapi dengan sumber terbaik untuk industri ini berkembang maju,” katanya semasa berucap secara dalam talian sempena Pameran Penerbangan Selangor 2021 (SAS 2021) yang diadakan dari 25 hingga 27 November 2021.

Menurut laporan Global Jet Capital, terdapat 1.8 juta penerbangan oleh jet perniagaan yang beroperasi di seluruh dunia antara Januari hingga Julai 2021, peningkatan sebanyak 49 peratus dalam tempoh yang sama pada 2020.

“Lebih penting lagi, bilangan penerbangan untuk tempoh yang sama semasa pra-pandemik 2019 ialah 1.79 juta, yang memberi petanda kita kini melihat aktiviti penerbangan semasa untuk jet perniagaan melepasi tahap 2019.

“Sementara itu, urus niaga jet perniagaan bernilai kira-kira US$13.88 bilion (US$1=RM4.21) di seluruh dunia dari Januari hingga Julai 2021, berbanding US$14.10 bilion dalam tempoh yang sama sebelum pandemik pada 2019.

“Ini adalah petanda yang sangat menggalakkan bagi segmen tersebut, memandangkan syarikat penerbangan komersial, lapangan terbang dan industri pelancongan hanya dijangka hampir pulih sepenuhnya menjelang 2024 atau selepas itu,” katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, cabarannya adalah untuk mengembangkan aktiviti penerbangan di sini dan menarik lebih banyak ketibaan jet perniagaan antarabangsa ke Malaysia, khususnya ke Lapangan Terbang Subang, satu usaha yang memerlukan semua pihak bekerjasama untuk merealisasikannya.

Selain itu, Amirudin berkata peningkatan aktiviti penerbangan juga akan meningkatkan rantaian bekalan ekosistem industri penerbangan di negeri ini, antaranya ialah penyedia perkhidmatan darat, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), serta penyedia perkhidmatan kejuruteraan, organisasi kru penerbangan, penyedia

latihan dan kakitangan daripada profesion undang-undang, kewangan dan percukaian.

Selain jet perniagaan dan helikopter, Selangor juga melihat pertumbuhan dalam industri dron, khususnya dalam subsektor dron komersial, katanya.

“Penerimaan terhadap dron komersial sedemikian dalam berkhidmat untuk pelbagai sektor ekonomi dan sosial meningkat begitu pantas dengan permintaan dan minat yang besar,” tambahnya.

Sumber: Bernama

Selangor fokus pada segmen perniagaan, penerbangan am industri aeroangkasa – MB


Content Type:

Duration:

Peraturan berkualiti akan membina persekitaran perniagaan yang kondusif dan melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan serta rakan perdagangan antarabangsa, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata  kaedah  Amalan Baik Peraturan (GRP) dan  Behavioural Insights (BI)  adalah pelengkap untuk peraturan berkualiti seperti  yang ditekankan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Dalam merealisasikan agenda ini, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)  komited dan aktif dalam membangunkan kompetensi pembuat dasar dan penjawat awam untuk menerima pakai GRP dan BI dalam penggubalan dan semakan peraturan,” katanya dalam ucapan pada Persidangan Kebangsaan Amalan Baik Peraturan (GRP) secara maya hari ini.

Azmin  berkata  Bajet 2022 telah memperuntukkan dana khas pelaburan strategik berjumlah RM2 bilion untuk menarik pelaburan asing dalam  kalangan syarikat multinasional.

“Penggunaan bajet secara optimum mesti disokong oleh dasar dan peraturan yang mesra pelabur, khususnya bagi proses untuk memulakan operasi perniagaan seperti urusan permohonan permit dan kelulusan pembinaan,” katanya.

Beliau berkata antara usaha terkini dalam memudahcara perniagaan yang dilaksanakan MPC adalah inisiatif E10 atau Permit Pembinaan Ekspres dan terkini, E10 telah diperluas ke negeri Pahang dalam usaha untuk memudahkan kemasukan pelaburan berimpak tinggi dalam proses pembinaan kilang.

“Kesannya sekali gus akan mengurangkan jurang pendapatan dan ketidaksamaan pembangunan antara wilayah dan negeri, seperti yang disasarkan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Beliau berkata MPC turut bekerjasama dengan kementerian dan agensi lain bagi mengurangkan beban peraturan melalui program Malaysia Mudah (#MyMudah).

Katanya usaha pembaharuan tersebut mesti diteruskan bagi menambah baik lagi pelaksanakan peraturan yang berkualiti agar persekitaran perniagaan kondusif dapat diwujudkan bagi menyokong aktiviti ekonomi serta mendorong peningkatan prosedur, produktiviti dan inovasi.

“Demi memulihkan dan merancakkan lagi ekonomi negara untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia, saya menyeru seluruh jentera pentadbiran kerajaan untuk bersama melipatgandakan usaha inovasi dan pembaharuan dalam ekosistem peraturan negara,” katanya.

Sumber: Bernama

Peraturan berkualiti akan lonjak kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan – Azmin


Content Type:

Duration:

Malaysia dijangka membuka kembali sempadan untuk pengunjung antarabangsa pada 2022, selepas penutupan selama hampir dua tahun, dan ini akan memberikan kesan serta-merta ke atas pasaran hartanah dengan menarik pelabur luar negara dan penduduk tetap asing.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata pembukaan semula sempadan menandakan pemulihan secara keseluruhan kepada situasi normal, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pekerjaan.

“Pada 2020 dan 2021, pelaburan rentas sempadan ke dalam sektor hartanah Malaysia mengalami penyusutan ketara seperti yang dijangkakan.

“Melangkah maju, kami mengunjurkan pasaran kediaman mencatatkan pengukuhan, kesan daripada pemulihan yang berlaku dalam ekonomi meluas. Kita akan menyaksikan jumlah transaksi meningkat terlebih dahulu dan kemudian mendorong peningkatan harga dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau menjangkakan permintaan kediaman rentas sempadan akan meningkat sepanjang 2022, dan mungkin mencecah paras yang dicatatkan pada 2019 pada 2024 atau 2025.

“Walaupun begitu, permintaan akan jauh lebih tinggi daripada status quo semasa. Ini akan menjadi kelegaan bagi pemaju dan penjual yang sedang berada dalam pasaran.

“Pembeli dari Singapura dijangka menjadi yang pertama untuk kembali, diikuti mereka dari negara lain yang secara tradisinya memainkan peranan dalam pasaran perumahan mewah Malaysia,” katanya.

Mengenai prospek ekonomi, Kashif berkata kadar pantas vaksinasi dan rawatan baharu COVID mendorong penambahbaikan prospek, yang dijangka membawa kepada lonjakan dalam perbelanjaan isi rumah dan keinginan untuk menggunakan pada 2022.

“Semua keadaan yang sama juga berkemungkinan meningkatkan permintaan hartanah dan pembentukan isi rumah baharu,” katanya.

Beliau berkata ekonomi dijangka pulih pada 2022, seiring dengan pertumbuhan yang sepadan dalam ekonomi global.

Kerajaan sedang melaksanakan rangsangan ekonomi dan fiskal, justeru, Juwai IQI menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah 6.0 peratus tahun depan.

“Eksport, pada 65 peratus daripada KDNK, adalah amat ketara sehinggakan penambahbaikan ke atas prospek global dan penyelesaian rantaian bekalan antarabangsa akan memberi kesan positif di Malaysia.

“Pekerjaan dan pendapatan isi rumah adalah faktor langsung kepada permintaan perumahan. Pada 2022 kami menjangkakan pembukaan semula ekonomi dan rangsangan kerajaan akan memacu kenaikan kedua-duanya. Ahli ekonomi UOB juga menjangkakan pengangguran menurun sebanyak enam mata asas kepada 3.6 peratus pada 2022.

‘Ringkasnya, unjuran kami adalah bagi pemulihan ekonomi yang semakin positif dan prospek lebih kukuh tahun hadapan,” katanya.

Sumber: Bernama

Rancangan Malaysia buka sempadan akan bawa masuk pelabur asing


Content Type:

Duration:

Malaysia dan Turki bakal memuktamadkan rundingan berasaskan teks untuk perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang diperluaskan antara kedua-dua negara pada akhir tahun ini dan memuktamadkan keseluruhan pakej menjelang pertengahan tahun 2022.

Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata selepas dimuktamadkan, FTA tersebut akan turut meliputi perdagangan dalam perkhidmatan, pelaburan dan perdagangan elektronik.

Katanya pegawai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, diketuai oleh Ketua Setiausaha Datuk Lokman Hakim Ali, berada di Ankara minggu lepas untuk menemui pegawai perdagangan Turki bagi merundingkan perluasan perjanjian sedia ada.

 “Saya gembira untuk berkongsi bahawa perbincangan pada minggu lepas telah mencapai kemajuan yang besar dan kedua-dua pihak kini dijangka akan memuktamadkan rundingan berasaskan teks pada akhir tahun ini dan memuktamadkan keseluruhan pakej FTA menjelang pertengahan 2022,” katanya dalam ucapan pada majlis pembukaan pejabat baharu Industri Aeroangkasa Turki (TAI) di Cyberjaya hari ini.

Sehingga Jun 2021, sebanyak 13 projek pembuatan dengan penyertaan Turki telah diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM510.4 juta.

Azmin berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mempunyai elemen yang digariskan dalam rangka kerja Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

Sumber: Bernama

Malaysia, Turki akan muktamadkan keseluruhan pakej FTA diperluaskan pada pertengahan 2022 – Azmin


Content Type:

Duration:

Turkish Aerospace Industries (TAI) membuka pejabat kejuruteraan dan reka bentuknya yang pertama di Asia Tenggara, terletak di Cyberjaya untuk menjalankan kajian bersama dalam pelbagai bidang termasuk pesawat tanpa pemandu, jurulatih jet, projek helikopter dan program pemodenan untuk ekosistem penerbangan global.

TAI dan industri aeroangkasa Malaysia terlibat dalam banyak program bersama terutamanya dalam pembangunan pesawat Airbus.

“Pembukaan pejabat kejuruteraan dan reka bentuk Turkish Aerospace yang pertama di Malaysia adalah tepat pada masanya untuk kita meninjau bagaimana kita boleh menjalankan usaha sama kepakaran bersama bagi mendapatkan aliran kerja yang memanfaatkan industri aeroangkasa Turki dan Malaysia,” kata Menteri

Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada majlis pembukaan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Arham Abdul Rahman berkata kehadiran Turkish Aerospace di negara ini akan mempertingkatkan ekosistem aeroangkasa Malaysia yang mempunyai saranan nilai bersesuaian untuk syarikat itu mengembangkan kehadirannya di ASEAN dan di luarnya, terutamanya dalam sektor pembuatan dan bernilai tinggi.

“Kos yang kompetitif untuk menjalankan perniagaan di Malaysia tentunya akan memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak untuk meningkatkan kepakaran tempatan dan status pengiktirafan negara,” katanya.

Sumber: Bernama

Turkish Aerospace buka pejabat kejuruteraan di Cyberjaya, pertama di Asia Tenggara


Content Type:

Duration:

Kerajaan telah meluluskan sebanyak 4,545 projek perkilangan dengan jumlah pelaburan bernilai RM450.5 bilion untuk tempoh 2016 sehingga Jun 2021, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong.

Menurutnya, daripada jumlah  itu, sebanyak RM278.8 bilion iaitu 61.9 peratus melibatkan pelaburan langsung asing  manakala pelaburan langsung domestic menyumbang sebanyak RM171.7 bilion iaitu 38.1 peratus.

”Pelaburan ini dijangka menjana sejumlah 370,883 peluang pekerjaan baharu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Teh Kok Lim (PH-Taiping) mengenai jumlah pelaburan dalam industri pembuatan mengikut negeri untuk tempoh lima tahun lepas.

Selain itu, Lim berkata lima negeri utama iaitu Johor, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah telah menerima RM326.8 bilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan. 

“Johor pula menerima RM100.9 bilion jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan mengikut negeri bagi 2016 sehingga Jun 2021, diikuti Selangor (RM72.5 bilion), Kedah (RM65.2 bilion) dan Pulau Pinang (RM53 bilion),” katanya.  

Katanya kerajaan akan melihat kepada lima teras di bawah Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dalam meningkatkan pelaburan negara dengan memberi penekanan kepada pembangunan perkhidmatan dan produk canggih, penyelidikan dan inovasi tinggi dan kerja-kerja berkemahiran tinggi.

Sumber: Bernama

Kerajaan lulus 4,545 projek perkilangan dengan jumlah pelaburan RM450.5 bilion bagi 2016-2021


Content Type:

Duration:

Perdagangan dua hala antara Malaysia-Emiriah Arab Bersatu (UAE) dijangka mencatat pertumbuhan dua angka dalam era pasca-pandemik pada tahun depan, kata Duta Besar Malaysia ke UAE Mohd Tarid Sufian.

Malah, beliau turut berkongsi rasa optimis bahawa prospek pertumbuhan pesat dagangan positif itu tidak  hanya membabitkan UAE, tetapi juga dengan negaranegara lain dalam kalangan anggota Majlis Kerjasama Teluk lain selepas pandemik.

“Walaupun pandemik COVID-19 berlaku, hubungan dagangan Malaysia-UAE berjaya mencatat pertumbuhan dua angka yang mencecah sehingga US$5 bilion tahun lepas.

“Atas alasan itu, kita menjangkakan pertumbuhan positif itu akan berulang pada tahun depan,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Minggu 8 Pavilion Malaysia @Ekspo Dubai 2020 yang dihoskan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Mohd Tarid berkata, Malaysia telah memanfaatkan peluang perdagangan dan pelaburan pada acara Ekspo Dubai 2020 yang menjadi platform bagi membolehkan syarikat-syarikat Malaysia mendapatkan peluang perniagaan.

Eksport Malaysia ke UAE merangkumi terutamanya produk elektrik dan elektronik, barang kemas, produk petroleum, jentera, peralatan dan komponen, makanan diproses, produk logam, produk berkaitan minyak sawit, bahan kimia dan produk berasaskannya, produk getah, peralatan pengangkutan dan tekstil.

Pada bulan lepas, Perdana Menteri  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Malaysia berjaya menjana lebih RM7.2 bilion potensi perniagaan dengan beberapa syarikat berpangkalan di luar negara dalam tempoh dua minggu pertama penyertaan di Ekspo 2020 Dubai.

Mohd Tarid juga menyifatkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang merangkumi Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis, sebagai gerbang ke Asia Tenggara untuk kalangan syarikat-syarikat multinasional yang berhasrat mengembangkan operasi masing-masing.

Menurutnya, NCER juga mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sejak penubuhannya sebagaimana dibuktikan oleh pelaburan syarikat-syarikat multinasional yang membawa bersama teknologi pembuatan terkini serta produk yang dipaten, sekali gus menyumbang kepada pemindahan pengetahuan serta teknologi berkaitan.

“NCER menawarkan tenaga kerja yang tersedia, berkemahiran tinggi serta berpendidikan, rangkaian logistik yang luas dan sofistikated bagi menyokong sektor-sektor ekonomi utama, budaya perniagaan yang berkembang pesat dan kehadiran syarikat-syarikat multinasional besar dengan rangkaian global dan jangkauan pasaran bagi melengkapkan ekosistem perniagaan,” katanya.

NCIA yang diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi Hasri Hasan, turut serta dalam Ekspo Dunia 2020 di Dubai, UAE, pada 21-27 Nov, 2021, bagi mengetengahkan peluang perdagangan dan pelaburan di NCER.

Penyertaan Malaysia di Ekspo Dubai 2020 Dubai melibatkan masing-masing sebanyak 21 kementerian kerajaan, 70 agensi kerajaan dan lima kerajaan negeri manakala kira-kira 300 syarikat mengambil bahagian dalam program perdagangan dan perniagaan mingguan.

Ekspo bertemakan ‘Menghubungkan Minda, Membentuk Masa Depan (Connecting Minds, Creating the Future) itu diadakan dari 1 Okt, 2021 hingga 31 Mac, 2022.

Sumber: Bernama

Dagangan Malaysia-UAE dijangka catat peningkatan dua angka tahun depan


Content Type:

Duration:

Kulim Technology Park Corporation (KTPC) menyasarkan untuk ‘memenuhi dan melebihi’ keperluan para pelanggannya agar terus kekal sebagai taman teknologi yang ulung di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Mohd Sahil Zabidi berkata untuk meningkatkan nilai tambah dalam perkhidmatan dan tawarannya, syarikat itu berhasrat memperkukuh ekosistem perindustrian Taman Teknologi Tinggi Kulim.

“Ini bermaksud menarik penglibatan industri sokongan, mungkin menerusi taman Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) supaya penyewa dapat menikmati rantaian bekalan yang lebih terjamin dan kos-berkesan, di samping memantapkan rantaian nilainya,” kata beliau.

Beliau berkata KTPC turut berusaha menggabungkan elemen keperluan penilaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui program pembangunan mampan berstruktur.

Ia merangkumi inisiatif kuasa solar yang giat dipromosikan kepada penyewa, bukan sahaja kerana ia menjanjikan kos operasi yang ketara lebih rendah, malah, yang lebih penting adalah ‘perkara yang wajar untuk dilaksanakan.’

“Kesemua ini diperlukan untuk kaitan yang berterusan dan model pertumbuhan pada masa depan,” katanya.

Mohd Sahil menegaskan KTPC tidak boleh kekal bergantung secara realistik kepada pengembangan keluasan ekar sebagai sumber pertumbuhan kerana tanah merupakan sumber yang terhad.

“Dalam beberapa dekad akan datang, kita perlu menjangka kemungkinan untuk penyewa berpindah atau keperluan untuk dibangunkan semula.

“Kita telah menyatakan cadangan kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Kewangan mengenai rancangan dana pemulihan,” katanya.

Sebahagian daripada jumlah pajakan ini perlu disimpan dan pelepasan cukai diberikan untuk membaik pulih bangunan sama ada ia mengalami kerosakan atau bermasalah.

“Kita bernasib baik memandangkan kebanyakan penyewa kita, secara umumnya daripada industri yang ‘bersih.’ Bagaimana dengan industri yang mempunyai buangan kotoran yang lebih tinggi atau penggunaan bahan kimia? Ia akan menjadi beban kepada kerajaan dan masyarakat,” katanya.

Beliau berharap agar pembangunan taman itu akan memberikan kesan yang kekal dan positif terhadap masyarakat sekeliling.

“Kami mahu pelajar sekolah tahu bahawa KTPC menawarkan peluang kerjaya yang luas terutamanya dalam bidang kejuruteraan dan sains tulen. Kami sedang menyediakan galeri dan pusat inovasi dan mereka boleh datang dan melihat sendiri bagaimana teknologi menampilkan ciri yang kukuh dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.

Taman teknologi itu mempunyai satu penyewa yang menghasilkan sistem hiburan dalam penerbangan manakala penyewa-penyewa lain menghasilkan wafer selaku komponen penting dalam telefon mudah alih dan peralatan elektronik.

Beliau memberikan contoh bagaimana Intel, antara penyewa awal taman teknologi berkenaan yang pada masa itu menumpukan kepada aktiviti pengujian dan pemasangan, kini telah beralih kepada reka bentuk dan pembangunan serta penyelidikan dan pembangunan.

Malaysia menerima pakai teknologi dengan mudah dan generasi akan datang harus menerima keupayaan yang membolehkan mereka mendalami inovasi teknologi untuk kejayaan komersial dan pembangunan negara, katanya.

Walaupun mengalami iklim pelaburan yang sukar dalam tempoh dua tahun lepas, Taman Teknologi Tinggi Kulim mencatatkan peningkatan hasil 117.72 peratus kepada RM172 juta pada 2020, berbanding jumlah yang dicatatkan pada tahun sebelumnya sebanyak RM79 juta.

Ia dijangka terus meningkat menjelang akhir 2021 walaupun berdepan ketidakstabilan ekonomi akibat pandemik COVID-19 yang merupakan bukti kepada daya tahan dan kebijaksanaan pengurusannya yang telah lama memberi perhatian teliti terhadap asas perniagaannya.

Dibangunkan dan diuruskan oleh KTPC, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah dan anggota Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), taman teknologi tinggi bersepadu sepenuhnya dan terulung itu adalah taman teknologi tinggi pertama di Malaysia yang dibuka secara rasmi pada 1996.

Ia terletak di Wilayah Ekonomi Koridor Utara dengan keluasan kira-kira 1,618.7 hektar.

Ketika ini, taman teknologi itu memegang aset dan pelaburan melebihi RM100 bilion.

Mohd Sahil berkata walaupun sesebuah entiti mendapat sokongan penuh kerajaan, ia mesti sentiasa menyasarkan kepada pengukuhan kewangan dan membina rizabnya sendiri.

Mohd Sahil menyandang jawatan itu pada 2019 selepas berkhidmat sebagai Naib Presiden Kewangan dengan memberikan keutamaan tertinggi terhadap disiplin pengurusan kewangan.

Beliau kemudiannya mengambil alih jawatan sebagai Naib Presiden Kanan Strategi Korporat apabila pelan strategik lima tahun untuk syarikat itu siap.

“Kedua-dua elemen itu kekal sebagai teras operasi kami — sebuah latihan perancangan korporat lima tahun yang mantap dan komprehensif yang bertujuan memperkukuh rizab dalaman serta kekuatan kewangan,” katanya.

Persaingan untuk penyewa dalam kalangan taman teknologi bukan sahaja membabitkan penggiat tempatan, malah, adalah lumrah global.

Dalam konteks ini, KTPC terus membina jenamanya sejak dua dekad lepas dan telah melabur dalam infrastruktur terbaik.

Bagi menjamin momentum pertumbuhan, beliau memberi perhatian yang sangat teliti kepada cadangan nilai taman itu dan apa yang boleh ditawarkan kepada penyewa berpotensi.

Semua ini perlu dimulakan dengan pasukan penyelidikan yang kukuh termasuk idea yang jelas mengenai jenis pelaburan strategik yang ingin ditarik.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, KTPC mengalu-alukan penggiat industri antaranya dalam bidang bahan canggih, instrumen perubatan serta tenaga boleh diperbaharui selaku industri utama bagi memacu Malaysia menuju era pertumbuhan seterusnya.

Beliau berkata walaupun sebelum ini tumpuan diberikan kepada insentif sebagai tarikan utama untuk pelabur, ia tidak boleh dibuat selama-lamanya terutama dengan beberapa negara seperti Vietnam yang sanggup memberi tanah secara percuma.

“Kini, pelabur datang dengan pelaburan yang besar dan menyasarkan komitmen jangka panjang. Mereka mengharapkan keputusan dan pelaksanaan yang lebih pantas,” katanya.

Biasanya, pelabur menyasarkan tapak yang memenuhi tiga kriteria utama. Senarai yang teratas adalah kelompok bakat atau pekerja.

“Apa-apa kelebihan yang anda mahu tunjukkan kepada pelanggan perlu sentiasa berasaskan bukti.

“Sebagai contoh, jika pelanggan berpotensi bertanya mengenai ketersediaan bakat, kita akan mendapatkan universiti atau institusi pengajian tinggi untuk membentangkan kepada mereka profil dan penawaran tenaga kerja,” katanya.

Kedua, industri ini biasanya menggunakan banyak tenaga, malah, kos dan kualiti utiliti juga berada dalam posisi tertinggi dalam senarai keutamaan mereka. Ini merangkumi bekalan elektrik, air dan kadangkala gas.

Seterusnya adalah kualiti dan keberkesanan perkhidmatan pelanggan. Pengendali taman teknologi tinggi diharapkan mampu menjadi penyelesai masalah yang berkesan kepada pelabur.

“Dalam penglibatan mereka dengan pihak berkuasa tempatan, mereka perlu tahu berapa lama masa yang diperlukan untuk menyiapkan pembinaan kemudahan yang dicadangkan dan ini mesti disertakan dengan fakta dan angka.

“Ini adalah ciri-ciri lain pelabur pada masa kini, mereka sangat terperinci. Mereka tidak lagi berpuas hati hanya dengan gambaran umum,” katanya. 

Sumber: Bernama

Asas perniagaan kukuh teras pertumbuhan masa depan Taman Teknologi Kulim


Content Type:

Duration:

Sarawak akan menjadi pengeluar dan pembekal terbesar bahan api hidrogen di rantau Asia Tenggara bermula 2023, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.

Abang Johari berkata Sarawak mempunyai keupayaan untuk mengeluar dan membekal tenaga hidrogen kerana mempunyai banyak sungai, di mana air sungai berkenaan boleh diproses untuk dijadikan bahan hidrogen untuk kegunaan kenderaan.

“Ada beberapa syarikat dari Korea, Jepun dan Australia telah menyatakan minat masing-masing untuk melabur dalam sektor pengeluaran tenaga hidrogen di negeri ini, dan ini bermakna kita sudah berada di landasan yang tepat untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeluar hidrogen utama di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan upacara pecah tanah bagi pembinaan stesen pelbagai bahan api Petros (Petros Multifuel Station) di Bandar MJC, Batu Kawa di sini.

Abang Johari berkata Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), agensi yang dipertanggungjawab untuk projek pengeluaran hidrogen di negeri ini, meletakkan sasaran untuk menghasilkan 10,000 tan setahun bagi tempoh di antara 2023 dan 2025.

Abang Johari berkata kos bagi melaksanakan projek berkenaan adalah tinggi pada peringkat permulaannya, namun menjangkakan akan menjadi lebih rendah dalam tempoh lima hingga 10 tahun selepas itu.

Sementara itu, beliau berkata dalam jangka masa panjang stesen pelbagai bahan api yang serupa akan dibina di seluruh negeri, bermula dengan di Sibu, Miri, Bintulu dan Sri Aman, diikuti di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo dan Lebuh Raya Pesisir Pantai Sarawak.

Katanya, Sarawak mempunyai empat empangan, iaitu Batang Ai, Bakun, Murum dan Baleh untuk sumber hidrogen, dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan pembebasan karbon untuk memelihara kebersihan alam sekitar.

Sumber: Bernama

Sarawak bakal pengeluar hidrogen terbesar rantau ini – Abang Johari


Content Type:

Duration:

Ucapan ‘Terima Kasih’ tidak terhingga yang mungkin rakyat Malaysia boleh zahirkan kepada Jepun dan hampir 1,500 syarikat negara Matahari terbit itu yang beroperasi di negara ini adalah kepada sumbangannya yang telah mewujudkan lebih 400,000 pekerjaan dengan beribu-ribu lagi peluang dijangka diwujudkan apabila ia memulakan beberapa lagi siri pelaburan baharunya.

Peluang pekerjaan amat besar yangt tersedia ini menjadikan kehadiran syarikat Jepun dalam ekonomi Malaysia sangat dekat dengan hati berjuta-juta rakyat di negara ini.

Duta Besar Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka yang bakal mengakhiri tugasannya di sini berkata selain bidang pelaburan teras tradisional atau konvensional, sektor elektronik dan elektrik yang menyumbang hampir separuh daripada pelaburan baharu, perniagaan baharu syarikat Jepun adalah dalam teknologi digital.

Teknologi sedemikian akan membolehkan perkhidmatan rangkaian meluas bagi menyediakan diagnosis pesakit di kawasan pendalaman di Malaysia dan menghubungkan secara terus kepada hospital dan doktor.

“Jadi sebaik sahaja pesakit dibawa ke hospital, tidak perlu lagi sebarang sesi konsultasi dengan doktor dan mereka akan terus di bawa ke bilik pembedahan untuk menjalani pembedahan. Jadi ia mengurangkan masa yang diperlukan bagi diagnoisis kepada pembedahan, di samping meningkatkan kadar kebolehan hidup dan mengurangkan beban kewangan ke atas kerajaan,” katanya kepada Bernama.

Teknologi ini terbukti berjaya di Jepun dan hospital universiti seperti  di Universiti Putra Malaysia dan  Universiti Kebangsaan Malaysia telahpun mula menggunakannya.

“Jadi sekarang kami sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan  untuk mencadangkan agar teknologi rangkaian sangat berguna ini diperkenalkan di hospital awam,” kata Osaka.

Beliau berkata syarikat Jepun juga kini bekerjasama dengan rakan kongsi dari Malaysia untuk menukarkan sumber bekalan air dan gas yang besar di negara ini menjadi hidrogen dan ammonia – dua bahan utama bagi menghasilkan pencuci penjana kuasa, menjadikan pencucu penjanaan.  

“Kami kini sedang berbincang dengan Petronas dan  kerajaan negeri Sarawak untuk menambah baik keberkesanan keseluruhan proses ini yang menghasilkan ammonia dan hidrogen di Malaysia, dan mengangkutnya ke Jepun dan negara-negara lain di rantau ini yang akan digunakan bagi menjadikan proses penjanaan kuasa lebih bersih,” katanya.

Oka, yang dilantik sebagai duta baharu Jepun ke Mesir berkata pendidikan merupakan satu lagi intipati dalam hubungan perdagangan dua hala itu, disokong oleh seramai lebih 30,000 rakyat Malaysia yang datang ke Jepun sama ada bagi melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi atau tujuan latihan.

“Pembangunan kapasiti insan ini merupakan tunjang kerjasama kami. Di sebalik pandemik COVID-19, pelajar Malaysia yang mempunyai masa depan yang cerah terus melawat Jepun untuk mempelajari bahasa Jepun. Saya telah bertemu dengan sehingga seramai sembilan ketua setiausaha kementerian yang telah pergi ke Jepun sama ada sebagai pelajar biasiswa yang belajar di universiti Jepun atau mendapat latihan daripada Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA),” katanya.

Selain itu, katanya, semakin ramai rakyat Malaysia yang telah menunjukkan minat untuk mengikuti kursus sama ada ijazah penuh atau ijazah separuh dalam Bahasa Jepun yang ditawarkan oleh beberapa universiti tempatan dan ia menjadi popular  kerana bahasa itu mewakili kesemuanya  apabila mempelajari minda  dan budaya Jepun.

Beliau berkata pencapaian terbesar dalam sektor pendidikan ialah persetujuan yang dicapai antara kedua-dua negara untuk Universiti Tsukuba, universiti terkemuka yang telah melahirkan tiga pemenang Hadiah Nobel, menubuhkan kampus cawangannya di Malaysia.

Ini merupakan satu pencapaian yang besar kerana ia akan menjadi cawangan pertama universiti Jepun itu di luar negara, yang dijadualkan dibuka pada 2023.

Kampus di Malaysia itu akan menggunakan bahasa Jepun dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan pelajar yang berdaftar dijadualkan mula belajar bahasa Jepun pada tahun depan.

Tahun depan juga akan menyaksikan dua peristiwa penting dalam hubungan Malaysia-Jepun iaitu  sambutan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur oleh Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad dan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Oka akan menerima pelantikan baharunya di Kaherah akhir bulan ini, yang kebetulan merupakan tugas pertamanya di luar negara apabila beliau memulakan kerjaya diplomatiknya.

“Saya kembali semula ke tempat saya memulakan kerjaya profesional saya, jadi dalam erti kata lain saya telah melengkapkan pusingan perkhidmatan saya apabila saya kembali ke Kaherah,” katanya.

Sumber: Bernama

Syarikat Jepun cipta 400,000 peluang pekerjaan, banyak lagi yang bakal diwujudkan


Content Type:

Duration:

Berbekalkan reputasinya sebagai Lembah Silikon Timur, Pulau Pinang akan terus mengekalkan kelebihan bersaingan, memperkukuhkan kedudukan dalam aktiviti huluan, dan berhasrat menjadi hab utama dalam reka bentuk litar bersepadu dan pembuatan peralatan bahagian depan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata negeri itu turut menyasarkan untuk memperkukuh kluster industri sedia ada dalam elektrik dan elektronik (E&E), mesin dan peralatan bahagian belakang, dan teknologi perubatan.

“Melalui ekosistem Pulau Pinang yang mampan, saya yakin negeri ini berada dalam trajektori yang sesuai untuk merealisasikan matlamat-matlamat ini.

“Pulau Pinang akan kekal komited melangkah ke hadapan dengan semua pihak berkepentingan dan saya menantikan peluang yang lebih memberangsangkan pada beberapa tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh InvestPenang, bersempena ulang tahun ke-50 perjalanan Pulau Pinang dalam pengindustrian pada tahun ini.

Beliau berkata Pulau Pinang adalah pangkalan pembuatan produk E&E terpenting di Malaysia dan muncul antara hab paling aktif di dunia, dengan anggaran lima peratus daripada eksport semikonduktor global.

Pada 2020, eksport Pulau Pinang mencapai rekod tertinggi sebanyak RM310 bilion dengan 82 peratus daripadanya disumbangkan oleh E&E dan instrumen profesional, santifik dan kawalan (termasuk peranti perubatan).

Beliau berkata Pulau Pinang menjana lebihan dagangan sebanyak RM110 bilion pada tahun lepas, dengan menyumbang 60 peratus daripada jumlah dagangan Malaysia.

“Sejak 2013 hingga 2020, eksport Pulau Pinang adalah konsisten dengan aliran meningkat dan mencapai kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 10 peratus, sekali gus menunjukkan daya tahan negeri ini untuk mengharungi kitaran dalam industri.

“Saya ingin menyatakan penghargaan kepada semua penggiat industri berikutan keyakinan yang berterusan terhadap Pulau Pinang, selain agensi persekutuan dan negeri di atas usaha bersepadu untuk memantapkan kedudukan Pulau Pinang sebagai lokasi pelaburan pilihan sepanjang 50 tahun perjalanannya  dalam pengindustrian,” katanya.

Sumber: Bernama

Pulau Pinang mahu jadi hab utama reka bentuk litar bersepadu, pembuatan alatan bahagian depan


Content Type:

Duration:

Proton Holdings Bhd (Proton)  akan bekerjasama dengan Maxis bagi kes penggunaan teknologi 5G yang merangkumi pelbagai penyelesaian tertumpu untuk meningkatkan kilangnya di Tanjung Malim, Perak menerusi pemasangan rangkaian bermula Oktober 2021.

Dalam kenyataan bersama hari ini, pengeluar kereta nasional dan syarikat telekomunikasi itu  berkata perkongsian terbabit adalah sebahagian daripada strategi pertumbuhan Proton dalam pembangunan Proton City sebagai model bandar pintar menerusi alatan dan sistem terkini serta sejajar dengan komitmen Maxis untuk menyampaikan inovasi dan penyelesaian 5G terbaik bagi perusahaan.

“Kes penggunaan itu akan bergantung kepada rangkaian 5G yang dibina khas dan Maxis akan menguruskan perkhidmatan secara menyeluruh untuk beberapa penyelesaian internet benda (IoT) di ibu pejabat pembuatan Proton di Tanjung Malim,” katanya.

Menurutnya, penyelesaian itu termasuk sistem Keselamatan Pintar bagi menjejak dan memastikan keselamatan model kereta dihasilkan dari kilang pengeluaran dan sistem sokongan serta penyelenggaraan Realiti Terimbuh/Realiti Maya untuk jurutera Proton berkomunikasi dengan rakan kongsi antarabangsa dalam masa nyata.

“Inovasi yang menggunakan teknologi 5G pada akhirnya akan memenuhi visi Proton untuk membina Kampus Pembuatan Pintar melalui pemindahan data berkelajuan tinggi dan kependaman rendah serta memberikan mobiliti lebih baik.

“Ia juga akan memberi kebolehpercayaan dan ketersambungan yang lancar untuk komunikasi awam dan swasta, pemantauan keselamatan, pencahayaan pintar dan bangunan pintar,” katanya.

Menurut Proton, teknologi 5G itu akan membolehkannya melanjutkan penyelidikan dan pembangunan dalam teknologi kenderaan selular-untuk-kesemua  (CV2X) yang membolehkan pengeluar automotif itu mereka bentuk dan membina kenderaan autonomi kalis masa depan yang kukuh.

Sumber: Bernama

Proton, Maxis bekerjasama bagi kes penggunaan 5G di kilang Tanjung Malim


Content Type:

Duration:

Amerika Syarikat (AS) berminat untuk bekerjasama dengan rakan kongsi termasuk Malaysia dan menubuhkan kemudahan semikonduktor bersama untuk meningkatkan bekalan domestiknya, kata Setiausaha Perdagangan AS, Gina M. Raimondo.

Beliau berkata perbincangan peringkat tinggi telah dibuat dengan Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada mesyuarat meja bulat semikonduktor yang diadakan awal hari ini.

“Kami berbincang mengenai penyelarasan latihan kerja, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pelaburan supaya kami boleh bekerjasama dan tidak mempunyai pertindihan dalam pelaburan kami (AS).

“Ia adalah perbincangan menyentuh banyak perkara  bagi  memikirkan bagaimana perniagaan AS  dan kerajaan Malaysia serta  perniagaan Malaysia boleh meningkatkan kerjasama ketelusan aliran data komunikasi supaya kami boleh meningkatkan bekalan dan mempunyai rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan,” katanya.

Raimondo berkata demikian kepada wartawan tempatan dan antarabangsa semasa telesidang yang diadakan hari ini untuk mengakhiri lawatan rasmi pertamanya ke Asia dari 15 hingga 18 November dengan melakukan lawatan ke Jepun, Singapura dan Malaysia.

Azmin dan Raimondo mempengerusikan bersama mesyuarat meja bulat semikonduktor hari ini sempena lawatan beliau ke Malaysia yang turut dihadiri wakil daripada lebih 15 syarikat merangkumi pengeluar dan pembeli cip dalam rantaian bekalan semikonduktor yang beroperasi di Malaysia.

Raimondo menegaskan bahawa semikonduktor adalah elemen kritikal yang menggerakkan seluruh ekonomi dan permintaan untuk bahan tersebut meningkat pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini, oleh itu bekalan perlu dipertingkatkan.

“Sehubungan itu, AS benar-benar berminat untuk meningkatkan bekalan domestik semikonduktor,” katanya.

Berdasarkan Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia, sektor semikonduktor global diunjurkan berkembang pada kadar 20 peratus atau US$527 bilion pada 2021 dan akan meningkat sebanyak 10 peratus lagi pada 2022 (US$573 bilion).

Menurut statistik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, eksport semikonduktor yang terdiri daripada peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik, mewakili hampir 62 peratus daripada jumlah eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia.

Malaysia menyumbang sebanyak 6.2 peratus bahagian daripada jumlah eksport semikonduktor dunia dan disenaraikan sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia.

Pada 2020, jumlah perdagangan produk E&E dengan AS berjumlah US$19.85 bilion, menyumbang 46.6 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Eksport E&E ke AS bernilai US$12.61 bilion dan meningkat 2.3 peratus berbanding 2019 manakala import E&E dari AS mencatat peningkatan 10.4 peratus kepada US$7.25 bilion daripada 2019.

Pada 2020, AS adalah destinasi eksport keempat terbesar Malaysia untuk produk E&E dengan nilai eksport sebanyak US$12.61 bilion, mewakili 13.7 peratus bahagian daripada jumlah eksport E&E.

Eksport semikonduktor yang merangkumi peranti semikonduktor seperti litar bersepadu (IC), transistor, injap, ialah kumpulan produk eksport terbesar dalam sektor

E&E ke AS bernilai US$4.5 bilion, mewakili 35.7 peratus bahagian daripada jumlah eksport E&E ke AS.

Sumber: Bernama

AS rancang berkolaborasi dengan Malaysia untuk tingkatkan daya tahan bekalan semikonduktor


Content Type:

Duration:

Kerjasama antara syarikat tempatan dan antarabangsa dalam bidang perniagaan dapat meningkatkan lagi ekonomi negeri Sabah yang terjejas akibat penularan COVID-19, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berkata kerjasama itu juga membolehkan syarikat tempatan menawarkan produk dan perkhidmatan lebih baik serta mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

“Selain itu, ia dapat mewujudkan peluang pekerjaan di negeri ini. Sebagai contoh, kerjasama antara Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dan Hino Motors (Malaysia ) Sdn Bhd, anak syarikat Toyota Motor Corporation telah menawarkan peluang pekerjaan di Sabah khususnya dalam bidang pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan penyampaian anugerah Shogun Kabuto daripada Pengarah Urusan Hino Motors (Malaysia) Sdn Bhd, Atsushi Uchiyama kepada Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau.

Penganugerahan itu melambangkan penghormatan tertinggi di Jepun kerana berdasarkan sejarah, Shogun Kabuto adalah sejenis helmet digunakan pahlawan Jepun suatu ketika dahulu termasuk Samurai.

Joachim berkata kerjasama kedua-dua syarikat berkenaan diharapkan akan berterusan dalam jangka masa yang panjang dan dapat memberikan manfaat kepada ekonomi negeri Sabah.

Sementara itu, Dexter berkata penanugerahan  Shogun Kabuto menandakan kerjasama antara KTC dan Hino Motors (Malaysia ) Sdn Bhd semakin baik untuk meneroka tahap yang lagi tinggi.

“KTC akan melabur RM30 juta untuk memperoleh 200 unit trak Hino bagi mengukuhkan keupayaan logistic di kawasan Malaysia Timur dan Brunei. Saya yakin kerajasama ini akan mewujudkan peluang pekerjaan khususnya kepada rakyat Sabah. “KTC juga akan terus melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu rakyat yang memerlukan dan terbeban disebabkan pandemik COVID-19,” katanya.

Sumber: Bernama

Kerjasama syarikat tempatan, antarabangsa tingkatkan ekonomi Sabah – Joachim


Content Type:

Duration:

Peruntukan kerajaan negeri di bawah Agenda Johor Digital menerusi Belanjawan Johor 2022  bakal meletakkan Iskandar Puteri sebagai hab utama pembangunan teknologi dron dan robot, inovasi, pembangunan bakat dan teknologi digital.

Presiden dan Ketua Eksekutif Iskandar Investment Bhd (IIB) Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad berkata peruntukan tersebut akan terus memacu pembangunan hab digital dan bakat di Iskandar Puteri serta menarik pelaburan berimpak tinggi dan bakat berkemahiran tinggi ke Johor.

“Johor memerlukan ekosistem digital bersepadu untuk menghubungkan kerajaan dengan perniagaan dan pengguna bagi memastikan pembangunan wilayah Iskandar Malaysia dapat direncanakan dengan strategik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengenai Belanjawan Johor 2022, beliau berkata IIB menyambut baik peruntukan RM2.3 juta untuk Young Drone Pilot Programme yang turut menyasarkan 10,000 peserta.

Dalam usaha untuk membangunkan dan melaksanakan ekosistem teknologi berasaskan IR4.0 dan menyokong Wawasan 2030 Johor, IIB turut melancarkan Iskandar New Economy Experience Talent (Iskandar NEXT) pada Oktober 2020, yang diharapkan dapat membawa ekonomi digital, perniagaan dan bakat baharu ke Iskandar Malaysia.

IIB turut mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM2.2 juta yang bakal disalurkan melalui insentif Digital Johor Startup Grant untuk syarikat baru bakal beroperasi di Medini Iskandar Malaysia.

“Sehingga 100 syarikat disasarkan untuk menerima geran ini dalam tempoh dua tahun akan datang untuk menjadi pemacu pelaksanaan program komuniti di Common Ground Iskandar Space (CGIS) mulai Januari 2022 – ruang kerja bersama pertama di Johor.

“CGIS, yang menjurus ke arah membina komuniti “digitech”, menyediakan landasan untuk syarikat permulaan digital serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di pinggir bandar Medini,” katanya.

Turut disambut baik ialah inisiatif pembangunan bakat dan teknologi digital di Johor dan Geran Pekerjaan Iskandar Malaysia (IMEG) sebanyak RM4 juta yang dilaksanakan mengikut konsep keperluan tenaga kerja industri sektor ekonomi utama, kata Khairil Anwar.

Pada Ogos lepas, program Bakat Digital dan Teknologi Baru  Muncul  Johor (JDETT) telah dilancarkan bagi mengembang, memupuk dan melahirkan bakat menyokong sektor teknologi di wilayah Iskandar Puteri.

Menurut Khairil Anwar, inisiatif itu dilaksanakan bagi mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi melalui kerjasama kerajaan negeri Johor dan Persekutuan, selain disokong oleh industri, bakat, latihan dan rakan pembiayaan. Selain itu, inisiatif pembangunan modal insan oleh IIB iaitu Perantis Iskandar telah diwujudkan untuk mendidik dan membangunkan bakat teknikal di EduCity.

Sumber: Bernama

Iskandar Puteri bakal jadi hab utama pembangunan bakat, teknologi digital


Content Type:

Duration:

Pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura melalui pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat secara serentak dengan VTL udara mulai Isnin ini, akan menjadi pencetus semula kerancakan ekonomi kedua-dua negara.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata Johor khususnya memberi tumpuan berhubung pembukaan sempadan Malaysia-Singapura, akan mendapat manfaat daripada langkah berkenaan.

Katanya, persetujuan dicapai kedua-dua negara itu pastinya melegakan rakyatnya masing-masing terutama yang mempunyai keluarga di kedua-dua negara.

“Saya berpendapat pelaksanaan VTL darat dengan Singapura mampu menjadi pencetus semula kebangkitan dalam proses pemulihan ekonomi pasca COVID-19 bagi kedua-dua negara, khususnya di Johor.

“Memandangkan Johor adalah jiran terdekat Singapura, sudah pasti kehadiran pengembara dari negara jiran mampu merancakkan semula aktiviti ekonomi, apatah lagi republik itu adalah pelabur terbesar negeri ini sejak dahulu lagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

Isnin lalu, Hasni dilaporkan berkata, Johor bersedia menerima masuk seramai 1,440 individu pada minggu pertama laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat antara Malaysia dan Singapura.

VTL darat dilaporkan akan dilaksanakan secara serentak dengan VTL udara yang menggunakan lapangan terbang Changi di Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Malaysia bermula Isnin ini.

Sementara itu, Hasni berkata, pelaksanaan VTL darat dan udara itu juga membawa sinar kepada rakyat kedua-dua negara untuk menyambung dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang ‘terputus’ seketika akibat pandemik COVID-19.

“Menerusi pelaksanaan VTL ini, suami atau isteri dapat berjumpa semula dengan keluarga tersayang, anak-anak dapat kembali ke pangkuan ibu bapa dan rakyat kedua-dua negara sudah boleh mengunjungi saudara mara masing-masing.

“Yang penting, penantian ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura untuk kembali semula ke tanah air sudah berakhir,” katanya.

Hasni berkata, dalam menjayakan inisiatif berkenaan, kerajaan menerusi kerjasama pelbagai agensi peringkat negeri dan persekutuan tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan dan kesihatan awam.

“Pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) akan terus diperkasa bagi mengelak tercetus semula penularan COVID-19.

“Kedua-dua negara tidak mampu lagi untuk menutup semula pintu sempadan kerana saling bergantung antara satu sama lain,” katanya.

Sumber: Berita Harian

VTL udara, darat rancak ekonomi negara


Content Type:

Duration:

Kerajaan telah memutuskan Sarawak sebagai antara negeri terawal diberi keutamaan dalam perancangan pelaksanaan rangkaian 5G yang dijangka bermula tahun hadapan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Sehubungan itu, katanya, Sarawak telah menjadi keutmaan tinggi dalam Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

Jelas beliau, langkah ini diambil kerana melihat kedudukan Sarawak yang strategik dari sudut geopolitik dan kesalinghubungan (connectivity).

“Dalam keadaan geopolitik yang baru, kita lihat bagaimana kedudukan Kepulauan Borneo keseluruhannya menjadi satu kawasan strategik. 

“Indonesia juga memindahkan ibu negara mereka ke Borneo dan Kerajaan juga berhasrat untuk menjadikan Sarawak dan Sabah sebagai negeri yang diberikan keutamaan tinggi di dalam perancangan ini.

“Dalam konteks hubungan internet, kedudukan Sarawak sekali lagi menjadi yang paling strategik, ini tertmasuk akan datang dalam pembangunan kabel dasar laut.

“Satu daripada kabel yang sedang dirancang masa akan datang adalah melalui kawasan Sarawak dan Sarawak dikenal pasti sebagai satu daripada titik pendaratan kerana kedudukannya yang strategik” katanya pada sidang media setelah menghadiri Jelajah Komunikasi Strategik di Tanjung Manis, hari ini.

Di samping itu, katanya, Sarawak juga mempunyai penjanaan bekalan elektrik mesra alam yang sangat diperlukan terutama sekali dberkaitan dengan pusat data untuk kegiatan-kegiatan ‘clouds computing’ dan sebagainya.

Oleh itu, dalam perancangan pelaksanaan 5G,  Kerajaan telah memutuskan Sarawak antara negeri yang paling awal akan menerima pelaksanaan ini mulai pada tahun hadapan untuk fasa 30 peratus pertama kawasan berpenduduk dengan 5G.

“Ini bermakna kita perlu membuat persiapan untuk melengkapkan 4G, walaupun kita utamakan 5G, tetapi asasnya adalah juga kepada prasarana 4G. 

“Jadi, di sinilah program JENDELA yang sedang kita laksanakan pada Fasa 1 dan 2 yang akan dilaksanakan tidak lama lagi. Fasa 1 dan 2, kedua-duanya fokus utama adalah untuk negeri Sarawak.

“Lebih dari RM3 bilion untuk Sarawak sahaja. Ini adalah satu agenda besar, kerana Sarawak negeri yang unik dan besar, kemudian taburan penduduknya meluas,” katanya.

Sehubungan itu, menerusi semua dasar dan perancangan tersebut, semua kawasan penempatan penduduk dalam Sarawak haruslah tersambung dengan rangkaian jalur lebar, katanya lagi.

“Jadi kalau dapat kita bekalkan talian tetap atau rangkaian optik gentian. Bagi (kawasan) yang tidak ada rangkaian optik gentian, kita guna satelit, teknologi satelit terkini juga akan dibawa ke Sarawak. 

“‘Fiberisation’ di bawah titik kehadiran atau PoP yang sedang kita jalankan fasa satu dan fasa dua, tak berapa lama lagi juga tumpuannya Sarawak,” katanya.

Oleh kerana penyediaan prasarana dengan pelaburan yang besar ini, tegasnya, adalah penting mendapat penyertaan daripada rakyat di kawasan terlibat.

Sumber: Utusan Borneo

Pelaksanaan rangkaian 5G di Sarawak mulai tahun hadapan


Content Type:

Duration:

wpChatIcon