2021 Archives - Page 5 of 33 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Selangor sasar jadikan pameran penerbangan program utama susulan kejayaan SAS2021

Pameran Penerbangan Selangor 2022 (SAS2022) akan diadakan di Subang pada 8-10 September tahun depan berikutan kejayaan edisi pertama dan sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikannya sebagai program utama industri aeroangkasa.

Exco Industri dan Perdagangan Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata susulan pencapaian edisi SAS2021 pada 25-27 November yang memberangsangkan, acara pada tahun depan juga dijangka mempamerkan lebih banyak pesawat selain penyertaan lebih ramai pempamer.

“Acara Pameran Penerbangan Selangor ini sudah pastinya akan menjadi program utama dalam industri aeroangkasa negeri ini.

“Saya juga gembira untuk mengumumkan bahawa semalam, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 berjumlah RM2.34 bilion, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari telah menambah peruntukan lebih besar sebanyak RM5 juta bagi edisi SAS2022 ini.

“Peruntukan ini pastinya dapat membantu kita merancang acara SAS yang lebih besar dan hebat untuk anda semua,” katanya pada majlis penutup SAS2021 di sini, hari ini.

Edisi tahun ini disertai oleh enam negara termasuk Malaysia dan Teng menjangkakan SAS2022 akan menarik penyertaan 10 negara seperti Sepanyol,  United Kingdom, Jepun, Korea, China dan Rusia bagi membolehkannya setanding dengan pameran antarabangsa lain.

Menurutnya, pihak Invest Selangor Bhd selaku penganjur, juga menganggap masih banyak peluang yang boleh diterokai dalam industri tersebut.

“Menerusi sokongan komuniti perniagaan dan penerbangan amnya, terutama di Lapangan Terbang Subang dan Selangor, kami berharap dapat merealisasikan citacita untuk menjadikan Selangor sebagai hab perniagaan dan penerbangan ASEAN di masa akan datang,” katanya.

Teng turut mempelawa kalangan industri aeroangkasa untuk mendaftar awal dan menjadikan SAS2022 jauh lebih hebat.

Sebanyak 12 memorandum persefahaman (MoU) membabitkan pelbagai kerjasama subsektor industri aeroangkasa telah dimeterai pada SAS2021.

Ini termasuk kerjasama strategik antara Malaysia Airports Holdings Bhd  (MAHB) dan ExecuJet Aviation Group membabitkan pelaburan Dassault Aviation sehingga RM100 juta menerusi ExecuJet MRO Services Malaysia (ExecuJet) bagi membuka kemudahan baharu penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), sekali gus menjadikannya sebagai pusat kecemerlangan untuk Asia.

Pusat sehenti bagi jet perniagaan itu akan menjalankan perkhidmatan termasuk penyelenggaraan berat ke atas pesawat seperti  Dassault,  Bombardier dan Gulfstream.

Sumber: Bernama

Selangor sasar jadikan pameran penerbangan program utama susulan kejayaan SAS2021


Content Type:

Duration:

Program Kecerdasan Buatan (AI) bagi Universiti (A14U) yang dilancarkan semasa pembentangan Bajet 2022 baru-baru ini untuk menambah baik kualiti pendidikan merupakan bukti komitmen berterusan Malaysia dalam merapatkan jurang antara keperluan industri dan bekalan tenaga kerja muda tempatan.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia  (MIDA) berkata program  AI4U itu merupakan satu inisiatif yang disasarkan  untuk memperkenalkan  “visi mesin berasaskan AI” kepada komuniti universiti.

“Sejajar dengan aspirasi kerajaan Malaysia mempersiapkan negara dan golongan belianya bagi masa depan, program itu menyokong Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) untuk memajukan ekonomi digital, menormalkan pendigitalan bagi pembangunan inklusif, mempercepat penyelidikan, pembangunan dan inovasi serta memanfaatkan teknologi baru muncul,” katanya dalam satu kenyataan.

Program AI4U, yang dilancarkan secara maya semalam dianjurkan oleh MIDA secara kerjasama dengan Intel Malaysia dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Acara itu merupakan kesinambungan daripada program perintis Kecerdasan Buatan bagi PKS (AI4S) Intel yang dilancarkan pada Januari 2021.

Program AI4U itu dijangka memberi manfaat kepada graduan muda dan golongan kurang berkemampuan menerusi latihan tekninal dan pendidikan vokasional. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Promosi dan Pemudahan  MIDA Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata ia memberikan penekanan kepada kepentingan memupuk budaya minda AI dalam kalangan graduan universiti terutamanya mereka yang bukan dari latar belakang sains komputer.

“Saya yakin inisiatif ini yang dibangunkan  MIDA, Intel dan  MPC akan berfungsi sebagai pemangkin kepada universiti dan pusat pendidikan tempatan untuk melahirkan generasi baharu rakyat Malaysia yang celik AI dalam usaha menggerakkan negara ke arah mencapai Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0). 

“MIDA telah meningkatkan usahanya mempersiapkan tenaga kerja tempatan bagi pekerjaan masa depan, mengukuhkan kelebihan daya saing negara untuk menjadi destinasi pelaburan pilihan.

“Sebagai agensi penggalakan dan pembangunan pelaburan utama kerajaan, MIDA bekerjasama dengan institusi akademik, penggubal dasar dan pemain industri untuk melaksanakan inisiatif yang akan memacu kemahiran yang betul dan penggredan teknologi berterusan bagi tenaga kerja tempatan,” katanya.

Pengarah Urusan Intel Malaysia Aik Kean (AK) Chong berkata Intel akan menyokong program tersebut dengan meletakkan asas bagi pelaksanaan modul-modul ini termasuk melatih pensyarah.

“Program AI4U itu merupakan satu lagi inisiatif kerjasama antara Intel, MIDA dan MPC untuk mempersiapkan tenaga kerja masa depan kita bagi dunia AI, selepas pelancaran program AI4S dan AI bagi Belia (AI4Y).

“Ianya satu penghormatan untuk bekerjasama dengan MIDA dan MPC bagi menangani jurang AI di Malaysia dan menerusi program seperti AI4U, kami berharap dapat membawakan teknologi dan pengetahuan AI kepada semua pelajar tanpa mengambil kira pengkhususan mereka, sebagai sebahagian daripada keseluruhan matlamat kami untuk menyediakan kepada lebih ramai penduduk dengan kemahiran AI,” katanya.

Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata AI4U merupakan program susulan daripada kejayaan program AI4S.

“Sebagai rakan operasi projek AI4U  ini, MPC akan menguruskan seluruh proses latihan dengan sokongan teknikal daripada Intel,” katanya.

Majlis pelancaran maya itu turut disertai lima universiti awam dan swasta iaitu Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Tenaga Nasional dan Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik.

Sumber: Bernama

Program AI bagi universiti rapat jurang antara keperluan industri dan bekalan tenaga kerja – MIDA


Content Type:

Duration:

Negeri Se­langor disifatkan sebagai lokasi yang ideal bagi pelabur asing mewujudkan hab perniagaan global, khususnya dalam meme­nuhi pertumbuhan permintaan di rantau ASEAN yang kini pesat berkembang.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini kerana Selangor adalah pintu masuk ASEAN kerana kedudukannya yang strategik, disokong kemudahan infrastruktur
lengkap termasuk dua lapangan terbang antarabangsa, pelabuhan kontena kedua terbesar di rantau ini dan rangkaian jalan raya serta landasan kereta api yang maju.

“Hal ini ditambah dengan rantaian nilai yang mantap dalam pelbagai industri, daripada aero angkasa sehingga farmaseutikal dan sektor halal serta ketersambungan berstruktur sama ada dalam atau di luar talian.

“Selangor sememangnya menawarkan kelebihan yang tidak ternilai buat pelabur asing yang memiliki perancangan untuk menembusi pasaran ASEAN dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2021 semalam.

Majlis disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mewakili Sultan Se­langor.

Persidangan selama empat hari sehingga 21 November itu menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (F&B), Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor, Konvensyen Ekonomi Digital dan Bandar Pintar Selangor, Ekspo Inovasi dan R&D Selangor, Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) serta Ekspo Taman Perindustrian Selangor.

Acara tahunan tersebut turut menyaksikan pelancaran Ini­siatif Pelan Tindakan Bioteknologi Se­langor dan Garis Panduan Stan­dard Pengurusan Taman Perindustrian Selangor.

Tahun lalu, Selangor menerima pelaburan langsung asing dan domestik bernilai RM38.7 bilion, yang mana sejumlah RM18.4 bi­lion daripadanya disumbangkan oleh sektor pembuatan, manakala selebihnya daripada sektor pri­mer dan perkhidmatan.

Sumber: Kosmo

Selangor ideal untuk pelabur asing wujud hab global


Content Type:

Duration:

Syarikat semikonduktor Amerika Syarikat (AS), onsemi telah meningkatkan strategi  untuk memacu inovasi pengubah yang menyumbang terhadap ekosistem mampan  penjanaan tenaga kenderaan, keselamatan canggih, tenaga alternatif dan automasi kilang.

Naib Presiden Global onsemi, Jose Hernandez berkata AS juga berminat untuk bekerjasama dengan negara-negara seperti Malaysia yang berperanan penting dalam rantaian bekalan terbabit.

“Masalah kekurangan semikonduktor adalah kritikal di segenap dunia sejak beberapa bulan lepas dan ini memberi impak ketara dari segi ketersediaan produk harian di AS.

“Satu delegasi AS melakukan kunjungan ke sini pada hari ini dan mereka dalam misi komersial untuk memperkukuh kerjasama dengan Malaysia. Mereka juga amat berminat dengan rantaian bekalan sektor semikonduktor,” katanya kepada pemberita di kilang onsemi di Senawang Industrial Estate di sini, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Perdagangan AS Gina M. Raimondo yang dalam rangka lawatan empat hari ke Asia, melakukan lawatan ke kilang tersebut.

Mengulas selanjutnya, Hernandez berkata syarikat itu berada di Malaysia  sejak 1979 dan menyifatkan negara ini antara lokasi paling strategik untuk menangani kekurangan cip global pada masa ini.

“Prospek perniagaan di Malaysia amat baik. Kami tidak hanya terbabit dalam pembuatan tetapi turut meliputi reka bentuk dan pembangunan teknologi canggih untuk benda-benda baharu.

“Paling terbaharu, usaha kami banyak menumpukan aspek kemampanan. Sebagai contoh, kami membuat reka bentuk dan pembangunan modul tenaga kenderaan elektrik yang dapat membantu menjadikan keadaan dunia yang lebih baik (dari segi alam sekitar),” katanya.

Syarikat terbabit turut menyelami aspek  dinamik rantaian bekalan terutama ketika krisis COVID-19, termasuk  perubahan model perniagaan dari segi libat urus dengan para pelanggan, katanya.

Hernandez berkata sebelum pandemik, penglibatan itu lebih bercirikan urus niaga namun sekarang berubah kepada kerjasama jangka panjang dengan pelanggan utama terlibat dalam perjanjian bekalan jangka panjang dengan syarikat berkenaan.

Sementara itu, Raimondo pula berkata AS melihat Malaysia sebagai rakan penting dalam industri semikonduktor selepas jalinan hubungan 50 tahun dengan syarikatsyarikat berkaitan di negara ini.

“Malaysia telah menjalankan banyak pembungkusan, pemasangan, pengujian dan kualiti yang cemerlang.

“Rantaian bekalan ini amat rumit dan kami melihat hubungan di Malaysia sebagai amat penting. Malah, kami berharap untuk meningkatkan lagi usaha itu dan mahu bekerjasama lebih erat dengan kerajaan Malaysia untuk memantau rantaian bekalan,” katanya. Menurutnya, AS akan turut melabur berbilion-bilion dolar bagi insentif mewujudkan lebih banyak kemudahan semikonduktor di AS serta di negara-negara sekutu seperti Malaysia.

Sumber: Bernama

Malaysia berperanan penting dalam rantaian bekalan semikonduktor – onsemi


Content Type:

Duration:

Inisiatif Pelan Tindakan Bioteknologi Selangor (SBAP) 2021-2030 dibangunkan bertujuan untuk mengenal pasti potensi subsektor bioteknologi dan memperluaskan ekosistem industri tersebut di negeri itu.

SBAP 2021-2030 dilancarkan hari ini pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor dan Invest Selangor Berhad.

Invest Selangor dalam kenyataannya menjelaskan, kluster bioteknologi merupakan sektor baharu yang berpotensi tinggi untuk menjana pertumbuhan ekonomi baharu bagi Selangor.

“SBAP 2021-2030 dirangka berdasarkan kajian semula Dasar Bioteknologi Negara dan menilai pencapaian dasar tersebut sehingga kini selepas ia dilancarkan 15 tahun lalu.

“Hasil kajian daripada tinjauan lapangan, analisis dan penada aras serta pandangan daripada pihak berkepentingan yang dikumpulkan adalah input utama untuk pembangunan SBAP 2021-2030.

“SBAP 2021-2030 memperkasa aspirasi Selangor dengan visi untuk menjadikan Selangor sebagai hab bioteknologi untuk inovasi, perkongsian teknologi, pelaburan dan pembangunan modal insan,” katanya.

Dalam pada itu, SBAP 2021-2030 berperanan untuk membentuk tadbir urus negeri dalam memutuskan dasar, melaksana dan memantau strategi dan inisiaif sektor bioteknologi. Usaha untuk memperkasa sektor bioteknologi juga dilihat bakal menyaksikan pertumbuhan ekonomi dengan memenuhi kehendak pengguna tanpa menjejaskan jejak karbon rendah dan kemampanan sumber biologi.

Sumber: Astro Awani

Pelan Tindakan Bioteknologi Selangor (SBAP) 2021-2030 dilancarkan


Content Type:

Duration:

Malaysia dan Amerika Syarikat telah menandatangani kenyataan bersama yang menyentuh mengenai kepentingan untuk meningkatkan kerjasama masa hadapan dalam aspek yang berkaitan dengan pemampanan perdagangan, pelaburan, fasilitasi industri dan hubungan serta kerjasama teknikal.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kedua-dua negara bersetuju untuk berkolaborasi dalam bidang seperti produk pengawalan perubahan iklim, perdagangan digital, peranti perubatan dan elektrik dan elektronik.

“Selanjutnya, kedua-dua negara bersetuju untuk saling berkolaborasi dengan rakan kongsi industri untuk meningkatkan kerjasama dalam ketelusan, keselamatan dan daya tahan rantaian bekalan semikonduktor,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat meja bulat semikonduktor bersama-sama dengan Setiausaha Perdagangan AS Gina Raimondo bersempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia hari ini.

Azmin berkata pada sesi meja bulat itu, syarikat-syarikat semikonduktor terkemuka yang mengambil bahagian telah menyatakan pandangan yang tertumpu kepada tiga bidang utama iaitu kesan COVID-19 ke atas rantaian bekalan global; kesan pandemik terhadap syarikat semikonduktor Malaysia di peringkat domestik dan serantau; dan langkah ke hadapan untuk Malaysia meningkatkan daya tahannya dalam rantaian bekalan global serta peranan AS dalam memperkukuh usaha ini. 

Mengenai lawatan rasmi Raimondo ke Malaysia, Azmin berkata ia memperlihatkan hubungan ekonomi Malaysia-AS yang utuh serta hubungan dua hala yang dinamik di antara kedua-dua negara yang telah dibina sejak beberapa dekad yang lalu.

“Lawatan ini adalah signifikan kerana merupakan lawatan pertama oleh Pegawai Kanan Kabinet di bawah pentadbiran Biden-Harris yang telah meletakkan fokus yang kuat ke atas polisi ekonomi asing yang berpaksi kepada prinsip berteraskan peraturan dalam sistem perdagangan pelbagai hala,” katanya.

Beliau menambah lawatan sulung Raimondo ini dimulakan dengan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyaksikan mereka berkongsi pandangan mengenai pelbagai perkara termasuk pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi.

“Susulan kepada kunjungan hormat itu, Raimondo dan saya telah mengadakan mesyuarat dua hala yang melibatkan perbincangan mengenai pembangunan kerjasama dalam bidang-bidang baharu termasuk ekonomi digital dan teknologi hijau.

“Dalam hal ini, kami berbincang tentang langkah terbaik bagi AS dan Malaysia untuk meningkatkan usahasama dalam inisiatif penyahkarbonan dan langkah-langkah dalam aspek kelestarian,” katanya.

Azmin berkata kedua-dua pihak bersependapat bahawa rintangan COVID-19 telah menyebabkan kerumitan dan melemahkan rantaian bekalan global sehingga memerlukan usaha yang lebih kukuh dalam membina daya tahan rantaian bekalan.

Justeru, beliau berkata perbincangan itu turut menyentuh tentang kekurangan cip global dan kepentingan kesalinghubungan dalam kepelbagaian ekonomi.

“Malaysia dan AS bersetuju bahawa kedua-dua negara perlu meningkatkan kerjasama ekonomi secara menyeluruh berikutan kepentingan Malaysia dan AS dalam rantaian bekalan global bagi sektor ini,” kata beliau.

Berkenaan dengan langkah-langkah mendepani pandemik, beliau berkata kedua-dua pihak bersetuju bahawa kerjasama global adalah kunci untuk memastikan ekonomi kekal di landasan yang betul dan bebas daripada krisis.

Sumber: Bernama

Malaysia, AS meterai kenyataan bersama tingkatkan kolaborasi dalam perdagangan, pelaburan


Content Type:

Duration:

Kerajaan negeri Perak telah mengenal pasti sebanyak 1,389 projek keutamaan yang telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata keseluruhan projek yang dikenal pasti itu merangkumi nilai siling berjumlah RM27.58 billion.

“Antara projek utama yang telah dikenal pasti adalah Pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP) dan pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata SVTP adalah taman perindustrian baharu di Chemor yang melibatkan kawasan seluas 1,139.2 hektar dan dijangka menjadi pemacu sektor pembuatan berteknologi tinggi serta pemangkin Revolusi Industri 4.0.

Kawasan itu, katanya, akan dibangunkan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dalam tempoh empat tahun bermula tahun ini.

Menurut Saarani, SVTP akan memfokuskan kepada lima sektor pembuatan utama berteknologi tinggi iaitu Sektor Elektrik dan Elektronik, Sektor Peranti Perubatan dan Farmaseutikal, Sektor Sistem Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV), Sektor Pertanian Pintar dan Sektor Ekonomi Digital.

Sementara itu, beliau berkata, WCE pula adalah projek berimpak tinggi yang dijangka siap sepenuhnya pada 2024, iaitu buat masa ini Seksyen Lapan, Sembilan, dan 10 telah mula dibuka kepada orang ramai, melibatkan kos RM1.9 billion bagi jajaran di Perak.

“Pembukaan lebuh raya ini akan meningkatkan kesalinghubungan dan memudahkan akses ke kawasan pantai barat dari utara ke selatan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, menurut EPU dalam satu kenyataan, siri jerayawara RMK12 yang diadakan bersama kerajaan negeri Perak hari ini memberi fokus kepada pembangunan digital.

Menurut kenyataan itu, pada sesi libat urus yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, kerajaan negeri Perak telah menekankan mengenai pendigitalan khususnya untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain kepentingan kualiti liputan yang perlu diberi perhatian.

“Infrastruktur digital di Perak sedang ditambah baik melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilaksanakan bermula tahun 2020 sehingga 2022,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut pencapaian JENDELA di Perak sehingga suku keempat tahun ini adalah membina 176 buah menara baharu bagi memperluas liputan 4G dan sehingga kini sebanyak 46 menara baharu telah siap dibina.

Selain itu, sebanyak 1,596 daripada 1,882 stesen pemancar untuk liputan 4G telah dinaik taraf, manakala 107,944 daripada 252,475 premis telah menerima capaian gentian optik.

“73 buah perkampungan Orang Asli juga akan menerima liputan jalur lebar satelit tanpa wayar dan status terkini, semuanya masih dalam pelaksanaan,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Okt lepas telah bersetuju menubuhkan Majlis Ekonomi Digital dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negeri yang dipengerusikan Mustapa dan dianggotai exco kerajaan negeri yang memegang portfolio digital.

Majlis itu bertujuan mengharmonikan pelan pembangunan digital di peringkat pusat dan negeri berdasarkan RMK12, Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR Negara, selain memastikan kualiti ketersambungan digital dan akses kepada internet berada pada tahap yang terbaik untuk manfaat kepada rakyat.

“Pendigitalan amat penting untuk pemulihan ekonomi akibat COVID-19 dan kemampanan ekonomi. Majlis Ekonomi Digital dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negeri amat penting untuk pusat dan negeri dapat bergerak seiring mencapai sasaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Sumber: Bernama

Kerajaan Perak kemukakan 1,389 projek keutamaan bernilai RM27.58 bilion – RMK12


Content Type:

Duration:

Kerajaan akan menubuhkan Majlis Ekonomi Digital dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negeri untuk mengharmonikan pelan pembangunan digital di peringkat pusat dan negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata majlis tersebut berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR Negara.

Beliau berkata penubuhan majlis itu telah dipersetujui oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Okt, 2021.

Majlis ini juga akan memastikan kualiti ketersambungan digital dan akses kepada internet berada pada tahap yang terbaik untuk manfaat rakyat.

“Pendigitalan amat penting untuk pemulihan ekonomi akibat COVID-19 dan kemampanan ekonomi. Majlis Ekonomi Digital dan Dasar 4IR Negeri amat penting untuk pusat dan negeri dapat bergerak seiring mencapai sasaran Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya beliau yang akan mempengerusikan majlis tersebut dan dianggotai oleh exco-exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab dalam portfolio digital akan mengadakan mesyuarat pertama dalam masa terdekat.

Beliau berkata majlis itu akan turut menjadi platform untuk berkongsi idea dan pengalaman mengenai pembangunan digital di negeri masing-masing kerana ada di antaranya telah mempunyai perancangan yang teliti untuk masa depan.

Dalam pada itu, Unit Perancang Ekonomi (EPU) mengadakan siri jerayawara RMK-12 bersama kerajaan negeri Perak hari ini untuk menghebahkan dasar, strategi dan inisiatif RMK12 kepada semua pihak berkepentingan di peringkat negeri.

EPU telah mengadakan 11 siri jerayawara bersama kerajaan negeri termasuk bersama kerajaan negeri Perak dan satu sesi libat urus bersama ahli akademik, kumpulan pemikir dan wakil industri.

Mustapa berkata infrastruktur digital di Perak sedang ditambah baik melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilaksanakan bermula tahun 2020 hingga 2022.

Sehingga suku keempat 2021, JENDELA di negeri tersebut telah membina 176 buah menara baharu bagi memperluas liputan 4G dan sehingga kini, sebanyak 46 menara baharu telah siap dibina.

Selain itu, menaik taraf 1,882 stesen pemancar untuk liputan 4G dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,596 stesen telah dinaik taraf.

Sebanyak 252,475 premis akan menerima capaian gentian optik dan sebanyak 107,944 premis telah menerima capaian gentian optik manakala 73 buah perkampungan Orang Asli sedang dalam pelaksanaan untuk menerima liputan jalur lebar satelit tanpa wayar.

Sumber: Bernama

Kerajaan tubuh Majlis Ekonomi Digital dan Dasar 4IR Negeri bagi harmonikan pelan pembangunan digital


Content Type:

Duration:

Malaysia mampu membina semula kekuatan dan melonjakkan ekonomi negara menjadi lebih baik sekiranya sektor strategik baharu dapat diteroka dalam kalangan pelabur asing seterusnya menjadikannya sebagai rantaian bekalan global.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata antara sektor strategik baharu yang boleh dibangunkan dengan lebih erat ialah ekonomi digital, kesihatan awam dari segi penyelidikan penyediaan pandemik masa depan, peralatan perubatan, perubatan, kelestarian alam sekitar serta pertahanan dan keselamatan. 

“Saya melihat lebih banyak ruang dan peluang untuk syarikat dari negara seperti United Kingdom (UK) untuk masuk dan melabur di Malaysia bukan sahaja dalam sektor yang sudah dipelopori tetapi juga sektor strategik yang baharu.

“Ini juga selari dengan perbincangan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam misi perdagangan beliau ke UK pada Oktober lepas apabila beliau telah memaklumkan hasrat syarikat dari UK untuk melabur sebanyak RM800 juta di Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan khas bersama British Malaysia Chamber of Commerce (BMCC) di sini, hari ini. 

Katanya dalam MPN menyusun strategi untuk memastikan pemulihan negara didorong oleh pertumbuhan, pelaburan termasuk pelaburan langsung asing (FDI) itu penting untuk memastikan sektor strategik ekonomi negara seperti sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan dapat terus berkembang.

“Ia juga bagi menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan untuk lebih ramai rakyat Malaysia. Dalam bergerak ke hadapan, proses pemulihan negara kita perlu terus berusaha meyakinkan pelabur mengenai prospek ekonomi Malaysia,” katanya. 

Mengenai pertemuan khas yang berlangsung selama kira-kira dua jam itu, Muhyiddin berkata perbincangan seperti ini amat penting untuk mendengar buah fikiran dan bertukar pendapat dengan pemain industri termasuk syarikat antarabangsa yang telah melabur di Malaysia dalam pelbagai sektor termasuk sektor pembuatan, perkilangan, petroleum, pertahanan, kewangan dan kesihatan.

“Ramai wakil daripada syarikat-syarikat besar dari UK yang hadir pada pagi ini membuktikan bahawa mereka berminat untuk mengetahui mengenai perkembangan proses pemulihan negara dan yakin bahawa prospek ekonomi Malaysia ke hadapan itu adalah cerah.

“Banyak perkara telah dikemukakan kepada saya dan saya telah minta BMCC untuk mengemukakan laporan dan cadangan. Saya akan memberikan ruang untuk mereka bentang dalam Majlis Pemulihan Ekonomi dan mungkin ada perkara yang boleh kita berikan perhatian dan laksanakan,” katanya. 

Antara cadangan yang dikemukakan BMCC termasuklah insentif pelaburan, bantuan kos perniagaan, menyegerakan proses pengambilan pegawai dagang dalam sektor minyak dan gas. 

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata hubungan dagang antara Malaysia dan UK adalah satu hubungan strategik yang penting untuk kedua-dua negara. 

“Malaysia merupakan rakan dagang kedua terbesar UK dalam kalangan negara-negara ASEAN. Sebelum pandemik pada 2019, nilai FDI dari UK ke Malaysia adalah sebanyak £3.7 bilion tetapi pada 2020, UK tidak berada dalam senarai Top 10 FDI ke Malaysia,” katanya.

Ditanya sama ada peningkatan kes harian dan COVID-19 menjejaskan proses pemulihan negara, beliau berkata setakat ini, ia tidak memberi kesan kepada proses pemulihan.

“Memang ada peningkatan kes harian tetapi ini kategori satu, dua dan tiga… yang serius tidak begitu besar. 

“Namun, ini juga perkara penting untuk diambil perhatian supaya kita tidak lupa untuk patuh kepada prosedur operasi standard termasuk penjarakan fizikal,” katanya.

Sumber: Bernama

Pelaburan dalam sektor strategik baharu mampu lonjak ekonomi Malaysia


Content Type:

Duration:

Sime Darby Bhd menubuhkan pasukan petugas khas mobiliti bagi meneroka peluang baharu sektor automotif dengan pelaburan kira-kira RM42 juta setakat ini dalam syarikat pemula niaga mobiliti.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Jeffri Salim Davidson, berkata dorongan Sime Darby ke arah mobiliti adalah ‘enjin kedua’ kepada ‘enjin pertama’ Sime Darby Motors, yang terus diperkuatkan sehingga mencapai potensi sepenuhnya.

Enjin pertama merujuk kepada perniagaan permotoran sedia ada kumpulan itu yang terus diperkukuhkan, manakala enjin kedua berkaitan dengan strategi yang menumpukan masa depan untuk memanfaatkan aliran mobiliti baharu.

“Kami sudah membangunkan strategi mobiliti sebagai sebahagian daripada usaha kami dalam merevolusikan dan mengubah bahagian permotoran kami untuk bersedia bagi sektor automotif masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jeffri berkata, pelaburan terbaharu Sime Darby sebanyak RM42 juta dalam syarikat perkongsian kenderaan SOCAR dan platform kenderaan terpakai dalam talian CARRO memperlihatkan cita-citanya untuk berkembang dalam mobiliti.

“Sejak 2018, Sime Darby bekerjasama dengan SOCAR dalam penjualan kereta baharu dan kereta terpakai, pengurusan armada dan perkhidmatan selepas jualan mudah alih, selain bekerjasama dengan CARRO sejak 2020 dalam ekosistem kereta terpakai dan pajakan kenderaan di Malaysia dan Singapura,” katanya.

Beliau juga berkata, pelaburan ini adalah penting dalam mengembangkan perniagaan melangkaui pengedar tradisional dan dalam menerima model pemilikan alternatif selain untuk memanfaatkan potensi pertumbuhan yang kukuh dalam industri perkongsian kereta di rantau ini.

“Pelaburan kami dalam syarikat pemula niaga ini adalah strategik dan simbiotik. Ia datang selepas kami menghabiskan satu atau dua tahun kebelakangan ini dalam kerjasama untuk beberapa bidang bagi melihat bagaimana kami boleh memanfaatkan kekuatan satu sama lain,” tambahnya.

Sumber: Bernama

Sime Darby tubuh pasukan khas mobiliti


Content Type:

Duration:

Straits Ener­gy Resources Berhad (Straits Energy) telah memeterai memorandum persefahaman dengan Baicells Technologies Co., Ltd (Baicells).

Kerjasama tersebut bertujuan untuk memacu peluang perniagaan komunikasi rangkaian tanpa wayar yang semakin berkembang bagi pelancaran 4G dan 5G serta transformasi digital industri minyak dan gas (O&G) melalui internet kebendaan (IoT) di Malaysia dan serantau.

Baicells adalah syarikat antarabangsa, menyediakan penyelesaian akses NR 4G LTE dan 5G inovatif teknikal yang menghubungkan lebih 50 negara di seluruh dunia.

Pengarah Urusan Kumpulan Straits, Datuk Seri Ron Ho Kam Choy berkata, pihaknya teruja dengan kerjasama tersebut untuk meneroka dan memanfaatkan potensi perniagaan yang besar dalam ruang pelancaran 4G dan 5G serta IoT di Malaysia dan serantau.

Menurutnya, ekonomi dan teknologi digital akan menjadi tulang belakang kepada perkembangan ekonomi negara dan Straits sedang mengge­rakkan sumber dengan pantas untuk mengembangkan arena digital yang luas ini dalam pelancaran teknologi 4G dan 5G dan juga dalam transformasi digital industri minyak dan gas.

“Melalui infrastruktur dan rangkaian perniagaan sedia ada, kami optimis bahawa syarikat boleh menyumbang kepada proses pendigitalan berterusan bagi kedua-dua sektor awam dan swasta dengan sokongan kukuh Baicells dan rakan kerjasama lain,” katanya dalam kenyataan.

Sumber: Kosmo

Straits Energy meterai MoU dengan Baicells


Content Type:

Duration:

Kerajaan Kedah menjangkakan dapat menarik pelaburan baharu ke negeri ini berjumlah kira-kira RM10 bilion pada tahun depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata untuk mencapai sasaran itu, ia memerlukan usaha keras serta kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Kita sasarkan setiap tahun (mulai tahun depan) akan ada pelaburan, paling kurang RM10 bilion yang akan kita tarik masuk ke Kedah kerana kita ada kawasan industri yang berpotensi seperti Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam, Kedah Rubber City (KRC) dan kawasan industri sedia ada di Gurun, Bukit Selambau dan Sungai Petani.

“Inilah kawasan-kawasan yang kita tawarkan untuk menarik pelabur masuk ke Kedah bagi menyediakan peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi daripada peningkatan industri yang berlangsung,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Bajet Kedah 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Terdahulu, ketika membentangkan bajet bertemakan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’, Muhammad Sanusi memaklumkan kerajaan negeri berjaya menarik pelaburan keseluruhan sebanyak RM43.6 bilion tahun ini meskipun berhadapan kesuraman ekonomi global disebabkan COVID-19.

“Ia merangkumi RM42.5 bilion dalam sektor perkilangan manakala RM1.1 bilion dalam sektor perkhidmatan dan industri utama. Pelaburan tahun 2021 telah menunjukkan peningkatan dan menjadikan negeri Kedah berada di tangga pertama, mendahului negeri lain di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata antara pelaburan utama pada tahun ini telah disumbangkan melalui pelaburan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui iaitu Risen Solar Technology Sdn Bhd, diikuti Syarikat Munzing Malaysia Sdn Bhd sebanyak RM55 juta, Syarikat SP Mega Mineral Sdn Bhd (RM29 juta) dan beberapa lagi syarikat lain.

Pelaburan ini telah membuka peluang pekerjaan sebanyak 4,417 pelbagai jawatan yang bakal dinikmati oleh rakyat Malaysia secara amnya dan Kedah secara khususnya, ujar beliau.

Beliau menambah bagi tahun 2022 pula, kerajaan negeri berpandukan Teras Kemakmuran Ekonomi di bawah Pelan Pembangunan Negeri Kedah 2035 (KEDAH2035) menyasarkan beberapa lagi syarikat ternama yang akan memilih Kedah sebagai destinasi pelaburan utama.

“(Untuk) pemajuan kawasan industri Kulim Technology Park Corporation (KTPC), kerajaan negeri telah bersetuju bagi melaksanakan pembesaran KHTP Fasa 4A dan Fasa 5 dengan keluasan 695 ekar bagi menampung permintaan daripada pelabur,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata dijangkakan 15,000 peluang pekerjaan baharu dapat diwujudkan kepada penduduk setempat terutamanya di negeri ini daripada projek pembesaran berkenaan.

Sumber: Bernama

Kedah jangka tarik pelaburan baharu kira-kira RM10 bilion tahun 2022


Content Type:

Duration:

Kerajaan akan memperkenalkan MSC 2.0 dengan penjenamaan serba baharu dan akan ditambah baik bagi tujuan menangani jurang digital sedia ada, mendepani cabaran dan kekangan semasa serta meningkatkan tawaran nilai Malaysia dalam menarik lebih banyak pelaburan digital ke seluruh negara.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, usaha ini adalah sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Katanya keputusan tersebut diambil menerusi mesyuarat keempat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

“Selama 25 tahun, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menerusi inisiatif MSC Malaysia telah berjaya meningkatkan sumbangan ekonomi digital dari sifar peratus kepada lebih 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat 31 Dis 2020, beliau berkata MSC Malaysia telah membantu negara meraih pelaburan berjumlah lebih RM384 bilion dan pendapatan berjumlah RM588 bilion.

Mustapa berkata negara telah berkembang menjadi kuasa ekonomi digital global dengan berada pada kedudukan tiga terbaik dalam Indeks Lokasi Perkhidmatan Global oleh Kearney sejak 2004 menerusi inisiatif ini.

“Oleh itu, usaha mendigitalkan ekonomi rakyat dan merakyatkan ekonomi digital akan diteruskan,” katanya.

Selain itu, katanya kerajaan berpuas hati dengan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mengikut jadual di mana sebanyak 6.427 juta premis mendapat liputan gentian optik, purata kelajuan jalur lebar mudah alih ditingkatkan kepada 31.34 Mbps dan liputan 4G meningkat kepada 94.03 peratus di kawasan berpenduduk sehingga suku ketiga 2021.

“Rangkaian 5G di seluruh Malaysia akan dilaksanakan secara agresif bertujuan mencapai sasaran liputan 80 peratus di kawasan berpenduduk menjelang 2024 bagi memastikan negara kembali setanding dengan negara-negara jiran dalam masa terdekat,” katanya.

Bagi mendorong adaptasi teknologi digital oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Mustapa berkata MyDIGITAL Corporation akan menganjurkan Program Pemerkasaan Pendigitalan PMKS Kebangsaan 2021 pada 21 hingga 23 Nov 2021.

Katanya program ini diadakan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, MDEC, MCMC serta agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan.

“Majlis pelancaran akan dirasmikan di Bera, Pahang oleh Perdana Menteri. Program ini diadakan untuk berkongsi maklumat mengenai pakej rangsangan atau sokongan yang disediakan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri, pihak swasta, serta berkongsi pengalaman usahawan yang telah mencapai kejayaan daripada bantuan-bantuan tersebut,” katanya.

Mustapa berkata mesyuarat tersebut memutuskan bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui agensi Cradle Fund Sdn. Bhd menyelaras dan memantau pelaksanaan Malaysia Startup Ecosystem Roadmap (SUPER) 2021-2030 melalui platform MYStartup dalam usaha meletakkan Malaysia pada kedudukan 20 teratas dalam ekosistem pemula niaga global menjelang 2030.

Selain itu, beliau berkata pencapaian inisiatif MyDIGITAL akan dijadikan sebagai indeks petunjuk prestasi utama (KPI) untuk menteri-menteri dan ketua jabatan selaras dengan kepentingan ekonomi digital.

Sumber: Bernama

MSC 2.0 akan diperkenalkan bagi menarik lebih banyak pelaburan digital – Mustapa


Content Type:

Duration:

Minggu Kluster Halal akan mempamerkan penjenamaan Halal Malaysia dengan peluang pasaran baharu sehingga AS$80 juta (AS$1=RM4.16) dari segi potensi perdagangan dan pelaburan, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Norazman Ayob.

Beliau berkata Minggu Kluster Halal akan menjadi platform utama yang menghimpunkan komuniti perniagaan halal dari seluruh dunia.

“Aktiviti yang dijalankan sepanjang Minggu Kluster Halal ini akan menyumbang kepada kemampanan Halal Malaysia dalam jangka masa panjang,” katanya pada majlis pelancaran acara itu secara maya hari ini.

Minggu Kluster Halal bermula dari 14 hingga 20 Nov, 2021 bersempena dengan World Expo 2020 Dubai diterajui oleh Halal Development Corporation (HDC) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Beliau berkata MATRADE dan HDC, bersama 19 syarikat Malaysia yang mengambil bahagian, akan terlibat dalam Misi Pertingkat Eksport Ekosistem Digital Halal yang memberi tumpuan kepada sektor seperti e-dagang – e-peniaga, gerbang pembayaran, tempat e-pasaran, e-penunaian, logistik, gaya hidup serta makanan dan minuman.

Norazman berkata acara itu akan turut menyaksikan kerjasama Malaysia dengan rakan dagang utama melalui perkongsian pengetahuan, logistik dan jaringan rantaian bekalan serta pengembangan pasaran melalui platform digital.

“Ini termasuk kerjasama HDC dengan African Institute of Islamic Finance (AIIF), sesi latihan perkongsian pengetahuan Rantaian Bekalan Halal dan Logistik serta pameran platform Digital Halal Malaysia yang menampilkan Platform Bersepadu Halal (HIP) dan Pusat Pengetahuan Halal (HKC),” katanya.

Sementara itu, katanya pelancaran Dana Kemudahan Bantuan Kewangan oleh Standard Chartered Saadiq, dengan kerjasama HDC, dijangka memberi manfaat kepada syarikat Malaysia yang berkembang di luar negara dan syarikat asing yang merancang untuk mewujudkan kehadiran komersial di Taman Perindustrian Halal Malaysia.

“Kami berpendapat pembolehubah ini akan menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk utama ke pasaran Halal Timur Tengah,” katanya.

Pada majlis itu, HDC turut bertukar Memorandum Persefahaman dengan Chartered Institute Logistics and Transport (CILT) International, yang akan membawa kepada pembangunan Sistem Pengurusan Rantaian Bekalan Halal (HSCMS).
Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari berkata HSCMS yang komprehensif itu akan merangkumi pembangunan sistem dan modul serta program latihan halal kepada 36 pejabat negara CILT di seluruh dunia dan pembangunan tenaga kerja dan pakar halal.

“Kami menjangka peningkatan yang ketara dalam perdagangan Halal dalam industri logistik dengan kerjasama ini,” katanya.

Sumber: Bernama

Minggu Kluster Halal pamer penjenamaan halal Malaysia dengan peluang pasaran baharu sehingga AS$80 juta


Content Type:

Duration:

PDZ Holdings Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Protev Asia Limited (Protev) untuk menembusi segmen sarung tangan getah hospital dan tentera di Kesatuan Eropah (EU).

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PDZ Datuk Christopher Tan Chor How berkata syarikat merancang untuk memasang dan mengoperasikan sehingga lapan barisan celupan sarung tangan secara berperingkat bagi memberi tumpuan kepada pembuatan sarung tangan nitril gred perubatan.

“Ia dijangka menghasilkan jumlah kapasiti pengeluaran sebanyak 1.94 bilion unit setahun dengan operasi penuh dalam tempoh 36 bulan, untuk jangkaan pulangan ke atas ekuiti sekurang-kurangnya 10 peratus.

“Jumlah perbelanjaan modal untuk memulakan perniagaan sarung tangan adalah sebanyak RM104.8 juta, terdiri daripada RM25 juta untuk pengambilalihan bangunan kilang, RM56.7 juta untuk perbelanjaan modal, RM22.1 juta untuk modal kerja, termasuk pembelian bahan mentah, gaji kakitangan dan langkah pengambilan, manakala baki sebanyak RM1 juta untuk fi profesional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Tan, inisiatif kepelbagaian akan dibiayai sebahagiannya daripada pengagihan semula dana yang diperoleh dalam terbitan hak sebelum ini sebanyak RM19.9 juta dan RM56.0 juta diraih daripada terbitan 400.25 juta saham baharu dan 133.4 juta waran percuma mengikut terbitan hak baru-baru ini.

Baki perbelanjaan modal akan dibiayai oleh pinjaman bank, dana dalaman dan langkah pengumpulan dana pada masa depan apabila diperlukan, katanya.

PDZ telah mengenal pasti bangunan kilang satu tingkat seluas 140,000 kaki persegi di Kulai, Johor, yang didirikan di tanah seluas 2.64 hektar, yang boleh memenuhi sebarang pengembangan perniagaan sarung tangan pada masa depan yang kini sedang dirancang.

“Hospital dan agensi ketenteraan EU berminat untuk menyimpan stok sarung tangan getah sebagai persediaan untuk potensi ancaman biologi pada masa depan.

“Dengan Protev sebagai syarikat pemerolehan dan pengurusan projek yang bereputasi, bersama-sama dengan PDZ, kami akan memanfaatkan pasaran premium ini di EU,” menurut syarikat itu.

Sementara itu, PDZ berhasrat untuk mengambil sehingga 152 pekerja untuk menjalankan pelbagai peranan bagi perniagaan sarung tangan.

Dari segi pasaran sasaran, PDZ berkata berdasarkan kerjasamanya dengan Protev, syarikat berhasrat untuk memberi tumpuan kepada pasaran EU, selain turut memberikan perkhidmatan kepada negara lain dengan kadar jangkitan COVID-19 yang tinggi seperti Amerika Syarikat, Afrika, Amerika Selatan dan India.

Protev adalah sebuah syarikat yang diperbadankan di British Virgin Islands, yang berpangkalan di Hong Kong.
Ia merupakan pakar dalam pemerolehan dan pengurusan projek dengan rangkaian perniagaan yang kukuh di seluruh Eropah, meliputi industri, iaitu sarung tangan, automotif, teknologi dan telekomunikasi, perkhidmatan rangkaian, penyelesaian panel solar dan penyelesaian paparan maklumat digital.

Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia mengunjurkan permintaan terhadap sarung tangan getah di peringkat global akan mencecah 420 bilion unit pada 2021, meningkat 10.53 peratus daripada 2020.

Pada penutup, saham PDZ merosot 32 peratus kepada 8.5 peratus dengan 72.71 juta saham diniagakan.

Sumber: Bernama

PDZ, Protev meterai MoU bagi tembusi pasaran sarung tangan getah di EU


Content Type:

Duration:

Peninsula Higher Education (PHE) Sdn Bhd dan Bosch Rexroth Sdn Bhd telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi menubuhkan pusat latihan kemahiran yang diperakui Bosch di seluruh Malaysia.

Pengarah PHE Sdn Bhd Datuk Seri Michael Tio berkata dalam lima tahun akan datang, PHE akan melabur RM10 juta bagi menubuhkan makmal canggih bagi kursus kejuruteraan yang akan dimulakan di Kampus The Ship di sini di Batu Kawan, dengan makmal pertama disasarkan tersedia pada Jun 2022.

Beliau berkata pusat itu akan menawarkan kursus mekatronik dan penawaran kursus akan dikembangkan berdasarkan permintaan dan sumbangan daripada peneraju industri yang lain.

“Saya faham kepentingan kursus kejuruteraan di Batu Kawan … permintaan sangat tinggi, terdapat ketidakpadanan antara penghasilan pelajar kejuruteraan dan permintaan industri terutamanya apabila Pulau Pinang dikenali sebagai Lembah Silikon Timur,” katanya selepas majlis menandatangani MoU itu di Kampus The Ship PHE di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedang mencari peralatan latihan bukan sahaja untuk menghasilkan siswazah yang relevan dengan Industri 4.0 tetapi turut menyediakan latihan kepada pekerja dalam industri.

Tambahnya untuk tahun pertama kerjasama itu, kira-kira 600 pelajar dari kolej berkenaan serta pekerja industri akan mengikuti program sijil profesional yang relevan bagi Industri 4.0.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bosch Rexroth di ASEAN dan Oceania Michel Gunawan berkata Bosch Rexroth akan menyediakan blok binaan pusat itu, termasuk peralatan latihan, sokongan teknikal serta Sistem Mekatronik Modularnya (mMS4.0), yang merupakan sukatan pelajaran yang disesuaikan dengan pasaran tempatan.

“Rexroth telah membangunkan mMS4.0 untuk universiti dan institusi pendidikan yang merupakan sistem latihan untuk I4.0, yang mana kandungan boleh diajar secara praktikal. Ia menggabungkan semua fungsi sistem pengeluaran yang lengkap, termasuk logistik,” katanya dalam ucapannya hari ini.

Sumber: Bernama

PHE labur RM10 juta tubuhkan pusat latihan diperakui Bosch di Malaysia


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menggalakkan penggunaan teknologi dan amalan terbaik global dalam kalangan pemain industri pembinaan Malaysia bagi meningkatkan standard dan daya saing sektor berkenaan.

MoU itu, dengan komitmen perkongsian selama lima tahun untuk mengukuhkan Pelan Strategik Pembinaan 4.0, adalah selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Dasar Negara mengenai Industri 4.0 (Industry4WRD), kata MIDA dalam satu kenyataan hari ini.

“Kerjasama itu juga akan menyaksikan kedua-dua pihak mempertingkatkan bidang pembangunan dasar dan advokasi; penyelidikan dan pembangunan, latihan dan promosi Sistem Bangunan Berindustri (IBS); teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan Revolusi Pembinaan 4.0 (CR4.0); inisiatif hijau dan kualiti bahan binaan; serta promosi pelaburan dalam sektor berkaitan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata MoU itu akan memaksimumkan pengeluaran, meningkatkan pelaburan, menambah baik kualiti dan mengamalkan kemampanan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan.

“Industri digalakkan untuk mengusahakan amalan mampan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke arah meningkatkan daya saing Malaysia.

“Kami ada di sini untuk memberi nasihat mengenai insentif IBS, inisiatif hijau dan pematuhan bahan binaan, penyelidikan dan pembangunan, latihan dan usaha promosi,” katanya.

Dalam tempoh lima tahun lepas, MIDA telah meluluskan sejumlah 56 projek IBS untuk lesen pembuatan bernilai RM4.5 bilion dalam pelaburan dengan 4,521 peluang pekerjaan, termasuk jawatan mahir untuk jurutera, pengawal kualiti khusus dan juruteknik berkemahiran tinggi.

Sumber: Bernama

MIDA, CIDB meterai MoU untuk tingkatkan standard, daya saing sektor pembinaan


Content Type:

Duration:

Permintaan terhadap pusat data dan segmen aset logistik dijangka kekal tinggi pada masa hadapan, didorong oleh persekitaran bekerja dari rumah (WFH), pembelajaran jarak jauh dan letusan perniagaan e-dagang di tengah-tengah pandemik COVID-19, kata pengarah urusan kumpulan Coldwell Banker Richard Ellis (CBRE) Malaysia, Foo Gee Jen.

Beliau berkata permintaan untuk pusat data telah berkembang dengan pesat sepanjang tahun berikutan keperluan pelajar seperti pembelajaran jarak jauh dan persekitaran WFH, manakala e-dagang telah mencatatkan pertumbuhan signifikan dalam pasaran runcit global, yang akan memberi kesan limpahan kepada pembangunan pusat-pusat logistik.

“Semasa pandemik dan juga pertumbuhannya sepanjang lima tahun lepas, e-dagang telah disifatkan sebagai “bright spot” industri.

“Pasaran runcit global berkembang lebih daripada 140 peratus menjelang 2020, meningkat daripada 8.0 peratus pada 2015. Justeru, kami menjangka ia akan melonjak lebih jauh dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya semasa webinar amanah pelaburan hartanah (REIT) serantau Pacific Trustees bertajuk “Movers and Shakers in Malaysia, Singapore, Hong Kong and China – What to look out for in 2022?.

CBRE ialah firma perkhidmatan dan pelaburan hartanah komersial Amerika.

Menurut Foo, segmen hartanah Malaysia juga akan mengalami pertumbuhan yang sama, dengan negara mempunyai kira-kira RM6.3 bilion perniagaan e-dagang dalam talian, yang dijangka berkembang kepada kira-kira RM11 bilion menjelang 2025, disokong oleh industri fesyen, elektronik, media, mainan dan lain-lain industri.

“Ia (e-dagang) telah mempercepatkan permintaan untuk pembangunan logistik di Asia. Tetapi saya ingin mengingatkan mengenai hala tuju pembangunan logistik di Malaysia dalam bergerak ke hadapan. Kami menjangkakan menjelang 2024, seluas 5.5 juta kaki persegi lagi (kaki persegi) lagi pusat logistik akan dibangunkan dan memasuki pasaran dalam tempoh tersebut.

“Kami menjangkakan pasaran memerlukan kira-kira 4-5 juta kaki persegi menjelang 2024. Jadi kebimbangannya ialah, adakah akan berlaku lebihan pusat logistik? Ini sangat bergantung pada seberapa pantas pertumbuhan e-dagang antara tahun ini dan tahun hadapan serta sehingga 2024.

“Melihat pada situasi pandemik semasa, mungkin permintaan akan terus melonjak dan kita masih hidup dengan persekitaran COVID-19 untuk beberapa tahun akan datang sehingga semuanya selesai. Sudah pasti, saya berpendapat pada masa itu permintaan akan memerlukan lebih banyak perkhidmatan logistik dan perkhidmatan penghantaran yang lain,” tambahnya.

Foo bagaimanapun, menekankan bahawa Malaysia sedikit terlewat dalam menarik pengendali pusat data berbanding negara jirannya, Indonesia.

“Indonesia menyaksikan lonjakan pusat data berskala besar dalam tempoh dua tahun lepas, dan bagi Singapura, pusat data menyumbang empat peratus kepada REIT, manakala pusat data masih belum menyumbang kepada REIT Malaysia,” katanya.

Sementara itu, ketika membandingkan Malaysia dengan Singapura, Foo berkata terdapat 40 REIT di Singapura yang menyumbang 12 peratus kepada Bursa Singapura, manakala bagi Malaysia, terdapat 18 REIT dan ia membentuk dua peratus daripada permodalan pasaran Bursa Malaysia.

Permodalan pasaran REIT Singapura bernilai US$82 bilion, sementara permodalan pasaran REIT Malaysia adalah US$9 bilion.

Sumber: Bernama

CBRE M’sia unjur permintaan tinggi untuk pusat data, aset logistik


Content Type:

Duration:

Kerajaan Sarawak dalam usaha memperkukuh infrastruktur losgistiknya seiring dengan pembangunan ekonomi digital global, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata ini penting kerana pembangunan ekonomi digital, terutama e-dagang memerlukan sistem logistik yang cekap bagi tujuan penghantaran barangan atau produk.

Abang Johari menjelaskan infrastruktur logistik terbaik adalah yang mampu menghubungkan terus ke hab antarabangsa sama ada ke Singapura, Hong Kong atau Amerika Syarikat (AS).

“Jika seseorang di AS mahu membeli produk tempatan kita, sistem penghantaran mesti sudah ada, dalam erti kata lain perniagaan kargo perlu menepati masa untuk memastikan barangan yang dipesan dapat dihantar tepat pada waktunya.

“Kerajaan Sarawak memandang serius infrastruktur penghantaran ini terutama di kawasan luar bandar dan apabila infrastruktur dapat sampai ke kawasan luar bandar bermakna kita telah capai (kejayaan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran aplikasi dBazzar, platform e-dagang baharu yang dibangunkan di Sarawak, di sini hari ini.

Aplikasi yang menampilkan lebih 2,700 peniaga, menggunakan S Pay Global iaitu sistem transaksi milik Sarawak yang dibangunkan menerusi kepakaran Sarawak Information Systems (SAINS), syarikat pakar teknologi maklumat milik kerajaan negeri.

Sumber: Bernama

Ekonomi Digital: Sarawak perkukuh infrastruktur logistik – Abang Jo


Content Type:

Duration:

Sektor elektrikal dan elektronik (E&E) di Malaysia mempunyai potensi besar untuk memenuhi permintaan global yang meningkat terutamanya untuk pasaran semikonduktor dunia, menurut Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Agensi itu berkata sektor E&E menyumbang sebanyak RM386 bilion iaitu 39.4 peratus kepada jumlah eksport negara. Dalam enam bulan pertama 2021, jumlah eksport E&E meningkat sebanyak 28 peratus berbanding tahun lalu.

“Perkembangan dinamik ini memberi peluang yang baik kepada Malaysia untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam fasa pemulihan ekonomi yang menjadi agenda tahun 2022,” menurut MPC dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia, sektor semikonduktor global dijangka berkembang pada kadar 20 peratus (US$527 bilion) pada tahun 2021 dan bakal bertambah sebanyak 10 peratus pada tahun 2022 (US$573 bilion).

Malaysia diiktiraf sebagai pengeluar utama semikonduktor dalam rantaian global E&E. Sebanyak tujuh peratus daripada perdagangan semikonduktor dunia mengalir melalui Malaysia.

“Justeru, inisiatif pemulihan ekonomi negara dalam sektor E&E perlu dilipatgandakan bagi membolehkan Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh untuk memenuhi pemintaan E&E global,” katanya.

Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman, berkata Malaysia perlu merebut peluang daripada permintaan tinggi global untuk produk E&E.

Produktiviti pengeluaran dan pembuatan harus dipertingkatkan untuk memenuhi keperluan dan memperkukuhkan kedudukan global Malaysia sebagai pengeluar produk E&E utama.

“Maklum balas daripada industri amat penting untuk mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh pemain industri yang mengekang operasi perniagaan. Libat urus dengan industri juga memperincikan jalan penyelesaian untuk menangani cabaran yang dikenal pasti dan sama ada campur tangan kerajaan adalah perlu untuk melaksanakannya,” katanya.

Antara cabaran kritikal yang dihadapi oleh sektor E&E adalah dalam pengambilan dan penggajian pekerja.
Abdul Latif berkata sektor berkenaan mengalami pengurangan pengambilan pekerja baharu pada kadar 70 peratus dalam tempoh tiga bulan terkini dan situasi ini merencatkan operasi perniagaan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai berkata industri memerlukan sekurang-kurangnya 14,000 pekerja tempatan dan asing, 2,400 jurutera, 1,600 kakitangan sokongan dan 450 ekspatriat untuk memenuhi keperluan tenaga kerja sektor E&E.

Katanya, keperluan sumber manusia ini disebabkan oleh pembukaan semula aktiviti ekonomi dan pengembangan operasi perniagaan.

“Industri dan negara akan kehilangan peluang untuk menjana ekonomi dan pendapatan jika kekangan tenaga kerja ini tidak ditangani,” tambahnya.

Sumber: Bernama

Sektor E&E Malaysia berpotensi besar penuhi permintaan global


Content Type:

Duration:

Malaysia terus meningkatkan pelaburan di Indonesia melalui lima memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian bernilai US$3.1 bilion yang akan dimeterai oleh sektor swasta kedua-dua negara itu hari ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pada suku kedua 2021, pelaburan Malaysia di Indonesia berjumlah US$12.53 billion manakala pelaburan Indonesia di Malaysia adalah sebanyak US$1.16 billion.

“Saya percaya pelaburan Malaysia di Indonesia begitu besar,” katanya pada sidang media bersama Presiden Joko Widodo di Istana Bogor sempena lawatan sulung rasmi beliau ke Indonesia selama tiga hari bermula Selasa.

Sementara itu Ismail Sabri turut memohon kerajaan Indonesia untuk melibatkan usahawan dari Malaysia dalam rancangan pembangunan ibu kota baharunya di Kalimantan yang bersempadan dengan Malaysia iaitu Sabah dan Sarawak.

Kerajaan Indonesia merancang untuk memindahkan ibu kotanya dari Jakarta ke Kalimantan Timur.

Perdana Menteri berkata, Indonesia merupakan rakan perdagangan dan pelaburan yang penting dan strategik bagi Malaysia, dengan jumlah perdagangan dua hala berjumlah US$15.67 billion pada 2020.

Sumber: Bernama

Malaysia tingkat pelaburan di Indonesia melalui lima MoU bernilai US$3.1 bilion – PM


Content Type:

Duration:

Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri sedang merangka Dasar Tenaga Negara bagi memastikan aspek berkaitan bekalan elektrik negara mampu menampung keperluan pengguna kenderaan elektrik (EV) selain sektor perindustrian dan isi rumah.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu Dewan Rakyat hari ini, keperluan penggunaan tenaga negara itu perlu diberi perhatian serius dari segi peralihan kepada kenderaan EV atau kenderaan cekap tenaga (EEV) bagi menggantikan kenderaan yang dijana secara enjin pembakaran dalaman (ICE).

“EPU sedang merangka dasar tenaga negara untuk memastikan bekalan yang mencukupi dan peralihan kepada EEV dan industri EV ini perlu dibuat secara berhati-hati.

“Antara langkah yang kerajaan lakukan sekarang ialah menggalakkan pengeluaran dan pemasangan EEV yang turut merangkumi elektrik dan hibrid,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) mengenai strategi khusus kerajaan untuk menarik pelaburan dalam sektor pengilangan komponen EV, tumpuan terhadap kenderaan hibrid dan elektrik berbanding EEV.

Menjelaskan selanjutnya, Mohamed Azmin berkata, kerajaan juga perlu mengatur strategi untuk menarik pelaburan khususnya dalam pemasangan komponenkomponen berkaitan kenderaan atau industri EV yang selari dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

“NIA diluluskan pada April tahun ini dengan keutamaan untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi dan berkualiti bagi mewujudkan pekerjaan bagi anakanak tempatan.

“Alhamdulillah, selari dengan NIA, pada tahun ini sebuah syarikat Repulik Korea telah melakukan pelaburan bernilai RM4.24 bilion di Sabah untuk mengeluarkan kerajang tembaga bagi tujuan pembuatan dan pengeluaran bateri kenderaan EV. Inilah antara langkah awal yang berjaya kita laksanakan,” katanya.

Selain itu, menjawab soalan tambahan Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau) mengenai rakan usaha sama membangunkan EV di Malaysia, beliau berkata usaha itu tidak hanya melibatkan dasar kerajaan sebaliknya perlu mendapat sokongan pihak swasta dan pembangunan infrastruktur.

“Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air juga sedang meneliti pembinaan infrastruktur baharu bersama pihak swasta iaitu termasuk stesen pengecasan.

“Selain itu, menerusi misi dagangan ke Eropah baru-baru ini, kita turut mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat pembuatan kenderaan besar dunia yang sedang beralih untuk memperkenalkan teknologi EV.

“Salah satu syarikat itu juga telah mengumumkan untuk melabur di Gurun, Kedah, dalam masa terdekat yang memberi peluang untuk kita mendekati teknologi terbabit yang rancak dijalankan,” katanya.

Sumber: Bernama

EPU rangka dasar tenaga negara, pastikan bekalan tampung permintaan EV – Azmin


Content Type:

Duration:

Pendapatan e-dagang Malaysia berjumlah RM279.0 bilion, melonjak 17.1 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2021, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bagi pertumbuhan suku tahunan, pendapatan e-dagang mengekalkan trend positif dengan peningkatan 4.3 peratus.

“Bermula Januari sehingga September, pendapatan e-dagang merekodkan RM801.2 bilion, meningkat 23.1 peratus bagi tahun ke tahun,” katanya.

Di peringkat negeri, Mohd Uzir berkata e-dagang dipacu oleh negeri perindustrian yang terdiri daripada negeri Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Manakala di peringkat industri, sektor pembuatan dan perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama pertumbuhan pendapatan e-dagang.

“Prestasi yang lebih baik ini pastinya didorong oleh pembudayaan norma baharu semasa pandemik Covid-19 yang meningkatkan lagi penggunaan digital di Malaysia,” katanya.

Berdasarkan pendapatan e-dagang mengikut jenis pasaran pada tahun 2019, pendapatan e-dagang pasaran tempatan yang dijana daripada jualan yang dijalankan di Malaysia mendominasi pasaran dengan sumbangannya sebanyak 87.6 peratus berbanding pasaran antarabangsa 12.4 peratus.

Nilai pendapatan yang dijana masing-masing berjumlah RM591.8 bilion dan RM83.5 bilion.

Sementara itu, pendapatan e-dagang mengikut jenis pelanggan melalui Perniagaan kepada Perniagaan (B2B) mencatatkan pendapatan tertinggi berjumlah RM449.6 bilion dengan sumbangan sebanyak 66.6 peratus dan diikuti Perniagaan kepada Pengguna (B2C) sebanyak RM194.0 bilion (28.7 peratus).

Seterusnya, Perniagaan kepada Kerajaan (B2G) merekodkan RM31.8 bilion (4.7 peratus).

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata teknologi digital berpotensi untuk memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) – dilancarkan oleh kerajaan pada Februari 2021 – merupakan asas kepada transformasi Malaysia untuk menjadi ‘nadi digital serantau’ yang dijangka merangsang produktiviti, meningkatkan inovasi dan menambah baik kehidupan dengan memanfaatkan internet, data raya, Internet Pelbagai Benda (IoT), Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi lain.

Sumber: Bernama

Pendapatan e-dagang Malaysia melonjak 17.1 peratus kepada RM279.0 bilion pada suku-3


Content Type:

Duration:

Amerika Syarikat (AS) mengulangi komitmennya ke arah memperkukuh hubungannya dengan Pulau Pinang dan berminat dalam menyokong peranan negeri itu sebagai hab semikonduktor dan rantaian bekalan kritikal yang lain.

Dalam lawatan dua hari ke negeri itu sejak 8 Nov, Duta Besar AS ke Malaysia Brian McFeeters mengadakan pertemuan dengan komuniti perniagaan AS yang berkembang maju di Pulau Pinang untuk berbincang mengenai cabaran dan peluang, kepentingan daya tahan rantaian bekalan dan potensi besar untuk hubungan ekonomi yang lebih erat di antara AS dengan Pulau Pinang.

“Pulau Pinang adalah nod pusat bagi rantaian bekalan global membabitkan banyak industri utama dan rakan utama dalam menyokong pelaburan AS.

“Kerajaan AS komited untuk menyokong daya tahan rantaian bekalan di Pulau Pinang, membina hubungan perniagaan lebih kukuh dengan negeri ini dan memperkuat hubungan perdagangan AS-Malaysia secara keseluruhan,” katanya menerusi kenyataan bersempena lawatan berkenaan.

McFeeters turut mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Tun Datuk Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Dalam lawatannya itu, duta berkenaan bercakap mengenai isu-isu seperti kepimpinan korporat AS dalam alam sekitar, tadbir urus sosial dan korporat, sambil berharap syarikat AS akan terus menjadi peneraju dalam amalan kemampanan dan menyumbang kepada matlamat Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Sumber: Bernama

AS berminat sokong peranan Pulau Pinang sebagai hab semikonduktor


Content Type:

Duration:

BINTULU, 9 Nov — Pelabur asing mempunyai keyakinan tinggi untuk melabur lebih banyak di Sarawak berikutan keupayaan pentadbiran kerajaan negeri yang kukuh kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Selain itu, katanya, keyakinan itu juga adalah hasil daripada keupayaan kerajaan negeri Sarawak untuk melaksanakan dan menyiapkan pelbagai projek ditambah dengan persekitaran politik yang stabil.

“Pertamanya, pelabur asing ini mempunyai keyakinan tinggi terhadap Sarawak kerana kita boleh melaksanakan pelbagai projek. Kedua kerana orang Sarawak sangat mesra dan ketiga, yang mana paling penting, adalah kestabilan politik di Sarawak,” katanya pada sidang akhbar selepas kunjungan beliau ke tapak Projek Metanol Sarawak di Tanjung Kidurong, di sini, hari ini.

Turut hadir termasuklah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti Negeri Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom dan Pengerusi Sarawak Petchem Sdn Bhd Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Husain.

Abang Johari berkata beliau kagum dengan kemajuan fizikal projek tersebut yang dimulakan pada Sept 2019.

Menurutnya, projek itu menandakan satu lagi pencapaian penting bukan sahaja untuk mengindustrikan Sarawak tetapi apa yang lebih penting untuk menikmati aspirasi bagi syarikat Sarawak meneroka ke dalam industri minyak dan gas, terutamanya dalam sektor petrokimia hiliran.

“Kita mahu memaksimumkan penggunaan gas asli menerusi industri hiliran di Sarawak.

“Dalam berbuat demikian, kita mahu Bintulu menjadi hab petrokimia di Sarawak menerusi penubuhan Hab Petchem Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) bagi merealisasikan objektif ini,” katanya.

Abang Johari berkata projek itu dijangka menjana lebih banyak peluang pekerjaan semasa pembinaan projek mega tersebut yang dijangka memiliki jumlah tenaga kerja mencecah 4,500 orang dan kira-kira 300 kakitangan semasa operasi penuhnya.

“Ketika ini, Sarawak Petchem telah memulakan tahun pertama Program Latihan Juruteknik (TTP) secara kerjasama dengan Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP).

“Kesemua pelatih adalah orang Sarawak dan terdapat 74 pelatih yang sedang menjalani TTP di INSTEP ketika ini, manakala kumpulan kedua seramai 42 pelatih akan melapor di INSTEP pada 21 Nov, 2021,” katanya.

Kilang Projek Metanol Sarawak itu merupakan kemudahan mega pertama negeri itu dan yang kedua di negara ini selepas Labuan.

Cadangan kilang metanol itu dijangka menghasilkan 5,000 tan metrik sehari atau atau 1.7 juta tan setahun metanol dengan menggunakan 160 juta kaki padu standard setiap hari gas asli sebaik sahaja ia beroperasi penuh.

Sumber: Bernama

Pelabur asing punyai keyakinan tinggi untuk melabur di Sarawak — Ketua Menteri


Content Type:

Duration:

wpChatIcon