2021 Archives - Page 6 of 33 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Spirit AeroSystems Malaysia bina kelepak dalam pertama A321XLR Airbus

KSpirit AeroSystems telah mengeluarkan kelepak dalam pertama di Malaysia untuk pesawat komersial lorong tunggal A321XLR (Xtra Long Range) yang baru dibangunkan oleh Airbus.

Airbus dalam satu kenyataan memberitahu Spirit AeroSystems di Malaysia adalah satu-satunya pembekal kelepak dalam untuk A321XLR, yang merupakan pesawat jarak jauh keluarannya yang paling laris.

“Kelepak dalam ini terletak di sepanjang tepi belakang kepak pesawat dan membantu memberikan daya angkat yang lebih besar semasa pesawat berlepas dan mendarat,” katanya.

Bagi menandakan pengeluaran kelepak dalam yang pertama di Malaysia, Airbus dan Spirit AeroSystems telah mengadakan satu majlis di fasiliti pembuatan Spirit AeroSystems di Subang, Selangor, hari ini.

Ia dihadiri oleh Naib Presiden Kanan Airbus dan Program Jet Perniagaan di Spirit AeroSystems, Scott McLarty dan Ketua Perwakilan Airbus – Malaysia, Raymond Lim.

Menurut Lim, jejak pengeluar pesawat itu di Malaysia melambangkan keutamaan yang berikan kepada negara ini, bukan sahaja sebagai pusat pasaran strategik, tetapi juga sebagai rakan niaga industri yang dihargai, yang menyumbang kepada pengembangan perusahaan global Airbus yang lebih meluas.

“Kami komited sepenuhya untuk terus berada di negara ini dan majlis hari ini menyaksikan satu lagi peristiwa penting yang menandakan perjalanan kami secara bersama,” katanya.

Sehingga hujung Oktober 2021, Airbus mencatatkan sejumlah 435 pesanan bagi A321XLR untuk 22 pelanggan di seluruh dunia.

Pesawat A321XLR kini sedang dibangunkan dan akan mula beroperasi menjelang 2023.

Ia akan menjadi pesawat lorong tunggal dengan jarak penerbangan paling jauh pernah dibina dan mampu terbang sehingga 8,700km tanpa henti atau sehingga sekitar sepuluh jam penerbangan.

Dengan seramai 14 rakan niaga dan pembekal tempatan di Malaysia, negara ini mewakili Airbus sebagai pangkalan pembekal terbesar di Asia Tenggara. Malaysia juga merupakan pembekal bahagian komposit Airbus yang kelima penting di seluruh dunia.

Di samping itu, Airbus, juga merupakan rakan kongsi terbesar negara ini dalam industri aeroangkasa.

Rakan niaga utama lain syarikat itu di Malaysia terdiri daripada Spirit AeroSystems, Composites Technology Research System, SME Aerospace dan Celestica.

Hari ni, peralatan yang di buat di Malaysia berada dalam hampir kesemua produk pesawat awam Airbus (A320 Family, A330, A350, A380) termasuk pesawat pengangkutan tentera A400M dan helikopter H130.

Sumber: Bernama

Spirit AeroSystems Malaysia bina kelepak dalam pertama A321XLR Airbus


Content Type:

Duration:

KUALA LUMPUR, 9 Nov — Syarikat makanan global Amerika Syarikat (AS) Cargill telah memulakan pembinaan kilang lemak khusus bernilai RM145 juta (US$35 juta) di Pelabuhan Klang.

Presiden dan Ketua Kumpulan bagi perniagaan penyelesaian minyak makan global Cargill Jennifer Shomenta berkata ini merupakan langkah pertama dalam pelaburan pelbagai tahun global syarikat itu yang dijangka melebihi RM415 juta (US$100 juta) bagi mengembangkan portfolionya dalam lemak khusus.

“Lemak khusus sangat popular kerana kepelbagaian dan fungsinya.

“Dengan pelaburan ini, kami akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menyokong ke arah inovasi pelanggan kami, dilengkapi dengan sesuatu yang diperlukan untuk mencipta bersama penyelesaian yang disesuaikan selaras dengan keperluan unik mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Cargill akan memasang kapasiti pemeringkatan sawit kering, membolehkan pengeluaran pelbagai lemak khusus untuk digunakan di dalam coklat, salutan, inti dan sebatian, sapuan, lemak roti dan aplikasi lain.

Ia juga akan turut menaik taraf Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Minyak Makan Malaysia, meningkatkan peralatan makmal dan loji perintis agar sejajar dengan keupayaan lemak khusus baharu di kemudahan di Pelabuhan Klang itu.

Pengembangan itu dijangka siap pada penghujung 2023, yang mana Cargill akan mula membekalkan lemak khusus siap kepada pelanggan di seluruh rantau AsiaPasifik, dan produk separuh siap ke kemudahan Cargill di Eropah, Timur Tengah, Rusia, Amerika Selatan, dan Amerika Utara.

Projek yang baharu diumumkan itu dibuat selepas peningkatan hampir siap RM83 juta (AS$20 juta) terhadap kemudahan itu yang bermula hanya setahun sebelum meningkatkan kapasiti di tapak pengeluaran.

Sumber: Bernama

Cargill mulakan pembinaan kilang lemak khusus di Pelabuhan Klang


Content Type:

Duration:

QL Resources Bhd (QL), pemegang francais induk FamilyMart Malaysia melabur RM100 juta bagi membangunkan kemudahan baharu dalam usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran produk sedia dimakan.

Pengarah Eksekutif QL, Chia Lik Khai, berkata kemudahan baharu yang terletak di Shah Alam itu dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2022.

Beliau berkata, ia juga akan membolehkan kumpulan memenuhi lebih banyak permintaan pengeluaran seiring dengan pelan pembukaan cawangan baharu FamilyMart di Malaysia.

“Ketika ini, kemudahan sedia ada kami mampu melayani permintaan untuk 250 cawangan FamilyMart dan apabila kemudahan baharu ini siap sepenuhnya tahun depan, ia berpotensi meningkatkan permintaan sehingga dua kali ganda sekitar 500 cawangan.

“Ia juga membolehkan QL memenuhi sasaran penambahan jumlah cawangan baharu FamilyMart sekitar 80 hingga 100 cawangan setiap tahun atau sebanyak 1,000 cawangan menjelang 2026.

“Malah, kemudahan baharu dan penambahan cawangan FamilyMart akan turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya selepas melancarkan cawangan ‘Food Superstore’ di sini, hari ini.

Lik Khai berkata, kemudahan pengeluaran baharu itu juga akan membolehkan kumpulan mengeluarkan lebih banyak produk unit simpanan stok (SKU) seiring dengan permintaan pelanggan.

Beliau berkata, QL sentiasa melaksanakan inovasi memperkenalkan produk SKU baru secara bermusim dan kekal dengan sasaran lima hingga 10 produk baharu setiap bulan.

Katanya, ketika ini FamilyMart Malaysia mempunyai lebih 100 produk SKU yang kesemuanya mendapat pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Mengenai cawangan ‘Food Superstore’, beliau berkata FamilyMart Malaysia menyasarkan membuka 20 cawangan kedai serbaneka terbabit menjelang akhir tahun ini.

Katanya, ‘Food Superstore’ adalah gabungan cawangan baharu dan juga menaik taraf cawangan sedia ada.

“Kami mahu setiap negeri di Semenanjung mempunyai sekurang-kurangnya satu cawangan ‘Food Superstore’.

“Cawangan ‘Food Superstore’ lebih menarik kerana menjual produk sedia di makan secara sejuk beku, membolehkan pelanggan membawa pulang dan disimpan dalam tempoh yang lebih lama,” katanya.

Dalam pada itu, Lik Khai berkata kumpulan sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di masa hadapan.

Beliau berkata, FamilyMart Malaysia turut menjual produk sejuk beku dan sedia di makan daripada rakan niaga.

“Kami terbuka untuk bekerjasama, terutama dengan PKS tempatan. Ini dapat bersama membantu meningkatkan rantaian nilai serta pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Kilang FamilyMart Malaysia siap suku pertama 2022


Content Type:

Duration:

Keadaan ekonomi negara dijangka pulih apabila aktiviti rentas sempadan dibenarkan secara sepenuhnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurutnya, ini berikutan pembukaan sempadan berupaya merancakkan semula sektor pelancongan dan pelaburan yang terjejas sejak COVID-19 melanda negara.

“Malaysia banyak bergantung kepada (faktor) luar seperti pelancong luar, eksport serta pelaburan.

“Oleh itu, bagi membolehkan keadaan pulih semula adalah apabila rentas sempadan dibenarkan,” katanya dalam wawancara ‘Cabaran Ekonomi Semasa’ yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Garasi TV, pada malam Isnin.

Setakat kini, pelancong antarabangsa hanya dibenarkan melancong ke Pulau Langkawi menerusi projek rintis Gelembung Pelancongan Antarabangsa.

Mustapa berkata, sektor pelancongan mengalami kejatuhan ketara apabila Malaysia terpaksa bertindak menutup pintu sempadan bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19.

“Pada 2019, Malaysia menerima kemasukan 26 juta pelancong luar negara, namun tahun ini (angka itu) hanya beberapa ratus ribu saja,” katanya sambil menyifatkan sektor penerbangan dan perhotelan dijangka pulih sepenuhnya pada 2024.

Selain itu, beliau berkata terdapat petunjuk jelas pemulihan ekonomi negara sejak kebelakangan ini dengan eksport mencatat pertumbuhan yang positif.

Menurutnya, ini berdasarkan angka daripada Jabatan Perangkaan yang menunjukkan prestasi dagangan Malaysia bagi September 2021 meningkat sebanyak 25.5 peratus kepada RM195.5 bilion susulan pertumbuhan dua angka eksport dan import yang kukuh.

Eksport meningkat ke paras tertinggi kepada RM110.8 bilion iaitu pertumbuhan sebanyak 24.7 peratus berbanding tahun sebelumnya disokong oleh eksport domestik dan eksport semula, kata beliau.

Sumber: Bernama

Rentas sempadan sepenuhnya akan pulihkan ekonomi


Content Type:

Duration:

osai Minerals Group Co Ltd (Bosai Group) bakal melabur sebanyak RM10.6 bilion dalam pembinaan projek perindustrian ekonomi pekeliling ‘Coke-Electricity-Aluminum and Ferroalloy’ di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan, Pahang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan adalah projek kerjasama utama antara Malaysia dan China dengan dasar ‘Two Country, Twin Park’.

“Dengan dasar perindustrian yang menggalakkan, terminal air dalam (new deep water terminal) yang baik dan infrastruktur sokongan lengkap, Kuantan yang kaya dengan sumber alam semula jadi, bauksit dan bijih mangan dapat membekalkan bahan mentah utama stabil untuk penghasilan logam.

“Projek baharu ini nescaya dapat mempromosikan kelebihan sumber asli dan logistiknya secara lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Isnin, Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Chongqing Bosai Group, Yuan Zhilun bagi mendengar laporan mengenai cadangan pelaburan dan pembinaan Bosai Group di Malaysia.

Ia memfokuskan teknologi hijau, penggunaan sumber mineral di Pahang dan mewujudkan peluang pekerjaan tempatan.

Bosai Group yang ditubuhkan pada tahun 1994 memfokuskan pada industri pembuatan aluminium, mangan dan logam bukan ferus serta disenaraikan antara 500 perusahaan swasta terbaik di China dan menduduki tempat pertama dalam perusahaan pembuatan swasta Chongqing pada tahun 2020.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, projek tersebut akan meliputi tanah seluas 660 ekar dan dijangka dapat mewujudkan 5,000 pekerjaan.

“Ia mengguna pakai teknologi hijau dan teknologi tenaga boleh diperbaharui yang terkemuka dalam industri.

“Projek ini dijadualkan untuk memulakan pembinaan pada tahun 2022 dan akan menjana lebih daripada RM21 bilion hasil jualan selepas siap pembinaan serta pengeluaran,” kata beliau.

Sumber: Sinar Harian


Bosai Group labur RM10.6 bilion projek di Kuantan


Content Type:

Duration:

Perbadanan Pembangunan Minyak dan Gas Sabah (SOGDC) meluluskan cadangan projek pelaburan bernilai sehingga RM15 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau juga optimis bahawa pelaburan besar sedemikian akan memberi limpahan manfaat ke atas perniagaan tempatan serta mewujudkan ribuan peluang pekerjaan bagi rakyat negeri itu.

“Selain daripada kemudahan gas asli cecair (LNG) terapung berhampiran pantai milik Petronas, projek lain yang dicadangkan dan diluluskan termasuk fasiliti pemprosesan oleokimia bersepadu, pemprosesan pengeluaran logam silikon dan perkhidmatan sokongan berkaitan seperti pengurusan sisa serta khidmat marin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah SOGP di Menara Kinabalu di sini, hari ini.

Menurut Hajiji, seiring dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, Kerajaan Sabah juga komited untuk memajukan industri hiliran dengan menumpukan lebih banyak pelaburan ke atas sumber-sumber sedia ada termasuk minyak dan gas (O&G) dan mengoptimumkan taman perindustrian sedia ada seperti SOGIP.

Malah, katanya, aspirasi kerajaan negeri itu dapat dicapai menerusi pembentukan satu jawatankuasa baharu, Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) dengan matlamat utama bagi membolehkan pemilikan ketara hasil daripada O&G, penyertaan lebih besar dalam rantaian nilai serta mewakili suara lebih penting dalam pembangunan sektor itu di Sabah.

Beliau juga menyifatkan aspek ketersediaan serta jarak dekat hidrokarbon negeri dan lokasi SOGIP yang strategik telah menarik ramai pelabur baharu di taman perindustrian tersebut.

“Gas asli yang terdapat di SOGIP akan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti bagi siswazah menganggur selain memberi peluang perniagaan untuk kalangan kontraktor tempatan,” katanya.

Sumber: Bernama

Projek pelaburan bernilai RM15 bilion diluluskan di Taman Industri SOGIP


Content Type:

Duration:

Ta Win Innotech Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Ta Win Holdings Bhd, memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan BRB Properties Sdn Bhd untuk memperoleh tanah perindustrian pajakan di West Port, Pelabuhan Klang bersama bangunan kilang di atas tanah itu untuk jumlah pertimbangan tunai sebanyak RM35 juta.

Ta Win berkata dengan keluasan tanah kira-kira 1.61 hektar dan jumlah kawasan binaan seluas 1.393 hektar, cadangan pemerolehan akan membolehkan syarikat itu meningkatkan tiga kali ganda jumlah kapasiti pengeluarannya dalam jangka sederhana hingga panjang, memenuhi jangkaan permintaan jangka panjang pertumbuhan untuk rod tembaga dan wayar.

“Tanah itu juga terletak secara strategik berdekatan dengan pelabuhan, membolehkan kecekapan logistik yang lebih baik dan pengoptimuman kos,” kata pengeluar bersepadu produk tembaga itu.

Ia berkata, ini berikutan Ta Win baru-baru ini menandatangani kontrak pembekalan eksklusif dengan syarikat yang berpangkalan di Korea Selatan, POSCO International Corporation, yang akan menyaksikan syarikat itu secara eksklusif membekalkan kira-kira 65,000 tan metrik produk tembaga kepada pengeluar kerajang tembaga di Korea, termasuklah pengeluaran di luar negara mereka melalui loji POSCO International bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Januari 2022.

Ta Win berkata, ia dijangka menjana hasil agregat sebanyak RM2.6 bilion berdasarkan harga tembaga di London Metal Exchange (LME) pada AS$9,440 setiap tan metrik setakat 28 Oktober.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Ngu Tieng Ung, berkata desakan global untuk penyahkarbonan dan tenaga bersih mendorong pertumbuhan dalam permintaan yang kukuh untuk segmen kenderaan elektrik yang dijangka menterjemahkannya kepada peningkatan dalam permintaan untuk tembaga.

“Bagi menampung permintaan yang semakin meningkat ini, Ta Win merancang untuk menubuhkan tiga loji penyinaran pancaran elektron di Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk membekalkan wayar pancaran bersilang dan produk kabel menggunakan teknologi pancaran elektron bersilang yang dipatenkan, dengan loji pertama untuk dibina di kemudahan pembuatan sedia ada kami di Melaka,” katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, syarikat memutuskan untuk menempatkan semula perniagaan pembuatan rod tembaga dan wayar dari premis sedia ada ke tanah dan kilang yang baharu diperoleh di Pelabuhan Klang.

“Ini akan membolehkan kami menggunakan sepenuhnya kapasiti kemudahan di Melaka untuk pengembangan perniagaan penyelesaian isyarat dan kuasa, yang membabitkan pembuatan sistem pengagihan kuasa dan isyarat, kabel tegangan tinggi, kabel bateri dan komponen serta alat ganti automotif lain untuk automotif dan kenderaan elektrik,” tambahnya.

Sumber: Bernama

Ta Win beli tanah, kilang di Pelabuhan Klang


Content Type:

Duration:

KOTA BHARU, 8 Nov — Pembinaan empangan hidroelektrik di Nenggiri, Gua Musang yang dijangka beroperasi pada 2026, bakal menyalurkan 300 megawatt (MW) kepada Grid Nasional apabila ia siap kelak.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Ir Baharin Din berkata projek bernilai RM5 bilion itu, bukan sahaja menyokong aspirasi kerajaan ke arah meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE), malah membawa pelbagai manfaat dalam menyelesaikan beberapa isu demi kesejahteraan rakyat Kelantan.

Katanya, selain membantu mengurangkan banjir, ia juga berupaya membantu Kelantan mengatasi isu pembekalan air bersih serta pengairan untuk pertanian, dan membuka peluang pekerjaan serta ekonomi baru di tasik takungan utamanya.

“TNB telah melaksanakan kesemua kerja-kerja awalan dan kajian-kajian yang diperlukan untuk membangunkan projek ini, dan telah memperolehi semua kelulusan yang diperlukan seperti Kajian Potensi Mineral, Kajian Penerimaan Awam, Kajian Impak Alam Sekeliling (EIA), Kajian Impak Sosial, Kajian Impak Warisan, dan sebagainya.

“Air yang ditakung dalam tasik takungan utamanya akan dilepaskan semula secara terkawal ke dalam Sungai Nenggiri, dan ini dapat membantu mengawal banjir di hilir empangan itu.

“Sebagaimana empangan lain milik TNB seperti di Skim Hidroeletrik Cameron Highlands, Sungai Perak dan Kenyir, empangan Nenggiri bakal memberi manfaat tebatan banjir dengan keupayaan menampung jumlah air hujan yang besar, semasa musim tengkujuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ir Baharin berkata apabila empangan hidroelektrik Nenggiri siap kelak, ia dapat mengukuhkan usaha TNB memastikan bekalan elektrik yang stabil untuk rakyat dan menjadi penggerak utama peralihan industri tenaga negara.

“Projek ini menyokong aspirasi tenaga lestari TNB menuju ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050, yang dipacu oleh komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 35%, serta pengurangan 50% kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.

“Justeru, ia menyokong aspirasi kerajaan ke arah meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga hijau negara kepada 40% pada tahun 2035,” katanya.

Untuk rekod, kapasiti penjanaan elektrik TNB di Semenanjung ketika ini merangkumi 18.0 peratus hidroelektrik (2,536 MW), 0.6 peratus solar (80 MW), 48.2 peratus arang batu (6,800 MW) dan 33.3 peratus gas (4,702.43 MW).

Ir. Baharin juga menyifatkan projek ini sebagai satu amanah kepada rakyat terutama peranan dan komitmen TNB terhadap alam sekitar.

Komuniti Orang Asli yang terlibat secara langsung dengan projek ini, khususnya dari Pos Pulat, Pos Tohoi dan Kg. Wias, akan dipindahkan ke penempatan baharu dengan infrastruktur dan keperluan asas yang lebih baik dan selesa.

“Mereka juga akan diberikan pakej rangsangan ekonomi untuk meningkatkan sosioekonomi mereka dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan, Pejabat Tanah dan Jajahan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan jabatan-jabatan kerajaan yang lain,” katanya.

Pada 2 Nov lalu, satu majlis pertukaran dokumen perjanjian projek itu dan penyerahan cek pampasan di Pejabat Menteri Besar Kelantan telah diadakan, di sini yang dihadiri Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Sumber: Bernama

Projek hidroelektrik Nenggiri beri manfaat kepada rakyat, tingkat kapasiti RE


Content Type:

Duration:

Huntsman Corp, pengilang dan pemasar global bahan kimia yang berbeza sedang mengembangkan kehadiran perkhidmatan kongsinya di Kuala Lumpur menjadi hab Perkhidmatan Perniagaan Global Asia Pasifik (GBS) global dan serantau.

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) berkata pengembangan itu akan mewujudkan jawatan pekerja berpengetahuan tambahan di negara ini dan membawa anggaran RM12 juta hingga RM15 juta faedah ekonomi setiap tahun.

“Organisasi GBS baharu itu akan menyediakan sokongan bernilai tinggi kepada perniagaan Huntsman di seluruh dunia, membolehkan syarikat mengimbangi kos, perkhidmatan, nilai dan kelajuan dengan lebih baik, sambil melakukan penambahbaikan secara berterusan dalam setiap aspek perniagaan,” kata MDEC dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu juga berkata pembangunan hab GBS baharu Huntsman akan itu dilakukan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

MDEC berkata syarikat itu menjangkakan jumlah anggota pasukan GBS akan berkembang sekurang-kurangnya 100 orang dalam beberapa tahun akan datang dan meningkatkan keupayaan khusus seperti automasi pintar, analitik data dan pemvisualan.

Huntsman ketikan mempunyai kira-kira 160 pekerja di Kuala Lumpur.

Syarikat itu memilih Kuala Lumpur sebagai hab GBSnya untuk lokasi strategik bandar di Asia Pasifik yang menyediakan kemudahan akses ke lokasi lain di dalam dan luar rantau ini.

Selain itu, golongan pekerja berkemahiran dan berbakat Malaysia akan membolehkan Huntsman melaksanakan operasi serantau tanpa mengambil lokasi fizikal di negara tersebut.

MDEC telah menyediakan sokongan kepada pusat perkhidmatan kongsi Huntsman yang sedia ada sejak penubuhannya pada 2010 dengan sokongan perniagaan berkualiti tinggi dalam perakaunan, audit dalaman dan teknologi maklumat.

Sumber: Bernama

Huntsman kembangkan operasi di Kuala Lumpur menjadi hab perkhidmatan perniagaan global


Content Type:

Duration:

Tiga syarikat besar tempatan dalam rantaian bekalan pembuatan peralatan mengembangkan operasi mereka masing-masing di Taman Perindustrian Batu Kawan dengan jumlah pelaburan bernilai RM520 juta.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata tiga syarikat berkenaan iaitu Greatech Technology Bhd (Greatech), Pentamaster Corporation Bhd (Pentamaster) dan UWC Bhd (UWC) secara kolektif membeli tanah seluas 14 hektar dan kesemua projek dijangka bermula pada suku pertama 2022.

Beliau berkata, keputusan oleh ketiga-tiga syarikat itu untuk melabur semula di Pulau Pinang, menunjukkan keyakinan berterusan mereka terhadap ekosistem perindustrian yang kukuh di negeri ini dan apabila siap kelak dan beroperasi sepenuhnya ia dijangka mewujudkan sehingga 1,300 peluang pekerjaan bagi tenaga kerja tempatan.

“Saya gembira hari ini Pulau Pinang bukan saja mempunyai reputasi tinggi sebagai lokasi pilihan bagi syarikat multinasional tetapi juga di kenali sebagai negeri keusahawanan yang menyediakan persekitaran kondusif bagi syarikat tempatan untuk berkembang maju.

“Malahan, Pulau Pinang adalah lokasi pilihan majoriti syarikat besar tempatan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta mesin dan peralatan (M&E).

“Dalam tempoh lima tahun lalu, kami menyaksikan pertumbuhan pesat LLC ini yang menyediakan perkhidmatan kepada pemain global dalam pelbagai industri,” katanya selepas majlis mengumumkan pelan pengembangan tiga syarikat itu di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah penasihat pelaburan khas kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Lee Kah Choon; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang, Datuk Mohd Bazid Abd Kahar; Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Datuk Loo Lee Lian; Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Pulau Pinang, Muhd Ghaddaffi Sardar; Pengerusi Lembaga Greatech, Ooi Hooi Kiang; Pengerusi Eksekutif Pentamaster, Chuah Choon Bin; dan Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UWC, Datuk Ng Chai Eng.

Kon Yeow berkata, pelaburan langsung domestik (DDI) meningkat ke paras paling tinggi dalam tempoh sedekad sebanyak RM3.6 bilion pada 2020, mewakili 25 peratus daripada jumlah pelaburan langsung negeri manakala dalam separuh pertama 2021, syarikat tempatan menyumbang RM700 juta pelaburan langsung bersamaan dengan 54 peratus daripada jumlah pelaburan langsung di Pulau Pinang.

“Syarikat besar tempatan dan PKS, terutama memainkan peranan penting dalam meningkatkan pertumbuhan sektor M&E di negeri ini. Pulau Pinang kini memiliki rantaian bekalan komprehensif dalam M&E dan domain automasi yang diterajui oleh syarikat tempatan dengan pelbagai jenis kecekapan teras seperti Greatech, Pentamaster dan UWC.

“Saya berharap pertumbuhan berterusan syarikat besar tempatan akan diterjemahkan kepada lebih banyak peluang perniagaan dan membawa kepada pemindahan pengetahuan kepada PKS tempatan, sekali gus membolehkan mereka diberi dorongan dan lebih banyak syarikat besar tempatan ditubuhkan di Pulau Pinang,” tambahnya.

Dengan gabungan permodalan pasaran hampir RM20 bilion, ketiga-tiga syarikat besar tempatan itu berkembang pesat dalam tempoh lima tahun lalu dari segi hasil, pelanggan, serta portfolio produk masing-masing termasuk aktiviti nilai tambah dan huluan yang tinggi.

Sementara itu, Hooi Kiang berkata dengan jumlah keluasan binaan 24,619.31 meter persegi, fasiliti baharu itu, Batu Kawan IV, akan menempatkan aktiviti reka bentuk dan pemasangan bernilai tinggi bagi produk baharu yang memenuhi keperluan industri yang pesat membangun, seperti sains hayat dan semikonduktor.

“Kami menyasar menyiapkan pembinaan itu pada suku ketiga tahun depan. Fasiliti baharu itu bakal mewujudkan 500 peluang pekerjaan, yang mana, 300 adalah jurutera dan selebihnya 200 adalah pekerja pemasangan dan jurumesin,” katanya sambil menambah sebaik sahaja fasiliti baharu itu beroperasi, Greatech akan mempunyai keseluruhan 1,200 pekerja.

Choon Bin, dalam pada itu berkata, fasiliti baharu itu akan menjadi yang ketiga bagi Pentamaster di negeri ini dan pengembangan itu akan melibatkan pelaburan sebanyak RM120 bilion bagi membina kemudahan canggih seluas 46,451.52 kaki persegi fasiliti yang dan disokong oleh 300 jurutera baharu.

Bagi UWC pula, Chai Eng berkata syarikat itu akan melabur sebanyak RM200 juta dalam projek pengembangan terbabit bagi tempoh tiga tahun, melengkapkan pelan jangka panjangnya untuk beralih menjadi pemain bersepadu.

“Saya gembira projek ini bakal mewujudkan 300 jawatan kejuruteraan dan 200 kekosongan juruteknik bagi pekerja tempatan, mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai magnet pekerjaan di wilayah utara,” tambahnya.

Sumber: Bernama

Tiga firma tempatan kembang operasi di Pulau Pinang


Content Type:

Duration:

Pemaju infrastruktur penggudangan terbesar Taiwan, ALP (Ally Logistic Property Co. Ltd) akan melabur sejumlah AS$1 bilion (AS$1 = RM4.15) di Malaysia bagi membangunkan penyelesaian penggudangan dalam usaha melonjakkan industri logistik negara.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu menyatakan, perancangan terbabit sedang dilaksanakan menerusi pembangunan taman logistik berkeluasan 10.92 hektar bernilai AS$180 juta yang merangkumi kemudahan penggudangan pintar dikenali sebagai OMega di Bukit Raja, Selangor dan pertama seumpamanya di negara ini.

Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ALP Charlie Chang berkata industri rantaian bekalan Malaysia menyediakan peluang besar yang belum dimanfaatkan dan memerlukan pelaburan berskala besar serta model perniagaan perkongsian ekonomi bagi memacunya.

“Pasaran Malaysia menawarkan potensi luas dan kami yakin pelaburan di sini dapat menarik lebih ramai penggiat serantau serta pelaburan bernilai tinggi bagi memacu aspirasi negara ini untuk muncul sebagai hab e-dagang serantau.

“OMega memperkenalkan model kerjasama pengoperasian bagi membuka peluang ekonomi baharu dan memacu pertumbuhan industri sambil memperkasa jenama tempatan dalam usaha transformasi mereka menembusi pasaran baharu serta meraih kekayaan,” katanya.

Pembinaan Omega ALP di Bukit Raja dijangka siap pada suku pertama 2024 dan menjadi sebahagian daripada rantaian kemudahan penggudangan serantau ALP yang dapat menarik perhatian pelabur multinasional serta jenama yang berminat mewujudkan pusat pengedaran di Malaysia.

Malah, gudang pintar OMega yang terletak di lokasi strategik di serata Malaysia juga dijangka dapat mewujudkan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan, kata kenyataan itu.

Sumber: Bernama

Firma Taiwan ALP labur AS$1 bilion bangunkan taman gudang pintar di Malaysia


Content Type:

Duration:

Micron Technology Inc, satu-satunya firma penyedia penyelesaian memori yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan antara pengeluar semikonduktor terbesar di dunia, bercadang untuk melabur lebih daripada US$150 bilion (AS$1=RM4.15) secara global sehingga tahun 2030.

Pelaburan itu adalah untuk pembuatan dan penyelidikan memori termaju serta penyelidikan serta pembangunan (R&D) termasuk potensi mengembangkan fabrikasi AS dalam dekad akan datang.

Penyelesaian memori dan storan ialah sebahagian daripada industri semikonduktor global yang semakin pesat berkembang, dan hari ini ia mewakili kira-kira 30 peratus daripada pasaran semikonduktor.

Pemacu pertumbuhan sekular seperti 5G dan kecerdasan buatan akan mengembangkan penggunaan memori dan storan merentasi pusat data dan kelebihan pintar serta dalam bidang seperti automotif dan kepelbagaian peranti pengguna.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sanjay Mehrotra berkata pelaburan itu akan menangani peningkatan permintaan untuk penyelesaian memori yang amat penting bagi semua pengkomputeran.

“Penerajuan Micron dalam kedua-dua teknologi memori akses rawak dinamik (DRAM) dan NAND serta kekuatan pelan hala tuju membolehkan kami melabur lebih US$150 bilion dan yakin dapat mengembangkan inovasi memori peneraju industri kami ke dekad akan datang serta  mampu menyampaikan produk yang berbeza kepada pelanggan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Setakat ini, Micron mempunyai rangkaian pembuatan dan R&D global di lebih 13 negara dan memiliki lebih 47,000 paten.

Beliau berkata syarikat juga ingin bekerjasama dengan kerajaan di seluruh dunia, termasuk di AS yang mana pembiayaan cip dan Akta ‘Facilitating American-Built Semiconductors’ (FABS) akan membuka pintu kepada pelaburan industri baharu.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif (operasi global) Manish Bhatia berkata syarikat berkenaan amat optimis dengan pelaburannya di Malaysia, didorong oleh gelombang positif sektor semikonduktor dan ekonomi digital.

“Kami mempunyai operasi pemasangan dan ujian yang meluas di Muar, Perai dan Batu Kawan, Pulau Pinang. Kawasan-kawasan ini menerima pelaburan yang besar pada masa lepas dan dan kami sedang mengembangkan pelaburan itu agar kami dapat  menghasilkan produk yang lebih maju,” katanya.

“Kami sentiasa mengambil dan menambah bilangan jurutera, pengendali dan juruteknik berkemahiran. Tenaga kerja kami kini telah berkembang kepada lebih 4,000 orang di Malaysia dengan lebih 99 peratus kakitangan adalah orang tempatan.”

Bhatia berkata dengan permintaan yang kukuh dalam perniagaan penyelesaian memori dan storan, syarikat itu yakin mencatatkan hasil dan margin keuntungan yang sihat pada 2022.

“Pasaran Malaysia sudah tentu bersedia untuk pulih dengan baik daripada pandemik dan kita akan melihat peningkatan dalam permintaan untuk produk akhir seperti komputer peribadi dan telefon mudah alih.

“Kami menjangkakan unit perniagaan NAND dan DRAM kami berkembang untuk memenuhi peratusan yang tinggi tahun ke tahun bagi beberapa tahun akan datang dan itu akan memacu pendapatan kami pada masa hadapan,” tambahnya.

Sumber: Bernama

Micron Technology labur lebih US$150 bilion secara global dalam pembuatan dan R&D sehingga 2030


Content Type:

Duration:

Universiti Teknologi Petronas (UTP) muncul sebagai universiti swasta terbaik dan kedua terbaik dalam kalangan universiti Malaysia, menurut Times Higher Education (THE) Emerging Economies Rankings 2022.

Naib Canselor UTP Profesor Tan Sri Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata universiti berkenaan kini berada pada kedudukan ke-60, melonjak dua anak tangga berbanding kedudukan ke-62 sebelum ini.

Katanya UTP berjaya menyerlah dengan memperoleh markah tertinggi dalam penyelidikan di negara ini dan telah meningkat dengan ketara dalam pemetikan dan skor tinjauan antarabangsa.

Menurut  beliau universiti amat berbangga dengan pencapaian ini dan akan terus berusaha untuk meningkatkan kedudukannya.

“Kami berjaya mengukuhkan kedudukan kami dalam kalangan universiti terbaik di negara yang ekonomi yang sedang pesat membangun.

“Pencapaian ini membuktikan usaha gigih dan ketekunan kami dalam menyampaikan komitmen terhadap semua pihak berkepentingan universiti, terutamanya syarikat induk kami Petronas, pelajar, ibu bapa, penaja dan rakan usaha sama,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Edisi 2022 THE Emerging Economies Rankings merangkumi 698 universiti dari negara yang kata   dikelaskan oleh Kumpulan FTSE Bursa Saham London sebagai negara yang mempunyai pertumbuhan ekonomi yang maju, muncul peringkat kedua atau sempadan.

Indikator kedudukan itu menggunakan 13 penunjuk prestasi yang ditentukur dengan teliti dan digunakan dalam semua ranking THE.

UTP juga berada pada kedudukan ke-72 dalam QS Asia University Rankings 2022 dengan peningkatan markah dalam reputasi akademik, pemetikan setiap kertas kajian, kertas kajian setiap fakulti, rangkaian penyelidikan antarabangsa serta pertukaran keluar dan masuk pelajar.

Sumber: Bernama

UTP Malaysia duduki tempat teratas universiti swasta dalam Ranking Ekonomi Memuncul


Content Type:

Duration:

Malaysia berada di landasan yang betul untuk memulihkan ekonomi menjelang 2022 menerusi belanjawan pengembangan yang diumumkan Jumaat lepas, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (gambar) semalam.

Beliau ketika bercakap dalam satu temu bual dengan Bloomberg hari ini berkata kerajaan merancang untuk mengurangkan kerencatan ekonomi akibat pandemik COVID-19, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi kepada trajektori jangka sederhana. 

“Tidak sewajarnya kita berhenti terlalu awal, kita mahu memastikan bahawa kesan ekonomi diminimumkan dan pertumbuhan ekonomi kembali kepada trajektori jangka sederhana.

“Daripada segi pembiayaan hutang, kita mempunyai kecairan yang mencukupi di pasaran. Jelas sekali, kita mempunyai asas pelabur yang pelbagai dan kita yakin bahawa pembiayaan hutang atau bon dapat dikumpulkan secara domestik,” katanya.  

Di bawah belanjawan terbesar yang bernilai RM332.1 bilion, kerajaan telah memperkenalkan cadangan cukai melalui Bajet 2022 seperti cukai kemakmuran, kajian semula cukai keuntungan hartanah termasuk pengenaan cukai khidmat ke atas perkhidmatan penghantaran bagi melonjakkan pendapatannya.

“Memang kita telah mengumumkan satu cukai khusus iaitu cukai kemakmuran, yang merupakan cukai sekali sahaja. Ia hanya melibatkan peningkatan cukai (kutipan) secara marginal yang merangkumi lebih daripada 230 syarikat besar yang tersenarai di bursa saham, yang telah mencipta laba berlebihan semasa pandemik. 

“Ia adalah cukai progresif sebanyak 9.0 peratus. Jadi ia bukan jumlah yang besar dan ini adalah untuk membantu membiayai pakej penjagaan kesihatan semasa pandemik COVID-19,” kata Tengku Zafrul. 

Beliau juga menolak tanggapan bahawa pengenalan cukai kemakmuran bukan bersifat mesra perniagaan, dengan menjelaskan bahawa pasaran akan menyesuaikan diri dengan pengumuman itu.

“Saya tidak bimbang (tanggapan). Jika kita melihat di mana kita berada hari ini, jika anda melihat kekuatan mata wang dan ekonomi, dan seperti yang telah saya katakan, cukai progresif (akan) hanya melibatkan 230 syarikat tersenarai. 

“Jika anda tengok kepada sektor perniagaan, kita telah memberikan pakej bantuan sebanyak RM40 bilion dan kita juga mempunyai program bernilai RM4.8 bilion membabitkan pekerjaan, ini menjamin 600,000 pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Kita perlu melihatnya secara holistik dan fokus utama sekarang adalah kepada ekonomi serta mewujudkan pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, kerajaan yakin dengan ekonomi pada 2022, yang bakal didorong oleh prestasi ekonomi yang kukuh dengan anggaran pertumbuhan antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus pada tahun tersebut.

Setakat ini, 75 peratus daripada keseluruhan populasi yang merangkumi lebih 90 peratus penduduk dewasa Malaysia telah menerima vaksin 

Tengku Zafrul berkata dasar fiskal dan monetari Malaysia masih akomodatif dan kerajaan sedang berusaha mengurangkan defisit fiskal kepada 6.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2022 berbanding 6.5 peratus tahun ini.

“Masih ada ruang untuk kita gunakan dan dalam belanjawan, kita mengandaikan harga minyak berada pada sekitar US$66 setong dan seperti yang anda tahu (sekarang) ia telah naik lebih tinggi daripada itu. Langkah-langkah cukai baharu ini pun tidak dimasukkan dalam aliran pendapatan negara pada tahun hadapan,” katanya.

Sumber: Bernama

Tengku Zafrul: Pemulihan ekonomi berada di landasan betul melalui Bajet 2022


Content Type:

Duration:

Penarafan Ranking Universiti Quacquarelli-Symonds (QS): Asia (QS-AUR) 2022 mendapati 22 universiti di Malaysia menunjukkan peningkatan kedudukan berbanding tahun lepas, empat universiti kekal di kedudukan sama manakala 10 universiti mencatat penurunan.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, antara universiti tempatan mencatat peningkatan kedudukan adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Empat universiti yang mengekalkan kedudukan adalah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK),” menurut kenyataan itu.

Menurut KPT, penarafan QS-AUR 2022 turut menunjukkan peningkatan penyertaan universiti tempatan sebanyak 36 universiti berbanding 35 universiti pada tahun sebelumnya.

UM dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, universiti yang pertama ditubuhkan di negara ini menduduki tempat kelapan dalam QS-AUR 2022, naik satu kedudukan berbanding tahun lepas.

Kejayaan tersebut menyaksikan UM memperbaiki kedudukannya berbanding tahun lepas selepas buat pertama kalinya berjaya menjadi antara 10 universiti Asia terbaik sejak penganugerahan QS-AUR pada 2009.

Menurut KPT, pencapaian dicapai universiti tempatan membuktikan bahawa universiti di negara ini mampu bersaing dengan universiti di negara Asia yang lain walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran akibat pandemik Covid-19.

“Kejayaan ini juga menunjukkan bahawa Malaysia mampu menjadi hab pendidikan tinggi yang unggul di rantau Asia,” kata KPT.

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan QS World University Rankings, Ben Sowter berkata, universiti-universiti di Malaysia terus mencatatkan peningkatan kedudukan menerusi QS-AUR 2022 walaupun wujud persaingan sengit.

Secara keseluruhan sebanyak 687 universiti termasuk 40 penyertaan baharu dari 18 negara Asia terlibat dalam penilaian QS-AUR yang juga perbandingan meluas pernah dilaksanakan di rantau Asia.

Penilaian QS-AUR dilaksanakan berdasarkan kepada 11 petunjuk prestasi utama antaranya reputasi akademik; kebolehpasaran graduan; kualiti penyelidikan dan produktiviti; pengantarabangsaan di kampus serta kerjasama antarabangsa dengan pelbagai institusi.

Sumber: Bernama

22 universiti tempatan catat peningkatan kedudukan


Content Type:

Duration:

Sentimen perniagaan dalam kalangan syarikat Jepun di Malaysia diunjur bertambah baik dalam separuh pertama 2022, demikian menurut dapatan kaji selidik oleh Dewan Perniagaan dan Industri Jepun-Malaysia (JACTIM).

Menurut kaji selidik yang dijalankan dua kali setahun itu, indeks penyebaran sentimen perniagaan diunjur meningkat kepada 3.1 mata pada separuh pertama 2022, selepas mencatatkan bacaan negatif sejak separuh kedua 2018.

Ketua Penasihat JACTIM yang juga merupakan Pengarah Urusan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) bagi Kuala Lumpur Mai Onozawa berkata banyak syarikat Jepun yakin dengan prospek masa depan Malaysia berlandaskan kepada pemulihan global dan merancang untuk meneruskan aktiviti perniagaan mereka di Malaysia.

Kaji selidik JACTIM mengenai trend perniagaan di Malaysia pada separuh kedua 2021 itu dijalankan pada September, melibatkan 552 syarikat ahli JACTIM, termasuk 120 syarikat daripada sektor pembuatan dan 71 syarikat daripada sektor bukan pembuatan.

“Dalam kaji selidik itu banyak responden menyatakan aktiviti pengeluaran mereka disambung semula secara berperingkat susulan kelongggaran sekatan oleh kerajaan Malaysia ke atas aktiviti sosial dan ekonomi, sejajar dengan peningkatan kadar vaksinasi,” kata Onozawa kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Lanjutan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan bagi pembelian kereta baharu sehingga Jun 2022 turut menyokong industri automotif, katanya.

“Mengenai sektor perkhidmatan, terutamanya perkhidmatan berkaitan pembuatan, langkah kerajaan untuk melonggarkan sekatan dengan peralihan kepada Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara telah mendorong syarikat pembuatan untuk meningkatkan aktiviti pengeluaran mereka.

“Ini membawa kepada peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan berkaitan seperti import/eksport, jualan dan pengangkutan produk berkaitan,” katanya.

Onozawa berkata sentimen perniagaan rendah pada suku pertama 2021 kerana kegawatan ekonomi dan kadar operasi rendah ekoran sekatan pergerakan yang berpanjangan.

Menurutnya, kekurangan buruh telah menjadi satu isu mendesak malahan sebelum pandemik COVID-19 lagi apabila industri pembuatan berskala besar mendapati sukar untuk mendapatkan jumlah pekerja yang mencukupi.

“Dengan penggantungan pengambilan pekerja asing baharu bermula Jun 2020, selain langkah-langkah yang diambil bagi membendung penularan COVID-19, banyak syarikat berkata bilangan pekerja am yang dapat diambil bekerja oleh syarikat berkurangan dengan ketara.

“Syarikat Jepun giat melakukan pengambilan pekerja Malaysia, tetapi kadar pusing ganti adalah sangat tinggi terutamanya bagi syarikat yang terletak di kawasan padat perniagaan seperti Selangor dan Johor,” katanya.

Untuk meneruskan aktiviti ekonomi mereka di Malaysia syarikat Jepun juga memerlukan sumber manusia berkemahiran tinggi seperti jurutera dan pengurus pengeluaran, namun, bilangan tenaga kerja tidak mencukupi dan syarikat berdepan kesukaran untuk mengambil mereka bekerja.

Menurut Onozawa, banyak syarikat Jepun berkata pengeluaran tidak mencukupi untuk menampung permintaan disebabkan kekurangan buruh.

“Selain itu, beberapa syarikat mendapati sukar untuk mendapatkan bahagian-bahagian dan bahan daripada sumber tempatan dan luar negara disebabkan oleh masalah seperti gangguan dalam pengangkutan marin.

“Oleh kerana isu-isu ini tidak boleh diselesaikan segera, syarikat-syarikat menjangkakan situasi lebihan permintaan akan berterusan buat masa ini,” katanya.

Memandangkan situasi semasa, JACTIM menggesa kerajaan mewujudkan persekitaran perniagaan yang akan membolehkan syarikat asing meneruskan aktiviti ekonomi mereka di Malaysia bagi tempoh jangka panjang dalam situasi sama-sama menang.

Onozawa berkata banyak syarikat Jepun yang sedang beroperasi di Malaysia ketika ini telah menjalankan perniagaan mereka lebih daripada 30-40 tahun di negara ini dan kesemua mereka melahirkan minat untuk meneruskan aktiviti perniagaan mereka di Malaysia.

Beliau juga memuji langkah kerajaan melanjutkan Elaun Pelaburan Semula Tambahan dengan menyatakan ia akan memberi manfaat kepada syarikat asing dan juga Malaysia untuk menarik pelaburan baharu.

Onozawa juga menegaskan kepentingan mewujudkan dasar karbon-neutral yang jelas.

“Daripada perspektif mencapai pelepasan karbon sifar dan memastikan bekalan tenaga stabil untuk mencapai sasaran tersebut, penting untuk terus menyokong sistem penjanaan kuasa konvensional semasa yang menggunakan bahan api fosil sedia ada mengunakan pembiayaan peralihan.

“Pada masa yang sama, dasar yang jelas dan segera untuk menyokong matlamat itu seperti langkah-langkah subsidi dan keutamaan bagi alternatif bebas karbon, juga diperlukan,” katanya.

Sumber: Bernama

Sentimen perniagaan syarikat Jepun di Malaysia diunjur bertambah baik pada separuh pertama 2022


Content Type:

Duration:

Pengeluar kereta Stellantis, yang membina jenama kereta seperti Peugeot, telah mengambil alih keseluruhan syarikat NAZA Automotive Manufacturing Sdn. Bhd. dan kilang pengeluarannya di Gurun, Kedah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, Stellantis mengumumkan syarikat itu telah mengambil alih sepenuhnya kilang Naza pada 28 Oktober lalu, yang sebelum ini dilaksanakan secara usaha sama dengan Naza Corporation.

Tidak dinyatakan nilai kos pengambilalihan tersebut tetapi berdasarkan rekod, kos pembinaan kilang di Gurun, Kedah itu menelan belanja RM700 juta sebelum memulakan operasi pada 2004.

Menurut Stellantis, lebih 170 kakitangan kilang tersebut telah kembali bertugas (setelah ditutup ketika perintah kawalan pergerakan) dan syarikat tersebut berurusan dengan lebih 50 pembekal tempatan Ketika pengeluaran meningkat bagi suku terakhir tahun ini.

Penyempurnaan pengambilalihan itu juga menandakan pencapaian besar bagi Stellantis di Asia Tenggara, dengan rancangan untuk melabur dan menambah keluasannya sebagai sebahagian daripada strategi tempatannya yang pesat.

Naib Presiden Kanan, Pengedar Am & ASEAN di Stellantis, Christophe Musy berkata, syarikat itu cukup komited untuk meningkatkan kehadirannya di ASEAN dan pengambilalihan kilang di Gurun itu adalah langkah yang sangat penting ke arah meneguhkan operasi, output pengeluaran dan tenaga manusia di rantau ini.

“Kami ada strategi pertumbuhan yang akan membolehkan kami membina daripada output sedia ada kami di Gurun, selain meluaskan jenama dan model di dalam portfolio Stellanti yang dibina di ASEAN untuk ASEAN. Ini tentunya perancangan yang cukup menarik,” katanya.

Pengeluaran kilang di Gurun itu, kata Stellantis, bermula semula dengan pelancaran model disegarkan semula Peugeot 3008 dan 5008 yang diperkenalkan ke seluruh rantau ini, setelah meraih kejayaan di Eropah.

Di samping itu, model Peugeot 2008 juga akan mula dipasang bulan ini di Gurun, membawakan model SUV kompak mewah ke pasaran ASEAN.

Musy berkata, pihaknya adalah fokus di dalam misi untuk menjadi pengeluar berkelas dunia di Gurun bagi membina kenderaan berkualiti tinggi yang dibina di Malaysia untuk Asia Tenggara.

“Ini termasuk model yang menerima pengiktirafan antarabangsa, 3008 dan 5008 serta Peugeot 2008 baharu, dan ketiga-tiga model ini akan menjadi penawaran hebat jenama Peugeot di rantau ini,’’ kata beliau.

Kini ujar beliau, kilang itu bekerjasama rapat dengan rakan-rakan kongsi bagi meningkatkan kapasiti kilang ke paras hampir 40% bagi memenuhi permintaan, dan ini digabungkan dengan pelan produk kami yang kuat dan kesungguhan untuk mencapai piawaian tertinggi dari segi kualiti dan keselamatan telah menetapkan kami bagi kejayaan besar di Malaysia.

Sumber: DagangNews

Stellantis ambil alih sepenuhnya kilang Naza di Gurun, Kedah


Content Type:

Duration:

Pendekatan yang dilaksanakan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat lepas disifatkan sebagai usaha mencari titik tengah dan keseimbangan untuk menguruskan ekonomi negara, kata pakar ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pembentangan bajet dengan peruntukan berjumlah RM332.1 bilion itu akan memanfaatkan semua lapisan masyarakat.

“Hasilnya, ekonomi negara dijangka pulih lebih baik dengan kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar pada 5.5-6.5, tahun depan.

“Bagaimanapun, pada masa yang sama, kita masih lagi berdepan dengan ketidakpastian mengenai situasi COVID-19,” katanya dalam program Agenda Awani yang disiarkan di Astro Awani, malam ini.

Katanya negara masih memerlukan peruntukan untuk pembelian vaksin dan membiayai kos kesihatan di samping membantu kelangsungan hidup terutamanya melibatkan golongan rentan, B40 dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Selain itu, beliau berpendapat bantuan kewangan untuk tempoh jangka panjang tidak wajar diteruskan, sebaliknya menyarankan kerajaan agar terus mencipta peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan belia.

“Memodenkan atau merancakkan sektor pertanian dengan ‘pertanian pintar’ boleh mewujudkan banyak peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata peruntukan sebanyak RM14.2 bilion mampu memulihkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi enjin pertumbuhan negara.

Beliau turut mencadangkan PKS untuk berbincang dengan bank bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi dan memperbaiki aliran tunai mereka.

Bajet 2022 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyediakan sejumlah RM332.1 bilion, peruntukan tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini dengan tumpuan ke arah memulihkan setiap segmen sosioekonomi negara.

Jumlah itu merangkumi RM233.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM75.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM23 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19.

Sumber: Bernama

Bajet 2022: Usaha cari keseimbangan urus ekonomi negara, kata Pakar Ekonomi


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah melanjutkan langkah-langkah interim bagi pelaksanaan semakan semula garis panduan pengimportan serta pemeriksaan ferus, tembaga dan aluminium sekerap sehingga 31 Dis, 2021.

MITI dalam satu kenyataan hari ini berkata pelanjutan tempoh interim tersebut dapat membolehkan industri terlibat untuk melakukan persiapan diperlukan bagi pelaksanaan Sijil Perakuan Kelulusan (COA).

“MITI memuji komitmen semua pengilang dan pengimport utama dalam mematuhi kriteria baharu dalam tempoh interim dan ingin menyeru industri untuk terus menyokong objektif keseluruhan garis panduan itu.

“Ia selaras dengan komitmen antarabangsa kami yang ditetapkan melalui Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Matlamat 12: Memastikan Penggunaan Mampan dan Corak Pengeluaran serta dalam menegakkan Alam Sekitar. , Prinsip Sosial dan Tadbir Urus,” katanya.

Pada Ogos, 2021, MITI mengumumkan tempoh lanjutan langkah-langkah interim bagi pelaksanaan semakan semula garis panduan pengimportan serta pemeriksaan ferus, tembaga dan aluminium sekerap.

Dalam lanjutan tempoh interim itu dari 1 Sept hingga 31 Okt, 2021, mekanisme import sedia ada oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan dikuatkuasakan dengan menggunakan kriteria yang ditetapkan dan menerusi pelaksanaan skim kelulusan kemudahan pemulihan bahan oleh SIRIM dan badan pemeriksa asing sebagai langkah penambahbaikan tambahan.

Sumber: Bernama

Garis panduan pengimportan logam sekerap dilanjutkan hingga 31 Disember – MITI


Content Type:

Duration:

Malaysia mampu bersaing di persada dunia untuk menguasai pasaran perabot kayu memandangkan ia mendapat permintaan yang tinggi dan nilai eksport dijangka meningkat tahun ini walaupun dilanda pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata Malaysia mendapat permintaan tinggi perabot kayu daripada beberapa negara antaranya ialah Amerika Syarikat dan Eropah.

“Walaupun Malaysia berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas, negara mencatatkan sebanyak RM11 bilion nilai eksport dan ia dijangka meningkat tahun ini kepada RM13 bilion kerana permintaan meningkat.

“Ini adalah pasaran tradisional yang dimiliki Malaysia dan ia menunjukkan negara kita memang mampu bersaing dalam arena antarabangsa untuk menguasai pasaran di luar negara,” katanya pada sidang media selepas melawat Stesen Penyelidikan Lembaga Getah Malaysia di Bandar Penawar, di sini hari ini.

Beliau berkata antara jenis perabot kayu yang menerima permintaan tinggi negara adalah perabot kayu getah.

“Kayu getah ini merupakan sumber daripada industri getah, kayu tersebut merupakan sumber diperbaharui, justerua ia dikategorikan sebagai kayu balak yang mampan.

“Selepas menghasilkan getah, Malaysia turut jual dalam bentuk kayu balak. Lembaga Getah Malaysia (LGM) memang sentiasa berusaha untuk menghasilkan pokok kayu getah yang besar dan pada waktu yang sama menghasilkan getah yang bagus,” katanya.

Mengulas mengenai pekebun kecil getah, Wee berkata kerajaan sentiasa berusaha untuk membantu meningkatkan pendapatan kira-kira 450,000 pekebun kecil getah di negara ini antaranya menerusi platfrom urus niaga getah secara tender dalam talian, My Rubber Online atau MyROL yang dibangunkan LGM.

“Urus niaga ini bukan sahaja boleh dilakukan secara dalam talian dalam negara tetapi juga di luar negara.

“Harga getah tender menerusi platfrom ini adalah lebih tinggi daripada yang ditetapkan LGM, sehubungan itu kementerian sentiasa menggalakkan pekebun kecil untuk ambil peluang dengan menggunakan platform ini,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia mampu bersaing dalam eksport perabot kayu di persada dunia


Content Type:

Duration:

Hab Platform Perdagangan Dunia elektronik (eWTP) Cainiao Aeropolis yang baru dilancarkan telah meletakkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sebagai pusat pengedaran serantau (RDC) di pasaran Asia Pasifik.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata hab itu menerima beberapa pengendali logistik kargo sebagai pemain logistik kontrak, menyediakan ruang bagi pelanggan akhir mereka seperti pengendali kargo dan syarikat elektronik runcit.

Dengan ruang gudang yang amat luas kira-kira 1.1 juta kaki persegi, hab itu akan menyediakan masa pusing balik yang lebih pantas kepada pengendali serta perkhidmatan tokokan nilai seperti pembuatan ringan baharu, pemasangan, pembaikan dan logistikan pulangan, katanya.

“Ini kemudiannya akan menjadikan tempat ini sebagai RDC mereka bagi keseluruhan rantau, yang seterusnya membawakan volum baharu bagi kita,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran hab tersebut di sini, hari ini.

Hab itu, yang memulakan operasinya pada November tahun lepas dibangunkan menerusi perkongsian 30:70 antara MAHB dan Alibaba Group dengan pelaburan bernilai RM500 juta.

Dalam keseluruhan kawasan kargo KLIA, terdapat kira-kira 200 pemain terdiri daripada pengendali terminal kargo, syarikat pengangkutan barangan dan syarikat penerbangan kargo.

Iskandar berkata pengendali lapangan terbang itu berharap dapat menerima 10 pengendali baharu menyertai hab tersebut terutamanya daripada pasaran vertikal elektronik runcit, automotif, farmaseutikal, telekomunikasi, barangan sukan dan segmen fesyen laris.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang merasmikan pelancaran hab itu berkata, kemunculan e-dagang dalam tempoh beberapa tahun ini terbukti menjadi rahmat kepada pertumbuhan kargo udara kerana ia merupakan pemacu pemangkin terbesarnya.

“Hab Cainiao eWTP akan menjadi pembawa perubahan bagi Malaysia sebagai hab Asia Pasifik bagi RDC dan logistik e-dagang.

“Ia mendapat banyak manfaat berada di zon komersial bebas dengan akses ke sisi terminal lapangan terbang hinggalah kepada aktiviti tokokan nilai seperti pemasangan ringan dan pukal serta operasi kastam 24 jam menggunakan teknologi pintar yang membolehkan pelepasan kastam pelbagai modus menyeluruh,” katanya.

Wee berkata hab Cainiao eWTP, bersama dengan Kastam Diraja Malaysia telah menyediakan sistem pelepasan kastam yang akan hanya mengambil masa sejam setengah untuk selesai — peningkatan besar daripada 24 hingga 48 jam sebelum ini.

Pada 2020, pasaran logistik dan kargo Malaysia bernilai US$37.6 billion dan dijangka mencecah lebih daripada US$55 bilion menjelang 2026.

Sumber: Bernama

Hab eWTP Cainiao Aeropolis jadikan KLIA sebagai pusat pengedaran serantau


Content Type:

Duration:

China optimis bahawa perdagangan dan pelaburannya dengan Malaysia akan mencapai peringkat baharu dalam era pasca pandemik, menurut Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Berikutan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), China sedia bekerjasama dengan Malaysia untuk memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan, memanfaatkan potensi kerjasama dalam bidang baharu, dan mengalakkan integrasi China-Malaysia ke arah kemajuan bersama membabitkan kedua-dua negara, katanya.

Katanya potensi bidang kerjasama itu meliputi ekonomi digital, industri elektrik dan elektronik, keselamatan siber dan teknologi tinggi.

“Sebagai nod penting Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21, Malaysia menikmati lokasi yang strategik dan persekitaran perniagaan yang sihat.

“Kami bersedia untuk berkongsi pengalaman untuk bermula dan mencatatkan kemajuan bersama-sama Malaysia, kekal memperkukuh kerjasama praktikal dan sinergi strategik dan rancangan kerjasama untuk pemulihan ekonomi dan pembangunan sosial dalam era pasca pandemik.

“Kita sepatutnya mengubah krisis ini kepada satu peluang yang akan mewujudkan kerjasama di peringkat yang lebih tinggi dan menghasilkan keputusan yang bernilai dan luar biasa,” katanya semasa pelancaran Hab Platform Perdagangan Dunia elektronik (eWTP) Cainiao Aeropolis di sini, hari ini.

Ouyang berkata jumlah perdagangan dua hala antara China dan Malaysia, dan pelaburan bukan kewangan China ke Malaysia meningkat berbanding kemungkinan sebanyak 43.9 peratus dan 76.3 peratus pada separuh pertama tahun ini.

China juga kekal sebagai rakan perdagangan terbesar Malaysia untuk tempoh 12 tahun berturut-turut, selain sumber pelaburan langsung asing terbesar dalam sektor pembuatan di Malaysia selama lima tahun berturut-turut, katanya.
“Kedua-dua negara ini sentiasa tertumpu untuk memperkukuh kerjasama merangkumi pelbagai bidang termasuk taman perindustrian, pembinaan infrastruktur, pembuatan peralatan, ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) dan ekonomi digital.

“Penandatanganan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau menyuntik dorongan baharu terhadap pembangunan ekonomi wilayah Asia Pasifik, yang akan menyokong bidang baharu, model baharu dan format perniagaan baharu dalam kerjasama pragmatik kita.

“Ia juga akan memainkan peranan utama untuk menggalakkan pemulihan ekonomi dan kesejahteraan jangka panjang,” katanya.

Ouyang berkata China dan Malaysia akan memperkukuhkan lagi kerjasama di bawah rangka kerja Inisiatif Jalur dan Laluan, memperkukuh sinergi di antara strategi pembangunan, merangsang pemacu pertumbuhan baharu dan mewujudkan tumpuan baharu kerjasama.

Menurutnya kedua-dua negara akan turut memanfaatkan kelebihan itu untuk menambah baik kerjasama ekonomi dua hala.

China dan Malaysia menjalinkan kerjasama dua hala sejak 47 tahun lepas, antaranya dengan memperkukuh kepercayaan politik bersama dan kemajuan yang stabil bagi kerjasama ekonomi.

Sumber: Bernama

Perdagangan, Pelaburan China-Malaysia bakal capai tahap baharu – Duta China


Content Type:

Duration:

Hong Seng Industries Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Hong Seng Consolidated Bhd akan melabur sebanyak RM3 bilion di Kedah Rubber City (KRC), Padang Terap, Kedah bagi membina fasiliti getah nitril butadiena (NBL) terbesar di dunia bermula tahun depan.

Pengarah Urusan Kumpulan Hong Seng Datuk Seri Teoh Hai Hin berkata pembinaan fasiliti itu dijangka menarik pelaburan tambahan sebanyak RM5 bilion melalui industri sokongan dan rantaian nilai industri getah nitril serta mewujudkan lebih 1,600 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang kepakaran terutamanya kepada penduduk sekitar KRC.

“Ini akan menjadi pemangkin pemulihan ekonomi bagi mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya pada sidang media selepas majlis simbolik pecah tanah projek pembinaan kilang pembuatan getah nitril butadiena (NBL) itu, di sini, hari ini.

Teoh berkata kilang yang dijangka siap pembinaannya pada 2024 itu akan mempunyai kapasiti pengeluaran penuh sebanyak 960 kilo tan sarung tangan setahun.

“Syarikat kami akan menggunakan teknologi termaju dan mematuhi piawaian kualiti antarabangsa bagi memenuhi permintaan sarung tangan yang semakin meningkat,” katanya.

Hong Seng Industries telah menerima surat tawaran menyewakan semula tanah perindustrian seluas 41.04 hektar di KRC pada 25 Jun lepas untuk tempoh 60 tahun bagi pembinaan kilang itu.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang turut hadir pada majlis itu berkata Kumpulan Hong Seng merupakan syarikat pertama yang melabur di KRC serta menyambut baik usaha syarikat itu membina kilang di taman perindustrian getah itu.

Beliau berkata projek itu dijangka mampu menarik pelabur dari dalam dan luar negara berdasarkan kepada potensi pelaburan jangka panjang selain memberi manfaat kepada ekonomi tempatan.

KRC yang kini mencapai 85 peratus pembinaan dibangunkan di atas tanah berkeluasan hampir 505.86 hektar, merupakan salah satu projek nasional di bawah Pelan Pembangunan Strategik 2021-2025 (SDP) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Sumber: Bernama

Hong Seng Industries labur RM3 bilion buka kilang sarung tangan terbesar di dunia di KRC


Content Type:

Duration:

Peningkatan semula jualan plastik buatan kilang membuktikan kepentingan industri itu dalam menyokong sektor ekonomi penting semasa pandemik COVID-19, menurut Persatuan Pekilang Plastik Malaysia (MPMA).

Presiden, Datuk Lim Kok Boon berkata memetik angka Jabatan Perangkaan Malaysia, jualan plastik buatan kilang meningkat 23 peratus tahun ke tahun kepada RM38.68 bilion dalam tempoh lapan bulan pertama 2021.

“Eksport produk plastik meningkat 21 peratus dalam tempoh yang sama daripada RM8.63 bilion kepada RM10.43 bilion.

“Peningkatan kukuh ini didorong oleh pembukaan kembali kebanyakan sektor pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya semasa berucap merasmikan Bulan Plastech MPMA secara maya pada Selasa.

Bulan Plastech bertemakan ‘Kekal Relevan: Kuasa Teknologi’ yang julung-julung kali dianjurkan itu mengetengahkan sembilan sesi berlangsung secara berjeda hari bagi tempoh sehingga 2 Dis, 2021.

Ia bertujuan mempercepat kemajuan industri plastik negara ke arah kelestarian melalui penggunaan teknologi dalam perniagaan dan pembuatan.

Bulan Plastech MPMA 2021 menekankan enam topik iaitu pembuatan pintar, pembungkusan fleksibel, kemas kini pengacuan, teknologi bahan, ekonomi sirkular dan perubahan iklim serta trend dan teknologi kitar semula.

Lim menggesa industri untuk membangunkan modal insan yang diperlukan untuk mengendalikan teknologi baharu dan, pada masa sama, terus melabur dalam teknologi dan proses inovatif untuk memperkukuh rantaian nilai.

MPMA memuji inisiatif kerajaan untuk melanjutkan insentif cukai elaun pelaburan semula (EPS) selama dua tahun lagi sehingga 2024 bagi syarikat yang tempoh EPS mereka telah tamat.

“Walaupun gembira dengan lanjutan ini, MPMA ingin merayu kepada kerajaan supaya melanjutkan EPS dengan tiada had tempoh dikenakan ke arah menyokong keperluan berterusan untuk melabur dalam teknologi terkini bagi sektor pembuatan,” katanya.

Beliau juga merayu supaya bantuan kerajaan diteruskan untuk mempercepat penerimagunaan proses automasi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui peruntukan dana tambahan Geran Automasi Pintar (SAG).

Ini kerana automasi adalah penting untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti selain menyokong operasi baharu, katanya.

Lim berkata di bawah Bajet 2022 kerajaan bercadang memperuntukkan RM100 juta lagi untuk SAG, yang dijangka dimanfaatkan oleh kira-kira 200 syarikat.

“Walaupun ini merupakan jumlah yang menggalakkan, kami berpendapat lebih banyak lagi diperlukan memandangkan bilangan PKS yang besar bersaing untuk sebahagian geran itu,” katanya.

Sumber: Bernama

Industri plastik sokong pertumbuhan ekonomi Malaysia – MPMA


Content Type:

Duration:

KUALA LUMPUR, 2 Nov — Peneraju dalam industri plastik digalakkan untuk bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) termasuk agensi berkaitan dalam melaksanakan program serta inisiatif di bawah Dasar Kebangsaan Industri 4.0 (Industry4WRD) untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran dan meningkatkan produktiviti.

Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Perindustrian MITI Datuk Hanafi Sakri berkata adalah penting bagi Malaysia untuk mengubah atau beranjak pada kadar yang pantas dan menerima Industri 4.0 sebagai asas penting bagi memacu serta mengekalkan masa depan daya saing sektor pembuatannya.

“Industry4WRD bertujuan mengubah industri pembuatan dan perkhidmatan berkaitan agar menjadi lebih bijak, tersusun dan lebih cekap melalui penggunaan teknologi Industri 4.0. Saya percaya persidangan ini adalah sejajar dengan objektif Industry4WRD,” katanya dalam ucaptama pada persidangan maya Plastech Month 2021 Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) yang dilancarkan hari ini.

Persidangan yang bertemakan ‘Kekal Relevan : Kuasa Teknologi’ itu bertujuan mempercepatkan kemajuan industri plastik negara ke arah kemampanan melalui penggunaan teknologi dalam perniagaan dan pembuatan.

Menurut Hanafi, MITI meletakkan sektor kimia, termasuk plastik dan komposit, ke arah menghasilkan produk nilai tambah yang lebih tinggi dan dipacu pasaran, yang kemudiannya akan menyokong pertumbuhan serta pembangunan subsektor lain di negara ini.

Subsektor kimia, termasuk petroleum ditapis, kimia, petrokimia dan produk plastik secara kolektif menyumbang 6.1 peratus kepada sektor pembuatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2021, dengan produk plastik sahaja menyumbang 0.8 peratus.

Hanafi turut menyeru peneraju industri untuk mengikuti trend global mengenai kemampanan dan bergerak ke arah ekonomi plastik kitaran memandangkan kesan sisa serta pengeluaran plastik terhadap alam sekitar, ditambah dengan penggunaan plastik, mungkin menyumbang kepada jejak karbon yang tinggi.

Oleh itu, beliau berkata sistem penggunaan dan pengeluaran plastik perlu lebih cekap dan mampan untuk kegunaan yang lebih lama termasuk sedia digunakan dan dikitar semula bagi memperbaharui nilainya sehingga ke akhir hayat.

Beliau juga menggesa peneraju industri supaya menerima prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), yang telah menjadi kriteria yang semakin penting untuk pertumbuhan inklusif, saksama dan mampan.

“Pelabur asing semakin mempertimbangkan faktor ESG dalam keputusan pelaburan mereka. Adalah penting bagi pihak berkepentingan industri tempatan untuk mencari jalan bagi menambah baik amalan ESG mereka ke arah memperoleh peluang pelaburan dan mengekalkan perniagaan sejajar dengan aliran masa depan ini,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Hanafi meminta peneraju industri untuk melengkapkan diri mereka dengan perkembangan dan kemajuan teknologi terkini , sama ada secara individu atau kolektif, melalui MPMA.

Sementara itu, Presiden MPMA Datuk Lim Kok Boon dalam ucapan perasmiannya berkata pembuatan plastik adalah sektor yang inovatif dan bergerak pantas.

“Bahan baharu dan teknologi pemprosesan sedang dibangunkan setiap tahun untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran, prestasi dan kualiti produk selain daripada memenuhi keperluan pasaran yang sentiasa berubah.

“Oleh itu, mengikuti perkembangan teknologi terkini adalah faktor terpenting dalam mengekalkan daya saing kami dalam pasaran,” katanya.

Sumber: Bernama

MITI seru peneraju industri plastik ambil inisiatif bawah Industry4WRD


Content Type:

Duration:

wpChatIcon