2021 Archives - Page 7 of 33 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Aspirasi Pelaburan Nasional baharu MITI bakal tarik pelaburan strategik – PM

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang merangka Aspirasi Pelaburan Nasional baharu untuk menarik pelaburan strategik dan mempunyai nilai impak ekonomi tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bertujuan untuk memastikan Malaysia kekal relevan sebagai rakan dagang dan destinasi pelaburan pilihan.

“Keupayaan ini akan menyokong dan menggalakkan integrasi antara industri tempatan dengan rantaian bekalan serantau dan global,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan Industri 2020, di sini, malam ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sedar sekiranya Malaysia berhasrat untuk meningkatkan akses ke pasaran antarabangsa khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah, produk yang dieksport perlu mematuhi piawaian elemen persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) yang ditetapkan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan memperkukuhkan pendekatan berteraskan elemen ESG sejajar dengan agenda kelestarian dan pertumbuhan hijau.

“Kita akan ketinggalan sekiranya kita mengambil sikap sambil lewa dan bertangguh dalam usaha ke arah penerapan elemen ESG ini,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut melahirkan rasa bangga dengan keberkesanan Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang diterajui MITI.

Menurutnya, PIKAS telah menyumbang secara signifikan terhadap usaha kerajaan untuk mempertingkatkan imunisasi pekerja industri seterusnya mengurangkan risiko kluster COVID-19 tempat kerja.

Beliau berkata kerajaan amat menghargai kerjasama pihak industri dalam menjayakan program vaksinasi sebagai langkah untuk meningkatkan perlindungan dan pencegahan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menyatakan komitmennya dalam menjayakan kelestarian agenda pemulihan ekonomi demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Sementara itu Menteri MITI Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam ucapan alu-aluan beliau berkata kementeriannya akan terus memperkukuhkan asas ekonomi negara melalui pelaksanaan dasar perdagangan dan pelaburan yang terbuka, telus serta mesra perniagaan.

“Ini termasuklah usaha yang sedang dijalankan oleh kerajaan bagi meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Kerajaan juga akan terus menyasarkan pelaburan berkualiti tinggi, berorientasikan teknologi termaju yang akan menjanakan pekerjaan bagi Keluarga Malaysia berpandukan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA),” katanya.

Anugerah Kecemerlangan Industri yang dianjurkan setiap dua tahun sekali itu bertujuan untuk mengiktiraf syarikat yang telah menunjukkan prestasi cemerlang di samping mendorong syarikat untuk terus menambah baik produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Sumber: Bernama

Aspirasi Pelaburan Nasional baharu MITI bakal tarik pelaburan strategik – PM


Content Type:

Duration:

Malaysia berpotensi untuk muncul sebagai hab pengeluaran utama peranti perubatan dan memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan produk terbabit di rantau ini serta peringkat global.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata sektor tersebut juga dapat dikembangkan lagi menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta usaha kerjasama pelbagai pihak, terutama pemain industri tempatan.

“Sebelum ini Malaysia telah pun mempelopori dan menjadi jaguh sebagai pengeluar terbesar pasaran global untuk sarung tangan perubatan serta pembedahan dan kita lihat bagaimana pentingnya peranan Malaysia dalam rantaian bekalan global produk itu pada hari ini.

“Apabila pandemik COVID-19 berlaku, permintaan luaran bertambah dan memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan untuk meningkatkan pengeluaran dan produktiviti mereka,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pusat Inovasi Peranti Perubatan (MDIC) SIRIM Bhd di Kulim Hi-Tech Park di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Mohamed Azmin berkata Malaysia pada masa ini berada dalam kedudukan strategik dan mempunyai tenaga kerja berkemahiran bagi menembusi pasaran-pasaran baharu sektor peranti perubatan terutama dalam situasi pandemik.

Malah, katanya, pada tahun lepas eksport negara bagi sektor peranti perubatan mencatat sejumlah RM30 bilion iaitu peningkatan sebanyak 24.9 peratus berbanding 2019.

Selain itu, beliau turut mengingatkan pemain industri tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana untuk meningkatkan aspek inovasi produk masingmasing, termasuk mengeluarkan produk-produk yang menepati piawaian antarabangsa bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat global.

Justeru, beliau menyifatkan SIRIM menerusi MDIC mempunyai peranan besar untuk meningkatkan keupayaan industri tempatan bagi meneroka inovasi baharu dalam produk peranti perubatan.

MDIC yang dilancarkan hari ini ditubuhkan bagi meningkatkan keupayaan R&D dalam kalangan industri peranti perubatan tempatan dan membolehkan mereka meneroka inovasi baharu produk mengikut keperluan semasa dan akan datang.

Sumber: Bernama

Malaysia berpotensi jadi hab pengeluaran utama peranti perubatan


Content Type:

Duration:

Insentif pemilikan kenderaan elektrik (EV) yang diumumkan dalam Bajet 2022 akan menyokong pembangunan ekosistem kenderaan EV dan membuka lebih banyak peluang pelaburan hijau baharu, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata insentif berkaitan kenderaan EV itu juga akan menyokong pembangunan teknologi hijau dan rendah karbon serta pekerjaan hijau berkemahiran tinggi di Malaysia.

“Insentif kenderaan EV dilihat mampu menyokong pelaksanaan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) serta membantu meningkatkan indeks kualiti udara negara,” katanya dalam kenyataan hari ini mengenai Bajet 2022.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat semalam berkata kerajaan bercadang untuk memberikan pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan EV bagi menyokong pembangunan industri EV tempatan.

Tengku Zafrul berkata pengecualian cukai jalan sehingga 100 peratus juga diberikan kepada kenderaan EV, di samping pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas kos pembelian, dan pemasangan; sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran langganan kemudahan pengecasan EV.

Menyifatkan Bajet 2022 memberi penekanan yang signifikan kepada aspek menjamin pelestarian alam sekitar dan air negara, Tuan Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan yang mencadangkan peruntukan sejumlah RM4.172 bilion untuk melestarikan alam sekitar dan air kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Tuan Ibrahim berkata KASA akan meneruskan projek-projek pemuliharaan dan mitigasi banjir di seluruh negara dan mengalu-alukan inisiatif khusus menangani hakisan pantai di Pantai Merdeka di Kedah dan mengatasi banjir di Melaka.

Kerajaan menyediakan RM450 juta dalam Bajet 2022 kepada pelbagai kementerian untuk melaksanakan beberapa inisiatif berkaitan alam sekitar dan biodiversiti, antaranya projek pemeliharaan alam serta projek pemuliharaan alam menangani hakisan pantai di Pantai Merdeka di Kedah dan mengatasi banjir di Melaka.

Tuan Ibrahim dalam pada itu berkata KASA sedang menyusun semula proses pelaksanaan projek dari peringkat perancangan sehingga pengeluaran surat setuju terima (SST) bagi memastikan projek dapat dilaksanakan serta-merta di masa akan datang.

Sumber: Bernama

Bajet 2022: Insentif pemilikan kenderaan EV buka peluang pelaburan hijau baharu


Content Type:

Duration:

Bajet 2022 menjanjikan potensi besar kepada sektor elektrik dan elektronik (E&E) di Malaysia, demikian menurut Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA).

Presidennya Datuk Seri Wong Siew Hai berkata antara fokus yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 semalam adalah peruntukan kerajaan Persekutuan sebanyak RM100 juta bagi geran padanan automasi pintar yang memanfaatkan 200 syarikat pembuatan dan perkhidmatan.

Beliau turut memuji inisiatif kerajaan Persekutuan untuk memperuntukkan RM45 juta bagi menggalakkan transformasi teknologi ke arah Industry4WRD dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat peringkat pertengahan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

“Bajet 2022 telah menawarkan hala tuju dan bidang tumpuan yang baik terhadap sektor E&E untuk berkembang dan kami berharap adanya lebih banyak kemajuan memandangkan Malaysia menuju ke arah Industri 4.0,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Wong berharap terdapat maklumat yang lebih komprehensif mengenai peruntukan kerajaan Persekutuan sebanyak RM423 juta untuk syarikat memulakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

Beliau ingin tahu sama ada penyelidikan gunaan dan komersial turut layak untuk memohon geran itu.

“Penyelidikan gunaan dan komersial adalah penting kerana ia melibatkan pelaksanaan kajian dan eksperimen yang menyelesaikan masalah praktikal dalam masyarakat kita, yang berpotensi menghasilkan lebih banyak jualan kepada ekonomi,” katanya.

Dalam pengumuman Bajet 2022, Tengku Zafrul berkata peruntukan itu termasuk RM295 juta kepada universiti awam untuk terus berperanan dalam ekosistem penyelidikan dan inovasi serta menggalak kerjasama dengan industri.

Sumber: Bernama

Bajet 2022 laluan tepat bagi sektor E&E ke hadapan – MSIA


Content Type:

Duration:

Peruntukan sebanyak RM2.1 billion bagi program dan inisiatif melibatkan implikasi kewangan yang digariskan dalam Bajet 2022 akan membantu memulihkan segera ekonomi negara dan menarik pelaburan baharu yang berkualiti tinggi, berteknologi tinggi dan berteknologi hijau.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (gambar) berkata usaha itu selari dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) dan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) Malaysia yang memberi penekanan kepada elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

“Antara inisatif yang terkandung dalam Bajet 2022 untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan meningkatkan keupayaan tempatan termasuklah Dana Khas Pelaburan Strategik bagi menarik pelaburan asing strategik dalam kalangan syarikat multinasional.

“Ini khususnya yang dapat melengkapkan rantaian nilai industri serta memacu penjanaan pekerjaan berteraskan pengetahuan dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang dicadangkan sebanyak RM2 bilion,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, di Parlimen, semalam. 

Mohamed Azmin berkata, antara inisiatif lain untuk menarik FDI termasuklah Misi Perdagangan dan Pelaburan untuk meneroka pelaburan berimpak tinggi dan pasaran eksport dengan peruntukan RM25 juta, Penjenamaan Digital Produk Halal PMKS dan program Peningkatan Kebolehpasaran Produk Halal PMKS (RM25 juta) dan Industry4WRD bagi galakan transformasi teknologi ke arah revolusi industri keempat dalam kalangan PKS (RM45 juta).

Beliau berkata pelaburan ke Malaysia selama ini lebih bersifat berintensifkan buruh dan menyebabkan negara terlalu bergantung kepada tenaga pekerja asing.

“Hari ini sahaja kita mempunyai lebih lima juta tenaga pekerja asing sedangkan saya yakin anak tempatan mempunyai potensi kemahiran sekiranya mereka diberikan peluang untuk diasah bakat dan kemahiran mereka,” katanya. 

Oleh itu, beliau berkata, insentif yang diberikan untuk menarik pelaburan asing strategik ke Malaysia bukan sahaja dapat membawa pelaburan berkualiti tinggi, malahan mencipta pekerjaan berkualiti tinggi untuk golongan muda. 

“Bagi tahun ini, MITI menjangka menarik RM200 bilion pelaburan dan mencipta anggaran 114,000 pekerjaan. Kebanyakan FDI dijangka datang dari sektor pembuatan iaitu sebanyak RM140 bilion,” katanya. 

Mohamed Azmin berkata, melalui insentif yang digariskan dalam Bajet 2022, beliau yakin MITI mampu menarik pelaburan bagi tahun 2022 yang melangkaui prestasi tahun ini.

Sumber: Bernama

Azmin: Peruntukan RM2.1 bilion bagi inisiatif libatkan implikasi kewangan bantu tarik pelaburan berkualiti


Content Type:

Duration:

Kerajaan bercadang memberikan pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan elektrik (EV), bagi menyokong pembangunan industri EV tempatan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini berkata pengecualian cukai jalan sehingga 100 peratus juga diberikan kepada kenderaan berkenaan.

“Kerajaan melihat potensi EV yang memiliki ciri-ciri kenderaan cekap tenaga sebagai usaha meminimum pencemaran asap kenderaan ke udara,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga memberikan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas kos pembelian dan pemasangan, sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran langganan kemudahan pengecasan EV.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata untuk mengurangkan kos pemilikan kenderaan, kerajaan juga akan melanjutkan 100 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang pemasangan tempatan (CKD) dan 50 peratus ke atas kenderaan dipasang sepenuhnya (CBU) termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) selama enam bulan sehingga 30 Jun 2022. 

Sumber: Bernama

Pengecualian duti import, eksais dan cukai jualan untuk EV


Content Type:

Duration:

Kerajaan akan memperkenalkan kaedah pendanaan bernilai RM2.1 bilion melalui pelaburan ekuiti dan kuasi-ekuiti bagi membantu syarikat yang mengalami masalah menguruskan hutang atau leveraj.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kaedah ini akan diterajui oleh SME Bank dengan kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Bank Simpanan Nasional Bhd (BSN) dengan dana bernilai RM600 juta dan terbuka kepada semua terutama usahawan bumiputera.

“Selain itu, Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) akan menawarkan Skim RESET (Pemulihan dan Sokongan Menerusi Ekuiti) manakala Bank Negara Malaysia (BNM) juga menyediakan Dana Permodalan Semula Perniagaan bernilai RM1 bilion untuk tujuan yang sama.

“Secara keseluruhan, sejumlah RM14.2 bilion dana tersedia untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ di Dewan Rakyat, hari ini.

Bajet itu mendukung tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

Sebanyak RM332.1 bilion diperuntukkan bagi Bajet 2022, dengan RM233.5 bilion daripada jumlah itu akan disalurkan sebagai perbelanjaan mengurus manakala RM75.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan bakinya RM23 bilion kepada Kumpulan Wang COVID-19.

Tengku Zafrul berkata bagi ketersediaan dana yang berterusan, dana BNM terutamanya Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) telah ditingkatkan sebanyak RM2 bilion dan menjadikan jumlah ketersediaan pelbagai dana PKS BNM pada masa ini kepada RM11.2 bilion.

Beliau berkata selain itu, satu inisiatif khusus untuk membantu syarikat tersenarai di Bursa Malaysia juga akan diperkenalkan.

“Inisiatif ini bertujuan membantu syarikat berdaya maju tetapi terkesan akibat pandemik COVID-19 mendapat suntikan dana tambahan melalui sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik kerajaan dalam bentuk instrumen ekuiti atau instrumen lain yang berkaitan.

“Untuk tujuan ini, Khazanah Nasional Bhd akan diberi mandat bagi membantu kerajaan menyediakan infrastruktur untuk mentadbir dana bersaiz sekurang-kurangnya RM3 bilion,” katanya.

Sumber: Bernama

Kerajaan akan perkenal kaedah pendanaan bernilai RM2.1 bilion untuk bantu syarikat


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyasarkan untuk memartabatkan industri batik Malaysia melalui penggunaan teknologi baharu dan pembangunan model perniagaan hijau.

Ini kerana kerajaan telah mengiktiraf kepentingan industri kotej sebagai warisan dan kebanggaan negara, manakala kepakaran tukang tempatan perlu dipelihara dan dipertingkatkan lagi, kata MIDA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas menyempurnakan Minggu Batik maya selama lima hari dari 25-29 Oktober 2021.

“Syarikat harus mengautomasikan dan memodenkan dalam bidaan mereka untuk mengurangkan kos keseluruhan dan meningkatkan kecekapan untuk bersaing dengan lebih baik, sambil mempelbagaikan operasi mereka ke pasaran baharu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Arham Abdul Rahman dalam ucapan alualuannya pada majlis tersebut.

Program yang bertemakan — Menggiatkan Semula Industri Batik Malaysia, dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Batik Malaysia, Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Persekutuan Fesyen, Tekstil dan Pakaian Malaysia, dan Kraftangan Malaysia.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lokman Hakim berkata industri batik mesti ditransformasikan melalui penggunaan amalan hijau untuk menonjol di peringkat global.

“Ini penting kerana ia selari dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang ditetapkan dalam pelbagai dasar kerajaan seperti Rancangan Malaysia Ke-12, Aspirasi Pelaburan Nasional dan Rangka Tindakan Perdagangan Nasional.

“Pereka batik mesti berusaha untuk menggabungkan kreativiti mereka dengan inovasi bagi memastikan batik Malaysia lebih mudah dipasarkan ke seluruh dunia.

Kemampanan termasuk penggunaan teknologi adalah cadangan nilai yang kukuh yang menarik minat khalayak antarabangsa,” katanya.

Acara ini menampilkan perintis usahawan batik yang mempamerkan produk dan identiti jenama mereka melalui Pameran Batik dan Lawatan Kilang Maya.

Sumber: Bernama

MIDA galak pengeluar batik mengautomasikan, memodenkan industri


Content Type:

Duration:

Kerangka Kerja Pengaturan Koridor Perjalanan ASEAN (ATCAF) dijangka dilaksanakan secara berperingkat dalam masa terdekat bagi mempermudah perjalanan rentas sempadan dalam kalangan negara anggota.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata bagaimanapun, pelaksanaan ATCAF perlu mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelakkan penularan COVID-19.

“Boleh dikatakan semua negara ASEAN bercakap mengenai keperluan untuk mengizinkan perjalanan antara negara anggota terutama yang berkongsi sempadan yang sama.

“Kami percaya ia akan dapat dilaksanakan tidak lama lagi, jika tidak melibatkan seluruh ASEAN, tetapi ia mungkin akan dilaksanakan dengan negara jiran ASEAN,” katanya pada sidang media mengenai Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini pada Khamis.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak maya tiga hari itu yang bermula pada Selasa, dipengerusikan Brunei.

Mengenai Myanmar, beliau berkata kumpulan serantau itu menghargai Myanmar sebagai keluarga ASEAN dan Malaysia mahu melihat pelaksanaan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara secepat mungkin.

“Bagi Malaysia, pertama kami menghargai penyertaan Myanmar sebagai ahli penuh serta aktif dalam ASEAN. Kedua, keutamaan kami adalah melindungi rakyat Myanmar dan ia menjadi perkara utama dan terpenting dalam pemikiran kami.

“Ketiga, andai keadaan semasa berlarutan buntu dan tiada sebarang keputusan dapat dibuat, maka kami perlu memikirkan cara lain untuk mendapatkan hasil yang dikehendaki.

“Kita harus faham iaitu, semua keputusan yang dibuat ASEAN mengenai Myanmar, keutamaannya adalah demi rakyat Myanmar,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukan Duta Khas ASEAN ke Myanmar, Erywan Mohd Yusof yang juga Menteri Luar II Brunei, ketika kerusi pengerusi ASEAN diserahkan kepada Kemboja pada 2022, beliau berkata, ia tidak dibincangkan pada sidang kemuncak ini dan beliau percaya blok serantau itu akan membincangkannya tidak lama lagi.

Mengulas mengenai beberapa perkara utama yang dibangkitkan Malaysia pada sidang kemuncak ini, Saifuddin berkata Malaysia menekankan keperluan untuk ASEAN terus bersatu bagi menghadapi banyak cabaran dan memastikan Pemusatan ASEAN kekal menjadi menjadi prinsip yang mencorakkan penglibatan dengan rakan kongsi luar.

Beliau berkata, perdana menteri sudah mengetengahkan beberapa isu utama termasuk pandemik COVID-19 dan Diplomasi Kesihatan, Perwakilan Myanmar dalam ASEAN dan situasi di negara itu termasuk Rohingya, ekonomi digital dan keselamatan siber serta perjanjian keselamatan tiga hala membabitkan Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS) serta Laut China Selatan.

Mengenai pandemik, Saifuddin berkata perdana menteri menggesa ASEAN dan rakan dialognya untuk mempersiapkan kemungkinan berlaku darurat kesihatan awam dan kemunculan penyakit baru menerusi program perkongsian pengetahuan serta pembinaan kapastiti, termasuk memanfaatkan teknologi digital.

Oleh kerana impak pandemik menyaksikan semangat nasionalisme dan perseteruan geopolitik mencorakkan bentuk respons kerajaan dan pertubuhan antarabangsa, beliau berkata Malaysia menggesa pemimpin dunia untuk menyemak semula aturan antarabangsa sedia ada dan berharap hala tuju baharu dibentuk sebagai persediaan pandemik akan datang.

“Malaysia merasakan seni bina kesihatan global yang baharu perlu dibangunkan. Sudah terbukti bahawa pandemik mengukuhkan kes multilateralisme,” katanya.

Sumber; Bernama

ASEAN dijangka benarkan perjalanan rentas sempadan tidak lama lagi – Saifuddin


Content Type:

Duration:

Negeri Sembilan menyasarkan untuk memperluas industri halal dalam bidang makanan dan minuman (F&B), kosmetik dan farmaseutikal menjelang tahun depan menerusi projek pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata kerajaan negeri terbabit merancang untuk membangunkan kawasan seluas 546.3 hektar di Labu bagi memajukan industri halal tersebut.

“Taman Teknologi Enstek 1 dan 2 yang dibangunkan oleh TH Property merupakan kawasan perindustrian halal yang amat berjaya walaupun tidak diwartakan sebagai sebuah taman halal. Ia telah berjaya menarik banyak syarikat atau penggiat industri halal utama seperti Coca-cola, Kelloggs, Dutch Lady, Ajinomoto, Might Bakery dan Mission Foods Malaysia.

“Kita juga berharap dapat mewujudkan lebih banyak kawasan untuk industri halal menjelang tahun depan dengan menumpukan produk-produk F&B, farmaseutikal dan kosmetik. Saya yakin usaha ini dapat menyumbang sehingga 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar bagi negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menghadiri Seminar Hibrid Bagi Memacu Semula Ekonomi Halal Bersama Negeri Sembilan anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini, hari ini.

Mohamad Rafie berkata, pengiktirafan dalam bentuk pensijilan halal akan memberi kelebihan kepada produk serta pengeluar yang berupaya melonjakkan lagi bahagian pasaran.

Malah, katanya, sijil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga merupakan antara yang paling diyakini di dunia.

Selain itu, beliau menyifatkan Negeri Sembilan sebagai sebuah lokasi strategik dengan kemudahan kesalinghubungan yang baik menerui udara, darat dan laut, sekali gus menjadikannya pilihan wajar untuk kalangan pelabur domestik dan asing.

Menurutnya, negeri itu mencatat pelaburan berjumlah RM3.65 bilion pada 2019 — peningkatan sebanyak RM1.17 bilion berbanding RM2.43 bilion pada 2018 dan RM1.1 bilion in 2017.

Prestasi itu disumbangkan oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan bernilai RM39.3 bilion atau 86.1 peratus daripada keseluruhan nilai pelaburan selain mewujudkan sebanyak 3,347 pekerjaan.

Beliau berkata, kerajaan Negeri Sembilan juga berjaya menambahkan hasilnya sebanyak RM556 juta pada 2019 yang melebihi sasaran RM430 juta berbanding RM413.46 juta pada 2018.

“Kerajaan negeri telah menyediakan Pelan Induk Bersepadu bagi Negeri Sembilan bagi mencapai matlamat untuk muncul sebagai destinasi pelaburan.

“Visi Negeri Sembilan 2045 adalah makmur, inklusif dan mampan yang dibahagikan kepada dua kluster utama — MVV 2.0 dan Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar,” katanya.

Mengulas aspek peluang pekerjaan, Mohamad Rafie berkata kerajaan negeri itu juga menyasarkan untuk membawa masuk industri berteknologi tinggi yang memerlukan pekerja mahir dan berpengetahuan yang dapat memberi jaminan dari segi ganjaran dan gaji lebih menarik.

MVV 2.0 yang juga pelan pembangunan jangka panjang di Negeri Sembilan, bermatlamat untuk mewujudkan pembangunan metropolis berkelas dunia yang dipacu oleh kerjasama awam-swasta.

Projek tersebut meliputi kawasan seluas 153,411 hektar yang merangkumi daerah Seremban dan Port Dickson dan menumpukan empat pemacu ekonomi iaitu industri berteknologi tinggi, industri perkhidmatan dan pelancongan, sektor pendidikan dan penyelidikan berasaskan kemahiran serta industri perkhidmatan khusus atau kegiatan berkaitan dengan hab logistik, penerbangan dan maritim.

Sumber: Bernama

Negeri Sembilan sasar perluas industri halal dalam F&B, kosmetik dan farmaseutikal


Content Type:

Duration:

AT&S, peneraju global pembuatan papan litar bercetak (PCB) dan litar bersepadu (IC) substrat berprestasi tinggi yang berpangkalan di Austria, memilih Malaysia untuk kemudahan pengeluaran pertamanya di Asia Tenggara dengan pelaburan fasa pertama RM8.5 bilion.

Kemudahan pengeluaran itu dibangunkan di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah dengan acara rasmi pecah tanahnya dijadualkan pada Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AT&S, Andreas Gerstenmayer, berkata pelaburan di Malaysia itu adalah yang terbesar setakat ini bagi syarikat berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan membawa teknologi tinggi generasi baharu ke negara ini dan membangunkan sektor teknologi baharu dengan kemudahan pengeluaran itu.

Katanya, pembinaan kemudahan pengeluaran di Kulim itu dijangka mewujudkan 6,000 peluang pekerjaan teknologi tinggi dan operasi komersial dijangka bermula 2024.

“Pada hari ini, Malaysia adalah hab yang penting bagi rantaian bekalan cip.

“Kami percaya bahawa Malaysia boleh mengukuhkan lagi kedudukan sebagai negara teknologi dan akan membangunkan kedudukannya di rantau ini sebagai hab pengeluaran teknologi tinggi di Asia,” katanya pada sidang media mengenai pelaburan AT&S di Malaysia, hari ini.

Mengulas lanjut pelaburan di Malaysia, Ketua Pegawai Operasi AT&S, Ingolf Schroeder, berkata pihaknya memilih negara ini berikutan lokasinya yang strategik, mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi, infrastruktur dan ekosistem semikonduktor yang mantap.

Beliau berkata, pembinaan kemudahan pengeluaran di Kulim itu juga adalah sejajar dengan rancangan pengembangan AT&S untuk menjadi pengeluar PCB berprestasi tinggi nombor satu di dunia.

“AT&S membawakan generasi terkini teknologi berprestasi tinggi ke Malaysia dan akan mewujudkan sektor teknologi serba baharu di lokasi yang bakal menjadi salah satu kawasan khas mikroelektronik global.

“Di samping pengeluaran produk teknologi tinggi, kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang meluas juga akan dijalankan di tapak yang baharu ini,” katanya.

Schroeder berkata, semua kegiatan itu memerlukan sejumlah besar sumber manusia yang berkelayakan tinggi, yang akan merangsang pasaran pekerja di rantau ini.

Beliau berkata, keperluan pekerja di kilang AT&S yang baharu itu termasuklah pakar, pengurus dan ketua dalam bidang kejuruteraan elektronik, mekanikal, kimia serta perniagaan.

Katanya, AT&S juga memerlukan kira-kira 4,500 pekerja kolar biru yang mampu bekerja dalam persekitaran kilang yang begitu canggih.

Selain pengeluaran, R&D juga akan menjadi tumpuan di pusat pengeluaran AT&S di Kulim.

Oleh itu, AT&S juga sedang meneliti kerjasama dan gandingan dengan universiti terkemuka di Malaysia.

“Usaha sama itu bukan saja dapat membantu kami merintis haluan baru bagi industri mikroelektronik, tetapi juga dapat memberi sumbangan yang penting bagi pembangunan dari segi pengetahuan yang meluas dalam pelbagai bidang industri mikroelektronik di Malaysia, seterusnya menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang positif,” kata Gerstenmayer.

Sumber: Berita Harian

AT&S labur RM8.5 bilion bina kilang di Malaysia


Content Type:

Duration:

ASEAN berharap pelaksanaan Kerangka Pemudahan Pelaburan ASEAN (AIFF) akan memudahkan aliran masuk pelaburan ke rantau itu, ketika ASEAN meningkatkan usahanya ke arah pemulihan komprehensif.

Rangka kerja itu antara lain bertujuan menambah baik akses langkah ketelusan, menyelaras dan mempercepat prosedur serta keperluan pentadbiran dan mewujudkan persekitaran yang menyokong pelaburan di rantau ini.

“Ini bertujuan meningkatkan penyepaduan ekonomi serantau dan membolehkan ASEAN merebut peluang yang tersedia daripada peralihan dalam rantaian nilai global serta menyediakan manfaat yang besar kepada pemegang kepentingan,” titah Pengerusi ASEAN, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Sultan Hassanal Bolkiah mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 menerusi persidangan video, hari ini.

Baginda bertitah, ASEAN mengalu-alukan penguatkuasaan Perjanjian Perdagangan ASEAN bagi Perkhidmatan (ATISA) dan berharap perjanjian itu dapat dilaksanakan tepat pada masanya.

Menyedari keperluan menyelaraskan usaha menangani langkah bukan tarif bagi memudahkan aliran perdagangan di rantau ini, Brunei mengalu-alukan pengesahan NTM Cost-Effectiveness Toolkit (NTM Toolkit), yang bertujuan meningkatkan penerimagunaan amalan kawal selia yang baik bagi memudahkan keperluan dan prosedur import untuk meningkatkan eksport di rantau ini.

“Kami juga mengiktiraf usaha memudahkan pergerakan barangan dalam rantau ini dan menghargai usaha pegawai yang menyediakan platform memudahkan perdagangan berasaskan digital.

“Didorong oleh perkembangan positif ini, kami berharap kepada penyertaan penuh negara anggota ASEAN lain dalam inisiatif ini.

“Kami juga menantikan ujian menyeluruh Fitosanitari Elektronik (e-Phyto) antara Indonesia dan Thailand pada 2021.

“Kami menggesa semua negara anggota ASEAN memperkukuh usaha meningkatkan pemudahan perdagangan di rantau ini menerusi inisiatif seperti ASEAN Authorized Economic Operator (AEO) Mutual Recognition Arrangement (AAMRA),” titah baginda. 

Sumber: Bernama

AIFF mudahkan pelaburan ke rantau ASEAN


Content Type:

Duration:

Malaysia telah mengulangi komitmennya untuk meratifikasi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) menjelang akhir tahun ini iaitu semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 selain daripada sidang-sidang kemuncak berkaitan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata RCEP akan membawa kepada penciptaan pekerjaan yang amat diperlukan bagi memulihkan ekonomi Malaysia serta mengukuhkan lagi posisinya sebagai negara perdagangan global.

Beliau dalam satu kenyataan mengenai mesyuarat maya pemimpin ASEAN hari ini berkata RCEP adalah penting memandangkan ianya akan memudahkan lagi perdagangan, perkhidmatan dan pelaburan di rantau ini termasuk meningkatkan peluang akses pasaran.

Delegasi Malaysia ke mesyuarat maya itu diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, diiringi oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Mohamed Azmin.

“Adalah penting untuk kami menumpukan kepada pelaksanaan sepenuhnya Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF), termasuk kemasukan awal perjanjian RCEP menjelang Januari 2022 bagi memacu proses pemulihan ekonomi di rantau ini,” kata Mohamed Azmin.

Katanya, semasa mesyuarat tersebut, perdana menteri telah memuji pemuktamadan Hala Tuju Bandar Seri Begawan — salah satu Penyampaian Ekonomi Keutamaan yang mencerminkan komitmen terkini ASEAN ke arah mempercepatkan pemulihan serantau daripada impak pandemik dan menjadi lebih berdaya tahan dalam menghadapi kejutan pada masa depan dengan memanfaatkan transformasi digital.

Ismail Sabri turut menekankan keperluan untuk ASEAN merapatkan jurang digital melalui kerjasama serantau bagi memastikan perkembangan ekonomi digital yang inklusif.

Selain Sidang Kemuncak ASEAN, Mohamed Azmin berkata para pemimpin berkenaan juga telah bertemu dan berkongsi pandangan dengan pemimpin daripada Rakan Dialog ASEAN iaitu Republik Korea, China, Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Australia.

Beliau berkata semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Australia yang julung kali diadakan, Ismail Sabri juga menjelaskan keperluan untuk melengkapkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, pemula niaga, komuniti kurang bernasib baik termasuk belia, wanita dan kanak-kanak, dengan kemahiran serta pengetahuan yang diperlukan, yang kemudiannya akan meningkatkan rantaian bekalan dan produktiviti pembuatan di rantau ini.

“Sidang kemuncak ini akan diteruskan dengan Rakan Dialog ASEAN yang lain seperti India, Rusia serta Sidang Kemuncak ASEAN 3 dan Sidang Kemuncak Asia Timur yang akan berlangsung lewat hari ini dan esok.

“Sidang kemuncak ini akan memberi tumpuan untuk meneruskan kerjasama dalam pelbagai bidang, dengan penekanan kepada memperluaskan hubungan perdagangan sebagai strategi global ke arah pemulihan ekonomi,” kata Mohamed Azmin.

Sumber: Bernama

Malaysia ulang komitmen untuk meratifikasi RCEP pada Sidang Kemuncak ASEAN


Content Type:

Duration:

Malaysia telah mencadangkan ASEAN dan Jepun meneroka kemungkinan meminjamkan pakar penyelidik mereka ke Pusat Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Baharu ASEAN untuk usaha ke arah pengeluaran vaksin di rantau ini.

Ketika membuat cadangan itu pada Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-24, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata usaha berkenaan akan membantu menangani kekurangan vaksin di rantau ini selain sebagai persiapan menghadapi kemungkinan kemunculan penyakit baharu.

Beliau berkata sumbangan Jepun untuk pusat itu adalah penting dan penubuhannya bertepatan pada masanya bagi membantu negara anggota ASEAN yang sangat memerlukan bantuan untuk mengurangkan kesan COVID-19.

“Memandang ke hadapan, ASEAN dan Jepun perlu meningkatkan kerjasama dalam pelbagai disiplin kesihatan untuk persediaan rapi rantau ini menghadapi kecemasan berkaitan kesihatan pada masa depan ,” katanya ketika berucap pada sidang kemuncak itu, Rabu.

Sidang Kemuncak kali ini turut menyaksikan Perdana Menteri Jepun yang baharu Fumio Kishida membuat penampilan sulungnya sejak dilantik awal bulan ini.

Ismail Sabri berkata Malaysia menghargai sokongan dan sumbangan Jepun terhadap Kerangka Kerja Pelan Pemulihan Komprehensif ASEAN untuk mengurangkan kesan COVID-19 dan sumbangan vaksin Jepun kepada negara anggota ASEAN telah memberi sumbangan yang besar kepada usaha ini.

Menyentuh mengenai keselamatan siber, Ismail Sabri berkata ASEAN dan Jepun perlu mengukuhkan lagi kerjasama melalui Pusat Pembinaan Kapasiti Keselamatan Siber ASEAN-Jepun.

Beliau berkata Malaysia mengharapkan sokongan Jepun dalam pembangunan profesional keselamatan digital dan program pembelajaran sepanjang hayat yang dibangunkan oleh Malaysia yang bertujuan untuk membangunkan pembinaan kapasiti dalam keselamatan siber.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Jepun kerana berjaya menjadi tuan rumah Sukan Olimpik dan Paralimpik 2020 ketika dunia sedang bergelut dengan cabaran akibat COVID-19.

Beliau menambah Jepun kekal sebagai rakan setia ASEAN sejak 1973 dan blok 10 anggota itu menghargai sokongan serta bantuan Jepun selama ini yang telah menyumbang kepada usaha pembinaan komuniti ASEAN.

“Kami berharap untuk perkukuh lagi hubungan dialog ASEAN-Jepun. Malaysia menyambut baik cadangan Jepun untuk menjadi tuan rumah sidang kemuncak khas di Jepun pada 2023, untuk meraikan 50 tahun hubungan dialog,” tambahnya.

Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-24 diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, dianjurkan secara maya selama tiga hari bermula Selasa, dipengerusikan Brunei.

Sumber: Bernama

Malaysia cadang ASEAN, Jepun teroka pegeluaran vaksin di rantau ASEAN


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjalin kerjasama dengan Intel Malaysia untuk melaksanakan program bagi universiti tempatan terpilih untuk mempersiapkan tenaga kerja masa hadapan dalam kecerdasan buatan (AI) bagi kerjaya aras permulaan selain menjimatkan masa majikan dan sumber bagi latihan dan kemahiran AI asas.

Agensi itu berkata ini akan dipatenkan selepas program Kecerdasan Buatan bagi PKS (AI4S) yang dianjurkan hari ini bagi kali kedua bersama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia.

Program Dipertingkat A14S yang diadakan secara maya itu merupakan kesinambungan acara A14S pertama yang diadakan pada Januari tahun ini yang mana Intel Malaysia memberikan kit permulaan AI kepada 100 syarikat terpilih Malaysia.

“Program Dipertingkat A14S hari ini menyaksikan Intel Malaysia menyerahkan kad Field Programmable Gate Array (FPGA) kepada syarikat yang menyertainya, yang merupakan perkakas berkuasa yang akan membolehkah kit AI menjadi lima kali lebih berkuasa daripada kit sedia ada,” kata MIDA dalam satu kenyataan.

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang telah dikenal pasti ini, ketika ini sedang menjalani proses dan latihan pengupayaan teknologi komprehensif untuk memperkasakan mereka dalam melaksanakan projek perintis dalam persekitaran perniagaan atau operasi mereka untuk memulakan usaha AI atau Industri 4.0 mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Arham Abdul Rahman menggalakkan syarikat multinasional (MNC) lain untuk mencontohi Intel dalam memberi sumbangan kembali kepada ekosistem perindustrian negara dan meningkatkan keupayaan syarikat domestik manakala pada masa yang sama meningkatkan pengkadaran nilai MNC.

Beliau berkata ciri-ciri AI boleh membantu mengautomasikan tugas rutin, menambah keupayaan pekerja dan menyediakan masa untuk menumpukan kepada kerja tokokan nilai yang lebih tinggi.

“Jika automasi diterima pakai dengan meluas, AI berpotensi mewujudkan enam juta pekerjaan baharu menjelang 2030 di Malaysia dengan kemahiran baharu dan latihan tenaga kerja jangka panjang akan mendapat permintaan tinggi.

“Oleh itu penting bagi kerajaan untuk melakukan intervensi dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh syarikat tempatan untuk menerima guna AI, terutamanya dalam mendapatkan kepakaran yang tepat dan menangani keperluan pembiayaan,” katanya.

Sejajar dengan komitmen kerajaan, MIDA berharap ketua dan pemain industri dapat memanfaatkan pemudahan oleh kerajaan itu di bawah inisiatif Industry4WRD.

Sumber: Bernama

MIDA, Intel bekerjasama tingkat pengetahuan AI tenaga kerja masa depan


Content Type:

Duration:

ExecuJet MRO Services, syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) milik sepenuhnya Dassault Aviation SA dari Perancis, merancang untuk membina sebuah kemudahan MRO baharu di Malaysia.

ExecuJet MRO Services ketika ini sudah mempunyai kemudahan perkhidmatan MRO berpusat di lapangan terbang Subang di Selangor.

Presiden dan Pengasas ExecuJet MRO Services, Graeme Duckworth, berkata syarikat itu juga sedang membangunkan satu lagi kemudahan MRO di Dubai yang akan dibuka pada separuh pertama 2022.

“ExecuJet kini sedang berkembang lebih jauh, dengan Malaysia dan Dubai menjadi kawasan pertumbuhan utama kami.

“Ini adalah asas bagi strategi Dassault untuk memastikan kami sentiasa mempunyai tahap kapasiti dan kemampuan yang tepat untuk pelanggan di mana sahaja mereka memerlukannya dan ini menyokong rancangan pertumbuhan ExecuJet dengan baik.

“Walaupun menghadapi persaingan yang sengit, kami memiliki pangkalan pelanggan yang sangat setia, yang terus berkembang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Meraikan ulang tahun ke-30 tahun ini, ExecuJet MRO Services kini mempunyai kemudahan MRO di Afrika, Asia, Australasia, Eropah dan Asia barat.

Mempunyai pengkhususan dalam rangka udara, avionik dan penyelenggaraan mesin, jurutera ExecuJet MRO Services dilatih oleh kilang dan diperakui untuk pelbagai pesawat termasuk Dassault, Bombardier, Embraer, Gulfstream dan Hawker.

Sumber: Berita Harian

Firma Perancis rancang bina kemudahan MRO di Malaysia


Content Type:

Duration:

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Maxis Bhd membentuk perkongsian strategik bagi mewujudkan Lapangan Terbang Digital 5G pertama Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

MAHB dan Maxis dalam kenyataan bersama berkata, kerjasama itu bertujuan mengembangkan rangka kerja transformasi digital bagi operasi Smart Airport yang menjadi sebahagian daripada inisiatif Airports 4.0.

“MAHB ingin memanfaatkan Maxis sebagai pengendali telekomunikasi tunggal untuk menguruskan perkhidmatan kesalinghubungannya. Maxis pula akan menguruskan perkhidmatan dan penyelesaian rangkaian WiFi dan 5G di lapangan terbang utama negara, KLIA.

“Maxis juga akan mengembangkan penyelesaian digital berkemampuan 5G untuk penyewa dan penumpang lapangan terbang MAHB pada masa hadapan,” katanya.

Inisiatif transformasi digital menyeluruh oleh MAHB bermula sejak 2018.

Sejak itu, pengendali lapangan terbang itu meningkatkan usaha untuk meletakkan landasan teknologi yang memungkinkan pelaksanaan inisiatif ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata kedua-dua pihak akan melaksanakan kes penggunaan dan penyelesaian 5G ‘Smart Travel dan Tourism’, ‘Smart Retail’ serta ‘Smart Security’.

“5G akan menjadi pemangkin untuk menghubungkan kita dengan peluang perniagaan dan ekonomi baharu. Penggunaan 5G akan memperkuat asas untuk membolehkan teknologi baru dan digitalisasi operasi lapangan terbang kami.

“Ini juga membantu dalam mencipta pengalaman perjalanan baharu yang pintar untuk penumpang. Kami berharap perkongsian ini dapat mengubah lapangan terbang menjadi Lapangan Terbang Pintar,” katanya.

MAHB dan Maxis mengembangkan penyelesaian ‘Smart Retail’ serta ‘Smart Travel and Tourism’ yang akan memberikan pengalaman peribadi yang tiada tandingan bagi penumpang.

Ia termasuk membina platform ‘Tourist Hub’ untuk penumpang mempunyai akses ke panduan perjalanan, promosi dan tawaran.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut, berkata teknologi 5G berpotensi tinggi dan memungkinkan pengalaman pelanggan yang lebih baik.

“Kami komited memainkan peranan untuk menawarkan inovasi 5G terbaik untuk memberi manfaat kepada orang ramai dan perniagaan di negara ini menerusi kepakaran dan sumber kami.

“Lapangan terbang sudah berkembang dari hab transit menjadi destinasi kepada satu pengalaman perjalanan dari hujung ke hujung.

“Ketika menunggu ruang udara dibuka sepenuhnya, kami berhasrat untuk memulakan usaha dengan MAHB meningkatkan pengalaman dan perkhidmatan kesalinghubungan kepada pelawat dan penumpang,” katanya.

Sumber: Berita Harian

KLIA lapangan terbang digital 5G pertama negara


Content Type:

Duration:

Ketika Malaysia bergerak ke arah negara berpendapatan tinggi dengan penggunaan teknologi tinggi dan Revolusi Perindustrian 4.0, pelaburan perlu disokong oleh dasar yang menyokong tenaga kerja, terutamanya pekerja berkemahiran tinggi, kata Ahli Ekonomi.

Penganalisis ekonomi bebas Prof Emeritus Dr Zakariah Abdul Rashid berkata, prestasi pelaburan langsung asing (FDI) dalam separuh pertama 2021 adalah memberangsangkan dan mencerminkan kitaran pelaburan ekonomi di negara ini telah kembali.

Menurut data daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pada 2020, jumlah pelaburan diluluskan turun 22.4 peratus kepada RM164.0 bilion daripada RM211.4 bilion pada 2019, terkesan akibat daripada impak penurunan permintaan global disebabkan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada 2018 dan 2017, masing-masing berjumlah RM201.7 bilion dan RM200.6 bilion.

Bagaimanapun, Zakariah berkata meskipun ia memberi prospek yang baik bagi pemulihan ekonomi Malaysia yang mampan, lebih banyak yang perlu dilakukan untuk negara mencapai matlamatnya menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.

Berdasarkan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebanyak 367 projek pembuatan bernilai RM66.9 bilion diluluskan semasa separuh pertama 2021 dan projek itu dijangka mewujudkan 32,220 peluang pekerjaan dalam pelbagai jawatan dan peranan, yang membawa kepada pekerjaan berkemahiran dan bernilai tinggi.

Zakariah berpandangan walaupun kenyataan itu menyebut bahawa ia akan mewujudkan 1,367 jawatan pengurusan, 4,031 profesional teknikal dan 4,144 pekerja mahir, tidak ada petunjuk mengenai baki 22,678 jawatan daripada 32,220 peluang pekerjaan itu.

“Ini mewakili 70.38 peratus (22,678 jawatan) yang sama ada bermakna jawatan berkemahiran rendah atau tidak mahir.

“Dengan hanya nisbah 30 peratus berada dalam jawatan berkemahiran tinggi, ia akan menjadi cabaran berterusan untuk mentransformasikan ekonomi kita yang seterusnya menghalang negara daripada mencapai sasaran status negara berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

Menurut Jabatan Perangkaan, pada 2019, bahagian pekerjaan berkemahiran tinggi Malaysia (mereka yang bekerja dalam jawatan pengurusan, profesional atau teknikal) berada pada 27.5 peratus, manakala bahagian pekerja separa mahir berada pada 60.1 peratus dan bahagian pekerjaaan berkemahiran rendah berada pada 12.4 peratus.

Zakariah berkata untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, Malaysia harus berusaha mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Bagaimanapun, tahap tenaga kerja berkemahiran tinggi di bawah 30 peratus di Malaysia terus kekal tidak berubah selama kira-kira 15 tahun dan ia perlu dipertingkatkan, kata beliau.

“Apabila kita bercita-cita menjadi sebuah negara maju, kita merangka rancangan pembangunan seperti Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Kita juga mahu menjadi ahli Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), yang mempunyai nisbah tenaga kerja berkemahiran tinggi jauh lebih tinggi daripada kita, oleh itu, kita harus menanda aras OECD dan menjadikannya sebagai nisbah sasaran kita dalam rancangan masa depan, ” kata Zakariah.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Ekonomi Kenanga Investment Bank Wan Suhaimie Saidie berkata lonjakan FDI di Malaysia pada separuh pertama  2021 memberi harapan yang cerah tetapi masih terlalu awal untuk menilainya kerana kebanyakan kelulusan ini masih belum komited sepenuhnya.

Ketika kelembapan ekonomi, beliau berkata, kadar pelaksanaan mungkin terjejas kerana ia boleh mempengaruhi komitmen modal sebenar serta pelabur mungkin boleh berubah fikiran mereka berdasarkan kepada faktor risiko perniagaan dan politik.

“Kebanyakan permohonan pelaburan mungkin telah diterima sebelum pandemik dan situasi politik mungkin berbeza ketika itu,” kata Wan Suhaimie.

Kualiti pelaburan juga adalah faktor lain yang perlu diambil kira serta apakah sektor penting yang akan menambah nilai jangka panjang kepada ekonomi.

“Apa yang paling penting ia seharusnya menjana pekerjaan berkualiti tinggi berbanding pekerjaan sektor pembuatan dengan gaji rendah yang biasanya diambil oleh pekerja asing berkemahiran rendah,” katanya.

Bagi separuh pertama 2021, Malaysia merekodkan jumlah keseluruhan pelaburan diluluskan sebanyak RM107.5 bilion merangkumi FDI dan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama yang mencatatkan lonjakan 69.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Sumber: Bernama

Pelaburan untuk transformasikan negara perlu disokong dengan tenaga mahir


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) komited untuk membantu memulihkan sektor aeroangkasa negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan mengekalkan daya saing syarikat tempatan di peringkat global.

Timbalan Menterinya, Senator Datuk Lim Ban Hong berkata, antara langkah dan inisiatif yang diambil menerusi Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan dan agensi terlibat untuk pemulihan sektor tersebut termasuklah pengerahan tenaga kerja aeroangkasa dalam subsektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang terjejas kepada sektor berkemahiran tinggi yang lain.

Katanya, inisiatif lain untuk memulihkan sektor tersebut adalah program latihan peningkatan kemahiran kepada kumpulan pekerja yang terjejas dan menangani krisis kesinambungan rantaian bekalan yang dibangkitkan oleh pengeluar peralatan tulen, pemain aeroangkasa global dan syarikat penerbangan antarabangsa.

“Rantaian nilai aeroangkasa Malaysia turut terjejas dan mengalami penguncupan jualan kepada RM11.6 bilion pada 2020 berbanding RM16.7 bilion pada tahun sebelumnya.

“Subsektor MRO merupakan penyumbang besar kepada sektor aeroangkasa pada 2019 dengan jualan sebanyak RM7.97 bilion dan menguncup kepada RM4.93 bilion pada 2020,” katanya semasa menjawab pertanyaan lisan daripada Datuk Ignatius Darell Leiking (Warisan-Penampang) mengenai pelan pemulihan sektor tersebut terutamanya subsektor MRO di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sektor MRO merupakan antara lima subsektor utama aeroangkasa Malaysia.

Lim berkata, MITI turut komited untuk menarik pelaburan dalam sektor aeroangkasa di bawah kerangka Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

“Kita juga akan melihat penggunaan hangar di Lapangan Terbang Subang di bawah NIA, Rancangan Malaysia Ke-12 dan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030,” katanya.

Sumber: Bernama

MITI komited bantu pemulihan sektor aeroangkasa negara


Content Type:

Duration:

Pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia diunjur kembali ke paras sebelum pandemik pada 2019 selepas mencatatkan prestasi amat memberangsangkan pada separuh pertama tahun ini apabila meningkat sebanyak 223.1 peratus tahun ke tahun.

Profesor Madya Putra Business School, Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata strategi kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi, program vaksinasi yang berjaya, serta komitmen untuk menyediakan peruntukan bagi pembangunan dan perbelanjaan fiskal bagi tahun ini dan tahun-tahun seterusnya memberikan petanda baik kepada keyakinan kepada pelabur.

Bagaimanapun, katanya kerajaan juga perlu menarik lebih banyak pelaburan dalam teknologi canggih bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada pekerja mahir Malaysia dan bukan sebaliknya terus bergantung kepada pekerja asing.

“FDI juga perlu memberi manfaat kepada negara bukan hanya dari segi menyediakan prasarana tetapi pindahan pengetahuan dan teknologi, menambah kemahiran pekerja tempatan dan majoriti pelaburan yang kembali itu dilaburkan semula ke dalam negara, daripada disalurkan ke luar negara dalam bentuk dividen,” katanya kepada Bernama.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berpandangan Malaysia sentiasa memiliki nilai tersendiri kepada pelabur asing.

“Sebagai permulaan, kita ada prasarana yang baik seperti pelabuhan, lapangan terbang, lebuh raya, telekomunikasi, elektrik, tenaga kerja mahir dan kerajaan yang pro-perniagaan sama ada di peringkat persekutuan atau di peringkat negeri.

“Dari segi sosial, kita memiliki masyarakat majmuk dan budaya yang pelbagai yang memudahkan pelabur asing untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran tempatan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, penularan pandemik COVID-19 menjejaskan pergerakan manusia dan seterusnya operasi perniagaan.

Menurutnya, meskipun prosedur operasi standard (SOP) penting bagi membendung pandemik itu, ia juga memberi kesan buruk kepada produktiviti, mencetuskan ketidaktentuan yang membawa kepada pengelakan risiko.

Bagi penggubalan dasar, kerajaan sangat proaktif dan pantas memberi bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan yang membantu pemulihan ekonomi walaupun ia baru di peringkat awal, katanya.

“Apa yang lebih penting, program vaksinasi berjalan dengan sangat lancar dan setakat ini, kita telah menyaksikan lebih banyak negeri beralih ke fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang seterusnya.

“Oleh itu aktiviti ekonomi dijangka lebih rancak pada bulan September dan pada suku akhir tahun ini,” kata Afzanizam.

Selain itu, pelancaran Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) pada akhir bulan ini akan membantu menyediakan landasan bagi pembangunan jangka sederhana yang akan menyokong pemulihan ekonomi.

“Jika rancangan itu dapat dilaksanakan dengan efektif, ia mungkin boleh menjadi faktor pelaris bagi Malaysia untuk menarik FDI ke negara ini,” katanya.

Ketua Ahli Ekonomi IQI Juwai, Shan Saeed, berkata angka perdagangan Malaysia memberi isyarat yang baik kepada pelabur asing yang melihat negara daripada perspektif jangka panjang.

“Prestasi yang amat memberangsangkan pada separuh pertama tahun ini merupakan petunjuk bahawa prospek ekonomi kekal berada di hala tuju yang tepat dan kerajaan sedang melaksanakan dasar yang tepat untuk memacu kestabilan ekonomi.

“FDI biasanya masuk ke negara apabila penduduk tempatan optimis dan yakin terhadap negaranya,” katanya.

Shan juga berkata, peningkatan di bursa tempatan ketika ini juga merupakan isyarat jelas bahawa pelabur asing semakin yakin terhadap prospek ekonomi negara, berdasarkan kepada kestabilan makroekonomi negara, kadar vaksinasi yang pantas dan juga fokus utama kerajaan untuk memperkukuh ekonomi.

“Bagi tempoh dua hingga empat suku akan datang, kami yakin momentum ekonomi akan mencatat peningkatan pada peringkat makro.

“Kerajaan Malaysia benar-benar komited untuk mengekalkan momentum ekonomi bagi meraih FDI yang lebih tinggi dan pelaburan portfolio pada separuh kedua kerana keyakinan pelabur global adalah tinggi bagi jangka masa panjang.

“Mereka berhak mendapat pujian bagi kedudukan sekarang. Prestasi sangat baik dan kerajaan telah melakukan tugas yang cemerlang apabila kita mengambil kira cabaran yang luar biasa pada masa ini,” katanya.

Sumber: Bernama

FDI dijangka kembali ke paras sebelum pandemik


Content Type:

Duration:

Malaysia akan terus menjadi ekonomi terbuka dengan dasar mesra perniagaan dan pragmatik yang menyokong iklim pelaburan di negara ini, sekali gus mengekalkan negara ini dalam radar pelabur.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Malaysia mencatatkan prestasi yang memberangsangkan dan mengagumkan pada separuh pertama 2021 dengan pelaburan langsung asing (FDI) melonjak 223.1 peratus berbanding separuh pertama 2020, menandakan keyakinan pelabur asing terhadap iklim ekonomi dan ekosistem perniagaan yang stabil dan kondusif di negara ini.

Beliau berkata, prestasi yang luar biasa itu juga menunjukkan strategi Malaysia meletakkannya sebagai destinasi pilihan pelaburan yang menarik dan hab rantaian bekalan di ASEAN, terutama untuk operasi pembuatan, menunjukkan hasil yang positif.

Katanya, Malaysia juga memperkenalkan Aspirasi Pelaburan Nasional, yang akan mengemudi negara ini ke arah pusat pelaburan serantau yang bertujuan meningkatkan kompleksiti ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan berteknologi tinggi bernilai tinggi sambil memperluas hubungan domestik.

Selain itu, tambahnya, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) akan menjadi panduan utama penggubalan dasar ekonomi sehingga 2025, yang mana rancangan itu juga merangkumi usaha merapatkan jurang antara kawasan luar bandar dan bandar dengan mengukuhkan rangkaian keselamatan sosial dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Saya ingin menekankan bahawa kami memberi keutamaan dalam memanfaatkan sinergi antara kerajaan dan sektor swasta untuk mempercepat pemulihan ekonomi, memupuk kerjasama yang lebih utuh dalam pertumbuhan, penciptaan kekayaan dan kemakmuran bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat secara maya dengan Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (AS-ABC) pada petang Isnin.

Dalam pertemuan secara maya itu, Mohamed Azmin gembira dengan minat dan penyertaan berterusan AS-ABC dalam menyokong ASEAN dan Malaysia untuk menjayakan agenda transformasi digital negara.

Beliau berkata, Malaysia tetap teguh dalam melakukan transformasi digital secara berterusan, terutamanya menerusi agenda MyDIGITAL, dimensi baharu dasar digitalisasi negara, yang akan mengubah Malaysia menjadi negara dipacu digital, sebagai batu loncatan bagi komuniti perniagaan untuk mengakses pasaran serantau lebih 650 juta orang, dan potensi pengguna dalam talian dengan kekuatan 400 juta.

“Saya menyeru pelabur Amerika untuk memanfaatkan ‘Digital Investment Office (DIO) – Your One Stop for All Digital Investment Needs’, termasuk dalam ekosistem bakat dan syarikat permulaan.

“Malah, bersama saya hari ini Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), untuk membantu AS-ABC meneroka DIO sebagai cadangan nilai yang unik dalam menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN,” katanya.

AS telah menjadi rakan dagang ketiga terbesar Malaysia sejak 2015 dan AS juga adalah pelabur asing kedua terbesar di Malaysia dari segi pelaksanaan projek pembuatan.

Walaupun perdagangan global mencatatkan defisit tahun lalu, Malaysia mencatat pertumbuhan yang menggalakkan sebanyak 8.2 peratus dalam jumlah perdagangan dengan AS mencecah AS$42.6 bilion.

Sumber: Berita Harian

Malaysia kekal dasar mesra perniagaan, pelaburan


Content Type:

Duration:

Kelington Technologies Sdn Bhd (KTSB), anak syarikat milik penuh Kelington Group Bhd, memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM420 juta daripada sebuah syarikat pembuatan di Kuching, Sarawak.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata syarikat pembuatan yang terletak dalam Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya itu dimiliki oleh syarikat multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang juga pemaju, pengeluar serta penyedia peranti storan data dan penyelesaian terkemuka dunia.

“Kerja-kerja akan bermula pada pertengahan September 2021 dan dijangka siap menjelang 31 Disember 2022,” kata Kelington, syarikat penyedia penyelesaian kejuruteraan.

Kumpulan ini menjangkakan kontrak berkenaan akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersihnya untuk tahun-tahun kewangan 31 Disember 2022 dan 31 Disember 2023.

Sumber: Bernama

Kelington dapat kontrak pembinaan RM420 juta di Sarawak


Content Type:

Duration:

Lonjakan bagi pelaburan langsung asing (FDI) diluluskan Malaysia bagi separuh pertama 2021 yang menokok 223.1 peratus tahun ke tahun memaparkan isyarat keyakinan pelabur asing terhadap iklim ekonomi dan ekosistem perniagaan negara yang stabil dan kondusif.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata prestasi kukuh dan mengagumkan itu adalah petanda baik kepada laluan Malaysia ke arah pemulihan ekonomi yang rancak dan mampan.

“Prestasi luar biasa ini turut memaparkan bahawa strategi Malaysia untuk menempatkan negara sebagai destinasi pelaburan menarik dan hab rantaian bekalan di ASEAN, khususnya bagi operasi pembuatan, menunjukkan hasil yang positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh ini, FDI memacu prestasi kukuh dan bertenaga sektor pembuatan, mencatatkan RM58.2 bilion pelaburan diluluskan. Sementara itu, sumber domestik menyumbang lebihan pelaburan diluluskan dalam sektor ini iaitu RM8.7 bilion.

Dari segi jumlah pelaburan diluluskan, Malaysia mencatatkan RM107.5 bilion FDI dan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama, meraih lonjakan besar berjumlah 69.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata pelaburan itu tercapai di tengah-tengah landskap ekonomi global yang amat mencabar, melibatkan 2,111 projek dan dijangka menjana 44,994 peluang pekerjaan di negara ini.

“Dengan memanfaatkan kemajuan yang positif dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), penambahbaikan keadaan kesihatan awam secara keseluruhan dan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat, Malaysia terus menarik pelaburan bernilai tinggi dan berteknologi tinggi, disokong keupayaan dan kebolehan kita dalam menyediakan pekerja berkemahiran tinggi dan bersedia menggunakan teknologi maju untuk nilai tambah industri,” katanya.

Seiring dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), beliau berkata, Malaysia melaksanakan lebih banyak projek berintensif modal secara konsisten selain projek-projek yang menyokong agenda pembangunan negara, selaras dengan matlamat Alam sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Mohamed Azmin berkata, ini dicerminkan oleh peningkatan jumlah projek berintensif modal yang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menurutnya, selain itu wujud keutamaan untuk mencipta peluang pekerjaan pelbagai kemahiran kepada rakyat.

Dalam hal ini, Mohamed Azmin berkata, sebanyak 367 projek pembuatan diluluskan yang bernilai RM66.9 bilion dalam separuh pertama 2021 akan mewujudkan 32,220 peluang pekerjaan membabitkan pelbagai  jawatan, sekali gus memacu laluan ke arah pekerjaan bernilai tinggi dan berkemahiran.

“Ini merangkumi 1,367 jawatan dalam pengurusan dan 4,031 bagi profesional teknikal seperti jurutera dalam bidang elektrik dan elektronik, mekanik, kimia dan bidang-bidang lain, mencerminkan peralihan rantaian nilai yang lebih tinggi dalam sektor pembuatan.

“Projek pembuatan diluluskan turut memerlukan 4,144 pekerja mahir,” katanya.

Sementara itu, pelaburan domestik menerajui sektor perkhidmatan dan utama berjumlah RM45 bilion atau 41.9 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan dalam tempoh enam bulan.

Dari sudut strategik NIA, Mohamed Azmin berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan terus melaksanakan pelaburan berkualiti tinggi pada masa akan datang untuk mewujudkan nilai kepada negara dan rakyat.

Katanya langkah itu bukan sahaja untuk mengekalkan pekerjaan, malah mewujudkan pekerjaan bernilai tambah tinggi.

“Kami komited ke arah menempatkan Malaysia sebagai rakan unggul bagi pelabur di rantau ini, menambah baik ekonomi kita yang kompleks dan merangsang pertumbuhan jangka panjang di Malaysia menerusi aliran pelaburan berkualiti yang mampan dalam bidang pertumbuhan baharu dan kompleks,” kata Mohamed Azmin.

Source: Bernama

Lonjakan FDI diluluskan beri isyarat keyakinan pelabur asing


Content Type:

Duration:

Sejumlah RM7.7 bilion telah dicatatkan dari segi aliran masuk modal pelabur asing pada bulan Ogos yang merupakan nilai tertinggi sejak Jun 2020.

Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan memaklumkan, Malaysia mencatatkan petanda prospek pemulihan ekonomi yang semakin cerah.

“Aliran masuk bersih modal pelabur asing yang didorong oleh kemajuan positif Pelan Pemulihan Negara (PPN) menetapkan nada dan hala tuju pemulihan ekonomi Malaysia yang lebih kukuh untuk suku keempat 2021.

“Selain itu, pelabur asing telah menjadi pembeli utama dengan pelaburan bersih di pasaran bon Ringgit sejumlah RM6.6 bilion (Julai 2021),” kata Ismail Sabri menerusi kenyataan di Facebook.

Tambah Ahli Parlimen Bera itu lagi, ini merupakan bukti keyakinan pelabur dan pengurus dana terhadap prospek pertumbuhan negara, serta kesinambungan dasar-dasar kerajaan.

Setakat Ogos 2021, pegangan pelabur asing bagi bon kerajaan Malaysia meningkat sebanyak RM23.9 bilion kepada RM226.1 bilion.

Kerajaan menjangkakan bahawa momentum pemulihan pada suku keempat 2021 ini akan diteruskan pada tahun hadapan di mana faktor kepada pertumbuhan negara akan memanfaatkan pertumbuhan KDNK 2022 Malaysia.

Ismail Sabri turut menyeru orang ramai supaya bersama-sama memantapkan lagi Pelan Pemulihan Negara yang telah menambah baik situasi keseluruhan kesihatan awam, serta pemulihan pembukaan sektor ekonomi secara beransur-ansur dengan adanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Sumber: Astro Awani

RM7.7 bilion dicatat dari modal pelabur asing, pemulihan ekonomi negara semakin cerah – PM


Content Type:

Duration:

Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi Asean (AEM) ke-53 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan berakhir dengan kata sepakat positif untuk menggiatkan semula pertumbuhan ekonomi serantau dan pentingnya pemuafakatan dan komitmen Asean untuk bekerjasama serta keluar daripada krisis Covid-19 dengan jayanya.

Bagi mencergaskan kembali ekonomi serantau, perbincangan mengenai status pelaksanaan di bawah Kerangka Pemulihan Komprehensif Asean (ACRF) menjadi tumpuan utama, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Antara inisiatif utama di bawah ACRF yang telah selesai adalah pemeteraian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), memuktamadkan kajian komprehensif Rangka Kerja Integrasi Digital ASEAN dan Pelan Tindakan Kerangka Integrasi Digital Asean (DIFAP) 2019- 2025, katanya pada akhir mesyuarat yang diadakan secara maya pada 8-9 September 2021.

Menteri Kanan merangkap Menteri MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengetuai delegasi Malaysia pada Mesyuarat AEM yang dihoskan oleh Brunei Darussalam selaku Pengerusi Asean 2021.

Pada mesyuarat berkenaan, Azmin menekankan pentingnya pemuafakatan ASEAN dan perlunya untuk terus bekerja dengan tekad yang lebih besar untuk mengatasi cabaran yang dicetuskan oleh pandemik agar rantau ini dapat muncul lebih kuat dan lebih berdaya tahan.

Beliau turut menyuarakan betapa mustahaknya untuk mempercepat pelaksanaan semua inisiatif di bawah ACRF bagi memudahkan pembukaan semula ekonomi dan seterusnya memacu pemulihan serantau.

Mesyuarat AEM juga mengalu-alukan pemuktamadan Pelan Hala Tuju Bandar Seri Begawan: Agenda Transformasi Digital Asean untuk Memacu Pemulihan Ekonomi dan Penyepaduan Ekonomi Digital Asean yang akan menyediakan rancangan yang fokus untuk Asean mengembangkan persekitaran yang mantap bagi Ekonomi Digital Asean selain memastikan rantau ini dapat muncul lebih kuat daripada kemelut pandemik.

Dalam menyokong pelan hala tuju dan menggesa agar pelaksanaannya berjalan lancar, Azmin berkata sudah tiba waktunya untuk menangani keperluan segera dan jangka pendek bagi transformasi digital di rantau ini.

Justeru, beliau mengulangi komitmen Malaysia untuk memasukkan elemen ekonomi digital yang komprehensif dalam pengaturan dan kerjasama perdagangan antarabangsa bagi mewujudkan persekitaran perdagangan digital yang lebih stabil, berisiko rendah dan mengurangkan kos pematuhan.

Inisiatif ini melengkapkan MyDIGITAL Malaysia yang menggariskan strategi untuk mendorong pertumbuhan ekonomi digital dan mengecilkan jurang digital selain mengubah negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu secara digital dan teknologi.

Para menteri turut mengesahkan Kerangka Ekonomi Pekeliling untuk Komuniti Ekonomi Asean dalam memperakui pentingnya memajukan agenda ekonomi yang lestari dan mampan.

Azmin juga menegaskan bahawa faktor Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) merupakan elemen penting dalam Wawasan Komuniti Asean 2025, dan sangat mustahak dalam usaha menggalakkan penciptaan nilai jangka panjang, mengintegrasikan perniagaan Malaysia ke dalam rangkaian antarabangsa dan menarik lebih banyak pelabur.

Sehubungan itu, beliau telah mengusulkan konsep Carbon Neutrality untuk Asean dan mengadakan perbincangan mengenai peluang pelaburan dalam ekonomi hijau yang mana telah diterima baik oleh rakan menteri yang lain dan seterusnya disokong oleh Pengerusi AEM Datuk Amin Liew Abdullah.

Bergerak ke hadapan, Pengerusi Sekretariat Asean Lim Jock Hoi turut melahirkan minat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam memajukan inisiatif ini dan memperdalam komitmen ke arah kelestarian dan teknologi hijau.

AEM bermula dengan Mesyuarat Majlis Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA) dengan para menteri dimaklumkan mengenai status pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Barangan Asean (ATIGA) serta ulasan mengenainya.

Pencapaian dalam langkah-langkah pemudahcaraan perdagangan juga dilaporkan, termasuk pengesahan Kit Kecekapan Kos Langkah-langkah Bukan Tarif (NTM), yang akan bertindak sebagai panduan penting untuk menangani NTM yang memberi kesan kepada kelancaran aliran barangan di Asean.

Ini diikuti oleh Mesyuarat Majlis Kawasan Pelaburan Asean (AIA) yang menyaksikan para menteri menerima pada dasarnya Kerangka Pemudahcaraan Pelaburan ASEAN (AIFF), menekankan pentingnya meningkatkan proses memudahkan pelaburan di negara-negara anggota Asean.

Ini amat perlu untuk mempromosikan dan mengekalkan pelaburan di rantau ini selain menyumbang kepada pemulihan ekonomi secara keseluruhan.

Mesyuarat itu turut memuji kerja yang telah dilaksanakan oleh Majlis Penasihat Perniagaan Asean (Asean-BAC) pada tahun 2021 dalam meningkatkan usaha Asean ke arah integrasi ekonomi dan terus menerus memperjuangkan inisiatif yang menjadi pusat peningkatan persekitaran perniagaan dan masyarakat Asean.

Sehubungan itu, para menteri menyambut baik saranan ASEAN-BAC mengenai pembangunan modal insan, fasilitasi perdagangan dan kesalinghubungan digital.

Para menteri juga mengesahkan senarai barangan keperluan yang diperluas dalam memorandum persefahaman (MoU) mengenai Pelaksanaan Langkah-Langkah Bukan Tarif Terhadap Barang-barang Keperluan yang ditandatangani pada bulan November 2020, untuk memastikan aliran barang-barang keperluan tanpa gangguan di rantau ini.

Senarai itu kini merangkumi makanan dan produk pertanian, daripada senarai ubat-ubatan dan peralatan perubatan yang dipersetujui sebelumnya.

Mereka turut melancarkan laporan-laporan Competition Assessment and Competitive Neutrality OECD mengenai sektor logistik di Asean.

Dibiayai oleh Program Reformasi Ekonomi Asean-UK, kedua-dua kajian ini bertujuan untuk menilai kekangan peraturan mengenai persaingan dalam sektor logistik di semua negara anggota ASEAN dengan mengenal pasti peraturan yang menghalang fungsi kecekapan pasaran dan mewujudkan persaingan sama rata untuk perniagaan.

Sumber: Bernama

Asean fokus cergaskan semula pertumbuhan ekonomi serantau


Content Type:

Duration:

wpChatIcon