2021 Archives - Page 9 of 33 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ni Hsin teroka peluang pasar motosikal elektrik

NI Hsin EV Tech Sdn Bhd, subsidiari milik penuh Ni Hsin Group Berhad (Ni Hsin) memeterai memorandum persefahaman dengan Dongguan Tailing Motor Vehicle Co Ltd (TAILG).

Ia bagi kolaborasi dan meneroka peluang dalam kajian, penyelidikan, pembangunan, pemasangan dan pengedaran kenderaan elektrik (EV) disesuaikan untuk komersial di Malaysia dan rantau Asean.

TAILG antara satu daripada tiga pengeluar utama kenderaan dua roda elektrik di China yang memiliki kehadiran di lebih 75 negara.

Bahagian penyelidikan dan pembangunannya yang menghasilkan lebih 420 paten berkaitan EV berprestasi tinggi, kecekapan dipertingkatkan dan perkhidmatan awan.

Pengarah Urusan Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd, Khoo Chee Kong berkata, sektor pengangkutan bertanggungjawab kepada 14 peratus pelepasan gas rumah hijau global.

Oleh itu, katanya, cabaran mengurangkan pelepasan asap pengangkutan terbukti semakin penting.

“Ia meletakkan penekanan terhadap perubahan teknologi dan organisasi, memacu dunia ke arah elektromobiliti dan pengangkutan sifar pelepasan asap dengan kesan kemuncak mengurangkan pelepasan asap di dalam sektor ini dan menambah baik kesihatan.

“Perniagaan mula menggunakan EV untuk penghantaran kerana ia memberikan penjimatan ketara dari segi penyenggaraan dan kos operasi disebabkan sistem mekanikal yang secara radikal lebih mudah iaitu tidak perlu disenggara selalu seperti memerlukan penukaran minyak sangat mahal,” katanya.

Sumber: Harian Metro 20 Sept 2021                                                   Industry

Ni Hsin teroka peluang pasar motosikal elektrik


Content Type:

Duration:

Malaysia memberi komitmen untuk melengkapkan proses ratifikasi bagi Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) menjelang pertengahan Disember ini.

Menteri Kanan merangkap Menteri  Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali  berkata,  proses ratifikasi  tersebut merupakan  lanjutan daripada perjanjian yang telah dimeterai  oleh 15 negara iaitu masing-masing  10 negara anggota ASEAN dan lima Negara Rakan Perjanjian

Dagangan Bebas (FTA)  ASEAN dalam Sidang Kemuncak RCEP Ke-4 pada 15 Nov, 2020.

Menurutnya, berdasarkan peruntukan dalam Perjanjian RCEP, ianya akan berkuatkuasa dalam tempoh 60 hari selepas sekurang-kurangnya enam negara anggota ASEAN dan tiga Negara Rakan FTA ASEAN menyerahkan surat cara ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN.

Sehingga kini, negara-negara yang telah meratifikasi Perjanjian ini adalah Singapura, China dan Jepun.

Myanmar pula telah menghantar surat cara ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN manakala Thailand telah melengkapkan proses ratifikasi domestik dan akan menghantar surat berkenaan kepada Sekretariat ASEAN pada hujung tahun ini.

“Bagi Malaysia, proses ratifikasi RCEP itu memerlukan usaha pindaan ke atas tiga Akta di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang berkaitan Hak Harta Intelek (IPR) iaitu Akta Paten, Akta Hak Cipta dan Akta Cap Dagang.

“Ini bagi memastikan semua akta tersebut adalah sejajar dengan obligasi negara di bawah perjanjian berkenaan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Tiong King Sing (PDP-Bintulu) mengenai  status terkini RCEP serta rancangan untuk meningkatkan kerjasama antara negara-negara yang memeterai perjanjian itu pada persidangan Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.

RCEP merupakan perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia dengan pasarannya meliputi hampir satu pertiga daripada penduduk dunia atau menyamai 2.2 bilion orang.

Menurut data Bank Dunia pada 2019, nilai gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara-negara anggota RCEP adalah sebanyak AS$25.8 trilion (RM106.9 trilion) atau 29.44 peratus KDNK dunia dengan nilai perdagangan barangan RCEP dicatatkan berjumlah AS$10.4 trilion (RM43.1 trilion) atau 29.13 peratus.

Menjelaskan selanjutnya, Mohamed Azmin berkata pada sesi Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-53 yang berlangsung pada 9 Sept, 2021, negara-negara anggota ASEAN telah menyasarkan tarikh kuat kuasa Perjanjian RCEP pada 1 Jan, 2022.

Negara-negara seperti Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja dan Vietnam juga telah memaklumkan hasrat masing-masing untuk melengkapkan proses ratifikasi domestik menjelang November 2021.

Beliau juga mengingatkan, sebarang kelewatan meratifikasi perjanjian RCEP itu akan menyebabkan Malaysia ketinggalan dari segi menikmati faedah dan layanan keutamaan seperti yang terkandung dalam RCEP.

“Ini termasuk pengurangan tarif ke atas barangan eksport, akses pasaran perdagangan perkhidmatan, pergerakan pekerja profesional dan berkemahiran tinggi serta peluang untuk meningkatkan aktiviti pelaburan dalam kalangan negara-negara anggota RCEP,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas perancangan untuk meningkatkan kerjasama antara negara-negara anggota RCEP, beliau berkata usaha-usaha itu adalah secara berterusan dan seiring dengan matlamat utama perjanjian berkenaan bagi mengukuhkan aktiviti rantaian nilai serantau selain menjadikannya lebih mesra pengguna serta mudah digunakan.

Menyentuh impak pandemik COVID-19 yang mengubah  corak permintaan pengguna  masa kini selain penekanan terhadap ekonomi digital  khususnya e-dagang, beliau berkata perjanjian RCEP telah memperuntukkan satu bab khas berkaitan perdagangan elektronik (e-dagang).

“Ianya bagi membantu ke arah mempertingkat penyertaan perniagaan terutamanya industri kecil dan sederhana (IKS) dalam e-dagang.

“Bab tersebut juga telah mensyaratkan supaya negara-negara anggota untuk menerimapakai kerangka undang-undang yang akan mewujudkan persekitaran kondusif demi kemajuan sektor e-dagang negara masing-masing dan seterusnya di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut Mohamed Azmin, bab sama juga memberi penekanan terhadap perlindungan maklumat peribadi pengguna, terutama dari segi pemindahan maklumat rentas sempadan melalui medium elektronik.

“Langkah ini semua akan meningkatkan keyakinan para pengguna untuk menggunakan platform e-dagang,” katanya.

Beliau juga menyifatkan penekanan RCEP terhadap pengukuhan kerangka undang-undang dan kawal selia dalam sektor pertumbuhan ekonomi baharu seperti sektor e-dagang ini akan dapat membantu mempercepat proses pemulihan ekonomi serantau yang terjejas teruk akibat kesan COVID-19.

Sumber: Bernama

Malaysia komited lengkapkan proses ratifikasi RCEP pada Disember ini


Content Type:

Duration:

Pengumuman rasmi China untuk  menyertai  Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP)  akan memberikan impak pengaruh ekonomi yang kuat kepada perjanjian perdagangan tersebut.

Menteri Kanan merangkap Menteri  Perdagangan Antarabangsa dan Industri  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Malaysia  sebagai salah satu rakan dagangan terbesar China memandang dasar dan agenda pembangunan negara tersebut penting dan akan memberi impak kepada Malaysia dan rakan serantau yang lain.

“Kita menjangkakan China akan mengadakan “Accession negotiations”(rundingan akses)  bersama negara Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada awal tahun depan bagi tujuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan pertanyaan lisan (PDP-Bintulu) Datuk Seri Tiong King Sing di Dewan Rakyat hari ini yang bertanyakan mengenai impak penyertaan China dalam CPTPP kepada ekonomi Malaysia.

Azmin menjelaskan, Malaysia telahpun mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bersama China melalui ASEAN-China FTA.

“Namun di bawah CPTPP, China perlu menawarkan akses pasaran tanpa sebarang pengecualian awal di mana China perlu membuat tawaran akses pasaran yang lebih menyeluruh, berkualiti tinggi serta menepati piawaian perjanjian CPTPP.

“Oleh yang demikian akses pasaran yang bakal kita nikmati dengan penglibatan China dalam CPTPP kelak dijangka lebih luas dan komprehensif dan menguntungkan Malaysia berbanding ASEAN China FTA,” katanya.

Mengambil contoh peraturan tempasal, Azmin berkata, setiap produk yang diiktiraf sebagai berasal dari Malaysia atau anggota CPTPP akan mendapat layanan duti berkeutamaan.

“Dengan kemasukan China dalam CPTPP ia  akan membolehkan pengilang dan pengeluar dari Malaysia untuk menggunakan bahan mentah dari  China bagi pengeluaran produk akhir yang turut diambil kira untuk melayakkan produk berkenaan mendapat duti  berkeutamaan,” tambahnya.

Sumber: Bernama

Penyertaan China dalam CPTPP akan beri impak pengaruh ekonomi yang kuat — Azmin


Content Type:

Duration:

Anak syarikat Taiyo Yuden Co Ltd yang disenaraikan di Bursa Saham Tokyo, Taiyo Yuden (Sarawak) Sdn Bhd, memperluas kemudahan pembuatan kapasitor seramik pelbagai lapisannya di Kuching sebagai langkah strategik untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya di rantau ASEAN.

Dalam kenyataan hari ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata ini merupakan satu lagi kejayaan Malaysia sebagai hab pilihan untuk pengeluar global dan pintu masuk ASEAN.

Katanya pelan pengembangan itu telah dibincangkan dalam Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke Tokyo pada April 2021 yang diketuai oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Keputusan Taiyo Yuden untuk menyuntik pelaburan modal sebanyak RM680 juta bagi kemudahan baharu mereka mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat terhadap kesediaan ekosistem kita untuk menyokong pengeluaran global.

“Pencapaian ini menunjukkan kejayaan strategi yang agresif dan berkesan kerajaan untuk mengalu-alukan dan memudahkan FDI yang berkualiti tinggi,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata MIDA bekerjasama erat dengan Taiyo Yuden untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek pengembangan syarikat itu yang akan menjana 2,000 peluang pekerjaan tambahan.

Sementara itu, Pengarah dan Naib Presiden Eksekutif Taiyo Yuden Shinji Masuyama berkata syarikat menjangka permintaan yang tinggi untuk kapasitor seramik pelbagai lapisan pada masa depan berikutan kemajuan teknologi dalam kenderaan, elektrik dan elektronik, telefon pintar 5G dan infrastruktur komunikasi.

“Pembinaan kilang baharu ini adalah agenda pelaburan yang penting di bawah Pelan Pengurusan Jangka Sederhana 2025 kumpulan.

“Kami akan terus berusaha untuk berkembang sebagai perusahaan perniagaan yang dipercayai oleh semua pihak yang berkepentingan, termasuk pelanggan kami, komuniti tempatan di Malaysia dan pekerja,” katanya.

Tapak pengeluaran Taiyo Yuden di Sarawak mengeluarkan kapasitor seramik pelbagai lapisan, yang merupakan komponen penting untuk mencipta peranti elektronik mini dan berprestasi tinggi.

Sejak 1994, syarikat telah menggaji 4,600 pekerja di kilang pembuatannya.

Sumber: Bernama

Taiyo Yuden, Jepun tingkatkan pengeluaran kapasitor seramik pelbagai lapisan di Sarawak


Content Type:

Duration:

Malaysia kekal kompetitif dalam menarik pelaburan ke negara ini walaupun berdepan  dengan situasi pandemik COVID-19 yang mencabar, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata kedudukan Malaysia yang strategik, persekitaran perniagaan dan ekosistem yang kondusif serta inisiatif strategik berkaitan pelaburan diyakini akan terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan di rantau ini.

Dalam menggulung perbahasan Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, katanya kementerian  bertekad untuk terus mengadakan libat urus dengan kedutaan asing, dewan perniagaan asing dan lain-lain untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan pelabur asing.

Bagaimanapun, katanya kerajaan mengambil maklum mengenai landskap penyusutan pelaburan langsung asing (FDI) yang akan kekal mencabar dan kompetitif seperti dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD).

“Kerajaan tidak meremehkan laporan ini malah telah mengambil tindakan yang agresif dan berterusan, bukan sekadar untuk mengawal penyusutan tetapi berusaha untuk mencerdaskan pelaburan asing negara.

“Usaha ini juga untuk mencapai tahap pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan terus mengambil tiga pendekatan utama dalam mencerdaskan ekonomi negara seperti menjadikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebagai pemangkin untuk membuka semula ekonomi secara selamat dan bersistematik.

“Sehingga 21 Sept lepas, sebanyak 93.2 peratus  populasi dewasa telah menerima satu dos dan 80.2 peratus telah menerima dos kedua, seterusnya mencapai sasaran imunisasi kelompok yang ditetapkan.

“Perkembangan ini merupakan landasan terbaik dalam merangsang permintaan domestik,” katanya.

Menurut Azmin, kerajaan juga akan terus memperkukuh asas ekonomi negara melalui pelaksanaan dasar perdagangan dan pelaburan yang terbuka, telus dan mesra perniagaan.

“Ini termasuklah usaha yang sedang dijalankan oleh kerajaan bagi meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP),” katanya.

Azmin berkata Malaysia juga akan terus menyasarkan pelaburan yang berkualiti tinggi, berorientasikan teknologi termaju, berpandukan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang turut memberi fokus kepada kelestarian jangka masa panjang dengan menekankan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Mengenai penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui supaya seiring dengan negara-negara ASEAN dan kenderaan elektrik (EV), Azmin berkata berdasarkan trend penggunaan EV, ia menunjukkan peningkatan di peringkat global dan ASEAN.

Bagi menyokong ekosistem EV di negara ini, Azmin berkata MITI sedang mengenal pasti strategi baharu untuk mempromosikan industri EV kepada pelabur termasuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dalam dialog Bajet 2022 baru-baru ini.

Ini termasuk strategi mengenai satu dasar yang merangkumi pakej insentif yang memberi fokus kepada pengguna bagi menarik pelaburan ekosistem EV selain mengukuhkan insentif sedia ada untuk pengeluar kenderaan dan komponen EV.

“Langkah ini dijangka dapat menggalakkan pelaburan dari  segi pengeluaran EV atau komponennya, sokongan infrastruktur termasuk stesen pengecas EV dan meningkatkan permintaan pengguna terhadap penggunaan kenderaan EV,” katanya.

EV diramalkan akan menggantikan kenderaan berasaskan penggunaan tenaga fosil selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) bagi memelihara alam sekitar dan mengurangkan pelepasan karbon.

Sumber: Bernama

Malaysia kekal kompetitif tarik pelaburan walaupun berdepan situasi pandemik mencabar


Content Type:

Duration:

Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) bakal menjadi pencetus perubahan kepada pembangunan Melaka bagi tempoh 25 hingga 30 tahun akan datang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sulaiman (BN-Lendu) berkata projek berkenaan dilihat mempunyai potensi untuk memperkukuhkan Melaka sebagai negeri berasaskan pelancongan di samping menerapkan ciri-ciri baharu yang bersepadu seperti pusat pelancongan antarabangsa, pusat komersil berasaskan Bandar Pintar, Revolusi Perindustrian 4.0, Pusat Logistik Marina, pusat budaya gaya hidup moden dan lain-lain.

“Secara umumnya, wilayah ekonomi koridor yang diwujudkan oleh kerajaan negeri ini memberi penekanan ke arah mempromosikan pembangunan ekonomi yang seimbang serta saksama di seluruh negara.

“Kita menyedari Melaka tidak termasuk dalam mana-mana koridor ekonomi wilayah sedia ada di Malaysia seperti Wilayah Pembangunan Iskandar (Johor), Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan Malaysia Vison Valley (Negeri Sembilan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan usul Rang Undang-Undang Perbadanan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka 2021 bagi bacaan kali kedua di Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Sulaiman berkata pembangunan M-WEZ boleh menjadi pelengkap kepada wilayah ekonomi sedia ada di samping meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat setempat.

Menurutnya, M-WEZ juga akan dibangunkan dengan mengambil contoh pembangunan persisiran pantai di tempat lain seperti Dubai, Hong Kong dan Toronto di Kanada.

“Secara keseluruhannya, M-WEZ memfokuskan kepada pembangunan persisiran pantai di kawasan tambakan laut sedia ada dengan keluasan sejumlah 10,117.14 hektar bermula dari Pantai Puteri sehingga Umbai di sepanjang 33 kilometer (km) pesisir pantai Melaka.

“Daripada jumlah ini, 3,035.14 hektar ditetapkan sebagai zon kawalan manakala baki 7,081.99 hektar adalah zon pembangunan yang akan menjadi ‘economy enabler’ (pendaya ekonomi) bagi Melaka,” katanya.

Beliau berkata menerusi M-WEZ juga kerajaan negeri menyasarkan pelaburan berimpak tinggi bernilai kira-kira RM100 bilion dan seterusnya menyumbang kepada pertambahan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sebanyak lima peratus atau RM2 bilion setahun.

“M-WEZ juga dijangka menawarkan sekurang-kurangnya 5,000 peluang pekerjaan baharu setiap tahun dan sekali gus dapat meningkatkan pendapatan rakyat setempat,” katanya.

Sulaiman berkata selain itu, projek penambakan laut berkenaan juga dijangka mampu mengurangkan impak terhadap evolusi urbanisasi berikutan berlakunya peningkatan mendadak terhadap kadar perbandaran iaitu 95 peratus pada 2020 berbanding 23 peratus pada 1980.

“Dengan keluasan tanah pembangunan yang terhad, kepadatan penduduk Melaka berada pada kedudukan keenam tertinggi iaitu 544 orang penduduk per kilometer persegi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

“Berdasarkan statistik ini, ia jelas menunjukkan keperluan kerajaan negeri untuk mencari sumber alternatif baharu bagi menampung kepadatan kependudukan untuk perancangan jangka masa panjang melalui tumpuan pembangunan ekonomi pesisiran pantai yang hanya mengambil 2.16 peratus nisbah tambakan berbanding keseluruhan jumlah keluasan tanah di Melaka seluas 2,270 kilometer persegi,” katanya.

Usul berkenaan kemudiannya disokong Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad (BN-Merlimau) dan dibahaskan Ketua Pembangkang Adly Zahari (PH-Bukit Katil), Datuk Hasan Abd Rahman (BN-Sungai Rambai), Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) dan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam).

Rang undang-udang berkenaan kemudiannya diluluskan selepas mendapat 16 undian menyokong berbanding 11 undian tidak menyokong manakala seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak hadir.

Sumber: Bernama

M-WEZ: Pencetus perubahan kepada pembangunan Melaka – Ketua Menteri


Content Type:

Duration:

Momentum pengembangan ekonomi digital di rantau Asia Tenggara yang amat pesat semasa era COVID-19 akan berlanjutan pasca pandemik, didorong oleh peningkatan pengguna digital yang akan merancakkan pembelian dalam talian di tengah-tengah perkembangan e-dagang, kata Facebook.

Naib Presiden rantau Asia Tenggara dan Pasaran Sedang Pesat Membangun Benjamin Joe berkata pandemik itu menjadi pemacu kepada trend digital dengan ramai pengguna kini telah terbiasa melakukan sesuatu menggunakan aplikasi mudah alih.

Beliau percaya dengan lebih ramai memanfaatkan skrin pelbagai (multi-screening) berbanding sebelumnya, gaya hidup pengguna baharu telah muncul dengan tabiat pembelian baharu, cara baharu untuk meneroka serta harapan baharu.

“Saya berpendapat kita akan terus menyaksikan trend pengguna digital ini. Malah setiap data dan pemahaman yang saya lihat setakat ini menunjukkan trend ini akan terus meningkat dan bukan sebaliknya,” kata beliau di sidang meja bulat media di Sidang Kemuncak Facebook SEA 2021 yang diadakan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan sama ada pertumbuhan ekonomi digital akan berterusan berikutan kadar  vaksinasi yang pantas dan kelonggaran ekonomi di banyak negara yang  memungkinkan pengguna kembali kepada pembelian di luar talian.

Turut hadir adalah ketua pegawai pemasaran Mindvalley Marisha Hassram, yang mewakili firma teknologi pendidikan yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Menurut kaji selidik Facebook, penghijrahan ekonomi rantau Asia Tenggara dari luar talian ke ekonomi dalam talian pada tahun 2020 telah melepasi anggaran awal dan terus berkembang pesat.

Kaji selidik itu turut menunjukkan ekonomi digital akan terus memainkan peranan besar dalam kehidupan seharian, walaupun selepas COVID-19.

Kira-kira 70 juta orang di rantau Asia Tengara, yang bersamaan keseluruhan penduduk United Kingdom, telah menjadi pengguna digital sejak pandemik itu bermula.

Menurut kajian, digitalisasi adalah pemacu utama ketahanan perniagaan dalam ekonomi pasca COVID-19 dengan peningkatan penggunaan yang berpusat di rumah.

“Saluran digital membantu perniagaan menjangkau lebih banyak khalayak, memudahkan hubungan emosi  dan mengubah penonton menjadi pengguna,” kata Benjamin.

Platform media sosial seperti Facebook, menjadi penting untuk kelangsungan hidup beberapa perniagaan, tambah beliau.

Di Facebook, perniagaan – baik besar, kecil, perusahaan sederhana dan mikro – disediakan alat untuk mengembangkan dan memperkuatkan kehadiran digital mereka, berhubung dengan pelanggan dan meningkatkan kemahiran pasukan, sekali gus membantu mereka pulih dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di negara masing-masing,” jelas Benjamin.

Sementara itu, Facebook dalam usaha membantu perniagaan bersedia untuk masa depan, akan menganjurkan siri ketiga Sidang Kemuncak Facebook pada 28 Sept, 2021.

Sidang kemuncak itu akan menampilkan lebih daripada 50 pemimpin global dan serantau, yang melangkah melangkaui batas industri serta menyoroti idea bagaimana syarikat-syarikat menggunakan platform seperti Facebook, Instagram, WhatsApp, dan Messenger untuk terlibat secara kreatif dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

Sumber: Bernama

Pertumbuhan pesat ekonomi digital di Asia Tenggara akan berterusan pasca pandemik – Facebook


Content Type:

Duration:

Panasonic menyusun semula pengurusannya dengan menggabungkan operasi pengeluaran alat pemampat di Melaka, Malaysia dan Wuxi, China, termasuk memindahkan operasi penghasilan perkakasan besi tuang ke kemudahan sedia ada di Melaka.

Ini susulan rancangannya untuk menghentikan pengeluaran pemampat penyejukan di Singapura pada akhir September 2022.

Dalam laman webnya hari ini, Panasonic memaklumkan langkah itu diambil berikutan “prospek perniagaan global yang mencabar dan susulan  semakan semula strategi perniagaan jangka panjang Panasonic terhadap portfolio perniagaan pemampat penyejukan”.

“Terdapat sejumlah 700 pekerja akan terjejas disebabkan penyusunan semula itu,” menurut firma Jepun itu.

Namun, menurut Panasonic bahagian Penyelidikan & Pembangunannya (R&D) akan tetap beroperasi di Singapura, dan “kami akan terus berfungsi sebagai ibu pejabat global perniagaan pemampat penyejukan.”

Kumpulan Panasonic di Singapura akan terus mengekalkan lebih 1,400 pekerja di pelbagai perniagaan, termasuk pengilangan bernilai tinggi, R&D, dan Ibu Pejabat Asia Pasifiknya.

Sumber: Bernama

Panasonic rancang gabung perniagaan pemampat penyejukan di Singapura ke Malaysia, China


Content Type:

Duration:

Kerajaan akan melaksanakan Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional (NJCSP) seiring sasaran mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif itu akan disokong lima pasukan petugas khas di bawah Majlis Pekerjaan Negara (NEC).

Jelasnya, penciptaan pekerjaan di Malaysia juga akan dipertingkatkan melalui enam teras utama termasuk meningkatkan kerjasama antara industri dan akademik.

“Ia termasuk memupuk bakat bagi memenuhi keperluan industri, memperkasa usahawan tempatan untuk maju dalam ekonomi semasa dan memanfaatkan ‘ekonomi gig’ untuk pencarian peluang penjanaan pendapatan.

“Teras utama lain termasuk memacu pertumbuhan sektor baharu dan moden serta mempercepat penerapan amalan tempat kerja moden,” katanya dalam satu kenyataan hari ini susulan mesyuarat NEC yang dipengerusikan beliau pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata enam teras tersebut akan menjadi panduan bagi pelaksanaan enam pengubah keadaan (game changer) termasuk mengaplikasikan teknologi kepintaran buatan untuk tujuan pemadanan dan perancangan kerjaya di samping meningkatkan kebolehpasaran dan kualiti graduan lepasan TVET.

Antara cadangan NJCSP, menurut Ismail Sabri adalah pewujudan sebuah platform khusus bagi penyelarasan maklumat semua institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Malaysia serta program-program dan peluang yang ditawarkan bagi memadankan peserta dengan institusi TVET yang sesuai untuk memudahkan pencarian kerjaya di masa hadapan.

“Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia juga telah diberi tanggungjawab membangunkan platform digital sehenti bagi memastikan program latihan dan peningkatan kemahiran yang dijalankan pelbagai kementerian dan agensi dapat dilaksanakan dan dipantau secara berstruktur dan efektif,” katanya.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat itu turut bersetuju supaya kursus-kursus yang ditawarkan adalah berdasarkan keperluan ekonomi semasa, demografi dan keperluan ekonomi setempat.

Katanya, kerajaan yakin strategi NEC termasuk pelaksanaan NJCSP dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi dan meningkatkan penciptaan pekerjaan sekali gus menangani isu-isu seperti kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan serta masalah berkaitan penggajian.

Sehingga 10 September 2021, lebih 376,000 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan setakat 10 September 2021.

Malah, kerajaan juga berjaya mewujudkan lebih 97,000 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dengan 76 peratus daripadanya merupakan kategori mahir dan separuh mahir.

Sumber: Astro Awani

Kerajaan laksana NJCSP sasar wujud 500,000 peluang pekerjaan


Content Type:

Duration:

Qatar menganggap Malaysia sebagai rakan pelaburan serta perdagangannya yang penting dan pasaran negara itu sentiasa terbuka untuk mana-mana syarikat Malaysia yang berhasrat menceburi perniagaan di sana.

Dalam kenyataan pada Khamis, Pengerusi Qatar bagi Majlis Perniagaan Bersama Malaysia-Qatar (MQJBC), Dr Muhammed Gohar Muhammed berkata kerjasama antara kedua-dua negara itu juga telah menyaksikan beberapa perkembangan yang membuahkan hasil selain kunjungan, perbincangan, perjanjian dan pandangan sama yang dikongsi terutamanya di peringkat pemimpin.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersempena mesyuarat pertama MQJBC yang telah diadakan secara maya, baru-baru ini.

Sementara itu Pengerusi Malaysia bagi MQJBC, Datuk Mohamed Razeek Md Hussain pula menyifatkan langkah memperdalam serta membangunkan hubungan ekonomi kedua-dua negara itu sebagai teras perniagaan, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mendapatkan akses serta meninjau peluang baharu.

Menurutnya, ini juga penting dalam usaha memulihkan perniagaan susulan impak buruk pandemik COVID-19 sejak hampir dua tahun lepas.

“Justeru, kami melihat mesyuarat yang diadakan julung kali ini sebagai perkembangan yang bermakna dan dialu-alukan, terutamanya susulan kunjungan Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke Qatar pada awal tahun ini serta pertemuan beliau dengan rakan sejawatnya di sana.

“Malaysia dan Qatar juga masing-masing dapat berperanan sebagai pintu masuk ke ASEAN dan GCC (Majlis Kerjasama Teluk),” katanya.

MQJBC ditubuhkan pada akhir 2019 dan berperanan sebagai platform bagi sektor swasta mempromosi serta memudahkan usaha mengeratkan interaksi dalam kalangan komuniti perniagaan kedua-dua negara selain mempertingkat hasil positif melibatkan perdagangan dan pelaburan Malaysia-Qatar.

Majlis perniagaan itu ditubuhkan serta tertakluk di bawah memorandum perjanjian yang dimeterai antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan Dewan Perniagaan Qatar pada 2017 bersempena lawatan rasmi Emir Qatar ke Malaysia.

Sumber: Bernama                                

Qatar anggap Malaysia rakan pelaburan, perdagangan penting


Content Type:

Duration:

Malaysia perlu terus membangunkan asas kukuhnya dalam industri aeroangkasa di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) kerana ia boleh mempercepat penggunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), meningkatkan pekerjaan berkemahiran tinggi serta merangsang pertumbuhan ekonomi.

Selain Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 (MAIB2030), RMKe-12 boleh membantu memacu pertumbuhan industri itu yang menjana pekerjaan kepada lebih 25,000 pekerja mahir setakat ini.

Selain terletak strategik di tengah-tengah rantau Asia Pasifik dan pasaran perjalanan udara terbesar dunia, Malaysia juga memiliki beberapa universiti awam dengan keupayaan kejuruteraan aeroangkasa yang kukuh, terutama dalam menguji reka bentuk aerodinamik baharu serta kejuruteraan mekanikal dan elektrik.

Universiti ini sudah melahirkan ramai juruteknik aeroangkasa berkemahiran tinggi.

Bagaimanapun, perlu juga ada penambahbaikan dari segi sukatan pelajaran kerana teknologi berubah dengan sangat pantas, kata Pengarah Institut Kajian Antarabangsa dan Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sufian Jusoh.

“Sesetengah institusi masih ketinggalan dari segi sukatan pelajaran mereka. Ia bukan hanya sekadar untuk melahirkan juruterbang sahaja tetapi lebih daripada itu, dari segi mewujudkan teknologi dan keupayaan untuk menyesuaikan dengannya. Jadi, keseluruhan ekosistem perlu disokong dan dinaik taraf,” katanya kepada Bernama.

Oleh itu, ia adalah sesuatu yang perlu dikaji oleh kerajaan, mewujudkan satu ekosistem kondusif agar industri dapat berkembang maju dan menyumbang kepada ekonomi.

Penganalisis penerbangan di Endau Analytics, Shukor Yusof, pula berkata kerajaan perlu lebih realistik dan merangka strategi yang benar-benar baharu bagi sektor aeroangkasa.

Beliau berkata, walaupun kerajaan bergantung kepada aeroangkasa sebagai satu daripada pemacu utama RMke-12, ia tidak dijangka berlaku dalam tempoh terdekat ini kerana industri berkenaan kini terjejas teruk akibat pandemik dan akan mengambil masa beberapa tahun untuk kembali pulih sepenuhnya.

“Justeru, kerajaan perlu lebih realistik dan mengusahakan satu strategi baharu bagi sektor terbabit,” katanya.

Hasil daripada industri aeroangkasa turun antara 20 dan 30 peratus pada 2020 berbanding RM16.22 bilion pada 2019.

Penerbangan adalah subsektor yang paling terjejas teruk berikutan penutupan sempadan antarabangsa dan keterbatasan perjalanan domestik.

Perniagaan pembuatan aeroangkasa serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) mengalami pesanan dan perkhidmatan penyelenggaraan berat yang tertangguh.

Shukor yakin pengukuhan kalangan peserta dalam sektor ini adalah antara faktor penting, susulan pasaran dijangka susut pada pasca-pandemik COVID-19.

Pada masa ini, terdapat lebih 240 syarikat berkaitan aeroangkasa beroperasi di Malaysia merangkumi peserta tempatan dan global.

Peserta global utama turut menubuhkan pusat serantau mereka di Malaysia untuk menenuhi keperluan pasaran Asia-Pasifik yang semakin berkembang.

Ia termasuk pusat sokongan kejuruteraan serantau Airbus untuk seluruh Asia kecuali China, serta GE Engine Services Malaysia (GEESM), yang juga satu-satunya pusat baik pulih lengkap GE Aviation di Asia-Pasifik.

“(Malaysia sewajarnya) memanfaatkan peluang dalam kargo, dan melabur dalam kapal pengangkut. Kerajaan perlu melaksanakan peranan lebih besar dalam memudahkan dana untuk syarikat penerbangan (awam dan persendirian) serta pengedar rantaian bekalan,” katanya.

Seorang pemantau industri yang turut senada dengan Shukor berkata, penting untuk kalangan pihak berkepentingan industri mempunyai strategi dan tindakan yang lebih selaras supaya dapat memastikan matlamat MAIB2030 berjaya direalisasikan.

“RMKe-12 tepat pada masanya ketika Malaysia berada di landasan untuk mencapai imuniti kelompok manakala industri termasuk perjalanan udara akan kembali dibuka. Berlandaskan tindakan dan hala tuju yang tepat, kita akan berkedudukan baik untuk memanfaatkan peluang yang ada, khususnya dalam bidang kelestarian,” katanya.

Landskap penerbangan sedang bergerak pantas ke dalam bidang mesra alam sekitar mendorong peserta utama seperti Airbus dan Boeing membangunkan pesawat dan enjin lebih mesra alam sekitar, termasuk pembangunan pesawat komersial hibrid-hidrogen sifar pelepasan Airbus yang dikenali sebagai ZEROe, manakala ecoDemonstrator 787 oleh Boeing yang menggunakan kelebihan data raya bagi penerbangan cekap masa sebenar.

“Justeru, ia satu bidang yang boleh dimanfaatkan,” katanya.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menjangkakan perjalanan global akan kembali ke tahap seperti sebelum pandemik antara tahun 2023 dan 2024 dengan perjalanan serantau menjadi pemacu industri.

Berikutan peningkatan perjalanan udara, pengeluar peralatan tulen global (OEM) menjangkakan pasaran pesawat komersial akan pulih secara beransur-ansur antara 2023 dan 2025.

Selepas tahap itu, OEM menjangkakan peningkatan pesanan akan mengatasi penghantaran pesanan yang tertunggak.

Permintaan terhadap pesawat komersial baharu dijangka menjurus kepada pesawat yang cekap bahan bakar dan didominasi oleh pesawat satu lorong, yang digunakan untuk laluan jarak dekat serta kargo udara, sektor pertahanan dan angkasa.

Teknologi aeroangkasa mendorong banyak kemajuan dalam industri elektrik dan elektronik, semikonduktor, mesin dan peralatan, serta perisian dan ketenteraan.

Negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah, Korea Selatan, China, Jepun dan Singapura semuanya mempunyai industri aeroangkasa yang kukuh sebagai teras ekonomi inovasi mereka.

Korea Selatan, sebagai contoh, adalah pengeluar teknologi aeroangkasa yang penting hari ini, mengeluarkan jet pejuang T-50 mereka sendiri.

Negara itu juga dominan di seluruh dunia dalam sektor elektrik dan elektronik serta mesin dan peralatan dengan konglomerat seperti Hyundai dan LG kedua-duanya mempunyai bahagian aeroangkasa yang menjadi antara pemacu pembangunan teknologi mereka.

Di Malaysia, syarikat tempatan, Aerodyne Sdn Bhd, kini syarikat teknologi dron kedua terbesar di dunia yang menyediakan perkhidmatan kepada industri telekomunikasi, tenaga, infrastruktur, pertanian dan pengangkutan di lebih 20 negara di seluruh dunia.

Aerodyne adalah contoh terbaik bagaimana industri aeroangkasa menjadi pemangkin kepada penciptaan peluang ekonomi teknologi yang baharu.

Sufian berkata, Malaysia masih mempunyai kelebihan kompetitif dalam bidang ini di ASEAN walaupun terdapat gergasi seperti China dan Jepun dalam segmen ini.

“Kita mempunyai banyak penggiat dalam bidang pesawat tanpa pemandu (UAV) dari segi dron serta logistik. Ini boleh dibangunkan, kita masih mempunyai kelebihan daya saing dalam hal ini,” katanya.

Sumber: Bernama

RMKe-12 wajar tumpu pengukuhan industri aeroangkasa


Content Type:

Duration:

Federal International Holdings Bhd (FIHB) menceburi sektor tenaga boleh baharu (RE) melalui cadangan kerjasama dengan satu daripada lima penjana tenaga terkemuka China, State Power Investment Corporation Ltd (SPIC).

Pengeluar perabot dan penggiat dalam sektor pembinaan itu berkata syarikat 50 peratus miliknya, Warrants RE Assets Sdn Bhd (WREA), memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan anak syarikat milik penuh SPIC, SPIC Energy Malaysia Bhd (SPICM) semalam untuk kedua-dua pihak mengambil alih sebahagian atau keseluruhan operasi tarif galakan, pemeteran bersih dan ladang solar berskala besar.

Di bawah kerjasama itu, katanya WREA akan bertanggungjawab untuk pendanaan manakala SPICM akan menyediakan sokongan teknikal berkaitan loji tenaga solar dan projek RE lain di Malaysia.

Pengarah Eksekutif FIHB Datuk Choy Wai Ceong berkata kerjasama ini melambangkan usaha pertamanya dalam segmen RE dan akan membantu syarikat memperluas kedudukannya dalam segmen baharu itu.

“Kerjasama itu akan menumpukan kepada pengambilalihan ladang solar, yang kemudiannya akan melalui proses pembaikan dan menaik taraf di bawah pasukan yang diterajui oleh SPIC.

“Ini akan membantu meningkatkan pemulihan ladang solar yang diperoleh dan membantu menjana aliran tunai yang positif dengan segera,” katanya.

Sumber: Bernama

FIHB bekerjasama dengan satu daripada lima penjana tenaga terkemuka China


Content Type:

Duration:

Langkah yang diambil oleh anak syarikat Taiyo Yuden Co Ltd yang disenaraikan di Bursa Saham Tokyo, Taiyo Yuden (Sarawak) Sdn Bhd untuk mengembangkan kemudahan pembuatan kapasitor seramik pelbagai lapisannya di Kuching adalah bukti bahawa Malaysia terus menjadi hab pilihan bagi pengeluar global.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali(pix) berkata keputusan Taiyo Yuden untuk menyuntik pelaburan modal sebanyak RM680 juta bagi kemudahan baharunya dan akan mewujudkan 2,000 pekerjaan berkemahiran tinggi, mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat terhadap kesediaan ekosistem perniagaan Malaysia.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata pelaburan besar itu amat baik bagi Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), yang bertujuan memastikan Malaysia terus berada di barisan hadapan sebagai hab global untuk pelaburan berkualiti.

Ini dapat direalisasikan melalui peningkatan kepelbagaian ekonomi, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan menangani ketidakseimbangan ekonomi; selaras dengan komitmen Wawasan Kemakmuran Bersama negara yang akan membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara yang mencapai pertumbuhan ekonomi yang berterusan, adil, saksama dan inklusif.

Mohamed Azmin berkata rancangan pengembangan Taiyo Yuden itu adalah kemuncak daripada beberapa siri penglibatan aktif dan substantif yang bermula semasa Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke Jepun pada April 2021.

Beliau berkata kemudahan syarikat yang berkeluasan 36,500 meter persegi di Kuching akan mempunyai peralatan canggih, berteknologi tinggi berserta pemuliharaan tenaga tinggi melalui penggabungan bumbung berkuasa solar.

“Ciri-ciri mesra alam ini bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan pengeluaran tetapi juga dapat mengurangkan kesan rumah hijau yang berbahaya, sejajar dengan nilai alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat seperti yang digariskan dalam Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),“ tambahnya.

Sejak tahun 1980, Jepun telah menjadi pelabur asing terbesar dari segi projek yang dilaksanakan di Malaysia, dengan jumlah pelaburan sebanyak RM91.4 bilion.

Pada tahun 2020, sejumlah 2,761 projek pembuatan dengan penyertaan Jepun telah dilaksanakan dalam industri seperti elektrik dan elektronik, bahan kimia, produk mineral bukan logam dan peralatan pengangkutan.

Bergerak ke hadapan, Mohamed Azmin berkata Malaysia yakin pelaburan langsung asing akan terus mengalir ke negara ini walaupun terdapat landskap ekonomi global yang mencabar kerana kerajaan terus melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan persekitaran perniagaan dan keyakinan para pelabur.

Sumber: Bernama

Malaysia kekal sebagai HAB pilihan bagi pengeluar global: Azmin


Content Type:

Duration:

Pelaksanaan projek perintis E10: Permit Pembinaan Ekspres yang berjaya mempercepatkan proses pembinaan kilang bernilai tinggi di Kulim, Kedah telah diperakui oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH), kata Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman dalam satu kenyaataan berkata kejayaan pelaksanaan projek E10 dengan syarikat ASPEN Glove Sdn Bhd telah menambahbaik produktiviti pada kadar 140 peratus.

“Dalam tempoh 10 bulan, kilang siap untuk beroperasi dan ini memberi kesan penjimatan yang amat besar kepada kos yang ditanggung oleh syarikat.

“Ia juga membuka sebanyak 2,500 peluang pekerjaan baharu. Ini adalah satu penanda aras baharu lonjakan produktiviti melalui peraturan tangkas,” katanya.

Projek Perintis E10 merupakan salah satu usaha di bawah inisiatif Kedah Produktif, Kedah Digital yang dimudahcara oleh MPC melalui pendekatan peraturan tangkas.

MPC turut menggunapakai pendekatan ‘Behavioural Insights (BI)’ dalam melaksanakan inisiatif ini yang juga hasil kerjasama rapat MPC melalui Pejabat Wilayah Utara bersama Majlis Perbandaran Kulim, Kedah (MPKK) dan pihak industri.

Sementara itu, Pengerusi Bersama PEMUDAH, Datuk Dr Ir Andy Seo Kian Haw berkata projek yang dilaksanakan oleh MPKK adalah contoh amalan terbaik yang perlu diikuti oleh pihak berkuasa tempatan lain.

“Dalam usaha mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara, peraturan hendaklah tangkas dan responsif dalam menambahbaik persekitaran perniagaan dan meningkatkan kemudahan untuk menjalankan operasi.

“Pencapaian MPKK selaras dengan aspirasi Pemudah dalam memudahcara perniagaan. Melalui kolaborasi di antara kedua-dua pihak kerajaan dan swasta ianya sangat penting untuk memulihkan operasi industri dengan cepat, dan kejayaan projek perintis E10: Permit Pembinaan Ekspres perlu dicontohi oleh semua pihak,” katanya.

Sumber: Bernama

Projek perintis E10 percepat pembinaan kilang diperakui PEMUDAH – MPC


Content Type:

Duration:

Jumlah perdagangan negara kekal kukuh semasa Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) berkembang empat peratus setahun meskipun persekitaran luaran yang mencabar.

Eksport kasar Malaysia berkembang sebanyak  4.8 peratus setahun sepanjang rancangan pembangunan lima tahun itu, disokong terutamanya oleh barangan pembuatan yang menyumbang 86.4 peratus daripada jumlah eksport pada 2020.

“Eksport barangan pembuatan meningkat sebanyak 6.3 peraus setahun, dipacu oleh produk elektrik dan elektronik (E&E), kimia, peralatan optik dan saintifik serta getah.

“Penggunaan meluas  semikonduktor dalam industri automotif, peranti perubatan dan elektronik pengguna terus menjana permintaan kukuh terhadap produk E&E,” demikian menurut dokumen Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE) hari ini.

Menurut dokumen itu, bahagian 10 destinasi eksport utama bagi barangan Malaysia meningkat daripada 70.9 peratus pada 2015 kepada 71.7 peratus pada 2020 dengan China, Hong Kong, Amerika Syarikat dan Vietnam menyumbang bahagian yang besar.

Bagaimanapun, cabaran utama kepada perdagangan negara adalah peningkatan ketegangan perdagangan antara ekonomi utama, kejatuhan harga minyak mentah, kitaran menurun teknologi global dan pandemik COVID-19 pada 2020.

Sementara itu, eksport barangan pertanian meningkat sebanyak 1.3 peratus setahun semasa RMK-11, disokong terutamanya oleh produk berasaskan minyak sawit dan sawit yang berkembang 2.7 peratus setahun.

Eksport barangan perlombongan turun 6.5 peratus disebabkan terutamanya pendapatan eksport rendah daripada petroleum mentah dan gas asli cecair.

Import kasar meningkat pada purata kadar tahunan tiga peratus, disokong oleh barangan perantaraan dan penggunaan serta eksport semula, manakala import barangan perantaraan naik sebanyak 1.1 peratus setahun sejajar dengan prestasi berdaya tahan eksport pembuatan. 

Secara keseluruhannya, ia berkata, dengan peningkatan eksport kasar mengatasi import kasar, lebihan perdagangan meningkat kepada RM184.8 bilion pada 2020, berbanding RM91.6 bilion pada 2015.

Menurut dokumen tersebut, semua sektor, kecuali perlombongan dan pembinaan, mencatatkan pertumbuhan positif, dengan sektor perkhidmatan dan pembuatan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi semasa RMK-11, manakala sektor perlombongan merosot disebabkan gangguan pengeluaran.

Sektor perkhidmatan berkembang pada kadar purata tahunan sebanyak 3.8 peratus, dipacu oleh pengangkutan, penyimpanan, komunikasi serta subsektor borong dan runcit, yang disokong oleh penggunaan domestik yang berterusan.

Sektor pembuatan meningkat pada kadar purata tahunan sebanyak 3.3 peratus, dengan pertumbuhan didorong oleh industri berorientasikan eksport, terutamanya E&E yang tumbuh 5.6 peratus setahun, manakala petroleum, kimia, dan subsektor getah dan plastik meningkat kepada 2.8 peratus setahun.

Semasa RMK-11, semua negeri mencatatkan pertumbuhan yang positif dengan  Selangor, Kuala  Lumpur, Johor dan  Sarawak kekal menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara pada 2020.

“Negeri-negeri ini menyumbang sebanyak 59.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding  57.9 peratus pada 2015,” katanya dan menambah Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Perak, Kedah, Johor dan Negeri Sembilan mencatatkan pertumbuhan ekonomi melebihi kadar purata kebangsaan sebanyak 2.7 peratus setahun.

Menurut dokumen itu, pertumbuhan dalam kebanyakan negeri ini didominasi oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan, manakala kebanyakan negeri  yang mencatatkan pertumbuhan di bawah purata kebangsaan bergantung kepada komoditi.

Perbelanjaan swasta terus memacu perkembangan permintaan domestik, dengan penggunaan swasta meningkat sebanyak 4.7 peratus setahun semasa RMK-11, didorong oleh dasar monetari yang akomodatif, keadaan pasaran buruh yang baik dan pertumbuhan upah stabil.

“Walaupun terjejas disebabkan pandemik COVID-19, penggunaan swasta kekal berdaya tahan, disokong oleh langkah rangsangan seperti Bantuan Prihatin Nasional, moratorium pinjaman dan pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pelaburan swasta mencatat penurunan 11.9 peratus pada 2020 disebabkan pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan dan sentimen pelabur yang lembap, manakala pelaburan langsung asing juga mencatatkan penurunan daripada RM39.4 bilion pada 2015 kepada RM32.4 bilion pada 2019.

Pelaburan awam pula merosot sebanyak 7.9 peratus setahun semasa RMK-11, sebahagiannya disebabkan oleh penangguhan dan pengutamaan semula projek mega termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), manakala penggunaan awam meningkat 3.2 peratus setahun, disokong oleh perbelanjaan kerajaan bag emolumen serta penawaran dan perkhidmatan.

Menurut dokumen itu, Malaysia terus memperkukuhkan daya tahan ekonominya melalui pelaksanaan pelbagai langkah sejak lima tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun, beberapa isu utama masih wujud, termasuk  produktiviti yang rendah dalam  kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, kualiti pelaburan rendah, peralihan ekonomi struktur yang perlahan, jurang pembangunan yang luas antara negeri-negeri dan pampasan pekerja yang rendah.

Ia juga termasuk keuntungan terhad daripada penyertaan rantaian nilai global, gangguan pengukuhan fiskal jangka sederhana dan juga impak buruk ke atas alam sekitar ekoran pembangunan yang tidak mapan.

“Cabaran ini boleh mempengaruhi prestasi ekonomi negara dengan ketara. Sehubungan itu, strategi makroekonomi di bawah RMK-12 akan terus memberi tumpuan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan, ” kata dokumen itu.

Sumber: Bernama

Jumlah perdagangan Malaysia kekal kukuh dalam RMK-11 meskipun persekitaran mencabar


Content Type:

Duration:

Komitmen Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon seawal-awalnya pada 2050 berpotensi menarik pelaburan asing serta menunjukkan komitmen negara dalam menangani isu perubahan iklim, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata menerusi pelaburan rendah karbon dan teknologi hijau, ia dapat menyokong agenda pembangunan mampan sekali gus mengangkat Malaysia sebagai hab pelaburan hijau.

Katanya, komitmen itu juga menjadi hala tuju kerajaan serta pemegang taruh lain untuk mengintegrasi dan mengarus perdana isu perubahan iklim termasuk pelepasan gas rumah kaca (GHG) dalam rancangan pembangunan dan pelaksanaan dasar negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan usul mengenai Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) 2021-2025 di Dewan Rakyat hari ini menyatakan komitmen bahawa Malaysia akan menjadi negara neutral karbon seawal-awalnya pada 2050.

Ismail Sabri berkata instrumen ekonomi seperti carbon pricing dan cukai karbon akan diperkenalkan manakala perincian langkah-langkah lain bagi pengurangan karbon akan diumumkan setelah kajian Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon dimuktamadkan pada akhir 2022.

Tuan Ibrahim berkata LT-LEDS menggariskan strategi dan tindakan bagi mitigasi GHG bagi sektor ekonomi utama negara dan menjadi asas untuk menentukan hala tuju dan tahun sasaran net zero negara.

Net zero emissions merujuk kepada pengimbangan pelepasan dan penyerapan GHG. Ketika ini, Malaysia menyumbang 0.7 peratus kepada pelepasan GHG.

Beliau berkata antara sektor utama akan menyumbang kepada sasaran net zero emissions adalah sektor tenaga meliputi aktiviti pembekalan elektrik, pengangkutan, dan industri minyak dan gas asli; sektor industri pembuatan dan pemprosesan; sektor pertanian; sektor guna tanah dan sektor sisa seperti sisa pepejal, sisa kumbahan domestik dan sisa kumbahan industri.

Sumber: Bernama

RMK-12 : Komitmen neutral karbon tarik pelaburan asing, tangani isu perubahan iklim


Content Type:

Duration:

Malaysia kekal kompetitif untuk menarik pelaburan asing dalam tempoh pasca Covid-19 berdasarkan prestasi yang meyakinkan pada tahun ini berbanding tahun lepas, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau bagaimanapun tidak menolak anggapan bahawa terdapat syarikat asing yang telah bertindak menarik pelaburan mereka di negara ini berikutan pandemik Covid-19.

“Ini merupakan sebahagian daripada pelan rasionalisasi yang dibuat syarikat asing tersebut dan bukannya berpunca daripada persekitaran negara yang tidak kondusif.

“Pelbagai faktor telah diambil oleh syarikat asing untuk memilih destinasi pelaburan mereka termasuklah kos buruh yang rendah, saiz pasaran domestik dan sumber mineral sedia ada,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Fong Kui Lin (PH-Bukit Bintang) mengenai status pelaburan asing yang menarik keluar pelaburan mereka di negara ini berikutan pandemik Covid-19 dan ingin tahu sama ada mereka akan kembali melabur di dalam negara dalam tempoh pasca Covid-19.

Mohamed Azmin berkata Malaysia telah menarik pelaburan sebanyak RM107.5 bilion meliputi sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama bagi tempoh Januari hingga Jun 2021.

Jumlah ini menunjukkan lonjakan yang ketara sebanyak 69.8 peratus berbanding RM63.3 bilion dalam tempoh sama pada 2020.

Daripada jumlah itu, katanya pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak 58.1 peratus atau RM62.5 bilion berbanding RM19.8 bilion dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Malah, katanya laporan Buku Tahunan Daya Saing Dunia 2021 turut menaikkan daya saing global Malaysia sebanyak dua anak tangga pada kedudukan ke-25 daripada 64 ekonomi, berbanding kedudukan ke-27 pada 2020.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut mengemaskini angka pelaksanaan Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang diterajui MITI yang bertujuan meningkatkan kadar vaksinasi pekerja sektor pembuatan.

Sehingga 25 Sept 2021, katanya sebanyak 1.06 juta pekerja telah diberi janji temu di bawah PIKAS iaitu 1,000,826 pekerja telah diberikan dos pertama manakala 899,626 pekerja telah mendapat imunisasi penuh.

Sumber: Bernama

Malaysia kekal kompetitif tarik pelaburan asing pasca Covid-19 : Azmin


Content Type:

Duration:

Perbentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) memperlihatkan kesungguhan  kerajaan dalam usaha memastikan negara dapat keluar daripada kemelut pandemik COVID-19 dengan lebih tuntas, kata ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata negara telahpun terkesan dengan pelbagai permasalahan ekonomi sebelum pandemik melanda lagi terutamanya dari segi daya saing susulan perang perdagangan Amerika Syarikat dan China.

“Namun apabila berlaku pandemik COVID-19 yang tidak dijangka, ianya makin menampakkan permasalahan ekonomi tersebut.

“RMK12 seharusnya cuba mengambil peluang yang ada ini untuk “reset” (menjana semula) kerangka ekonomi negara,” katanya dalam rancangan liputan khas Bernama TV sempena perbentangan RMK12 bertajuk “RMK12: Reformasi Ekonomi Fasa Endemik” hari ini.

Melalui RMK12 bagi tempoh 2021 hingga 2025, kerajaan menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.5 hingga 5.5 peratus setiap tahun.

Mengenai sasaran KDNK, Mohd Afzanizam berpendapat jika dibandingkan dengan pertumbuhan purata sekitar 2.7 peratus dalam tempoh RMK11 dari 2016 hingga 2020, ia boleh dianggap satu lonjakan pertumbuhan ekonomi yang tinggi.

Bagi pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, katanya, ia perlu tumbuh dalam keadaan lebih berkualiti dengan mengambil kira faktor teknologi terkini serta sektor yang berdaya saing seperti elektronik dan elektrikal.

Menerusi RMK12 yang dibentangkan hari ini peruntukan perbelanjaan pembangunan dilihat tertinggi dalam sejarah sekitar RM400 bilion berbanding sekitar RM220 bilion dalam RMK11, katanya.

“Dalam tempoh RMK12 yang berbaki empat tahun kerana setahun pertama  telahpun berlalu, bagi memastikan sasaran KDNK dapat dicapai dengan baik, perbelanjaan pembangunan yang baik adalah pra-syarat utama bagi mencapai sasaran ekonomi itu.

“Walaupun perbelanjaan pembangunan itu secara dasar adalah besar, tetapi dalam merealisasikan kesan positif dari segi kesan rantaian “multiply effect” (kesan pelbagai) dalam perbelanjaan itu, adalah dari segi pelaksanaannya,” jelasnya.

Mohd Afzanizam berkata perancangan dan koordinasi agensi awam serta kementerian perlu dilaksanakan dengan baik supaya setiap projek pembangunan dapat dijalankan dalam kadar yang betul, tempoh masa yang tepat dan hasilnya dapat dilihat dalam masa terdekat.

Sementara itu, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff daripada Putra Business School (PBS) berkata pertumbuhan purata sektor perkhidmatan dan sektor perkilangan  realistik untuk dicapai kerana kedua-dua sektor ini sentiasa kekal kukuh sejak pandemik sehingga sekarang dan masih menunjukkan peningkatan positif. 

Bagaimanapun, beliau berkata jangkaan bagi pertumbuhan sektor pertanian agak sedikit rendah iaitu sekitar 3.8 peratus bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Saya melihat mungkin perlu ada lagi usaha untuk meningkatkan pertumbuhan sektor pertanian kerana tahun ini kita akan ada dasar agromakanan yang baharu dan kita boleh menambahkan lagi produktiviti dalam sektor pertanian agar tidak lagi bergantung kepada barangan import,” katanya dalam program yang sama.

Mengulas mengenai usaha kerajaan untuk meningkatkan purata pendapatan isi rumah kepada RM10,000, Ahmed Razman berkata sasaran itu agak tinggi tetapi masih boleh dicapai.

“Peningkatan pendapatan isi rumah daripada RM7,000 kepada RM10,000 dalam masa lima tahun ini agak tinggi sasarannya tetapi inilah yang perlu kita cuba.

“Sebenarnya bukan lihat kepada purata sahaja tetapi juga indikator penengah kerana purata ini boleh nampak tinggi tetapi kalau lihat penengah, pendapatannya hanya lebih kurang RM5,800 sahaja,” katanya.

Sumber: Bernama

RMK12 perlihat kesungguhan kerajaan keluarkan negara daripada kemelut pandemik — Ahli ekonomi


Content Type:

Duration:

Pelbagai pandangan dikongsi bersama dalam satu pertemuan diantara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Persekutuan Industri Sabah (FSI).

Pengarah MIDA Wong Tiang Sing berkata, pertemuan yang dilakukan pada Jumaat lepas mendapat sambutan baik daripada Presiden FSI Richard Lim serta para ahli majlisnya.

“Terdapat beberapa perkara yang dibincangkan dalam pertemuan ini, antaranya dasar pelaburan terkini, insentif cukai dan pelbagai kemudahan disediakan kerajaan dalam menggunapakai insentif automasi serta ‘Industry4wrd’ kepada ahli-ahli FSI.

“Selain itu, perkara mengenai kos pengangkutan dan bahan mentah yang tinggi juga dibincangkan, isu-isu banjir yang menjejaskan perniagaan serta banyak lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau juga meminta FSI untuk terus bekerja rapat dengan MIDA khususnya dalam perkongsian maklumat dan membantu pengusaha industri tempatan.

Katanya, FSI boleh menjadi ‘jambatan’ komunikasi diantara MIDA dengan para pemain industri di Sabah khususnya mereka yang belum berdaftar dengan MIDA.

Sementara itu, Richard menjelaskan pihaknya mengalu-alukan permintaan MIDA dan akan terus menyokong serta membantu dalam perkongsian maklumat kepada para pemain industri di Sabah.

“Kami akan berusaha untuk mendapatkan maklum balas daripada pemain industri kepada pihak MIDA khususnya mengenai perkara-perkara yang dibincangkan,” katanya.

Sumber: Utusan Borneo

MIDA dan FSI bertemu berkongsikan pandangan


Content Type:

Duration:

Industri halal dijangka menyumbang kepada 8.1 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan penjanaan pendapatan eksport berjumlah RM56 bilion pada 2025, demikian menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Oleh itu, pembangunan industri halal diperkukuh bagi melahirkan pemain industri halal tempatan yang berdaya saing dalam merebut peluang pasaran halal global lebih besar.

“Langkah akan dilaksana untuk memperkukuh keupayaan dan kemampuan industri halal dengan meningkatkan pembangunan bakat halal, mewujudkan pengiktirafan profesional halal, mempercepat pembangunan industri termasuk penyertaan Bumiputera, meningkatkan daya saing produk dan menjadikan Malaysia hab halal global,” menurut dokumen itu.

Katanya, dalam menjadikan Malaysia sebagai hab halal global, rantaian bekalan halal ditambah baik dan Malaysia akan dipromosi sebagai destinasi pelaburan halal melalui pelbagai platform antarabangsa seperti ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta dewan perniagaan.

Rangkaian serantau dan saluran pengedaran syarikat besar tempatan serta syarikat multinasional akan dimanfaat untuk mempromosi produk dan perkhidmatan berorientasikan eksport.

Menurut dokumen itu, pusat pengedaran sedia ada seperti Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) serta platform e-dagang halal akan dimanfaatkan bagi menggalakkan kelancaran ketersambungan rantaian bekalan halal.

“Dengan memperkukuh peranan taman industri halal menjadi lebih mesra industri, ia akan menarik pelaburan baharu dan mengembangkan perniagaan sedia ada.

“Manakala, pendekatan pembangunan yang menyeluruh akan diguna untuk menghidupkan kembali taman industri halal sedia ada yang kurang berdaya maju,” katanya.

Di samping itu, insentif ditambah baik bagi menarik rakan niaga untuk melabur dalam produk dan perkhidmatan halal yang dipromosi, apabila dana pembiayaan Islam bersindiket serta platform khidmat nasihat digital akan diwujudkan bagi menyediakan penyelesaian kewangan kepada syarikat tempatan dan antarabangsa.

Dalam meningkatkan pembangunan bakat halal, dokumen itu menyatakan rangka kerja pekerjaan halal akan diperluas untuk merangkumi keperluan bakat dalam industri berpotensi tinggi seperti farmaseutikal, kosmetik dan peranti perubatan, melalui libat urus bersama pihak industri.

“Program akademik dan modul latihan akan diselaras serta diiktiraf mengikut Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

“Institusi pendidikan tinggi dan latihan kemahiran akan digalak untuk menawarkan lebih banyak program berkaitan halal bagi menghasilkan graduan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran menyeluruh dalam bidang halal,” menurut dokumen itu.

Tambahnya, kerjasama antara institusi penyelidikan awam dan swasta diperkukuh bagi mewujudkan kumpulan bakat penyelidik, saintis dan jurutera dalam bidang halal untuk membolehkan produk serta perkhidmatan halal yang bernilai tinggi dihasilkan.

Bagi memperluas pengiktirafan pengamal profesional halal di pasaran global, dokumen itu menyatakan Majlis Profesional Halal (HPB) di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) disusun semula berdasarkan peraturan baharu apabila mekanisme berkaitan standard amalan profesional, tatakelakuan dan penilaian kompetensi halal akan dikenal pasti.

Sementara itu, menerusi pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030), industri itu terus dibangunkan dengan memanfaatkan kekuatan industri tempatan, termasuk meningkatkan penyertaan syarikat Bumiputera bagi memperkukuh pembangunan industri itu.

“Perkhidmatan perundingan berkaitan pembangunan ekosistem halal juga akan ditawarkan kepada pihak berminat, termasuk negara yang mempunyai penduduk majoriti bukan Islam untuk memperkukuh pengiktirafan jenama halal Malaysia.

“Standard Malaysia (MS) berkaitan halal akan ditambah baik sebagai pemboleh daya utama untuk meningkatkan daya saing produk dan perkhidmatan,” menurut dokumen itu.

Dalam RMK-11, industri halal berkembang pada kadar purata 5.5 peratus setahun, manakala nilai eksport halal telah meningkat sedikit 0.8 peratus setahun daripada RM39.4 bilion kepada RM40.6 bilion dalam tempoh 2016 hingga 2019.

Bagaimanapun, dalam inisiatif yang memberi fokus kepada pembangunan standard dan pensijilan halal, penjenamaan serta promosi serta pengkomersialan produk dan perkhidmatan halal itu, sumbangan KDNK menurun pada 2020 kepada RM92.7 bilion dan eksport menurun dengan ketara kepada RM30.6 bilion.

Sumber: Bernama

RMK-12: Industri halal diunjur sumbang 8.1 peratus KDNK


Content Type:

Duration:

Industri aeroangkasa telah dikenal pasti sebagai satu daripada industri strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk melonjakkan negara kepada trajektori berteknologi tinggi, yang menjana pendapatan RM30 bilion pada 2025 berbanding RM11.6 bilion pada 2020.

Menurut dokumen RMK-12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) hari ini, industri yang dijangka mewujudkan 30,000 pekerjaan dalam lima tahun ke hadapan itu akan ditransformasi kepada menghasilkan produk dan perkhidmatan lebih kompleks.

“Inisiatif yang akan dilaksana termasuk membangunkan ekosistem yang mampan, mewujudkan kluster dan zon aktiviti aeroangkasa, mewujudkan sistem digital aeroangkasa dan meneroka sumber tenaga yang mampan.

“Inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan daya saing industri, seterusnya memperkukuh kedudukan industri tempatan dalam rantaian nilai global,” menurut dokumen itu.

Menurutnya bagi membangunkan ekosistem aeroangkasa yang mampan, Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) akan diperkasa sebagai sebuah agensi untuk memperkukuh peranannya dalam memudah cara pelaksanaan inisiatif dan pelan tindakan di bawah Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIB) 2030.

Pemerkasaan itu juga akan mengukuhkan peranan NAICO dalam menyelaras pelaksanaan Rangka Kerja Industri Aeroangkasa yang baru diperkenalkan, yang mengandungi sasaran keseluruhan industri serta strategi dan hasil yang dihasratkan bagi setiap kluster untuk mencapai objektif MAIB 2030, katanya.

Selain itu, pusat kecemerlangan aeroangkasa juga akan ditubuhkan bagi menyediakan latihan serta perkongsian amalan terbaik dan fasiliti, terutamanya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk meningkatkan daya saing industri dan menjadikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa di rantau Asia Tenggara.

Di bawah RMK-12, keupayaan fasiliti aeronautik dan astronautik akan ditambah baik dan infrastruktur sedia ada akan digunakan secara optimum, manakala kemahiran tempatan akan ditingkatkan bagi memperkukuh industri aeroangkasa.

Usaha juga akan dilaksanakan untuk mewujudkan sumber baharu pertumbuhan ekonomi melalui kerjasama strategik antara kerajaan dan pemain tempatan yang terlibat dalam industri aeroangkasa.

“Insentif dan bantuan kewangan akan ditambah baik supaya industri kekal berdaya saing dalam rantaian nilai global dan menggalakkan pertumbuhan mampan.

“Usaha ini adalah kritikal ketika pasaran dunia termasuk Malaysia, bertindak balas dan pulih daripada implikasi ekonomi dan sosial akibat pandemik COVID-19,” menurut dokumen itu.

Dokumen RMK-12 itu turut menyatakan insentif akan dikaji semula untuk mempercepat penyelidikan dan pembangunan, inovasi dan pelaburan dalam aktiviti yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi.

Sementara itu, pinjaman dan jaminan pinjaman kepada perniagaan akan diteroka untuk meningkatkan akses industri kepada kecairan bagi mengimbangi aliran tunai yang merosot disebabkan impak pandemik.

Pembangunan industri aeroangkasa akan dijajar semula untuk membangunkan keupayaan khusus melalui pewujudan kluster dan zon aktiviti aeroangkasa di kawasan ekonomi terpilih.

“Pembangunan industri akan memberi tumpuan kepada empat kluster iaitu penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembuatan aeroangkasa, integrasi sistem dan perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk untuk mewujudkan sinergi dan menggalakkan pertumbuhan pemain industri tempatan.

“Pewujudan kluster dan zon aktiviti aeroangkasa ini akan dilaksana berdasarkan kepada kekuatan dan kelebihan setiap kawasan ekonomi,” katanya.

Sumber: Bernama

RMK-12: Industri aeroangkasa bakal jana pendapatan RM30 bilion menjelang 2025


Content Type:

Duration:

Malaysia bakal merangka beberapa inisiatif bagi meningkatkan daya saing sektor pengangkutan dan logistik, sekali gus menjadikan negara sebagai hab pengangkutan dan logistik di rantau ini menjelang 2025.

Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang diterbitkan Unit Perancang Ekonomi (ICU) pada Isnin, inisiatif itu meliputi usaha meningkatkan kecekapan dan memanfaatkan pendigitalan dalam perkhidmatan berkenaan.

“Pelaksanaan inisiatif ini akan menyumbangkan kepada penambahbaikan proses pengendalian kargo, peningkatan jumlah kargo dan pengukuhan perdagangan,” kata dokumen itu.

Antara inisiatif yang digariskan ialah meningkatkan kecekapan perkhidmatan pengangkutan dan logistik, menambah baik infrastruktur dan kapasiti perkhidmatan pelabuhan serta mempertingkatkan ketersambungan batuan akhir.

Antara yang diberi tumpuan adalah menggalakkan pergerakan barangan pelbagai mod, menaik taraf sistem penerbangan dan melaksanakan penyenggaraan pencegahan bagi jalan raya dan jambatan.

Dengan itu, menurut dokumen tersebut, ia akan memastikan proses pengendalian kargo adalah cekap, sistem yang digunakan dalam sektor penerbangan mematuhi piawaian antarabangsa serta jalan raya dan jambatan berada dalam keadaan baik.

Sehubungan itu, pengendali pelabuhan digesa untuk menyediakan perkhidmatan yang baik bagi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) kapal di bawah selia pihak berkuasa pelabuhan.

Justeru, dokumen itu menyatakan kemudahan parkir yang lebih sesuai juga akan disediakan untuk prime movers bagi mengurangkan kesesakan di pelabuhan semasa waktu puncak.

“Kemudahan dan peralatan pelabuhan akan dinaik taraf dan proses kerja akan sentiasa ditambah baik untuk meningkatkan kecekapan dan daya saing yang menyeluruh,” jelas dokumen itu lagi.

Sumber: Astro Awani

RMK-12: Malaysia sasar jadi hab pengangkutan, logistik menjelang 2025


Content Type:

Duration:

RMK-12: Ke arah negara neutral karbon, MITI fokus pembangunan kenderaan EEV

Sejajar dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara neutral karbon seawal tahun 2050, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memberi keutamaan kepada usaha memperkukuhkan ekosistem bagi pembangunan kenderaan Energy Efficient Vehicle (EEV) termasuk Electric Vehicle (EV).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia meliputi pembuatan komponen kritikal, penetapan piawaian dan menggalakkan aktiviti keupayaan serta kemampuan penyelidikan untuk membangunkan teknologi tempatan.

 “RMK-12 juga memberi penekanan kepada pembangunan pertumbuhan sektor baharu dalam mencerdaskan ekonomi negara yang selari dengan usaha MITI termasuk pembangunan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), industri Halal dan Aeroangkasa.

“Ini adalah bertepatan dengan Dasar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) untuk menarik pelabur asing (FDI) yang berimpak dan berteknologi tinggi bagi meningkatkan daya saing dan tarikan Malaysia sebagai hub pelaburan serantau.

“Ia adalah sejajar dengan teras NIA bagi mempercepatkan pertumbuhan hijau dengan memberi lebih penekanan terhadap ESG,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Bagi memastikan pertumbuhan sektor baharu yang inklusif, Azmin memaklumkan bahawa pihaknya turut menyediakan pelbagai kemudahan bertujuan membantu PMKS seperti skim pembiayaan mudah melalui MIDF.

“Pemerkasaan PMKS melalui pendigitalan akan menyuntik dinamisme dalam seluruh rantaian ekonomi khususnya ke kawasan luar bandar.

“Ini adalah selari dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif,” ujar Azmin lagi.

Peruntukan sebanyak RM400 bilion juga katanya menzahirkan komitmen kerajaan untuk mendepani cabaran-cabaran ekonomi global yang dinamik.

Tambah Ahli Parlimen Gombak itu lagi, RMK-12 mengunjurkan sasaran jumlah purata pelaburan swasta setiap tahun sebanyak RM258 bilion.

“Untuk mencapai sasaran ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperkukuhkan asas-asas ekonomi negara dengan memberi tumpuan dalam usaha menggalakkan perdagangan dan pelaburan terbuka, telus serta mesra-perniagaan.

“Kerajaan akan meratifikasi Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang akan memberi akses pasaran yang lebih luas kepada industri tempatan,” jelasnya.

Terdahulu, kerajaan akan bersama-sama pihak swasta bagi menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon seawal-awalnya pada tahun 2050.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi menyokong usaha ini, instrumen ekonomi seperti ‘carbon pricing’ dan cukai karbon akan diperkenalkan. Sumber: Astro Awani

Sejajar dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara neutral karbon seawal tahun 2050, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memberi keutamaan kepada usaha memperkukuhkan ekosistem bagi pembangunan kenderaan Energy Efficient Vehicle (EEV) termasuk Electric Vehicle (EV).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia meliputi pembuatan komponen kritikal, penetapan piawaian dan menggalakkan aktiviti keupayaan serta kemampuan penyelidikan untuk membangunkan teknologi tempatan.

 “RMK-12 juga memberi penekanan kepada pembangunan pertumbuhan sektor baharu dalam mencerdaskan ekonomi negara yang selari dengan usaha MITI termasuk pembangunan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), industri Halal dan Aeroangkasa.

“Ini adalah bertepatan dengan Dasar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) untuk menarik pelabur asing (FDI) yang berimpak dan berteknologi tinggi bagi meningkatkan daya saing dan tarikan Malaysia sebagai hub pelaburan serantau.

“Ia adalah sejajar dengan teras NIA bagi mempercepatkan pertumbuhan hijau dengan memberi lebih penekanan terhadap ESG,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Bagi memastikan pertumbuhan sektor baharu yang inklusif, Azmin memaklumkan bahawa pihaknya turut menyediakan pelbagai kemudahan bertujuan membantu PMKS seperti skim pembiayaan mudah melalui MIDF.

“Pemerkasaan PMKS melalui pendigitalan akan menyuntik dinamisme dalam seluruh rantaian ekonomi khususnya ke kawasan luar bandar.

“Ini adalah selari dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif,” ujar Azmin lagi.

Peruntukan sebanyak RM400 bilion juga katanya menzahirkan komitmen kerajaan untuk mendepani cabaran-cabaran ekonomi global yang dinamik.

Tambah Ahli Parlimen Gombak itu lagi, RMK-12 mengunjurkan sasaran jumlah purata pelaburan swasta setiap tahun sebanyak RM258 bilion.

“Untuk mencapai sasaran ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperkukuhkan asas-asas ekonomi negara dengan memberi tumpuan dalam usaha menggalakkan perdagangan dan pelaburan terbuka, telus serta mesra-perniagaan.

“Kerajaan akan meratifikasi Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang akan memberi akses pasaran yang lebih luas kepada industri tempatan,” jelasnya.

Terdahulu, kerajaan akan bersama-sama pihak swasta bagi menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon seawal-awalnya pada tahun 2050.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi menyokong usaha ini, instrumen ekonomi seperti ‘carbon pricing’ dan cukai karbon akan diperkenalkan.

Sumber: Astro Awani

RMK-12: Ke arah negara neutral karbon, MITI fokus pembangunan kenderaan EEV


Content Type:

Duration:

Industri elektrik dan elektronik (E&E) disasar menyumbang RM120 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjana pendapatan eksport sebanyak RM495 bilion menjelang 2025.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), pemain industri E&E digalak untuk menerima guna teknologi termaju dan menghasilkan produk lebih sofistikated, seterusnya menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan pertumbuhan.

Menurut Dokumen RMK-12 yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), anjakan industri perlu dilaksana melalui peningkatan pelaburan dalam aktiviti yang bernilai tinggi seperti reka bentuk dan pembangunan (D&D) serta pembuatan ‘front-end’.

“Justeru, usaha akan ditumpukan untuk memperkukuh ekosistem pembuatan, menggalakkan penerimagunaan teknologi baharu serta meningkatkan pembangunan bakat, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta D&D,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh ekosistem industri E&E bagi mencapai rantaian nilai yang lebih tinggi, ia berkata, ekosistem yang komprehensif berdasarkan pendekatan yang lebih sistematik adalah penting bagi memastikan kemampanan pembangunan industri.

Dalam hal ini, katanya pelan hala tuju E&E nasional akan dirangka sebagai panduan strategik bagi pembangunan industri, dengan subsektor utama termasuk semikonduktor, solar fotovoltan, diod pemancar cahaya, perkhidmatan pembuatan elektronik dan perkhidmatan berkaitan pembuatan.

“Peranan organisasi yang berkaitan akan dipertingkat bagi menambah baik penyelarasan, di samping mewujudkan jalinan dan kerjasama yang kukuh dengan institusi penyelidikan serta antara sektor awam dan swasta.

“Insentif untuk industri E&E akan distruktur semula bagi meningkatkan keberkesanan. Pelaksanaan inisiatif ini membolehkan penyelarasan dana, sumber teknikal dan fasiliti yang disediakan oleh kerajaan,” tambahnya.

Menurut dokumen berkenaan, usaha juga akan dilaksana bagi membolehkan industri E&E beralih kepada aktiviti bernilai tinggi di sepanjang rantaian bekalan melalui peningkatan penggunaan automasi dan teknologi termaju.

Sementara itu, syarikat multinasional (MNC) akan digalak membantu meningkatkan keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan dengan pelaksanaan Lighthouse Project yang diperkenal pada 2020, akan diperluas untuk mengalakkan MNC membantu PMKS dalam menguasai pendigitalan serta globalisasi 4.0.

Dalam meningkatkan pembangunan bakat dan keupayaan, ia berkata, pelbagai program kelayakan mikro akan diperluas berdasarkan model Triple Helix dengan set kemahiran tambahan, termasuk pengekodan perisian dan pemodelan analisis data disediakan oleh pelbagai institusi latihan untuk memenuhi permintaan pasaran.

Katanya, beberapa inisiatif akan dilaksana untuk membangunkan bakat dalam industri ini selaras dengan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara, termasuk penubuhan pusat pembangunan kemahiran 4IR yang diterajui oleh industri.

Insentif itu juga, katanya akan disediakan kepada industri untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula pekerja dalam bidang 4IR, manakala paltform data menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) akan diwujudkan untuk memudahkan perancangan tenaga kerja.

“Bagi mempercepat pembangunan industri pembuatan bernilai tinggi, pekerja akan ditingkatkan kemahiran dan dilatih semula dalam bidang reka bentuk.

“Pusat khusus akan dikenal pasti bagi melatih jurutera reka bentuk berkemahiran tinggi untuk memenuhi permintaan,” katanya.

Pada 2020, industri E&E menyumbang 6.4 peratus kepada KDNK dengan nilai ditambah sebanyak RM86.1 bilion, manakala dari 2016 hingga 2020, industri berkenaan berkembang pada kadar 5.6 peratus setahun, lebih tinggi berbanding pertumbuhan sektor pembuatan pada 3.3 peratus setahun.

“Selain itu, subsektor E&E mendominasi eksport negara dengan sumbangan 45.6 peratus atau RM386.1 bilion pada 2020. Dalam tempoh 2016 hingga 2020, sebanyak 577 projek E&E dengan pelaburan bernilai RM71.4 bilion diluluskan,” katanya.

Sumber: Bernama

Sektor E&E kekal pemacu penting ekonomi Malaysia


Content Type:

Duration:

Malaysia lebih memerlukan pelaburan yang bersifat teknologi baharu merangkumi pembangunan sistem digital yang akan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata, negara kini tidak lagi memerlukan pelaburan berbentuk infrastruktur sebaliknya lebih cenderung untuk dapat memanfaatkan pelaburan yang akan meningkatkan proses pendigitalan sektor ekonomi.

“Menerusi RMK-12, negara menyasarkan pelaburan dari sektor swasta meningkat kepada RM258 bilion menjelang 2025 manakala pelaburan dari sektor awam sebanyak RM80 bilion.

“Ciri-ciri pelaburan yang diperlukan negara ketika ini adalah dalam bentuk penyediaan sistem pendigitalan yang akan membolehkan kita melaksanakan proses automasi dan sebagainya,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, semalam.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata RMK-12 adalah sebuah pelan jangka panjang yang dirangka di peringkat makro dengan mengambil kira sasaran Malaysia ke arah sebuah negara maju.

“Selepas ini, akan ada kumpulan pelaksana yang akan memperincikan setiap dasar di peringkat mikro dan merangka pelan pelaksanaan yang akan dijalankan oleh pemegang taruh di kementerian dan agensi.

“Di peringkat jabatan, kita akan cuba menghasilkan lebih banyak statistik berbentuk ‘bottom-up’ di peringkat daerah dan mukim yang akan memperincikan isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata, sebuah pangkalan data yang komprehensif bakal dibentuk di bawah RMK-12 yang akan mengetengahkan pelbagai isu ekonomi setempat seperti kos sara hidup, pengangguran dan sosial supaya ia dapat dikenal pasti dan diatasi dengan berkesan.

“Kita akan mengeluarkan banyak data yang akan membolehkan semua orang mengambil bahagian dan mengemukakan pandangan terhadap permasalahan yang dihadapi,” katanya.   

Sumber: Bernama

RMK-12: Malaysia perlukan pelaburan dalam teknologi baharu


Content Type:

Duration:

wpChatIcon