Sokongan Infrastruktur - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. MelayuEnglishDeutsch日本語简体中文한국어
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sokongan Infrastruktur

Sokongan Infrastruktur

1. TANAH PERINDUSTRIAN

1.1  Estet Perindustrian

Malaysia mempunyai lebih daripada 600 kawasan Perindustrian di seluruh negara dengan infrastruktur bertaraf dunia dan keterhubungan yang sangat baik, menjadikan Malaysia sebagai sebuah lokasi pekerjaan yang terkenal, mampan dan kondusif untuk penduduk tempatan dan juga pelabur asing.

Kawasan industri khas telah diwujudkan di Malaysia untuk memenuhi keperluan industri tertentu seperti industri kecil, industri halal, taman perabot, taman bioteknologi, industri berintensifkan teknologi dan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D). Taman Teknologi Tinggi Kulim dan Taman Perindustrian Batu Kawan di bahagian utara Semenanjung Malaysia adalah taman perindustrian bersepadu yang pertama di negara ini. Manakala i-Park Johor telah mencipta konsep unik ‘resort industri’. Hab Halal Selangor di Pulau Indah, Westport pula memfokuskan pada aktiviti produk halal. Konsep ini dibangunkan berdasarkan idea yang menggabungkan unsur seperti ‘resort’ atau bandar industri yang disatukan dengan kemudahan seperti pusat membeli-belah, hospital, institusi pendidikan dan kemudahan rekreasi yang mana akan menarik minat pelabur untuk datang dan melabur di Malaysia.

1.2  Zon Bebas (Free Zone)

Zon Bebas adalah mana-mana kawasan di Malaysia yang diisytiharkan sebagai Zon Perdagangan Bebas atau Zon Perindustrian Bebas oleh Menteri Kewangan berdasarkan Seksyen 3 (1) Akta Zon Bebas 1990. Ia dibangunkan terutamanya untuk menggalakkan perdagangan entreport dan ditubuhkan khas untuk syarikat perkilangan yang menghasilkan atau memasang produk terutamanya bagi tujuan eksport.

Kegiatan dan industri di dalamnya tertakluk kepada pengawasan kastam yang minimum memandangkan ia sebagai suatu kawasan di luar kawasan utama Kastam di bawah Seksyen 2 (1A) Akta Kastam 1967, kecuali berkenaan dengan Larangan Import dan Eksport di bawah Seksyen 31 Akta Kastam 1967.

1.3  Gudang Pegilangan Berlesen (LMW)

Untuk membolehkan syarikat menikmati kemudahan FIZ di kawasan yang tidak praktikal atau tidak sesuai untuk ditubuhkan FIZ, syarikat boleh menubuhkan Gudang Perkilangan Berlesen (LMW). Kemudahan yang diberikan kepada LMW adalah serupa dengan kilang yang beroperasi di FIZ.

Kelayakan

Syarikat yang biasanya menerima kelulusan untuk LMW adalah:

  • yang mana pengeluaran penuh atau tidak kurang daripada 80% adalah untuk tujuan eksport.
  • yang mana bahan mentah / komponennya kebanyakannya diimport.

Pembayaran Duti

Berkuatkuasa 1 Januari 2011, syarikat FIZ dan LMW layak menikmati pengecualian duti import yang setara dengan kadar ATIGA (Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN) sekiranya mematuhi syarat berikut;

i.  mencapai nilai sebanyak 40% daripada kandungan tempatan, dan

ii.  jika nilai kandungan tempatan tidak mencapai 40%, pertimbangan boleh diberikan jika syarikat FIZ / LMW dapat membuktikan bahawa bahan mentah bukan tempatan pada produk akhir yang dihasilkan telah mengalami proses transformasi yang signifikan melalui mekanisme yang telah ditetapkan.

2.  BEKALAN ELEKTRIK

Bekalan elektrik di Malaysia adalah mencukupi dan berkualiti serta boleh dipercayai, setara dengan utiliti lain di rantau ini dan di peringkat global.

Bekalan elektrik ke Malaysia Barat disediakan oleh Tenaga Nasional Berhad, sebuah syarikat utiliti nasional, manakala di Malaysia Timur, iaitu Sabah dan Sarawak, bekalan elektrik masing-masing disediakan oleh Sabah Electricity Sendirian Berhad (SESB) dan Sarawak Energy Berhad (SEB).

Sebahagian besar tenaga elektrik di Malaysia dijana melalui termal, gas dan hidro. Loji penjanaan dimiliki oleh syarikat utiliti dan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP). Tenaga yang boleh diperbaharui daripada solar, hidro kecil, biogas dan biojisim juga dipromosikan sebagai sebahagian daripada inisiatif teknologi hijau Malaysia.

Voltan penghantaran di Malaysia berada pada kadar 500 kV, 275 kV dan 132 kV sementara voltan pengedaran berada pada kadar 33 kV, 11 kV dan 400/230 V.

3.  BEKALAN AIR

Bekalan dan perkhidmatan air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan Malaysia. Untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan air negara terutama bagi melindungi hak pengguna, dua kerangka perundangan Persekutuan; iaitu Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 654) dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) telah dikuatkuasakan masing-masing sejak 2007 dan 2008. Dengan adanya perkhidmatan air yang terkawal dengan baik, ini akan membantu meningkatkan kecekapan dan kelestarian jangka panjang industri air untuk memberi manfaat kepada pengguna, pelabur dan juga pengendali. Pengguna di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan menikmati bekalan air berterusan yang boleh dipercayai dan selamat. Pemantauan dan pengujian rutin dilakukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memastikan semua pengendali air mematuhi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi kualiti air minum. Semua kegunaan domestik, komersial dan industri disukat menggunakan meter. Tarif air adalah berbeza mengikut negeri.

4.  KEMUDAHAN KARGO UDARA

Kedudukan strategik Malaysia di persimpangan Asia Tenggara menjadikannya sangat menarik sebagai pusat penghantaran. Kemudahan kargo udara dibangunkan dengan baik, terutama di enam lapangan terbang antarabangsa di Malaysia.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang sangat canggih di Sepang, Selangor, mempunyai kapasiti semasa untuk menampung 40 juta penumpang dan lebih daripada 1.2 juta tan kargo setiap tahun.

Walau bagaimanapun, 10,000 hektar tanah KLIA telah dirancang untuk menampung sehingga 60 juta penumpang dan tiga juta tan kargo setiap tahun menjelang tahun 2020, dan di masa hadapan, hingga 100 juta penumpang dan lima hingga enam juta tan kargo setiap tahun.

Lapangan terbang antarabangsa yang lain adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Semenanjung Malaysia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di Sabah, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di Sarawak.

MASkargo adalah bahagian kargo utama bagi syarikat induknya Penerbangan Malaysia (MAS) yang mengendalikan perkhidmatan kargo udara berjadual, sewaan kargo, perkhidmatan pengendalian darat dan juga perkhidmatan logistik daripada lapangan terbang ke pelabuhan melalui pengangkutan darat.

Di samping itu, MASkargo juga menawarkan kapasiti pengangkutan pada kapal terbang syarikat induknya, MAS dan anak syarikatnya yang lain melalui 100 destinasi penerbangannya yang merentasi enam benua.

MASkargo mengendalikan Pusat Kargo Utama (ACC) yang canggih di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dalam kawasan Zon Perdagangan Bebas (FCZ). Pusat ini mempunyai sistem keselamatan yang terjamin dan canggih dengan teknologi terkini termasuk prosedur automatik sepenuhnya, memastikan penjejakan data masa nyata dan aliran komunikasi yang lancar. Antara kemudahan yang terdapat di pusat ini adalah Hotel Haiwan, Pusat Barangan Mudah Rosak dan Pusat Perniagaan Keutamaan (PBC) yang pertama di dunia bagi ejen penghantaran utama.

Pada masa ini ia menyediakan perkhidmatan penghantaran barangan secara berjadual dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuching (Malaysia) ke Sydney, Shanghai, Taipei, Bangkok, Hong Kong, Manila, Jakarta, Surabaya, Tokyo, Osaka, Frankfurt, Amsterdam, dan Sharjah. MASkargo mengendalikan kapal terbang kargonya sendiri, yang terdiri daripada dua pesawat Boeing B747-400F dan dua pesawat Airbus A330-200F.

Baru-baru ini, syarikat ini telah diperakui dengan Program Pengangkutan Selamat IATA, yang bertujuan untuk mewujudkan program rantaian bekalan yang selamat dan memperkukuh keselamatan kargo. Syarikat ini juga mempunyai produk yang dikenali sebagai I-Port, lapangan terbang pertama di dunia yang menyediakan perkhidmatan pemunggahan pelabuhan. Perkhidmatan ini membolehkan pengendalian penghantaran kargo laut dan udara dengan pantas melalui KLIA dari Pelabuhan Klang. Di samping itu, MASkargo juga menyediakan perkhidmatan pengangkutan lapangan terbang ke lapangan terbang di negara ini.

Perkhidmatan kargo udara di Malaysia turut dilengkapkan dengan perkhidmatan Transmile Air yang menyediakan enam destinasi domestik di Sabah, Sarawak dan semenanjung Malaysia dan 2 destinasi berjadual dan antarabangsa iaitu, Hong Kong dan Singapura. Perkhidmatan penerbangan domestik ke Labuan dan Bintulu di Malaysia Timur disediakan terutamanya bagi industri minyak dan gas yang memerlukan kemudahan pengendalian khas. Selain perkhidmatan berjadual, Transmile Air juga menyediakan perkhidmatan penerbangan sewaan ke rantau ASEAN dan Asia Pasifik dan mempunyai kemampuan untuk terbang ke India, Timur Tengah dan China.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai MASkargo, sila layari laman web syarikat di www.maskargo.com

5.  PELABUHAN LAUT

Pelabuhan di Malaysia terdiri daripada pelabuhan persekutuan dan pelabuhan negeri. Semua pelabuhan persekutuan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan. Pada masa ini terdapat lapan (8) buah pelabuhan persekutuan utama iaitu Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Johor, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Kuantan, Pelabuhan Kemaman, Pelabuhan Labuan dan Pelabuhan Bintulu. Semua pelabuhan persekutuan ini dilengkapi dengan kemudahan moden. Pelabuhan Bintulu adalah satu-satunya pelabuhan yang mengendalikan gas asli cecair.

Seiring dengan perkembangan ekonomi dan perdagangan, pelabuhan di negara ini mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dalam beberapa tahun terakhir. Dua (2) buah pelabuhan iaitu Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, berada dalam senarai kelompok antara 20 pelabuhan kontena yang paling sibuk di dunia.

Dasar kerajaan mengenai pelabuhan memberikan keutamaan kepada:

  1. Meningkatkan penawaran, iaitu melalui penyediaan kapasiti yang mencukupi di pelabuhan untuk memastikan bahawa pelanggan tidak perlu menunggu ketibaan kapal.
  2. Meningkatkan penggunaan pelabuhan melalui:
    • peningkatan kecekapan dan produktiviti operasi pelabuhan;
    • penswastaan ​​pelabuhan;
    • perkembangan dan penambahbaikan perkhidmatan sampingan; dan
    • perkembangan dan peningkatan pengangkutan darat.
  3. Pusat muatan, Pelabuhan Klang telah dijadikan pusat muatan dan pusat penghantaran negara.

Manakala Pelabuhan Tanjung Pelepas pula telah diiktiraf sebagai pusat penghantaran wilayah.

6.  PENGANGKUTAN KARGO

Pelbagai syarikat menyediakan perkhidmatan pengangkutan kargo kontena di Malaysia. Ini termasuk pengangkutan kontena, pengiriman barang, pergudangan, penyimpanan, perkhidmatan berkaitan pengedaran, pelepasan pelabuhan dan kastam, pembaikan kontena, penyewaan dan penyelenggaraan.

Penerima konsain dan pelanggan di Malaysia menikmati pengangkutan kargo yang pantas, cekap dan boleh dipercayai melalui rangkaian cawangan dan pejabat tempatan. Sebilangan besar syarikat juga menawarkan rangkaian ejen antarabangsa yang baik.

6.1  Pengangkutan Kontena

Kerajaan Malaysia mengawal selia pengangkutan kontena darat melalui Badan Pengangkutan Awam Darat.

Enam puluh dua (62) syarikat pengangkut memenuhi pelbagai keperluan kargo melalui treler dan penggerak utama yang pelbagai termasuk kenderaan yang diubah suai. Beberapa kenderaan turut dilengkapi dengan sistem penjejakan moden untuk memantau pergerakan kenderaan pengangkutan di jalan raya.

Banyak pengendali bersaiz sederhana dan kecil yang lain turut mengangkut muatan konvensional ke destinasi di negara ini. Sementara itu, perkhidmatan rel kereta api penyambung turut beroperasi ke destinasi tertentu dan perkhidmatan kapal kargo memastikan penghantaran kontena kepada pelanggan luar.

Sistem pengangkutan pelbagai mod (jalan dan kereta api) ini menjamin penghantaran kargo dengan cepat.

6.2  Penghantaran Barang

Ratusan ejen penghantaran barang yang ditempatkan di seluruh Malaysia menawarkan perkhidmatan penghantaran barang di seluruh negara, sementara kargo yang menuju ke destinasi antarabangsa boleh dihantar melalui pelbagai syarikat penghantaran barang antarabangsa.

Penghantar barang juga boleh memberikan bantuan kepada pengilang dalam pemprosesan permohonan permit, lesen yang diperlukan dan pengecualian duti / cukai  daripada pihak Kastam.

7.  LEBUHRAYA

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengawasi dan melaksanakan reka bentuk, pembinaan, peraturan, operasi dan penyelenggaraan lebuhraya antara bandar di Malaysia. Lebuhraya yang selesa ini menghubungkan semua bandar besar dan kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan, dan telah menjadi pemangkin pertumbuhan industri dengan menjamin sistem pengangkutan yang cekap.

Program penswastaan ​​yang berjaya di negara ini ditambah dengan pertumbuhan ekonominya yang mapan juga telah mendorong lebih banyak projek pembangunan lebuhraya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Hari ini, Lebuhraya Utara-Selatan bersama dengan Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur menjadi tulang belakang infrastruktur jalan raya di Malaysia yang menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negara yang pesat.

8.  PERKHIDMATAN KERETA API

Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), yang beroperasi di Semenanjung Malaysia, adalah sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia. Sebagai organisasi pengangkutan terbesar tunggal di negara ini, KTMB mempunyai keupayaan untuk mengangkut beberapa jenis barangan, daripada biji-bijirin hinggalah mesin.

Rangkaiannya menjangkau keseluruhan Semenanjung Malaysia dari terminal utara di Padang Besar hinggalah ke Pasir Gudang, Johor di bahagian selatan. Laluan utaranya juga turut sama menyediakan perkhidmatan bagi dermaga dan pelabuhan di Pulau Pinang.

9.  MSCMALAYSIA

MSC Malaysia ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia untuk memacu pertumbuhan Ekonomi Digital negara. Status MSC Malaysia menyediakan pelbagai insentif, hak dan keistimewaan kepada perniagaan yang berkaitan dengan ICT, sama ada syarikat tempatan atau asing , bagi menggalakkan pertumbuhan yang berterusan. Sejak diwujudkan pada tahun 1996, program MSC Malaysia berjaya memacu Ekonomi Digital negara ke tahap yang lebih tinggi.

Dengan jumlah yang melebihi daripada 2,000 syarikat, status MSC Malaysia adalah sebutan yang sangat diinginkan oleh banyak syarikat  IT di negara ini. Syarikat yang mempunyai status Syarikat Berstatus MSC Malaysia mempunyai akses kepada insentif eksklusif yang dapat memberikan mereka kelebihan yang diperlukan dalam industri IT yang kompetitif.

Baca Lagi…

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp

Hubungi Wakil Kami

Kehadiran global kami bermaksud kami sentiasa bersedia untuk membantu. Hubungi kami dan melabur di Malaysia hari ini.
wpChatIcon